Petikan ini diambil daripada laman ‘Ballandalus’ (http://ballandalus.wordpress.com/2014/03/08/15-important-muslim-women-in-history/) bertarikh 8 Mac 2014. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Sempena Hari Wanita Antarabangsa, ianya menarik untuk kita perkenalkan beberapa wanita penting dalam sejarah Islam yang mungkin tidak diketahui sebelum ini. Walaupun nama-nama tokoh seperti Empress Theodora, Eleanor of Aquitaine, Joan of Arc, Anne Boleyn, Caterina Sforza dan Elizabeth I sudahpun dikenali, tetapi wanita-wanita dunia Islam dari zaman pertengahan dan awal zaman pemodenan kurang diketahui. Wanita memainkan peranan penting dalam dunia pra-moden Islam sebagai sarjana, penyair, sufi, pemerintah, dan srikandi. Ini senarai ringkas beberapa tokoh wanita tersebut: 1. Khadijah b. Khuwaylid (m. 620) Malah sebelum pernikahannya kepada Nabi Muhammad, beliau sudahpun menjadi tokoh penting dengan sendirinya, sebagai pedagang yang berjaya dan bangsawan di Mekah. Beliau memainkan peranan penting dalam menyokong dan menyebarkan agama Islam yang baru ketika itu dan diiktiraf sebagai Muslim pertama. Dipercayai bahawa Nabi Muhammad sendiri bersabda, menurut hadith Sahih Muslim: “Tuhan Yang Maha Esa tidak pernah mengurniakanku seorang yang lebih baik dalam hidup ini daripada dia.Dia menerimaku apabila orang menolak aku; dia mempercayaiku ketika orang meragui aku; dia berkongsi harta denganku apabila orang mengurangiku; dan Tuhan mengurniakan zuriatku hanya dengan dia.” Malah, seorang lagi wanita terpenting di waktu awal Islam, Fatima al-Zahra, merupakan anak perempuan Nabi bersama Khadijah dan ianya hanya melalui Fatima (dan terutamanya dari kedua anak lelaki beliau, al-Hasan dan al-Husain) keturunan Nabi Muhammad dipelihara. Hakikat ini menjadikan Fatima dan ibundanya Khadijah antara tokoh wanita yang paling dihormati dalam sejarah Islam. 2. Nusayba b. Ka’b al-Anṣārīyya (m. 634) Juga dikenali sebagai Ummu ‘Ammara, beliau dari suku Bani Najjar dan merupakan antara penganut Islam terawal di Madinah. Sebagai sahabat Nabi Muhammad, terdapat banyak nilai-nilai murni yang dimiliki beliau. Namun, beliau paling diingati kerana perjuangannya di Perang Uhud (625), di mana beliau bersenjatakan pedang dan perisai berlawan menentang tentera Mekah. Beliau melindungi Nabi Muhammad dari serangan musuh semasa pertempuran, bahkan menanggung beberapa kecederaan tombak dan panah apabila beliau menggunakan tubuhnya sebagai penghadang kepada Rasulullah. Diriwayatkan bahawa beliau rebah pengsan setelah mengalami kecederaan yang kedua belas, dan apabila sedar (keesokan harinya di Madinah) persoalan pertama yang terpacul dari mulutnya ialah “adakah Nabi masih hidup?” 3. Khawla b. al-Azwar (m. 639) Seorang lagi sahabat Nabi Muhammad SAW. Beliau terkenal kerana perjuangannya dalam Peperangan Yarmuk (636) menentang Byzantine. Menurut riwayat penaklukan Islam yang terkemudian, beliau memiliki tahap kemahiran dan kepahlawanan yang setaraf dengan panglima Islam termasyhur, Khalid bin al-Walid. Namun, terdapat banyak tokok-tambah dan butiran kurang jelas dari sumber tersebut, yang menimbulkan keraguan di kalangan sarjana sama ada beliau sebenarnya pernah wujud ataupun tidak! Walau bagaimanapun, perlu diiktiraf bahawa kepahlawanan wanita diberi penekanan oleh sarjana seperti al-Waqidi dan al-Azdi, yang menulis pada abad kelapan dan kesembilan. Malah, walaupun sekiranya beliau tidak pernah wujud, ia hanya membuatkan legenda beliau bertambah menarik. 4. Aisyah b. Abu Bakr (m. 678) Seorang yang hampir tidak perlu diperkenalkan lagi, Aisyah merupakan isteri Nabi Muhammad yang barangkali mempunyai pengaruh terbesar ke atas umat Islam selepas kewafatan baginda. Beliau memainkan peranan penting dalam penentangan politik terhadap khalifah ketiga dan keempat, iaitu Uthman bin ‘Affan dan ‘Ali bin Abi Talib, bahkan memimpin tentera menentang ‘Ali di Basra pada tahun 656. Walaupun beliau menarik diri dari politik setelah kekalahannya, beliau terus memainkan peranan penting sebagai penyampai ajaran Islam. Beliau merupakan salah seorang perawi utama hadith dalam tradisi Ahl Sunnah wal Jamaah. Dari pelbagai segi, beliau merupakan antara tokoh yang paling kontroversi di zaman permulaan Islam, lebih lagi kerana implikasi kehidupan beliau kepada penyertaan wanita dalam kesarjanaan, politik, dan ruang masyarakat bertentangan dengan pemahaman konservatif tentang peranan wanita yang muncul kemudiannya. Untuk pengetahuan lebih lanjut tentang Aisyah dan kehidupannya, rujuklah buku Denise Spellberg yang bertajuk “Politics, Gender and the Islamic Past: The Legacy of ‘Ā’isha bint Abī Bakr” (1996). 5. Zainab b. ‘Alī (m. 681) Beliau adalah cucu perempuan Nabi Muhammad melalui anak perempuannya Fatimah (m. 633) dan suaminya ‘Ali bin Abi Talib (m. 661). Beliau antara tokoh yang paling terkenal dan disanjungi dari Ahl al-Bayt (Keluarga Nabi) dan memainkan peranan penting semasa dan selepas Pertempuran Karbala (680), di mana abangnya al-Husain bin Ali, dan 72 anak saudara serta adik-beradiknya dibunuh oleh Bani Umayyah. Pada waktu itu, beliau menjadi pemimpin Ahl al-Bayt dan pembela utama perjuangan abangnya, al-Husain. Di Kufa, beliau mempertahankan anak saudaranya – ‘Alī bin al-Husain – daripada dibunuh oleh penguasa kota tersebut, dan apabila berhadapan dengan Yazid bin Muawiyah di Damsyik, beliau memberikan ucapan yang begitu hebat di mahkamah kerajaan yang memaksa khalifah tersebut untuk membebaskan beliau dan banduan yang diambil di Karbala. Kekuatan, kesabaran, dan kebijaksanaan beliau membuatkannya salah seorang wanita yang paling penting di zaman permulaan Islam. Makam beliau di Damsyik masih merupakan kawasan lawatan utama oleh kedua-dua pengikut Sunni dan Syiah, yang membuktikan kepentingan legasi beliau di kalangan umat Islam. 6. Rabi’ah al-‘Adawīyya (m. 801) Salah seorang mistik (atau Sufi) terpenting dalam tradisi Islam, Rabi’ah al-‘Adawīyya menghabiskan zaman mudanya sebagai seorang hamba di selatan Iraq sebelum mencapai kemerdekaannya. Beliau dianggap sebagai salah seorang pengasas kumpulan Sufi “Cinta Ilahi,” yang menekankan kasih kepada Tuhan demi kasih itu sendiri, dan bukan kerana takutkan hukuman atau inginkan balasan. Beliau menzahirkannya dalam sebuah puisi: “Ya Tuhan! Jika aku menyembahMu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalamnya, dan jika aku menyembahMu dengan harapan syurga, halangi aku daripadanya. Tetapi jika aku menyembahMu kerana Kamu, relakan kepadaku Keindahan AbadiMu. ” Apabila ditanyakan mengapa kisah Rabi’ah diterangkan secara panjang lebar dalam kamus biografi mistik (iaitu Tadhkirat al-Awliya’) beliau, Fariduddin Attar (m. 1220), seorang sarjana abad ke-13 menjelaskan: “Nabi (saw) sendiri bersabda, “Allah tidak memandang luaran kamu. Tunjang sebuah perkara itu bukanlah bentuknya, tetapi niatnya. Manusia akan dibangkitkan mengikut niat mereka.” Tambahan lagi jika ianya wajar untuk kita mempelajari dua pertiga agama kita dari seorang wanita, iaitu ‘Aisyah binti Abu Bakar (ra) yang mulia dan diberkati, maka tentunya ia dibenarkan untuk kita mengambil pengajaran agama daripada seorang [yang statusnya boleh diibaratkan sebagai] dayang kepada ‘Aisyah (ra). ” 7. Lubna dari Cordoba (m. 984) Asalnya seorang hamba dari Sepanyol, Lubna akhirnya menjadi seorang tokoh istana terpenting pada zaman Umayyah di Cordoba. Beliau ialah setiausaha istana kepada khalifah ‘Abd al-Rahman III (m. 961) dan anaknya al-Hakam b. ‘Abd al-Rahman (m. 976). Beliau juga seorang ahli matematik yang mahir dan pengerusi perpustakaan diraja, yang mengandungi lebih daripada 500,000 buku. Menurut sarjana Andalusia tersohor, Ibnu Bashkuwāl: “Beliau cemerlang dalam penulisan, tatabahasa, dan puisi. Pengetahuannya tentang matematik juga amat luas dan beliau mahir dalam ilmu-ilmu lain. Tiada yang lebih mulia di istana Umayyah tersebut daripada dia.” [Ibnu Bashkuwal, Kitab al-Silla (Kaherah, 2008), Jil. 2: 324]. 8. Al-Malika al-Hurra Arwa al-Sulayhi (m. 1138) Nama penuhnya Arwa b. Ahmad b. Muhammad al-Sulayḥī. Dari 1067-1138, beliau memerintah sebagai ratu Yaman dengan sendirinya. Beliau seorang Syi’ah Ismailiyah dan mahir dalam pelbagai ilmu agama, Al-Quran, hadith, dan juga puisi dan sejarah. Sejarawan menggambarkan beliau sebagai yang sangat bijaksana. Hakikat bahawa beliau memerintah kerana kelayakannya sendiri sebagai ratu disokong dengan fakta bahawa nama beliau disebut sejurus selepas nama khalifah di zaman Fatimi, iaitu al-Mustansir-billah dalam khutbah Jumaat. Arwa diberi kehormatan tertinggi dalam hierarki keagamaan Fatimi Yaman (iaitu gelaran hujja) oleh Khalifah al-Mustansir. Beliau merupakan wanita pertama dalam sejarah Islam yang dianugerahkan pangkat dan mempunyai kuasa yang sebegitu dalam hierarki agama. Ianya di zaman pemerintahan beliau juga pendakwah Isma’ili diutuskan ke India barat, di mana pusat utama Ismailiyah ditubuhkan di Gujerat (yang masih merupakan pusat kepercayaan Ismailiyah Bohra). Beliau memainkan peranan penting dalam perpecahan Fatimi pada tahun 1094, apabila beliau menyokong al-Musta’li (dan kemudiannya al-Tayyib), dan kekuatan pengaruh beliau terbukti apabila kawasan-kawasan di bawah pemerintahan beliau – iaitu Yaman dan beberapa daerah di India – turut mengikuti beliau dalam hal ini. Yaman menjadi kubu kekuatan gerakan Ismailiyah Tayyibī. Pemerintahan beliau dicirikan dengan pelbagai projek pembangunan dan kemajuan infrastruktur Yaman, dan juga peningkatan integrasi Yaman dengan seluruh dunia Islam. Beliau barangkali merupakan contoh terunggul seorang ratu yang berdikari dalam sejarah Islam. 9. Fatima b. Abi al-Qasim ‘Abd al-Rahman b. Muhammad b. Ghalib al-Ansari al-Sharrāṭ (m. 1216) Beliau salah seorang wanita yang paling terpelajar di al-Andalus sekitar akhir abad ke12 – awal abad ke13. Kegiatannya dengan karya-karya teori perundangan dan juga mistik menunjukkan bahawa beliau fasih dengan pelbagai ilmu Islam. Beliau ialah ibu kepada profesor terkemuka Abu al-Qasim b. al-Ṭaylasān. Menurut sarjana Andalusia Abu Ja’far al-Gharnāṭī (m. 1309): “Beliau menghafal begitu banyak buku di bawah bimbingan bapanya, termasuklah Tanbih tulisan al-Makki, al-Syihab dari al-Qudā’ī, Mukhtasar dari Ibnu ‘Ubayd al-Ṭulayṭalī, ketiga-tiganya yang dihafal ayat demi ayat. Beliau juga menhafaz Al-Qur’an di bawah bimbingan Abu ‘Abd Allah al-Madwarī, penzahid hebat yang dianggap dari kalangan Abdal [iaitu pangkat penting dalam ilmu tasawuf]. Bersama ayahnya, beliau juga mempelajari Sahih Muslim, Sira [Rasulullah] yang ditulis Ibnu Hisham, Al-Kamil karya al-Mubarrad, Nawādir karya al-Baghdadi, dan karya-karya lain. “[Abu Ja’far Ahmad b. Ibrahim al-Gharnāṭī, Kitab Silla al-Silla (Beirut, 2008), hal. 460] 10. Razia Sultan (m. 1240) Beliau merupakan pemerintah Kesultanan Delhi di antara 1236-1240. Ayahandanya, Shams al-Din Iltutmish ( 1210-1236) telah menetapkan Razia sebagai waris sebelum kematiannya, menjadikan beliau pemerintah rasmi kesultanan tersebut. Beliau merupakan seorang pemimpin yang cukup berkesan dan penaung utama pembelajaran, mendirikan sekolah-sekolah dan perpustakaan di seluruh India utara. Dalam semua perihal, beliau bertindak sebagai sultan, memimpin tentera, menduduki takhta bahkan mengenakan pakaian diraja yang sama seperti ayahnya; walaupun dimurkai ramai, beliau juga berkeras untuk tampil di khalayak ramai tanpa hijab. Pada tahun 1240, beliau digulingkan dan dibunuh dalam pemberontakan oleh kerabat diraja, yang – di antara lainnya – sangat menentang kepimpinan seorang wanita. Terlalu banyak yang perlu diceritakan mengenai hidup beliau melebihi apa yang mampu digambarkan di sini, tetapi jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut, disarankan supaya anda membaca “Razia: Queen of India” (1966) tulisan Rafiq Zakaria. 11. Shajar al-Durr (m. 1257) Beliau janda kepada Sultan al-Salih Ayyub di zaman Ayyubi (1240-1249) dan memainkan peranan penting dalam politik Mesir selepas kemangkatan suaminya. Beliau berkemungkinan besar berasal dari Turki, memulakan hidupnya sebagai seorang hamba di istana Ayyubi tersebut. Menjelang 1250, beliau telah menjadi pemerintah (atau Sultanah) Mesir; pemerintahannya umum dianggap menandakan permulaan kesultanan Mamluk di Mesir. Beliau memainkan peranan penting dalam persiapan mempertahankan Mesir utara dalam Perang Salib Ketujuh, mengalahkan tentera salibi (walaupun beliau sendiri tiada di medan peperangan) dalam Pertempuran Fariskur (1250) dan mengambil Raja Louis IX dari Perancis sebagai tawanan. Beliaulah ketua negara dan nama beliau disebutkan dalam khutbah dan syiling ditatahkan dengan nama beliau dengan gelaran “Malikat al-Muslimin” (Ratu Muslimin). Walau bagaimanapun, ianya sukar bagi orang ramai untuk menerima pemerintahan seorang wanita dan pada bulan Ogos 1250, akibat pelbagai tekanan, beliau berkahwin dengan panglima besar ‘Izz al-Din Aybak, yang menjadi sultan pertama kerajaan Mamluk. Walaupun begitu, Shajar al-Durr tetap mengekalkan kuasa beliau, bahkan memastikan bahawa dokumen-dokumen negara dimaterikan dengan kedua-dua nama pemerintah tersebut, dan bukan hanya pada nama Aybak. Walau bagaimanapun, pada tahun 1257 beliau memutuskan untuk menghapuskan suaminya (di atas sebab-sebab politik selain mendapati suaminya terlibat dalam hubungan sulit dengan wanita lain atau ingin berkahwin lagi [sumber tidak begitu jelas mengenai hal ini]) dan membunuhnya ketika mandi. Apabila diketahui, beliau diusir dan dibunuh dengan kejam, menamatkan pemerintahan beliau dengan tragis. 12. Zainab b. Ahmad (m. 1339) Beliau antara sarjana Islam yang terkemuka di abad ke14. Zainab mengikuti mazhab Hanbali dan menetap di Damsyik. Beliau memperolehi beberapa ijazah (diploma atau sijil) dalam pelbagai bidang, terutamanya hadith. Pada awal abad ke14, beliau mengajar kitab-kitab seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ dari Malik b. Anas, Shamā’il dari al-Tirmidhi, dan Sharh Ma’ani al-Athar karya al-Tahawi. Di antara anak murid beliau ialah pengembara Afrika Utara iaitu Ibnu Battuta (m. 1369), Taj al-Din al-Subki (m. 1355), al-Dhahabi (m. 1348), dan nama beliau muncul dalam beberapa dozen isnad Ibnu Hajar al-Asqalani (m. 1448). Penting untuk diketengahkan bahawa Zainab hanyalah salah satu daripada beratus sarjana wanita dalam bidang hadith pada zaman pertengahan dunia Islam. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang peranan wanita Islam dalam kesarjanaan hadith, bacalah karya Asma Sayeed yang bertajuk “Transmission of Religious Knowledge in Islam” (2013) dan juga karya Mohammad Akram Nadwi Al-Muhaddithat: “The Women Scholars of Islam” (2007). 13. Sayyida al-Hurra (m. 1542) Dengan nama yang bermaksud “Wanita Bebas,” Sayyida al-Hurra ialah salah seorang tokoh Islam yang paling menarik di abad ke-16. Asalnya dari Kerajaan Nasri di Granada, tetapi terpaksa melarikan diri selepas ditakluki Kristian Sepanyol pada tahun 1492. Seperti kebanyakan Muslim Andalusia, beliau menetap di Maghribi dan, bersama-sama suaminya, memperteguh dan memerintah kota Tetouan di pantai utara. Selepas kematian suaminya pada 1515, beliau menjadi pemerintah tunggal di bandar ini, yang kemudiannya berkembang dari segi kekuatan dan jumlah penduduk, apabila semakin ramai Muslim Andalusia diusir dari Iberia pada awal abad ke-16. Oleh kerana pelbagai sebab, antaranya keinginan untuk membalas dendam terhadap kemusnahan al-Andalus dan pemaksaan agama Kristian ke atas umat Islam di sana, beliau beralih tumpuan ke aktiviti pelanunan dan mengubah Tetouan menjadi pangkalan utama operasi angkatan laut menentang Sepanyol dan Portugal. Beliau bersekutu dengan laksamana Uthmaniyyah (yang sebelumnya seorang lanun) termasyhur iaitu Hayreddin Barbarossa di Algiers, dan bersama-sama mereka menghentam kuat kuasa imperialis Sepanyol di Afrika Utara dan Mediterranean Barat. Menarik untuk diperhatikan bahawa sumber-sumber Muslim tidak banyak menceritakan kisah Sayyida al-Hurra, dan kebanyakan maklumat mengenainya berasal dari dokumen Sepanyol dan Portugis, yang menekankan keberkesanan beliau sebagai seorang ratu lanun dan kemusnahan akibat serangan beliau ke atas pantai selatan semenanjung Iberia. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Sultan Maghribi Wattasi, Abul Abbas Muhammad (1526-1545). Sementara nama seperti Anne Bonny dan Mary Read sudahpun terkenal sebagai lanun wanita di kalangan ramai, namun Sayyida al-Hurra jarang dikenali. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hidup beliau, rujuklah “The Forgotten Queens of Islam” (1997) karya Fatima Mernissi, di mana beliau membincangkan al-Sayyida al-Hurra dan juga tokoh-tokoh wanita Islam yang penting di zaman pertengahan. Bagi mereka yang berbahasa Sepanyol, rujuk kepada “Sayyida al-Hurra, Mujer Marroquí de Origen Andalusi,” karya Rodolfo Grim Grimau, Anaquel de Estudios Arabes (2000): 311-320. 14. Parī Khān Khanum (m. 1578) Seorang puteri Safavid dan anak kepada Shah Tahmasp I ( 1524-1576) bersama seorang wanita Sirkasia, beliau merupakan salah seorang wanita Iran yang paling berpengaruh pada abad ke-16. Beliau terkenal sebagai seorang wanita yang berpendidikan dan mahir dalam ilmu-ilmu tradisional Islam seperti perundangan. Beliau juga dikenali sebagai seorang penyair yang hebat. Parī Khān Khanum memainkan peranan penting dalam memastikan kewarisan abangnya Ismail II ke takhta Safavid. Namun, dalam pemerintahan singkat abangnya, pengaruh beliau semakin berkurang. Semasa pemerintahan pewaris Ismail, Mohammad Khodabanda, beliau dibunuh kerana dianggap terlalu berpengaruh dan berkuasa. Untuk mengetahui lebih lanjut, rujuklah karya Shohreh Gholsorkhi, “Pari Khan Khanum: A Masterful Safavid Princess,” Iranian Studies 28 (1995): 143-156. 15. Kösem Sultan (m. 1651) Ramai di kalangan yang berbahasa Inggeris sudahpun mengenali Roxelana atau Hurrem Sultan, permaisuri kepada Suleyman I (1520-1566). Namun, kisah mengenai Kösem Sultan kurang diketahui. Sebagai isteri kepada Sultan Uthmaniyyah, Ahmed I ( 1603-1617), bonda kepada Sultan Murad IV (1623-1640) dan Ibrahim (1640-1648), dan nenda kepada Sultan Mehmed IV ( 1648-1687), beliau mempunyai pengaruh besar dan dianggap sebagai wanita paling berkuasa dalam sejarah Uthmaniyyah. Asalnya seorang Yunani bernama Anastasia, beliau diperhambakan pada usia yang muda dan dibawa ke istana Uthmaniyyah, di mana beliau menjadi gundik Sultan Ahmed I. Menurut sumber kontemporari, Cristoforo Valier, pada 1616, Kösem adalah ahli kerabat sultan yang paling berkuasa: “beliau mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakinya dan memiliki hati sultan sepenuhnya, dan beliau tidak pernah dinafikan.” Di antara 1623 dan 1632, beliau bertindak selaku pemangku raja kepada anaknya Murad IV, yang menaiki takhta sebelum cukup umurnya. Sehinggalah pembunuhan beliau pada tahun 1651, yang disebabkan oleh kosnpirasi mahkamah, beliau mempunyai pengaruh besar terhadap politik Uthmaniyyah. Untuk pengetahuan lanjut mengenai Kösem Sultan dan institusi harem diraja Uthmaniyyah, bacalah “The Imperial Harem: Women and Sovereignty in the Ottoman Empire” (1993) karya Leslie Peirce.
]]>Feminisme: Menjanakan hak asasi untuk semua
Titik permulaan feminisme
Seperti yang digambarkan sebelum ini, feminis ialah seseorang yang mempersoalkan struktur kuasa patriarki dan mencabar wacana kelelakian (masculinist) yang dominan. Dari sudut ini tidak hairanlah jika kita akan Nampak ramai tokoh-tokoh yang boleh digelar “feminis” dalam sejarah dunia.
Tetapi ini tidak akan jelas begitu sahaja. Malah sejarah lazimnya dilihat daripada sudut pandang lelaki. Kesedaran feminis yang berkembang sedikit demi sedikitlah yang menimbulkan pemahaman tentang bagaimana suara dan peranan wanita diabaikan —tidak direkod, tidak ditulis, tidak diiktiraf – dan cara ia boleh dikemukakan dan dipaparkan ke dalam wacana sejarah yang lebih inklusif.
Perkembangan Feminisme
Pergerakan hak-hak wanita feminis (dengan segala feminisme yang berbeza) telah berkembang menjadi salah satu pergerakan yang pelbagai yang meliputi isu-isu yang luas termasuk isu-isu wanita pribumi, isu-isu alam sekitar, isu-isu golongan trans (kedua-dua mak nyah dan lelaki trans), golongan Dalit (kasta yang paling rendah di India), pekerja seks, wanita kurang upaya, dan isu golongan tertindas dan terpinggir yang lain.
Namun walaupun mereka berbeza dalam kerja gerakan mereka, mereka serupa dalam azam supaya masyarakat tidak menghasilkan semula politik ekstrim dan hierarki kuasa yang mereka lawan.
Ini aspek intrinsik sebagai seorang feminis. Setiap feminis ialah seorang aktivis hak asasi manusia. Feminis kena berkelakuan secara konsisten merenung tentang kelakuan dan pendirian mereka supaya konsisten dengan kerangka hak asasi. Ini secara tidak langsung akan mencerahkan kebolehan mereka dalam membantu golongan yang terpinggir.
Renung diri
Dalam itu apa yang penting adalah kecenderungan semula jadi dan motivasi untuk sentiasa menyoal diri.
Seorang aktivis semestinya peka tentang mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Contohnya dia harus renungi jika kelakuannya sebagai seorang majikan tidak menggandakan penindasan terhadap pekerja, atau sokongannya terhadap sesebuah parti atau tokoh agama tidak akan membawa kepada pemiggiran golongan-golongan tertentu.
Sensitiviti terhadap implikasi di sebalik setiap pilihan yang kita lakukan sebagai feminis harus disedari untuk mengelak daripada terkait dengan system yang menindas. Mereka sedar bahawa permasalahan isu penindasan wujud pada detik detik halus kehidupan harian yang dianggap “normal”.
Ini secara langsungnya mengiktiraf bahawa sumber ilmu bukan terletak pada ahli politik, agamawan atau badan-badan tertentuk tetapi dalam pengalaman setiap insan yang melalui hidup. Feminisme mengajak ke arah demokratisasi “ilmu” dalam kerangkanya . Ini disamping menggunakan mekanisme konkrit untuk penyertaan semua secara saksama untuk menghasilkan pengetahuan-pengetahuan baru tentang masyarakat.
Feminisme peka terhadap yang terpinggir
Dalam itu pejuang hak wanita feminisme menumpu perhatian kepada isu yang diabaikan dalam wacana awam.
Misalnya, hak wanita untuk bekerja, isu gaji setara, pemilikan harta dan tanah, kerja rumah tangga yang tidak terbayar dan sebagainya.
Ini termasuk juga isu yang tidak diiktiraf atau sukar mendapat pengiktirafan daripada orang ramai. Contohnya, feminis di Malaysia bekerja keras selama 12 tahun untuk memastikan keganasan rumah tangga adalah satu jenayah di negara ini.
Masih dipejuangkan adalah isu rogol bini (marital rape) dan penderaan seksual kanak-kanak (termasuk kanak-kanak lelaki).
Tidak dilupai adalah isu penderaan seksual lelaki. Ramai feminis sedar bahawa rogol tidak sahaja berlaku kepada wanita, tetapi juga kepada lelaki. Namun, apa yang terkandung di dalam rang undang-undang di negara ini hanya untuk melindungi perempuan.
Yang aneh yang pernah diperhatikan adalah lelaki yang menganggap diri mereka feminis tidak mendapat ruang dalam sistem patriarki tetapi menikmati ruang bersuara yang lebih kuat di gelanggang pergerakan wanita feminis. Perkembangan wacana feminis berpotensi untuk menjana satu kesedaran yang lebih luas tentang isu isu di atas.
Salah faham terhadap kesetaraan gender
Mengapa gerakan gender?
Jika dahulu saya merupakan seorang lelaki yang sangat konservatif dan skeptikal terhadap gerakan yang saya fahami sebagai “feminism” ini, sesi dialog yang berterusan dan perasaan ingin tahu yang membuak-buak membolehkan saya meneroka dengan lebih jauh. Akhirnya saya jatuh cinta dengan sikap dan apa yang diperjuangkan oleh mereka.
Pastinya gerakan kesetaraan gender ini tidak akan muncul suka-suka dan sengaja ingin mencetuskan huru-hara dalam pandangan umat Islam melainkan terdapat krisis ketidakadilan dan penindasan yang begitu sistemik di dalam konteks kita hari ini.
Antara masalah-masalah yang disuarakan termasuklah poligami, perkahwinan bawah umur, perkahwinan paksa, masalah ketidakadilan pewarisan harta, keganasan rumah tangga, diskriminasi terhadap wanita berhijab/tidak berhijab dan sebagainya. Para pembentang dan peserta membahas isu-isu tersebut dalam perbincangan-perbincangan yang sangat penting dengan penghujahan ilmiah dan penafsiran semula terhadap teks Al-Quran dan Sunnah bagi mengangkat semula semangat keadilan yang dianjurkan dalam Islam dan mengembalikannya ke tempat yang sepatutnya.
Feminisme nusantara
Adalah sesuatu yang bersalahan jika kita memukul rata semua gerakan feminisme yang melanda nusantara dengan anggapan bahawa mereka hanya semata-mata bertitik tolak dari pengalaman Barat, khususnya yang memuncak pada abad ke 17 di bawah pengaruh gereja dan juga diskriminasi berterusan yang meminggirkan wanita selepas Revolusi Perancis 1789. Revolusi tersebut kemudiannya mengisytiharkan “Declaration of the Right of Man and the Citizen” di mana wanita turut diiktiraf dengan satu lagi pengisytiharan “Declaration of the Right of Women and the (female) Citizen”.
Terdapat perbezaan yang ketara antara feminism bawaan Barat (yang juga punya banyak kepelbagaian) dengan konteks feminism bawaan kebudayaan nusantara yang kuat dengan tradisi agama. Sebagai contoh, disebut dalam kajian Clare Chambers berjudul “Feminism, Liberalism and Marriage” yang menyatakan bagaimana gerakan feminism di Barat itu begitu kental dan tegar menyerang institusi keluarga. Bagi mereka, wanita itu secara langsung akan tertindas apabila “menyertai” perkahwinan.
Wacana sebegini bukanlah apa yang dibawa oleh gerakan gender di Malaysia , Indonesia dan Singapura misalnya, yang harus kita fahami lahir dalam konteks masyarakat beragama Islam khususnya dan juga mencakupi masyarakat majmuk melibatkan orang bukan Islam. Justeru, wacana kesetaraan gender di nusantara bukanlah mencabar institusi perkahwinan dan keluarga akan tetapi memperkukuhkannya dengan semangat keadilan agama (dalam konteks artikel ini, Islam)
Antara perjuangan gerakan gender di Malaysia adalah seperti Sisters In Islam (SIS) misalnya, yang antara lain telah menuntut diperkenalkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Ini merupakan suatu pencapaian yang wajar diberi pujian. Ini kerana, sebelum akta itu diperkenalkan, tiada peruntukan undang-undang keganasan rumah tangga di mana suami yang sewenangnya memukul isteri sehingga menyebabkan kecederaan fizikal boleh didakwa di mahkamah. Ia dianggap “hal rumah tangga yang tidak boleh diganggu” sebelum ia menjadi kes polis seperti hari ini.
Di Singapura pula, wujudnya sistem pewarisan harta di bawah dua sistem undang-undang (antara sivil dan AMLA atau Administration of Muslim Law Act) menjadi masalah yang sentiasa menindas wanita.
Sebagai contoh, seorang warga wanita kematian suaminya, dan mempunyai dua orang anak perempuan. Di bawah undang-undang sivil Singapura, jika suaminya tidak mewasiatkan apa-apa untuk isteri dan anak-anaknya, si isteri boleh menuntut hak keatas “maintenance” beliau dan anak-anak atas perintah mahkamah (jumlah ditentukan oleh mahkamah) di bawah Inheritance Family Provision Act.
Ini berbeza dengan seorang wanita Islam. Dalam kes yang sama, di bawah AMLA 1966, beliau tidak dibenarkan memilih diadili di bawah mahkamah sivil (hanya boleh berbuat demikian jika menisytiharkan dirinya murtad) di mana hanya 1/3 harta yang boleh diwasiatkan oleh suaminya kepadanya dan selebihnya dibahagikan mengikut faraid yang mana memberi bahagian yang besar kepada ayah suami dan adik beradik lelakinya.
Penindasan berlaku apabila tiadanya peruntukan undang-undang sekiranya keluarga belah suami tidak bertanggungjawab dan tiadanya peruntukan “maintenance” yang boleh dituntut oleh si isteri seperti yang dijamin di bawah undang-undang sivil. Ini menyebabkan si isteri dan anak-anak terbiar tanpa diberikan hak mereka.
Di Indonesia pula, tidak kurang hebatnya apabila Kongres Perempuan Indonesia julung kali di buat pada tahun 1928.Gerakan- gerakan gender seperti Gerakan Isteri Sedar dan AMAN (Asian Muslim Action Network) Indonesia, membuahkan beberapa hasil yang progresif seperti yang disebut Siti Mukarramah dalam tesisnya “Pengaruh Feminisme Barat Terhadap Gerakan Feminism di Indonesia”
“Perjuangan perempuan di Indonesia sendiri telah banyak menghasilkan perundang-undangan yang melindungi mereka, diantaranya,UU No. 1 Tahun 1997 tentang perkawinan, UU No. 23 Tahun 2004 tentang penghapusan kekerasan dalam rumah tangga, UU No. 10 Tahun 2008 tentang pemilu yang mensyaratkan partai memenuhi 20% caleg dari perempuan, dan lain-lain.
Indonesia sendiri pernah dipimpin oleh seorang presiden wanita yaitu Megawati Soekarno Poetri.
Gerakan gender (keseteraan gender yang memberdayakan wanita dan penglibatan lelaki) di Indonesia juga mendapat saingan hebat apabila wujudnya variasi gerakan gender yang berideologi feminist Barat, Keluarga Sakinah (gerakan gender Islamik) dan juga gerakan ibuism dan “”houswefization”yang dikatakan bertunjang atas dasar “gender harmony”.
Saya hanya sempat menyatakan sedikit sahaja dari ribuan contoh dan kes-kes yang signifikan yang menjadi asas perjuangan gerakan keseteraan gender ini. Tujuannya hanya untuk menaikkan martabat wanita supaya mereka bukanlah dianggap sebagai “second-class citizen”, akan tetapi mempunyai hak-hak asasi manusia.
Namun begitu, ini tidak bermaksud lelaki itu harus dicabar dan tidak wajar dihormati. Ia cumalah mengangkat wacana ini bagi memberikan keadilan kepada lelaki dan wanita mengikut konteks yang sebetulnya.
Membersihkan pengaruh patriarkal Arab dari semangat keadilan Islam
Sesungguhnya, begitu banyak isi-isi penting yang perlu kita rungkai dalam penafsiran semula teks(Quran dan sunnah).
Masyarakat Arab di zaman nabi memandang wanita dari sudut status, nilai, dan peranan sebagai inferior kepada lelaki. Nisbah satu lelaki bersamaan perempuan sebanyaknya tetapi lelaki aktif manakala perempuan pasif. Akan tetapi kedatangan Islam menukar semua ini dengan menjadikan status lelaki dan perempuan sama darjatnya di sisi Tuhan sebagai hamba dan khalifah dan memegang peranan melindungi satu sama lain.
Sebagai contoh, Islam diturunkan dalam konteks masyarakat Arab yang mengamalkan poligami tanpa batasan. Al-Quran yang diturunkan memberi tamparan hebat kepada struktur masyarakat Arab ketika itu yang begitu partriaki dimana sumber ekonomi kebanyakannya terletak di tangan lelaki dan perempuan sebagai warga kelas kedua yang perlu “dilindungi”.
Poligami misalnya, sering di salah erti sebagai galakan kepada suami untuk berkahwin lebih dari seorang. Sedangkan, di dalam Surah An-An-Nisa (4) : 3 yang menyatakan :
“Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil pada para isteri, maka nikahilah satu orang perempuan saja atau hamba sahaya yang kamu miliki ”
Dan juga surah yang sama ayat- 129 yang menyatakan:
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang) dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
Ini bukan suatu galakan poligami bahkan suatu galakan monogami! Bahkan di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim mencatatkan bahawa,
“Sesungguhnya Bani Hisyam bin Al-Mughirah meminta izin mengahwinkan puteri mereka dengan Ali bin Abi Thalib, aku pun tidak mengizinkan sekali lagi, sungguh tidak aku mengizinkan kecuali aku ceraikan puteriku lalu menikai puteri mereka. Sesungguhnya ia (puteriku) adalah bahagian dariku; menyinggungku apa pun yang menyinggungnya dan menyakitiku apa pun yang menyakitinya”
Begitu jelas bahawa Nabi juga merasakan kesakitan jika puterinya dipoligami itu menambah lagi hujah betapa kerasnya kritikan keatas poligami. Ini juga hanyalah satu contoh dari banyak contoh-contoh pengaruh praktik Arab kurun ke-7 yang mempengaruhi wacana Islam dalam prinsip umum yang universal berteraskan keadilan yang sesuai mengikut konteks zaman.
Gerakan gender merupakan affirmative action
Banyak persoalan-persoalan yang melepak di fikiran saya tatlkala meneroka objektif perjuangan gerakan kesetaraan gender ini. Antaranya; 1) bagaimana gerakan gender ini memperkuatkan institusi keluarga? 2) Jika wanita ingin diiktiraf martabat dan kekuatan, mengapa mereka minta dilindungi dan diberi hak yang sama rata? Mengapa tidak bersaing sama dengan lelaki?
Antara jawapan yang sama terima di dalam program tersebut bagi jawapan untuk soalan pertama ialah, melawan kezaliman dan penindasan di dalam keluarga itulah yang akan memperkuatkan institusi tersebut. Kestabilan dalam rumah tangga akan lebih terjamin dan harmoni akan wujud.
Malah, dalam konteks zaman moden, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, wanita yang terdidik dapat membantu meringankan beban suami dengan sama-sama berkerja dan berkongsi peranan mendidik anak-anak. Bahkan, jika si suami ditimpa kemalangan, cacat , sakit dan sebagainya, wanita lantas boleh mengetuai keluarga dan menyara isi rumah. Bukankah itu memperkasa insitusi keluarga?
Jawapan bagi soalan yang kedua pula ialah, tindakan menuntut wanita diberi hak dan perlindungan ini adalah affirmative action, yakni tuntutan yang tidak tetap dan akan lenyap apabila padang sama rata. Jika sejak dari kecil, lelaki dan perempuan tidak diberi akses pendidikan yang sama rata, bagaimana ingin bersaing secara adil?
Begitu juga dengan pemberian hak yang lain sebagai tindakan menyaratakan kedudukan lelaki dan perempuan dalam masa yang sama mengiktiraf peranan masing-masing yang boleh berubah mengikut konteks.
Kesimpulan
Saya amatlah berharap jika artikel yang ringkas ini dapat memberi kesedaran seboleh mungkin kepada pembaca agar persepsi buruk terhadap gerakan gender dapat dikurangkan malah dilenyapkan bagi sama-sama menjunjung prinsip keadilan yang diterapkan atas nama hak asasi manusia mahupun Islam.
Sesungguhnya,saya percaya, jika gerakan-gerakan Islam berminat dengan bersungguh-sungguh untuk menaikkan wacana kesamarataan gender ini sebagai keadilan yang ditegakkan di dalam Islam, .nescaya NGO feminism seperti AWARE & NJI (Singapura), SIS (Malaysia), Solidaritas Perempuan (Indonesia) dan sebagainya tidak perlu wujud untuk bangkit dan memperjuangkan nasib wanita-wanita yang tertindas dan dizalimi.
Hakim wanita: menanggapi majlis fatwa
“Perlantikan Hakim Syarie wanita bukanlah dalam keadaan yang mendesak”
Adakah kesimpulan ini sahih? Wanita sebagai hakim Apabila ulama-ulama fiqh membahaskan tentang pelantikan orang perempuan sebagai hakim, kekhilafan yang biasanya timbul adalah seperti berikut; Pendapat pertama : Perempuan tidak harus menjadi hakim secara mutlak. Antara ulama yang mengatakan begitu adalah imam Dasuqi dari mazhab Maliki. Beliau menyatakan; “Ahli Kehakiman mesti adil, iaitu kelayakkannya adalah keadilan ……. Lelaki secara pasti, bukan perempuan tidak khunsa.” Imam al-Nawawi dari mazhab syafie menyatakan; “Disyaratkan padanya akan perkara yang disyaratkan pada hakim, dan penambahannya sepertimana dia berkata (syarat pemerintah, hendaklah ia adalah orang Islam), untuk meraikan kemaslahatan islam dan ahlinya …… mesti lelaki, kerana lemahnya akal perempuan, dan perempuan tidak dapat bercampur dengan orang lelaki. Dan telah saheh hadis yang menyatakan (tidak akan Berjaya sesuatu kaum yang mereka melantik perempuan sebagai orang yang urus urusan mereka.” Al-Iddah Syarh al-Umdah pula menyatakan, “Keadaan (hakim) itu mesti lelaki. Maka berhimpun lelaki dan baligh, kerana kanak-kanak tidak ada perkataan baginya (tidak diambil kira) dan perempuan pula kekurangan akal dan sedikit pandangan, ia bukan berkelayakan ketika kehadiran para lelaki dan pertemuan pihak yang bercanggah.” Berdasarkan pendapat ketiga-tiga aliran mazhab ini, jelas kelihatan bahawa mereka berpendapat bahawa pelantikan perempuan sebagai hakim adalah tidak harus, malahan keputusan yang mereka (hakim wanita) buat juga tidak sah. Tetapi ada juga khilaf yang berlainan. Pendapat kedua : Harus secara mutlak bagi orang perempuan menjadi hakim. Ibn Hazm menyatakan;, “Harus bahawa perempuan menjadi hakim – Ia juga adalah pendapat Abu Hanifah – Sesungguhnya diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab bahawa beliau melantik perempuan dari kaumnya untuk mengurus pasar. Ada pihak menyatakan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Kaum itu tidak akan berjaya yang menyandarkan urusan mereka kepada perempuan”. Kami (Ibn Hazm) berkata, “Nabi Muhammad SAW berkata begitu pada urusan umum, iaitu dalam urusan khilafah.” Pendapat ketiga : Dibenarkan perempuan menjadi hakim dalam semua perkara kecuali perkara yang berkaitan dengan darah dan hudud. Al-Imam al-Kasani dari mazhab Hanafi berkata; “Adapun Lelaki, bukan syarat untuk diikut secara umum, kerana perempuan adalah dari kalangan ahli penyaksian secara umumnya kecuali dia tidak boleh berhukum dalam perkara hudud dan Qisas, kerana tidak berlaku penyaksian pada perempuan dalam perkara ini (hudud dan Qisas) sedangkan keahlian hakim berlegar pada keahlian penyaksian.” Hujah pihak melarang Setiap pihak punyai dalil dan penghujahan masing-masing. Larangan orang perempuan menjadi hakim berasaskan beberapa nas, antaranya firman Allah yang mengatakan bahawa “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan” (Surah al-Nisa’ (4), ayat 34) Dalam firman Allah ini, dipamerkan bahawa orang perempuan tidak boleh dilantik menjadi hakim kerana lelaki dinyatakan sebagai pemimpin dan pengawal terhadap orang perempuan. Ada juga yang menafsir ayat berikut dengan tanggapan tambahan bahawa kononya sifat perempuan lebih banyak mengikut emosi berbanding rasionaliti dalam sebarang tindakan dan keputusan mereka. Contohnya, menurut al-Imam al-Qurtubi; “Ada yang mengatakan, lelaki itu punyai kelebihan dari sudut kekuatan jiwa dan tabiat, yang ia tiada pada orang perempuan, kerana tabiat bagi lelaki adalah panas dan kering, lalu padanya terdapat kekuatan dan kekerasan. Tabiat perempuan, dikuasai oleh kebasahan dan kesejukan, ia membawa makna kelembutan dan kelemahan, lalu Allah menjadikan bagi mereka hak berkuasa terhadap perempuan dengan sebab itu.” Mereka juga berhujah dengan merujuk kepada hadis bahawa Nabi Muhammad saw ada bersabda; “Selama-lamanya sesuatu kaum tidak akan berjaya jika urusan mereka diserahkan kepada perempuan.” Hakikat penghakiman adalah tercapainya keamanan yang merupakan kejayaan. Dalam hadis ini pula, Nabi Muhammad SAW mempamerkan bahawa perempuan tidak boleh mengurus urusan orang ramai, dan sudah pasti ialah kehakiman antara urusan orang ramai itu. Mereka turut berhujah bahawa melantik perempuan sebagai imam solat pun sudah dilarang, inikan pula dalam urusan kehakiman yang kesan baik dan buruknya lebih besar berbanding solat. Mereka juga sering merujuk kepada zaman wahyu dan salaf soleh, di mana didapati bahawa tiada terdapat satu kejadian pun bahawa perempuan dilantik menjadi hakim. Ini merupakan bukti mereka bahawa perempuan tidak boleh menjadi hakim. Tambahan lagi, mereka juga menyatakan bahawa perempuan tidak boleh menjadi hakim kerana terdapat dalam hadis bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan tentang orang perempuan yang punyai kelemahan akal dan kelemahan agama. Ekoran itu, Nabi SAW menyatakan bahawa kesaksian orang perempuan seumpama setengah dari kesaksian lelaki. Sabda Nabi saw; “Wahai para perempuan, bersedekahlah, kerana sesungguhnya aku melihat kebanyakan kamu adalah ahli neraka”. Pihak perempuan bertanya, “Dengan sebab apa wahai Rasulullah? “. Berkata nabi, “Mereka banyak melaknat dan ingkari keluarga. Aku tidak lihat kalangan yang kurang akal dan agama”. Kami (perempuan) berkata, “apakah kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?”. Jawab Nabi, “bukankah kesaksian perempuan itu menyamai setengah kesaksian lelaki?”. Mereka menjawab, “benar”. Berkata lagi, “itu merupakan kekurangan agamanya. Bukankah apabila perempuan kedatangan haid, dia tidak boleh solat dan puasa?”. Jawab mereka, “benar”. Berkata Nabi, “itu merupakan kekurangan agamanya”. Hujah pihak yang membenarkan Pihak yang membenarkan juga mendatangkan hujah – hujah mereka. Antaranya mereka kembali kepada kaedah asal, bahawa sesuatu itu adalah harus selama tiada nas yang melarang. Dan apa yang jelas ialah tiada nas yang melarang perempuan menjadi hakim. Walaupun ada hadis yang mengatakan sesuatu kaum tidak berjaya jika dilantik perempuan sebagai orang yang mengurus urusan mereka, hadis ini hanya merujuk kepada kepimpinan utama seperti khalifah yang tidak relevan pada zaman sekarang lagi. Hujah ini dijawab dengan mengatakan bahawa tegahan perempuan menjadi hakim adalah merujuk kepada kelemahan akal ekoran penguasaan emosi mereka. Tambahan pula ada kesukaran perempuan untuk berhadapan dengan urusan orang bawahan yang pelbagai ketika mentadbir kerajaan. Masalah-masalah tersebut adalah masalah yang juga akan dihadapi oleh perempuan yang menjadi hakim. Ekoran itu, secara mendasarnya wujud juga nas yang melarang dari orang perempuan menjadi hakim secara tidak langsung. Wacana tambahan dan balasan hujah-hujah Pihak yang mengizinkan perempuan menjadi hakim ini membalas hujah itu dengan merujuk kepada keizinan syarak merujuk fatwa kepada perempuan. Itu pula dijawab dengan hujah bahawa di sana wujud perbezaan antara fatwa dan kehakiman. Ini kerana, sesuatu yang dikeluarkan diberikan pilihan antara menerima atau menolak, sedangkan hukuman yang diputuskan oleh hakim tiada pilihan untuk menolak. Dipihak yang mengatakan bahawa perempuan boleh menjadi hakim dalam semua perkara kecuali hudud dan qisas pula berhujah dengan alasan bahawa perempuan diterima penyaksiannya pada semua perkara kecuali hudud dan qisas. Keizinan bagi menjadi saksi adalah keizinan juga menjadi hakim. Hujah ini dijawab dengan menyatakan bahawa bandingan penyaksian diqiaskan dengan kehakiman adalah qias yang tidak seharusnya berlaku kerana larangan perempuan dilarang menjadi pemimpin itu sememangnya wujud dalam nas secara jelas. Dari penghujahan semua pihak ini, nyata bahawa pihak jumhur Ulama yang mengatakan larangan perempuan menjadi hakim lebih kuat. Keadaan Malaysia Apabila kita lihat bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh seseorang hakim tertakluk kepada faktor-faktor dirinya sendiri, jadi tidak hairanlah ada pendapat yang melarang perempuan menjadi hakim. Namun itu berbeza dengan keadaan di mana seseorang hakim itu tidak membuat keputusan secara bersendirian, contohnya di dalam konteks sesuatu majlis kehakiman yang terdiri beberapa orang hakim-hakim yang lain. Dalam konteks ini mereka tidak akan membuat sesuatu keputusan kes kecuali akan dibincangkan dalam majlis tersebut. Jadi larangan terhadap perempuan menjadi hakim adalah tidak tepat, kerana kebimbangan dan kerosakan yang terjadi jika perempuan menjadi hakim tidak akan berlaku. Dengan itu, dengan mengambil kira bentuk dan kaedah membuat keputusan kehakiman, perempuan tidak patut dilarang dari menjadi hakim. Kupasan Al-Qaradawi tentang hakim wanita Yusuf Al-Qaradawi ialah antara ulama kontemporari yang menyatakan keizinan perempuan menjadi hakim. Beliau juga menyatakan fatwa beliau selaras dengan beberapa fatwa di kalangan ulama yang lain, seperti syaikh Muhammad Al-Ghazali dan Ibn Hazm. Beliau berhujah bahawa tiada nas yang qatie dilalah terhadap larangan tersebut. Menurut beliau, jika wujud pendalilan secara qatie terhadap larangan itu, sudah pasti aliran zahiri seperti Ibn Hazm menyatakan larangan tersebut. Beliau juga menjawab larangan yang merujuk kepada hadis bahawa Nabi saw ada bersabda, “Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan”. Dihujah oleh Al-Qaradawi bahawa hadis ini tidak boleh dilaksanakan secara mutlak, kerana terdapat ayat Al-Quran yang mempamerkan kejayaan sesuatu kaum yang diperintah oleh perempuan seperti kisah yang berkait dengan seorang perempuan di era Nabi Sulaiman yang menguasai sebuah kerajaan di zaman itu. Firman Allah; “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut); * ” `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah). ‘ * “Raja perempuan itu berkata lagi: “Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya”.* “Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan” “Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.” * “Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita” * “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah)” * “Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (Surah al-Naml, ayat 30-37) Bagi menjawab hujah yang mengatakan perempuan kekurangan akal pula, Al-Qaradawi menyatakan bahawa kisah raja perempuan menerusi surah al-Naml, ayat 30 sampai 37 bercanggah dengan pendapat tersebut. Jika perempuan kekurangan akal, bagaimana dia boleh mentadbir dengan baik? Malahan dalam hadis, terdapat kisah Ummu Salamah dalam sejarah Sulh al-Hudaibiyyah yang memberikan pandangan bernas kepada Nabi Muhammad saw untuk selesaikan kekusutan baginda SAW. Bagi menjawab pula dakwaan bahawa larangan itu tertakluk kepada perempuan yang saksi mereka seramai dua orang menyamai dengan seorang saksi lelaki, Al-Qaradawi menyatakan bahawa ketidak selarasan itu bukan hujah untuk melarang perempuan menjadi hakim, kerana maksud sebenar di sebalik ketetapan itu adalah kerana kesaksian dalam penghakiman memerlukan keyakinan yang jitu. Apa yang nyata dari pandangan Al-Qaradawi ialah perempuan boleh menjadi hakim. Wallahu A’lam. (Sila email projekdialog@yahoo.com untuk rujukan dan bibliografi lanjut)
"Kau perempuan? Padan muka!"
Menyoroti diskriminasi dan penindasan terhadap golongan wanita di Malaysia selama ini dari segi identiti dan penyertaan politik serta pelbagai stigma yang telah dicorak oleh masyarakat Malaysia sendiri. Perbincangan episod “Kau Perempuan? Padan Muka!” ini lebih bertujuan mewujudkan ruang dialog tentang kepentingan mengetahui apa itu gerakan feminisme serta bagaimana realiti masyarakat moden Malaysia memandang dan menilai warga wanita. Menyerikan lagi sembang kali ini ialah “Emansipasi” dendangan Republic of Brickfields. Fadiah Nadwa Fikri menjadi tetamu khas episod ini. Mengenai Dialog Jalanan: Dialog Jalanan merupakan satu podcast yang bertujuan untuk meluaskan wacana kritis melalui renungan mengenai isu-isu semasa, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan hal hubungan antara budaya dan agama di negara Malaysia yang kaya dengan kemajmukan. Niat asas kami hanyalah untuk mendalamkan pemahaman kami terhadap isu-isu yang biasanya digelar sensitif dengan cara yang berpaksikan nilai kemanusiaan. Niat dan matlamat kami bukan untuk menyebar mana-mana ideologi atau agama. Podcast ini diterbitkan dengan kerjasama Buku Jalanan. Buku Jalanan ialah sebuah gerakan perpustakaan jalanan yang berkonsepkan peminjaman buku secara percuma, tanpa birokrasi dan seiringan dengan aktiviti seni serta kebudayaan. Ianya bermula di Shah Alam pada tahun 2011 dan kini telah berkembang kepada lebih dari 30 buah perpustakaan – semuanya bergerak dengan autonomi penuh dan dicorakkan oleh keadaan dan agenda tempatan masing-masing. Yang menyatukan kesemua Buku Jalanan ialah sebuah aktivisme untuk membawa kesusasteraan dan kebudayaan ke masyararakat umum dengan menggunakan ruang awam di setiap kota yang mereka diami. – See more at: http://www.projekdialog.com/malay/kristianisasi-cuak-doh/#sthash.P420Zg73.dpuf ]]>
Dokumentari ‘Ulama Perempuan’: Gerakan gender sebagai perubah sosial
Saya sempat menghadiri sebuah tayangan dokumentari oleh pembikin filem Norhayati Kaprawi bertemakan “Ulama Perempuan” di Petaling Jaya minggu lepas. Temanya agak menarik perhatian kerana tumpuannya adalah terhadap wanita sebagai tokoh agama yang bergelar ‘ulamak’.
Dokumentari tersebut menjejaki beberapa kaum wanita yang bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyebar ilmu agama, bahkan mereka juga tidak segan silu untuk berhadapan dengan isu-isu tabu seperti melawati kawasan-kawasan pelacuran dan berbincang mengenai hubungan diantara bukan muhrim. Tambahan pula, mereka bukan bertindak sebagai pendakwah yang sibuk menghukum atau menyebarkan erti dosa pahala. Perhatian saya terhadap “Ulama Perempuan” tertarik bukan kerana fokus utama dokumentari tersebut adalah wanita, tetapi kerana ulama-ulama yang dipaparkan menghayati agama Islam sebagai, pertamanya: falsafah perubahan sosial; kedua: prinsip kebebasan beragama yang membebaskan agama daripada kezaliman; dan ketiga: agama yang menganggap wanita sebagai seorang yang mempunyai taraf, nilai dan martabat yang sama dengan lelaki. Perlu saya nyatakan juga bahawa dokumentari tersebut dirakamkan di Indonesia. Apa yang uniknya berkenaan Indonesia adalah negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan beragama. Mereka mempercayai pengekangan hak kebebasan seseorang untuk menganuti agamanya dianggap sebagai kezaliman spiritual. Gerakan gender sebagai perubah sosial Di dalam dokumentari ini, Norhayati Kaprawi mengikuti ulama-ulama wanita tersebut ke kawasan-kawasan rumah pelacuran. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti mereka bukan bersifat diskriminasi dan menghukum, sebaliknya ulama-ulama perempuan tersebut amat peramah dan rendah diri serta amat senang memberi pendidikan seks, khidmat nasihat dan memberi sokongan emosi. Para pelacur tersebut menyambut baik kedatangan para ulama wanita tersebut. Malah mereka saling berpelukan dan bertangisan bagaikan saudara sedarah. Pelacuran terpaksa dipilih kerana desakan sosio-ekonomi yang kompleks dan rasuah yang berleluasa. Para pelacur merupakan golongan yang paling lemah dalam strata kelas sosial. Namun begitu, ulama-ulama perempuan tersebut menganggap tugas mereka adalah untuk memahami situasi masyarakat dan memperjuangkan hak-hak golongan yang lemah. Ini berbeza sungguh dengan keadaan di Malaysia: Jika dibandingkan dengan situasi negara kita, golongan wanita sering dijadikan mangsa korban dalam undang-undang syariah dan diskriminasi masyarakat. Isu-isu seperti kes Kartika Seri Dewi, Lina Joy, Maznah Mohd Yusof, dan sebagainya jelas menjadi bukti bahawa wanita sering menjadi mangsa kepada sistem syariah yang sering menindas. Malah para ulama pula mengagung-agungkan sistem tersebut, dan menghukum mana-mana pihak yang cuba mencabar ketidakadilan sistem syariah di negara kita. Kiyai Hussein Muhamad, salah seorang ulama Indonesia yang diteuramah di dalam dokumentari ini berpegang teguh dengan sebuah ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Ia menyebutkan bahawa asal-usul kejadian manusia, wanita dan lelaki merupakan satu entiti yang diciptakan daripada satu roh, dan semua roh adalah sama tarafnya di mata Tuhan. Bahkan, sejarah Indonesia juga banyak terkandung cerita-cerita wanita Indonesia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menpunyai status taraf yang sama dengan lelaki. Seperti kisah isteri Teuku Umar, iaitu Cut Nyak Dhien. Beliau meneruskan perjuangan suaminya yang mangkat dibunuh dengan mengetuai gerila Aceh menentang penjajah-penjajah Belanda dalam perang Aceh sehingga tahun 1901. Kepentingan memahami pesanan Agama Dokumentari ‘Ulama Perempuan’ menunjukkan bahawa kemajuan Islam tidak boleh dinilai melalui peningkatan kuasa para ulama semata-mata, atau pengukuhan kuasa institusi syariah dan undang-undang. Ia terletak kepada gerakan gender yang berasaskan nilai-nilai universal, iaitu nilai kecintaaan dan saling hormat-menghormati, menyebarkan ajaran antara agama (interfaith) yang bersifat humanis. Di Indonesia, gerakan gender terutamanya oleh para ulama perempuan telah melahirkan golongan masyarakat yang terbuka kepada pemahaman Islam. Adalah menjadi kebiasaan dimana wanita-wanita Islam bersolat bersebelahan dengan lelaki-lelaki Islam di dalam masjid. Peraturan masjid juga adalah longgar, ia tidak mewajibkan wanita berhijab untuk memasuki masjid. Malah, yang lebih mengagumkan, menurut Norhayati Kaprawi, beliau melihat sendiri seorang janda yang bukan muhrim mencium tangan seorang ulama sebagai tanda salam tanpa melihatkannya sebagai sesuatu yang menyalahi agama. Di Malaysia, isu muhrim diangkatkan dengan sempit sehinggakan wanita tidak dibenarkan bersembahyang dihadapan lelaki. Sudah menjadi kebiasaan juga untuk para ulama lelaki tidak bersalaman dengan perempuan kerana dianggap bukan muhrim. Mengapa wujudnya perbezaan intepretasi dan amalan agama di Malaysia dan Indonesia, walhal mereka sama-sama mendukung agama Islam yang sama? Salah seorang yang menghadiri tayangan filem tersebut merumuskan berbezaan ini dalam sebuah ayat yang cukup bermakna. Beliau mengatakan “memahami sesebuah mesej agama di dalam Al-Quran adalah lebih penting daripada memahami tajwid bahasa Arabnya”. ]]>