Projek Dialog

Maka Hadirlah Imperialisme: Raja Putih & Pembunuhan Beramai-ramai Masyarakat Kajang

The White Rajah of Sarawak

Terjemahan makalah “Enter Imperialism” tulisan Shanthi Thambiah, yang diterbitkan di Malaysia History.net pada 13 November 2011. Diterjemahkan oleh Maryam Lee.

Sejarah Yang Makin Dilupakan Kira-kira 150 tahun yang lalu, sebuah peristiwa telah berlaku di Sarawak yang catatannya dalam sejarah ingin diperbetulkan penulis. Ini bertujuan untuk menegakkan keadilan untuk orang asal dimana sejarah dari sudut pandangan mereka dinafikan sejak berkurun lamanya. Peristiwa ini adalah mengenai kolonialisme yang merupakan detik yang paling memalukan bagi umat manusia, kerana dengan kolonialisme maka terjadilah eksploitasi, penaklukan, penghapusan kaum dan pembunuhan beramai-ramai. Terlalu berat usaha untuk membongkarkan sistem imperalisme global yang telah berkembang selama lebih 500 tahun ke atas masyarakat orang asal. Walaubagaimanapun, impak kolonialisme terhadap masyarakat orang asal seluruh dunia wajar disoroti, kerana sejarah mereka akan kehilangan ditelan zaman. Bencana kolonialisme boleh dilihat menerusi suatu peristiwa yang melibatkan masyarakat Kajang di Sarawak pada abad ke-19. Sejarah telah merakam peristiwa ini sebagai ‘Ekspedisi Besar Kayan’. Namun bagi kebanyakan orang yang hidup di Balui (kawasan di utara Sungai Rejang), peristiwa ini terpahat sebagai Pembunuhan Beramai-ramai Kajang. Kisah bermula dengan kehadiran Robert Burns (cucu kepada pemuisi terkenal di Scotland) seorang pedagang British  di Borneo pada ketika itu. Burns merupakan warga England pertama menjejakkan kaki ke Rejang, kawasan masyarakat Kayan, pada tahun 1847. Burns adalah seorang lelaki yang angkuh dan hanya berminat dalam aktiviti yang menghasilkan wang. Pada tahun 1850, tiga orang pemimpin masyarakat Kayan telah mengutus surat kepada Raja Putih, James Brooke bagi menyatakan hasrat mereka berdagang dengan Robert Burns. Bagaimanapun, mereka mendapati Burns bukan sahaja telah merampas isteri-isteri orang Kayan, malah telah memerintahkan puak-puak setempat agar membunuh sesiapa sahaja yang datang ke hulu sungai itu. Brooke telah membalas surat itu dengan menyatakan tiada seorang pun warga England yang berkelakuan buruk akan mendapat perlindungan daripada beliau. Burns menetap di Labuan dan kadangkala membuat lawatan perdagangan ke kawasan pedalaman. Pada bulan September 1851, Burns keluar ke pantai utara Borneo bersama Kapten Robertson dari kapal Dolphin untuk menjual senjata. Setibanya mereka di Teluk Marudu, Burns dan Robertson bertengkar dan ketika hendak berlayar pulang ke Labuan, mereka diserang lanun. Burns meninggal dunia dalam serangan tersebut. Bulan kemudiannya, anak saudara Brooke, Charles Brooke telah mengikuti sebuah ekspedisi dengan Admiral Sir Francis Austen untuk membalas dan menghukum lanun-lanun yang telah menyerang kapal Dolphin. Dengan itu, adik lelaki penulis Jane Austen telah membela kematian cucu pemuisi Robert Burns! Sebelum itu, pada bulan April 1851, Charles telah berlayar ke Sungai Skrang, Saribas dan kemudian ke Sungai Rejang serta Sungai Kanowit dimana beliau telah mendirikan sebuah kubu. Kubu tersebut diletakan di bawah kawalan Abang Durop, saudara Datuk Patinggi Sarawak yang kemudiannya telah digantikan oleh seorang pegawai British bernama Henry Steele. Beliau merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan pada tahun 1852. Bermulanya Permasalahan di Sarawak Charles Brooke Masalah besar di Sarawak mula timbul pada 25 Jun 1859 apabila Charles Fox dan Henry Steele, dua orang pegawai Brooke di Bahagian Ketiga telah dibunuh di kubu Kanowit. Tokoh-tokoh utama di sebalik pembunuhan para pegawai Brooke itu adalah dua ketua masyarakat Melanau, Sawing dan Sakalai. Charles Brooke yang merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas kerajaan Brooke di Sarawak sewaktu ketiadaan ayah saudaranya bertindak dengan berang. Setelah menyiasat kejadian di Kanowit, Charles kembali ke Kuching dan bersumpah untuk membalas pembunuhan pegawai-pegawainya. Pada akhir Julai 1859, Charles kembali ke Rejang lalu menghukum mati 10 orang tempatan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele. Hukuman yang sama turut dikenakan ke atas lima orang pegawai yang telah meninggalkan tempat tugasan mereka di Kubu Kanowit sewaktu kejadian. Ketua pemberontak Sawing dan Sakalai serta para pengikut Melanau mendirikan benteng di Sungai Kabah, tidak jauh dari Kanowit. Charles Brooke telah melancarkan serangan ke atas mereka dengan bantuan masyarakat Iban tempatan. Rumah panjang berkubu masyarakat Melanau Kanowit diserang dengan banyak kematian menimpa kedua-dua belah pihak. Namun Sawing dan Sakalai berjaya melarikan diri ke arah kawasan Kayan di hulu Sungai Rejang. Charles Brooke yakin orang Kayan adalah kaum yang bermegah dan pembelot serta perlu diberikan pengajaran. Beliau berazam untuk menghukum orang Kayan kerana melindungi pembunuh-pembunuh pegawai beliau. Sejurus kembali daripada lawatan singkat ke Britain, Charles melancarkan Ekspedisi Besar Kayan pada 1863. Kayan Ekspidisi Besar Kayan 1863 Ekspedisi ini merupakan tindakan ketenteraan paling besar yang pernah dilakukan oleh keluarga Brooke. Angkatan Charles terdiri daripada 15,000 orang yang dimuatkan ke dalam 500 perahu besar. Kebanyakan orang yang terlibat dalam ekspedisi ini terdiri daripada orang Iban. Ekspedisi ini menembusi lebih dari 320km ke hulu sungai, melepasi jeram-jeram Pelagus dan Bakun. Walaupun saiz angkatan penyerang yang dan jarak yang diliputi adalah luas tetapi “Ekspedisi Besar Kayan” hanya menelan kos sebanyak £689 dalam mata wang tempatan. Ekspedisi ini tidak bertembung dengan masyarakat Kayan, tetapi telah mengakibatkan banyak kematian dan kemusnahan di kalangan orang Kajang (orang Sekapan, Kejaman, Lahanan dan juga Melanau) yang tinggal bertaburan di hulu sungai. Ramai wanita dan kanak-kanak terbunuh. Ekspedisi ini tidak berjaya menangkap Sawing dan Sakalai yang pada ketika itu mendapat perlindungan daripada orang Kayan yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Mereka berlindung bersama seorang lelaki bernama Talip yang juga dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele. Sebelum pulang ke Kuching, Charles Brooke telah memberi sebuah peluru meriam dan sehelai bendera Sarawak kepada salah seorang daripada orang tawanan mereka dengan arahan untuk menyerahkannya  kepada Oyang Hang, pemimpin masyarakat Kayan. Charles mahu pemimpin Kayan itu menyerahkan pembunuh-pembunuh Fox dan Steele kepadanya. Bendera Sarawak bertindak sebagai jaminan keselamatan terhadap wakil-wakil Kayan untuk tiba di kubu Kanowit. Jika tidak, ia akan dianggap bahawa masyarakat Kayan menerima peluru meriam yang merupakan simbol peperangan. Tidak lama kemudian, sebuah rombongan Kayan tiba di kubu Kanowit mengibarkan bendera Sarawak bersama dengan kepala Talip dan Sakalai yang dipenggal. Mereka tidak dibunuh oleh orang Kayan kerana tindakan ini bercanggah dengan adat  yang tidak akan mencederakan tetamu mereka. Talip dan Sakalai mungkin telah dibunuh oleh kaum Iban meskipun hal ini tidak pernah dibuktikan dalam sejarah. Sawing telah berjaya melarikan diri namun ditangkap dan diserahkan kepada kerajaan pada hujung tahun yang sama. Dayak Adat Hukuman, Pembelaan & Pembinaan Negara – Menurut Kolonialisme Masyarakat Kajang telah menjadi mangsa utama dalam ‘Ekspedisi Besar Kayan’ pada tahun 1863, dan mereka melihat ini sebagai tragedi akibat membantu saudara-mara dan rakan taulan dari Kanowit yang telah membunuh Fox dan Steele. Tiada siapa yang mengetahui setakat mana serangan yang dibiayai kerajaan ini telah mengganggu taburan penduduk di bahagian utara Sungai Rejang. Charles Brooke menyesali kekejaman pahlawan-pahlawan Ibannya, namun walaupun jika dia telah dimaklumkan, ia barangkali tidak akan mengubah apa-apa. Matlamat utama beliau ketika itu adalah untuk memastikan kelangsungan pemerintahannya di Sarawak. Beliau percaya kepentingan membela kematian Fox dan Steele bagi mengajar penduduk di sekitar Sungai Rejang bahawa penentangan terhadap kerajaan akan membawa kepada serangan balas yang tidak pernah ditempa dalam sejarah negara itu. Keluarga Brooke menganggap ‘Ekspedisi Besar Kayan’ sebagai sebuah fenomena dalam proses pembinaan negara. Menurut sejarah lisan orang Kayan dan Kajang, pertumpahan darah yang berlaku merupakan balasan mistik dek perlakuan zina Robert Burns. Mereka percaya kelakuan buruk itu akan mengakibatkan bencana alam yang meragut nyawa sekiranya pesalah tidak dihukum dengan sewajarnya. Orang Kayan mahu membunuh Burns tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Maka dengan itu, mereka membunuh Fox dan Steele kerana darah perlu mengalir untuk menyanggah balasan mistik ini. Apatah lagi Steele merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan selepas Burns menetap bersama mereka. Orang Kayan mahukan perbicaraan setempat untuk Burns. Menurut adat mereka, beliau akan diminta untuk memberi secuil darah dan membayar denda dalam bentuk manik dan penyembelihan seekor babi hutan – namun permintaan ini ditolak oleh Raja Putih. Hatta, akibat kekurangan sensitiviti terhadap kepercayaan dan adat tempatan, pembunuhan Fox dan Steele telah berlaku. Tambahan lagi, tiada penyiasatan rasmi dijalankan ke atas pembunuhan kedua-dua pegawai tersebut, tidak seperti pembunuhan J.W.W. Birch di Perak. Lagipun, para Raja Putih yang dianggap sebagai pemerintah bertamadun di Sarawak juga merupakan golongan penjajah yang  ingin memerintah dan membina sebuah sistem pentadbiran yang berlainan untuk negeri Sarawak yang baru diasaskan. *Dr. Shanthi Thambiah ialah seorang ahli antropologi sosial di Universiti Malaya yang mengkaji orang-orang asal di Malaysia *Millennium Markers ialah sebuah siri mingguan yang memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa yang membentuk Malaysia dan kawasan sekitarnya sepanjang lebih 1,000 tahun yang lepas ]]>

Masuk Islam, bukan Masuk Melayu

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Baru-baru ini, saya menulis beberapa makalah yang secara khusus menyentuh Perkara 153 (Kedudukan Istimewa Orang Melayu) dan Perkara 160 (definisi “orang Melayu”) dalam Perlembagaan Persekutuan. Turut disentuh mengenai Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957 di mana wasiat itu turut menggariskan perkara berkaitan status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu. Makalah-makalah berkenaan adalah “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Ketuanan Rakyat dan Bangsa Malaysia” (Roketkini, 26 Februari 2013), “Hidayah Bangga Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013) dan “Kami Tidak Manuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013). [caption id="attachment_1565" align="alignleft" width="150"]Mohd Hafiz Andrew sempat mengunjungi sebuah kuil di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Mohd Hafiz Andrew sempat mengunjungi sebuah kuil di Bukit Bendera, Pulau Pinang.[/caption] Saya memang sudah menjangkakan reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Bagaimanapun, memandangkan niat saya adalah untuk membuka minda orang ramai untuk berdialog dan berbincang secara terbuka mengenai pelbagai perkara yang sebelum ini (mungkin) dianggap sensitif, maka saya menerima kesemua komen dengan gembira. Persoalan paling asas yang menghantui fikiran ramai selepas membaca makalah-makalah berkenaan adalah pertanyaan sama ada seorang individu Bukan Melayu yang memeluk Islam akan lebih gemar menukar identitinya menjadi “orang Melayu” atau tetap berbangga untuk mengekalkan jati diri, budaya dan keunikan keturunan asalnya. Seorang rakan, Azmal Narawi (Azuma) yang berasal dari Kelantan dan kini tinggal di Batu Caves, Selangor menghantar pautan bagi petikan dari Kitab Riyadh as-Solihin berkaitan topik hubungan silatulrahim dengan ibu bapa berlainan agama. Hadis yang dipetik adalah daripada Riwayat Bukhari dan Muslim. Dalam huraian Hadis itu antara lain dijelaskan bahawa Islam menyusuh umatnya menghubungi ibu walaupun ibu itu bukan seorang Islam; hubungan anak dengan ibu adalah kekal walaupun berlainan agama dan kepercayaan; serta harus mengekalkan silatulrahim dengan keluarga asal (Bukan Islam) selagi mereka tidak memerangi Islam. Bagi seorang guru, Mohd Hafiz Andrew Hafiz yang berasal dari Pahang dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), walaupun sudah mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam, beliau menegaskan: “Aku kekalkan kaumku.” Seorang lagi individu India-Muslim yang saya kenali sejak Ogos 2011 ialah Haji Effendy Abdullah yang tinggal di Johor Bahru. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa bahawa pada bahagian “religion” (agama) di Facebook, beliau menulis “Good Muslim” (Umat Islam yang Baik). “Islam adalah satu agama yang tidak dihakmiliki oleh mana-mana kaum, etnik atau bangsa; sebagaimana juga agama Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan sebagainya. Apabila seseorang memeluk agama Islam, orang itu hanya bertukar agama sedangkan kaum, keturunan atau etnik asalnya akan kekal hingga akhir hayat,” katanya. Effendy turut menceritakan daripada pengalamannya bahawa pada musim haji di Mekah, penganut Islam yang paling ramai adalah dari negara-negara seperti India, China, Pakistan, Bangladesh, Turki, Afrika dan Rusia. Tidak ambil kesempatan atas Perkara 160 “Jemaah haji dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand adalah relatif sedikit berbanding bangsa lain. Dalam isu yang dibincangkan pula, istilah ‘masuk Melayu’ adalah tidak betul sama sekali. Saya lahir dalam keluarga kaum India sebelum memeluk Islam. Saya tetap kaum India dan tetap juga mengikut hukum syarak Islam,” katanya. Pesara ini turut menegaskan: “Saya tidak akan menjadi Melayu dan saya juga tidak mahu menjadi Melayu.” [caption id="attachment_1566" align="alignright" width="150"]Pasangan Effendy dan Rohani hidup bahagia bersama keluarga. Pasangan Effendy dan Rohani hidup bahagia bersama keluarga.[/caption] Turut berkongsi pendangan itu adalah isterinya, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan. Novelis ini juga sentiasa sedar dan akur pada hakikat bahawa lelaki yang menjadi pasangan hidupnya adalah lelaki kaum India beragama Islam. “Ramai yang terlupa bahawa Islam itu agama manakala Melayu itu kaum. Islam adalah milik semua makhluk yang Allah berikan hidayah dan petunjuk. Jadi, agama Islam bukan milik mutlak orang Melayu sebagaimana disangka pihak tertentu,” kata Rohani yang juga amat mesra dengan adik-beradik iparnya yang beragama Hindu. Apa yang amat unik mengenai Rohani adalah bahawa sejak berkahwin, dia sentiasa menjaga, menghormati dan melayan ibu mentuanya dengan penuh kasih walaupun mereka berlainan kaum dan agama. Saya melihat tindakan Rohani sebagai “dakwah positif” yang mampu memberikan gambaran tepat mengenai ajaran sebenar dalam Islam. “Jika seseorang itu dilahirkan dalam keluarga kaum Cina, maka tetaplah itu kaumnya sampai ke hujung nyawa. Sekiranya individu itu memeluk agama Islam, apa yang perlu ditukar hanyalah sedikit cara hidup sekiranya didapati bertentangan dengan lunas dan ajaran agama Islam. Akan tetapi, perlu saya tegaskan bahawa seseorang itu tetap orang Cina, India, Portugis, Belanda, Iban atau apa sahaja walaupun selepas memeluk Islam,” tegas penulis sepenuh masa ini yang antara lain menghasilkan novel Jihad Mardina (2012). Wajar juga dinyatakan bahawa Effendy dan Rohani adalah pasangan suami-isteri. Sepanjang saya mengenali mereka, pasangan itu tidak pernah cuba mengkategorikan Effendy sebagai “orang Melayu” walaupun beliau layak mengikut Perkara 160. Perkara seperti ini tentulah berbeza dengan realiti yang dapat kita perhatikan sendiri di sekeliling kita saban hari. Malah, siri artikel saya mengenai topik “Melayu” tercetus berikutan insiden Ridhuan Tee Abdullah (nama asal: Tee Chuan Seng) menulis rencana bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013). Saya ada menulis makalah bertajuk “Antara Konvoi Rumah Ibadat dan Ultra Kiasu” (Projek Dialog, 19 Februari 2013) dan kenyataan media “Ridhuan Tee Perlu Didakwah” (Projek Dialog, 24 Februari 2013). Antara isi penting yang disentuh adalah mengenai individu “Bukan Melayu” yang memeluk agama Islam dan segera menganggap dirinya “lebih Melayu daripada orang Melayu”. Sekali gus, tindakan “ultra kiasu” mereka mencemarkan nama baik orang Melayu (tulen) dan kesudian agama Islam. [caption id="attachment_1567" align="alignleft" width="150"]Anak-anak buah Anim Sri Mastika daripada suku Dusun-Bajau. Anak-anak buah Anim Sri Mastika daripada suku Dusun-Bajau.[/caption] Menyentuh topik perbincangan yang berkaitan, Zuraimi Baharum @ Bani Omar tampil dengan pandangan berikut: “Rasa-rasanya Islam di Malaysia tidak berkembang kerana Islam telah diMelayukan; selain akhlak yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri, terutamanya orang Melayu-Islam.” Seorang lagi individu yang mengemukakan pandangan serta berkongsi pengalaman ialah Anim Sri Mastika Yunus, seorang etnik Bajau dari Sabah yang sejak turun-temurun sudah beragama Islam. Beliau yang berasal dari Kota Marudu sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaysia Sabah serta kagum dengan pandangan politik Nabi Muhammad. Kita sepatutnya meraikan kepelbagaian “Dahulu, ketika datuk saya dari suku Dusun memeluk agama Islam, beliau tidak disebut sebagai ‘masuk Islam’ atau ‘masuk Melayu’ tetapi ‘ne kesama’ iaitu ‘masuk Bajau’. Di Sabah, suku Dusun, Murut dan Rungus antara suku/etnik yang secara keturunan beragama Kristian atau pagan,” kata Anim yang turut menguasai bahasa suku Dusun dan Bajau. Beliau adalah anak kacukan Bajau-Dusun. Keturunan bapanya suku Dusun tetapi apabila datuknya memeluk Islam, maka keturunan itu turut mula dikenali sebagai orang Bajau (ne kesama). “Walau bagaimanapun, saya bangga jika dikenali sebagai orang Dusun – bukan Bajau, bukan Melayu. Hal ini kerana asal-usul saya secara biologi dan genetik memang suku Dusun sebelum datuk masuk Islam dan ‘masuk Bajau’. Saya rasa konsep ‘masuk Bajau’ berlaku akibat kurang pengetahuan dan keadaan masyarakat pada zaman datuk saya,” kata Anim. Rosihan Amri Md Zakaria, seorang guru di Pulau Pinang juga berkongsi pandangan dan hujah menerusi dialog yang berlaku dalam keadaan positif dan membuka minda. [caption id="attachment_1568" align="alignright" width="150"]Buku ini amat sesuai dijadikan bahan “dakwah diri” bagi orang Islam. Buku ini amat sesuai dijadikan bahan “dakwah diri” bagi orang Islam.[/caption] “Saya seorang Melayu-Islam. Namun, saya merasakan stigma orang Melayu yang mendesak ‘saudara baru’ atau ‘mualaf’ mengikut sepenuhnya budaya Melayu dan menggunakan nama Melayu adalah salah sama sekali. Kita sepatutnya meraikan kepelbagaian kaum dan budaya; bukannya mengamalkan pemahaman yang sempit iaitu ‘Melayu adalah Islam’ dan ‘Islam adalah Melayu’,” kata guru itu yang tinggal di Sungai Petani. Pandangan yang dikongsikan oleh rakan-rakan ini membuktikan bahawa kebanyakan masyarakat menyedari perbezaan antara “Melayu” dan “Islam”. Malah, apabila seseorang “masuk Islam” tidak semestinya bermakna “masuk Melayu”. Malangnya masih ada puak yang tidak tahu atau berpura-pura tidak tahu. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa ada juga puak yang sengaja mengiktiraf dirinya “masuk Melayu” supaya boleh menjadi “orang Melayu” mengikut takrif Perkara 160 dan seterusnya “merampas” hak berupa kedudukan istimewa yang sebenarnya diperuntukkan untuk kaum Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu. Semasa menyertai Konvoi Rumah Ibadat Seremban pada 17 Februari 2013, saya turut menerima cenderamata daripada Pertubuhan IKRAM Negeri Sembilan dan Hidayah Centre Negeri Sembilan. Cenderamata itu adalah sebuah buku berjudul Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir. Saya sangat berminat membaca buku terbitan Telaga Biru itu yang disusun secara komprehensif dan mudah dirujuk; khususnya bagi orang Islam (termasuk mualaf) dalam hubungan mereka dengan orang Bukan Islam (termasuk keluarga asal). Puak ultra kiasu, etnosentrik dan fanatik yang tidak mampu atau tidak mahu membezakan antara “Melayu” (kaum) dan “Islam” (agama) amat wajar membaca buku ini sebagai suatu “dakwah diri” yang amat berguna dan pasti menginsafkan. Langkah ini amat wajar bagi memastikan mereka tidak terus “sesat” dan meneruskan “dakwah negatif” yang memberikan gambaran tidak benar mengenai Islam kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

]]>