Projek Dialog

Pendidikan Merawat Sikap Kediktatoran (Bahagian 2)

Oppression Diktator, Masyarakat Diktator & Ketakutan Kolektif Sebagaimana ditulis pada bahagian pertama, kewujudan pemerintahan diktator (atau separa diktator) sangat berkait rapat dengan wujudnya masyarakat yang diktator. Sementara masyarakat tersebut terbentuk daripada individu-individu yang hidup dalam suasana ‘pendidikan kediktatoran’. Antaranya, mereka merupakan masyarakat yang menyerahkan tanggungjawab mereka kepada “pihak yang bertanggungjawab” semata-mata. Tanggungjawab selaku manusia dan warga terhad sekadar untuk diri (dan ahli keluarga terdekat), tidak lebih daripada itu. Mereka juga sebuah masyarakat yang punya sikap takut secara kolektif. Ketakutan secara kolektif menyebabkan mereka takut membantah sebarang ketidakadilan, takut melapor kesalahan pihak berkedudukan, lebih rela berdiam diri dibungkam suara dan kebebasan dan seumpamanya. Sifat takut secara kolektif itu hakikatnya berasal daripada sifat takut yang ada dalam individu-individu, lalu tergabung dan menjadi lebih besar. Media Propaganda Media Propaganda & Ketakutan Kolektif di Negara-negara Demokrasi Sifat takut secara kolektif itu turut dibentuk oleh propaganda sebahagian media. Rakyat dialih fokus supaya takut dengan bangsa dan kumpulan tertentu, sambil diajar untuk “berani” menerima bahawa rasuah, penipuan dan sebagainya “tidak mengapa” demi kepentingan mereka, dan supaya “orang lain” tidak merampasnya. Justeru ketakutan asalnya sebuah sikap sesetengah individu, berubah menjadi kolektif. Suasana persekitaran seperti alat kekuasaan yang mengambil kesempatan melakukan pendidikan kediktatoran menerusi penyebaran sifat ketakutan. Selain itu, sebahagian penguasa kadang-kadang mencipta “musuh” dalam negara dan luar negara, demi menghalalkan proses penyahdemokrasian. Rakyat ditakutkan dengan “musuh” tertentu, media lalu menyebarkannya. Kadang-kadang musuh yang diciptakan ada dalam negara; seperti para pemimpin politik atau pemimpin gerakan sosial yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Kadang-kadang musuh yang diciptakan itu ada di luar negara; seperti badan dan kumpulan tertentu. Apabila telah tersebar kewujudan musuh, maka beberapa undang-undang dan akta baharu diperkenalkan, walaupun peraturan-peraturan itu bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, tetapi ia menjadi halal demi keselamatan negara! Kita boleh melihat realiti ini dalam dunia antarabangsa, termasuk oleh negara yang mengaku paling demokratik dan jaguh hak-hak asasi manusia. Amerika melancarkan “perang terhadap keganasan” (war on terrorism), secara terangnya ia dituju kepada Islam dan para penganutnya. Atas slogan tersebut, mereka mula mendemonisasi badan, pertubuhan dan tokoh-tokoh tertentu yang beragama Islam. Media-media ternama pula menyampaikannya dengan berkesan. Istilah-istilah tertentu seperti “jihad”, “hijab” dan “Islamis” ditafsirkan dengan tafsiran tertentu, disebarkan media-media antarabangsa dan ia akhirnya menjadi tafsiran popular dalam kalangan sesetengah pihak. Sesetengah masyarakat dunia yang “demokratik” pula merelakannya, demi keselamatan “kami” dan “kita”! Seperti konteks ketakutan kolektif dalam perbincangan kita di atas, ia turut terpakai dalam dunia antarabangsa; ketakutan secara individual oleh sesetengah negara akhirnya membentuk ketakutan kolektif, dan akhirnya negara-negara “kuasa besar” membuli masyarakat antarabangsa dengan pelbagai slogan muluk atas nama “kebaikan kita”. Tanpa disedari, akhirnya semua pihak bercakap tentang jaminan keselamatan, ancaman, ketakutan, musuh dan sebagainya, lalu emosi menguasai minda; khasnya dalam pelaksanaan dasar dan interaksi antara manusia yang berlainan identiti (kaum, agama, jantina, kecenderungan politik dan sebagainya). Dek kerana ketakutan sebegitu; “kita tidak lagi boleh berfikir dengan tenang, rasional dan dengan erti sebagai manusia.” Your Place Hukum Alam: Rahsia Perubahan Sosial  Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha mengubahnya . Fethullah Gulen telah menyatakan: “Islam menganggap sesuatu masyarakat terdiri daripada manusia berkesedaran yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah, bertentangan dengan pendekatan fatalistik sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialisme dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan individu menatijahkan hasil kehidupannya di dunia mahupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah dirinya [berkenaan keyakinan, pandangan dunia dan gaya hidup]” Inilah rahsia perubahan sosial zaman-berzaman, segala perjuangan dan perubahan yang besar pasti bermula dengan perubahan yang datang dari dalam diri manusia. Jika ketakutan meninggalkan kesan besar dalam cara berfikir manusia; di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, maka menanganinya merupakan suatu tanggungjawab. Hitler Pendidikan Membentuk Struktur Sosial, Melawan Ketaksuban & Korupsi Keberanian datang dari dalam diri manusia, jalan terbaik untuk membentuknya sudah tentu menerusi pendidikan. Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan. Masyarakat pula menjadi penentu sama ada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksanakannya. Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan: “Kita bercakap tentang kekayaan namun kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu ini merupakan asas korupsi dalam politik, hubungan kuat antara kehebatan seorang manusia dengan kekuasaannya – idea meluas tentang kepahlawanan, bagaimana untuk menyembah mereka, inilah masalahnya, dan ini juga yang membawa kepada korupsi.” Mencipta Keberanian & Pendidikan Demokratik Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu dalam menggerakkan masyarakat menuju kesedaran dan tanggungjawab. Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala. Pendidikan (menerusi apa medium sekalipun) haruslah mengajar keberanian; berani untuk memberi pandangan, mempertahankan hak, membuat laporan atas sebarang ketidakadilan dan sebagainya. Bagi masyarakat Muslim – pada pandangan saya – antara medium yang baik untuk mendidik keberanian ialah menerusi proses pengajaran keagamaan yang berlangsung di pelbagai tempat. Selain berkait dengan sistem kepercayaan dan psikologi, pendidikan berkaitan undang-undang juga sangat penting dalam mencipta keberanian. Manusia akan bertambah berani dan yakin apabila mereka tahu akan hak-hak mereka yang terjamin dalam perlembagaan, selain setelah mereka tahu saluran dan prosedur yang sepatutnya. Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, teater jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan. No Racism Pentingnya Persaudaraan Sejagat Melahirkan masyarakat yang berani, demokratik, bertanggungjawab dan ada misi kemanusiaan haruslah turut disertai dengan penerapan nilai-nilai sejagat yang dikongsi semua pihak. Salah satunya ialah nilai persaudaraan. Nilai persaudaraan sangat penting dalam membendung suasana ketakutan dan pembulian oleh kekuasaan. Atas nama persaudaraan kemanusiaan, maka kita membela hak golongan yang tersisih dan dinafikan hak mereka. Ia asasnya bermula dari dalam diri, menerusi latihan dan didikan oleh keluarga, sekolah, komuniti masyarakat dan sebagainya. Persaudaraan kemanusiaan dan kenegaraan akan menyebabkan kita mendahulukan perbincangan dalam kebanyakan perkara, menghindari permusuhan, kritikal terhadap media dan kekuasaan, serta berwaspada dengan cubaan-cubaan penyebaran sikap ketakutan membuta tuli (sudah tentu ketakutan dalam keadaan tertentu, ada relevannya) dalam masyarakat. Dalam sesebuah negara, kita ibarat berada dalam sebuah bahtera yang sedang berada di tengah-tengah lautan luas. Demi kebaikan dan kepentingan bersama, sebarang tindakan dan langkah yang diambil haruslah dianggap penting. Demikian juga dalam konteks antarabangsa, kita semua adalah warga dunia yang satu, ibarat dalam sebuah bahtera yang besar dan memerlukan kita sentiasa cuba memastikan peranan kita dalam memelihara kebaikan dan menolak kejahatan. Disebabkan latar belakang yang berbeza (sosial, agama, bangsa, negara dan lain-lain), menjadi suatu yang amat rumit untuk kita mencapai kata sepakat dalam setiap perkara. Oleh itu ia menjadi suatu kemestian untuk kita bersetuju untuk tidak bersetuju namun bersepakat dalam hal-hal asas yang bersifat kenilaian sejagat. Dialog & Tawaduk Dialog juga tidak semestinya akan menyebabkan kedua-duanya mencapai persetujuan dalam setiap perkara, tetapi setidak-tidaknya dialog akan mengurangkan kebencian tanpa asas antara dua (atau lebih) pihak yang berbeza. Menurut perspektif Islam, mengutamakan dialog dan kerjasama dalam hal-hal berbentuk nilai sejagat menjadi antara sifat asasnya, sambil bersedia untuk bertegas dalam hal-hal yang menjadi asas keyakinan (bersetuju untuk tidak bersetuju). Asasnya ialah rasa sifat tawaduk dan tidak meninggi diri. Tawaduk sekalipun sangat ditekankan dalam pemikiran Islam, namun ia tetap sebuah nilai sejagat yang mesti disebarkan. Tawaduk bukan sebuah “kerendahan hati” lalu menyebabkan kita menyerahkan diri kepada sebarang penyalahgunaan kekuasaan. Tapi tawaduk ialah sebuah nilai yang mengajar kita merendah diri, mendengar, meluaskan bacaan dan menambah persahabatan. Tawaduk menyebabkan kita sentiasa mahu belajar dan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan. Dalam dialog (dan bahkan seluruh kehidupan kita), nilai tawaduk sangat penting dan merupakan sebuah perhiasan ketamadunan. Paulo Freire turut menekankan kerendahan diri dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed sewaktu membincangkan tentang dialog dan hubungannya dengan pembebasan. Katanya: “Bagaimanakah saya mengambil bahagian dalam sesuatu dialog jika saya sentiasa melemparkan kejahilan terhadap orang lain dan tidak melihat diri sendiri?” Freedom Kebebasan, Kemanusiaan & Moraliti  Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator, sementara pendidikan merupakan asas rawatannya. Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Walaupun keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, namun keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan. Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract: “Menolak kebebasan bererti menolak kemanusiaan, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya, tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu tidak selari dengan fitrah manusia; membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moraliti daripada tindakannya.” Renungan & Kesimpulan Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai kecuali ke atas golongan diktator. Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhan yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.” Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”. Ketakutan mesti ditukar menjadi keberanian dan tawaduk mesti menggantikan sikap keangkuhan. Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 5 Mei 2014]

]]>

Rohingya & Hipokrisi Aung San Suu Kyi

Suu Kyi Rohingya Di Mana Suu Kyi? Ironinya, Aung San Suu Kyi pada September 2013, telah dinobat sebagai penerima Sakharov Prize for Freedom of Thought oleh Kesatuan Eropah kerana telah mendedikasikan sebahagian dari hidupnya mempertahankan hak asasi manusia terutamanya di Myanmar. Ketika dunia sedang mencari-cari dimanakah beliau untuk menjuarai kepimpinan berteraskan moral dan insani, sungguh malang, bisunya dia atas nasib Rohingya yang merupakan sebahagian etnik di Burma amat mengejutkan. Berdasarkan angka yang disebut oleh PBB, 800,000 Muslim Rohingya adalah etnik minoriti yang paling teraniaya di dunia. Apabila Suu Kyi dipersoal tentang Muslim Rohingya, jawapan beliau menunjukkan bahawa beliau seorang yang sangat berat sebelah dan tidak berperikemanusiaan. Jawapannya bersahaja, kedua-dua pihak Buddha dan Islam sama-sama menderita, sedangkan sudah terang lagi bersuluh tidak begitu senarionya. Buddha di Burma merupakan kekasih politik Burma dan tidak pun dipaksa hidup di kem-kem kotor yang menjijikkan. Dalam temubual BBC TV pada bulan Oktober 2013, beliau menafikan negaranya terlibat dalam pembersihan etnik dan mengatakan bahawa keganasan terhadap umat Islam adalah kerana ketakutan terhadap “kuasa Islam global.” Adakah patut kenyataan ini keluar dari mulut seorang penerima Hadiah Nobel Keamanan? Antara Politik dan Kemanusiaan Apakah mungkin Suu Kyi mengalami satu prejudis peribadi terhadap Muslim berkulit gelap dan langsung tidak mempunyai keberanian politik untuk menggunakan pengaruh beliau bagi menghentikan keganasan? Dia tahu bahawa dia akan kehilangan undi rakyat Rohingya yang merupakan etnik yang amat tidak popular di Burma, dengan banyak yang beranggapan bahawa Rohingya adalah pendatang haram dari Bangladesh. Sikap ambivalens beliau mengenai nasib rakyat Rohingya terus menimbulkan kebimbangan mendalam di peringkat antarabangsa. Ironinya penganut Buddha yang mencintakan keamanan, memuji-muji pula pihak tentera; dan ini merupakan satu lagi percanggahan dan kekeliruan Aung San Suu Kyi hari ini. Dalam 20 tahun beliau menghabiskan umurnya di penjara dan di bawah tahanan rumah, beliau berdiri menentang junta tentera. Suu Kyi Military Tetapi minggu ini gambar beliau telah berjaya dirakam bercakap dengan pihak askar di Sandhurst, UK tentang keperluan untuk “Tentera yang ‘baik’ dan ‘Profesional’ yang disegani dan dihormati oleh rakyat”. Walau bagaimanapun, penindasan terhadap minoriti di Burma secara rutin yang dilakukan oleh Tentera kerajaan, mengingatkan kepada pemerintahan tentera kejam yang telah lalu. Lebih malang, Suu Kyi telah jelas memutuskan bahawa dia memerlukan sokongan tersirat daripada tentera jika dia ingin terus dalam politik walaupun ini seolah-olah bercanggah dengan keperluan untuk membangunkan masyarakat sivil. Kebimbangan telah disampaikan tentang jumlah bantuan yang datang dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk menyokong tentera Burma dan bukannya membantu proses membangun-demokrasi. “EU telah berjaya melakukan perkongsian strategik yang bijak dengan pihak tentera Kerajaan Burma dan bukannya rakyat Burma” ulas Kumpulan Hak Asasi Manusia Burma yang berkempen di UK. Suu Kyi sering melaung dan memperjuangkan tema “kebaikan sejagat yang lebih besar” (“the greater common good”). Retorik ini seakan-akan dasar berhati-hati jika beliau ingin mencapai dasar yang lebih progresif selepas pilihan raya akan datang. Malangnya, data kami menunjukkan bahawa beliau yang kononnya datang dari pergerakan perjuangan demokrasi semasa melakukan lawatan ke London, langsung tidak menghadiri satupun mesyuarat yang telah dirancang dengan mana-mana kumpulan hak asasi manusia, juga masyarakat Burma yang hidup di dalam buangan di UK. Ini sahaja telah menunjukkan sikap dia yang seakan “jatuh dari keihsanan” (“fall from grace”). aungsansuukyi Harapan Terlalu Besar? Apakah mungkin kita yang salah dengan mengharapkan terlalu banyak pada Suu Kyi? Dengan melihat kepada beliau untuk melakukan apa yang betul dari segi moral dan bukannya politik suai-manfaat. Kami pernah berharap beliau akan menjadi contoh yang menyerlah berbanding semua kelemahan demokrasi Barat. Sungguh bahawa harapan kami kali ini berkecai kerana beliau sedang sahaja menyesuaikan diri dengan demokrasi kuku besi ala barat, yang sengaja melakukan jenayah dalam senyuman. Walau bagaimanapun, perlembagaan Burma melarang individu dengan pasangan atau anak-anak warganegara asing dari berkhidmat sebagai Presiden – nampaknya perlembagaan ini langsung ditujukan kepada Suu Kyi. Dia akan memerlukan sokongan popular untuk mencapai pindaan perlembagaan dan kemudiannya memenangi jawatan Presiden. Adalah sangat tidak patut apabila beliau telah mengorbankan sokongan minoriti Rohingya dalam keadaan beliau sedang menginginkan undi supaya perlembagaan negaranya dipinda. Matlamat tidak menghalalkan cara, sebagaimana nasib rakyat Rohingya hari ini diketepikan supaya tidak meruntuhkan cita-cita beliau untuk meraih jawatan tersebut. Umat Islam di Burma terus sengsara di kem-kem pelarian yang kotor, mereka hidup dalam buangan, tanpa negara, tanpa harapan dan tanpa apa-apa penyelesaian yang boleh dijangka dalam masa akan datang. Jika tidak Aung San Suu Kyi, siapakah lagi yang mampu memperjuangkan hak-hak sivil rakyat di sana? Article 19

]]>

Catatan Dari Jalanan – Kerjasama Membela Kaum Tertindas

Gambar: Fernando Fong, The Rakyat Post Gambar: Fernando Fong, The Rakyat Post[/caption] Di kelas jalanan Chow Kit kemudiannya, Nik mengkhabarkan padaku bahawa ada anak yang tidak mahu belajar. Aku tanyakan kembali kalau budak itu tak mahu belajar atau dia mahu belajar benda lain. Seperti biasa kami bersembang dengan kanak-kanak itu, cuba memujuknya tanpa memaksa. Sebagai manusia dia tidak boleh dipaksa, dan sebagai anak yang sangat kecil dan hidup dalam persekitaran dan budaya dimana dia harus menurut perintah, dia masih tidak mampu memikul autoriti membuat keputusan sendiri sebebasnya. Kami cuba bimbing, cuba cari minat dia. Bersembang-sembang dengan rakan-rakan gerakan lain yang datang memerhati dan berkongsi idea, aku meluahkan harapan kepada seorang kawan untuk mendapatkan tenaga orang-orang yang minat mengajar mereka kemahiran-kemahiran spesifik sesuai dengan minat mereka. Kita beri mereka pededahan, ajar mereka kemahiran itu, bimbing mereka menentukan arah tuju. Semasa aku di sekolah dulu, seperti kau, aku dipaksa belajar semua subjek oleh guru dan fokus pada kesemua subjek itu, akhirnya yang aku minat pun entah ke mana yang aku tak minat pun ke longkang. Aku risau kalau-kalau budak-budak ini pun tidak ada yang mahu melihat mana minat dan bakat sebenar mereka dan apa yang mereka mahu buat dalam hidup. [caption id="attachment_4601" align="aligncenter" width="380"]Gambar: Sciencedaily.com Gambar: Sciencedaily.com[/caption] Kita boleh katakan ibu bapa mereka memainkan peranan penting, tapi kita juga perlu faham ibu bapa mereka bukan beruntung seperti kita. Ini bukan dari kalangan ibu bapa yang mana ibu melayan muzik Mozart sewaktu mengandung anak dengan suami di sisi memegang tangannya sambil tersenyum, mampu memberi makanan dan nutrisi sihat kepada anak-anak, menghantar mereka ke nurseri kemudian ke sekolah, ulang-alik ke sekolah berdiskusi dengan guru tentang perkembangan anak-anak, menyediakan tusyen serta mengajar di rumah ketika musim cuti, menolong dengan kerja-kerja sekolah, manghantar mereka ke kelas piano, biola dan gimnastik atau kelas seni melukis. Itupun kalau semua yang dilakukan ini benar-benar untuk membentuk anak menjadi manusia baik yang bebas dan faham kebebasan orang lain. Terkadang tampaknya cuma seperti menyerahkan tanggungjawab kita sendiri pada institusi lain supaya anak itu ‘menjadi’. Menyerahkan duit kepada orang lain untuk menghasilkan anak cemerlang. Nah, ibu bapa yang ‘beruntung’ ini pun akhirnya cuma menunggu magis berlaku hasil dari pelaburannya sana sini. Kita juga tidak boleh memaksa pengalaman kita atau gagasan kita semata-mata ke atas mereka. Kita bukan mahu menjadikan mereka seperti kita. Mereka akan menjadi diri mereka, bebas memilih apa yang mereka mahu. Cuma perlu dibimbing cara-cara untuk mereka mendapat kebebasan itu, dan bagaimana untuk menikmatinya tanpa merampas kebebasan orang lain. Di Chow Kit tempat mereka belajar, kenderaan berasak-asak dalam kesesakan lalu lintas sampai ke tengah malam. Adakah kita mahu keluarkan mereka dari kemiskinan mereka dan masukkan mereka ke dalam kemiskinan yang satu lagi ini? Adakah kita mahu mereka jadi seperti kita yang tertipu dengan industri perniagaan pendidikan dan kemudian menjadi robot-robot pejabat dan syarikat-syarikat besar? Itu bukan kejayaan namanya. Ianya tidak membebaskan mereka. [caption id="attachment_4602" align="alignleft" width="140"]Gambar: NBC News Gambar: NBC News[/caption] Kita adalah produk pendidikan yang mengajar kita supaya terlibat dalam perlumbaan tikus (‘rat race’) ekonomi di mana kita diajar untuk memijak kepala satu sama lain untuk menjadi nombor satu dan perkara ini nampaknya akan berlanjutan ke anak cucu kita. Fokus cuma diberi kepada kebolehan individu tanpa mengambil kira kesannya terhadap struktur masyarakat. Kita menghasilkan kuda-kuda lumba yang laju tapi golongan terpinggir terus disisihkan, walhal kita ini orang-orang yang berpendidikan. Kita cuba wujudkan satu persekitaran di Chow Kit di mana anak-anak ini kenal erti kerjasama dan menghormati satu sama lain dalam proses mereka menjadi manusia yang baik. Bukan cuma menjadi apa yang ia mahu jadi tanpa menghiraukan persekitaran. Mereka boleh dibimbing berbincang dan membuat keputusan secara kolektif kerana hakikatnya mereka juga seperti kita, jiwa-jiwa yang bermasyarakat. Di situ kita sendiri akan belajar bagaimana kita pun menjadi seperti itu kerana kita sendiri perlu kesedaran ini. Kita dan mereka, saling belajar dari satu sama lain. Kolektif-kolektif, gerakan-gerakan yang melakukan khidmat masyarakat tidak perlu bersatu di bawah panji sama. Masing-masing mengendali kolektif masing-masing tetapi kita tidak dapat lari dari mempunyai kesefahaman, semangat setiakawan dan solidariti untuk satu sama lain. Ini bukan persaingan antara syarikat korporat, ini bukan permainan mengejar nama baik. Kita belajar dari satu sama lain, bergantung kepada satu sama lain sejurus menyedari bahawa ‘nasib’ kita ini di tangan kita sendiri yang mana semakin kuat kita bekerjasama semakin mudah kita mengharungi kesusahan. Kita tidak perlu ada pengurus-pengurus lantikan yang menguruskan kita dan membuat keputusan untuk kita tanpa bertanya pendapat kita. Kita tidak mahu jadi masyarakat yang pasif dan tidak terlibat dalam keputusan-keputusan yang membabitkan kita di mana demokrasi itu cuma perkataan yang sia-sia, yang diucapkan oleh orang-orang dari mimbar tinggi, orang-orang yang langsung tidak memahami kita atau mewakili kita. Nak tukar mentol pun upah si Parjo. unnamed

]]>

Menganyam impian

Oleh: Uthaya Sankar SB Saya tidak mengamalkan budaya membuat azam tahun baru. Hal ini kerana bagi saya, setiap hari adalah anugerah Tuhan dan saya sudah pun amat bertuah kerana diberikan kesempatan untuk terus hidup dan terus melakukan apa-apa yang saya suka: membaca, menulis, menonton filem dan tidur seenaknya. Dalam pada itu, hidup saya amat aman dan bahagia kerana saya tidak menyokong mana-mana parti politik dan politikus; walaupun saya memang ada beberapa rakan (dan musuh) daripada kalangan politikus dan penulis. Memandangkan tahun 2013 adalah suatu tahun yang amat penting – selain daripada umat manusia kononnya “terselamat” daripada kehancuran dunia yang “dinanti-nantikan” pada Disember 2012 – maka ramai juga yang bertanya apakah “senarai impian” (wish list) saya bagi tahun ini dalam hal-hal berkaitan politik. Berikut antara perkara yang sering saya nyatakan apabila ditanya oleh rakan-rakan dan kenalan semasa kami berbual-bual “hal dunia-akhirat” dan “gosip artis tempatan” di restoran/warung mamak. Tentu sahaja susunannya tidak mengikut sebarang urutan. Bil Air dan Elektrik [caption id="attachment_1325" align="alignleft" width="150"] Pembiayaan bil air dan elektrik ada kesan positif.[/caption] Saya hanya seorang penulis sepenuh masa dengan pendapatan tidak seberapa. Saya tinggal di Shah Alam, Selangor dan rumah saya juga adalah pejabat serta tempat kerja saya sejak Mac 2011. Sebagai seorang penduduk yang memang perlu menggunakan elektrik dan air setiap hari, saya berpuas hati dengan sikap “murah hati” yang ditunjukkan oleh kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Umum mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Selangor menanggung bil air bagi 20 meter padu yang pertama. Maklumat “bayaran air 20 meter padu pertama oleh Kerajaan Negeri Selangor” tertera pada bil. Bagi saya sebagai seorang marhaen, jumlah itu sudah cukup lumayan dan mengurangkan tanggungan saya. Pada masa sama, sejak 1 Oktober 2008, Kerajaan Persekutuan membiayai RM20 daripada jumlah bil elektrik saya setiap bulan. Amaun rebat berkenaan dicatatkan pada bil bulanan dan dinyatakan sebagai “dibiayai oleh Kerajaan Malaysia”. [caption id="attachment_1329" align="alignright" width="150"] Rakyat adalah “raja” sebenar dalam sistem demokrasi.[/caption] Harap maklum bahawa saya menyebut “Kerajaan Negeri Selangor” dan “Kerajaan Persekutuan” tanpa menyentuh mana-mana parti politik. Hal ini amat wajar diberi perhatian kerana sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR), apa yang penting bagi saya adalah bahawa mereka melakukan kerja dan tanggungjawab demi Rakyat (huruf besar disengajakan), iaitu “raja” sebenar dalam sebuah negara demokrasi. Impian saya adalah agar “bayaran air 20 meter padu pertama oleh Kerajaan Negeri Selangor” dan “RM20 bil elektrik dibiayai oleh Kerajaan Malaysia” berterusan walau siapa yang memegang tampuk kerajaan negeri/persekutuan. Namun, jika BN menguasai kerajaan negeri dan persekutuan – seperti sejak 1957 – tentulah pula kedua-dua manfaat (pembiayaan bil air dan elektrik) tidak mampu dinikmati penduduk marhaen seperti saya. Iklan Sayangi Selangor [caption id="attachment_1326" align="alignright" width="300"] Stesen Komuter “dijajah” iklan pembangkang.[/caption] Pada 22 Disember 2012, saya menaiki Komuter dari stesen Shah Alam ke stesen Kuala Lumpur (KTM) untuk bertemu penulis terkenal, Roslan Jomel untuk sesi perbualan “hal dunia-akhirat” dan “gosip artis tempatan” di Pasar Seni. Pada 1 Januari 2013 pula, saya menaiki Komuter dari Shah Alam ke Seremban untuk bertemu Atriza Umar dan Khalid Abideen bagi menguruskan Konvoi Rumah Ibadat yang dijadualkan pada 17 Februari ini. Saya muak melihat poster kecil-sederhana-besar yang memujuk pengundi di Selangor supaya “Sayangi Selangor” dan mengundi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Harap maklum bahawa “pembangkang” merujuk kepada BN dalam konteks Negeri Selangor berikutan pilihan pengundi negeri itu pada PRU-12 (2008). Entah berapa banyak wang Rakyat – ulang: wang Rakyat – yang dibazirkan untuk menguruskan kempen besar-besaran “Sayangi Selangor” itu. Impian saya adalah agar BN menghentikan segera kerja sia-sia dan membazir wang Rakyat melalui cara ini. Harap maklum bahawa saya menyebut “BN” di sini kerana kerja-kerja “memujuk” pengundi di Selangor melalui poster-poster yang memaparkan wajah ceria Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tentu dilakukan BN dan bukannya Kerajaan Malaysia. Kalau Kerajaan Malaysia, tentu kerajaan yang prihatin dan melaungkan slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” akan menggunakan wang berkenaan untuk manfaat Rakyat; bukan untuk perang poster memujuk pengundi dengan cara licik tetapi kurang cerdik. Apa Khabar Pak Samad? Bercakap mengenai Kerajaan Negeri Selangor, saya langsung teringat akan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor yang diumumkan pada September 2012. Hal ini mungkin dekat dengan jiwa saya kerana ia melibatkan Datuk A. Samad Said (Pak Samad). [caption id="attachment_1327" align="alignright" width="150"] Pak Samad diumum sebagai Sasterawan Tamu Selangor.[/caption] Akhbar Sinar Harian (28 September 2012) melaporkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai berkata, pengiktirafan itu sejajar dengan perjuangan Pak Samad yang gigih dan konsisten menulis serta memperjuangkan isu kemasyarakatan melalui penulisan. Umum mengetahui bahawa Pak Samad sering terlibat dalam ceramah dan acara baca puisi di Selangor sebelum dan selepas diumumkan menerima anugerah berkenaan. Setahu saya, Pak Samad bukanlah seorang seniman dan sasterawan yang mengejar kebendaan. Namun begitu, anugerah yang diberikan pasti menaikkan semangat serta membuka ruang yang lebih luas kepada Pak Samad untuk melakukan pengisian yang wajar dalam aktiviti seni dan sastera di Selangor. Dengar khabar, Rahmat Haron sedang menyelenggaran antologi “Unjuk Rasa” yang memuatkan sajak-sajak Pak Samad. Menurut maklumat yang tersebar menerusi laman rangkaian sosial, antologi berkenaan akan terbit pada Fabruari ini. Saya percaya bahawa kelahiran antologi ini juga sebahagian daripada “sumbangan” Pak Samad selaku Sasterawan Tamu Selangor. Apabila Wira Bukit Sdn Bhd menerbitkan novel “Salina: Edisi Khas” (2012), saya perhatikan sambutan golongan politikus (PR) kurang mengujakan. Edisi kulit lembut (paperback) novel itu kini sudah ada secara eksklusif di kedai-kedai buku Popular. Impian saya adalah agar sesiapa yang memberikan alasan “Salina: Edisi Khas” terlalu mahal akan tampil membeli – dan membaca – edisi kulit lembut ini; sementara menanti kelahiran “Unjuk Rasa. Pilihan Raya Bersih, Adil, Bebas Seperti saya nyatakan sejak awal, tahun 2013 tidak dapat dipisahkan daripada PRU-13. Walaupun Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN merangkap Presiden Umno kelihatan sedang cuba “mencuri masa”, tempoh wajib membubarkan Parlimen mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan semakin hampir. [caption id="attachment_1328" align="alignright" width="150"] Najib wajar menyarung baju kuning. (Sumber: Internet)[/caption] Sebagai seorang Rakyat dan pengundi berdaftar, impian saya adalah agar proses pilihan raya itu nanti dijalankan secara telus, adil, bebas dan bersih. Tugas itu tentulah terletak pada pundak (bahu) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi amat malang apabila badan bebas itu sendiri bagaikan (ulang: bagaikan) menentang proses pilihan raya yang bebas dan adil. Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sudah mengesahkan “pihaknya tidak akan campur tangan atau mengadakan perhimpunan lain bagi menyuarakan bantahan terhadap perhimpunan itu (12 Januari 2013)” kerana presidennya, Datuk Ibrahim Ali sedar “kehadiran Perkasa hanya akan mengeruhkan keadaan” (mStar, 4 Januari 2013). Kalau saya menjadi Najib (namun, mohon Tuhan jauhkan!) pula, saya akan memakai kemeja-T kuning bersama-sama Pak Samad, Datuk Ambiga dan Rakyat sebagai usaha murni dan ikhlas menyokong pilihan raya yang adil, bebas dan bersih. Sebagai pengerusi kepada gabungan parti-parti politik yang mantap dan sesungguhnya sudah mendapat mandat serta sokongan padu Rakyat/pengundi sejak negara merdeka, masakan saya (selaku Pengerusi BN) tidak mahu membuktikan kepada dunia bahawa BN terus berkuasa – dulu, kini dan selama-lamanya – menerusi proses pilihan raya yang adil, telus, bebas dan bersih. Impian saya – yang tentu sahaja tidak akan menjadi kenyataan – adalah untuk melihat para pemimpin dan penyokong tegar BN tampil menyokong perhimpunan yang khabarnya dijadualkan pada 12 Januari ini untuk menyeru proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Tidak keterlaluan, bukan? Jika Suka, Boleh Kekalkan Pada 7 Januari 2012, saya tertarik dengan kenyataan yang dipaparkan oleh seorang rakan, Amin Ahmad, pada ruangan status Facebook. Kata pemerhati politik itu, “orang ramai perlu dididik untuk memahami bahawa tujuan pilihan raya dibuat secara berkala adalah untuk membolehkan adanya kawalan rakyat terhadap pemerintah. Dalam bahasa mudah, jika suka, boleh kekalkan; jika tidak, boleh undi pihak lain”. Saya sangat bersetuju serta menyokong pandangan itu kerana demikian juga pendirian saya selaku individu yang bersikap apolitikal dan tidak pandai mengampu politikus. Dalam hal ini, terus-terang, sebagai seorang penduduk dan pengundi di Selangor, saya berpuas hati dengan apa yang sedang cuba dilakukan oleh Kerajaan Negeri sejak PRU-12 pada 8 Mac 2008. Kebetulan, kerajaan negeri yang saya maksudkan adalah Kerajaan PR. Walaupun mereka tidak sempurna, saya masih berpuas hati. Ya, memang ada suara-suara sumbang daripada juak-juak politik sejak 2009 yang mengatakan “Kerajaan PR” gagal menyelesaikan isu itu dan isu ini. Hello! Mereka baru sahaja diberi peluang oleh Rakyat (ulang: Rakyat) untuk “bekerja bagi Rakyat Selangor” pada 2008. Antara 50 tahun dan 5 tahun, pastilah ada perbezaan. Untuk berlaku adil, BN telah diberi peluang demi peluang demi peluang – serta diletakkan harapan demi harapan demi harapan – sejak negara merdeka (1957) untuk “bekerja bagi Rakyat Selangor”. Akhirnya, Rakyat/penduduk sendiri yang menggunakan akal dan budi bicara serta kuasa yang ada untuk mengubah tampuk pemerintahan kerajaan negeri. Maka, jangan menghina pilihan Rakyat dengan menghina kerajaan negeri yang dipilih oleh Rakyat Selangor. Tentu sahaja apa yang berlaku di Negeri Perak lebih wajar diberi perhatian dan tumpuan apabila bercakap mengenai “kerajaan negeri yang dipilih oleh Rakyat untuk bekerja bagi Rakyat”. Walaupun saya lahir dan membesar di Taiping, Perak, biarlah saya tidak mengulas lanjut mengenai isu ini. Saya percaya Rakyat/penduduk negeri itu lebih tahu akan hak, kuasa dan kemampuan mereka apabila tiba tarikh PRU-13 nanti. Sebagai pengundi berdaftar di Selangor, sekiranya tiba masa saya mendapati “Kerajaan PR” sudah tidak mampu “bekerja bagi Rakyat Selangor”, tentu saya akan menolak PR. Malah, saya tidak akan teragak-agak untuk sama-sama mendidik Rakyat “untuk memahami bahawa tujuan pilihan raya dibuat secara berkala adalah untuk membolehkan adanya kawalan rakyat terhadap pemerintah” seperti dinyatakan Amin. Impian Bonus Akhir sekali, sebagai seorang penulis sepenuh masa yang menerbitkan sendiri buku-buku saya, impian bonus saya bagi 2013 adalah agar ada “Datin-Datin” dan “Datin Politikus” yang sudi tampil membeli buku-buku saya. Kalau mereka mahu menaja kembara saya ke beberapa tempat di Malaysia untuk mengumpul bahan bagi penulisan, memang lebih bagus dan amat dialu-alukan. Tentunya, tanpa sebarang ikatan (no strings attached). Tidak salah menganyam impian di negara bertuah ini, bukan?  

]]>