Projek Dialog

Dokumentari "Ulama Perempuan": Gerakan Gender Sebagai Pengubah Sosial

Ulama Perempuan

Saya sempat menghadiri sebuah tayangan dokumentari oleh pembikin filem Norhayati Kaprawi bertemakan “Ulama Perempuan” di Petaling Jaya minggu lepas.

Temanya agak menarik perhatian kerana tumpuannya adalah terhadap wanita sebagai tokoh agama yang bergelar “ulama”.

Dokumentari tersebut menjejaki beberapa kaum wanita yang bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyebar ilmu agama, bahkan mereka juga tidak segan silu untuk berhadapan dengan isu-isu yang pantang dibincangkan seperti melawati kawasan-kawasan pelacuran dan hubungan diantara bukan muhrim. Tambahan pula, mereka bukan bertindak sebagai pendakwah yang sibuk menghukum atau menyebarkan erti dosa pahala. Perhatian saya terhadap “Ulama Perempuan” tertarik bukan kerana fokus utama dokumentari tersebut adalah wanita, tetapi kerana ulama-ulama yang dipaparkan menghayati agama Islam sebagai: Pertamanya: Falsafah perubahan sosial Kedua: Prinsip kebebasan beragama yang membebaskan agama daripada kezaliman dan Ketiga: Agama yang menganggap wanita sebagai seorang yang mempunyai taraf, nilai dan martabat yang sama dengan lelaki. Perlu saya nyatakan juga bahawa dokumentari tersebut dirakamkan di Indonesia. Apa yang uniknya berkenaan Indonesia adalah negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan beragama. Mereka mempercayai pengekangan hak kebebasan seseorang untuk menganuti agamanya dianggap sebagai kezaliman spiritual. Gerakan Gender Sebagai Pengubah Sosial Dalam dokumentari ini, Norhayati Kaprawi mengikuti ulama-ulama wanita tersebut ke kawasan-kawasan rumah pelacuran. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti mereka bukan bersifat diskriminasi dan menghukum, sebaliknya ulama-ulama perempuan tersebut amat peramah dan rendah diri serta amat senang memberi pendidikan seks, khidmat nasihat dan memberi sokongan emosi. Para pelacur tersebut menyambut baik kedatangan para ulama wanita tersebut. Malah mereka saling berpelukan dan bertangisan bagaikan saudara sedarah. Pelacuran terpaksa dipilih kerana desakan sosio-ekonomi yang kompleks dan rasuah yang berleluasa. Para pelacur merupakan golongan yang paling lemah dalam strata kelas sosial. Namun begitu, ulama-ulama perempuan tersebut menganggap tugas mereka adalah untuk memahami situasi masyarakat dan memperjuangkan hak-hak golongan yang lemah. Ini berbeza sungguh dengan keadaan di Malaysia. Jika dibandingkan dengan situasi negara kita, golongan wanita sering dijadikan mangsa korban dalam undang-undang syariah dan diskriminasi masyarakat. Isu-isu seperti kes Kartika Seri Dewi, Lina Joy, Maznah Mohd Yusof, dan sebagainya jelas menjadi bukti bahawa wanita sering menjadi mangsa kepada sistem syariah yang sering menindas. Malah para ulama pula mengagung-agungkan sistem tersebut, dan menghukum mana-mana pihak yang cuba mencabar ketidakadilan sistem syariah di negara kita. Kiyai Hussein Muhamad, salah seorang ulama Indonesia yang ditemuramah dalam dokumentari ini berpegang teguh dengan sebuah ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Ia menyebutkan bahawa asal-usul kejadian manusia, wanita dan lelaki merupakan satu entiti yang diciptakan daripada satu roh, dan semua roh adalah sama tarafnya di mata Tuhan. Bahkan, sejarah Indonesia juga banyak terkandung cerita-cerita wanita Indonesia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menpunyai status taraf yang sama dengan lelaki. Seperti kisah isteri Teuku Umar, iaitu Cut Nyak Dhien. Beliau meneruskan perjuangan suaminya yang mangkat dibunuh dengan mengetuai gerila Aceh menentang penjajah-penjajah Belanda dalam perang Aceh sehingga tahun 1901. Kepentingan Memahami Pesanan Agama Dokumentari ‘Ulama Perempuan’ menunjukkan bahawa kemajuan Islam tidak boleh dinilai melalui peningkatan kuasa para ulama semata-mata, atau pengukuhan kuasa institusi syariah dan undang-undang. Ia terletak kepada gerakan gender yang berasaskan nilai-nilai universal, iaitu nilai kecintaaan dan saling hormat-menghormati, menyebarkan ajaran antara agama yang bersifat humanis. Di Indonesia, gerakan gender terutamanya oleh para ulama perempuan telah melahirkan golongan masyarakat yang terbuka kepada pemahaman Islam. Adalah menjadi kebiasaan dimana wanita-wanita Islam bersolat bersebelahan dengan lelaki-lelaki Islam di dalam masjid. Peraturan masjid juga adalah longgar, ia tidak mewajibkan wanita berhijab untuk memasuki masjid. Malah, yang lebih mengagumkan, menurut Norhayati Kaprawi, beliau melihat sendiri seorang janda yang bukan muhrim mencium tangan seorang ulama sebagai tanda salam tanpa melihatkannya sebagai sesuatu yang menyalahi agama. Di Malaysia, isu muhrim diangkatkan dengan sempit sehinggakan wanita tidak dibenarkan bersembahyang dihadapan lelaki. Sudah menjadi kebiasaan juga untuk para ulama lelaki tidak bersalaman dengan perempuan kerana dianggap bukan muhrim. Mengapa wujudnya perbezaan intepretasi dan amalan agama di Malaysia dan Indonesia, walhal mereka sama-sama mendukung agama Islam yang sama? Salah seorang hadirin di tayangan filem tersebut merumuskan perbezaan ini dalam satu ayat yang cukup bermakna. Beliau mengatakan “memahami sesebuah mesej agama di dalam Al-Quran adalah lebih penting daripada memahami tajwid bahasa Arabnya”. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 23 September 2013] ]]>

Cinta, Harapan & Identiti Malaysia

Malaysia Majmuk Warna-warni Malaysia Malaysia adalah sebuah negera majmuk dengan pelbagai budaya, tradisi and kaum etnik. Keadaan ini membuatkan negara kita unik, dimana kepelbagaian telah mencorakkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Sejarah masyarakat Malaysia adalah amat berwarna dan bebas. Banyak imigran-imigran yang dibelenggu dengan kemiskinan, kepapaan dan sistem kasta pada masa lampau berhijrah ke tanah Malaya kerana ditawarkan dengan tiket kebebasan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Jadi tidak hairanlah, pertembungan kepelbagaian ini melahirkan komuniti-komuniti yang berdarah kacukan. Sejak kecil, saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa diri saya unik, bagi saya itu merupakan sesuatu yang lazim dalam negara kita. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berdarah kacukan. Ayah saya merupakan seorang Cina Hokkien yang mempunyai darah kacukkan Burma-Thai, dan ibu saya pula berdarah campuran Indonesia dan Serani. Jika saya mengupas balik sejarah nenek moyang saya, darah kacukan saya adalah amat luas. Tetapi kini, saya dikenali sebagai seorang Melayu di dalam sijil surat beranak saya. Hal ini adalah amat menghairankan, kerana saya telah ditempatkan di dalam kotak sempit yang dilebelkan Melayu. Dengan itu, saya juga dianggap perlu mempunyai perwatakan, selera dan pemikiran seorang Melayu. Walhal, kehidupan dan identiti saya adalah sama sekali bukan demikian. Politik pecah dan perintah (divide and rule) ini telah menyebabkan saya melalui saat-saat diskriminasi dan kekeliruan terhadap identiti saya semasa kecil. Keterasingan Perkauman di Malaysia Dasar pendidikan dan ekonomi bukan sahaja berat sebelah, malah masyarakat juga dipolitikkan untuk menstereotaip dan syakwasangka antara satu sama lain. Identiti nasional Bangsa Malaysia, langsung tidak diberi perhatian daripada ahli politik, guru-guru, mahupun masyarakat. Bahkan, sejak kecil kami telah dikelompokkan dan diindoktrinasikan dengan ideologi perkauman. Masyarakat kita, walaupun majmuk tetapi jarang sekali bergaul antara satu sama lain. Sejak kecil, saya sering didiskriminasi kerana identiti saya yang kompleks. Saya bersekolah di sekolah Cina dan kawasan perumahan kami kebanyakannya penduduk berbangsa Melayu. Oleh itu saya sentiasa didepani dengan kelompok-kelompok mono-etnik, menyebabkan saya sering keseorangan kerana saya tidak mencerminkan perwatakan mono-etnik. Cinta Malaysia Dahulu Kala Saya cemburu terhadap zaman ibubapa saya, walaupun hidup mereka tidak mempunyai teknologi canggih dan internet seperti kini, tetapi memori mereka tentang zaman itu adalah kebebasan. Ayah saya dari sekolah aliran Inggeris pada zaman British dahulu tetapi rakan-rakan sekolahnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Zaman dahulu, adalah kebiasaan bagi masyarakat pelbagai bangsa mengadakan pesta joget di rumah, sama ada untuk jamuan ataupun majlis keramaian. Malaysia MultiracialSeringkali, wanita zaman dahulu memakai miniskirt atau kebaya ketat, membuat rambut ala ‘sarang tebuan’, dan berdandan. Lelaki pula memakai seluar ‘bell bottom’ yang ketat dan memiliki rambut dan kumis ala ‘hippie’. Kisah percintaan ibubapa saya adalah kisah cinta kebanyakan muda-mudi pada zaman mereka, tetapi idea perkauman langsung tidak terlintas difikiran mereka. Kisah cinta ibu dan bapa saya bagaikan cerita ‘Grease’, bapa saya merupakan ‘playboy’ pada zamannya, sentiasa kelihatan macho dan diidami wanita dari pelbagai bangsa, tetapi ibu saya seorang yang lemah-lembut menjadi idamannya. Bagi saya, cinta adalah sesuatu yang sangat berkuasa, ia mampu menyatukan warna kulit dan ideologi. Kisah cinta nenek moyang saya pula berbeza, mereka lebih bebas kerana pada zaman mereka tiada keperluan visa atau passport, seseorang mempunyai mobiliti yang tiada sempadan, jadi tidak hairanlah nenek moyang saya berkahwin campur. Datuk moyang ayah saya berasal dari negara Cina, di sebuah tempat yang bernama ‘Swatow’  di daerah Guangzhou. Kehidupannya sangat miskin dan tiada peluang pekerjaan yang bagus, jadi, seperti kebanyakan imigran-imigran Cina pada zaman dahulu, mereka sanggup menempuh risiko nyawa di lautan Laut Cina Selatan, semata-mata keinginan untuk kehidupan yang baru dan lebih baik. Tanah Malaya merupakan negara yang penuh dengan peluang hidup dan pekerjaan. Datuk moyang saya menjadi seorang ahli bisnes yang berjaya di Kedah, dan pada masa sama, dia telah jatuh cinta terhadap nenek moyang saya yang berbangsa Burma-Thai dari Songkla, yang lazimnya berkebaya dan bersarung. Nenek moyang belah ibu saya juga mempunyai kisah cinta berlainan budaya. Datuk saya seorang wartawan dan sasterawan dan merupakan salah seorang kaum kerabat dari Langkat, Sumatera. Ketika itu Indonesia sedang menghadapi pergolakkan politik dan rusuhan, maka dia telah menjadi pelarian politik ke Tanah Malaya. Namun begitu, dia telah jatuh cinta terhadap nenek saya yang berbangsa Serani. Nenek saya adalah dari masyarakat Kristang keluarga ‘De Rozario’ yang amat berdisiplin, ayahnya adalah seorang Portugis dan ibunya adalah dari kacukan Parsi dan Sri Lanka. Masyarakat Kristang dahulu amat berpegang terhadap agama katolik mereka. Perkauman tidak menjadi masalah pada zaman tersebut, malah agak lazim keluarga-keluarga susah memberi anak mereka kepada keluarga dari bangsa lain tanpa ragu-ragu. Adik angkat kepada nenek saya berbangsa Cina. Saya percaya, sejarah cinta ibubapa saya dan nenek moyang saya bukanlah unik atau berbeza dengan sejarah cinta kebanyakan masyarakat Malaysia dahulukala. Retorik bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah lapuk, hal ini kerana cinta telah membuka ruang kepada kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat Malaysia kini. Budaya dan bangsa juga adalah lebih harmoni dan berkepelbagaian jika ia dibiar bebas untuk berkembang tanpa campurtangan dari kerajaan atau negara. Hakikat Malaysia Zaman Kini Jadi apakah identiti Malaysia dalam abad ke-21 ini? Adakah kita masih perlu melihat diri masing-masing melalui konteks bangsa and perkauman? Di mana-mana sekarang, masyarakat Malaysia kini terlalu taksub dengan identiti bangsa mereka sehinggakan ia memecah-belah kepercayaan dan kesamaan antara satu sama lain. Amat ketara dilihat kelompok-kelompok mono-etnik yang terasing di negara mereka sendiri, yang masing-masing mempunyai realiti hidup dan aspirasi yang berbeza. Identiti nasional kita terlalu lemah, apatah lagi dasar-dasar dan pemerintah kerajaan yang bersifat pecah dan perintah, dan golongan elit serta ahli politik yang lebih selesa dengan status quo. Saya percaya kita mampu mewujudkan identiti nasional yang kukuh, tetapi bukanlah berdasarkan konsep asimilasi. Perhatian kerajaan terlalu mengagungkan konsep kepelbagaian yang retorik dan cetek, pada masa yang sama budaya Melayu dijadikan satu-satunya tunggak identiti Malaysia. Maka wujudnya rasisme secara terang-terangan terhadap sesiapa yang tidak mengikut acuan tersebut sebagai ‘pendatang’ dan rasisme berbalik ‘reverse racism’ oleh kaum-kaum lain terhadap masyarakat Melayu. Kita perlu menghadapi realiti yang Malaysia merupakan negara imigran dan majmuk. malaysia-flag Membentuk Identiti Bangsa Malaysia Pada pandangan saya, identiti Malaysia seharusnya berdasarkan konsep kesamaan nilai dan cita-cita. Ini adalah konsep yang sangat asas dan universal, kerana kesamaan nilai dan cita-cita adalah matlamat asal bagi kebanyakan masyarakat Malaya dahulukala yang berhijrah ke tanah Malaya. Tanah Malaya merupakan bumi yang subur dan kaya dengan pelbagai peluang hidup yang cerah. Saya percaya, datuk dan nenek moyang saya berhijrah dengan harapan untuk membina kehidupan baru, dimana semua kaum dan bangsa diberi peluang untuk maju dengan sama rata. Mungkin idea saya terlalu romantik, namun hakikatnya ini juga adalah dorongan bagi kebanyakan muda-mudi zaman sekarang untuk berhijrah ke negara-negara maju yang lain. Mereka ingin mencari peluang hidup dan pekerjaan yang lebih baik, dan fenomena ‘brain drain’ ini akhirnya menyebabkan kehilangan yang besar bagi ekonomi Malaysia. Jadi, apakah kesamaan nilai dan cita-cita yang ada antara semua rakyat Malaysia? Saya rasa ini tidak susah untuk kita fahami. Kebanyakan rakyat Malaysia inginkan kesetaraan, kebebasan dan keadilan. Kita tidak semestinya perlu berperwatakan mono-etnik, berfikiran sama atau memiliki budaya yang ‘homogeneous’. Setiap manusia adalah berbeda-beda dan unik, tetapi aspirasi hidup kita adalah sama. Saya percaya, kebanyakan masyarakat Malaysia inginkan pendidikan yang bermutu tinggi, sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan kronisme, sistem kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, pemeliharaan kebajikan pekerja, kos hidup dan perumahan yang rendah, alam sekitar terpelihara, kebebasan menjadi diri kita sendiri tanpa diskriminasi, kualiti kehidupan yang bagus, dan sebagainya. Selain itu, kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan bangsa boleh dikecapi jika semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi untuk memajukan dan memakmurkan negara Malaysia. Pemahaman terhadap sejarah dan budaya Malaysia yang tidak berat sebelah juga penting, hal ini kerana raykat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa telah bertungkus lumus dan berkeringat darah untuk membina negara ini. Perpaduan kebangsaan atau ‘National Unity’ adalah sebuah proses, dimana nilai-nilai yang utuh dan cita-cita yang universal dijadikan asas identiti Malaysia yang kita semua boleh banggakan. Walaupun aspirasi tersebut masih jauh tetapi saya percaya jika cinta dan harapan telah membawa nenek moyang saya dan ibubapa saya memanggil Malaysia sebagai ‘rumah’; cinta dan harapan juga boleh menjadi matlamat arah tuju bagi membentuk identiti Malaysia zaman kini. [Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 29 November 2012.]

]]>

Malaysia Memihak Warga Palestin tetapi Berdagang dengan Israel

Malaysia Israel Terjemahan makalah “Malaysia Favors Palestinians but Buys from Israel” terbitan Times of Israel pada 14 Sept 2014. Diterjemah oleh Hamizah Hanan. Hubungan dalam Diam Pada musim sejuk tahun 2013, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak melangkah merentasi sempadan Mesir di Rafah untuk melawat Gaza di bawah pemerintahan Hamas, lawatan luar biasa oleh seorang ketua negara. Beliau, yang negaranya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, memberitahu wartawan: “Kami mempercayai perjuangan rakyat Palestin. Mereka telah disekat dan ditindas sejak sekian lama.” Ianya jelas beliau berpihak kepada siapa. Namun pada masa yang sama, negaranya mengimport semakin banyak barangan Israel – namun tidak diperkatakan banyak tentangnya, terutama sekali semasa di Gaza. Data rasmi yang diterbitkan oleh Israeli Central Bureau of Statistics (CBS) menggambarkan hubungan perdagangan antara dua negara ini berkembang pesat, tetapi secara senyap, walaupun Perdana Menteri di Jerusalem mengancam keganasan dan kerajaan pimpinan Najib di Kuala Lumpur jelasnya Islamis dan pro-Palestin. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun 2013 mencecah $1.529 billion, hampir dua kali ganda jumlah tahun 2012, menurut CBS. Angka tersebut kebanyakannya terdiri daripada eksport Israel, iaitu sebanyak $1.457 billion. Kadar perdagangan terus meningkat: dari Januari hingga Julai tahun ini sahaja, eksport Israel ke Malaysia melonjak kepada $884.7 million, iaitu peningkatan sebanyak 27% daripada tempoh yang sama tahun lepas. Sebaliknya, statistik perdagangan luar negara Malaysia tidak menyebut nama Israel sama sekali. Dalam data tahunan bagi 2012 misalnya, perdagangan dengan Israel dimasukkan ke dalam kategori “Negara-negara lain”. Intel Israel Mengapa Israel? Sebahagian besar penyumbang kepada perdagangan ini adalah dari Kiryat Gat di dataran pasir selatan Israel, di mana syarikat gergasi global Intel mempunyai kilang cip komputer. Ia dieksport ke kilang pemasangan kedua di Malaysia. Setiap penghantaran direkodkan dalam perangkaan perdagangan luar Israel tetapi sengaja diabaikan oleh Malaysia. Intel sebuah syarikat yang berpusat di Amerika Syarikat, namun kerajaan Israel menjanjikan 5% pelaburan bersama di kilang Kiryat Gat itu, yang dianggarkan berjumlah mencecah satu billion shekel ($290 million). Selain perdagangan barangan secara rasmi ini, terdapat juga perdagangan pesat di bawah tanah, yang nilainya sukar dianggarkan. Para pengeksport Israel dan pembeli yang bersungguh di Malaysia dan juga negara jiran Indonesia – negara yang paling ramai penduduk Islam di dunia – dengan beraninya menentang arus politik demi perniagaan – sebahagian besarnya melalui negara ketiga seperti Singapura. Kedutaan Israel di sana mengatakan bahawa kebanyakan perdagangan dilakukan dengan cara ini, dan dalam kes Indonesia, dengan bantuan keduataan. Jumlah dagangan anatara Israel dan Indonesia, termasuk melalui negara ketiga, dianggarkan bernilai $250 juta pada tahun lalu, 10 kali ganda dagangan secara langsung sebanyak $24.9 juta yang diperincikan dalam perangkaan rasmi negara. Saudi Israel Bukan Perkara Baru, Bukan Terpencil Perdagangan sulit antara Israel dengan negara-negara bermusuhan telah berlangsung selama beberapa dekad, melalui saluran seperti Cyprus, Turki dan Jordan. Malah, sesetengah perdagangan secara langsung juga telah direkodkan kepada negara-negara di luar jangkaan seperti Arab Saudi dan Yamen. Seperti dalam kes Asia Tenggara, tarikan eksport berteknologi tinggi dari Israel melebihi konflik politik pada ahli perniagaan di negara-negara ini. Israel melihat perdagangan sebagai batu loncatan yang boleh membawa kepada lebih kerjasama dengan negara-negara bermusuhan. Jurucakap Kementerian Luar Negara, Paul Hirschson menganggap jumlah perdagangan bersama Malaysia suatu “kejutan baikmanakala Indonesia “menngecewakan kerana rendah “Israel banyak berdagang dengan negara yang tiada hubungan diplomatik dengannya dan kami cukup gembira dengan ini,” katanya. Apa Matlamatnya? Apabila ditanya sama ada wujudnya rancangan untuk dialog rasmi, beliau menjawab: “Ianya bukanlah rahsia yang bahawa kami berdialog secara berkala dengan negara-negara ini. Kami mengalu-alukan kewujudan hubungan diplomatik dan pejabat perwakilan.” Buat masa ini, memulakan hubungan peribadi dalam kancah politik berbahaya ini sudahpun suatu kejayaan dalam sendirinya. “Semasa saya di sana dan bertemu dengan ahli perniagaan swasta, ia seperti biasa,” kata Ron Doron, ahli perniagaan Israel yang berpengalaman di Malaysia. “Orang hanya menakuti pihak atasan.” Sentimen rasmi anti-Israel disuburkan setiap kali warga Malaysia membuka passport mereka, semuanya dicetak dengan kenyataan jelas bahawa “Pasport ini sah untuk semua negara kecuali Israel.” Namun, ini tidak menghindari perdagangan. Bahan kimia, alatan perubatan dan farmaseutikal adalah antara barangan permintaan tinggi. Permainan Persepsi  Mereka yang berpengetahuan tentang perdagangan ini mengatakan semua produk dibuang lambang yang mampu mendedahkan tempat penghasilannya. Ini bagi mengelakkan tercetusnya kemarahan seperti yang berlaku di Kuwait pada Januari lalu apabila khabar angin tersebar luas yang mengatakan kentang Israel dijual di pasaraya tempatan. Perahsiaan adalah penting, kerana potensi kerosakan reputasi dan kewangan kepada syarikat-syarikat yang berurusan dengan Israel akan ada selagi wujudnya konflik Arab-Israel. Menurut Emanuel Shahaf, naib pengerusi Israel-Indonesia Chamber of Commerce, “Ada dua trend yang bercanggah. Trend pro adalah Indonesia menuntut barangan yang lebih berteknologi tinggi… Trend negatif adalah keadaan situasi politik yang semakin parah (berkenaan Israel).” Walaupun begitu, menurut Shahaf, ia tidak semestinya menyekat perdagangan. “Kadangkala di Indonesia… yang dilarang itulah yang semakin menguja.” Israel Indonesia Antara Politik dan Perniagaan Perkembangan politik terbaru nampaknya tidak cerah, namun barangkali kemerosotan perdagangan masih tidak akan berlaku meskipun runtuhnya rundingan damai yang diterajui AS antara Israel-Palestin pada bulan April dan permusuhan dengan Hamas diperbaharui. Buktinya, perdagangan terus berkembang maju selepas kekecohan terakhir di Gaza pada tahun 2012. Ketegangan politik menjadikan hubungan peribadi begitu penting dalam menjalinkan hubungan baru dan mencapai persetujuan dalam perniagaan. “Syarikat-syarikat Israel selalunya tidak mempunyai kesabaran tinggi untuk jangka masa yang panjang,” kata Doron. “Itu salah satu masalah syarikat-syarikat Israel. Di Asia, anda perlu melihat jangka panjang. Anda tidak boleh melakukan perniagaan jangka masa pendek. Ia mengambil masa untuk membina hubungan dan keyakinan.” Hubungan peribadi ini sedikit sebanyak telah membina asas bagi keterbukaan rakyat Indonesia kepada Israel. Steve Stein, yang telah menyelaras program-program kemanusiaan dan pembangunan di sana sejak awal 90-an, mengatakan bahawa rakyat Indonesia melihat Israel “secara positif” dan “ingin mengembangkan perdagangan dan pelaburan.” Ia mungkin merangkumi “program khas jangka panjang Indonesia untuk memperkembangkan kerjasama akademik, pertanian demi keselamatan makanan dan perubatan,” kata Stein. “Ini akan mendedahkan generasi muda Indonesia kepada Israel dan rakyatnya, komuniti akademik dan perniagaannya,” tulis beliau dalam email. November lepas, Menteri Ekonomi dan Perdagangan, Naftali Bennett membuat lawatan ke pulau peranginan Bali di Indonesia, di mana beliau berucap pada sidang kemuncak Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation). Ia merupakan lawatan pertama seorang menteri Israel ke negara yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia selama 13 tahun. Walau bagaimanapun, ia difahamkan bahawa beliau tidak bertemu dengan mana-mana wakil kerajaan Indonesia.

]]>