Projek Dialog

Akta Hasutan dan ayat-ayat cinta

Cinta yang satu Menurut tokoh falsafah Jerman, Freidrich Hegel (1770 – 1831) boleh malah perlu dalam soal kenegaraan. Bukan sekadar cinta dan kebebasan, tapi juga melibatkan individu, masyarakat, perundangan, sejarah, malah dengan monarki. Bahkan dengan Tuhan. Kesemuanya harus keseluruhan, jadi Satu. “Jerman bukan lagi sebuah Negara”. Ujar Hegel dalam esei ‘The German Constitution’, bagi menimbulkan dilema perundangan pada waktu Jerman menuju kemodenan di awal kurun ke-19, tapi masih dalam perpecahan wilayah, pada masa yang sama menghadapi ancaman siri peperangan di Eropah. Perundangan dalam sesebuah negara itu tidak sepatutnya hanya berteraskan institusi kuasa serta proses, lebih penting untuk melihat ruang yang lebih luas meliputi kehendak warganya, corak hubungan sosial serta kesedaran budaya masyarakat semasa. Kritikan ini ditujukan terhadap penguasa khususnya pengamal perundangan yang menjadikan undang-undang hanya untuk mengekalkan norma cara hidup kebiasaan dan sekadar senarai peraturan untuk mengawal perilaku rakyatnya tanpa peduli sama ada undang-undang itu masuk akal, rasional atau masih relevan dengan kesedaran masyarakat semasa. Peranan sistem perundangan Keperluan perundangan itu hadir dengan pilihan dan persetujuan para warganya. Bukan berdasarkan kehendak penguasa yang merasakan sepatutnya ada untuk mengawal dan menuntut kepatuhan warganya. Negara bukan hanya tentang institusi dan sistem, tapi lebih utama kesedaran, kemahuan serta semangat rakyat yang secara bebasnya menumpahkan taat setia. Institusi, sama ada perundangan ataupun politik sewajarnya mengikut semangat zaman warganya, bukan sebaliknya. Wujud atau tidak Negara itu akan teruji dalam situasi menghadapi cabaran, khususnya ancaman musuh. Jerman, yang pada waktu itu sedang menghadapi serangan ketenteraan Perancis pimpinan Napoleon Bonaparte, kemudiaannya tewas dalam ‘Pertempuran Jena’ pada 1806. Kekalahan Jerman ini bukan sangat tentang peperangan, tetapi kerana gagalnya menghasilkan warga yang berkesedaran dan taat setia untuk mempertahankan tanah air dan persaudaraan se-Negara. Hegel, seorang Jerman. Namun, dalam peperangan tersebut merasakan selayaknya kemenangan berpihak Perancis dan Napoleon kerana Negara itu sebenarnya bukan pada nama. Makna negara Nama Negara itu tidak penting, begitu juga siapa pemimpinnya. Sistem kenegaraan,cara lantikan pemerintahan, corak pentadbiran, percukaian, malah penentuan nilai, pendidikan, bahasa mahupun identiti beragama, itu semua bukan keutamaan dalam satu negara di era moden, melainkan kesetiaan, semangat dan cinta warganya kepada Negara. Tapi purlu untuk dipersoalkan: apa yang penting sangat sampai perlu ada cinta pada Negara? Dan pastinya cinta itu bukan paksaan. Jadi apa yang membuatkan Negara itu terlalu istimewa sampai menjadi kewajipan untuk berikrar janji taat-setia? Kenapa perlu Patriotisme? “What is rational is real, and what is real is rational.” Petikan terkemuka Hegel ini dari karya Philosophy of Right menjelaskan tentang apa yang rasional itu ada, dan apa yang ada itu mestilah rasional. Konsep realiti ini bukanlah sekadar pengetahuan, tapi mampu untuk dihidupkan, diwujudkan, menghasilkan tindakan. Realiti itu bukan sekadar persoalan makna (essence), tapi juga mampu ada (existence). Rasional itu pula mestilah boleh diterima akal, bukan sekadar ditahap kefahaman, tapi juga penghayatan. Daripada asas ini, Hegel menerangkan perihal pembentukan ideal hubungan sesama manusia dalam masyarakat. Sekiranya cinta yang menjadi asas hubungan sesama manusia itu benar, ia mestilah boleh difahami, dihayati malah membebaskan belenggu yang menimpa manusia. Dinamika keluarga dan masyarakat Perhubungan paling asas sesama manusia melalui institusi kekeluargaan di mana perhubungan sesama pasangan dalam satu perkahwinan berasaskan perasaan dan kasih sayang yang menghasilkan pembebasan jiwa kedua-dua individu dengan matlamat yang sama, mengukuhkan hubungan berkeluarga dengan kelahiran dan pembesaran generasi kemudian. Di tahap masyarakat pula, hubungan sesama ahli berasaskan ‘kontrak’, persetujuan yang saling memenuhi keperluan bersama. Hegel menggunakan terma ‘civil-society’ dalam menjelaskan perhubungan ini yang turut berperanan dalam urusan pasaran, komuniti serta perlindungan. Hubungan bersama ini membawa kepada pembebasan dalam aspek keperluan kehidupan ahli masyarakat yang saling memerlukan satu sama lain. Jadi apa pula yang diperlukan sebagai asas hubungan dalam Negara? Kebersama warga Negara menghasilkan kebersamaan warga yang kemuncaknya terletak pada kesedaran dan nilai-nilai etika yang sama. Kesedaran bersama ini yang akan membentuk persaudaraan dengan jaminan pengekalan kepentingan individu, saling rasa hormat, serta saling memperbaiki antara satu sama lain. Perhubungan ini menjadi asas kepada taat setia, dengan ikrar untuk melindungi kepentingan sesama ahli dengan semangat pemilikan dan tanggungjawab bersama. Hubungan ini hanya akan mampu tercapai dengan rasa cinta antara warga, serta penghargaan akan kebebasan setiap individu untuk mencapai cita-cita. Cinta Negara itu rasional. Cinta Negara itu punya arah dan arahnya ialah kebebasan. Kebebasan, bukan liberalisme Kebebasan itu intipati bagi setiap individu mengembangkan kebolehan diri. Hanya dengan kebebasan, kemuncak kehidupan manusia dapat dicapai. Sama ada dalam bentuk kreativiti seni, imajinasi sains dan falsafah mahu pun pengalaman beragama. Namun kebebasan itu juga perlu rasional. Kebebasan perlu dipastikan faedahnya dinikmati semua. Dalam perhubungan politik, kebebasan itu ada batasan supaya kebebasan individu itu akan meraikan kebebasan individu lain, bukan menyekat, dan tidak terasing. Hegel mengkritik konsep kebebasan liberal yang sering menganggap negara sebagai sekatan kepada kebebasan individu. Kebebasan yang terlalu tertumpu kepada individu ini mengakibatkan berlakunya pengasingan (alienation) antara kehendak individu dengan kepentingan Negara, malah boleh menyebabkan kepentingan individu ataupun sekolompok mengatasi kepentingan umum Negara. Pembebasan itu tak berlaku dalam pengasingan. Bukan sekadar antara individu, malah perbatasan kebebasan juga perlu mengambilkira persoalan sejarah, perundangan dan semestinya Negara. Kerana Negara itu sendiri ialah warganya, maka juga tanggungjawab Negara untuk menjamin pembebasan warga keseluruhannya. Negara itu hanya akan wujud dengan penyatuan kesedaran para warganya, untuk mempertahankan kepentingan dan segala pemilikannya daripada sebarang ancaman, menuju kebebasan dengan dengan semangat cinta dan taat setia. Patriotisme itu hanya boleh berdiri dengan cinta ini, murni, abadi, sejati. Malaysia? Dengan semangat penyatuan keseluruhan ini, sampai Negara itu disifatkan sebagai manifestasi Tuhan di muka bumi. Cukuplah terbang di awangan idealisme Hegel, kembali bertapak di dunia nyata. Cuma persoalannya, Malaysia, sejauhmana kita sudah satu Negara? “Andai Ku terbuang tak diterima, andai Aku disingkirkan. Ke mana harus Ku bawakan cinta ini..? Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, namun hati rela berjuang walau dengan cara sendiri demi cinta ini..” Bendera masih gemilang berkibaran, dari dataran sampailah tepian jalan, irama Negaraku pun diberi penghormatan di pawagam. Slogan kenegaraan saling bergantian, yang paling utama, “Syukurlah, Malaysia masih aman”. Jika ini yang jadi kepentingan utama Negara, memadailah, kemerdekaan ini sudah hampir selesai. Kekal dalam keamanan, sembang-sembang perpaduan, sedang segelintir rebut kekayaan. Perjuangan ini sampai bilapun kibar bendera, dendang irama negara. Cukuplah nak digelar pencinta Negara. Pada masa yang sama, para cendekiawan, agamawan serta anak-anak muda yang menyeru pembebasan berhadapan penahanan dan penjara, digelar penghasut-penderhaka. Sering jadi mengelirukan, ketara kesedaran warga sebenarnya masih bertentangan. Tujuan bernegara ini sebenarnya apa, tuntut kesyukuran, atau membebaskan? Siapa sebenarnya pencinta, siapa pula penghasut? Seakan Negara ini masih belum wujud. “Ku ingin kotakan seribu janji, sepanjang kedewasaan ini. Ku ingin sampaikan pesanan, Akulah penyambung warisan” Segalanya satu proses Negara ini masih belum sempurna, masih dalam pembentukan. Terpulanglah kepada para warganya untuk menentukan, kerana di sebalik setiap kata, juga setiap tindakan, kita membuat pilihan. Kita generasi penyambung warisan, cuma yang jadi pilihan warisan siapa yang ingin diperturunkan. Kebebasan itu warisan kemanusiaan, bukan warisan penjajahan. Jadi seharusnya mengikut penghasut zalim gila kuasa, atau pencinta yang mahu merdeka? Namun, kalaulah dianggap Negara idaman itu khayalan sahaja. Cinta dan merdeka itu tak lain mainan kata-kata. Negara itu sekadar hal perundangan dan kuasa. Tapi, sewajarnya masih boleh mengambil pengajaran, buat segalanya yang dimiliki, juga yang memiliki kita. Bukankah bicara Tuhan mengajarkan; “Hak milik siapakah segalanya yang di langit dan yang di bumi? Hak milik Tuhan yang menentukan dengan rahmat dan kasih sayang…” Atau bukan dari Tuhan sebaik pengajaran? Atau bukan Tuhan kemuncak Cinta dan kekuasaan? Atau bicara Tuhan juga satu hasutan? #MansuhAktaHasutan unnamed      

]]>

Beragama tanpa makna

“Bismillahirrahmanirrahim..” Dengan nama Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.. Lazimnya, lafaz ini merupakan pembuka buat setiap tindakan dengan kesedaran ia akan berarah kepada kebaikan buat beroleh rahmat Allah, Tuhan sekalian alam. Zalimnya, suatu tindakan yang didasarkan kepada nama Tuhan, tetapi hanya berasas pada dogma. Hanya dengan kata, namun tanpa makna. Muslim Melayu di persimpangan Jelasnya perihal ini yang berlaku sebagai pembuka tahun baru 2014, cerminan cabaran kedudukan agama yang kian hilang makna. Tahun baru dibuka dengan isu ‘Nama Allah’, namun bukan sebagai rahmat, tetapi masalah antara agama yang jelas ditimbulkan. Tentu sekali bukan suatu kejutan, bila melihat bagaimana berakhirnya tahun 2013, agama sekadar dijadikan bahan konfrontasi. Lazimnya lafaz “Allahu A’lam” diucap dalam penutupan sesuatu pernyataan sebagai tanda rendah diri sebagai manusia yang serba terbatas tahap pengetahuannya, kerana hanya Tuhan Maha Tahu akan kebenaran yang sebenarnya. Zalimnya bila mana penutupan tahun 2013 yang baru berlalu melihatkan hilang rasa rendah diri segelintir agamawan yang sewenangnya menghukum haram sambutan hari Krismas dan Tahun Baru kerana dianggap salah dan menyesatkan. Lebih menyedihkan, kenyataan agamawan yang menghukum halal, darah mereka yang memperjuangkan suara golongan yang berdepan kesempitan hidup, hanya dengan alasan menganggap tunjuk perasaan sebagai tindakan pemberontakan. Mengapa, di saat masyarakat Negara ini semakin parah, namun agama hanya dijadikan penambah bakar masalah? Islam, yang suatu masa dahulu merupakan ‘khabar gembira’ yang membawa rahmat buat sekalian alam, yang mampu menghasilkan harapan buat golongan tertindas walau dalam perit menentang kezaliman, namun kini hanya terperangkap disebalik kata-kata dan perhiasan. Agama ini seakan-akan hampir tiba saat kematian, roh terbang keawangan meninggalkan penganutnya kehilangan tanpa makna.  Yang ditinggalkan cuma amalan yang diambil secara dogma, berdasarkan senarai doktrin yang kaku, terasing daripada intipati asal yang membawa pesanan murni buat manusia. Akibatnya agama yang sepatutnya punya dinamika dengan peranan penting dalam perkembangan ketamadunan manusia kian tersisih. Islam dalam era kegelapan?  Fenomena ini dijelaskan sejarawan agama, Karen Armstrong di dalam karya beliau A History of God, dalam bab penutup, Does God have a Future?, di mana beliau melihat Islam masa ini berada dalam era ‘kegelapan’seperti mana agama-agama lain sebelumnya,. Cuma bagi Islam, keadaan ini disebabkan kekecewaan yang lama di zaman penjajahan, mengakibatkan pendokongnya lebih gemar mengimbau nostalgia zaman kegemilangan silam sebagai asas integriti pada agama. Kesannya, kemajuan agama yang mahu dicapai ditumpukan kepada sejarah lampau. Pendekatan ini membawa kepada kegagalan untuk mencari makna baru yang lebih bersesuaian dengan realiti moden serta menghadapi cabaran semasa. Sememangnya bukan agama yang berhak dipersalahkan, tetapi secara fitrahnya manusia diberi kebebasan memilih sendiri pendekatan bagaimana cara agama dilaksanakan. “The Koran made the creation of a compassionate and just society the essence of the reformed religion of al-Lah. Compassion is a particularly difficult virtue. It demands that we go beyond the limitations of our egotism, insecurity and inherited prejudice.” Ternyata segelintir agamawan memilih pendekatan yang bermasalah dalam menghadapi peristiwa semasa, termasuklah isu perayaan Krismas dihukum sesat dan mengancam kesucian Islam kerana dilihat merayakan upacara agama lain. Mungkin segelintir agamawan ini tidak peka, larangan mereka ini juga sama seperti sesetengah kumpulan Puritan Kristian yang menentang sambutan Krismas di kemuncak zaman reformation. Sedangkan telah menjadi pemahaman umum sambutan Krismas bersempena kelahiran Jesus, atau turut masyhur sebagai nabi yang mulia, Isa A.S. Pendekatan yang lebih positif sepatutnya digalakkan dengan menghayati kehidupan nabi Allah ini, dan menghargai perjuangan yang dilaksanakan beliau. Ahli Teologi, Reza Aslan dalam karya beliau Zealot, menggunakan metodologi sejarah dalam memahami kehidupan Jesus di Palestin sekitar 2000 tahun yang lalu. Keadaan masyarakat yang hidup di bawah penindasan pemerintah Rom, yang mengenakan cukai tinggi terhadap rakyat. Golongan elit agamawan pula hidup dalam kelas tersendiri hanya berperanan dalam upacara ritual, tanpa mengajar nilai kebaikan dan persaudaraan, seperti yang dikisahkan dalam perumpamaan ‘The Good Samaritan’. Jesus yang memahami permasalahan rakyat, bangkit menjadi inspirasi dan penyelamat dengan membantu penduduk miskin, susah dan dalam kesakitan. Mesej kebaikan dan persaudaraan diajarkan kepada para pengikutnya sehinggakan pihak pemerintah dan elit agamawan berasa terancam. Kesalahan pemerintah dan agamawan waktu itu ditentang, hingga beliau dijatuhkan hukuman. Perjuangan beliau ini amat relevan jika diambil pengajaran buat kita dalam kontekshari ini yang berhadapan kesusahan dek permasalahan tekanan ekonomi, kezaliman penguasa serta institusi keagamaan yang semakin jauh daripada peranan membantu pembinaan masyarakat yang sejahtera. Namun, kelihatan para agamawan lebih cenderung melihat masalah berbanding hikmah. Sebagai penganut Islam di era mencabar ini seharusnya kita berjihad dengan mencari makna baru daripada petunjuk yang diberikan Tuhan supaya agama dapat terus menjadi daya kebaikan yang membawa rahmat buat masyarakat. Memilih ‘jihad’ dengan dengan cara kononnya menjadi pembela agama dalam isu seperti ‘nama Allah’ dan pengharaman Bible seakan hanya mengutamakan perkara kulit, bukan intipati sebenar insan berTuhan. Nilai kasih sayang harus dipupuk Muhammad Asad, tokoh yang berjasa membawa pentafsiran agama yang lebih dengan menekankan keutamaan daya fikir dalam memahami agama, menjelaskan dalam catatan beliau, Islam at the Crossroads, bahawa menjadi manusia sempurna itu sepatutnya menjadi aspirasi utama seorang Islam dan kesempurnaan dalam beragama ini hanya mungkin tercapai dengan kesedaran penuh akan Tuhan dalam setiap tatacara kehidupan. Tentu sekali ini tidak akan tercapai sekiranya hanya keutamaan beragama diletakkan pada perkara luaran sehingga mengundang perbalahan sesama masyarakat, tanpa rasa kasih dan sayang sesama manusia walaupun berbeza agama atau ras keturunan. Akhir kata buat warga seNegara yang masih meletakkan Tuhan sebagai rukun utama kenegaraannya, selayaknya ‘Allah’ menjadi asas kepada kesatuan, perpaduan dan keharmonian bersama. Semoga kita beroleh rahmat dan kasih sayangNya. Namun, buat mereka yang bertegas dengan agenda pembodohan dan permusuhan, sekadar berhujah dengan ancaman kekeliruan umat daripada segala hantu-jembalang musuh-musuh Islam: Aku lebih rela keliru, daripada ditakutkan hantu…         unnamed  

]]>