Mutu Ada sebilangan mendakwa bahawa ayat ini diturunkan untuk non Muslim yang memeluk Islam sahaja. Dengan maksud, ayat ini tidak terkena langsung kepada orang muslim sedia ada atas alasan tidak dibenarkan murtad. Dakwaan ini tidak tepat dengan beberapa alasan. Antaranya adalah, ayat ini tidak tertumpu kepada kebebasan meninggalkan Islam atau murtad. Ini kerana, larangan murtad itu sememangnya berlaku dalam ayat-ayat yang lain, seperti dalam surah al-Baqarah, ayat 217 dan surah al-Maidah, ayat 54. Alasan kedua pula, ayat ini menceritakan kualiti dalam menanggapi iman dengan mengetahui kebenaran berbanding kesesatan. Seseorang yang tidak tahu kebenaran berbanding kesesatan, ia tidak dikatakan sebagai orang yang punyai kualiti iman. Persoalannya, bagaimana mahu menyuburkan kualiti iman? Malaysia adalah sebuah negara yang punyai masyarakat berbilang bangsa dan agama, tetapi dialog antara agama ini agak mundur berbanding negara-negara barat dan yang berjiran, iaitu Indonesia. Persoalan ini timbul ekoran termaktub dalam perlembagaan bahawa larangan bagi agama lain untuk disebarkan. Dengan larangan itu, mengadakan dialog juga dilarang mengikut tafsiran golongan tertentu dengan alasan dialog itu sendiri seperti memberi ruang kepada non muslim menyebarkan agama mereka. Fikrah sebegini sewajarnya dikaji balik. Sewajarnya larangan dialog ini tidak berlaku. Lebih wajar, dialog antara agama ini berlaku dengan hebat agar kualiti iman itu terhasil dalam masyarakat Malaysia. Melihat kepada kekangan larangan dialog, menghasilkan kefahaman Islam bagi umat Islam malaysia tidak hebat, disamping pendakwah-pendakwah di Malaysia gagal pamerkan kualiti hujjah dalam menyampaikan agama. Seperti yang kita sedia maklum, di kalangan rakyat malaysia boleh dikatakan beribu-ribu orang graduan agama selesai dari pengajian Islam, tetapi dengan lahirnya ribuan graduan agamaia, tahap kualiti penghujahan agama masih dalam tahap yang tidak mengkagumkan. Ini semua berpuncakan cabaran dan saingan penghujahan agama tidak disuburkan. Dialog Jika diteropong jauh ke zaman Nabi Muhammad SAW, kita akan dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengambil sikap larangan berdialog. Malahan, dialog antara agama ini berlaku sehinggakan melibatkan diri Nabi Muhammad SAW sendiri. Baginda SAW sendiri pernah terlibat dialog dengan satu kalangan nasrani dari najran yang berhujjah tentang Nabi Isa yang melihat bahawa baginda sebagai Tuhan. Dialog itu berlaku hebat sehinggakan perkara ini diceritakan oleh Allah dalam al-Quran dari surah ali-Imran, ayat 59. Bukan sekadar dialog, malahan al-Quran juga ada menceritakan kisah perdebatan antara Nabi Musa dengan Firaun dan Nabi Ibrahim dengan pemerintah ketika itu. Walaupun kelihatan perdebatan itu melibat seseorang Nabi dengan pemerintah, tetapi kandungan perdebatan mereka berkisarkan agama dan kepercayaan. Ini membuktikan kepada kita bahawa dakwaan tidak boleh berdialog antara agama adalah satu perkara yang meleset dengan ajaran al-Quran dan pengamalan Nabi Muhammad SAW. Dari kupasan ini, dinyatakan beberapa perkara penting. Antara adalah yang pertama, dialog antara agama adalah perkara yang cukup sesuai dengan roh Islam seperti ajaran al-Quran dan al-Hadis. Kedua, kualiti sesuatu kepercayaan tidak akan terhasil dengan semata-mata larangan undang-undang agar tidak tukar agama, tetapi kualiti beragama itu terhasil dengan pengetahuan jitu terhadap kebenaran berbanding kesesatan. Wallahu ‘Alam.
]]>Kebebasan: Sudahkah mahasiswa memanfaatkannya?
1) Peranan AUKU dalam menyekat kebebasan bersuara mahasiswa
Kedua-dua panelis mengambil posisi yang berbeza mengenai hal ini. Bagi saudari Afiqah, AUKU sangat menyusahkan mahasiswa.
AUKU mempunyai kuasa menyekat wacana yang dianggap berlawanan dengan kerajaan malah menghalang demonstrasi aman yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Malaysia.
Menurutnya, AUKU juga menyebabkan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi mandul kerana terpaksa mengikut rentak tarian pentadbiran universiti.
Muziru pula beranggapan sebaliknya. Bagi beliau, AUKU tidaklah kejam pada dirinya sendiri. AUKU mempunyai beberapa bahagian yang baik dan tidak menganggu kebebasan mahasiswa.
Perkara yang perlukan penelitian semula terhadap AUKU ialah Seksyen 4 dan 5 serta semua Seksyen 15 & 16.
Seksyen 4 dan 5 menyentuh tentang perlantikan Majlis Tertinggi universiti dan Seksyen 15 & 16 yang menyentuh tentang penglibatan mahasiswa dan tindakan tatatertib.
Bagi saya, mengatakan AUKU telah memandulkan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu analisa yang simplistik.
Walau kita masih tidak mempunyai statistik tentang hal ini, kita boleh cuba secara pemerhatian dan turun padang bertanya soalan berikut kepada rakan-rakan mahasiswa kita di universiti:
Apakah mereka tidak bersuara semata-mata kerana AUKU, atau faktor-faktor lain yang lebih memandulkan mereka dari AUKU? Saya berani kata ya.
Mahasiswa tak ambil peduli dengan politik kampus mahupun luar negara kerana dilanda penyakit konsumerisme dan hedonisme.
Budaya ini akhirnya membantutkan keupayaan intelektual dan kegigihan akademik mereka untuk memberi perhatian terhadap isu-isu besar yang melanda negara.
Ini ancaman yang lebih besar terhadap mahasiswa berbanding AUKU.
Tanpa AUKU pun, jika ancaman ini tidak ditangani dengan segera, mahasiswa akan tetap mandul, dan tidak mampu untuk menggunakan sebaiknya kebebasan mereka.
2) Mahasiswa bermain minda mangsa
Ini satu isi penting menarik yang dibawa oleh saudara Muziru. Mahasiswa sememangnya sudah terlalu lama bermain watak sebagai mangsa.
Wacana yang berlegar kini ialah tentang bagaimana mahasiswa dibentak-bentak, diherdik-diherdik, diperlakukan seperti anak kecil oleh pentadbir universiti dan pelbagai lagi.
Saya setuju 100% dengan perkara ini. Akan tetapi, kita semua jangan lupa mahasiswa bukan maksum.
Tanpa sekatan pentabir pun, masih ramai mahasiswa/wi lagi yang terdedah dengan hiburan memualkan yang tak henti-henti.
Ramai antara kita menghabiskan sisa-sisa waktu di universiti dengan program-program tidak munasabah hasil tangan-tangan sendiri.
Ketika forum berlangsung, persoalan kebebasan positif dan kebebasan negatif dibangkitkan.
Kebebasan positif ialah memiliki kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan (freedom to) walhal kebebasan negatif ialah kebebasan seseorang dari tekanan pihak luar (freedom from).
Kebebasan negatif lebih menitikberatkan halangan-halangan yang menganggu-gugat kebebasan seseorang.
Kebebasan positif lebih kepada keazaman seseorang menggunakan segala kebebasan yang ada pada dirinya untuk meneroka peluang-peluang bagi melaksanakan tindakannya dalam apa jua keadaan.
Jadi kita dapat lihat sekiranya kita masih tersangkut dengan kebebasan negatif yang ditarik dari kita, kita akan menjadi pasif dan sentiasa terperangkap melawan halangan-halangan dari luar.
Sedangkan kapasiti kebebasan yang ada pada diri kita, yakni mahasiswa belum diterokai dan dimanfaatkan sebaik-baiknya mungkin.
Mahasiswa kena jujur dengan diri sendiri. Apakah baki-baki kebebasan dan kelonggaran yang ada di universiti telah dimanfaatkan sepenuhnya?
Mungkin ada sesetengah forum atau seminar yang dianggap “bertentangan” dengan kerajaan, ataupun “berbahaya” terhadap akidah, lalu tidak dapat dilakukan secara formal dan terbuka.
Namun, apakah itu menghalang wacana daripada diteruskan? Tentutnya tidak sama sekali. Saya beri satu contoh mudah.
Misalnya di Universiti Islam Antarabangsa, yang dikenali dengan pandang alam Islamiknya, kita mahu menganjurkan Seminar Atheism, ataupun Forum “Tuhan Telah Mati”.
Kemungkinan besar, cadangan penganjuran akan serta-merta dihalang dan tidak dibenarkan. Jadi, saya beri anda pilihan, mana yang lebih baik:
Pilihan A: Mahasiswa berdemonstrasi menyatakan bantahan bahawa “ini hak kebebasan bersuara kami!”, atau
Pilihan B: Mahasiswa “let go” penganjuran tersebut, dan meneruskan kumpulan-kumpulan kecil “reading group” bagi membahaskan tema-tema forum tersebut secara tuntas dan berkala.
Pada pendapat saya, pilihan B lebih efektif. Kita masih mempunyai pilihan yang lebih efektik dalam jangkamasa panjang.
Dan tahukah anda, buku-buku mengenai atheisme dan tokoh seperti Nietzsche, Schopenhauer dan Dawkins, berlambak di dalam perpustakaan UIA?
Buku-buku dan tokoh-tokoh tersebut sudah berhabuk menunggu untuk dibaca dan dibahaskan.
Tidak pula universiti ini mengharamkan buku tersebut. Dan ini membawa kita kepada isi penting yang ketiga.
[caption id="attachment_5416" align="aligncenter" width="1024"]
Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption]
3) Universiti tidaklah sekuat mana untuk mengatur dan mengawal pergerakan mahasiswa
Antara hujah yang dilontarkan oleh saudari Afiqah ialah mahasiswa sering kali tidak dapat menganjurkan wacananya sendiri tanpa campur tangan pentadbir.
Malah panelis-panelis ditapis bagi mengelakkan panelis yang kritikal terhadap kerajaan menghasut mahasiswa.
Contoh paling jelas ialah tragedi yang menimpa beliau sendiri.
Beliau dan Presiden MPP universiti tersebut, saudara Hanif Mahpa, digantung pengajian selama setahun hanya kerana melaksanakan forum GST dan membawa masuk panelisnya YB Rafizi Ramli.
Berikutan hukuman oleh pihak pentadbiran universiti kepada kedua rakan saya ini, saya sepenuhnya bersolidariti dan menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak berasas itu.
Namun, saya tidak bersetuju sekiranya kes seperti ini menjadi batu asas hujah bahawa pentadbiran universiti sentiasa campur tangan program mahasiswa dan mahasiswa tidak bebas berwacana.
Hujah saya begini :
a) Tidak semua ahli politik pembangkang tidak dibenarkan masuk berforum di dalam Universiti Islam itu. YB Rafizi dihalang masuk, tetapi berjaya diseludup. Tak dinafikan sekatan tersebut.
Tetapi YB Ong Kian Ming, YB Yusmadi Yusoff, YB Mujahid Rawa, Dato` Saifudin Abdullah dan lain-lain pernah berforum secara aman di Universiti Islam tersebut.
Nama-nama yang saya sebut ini hadir di forum-forum yang mana saya sendiri menjadi peserta dan penganjur.
[caption id="attachment_5413" align="aligncenter" width="1024"]
Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption]
b) Tidak semua forum atau seminar yang dianggap sensitif terhadap kerajaan ataupun imej universiti tidak dibenarkan.
Misalnya forum liberalism, feminism, sekularism dan sebagainya. Kebanyakannya (tidak semua) berjaya dianjurkan secara aman.
Saya bersama rakan-rakan lain dapat membawa masuk Khalid Jaafar yang dikenali sebagai “bapa liberal” Malaysia ini ke Universiti Islam itu.
Aktivis kontroversi seperti Kak Fadiah Nadwa juga pernah datang mengisi wacana.
Saudari Afiqah mengatakan bahawa program-program berbentuk falsafah tidak mengapa dan tidak menakutkan pentadbiran.
Ini tidak benar sama sekali. Mengapa? Ini akan merujuk kepada hujah saya yang ketiga.
c) Seringkali bukan isi kandungan forum yang menjadi masalah, tetapi tajuk forum dan strategi “branding dan packaging” wacana dan juga format yang bermasalah.
Saya beri contoh, jika kita ingin menganjurkan sebuah wacana mengkritik dasar pendidikan kerajaan, apakah tajuk yang sesuai?
“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 : Apakah relevan?”, ataupun “Konvensyen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025”?
Sudah tentu, yang pertama nampak provokatif, akan tetapi yang kedua nampak neutral, sedangkan objektifnya sama, iaitu kita mahu meneliti dasar ini secara kritis.
Dan hakikatnya konvensyen seumpama ini berjaya dijalankan secara aman, malah laporan kajian sebanyak 30 muka surat mengkritik dasar ini telahpun berjaya dihantar kepada kementerian.
Pokoknya apa? Seperti kata saudari Afiqah, pihak universiti banyak terlepas pandang. Ya, tepat sekali!
Memang universiti bukan seperti figura Bapa yang sentiasa mampu memerhatikan gerak geri dan strategi mahasiswa.
Dalam banyak-banyak forum yang dihalang, banyaknya juga yang terlepas dianjurkan secara aman. Pentadbiran universiti seringkali terlepas pandang!
Mereka tidak punya cukup “The Force” untuk mengawal lambakan wacana-wacana anjuran mahasiswa pada setiap waktu.
Maka, kita gunakanlah kesempatan-kesempatan ini untuk “balance The Force”.
4. Kurangnya representasi mahasiswa wanita dalam aktivisme mahasiswa
Ini suatu lompong yang harus kita selesaikan. Kita harus tanya apakah faktornya? Apakah wanita tak diberi peluang? Atau mereka sendiri yang tidak punyai keyakinan diri?
Atau sistem patriariki yang sudah terlalu lama membenam rasa percaya diri bahawa wanita juga boleh kehadapan dalam memimpin gerakan aktivisme?
Atau penyakit konsumerisme yang membarah?
Saya tidak mampu menjawab persoalan ini secara tuntas. Dalam forum tersebut, persoalan-persoalan ini masih tidak dijawab secara tuntas,.
Akan tetapi, setiap satu jawapan diatas mempunyai “partial truth” yang menyumbang secara keseluruhan.
Mahasisiwi harus sedar yang mereka sebenarnya lebih ramai berbanding lelaki di dalam universiti.
Sekiranya kekuatan mereka dimobilisasi untuk gerakan intelektualisme dan aktivisme, pastinya perjuangan mahasiswa akan mendapat manfaat yang tiada tolok bandingnya.
Akhir kata, perbincangan seputar forum ini membawa kita kepada persoalan-persoalan baru terhadap kebebasan mahasiswa yang tidak sempat saya tulis dalam satu artikel.
Misalnya, apakah beza kebebasan bersuara dan kebebasan akademik? Bagaimana kita ingin memaksimakan potensi kebebasan positif yang kita miliki?
Apakah strategi-strategi baru mahasiswa zaman teknologi maklumat bagi menangani masalah yang tidak dihadapi oleh mahasiswa lampau?
Apakah mahasiswa masih ingin menempel dengan kegemilangan mahasiwa zaman 60an-80-an?
Begitu banyak persoalan yang sekiranya kita rungkai dan kupas dengan teliti, termasuklah pendefinisian dan analisa bandingan, tidaklah tulisan ini menjadi artikel, tetapi sebuah buku.
“Mak Bapak Tak Bagi, Apa Nak Buat?” : Ulasan Forum & Beberapa Persoalan
Oleh Johan Zolhaidi
Keluarga kita secara alaminya dilihat sebagai golongan penguasa yang pertama. Kita yang dilahirkan membesar dengan mengikut telunjuk ibu bapa. Memahami keadaan dunia melalui penerangan mereka, dan sedikit sebanyak berbicara mengenai keadaan semasa melalui pergelutan pendapat bersama mereka.
Dan pastinya, perjalanan kehidupan kita sebaik-baiknya lancar jika tiada silap faham di antara kita dan golongan ibu bapa.
Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak yang sejak kecil, merasakan bahawa wujudnya suatu percanggahan yang nyata dengan makna dunia yang diberikan oleh ibu bapa mereka?
Bagaimanakah kedamaian boleh dicapai jika sesuatu yang benar-benar sensitif dan tabu ini diutarakan?
Begitulah antara persoalan-persoalan yang dinyatakan sewaktu berlangsungnya forum anjuran kerjasama Projek Dialog dan Dialog Jalanan dengan tajuk: “Mak Bapak Tak Bagi, Apa Nak Buat??”.
Ya, forum ini menekankan aspek hak asasi anak-anak yang bercanggah pendapat dengan ibu bapa mereka. Sesuatu isu yang bercanggah itu berbeza mengikut individu – ada yang bercanggah dari isu agama, politik, seksualiti, pilihan pasangan/gaya hidup, dan lain-lain lagi.
Seringkali kita berbicara mengenai ruang hak asasi yang berkait rapat dengan ruang awam. Tetapi bagaimana pula dengan ruang peribadi keluarga? Bukankah di dalam ruang peribadi secara alaminya wujud hairaki yang tidak dapat disangkal?
Bapa/Ibu sebagai ketua dan berada di ruang yang sama, kesedaran akan rasa hormat telah ditetapkan sejak kecil. Dan bermula dari ruang peribadi keluargalah, kesedaran untuk menentang daya kekuasaan/pemaksaan itu bermula. Harus diingatkan terlebih dahulu, artikel ini tidak dihasilkan untuk menyatakan apa yang benar dan mutlak secara didaktik.
Tetapi artikel ini mengenal pasti dan mengakui kewujudan sesuatu landasan sebagai proses dialog yang diperlukan.
Untuk apa ianya dilakukan? Untuk kewujudan empati, pengakuan akan keberadaan dan sudut pandang kewujudan manusia yang lain, dan mungkin sahaja pada akhirnya adalah pengakuan akan kedinamikan kehidupan yang tidak pernah jumud.
Sesi Dialog Jalanan pada kali ini disertai oleh Suri Kempe dari United Nations Development Programme (UNDP) dan juga Terry Nuriman, seorang aktivis muda sebagai panelis. Kedua-duanya mewakili sudut pandang peribadi untuk berkongsi pengalaman akan percanggahan pendapat dengan golongan yang membesarkan kita.
Adakah ianya sesuatu isu yang remeh? Ya jika ia bersangkutan dengan isu pilihan warna baju pada hari perayaan dan tidak jika ianya bersangkutan dengan isu agama dan hal-hal sudut pandang dunia yang mewakili realiti setiap individu yang menjalani kehidupannya sendiri.
Sikap keterbukaan dalam proses mendidik anak-anak
Soalan pertama yang diutarakan adalah kepada Suri Kempe, sebagai seorang ibu yang berkerjaya menghadapi persoalan-persoalan besar sebagai hal keagamaan dan isu seksual. Beliau menyatakan dengan jelas bahawa anak-anak secara pastinya tidak mengikut arahan dan seperti biasa arahan yang dilaksanakan adalah salah satu cara bagi mereka menyesuaikan diri mereka untuk hidup bermasyarakat.
Beliau mengingatkan para pendengar akan tanggungjawab golongan ibu bapa untuk turut terlibat dengan anak-anak mereka terhadap persoalan-persoalan seperti ini.
Dan keberanian menggalas tanggungjawab menghadap risiko terhadap pilihan-pilihan yang bakal dibuat oleh penerus baka mereka.
Keterbukaan seperti ini menurut saya, hanyalah pendekatan yang sebaik-baiknya diambil oleh golongan ibu-bapa dan tidak semestinya mencerminkan nilai-nilai yang wujud melalui mereka, baik yang konservatif ataupun progresif.
Mereka sebagai pemimpin di dalam ruang peribadi keluarga, seharusnya mengenali dan memahami kedinamikan sudut pandang anak-anak mereka, lebih-lebih lagi jika lingkungan yang wujud di keliling mereka menjangkaui hegemoni kebudayaan yang ada.
Jadi menurut Suri Kempe ada dua jenis golongan ibu bapa, pertama yang menghormati kepelbagaian pendapat anak-anaknya dan kedua adalah golongan ibu bapa yang ingin anak-anaknya membawa nilai-nilai dan sudut pandang dunia yang sama seperti mereka.
Secara biasa begitulah yang seringkali dihadapi oleh kita sewaktu berhadapan dengan ibu-bapa. Kita yang mewakili kesinambungan genetik mereka, dibesarkan oleh nilai-nilai yang difahami mereka secara tidak langsung diharuskan untuk meneruskan sudut pandang yang telah ada.
Dan jika berlakunya percanggahan pendapat, seperti yang biasa berlaku, di situlah timbulnya persoalan-persoalan akan pendekatan yang sebaiknya diambil.
Kemudian persoalan kedua diutarakan kepada Terry Nuriman mengenai keputusan beliau untuk menyatakan orientasi seksualitinya kepada kedua golongan ibu bapanya dan apakah faktor-faktor utama yang menentukan waktu bagi beliau menyatakan seksualitinya.
Beliau yang dibesarkan oleh ibu-bapa yang kuat beragama dari dua mazhab yang berlainan, disertakan dengan pendidikan keagamaan yang cukup bagi membentuk suatu perwatakan yang soleh tidak dapat menafikan orientasi seksualitinya dan keresahan itu telah memakan dirinya selama beberapa tahun, sehingga pergelutan peribadinya mendorong kepada keadaan kemurungan yang sukar dibendung.
Beliau seperti golongan muslim yang lain turut menjalani ibadah Haji, dengan harapan agar “sumpahan” yang dilaknat ini berakhir secepat mungkin dan tidak lagi ingin berselindung dengan kesedaran akan masyarakat yang tidak dapat menerima golongan sepertinya.
Tetapi mujurlah, dengan keadaan ibu-bapanya yang mampu menerima orientasinya, berupaya untuk terlibat di dalam perdebatan mengenai isu-isu seperti ini dengan penuh hormat, penuh terbuka dan tidak mempraktikkan penghinaan terhadap sesama sendiri.
Sama dengan pendekatan yang disyorkan oleh Suri Kempe, kedua-duanya menekankan aspek keterbukaan sebagai dorongan perbicaraan yang mampu membawa ke keadaan emosi yang lebih stabil.
Dan sekali lagi, sikap keterbukaan tidak bererti mendukung sesuatu ideologi yang spesifik sahaja.
Secara amnya sikap keterbukaan ini merupakan sesuatu alat yang diperlukan bagi anak-anak kita untuk menilai semula kepercayaan yang diterapkan kepada mereka sewaktu mereka membesar.
Suri Kempe memberi satu contoh di mana seorang anak yang telah memahami suatu konsep keagamaan yang dipegangnya, dipersoalkan semula oleh bapanya.
Bapanya menggunakan sikap keterbukaan yang ada bagi menilai semula apa yang dipercayai anaknya, sebagai alat yang mampu menguatkan lagi keinginannya untuk mempelajari konsep keagamaannya dengan lebih mendalam dan secara tidak langsung turut memahami konsep-konsep utama di dalam agama-agama yang lain, dengan harapan agar anaknya mampu berhujah, berbicara dan berbincang mengenai persoalan agama dengan pendekatan yang penuh hormat, jauh daripada pendekatan reaksioner yang seringkali mendorong ke arah ekstremisme yang melampau.
Dialog ini diteruskan dengan perkongsian oleh para pendengar yang hadir. Mereka meluahkan pengalaman peribadi mereka mengenai perselisihan pendapat akan persoalan-persoalan yang besar.
Salah satu daripada pendengar yang hadir pernah menerima ugutan mati, hanya kerana beliau dengan penuh keberanian mengakui akan konsep keagamaan yang jelas bercanggah dan berlainan dengan keluarganya yang lain, sehinggakan sokongan kewangan untuk meneruskan pelajaran juga turut ditarik balik.
Dan sinilah, pada akhirnya yang dipersoalkan adalah pendekatan keluarga terhadap percanggahan pendapat di dalam sesuatu hal.
Dan akhirnya Suri Kempe memberi suatu contoh yang baik. Beliau mengaitkan sikap keterbukaan dan proses berdialog dengan memberi contoh di mana suatu organisasi yang melaksanakan pendidikan seks di kalangan anak-anak kecil menggunakan pendekatan dialog di kalangan ibu bapa dan ini dilaksanakan di Afghanistan.
Mereka membuat kaji selidik akan hal-hal seksual yang ingin diketahui oleh anak-anak kecil. Terkejut dengan hasil-hasil kata kunci yang diberi anak-anak kecil tersebut, mereka mulai melaksanakan dialog dengan golongan ibu-bapa yang pada awalnya menolak pendidikan seks kepada anak-anak.
Dengan berlangsungnya dialog yang mengambil masa yang lama, mereka bekerjasama untuk menggunakan pendekatan berteraskan kesepakatan sesama mereka mengenai cara-cara untuk menjawab persoalan-persoalan seksual yang semestinya lambat laun akan dipersoalkan oleh anak-anak mereka.
Berdasarkan proses dialog seperti inilah, penekanan akan sikap keterbukaan merupakan sesuatu yang perlu diterapkan, meskipun dihalangi dan dicabar oleh golongan-golongan reaksioner.
Persoalan-persoalan yang timbul
Jika dinilai semula akan dialog yang diadakan ini, apakah persoalan-persoalan ataupun kritikan yang timbul?
Pertama menurut saya, mampukah perkongsian pengalaman seperti ini, secara konkritnya mampu membawa kepada perbincangan yang lebih substantif seperti isu-isu teknikal ataupun kewujudan beberapa tokoh-tokoh besar yang sedang kuat menentang wacana yang hegemoni, konservatif dan mengongkong polisi-polisi tempatan, ataupun mampu membawa perbincangan seperti ini ke tahap yang lebih luas?
Mungkin sahaja disebabkan tajuk forum yang melibatkan golongan ibu bapa dan perselisihan pendapat di dalam ruang peribadi secara tidak langsung membawa tanggapan yang agak subjektif, jauh daripada topik-topik hangat yang diutarakan oleh golongan-golongan aktivis.
Kedua bagaimanakah sikap keterbukaan yang ditekankan oleh para panelis dapat dilaksanakan secara sistematik di sini? Salah satu kekurangan yang terdapat di dalam dialog ini adalah kurangnya pendekatan-pendekatan yang berlandaskan program yang jitu.
Ini memberi tanggapan kepada saya bahawa hasil perkongsian peribadi ini agak terbatas dan tidak mampu menjangkaui ke tahap yang seterusnya.
Ketiga, bagaimana pula dengan golongan-golongan minoriti yang tidak dibesarkan dengan sikap keterbukaan akan persoalan-persoalan yang sensitif, yang seringkali dibelenggu oleh keadaan kemiskinan yang melampau?
Bukankah pendekatan yang ditekankan ini semestinya berlainan perlaksanaannya? Kekurangan contoh dari golongan miskin yang menghadapi percanggahan pendapat seperti inilah yang seharusnya ditekankan, kerana pastinya tahap keterbukaan turut dipengaruhi oleh keadaan sosioekonomi seseorang.
Pengalaman-pengalaman merekalah yang seringkali dipinggirkan apabila dialog-dialog seperti ini dibuka untuk perbincangan ramai.
[caption id="attachment_5402" align="aligncenter" width="400"]
Sumber gambar: Reddit[/caption]
Kesimpulan
Akhir kata, sikap keterbukaan merupakan sesuatu yang mampu dipraktikkan dengan pendekatan yang menekankan proses sebagai sesuatu yang penting. Hasil daripada sesuatu proses adalah sesuatu yang bakal berlangsung di dalam jangka masa lama.
Maka tidak dapat tidak proses akan perbincangan seperti hal-hal ini (di dalam sesi dialog ini adalah isu perselisihan pendapat di dalam ruang peribadi) adalah sesuatu yang harus dihargai, dan pada masa yang sama mengakui akan kurangnya landasan bagi sesuatu isu yang sensitif seperti ini di kalangan penduduk tempatan.
Proses seperti ini memberi peluang kepada para pendengar untuk turut mengakui akan keberadaan golongan minoriti yang masih bergelut dengan realiti yang dibentuk oleh mereka.
Realiti yang semestinya disertai dengan cemuhan, permusuhan dan penindasan dalam pelbagai bentuk, dari ruang publik hinggalah ke ruang peribadi.
Ruang perbincangan kritis seperti ini, sama seperti ruang-ruang yang lain adalah permulaan yang dengan penuh harapan, dapat dilaksanakan dengan konsisten.
Projek Dialog di Freedom Film Fest – Filem Apa?
Dialog Melalui Haluan Media Popular
Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah.
Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam.
Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar.
Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua.
Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini.
Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular.
Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One.
Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis.
Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan.
Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua.
Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi.
“Viral,Sial!” oleh David Buri
Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”.
Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin.
Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan.
Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini.
Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini?
Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet?
Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini.
Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko.
Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki?
Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya?
Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas?
Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki?
Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat?
Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada?
Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil.
Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya.
“Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail
“Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.”
Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata.
Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia.
Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan.
Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini.
Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan.
Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan.
Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara?
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha.
Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan.
Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau.
Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua?
Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini.
Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati.
Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita.
Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota.
Gambaran Keseluruhan
Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara.
Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa.
Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja.
Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya.
Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita.
Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun?
Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat.
Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata?
Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan.
Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas.
Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia.
Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.
Dikarang oleh Johan Zolhaidi
Solidariti Bersama Rumah Api!
Do-It-Yourself untuk menyalurkan kemarahan dengan positif dalam menolak pengkomersialan syarikat korporat. Rumah Api turut bersetiakawan bersama-sama komuniti “nomad”, “squatters” serta masyarakat di pinggiran justeru menjadikan Rumah Api sebagai ruang untuk didengar dan dihargai. Rumah Api sentiasa membuka pintu untuk kelompok sub-budaya, aktivis-aktivis dan organisasi-organisasi lain untuk perjumpaan, kerja bengkel, forum, “benefit” dan sebagainya. Rumah Api turut terlibat menyediakan ruang dan sumber-sumber lain untuk Food Not Bombs. (alih bahasa dari http://rumahapi.weebly.com/about.html). Berikut merupakan rentetan serbuan Rumah Api :- 1. Pada 28-8-2015, Jumaat, sekitar jam 11 malam, satu serbuan oleh pihak polis telah dilakukan ketika gig sedang berlangsung di Rumah Api. 2. Dalam serbuan tersebut, seramai 120 (±) orang yang telah ditahan. 3. Tanpa memaklumkan sebab, penahanan telah dilakukan. 4. Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan. 5. Setelah semalaman penahanan mereka, akhirnya pihak polis mendedahkan bahawa mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Hiburan, Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan. 6. Permohonan mereka untuk mendapatkan khidmat guaman tidak dipedulikan oleh pihak polis sedangkan setiap individu yang ditahan mempunyai hak terhadap akses khidmat guaman. 7. Mereka telah dibawa ke hadapan majistret untuk permohonan reman. Majistret telah membenarkan tempoh reman selama 4 hari terhadap dua tahanan lain dan 3 hari kepada teman-teman yang lain bermula dari 28-8-2015. 8. Antara 120 (±) orang tersebut, terdapat beberapa teman luar negara termasuklah dari Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat, Jerman dan Sepanyol. 9. 19 orang tersebut dibawa ke Balai Polis Hulu Kelang manakala teman-teman wanita Rumah Api pula dibawa ke Balai Polis Pandan Indah. 10. Seorang teman telah dibebaskan pada 29-8-2015 atas sebab kesihatan. 11. Teman-teman selebihnya dibebaskan pada tengah hari 31-8-2015. Mon, teman dari Filipina dibebaskan pada 1-9-2015. Bubu, teman dari Indonesia baru sahaja dibebaskan pada 2-9-2015 setelah tahanan remannya dipanjangkan selama 3 hari atas alasan masalah imigresen. 12. Kami dimaklumkan, sewaktu dalam tahanan, ada teman-teman wanita telah dilayan dengan tidak wajar. Mereka hanya dibenarkan menukar tuala wanita di hadapan pegawai polis sebanyak 3 kali sehari sahaja. 13. Bagi teman-teman dari Filipina dan Indonesia pula, mereka tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan pelawat. Hanya wakil dari kedutaan masing-masing sahaja yang dibenarkan. Di dalam melihat rentetan peristiwa yang berlaku sejak 28-8-2015, terdapat beberapa kepincangan dalam Tatacara Pengendalian Piawai (‘SOP’) pihak polis menggunakan kuasa secara sembarangan. Penggunaan kuasa secara semberono ini cukup jelas apabila pihak polis tidak mendedahkan sebab serbuan dan penahanan. Selain itu, proses untuk mendapatkan akses khidmat guaman juga telah dilambatkan serta layanan yang tidak adil kepada beberapa teman-teman yang ditahan. Masalah visa dan rekod imigresen yang digunakan pihak polis sebagai alasan untuk memanjangkan tempoh tahanan reman teman-teman dari Filipina dan Indonesia juga sangat meragukan. Penambahan 3 hari untuk tempoh reman terhadap teman dari Indonesia menambahkan lagi keraguan. Tidakkah 3 hari terlalu lama untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut? Penggunaan Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan terhadap teman-teman juga merupakan penyalahgunaan undang-undang yang drakonian terhadap rakyat, sekaligus ianya membuka risiko kepada penyalahgunaan undang-undang oleh pihak polis terhadap individu mahupun mana-mana pergerakan untuk didakwa dengan akta lapuk. Tindakan pihak polis dalam serbuan dan penahanan ini sekaligus bertentangan dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (The Universal Declaration of Human Rights). Ini adalah prejudis pihak polis terhadap imej ruang komuniti termasuk sub-budaya dan muzik. Akhir sekali, solidariti teman-teman Rumah Api ini turut disampaikan buat mereka yang berterusan dalam menggerakkan ruang-ruang autonomi dalam proses pemberdayaan masyarakat menolak ketidakadilan serta kekejaman aparat penguasa. Pernyataan ini disokong oleh: #tahukahkome 265 distro 321 go! Distro Advocates of the Propagation of Science Literacy Angkara AKAJITA Ankbktnoisescape Ansara ANTIFA Terengganu Attack to the Front Azmi Sharom Azrul Mohd Khalib Basic Right Black River City Skinhead Backroom Council Bad Idea BareXHand Benzoate Besut Skinhead Black Demons Bobbie Jaggae Books & Destroy Bukit Beruang Disorderly Buku Jalanan Bandar Melaka Buku Jalanan Dungun Buku Jalanan Embayu Buku Jalanan Ipoh Buku Jalanan Kota Bharu Buku Jalanan Kota Kinabalu Buku Jalanan Klang Buku Jalanan Labuan Buku Jalanan Machang Buku Jalanan Shah Alam Buku Jalanan Temerloh Buku Jalanan Titi Cah’Jinggos Centre for Independent Journalism Chronic Mass Classwar Cookies Street Cookery Darkroom Studio Deleted Books Press DEMO UNTUK RAKYAT Dendang Kampungan Dendo Records DERITAxTERUS Distaste Dorian Wilde Dum Dum Tak Embrace Hall Faisal Tehrani Falsafah Kedai Kopi Far Haus Cafe Fazleena & The Lasykar FCSP Selangor Section foxhole records Frinjan Gang DTSC Geng Kotak Gerakan Hapus Akta Hasutan Glasswar Greg Lopez Guerilla Gardening Malaysia GTHC Hellexist HausKultur Project Hidden Motives Highland Workers Union Hitcock Human First Collective Ineza Roussille Ivy Josiah Jasmine and Sun John McBaren KaryaRaya Resource Kedai Anak Merdeka Kelab Bangsar Utama Keep the Faith keladak Keningau Skinhead Crew KerbauWorks Studio KLHC Kolektif Anak Muda Insaf (KAMI) Kotakata Knowledge and Rights with Young People through Safer Spaces (KRYSS) Kuala Berang Under Lake Kuantan East Side Crew Kuantan Palm City Hardcore Kumpulan Sasterawan Kavyan Kolektif Sarata Kolektif Taring Padi Kratom City Hardcore Kolektif suara kita (KOSUKA) Komisariat Demokrasi KuBu La Letrice LANGGARxLARI Lawyers for Liberty Lee SlimShady Liberal Liberalis Lion City Hardcore Lyana Khairuddin Magic Borneo Beads maimuna merican Makassar Crew Malacca City Hardcore Malacca Lakhanat Skinheads Crew Manusia Stereotypical Marina Mahathir Matt Hamzah Memoir Distro Moncino Punk Mosh Zine Muzzamer Rahman My Ladybugs Chenta Robot Froggie Nadira Ilana Nerve Records Nervhous records Network Of Solidarity Collective Nik Salim dan Saing-Saing Nine noisemongers records North-South Initiative Nyaring Records Oh My Perlis Oi! On Business Old Silver Army Syndicate Orchid std hall Ori Streets Gear Orkes Rakyat Tertindas Osmantikus Ovethrown Pangrok Sulap Parti Sosialis Malaysia Pascatorama Media Patin Rock City Pesakid Plague of Happiness Positive X Youth Poskod.my Puchong Wolfpack Pulling T Plumbum Street Crew Pooks Records And Distribution Projek Dialog Projek Tikus Bandar PUNCA Pusat Sekitar Seni Pustaka kolektif Rawang Region Skinhead Reason to Resist Redrum Region of Love REPULSIVE REGURGITATION ZINE Royal Rebel Kidz Rumah Bayang Rumah Natang School of Acting Justly, Lovingly Tenderly, Treading Humbly scumbag kids Seismic Sekolah Aktivisme Sekolah Demokrasi Sekolah Falsafah Serikat Mahasiswa Sharon Chin Sheiko Reto Sidexkick Silver State United Skinhead Sinopsis Sisterhood Hooligan Sisters in Islam SixTNineth St Slapjaw Soul Savior Sunshine Honey and the Penis Vibrator Steak Daging Kacang Ijo Stick No Bill Street Boundaries Street83Clothing Street Soldier Strength Thru SUARAM Sudut Kiri Sweet Nightmare Skateboard Taufiq Ali Tanpa Nama The BangsArt The Korok The Maniacs The Nationhead Teori Timur The RiceCooker Archive The Wall Titah Tanji Tools of the Trade Turtles Revolt twt_indie UndiMsia! Universiti Kaki Lima Universiti Terbuka Anak Muda Uthaya Sankar SB Urchins Bovverbrigade Wak Kundang Wasted Youth KB Wild Dogs Brigade Workers Junior Stuff Writers Alliance for Media Independence Wroteoff Yee I-Lann Youth Blast Records Zedeck Siew Zine Satu Malam Pernyataan solidariti ini dikarang oleh Buku Jalanan Shah Alam.
]]>Pendidikan Merawat Sikap Kediktatoran (Bahagian 2)
Diktator, Masyarakat Diktator & Ketakutan Kolektif
Sebagaimana ditulis pada bahagian pertama, kewujudan pemerintahan diktator (atau separa diktator) sangat berkait rapat dengan wujudnya masyarakat yang diktator.
Sementara masyarakat tersebut terbentuk daripada individu-individu yang hidup dalam suasana ‘pendidikan kediktatoran’.
Antaranya, mereka merupakan masyarakat yang menyerahkan tanggungjawab mereka kepada “pihak yang bertanggungjawab” semata-mata.
Tanggungjawab selaku manusia dan warga terhad sekadar untuk diri (dan ahli keluarga terdekat), tidak lebih daripada itu. Mereka juga sebuah masyarakat yang punya sikap takut secara kolektif.
Ketakutan secara kolektif menyebabkan mereka takut membantah sebarang ketidakadilan, takut melapor kesalahan pihak berkedudukan, lebih rela berdiam diri dibungkam suara dan kebebasan dan seumpamanya.
Sifat takut secara kolektif itu hakikatnya berasal daripada sifat takut yang ada dalam individu-individu, lalu tergabung dan menjadi lebih besar.
Media Propaganda & Ketakutan Kolektif di Negara-negara Demokrasi
Sifat takut secara kolektif itu turut dibentuk oleh propaganda sebahagian media.
Rakyat dialih fokus supaya takut dengan bangsa dan kumpulan tertentu, sambil diajar untuk “berani” menerima bahawa rasuah, penipuan dan sebagainya “tidak mengapa” demi kepentingan mereka, dan supaya “orang lain” tidak merampasnya.
Justeru ketakutan asalnya sebuah sikap sesetengah individu, berubah menjadi kolektif.
Suasana persekitaran seperti alat kekuasaan yang mengambil kesempatan melakukan pendidikan kediktatoran menerusi penyebaran sifat ketakutan.
Selain itu, sebahagian penguasa kadang-kadang mencipta “musuh” dalam negara dan luar negara, demi menghalalkan proses penyahdemokrasian.
Rakyat ditakutkan dengan “musuh” tertentu, media lalu menyebarkannya. Kadang-kadang musuh yang diciptakan ada dalam negara; seperti para pemimpin politik atau pemimpin gerakan sosial yang tidak sehaluan dengan pemerintah.
Kadang-kadang musuh yang diciptakan itu ada di luar negara; seperti badan dan kumpulan tertentu.
Apabila telah tersebar kewujudan musuh, maka beberapa undang-undang dan akta baharu diperkenalkan, walaupun peraturan-peraturan itu bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, tetapi ia menjadi halal demi keselamatan negara!
Kita boleh melihat realiti ini dalam dunia antarabangsa, termasuk oleh negara yang mengaku paling demokratik dan jaguh hak-hak asasi manusia.
Amerika melancarkan “perang terhadap keganasan” (war on terrorism), secara terangnya ia dituju kepada Islam dan para penganutnya. Atas slogan tersebut, mereka mula mendemonisasi badan, pertubuhan dan tokoh-tokoh tertentu yang beragama Islam.
Media-media ternama pula menyampaikannya dengan berkesan. Istilah-istilah tertentu seperti “jihad”, “hijab” dan “Islamis” ditafsirkan dengan tafsiran tertentu, disebarkan media-media antarabangsa dan ia akhirnya menjadi tafsiran popular dalam kalangan sesetengah pihak.
Sesetengah masyarakat dunia yang “demokratik” pula merelakannya, demi keselamatan “kami” dan “kita”!
Seperti konteks ketakutan kolektif dalam perbincangan kita di atas, ia turut terpakai dalam dunia antarabangsa; ketakutan secara individual oleh sesetengah negara akhirnya membentuk ketakutan kolektif, dan akhirnya negara-negara “kuasa besar” membuli masyarakat antarabangsa dengan pelbagai slogan muluk atas nama “kebaikan kita”.
Tanpa disedari, akhirnya semua pihak bercakap tentang jaminan keselamatan, ancaman, ketakutan, musuh dan sebagainya, lalu emosi menguasai minda; khasnya dalam pelaksanaan dasar dan interaksi antara manusia yang berlainan identiti (kaum, agama, jantina, kecenderungan politik dan sebagainya).
Dek kerana ketakutan sebegitu; “kita tidak lagi boleh berfikir dengan tenang, rasional dan dengan erti sebagai manusia.”
Hukum Alam: Rahsia Perubahan Sosial
Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha mengubahnya . Fethullah Gulen telah menyatakan:
“Islam menganggap sesuatu masyarakat terdiri daripada manusia berkesedaran yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan orang lain.
Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik.
Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah, bertentangan dengan pendekatan fatalistik sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialisme dialektik dan historisisme.
Sepertimana kehendak dan kelakuan individu menatijahkan hasil kehidupannya di dunia mahupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri.
Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah dirinya [berkenaan keyakinan, pandangan dunia dan gaya hidup]”
Inilah rahsia perubahan sosial zaman-berzaman, segala perjuangan dan perubahan yang besar pasti bermula dengan perubahan yang datang dari dalam diri manusia.
Jika ketakutan meninggalkan kesan besar dalam cara berfikir manusia; di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, maka menanganinya merupakan suatu tanggungjawab.
Pendidikan Membentuk Struktur Sosial, Melawan Ketaksuban & Korupsi
Keberanian datang dari dalam diri manusia, jalan terbaik untuk membentuknya sudah tentu menerusi pendidikan.
Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan.
Masyarakat pula menjadi penentu sama ada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut.
Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan.
Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksanakannya.
Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan:
“Kita bercakap tentang kekayaan namun kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.
Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang.
Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini.
Sudah tentu ini merupakan asas korupsi dalam politik, hubungan kuat antara kehebatan seorang manusia dengan kekuasaannya – idea meluas tentang kepahlawanan, bagaimana untuk menyembah mereka, inilah masalahnya, dan ini juga yang membawa kepada korupsi.”
Mencipta Keberanian & Pendidikan Demokratik
Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu dalam menggerakkan masyarakat menuju kesedaran dan tanggungjawab.
Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala.
Pendidikan (menerusi apa medium sekalipun) haruslah mengajar keberanian; berani untuk memberi pandangan, mempertahankan hak, membuat laporan atas sebarang ketidakadilan dan sebagainya.
Bagi masyarakat Muslim – pada pandangan saya – antara medium yang baik untuk mendidik keberanian ialah menerusi proses pengajaran keagamaan yang berlangsung di pelbagai tempat.
Selain berkait dengan sistem kepercayaan dan psikologi, pendidikan berkaitan undang-undang juga sangat penting dalam mencipta keberanian.
Manusia akan bertambah berani dan yakin apabila mereka tahu akan hak-hak mereka yang terjamin dalam perlembagaan, selain setelah mereka tahu saluran dan prosedur yang sepatutnya.
Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti.
Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, teater jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan.
Pentingnya Persaudaraan Sejagat
Melahirkan masyarakat yang berani, demokratik, bertanggungjawab dan ada misi kemanusiaan haruslah turut disertai dengan penerapan nilai-nilai sejagat yang dikongsi semua pihak.
Salah satunya ialah nilai persaudaraan. Nilai persaudaraan sangat penting dalam membendung suasana ketakutan dan pembulian oleh kekuasaan.
Atas nama persaudaraan kemanusiaan, maka kita membela hak golongan yang tersisih dan dinafikan hak mereka.
Ia asasnya bermula dari dalam diri, menerusi latihan dan didikan oleh keluarga, sekolah, komuniti masyarakat dan sebagainya.
Persaudaraan kemanusiaan dan kenegaraan akan menyebabkan kita mendahulukan perbincangan dalam kebanyakan perkara, menghindari permusuhan, kritikal terhadap media dan kekuasaan, serta berwaspada dengan cubaan-cubaan penyebaran sikap ketakutan membuta tuli (sudah tentu ketakutan dalam keadaan tertentu, ada relevannya) dalam masyarakat.
Dalam sesebuah negara, kita ibarat berada dalam sebuah bahtera yang sedang berada di tengah-tengah lautan luas. Demi kebaikan dan kepentingan bersama, sebarang tindakan dan langkah yang diambil haruslah dianggap penting.
Demikian juga dalam konteks antarabangsa, kita semua adalah warga dunia yang satu, ibarat dalam sebuah bahtera yang besar dan memerlukan kita sentiasa cuba memastikan peranan kita dalam memelihara kebaikan dan menolak kejahatan.
Disebabkan latar belakang yang berbeza (sosial, agama, bangsa, negara dan lain-lain), menjadi suatu yang amat rumit untuk kita mencapai kata sepakat dalam setiap perkara.
Oleh itu ia menjadi suatu kemestian untuk kita bersetuju untuk tidak bersetuju namun bersepakat dalam hal-hal asas yang bersifat kenilaian sejagat.
Dialog & Tawaduk
Dialog juga tidak semestinya akan menyebabkan kedua-duanya mencapai persetujuan dalam setiap perkara, tetapi setidak-tidaknya dialog akan mengurangkan kebencian tanpa asas antara dua (atau lebih) pihak yang berbeza.
Menurut perspektif Islam, mengutamakan dialog dan kerjasama dalam hal-hal berbentuk nilai sejagat menjadi antara sifat asasnya, sambil bersedia untuk bertegas dalam hal-hal yang menjadi asas keyakinan (bersetuju untuk tidak bersetuju).
Asasnya ialah rasa sifat tawaduk dan tidak meninggi diri.
Tawaduk sekalipun sangat ditekankan dalam pemikiran Islam, namun ia tetap sebuah nilai sejagat yang mesti disebarkan.
Tawaduk bukan sebuah “kerendahan hati” lalu menyebabkan kita menyerahkan diri kepada sebarang penyalahgunaan kekuasaan.
Tapi tawaduk ialah sebuah nilai yang mengajar kita merendah diri, mendengar, meluaskan bacaan dan menambah persahabatan.
Tawaduk menyebabkan kita sentiasa mahu belajar dan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan.
Dalam dialog (dan bahkan seluruh kehidupan kita), nilai tawaduk sangat penting dan merupakan sebuah perhiasan ketamadunan.
Paulo Freire turut menekankan kerendahan diri dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed sewaktu membincangkan tentang dialog dan hubungannya dengan pembebasan. Katanya:
“Bagaimanakah saya mengambil bahagian dalam sesuatu dialog jika saya sentiasa melemparkan kejahilan terhadap orang lain dan tidak melihat diri sendiri?”
Kebebasan, Kemanusiaan & Moraliti
Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator, sementara pendidikan merupakan asas rawatannya.
Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan.
Walaupun keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, namun keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan.
Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract:
“Menolak kebebasan bererti menolak kemanusiaan, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan.
Untuk mereka yang menolak segalanya, tiada penebusan yang mungkin.
Penolakan sebegitu tidak selari dengan fitrah manusia; membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moraliti daripada tindakannya.”
Renungan & Kesimpulan
Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab:
“Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai kecuali ke atas golongan diktator.
Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya.
Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhan yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.”
Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah.
Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”.
Ketakutan mesti ditukar menjadi keberanian dan tawaduk mesti menggantikan sikap keangkuhan.
Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik.
[Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 5 Mei 2014]
Kebebasan Agama atau Non-Dialog: Yang Mana Satukah Ancaman?
OIC & Hak Asasi Manusia
Kebebasan beragama adalah bahagian penting dari Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR).
Fakta sejarah menunjukkan pada tahun 1972 negara-negara Islam melalui OIC, telah bersetuju untuk mendukungi UDHR secara penuh. Ann Elizabeth Mayer yang menganalisis Resolusi OIC tahun 1972 tersebut menyatakan, negara-negara anggota OIC telah pun memperakukan yang UDHR bersesuaian dengan nilai-nilai agama Islam:
“Piagam Persidangan Islam 1972, organisasi antarabangsa yang dianggotai semua negara Islam, dengan jelas menyokong undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, menganggapnya serasi dengan nilai-nilai Islam.
Dalam Mukadimah Piagam, dua perenggan menegaskan bahawa ahli-ahli –
BERTEKAD untuk memelihara nilai-nilai spiritual, etika, sosial dan ekonomi Islam, yang akan kekal sebagai salah satu faktor penting dalam mencapai kemajuan bagi manusia;
MENEGASKAN komitmen mereka kepada Piagam PBB dan Hak Asasi Manusia, menjadikan tujuan dan prinsipnya sebagai asas kerjasama yang berfaedah di kalangan rakyat.
Kedudukan rasmi negara Islam menyokong kesimpulan bahawa piawai hak asasi manusia antarabangsa yang dirangka PBB dianggap serasi dengan undang-undang Islam oleh penggerak – kerajaan – yang kelakuannya tertakluk kepada pengawasan melalui prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa (Ann Elizabeth Mayer, 1991: 14).
Kebebasan Beragama VS Murtad
Salah satu isu hak asasi manusia yang paling kontroversial membabitkan agama Islam ialah persoalan murtad, atau apostasia. Para sarjana Islam sering berdepan dengan pertanyaan daripada pejuang hak asasi manusia berkenaan kebebasan beragama.
Mohammed Abed al-Jabri, seorang Profesor dalam bidang falsafah di Maghribi sebagai misalan, terpaksa mempertahankan Islam dengan nada yang sedemikian defensif, untuk menjelaskan isu rumit ini:
“… kita harus sedar bahawa kedudukan murtad dalam undang-undang Islam tidak jatuh di bawah kebebasan kepercayaan, tetapi apa yang dikenali sebagai pengkhianatan besar, dengan menggunakan senjata menentang masyarakat dan negara.
Mereka yang bercakap mengenai hak asasi manusia pada hari ini, dengan penekanan terhadap kebebasan kepercayaan, tidak bermaksud kebebasan untuk mengkhianati negara, masyarakat dan agama sendiri, atau kebebasan untuk merampas harta orang lain, atau kebebasan untuk bersubahat dengan musuh.
Oleh itu, kebebasan adalah satu hal, murtad hal yang berbeza. Perundangan moden dijangkakan supaya memutuskan sama ada orang Islam yang memilih untuk mengamalkan agama lain, secara peribadi, dan tidak memberi kesan kepada masyarakat Islam atau negara, patut dianggap murtad dalam erti perundangan tradisional atau seperti yang dijelaskan oleh ayat-ayat di atas, di mana si murtad diancam dengan hukuman yang besar di akhirat, tanpa merujuk kepada hukuman bunuh” (Mohammed Abed al-Jabri, 200)
Secara ringkasnya, pandangan Al-Jabri tersebut meletakkan gejala meninggalkan agama Islam sebagai satu jenayah politik, dan bukannya ‘jenayah agama’.
Kemurtadan, apostasia atau apa sahaja yang seerti dengannya dilihat sebagai satu pengkhianatan, malah penderhakaan terhadap agama Islam.
Sebahagian besar perbincangan tentang kebebasan beragama dalam Islam, termasuk yang dianalisis oleh Al Jabri adalah sekitar ayat 256 surah al Baqarah;
‘tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui’ (Tafsir Pimpinan Ar Rahman).’
[caption id="attachment_4849" align="aligncenter" width="475"]
Rachid Ghannouchi[/caption]
Pandangan Al Jabri tersebut bukanlah baharu memandangkan Rachid Ghannouchi (1993: 44-50) dalam al Hurriyat al-‘Ammah Fid Daulah al-Islamiyyah, telah pun menyamakan apostasia dengan ‘jenayah hasutan’.
Ghannouchi, justeru, dalam karya tersebut menyatakan tindakan meninggalkan agama Islam tanpa ‘menjejaskan citra agama Islam’ adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan selalu berlaku hari ini.
Selepas penerbitan al Hurriyat al-‘Ammah Fid Daulah al-Islamiyyah, sekali lagi dalam kuliahnya untuk Cardiff Islamic Society pada tahun 1997, Ghannouchi menegaskan, hukuman terhadap seseorang Islam yang murtad hanyalah satu urusan ijtihad.
Ini dikesan menerusi pertikaian antara para sahabat Rasulullah SAW khususnya dalam menentukan perang terhadap golongan murtad ketika awal pemerintahan Abu Bakar. Tindakan memerangi golongan murtad yang dilancarkan oleh Abu Bakar tersebut, awalnya dibantah oleh beberapa sahabat ternama termasuk Umar al Khattab (Azzam S Tamimi, 2001: 191).
Beza Ghannouchi dan Mohammed Abed Al Jabri adalah, Al Jabri berpendapat ‘kebebasan adalah satu hal, murtad hal yang berbeza.’ Ghannouchi pula menegaskan apostasia hanya menjadi sesuatu yang serius jikalau maruah ‘Islam dicemari’.
Dua pandangan di atas, masih kelihatan samar. Al Jabri dan Ghannouchi malah tidak ditanggapi sebagai sarjana pengajian Islam.
Dalam tahun 1992, Mohamed Talbi, seorang sarjana terhormat dari University of Tunis, Tunisia, dan mahir dalam bidang tafsir al-Quran menulis tentang hak-hak untuk memilih beragama.
Menurut Talbi, pilihan beragama dan kepercayaan adalah urusan sukarela hatta ibu bapa tidak mempunyai hak untuk memaksakan ke atas anak-anak mereka pilihan kepercayaan mereka:
“Mengikut pengetahuan saya, antara semua teks yang diwahyukan, hanya al-Quran menekankan kebebasan beragama dengan begitu khusus dan jelas. Iman, iaitu iman yang benar dan teguh, perlulah merupakan suatu yang benar-benar bebas dan sukarela.
Sehubungan ini, ia eloklah ditekankan bahawa ayat yang dirujuk itu bertujuan untuk menegur dan mengutuk sikap sesetengah orang Yahudi dan Kristian yang, apabila baru memeluk agama Islam di Madinah, bersedia untuk menukar agama anak-anak mereka sekali bersama mereka.
Oleh itu ia jelas menegaskan bahawa iman adalah satu perihal dan komitmen individu peribadi dan ibu bapa sendiri mesti menahan daripada bercampur tangan mengenainya.
Sifat iman itu sendiri, seperti yang ditekankan dalam teks asas Islam secara jelas dan tidak dapat disangkal, seharusnya tindakan sukarela yang lahir daripada keyakinan dan kebebasan” (Mohamed Talbi, 2009: 109).
Tentu sahaja, dari pandangan Islam, seseorang yang memilih untuk keluar dari agama Islam melakukan ‘kesilapan’, akan tetapi itu adalah pilihan sendiri.
Mohamed Talbi menegaskan, mereka yang memilih agama selain Islam telah diberi amaran bahawa Islam adalah agama kebenaran; dan keselamatan di akhirat tidak ada pada agama lain:
“Sememangnya orang murtad diberi amaran: sesiapa yang memilih murtad, setelah meyakini di sudut hati bahawa Islam itu benar, adalah berlaku tidak adil, dan oleh itu kehilangan hidayah Allah, diikuti segala akibat berkenaan keselamatan mereka” (Mohamed Talbi , 2009: 115).
Di hujung makalah beliau yang terkenal itu, Talbi menekankan, meskipun ‘terkutuk secara moralnya’; urusan seseorang yang murtad bukan sama sekali urusan penguasa.
Malah, pilihan untuk menukar agama tersebut harus dihormati, ‘kebebasan beragama secara asasnya dan juga akhirnya merupakan satu penghormatan bagi kedaulatan Allah dan misteri perancanganNya untuk umat manusia’.
Murtad dalam Sejarah Tamadun Islam
Sejarah juga menjadi bukti, pemerintahan Islam bersikap begitu longgar terhadap ‘Crypto Jewish’ dan ‘Crypto Christian’, malah ia pernah menjadi fenomena meluas ketika pemerintahan Uthmaniyyah satu masa dahulu.
Terminologi crypto merujuk kepada ‘mereka yang pandangan keagamaan dan amalan mereka tidak bersesuaian dengan agama rasmi anutan mereka dan selalunya menyembunyikan hakikat tersebut dari masyarakat awam’.
Terminologi ini tidak eksklusif untuk Yahudi dan Kristian sahaja, malah, setelah Sepanyol jatuh ke tangan Kristian, masyarakat Islam yang tidak berhijrah ke daerah-daerah di Afrika Utara dan memilih untuk menetap di Sepanyol turut menjadi Crypto Muslims (Moriscos).
Maurus Reinkowski (2007: 416) menegaskan ‘crypto Jews’ dan ‘crypto Christians’ adalah golongan murtad, ‘sudah tentu sepatutnya dianggap sebagai murtad; mereka telah mengakui sebagai umat Islam, dan kemudiannya pergi jauh dari Islam ‘.
Tetapi pemerintah Islam khususunya Uthmaniyyah bertolak ansur dengan mereka. Cryptos hanya dihukum apabila secara ‘berterusan’ mencabar ‘kedaulatan Islam’ (Selim Deringil, 2000: 547-575).
Pentadbiran Agama di Malaysia
Di Malaysia, semua urusan perihal Islam diurus, ditadbir, dikendali dan ditentukan secara penuh oleh pemerintah.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom (2012), Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai misalan menyatakan Islam adalah agama rasmi menurut perlembagaan Malaysia, makanya setiap anak yang dilahirkan sebagai seorang Islam hendaklah kekal sebagai seorang Islam.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (2012), Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dengan nada yang hampir sama memberi jaminan yang:
‘untuk setiap Muslim, pemerintah bertanggungjawab memastikan nilai-nilai Islam dipraktik dan dilaksanakan. Oleh kerana itu madrasah (surau), sekolah agama, Universti Islam, ceramah agama dan kuliah agama di TV dan radio dipupuk oleh pemerintah demi memastikan orang Islam tidak terkeluar dari jalan Islam.’
Malaysia seperti yang kita semua maklum, mengamalkan undang-undang Islam dan sivil (versi Malaysia) dan ia diurustadbir oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dan Mahkamah Syariah.
Fakta sejarah tidak dapat dimungkiri lagi bahawa urusan agama di dalam genggaman kerajaan sepertinya yang dilihat hari ini merupakan warisan penjajah Inggeris.
Moshe Yegar, seorang penyelidik berbangsa Yahudi dan rakyat Israel dari Hebrew University of Jerusalem pernah menetap di Malaysia dari bulan November 1964 sehingga hujung 1965.
Hasil penelitian Yegar, beliau menerbitkan sebuah buku akademik yang kandungannya memuji ‘kebijaksanaan British’ dalam memperkenalkan birokrasi Islam di Malaysia sehingga Islam akhirnya menjadi satu jurus yang tertentu dan terhad di bawah satu pentadbiran:
“Secara umum, toleransi British terhadap Islam, secara tidak langsung, sedar dan tidak sedar, sangat berguna dalam pengembangan dan pengukuhan Islam secara perundangan dan pentadbiran.
Tetapi pemeliharaan dan pengukuhan asas tradisional kuasa dan organisasi sosial yang tersirat dalam dasar British, dan peningkatan komunikasi serta pemusatan progresif, bergabung untuk membentuk pentadbiran agama yang lebih autoritarian daripada yang sebelumnya.
Pemerintahan penjajah dengan itu mengakibatkan tumpuan kepada doktrin dan pentadbiran autoriti agama di tangan hierarki pegawai yang bergantung kepada sultan untuk jawatan dan kuasa.
Raja-raja dan Majlis Negeri mula memikul tanggungjawab yang lebih luas dalam hal ehwal agama. Sistem undang-undang sivil dan jenayah yang bertulis dan dikanunkan mewujudkan tekanan untuk sistem perundangan Islam yang lebih formal, yang seterusnya digubal oleh Majlis Negeri.
Mahkamah ditubuhkan, prosedur undang-undang ditetapkan, dan birokrasi undang-undang ditubuhkan untuk mentadbirnya. Penubuhan baru badan pegawai agama kini berfungsi di mahkamah Sultan dan juga di kampungan.
Kebanyakan daripada perkembangan ini (terutamanya perundangan mahkamah syariah), sementara memenuhi satu keperluan yang sebenar, juga merupakan peniruan terhadap model pentadbiran Barat dalam suatu bidang yang anehnya dirasakan oleh kaum Melayu sebagai ciptaan mereka sendiri.
Walaupun telah wujudnya kadi, undang-undang syariah, dan pembatasan Islam dalam masa dan tempat yang lain sebelum ini, kaum Melayu telah menambah kaedah penguatkuasaan undang-undang oleh pertubuhan agama rasmi yang teratur” (Moshe Yegar, 1979: 266).
Institusi Islam di Malaysia
Penginstitusian Islam seperti yang terlihat pada Jabatan Kemajuan Agama Islam hari ini, menurut Yegar membuahkan semacam ‘Islam autoritatif’ yang dipertahan oleh Malaysia sebagai ‘satu urusan di bawah takluk perlembagaan’.
Tentulah sangat menjengkelkan buat ramai ‘agamawan konservatif’, hakikat bahawa seorang ahli akademik Israel seperti Moshe Yegar pernah hadir di negara ini dan ‘memuji’ pula warisan kepintaran British, iaitu pentadbiran agama Islam sebagai ber‘model Barat’.
‘Pujian’ Moshe Yegar terhadap legasi penjajah Inggeris ini bagaimanapun tidak disambut baik oleh antropologis terkenal di Malaysia.
Abdullah Taib (1985: 226) misalnya pernah menyatakan, ‘Sejak tahun 1920-an beberapa buah negeri di Tanah Melayu telah menubuhkan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu. Hingga ke hari ini sudah hampir 60 tahun majlis itu berjalan atas nama seperti itu. Penubuhan Majlis Agama ini ialah hasil ‘kebijaksanaan’ penjajah Inggeris.’
Penggunaan tanda kurung untuk ungkapan ‘kebijaksanaan penjajah Inggeris’ menunjukkan rasa kurang selesa Abdullah Taib. Bahkan dalam kajian beliau tersebut, peranan Jabatan Agama Islam dalam menyudutkan nilai-nilai lokal dikritik secara halus, dan secara akademik tentunya.
‘Islam institusi’ yang diperkenalkan oleh penjajah inilah yang perlahan-lahan mulai ‘menggelisahkan’ bahagian-bahagian hidup segelintir rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam.
Persoalan ini menjadi semakin dramatik dan kontroversial baru-baru ini, seperti yang terpapar dalam surat pembaca Steve Oh (2012) kepada Malaysiakini. Pandangan peribadi dan kebebasan berekspresi Oh boleh sahaja ditanggapi sebagai ‘menghasut’.
Namun demikian, ‘kegelisahan’ warga Malaysia yang bukan beragama Islam seperti Steve Oh mesti ditangani dengan dialog dan keterbukaan. Amalan mendiamkan orang seperti Steve Oh tidak membawa apa-apa manfaat jangka panjang.
[caption id="attachment_4851" align="aligncenter" width="478"]
World Muslim Congress[/caption]
Kebebasan Agama di Malaysia
Kebebasan beragama di Malaysia memang sering menjadi sasaran kritikan luar. Sebagai contoh, Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2007, dalam laporannya menyatakan:
“Pihak berkuasa negera memaksa undang-undang agama Islam yang ditadbir melalui mahkamah Islam ke atas semua etnik Melayu (dan umat Islam yang lain) dalam perundangan keluarga dan hal-hal sivil yang lain.
Orang Islam secara amnya tidak dibenarkan bertukar kepada agama lain walaupun Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama.
Mahkamah tertinggi negara memutuskan dalam tempoh laporan ini, bahawa umat Islam yang ingin memeluk agama lain hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Mahkamah Syariah.” (Jabatan Negeri Amerika Syarikat, 2007).
Sebagai catatan, pada tahun 2007 tersebut, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Lina Joy untuk menggugurkan kata Islam dari kad pengenalannya.
Permohonan Joy, yang dilahirkan sebagai Azlina Jailani tersebut telah dinafikan kerana mahkamah memutuskan, oleh kerana agama asal Joy adalah Islam maka ia merupakan sebahagian dari urusan Islam.
Justeru, hanya Jabatan Agama Islam sahaja boleh memutuskan secara rasmi kedudukan Joy sebagai seorang Kristian. Keputusan mahkamah tersebut disambut oleh World Muslim Congress dengan tempelak:
“Kebebasan kepercayaan bermaksud bukan sahaja kebebasan untuk memilih agama, tetapi juga kebebasan untuk menukar agama. Walaupun Islam menganggap murtad adalah dosa yang besar, namun ini di antara Tuhan dan individu masing-masing.
Apabila ia hanya peristiwa murtad, ie, hanya menukar agama seseorang tanpa keganasan atau khianat terhadap negara Islam atau umat Islam, prinsip kebebasan agama dalam Islam menuntut bahawa si murtad harus diberi kebebasan seperti yang dikurniakan Tuhan.
Pendirian tradisional nampaknya menjadi asas yang menyebabkan mahkamah sivil Malaysia menanggung perkara tersebut di bawah pengkhianatan atau keganasan.
Apa yang menggalakkan ialah perubahan pendapat di kalangan umat Islam yang berpaling daripada pandangan tradisional ke arah suatu yang sejajar dengan ajaran Al-Quran dan warisan Nabi Muhammad” (Kongres Islam Sedunia 2007).
Perenggan dari kenyataan media di atas, secara signifikan dikeluarkan oleh World Muslim Congress. Ia turut membantah pencabulan hak asasi manusia di Malaysia.
Harus dinyatakan, World Muslim Congress mengundang Joy untuk kembali ke agama Islam, ‘we invite our sister in humanity Lina Joy (Azlina Jailani) back to Islam’ tetapi dalam masa yang sama menggesa kebebasan beragama diberikan dan menuntut supaya pemerintah Malaysia membuang pandangan apostasia sebagai ‘pengkhianatan atau keganasan’.
Salafi Wahhabi dalam JAKIM
World Muslim Congress tentu sahaja tidak membuat tuduhan liar dan serkap jarang, ia mungkin bersandarkan pandangan pegawai Bahagian Penyelidikan Akidah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia yang sering merujuk kepada pandangan-pandangan sempit ulama salafi:
“Jika seseorang mengumumkan murtadnya kepada orang ramai dan menunjuk-nunjukkan kepercayaan barunya, maka dia telah mengisytiharkan serangan dalam bentuk persepsi (al-harb al-fikriyyah) terhadap Islam dan kepercayaannya.
Tindakannya akan meningkatkan atau membenih keraguan dalam hati umat Islam yang lain.
Pada waktu itu, perbuatan murtad tidak harus dilihat dari sudut hak individu untuk menukar agama, tetapi dari segi “hirabah” (unsur serangan ke atas asas-asas agama yang merupakan tiang kerajaan Islam.
Oleh itu, langkah segera patut diambil untuk memulakan proses penyediaan penjelasan untuk membersihkan keraguan orang tersebut, memintanya bertaubat dan jika dia tetap berdegil dan berkeras untuk murtad, akhirnya adalah hukuman mati atas dasar” hirabah” [al-qatlu hirabatan]).
Ini bermakna, murtad tidak dihukum bunuh kerana kekafiran mereka, namun kerana hirabah. Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma’idah yang bermaksud:
“Sesungguhnya, hukuman bagi orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan berusaha di bumi [untuk menyebabkan] kerosakan tidak lain kecuali mereka dibunuh atau disalib atau tangan dan kaki mereka dipotong dari sisi yang berbeza atau mereka diusir dari tanahair… “.
Walaupun ayat tersebut ditakrifkan oleh kebanyakan sarjana Islam sebagai ayat yang menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah dan perompak, ia tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah suatu tindakan yang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya (SAW).
Oleh itu, beberapa ulama Salaf berpendapat bahawa hukuman bunuh untuk murtad diambil dari ayat ini juga, selain daripada hadith-hadith sahih yang berfungsi untuk menjelaskan perkara tersebut.” (Mohd Aizam Mas’od).
Pandangan ekstrim di atas tentu sahaja dapat dipermasalahkan untuk sebuah negara berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Mereka yang menuntut kebebasan beragama misalnya dengan mudah ditanggap sebagai penghasut dan penjahat dengan niat buruk terhadap Islam.
Adakah pandangan di atas, pandangan Ahlus Sunnah wal Jamaah? Atau hanyalah pandangan minoriti ulama wahabi yang terkenal sebagai pembantah dialog?
Kebebasan Beragama Menurut Sarjana Syiah
Jika demikian, bagaimanakah seharusnya kebebasan beragama menurut Islam? Mohamed Talbi, seorang Sunni, menyatakan kebebasan adalah mutlak milik peribadi, dan hukuman adalah milik Tuhan kemudiannya.
Jika demikian, apakah ada pandangan alternatif yang dapat dikutip dari sekolah pemikiran Islam yang lain pula?
[caption id="attachment_4853" align="alignleft" width="314"]
Mohsen Kadivar[/caption]
Mohsen Kadivar, seorang ulama dan ahli akademik yang mengajar di Tarbiat Modarres University, Tehran telah menulis sebuah makalah yang penting berhubungan perkara ini.
Makalah tersebut dibentangkan di Kongres Antarabangsa Hak Asasi Manusia dan Dialog Ketamadunan di Tehran, pada 6 Mei 2001.
Menurut beliau, kebebasan beragama dan kepercayaan yang digariskan oleh Islam mengizinkan seseorang Muslim untuk menukar agamanya, menganut agama lain dan tiada hukuman patut dilaksanakan ke atasnya.
Muslim yang murtad itu bagaimanapun tetap berdosa, dan ia adalah urusan dirinya dengan Tuhan. Kadivar menulis:
“Kebebasan beragama dan kepercayaan bererti hak seseorang individu untuk bebas memilih mana-mana ideologi dan agama yang disukainya.
Ia juga bermakna kebebasan dan hak untuk berfikir, berpegang kepada kepercayaan dan nilai, mengekspresikan agama dan pendapatnya, mengambil bahagian dalam upacara dan amalan agama, dan untuk bebas mengajar nilai-nilai keagamaan kepada anak-anak dan penganut seagama.
Begitu juga kebebasan beragama bermaksud hak menjemput orang lain ke agamanya, untuk berdakwah dan menyebarkan agamanya kepada ahli-ahli masyarakat, untuk membina rumah-rumah ibadat, untuk meninggalkan dan keluar daripada agama seseorang, dan kebolehan untuk bebas mengkritik agamanya dan ajarannya.
Kebebasan beragama bermaksud kebolehan melakukan semua ini secara bebas selagimana hak dan kebebasan orang lain tidak dilanggar, dan ketenteraman awam dan moraliti tidak terganggu.
Kebebasan beragama dan kepercayaan adalah mungkin apabila, tanpa mengira kepercayaan seseorang, dia tidak dianiaya kerananya dan hak sivik dan individunya tidak ditarik kerananya” (Mohsen Kadivar, 2009: 119-120).
Pembukaan makalah Kadivar seperti dikutip di atas menunjukkan setiap orang mempunyai hak untuk mempromosi dan meyakini kepercayaan masing-masing.
Kadivar menegaskan, ‘tiada paksaan dalam agama’ seperti yang dinyatakan dalam surah al Baqarah ayat 256 adalah dalil yang nyata supaya kebebasan beragama secara kukuh dipertahankan, dan menghukum seseorang yang meninggalkan Islam adalah tidak dibenarkan.
Kadivar seterusnya menjelaskan, ‘ayat itu diturunkan sebagai jawapan kepada pertanyaan yang dibuat oleh salah seorang sahabat Nabi bernama Abulhussien, seorang Ansar yang salah seorang anak saudagarnya telah memeluk agama Kristian’ (Mohsen Kadivar, 2009: 132-133).
Menurut Kadivar lagi, hukuman mati terhadap seseorang yang meninggalkan agama Islam secara jelasnya bertentangan dengan formula ‘tiada paksaan dalam agama tersebut’.
Tanpa menafikan mereka yang meninggalkan Islam itu melakukan dosa besar dan hal yang sepatutnya ialah supaya mereka terus beriman, Kadivar dalam masa yang sama mempertikaikan hukuman berat terhadap seorang Muslim yang meninggalkan Islam.
Sebagai seorang Syiah, sumber syariah menurut Kadivar adalah bersandarkan kepada ahlul bayt.
Kadivar merungkaikan, hukuman mati terhadap seseorang yang murtad hanya dapat dan boleh dilakukan ketika 14 maksumin (dua belas Imam Syiah termasuk Rasulullah SAW dan Fatimah az Zahra) masih hidup atau hadir sebagai panduan dan rujukan masyarakat Islam.
Kadivar juga membahaskan, hukuman mengambil nyawa seseorang haruslah dilakukan dengan penuh waspada dan tanpa sumber hukum yang benar-benar sahih dan terang, ia tidak dapat dilakukan, memandangkan Islam amat menghargai nyawa setiap makhluk:
“Pertamanya, tiada keraguan bahawa semasa hayat nabi dan 12 Imam Syiah, hukuman mati untuk murtad adalah perkara biasa.
Individu-individu ini mengetahui undang-undang syariah dan ketentuan ilahi lebih baik daripada orang lain, dan ia tidak dibenarkan untuk meragui kesahihan pengadilan mereka.
Yang terbuka kepada tafsiran, bagaimanapun, adalah kesahihan penghakiman sebegitu semasa ketiadaan mereka. Malah, ia tidak jelas sama ada ajaran tersebut adalah sah untuk sepanjang zaman atau terhad kepada zaman Empat Belas Yang Maksum sahaja.
Ulama Syiah terbahagi kepada dua aliran pemikiran tentang hal ini. Pandangan yang lebih biasa melarang pembunuhan si murtad apabila Empat Belas Maksum tiada, di mana beberapa ulama Syiah menyetujui.
Oleh kerana hukuman bagi si murtad telah disentuh dalam syariah, ia tidak boleh dilaksanakan tanpa kehadiran Empat Belas Maksum.
Kepentingan pendapat ini menjadi diperbesarkan memandangkan bantahan lain terhadap hukuman murtad yang telah disebutkan.
Keduanya, semua tradisi mengenai hukuman mati untuk murtad diambil daripada satu sumber. Kesahihan suatu tradisi adalah berdasarkan usul dan penerimaan beberapa ulama.
Dalam banyak isu penting, ulama tidak bergantung kepada kekuatan sumber tunggal untuk menentukan kesahihan tradisi. Apabila berkaitan pengambilan hidup manusia, kemajmukan sumber pastinya diperlukan.
Hak semulajadi seseorang untuk hidup hanya dapat ditamatkan apabila terdapat ajaran khusus mengenainya, seperti ayat Al-Quran atau suruhan yang jelas. Pembunuhan si murtad tidak boleh dilakukan jika hanya berdasarkan satu sumber” (Mohsen Kadivar, 2009: 141).
Pandangan Kadivar tersebut tentu sahaja ditanggapi sebagai ‘liberal melulu’ untuk mereka yang memilih untuk tidak bersetuju dengannya.
[caption id="attachment_4854" align="aligncenter" width="480"]
Muhammad Legenhausen[/caption]
Murtad, Menurut Sufisme
Muhammad Legenhausen, seorang ilmuan dan ahli falsafah yang mengajar di Qom, Iran turut melihat isu ini.
Cuma sebagai pengkaji sufisme, Legenhausen melihat isu ini menerusi kaca mata berbeza, iaitu sebagai seorang pendukung pluralisme:
“Mereka yang memilih agama selain Islam membuat kesilapan, sama ada secara dusta atau jahil. Oleh kerana tiada cara untuk kita untuk menentukan samaada ianya kerana jahil (boleh dimaafkan), di mana hubungan baik dengan orang bukan Islam adalah mungkin tanpa membiarkan ketidakadilan, anggapan kesilapan yang jujur adalah tanggungjawab moral bagi kita” (Muhammad Legenhausen, 2005: 70)
Pandangan Mohsen Kadivar di atas sangat penting, kerana ia menunjukkan kesediaan dunia Islam Syiah untuk berubah dan hidup secara harmonis dengan komponen masyarakat yang lain.
Ia menjadi isyarat sudah berlakunya perubahan sikap yang signifikan dalam Islam.
Ini berbeza misalnya pada tahun 1968, apabila Sultanhussein Tabandeh membentangkan makalah beliau yang berjudul A Muslim Commentary on the Universal Declaration of Human Rights di Tehran International Conference on Human Rights.
Dalam makalahnya tersebut, Tabandeh secara keras menegaskan, seseorang Islam yang meninggalkan agama Islam harus dibunuh, dan wanita murtad mestilah dipenjara seumur hidup dengan kerja paksa sebagai buruh (Sultanhussein Tabandeh, 1970: 72-73).
Realiti Kepelbagaian Malaysia & Non-Dialoguers
Suara-suara alternatif dari dunia Sunni, mahupun Syiah seperti Mohamed Talbi dan Mohsen Kadivar yang menjarakkan diri dari pandangan-pandangan tradisional jelas boleh direnungi bersama khususnya untuk Malaysia yang berdepan dengan kepelbagaian kepercayaan.
Malaysia berdepan kesukaran untuk mempunyai pilihan lain kerana umat Islam di Malaysia harus hidup rukun dengan umat bukan Islam. Fakta bahawa ‘Islam autoritatif’ dipusakai dari penjajah membuktikan, ada bahagian lampau Malaysia yang perlu dimuhasabahi.
Cabaran kepada isu kebebasan beragama di Malaysia hari ini adalah apabila pentadbiran agama yang diwarisi dari penjajah ini mulai dibanjiri dan diduduki oleh agamawan ‘non dialoguers’.
Siapakah ‘non dialoguers’? Mereka wujud dalam agama Islam, mahupun Kristian, dan menjadi ancaman besar kepada kemanusiaan.
[caption id="attachment_4856" align="aligncenter" width="514"]
Jacques Waardenburg[/caption]
Jacques Waardenburg (2003: 440-441) menghuraikan siapakah ‘non dialoguers’ dan bahaya mereka sebagai ancaman senyap kepada masyarakat, khususnya yang berbilang kaum dan agama seperti masyarakat di Malaysia:
“Satu lagi masalah ialah gerakan ideologi agama, Islam atau Kristian, yang hanya mahu berpegang kepada asas-asas dan integriti agama mereka dan memaksakannya ke atas orang lain.
Mereka menutup diri daripada apa yang dikatakan atau dilakukan orang lain.
Idea-idea mereka memberi saksi kepada kebergantungan diri, sehingga mereka tidak dapat melihat sebarang keperluan untuk berhubungan dengan ‘yang lain’.
Sebaliknya, agama-agama lain merupakan ancaman kepada mereka. Mereka memanggil diri mereka Pembela Agama, atau pembela Tuhan secara kiasan, namun sikap mempertahankan diri ini seiring dengan sikap militan terhadap orang lain.
Mereka mungkin menggunakan dialog untuk sebab-sebab taktikal, dalam mengejar matlamat jelas bagi diri mereka.
Di kalangan umat Kristian, saya berfikir bukan hanya tentang mereka yang dikatakan fundamentalis dan Evangelikal, tetapi juga pendakwah tegar yang bagi mereka semua umat Islam harus menjadi Kristian, dan golongan konservatif yang melihat tradisi mereka sebagai kekal sepanjang zaman dan bagi mereka tiada pilihan lain yang wujud.
Di kalangan umat Islam, saya berfikir terutamanya tentang gerakan ‘Islamis’ yang cenderung untuk mentakrif Islam dengan versi tertentu mereka sendiri atau yang sebenarnya hanya mahu mengejar kepentingan politik.
Mereka mungkin berfikir bahawa mereka mengetahui apakah agama Kristian dan mengapa mereka menolaknya. Di sini juga, sudah tentu, terdapat ultra-konservatif yang serupa dan wujud di mana-mana agama.”
Perenggan di atas menunjukkan betapa mencabarnya usaha dialog.
Jacques Waardenburg (2003: 441) menambah, hubungan agama akan selamanya tidak harmoni jika ‘non-dialoguers’ dibenarkan menjadi jurucakap dan mewakili agama masing-masing kerana mereka menutup diri dari komunikasi dengan pihak lain.
Jikapun dialog berlaku, ia berlangsung dengan prasangka dan niat untuk memenangkan, bukan untuk saling memahami dan mengenali.
Terdapat banyak apostasia senyap seperti yang pernah berlaku dalam sejarah Islam dengan kehadiran ‘Crypto Jews’ dan ‘Crypto Christians’ dalam masyarakat Islam. Ternyata, bahaya atau ancaman yang disumbang oleh mereka tidaklah begitu besar.
Pemerintah Islam dalam sejarah malah sedia bekerjasama dengan mereka, atau memberi mereka jawatan pentadbiran. Lantaran itu, mereka yang menyeru kepada hak asasi manusia tidak wajar ditangani sebagai ‘musuh’, berbanding ancaman lantang ‘non-dialoguers’ yang menolak untuk berhubung dengan ‘dunia luar’.
Agamawan ‘non-dialoguers’ dengan pakatan kumpulan ultra nasionalis sentiasa bersedia untuk menggunakan posisi, kuasa dan kelebihan yang mereka miliki dalam pemerintahan untuk menindas sektor masyarakat yang tidak berupaya.
Di tangan mereka, ‘non-dialoguers’ dan ultra nasionalis ini; hak asasi manusia sentiasa berpotensi untuk dicabul dan dinodai. Merekalah ancaman senyap yang boleh meruntuh kesentosaan dan kerukunan masyarakat.
[Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 13 November 2012]
Octoberfest dan Halloween: Fahami budaya, hormat kepelbagaian
Perbezaan pendapat
Perbezaan pendapat antara ahli politik PAS juga menarik perhatian saya sepanjang mengikuti perkembangan isu ini. Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mengatakan pesta arak ini mesti dicegah segera manakala Ahli Parlimen Shah Alam iaitu Khalid Samad menyatakan pesta ini tidak boleh dihalang.
Nasrudin Hasan berpendapat negara tidak boleh dibiarkan membangun dengan budaya mungkar dan maksiat kerana ia akan membinasakan tamadun dan maruah, dan negara ini tidak mendapat keberkatan dan akan dimurkai Allah. Manakala Khalid Samad berpendapat Islam mengiktiraf yang arak bukan sesuatu yang haram mengikut ajaran agama mereka.
Saya akur bahawa Persekutuan Malaysia adalah negara ber-Perlembagaan dan Islam adalah agama rasmi. Namun, saya berpendapat dalam meraikan kepelbagaian masyarakat yang berbilang kaum dan agama, adalah tidak wajar jika beban masyarakat majoriti diletakkan ke atas masyarkat minoriti.
Sewajarnya masyarakat minoriti sedaya upaya menghormati senstitiviti masyarakat majoriti dan pada masa sama masyarakat majoriti tidak sewajarnya menidakkan apa yang ingin dilakukan masyarkat minoriti walaupun bertentangan dengan prinsip mereka.
Jadi, kunci utamanya adalah hormat-menghormati serta saling memahami antara satu sama lain.
Provokasi?
Tindakan segelintir politikus daripada parti DAP yang mempromosikan pesta Octoberfest sebagai tanda solidariti dan memuat naik gambar aktiviti mereka ke laman media sosial bukanlah sesuatu idea yang bijak. Ditambah dengan sensitiviti segelintir umat Muslim di Malaysia yang terlalu sensitif telah menyemarakkan api yang membara.
Memang diakui politikus juga mempunyai hak peribadi dan kebebasan sivil mereka menggunakan media sosial, namun niat mereka tidak menghalalkan cara.
Berkaitan dengan pesta Octoberfest, biarlah ianya menjadi urusan peribadi dan tidak perlulah diwar-warkan sehingga mendapat litupan media dan mengundang rasa tidak senang kepada rakyat yang beragama Islam.
Sebagai politikus mereka merupakan public figure yang menjadi pemimpin serta teladan rakyat. Rakyat menilai apa yang politikus lakukan. Penghakiman mereka mungkin salah namun sebarang tindakan yang mendatangkan syak serta mendatangkan ketegangan kaum dan agama wajar dielakkan.
Sejarah Octoberfest dan konteks kita
Saya juga ingin berkongsi maklumat tentang “Octoberfest” dan hukum minum arak dalam agama Kristian Katolik. Pesta Octoberfest adalah budaya yang berasal dari Bavaria, Jerman.
Jika dilihat dari sudut kaca Barat, pesta ini ada baik dan buruknya. Yang baiknya, pesta ini juga disambut sebagai aktiviti sampingan gereja bagi mengumpul dana untuk melakukan kebajikan.
Ianya bukan semata-mata acara minum bir tapi juga pesta makanan dan pesta bida barang lama untuk dijual. Yang buruknya, pesta ini disalah gunakan sehingga membuatkan orang mabuk.
Jadi mohon izin untuk saya kategorikan aktiviti ini dalam konteks Islam; saya boleh kategorikan pesta ini sebagai “harus” jika dilakukan dengan berhemah. “Makruh” jika tidak beretika. “Haram” jika mengundang mabuk dan menyinggung umat agama lain. “Halal” jika ianya untuk mencari dana kebajikan.
Hukumnya jelas bagi penganut Katolik: “Kebajikan penguasaan diri menjauhkan segala bentuk keterlaluan: tiap penggunaan makanan, minuman (alkohol), rokok, dan ubat-ubatan yang berlebihan. Siapa yang dalam keadaan mabuk atau dengan kecepatan tinggi membahayakan keamanan orang lain dan keamanannya sendiri di jalan, di air, atau di udara, membuat dosa besar.” (Katekismus Gereja Katolik, 2290)
Arak dan budaya
Persoalan mungkin timbul: bukankah arak itu diminum untuk mabuk?
Tanggapan itu adalah kurang tepat. Arak seperti wain juga digunakan dalam upacara Misa Kudus dalam Gereja Katolik dalam menghidupkan kembali peristiwa Perjamuan Terakhir sebelum Kristus disalibkan.
Ajaran Katolik telah membataskan arak hanya diminum dalam keadaan sederhana. Jadi jika diminum selain daripada upacara dan bagi tujuan sosial maka pengawalan diri adalah penting untuk mengelakkan mabuk dan seterusnya mengundang masalah ketenteraman awam.
Sebagai contoh salah satu Gereja Katolik di Amerika Syarikat boleh dijadikan case study bagaimana acara ini dimanfaatkan untuk kebajikan sebagai acara tahunan mereka yang saya lihat lebih pada manifestasi budaya masyarakat Barat. Ianya tidak diamalkan gereja di Malaysia, kerana kurang sesuai dek menghormati sensitiviti umat Islam.
Pesta Halloween : Asal usul dan sudut Katolik
Tetapi, belum lagi pulih kemarahan segelintir umat Islam mengenai Pesta Octoberfest, malam Halloween pula dijadikan mangsa. Ada segelintir pihak konservatif Muslim mengkritik isu penganjuran ‘Malam Halloween’ di sebuah sekolah antarabangsa di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Promosi aktiviti tersebut dengan kain rentang dan papan iklan besar pada mula mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Seremban dan kemudian ditarik balik setelah mendapat aduan daripada kumpulan Islam.
Antara persoalan yang dibangkitkan sebagai sentimen oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang terlibat dalam aduan tersebut menyifatkan acara itu sebagai “budaya barat” dan tidak sepatutnya diadakan kerana bertentangan dengan budaya Islam.
Saya ingin menceritakan kisah disebalik ‘Malam Halloween’ yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Asal usul Halloween adalah tuntas amat bersifat Kristiani berbanding Kebaratan. Tarikh Halloween yang jatuh pada 31 Oktober berkait rapat dengan seorang Paus, sambutannya serta tuntutannya adalah kesan daripada kesalehan umat Katolik aman ‘medieval’.
Namun, Halloween jatuh pada hari terakhir Oktober adalah berkait rapat dengan pesta Para Orang Kudus yang dikenali “Solemnity of All Saints” mahupun “All Hallows” yang jatuh pada 1 November.
Upacara pesta dalam Gereja Katolik ini disambut untuk mengenang semua santo dan santa yang berada di syurga yang selalunya disambut pada 13 Mei sebelum dipindah ke 1 November oleh Paus Gregorius III pada tahun 741.
Kemudian upacara pesta ini diperintahkan untuk disambut ke seluruh kawasan oleh Paus Gregorius IV pada 840. Misa yang diadakan pada malam hari 31 Oktober itu dikenali merupakan vigil dan ianya dikenali sebagai “All Hallows Even,” or “Hallowe’en.”.
Manakala pada tahun 998, Santo Odilo dari biara Cluny di selantan Perancis, memperkenalkan pada 2 November hari khas untuk mendoakan kesemua roh saudara seiman yang telah meningal dunia. Hari khas tersebut dikenali sebagai Pesta Para Arwah ataupun All Souls Day yang tersebar dari Perancis dan diterima pakai seluruhnya ole Gereja Katolik.
Halloween era kini
Tampaknya Halloween dalam konteks pemahaman sekarang bukanlah sebagai vigil mahupun tradisi Katolik. Tradisi Halloween ini dijadikan pesta duniawi secara komersial mula dikenali dengan pemakaian kostum yang mula muncul di Perancis pada abad ke-14 dan ke-15.
Budaya pesta Halloween ini berkembang dengan pesat apabila pertembungan imigran Perancis dan Irish sewaktu koloni British di Amerika Utara sewaktu zaman 1700an. Masyarakat Irish memfokuskan pada golongan neraka manakala masyarakat Perancis memfokuskan pada golongan kuburan.
Kostum yang dikenakan selalunya setan dan iblis dari kebudayaan Eropah, manusia labu, zombie, mumia, tengkorak, makhluk angkasa luar, penyihir, kelawar, burung hantu, burung gagak, rumah hantu, kucing hitam, goblin, drakula dan manusia serigala.
Budaya trick or treat dalam Halloween sinonim dengan kanak-kanak yang datang dari rumah ke rumah untuk meminta makanan dan duit dan perlakuan nakal akan dilakukan terhadap tuan rumah atau hartanya jika permintaan diabaikan.
Budaya “trick or treat” ini juga mempunyai kaitan dengan Guy Fawkes yang turut disambut hari peringatannya pada 5 November dan terkenal dengan topeng Vandetta yang merupakan manifestasi wajahnya.
Dia seorang pemberontak Katolik yang ingin meletupkan Raja James I dan Parlimen England dengan serbuk senjata api namun gagal. Konsep “trick or treat” boleh disimbolikkan sebagai pemberontakan akan berlaku jika sesuatu hak tidak diberikan yang merujuk kepada penidasan beragama umat Katolik di England dimana Gereja Anglican adalah denominasi rasmi England.
Dipermudahkan, pesta Halloween ini tidak kurang seperti pesta Hari Santo Valentinus, pesta Paska (Easter) dan pesta Krismas yang dipopularkan untuk menepati budaya masyarakat setempat dengan niat dan tujuan tertentu.
Jikalau ada dakwaan bahawa Halloween itu pesta menyembah syaitan, adalah lebih baik dihayati asal usulnya dari sudut Gereja Katolik yang membawa pengertian murni iaitu meneladani santo dan santa yang sudah pun pasti berada di syurga serta mendoakan para arwah yang sudah meninggal bagi meringankan azab perjalanan mereka ke syurga sementara berada di tempat penantian di akhirat.
Kesimpulan: Faham isu, jangan menghukum dengan sentimen
Memang tidak dapat dinafikan, terdapat konflik antara agama serta kaitannya dengan budaya dalam dinamika masyarakat di Malaysia.
Perbezaan-perbezaan hukum agama semestinya tidak boleh dijadikan penyebab konflik; pencarian bersama akan keamanan daripada komuniti beragama merupakan sebuah sumber yang penting bagi perpaduan.
Perlu diingatkan hormat-menghormati dan saling faham-memahami antara satu sama lain adalah kunci keamanan antara penganut berbilang agama dan fahaman di Malaysia wajar dititik beratkan. J
Justeru itu, keamanan bukanlah bererti ketiadaan konflik, sebaliknya keamanan didasarkan pada suatu pemahaman yang tepat tentang peribadi kemanusiaan dan menuntut ditegakkannya suatu tatacara yang tuntas atas dasar keadilan serta cinta kasih.