Upacara Misa Kudus bagi proses beatifikasi Uskup Agung Romero yang membawa gelaran “Beato Oscar Romero”[/caption]
Penterjemahan tidak rasmi “Pope’s Focus on Poor Revives Scorned Theology” oleh Jim Yardley dan Simon Romero, terbitan www.nytimes.com. Diterjemah oleh Calvin Ohsey.
KOTA VATIKAN – Enam bulan selepas menjadi paus pertama dari Amerika Latin, Paus Fransiskus menjemput paderi berumur lingkungan 80an dari Peru untuk suatu dialog peribadi di kediamannya di Vatikan.
Tidak tersenarai dalam jadual rasmi paus, perjumpaan bersama paderi Gustavo Gutierrez pada September 2013 pantas menjadi pengetahuan umum – dan lantas dianggap sebagai saat perubahan penting dalam Gereja Katolik Roma.
Paderi Guttierrez merupakan pengasas teologi pembebasan, suatu gerakan Amerika Latin yang mengangkat golongan miskin dan menyeru perubahan sosial, yang suatu kala dahulu ditolak para konservatif kerana dilihat cenderung kepada ajaran Marxisme dan dimusuhi hebat oleh pihak Vatikan.
Kini, paderi Guttierrez merupakan tetamu Vatikan yang dihormati, dan penulisannya dipuji dalam akhbar rasmi Vatikan. Fransiskus telah mengembalikan pandangan positif terhadap paderi-paderi Amerika Latin dan seringkali menggunakan bahasa yang berbaur teologi pembebasan apabila menyentuh tentang golongan miskin.
Dan kemudian Sabtu lalu (23 Mei 2015), berbondong-bondong manusia membanjiri San Salvador untuk upacara beatifikasi Uskup Agung Oskar Romero, iaitu hanya satu langkah daripada status santo.
Sebagai paus pertama dari dunia membangun, Fransiskus telah mejadikan kaum miskin tumpuan kepausannya. Dengan sedemikian, beliau berhubung secara langsung dengan gerakan teologi yang pernah membahagikan umat Katolik dan dicurigai paus-paus sebelumnya iaitu Paus Yohanes Paulus ke-2 dan Paus Benediktus ke-16. Bahkan Fransiskus, sebagai seorang pemimpin Yesuit muda di Argentina dahulu, juga pernah ragu-ragu.
Kini, Fransiskus berbicara tentang membina “gereja miskin untuk golongan miskin” dan ingin meletakkan Gereja Katolik lebih dekat kepada seluruh umat awam – misi spiritual yang timbul selari dengan usaha beliau untuk menghidupkan kembali gereja di Amerika Latin, yang kian dengan tertewas dengan kongregasi umat evangelikal.
Selama bertahun-tahun, Vatikan mengkritik teologi pembebasan dan uskup-uskup konservatif Amerika Latin membantut proses kanosisasi Uskup Agung Romero, walaupun ramai umat Katolik serantau menggangap beliau sebagai tokoh moral yang dikagumi: pengkritik lantang ketidak-adilan sosial dan penindasan politik yang telah dibunuh ketika misa kudus pada tahun 1980. Fransiskus bagaimanapun memecahkan kebuntuan tersebut.
“Ianya begitu penting,” ujar paderi Gutierrez. “Seorang yang dibunuh kerana komitmen terhadap umatnya akan membawa pencerahan kepada Amerika Latin.”
Proses beatifikasi ini barangkali permulaan bagi sebuah ciri penting kepausan Fransiskus, dengan kunjungan ke Amerika Selatan, Cuba dan Amerika Syarikat; pengisytiharan surat ensiklik yang dinanti-nantikan mengenai kemerosotan alam sekitar dan golongan miskin; perjumpaan di Roma untuk mengenalpasti samaada dan bagaimana gereja akan merubah pandangannya terhadap isu seperti homoseksual, pencegahan kehamilan dan penceraian.
Dengan memajukan kempen untuk menjadikan Uskup Agung Romero sebagai santo, para penganalisis menganggap Fransiskus memberi isyarat bahawa kesetiaan gereja adalah kepada kaum miskin, yang pernah melihat uskup-uskup lebih cenderung menyokong kerajaan yang korup.
[caption id="attachment_4773" align="alignleft" width="286"]
Gambar Uskup Agung Oscar Romero[/caption]
Hakikatnya, Uskup Agung Romero dilihat sebagai santo popular di El Salvador walaupun ketika Vatikan menghalang proses kanosisasinya.
“Ianya bukan teologi pembebasan yang sedang dipulihkan,” ujar Michael E. Lee, seorang professor madya dalam teologi di Fordham University yang pernah menulis tentang teologi pembebasan. “Ianya gereja yang sedang dipulihkan.”
Teologi pembebasan melibatkan kritikan terhadap struktur yang menyebabkan kemiskinan dan menyeru gereja dan kaum miskin supaya mengaturkan perubahan sosial. Encik Lee menyatakan bahawa ianya satu aliran pemikiran yang luas: Gerakannya berbeza mengikut negara, sesetengahnya lebih politikal dari yang lain.
Gerakan yang lebih besar muncul lantaran perjumpaan penting antara uskup-uskup Amerika Latin di Medellín, Columbia, pada tahun 1968 yang bertunjangkan kepercayaan bahawa masalah kaum miskin sepatutnya menjadi tumpuan tafsiran Alkitab (Bible) dan misi Kristiani.
Namun dengan Perang Dingin yang membara hebat ketika itu, sesetengah pengkritik menolak teologi pembebasan sebagai Marxis, dan penentangan konservatif lantas berlaku.
Di Vatikan, Yohanes Paulus ke-2, Paus dari Poland yang kemudiannya akan dipuji kerana peranannya menjatuhkan Kesatuan Soviet, menjadi ragu-ragu dengan elemen politik yang timbul dalam gerakan-gerakan Amerika Latin baru ketika itu.
“Kesemua retorik ini menjadikan Vatikan sangat gelisah,” kata Ivan Patrella, seorang penggubal undang-undang dan sarjana teologi pembebasan di Argentina. “Sekiranya kamu muncul disebalik Tabir Besi (Iron Curtain), kamu akan mengesyaki bauran komunisme disitu.”
Yohanes Paulus bertindak dengan melantik uskup-uskup konservatif di Amerika Latin dan menyokong kelompok Katolik konservatif seperti Opus Dei dan Legiun Kristus, yang menentang teologi pembebasan.
Pada tahun 1980an, Kardinal Joseph Ratzinger – yang kemudiannya menjadi Paus Benediktus ke-16, namun ketika itu merupakan penguatkuasa doktrin di Vatikan – mengeluarkan 2 kenyataan mengenai teologi pembebasan. Yang pertama amat kritikal, namun yang keduanya kurang kasar, dan membawa persoalan samaada penentangan Vatikan semakin berkurangan.
Sejak pelantikannya pada tahun 1973 sebagai Ketua Yesuit di Argentina, Fransiskus, yang berusia 36 tahun ketika itu dan dikenali sebagai Jorge Mario Bergoglio, dilihat begitu prihatin dengan kemiskinan.
Namun para agamawan yang mengenali beliau mengatakan Fransiskus, seperti kebanyakan institusi gereja Katolik Argentina yang lain, merasakan bahawa teologi pembebasan adalah terlalu politikal. Pengkritik juga menyalahkan beliau kerana gagal menghalang penculikan dan penyiksaan 2 paderi yang menyokong teologi pembebasan.
Ada di kalangan hierarki gereja yang menganggap Fransiskus sebagai seorang yang memecahbelahkan dan autokratik dalam tempoh 15 tahun beliau memimpin Yesuit.
Pihak berkuasa gereja kemudian menghantar beliau dalam beberapa tempoh pembuangan, pertamanya di Jerman dan seterusnya di Cordoba, Argentina, di mana beliau kemudiannya menggambarkan sebagai “satu tempoh krisis dalaman yang besar.”
Beliau mengamalkan senaman spiritual dan mengubah cara kepimpinannya untuk melibatkan lebih dialog. Apabila beliau dinamakan sebagai uskup agung Buenos Aires, tumpuan beliau lebih kepada yang tercicir lantaran pergolakan ekonomi Argentina.
“Dengan berakhirnya Perang Dingin, beliau mula melihat bahawa teologi pembebasan bukannya sinonim dengan Marxisme, sepertimana yang didakwa pihak konservatif,” ujar Paul Valley, penulis “Pope Francis: Untying the Knots.”
Krisis kewangan Argentina pada awal abad ke-21 telah membentuk sudut pandang beliau, apabila beliau “mula melihat bahawa sistem ekonomi, bukan sahaja individual, boleh menjadi dosa,” Encik Valley menambah.
Sejak menjadi Paus, Fransiskus telah mengkritik keras kapitalisme, mengakui bahawa globalisasi telah mengangkat ramai daripada kemiskinan namun juga mencipta jurang yang besar dan “menjerat ramai yang lain kepada kebuluran.”
Beliau turut memberi amaran, “Tanpa penyelesaian kepada masalah kemiskinan, kita takkan berupaya menyelesaikan masalah dunia.”
Di Argentina, sesetengah pengkritik kurang yakin bahawa kelantangan Fransiskus tentang kemiskinan merupakan satu pengiktirafan terhadap teologi pembebasan.
“Beliau tidak pernah menerajui teologi pembebasan kerana ianya radikal,” ujar Rubén Rufino Dri, yang bekerjasama dengan sekumpulan paderi di kawasan setinggan Buenos Aires pada lewat 1960an dan 1970an.
Bagi beliau, keputusan Fransiskus untuk mempermudahkan proses beatifikasi Uskup Agung Romero merupakan satu langkah politik, yang disifatkan Rufino Dri sebagai satu “transformasi luaran” Gereja Katolik untuk bersaing dengan sekularisme dan cabangan denominasi Kristian yang lain di Amerika Latin.
“Ianya langkah populis dari seorang politikus hebat,” katanya.
Ada yang mengutarakan pandangan yang lebih rumit. José María di Paola, 53, seorang paderi yang rapat kepada Fransiskus dan pernah bekerja dengan beliau di kalangan golongan miskin di Buenos Aires, mengatakan bahawa proses beatifikasi ini mencerminkan satu usaha Fransiskus bagi mengurangkan tumpuan Vatikan ke Eropah.
“Ianya sebahagian daripada proses untuk menamatkan tafsiran gereja yang Eurosentrik terhadap dunia dan menaikkan kepentingan sudut pandang Amerika Latin,” katanya.
Paderi di Paola menambah bahawa sementara Fransiskus belum pernah mencadangkan penginjilan di bawah payung teologi pembebasan dalam tempoh perkhidmatannya di Argentina, komitmen beliau terhadap golongan miskin sewajarnya tidak dipersoalkan.
“Perjalanan Fransiskus menelusuri setinggan kemiskinan di ibukota mempengaruhi beliau sebagai uskup dan seterusnya paus,” katanya. “Mengalami nilai kehidupan si miskin telah mengubah hatinya.”
Sebagai paus, Fransiskus telah memperluaskan peranan sentris yang bersimpati dengan teologi pembebasan, seperti Kardinal Óscar Rodríguez Maradiaga dari Honduras, berbanding dengan pengaruh yang dahulunya dipegang oleh kardinal konservatif di Amerika Latin seperti Alfonso López Trujillo dari Columbia, yang meninggal pada tahun 2008.
“Trujillo mewakili pemikiran bahawa teologi pembebasan merupakan kuda Trojan dimana komunisme akan menyusup ke dalam gereja, suatu pemikiran akhirnya akan ditamatkan oleh Paus Fransiskus,” ujar Leonardo Boff, 76, seorang sarjana teologi terkemuka dari Brazil yang pernah menulis mengenai teologi pembebasan.
[caption id="attachment_4772" align="aligncenter" width="400"]
Uskup Agung Romero rebah setelah ditembak sewaktu upacara misa kudus[/caption]
Ramai penganalisis menyedari bahawa Yohanes Paulus dan Benediktus tidak pernah secara langsung mengecam teologi pembebasan dan mula mengubah pandangan mereka secara perlahan. Pada tahun 2012, Benediktus membuka semula proses beatifikasi Uskup Agung Romero.
Kardinal Gerhard Müller, seorang konservatif tegas yang mengetuai Kongregasi bagi Doktrin Keimanan, iaitu penguatkuasa doktrin di Vatikan, menjadi seorang pendukung teologi pembebasan setelah bekerja di Peru, di mana beliau berjumpa dengan Paderi Gutiérrez. Kedua-dua individu ini telah pun menulis beberapa buah buku bersama.
“Pemulihan tidak wujud kerana tidak pernah adanya ‘kelemahan’,” kata Paderi Gutiérrez, menentang gagasan bahawa teologi pembebasan pernah diusir daripada gereja.
“Pada tahun-tahun lalu, ada ura-ura tentang soal kecaman, dan rakyat mempercayainya. Apa yang berlaku sebenarnya sebuah dialog kritis, yang mempunyai saat-saat sukar namun benar-benar diperjelaskan mengikut masa.”
Fransiskus sering menyeru umatnya untuk bertindak bagi pihak yang miskin, mengatakan bahawa ia akan mengubah diri mereka. Bagi mereka yang mengenali Uskup Agung Romero di El Salvador, perubahan ini penting.
Beliau yang sebelumnya dianggap sebagai konservatif, mula berubah pada pertengahan tahun 1970-an, apabila beliau merupakan uskup bagi keuskupan luar bandar di mana tentera kerajaan telah membunuh orang-orang miskin.
Tidak lama selepas beliau menjadi Uskup Agung San Salvador, beliau terkejut apabila kawan rapatnya, seorang paderi Yesuit, telah dibunuh, dan mula bersuara menentang keganasan dan penindasan kerajaan.
“Beliau mula mengejutkan rakyat,” kata Jon Sobrino, seorang ahli teologi pembebasan terkemuka yang rapat kepada Uskup Agung Romero, yang menganggap bahawa punca transformasi beliau adalah keprihatinannya terhadap kemiskinan.
“Mereka menjadikan beliau berbeza, lebih radikal, seperti Yesus,” kata Paderi Sobrino. “Beliau mendekati mereka, dan mereka mendekatinya, meminta bantuan dalam penderitaan mereka. Itu yang mengubah dirinya. ”
Pada tahun 2007, Paderi Sobrino menghadapi pertembungannya sendiri dengan Vatikan apabila pejabat penggubal doktrin mempertikaikan beberapa penulisannya. Beliau tegas untuk tidak mengubahnya dan menganggap pembekuan proses beatifikasi Uskup Agung Romero sebahagiannya berpunca dari kekerasan Vatikan.
“Ianya memerlukan paus baru untuk mengubah keadaan,” katanya.
Jim Yardley melaporkan dari Kota Vatikan, dan Simon Romero dari Rio de Janeiro. Elisabeth Malkin dan Gene Palumbo menyumbang kepada laporan ini dari San Salvador, dan Jonathan Gilbert dari Buenos Aires.
Surat Terbuka Kepada Encik Alvin Tan
Penterjemahan tidak rasmi “An Open Letter to Mr. Alvin Tan” oleh Reverend Sherman Kuek. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi. Kehadapan Encik Alvin, Saya menulis kepada saudara kerana secara peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya dengan hasrat yang salah, dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh dengan sikap kurang ajar dan kejam. Daripada menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kamu melalui cara yang kurang sopan mengutuk di belakang kamu, saya memilih untuk memberitahu terus kepada saudara dimana saya berharap ianya merupakan cara yang penuh hormat. Sama seperti pihak awam yang lain di Malaysia, saya sedar akan kurangnya rasa hormat saudara terhadap pihak yang berkuasa, norma sosial dan moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas secara tidak hormat; barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak menghiraukannya sama sekali. Tetapi mengikut konteks dimana kami sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh kamu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa suara tidak setuju daripada rakyat Malaysia. Diteruskan lagi, jika apa yang ingin dilakukan oleh kamu, iaitu mengutuk dan membenci hanya ditujukan kepada orang Muslim di Malaysia, ternyata kamu silap membaca keadaan di Malaysia. Saya berharap kamu mengambil masa yang lebih lama untuk memahami dan membuat analisa terhadap apa yang berlaku di negara kita dan terlibat secara konstruktif, dan bukannya melakukannya dengan perilaku yang tidak senonoh.Saudara mungkin memikirkan kenapa saya, daripada semua orang, memilih untuk menghabiskan masa saya untuk menulis surat balasan kepada video yang kamu buat, dimana kamu melaungkan azan orang Muslim tanpa memakai baju sambil menggunakan keyboard. Barangkali bukan niat kamu untuk menolak idea ritual keagamaan secara keseluruhan, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadap dan walaupun kamu hanya menghina satu agama secara khusus, tindakan yang dilakukan oleh kamu merupakan serangan kepada agama. Tindakan menghina itu, secara peribadi, bukan hanya menyerang teman-teman Muslim tetapi turut dilihat sebagai serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama dimana setiap diantara mereka mempunyai cara-cara yang unik bagi meluahkan keinginan mereka untuk mengecapi rasa kewujudan Tuhan. Penghinaan kamu mungkin sahaja boleh dilakukan terhadap zikir Latin Katolik ataupun zikir Veda oleh penganut hinduisme, dan mana-mana pun, rasa hormat sebagai prinsipal fundamental terhadap rasa keagamaan yang dianuti oleh jiran kita yang lain telah pun dicabul. Untuk itu, tindakan yang saudara lakukan membuat saya marah. Sejak muda lagi, saya mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap majoriti Muslim yang saya kenal. Saya menghormati rasa cinta mereka terhadap Tuhan, kesetiaan mereka kepada keluarga mereka, dan terutama sekali, saya kagum dengan cara anak-anak kecil Muslim diajar untuk berhubung dengan ibu-bapa mereka. Dalam hidup dan iman saya hari ini, saya telah sedar untuk praktis apa yang telah saya belajar daripada teman-teman Muslim saya, perihal rasa hormat kepada Tuhan, terhadap golongan yang lebih tua dan kepentingan kehidupan didalam komuniti. Saya percaya hidup di kalangan orang Muslim selama ini telah menjadikan saya seorang Kristian yang lebih elok daripada apa yang dapat saya bayangkan. Saya tidak rasa saudara bermaksud untuk menghina golongan Muslim yang saya maksudkan di atas. Mungkin kamu hanya sekadar bertindak untuk mengutuk pempolitikan agama di Malaysia dan hanya mengutuk beberapa individu yang salah menggunakan agama untuk kepentingan agenda politikal mereka sendiri. Pertama sekali, cara yang dilakukan oleh kamu tidak mendatangkan kebaikan kepada kebanyakkan penduduk di sini yang mempertaruhkan kehidupan kami dengan membuat pilihan untuk terus tinggal disini agar dapat melibatkan diri untuk membina semula bangsa kita dengan pendekatan yang positif dan konstruktif. Kedua, tindakan saudara bukan hanya menyerang golongan yang salah menggunakan agama tetapi majoriti rakyat Malaysia yang hanya mengamalkan agama mereka dan mencintai Tuhan dengan cara yang terbaik mereka tahu. Meskipun terdapat banyak prospek (samada ianya benar atau salah) untuk kehidupan yang lebih baik untuk kami dan generasi selepas kami di negara luar, kebanyakkan daripada kami memilih untuk tinggal disini kerana disini kami dilahirkan dan kami ingin anak-anak kami membesar disini. Pilihan ini dibuat bukan kerana tidak adanya kesusahan yang dihadapi oleh kami, tetapi kerana kami tekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bagus. Atas sebab inilah kami memilih untuk turut terlibat dengan pendekatan yang konstruktif dan tidak membuat masalah sosial dan politikal kepada rakyat Malaysia yang lain hanya untuk mencari perlindungan di tempat lain sambil meninggalkan kesan buruk yang terhasil daripada tindakan yang telah kami lakukan. Kamu menghina apa yang kami pertahankan dengan hidup kami. Kebebasan untuk meluahkan apa sahaja merupakan suatu keperluan bagi masyarakat untuk maju kehadapan, kerana ia juga memberi ruang untuk masyarakat membiasakan diri mereka dengan mekanisme untuk mengkritik diri sendiri dan membuat renungan terhadap tindakan yang pernah dilakukan. Tetapi wujud juga kebebasan luahan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang, mengambil kesempatan untuk mempergunakan prinsipal murni ini dengan membawa kerosakkan terhadap kebenaran, keindahan dan kebaikan yang boleh dijumpai di dalam suatu tamadun. Dengan penuh hormat, saya berasa benar dengan menganggap bahawa saudara bersalah melakukan jenayah moral. Untuk ini, saya berasa kesal kerana kamu memilih untuk memaparkan suatu tindakan yang tidak senonoh terhadap teman-teman Muslim kami. Melalui apa yang saya mampu dan sebagai rakyat Malaysia, saya tegas menolak setiap tindakan yang telah dan bakal kamu lakukan. Dan saya menyatakan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang berniat baik, yang memegang kepada ilmu yang benar dan suci di dalam ajaran-ajaran dan praktis-praktis keagamaan mereka. Dan saya berdoa satu hari nanti, saudara juga akan sedar perkara terakhir yang kami inginkan adalah insiden yang memisahkan kami semua, lebih-lebih lagi sesuatu yang tidak langsung diperlukan. Rakaman video kamu, yang dilihat lebih narsisistik daripada kelakar ataupun hiburan, adalah suatu penghinaan kepada seluruh usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih bagus untuk semua anak-anak kami daripada semua agama. Walaupun apapun, saya berharap agar kamu hidup dengan senang di Amerika dimana apa yang ingin kamu luahkan tidak akan dihalang. Tetapi pada dasarnya, bukannya penggunaan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang. Jenis manusia yang bakal kita bentuk, ditentukan oleh pilihan-pilihan harian yang kita lakukan untuk mencari keamanan, cinta, dan nilai setiakawan dengan jiran-jiran kita walaupun tiada kelebihan untuk kita. Rev. Diakon Dr Sherman Kuek OFS Diakon Gereja Katolik di Malaysia Nota: Surat ini sepenuhnya dibawah tanggungjawab saya dan tidak mewakili Gereja Katolik ataupun mana-mana institusi yang saya terlibat.
]]>Menemukan Tuhan di Filipina
Misi di Manila
Tatkala menyelusuri perjalanan ke Gereja Malate untuk Misa Kudus jam 7 pagi setiap hari, saya lihat kanak-kanak jalanan masih lagi tidur di laluan pejalan kaki di tepi jalan yang hanya beralaskan kotak dan berselimutkan kain perca.
Ada pula terlihat kelibat ibu memanaskan air menggunakan dapur buatan sendiri yang hanya menggunakan cerek usang, batu-bata dan arang. Tidak kurang juga ada gelandangan yang mengemis meminta sedekah dari rombongan kembara kami.
Bayangkan setiap kali melalui kaki lima yang berdekatan penempatan gelandangan, bau air kencing dan najis jelas terhidu.
Sayu hati melihat gelandangan ini tidak mempunyai rumah, akses air yang bersih serta hidup dengan hanya memakan sisa makanan manusia lainya. Bagi mereka apa yang ada disekeliling mereka, mana yang boleh diguna pakai, mana yang boleh dimakan atau diminum; itulah rezeki mereka setiap hari.
Pada malamnya, kami melakukan aktiviti ‘prayer walk’ atau doa kelompok bersama gelandangan, dari situlah misi kami sebagai misionaris bermula.
Kami menjangkau para gelandangan bukanlah untuk meng’kristian’kan mereka tetapi lebih kepada mengenali mereka dengan lebih dekat, memberi dokongan dan berdoa untuk mereka. Ada diantara mereka tinggal secara individu dan ada yang bekeluarga.
Saya kagum dengan kepetahan mereka berbicara dalam bahasa Inggeris dan kesudian mereka untuk melayan kami.
Rata-rata, kisah mereka kebanyakkan berkongsi pada migrasi mereka dari kawasan pedalaman ke metropolitan Manila dengan harapan untuk mencari pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka namun berakhir dengan ketiadaan pekerjaan, wang serta bantuan dan seterusnya melarat di jalanan.
Selain gelandangan, kami juga melakukan kunjungan ke penempatan penduduk di Barangay (mukim) San Andres kawasan 6,8 dan 9 untuk tujuan doa kelompok. Penempatan disana ibarat penempatan setinggan rumah kayu mahupun simen. Rumah mereka dibina sendiri tanpa teratur.
Bergantung kepada keluarga masing-masing, ada yang mempunyai ahli keluarga melebihi 5 orang namun tinggal di rumah yang hanya ada ruang tamu yang dikongsi dengan dapur dan 1 bilik.
Mereka hidup secara bermasyarakat dimana kemudahan seperti tandas, bilik air dikongsi bersama. Bagi kita di Malaysia, mereka mungkin kelihatan miskin. Namun bagi mereka, ianya kelihatan lebih betuah kerana mereka cukup keperluan hidup jika dibandingkan gelandangan.
Keadaan yang sama juga terlihat di barangay yang terdapat di daerah Payatas, Quezon City, Metro Manila.
Payatas merupakan kawasan yang sangat terkenal sebagai kawasan pelupusan sampah terbesar bagi metropolitan Manila. Cuma apa yang menyedihkan saya adalah penduduk barangay disini kebanyakan hidup rata-rata memungut sampah sebagai sumber rezeki.
Mereka memanfaatkan sampah untuk membina penempatan mereka. Berdasarkan pemerhatian saya, mereka juga terdedah dengan risiko penyakit berjangkit dan merbahaya.
Gas metana juga boleh dihidu dikawasan tersebut. Kelihatan ada beberapa NGO serta organisasi antarabangsa turut ada untuk membantu dalam memberikan rawatan perubatan dan pemberian makanan nutrisi.
Di samping itu, kami juga melawat rumah jagaan Missionaries of Charity di Tondo. Kami diberi peluang untuk bersama-sama anak-anak istimewa dan anak yatim piatu dengan berinteraksi dan memberi mereka makan.
Ada diantara anak-anak istimewa ini mengalami sindrom down, Hydrocephalus (ketumbuhan otak), spastik dan lain-lain penyakit.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Sayu dan pilu hati saya melihat bagaimana kanak-kanak ini hidup dengan keadaan yang tidak berdaya, bergantungkan kepada ehsan dan kasih sayang manusia lainnya.
Melihat ketabahan dan kesabaran biarawati dan sukarelawan bekerja menjaga mereka menunjukkan masih ada sinar dan harapan bagi golongan istimewa ini untuk hidup secara bermaruah. Kami juga berkongsi empati dan solidariti di sana.
Kunjungan Paus Fransiskus
Kunjungan Paus Fransiskus dilakukan atas dasar sebagai ketua negara dan pemimpin spiritual Gereja Katolik yang bertemakan ‘Mercy and Compassion’ (belas kasihan dan perikemanusiaan). Bagi umat Katolik Filipina, kunjungan ini menandakan bahawa ‘wakil Kristus’ untuk memberikan mereka berkat.
Maka, tidak hairanlah jika 6 juta manusia membanjiri perkarangan Taman Rizal dan sepanjang laluan ke Manila Bay bagi Misa penutup di Quirino Grandstand.
Paus Fransiskus dengan kapasiti serta pengaruh yang ada pada beliau menyampaikan pelbagai mesej yang menyenangkan kepada rakyat Filipina dan juga mesej yang kurang menyenangkan kepada para agamawan dan politikus di negara tersebut.
Berikut merupakan antara terjemahan petikan penting mesej beliau:
“Dalam semua lapisan masyarakat, semua bentuk korupsi harus ditolak habis-habisan dimana sumber pendapatan masyarakat miskin diambil, dan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memastikan kelangsungan semua lelaki dan wanita mahupun kanak-kanak dalam kehidupan bermasyarakat.” – Ucapan Paus Fransiskus di Istana Malacanang kepada Presiden dan diplomat, 16 Januari 2015.
“Hanya dengan menjadi miskin secara peribadi kita sendiri, dengan menyingkirkan kepuasan keselesaan diri, kita berupaya untuk bersolidariti bersama saudara kita yang serba kekurangan.” – Homili (khutbah) Paus Fransiskus semasa Misa bersama para Uskup, paderi dan religius di Manila Metropolitan Cathedral, 18 Januari 2015.
“Kita tidak sendirian. Kita mempunyai banyak saudara yang ketika menghadapi musibah ini datang untuk membantu.
Dan kita juga, dalam hal ini, kita merasakan seperti saudara-mara kerana kita membantu satu sama yang lain.” – Homili Paus Fransiskus sempena Misa bersama mangsa ribut Yolanda di Tacloban.
Renungan
Kemiskinan urban merupakan kemiskinan yang paling teruk yang saya pelajari dalam sejarah kehidupan saya. Data daripada Bank Dunia menunjukkan Filipina merupakan negara yang mempunyai 25.2% daripada 100juta penduduknya diklasifikasikan sebagai populasi dibawah garis kemiskinan.
Bila dinilai apa punca kemiskinan ektrim di Filipina, analisa mudah saya mengandaikan kekurangan sumber negara untuk menampung kepadatan penduduk disana, kesan sistem kapitalis di Filipina, kadar pengangguran yang tinggi, korupsi dari peringkat atas hingga ke bawah dan kurangnya capaian pendidikan untuk semua peringkat masyarakat adalah jawapannya.
Kembara ke Manila ini mengajar saya erti kesyukuran dengan apa yang ada dan mengingatkan saya untuk tidak membazir segala sumber mahupun rezeki yang ada.
Kedatangan kami disana sememangnya tidak berupaya membasmi kemiskinan para gelandangan jalanan meskipun kami memberikan mereka sedikit bantuan makanan dan minuman serta tikar atau keperluan lainya.
Tiada apa yang lebih bermakna untuk dikongsikan selain daripada berbicara dan mendengar kisah mereka, memberi mereka pelukan dan berdoa sebagai tanda solidariti dan empati. Kasih sayang dan rasa kemanusiaan daripada masyarakat itulah yang mereka dahagakan.
Dari dimensi spiritual dan religius, tampak jelas apa yang dimaksudkan sama ada menjadi manusia beragama dan beragama untuk manusia.
Dengan merenungkan Injil, Yesus mengingatkan kami sepanjang kembara ini bahawa “orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu” (Matius 26:11) dan untuk “kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39).
Agama bukanlah sekadar ritual, ibadah dan soal hukum-hakam. Pergi ke gereja dan berdoa adalah ekspresi iman tetapi membantu mereka yang memerlukan, tanpa latar belakang agama dan etnik mereka, merupakan manifestasi iman; kedua-duanya saling melengkapi.
Apa yang dapat disimpulkan disini, jurang sosial akan terus wujud bagi mewujudkan fungsi kemanusiaan yang lebih efektif.
Saya percaya golongan miskin merupakan amanah yang dipercayakan kepada kita sebagai tanggungjawab sosial.
Menjadi misionaris selama seminggu disana, tidak keterlaluan saya mengatakan bahawa saya telah menemukan Tuhan bukan hanya di gereja atau dalam doa tetapi pada orang miskin yang saya temui.