Continue reading “REVIU: SIKHISME 101”
Hentikan Penindasan Komuniti Minoriti Di Malaysia
Continue reading “Hentikan Penindasan Komuniti Minoriti Di Malaysia”
Previu: Sikhisme 101
Continue reading “Previu: Sikhisme 101”
FORUM: Masa Depan Kebangsaan Melayu
September 9
4-6pm
Pejabat Projek Dialog, D5-8-2, Pusat Perdagangan Dana 1, Jalan PJU 1A/46, 47300 Petaling Jaya.
Panelis: Zaidel Baharuddin, Syahidatul Munirah
Moderator: Johan Zolhaidi
Persoalan kebangsaan Melayu sering dikedepankan apabila wujudnya krisis identiti di dalam konteks kewarganegaraan dan etnik. Apakah sebenarnya perbezaan di antara nasionalisme dan internasionalisme? Apakah sejarah penciptaan komuniti bayangan di samping agenda politik di kalangan orang Melayu? Kenapakah kita perlu mempersoalkan identiti tersebut? Dalam forum ini, kita ingin mengupas isu identiti konstruk dan jika politik identiti sesuatu yang relevan dalam perjuangan kemerdekaan.
Maklumat terlanjut di sini:
https://www.facebook.com/events/139228070018662/?active_tab=about]]>
Geraba(k)ata – Perselisihan ritma kehidupan dan puisi
at home in the kampung a wife and children
await the meagre day’s collection:
some ringgit and a few sen
that go nowhere
in the days of inflasi; and the election
too, with its promise, come and gone
The Midnight Satay-Vendor oleh Ghulam Sarwar Yousof
Apakah kalian telah bertembung dengan susunan kata-kata di beberapa tempat di kota Kuala Lumpur? Apakah signifikannya projek seperti ini? Seperti biasa, ia hanyalah permulaan pendedahan kepada rakyat jelata akan denyutan kota, riang riuh pekerjanya, keluh kesah anak mudanya yang dimanifestasikan ke dalam puisi.
tiba-tiba pagi yang hitam itu datang
gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara beringin rebah ke bumi
Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya oleh Usman Awang
“Hidupkan semula kata-kata yang telah lama tenggelam.” Begitulah lebih kurang niat kami sewaktu projek ini dibicarakan. Seni itu perlu dikongsi dan terdapat pelbagai cerminan rasa seorang penyair terhadap kota-kotanya dan begitu juga dengan Kuala Lumpur. Rugi benar jika tidak ada yang memahaminya malah lebih teruk lagi, jika tidak ada siapa yang menghidupinya.
On Brickfields’ old pavements
now stand concrete colourful aches
trying to give a semblance
of an indian enclave it once was
Buildings rise and spring at me
these monsters have
devoured my
playgrounds and past
My childhood church
no longer stands alone.
Now surrounded by
brothels and massage parlours.
Still Brickfields oleh Malachi Edwin Vethamani dalam Complicated Lives
Ini merupakan kerjasama pihak Projek Dialog dengan Think City dan juga Tiny Art Projects, yang turut disokong oleh Rapid KL. Terdapat beberapa mural yang memaparkan beberapa puisi yang berkaitan dengan kota kita di kebanyakan laluan MRT/LRT di sini. Geraba(k)ata menggabungkan perkataan “gerabak” dan “kata” sebagai tema mural ini. Ianya menggambarkan rentak puisi dalam kehidupan kota di landasan dan stesen LRT. Puisi-puisi yang dipilih mewakili suara dan citra kota, dengan bait dan rangkap dalam memberi penghormatan kepada impian dan keresahan yang memberi nyawa kepada nadi Kuala Lumpur.
- Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya (1979), Usman Awang dalam Salam Benua
- sayur bahasa (1979), pyanhabib dalam Balada Pyanhabib
- salam (1980), pyanhabib dalam Balada Pyanhabib
- Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar (1982), Usman Awang dalam Salam Benua
- Rat Race (Potret Kuala Lumpur) (1983), T. Alias Taib dalam Puisi Baharu Melayu 1961-1986
- Rentak Haram Jadah (1987), Salleh Ben Joned dalam Sajak-Sajak Saleh.
- Jasmine Seller by the Sungei Gombak (1988), M. Shanmugalingam dalam An Anthology of Malaysian Poetry.
- Kuala Lumpur! Kuala Lumpur! (1990), Fan Yew Teng dalam The Song Of The Merbok.
- Hujan di Kuala Lumpur (1994), Zurinah Hassan dalam Pujangga Tidak Bernama.
- Setinggan Ramadhan (2001), A. Samad Said dalam Suara Dari Dinding Dewan.
- Just Call It Development? (2010), Rozan Azen Mat Rasip dalam Antologi Puisi 56 Penyair – Menyokong Perjuangan Orang-Orang Kampung Mempertahankan Kampung Warisan di Kuala Lumpur.
- Di Atas Padang Sejarah (2013), A. Samad Said dalam Di Atas Padang Sejarah
- Still Brickfields (2016), Malachi Edwin Vethamani dalam Complicated Lives
- Brickfields : One Saturday (2011), Alina Rastam dalam Readings from Readings: New Malaysian Writing. Word Works Sdn Bhd.
- Kuala Lumpur (…), T. Alias Taib dalam Kuala Lumpur-Berlin : Kisah Dua Bandaraya
Reviu: Agama dan Kapitalisme – Budaya Konsumerisme di Bulan Ramadhan
Sesi forum bermula dengan persoalan dari moderator iaitu saudari Maryam Lee. Beliau meminta setiap panelis untuk menjelaskan apakah itu budaya konsumerisme dan apakah perbezaan konsumerisme yang ketara wujud pada bulan Ramadhan. Saudari Sharifah memulakan pembentangan dengan mengutarakan satu persoalan utama iaitu: “Haruskah kemenangan Ramadhan itu menjadi kemenangan para kapitalis lagi?”.
Beliau kemudian menerangkan bahawa di dalam sistem kapitalisme, masa-masa seperti Ramadhan digunakan sebagai salah satu mekanisme untuk menjual secara aktif. Dalam ruang pasar-beli, ianya dirancakkan melalui penekanan budaya konsumerisme. Ianya sama seperti perayaan yang lain, selain daripada agama, ia turut dijadikan sebagai budaya.
Kita terus dipropagandakan dengan idea-idea ataupun ilusi bahawa apabila perayaan semakin dekat, dibudayakan seluruh masyarakat untuk terus membeli sesuatu hal yang baru. Ini terbukti melalui peningkatan iklan yang wujud di mana-mana iaitu trend yang sama dan cara yang sama. Para pemodal menggunakan pendekatan yang sama dan mempunyai tujuan yang berulang: untuk menjual dan mengaut keuntungan.
Mereka menggunakan idea ‘kemenangan’ puasa itu dengan budaya pembelian sebagai simbol utama. Sharifah menggunakan contoh dokumentari yang dihasilkan pada 2007 oleh Morgan Spurlock dan diarah oleh Rob VanAlkernade yang bertajuk ‘What Would Jesus Buy?’, sebuah dokumentari yang mengkritik sifat konsumerisme di kalangan masyarakat Amerika sehingga sanggupnya mereka berhutang di dalam jumlah yang besar.
Kemudian moderator menyambung penjelasan Sharifah dengan menyentuh tentang taktik pihak pengeluar yang secara konsisten berusaha untuk mengeluarkan pelbagai bentuk iklan dan terus memberi ilusi bahawa para pembeli perlu membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh mereka. Berkaitan dengan kenyataan di atas, soalan kemudiannya ditujukan kepada Ustaz Rashidi dengan menanyakan apakah wujudnya tradisi kritikan yang jelas terhadap para kapitalis untuk tidak mengeluarkan barang-barang yang berlebihan yang seringkali mengakibatkan pembaziran dan kerosakan alam yang melampau?
Saudara Ustaz Rashidi menjelaskan bahawa sekitar 5/6 tahun kebelakangan ini, apa yang berlaku adalah agama ini telah dijadikan sebagai bahan komoditi. Hari ini agamawan merupakan karier yang lumayan. Sebagai contoh, bayaran seorang penceramah agamawan yang terkenal mencecah sebanyak 10k bagi sesi ceramah selama setengah jam sahaja.
Langsung beliau mengutarakan persoalan mengenai kurangnya kritikan terhadap para pemodal dan menjelaskan bahawa ada sebahagian daripada para agamawan sudah terjebak dalam kancah kemabukan sebegini rupa. Golongan pemodal menjadikan apa sahaja yang menguntungkan di dunia ini. Hari ini yang paling untung adalah perniagaan yang berkaitan dengan agama.
Secara tidak langsung, kerjasama di antara kedua-dua golongan ini memberi tanggapan bahawa golongan agamawan secara umumnya tidak mampu memberi kritikan yang jelas. Walaupun begitu, ada juga tradisi di kalangan agamawan yang dapat kita katakan berada di dalam minoriti yang turut mengambil pendirian yang jelas dengan mengkritik golongan pemodal. Mereka ini cenderung terhadap teori teologi pembebasan.
Maryam Lee kemudiannya meneruskan persoalan, apakah yang menjadikan budaya konsumerisme sebagai tidak ideal? Sedangkan budaya konsumerisme hanya dikaitkan dengan tindakan menjual beli?
Sharifah menjelaskan bahawa yang salahnya adalah hal yang tidak kita perlukan. Kita disogokkan dengan idea palsu oleh keberkesanan pasaran syarikat-syarikat besar. Simbol-simbol (kecantikan produk yang dipakai oleh selebriti sebagai contoh) ini menjadi satu bentuk ‘kesedaran palsu’; dan ini adalah elemen yang terpenting di dalam kapitalisme.
Dan secara umumnya jika kita memahami struktur sosial kapitalisme sebagai dua benda yang berkaitan: landasan asas (kaedah pengeluaran sesuatu masyarakat) dan super-struktur (budaya, bahasa, agama dll) itu membawa maksud bahawa sistem ekonomi yang pada asasnya berteraskan penjanaan keuntungan akan membentuk seperti apa yang diinginkan oleh mereka iaitu para kapitalis.
Sesi diteruskan dengan soalan yang ditujukan kepada saudara Ustaz Rashidi, mengenai buku yang ditulis oleh Max Weber yang bertajuk ‘The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism’ di mana beliau menggambarkan bagaimana etika untuk pengumpulan kekayaan dan keterlibatan masyarakat Protestan di dalam perniagaan dilihat sebagai merupakan suatu hal yang murni dan bagaimana ianya secara tidak langsung bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi kapitalisme sewaktu itu.
Bagaimanakah hal ini dikaitkan dengan agama Islam dan konteks Melayu-Muslim yang wujud pada waktu ini?
Dengan menjelaskan dua perkara, beliau menjawab bahawa pertama sekali, masalah ini adalah masalah kita sendiri selaku individu. Kita perlu mengakui bahawa manusia bersikap sebegitu rupa. Sebahagian daripada konteks Islam adalah penekanan bahawa ia berdasarkan suatu ekonomi yang berakhlak. Ianya tidak dilihat dalam lensa keuntungan diri semata-mata tetapi difahami dalam konteks secara keseluruhan.
Keduanya mengenai sistem itu sendiri, ia merupakan sistem yang membelenggu masyarakat. Kita hidup di dalam sistem ekonomi yang tidak bersifat manusiawi dan berakhlak. Jadi secara umumnya saudara Rashidi mengambil hujah bahawa budaya ini, jika ditelusuri secara komprehensif pasti akan berbalik kepada keupayaan individu itu sendiri untuk menolak budaya tersebut. Walaupun begitu, sistem yang wujud juga memainkan peranan sedikit sebanyak di dalam pengukuhan budaya tersebut.
Kemudian saudari Sharifah tidak bersetuju dengan pandangan beliau di-mana permasalahannya, selain daripada sistem itu sendiri, tertumpu kepada golongan si pembeli. Saudara Rashidi berhujah bahawa budaya konsumerisme ini, pada akhir kesimpulan tetap bergantung kepada permintaan itu sendiri. Tidak ada permintaan yang melampau, maka tidak adalah pengeluaran sesuatu produk tersebut.
Tetapi saudari Sharifah berhujah bahawa ianya merupakan lumrah kapitalisme itu sendiri untuk terus memasarkan produknya dengan pelbagai cara. Lalu dia menggunakan konsep ‘masyarakat tontonan’ di mana sebahagian besar masyarakat hidup dengan menatap televisyen secara terus menerus dan dihidangkan suatu pemahaman bahawa konsumerisme itu adalah lumrah dan iklan dipaparkan secara konsisten setiap hari di antara setiap program-program televisyen. Maka masyarakat secara tidak langsung telah ditanamkan dengan pemahaman ataupun kesedaran palsu mengenai budaya pembelian itu sendiri. Jadi ianya tidak hanya bergantung kepada pembeli itu sendiri, tetapi turut berkait rapat dengan pengeluar produk iaitu para pemodal yang secara sedarnya terus menerus menyogok masyarakat dengan pendekatan yang halus.
Jadi berbeza dengan saudara Rashidi, Sharifah berhujah bahawa para pemodal dan juga pengeluar produk juga memainkan peranan yang penting iaitu dari segi kualiti produk itu sendiri. Sedikit sebanyak, dia mengatakan bahawa produk yang disediakan itu turut membenarkan para pengguna untuk terus membeli. Beliau memberi contoh di mana sesebuah syarikat kereta ataupun produk rumah tidak akan mengeluarkan suatu alat teknologi yang benar-benar tahan lama kerana ianya tidak akan dapat menghasilkan keuntungan bagi mereka. Sebaliknya, sebuah teknologi yang perlu diganti selang beberapa tahun dijual di dalam skala besar.
Setelah itu, Rashidi mulai membezakan agama yang dipergunakan oleh golongan yang berbeza. Beliau menggunakan Antonio Gramsci sebagai rujukan di mana dia menjelaskan bagaimana agama itu sendiri, jika ianya digunakan oleh para kelas penguasa ia akan menjadikan masyarakat leka dan berbeza dengan agama yang dijadikan sebagai senjata bagi masyarakat yang tertindas.
Walaubagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa golongan yang tertindas, apabila berada di dalam keadaan yang teruk dan ekonomi yang tidak stabil, pastinya turut terlibat di dalam kerangka pemikiran dan aspirasi untuk mencari ke arah keuntungan. Tetapi itu tidak menolak bahawa di dalam ceramah-ceramah yang wujud di kalangan agamawan di sini, kurangnya kritikan yang jelas terhadap golongan pemodal dan bagaimana budaya konsumerisme itu memainkan peranan yang besar.
Forum yang berlangsung dengan jayanya pada malam 15hb Jun yang lepas memberi peluang bagi para hadirin dan para panelis untuk terus membicarakan mengenai budaya konsumerisme ini dan hubung kaitannya dengan sistem kapitalisme secara menyeluruh. Di satu pihak merasakan bahawa pada hujungnya, kesemua ini berbalik kepada kebolehan individu dan kekuatan mereka untuk mengawal budaya ini dan di pihak yang lain pula, berhujah bahawa budaya ini merupakan suatu produk struktur sosial yang mengukuhkan lagi konsumerisme yang berlebihan.
Seperti mana-mana forum yang lain, ianya bertujuan untuk membenarkan budaya dialog seperti ini agar jalan penyelesaian ataupun program-program yang kukuh dapat dijalankan pada masa yang akan datang. Pihak Projek Dialog berharap agar persoalan seperti ini dapat terus dibicarakan dengan objektif bahawa permasalahan ini dapat difahami dengan lebih jelas.
]]>
REVIU: Makna Setan – Perspektif Antara Kepercayaan
Sesi ini bermula dengan saudara Imran Taib yang menerangkan mengenai asal-usul kejahatan dan kewujudan Iblis melalui wacana Islam. Kemunculannya terkait rapat dengan terjadinya manusia dan juga apabila manusia itu diciptakan maka terjadilah sebuah insiden di mana Iblis itu dijadikan seteru manusia, apabila ia tidak ingin menurut perintah Tuhan untuk sujud kepada Adam. Lalu beliau menyentuh persoalan kepada konsep Iblis itu sendiri, di mana dia merasakan bahawa proses memahami konsep Iblis sebagai suatu makhluk adalah suatu hal yang bermasalah kerana ini menjadikan Iblis sebagai sesuatu hal yang benar-benar menakutkan dan secara tidak langsung, membawa maksud bahawa kita tidak mempunyai daya yang kuat untuk melawan unsur kejahatan itu sendiri.
Kedua, masyarakat Melayu tidak melalui suatu proses untuk memikirkan mengenai kewujudan Iblis dan akibatnya, kita kurang mempelajari beberapa hal yang penting daripada Iblis itu sendiri. Sebagai contoh, Iblis mempunyai Tauhid yang paling sempurna. Ia merupakan perlambangan monoteisme yang sangat ketat dan sangat suci. Malah, tugas untuk menyesatkan umat manusia dijalankan dengan penuh konsisten dan tanpa gagal setelah mendapat izin dari Tuhan. Di dalam wacana kesufian, terdapatnya persoalan Iblis seperti ini.
Ketiga, persoalan kenapa dia dijadikan seteru kepada manusia? Ianya disebabkan sifat takburnya dan ini membawa maksud bahawa dia lebih bersifat egois dan bertuhankan dirinya sendiri. Jadi adanya keterkaitan sikap rendah diri ataupun kesetaraan dengan kewujudan manusia. Tetapi apa yang berlaku sekarang di dalam masyarakat biasa, kita lebih terobsesi dengan konsep syaitan dan kejahatan sehingga kurangnya fokus mengenai cinta terhadap Ilahi. Saudara Imran Taib kemudiannya memberi rujukan kepada Muhammad Iqbal, seorang reformis agama yang terkenal dan beliau ada menulis puisi bagaimana pada suatu masa nanti, Iblis akhirnya akan tunduk kepada Adam. Perseteruan di antara Adam dan Iblis membuktikan wujudnya kebebasan pilihan dan manusia akan terus berusaha menyempurnakan diri mereka.
Setelah itu, tiba giliran saudara Howe Foo memberikan perspektifnya mengenai gerakan organisasi Satanisme selaku fenomena kontra sosial yang wujud sebagai lambang perlawanan terhadap kongkongan kelompok agama. Satanisme merupakan ajaran yang mengutamakan turutan hati dan menjauhkan diri daripada menahan diri. Ianya diwujudkan dan dikodkan oleh Anton Lavey dan dibentuk sewaktu dia menyedari bahawa manusia hidup berdasarkan keinginan mereka dan agak sukar untuk mengikut sesuatu ajaran secara konsisten. Secara teknikalnya organisasi Satanisme merupakan salah satu gerakan Ateisme, berteraskan ketidakpercayaan kepada Tuhan dan menyanggah tujuh bentuk dosa yang telah dikodkan oleh agama Kristian, berhujah bahawa ianya merupakan aspek penting bagi manusia itu sendiri. Penggunaan terma syaitan itu dilihat sebagai hanyalah simbol iaitu membawa maksud seteru.
Sesi diteruskan dengan saudari Boo Su-Lyn menerangkan mengenai konsep setan ataupun kejahatan menurut Ateisme. Setelah menjelaskan sedikit sebanyak mengenai perjalanan hidupnya ke arah ateisme, beliau kemudiannya memberi pendapat bahawa konsep syaitan diguna pakai hanya sebagai justifikasi bagi seseorang untuk melakukan kejahatan dan menekankan bahawa ianya merupakan pilihan individu dan tidak lebih daripada itu.
Saudara Eddin Khoo kemudiannya menjelaskan bahawa persoalan seperti konsep kejahatan seringkali diperbualkan di landasan yang menjelikkan dan memberi contoh bahawa ianya hanya berlegar di ruang media sosial. Ianya merupakan persoalan yang signifikan bagi zaman ini tetapi jarang benar ianya dibicarakan di tahap intelektual.
Melalui Hinduisme, konsep setan secara falsafahnya diposisikan sebagai kontra-hujah kepada konsep Tuhan. Di dalam Hinduisme, pada waktu ini manusia sedang menghidupi Kali Yoga, iaitu zaman yang penuh hipokrasi, kekacauan dan penuh buta. Manusia digerakkan oleh kerosakan mereka sendiri yang menjurus ke arah kehancuran. Hampir diakui oleh kesemua agama yang wujud, salah satu tanda kiamat adalah apabila kebenaran itu diputar belitkan; ‘Lidah Tuhan dicuri oleh Syaitan’ iaitu kebenaran dipergunakan oleh golongan munafik.
Beliau meneruskan bahawa syaitan digerakkan oleh gerak hati dan bukannya pertimbangan yang jelas. Menarik ditekankan di sini mengenai pemahaman bahawa Syaitan merupakan seorang puritan, iaitu seseorang yang benar-benar suci dan berbeza dengan pemahaman konsep syaitan yang difahami iaitu suka bergelumang di dalam kelazatan hawa nafsu dan sebagainya. Kenyataan ini disamakan dengan apa yang diterangkan oleh saudara Imran Taib pada awal sesi. Eddin Khoo menggunakan rujukan lukisan paparan imej Syaitan yang lama, di mana Syaitan sedang khusyuk membaca kitab-kitab agama dan dikelilingnya sedang berlangsung aksi kegiatan-kegiatan yang tidak berakhlak. Ini membuktikan bahawa Syaitan sentiasa cuba untuk memahami dan menghafal ayat-ayat agama sehingga manusia tidak sedar bahawa syaitanlah yang sedang memanipulasi agama untuk menyesatkan manusia itu sendiri.
Pada dasarnya ini merupakan persoalan mengenai pergelutan kuasa iaitu kuasa untuk mengawal gerak hati manusia. Bagi beliau, persoalan seperti konsep kejahatan/kebaikan tidak akan membawa apa-apa perubahan yang signifikan selagi ianya diperbualkan di dalam bentuk antropomorfisme. Ia menjadi manusia mudah keliru sehingga kita tidak mampu memahami suatu hal yang universal, sebaliknya menekankan aspek yang partikular dan seringkali tidak penting sifatnya.
Di dalam perspektif Hinduisme, beliau selaku seorang penganut Kali, mengatakan bahawa ianya akan menjadi masalah jika tidak difahami melalui kaedah falsafah, kerana tidak langsung akan menjurus kepada versi pemujaan yang paganistik. Kerana bagi setiap agama, penting untuk mengetahui kenapa ritual sebegitu rupa dilaksanakan dan secara umumnya, ritual merupakan cara bagi mendisiplinkan roh setiap manusia.
Kemudian pada akhir sesi, tiba giliran Reverend Hermen menjelaskan topik ini melalui kaca mata seorang Kristian. Dalam konteks Kristianiti, ianya berdasarkan wacana keduaan iaitu jahat-baik ataupun tuhan-syaitan. Jadi masyarakat secara umumnya cenderung membudayakan pengkafiran sesama manusia, berbeza dengan konsep kesatuan yang wujud di dalam wacana Hinduisme, yang melihat kejahatan dan kebaikan itu sebagai satu. Jadi ianya merupakan suatu permasalahan di mana persoalan keagamaan merupakan suatu persaingan, di mana sesiapa yang dilihat sebagai mencabar kedaulatan sesuatu agama itu dilihat sebagai jahat. Lalu persoalan yang perlu dibicarakan pada waktu ini adalah samada pengistilahan yang sedang wujud pada wacana zaman ini bersesuaian dengan pemikiran manusia di dalam kerangka dunia moden.
Secara umumnya, hampir kesemua panelis mengutarakan persoalan kejahatan ataupun kewujudan Syaitan ataupun Iblis, bukan sebagai suatu makhluk tetapi lebih kepada suatu konsep yang perlu terus dipersoalkan. Maka pemahaman seperti ini memberi peluang untuk masyarakat berusaha untuk memahami hal ini dengan lebih mendalam dan meningkatkan wacana di kalangan masyarakat ke tahap yang lebih objektif. Permasalahan menjadikan iblis sebagai sesuatu sosok menyebabkan usaha ataupun proses bagi kita untuk mengenal pasti ciri-ciri kejahatan itu terbatas kepada individu ataupun manusia itu sendiri.
Ini barangkali berlaku disebabkan berlangsung proses memanusiakan syaitan yang telah dipopularkan melalui pelbagai bentuk media ataupun tradisi yang berlangsung selama beratus-ratus tahun. Begitu juga dengan persoalan kejahatan melalui dua kerangka yang berbeza, samada kejahatan yang dibimbing oleh syaitan itu terasing daripada segala bentuk kebaikan, ataupun ianya merupakan sebahagian daripada lumrah hidup, suatu kesatuan diantara hal yang baik dan jahat.
Jika persoalan kejahatan ataupun kewujudan konsep syaitan itu dapat diperbualkan dan dibincangkan secara objektif, maka secara tidak persoalan mengenai keadilan dan kebaikan juga dapat dibicarakan melalui pendekatan yang sama. Oleh itu, pihak kami berharap agar manusia secara umumnya akan terus memperhalusi melalui proses berdialog dan pertukaran pendapat mengenai hal sebegini, agar sesuatu masyarakat yang adil dan sentiasa berusaha menentang segala bentuk kejahatan dapat diperkasakan.
]]>
Reviu Artikel: Identiti Terancam di Ruang Internet
Permulaan forum bermula dengan penerangan mengenai identiti oleh saudara Faizal Tehrani di mana dia menerangkan bagaimana identiti setiap manusia itu merupakan hak asasi mereka untuk memilih dan memiliki dan identiti itu merangkumi pelbagai elemen termasuklah kepercayaan dan personaliti. Ianya merupakan elemen yang menjadikan seseorang itu dirinya sendiri dan ini dinyatakan melalui dua ruang yang berbeza tetapi berhubungan: peribadi dan awam. Di dalam kes ini, ruang internet dilihat sebagai ruang publik di mana seseorang itu turut menyatakan pendiriannya dan siapa mereka melalui apa yang mereka kongsikan dan laman apa yang mereka ikut.
Melalui internet juga, identiti terancam dapat difahami apabila seseorang itu tidak dapat mengekspresi nilai-nilai ataupun karakter-karakter mereka. Kita dapat lihat bagaimana identiti itu terancam sehingga ianya dapat membawa kepada bentuk-bentuk keganasan yang lain dan pada masa yang sama membawa impak yang lebih merbahaya. Saudara Faizal Tehrani memberi contoh bagaimana seseorang telah menyatakan keberanian untuk mengajak yang lain untuk membunuh beliau dan identiti individu tersebut terserlah kecenderungannya melalui beberapa laman yang spesifik, secara tidak langsung menunjukkan identiti yang antagonistik terhadap keberadaan saudara Faizal sendiri. Walaupun ancaman yang wujud hanya berlegar di ruang internet, tidak dapat dinafikan bahawa ianya turut dinyatakan di dalam kehidupan harian seseorang, di mana hal-hal yang kita baca atas talian turut mempengaruhi sudut pandang kita dan tindakan kita di kehidupan yang sebenar.
Persoalan identiti bukan hanya berlegar di persoalan mengenai ekspresi ataupun nilai, tetapi berkait rapat juga dengan keputusan untuk tidak menyatakan identiti mereka. Ini juga turut dilihat sebagai hak asas bagi setiap pengguna internet. Wujud juga kes di mana identiti seseorang terancam apabila siapa mereka didedahkan secara meluas, tanpa kebenaran mereka. Kedua-dua kes ini, walaupun berbeza dari segi konteks tetap sama dari segi identiti mereka bercanggah dan menghadapi konflik apabila berada di ruang publik internet.
Kemudian tiba giliran saudara Pang Khee Teik untuk menerangkan sedikit sebanyak mengenai pengalaman golongan LGBTQ di dalam kehidupan harian. Golongan LGBTQ merupakan salah satu golongan yang seringkali mendapat ugutan apabila mereka menyatakan identiti mereka di ruang internet, malah menurut saudara Pang, seakan menjadi lumrah bagi mereka untuk menghadapi masalah seperti ini.
Apabila membicarakan mengenai cara-cara untuk mengendali ancaman ataupun ugutan seperti ini, beliau memberi contoh berdasarkan pengalamannya. Pang menyatakan bahawa segala bentuk provokasi yang berlaku tidak perlu dibalas melalui sikap provokasi yang sama, kerana ianya seakan memberi sebab yang kukuh bagi si pelaku untuk terus melakukan pembulian yang sama. Secara tidak langsung ini berkait rapat dengan bagaimana pihak yang terancam memahami hal ini dan etika yang bagaimana perlu kita ambil untuk menghadapinya.
Kemudian beliau menyentuh persoalan yang menarik di mana persoalan negara-bangsa di bawa ke dalam perbincangan. Persoalan negara-bangsa yang dilihat sebagai ‘komuniti bayangan’ ini seakan-akan memainkan peranan yang besar bagi pembentukan identiti seseorang di ruang awam. Berbeza dengan ruang peribadi, ruang awam menjadi dominan di mana ianya seringkali mengawal tindak-tanduk seseorang sehingga ia mempengaruhi hal-hal yang dinyatakan seseorang itu di ruang peribadi.
Menjadi lumrah wacana bagi konsep negara-bangsa itu dikawal dan didominasi oleh kelas penguasa. Jadi secara tidak langsung ianya tidak memberi landasan yang secukupnya bagi golongan-golongan yang terasing. Komuniti seperti LGBTQ dilihat sebagai ‘luar’ daripada konsep yang dibina lalu kekuatan pembentukan identiti yang ingin dinyatakan oleh mereka dihalang dan disokong secara kolektif.
Panelis yang terakhir, saudari Syafiqah Othman pula menjelaskan bagaimana identiti seseorang yang menghadapi masalah mental diterukkan lagi di ruang internet. Syafiqah memberi contoh di mana identiti seseorang itu lebih mudah terancam apabila seseorang dapat mengambil kesempatan terhadap mereka setelah mengetahui masalah yang dihadapi oleh seseorang. Ini menjadikan senjata bagi mereka untuk terus mengugut dan membuli, secara tidak langsung mencabar keberadaan si mangsa itu di ruang internet. Dengan menggunakan contoh temannya yang hampir membunuh diri, beliau menjelaskan bagaimana seseorang yang menghadapi masalah mental lebih cenderung untuk menghadapi banyak masalah.
Kemudian forum diberikan ruang kepada para hadiran/hadirat untuk berkongsi pendapat dan pertanyaan soalan yang relevan. Antara salah satu hal yang menarik disentuh oleh saudara Azwan Ismail, iaitu mengenai persoalan penggunaan bahasa kebangsaan dan bagaimana ianya dilihat sebagai suatu hal yang mencabar kekuatan hegemoni wacana yang dominan.
Dalam konteks ini, bahasa nampaknya tidak terasing daripada persoalan identiti. Langsung wujudnya konflik apabila beberapa wacana dan isu mulai diperdebatkan melalui bahasa tempatan dan ini termasuklah beberapa persoalan seperti isu LGBTQ dan juga pluralisme, hak asasi dan juga liberalisme. Hal ini seperti yang disedari kesemua panelis dan juga pihak awam yang hadir, bersetuju bahawa kebanyakan wacana sudah pun secara bebas berlegar di ruang internet tetapi berlainan pula jadinya apabila ianya dibicarakan di dalam bahasa kebangsaan. Lalu secara tidak langsung, timbulnya persoalan apakah bahasa tempatan itu sendiri masih belum menjadi alat yang inklusif dan berjaya untuk menyediakan wacana yang sihat dan tidak membahayakan bagi golongan minoriti.
Konsep negara-bangsa yang merangkumi penggunaan bahasa masih belum dibebaskan daripada kongkongan suatu kerangka yang eksklusif, lalu timbulnya beberapa konflik, seperti wacana mengenai Hinduisme oleh saudara Uthaya Sankar yang aktif menjelaskan mengenai Hinduisme di dalam bahasa kebangsaan. Wacana yang dilangsungkan oleh beliau ditentang oleh beberapa golongan, yang menuduh bahawa beliau cuba untuk menarik bangsa Melayu ke arah Hinduisme dan gagal melihatnya sebagai suatu wadah pertukaran ilmu di dalam bahasa yang difahami oleh seluruh lapisan masyarakat di negara kita.
Saudara Pang kemudiannya turut menyuarakan kebimbangan beliau terhadap ruang awam di internet yang seringkali mengasingkan suara-suara ataupun pendapat yang berlainan. Ini turut juga merangkumi kedua golongan, pembuli dan golongan yang dibuli di mana tidak wujudnya ruang bagi mereka untuk berinteraksi bagi meningkatkan rasa empati sesama sendiri. Lalu persoalan pembinaan ruang selamat itu bukannya berkisar kepada golongan minoriti tetapi turut melibatkan golongan majoriti juga. Ini bertujuan bagi mencari suatu ruang yang saksama sesama mereka untuk bersetuju dan dengan harapan, dapat bekerjasama bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan bermasyarakat di sesuatu kawasan. Faizal Tehrani pula mengakui akan perlunya pembinaan ruang selamat di mana beliau menekankan isu-isu yang terpinggir pastinya bercambah di bawah keadaan yang autoritarian dan ini pastinya akan menjadi dominan sebagai isu perbualan yang dikongsikan oleh rakyat umum. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa isu yang terpinggir ini bukan hanya berteraskan hal yang konstruktif tetapi turut juga merangkumi hal yang membinasakan.
Dapat disimpulkan, bahawa identiti merupakan hak asasi bagi setiap pengguna dan ianya merupakan hak asas bagi seseorang untuk mencari, membela, mengekspresi dan memilih identiti mereka di ruang internet. Walaubagaimanapun, etika di dalam ruang internet sedikit sebanyak dapat dilihat sebagai cerminan pemikiran dan kebudayaan rakyat kita secara umum.
Ini merupakan suatu hal yang perlu dipersoalkan secara terus menerus, sebagai contoh persoalan seperti penggunaan mengenai bahasa, pembinaan ruang yang selamat dan sebagainya. Jarang benar rakyat di negara kita memikirkan implikasi penggunaan mereka di ruang internet dan tidak pula ianya dikawal selia secara sedar oleh pengguna mengenai keadaan psikologi bagi golongan yang terlibat di dalam fenomena pembulian di atas talian. Pihak Projek Dialog berharap agar usaha seperti akan terus dilaksanakan oleh pihak-pihak lain, agar pembinaan ruang perbincangan yang selamat dan penuh hemah dapat dipraktikkan secara penuh dan impak negatif pengguna di ruang internet dapat dikurangkan secara drastik.
]]>