Di Mana Suu Kyi?
Ironinya, Aung San Suu Kyi pada September 2013, telah dinobat sebagai penerima Sakharov Prize for Freedom of Thought oleh Kesatuan Eropah kerana telah mendedikasikan sebahagian dari hidupnya mempertahankan hak asasi manusia terutamanya di Myanmar.
Ketika dunia sedang mencari-cari dimanakah beliau untuk menjuarai kepimpinan berteraskan moral dan insani, sungguh malang, bisunya dia atas nasib Rohingya yang merupakan sebahagian etnik di Burma amat mengejutkan.
Berdasarkan angka yang disebut oleh PBB, 800,000 Muslim Rohingya adalah etnik minoriti yang paling teraniaya di dunia.
Apabila Suu Kyi dipersoal tentang Muslim Rohingya, jawapan beliau menunjukkan bahawa beliau seorang yang sangat berat sebelah dan tidak berperikemanusiaan.
Jawapannya bersahaja, kedua-dua pihak Buddha dan Islam sama-sama menderita, sedangkan sudah terang lagi bersuluh tidak begitu senarionya. Buddha di Burma merupakan kekasih politik Burma dan tidak pun dipaksa hidup di kem-kem kotor yang menjijikkan.
Dalam temubual BBC TV pada bulan Oktober 2013, beliau menafikan negaranya terlibat dalam pembersihan etnik dan mengatakan bahawa keganasan terhadap umat Islam adalah kerana ketakutan terhadap “kuasa Islam global.” Adakah patut kenyataan ini keluar dari mulut seorang penerima Hadiah Nobel Keamanan?
Antara Politik dan Kemanusiaan
Apakah mungkin Suu Kyi mengalami satu prejudis peribadi terhadap Muslim berkulit gelap dan langsung tidak mempunyai keberanian politik untuk menggunakan pengaruh beliau bagi menghentikan keganasan?
Dia tahu bahawa dia akan kehilangan undi rakyat Rohingya yang merupakan etnik yang amat tidak popular di Burma, dengan banyak yang beranggapan bahawa Rohingya adalah pendatang haram dari Bangladesh.
Sikap ambivalens beliau mengenai nasib rakyat Rohingya terus menimbulkan kebimbangan mendalam di peringkat antarabangsa.
Ironinya penganut Buddha yang mencintakan keamanan, memuji-muji pula pihak tentera; dan ini merupakan satu lagi percanggahan dan kekeliruan Aung San Suu Kyi hari ini. Dalam 20 tahun beliau menghabiskan umurnya di penjara dan di bawah tahanan rumah, beliau berdiri menentang junta tentera.
Tetapi minggu ini gambar beliau telah berjaya dirakam bercakap dengan pihak askar di Sandhurst, UK tentang keperluan untuk “Tentera yang ‘baik’ dan ‘Profesional’ yang disegani dan dihormati oleh rakyat”.
Walau bagaimanapun, penindasan terhadap minoriti di Burma secara rutin yang dilakukan oleh Tentera kerajaan, mengingatkan kepada pemerintahan tentera kejam yang telah lalu.
Lebih malang, Suu Kyi telah jelas memutuskan bahawa dia memerlukan sokongan tersirat daripada tentera jika dia ingin terus dalam politik walaupun ini seolah-olah bercanggah dengan keperluan untuk membangunkan masyarakat sivil.
Kebimbangan telah disampaikan tentang jumlah bantuan yang datang dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk menyokong tentera Burma dan bukannya membantu proses membangun-demokrasi.
“EU telah berjaya melakukan perkongsian strategik yang bijak dengan pihak tentera Kerajaan Burma dan bukannya rakyat Burma” ulas Kumpulan Hak Asasi Manusia Burma yang berkempen di UK.
Suu Kyi sering melaung dan memperjuangkan tema “kebaikan sejagat yang lebih besar” (“the greater common good”). Retorik ini seakan-akan dasar berhati-hati jika beliau ingin mencapai dasar yang lebih progresif selepas pilihan raya akan datang.
Malangnya, data kami menunjukkan bahawa beliau yang kononnya datang dari pergerakan perjuangan demokrasi semasa melakukan lawatan ke London, langsung tidak menghadiri satupun mesyuarat yang telah dirancang dengan mana-mana kumpulan hak asasi manusia, juga masyarakat Burma yang hidup di dalam buangan di UK.
Ini sahaja telah menunjukkan sikap dia yang seakan “jatuh dari keihsanan” (“fall from grace”).
Harapan Terlalu Besar?
Apakah mungkin kita yang salah dengan mengharapkan terlalu banyak pada Suu Kyi? Dengan melihat kepada beliau untuk melakukan apa yang betul dari segi moral dan bukannya politik suai-manfaat.
Kami pernah berharap beliau akan menjadi contoh yang menyerlah berbanding semua kelemahan demokrasi Barat. Sungguh bahawa harapan kami kali ini berkecai kerana beliau sedang sahaja menyesuaikan diri dengan demokrasi kuku besi ala barat, yang sengaja melakukan jenayah dalam senyuman.
Walau bagaimanapun, perlembagaan Burma melarang individu dengan pasangan atau anak-anak warganegara asing dari berkhidmat sebagai Presiden – nampaknya perlembagaan ini langsung ditujukan kepada Suu Kyi.
Dia akan memerlukan sokongan popular untuk mencapai pindaan perlembagaan dan kemudiannya memenangi jawatan Presiden. Adalah sangat tidak patut apabila beliau telah mengorbankan sokongan minoriti Rohingya dalam keadaan beliau sedang menginginkan undi supaya perlembagaan negaranya dipinda.
Matlamat tidak menghalalkan cara, sebagaimana nasib rakyat Rohingya hari ini diketepikan supaya tidak meruntuhkan cita-cita beliau untuk meraih jawatan tersebut.
Umat Islam di Burma terus sengsara di kem-kem pelarian yang kotor, mereka hidup dalam buangan, tanpa negara, tanpa harapan dan tanpa apa-apa penyelesaian yang boleh dijangka dalam masa akan datang.
Jika tidak Aung San Suu Kyi, siapakah lagi yang mampu memperjuangkan hak-hak sivil rakyat di sana?
Nama ‘Rohingya’ turut dipinggir
Rohingya” “Bagaimana hak penduduk Rohingya ingin dilindungi sekiranya pembela sekalipun tidak dibenarkan mengunakan perkataan Rohingya?” berkata Tun Khin, Presiden Kumpulan Aktivis Burma Rohingya, Pertubuhan UK dalam keterangannya kepada pihak media. Tambahnya Khin menyatakan, pengharaman ini membuktikan bahawa pihak kerajaan sebenarnya bersetuju dengan polisi penindasan yang berlaku. Penindasan Kerajaan Myanmar telah lama berlaku ke atas muslim Rohingya dengan cara penafian kewarganegaraan, menjadi sasaran dalam konflik keganasan mazhab yang membawa maut dan penempatan ke kem yang kotor tanpa sebarang bantuan. Hakikatnya pihak berkuasa Myanmar melihat penduduk Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh, bukannya daripada 135 kumpulan etnik yang diiktiraf secara rasmi. Diskriminasi terhadap golongan minoriti yang dinafikan kewarganegaraannya telah berlaku sekian lama, dengan anggaran berjumlah 1.3 juta. Ianya telah menjadi semakin bertambah selepas sedekad penerimaan pemerintahan tentera. Lebih daripada 140 000 warga Rohingya telah ditangkap dan ditempatkan di dalam kem-kem yang sesak sejak rusuhan ganas daripada majoriti pengganut Buddha. Mereka mula dijejaki sehingga ke rumah-rumah semenjak dua tahun yang lalu dan membunuh seramai 280 orang. Tambahan lagi, penduduk Rohingya dikecualikan daripada bancian negara sokongan PBB pada bulan April yang akan datang sekiranya mereka mengaku sebagai warga Rohingya. Menteri penerangan Myanmar, Ye Htut berkata bahawa nama ini tidak pernah diterima oleh rakyat Myanmar. Htut memberitahu media bahawa ianya telah diwujudkan oleh gerakan pemisah pada tahun 1950-an dan kemudiannya digunakan oleh aktivis buangan bertujuan untuk memberi tekanan kepada bekas kerajaan tentera Myanmar semasa di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1990-an. Mengelakkan ketegangan Apabila ditanya, pegawai-pegawai PBB menyatakan bahawa mereka mengelak sebarang liputan awam adalah untuk tidak memburukkan lagi keadaan ketegangan antara penganut agama Buddha dan islam di negara ini. Selepas Setiausaha Negara John Kerry bertemu dengan pemimpin Myanmar baru-baru ini, seorang pegawai kanan Jabatan Negara memberitahu pihak wartawan bahawa Amerika Syarikat (AS) berpendapat isu tentang nama ini perlu ‘diketepikan’. Semasa lawatan Kerry sebulan ini, beliau tidak mengulas ucapan yang digunakan dalam satu sidang akhbar ketika beliau meluahkan kebimbangannya mengenai keadaan di negara Rakhine. Seorang Pegawai Jabatan Negara, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka mengatakan bahawa kedudukan AS adalah untuk memaksa masyarakat menerima nama yang mereka anggap sebagai menyinggung perasaan- termasuklah istilah “Bengali” yang digunakan oleh kerajaan untuk menggambarkan warga Rohingya yang akhirnya mengundang konflik. Walaubagaimanapun, pendirian jabatan tersebut terhadap pengunaan perkataan ‘Rohingya’ adalah tidak berubah. Pekerja bantuan asing akhirnya terperangkap dalam ketegangan yang berlaku. Sekumpulan Doktor Tanpa Sempadan telah diarahkan untuk keluar oleh pihak kerajaan pada bulan Februari yang lalu dan kini masih menunggu untuk mendapat kebenaran berkhidmat kembali di sana. Peningkatan desakan dari Kerajaan PBB berkata jumlah kes kekurangan zat makanan dalam kalangan rakyat Rohingya menjadi lebih teruk antara bulan Mac hingga Jun apabila ianya melebihi dua kali ganda dan diakui keadaannya adalah amat menyedihkan oleh Duta hak asasi manusia sedunia bagi Myanmar, Yanghee Lee. Beliau berkata bahawa beliau telah berulang kali diperingatkan oleh pihak kerajaan untuk tidak menggunakan nama ‘Rohingya’ walaupun berkata-kata di bawah undang-undang antarabangsa di mana golongan minoriti mempunyai hak untuk beridentiti berdasarkan ciri-ciri kebangsaan, etnik, agama dan Bahasa mereka. Suatu kekesalan apablia pada bulan Jun yang lepas, agensi kanak-kanak PBB juga memohon maaf kerana menggunakan istilah ‘Rohingya’ dalam pembentangannya di Rhakhine. Satu insiden yang mengundang kritikan hebat terutamanya daripada pejuang hak asasi. “Mana-mana agensi kemanusiaan atau penderma yang enggan menggunakan istilah tersebut bukan sahaja telah mengkhianati prinsip asas undang-undang hak asasi manusia, tetapi mempamerkan sikap pengecut di mana mereka ini tidak mempunyai tempat dalam mana-mana misi kemanusiaan moden,” kata David Mathieson, Penyelidik Kanan Human Right Watch di Myanmar. Penterjemahan tidak rasmi “Myanmar asks for shunning ‘Rohingya’ name” yang diterbitkan oleh AlJazeera pada Ogos 20 2014.
]]>