Projek Dialog

Tanggapan Nik Aziz terhadap Non-Muslim

Puasa Toilet

Toleransi di Malaysia

Kita meletakkan perbedaan ideologi dan krisis politik ke tepi sekejap.

Pada bulan Ramadhan ini, pasti sahaja berlaku insiden ketidaktoleransian seperti tahun-tahun lepas.

Saya masih ingat insiden paling teruk, murid-murid sekolah yang bukan beragama Islam diarahkan makan di tandas yang dijadikan “kantin sementara” (laporan kemudiannya timbul bahawa ia sebenarnya bilik persalinan yang mempunyai bilik mandi, bersebelahan tandas).

Entah ke mana perginya sikap terbuka dan berlapang dada masyarakat ini.

Pada masa yang sama, wujud juga sesetengah tokoh, Muslim dan non-Muslim, yang mengamalkan pendekatan hidup bersama secara harmoni. Mereka berdakwah dengan menunjukkan teladan yang mulia.

Sesungguhnya pada bulan puasa yang mengajak umatnya untuk bertaqwa, eloklah kita mengambil pengajaran daripada salah seorang tokoh tersebut, Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Beliau sentiasa mengambil peluang bukan untuk mencaci, tetapi untuk berdakwah. Bukan memburuk-burukkan orang lain atau menaruh prasangka buruk, tetapi memperkenalkan mesej Islam kepada yang belum mendapat hidayah.

Baru-baru ini saya pulang ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara. Saya sempat menjenguk kedai MPH di KLIA 2. Terdapat senaskah buku mengenai pemikiran Tok Guru Nik Aziz, maka saya mengambil kesempatan untuk membeli dan menelaah buku tersebut. Saya menjadikan buku itu sebagai rujukan untuk artikel ini.

Nukilan Tok Guru Nik Aziz: Persaudaraan Manusia

Disebabkan saya tidak layak dan tidak berniat untuk mentafsir ayat-ayat TGNA, saya akan membiarkan kata-kata Tok Guru “bercakap dengan sendiri”.

Pemikiran TGNABerikut merupakan tanggapan Tok Guru Nik Aziz terhadap hubungan antara Muslim dan non-Muslim:

“Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa. Islam datang bagi membebaskan manusia dari segala fahaman kebangsaan yang sempit. Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa, dan suku kaum.”

“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli, dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah.

Sekiranya tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Sekiranya tidak jumpa jawapan, terima dahulu kenyataan ini.”

“Selama ini kita tidak berfikir menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebarkan Islam kepada sesama orang Islam.

Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, tetapi bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Sebenarnya, perpaduaan melalui Pakatan Rakyat membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.”

“Mengapa isu membenarkan bukan Islam masuk ke rumah ibadah agama Islam diperbesar-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan?”

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam.”

Politik Rasis Menentang Ajaran Islam

“Saya sendiri sentiasa konsisten bahawa budaya politik rasis sewajarnya layak dibuang terus dari kamus masyarakat Malaysia. Inilah budaya politik terkebelakang yang tidak membawa sesiapa ke mana-mana melainkan hanya menyemarakkan api permusuhan sesama sendiri…

Darah Melayu dan darah Cina serta bangsa-bangsa yang lain sama-sama berwarna merah dan tidak bersepuh emas warna darahnya semata-mata hanya kerana berbangsa Melayu.

Justeru, Islam mengajar manusia agar tidak berbangga dengan darah keturunan, sebaliknya hendaklah manusia berebut-rebut menjadi insan yang bertaqwa. Seorang yang bertaqwa darjatnya tinggi di sisi Allah SWT walau apa jua bangsa sekalipun.”

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, oleh itu bila tiba perkara-perkara macam ini (orang bukan Islam membaca al-Quran atau masuk ke dalam masjid), terus timbul masalah.

Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Quraisy yang kafir datang berjumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid.

Cuma apa yang dilihat benda itu sebagai pelik pada zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama.”

Dr MAZA

Dr MAZA: Masjid & Non-Muslim

Pandangan Mufti Perlis, Dr. Asri bin Zainal Abidin, yang menyokong kenyataan TGNA:

“Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid supaya dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; Muslim dan bukan Muslim.

Di negara seperti Malaysia berbilang agama dan budaya, kaum Muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.

Sekiranya masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, biarkah Islam akan dapat difahami oleh mereka.

Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan-akan tiada rahmah antara Muslim dan non-Muslim, ditambah lagi dengan ruang yang ditutup untuk mereka mendengar ajaran Islam.

Masjid digambarkan sebagai musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama, ada pihak bukan Islam menjemput Muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan pelbagai bantuan.

Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurangnya noktah yang mengurangkan sangkaan salah kepada agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang mahu kita bawa dalam negara ini?”

TGNA

Impian TGNA Bersama Bukan Islam

Surat TGNA kepada Nga Kor Ming:

“Saya juga terharu mendengar keluhan YB berbunyi, ‘Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan,  tiba-tiba dihalang.’

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.

Mudah-mudahan dengan sikap ‘tidak mesra Umno’ dan pemimpin-pemimpin Umno berkaitan kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami, dan mengadakan forum serta wacana berkaitan Islam dengan cara yang lebih meluas.”

“Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau, dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.

Kalau Gengkhiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Lalu saya mempunyai keyakinan Islam kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang bakal meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu-bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita membina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog, dan wacana. Tajuk-tajuk seperti ‘Di mana tidak kenanya Islam’ atau ‘Apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam’ boleh difikirkan.”

(Semua petikan di atas diambil dari buku “Pemikiran Tuan Guru: Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Kenangan” dan prakata TGNA dalam buku “Malaysia Pasca-Rasisme”)

Article 19

]]>

Adakah Aku Lebih Muslim Jika…

Better Muslim Penterjemahan tidak rasmi “Will I Become a Better Muslim If” oleh Mariam Mokhtar, terbitan www.rakyattimes.com. Diterjemah oleh Yana Rizal.   Adakah Aku Lebih Muslim Jika… “Aku memakai tudung, dan memandang rendah kepada yang tidak. Aku memaksa isteri dan anak-anak aku memakainya. Aku memakai jubah Arab putih dan memandang rendah budayaku sendiri.   Aku ingin buktikan aku tak bersalah, jadi aku bersumpah dengan Al-Quran. Aku ke Mekah untuk menebus dosa, seperti kebanyakan ahli politik dan keluarga mereka. Aku melaporkan jiranku ke polis akhlak kerana dia menolak pelawaan aku.   Aku tidak curiga apabila kononnya DNA babi ditemui dalam produk makanan seperti mentega atau coklat beberapa bulan sebelum Hari Raya, dan jabatan-jabatan agama mengenakan denda besar atau sekatan ketat atas penjualan produk-produk ini. Aku menyokong usaha untuk mengasingkan lif di hotel bagi pengangkutan makanan tak halal dari tingkat ke tingkat. Aku menyokong pengasingan troli dan kaunter bayaran di pasar raya.   Aku menyokong sebatan wanita yang minum di khalayak ramai, yang berzina atau curang. Aku beri peluang kedua kepada bijakpandai dan ahli sukan negara, walaupun mereka pedofil atau didakwa merogol di bawah undang-undang. Aku memaksa gadis baligh berkahwin dengan perogolnya, untuk menjaga maruah keluarga kerana kandungan luar nikah. Aku merakam video seks pesaing politik aku.   Aku memotong tangan orang yang mencuri untuk susu bayi mereka, namun aku berdiam diri mengenai 1MDB dan berbilion ringgit yang dikeluarkan secara haram kerana risaukan kerjayaku. Aku membunuh anjing dan menghalang umat Islam dari menyentuh anjing di khalayak ramai. Aku memburu pekerja atas penjualan buku yang ditulis seorang lesbian atau homoseksual, walaupun mengetahui bahawa kakitangan tidak punyai kawalan atas buku-buku yang dijual.   Aku memaksa pegawai-pegawai gereja untuk menurunkan salib dan mengharamkan lagu pujian dan doa apabila PM melawat dewan gereja untuk minum petang. Aku mengarahkan penghapusan salib dari lencana sekolah, dinding sekolah dan buku-buku sekolah. Aku menuntut bahawa salib di atas gereja dibuang kerana pemuda Islam boleh mudah murtad. Aku menuntut supaya semua jersi dan jalur bola sepak yang mempunyai tanda salib atau iblis dilarang pemakaiannya oleh orang Islam.   Aku mengutuk anak-anak perempuan yang memeluk idola K-pop mereka, namun menutup sebelah mata apabila isteri PM memeluk juara sukan. Aku tak endahkan seruan untuk memelihara khazanah arkeologi seperti di Lembah Bujang Kedah, yang mungkin lebih tua dari Angkor Wat, semata-mata kerana ianya peninggalan Hindu.   Aku menghantar anak-anak lelaki yang lembut ke kem latihan untuk melasakkan mereka. Aku mengharamkan gadis Melayu menyertai pertandingan kecantikan kerana tidak mahu mereka mendedahkan tubuh mereka. Aku mendenda lelaki yang tidak solat Jumaat kerana ingin menyelamatkan ruh mereka.   Aku mengarahkan kanak-kanak bukan Islam supaya makan di bilik persalinan ketika bulan puasa kerana tidak mahu kanak-kanak Muslim kempunan. Aku menghalau kanak-kanak bukan Islam ke rumah kerana mempunyai makanan haram, seperti sosej babi, dalam bungkusan makanan tengah hari mereka. Aku tidak akan bersetuju untuk pendidikan seks kerana ia bermaksud seks bebas.   Aku mengarahkan serbuan di pub yang sering dikunjungi kelas pekerja, namun pada masa-masa ganjil yang aku menyerang kelab-kelab mewah atau lima bintang, aku pastikan dahulu anak-anak VIP dan menteri diiringi keluar melalui pintu belakang. Aku mengumumkan bahawa langkah-langkah penjimatan adalah perlu, kemudian menggunakan mereka untuk membayar majlis perkahwinan anak perempuanku. Aku menggunakan hudud untuk memikat rakyat yang beragama, terutama sekali yang di kampung, kerana aku tahu bahawa langkah ini memajukan cita-cita politik aku.   Aku menuntut persetubuhan dengan isteriku pada bila-bila masa, tidak kira perasaannya. Aku menuntut seks di mana sahaja, walaupun sedang menunggang unta. Aku berkahwin dengan teman wanita aku di selatan Thailand kerana isteri pertama aku enggan membenarkan poligami dan aku tak keberatan membayar denda kembali nanti, kerana ianya hanya RM1,000 – picisan saja! Lagipun, isteri pertamaku yang akan menanggungnya.”

]]>