Projek Dialog

Kembali kepada asas permasalahan isu Kalimah Allah

oleh Dr. Patricia Anne Martinez Kebanyakkan di kalangan kita telah hilang tumpuan dan keliru akan asal kewujudan permasalahan Kalimah Allah. Hal ini kerana ia telah lama berlarutan, dari satu “drama” ke satu “drama” yang lain. Maka demikian, saya ingin berkongsi pandangan saya mengenai asal usul berlakunya kontroversi kalimah “Allah” di negara ini. Hal ini adalah penting kerana sesetengah “jalan penyelesaian” yang sedang beredar di dalam laman-laman internet, yang dicadangkan bagi masyarakat Kristian, adalah tidak adil serta tidak masuk akal. Sebagai contohnya, ada yang menggunakan petikan Bible dari Isa dan menggesa umat Kristian untuk “memalingkan pipi ke arah lain” (turn the other cheek) bila tersinggung. Dalam maksud lain, umat Kristian di negara ini digesa untuk berundur dan tidak berkonfrontasi dalam isu ini sebagai mengikut contoh Isa. Masalahnya, masyarakat Kristian tidak tersinggung pun, tetapi terdapat perkara penting yang perlu kita lihati berkenaan penggesaan masyarakat Kristian untuk bersabar demi ‘memelihara keamanan dan kestabilan negara’; atau ‘menundukkan kepala, walaupun sedikit’. Masyarakat Kristian sememangnya telah “MEMALING PIPI KE ARAH LAIN”. Sebagai contohnya, demostrasi oleh UMNO dan penyokong-penyokongnya yang lain di luar makamah di Putrajaya dan di tempat-tempat lain, serta ancaman untuk mengadakan demostrasi mega di masa kelak oleh UMNO, roadshow anjuran UMNO untuk ‘menerangkan kebenaran isu kalimah Allah kepada umat Islam’ dimana mereka menuduh dengan sewenang-wenangnya seorang Kristian – Father Lawrence Andrew (walhal SEMUA orang Kristian berdiri teguh dibawah perlembagaan negara ini dalam hak kebebasan beragama), ancaman untuk membakar Alkitab, pelbagai tuduhan tidak berasas dilempari, laporan polis dan ancaman-ancaman oleh beratus-ratus penyokong UMNO, menggunakan kesempatan isu kalimah Allah untuk memburuk-burukkan pihak pembangkang serta membuat tuduhan melulu kononnya masyarakat Kristian ingin menukarkan Malaysia menjadi negara Kristian (Utusan Malaysia), membakar patung dan foto muka Father Lawrence Andrew …. DALAM MASA HANYA DUA TAHUN…. TIADA SATUPUN tindakan balas yang melulu daripada masyarakat Kristian. Paling tidaknya, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan ketua-ketua Gereja di Sabah dan Sarawak telah mengeluarkan beberapa KENYATAAN berhubung dengan isu ini. Maka itu, masyarakat Kristian sememangnya telah bersabar, dan TELAH “memaling pipi ke arah lain” demi memelihara keamanan antara agama yang merupakan ajaran yang termulia dalam agama Kristian, serta memelihara keharmonian negara kita yang tercinta. Secara jujurnya, kata-kata Muhammad Tajuddin berkenaan “menjaga keselamatan” masyarakat Kristian di negara ini menunjukkan bahawa betapa bahayanya ancaman yang dihadapai oleh masyarakat Kristian di negara ini… TANPA SEBARANG TINDAKAN BALAS selain daripada rayuan untuk kekal bersabar, bersikap rasional, dan berdoa untuk kedamaian. Mahatma Gandhi dan Martin Luther King Jnr. diangkatkan oleh Muhammad Tajuddin sebagai contoh “memaling pipi ke arah lain” i. e. menerima ketidakadilan secara aman: namun begitu TIADA SATUPUN daripada tokoh-tokoh keamanan ini “memaling pipi ke arah lain”. Bahkan, mereka mengajar masyarakat dunia makna “bantahan awam” (civil disobedience) dan mengadakan protes-protes terhadap ketidakadilan dengan melakukan perkara yang DIHARAMKAN, tetapi bukan dengan keganasan – terhadap kerajaan colonial (Gandhi), dan terhadap undang-undang yang tidak adil (undang-undang pengasingan – Martin Luther King, dimana beliau mengadakan  protes dengan menduduki ruangan tempat duduk bas-bas, restaurant dan sebagainya untuk “Orang Putih Sahaja”).  Contoh yang lain: rakyat kulit gelap Amerika Syarikat berjalan beramai-ramai untuk protes secara aman. Mereka langsung tidak berundur atau berdiam diri menerima keadaan pengasingan kaum pada masa itu, dan “memaling pipi ke arah lain”. Ramai rakyat Malaysia terus mencadangkan agar orang Kristian menggunakan perkataan ‘Tuhan’ dan bukan kalimah ‘Allah’. Fakta kajian daripada CFM ( ditulis dalam tiga bahasa ) yang boleh didapati dengan meluas di SEMUA media atas talian dan dari pejabat CFM, menjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan isu ini dan isu-isu lain yang berkaitan.Realitinya, Alkitab telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sejak empat abad yang lalu, menggunakan KEDUA-DUA perkataan Tuhan dan kalimah Allah. Dalam petikan di mana Tuhan merujuk kepada diri-Nya sebagai “Tuhan”, ayatnya berbunyi, ” Saya adalah Tuhan dan Allah Kamu” (“I am your Lord and your God”). Maka dengan menggantikan Allah dengan ‘Tuhan ‘ bermakna menulis “Saya adalah Tuhan dan Tuhan Kamu”, secara tidak langsung akan menjadikan Kristian musyrik, hal ini kerana orang Kristian adalah beragama tauhid sebagaimana orang Islam juga. Berkenaan dengan teologi Triniti, seperti yang difahami oleh orang Islam, ‘ ALLAH ‘ HANYALAH MERUPAKAN RUJUKAN LINGUISTIK BAGI MAKNA TUHAN dalam bahasa, budaya dan sempadan geografi daripada tiga agama Ibrahim. Dan agama Kristian telahpun wujud sebelum Islam … Sejak berabad-abad lagi,  masyarakat Kristian yang bertutur dalam bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian mereka membentuk 64% daripada jumlah KESELURUHAN UMAT KRISTIAN MALAYSIA, malah mereka hanya mempunyai Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar mereka…. mereka juga telah menggunakan kalimah ‘Allah’ tanpa sebarang gangguan SEHINGGA BARU-BARU INI. Jika apa yang diinginkan oleh orang Kristian adalah UNTUK MENGEKALKAN HAK ASAL MEREKA MENGGUNAKAN KALIMAH ‘ALLAH’ SEJAK TURUN-KEMURUN, MENGAPAKAH PERLU ORANG KRISTIAN ‘MELEPASKAN’ HAK ASAL MEREKA, DAN ‘BERTOLAK-ANSUR’? Sesungguhnya  mereka yang ingin mengganggu hak penggunaan kalimah ‘Allah oleh masyarakat Kristian yang sepatutnya perlu bertolak ansur? Sememangnya itulah tanggungjawab mereka yang membuka isu ini. Siapakah yang sengaja ingin mengganggu hak asal tersebut? Ia adalah pihak berkuasa agama iaitu dengan mengharamkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dan termasuk juga perkataan lain seperti ” Haji ” dan ” surau ” oleh orang bukan Islam! Mantan Menteri Negeri Dalam Negeri telah memutuskan bahawa sebuah majalah Gereja Katolik ( The Herald ) yang diedarkan dikalangan penganut Katolik yang melanggani majalah tersebut sahaja, tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen The Herald dalam Bahasa Malaysianya, alasannya kerana The Herald diedarkan di Sabah dan Sarawak. INI ADALAH ASAL SUL ISU ‘ALLAH’ TETAPI FAKTA ISU INI LANGSUNG TIDAK disiarkan kepada SEMUA, terutamanya bagi orang Islam. Selepas bertahun-tahun melakukan pelbagai rundingan, rayuan, melampirkan bukti dan sebagai secara tertutup; pihak Gereja katolik akhirnya menemui jalan buntu. Mereka tidak mempunyai pilihan tetapi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri Mahkamah atas pengharaman penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh masyarakat Kristian. Jalan terakhir ini adalah rekursa yang logik dan muktamad bagi warganegara Malaysia yang dilindungi oleh perjanjian Perlembagaan termasuk kebebasan beragama dan kebebasan untuk mengurus hal ehwal agama seseorang. Maka demikian, BUKAN ORANG KRISTIAN YANG MEMULAKAN KONFLIK ISU ‘ALLAH’ INI. Pihak gereja Katolik telah menjadi mangsa pertama dimana pihak Kementerian Dalam negeri memilih untuk ‘mengharamkan’ penerbitan majalah mereka – namun begitu pihak Kementerian tersebut boleh sahaja memilih untuk mengharamkan mana-mana penerbitan Kristian yang lain. Oleh itu, perjuangan untuk mengekalkan hak asal penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi 64% orang Kristian di Malaysia ini adalah perjuangan untuk SEMUA orang Kristian. Ini bukan lagi “perjuangan” Gereja Katolik dan Father Lawrence Andrew, seorang paderi Katolik Jesuit dan editor The Herald. Beliau juga bukan seorang yang berniat jahat seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak. Tidak terdapat di mana-mana dalam upacara sembahyang Kristian Malaysia atau di dalam Alkitab bahasa Inggeris, Tamil atau Cina, dimana kalimah ‘Allah’ muncul, dan orang Kristian tidak mempunyai niat untuk menukar perkataan ‘Tuhan ‘ kepada ‘ Allah ‘ di dalam Al-Kitab . Tuduhan yang diedarkan dalam laman sesawang ini adalah salah satu pembohongan yang besar, bahkan ditambah pula dengan adendum bahawa orang Kristian kini cuba untuk merampas ‘hak’ keistimewaan Melayu dan Islam – sebuah isu ‘sensitif’ bagi mereka yang memperjuangkan ‘ketuanan Melayu’, hal ini termasuk juga pembohongan lain bahawa orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah untuk ‘mengelirukan’ dan ‘ memurtadkan’ umat Islam. Semakin ramai umat Islam sendiri juga mempersoalkan: adakah kepercayaan mereka begitu lemah? Jadi mereka mudah berubah? Sejak Mahkamah Rayuan memberi penghakiman bahawa orang Kristian diharamkan daripada menggunakan kalimah ‘Allah’, ulama Islam seluruh dunia (dan di Malaysia) – SEMUA bersepakat tidak bersetuju dan mencemuh akan tindakan pengharaman tersebut, mereka juga “berasa aib” terhadap versi Islam di Malaysia yang menjadikan kalimah “Allah” sebagai perkataan ekslusif bagi orang Islam sahaja ( petikan ini telah dipaparkan dalam media alternatif). Dalam pada itu, media daripada negara-negara Islam mentertawa serta mengkritik Malaysia – dari Timur Tengah; dan Turki, Pakistan, termasuk juga jiran kita Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar di dunia. Dalam akhbar Jakarta Post terpampang tajuk “Sejak bila orang Islam memiliki Tuhan?” … akhbar tersebut membuat kesimpulan sebagaimana orang Kristian di Malaysia telah simpulkan: bahawa kalimah “Allah” hanya satu rujukan linguistik bagi perkataan Tuhan. Ia tidak mendatangkan apa-apa masalah besar kepada sesiapa pun. Masyarakat Kristian mencintai keamanan dan tidak sesekali bertindak secara melulu. Kami tidak ingin untuk memberi tindakan balas atau meminta pihak yang menentang orang Kristian dalam isu ini untuk berundur. KITA HANYA INGIN MEMINTA BAHAWA KEMBALIKAN MALAYSIA KEPADA KEADAAN SEDIAKALA YANG AMAN-DAMAI. Namun begitu, isu ini telah DIKACAU-BILAUKAN DAN KEMUDIAN DIMANIPULASI, DIPUTARBELITKAN DAN SEKARANG DIANCAM SERTA DIKEJI sebagai agenda bagi menjatuhkan Islam. Keindahan agama dan dunia Islam kini digunakan sebagai alat untuk agenda-agenda tertentu – termasuk agenda politik. Islam tidak akan terselamat dan menjadi salah satu agama yang paling pesat berkembang di dalam dunia jika penganutnya begitu mudah dimanipulasikan, ‘keliru’ dan ‘dimurtadkan’. Tidak ada ayat dalam al-Quran yang menyatakan bahawa orang Kristian tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’. Orang Kristian digambarkan sebagai Ahli Kitab dan yang mempunyai hubungan paling erat dengan umat Islam. Sememangnya, terdapat dua jenis petikan di dalam Al-Quran mengenai Kristian dan Yahudi – ayat-ayat yang berbentuk positif (ayat-ayat sedemikian boleh ditemui dengan banyaknya di dalam Al-Quran); dan ayat-ayat berbentuk negatif (ayat-ayat sedemikian agak kurang ditemui di dalam Al-Quran). Teori naskh atau pembatalan ayat-ayat positif TIDAK pula diberi perhatian di sini. Naskh selalunya digunakan sebahagian besarnya untuk isu-isu fiqh, hal ini kerana perundangan Syariah adalah dipetik daripada al-Quran. Namun begitu, ayat-ayat yang tertakluk kepada naskh telah dikurangkan daripada 270 ayat …. kepada kira-kira 20 ayat sahaja. Dan tiada satupun daripada ayat-ayat yang berbentuk positif berkenaan Kristian yang telah dimansukhkan . Saya menulis semua ini dengan harapan untuk menjernihkan isu ini dan membuka ruang pemikiran yang rasional terhadap isu ini, sebelum ia menjadi tidak terkawal dan membahayakan masyarakat negara ini – kebanyakkannya melalui taktik manipulasi, penipuan, kejahilan akal, dan kepentingan politik. Saya menulis ruangan ini berdasarkan rasa hormat yang tinggi terhadap Islam, sebuah agama yang aman, yang sayangnya diputarbelitkan dan difitnah dalam konflik isu kalimah “Allah” ini, dan secara tidak langsung mengganggu kestabilan dan keamanan sekian lama bagi 64% masyarakat Kristian di negara ini.     Dr. Patricia Anne Martinez ialah seorang pembaca projekdialog.com. Rencana ini diterjemahkan dari versi Bahasa Inggeris oleh Nor Arlene Tan dan Ahmad Fuad Rahmat.

]]>

Menjelaskan kekeliruan dalam isu Kalimah Allah

Salah tanggapan oleh Muslim Rata-rata banyak penganut Islam di Malaysia terutama di Semenanjung Malaysia dan berbangsa Melayu tidak mengetahui bahawa perkataan “Allah” telah lama digunakan secara aman semenjak dari dulu lagi. Sebenarnya perkataan “Allah”  terdapat di dalam Alkitab Kristian sebelum isu itu di jadikan polemik. Malah ia digunakan sebelum kewujudan Islam lagi oleh umat Kristian Arab dan umat Arab Jahiliyah yang lain. Tambahan pula, kebimbangan penganut Islam di Malaysia juga di jadikan sentimen kebencian ke atas Kristian dengan anggapan bahawa kalimah atau perkataan “Allah” digunakan dengan tujuan untuk memurtadkan orang Islam sebagai satu agenda mubaligh. Ada juga dakwaan dengan hanya membaca Alkitab Kristian sesorang boleh jatuh murtad dan kafir. Pembacaan Alkitab Kristian dalam bahasa Malaysia (Melayu) belum tentu dapat memurtadkan orang Islam. Bahkan adakah pendakwah dan pendebat seperti Syeikh Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik itu murtad kerana membaca dan menghafal Alkitab (Bible). Sudah tentu tidak! Bagaimana pula perkajian antara agama boleh dijalankan jika sentimen-sentimen tidak berasas dimomokan sedemikan rupa. Sekatan penyebaran agama Walaupun Kristian merupakan merupakan agama “missionary”, namun kegiatan dakyah oleh golongan mubaligh yang tidak peka ini adalah sangat terpencil. Perlu diingatkan bahawa bukan mudah untuk sesorang itu menganut agama Kristian jika dia tidak melalui proses pembaptisan dan proses pengenalan. Lafaz doa iman sahaja itu tidak cukup untuk menjadikan sesorang itu Kristian. Jika dakwaan tersebut benar maka sudah tentu ianya kelihatan menimbulkan ketegangan ke atas umat Islam di Malaysia. Lebih hairan, adakah wujudnya bukti atau rekod apa, siapa, bagaimana dan di mana Kristianisasi berlaku kerana penggunaan kalimah Allah semata-mata? Kes perundangan Menjelang akhir-akhir 1980an, terdapat beberapa pihak cuba untuk menyekat penganut bukan Islam daripada menggunakan perkataan-perkataan yang disifat Islamik melalui undang-undang dan majlis fatwa negeri dengan sebab untuk melindungi umat Islam daripada murtad. Perlaksanaannya langsung tidak dirunding secara bersama oleh pihak agamawan ataupun majlis-majlis agama bukan Islam. Walaupun tidak begitu popular ketika itu, beberapa kes pun sudah ke mahkamah seperti kes pernerbitan bahan cetakan yang mengandungi perkataan “Allah” oleh gereja Sidang Injil Borneo di Sabah. Perbezaan teologi yang besar Memandangkan jurang besar antara perbezaan konsep ketuhanan antara Kristian dan Islam. Banyak pertubuhan dan badan-badan NGO Muslim tampil memperjuangkan soal hak penggunaan perkataan “Allah” sama ada berasaskan ilmiah untuk mempertahankan konteks penggunaannya. Antara alasannya, “Allah” itu esa dan “Allah” itu bukan dua atau tiga mahupun konsep trinitas. Sehubungan dengan itu, penggunaan perkataan “Allah” itu oleh Kristian adalah menghina Islam dan harus dilarang. Jika diamati, ketiga-tiga agama besar seperti Yahudi, Kristian dan Islam merupakan agama wahyu. Mana mungkin wahyu itu diberikan oleh Tuhan yang berlainan antara satu sama lain. Tentu dalam ajaran Islam sendiri melalui Al-Quran dan hadis pun tidak melarang Sang Pencipta itu digelar “Allah”. Penulis sebenarnya terkilan, kerana Kristian merupakan agama monotheistik yang mengajar konsep ketuhanan yang esa. Konsep trinitas (Trinity) di salah anggap sebagai konsep poleistik. Bagi Kristian, untuk memahami konsep trinitas ini memang diperlukan keterbukaan hati untuk memandang Sang Pencipta dari sudut pandang yang mengatasi pola berpikir manusia. Ianya hanya mampu difahami atas dasar iman yang berlandaskan cinta kasih. Kasih tidak mungkin berdiri sendiri, namun melibatkan dua belah pihak seperti kasih suami istri, melibatkan kedua belah pihak, maka disebut sebagai “saling” mengasihi. Kalau Tuhan adalah kasih yang paling sempurna, maka tidak mungkin Tuhan tidak melibatkan pihak lain yang dapat menjadi saluran kasih-Nya dan juga dapat membalas kasih-Nya dengan darjat yang sama. Jadi Tuhan itu harus satu, namun bukan Tuhan betul-betul sendirian. Jika tidak, maka Tuhan tidak tentu dapat menyalurkan dan menerima kasih yang sejati. Bahasa dan Terjemahan Berdasarkan sejarah kedatangan penjajahan Portugis di Melaka, para mubaligh Katolik datang dengan misi memberitakan ajaran Kristian. Ya, memang diperakui dalam usaha menyebarkan agama Kristian, pembumian teologi dan istilah diguna pakai bagi mencapai matlamat tersebut. Bahasa Latin dan Portugis digunakan pada mulanya namun untuk melakukan dakyah, penguasaan bahasa tempatan adalah merupakan cabaran mereka. Di sini pihak Kristian sering ditanya: mengapa menggunakan bahasa Arab untuk terjemahan nama  Latin bagi “Deus” kepada “Allah” dan menggunakan bahasa Melayu untuk nama Latin bagi “Dominus” kepada “Tuhan”? Penulis berpendapat penggunaan tersebut selaras dengan maksud teologi dan semantik menurut bahasa asal Alkitab iaitu bahasa Ibrani bagi Perjanjian Lama dan bahasa Yunani bagi perjanjian baru.  Kedua-dua istilah Allah dan Tuhan digunakan di dalam Alkitab bahasa Melayu. Dengan mengikut apa yang dilakukan oleh orang Kristian Arab sebelumnya, “Allah” digunakan oleh para mubaligh untuk menterjemahkan el/elohim. Tuhan (atau TUHAN huruf besar) pula digunakan untuk menterjemah Yahweh (YHWH). Kadang-kadang dua perkataan itu dipasangkan sebagai Yahweh-Elohim dalam 372 kekerapan dalam Perjanjian Lama (14 kali dalam Kejadian 2-3; 4 kali dalam Keluaran; 8 kali dalam Yosua; 7 kali dalam 2 Samuel; 22 kali dalam Tawarikh; 12 kali dalam Mazmur; 32 kalidalam Yesaya; 16 kali dalam Yeremia dan 210 kali dalam Yehezkiel dan sebagainya). Perkara yang lebih penting adalah firman Tuhan diterapkan juga kepada Yesus Kristus dalam Perjanjian Baru. Oleh itu TUHAN Yesus dibaca sebagai Tuhan Yesus (Firman TUHAN digunakan untuk menterjemahkan perkataan kurios 8400 kali dalam Alkitab Septuaginta, versi Yunani Perjanjian Lama). Ia hanya merujuk kepada manusia sebanyak 400 kali dan merujuk kepada Allah sebanyak 8000 kali. Dalam 8000 kali, 6700 adalah pengganti perkataan YHWH). Penerapan gelaran kurios TUHAN/YHWH kepada Yesus Kristus adalah kesaksian tentang kepercayaan dalam ketuhanan Kristus sejak permulaan agama Kristian. Kesimpulan Oleh itu, diharap penulisan kali ini sedikit sebanyak merungkai salah faham mengenai polemik isu perkataan “Allah”. Orang Muslim di Malaysia harus berusaha untuk mengerti dan merasa empati dengan amalan bersejarah orang Kristian untuk menterjemahkan Kitab Suci mereka ke dalam vernakular (tempatan) dan bukan menuduh yang bukan-bukan, ini termasuk menggunakan panggilan tempatan bagi “Allah” pencipta yang esa. Ketidak puas hatian ini ini timbul disebabkan segelintir orang Muslim mengandaikan bahawa agama mesti bersandarkan pada bahasa Arab yang suci dan unggul, dan terbungkam dalam desakan mereka tentang doktrin Kitab Suci yang tidak boleh diterjemahkan. Sebaliknya, berdasarkan fahaman Kristian, semua bahasa layak dan tuntas menjadi medium dalam penyampaian mesej ilahi. Dengan erti kat lain, agama Kristian dianggap sebagai agama yang mempromosikan ciri khas budaya tempatang masing-masing. Dalam semangat yang sama, terjemahan tempatan bagi Alkitab mengikut amalan selama berabad-abad oleh masyarakat/suku tempatan yang merujuk pencipta sebagai “Allah” adalah wajar kerana “Allah” itu memang Tuhan sekalian alam.         unnamed  

VERMOX
]]>

(Forum) Agama di Malaysia: Masalah dan penyelesaian

Agama di Malaysia: Masalah dan Penyelesaian Realiti masyarakat majmuk Malaysia yang mempunyai kepelbagaian latarbelakang termasuk agama ternyata masih belum berjaya membina hubungan harmoni dengan semangat satu bangsa Malaysia. Kebelakangan ini bermacam-macam isu berkaitan agama sering timbul khususnya melibatkan agama Islam, agama rasmi Negara seperti yang termaktub di dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang turut memberi jaminan hak kebebasan mengamalkan agama-agama lain. Namun, perkara ini gagal ditafsir dengan jelas menyebabkan pelbagai permasalahan berlaku antara komuniti agama. Keadaan politik semasa yang semakin kompetitif terutamanya selepas pilihanraya ke 13 tahun lalu menjadikan situasi hubungan antara agama menjadi lebih rumit, hinggakan sering sekali agama terjerat, lalu mengundang perbalahan berasas sentimen. Permasalahan ini memuncak baru-baru ini berkenaan isu penggunaan nama ‘Allah’, dimana keputusan melalui prosedur kehakiman gagal menghasilkan penghakiman yang memuaskan atau diterima adil oleh kedua-dua pihak yang bertelagah. Tentu sekali banyak lagi permasalahan berkaitan antara agama yang lain termasuk isu perarakan kepala Lembu, sembelihan korban Aidil Adha di sekolah, isu Al-Kitab serta penyebaran agama Kristian, juga penggunaan surau untuk aktiviti agama Buddha. Permasalahan agama juga berlaku dikalangan sesama masyarakat Islam, khususnya penghukuman terhadap komuniti Syiah yang diisytiharkan sesat dan mengancam akidah majoriti penganut Islam di Malaysia. Permasalahan melibatkan hak dan sensitivitI keagamaan ini dilihat akan terus berterusan selagi mana kita sebagai masyarakat Malaysia terus gagal memahami permasalahan serta bersungguh dalam merencana penyelesaian. Atas dasar meningkatkan pemahaman dengan semangat meraikan kepelbagaian, Projek Dialog mengambil inisiatif membincangkan permasalahan dan penyelesaian terhadap isu-isu agama melalui pelbagai perspektif dalam forum “Agama di Malaysia: Masalah dan Penyelesaian” pada Sabtu, 25hb Januari di Pusat Rakyat Loyar Burok, Bangsar (Berhampiran LRT Bangsar). Forum ini akan menampilkan Ust. Wan Ji At-Ta’aduddi, Lindu Livan, Uthaya Sankar dan Fazril Saleh. Forum ini terbuka untuk semua warga Malaysia yang berminat mencipta Malaysia yang lebih aman dan harmoni. Sila daftar kehadiran anda dengan makluman menerusi email kepada ehsanshahwahid@gmail.com. Sebarang pertanyaan sila hubungi Ehsan di talian 012-2631160. Mengenai panelis: Wan Ji At’ta’aduddi adalah pengasas Sekolah Pemikiran asy-Syatibi. Beliau aktif bergiat dalam dakwah, wacana sosio-politik dan penulisan keagamaan sepenuh masa. Lindu Livan berasal dari Sabah, terlibat dalam memperkasakan golongan muda melalui organisasi School of Acting Justly, Loving Tenderly, Treading Humbly (SALT) dan merupakan mantan exco kepada Persatuan Katolik Pelajar. Uthaya Sankar SB ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan dan penulis sepenuh masa yang berani bersuara mewakili golongan yang sering ditindas dan dizalimi. Catatan mindanya boleh diikuti diuthayasb.blogspot.com Fazril Salleh merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan bergiat aktif sebagai aktivis belia dan Islam. Beliau juga merupakan tenaga pengajar di Kolej Darul Hikmah bagi subjek Tamadun Islam dan Pengajian Malaysia. Projek Dialog ialah satu ruang wacana sosial yang ingin memajukan deialog dan persefahaman antara pelbagai suku kaum dan agama di Malaysia. Maklumat lanjut sila layari www.projekdialog.com

VERMOX
]]>

Paganisme: Kepercayaan atau agama?

“Jangan sebut Pagan” Apabila kita menyebut “Pagan”, sesetengah masyarakat akan berfikir Pagan ataupun Paganism adalah penyembah berhala kepada patung, batu dan pokok dan menganggap kehidupan seorang Paganist adalah kuno dan ketinggalan zaman. Sesetengahnya juga mengatakan “kamu seorang Pagan mempunyai banyak Tuhan disembah dan jika kamu bukan seorang Kristian, Islam, Buddha dan Hindu, kamu adalah seorang Pagan. Pendek kata, jangan panggil saya Pagan dan jangan guna perkataan Pagan di dalam perkataan kamu. Ini menunjukkan perkataan Pagan seolah-olah merupakan satu senjata yang berbahaya digunakkan oleh seorang pahlawan untuk menjatuhkan musuhnya. Justeru itu, sesetengah masyarakat telah menggunakan perkataan alternatif seperti agama asal ataupun agama tradisi dengan tujuan supaya Paganist tidak dipandang rendah oleh masyarakat. Akan tetapi sejauh manakah pemikiran dan perspektif masyarakat terhadap Pagan berubah walaupun kita tidak digalakkan untuk menggunakan perkataan ini? Dari sudut renungan secara individual, saya ingin mengatakan bahawa pemikiran dan perspektif seseorang akan berubah sekiranya dia memahami siapakah itu Pagan ataupun Paganism dan bagaimana nilai kehidupan sebenar mereka dengan lebih mendalam. Saya tidak melihat penggunaan perkataan Pagan akan menjejaskan maruah, menindas dan merendah-rendahkan martabat seseorang kerana perkataan Pagan digunakan secara universal oleh seluruh masyarakat dunia dari sejak dahulu lagi. Penggunaan perkataan ini bergantung kepada pemahaman dan perspektif seseorang individu apabila mengutarakan dan membincangkan topik ini. Maka, saya lebih selesa menggunakan perkataan Pagan di dalam penulisan kedua saya untuk mengupas lebih lanjut tentang Paganism. Pagan itu apa? Christopher King dari University’s Archaeology Department mengatakan bahawa “Recent archaeological studies of paganism highlight that Paganism was not a formal religion with fixed doctrines and rules, but a very varied set of beliefs and practices through which local communities interpreted their world.  Selain itu, Marawolf of the Covenstead di dalam penulisannya pula mengatakan bahawa “Pagan is an umbrella term covering many different religions and belief systems, it is a spiritual way of life that rooted in the ancient nature religion. It is also sometimes referred as “The Old Religion”, pre-Christian religion. Pagan may practice different religions based upon their geographical location or cultural background”. Pagan juga dirujuk sebagai “Polytheistic Religion” dimana mereka mempercayai banyak “Gods and Goddesses dalam penyembahan. Menurut pendefinisan oleh nenek saya pula, Pagan merupakan kepercayaan yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang dan menganggap pagan itu bukan agama kerana walapun saya seorang Kristian tetapi saya ada hak untuk mengamalkan kepercayaan ini. Melalui perkongsian saya dengan seorang aktivis di Jogjakarta yang aktif dalam mempertahankan hak-hak budaya masyarakat Jawa mengatakan bahawa Pagan adalah suatu agama dasar dimana ciri-ciri asas Pagan yang menggunakan objek, simbol di dalam penyembahan mereka juga terdapat di dalam agama-agama seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Contohnya, agama Kristian menggunakan patung Jesus dan Maria didalam gereja. Begitu juga dengan agama Hindu dan Buddha dimana Hindu menggunakan patung Dewa Siva di dalam kuil dan Buddha menggunakan patung Bharma di tokong. Ciri-ciri asas Pagan ini telah diadaptasikan dan diubah suai mengikut kesesuaian kepada agama-agama popular ini. Oleh itu, Kepelbagaian dalam pendefinisian ini menyebabkan persoalan “apakah itu Pagan” susah untuk dijelaskan secara terperinci. Budaya Apabila nenek saya menyebut bahawa Pagan adalah kepercayaan yang diwarisi dari turun-temurun dimana nenek moyang saya memperolehi pengetahuan dari ibunya dan diperturunkan kepada nenek saya, maka saya melihat Pagan itu adalah suatu budaya hidup seseorang. Ianya menjadi suatu budaya apabila saya harus bercakap dalam bahasa ibunda saya, saya harus menetap di dalam komuniti untuk mendalami pengetahuan ini, memahami cara hidup seorang paganist dengan lebih mendalam dan mempelajari segala ilmu adat dan cerita-cerita rakyat yang berkait rapat cara hidup Paganist. Perwarisan ini adalah penting supaya budaya ini tidak terputus dan hilang begitu sahaja. Rujukan Pagan juga tidak mempunyai rujukan yang formal seperti Alkitab dan Al-quran apabila mempraktikkan kepercayaan mereka. Paganist hanya bergantung kepada ajaran dari nenek moyang melalui pendengaran dan penglihatan apabila melakukan upacara-upacara Paganism. Ini boleh dibuktikan melalui perkongsian cerita daripada nenek saya. Nenek saya tidak pernah memegang alkitab dan membaca dari mana-mana sumber, akan tetapi nenek saya mengetahui semua narrative tentang kejadian Nabi Nuh dimana bagaimana dunia ditenggelami oleh banjir dan adanya sebuah kapal yang besar. Dia mengatakan bahawa semangat yang selalu membantunya iaitu “Himbou” telah menceritakan kepadanya semua kejadian tersebut. Ini menunjukkan semangat juga menjadi sumber segala rujukan kepada Paganist dari segi perubatan, penceritaan, perlindunang dan yang berkaitan dengan alam. Pagan tidak mempunyai bangunan seperti gereja, masjid, tokong dan kuil untuk melakukan upacara mereka. Tempat suci bagi Paganist adalah tanah, batu, sungai dan pokok dan sumber alam. Oleh itu, Pagan dilihat bukan setakat kepercayaan dan juga agama, tetapi ianya merupakan satu budaya dan dunia spirituality dengan alam. Pertembungan dunia material dengan dunia spirituality menyebabkan berlakunya perebutan ruang dan masa untuk meneliti dan mengamati apakah itu Pagan sebenar. Doktrin-doktrin yang nyata didepan mata adalah senang dilihat dan dipelajari berbanding Pagan. Lantas, saya berfikir apakah jadi kepada dunia jika dipenuhi dengan teknikal kehidupan yang berpandukan kepada doktrin di atas kertas dan ruang media.         unnamed

VERMOX
]]>

Sandiwara politik di Kampung Chetti

Salah satu sebab adalah berikutan berita mengejut Kannama Pillay meninggal dunia pada 2 Januari 2014 akibat denggi berdarah. Pemergian wanita kaum Chetti itu dianggap suatu kehilangan besar. Kaum Chetti di Melaka hanya sebuah kumpulan minoriti. Sekitar 300 orang daripada 30 keluarga tinggal di sekitar 20 buah rumah di perkampungan warisan itu. Kebanyakan mereka adalah saling bersaudara; walaupun wujud perkahwinan campur dengan masyarakat luar. Maka, secara logik, ramai penduduk Kampung Chetti yang bersaudara dengan mendiang Kannama. Mengikut tradisi Hindu, apabila ada kematian dalam keluarga, maka kaum-keluarga terdekat tidak boleh menghadiri upacara keagamaan di kuil selama beberapa bulan. [caption id="attachment_2966" align="alignleft" width="150"]Sambutan “ponggol” yang agak suram di Kuil Sivan. Sambutan “ponggol” yang agak suram di Kuil Sivan.[/caption] Atas sebab itulah juga sambutan “ponggol” – atau “ponggal” – di Kuil Sivan pada kali ini hanya dihadiri sekitar sepuluh orang kaum Chetti. Wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut berpeluang menyertainya memandangkan kami berada di Kampung Chetti bagi melakukan kerja-kerja pemantauan. Bercakap mengenai “kerja-kerja pemantauan”, ia ada kaitan dengan alasan kedua mengapa sambutan “ponggol” di Kampung Chetti pada kali ini kurang berseri. Kavyan melakukan pendedahan demi pendedahan menerusi laman rangkaian sosial dan kerjasama portal berita dalam talian selepas Kunjungan Perpaduan Kavyan (15 Disember 2013). Maka ramai yang sudah tahu mengenai “kemusnahan terancang” yang sedang melanda Kampung Chetti. Tekanan lebih kuat diberikan kepada Kerajaan Negeri Melaka menerusi “Solidariti Kampung Chetti” (29 Disember 2013) supaya projek pembangunan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan Kampung Chetti dihentikan serta-merta. Projek dihentikan? Mana ada! Namun begitu, malangnya, jaminan berbentuk “janji manis” yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron kepada penduduk Kampung Chetti nampaknya hanya “janji Melayu” atau “janji dicapati”. [caption id="attachment_2967" align="alignleft" width="150"]Penduduk rasa tertipu dengan janji-janji manis politikus. Penduduk rasa tertipu dengan janji-janji manis politikus.[/caption] Menurut laporan akhbar The Star (1 Januari 2014), Idris sudah mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu. Idris yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka dilaporkan mahu menyelesaikan isu itu dengan segera dan sudah mengarahkan projek dihentikan sehingga menanti siasatan selesai. Idris mengaku “pening kepala” berikutan pendedahan Kavyan. Laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris “mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek kondominium dan hotel di tengah Kampung Chetti”. Idris juga “mengeluarkan arahan siasatan segera bagi mencari punca kepada masalah tersebut. … Idris mahu siasatan lebih mendalam dilakukan pada kadar segera bagi mengenalpasti pihak bertanggungjawab yang memberi kelulusan serta membenarkan projek itu dibina”. Dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014), Pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan memberikan jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara. Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti. Bagaimanapun, tinjauan wakil Kavyan ke Kampung Chetti pada 14 Januari 2014 mendapati hal yang sebaliknya sedang berlaku. Kerja-kerja pembinaan berjalan seperti biasa dan ternyata tidak ada tanda-tanda ada arahan daripada ketua menteri supaya projek dihentikan sementara siasatan dibuat. Rata-rata penduduk kaum Chetti yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kerja dihentikan di “Lot 93” seperti dilaporkan media arus perdana sejak awal tahun. Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan berjalan tanpa henti dari awal pagi hingga lewat malam, termasuk pada hari cuti umum. Loji najis di depan kuil dan rumah orang Ahli jawatankuasa bertindak, T Sithambaram Pillay yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada wakil MIC atau Pemuda MIC datang untuk meninjau keadaan. Nampaknya tugas Pemuda MIC Melaka setakat menciplak kenyataan media Kavyan (16 Disember 2013) dan menyerahkannya sebagai memorandum kepada ketua menteri (20 Disember 2013). Tugas pengerusi MIC Melaka pula seolah-olah hanya mengeluarkan kenyataan yang muluk-muluk kepada wartawan media arus perdana dan memberikan gambaran seolah-olah tidak ada sebarang masalah di Kampung Chetti. “Laporan di media arus perdana mengatakan seolah-olah MIC dan kerajaan negeri menghantar jurutera khas untuk melihat keadaan bangunan kuil-kuil di sini. Tetapi semua itu adalah penipuan semata-mata,” kata Sithambaram dengan nada marah dah kecewa. Pemuda kaum Chetti itu juga meluahkan kemarahan kerana loji najis bagi dua buah kondominium 22 tingkat dan sebuah hotel 12 tingkat sedang dibina bersempadan dengan rumah penduduk kampung. “Segala air kotor penghuni di Lot 93 akan disalurkan masuk ke longkang besar di kampung kami. Loji najis pula dibina dekat dengan rumah kami serta tidak berapa jauh dari Kuil Sri Muthu Mariamman. Bayangkan betapa biadabnya tindakan ini,” tegasnya. [caption id="attachment_2968" align="alignleft" width="150"]Tiada tanda-tanda projek dihentikan seperti dijanjikan Ketua Menteri Melaka. Tiada tanda-tanda projek dihentikan seperti dijanjikan Ketua Menteri Melaka.[/caption] Turut berkongsi rasa sedih, kecewa, marah dan dendam ialah Minatchi Naiker, warga emas berumur 83 tahun yang merupakan anak jati Kampung Chetti. Seperti dirinya, kebanyakan penduduk Chetti sudah tinggal di sini selama enam keturunan. “Ini adalah kampung kami, tanah milik nenek-moyang kami. Kerajaan dan Unesco sudah iktiraf tanah ini sebagai perkampungan warisan. Sepatutnya kerajaan tempatan memelihara dan melindingi tapak warisan ini. “Tiba-tiba kami mendapat berita bahawa ada projek besar di sebelah kampung. Memang tidak dapat diterima akal jika sesiapa mengatakan projek itu tidak akan menjejaskan Kampung Chetti,” kata wanita itu sambil menahan rasa marah dan sebak. ‘Kami rela mati demi pertahankan kampung ini’ Minatchi mengakui bahawa sebelum ini, apabila bekas ketua menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan, beliau menyembah kaki politikus itu kerana bersyukur tanah warisan nenek-moyang berjaya diselamatkan. “Tetapi kini, kerajaan negeri meluluskan semula projek itu. Kami semua menyesal kerana mempercayai, meletakkan harapan dan mengundi BN. Apa gunanya kami pilih mereka kalau mereka tak boleh tolong minoriti? Sebaliknya kami ditipu dan dizalimi,” tegasnya. Warga emas itu mungkin sahaja tidak tahu mengenai syarat tidak boleh ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter daripada kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan. Begitu juga dengan syarat dan peraturan Unesco iaitu sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan (perkampungan warisan) tidak boleh melebihi 4 tingkat. Maka, pembangunan di “Lot 93” ternyata melanggar syarat ditetapkan badan antarabangsa. “Kalau kerajaan tidak boleh tolong kami, bunuhlah kami secara beramai-ramai dan tanam kami di perkampungan warisan. Kemudian buatlah apa yang mahu dibuat dengan tanah kami,” kata Minatchi yang ternyata kecewa dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Rata-rata penduduk yang ditemui sedar bahawa “Lot 93” adalah milik persendirian dan kaum Chetti tidak berhak membuat sebarang tuntutan ke atas tanah itu. Bagaimanapun, mereka juga sedar bahawa mereka berhak berjuang demi mempertahankan Kampung Chetti seluas lima ekar yang sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Segala tuntutan mereka selaras dengan peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada. Bagi Sumitra Devi Pillay, sebagai generasi muda kaum Chetti, beliau mahu terus mempertahankan kampung nenek-moyangnya. Gadis itu sedar bahawa sekiranya mereka menghentikan perjuangan dan tuntutan, maka kampung itu berdepan kemungkinan musnah terus dalam masa terdekat. “Saya mahu supaya anak-cucu saya nanti ada kampung untuk pulang pada masa cuti. Kampung Chetti bukan sekadar sebuah perkampungan biasa. Semua pihak perlu menyedari hakikat ini dan sama-sama tampil untuk mempertahankannya daripada sebarang kemusnahan yang berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya dengan penuh harapan. Ada gunting dalam lipatan, duri dalam daging Semasa sambutan “ponggol” di Kuil Sivan pada kali ini, tidak ada wakil dari MIC atau Hindraf yang datang walaupun kenyataan-kenyataan yang disiarkan di media arus perdana memberikan gambaran seolah-olah mereka amat prihatin dan berjuang demi nasib kaum Chetti. Perkembangan yang dapat diperhatikan secara nyata sejak dua minggu lalu membuatkan penduduk Kampung Chetti sedar bahawa mereka sekali lagi menjadi mangsa penipuan, manipulasi politik dan diperalatkan golongan politikus, kuasawan dan kapitalis demi kepentingan peribadi. “Saya juga amat kecewa apabila mendapat tahu bahawa ada ‘orang dalam’ iaitu individu dalam komuniti kami sendiri yang menjadi dalang yang sanggup menjual maruah dan harta pusaka nenek-moyang demi kepentingan peribadi,” kata Minatchi sambil menahan sebak semasa saya mengunjunginya bersama-sama Kughan Nadarajah, Sugan Gunalan dan Preevinn Singh. [caption id="attachment_2969" align="alignleft" width="150"]954494_10151915397908990_887190975_n Kavyan terus menyokong dan membantu perjuangan minoriti Chetti.[/caption] Berita terbaru itu memeranjatkan ramai penduduk Kampung Chetti. Mereka mahu kerajaan memberikan surat rasmi serta salinan dokumen yang kononnya ditandatangani wakil kaum Chetti. Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka merangkap pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVM), K Supramania Pillay mengesahkan bahawa tidak ada sesiapa di pihaknya yang menandatangani sebarang dokumen seperti itu. Maka, misteri yang belum terjawab adalah siapakah dalang-dalang dalam komuniti Chetti, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang terlibat dalam sandiwara ini? Sementara itu, Kavyan menyeru wakil media dan Bangsa Malaysia yang priharin supaya terus memberikan tekanan dan desakan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat supaya menghentikan segera projek pembinaan di “Lot 93” yang secara terang-terangan melanggar pelbagai peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada. Kavyan akan terus memuatkan berita dan perkembangan terbaru di www.kampungchetti.blogspot.com untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tepat, benar dan terkini mengenai keadaan di kampung warisan berkenaan.         unnamed        

VERMOX
]]>

CFM amat bimbang terhadap ketegangan

KENYATAAN MEDIA: CFM AMAT BIMBANG TERHADAP TINDAKAN TERBARU MENINGKATKAN KETEGANGAN Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menyatakan kebimbangan dalam tindakan baru-baru ini yang meningkat ketegangan di pihak kumpulan tertentu berkenaan dengan penggunaan istilah “Allah” oleh masyarakat Kristian di Malaysia. Khususnya kita merujuk kepada empat kejadian: yang secara khususnya dituju kepada Father Lawrence Andrew, Penerbit The Herald, kritikan dan ancaman “demonstrasi mega” terhadapnya; iklan yang terpapar di The Star pada hari Sabtu 11 Januari, 2014 oleh ketua Majlis Agama Islam Selangor cuba untuk menjustifikasikan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor di premis Persatuan Alkitab Malaysia pada 2 Januari 2014; demonstrasi berhampiran Shekinah Glory Church AG, Klang pada hari Sabtu pagi 4 Januari 2014; dan demonstrasi oleh sekumpulan kira-kira 100 orang di luar Gereja Metro Tabernacle di Gombak pada hari Ahad pagi 12 Januari 2014. Kami berpendapat bahawa insiden-insiden ini tidak membantu atau berhemat pada keadaan semasa. 10 Perkara Penyelesaian yang diumumkan oleh Kerajaan pada bulan April 2011 sepatutnya telah menyelesaikan penggunaan Bahasa Malaysia dan istilah “Allah” di dalam Al-Kitab. Malangnya, Kerajaan yang mencipta 10 Perkara penyelesian tersebut kini berdiam diri mengenainya. Oleh itu, jika tiada arahan jelas daripada kepimpinan politik negara kita, apa yang kita saksikan ketika ini adalah setiap kumpulan berlumba-lumba untuk menarik perhatian media untuk diri mereka sendiri. Ini mencerminkan pengurusan negera yang merosot. Kami kesal bahawa kumpulan-kumpulan ini merasakan bahawa mereka perlu melakukan tindakan ini. CFM bagi pihak masyarakat Kristian di Malaysia tetap tidak tergugat dalam menghadapi keadaan ini dan demikian juga pada masa depan. Kami berdiri teguh dan bersatu dalam pemahaman kita tentang prinsip kebebasan beragama dan perlindungan saksama dalam undang-undang, keduaduanya yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi di negara kita. Kami melihat kepada mahkamah untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan yang kami hormati. Kami berdiri dengan individu-individu seperti Paderi Lawrence Andrew dan gereja-gereja yang telah dipilih menjadi tempat bantahan yang tidak munasabah dan yang tidak sewajarnya, dan kebanyakan orang-orang Kristian di negara ini yang hanya dipersalahkan kerana keinginan tulus mereka untuk menyembah dan memanggil Allah dalam bahasa mereka sendiri. Kita mengingatkan bahawa 64% orang Kristian di Malaysia tidak mempunyai bahasa lain untuk Alkitab, berdoa dan penyembahan mereka kecuali dalam Bahasa Malaysia. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan jiran-jiran kami dari agama lain yang memahami sejarah ini dan berdiri dengan kami dan bersama kami pada hari yang gelap ini. Kami menyeru semua rakyat yang cintakan keamanan di Malaysia dan di seluruh dunia untuk terus berdoa untuk keamanan dan keselamatan orang Kristian, gereja-gereja dan masyarakat, dan agar keadilan berlaku dalam negara kita yang tercinta. Ditanda tangani, Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi dan Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Kristian Malaysia

VERMOX
]]>

Pluralisme, tolak ansur budaya dan strategi dakwah

Mo Limo  atau “moh main, moh ngombe, moh maling, moh madat, moh madon” sebagai strategi dakwahnya. Ia adalah seruan untuk tidak berjudi, tidak minum minuman keras, tidak mencuri, tidak menggunakan dadah, dan tidak berzina. Persoalan akhlak ditekankan mengatasi persoalan fikah dan akidah. Ini kerana akhlak itu sendiri dapat menjadi satu dakwah. Dakwah estetika Hal yang sama terlihatkan pada Sunan Bonang. Beliau dimaklumi suka berkunjung ke daerah-daerah terpencil di Tuban, Pati, Madura dan Pulau Bawean untuk berdakwah dalam kalangan masyarakat Hindu. Dalam kunjungan beliau yang memakan masa beberapa lama itu Sunan Bonang sangat suka membuka atau menggali sumber air di tempat-tempat yang dikunjungi. Ajaran Sunan Bonang lebih kepada kesufian dengan menekankan falsafah cinta atau ‘isyq. Untuk mereka yang mendalami subjek kesufian, ajaran Sunan Bonang dapat dihubungkan dengan ajaran Maulana Jalaludin Rumi, penyair dan ahli sufi Parsi yang menetap di Konya, Turki. Hal yang paling menarik, ajaran tersebut disampaikan oleh Sunan Bonang melalui saluran kesenian yang disukai masyarakat. Dalam hal ini, Sunan Bonang bekerjasama dengan murid kesayangannya, Sunan Kalijaga. Bukan itu sahaja Sunan Bonang juga dikenali sebagai seorang pengarang. Beliau banyak melahirkan karya sastera yang dinamai suluk, atau tembang tamsil. Salah satu yang paling tersohor adalah “Suluk Wijil” yang dikatakan terpengaruh dengan kitab Al Shidiq karya Abu Sa’id Al Khayr. Kalau suluknya ditekuni, pembaca akan mendapati beliau banyak menggunakan perbandingan cermin, bangau atau burung laut. Pendekatan begini turut digunakan oleh ulama silam lain seperti Ibnu Arabi, Fariduddin Attar, Rumi serta Hamzah Fansuri. Tidak cukup dengan itu, Sunan Bonang telah menjadi komposer yang terkenal dengan menggubah banyak muzik gamelan Jawa yang pada saat itu cukup pekat dengan estetika Hindu.  Gubahan gamelan Sunan Bonang ada unsur zikir yang menggalakkan kecintaan kepada kehidupan alam akhirat.  Tembang yang paling terkenal daripada beliau ialah Tombo Ati. Luahan kesenian rohani  Lebih istimewa Sunan Bonang juga bermain drama, atau wayang kulit. Selalunya penonton akan khusyuk dengan pementasan beliau. Beliau suka menulis sebuah lakon seraya memasukkan tafsir ayat al-Quran dan ajaran-ajaran Islam. Sebagai contoh, di dalam ajaran Hindu Jawa terdapat sebuah kisah perseteruan Pandawa-Kurawa yang digemari umum, Sunan Bonang mencipta semula kisah tersebut lantas menjadikannya drama peperangan antara nafi atau peniadaan dan ‘itsbat atau peneguhan. Secara tidak disedari, beliau telah mengajar mengenai dua kalimah syahadah, atau prinsip tauhid itu sendiri. Sunan Drajat atau Raden Qosim turut mengenengahkan seni suluk sebagai saluran berdakwah. Antara suluk petuah yang mengakar dalam diri orang Jawa ialah ajaran ‘berilah tongkat pada si buta, beri makan pada yang lapar, beri pakaian pada yang telanjang’. Sunan Drajat menggunakan aspek akhlak tersebut dengan membanaykkan pertolongan buat anak-anak yatim piatu dan fakir miskin. Sementara itu, Sunan Giri yang dipanggil orang Jawa sebagai Raden Paku, atau nama betulnya Muhammad Ainul Yakin turut mengemukakan kesenian sebagai wadah dakwahnya. Sunan Giri adalah Wali Songo yang bukan sahaja berdakwah tetapi ikut terlibat dengan bidang politik, pendidikan dan tentu, kebudayaan. Pondok atau pesantren beliau Giri Kedaton sangat berpengaruh sehingga dilantik menjadi penasihat dan menteri pertahanan Kesultanan Demak. Hal ini tercatat dalam Babad Demak. Bukan itu sahaja Sunan Giri juga diterima sebagai mufti, untuk seluruh Tanah Jawa kala itu. Anak murid Sunan Giri berdakwah pula di Sulawesi Selatan, namanya Datuk Ribandang. Beliau dinamakan Sultan Abdul Fakih dan juga merupakan seorang seniman yang luar biasa. Bahkan ada permainan kanak-kanak seperti jelungan, jamuran, lir-ilir dan cublak suweng disebut sebagai hasil seni Sunan Giri yang diteruskan oleh beliau. Dalam pada itu, Sunan Gunung Jati pula menumpukan kerja-kerja kebajikannya sambil berdakwah. Beliau disifatkan sebagai arkitek yang menggamamkan pengikut agama Hindu waktu itu kerana memperkenalkan seni bina yang hebat-hebat. Paling unik sekali beliau juga membangunkan infrastruktur berupa jalan-jalan yang menghubungkan antara wilayah untuk memudahkan orang ramai. Ekoran dari itu, masyarakat Hindu-Jawa pada waktu itu lekas tertawan hati mereka dengan Islam. Sunan Kudus atau nama betulnya Jaffar Shadiq juga seorang pencipta senibina yang mempesonakan. Kaedah Sunan Kudus mendekati masyarakat setempat yang masih Hindu pada zamannya ialah dengan memanfaatkan lambang-lambang Hindu dan Buddha. Hari ini jika kita mengamati masjid Kudus kita akan menemui bentuk menara, gerbang dan pancuran juga tempat berwudhu yang melambangkan lapan jalan Buddha. Kompromi budaya, bukan akidah Jangan cepat melenting dahulu. Ia bukanlah pluralisme agama tetapi merupakan kompromi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam.  Kompromi budaya (bukan akidah) adalah satu lagi strategi dakwah yang wajar dikuasai oleh pendakwah hari ini. Sebagai contoh, pada satu masa Sunan Kudus ingin mengajar tafsir surah al-Baqarah, beliau dengan sengaja memancing masyarakat untuk datang ke masjid dengan menambatkan seekor sapi yang diberi nama Kebo Gumarang di halaman masjid. Orang-orang Hindu yang mengagungkan sapi atau lembu singgah sekejap di luar masjid dan mendengar ceramah agama Sunan Kudus tentang surah Al Baqarah yang bererti sapi betina. Sunan Kudus dikenali sangat suka bercerita untuk meraih perhatian madh’unya. Menerusi cerita sapi sedemikianlah ramai penganiut Hindu-Jawa memeluk Islam. Sunan Kudus turut hebat sebagai Panglima Perang Kesultanan Demak. Beliau misalnya pernah berperang di bawah kepemimpinan Sultan Prawata, bertempur menentang Adipati Jipang. Jika Sunan Kudus menggunakan pendekatan ‘cerita’, Sunan Muria pula berdakwah dengan lagu-lagu, mungkin dapat diandaikan sebagai nasyid. Lagu Sinom dan Kinanti yang masyhur dalam kalangan orang Jawa adalah ciptaan beliau. Dan tentu, bapa Sunan Muria iaitu Sunan Kalijaga adalah yang paling terkenal sekali jika kita menyinggung persoalan dakwah dengan kesenian. Beliau menggunakan seni ukir, wayang wong, gamelan, serta seni suara suluk sebagai wahana dakwah. Sunan Kalijaga mencipta busana Baju Takwa, beberapa perayaan seperti sekatenan, grebeg maulud, Layang Kalimasada, dan skrip drama Petruk Jadi Raja. Lanskap pusat kota Kraton yang ada di Jogjakarta hari ini turut diyakini sebagai karya Sunan Kalijaga. Yang paling mustahak untuk dinyatakan di sini ialah metod dakwah Sunan Kalijaga dan kelapan-lapan wali ini sangat efektif.  Sebahagian besar adipati atau pembesar Hindu di Jawa telah memeluk Islam di tangan Sunan Kalijaga. Antara yang berpengaruh ialah Adipati Padanaran, Kartasura, Kebumen, Banyumas, serta Pajang. Hari ini, segala strategi dakwah dengan kompromi budaya ini akan dikelirukan dengan aksi pluralisme. Islam yang mendapat dokongan lokal adalah Islam yang tidak memaksakan. Tanpa dokongan budaya tempatan, agama Islam menjadi sebuah agama yang asing. Hari ini, pendakwah Salafi berusaha membuang segala unsur lokal ini dengan alasan ia adalah bidaah. Toleransi dan kompromi budaya yang pernah disaksikan oleh rantau ini digugat dengan pendekatan keras ala Timur Tengah yang sama sekali tidak berhubungan dengan kita. Itulah puncanya gerakan Salafi, atau nama lainnya Wahabi dipandang serong oleh masyarakat dan menjadi duri dalam daging.       unnamed

VERMOX
]]>