Warna-warni Malaysia
Malaysia adalah sebuah negera majmuk dengan pelbagai budaya, tradisi and kaum etnik. Keadaan ini membuatkan negara kita unik, dimana kepelbagaian telah mencorakkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
Sejarah masyarakat Malaysia adalah amat berwarna dan bebas.
Banyak imigran-imigran yang dibelenggu dengan kemiskinan, kepapaan dan sistem kasta pada masa lampau berhijrah ke tanah Malaya kerana ditawarkan dengan tiket kebebasan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Jadi tidak hairanlah, pertembungan kepelbagaian ini melahirkan komuniti-komuniti yang berdarah kacukan.
Sejak kecil, saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa diri saya unik, bagi saya itu merupakan sesuatu yang lazim dalam negara kita.
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berdarah kacukan. Ayah saya merupakan seorang Cina Hokkien yang mempunyai darah kacukkan Burma-Thai, dan ibu saya pula berdarah campuran Indonesia dan Serani.
Jika saya mengupas balik sejarah nenek moyang saya, darah kacukan saya adalah amat luas. Tetapi kini, saya dikenali sebagai seorang Melayu di dalam sijil surat beranak saya.
Hal ini adalah amat menghairankan, kerana saya telah ditempatkan di dalam kotak sempit yang dilebelkan Melayu. Dengan itu, saya juga dianggap perlu mempunyai perwatakan, selera dan pemikiran seorang Melayu.
Walhal, kehidupan dan identiti saya adalah sama sekali bukan demikian. Politik pecah dan perintah (divide and rule) ini telah menyebabkan saya melalui saat-saat diskriminasi dan kekeliruan terhadap identiti saya semasa kecil.
Keterasingan Perkauman di Malaysia
Dasar pendidikan dan ekonomi bukan sahaja berat sebelah, malah masyarakat juga dipolitikkan untuk menstereotaip dan syakwasangka antara satu sama lain.
Identiti nasional Bangsa Malaysia, langsung tidak diberi perhatian daripada ahli politik, guru-guru, mahupun masyarakat. Bahkan, sejak kecil kami telah dikelompokkan dan diindoktrinasikan dengan ideologi perkauman.
Masyarakat kita, walaupun majmuk tetapi jarang sekali bergaul antara satu sama lain. Sejak kecil, saya sering didiskriminasi kerana identiti saya yang kompleks.
Saya bersekolah di sekolah Cina dan kawasan perumahan kami kebanyakannya penduduk berbangsa Melayu.
Oleh itu saya sentiasa didepani dengan kelompok-kelompok mono-etnik, menyebabkan saya sering keseorangan kerana saya tidak mencerminkan perwatakan mono-etnik.
Cinta Malaysia Dahulu Kala
Saya cemburu terhadap zaman ibubapa saya, walaupun hidup mereka tidak mempunyai teknologi canggih dan internet seperti kini, tetapi memori mereka tentang zaman itu adalah kebebasan.
Ayah saya dari sekolah aliran Inggeris pada zaman British dahulu tetapi rakan-rakan sekolahnya terdiri daripada pelbagai bangsa.
Zaman dahulu, adalah kebiasaan bagi masyarakat pelbagai bangsa mengadakan pesta joget di rumah, sama ada untuk jamuan ataupun majlis keramaian.
Seringkali, wanita zaman dahulu memakai miniskirt atau kebaya ketat, membuat rambut ala ‘sarang tebuan’, dan berdandan. Lelaki pula memakai seluar ‘bell bottom’ yang ketat dan memiliki rambut dan kumis ala ‘hippie’.
Kisah percintaan ibubapa saya adalah kisah cinta kebanyakan muda-mudi pada zaman mereka, tetapi idea perkauman langsung tidak terlintas difikiran mereka.
Kisah cinta ibu dan bapa saya bagaikan cerita ‘Grease’, bapa saya merupakan ‘playboy’ pada zamannya, sentiasa kelihatan macho dan diidami wanita dari pelbagai bangsa, tetapi ibu saya seorang yang lemah-lembut menjadi idamannya.
Bagi saya, cinta adalah sesuatu yang sangat berkuasa, ia mampu menyatukan warna kulit dan ideologi.
Kisah cinta nenek moyang saya pula berbeza, mereka lebih bebas kerana pada zaman mereka tiada keperluan visa atau passport, seseorang mempunyai mobiliti yang tiada sempadan, jadi tidak hairanlah nenek moyang saya berkahwin campur.
Datuk moyang ayah saya berasal dari negara Cina, di sebuah tempat yang bernama ‘Swatow’ di daerah Guangzhou.
Kehidupannya sangat miskin dan tiada peluang pekerjaan yang bagus, jadi, seperti kebanyakan imigran-imigran Cina pada zaman dahulu, mereka sanggup menempuh risiko nyawa di lautan Laut Cina Selatan, semata-mata keinginan untuk kehidupan yang baru dan lebih baik.
Tanah Malaya merupakan negara yang penuh dengan peluang hidup dan pekerjaan. Datuk moyang saya menjadi seorang ahli bisnes yang berjaya di Kedah, dan pada masa sama, dia telah jatuh cinta terhadap nenek moyang saya yang berbangsa Burma-Thai dari Songkla, yang lazimnya berkebaya dan bersarung.
Nenek moyang belah ibu saya juga mempunyai kisah cinta berlainan budaya. Datuk saya seorang wartawan dan sasterawan dan merupakan salah seorang kaum kerabat dari Langkat, Sumatera. Ketika itu Indonesia sedang menghadapi pergolakkan politik dan rusuhan, maka dia telah menjadi pelarian politik ke Tanah Malaya.
Namun begitu, dia telah jatuh cinta terhadap nenek saya yang berbangsa Serani. Nenek saya adalah dari masyarakat Kristang keluarga ‘De Rozario’ yang amat berdisiplin, ayahnya adalah seorang Portugis dan ibunya adalah dari kacukan Parsi dan Sri Lanka. Masyarakat Kristang dahulu amat berpegang terhadap agama katolik mereka.
Perkauman tidak menjadi masalah pada zaman tersebut, malah agak lazim keluarga-keluarga susah memberi anak mereka kepada keluarga dari bangsa lain tanpa ragu-ragu. Adik angkat kepada nenek saya berbangsa Cina.
Saya percaya, sejarah cinta ibubapa saya dan nenek moyang saya bukanlah unik atau berbeza dengan sejarah cinta kebanyakan masyarakat Malaysia dahulukala.
Retorik bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah lapuk, hal ini kerana cinta telah membuka ruang kepada kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat Malaysia kini.
Budaya dan bangsa juga adalah lebih harmoni dan berkepelbagaian jika ia dibiar bebas untuk berkembang tanpa campurtangan dari kerajaan atau negara.
Hakikat Malaysia Zaman Kini
Jadi apakah identiti Malaysia dalam abad ke-21 ini? Adakah kita masih perlu melihat diri masing-masing melalui konteks bangsa and perkauman?
Di mana-mana sekarang, masyarakat Malaysia kini terlalu taksub dengan identiti bangsa mereka sehinggakan ia memecah-belah kepercayaan dan kesamaan antara satu sama lain.
Amat ketara dilihat kelompok-kelompok mono-etnik yang terasing di negara mereka sendiri, yang masing-masing mempunyai realiti hidup dan aspirasi yang berbeza.
Identiti nasional kita terlalu lemah, apatah lagi dasar-dasar dan pemerintah kerajaan yang bersifat pecah dan perintah, dan golongan elit serta ahli politik yang lebih selesa dengan status quo.
Saya percaya kita mampu mewujudkan identiti nasional yang kukuh, tetapi bukanlah berdasarkan konsep asimilasi.
Perhatian kerajaan terlalu mengagungkan konsep kepelbagaian yang retorik dan cetek, pada masa yang sama budaya Melayu dijadikan satu-satunya tunggak identiti Malaysia.
Maka wujudnya rasisme secara terang-terangan terhadap sesiapa yang tidak mengikut acuan tersebut sebagai ‘pendatang’ dan rasisme berbalik ‘reverse racism’ oleh kaum-kaum lain terhadap masyarakat Melayu.
Kita perlu menghadapi realiti yang Malaysia merupakan negara imigran dan majmuk.
Membentuk Identiti Bangsa Malaysia
Pada pandangan saya, identiti Malaysia seharusnya berdasarkan konsep kesamaan nilai dan cita-cita.
Ini adalah konsep yang sangat asas dan universal, kerana kesamaan nilai dan cita-cita adalah matlamat asal bagi kebanyakan masyarakat Malaya dahulukala yang berhijrah ke tanah Malaya.
Tanah Malaya merupakan bumi yang subur dan kaya dengan pelbagai peluang hidup yang cerah.
Saya percaya, datuk dan nenek moyang saya berhijrah dengan harapan untuk membina kehidupan baru, dimana semua kaum dan bangsa diberi peluang untuk maju dengan sama rata.
Mungkin idea saya terlalu romantik, namun hakikatnya ini juga adalah dorongan bagi kebanyakan muda-mudi zaman sekarang untuk berhijrah ke negara-negara maju yang lain.
Mereka ingin mencari peluang hidup dan pekerjaan yang lebih baik, dan fenomena ‘brain drain’ ini akhirnya menyebabkan kehilangan yang besar bagi ekonomi Malaysia.
Jadi, apakah kesamaan nilai dan cita-cita yang ada antara semua rakyat Malaysia? Saya rasa ini tidak susah untuk kita fahami. Kebanyakan rakyat Malaysia inginkan kesetaraan, kebebasan dan keadilan.
Kita tidak semestinya perlu berperwatakan mono-etnik, berfikiran sama atau memiliki budaya yang ‘homogeneous’. Setiap manusia adalah berbeda-beda dan unik, tetapi aspirasi hidup kita adalah sama.
Saya percaya, kebanyakan masyarakat Malaysia inginkan pendidikan yang bermutu tinggi, sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan kronisme, sistem kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, pemeliharaan kebajikan pekerja, kos hidup dan perumahan yang rendah, alam sekitar terpelihara, kebebasan menjadi diri kita sendiri tanpa diskriminasi, kualiti kehidupan yang bagus, dan sebagainya.
Selain itu, kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan bangsa boleh dikecapi jika semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi untuk memajukan dan memakmurkan negara Malaysia.
Pemahaman terhadap sejarah dan budaya Malaysia yang tidak berat sebelah juga penting, hal ini kerana raykat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa telah bertungkus lumus dan berkeringat darah untuk membina negara ini.
Perpaduan kebangsaan atau ‘National Unity’ adalah sebuah proses, dimana nilai-nilai yang utuh dan cita-cita yang universal dijadikan asas identiti Malaysia yang kita semua boleh banggakan.
Walaupun aspirasi tersebut masih jauh tetapi saya percaya jika cinta dan harapan telah membawa nenek moyang saya dan ibubapa saya memanggil Malaysia sebagai ‘rumah’; cinta dan harapan juga boleh menjadi matlamat arah tuju bagi membentuk identiti Malaysia zaman kini.
[Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 29 November 2012.]
Malaysia Memihak Warga Palestin tetapi Berdagang dengan Israel
Terjemahan makalah “Malaysia Favors Palestinians but Buys from Israel” terbitan Times of Israel pada 14 Sept 2014. Diterjemah oleh Hamizah Hanan.
Hubungan dalam Diam
Pada musim sejuk tahun 2013, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak melangkah merentasi sempadan Mesir di Rafah untuk melawat Gaza di bawah pemerintahan Hamas, lawatan luar biasa oleh seorang ketua negara.
Beliau, yang negaranya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, memberitahu wartawan: “Kami mempercayai perjuangan rakyat Palestin. Mereka telah disekat dan ditindas sejak sekian lama.”
Ianya jelas beliau berpihak kepada siapa. Namun pada masa yang sama, negaranya mengimport semakin banyak barangan Israel – namun tidak diperkatakan banyak tentangnya, terutama sekali semasa di Gaza.
Data rasmi yang diterbitkan oleh Israeli Central Bureau of Statistics (CBS) menggambarkan hubungan perdagangan antara dua negara ini berkembang pesat, tetapi secara senyap, walaupun Perdana Menteri di Jerusalem mengancam keganasan dan kerajaan pimpinan Najib di Kuala Lumpur jelasnya Islamis dan pro-Palestin.
Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun 2013 mencecah $1.529 billion, hampir dua kali ganda jumlah tahun 2012, menurut CBS. Angka tersebut kebanyakannya terdiri daripada eksport Israel, iaitu sebanyak $1.457 billion.
Kadar perdagangan terus meningkat: dari Januari hingga Julai tahun ini sahaja, eksport Israel ke Malaysia melonjak kepada $884.7 million, iaitu peningkatan sebanyak 27% daripada tempoh yang sama tahun lepas.
Sebaliknya, statistik perdagangan luar negara Malaysia tidak menyebut nama Israel sama sekali. Dalam data tahunan bagi 2012 misalnya, perdagangan dengan Israel dimasukkan ke dalam kategori “Negara-negara lain”.
Mengapa Israel?
Sebahagian besar penyumbang kepada perdagangan ini adalah dari Kiryat Gat di dataran pasir selatan Israel, di mana syarikat gergasi global Intel mempunyai kilang cip komputer. Ia dieksport ke kilang pemasangan kedua di Malaysia.
Setiap penghantaran direkodkan dalam perangkaan perdagangan luar Israel tetapi sengaja diabaikan oleh Malaysia.
Intel sebuah syarikat yang berpusat di Amerika Syarikat, namun kerajaan Israel menjanjikan 5% pelaburan bersama di kilang Kiryat Gat itu, yang dianggarkan berjumlah mencecah satu billion shekel ($290 million).
Selain perdagangan barangan secara rasmi ini, terdapat juga perdagangan pesat di bawah tanah, yang nilainya sukar dianggarkan.
Para pengeksport Israel dan pembeli yang bersungguh di Malaysia dan juga negara jiran Indonesia – negara yang paling ramai penduduk Islam di dunia – dengan beraninya menentang arus politik demi perniagaan – sebahagian besarnya melalui negara ketiga seperti Singapura.
Kedutaan Israel di sana mengatakan bahawa kebanyakan perdagangan dilakukan dengan cara ini, dan dalam kes Indonesia, dengan bantuan keduataan.
Jumlah dagangan anatara Israel dan Indonesia, termasuk melalui negara ketiga, dianggarkan bernilai $250 juta pada tahun lalu, 10 kali ganda dagangan secara langsung sebanyak $24.9 juta yang diperincikan dalam perangkaan rasmi negara.
Bukan Perkara Baru, Bukan Terpencil
Perdagangan sulit antara Israel dengan negara-negara bermusuhan telah berlangsung selama beberapa dekad, melalui saluran seperti Cyprus, Turki dan Jordan.
Malah, sesetengah perdagangan secara langsung juga telah direkodkan kepada negara-negara di luar jangkaan seperti Arab Saudi dan Yamen.
Seperti dalam kes Asia Tenggara, tarikan eksport berteknologi tinggi dari Israel melebihi konflik politik pada ahli perniagaan di negara-negara ini.
Israel melihat perdagangan sebagai batu loncatan yang boleh membawa kepada lebih kerjasama dengan negara-negara bermusuhan.
Jurucakap Kementerian Luar Negara, Paul Hirschson menganggap jumlah perdagangan bersama Malaysia suatu “kejutan baik” manakala Indonesia “menngecewakan kerana rendah”
“Israel banyak berdagang dengan negara yang tiada hubungan diplomatik dengannya dan kami cukup gembira dengan ini,” katanya.
Apa Matlamatnya?
Apabila ditanya sama ada wujudnya rancangan untuk dialog rasmi, beliau menjawab:
“Ianya bukanlah rahsia yang bahawa kami berdialog secara berkala dengan negara-negara ini. Kami mengalu-alukan kewujudan hubungan diplomatik dan pejabat perwakilan.”
Buat masa ini, memulakan hubungan peribadi dalam kancah politik berbahaya ini sudahpun suatu kejayaan dalam sendirinya.
“Semasa saya di sana dan bertemu dengan ahli perniagaan swasta, ia seperti biasa,” kata Ron Doron, ahli perniagaan Israel yang berpengalaman di Malaysia. “Orang hanya menakuti pihak atasan.”
Sentimen rasmi anti-Israel disuburkan setiap kali warga Malaysia membuka passport mereka, semuanya dicetak dengan kenyataan jelas bahawa “Pasport ini sah untuk semua negara kecuali Israel.”
Namun, ini tidak menghindari perdagangan. Bahan kimia, alatan perubatan dan farmaseutikal adalah antara barangan permintaan tinggi.
Permainan Persepsi
Mereka yang berpengetahuan tentang perdagangan ini mengatakan semua produk dibuang lambang yang mampu mendedahkan tempat penghasilannya.
Ini bagi mengelakkan tercetusnya kemarahan seperti yang berlaku di Kuwait pada Januari lalu apabila khabar angin tersebar luas yang mengatakan kentang Israel dijual di pasaraya tempatan.
Perahsiaan adalah penting, kerana potensi kerosakan reputasi dan kewangan kepada syarikat-syarikat yang berurusan dengan Israel akan ada selagi wujudnya konflik Arab-Israel.
Menurut Emanuel Shahaf, naib pengerusi Israel-Indonesia Chamber of Commerce,
“Ada dua trend yang bercanggah. Trend pro adalah Indonesia menuntut barangan yang lebih berteknologi tinggi… Trend negatif adalah keadaan situasi politik yang semakin parah (berkenaan Israel).”
Walaupun begitu, menurut Shahaf, ia tidak semestinya menyekat perdagangan. “Kadangkala di Indonesia… yang dilarang itulah yang semakin menguja.”
Antara Politik dan Perniagaan
Perkembangan politik terbaru nampaknya tidak cerah, namun barangkali kemerosotan perdagangan masih tidak akan berlaku meskipun runtuhnya rundingan damai yang diterajui AS antara Israel-Palestin pada bulan April dan permusuhan dengan Hamas diperbaharui.
Buktinya, perdagangan terus berkembang maju selepas kekecohan terakhir di Gaza pada tahun 2012.
Ketegangan politik menjadikan hubungan peribadi begitu penting dalam menjalinkan hubungan baru dan mencapai persetujuan dalam perniagaan.
“Syarikat-syarikat Israel selalunya tidak mempunyai kesabaran tinggi untuk jangka masa yang panjang,” kata Doron.
“Itu salah satu masalah syarikat-syarikat Israel. Di Asia, anda perlu melihat jangka panjang. Anda tidak boleh melakukan perniagaan jangka masa pendek. Ia mengambil masa untuk membina hubungan dan keyakinan.”
Hubungan peribadi ini sedikit sebanyak telah membina asas bagi keterbukaan rakyat Indonesia kepada Israel.
Steve Stein, yang telah menyelaras program-program kemanusiaan dan pembangunan di sana sejak awal 90-an, mengatakan bahawa rakyat Indonesia melihat Israel “secara positif” dan “ingin mengembangkan perdagangan dan pelaburan.”
Ia mungkin merangkumi “program khas jangka panjang Indonesia untuk memperkembangkan kerjasama akademik, pertanian demi keselamatan makanan dan perubatan,” kata Stein.
“Ini akan mendedahkan generasi muda Indonesia kepada Israel dan rakyatnya, komuniti akademik dan perniagaannya,” tulis beliau dalam email.
November lepas, Menteri Ekonomi dan Perdagangan, Naftali Bennett membuat lawatan ke pulau peranginan Bali di Indonesia, di mana beliau berucap pada sidang kemuncak Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation).
Ia merupakan lawatan pertama seorang menteri Israel ke negara yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia selama 13 tahun. Walau bagaimanapun, ia difahamkan bahawa beliau tidak bertemu dengan mana-mana wakil kerajaan Indonesia.
Menumbangkan Mitos Islam Konservatif
Bahtera PAS – Tidak Lagi Relevan?
Jika Haron Din, Hadi Awang, Tantawi, Mahfuz Mohamad, Mokhtar Senik, Nik Abduh, Azli Musa dll yang seangkatan percayakan kekuatan mereka, pastilah mereka tidak membimbangkan ‘anai-anai’ yang mahu menyeberang ke bahtera yang lain.
Mereka sebenarnya lebih patut risaukan anai-anai yang munafik ini sekiranya masih berada di dalam bahtera mereka. Habis semua kayu akan ditokak anai-anai ini. Usaha pembersihan golongan konservatif terhadap anasir progresif sewajarnya dilihat melicinkan lagi barisan kepimpinan mereka.
Jika benar mereka kuat, mereka tidak perlu membuat cerita mimpi Nabi/Saidina Umar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa sanggahan. Apabila dibuat pusingan U-Turn, mereka dilihat sangat lemah, tidak bermaruah, tidak reti buat kerja, dan hanya reti salah-menyalahkan.
Mungkinkah kita memerlukan 100 hari lagi untuk melihat apakah hasilnya keputusan pemilihan Muktamar PAS baru-baru ini ?
Sebenarnya, PAS tidak perlu lagi menang untuk melaksanakan Islam di Malaysia. Kewujudan PAS sebenarnya semakin tidak relevan dalam perkembangan politik di Malaysia.
Dalam bahasa yang lain, apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ?
Lumba-lumba Agama Politik
UMNO, memanglah sebuah parti sekular di Malaysia, yang mengadunkan nilai nasionalisme yang pragmatik, dengan unsur agama Islam.
Dalam erti kata lain, sungguhpun UMNO sekular, UMNO juga berusaha sedaya mereka untuk melaksanakan Islam yang mereka fahami (versi rasmi / kepercayaan UMNO).
Kita tidak memerlukan PAS untuk melaksanakan Islam pun. Masjid-masjid, surau-surau, kuliah agama, sekolah, madrasah, kolej, universiti, bahkan bank juga turut diislamkan oleh rejim UMNO ini. Persaingan Islam versi PAS vs UMNO, hanya menguntungkan UMNO.
Persoalan penting yang perlu dijawab adalah; Apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ?
Tetapi perlumbaan antara kekuasaan dan pengaruh, adalah dua hal yang berbeza.
PAS sebagai gerakan Islam politikal, nampaknya lebih berpengaruh kepada massa yang bermazhab Islam politikal. Walaupun asyik menang-kalah silih berganti, dan akhirnya PAS hanya mampu mendarat dan bertahan di negeri Kelantan, pengaruh Islam versi PAS sukar dinafikan berbanding Islam versi UMNO.
Wajah politik Islam PAS yang nampak lebih reaksioner (selalu dibaca radikal) kelihatan lebih garang, lebih ketat, lebih rigid, lebih keras, dan dilihat adalah suara Tuhan yang sebenarnya (kerana mahu menegakkan hukum Tuhan, yang Tuhan menurut pembacaan mereka, adalah dalam wajah menghukum).
UMNO telah berpuluh-puluh tahun diejek sebagai sekular, meski begitu pelaksanaan Islam versi UMNO tak kurang kalah berbanding PAS, jika tak mahu dikatakan lebih baik dari PAS.
Tidak ada kemajuan progresif yang dicapai oleh umat Melayu Islam zaman PAS memerintah di Terengganu, Kedah, bahkan Kelantan. PAS tidak boleh mendabik dada bahawa mereka lebih bagus dari segi perancangan ekonomi berbanding UMNO.
Adalah memalukan sama sekali jika PAS yang seringkali mengatakan dasar/rujukan mereka adalah Quran & Sunnah (perilaku – contoh Nabi), tetapi sering menggunakan alasan Kerajaan Pusat merompak royalti untuk menjustifikasi kegagalan membangunkan ekonomi rakyatnya.
Sedangkan bagaimana Nabi SAW sendiri membangunkan ekonomi masyarakat Madinah tanpa menggunakan alasan hegemoni Quraisy Mekah?
Sekonyong-konyongnya, datanglah ISIS, menghancurkan mitos Negara Islam, sebuah mitos yang dipegang oleh hampir keseluruhan pejuang-pejuang Islam seluruh dunia.
Semuanya menjadi malu dengan imej Negara Islam versi ISIS dan mula berjarak-renggang dengan konsep Negara Islam.
Model AKP (Turki) dan Rashid Ghannouchi (Tunisia) yang ber‘teman tapi mesra’ dengan sekular mula dipertimbangkan.
Apa Konsep Kenegaraan PAS, sebenarnya?
Perlu disebutkan di sini, PAS lebih awal perlahan-lahan mencairkan slogan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan (welfare state) sebelum kemunculan ISIS.
Anjakan paradigma ini sedikit membingungkan petugas-petugas PAS, yang di dalam usrah/tamrin (program tetap pejuang Islam aliran PAS) beriman akan penubuhan sebuah Negara orang-orang Islam.
Dalam mitos Negara Islam ini, mereka sering dikhutbahkan bahawa ada beza antara ‘Negara Islam’ dan ‘Negara umat Islam’. Akan tetapi bila diminta tunjuk sebuah Negara Islam pun, pasti mereka akan garu kepala.
Atau jika diminta tunjuk, model klasik Negara Islam mana yang mereka mahu rujuk, sama ada Dinasti Uthmaniyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Umaiyah, Khulafa’ Rasyidin atau Minhaj Nubuwwah (zaman Nabi menjadi pemerintah), mereka pasti akan terkebil-kebil.
Ketika zaman dinasti, raja berkuasa mutlak, kita pun tidak jelas apakah dasar perpolitikan PAS yang sebenarnya:
1) Raja Berpelembagaan, 2) Raja Mutlak atau 3) Republik?
Yang pastinya setakat saat ini, PAS sentiasa apologetik (tidak mempunyai “blueprint” rancangan) dengan apa sahaja sistem walaupun selalu melaungkan di mana-mana, bahawa mereka antara gerakan Islam yang terawal melibatkan diri dalam pilihanraya/demokrasi (itupun mereka masih berselisih tentang demokrasi, sebagai alat atau matlamat).
Hanya Hudud senjata PAS
Maka hanya Hudud yang tinggal, yang menjadi garis pembeza antara Islam versi PAS dan Islam versi UMNO. Jika tidak ada Hudud, apakah lagi yang tinggal kepada PAS ?
Jika mereka mahu bercakap tentang ekonomi, parti-parti lain di dalam PR atau non-PR seperti PSM juga turut bercakap. Korupsi, nepotism, kronism, semuanya telah disurahkan oleh parti-parti sekular lain.
Kita tidak memerlukan PAS untuk berkisah tentang penyelewengan. Dr. Manuty di dalam PKR sendiri boleh memetik mana-mana ayat suci di dalam Quran, tanpa perlukan Majlis Ulama’ PAS.
Dasar-dasar di Malaysia yang kebelakangan ini semakin menuju ke arah Islam ala totalitarian, agak membimbangkan. Satu demi satu negeri di Semenanjung cuba menerapkan Islam ala kekuasaan mereka (sekali lagi, tanpa perlukan PAS pun, kerajaan negeri Terengganu boleh tudungkan semua perempuan).
Ruang-ruang awam kian dicerobohi konon atas nama Tuhan, dan pelaksanaan sebegini sangat kacang sama sekali (apatah lagi, jika nak buat hukuman kerat tangan terhadap pencuri-pencuri yang miskin, apa yang susahnya?) tanpa perlukan PAS menjadi kerajaan pun.
Kerana pemahaman Islam yang sangat sempit, dangkal, yang hanya memerhatikan dosa-dosa orang kecil, sebaliknya mereka tidak mempunyai pemikiran apa pun tentang pembangunan Negara.
Pada kesudahannya, momentum yang memotivasi mereka untuk berjuang perlahan memudar, menyebabkan bergabung dengan kerajaan Pusat yang mempunyai pemahaman Islam Konservatif seperti mereka adalah satu-satunya pilihan yang tunggal.
Catatan Dari Jalanan – Kerjasama Membela Kaum Tertindas
Gambar: Fernando Fong, The Rakyat Post[/caption]
Di kelas jalanan Chow Kit kemudiannya, Nik mengkhabarkan padaku bahawa ada anak yang tidak mahu belajar. Aku tanyakan kembali kalau budak itu tak mahu belajar atau dia mahu belajar benda lain. Seperti biasa kami bersembang dengan kanak-kanak itu, cuba memujuknya tanpa memaksa.
Sebagai manusia dia tidak boleh dipaksa, dan sebagai anak yang sangat kecil dan hidup dalam persekitaran dan budaya dimana dia harus menurut perintah, dia masih tidak mampu memikul autoriti membuat keputusan sendiri sebebasnya. Kami cuba bimbing, cuba cari minat dia.
Bersembang-sembang dengan rakan-rakan gerakan lain yang datang memerhati dan berkongsi idea, aku meluahkan harapan kepada seorang kawan untuk mendapatkan tenaga orang-orang yang minat mengajar mereka kemahiran-kemahiran spesifik sesuai dengan minat mereka. Kita beri mereka pededahan, ajar mereka kemahiran itu, bimbing mereka menentukan arah tuju.
Semasa aku di sekolah dulu, seperti kau, aku dipaksa belajar semua subjek oleh guru dan fokus pada kesemua subjek itu, akhirnya yang aku minat pun entah ke mana yang aku tak minat pun ke longkang. Aku risau kalau-kalau budak-budak ini pun tidak ada yang mahu melihat mana minat dan bakat sebenar mereka dan apa yang mereka mahu buat dalam hidup.
[caption id="attachment_4601" align="aligncenter" width="380"]
Gambar: Sciencedaily.com[/caption]
Kita boleh katakan ibu bapa mereka memainkan peranan penting, tapi kita juga perlu faham ibu bapa mereka bukan beruntung seperti kita. Ini bukan dari kalangan ibu bapa yang mana ibu melayan muzik Mozart sewaktu mengandung anak dengan suami di sisi memegang tangannya sambil tersenyum, mampu memberi makanan dan nutrisi sihat kepada anak-anak, menghantar mereka ke nurseri kemudian ke sekolah, ulang-alik ke sekolah berdiskusi dengan guru tentang perkembangan anak-anak, menyediakan tusyen serta mengajar di rumah ketika musim cuti, menolong dengan kerja-kerja sekolah, manghantar mereka ke kelas piano, biola dan gimnastik atau kelas seni melukis.
Itupun kalau semua yang dilakukan ini benar-benar untuk membentuk anak menjadi manusia baik yang bebas dan faham kebebasan orang lain. Terkadang tampaknya cuma seperti menyerahkan tanggungjawab kita sendiri pada institusi lain supaya anak itu ‘menjadi’. Menyerahkan duit kepada orang lain untuk menghasilkan anak cemerlang. Nah, ibu bapa yang ‘beruntung’ ini pun akhirnya cuma menunggu magis berlaku hasil dari pelaburannya sana sini.
Kita juga tidak boleh memaksa pengalaman kita atau gagasan kita semata-mata ke atas mereka. Kita bukan mahu menjadikan mereka seperti kita. Mereka akan menjadi diri mereka, bebas memilih apa yang mereka mahu. Cuma perlu dibimbing cara-cara untuk mereka mendapat kebebasan itu, dan bagaimana untuk menikmatinya tanpa merampas kebebasan orang lain.
Di Chow Kit tempat mereka belajar, kenderaan berasak-asak dalam kesesakan lalu lintas sampai ke tengah malam. Adakah kita mahu keluarkan mereka dari kemiskinan mereka dan masukkan mereka ke dalam kemiskinan yang satu lagi ini? Adakah kita mahu mereka jadi seperti kita yang tertipu dengan industri perniagaan pendidikan dan kemudian menjadi robot-robot pejabat dan syarikat-syarikat besar? Itu bukan kejayaan namanya. Ianya tidak membebaskan mereka.
[caption id="attachment_4602" align="alignleft" width="140"]
Gambar: NBC News[/caption]
Kita adalah produk pendidikan yang mengajar kita supaya terlibat dalam perlumbaan tikus (‘rat race’) ekonomi di mana kita diajar untuk memijak kepala satu sama lain untuk menjadi nombor satu dan perkara ini nampaknya akan berlanjutan ke anak cucu kita.
Fokus cuma diberi kepada kebolehan individu tanpa mengambil kira kesannya terhadap struktur masyarakat. Kita menghasilkan kuda-kuda lumba yang laju tapi golongan terpinggir terus disisihkan, walhal kita ini orang-orang yang berpendidikan.
Kita cuba wujudkan satu persekitaran di Chow Kit di mana anak-anak ini kenal erti kerjasama dan menghormati satu sama lain dalam proses mereka menjadi manusia yang baik. Bukan cuma menjadi apa yang ia mahu jadi tanpa menghiraukan persekitaran.
Mereka boleh dibimbing berbincang dan membuat keputusan secara kolektif kerana hakikatnya mereka juga seperti kita, jiwa-jiwa yang bermasyarakat. Di situ kita sendiri akan belajar bagaimana kita pun menjadi seperti itu kerana kita sendiri perlu kesedaran ini. Kita dan mereka, saling belajar dari satu sama lain.
Kolektif-kolektif, gerakan-gerakan yang melakukan khidmat masyarakat tidak perlu bersatu di bawah panji sama. Masing-masing mengendali kolektif masing-masing tetapi kita tidak dapat lari dari mempunyai kesefahaman, semangat setiakawan dan solidariti untuk satu sama lain.
Ini bukan persaingan antara syarikat korporat, ini bukan permainan mengejar nama baik. Kita belajar dari satu sama lain, bergantung kepada satu sama lain sejurus menyedari bahawa ‘nasib’ kita ini di tangan kita sendiri yang mana semakin kuat kita bekerjasama semakin mudah kita mengharungi kesusahan.
Kita tidak perlu ada pengurus-pengurus lantikan yang menguruskan kita dan membuat keputusan untuk kita tanpa bertanya pendapat kita. Kita tidak mahu jadi masyarakat yang pasif dan tidak terlibat dalam keputusan-keputusan yang membabitkan kita di mana demokrasi itu cuma perkataan yang sia-sia, yang diucapkan oleh orang-orang dari mimbar tinggi, orang-orang yang langsung tidak memahami kita atau mewakili kita.
Nak tukar mentol pun upah si Parjo.
Kebangkitan Kapitalisme Islamik di Malaysia
Gambar: Mthago WordPress[/caption]
Kebangkitan Ekonomi Melayu
Perubahan dinamika politik di Malaysia senang dikaitkan dengan identiti kaum dan etnik. Proses pembangunan yang pesat setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1969 telah menggalakkan urbanisasi komuniti Melayu dengan pesat.
Selepas tahun 1969, proses penghijrahan komuniti Melayu dari kawasan desa ke kota semakin kerap. Ia mempercepatkan mobiliti sosial di kalangan golongan-golongan tertentu orang Melayu dengan peningkatan peluang pendidikan.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia sangat signifikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Mobiliti sosial yang berlaku di dalam komuniti Melayu memperhebatkan lagi dominansi politik identiti dan agama di ruangan awam.
Islamisasi
Kebangkitan Islam di Malaysia wajar dinilai menerusi perkembangan etnik dan agama. Proses Islamisasi kerajaan yang pesat pada tahun 80an dengan pembentukan nilai-nilai Islam dalam masyarakat mendorong apa yang dikatakan sebagai ‘kapitalisme Islamik’.
Proses Islamisasi giat membentuk cara hidup dan pemikiran komuniti Melayu yang berlandaskan ajaran dan nilai Islam.
Kesan ini dapat dilihat dengan gaya pemakaian orang Melayu ; misalnya majoriti orang Melayu mula memakai tudung dan mengenakan jubah. Proses ini membesarkan dualiti identiti Islam dan Melayu, sepertimana diterangkan oleh Dr Chandra Muzafar sebagai ‘dikotomisasi etnik’.
Kesan Islamisasi juga dirasakan dengan berkembangnya industri makanan halal yang semakin pesat. Masyarakat Melayu mula memikirkan soal ‘halal dan haram’ di dalam makanan. Isu penggunaan gelatin yang dikatakan mengandungi unsur babi mula menjadi kerisauan di dalam komuniti Melayu.
Dasar kerajaan turut menggalakkan berkembangnya proses Islamisasi. Badan-badan agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan Islam negeri diberikan autonomi untuk mengurus-setia industri makanan halal di Malaysia.
Teori Modernisme & Kapitalisme Islam
[caption id="attachment_4587" align="alignleft" width="249"]
Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster[/caption]
Penganalisis politik berketurunan Iran, Vali Nasr menerangkan bahawa proses Islamisasi politik di negara majoriti Islam mendorong kemunculan kelas menengah atasan Islam yang menjadi pelaku politik, ekonomi dan sosial yang sangat berpengaruh.
Di dalam bukunya, “The Rise of Islamic Capitalism” (2009) – Nasr menulis bagaimana golongan menengah atasan Islam berupaya membentuk identiti dan kelas sosial baru berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam.
Kemunculan golongan kelas menengah baru ini mendukung usaha Islamisasi dari segi budaya, ekonomi dan sosial. Sekitar tahun 80an, industri pembankan Islam menjadi semakin pesat.
Kesannya dapat dilihat menerusi akses terhadap pendidikan. Orientasi pendidikan Islam semakin berkembang dengan lahirnya badan pemikir seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang mengumpulkan para pemikir dan professional untuk membincangkan masalah kontemporari umat Islam sejagat.
Modernisme pendidikan yang dimulakan oleh tokoh pembaharuan Islam, Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani memberikan pengaruh yang besar di dalam pembangunan dan pemodenan Islam.
Mereka melihat peri-pentingnya Islam untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman. Modernisasi Islam merupakan satu-satunya alat yang dapat membangkitkan umat Islam daripada kemunduran.
Benih-benihnya di Malaysia
Seperti yang dihujahkan oleh penulis, proses perkembangan sosial di dalam komuniti Melayu sangat terkait dengan identiti kaum dan agama. Maraknya proses Islamisasi turut mendorong gaya kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan bandar-bandar industri seperti Shah Alam, Bangi dan Gombak.
Proses urbanisasi dan modernisasi orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan lapisan kelas menengah baru yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan sosial.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia menggalakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Proses ini mendorong lahirnya pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menjadi pusat aktiviti golongan kelas menengah Melayu dan Islam.
ABIM juga menjadi wadah generasi muda yang memainkan peranan penting sebagai agen sosial yang efektif. Peranan yang dimainkan pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam mengerakkan agenda sistem pendidikan bercorak Islam juga merupakan faktor penting kemunculan Kapitalisme Islamik di Malaysia.
Nah, bagaimana ia mendorong munculnya Kapitalisme Islamik?
Golongan kelas menengah Melayu yang menerima pendidikan Islam di dalam dan luar negara membangkitkan kesedaran mereka untuk memimpin agenda ummah. Mereka juga aktor penting di dalam pembawakan wacana Islam dan masyarakat.
Di dalam “Islamic Resurgence in Malaysia” (1988), Chandra Muzaffar menerangkan bagaimana golongan kelas menengah Melayu-Islam ini menguasai pentas politik dengan wacana seputar isu Islam dan Melayu. Kesan Islamisasi juga melahirkan jurang polarisasi di antara kaum dan agama.
Proses Islamisasi yang giat di Malaysia juga didukung oleh pelaku politik seperti Anwar Ibrahim.
Kebangkitan Anwar Ibrahim di dalam arena politik menyebabkan wacana sosial tertumpu kepada isu-isu Islam dan pembangunan. Semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan, Anwar melaksanakan dasar-dasar pendidikan Islam seperti mewajibkan matapelajaran Islam sebagai kurikulum di dalam sistem pendidikan negara.
[caption id="attachment_4585" align="aligncenter" width="721"]
Gambar: Wikimedia.org[/caption]
Dari Penguasaan Politik & Pendidikan ke Kapitalisme Islam
Kelahiran institusi pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), serta kemunculan industri perbankan Islam seperti Bank Islam pada tahun 1983 turut menyumbang ke arah giatnya proses Islamisasi di Malaysia.
Idea penubuhan Bank Islam turut tidak terlepas daripada kritikan oleh tokoh-tokoh sosial dan profesional di Malaysia. Almarhum Prof. Syed Husin Alatas mengkritik bahawa idea perbankan Islam tidak ada bezanya dengan sistem perbankan konvensional. Ia cuma Islam pada namanya.
Begitu juga kritikan pakar ekonomi, Abdul Razzaq-Lubis yang mendakwa Bank Islam menggunakan amalan riba’ di dalam unsur perbankan. Maka, penubuhan Bank Islam itu tidak Islamik.
Perkembangan industri makanan halal turut mendorong proses kapitalisme Islamik. Industri makanan halal kini merupakan bahan komoditi penting di dalam urusan perdagangan domestik dan antarabangsa.
Agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri halal mendorong pertumbuhan pemain industri halal di Malaysia.
Ia turut mendorong aktiviti perdagangan secara aktif semenjak dua dekad lalu. Jumlah perdagangan membabitkan industri makanan halal turut menyumbang hampir 14 bilion daripada jumlah perdagangan di dalam dan luar negara.
Kemunculan kapitalisme Islamik di Malaysia merupakan akibat daripada proses Islamisasi yang giat berlaku di Malaysia.
Ia tidak bermaksud bahawa ‘Kapitalisme Islamik’ membawa konotasi yang negatif, tetapi penulis cuba untuk mengaitkan bagaimana proses Islamisasi mendorong pembangunan berlandaskan ajaran Islam, sekaligus memarakkan proses kapitalisme yang Islamik.