Projek Dialog

Pelan Tindakan Rabat & Ungkapan Kebencian

Gambar: Socialnomics.net Gambar: Socialnomics.net[/caption] Kebebasan Bersuara, Ungkapan Kebencian & Penyalahgunaan Undang-undang Dalam era serba moden ini, kita tidak terlepas daripada mengungkapkan segala sesuatu terutama di laman media sosial. Kebebasan bersuara dan berekspresi ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai sempadan. Manusia tidak kisah apa jua latar belakang bebas bersuara tentang pelbagai perkara sama ada komen terhadap berita media, menyebarkan dakyah ideologi, menjaja kisah hidup peribadi atau meraikan keluarga dan rakan-rakan. Ada juga yang berjenaka, menyebarkan imej-imej serta video berunsur nasihat mahupun “menyerang” apa-apa yang dilihat tidak enak atau tidak selari dengan pendapat peribadi individu yang terasa. Tidak kurang hebatnya dalam era demokrasi ini, rakyat Malaysia sejak tahun 1998 dilihat semakin berani bersuara melalui demonstrasi dengan mempertahankan ideologi politik dan agama, membantah penindasan hak-hak tertentu dan melakukan tuntutan bagi sesuatu tujuan. Meskipun demikian, kebebasan bersuara mahupun berekpresi ini juga boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian. Di Malaysia, undang-undang yang boleh digunakan untuk mencegah ungkapan kebencian amat terhad seperti Seksyen 298 dan 298A dalam Kanun Keseksaan. Malangnya, penguasaan undang-undang masih dilihat meragukan meskipun kerajaan meminda akta seperti Akta Hasutan 1948. Tambahan pula, ada akta baru yang diperkenalkan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikenali sebagai SOSMA dan terkini Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Rakyat dapat menilai sendiri bagaimana akta tersebut diguna pakai. Ia bukanlah untuk membela suara minoriti mahupun mengekang kebencian tetapi lebih kepada memelihara kepentingan pemerintah dengan menghalang suara-suara sumbang yang mengkritik kerajaan. [caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]Gambar: Clarespark.com Gambar: Clarespark.com[/caption] Apa itu Pelan Tindakan Rabat?[1] Pelan Tindakan Rabat merupakan dokumen praktikal bagi membendung kebencian dalam bersuara. Beberapa siri bengkel telah diadakan di pelbagai negara oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) bagi mendapatkan penilaian menyeluruh dari pakar-pakar dalam hal ini. Ia merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar yang berkait dengan advokasi terhadap kebencian nasional, kaum atau agama yang membawa diskriminasi, permusuhan dan keganasan  di peringkat nasional dan serantau. Sudah tentu ia berusaha untuk mengekang ungkapan kebencian yang melampau, tanpa menjejaskan kebebasan berekspresi sebagaimana yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Siri bengkel ini berakhir di Rabat, Maghribi pada 4 dan 5 Oktober 2012 bagi menghasilkan analisa perbandingan bagi dapatan setiap bengkel sebelumnya. Hasilnya, bengkel tersebut mengenal pasti tindakan bagi setiap peringkat dan untuk merangka langkah terbaik serta alat bagi perkongsian pengalaman. Ringkasnya, kunci utama pelan tersebut adalah untuk menghalang sebarang hasutan kebencian secara tanggungjawab bersama daripada kakitangan kerajaan, pemimpin agama mahupun komuniti, media dan individu. Justeru, adanya keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, tolak ansur, hormat-menghormati dan dialog antara agama/budaya. [caption id="attachment_5366" align="aligncenter" width="559"]Gambar: Hma-rekan.com Gambar: Hma-rekan.com[/caption] Ungkapan Kebencian yang Menjadi Jenayah Dalam hal ini, Pelan Tindakan Rabat mencadangkan ujian penentuan enam bahagian untuk ekspresi/ungkapan yang dianggap sebagai kesalahan jenayah:

  1. Konteks – konteks adalah amat penting apabila menilai jika kenyataan tertentu mungkin dilihat sebagai hasutan ke arah diskriminasi, permusuhan atau keganasan terhadap kumpulan sasar;
  2. Pembicara – kedudukan atau status pembicara dalam masyarakat perlu dipertimbangkan, terutama kedudukan individu dalam konteks khalayak yang ditujukan ungkapan tersebut;
  3. Niat – Artikel 20 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mensyaratkan niat jenayah sebagai penentu. Ia termasuklah “sokongan” atau “hasutan” dan bukannya pengagihan atau pengedaran bahan semata-mata;
  4. Kandungan dan bentuk – Kandungan ungkapan itu perlu menjadi tumpuan penentuan, pada tahap mana ia provokatif dan juga bentuk, gaya dan jenis hujahnya;
  5. Takat pengungkapan – Sejauh mana capaian ungkapannya, sama ada ia umum atau peribadi, saiz khalayak, kemampuan penyebarannya dan sama ada khalayak berupaya untuk bertindak atas hasutan itu;
  6. Kemungkinan, termasuk kesegeraan – Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada terdapat kemungkinan munasabah bahawa ungkapan tersebut mampu menghasut tindakan sebenar terhadap kumpulan sasaran.
Menangani Perbezaan Sejarah mengajar kita untuk menjadi dewasa. Itulah pendirian yang wajar diambil bagi menilai kewajaran meraikan kebebasan bersuara dan pada masa yang sama mengekang ungkapan kebencian. Ingkatkah kita pada kulit depan akhbar Utusan Malaysia yang menyelar agenda “Kristian agama rasmi?” Bagaimana pula dengan paparan status Facebook Alvin Tan dan bekas kekasihnya Vivian Lee yang mempersenda bulan Ramadhan melalui gambar mereka menikmati bah kut teh? Tidak kita lupa dengan Dato Ibrahim Ali yang menghasut ahli PERKASA agar membakar Alkitab Bahasa Malaysia yang tertera penggunaan kalimah Allah. Himpunan HINDRAF yang menuntut keadilan bagi pihak penganut Hindu sebaliknya menuduh kerajaan pimpinan UMNO-BN melakukan pembersihan etnik yang mengundang kemarahan kaum Melayu. Ada banyak lagi peristiwa yang berlaku di negara ini yang perlu dikaji dan dijadikan pengajaran bahawa kebebasan bersuara tanpa memikirkan sensitiviti norma masyarakat, kaum serta agama akan mengundang tindak balas. Namun, pada masa yang sama itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyakiti individu yang bersuara tersebut. Cukuplah dengan membidas, memprotes atau membalas hujahnya. Atau diabaikan. Jawapannya bukan pada keganasan. Terutama sekali, hak individu, lebih lagi yang “minoriti” serta “berbeza” wajar diberi perhatian agar tidak ditindas mahupun didiskriminasi. [caption id="attachment_5367" align="aligncenter" width="470"]Gambar: Steve Morrish.com Gambar: Steve Morrish.com[/caption] Menilai Kemungkinan yang Ada Memang tidak dapat dinafikan faktor agama itu sendiri boleh dijadikan alat bagi menyebarkan kebencian. Teks kitab suci dalam setiap agama juga mengandungi ayat-ayat sukar yang boleh mengguris sensitiviti antara agama. Di sinilah pemimpin agama perlu memainkan peranan penting mereka agar tidak menanamkan kebencian terhadap sesuatu kelompok yang berlainan dengan mereka. Jelas, keterbukaan untuk menerima perbezaan dan meraikan kepelbagaian memerlukan dialog yang berterusan. Bersama Projek Dialog menerusi bengkel kebebasan bersuara yang dianjurkan, saya pernah menulis makalah “Kebebasan Bersuara Dan Toleransi Agama di Malaysia” sebagai renungan. Salah satu kempen penting yang perlu dididik kepada rakyat Malaysia adalah sikap “setuju untuk berbeza pendapat”, bahawa tiada pendapat yang wajar dipaksakan kepada yang lain jika perbezaan itu tidak dapat diterima. Pelan Tindakan Rabat ini wajar dilaksanakan dalam perundangan negara bagi mengekang ungkapan kebencian, namun melindungi kebebasan bersuara pada waktu yang sama. Usaha bagi memberi kesedaran serta pengajaran wajar dipergiat melalui video, risalah, media sosial, dialog antara agama dan dalam kehidupan seharian kita. Tuntas, ungkapan kebencian tidak wajar dijadikan sebahagian kebebasan bersuara kerana khuatir ia akan menjadi suatu bentuk penzaliman mahupun keganasan. [1] http://www.ohchr.org/Documents/Issues/Opinion/SeminarRabat/Rabat_draft_outcome.pdf ]]>

Projek Dialog di Freedom Film Fest – Filem Apa?

FFF Dialog Melalui Haluan Media Popular Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah. Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam. Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar. Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua. Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini. Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular. Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One. Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis. Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan. Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua. Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi. Viral Sial “Viral,Sial!” oleh David Buri Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”. Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin. Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan. Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini. Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini? Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet? Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini. Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko. Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki? Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya? Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas? Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki? Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat? Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada? Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil. Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya. Dialog Dengan Dendi “Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail “Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.” Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan. Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata. Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia. Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan. Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini. Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan. Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan. Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara? Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha. Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan. Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau. Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua? Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini. Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati. Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita. Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota. FFF Cover Gambaran Keseluruhan Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara. Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa. Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja. Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya. Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita. Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun? Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat. Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata? Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan. Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas. Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia. Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.   Dikarang oleh Johan Zolhaidi  

]]>