Projek Dialog

Perkahwinan Tidak Sejenis

Kahwin SEORANG pelajar bertanyakan kepadaku sesudah usai sebuah wacana di Universiti Kebangsaan Malaysia, “Apakah hematmu mengenai perkahwinan sejenis kerana adanya gerakan agar ia disahkan menurut undang-undang di Malaysia ekoran pengiktirafannya di Amerika Syarikat.” Aku ingin sekali menjelaskan sebelum aku melanjutkan perbicaraan ini bahawa sesuatu yang alamiah tidak semestinya bermoral (natural is not necessarily moral). Misalan seorang yang kencing adalah alamiah (natural) tetapi jika ia dilakukan bersengaja di tengah-tengah pusat membeli belah dengan mendedahkan alat kemaluan maka ia dikira tidak bermoral. Jadi apakah reaksiku kepada perkahwinan sejenis kerana adanya gerakan agar ia disahkan menurut undang-undang di Malaysia ekoran pengiktirafannya di Amerika Syarikat? Aku membalas, “Pertamanya, saya tidak pernah mendengar adanya tuntutan rasmi untuk perkahwinan sejenis di negara ini seperti yang didakwa. Kedua, perkahwinan sejenis bukanlah atau belum satu masalah di Malaysia. Tetapi yang merupakan satu masalah dan patut dilakukan sesuatu oleh awak adalah… perkahwinan lain jenis, lelaki dan perempuan, perkahwinan kelamin… ini jenis perkahwinan yang banyak mendatangkan masalah di negara kita. Tak payah kita bincang hal negara lain…” Apakah masalah yang aku maksudkan di atas? Terdapat paling kurang tiga masalah pada perkahwinan lain jenis yang mesti dilangsai dan diberi jalan penyelesaian oleh kita semua. Masalah Pertama: Perkahwinan Bawah Umur Pertama adalah perkahwinan bawah umur. Ini kerana di Malaysia, undang-undang kita melarang kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun untuk memandu atau membeli rokok. Akan tetapi, kanak-kanak perempuan hanya tidak boleh menonton filem 18SX di pawagam. Mereka boleh berkahwin dan boleh melakukan hubungan seks di bawah umur dengan itu. Jadi, ada filem yang tidak dapat ditonton dengan alasan terdapatnya adegan seks atau erotis, tetapi di rumah mereka boleh misalnya melakukan seks oral (dengan suami). Dan, ia sah menurut undang-undang. Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada tahun  2012 sebagai contoh menunjukkan terdapat 1,165 permohonan untuk berkahwin, yang kebiasaannya bakal pengantin perempuan adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin. Statistik itu juga menjelaskan bahawa Mahkamah Syariah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu sedangkan rekod 2011 menunjukkan terdapat 900 perkahwinan yang diberi keizinan. Sebagai contoh, Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa usia paling  minimum untuk berkahwin menurut undang-undang bagi kanak-kanak lelaki Islam adalah 18 tahun, dan bagi anak-anak gadis Islam 16 tahun[1]. Perkahwinan bawah umur adalah masalah yang sangat besar. Ini bukan ciptaan dan dongengan yang aku ciptakan. Aku memberitahu pemuda yang rimas dan marah akan perkahwinan sejenis itu tentang Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106. Para agamawan bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014 untuk membincangkan ‘Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi’. Hasilnya, Muzakarah membuat keputusan, ‘perkahwinan kanak-kanak  tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini’, dan ‘lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit’. Selain itu Muzarakah memperakukan kebanyakan ‘perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku oleh kerana keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar’ kerana berlakunya penzinaan. Yang paling penting Muzakarah juga memperakukan laporan ‘pakar-pakar kesihatan dan psikologi’ yang menjelaskan hasil kajian mereka  bahawa ‘masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak’ adalah besar[2]. Perkahwinan lain jenis yang kusebut di atas tidak dipungkiri sedang mendapat tempat di negara ini dengan alasan Rasulullah saw pernah memperisterikan Ummul Mukminin Aisyah dalam keadaan Aisyah masih kanak-kanak. Masalah Kedua: Keganasan Rumahtangga Bukan itu sahaja masalah dengan perkahwinan lain jenis , keduanya, perkahwinan lain jenis juga mencatatkan kes keganasan rumahtangga yang tinggi. Pada tahun 2013, Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 1,259 kepada 4,123 kes dengan Johor, Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan kes paling tinggi membabitkan keganasan rumah tangga. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Asisten Komisioner Hamidah Yunus, menjelaskan, “kegagalan mengawal emosi adalah antara punca utama berlakunya keganasan dalam rumahtangga”. Beliau juga menambah  “terdapat lima jenis kes keganasan rumahtangga iaitu dari segi fizikal, psikologi, seksual, sosial dan kewangan”[3]. Masalah keganasan rumah tangga ini amat kronik. Adalah dilaporkan hampir 10 orang wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari. Wanita ini kebanyakannya adalah golongan muda yang berumur antara 26 hingga 35 tahun[4]. Selain itu, kes keganasan rumahtangga paling banyak dilakukan oleh mereka yang beragama Islam. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dalam satu jawapan kepada Dewan Negara untuk Sesi Disember 2011 tentang perihal statistik keganasan rumah tangga memberitahu antara tempoh 2006 hingga bulan Julai 2011:

  1. Terdapat sebanyak 1,635 kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum Melayu direkodkan
  2. Ia diikuti oleh 705 kes melibatkan pasangan India
  3. Kemudiannya 487 kes kaum Cina
  4. 79 kes peribumi Sabah, selain 47 kes peribumi Sarawak, 2 kes peribumi Semenanjung; dan
  5. 31 kes melibatkan kaum lain[5].
Sekali lagi isu kita di Malaysia bukanlah perkahwinan sama jenis. Isu kita di Malaysia ialah perkahwinan lain jenis yang gagal diurus dengan baik. Ini merupakan masalah yang perlu diatasi segera. Para ulama tidak harus terbungkam membiarkan nasib wanita terus tertindas dalam kerangka agama ini. Poligami Masalah Ketiga: Eksploitasi Undang-undang Poligami Masalah ketiga yang muncul dari perkahwinan lain jenis di Malaysia adalah eksplotasi dan manipulasi undang-undang berkaitan poligami di Malaysia. Hal ini merupakan duri dalam daging buat kita yang mengamalkan perkahwinan kelamin. Ia merupakan masalah umat Islam. Perhatikan sahaja ketidakseragaman Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam mengenai poligami antara negeri-negeri di Malaysia. Peruntukan mendapat izin atau tidak daripada isteri ada terkandung dalam Seksyen 23 Akta 303, Pulau Pinang 1985, Johor 1990, Negeri Sembilan 1984, Seksyen 17 dalam Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 1979, Pahang, Selangor dan Melaka. Akan tetapi,  Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan, Terengganu dan Perak tidak memperuntukan bahawa pandangan isteri diperlukan bagi menentukan layak atau tidak seseorang suami itu berpoligami. Ini kerana Enakmen Undang-Undang Keluarga di negeri Kelantan, Terengganu dan Perak menyatakan memadai untuk suami mendapat kebenaran bertulis daripada Qadi atau Hakim Syar’ie dan keputusan terletak pada kebijaksanaan Hakim sepenuhnya. Dalam masa yang sama syarat-syarat seperti kemampuan suami dari segi kewangan, keizinan atau pandangan isteri pertama tidak diperuntukkan dalam prosedur poligami di tiga buah negeri ini. Dalam makalah monumental beliau ‘Poligami di Malaysia’, Raihanah Abdullah, guruku ketika mengaji di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menyatakan; “Ketidak seragaman dari segi peraturan poligami ini menyebabkan masyarakat yang ingin berpoligami akan pergi ke negeri-negeri yang dirasakan peraturan poligaminya tidak akan menyekat hasratnya itu”[6]. Beliau seterusnya menyatakan, “Apa yang berlaku di Malaysia, pengamal poligami kebanyakannya tidak mematuhi samada yang ditetapkan oleh al-Quran dan al-Hadith juga sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam”[7]. Kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku ekoran kecelaruan perkahwinan lain jenis seperti poligami ini ternyata juga menerbitkan masalah sosial yang lain. Justeru perkahwinan lain jenis juga berpotensi menyebabkan kehuru-haraan dalam masyarakat. Jadi, perkahwinan sejenis yang bukan merupakan masalah kita di Malaysia usahlah difikirkan sangat. Kita perlu menyelesaikan isu-isu yang muncul dari perkahwinan lain jenis atau perkahwinan kelamin. Demokrasi, Bukan Jamuan Bufet Islam LGBTKita hidup dan menerima demokrasi sebagai gaya hidup dan sistem politik kita. Di dalam sistem demokrasi satu ajaran yang pasti adalah, “Kita memperjuangkan hak semua orang, atau anda tidak akan beroleh apa-apa pun untuk diri sendiri’. Demokrasi bukanlah satu jamuan bufet di hotel yang mana kita boleh memilih mana yang ingin diambil dan meninggalkan pula hak sivil yang terpakai untuk orang lain. Hak sivil dalam ajaran demokrasi mengajarkan kita semua setara.  Justeru, bayangkan kesukaran saudara-saudara seumat Islam di Amerika Syarikat, atau di Barat yang mestilah berjuang untuk semua golongan marjinal. Mereka tidak boleh berjuang untuk mengenakan hijab dan merungut stigma yang mereka hadapi jika dalam masa yang sama mereka tidak menghormati hak kaum yang ingin mengamalkan perkahwinan sama jenis. Kaum LGBTIQA2-S merasakan stigma yang sama sebagai golongam marjinal[8]. Adakah ini sesuatu yang liberal? Kalian boleh namakan apa sahaja. Aku menamakannya mengutamakan apa yang perlu diutamakan. Benar, sesuatu yang alamiah tidak semestinya bermoral (natural not necessarily moral). Itu adalah sikapku dari awal lagi. Aku percaya kepada kebebasan ekspresi, maka aku akan menyatakan dengan lantang dan jelas jika aku tidak berkenan. Cumanya aku akan melakukan dengan sopan, bukan dengan biadab dan kurang ajar. Aku tidak percaya kepada abuse terhadap mereka yang mengamalkan seks sama jenis. Aku tidak akan menyatakan ia benar, tetapi ia tidak semudah mengatakan ia haram. Perkahwinan sejenis bukan merupakan masalah meruncing buat kita di Malaysia. Kita belum ada masalah besar dengan perkahwinan sama jenis. Tetapi kita memang ada masalah dengan perkahwinan lain jenis atau pernikahan kelamin. Fokus kita semua, umat Islam haruslah ke situ. Kita mesti menyelesaikan masalah sedia ada sebelum menjadi kronik, dari memikirkan masalah lain yang belum pun jelas buat kita. Dan kita mesti akur, kita telah memilih sistem demokrasi dan bukannya teokrasi pada tahun 1957 iaitu ketika Malaya merdeka dan mengiktiraf pelbagai bangsa dan agama, justeru kita telah mengiktiraf rencam cara hidup.   [1] Hariati Azizan. 2013. Perkahwinan Bawah Umur Semakin Meningkat. 6 Oktober. Mstar. http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2013/10/06/perkahwinan-bawah-umur-semakin-meningkat/. Kedah sebagai contoh turut membenarkan perkahwinan bawah umur menerusi Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008. [2] Portal Rasmi Fatwa Malaysia. 2014. Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. E-Fatwa. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-perkahwinan-kanak-kanak-kajian-dari-aspek-agama-kesihatan-dan-psikologi. [3] Suryati Mohd Nor. 2014. Keganasan Rumahtangga: Kes Meningkat 1,259  Pada 2013. 7 Oktober. Mstar. http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/10/07/keganasan-rumahtangga/ [4] Utusan Malaysia. 2013. Hampir 10 wanita jadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari – Rohani. 19 November. Utusan Online. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131119/dn_12/Hampir-10-wanita-jadi-mangsa-keganasan-rumah-tangga-setiap-hari—Rohani. [5] Blog Dr. S. Ramakrishnan. 2011. Dewan Negara Sesi Disember 2011 – Statistik keganasan rumah tangga. 8 Disember. Blog Rama 4Change.  https://rama4change.wordpress.com/2011/12/08/dewan-negara-sesi-disember-2011-statistik-keganasan-rumah-tangga/ [6]Raihanah Haji Abdullah. 2007. Poligami di Malaysia. Jurnal Syariah 5 (2). 167-186. Hlm. 174. [7] Ibid. Hlm. 180. [8]  Reza Aslan dan Hasan Minhaj. 2015. An Open Letter To American Muslims on Same-Sex Marriage. 7 Julai. Religion Dispatches. http://religiondispatches.org/an-open-letter-to-american-muslims-on-same-sex-marriage/ ]]>

Adakah Aku Lebih Muslim Jika…

Better Muslim Penterjemahan tidak rasmi “Will I Become a Better Muslim If” oleh Mariam Mokhtar, terbitan www.rakyattimes.com. Diterjemah oleh Yana Rizal.   Adakah Aku Lebih Muslim Jika… “Aku memakai tudung, dan memandang rendah kepada yang tidak. Aku memaksa isteri dan anak-anak aku memakainya. Aku memakai jubah Arab putih dan memandang rendah budayaku sendiri.   Aku ingin buktikan aku tak bersalah, jadi aku bersumpah dengan Al-Quran. Aku ke Mekah untuk menebus dosa, seperti kebanyakan ahli politik dan keluarga mereka. Aku melaporkan jiranku ke polis akhlak kerana dia menolak pelawaan aku.   Aku tidak curiga apabila kononnya DNA babi ditemui dalam produk makanan seperti mentega atau coklat beberapa bulan sebelum Hari Raya, dan jabatan-jabatan agama mengenakan denda besar atau sekatan ketat atas penjualan produk-produk ini. Aku menyokong usaha untuk mengasingkan lif di hotel bagi pengangkutan makanan tak halal dari tingkat ke tingkat. Aku menyokong pengasingan troli dan kaunter bayaran di pasar raya.   Aku menyokong sebatan wanita yang minum di khalayak ramai, yang berzina atau curang. Aku beri peluang kedua kepada bijakpandai dan ahli sukan negara, walaupun mereka pedofil atau didakwa merogol di bawah undang-undang. Aku memaksa gadis baligh berkahwin dengan perogolnya, untuk menjaga maruah keluarga kerana kandungan luar nikah. Aku merakam video seks pesaing politik aku.   Aku memotong tangan orang yang mencuri untuk susu bayi mereka, namun aku berdiam diri mengenai 1MDB dan berbilion ringgit yang dikeluarkan secara haram kerana risaukan kerjayaku. Aku membunuh anjing dan menghalang umat Islam dari menyentuh anjing di khalayak ramai. Aku memburu pekerja atas penjualan buku yang ditulis seorang lesbian atau homoseksual, walaupun mengetahui bahawa kakitangan tidak punyai kawalan atas buku-buku yang dijual.   Aku memaksa pegawai-pegawai gereja untuk menurunkan salib dan mengharamkan lagu pujian dan doa apabila PM melawat dewan gereja untuk minum petang. Aku mengarahkan penghapusan salib dari lencana sekolah, dinding sekolah dan buku-buku sekolah. Aku menuntut bahawa salib di atas gereja dibuang kerana pemuda Islam boleh mudah murtad. Aku menuntut supaya semua jersi dan jalur bola sepak yang mempunyai tanda salib atau iblis dilarang pemakaiannya oleh orang Islam.   Aku mengutuk anak-anak perempuan yang memeluk idola K-pop mereka, namun menutup sebelah mata apabila isteri PM memeluk juara sukan. Aku tak endahkan seruan untuk memelihara khazanah arkeologi seperti di Lembah Bujang Kedah, yang mungkin lebih tua dari Angkor Wat, semata-mata kerana ianya peninggalan Hindu.   Aku menghantar anak-anak lelaki yang lembut ke kem latihan untuk melasakkan mereka. Aku mengharamkan gadis Melayu menyertai pertandingan kecantikan kerana tidak mahu mereka mendedahkan tubuh mereka. Aku mendenda lelaki yang tidak solat Jumaat kerana ingin menyelamatkan ruh mereka.   Aku mengarahkan kanak-kanak bukan Islam supaya makan di bilik persalinan ketika bulan puasa kerana tidak mahu kanak-kanak Muslim kempunan. Aku menghalau kanak-kanak bukan Islam ke rumah kerana mempunyai makanan haram, seperti sosej babi, dalam bungkusan makanan tengah hari mereka. Aku tidak akan bersetuju untuk pendidikan seks kerana ia bermaksud seks bebas.   Aku mengarahkan serbuan di pub yang sering dikunjungi kelas pekerja, namun pada masa-masa ganjil yang aku menyerang kelab-kelab mewah atau lima bintang, aku pastikan dahulu anak-anak VIP dan menteri diiringi keluar melalui pintu belakang. Aku mengumumkan bahawa langkah-langkah penjimatan adalah perlu, kemudian menggunakan mereka untuk membayar majlis perkahwinan anak perempuanku. Aku menggunakan hudud untuk memikat rakyat yang beragama, terutama sekali yang di kampung, kerana aku tahu bahawa langkah ini memajukan cita-cita politik aku.   Aku menuntut persetubuhan dengan isteriku pada bila-bila masa, tidak kira perasaannya. Aku menuntut seks di mana sahaja, walaupun sedang menunggang unta. Aku berkahwin dengan teman wanita aku di selatan Thailand kerana isteri pertama aku enggan membenarkan poligami dan aku tak keberatan membayar denda kembali nanti, kerana ianya hanya RM1,000 – picisan saja! Lagipun, isteri pertamaku yang akan menanggungnya.”

]]>

Sang Pencinta di #halalspeeddating

Love “Ada PhD pun, tak ada orang nak. Buat apa?” Sebagai wanita bujang yang telah mencecah abad ketiga kehidupan, soal tentang perkahwinan sudah mual diajukan kepada saya. Ibu dan keluarga seakan-akan hilang harapan melihat saya ke jinjang pelamin, dan saya sendiri sudah akur dengan ketentuan bahawa perkahwinan mungkin bukan untuk saya. Bukannya tidak mahu mengenali cinta, namun sebagai seorang wanita yang tidak memenuhi kriteria wanita Melayu terakhir dari semua segi, agak sukar untuk mencari pasangan yang benar-benar mampu menerima diri dengan seadanya. Tambahan pula, apabila seringkali dilempar komen seperti di atas, tersinggung saya untuk membuka hati dan minda bagi mengenali kaum Adam di Malaysia. Namun, sebagai seorang yang optimis, saya telah mengisi borang dan menghadiri acara #halalspeeddating anjuran saudara Syed Azmi, Puan Hayati Ismail dan Encik Zuhri Yuhyi beberapa minggu lalu. Ingin saya jelaskan bahawa sebenarnya, saya menghadiri acara tersebut sebagai tanda sokongan kepada usaha murni tiga sekawan ini. Membaca kisah disebalik penganjuran acara #halalspeeddating ini, saya pasti niat mereka mulia dan mahu membantu kaum bujang untuk mencari pasangan hidup berdasarkan prinsip taaruf, lunas-lunas Islam dan adab yang sopan. Pada saya sendiri, apa salahnya mencuba membuka minda untuk mengalami sesuatu pengalaman yang baru. Borang yang diisi bertanyakan soalan-soalan lazim berkenaan latarbelakang diri dan harapan tentang bakal suami/isteri dan perkahwinan. Juga perlu memaklumkan wali tentang keinginan menyertai acara ini. Untuk diri saya yang baru kehilangan ayah, saya memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa saya mengosongkan petak jawapan ini. Walaupun pada dasarnya kuasa wali jatuh kepada adik lelaki ataupun salah seorang bapa saudara saya, saya berpendapat bahawa kaum wanita patut diberi kemandirian untuk menentukan hala tuju sendiri. Selain itu, soalan-soalannya agak lazim dalam membantu mencari pasangan. Namun, terdapat soalan yang berbaur mempromosikan poligami, dan sebagai seorang wanita yang belum pernah melihat bukti kesetiaan dan keadilan lelaki, saya keraguan dalam hal tersebut. Saya utarakan pendapat saya di bahagian maklumbalas. Cinta Halal #halalspeeddating Setelah proses penelitian, pihak penganjur kemudiannya menghantar jemputan kepada para peserta yang lebih berkemungkinan mendapat pasangan dari kumpulan tersebut. Menurut penganjur, lebih kurang 500 borang penyertaan diterima keseluruhannya. Daripada ini, pihak penganjur memilih dan menghantar jemputan kepada 50 wanita dan 50 lelaki. Namun, pada hari tersebut, peserta yang hadir adalah 60 orang wanita dan 20 orang lelaki. Peserta juga digalakkan untuk hadir bersama mahram ataupun rakan yang dipercayai. Setelah mendaftar dan diberi nombor, peserta diingatkan supaya tidak bergaul antara jantina di luar acara yang dianjurkan, termasuk mencari di media sosial ataupun bertukar nombor telefon. Peserta juga tidak digalakkan memperkenalkan diri antara satu sama lain, sebaliknya hanya menggunakan nombor yang diberikan untuk berkomunikasi. Peserta wanita meneliti profil-profil peserta lelaki untuk meletakkan nombor mereka di petak slot temubual peserta lelaki; dan sebaliknya. Acara dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan dari pihak penganjur yang menceritakan latarbelakang disebalik idea untuk acara ini. Puan Hayati dan Encik Zuhri menceritakan kisah mereka berkenalan dengan pasangan masing-masing melalui laman sesawang dan perkenalan dari pihak ketiga; maka acara #halalspeeddating bertujuan sebagai platform perkenalan pasangan melalui perantara atas talian dan acara tersebut. Seterusnya syarahan mengenai perkahwinan Islam oleh Encik Shazly Khan, penganjur iMuslim. Beliau menggunakan sirah dan kisah Khalifah Umar Al-Khattab dalam memilih menantu dan menguruskan perkahwinan anak lelaki beliau sebagai contoh utama. Beliau juga mengingatkan para hadirin bahawa mencari perkahwinan itu dirahmati Allah dan perlu adanya hormat-menghormati antara suami isteri. Beliau juga secara sinis menyatakan bahawa kos perkahwinan yang tinggi beserta harapan dan jangkaan yang terlalu tinggi oleh pasangan dan keluarga mereka merupakan faktor-faktor yang menghalang pasangan muda untuk berkahwin, dan ini mengakibatkan gejala sosial dan seks rambang di kalangan anak muda masa kini. Encik Zuhri kemudiannya menerangkan peraturan acara hari itu. Kaum Adam menduduki meja-meja yang disediakan dan nombor mereka dipaparkan di atas meja. Pihak wanita yang telah meneliti profil peserta lelaki kemudiannya akan membawa diri ke meja di mana peserta lelaki tersebut berada. Pada pendapat saya, ini merupakan satu kemajuan kepada hak wanita, dan saya memuji penganjur atas kesedaran ini. Kedua-dua pihak mempunyai masa 5 minit untuk bertaaruf, diiringi oleh mahram masing-masing. Oleh kerana wanita melebihi lelaki, pihak penganjur kemudiannya membenarkan taaruf antara seorang lelaki dengan beberapa wanita sekali pada pusingan-pusingan seterusnya. Pihak lelaki kemudiannya berpeluang menemubual kaum wanita pilihan mereka berdasarkan profil. Setelah semua pusingan selesai, setiap peserta dikehendaki memilih 3 profil yang dirasakan berpotensi menjadi pasangan hidup dan mengajukan pilihan ini kepada penganjur. Pihak penganjur kemudiannya akan mengaturkan pasangan dan memaklumkan kepada peserta melalui e-mel seminggu setelah acara berlangsung. Love World Cinta, Perkahwinan & Jodoh Walaupun saya pada mulanya agak skeptikal, namun keseluruhannya acara ini merupakan pengalaman baik. Setelah membuka bicara dengan soalan lazim, saya banyak mengajukan soalan yang bersifat falsafah hidup; termasuk pendapat kaum Adam tentang isu rogol dalam perkahwinan serta hak wanita dalam perkahwinan. Soalan paling sukar yang diterima adalah “berapa anak yang kamu inginkan?” Sebagai seorang yang telah berkeputusan untuk tidak mempunyai zuriat, jawapan saya mungkin agak mengejutkan mereka. Jawapan yang paling sensitif pada saya adalah pendapat bahawa perkahwinan adalah seperti pentadbiran, yakni lelaki mentadbir atas wanita, dan wanita harus menerima seadanya. Ini bercanggah dengan prinsip hidup saya. Seminggu selepas acara berlangsung, saya menerima e-mel dari pihak penganjur bahawa saya tidak mempunyai jodoh dari acara tersebut. Saya telah menjangkakannya. Namun, saya rasakan, mungkin jodoh yang ditentukan Tuhan untuk saya bukanlah seorang Adam sebagai pasangan hidup, namun cinta yang membanting tenaga menambahbaik komuniti dan persekitaran melalui usaha sukarelawan yang saya lakukan. Article 19

]]>