Oleh Sharifah Nursyahidah
Saat saya mengamati semula suasana sekolah yang telah saya tinggalkan lapan tahun lepas untuk membandingkan dengan apa yang ada sekarang, barangkali tiada bezanya.
Saya merasakan sekolah itu tetap sama, tidak lebih dari sebuah institusi yang memaksakan manusia.
Bahkan, saya kira loceng dan pagar yang mengelilingi kawasan sekolah sebagai simbol pemenjaraan, kerana ia begitu tekun mengatur pelajar-pelajar untuk akur kepada arahan.
Mungkin kelainannya adalah sebelum memasuki penjara sebenar, individu-individu perlu disabitkan bersalah, namun di sekolah para pelajar telah dibentuk untuk menjadi pesalah kepada kehidupan mereka sendiri.
Saya tidak bermaksud untuk merendahkan institusi sekolah, namun hal-hal tentang proses persekolahan tidak ada debat, kritik dan gugatan sehingga lebih mengarah kepada dehumanisasi.
Ini jelas ketara, sebagaimana yang dibahaskan dalam buku yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir, “Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang”.
Isu Utama dalam Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang
Buku ini mengandungi pelbagai bahagian, satu himpunan tulisan beliau di bermacam media seperti di The Malaysian Insider dan Projek Dialog.
Kalau diperhatikan, tulisan-tulisan beliau ada yang usianya sudah dua tiga tahun yang lepas namun isu-isunya masih segar kerana inilah hakikat yang sedang berlaku di negara kita, khususnya kepada anak-anak muda kita.
Saya tertarik apabila beliau memulakan buku ini dengan mengambil kata-kata Pramoedya Ananta Toer, “apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajar mana yang benar, dan mana yang tidak…”.
Beliau mengakhiri buku ini dengan bab Kritik Teater. Mungkin ada yang tertanya mengapa soal seni dan sastera diselitkan sekali dalam buku yang tajuknya cenderung kepada pendidikan.
Maka telahan saya, tema sebenar buku ini bukanlah semata-mata pendidikan yang mengongkong, namun konteks yang lebih luas seputar permasalahan politik, ekonomi dan sosial melalui perkaitannya dengan persoalan kelas, budaya, etika dan macam-macam lagi.
Ringkasnya, beliau cuba untuk menerangkan hegemoni, penindasan dan dominasi sebagaimana yang diketengahkan oleh Gramsci.
Ini kerana saya perhatikan peraturan dan dasar yang ditekankan oleh State (negara) banyak mendasari tulisan beliau, seolah-olah beliau berpendapat bahawa ianya satu ketidakadilan kepada masyarakat, khususnya AUKU dan HEP.
Ia banyak kali diulang dalam tulisan beliau, kerana realitinya dasar-dasar ini melibatkan anak-anak muda yang telah menyebabkan mereka menjadi tidak luwes dan tiada daya memainkan peranan dalam hal-hal masyarakat.
Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan beliau. Ini kerana anak-anak muda adalah suara rakyat, terutamanya mahasiswa kerana mereka adalah cerminan dan perwakilan rakyat.
Ilmu yang mereka miliki seharusnya berupaya untuk menentang apa-apa penganiayaan oleh para penguasa.
Satu kesia-siaan sekiranya mahasiswa hanya duduk dalam kelas belajar semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut di luar kampus.
Maka, tidak akan ada proses perkembangan diri di sini. Mereka hanya menerima tanpa mengamal.
We Don’t Need No Thought Control
Melewati keseluruhan buku ini, saya berterusan teringat petikan lirik lagu Pink Floyd – Another Brick in the Wall:
“We don’t need no education, We don’t need no thought control, No dark sarcasm in the classroom, Teachers leave them kids alone, Hey teacher leave them kids alone, All in all it’s just another brick in the wall, All in all you’re just another brick in the wall…”.
[“Kita tak perlu pendidikan, Kita tak perlu pengawasan fikiran, Tiada sindiran gelap di kelas, Guru biarkan saja murid-murid itu, Hai guru biarkan saja murid-murid itu, Semua ini hanya satu lagi batu-bata di dinding, Sebenarnya kau hanya satu batu-bata di dinding”]
Saya meyakini bahawa hakikat tujuan pendidikan adalah untuk membangun diri sendiri tanpa dikawal mahupun dikongkong oleh mana-mana pihak.
Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan lain-lain merupakan contoh individu yang berjaya melepaskan dan membebaskan diri dari sistem pendidikan yang membelenggu.
Benar, mereka hanyalah sebuah sosok. Pandangan mereka mungkin tidak mewakili rata-rata segmen masyarakat kita yang masih lagi kebiasaan “apa” dan bukannya “kenapa”.
Namun begitu mereka berhasil melontarkan sikap dan tindakan yang dipercayai benar dengan sendirinya tanpa menurut membabi buta.
Ini kerana pendidikan seharusnya bersifat membebaskan.
Ia berperanan besar untuk membentuk peribadi, pemikiran dan perilaku manusia supaya memahami dan dapat bertindak balas terhadap isu-isu sekitar nilai sejati kemanusiaan yang harus dipelihara.
Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia cuma melahirkan produk-produk yang menjadi ‘pengikut buta’ ataupun ‘pak turut’.
Lebih-lebih lagi dengan campur tangan politik para penguasa di sekolah serta universiti yang mengganggu keharmonian dan makna sebenar pendidikan.
Sekiranya dibuat kajian, pasti ramai yang menyatakan perasaan tidak senang tentang institusi pendidikan yang telah merenggut kebebasan fikiran mereka.
Namun berbalik kepada soal AUKU tadi, saya juga percaya bahawa sebahagian besar mahasiswa kita langsung tidak pernah membaca keseluruhan isi undang-undang tersebut, sama ada mereka menyokong mahupun menentangnya.
Sastera: Kelas kedua?
Dalam bab Pendidikan Nasional, penulis turut menyatakan “keanehan” pengasingan murid kepada sistem berdasarkan sains dan sastera di sekolah.
Kelas Sains terhad kepada murid-murid pandai sahaja, sementara kelas sastera khusus kepada mereka yang bukan dalam kategori tersebut.
Maka secara tidak langsung, mereka telah diletakkan dalam kelas kedua, ketika layanan yang lebih baik diberikan kepada pelajar-pelajar sains. Mereka dilihat eksklusif berbanding dengan pelajar yang mengambil sastera.
Pernyataan Zul Fikri Zamir ini bukan omong-omong kosong.
Saya teringat pengalaman saya dahulu seusainya keputusan peperiksaan PMR. Saya ingin memohon kelas sastera kerana minat saya yang amat dalam bidang itu.
Walau bagaimanapun, ada guru di sekolah saya yang menegur dan menyuruh saya memohon kelas sains, dengan alasan bahawa tiada apa-apa yang dapat diperoleh di kelas kedua itu. Saya hairan, bukankah sastera juga ilmu?
Apakah sekolah memang didirikan untuk tujuan peperiksaan dan industri kerja semata-mata, bukannya makna ilmu itu sendiri yang bermatlamat memberikan pencerahan?
Lantaran saya yang ketika itu lurus sangat, saya akur kepada keputusan guru saya, bukannya saya.
Sejarah dan Kebenaran
‘Sejarah ditulis oleh mereka yang menang‘.
Kata-kata sinis ini menggambarkan keadaan sejarah yang ditulis cuma dari satu perspektif sahaja, tanpa menimbang keseluruhan cerita ataupun peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau.
Lebih-lebih lagi apabila penulisan tersebut hanya menyebelahi golongan yang memiliki kuasa semata-mata.
Mereka hanya menceritakan hal yang baik-baik sahaja tentang mereka, memanipulasi fakta-fakta yang ada supaya rakyat terus mempercayai kemegahan yang dibuat-buat oleh mereka.
Nah, perkara ini saya kesan dalam tulisan penulis apabila beberapa kali beliau menulis tentang “55 tahun Malaysia merdeka”.
Zul Fikri Zamir menulis tentang institusi pendidikan yang tenat namun dalam tidak sedar, beliau turut masih terperangkap dalam sejarah yang tidak jujur ini.
Pernyataan ini tidak betul sebenarnya kerana kemerdekaan 31 Ogos 1957 hanya untuk Tanah Melayu sahaja, manakala Sabah atau Borneo Utara ketika itu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963.
Hanya selama 2 minggu Sabah berdiri sebagai sebuah negara kerana penyatuan bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 telah membentuk sebuah negara yang baru, yakni Malaysia.
Seusainya saya meneliti buku ini, saya rasa puas kerana ia membuatkan saya rasa terkesan. Saya kira buku ini harus dibaca oleh semua, khususnya bakal pendidik dan pendidik.
Saya begitu kagum dengan gerakan Teach For the Needs yang dipelopori oleh penulis sendiri dan rakan-rakannya.
Saya percaya ia satu-satunya gerakan di negara ini yang dekat dengan saranan pedagogi kaum tertindas yang dibawa oleh Freire.
Saya berharap ia dapat diluaskan lagi kepada lingkungan anak-anak gelandangan, petani, nelayan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai ruang dan peluang menghadiri sekolah.
Ia tidak harus dibataskan kepada para murid yang kurang berkemampuan menghadiri kelas tusyen sahaja kerana ‘needs’ (keperluan) yang sebenar harus dapat dimaknai sebetul-betulnya.
Inilah kebenaran pendidikan. Untuk semua.
Bak kata John F. Kennedy, “the goal of education is the advancement of knowledge and the dissemination of truth” [“matlamat pendidikan adalah kemajuan ilmu dan penyebaran kebenaran”].
Dan ya, kalau Zul Fikri menyambung kiasan Buya Hamka ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja’ dengan;
‘Kalau mahasiswa setakat belajar,
lembu di padang juga belajar’
Izinkan saya pula untuk menambah;
‘Kalau guru cuma mengajar,
Ketam di darat juga mengajar’
(Selain mengajar untuk berjalan, ketam juga mengajar untuk bekerjasama!)
[Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 1 Julai 2013]
Mahasiswa Pasca ‘Listen, Listen, Listen’
Oleh Zul Fikri Zamir
“Be curious. Read widely. Try new things. I think a lot of what people call intelligence just boils down to curiosity.”
– Aaron Swartz (1986-2013).
Swartz, pengasas bersama Reddit.com, bertanggungjawab mencipta kod RSS ketika berumur 14 tahun. Dia kemudiannya memimpin Demand Progress, pertubuhan aktivis yang mencabar undang-undang anti cetak rompak SOPA/PIPA yang dirangka oleh US Congress. Pada 2008, beliau mencipta sebuah program yang membolehkan orang awam memuat turun sehingga 20 juta fail dari laman PACER dan sekitar 4.8 juta fail akademik dari laman Jstor secara percuma. Beberapa hari yang lalu, saya menulis sebuah surat terbuka kepada saudari Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin. Saya menulis kerana rasa sedih terhadap perkembangan dunia akademik serta hak mahasiswa yang telah dilanggar dengan begitu angkuh sekali. Dan perkara yang membuatkan saya paling kecewa ialah kerana ribuan mahasiswa Melayu-Islam bertepuk tangan ketika hak seorang mahasiswa India untuk bertanya dan memberikan pendapat dinafikan dengan cara yang paling naif sekali. We Are All Sharifah Zohra Untuk mereka yang membaca lapis makna diantara surat tersebut, mereka akan dapat memahami tujuan saya menulis surat tersebut. Saya menulis bukan dengan niat untuk menanti balasan dari saudari Sharifah atau mahukan surat tersebut dibaca oleh beliau. Saya menulis dengan harapan mahasiswa akan bangkit dan sedar dari penjara indoktrinasi ideologi yang selama ini memenjarakan mereka. Insiden ‘Listen, Listen, Listen’ ini sebenarnya bukan isu baharu. Semenjak Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan AUKU pada 1971, sistem ‘Listen, Listen, Listen’ ini dipasangkan ke dalam minda kita tanpa sedar. Hasilnya setelah 40 tahun indoktrinasi, ciri-ciri seperti ‘bongkak’, ‘tidak peduli’ dan ‘menurut arahan’ memang telah menjadi sebahagian dari budaya dan DNA kita. Foucault di dalam makalahnya ‘Discipline & Punish: The Birth of the Prison’ (1975) menyatakan tentang kesan utama ‘Panoticism’ialah untuk memastikan banduan kekal dalam keadaan sedar tentang fungsi automatik kuasa ke atas mereka. Di dalam penjara berbentuk ‘Panoptic’ (mengambil konsep Jeremy Bentham), banduan sedar diri mereka diperhatikan melalui menara tanpa mengetahui siapa di dalam menara tersebut. Foucault menegaskan penjara sebagai mekanisme disiplin paling penting untuk meng-ilustrasikan disiplin sebagai alat kepada kuasa. Melalui operator menara yang dikenali sebagai ‘anonymous power’, mekanisme pemantauan kekal tidak dikenali seterusnya memastikan projek ini efisien. Realitinya di Malaysia, saya melihat menara sebagai Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti, operator menara sebagai Menteri dari Kementerian Pengajian Tinggi serta model penjara ‘panopticon’ sebagai AUKU dan mahasiswa kekal berada di dalam sel-sel penjara. Tidak sukar untuk membuktikan perkara ini. Buka Facebook dan selongkar akaun rasmi persatuan mahasiswa universiti tempatan. Perbincangan mereka seringkali berkisar soal parking, asrama, harga makanan di cafetaria ataupun kursus kahwin. Untuk aktivis peringkat lebih tinggi, mereka berpolitik partisan pula. Saya tidak katakan perkara ini tidak bagus, tetapi mahasiswa harus sedar bahawa masyarakat lebih memerlukan mereka ketika mereka sibuk berpersatuan untuk mengadakan kursus kahwin. Ironi bukan? Tidak gemar orang lain menyuarakan pendapat, tidak gemar perbahasan berat, sukakan perkara remeh temeh seperti ‘kucing ada masalah, anjing boleh menggonggong’ serta tidak suka mendengar pendapat orang lain; kita semua sebenarnya sama seperti Kak Listen. We Are All Sharifah Zohra. ‘Slacktivist’ & Budaya pop Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah gambaran kecil kepada masalah besar isu kebebasan akademik dan mahasiswa. Masyarakat lebih gemar menuntut permohonan maaf dari saudari Sharifah daripada melihat kepada 2300 mahasiswa lain yang berada di dalam dewan dan bertepuk tangan. Kita bersikap reaktif lebih pantas daripada kita muhasabah sikap dan masalah kita sendiri. Dalam situasi ini, apa gunanya jika saudari Sharifah membuat permohonan maaf sekalipun? Apakah selepas itu aktivis Twitter, pejuang Facebook dan semua ‘slacktivist’ ini akan kembali melayari laman Zalora.com, berkongsi fakta kucing melalui butang ‘share’ atau sibuk ketawa dengan 9gag.com dan kembali tidak peduli kepada masalah asas ketidakpedulian di kalangan mahasiswa? Anak muda hanya mengambil kesempatan terhadap isu-isu sebegini untuk mensensasikan keadaan tanpa mengambil pengajaran darinya. Bermula dari insiden Adam Adli, demonstrasi mansuhkan PTPTN sehingga isu Kak Listen, hampir tiada satu gerakan terancang dijalankan oleh mahasiswa untuk mengubah norma dan cara berfikir di kalangan mahasiswa. Sampai bila mahasiswa akan terus-terusan mabuk dilambung ombak budaya pop sebegini? Projek Dialog vs Projek Pembodohan Penting sekali agar isu Kak Listen vs Bawani ini diperhalusi oleh setiap pemimpin mahasiswa di peringkat universiti serta gerakan-gerakan mahasiswa bersifat partisan atau non partisan dari segi ideologi dan ‘substance’ lebih dari bentuk material yang mereka lihat. Penghinaan fizikal yang dialami oleh Bawani sebenarnya menggambarkan betapa rancu dan rosaknya sistem hak asasi yang selama ini dipegang oleh pihak berkuasa dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka. Mahasiswa harus melihat isu ini dari sudut ‘the oppressed and the oppressor’ [yang tertindas dan yang menindas]. Paling penting indoktrinasi yang melibatkan penderaan mental ini akan menyebabkan mahasiswa tidak boleh berfikir sendiri sehingga sanggup menepuk tangan beramai-ramai ketika pendapat rakannya diperlekehkan. Paling serius, idea pendidikan percuma Bawani diperlekeh hanya menggunakan analogi haiwan 1 Malaysia, di dalam institusi pengajian tinggi dengan tepukan dan sorakan dari rakan-rakannya – ‘the so called intellectual’! Pemimpin mahasiswa sedia ada mempunyai kerja berat di bahu mereka iaitu untuk mengubah sudut pandang mahasiswa dan rakan mereka yang lain dahulu sebelum bergerak ke tahap seterusnya. Saya mendengar ura-ura gerakan mahasiswa yang akan bertanding di Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Tanpa memperlekehkan niat dan stamina yang dipunyai mereka, saya berpendapat pemimpin dan gerakan mahasiswa harus mengupayakan mahasiswa lokal untuk turun ke bawah dan melihat masalah masyarakat dahulu. Perbincangan dan dialog intelektual harus segera dilaksanakan membabitkan isu ekonomi, sosial serta pelbagai masalah merangkumi budaya dan golongan terpinggir. Selain berjuang untuk hak mahasiswa, mereka terlebih dahulu harus fokus isu dalam iklim ‘politic of fear’ dan ‘politic of patronage’ ini untuk memastikan mereka dilihat non-partisan serta berjuang untuk masyarakat. Projek-projek pembodohan harus segera diubah kepada projek dialog membabitkan isu perkauman, agama dan golongan marginal. Sebelum bertanding mereka harus segera memastikan golongan mahasiswa mengurangkan menonton Adam dan Hawa ataupun fanatik membaca Harian Metro. Zaman autoritarian Mahathirisme telah lama berakhir. Mahasiswa harus segera bangkit dengan melihat diri mereka sendiri , melihat kepada bahan bacaan dan membina ideologi yang mantap sebelum keluar berjuang. Dengan bantuan media digital seperti Facebook dan Twitter, tidak mustahil mahasiswa mampu bangkit sebagaimana yang telah dibuktikan oleh mahasiswa luar seperti Revolusi Jasmin. Mahasiswa juga tidak perlu menunggu Fahmi Reza untuk masuk ke dalam universiti dan mendengar ucapan beliau sebelum berubah. Mengapa tidak ada seorang Fahmi Reza-pun di kalangan mahasiswa sendiri? Mengapa tidak ada 10 atau 100 Adam Adli di kalangan mahasiswa sedia ada kini? Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, Bawani hanyalah sosok. Yang diperlukan kini ialah 1000 atau 10,000 Bawani yang akan lahir dari sistem baharu pasca insiden Kak Listen. Individu seperti Aaron Swartz, Mark Zuckerberg, Steve Jobs atau Bill Gates mengubah dunia tanpa memikirkan CGPA mereka. Swartz ‘drop-out’ dari Stanford University selepas setahun pengajian, kemudiannya menjadi felo di Harvard University. Malangnya mahasiswa di Malaysia asyik dan sibuk berfikir untuk ‘meluluskan’ diri dari universiti sehingga terlupa dunia berubah tanpa penglibatan mereka. Foucault kemudian menegaskan rekabentuk ‘Panoptic’ ini boleh digunakan terhadap apa jua bentuk populasi termasuk sekolah, pesakit di hospital ataupun pekerja; “If the inmates are convicts, there is no danger of a plot, an attempt at collective escape, the planning of new crimes for the future, bad reciprocal influences; if they are patients, there is no danger of contagion; if they are madmen there is no risk of their committing violence upon one another; if they are schoolchildren, there is no copying, no noise, no chatter, no waste of time; if they are workers, there are no disorders, no theft, no coalitions, none of those distractions that slow down the rate of work, make it less perfect or cause accidents” ]]>