Projek Dialog

Reviu: Dialog Tertutup Sunni dan Ahmadiyyah

Dan pendekatan untuk berdialog ini dihalang lagi oleh tindakan fatwa yang mengharamkan ajaran Ahmadiyyah di Malaysia, dengan mengatakan mereka menganut ajaran yang dikirakan murtad dan menyeleweng; diterukkan lagi dengan perletakkan penanda yang mengatakan bahawa mereka bukan Islam. Dan disebabkan inilah, kami merasakan bahawa dialog adalah langkah pertama yang seharusnya diambil oleh pihak majoriti; agar dapat memahami intipati dan ajaran sebenar yang difahami oleh mereka dan dengan harapan agar stigma dan prejudis yang berlaku dapat dikurangkan dan suatu proses rehabilitasi terhadap mereka dapat dilaksanakan oleh pihak penguasa sebagai proses untuk menjulang semula sikap keterbukaan. Kemudian tiba giliran saudara Wan Ji yang menerangkan bahawa kebenaran dapat diungkap melalui kebebasan, ujar beliau, “Kebenaran itu tersebar dalam kerangka kebebasan.” Kami bersetuju benar dengan pendapat beliau, kerana melalui kerangka kebebasanlah suatu proses demokratik dapat dijalankan. Melalui proses demokratik kesimpulan dapat dinyatakan secara jelas. Tetapi persoalan ‘halangan’ yang seringkali berlaku inilah yang benar-benar membingungkan pihak kami. Ini juga seperti yang ditegaskan oleh Wan Ji selepas itu, bahawa tiada agama apa-apa pun yang secara esensinya menghalang penyebaran ajaran agama lain. Jadi pastinya hal yang berlaku pada waktu ini merupakan hal yang lain, berhubung kepada suatu persoalan yang lebih besar dan barangkali hampir tidak ada kena mengena dengan persoalan akidah semata-mata dan lebih kepada sikap ataupun barangkali, kekuatan politik. Jadi, bahagian pertama lebih kepada pemahaman pihak masing-masing terhadap keadaan yang berlaku. Kemudian, bahagian kedua pula lebih memberi fokus kepada penyelesaian dan inisiatif yang sedang dilakukan oleh mereka. Seperti apa yang dijelaskan oleh pihak Ahmadiyyah, dan barangkali disebabkan oleh kedudukan mereka selaku ajaran minoriti. Pasti sahaja mereka lebih mengutamakan sikap keterbukaan sebagai langkah pertama dan hal inilah yang seringkali dilupakan oleh pihak majoriti sesuatu agama dan apabila ianya dikaitkan institusi agama yang mempunyai agenda politik yang melampaui tugas asas mereka; mereka seringkali menggunakan kekuasaan aparatus kerajaan sebagai pendekatan untuk menyekat penyebaran ajaran minoriti yang lain. Kemudian apabila soalan ini ditujukan kepada saudara Wan Ji, beliau lebih menekankan aspek sikap sebagai salah satu langkah utama untuk mengubah keadaan ini. Beliau memberi contoh segi pemakaian, bagaimana purdah dan jubah pada suatu masa dilihat sebagai suatu hal yang asing tetapi hal yang sebaliknya berlaku pada waktu ini. Jadi begitu juga dengan sikap keterbukaan dan berdialog, beliau yakin bahawa ianya juga mampu berubah jika usaha sebegini rupa dapat dilaksanakan secara konsisten. Seperti apa yang ditekankan oleh kami pada awal artikel ini, dialog adalah proses yang demokratik dan ini perlu dipraktikkan secara meluas bagi menyelesaikan apa-apa konflik. Walaupun begitu, pihak kami juga turut menyuarakan persoalan mengenai inisiatif politik, kerana jika benar hal ini ingin diselesaikan, bukankah hal yang sebenarnya perlu diangkat adalah sesuatu yang bersifat politik dan berkait rapat dengan isu perlembagaan? Dan apakah dialog yang berlandaskan topik yang sensitif seperti ini dapat dijayakan dengan bebas tanpa ada apa-apa sekatan dari pihak penguasa? Begitulah persoalan-persoalan yang masih terngiang di dalam pemikiran kami dan rasanya, dibiarkan sahaja begitu rupa sehingga realiti menunjukkan hal yang sebaliknya. Akhir forum, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjumpa secara konsisten bagi memahami dan berharap untuk bekerjasama pada masa yang akan datang. Yang pastinya, kejahilan muncul apabila kebenaran dihalang untuk tersebar. Kejahilan menyelubungi kesedaran rakyat secara umum apabila budaya berdialog tidak dipraktikkan oleh golongan yang berkuasa. Kejahilan merajalela apabila ia menjadi alat utama golongan penindas. Oleh itu, ayuh kita menjadikan dialog sebagai suatu proses ke arah budaya rakyat yang benar-benar demokratik.    ]]>

Kebebasan: Sudahkah mahasiswa memanfaatkannya?

12375207_793631994080746_8795608058747858358_o 1) Peranan AUKU dalam menyekat kebebasan bersuara mahasiswa Kedua-dua panelis mengambil posisi yang berbeza mengenai hal ini. Bagi saudari Afiqah, AUKU sangat menyusahkan mahasiswa. AUKU mempunyai kuasa menyekat wacana yang dianggap berlawanan dengan kerajaan malah menghalang demonstrasi aman yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Malaysia. Menurutnya, AUKU juga menyebabkan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi mandul kerana terpaksa mengikut rentak tarian pentadbiran universiti. Muziru pula beranggapan sebaliknya. Bagi beliau, AUKU tidaklah kejam pada dirinya sendiri. AUKU mempunyai beberapa bahagian yang baik dan tidak menganggu kebebasan mahasiswa. Perkara yang perlukan penelitian semula terhadap AUKU ialah Seksyen 4 dan 5 serta semua Seksyen 15 & 16. Seksyen 4 dan 5 menyentuh tentang perlantikan Majlis Tertinggi universiti dan Seksyen 15 & 16 yang menyentuh tentang penglibatan mahasiswa dan tindakan tatatertib. Bagi saya, mengatakan AUKU telah memandulkan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu analisa yang simplistik. Walau kita masih tidak mempunyai statistik tentang hal ini, kita boleh cuba secara pemerhatian dan turun padang bertanya soalan berikut kepada rakan-rakan mahasiswa kita di universiti: Apakah mereka tidak bersuara semata-mata kerana AUKU, atau faktor-faktor lain yang lebih memandulkan mereka dari AUKU? Saya berani kata ya. Mahasiswa tak ambil peduli dengan politik kampus mahupun luar negara kerana dilanda penyakit konsumerisme dan hedonisme. Budaya ini akhirnya membantutkan keupayaan intelektual dan kegigihan akademik mereka untuk memberi perhatian terhadap isu-isu besar yang melanda negara. Ini ancaman yang lebih besar terhadap mahasiswa berbanding AUKU. Tanpa AUKU pun, jika ancaman ini tidak ditangani dengan segera, mahasiswa akan tetap mandul, dan tidak mampu untuk menggunakan sebaiknya kebebasan mereka. 12418957_797382973705648_1792535994200941610_o 2) Mahasiswa bermain minda mangsa Ini satu isi penting menarik yang dibawa oleh saudara Muziru. Mahasiswa sememangnya sudah terlalu lama bermain watak sebagai mangsa. Wacana yang berlegar kini ialah tentang bagaimana mahasiswa dibentak-bentak, diherdik-diherdik, diperlakukan seperti anak kecil oleh pentadbir universiti dan pelbagai lagi. Saya setuju 100% dengan perkara ini. Akan tetapi, kita semua jangan lupa mahasiswa bukan maksum. Tanpa sekatan pentabir pun, masih ramai mahasiswa/wi lagi yang terdedah dengan hiburan memualkan yang tak henti-henti. Ramai antara kita menghabiskan sisa-sisa waktu di universiti dengan program-program tidak munasabah hasil tangan-tangan sendiri. Ketika forum berlangsung, persoalan kebebasan positif dan kebebasan negatif dibangkitkan. Kebebasan positif ialah memiliki kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan (freedom to) walhal kebebasan negatif ialah kebebasan seseorang dari tekanan pihak luar (freedom from). Kebebasan negatif lebih menitikberatkan halangan-halangan yang menganggu-gugat kebebasan seseorang. Kebebasan positif lebih kepada keazaman seseorang menggunakan segala kebebasan yang ada pada dirinya untuk meneroka peluang-peluang bagi melaksanakan tindakannya dalam apa jua keadaan. Jadi kita dapat lihat sekiranya kita masih tersangkut dengan kebebasan negatif yang ditarik dari kita, kita akan menjadi pasif dan sentiasa terperangkap melawan halangan-halangan dari luar. Sedangkan kapasiti kebebasan yang ada pada diri kita, yakni mahasiswa belum diterokai dan dimanfaatkan sebaik-baiknya mungkin. Mahasiswa kena jujur dengan diri sendiri. Apakah baki-baki kebebasan dan kelonggaran yang ada di universiti telah dimanfaatkan sepenuhnya? Mungkin ada sesetengah forum atau seminar yang dianggap “bertentangan” dengan kerajaan, ataupun “berbahaya” terhadap akidah, lalu tidak dapat dilakukan secara formal dan terbuka. Namun, apakah itu menghalang wacana daripada diteruskan? Tentutnya tidak sama sekali. Saya beri satu contoh mudah. Misalnya di Universiti Islam Antarabangsa, yang dikenali dengan pandang alam Islamiknya, kita mahu menganjurkan Seminar Atheism, ataupun Forum “Tuhan Telah Mati”. Kemungkinan besar, cadangan penganjuran akan serta-merta dihalang dan tidak dibenarkan. Jadi, saya beri anda pilihan, mana yang lebih baik: Pilihan A: Mahasiswa  berdemonstrasi menyatakan bantahan bahawa “ini hak kebebasan bersuara kami!”, atau Pilihan B: Mahasiswa “let go” penganjuran tersebut, dan meneruskan kumpulan-kumpulan kecil “reading group” bagi membahaskan tema-tema forum tersebut secara tuntas dan berkala. Pada pendapat saya, pilihan B lebih efektif. Kita masih mempunyai pilihan yang lebih efektik dalam jangkamasa panjang. Dan tahukah anda, buku-buku mengenai atheisme dan tokoh seperti Nietzsche, Schopenhauer dan Dawkins, berlambak di dalam perpustakaan UIA? Buku-buku dan tokoh-tokoh tersebut sudah berhabuk menunggu untuk dibaca dan dibahaskan. Tidak pula universiti ini mengharamkan buku tersebut. Dan ini membawa kita kepada isi penting yang ketiga. [caption id="attachment_5416" align="aligncenter" width="1024"]Sumber gambar: The Malaysian Insider Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption] 3) Universiti tidaklah sekuat mana untuk mengatur  dan mengawal pergerakan mahasiswa Antara hujah yang dilontarkan oleh saudari Afiqah ialah mahasiswa sering kali tidak dapat menganjurkan wacananya sendiri tanpa campur tangan pentadbir. Malah panelis-panelis ditapis bagi mengelakkan panelis yang kritikal terhadap kerajaan menghasut mahasiswa. Contoh paling jelas ialah tragedi yang menimpa beliau sendiri. Beliau dan Presiden MPP universiti tersebut, saudara Hanif Mahpa, digantung pengajian selama setahun hanya kerana melaksanakan forum GST dan membawa masuk panelisnya YB Rafizi Ramli. Berikutan hukuman oleh pihak pentadbiran universiti kepada kedua rakan saya ini, saya sepenuhnya bersolidariti dan menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak berasas itu. Namun, saya tidak bersetuju sekiranya kes seperti ini menjadi batu asas hujah bahawa pentadbiran universiti sentiasa campur tangan program mahasiswa dan mahasiswa tidak bebas berwacana. Hujah saya begini : a) Tidak semua ahli politik pembangkang tidak dibenarkan masuk berforum di dalam Universiti Islam itu. YB Rafizi dihalang masuk, tetapi berjaya diseludup. Tak dinafikan sekatan tersebut. Tetapi YB Ong Kian Ming, YB Yusmadi Yusoff, YB Mujahid Rawa, Dato` Saifudin Abdullah dan lain-lain pernah berforum secara aman di Universiti Islam tersebut. Nama-nama yang saya sebut ini hadir di forum-forum yang mana saya sendiri menjadi peserta dan penganjur. [caption id="attachment_5413" align="aligncenter" width="1024"]Sumber gambar: The Malaysian Insider Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption] b) Tidak semua forum atau seminar yang dianggap sensitif terhadap kerajaan ataupun imej universiti tidak dibenarkan. Misalnya forum liberalism, feminism, sekularism dan sebagainya. Kebanyakannya (tidak semua) berjaya dianjurkan secara aman. Saya bersama rakan-rakan lain dapat membawa masuk Khalid Jaafar yang dikenali sebagai “bapa liberal”  Malaysia ini ke Universiti Islam itu. Aktivis kontroversi seperti Kak Fadiah Nadwa juga pernah datang mengisi wacana. Saudari Afiqah mengatakan bahawa program-program berbentuk falsafah tidak mengapa dan tidak menakutkan pentadbiran. Ini tidak benar sama sekali. Mengapa? Ini akan merujuk kepada hujah saya yang ketiga. c) Seringkali bukan isi kandungan forum yang menjadi masalah, tetapi tajuk forum dan strategi “branding dan packaging” wacana dan juga format yang bermasalah. Saya beri contoh, jika kita ingin menganjurkan sebuah wacana mengkritik dasar pendidikan kerajaan, apakah tajuk yang sesuai? “Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 : Apakah relevan?”, ataupun “Konvensyen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025”? Sudah tentu, yang pertama nampak provokatif, akan tetapi yang kedua nampak neutral, sedangkan objektifnya sama, iaitu kita mahu meneliti dasar ini secara kritis. Dan hakikatnya konvensyen seumpama ini berjaya dijalankan secara aman, malah laporan kajian sebanyak 30 muka surat mengkritik dasar ini telahpun berjaya dihantar kepada kementerian. Pokoknya apa? Seperti kata saudari Afiqah, pihak universiti banyak terlepas pandang. Ya, tepat sekali! Memang universiti bukan seperti figura Bapa yang sentiasa mampu memerhatikan gerak geri dan strategi mahasiswa. Dalam banyak-banyak forum yang dihalang, banyaknya juga yang terlepas dianjurkan secara aman. Pentadbiran universiti seringkali terlepas pandang! Mereka tidak punya cukup “The Force” untuk mengawal lambakan wacana-wacana anjuran mahasiswa pada setiap waktu. Maka, kita gunakanlah kesempatan-kesempatan ini untuk “balance The Force”. 886206_797393497037929_5670085790890022157_o 4. Kurangnya representasi mahasiswa wanita dalam aktivisme mahasiswa Ini suatu lompong yang harus kita selesaikan. Kita harus tanya apakah faktornya? Apakah wanita tak diberi peluang? Atau mereka sendiri yang tidak punyai keyakinan diri? Atau sistem patriariki yang sudah terlalu lama membenam rasa percaya diri bahawa wanita juga boleh kehadapan dalam memimpin gerakan aktivisme? Atau penyakit konsumerisme yang membarah? Saya tidak mampu menjawab persoalan ini secara tuntas. Dalam forum tersebut, persoalan-persoalan ini masih tidak dijawab secara tuntas,. Akan tetapi, setiap satu jawapan diatas mempunyai “partial truth” yang menyumbang secara keseluruhan. Mahasisiwi harus sedar yang mereka sebenarnya lebih ramai berbanding lelaki di dalam universiti. Sekiranya kekuatan mereka dimobilisasi untuk gerakan intelektualisme dan aktivisme, pastinya perjuangan mahasiswa akan mendapat manfaat yang tiada tolok bandingnya. Akhir kata, perbincangan seputar forum ini membawa kita kepada persoalan-persoalan baru terhadap kebebasan mahasiswa yang tidak sempat saya tulis dalam satu artikel. Misalnya, apakah beza kebebasan bersuara dan kebebasan akademik? Bagaimana kita ingin memaksimakan potensi kebebasan positif yang kita miliki? Apakah strategi-strategi baru mahasiswa zaman teknologi maklumat bagi menangani masalah yang tidak dihadapi oleh mahasiswa lampau? Apakah mahasiswa masih ingin menempel dengan kegemilangan mahasiwa zaman 60an-80-an? Begitu banyak persoalan yang sekiranya kita rungkai dan kupas dengan teliti, termasuklah pendefinisian dan analisa bandingan, tidaklah tulisan ini menjadi artikel, tetapi sebuah buku.

]]>