Gambar: http://www.illustrasiaku.com/[/caption]
Adakah umat Muslim memerlukan Santa Claus?
Menerusi makalah ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam, khasnya sekarang iaitu bulan Ramadhan.
Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadhan yang wajar dikejar.
Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadhan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca.
Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; seperti pakaian keAraban dan sebagainya.
Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadhan dan sebelumnya.
Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadhan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka.
Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”.
Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme, kadangkala perkara sama berlaku dikalangan Muslim: biasa didengar bagaimana sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan.
Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks!
Malah makanan yang tidak dapat dihabiskan, yang lazimnya bertimbun di buffet-buffet tersebut akan dibuang sahaja, atas alasan hak milik peribadi pemilik hotel.
Bukan suatu yang rahsia, sebahagian pihak terjebak dengan hutang keliling pinggang hanya kerana “tidak mahu kalah” semasa hari raya, iaitu setelah sebulan perjalanan spiritual yang seperti tiada apa-apa kesannya.
Mesej berjimat cermat, membantu orang memerlukan, kesamarataan manusia, persaudaraan kemanusiaan dan mesej utama ketakwaan (yang mana menurut Islam; ketakwaan itu ringkasnya ialah “menjaga hubungan dengan Tuhan dan memperbaiki kualiti hubungan dengan manusia dan kehidupan”) terabai begitu sahaja.
Ramadhan: Renung Diri atau Jual Beli?
Beberapa perenggan di atas merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya amalan-amalan keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan.
Suatu yang jelas dilihat amalan-amalan agama Islam ialah ia sentiasa dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas.
Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tidak sepatutnya.
Akibat ragutan itu, Ramadhan bukan lagi menjadi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding dengan bulan-bulan lain.
Ramadhan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadhan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan.
Berhubung mereka (para politikus), sekalipun atas nama “berbuka puasa” dan apa-apa upacara keagamaan, persoalan berapa dan dari mana belanja dikeluarkan perlu sentiasa ditanya.
Kembali kepada Makna Agama
Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme mengeruhkan lagi keadaan.
Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya A History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?.
Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar mempunyai erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri?
Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian:
“Manusia tidak mampu mengharungi kekosongan dan kehilangan; mereka akan mengisinya dengan mencipta tumpuan baru terhadap kemaknaan. Idola fundamentalisme bukan pengganti baik untuk ketuhanan; jika kita akan menghidupkan kepercayaan baru untuk abad ke-21 ini, kita patut, sewajarnya, merenungi sejarah ketuhanan untuk menggarap pengajaran dan amaran.”
Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu renungan dalam tradisi beragama khasnya di kalangan umat Muslim.
Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita mengabaikan persoalkan makna, tujuan dan rahsia dalam fahaman kita tentang Ramadhan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadnan dan amalan berpuasa.
Oleh itu, mengajak supaya melihat kembali apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadhan ialah satu usaha untuk mengelak kehampaan makna berlangsung serius, selain menolak akhirnya hal-hal keagamaan menjadi bahan paling laku untuk diniagakan.
Teladan daripada Ibn Tufail
Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal.
Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masyarakat yang sudah hampa dari makna beragama.
Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperolehi sepanjang berada di pulau itu.
Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masyarakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama.
Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar mana yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya.
Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semula ke pulau tersebut, dan meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi.
Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama.
Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman dimana perindustrian merupakan segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan amalan beragama, salah satunya Ramadhan dan puasa.
Ramadhan dan puasa hanya contoh kecil, ia sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadhan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab.
Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti Ramadhan.
[Ulangsiar dari makalah yang telah diterbitkan pada 7 Julai 2014]
Kebangkitan Kapitalisme Islamik di Malaysia
Gambar: Mthago WordPress[/caption]
Kebangkitan Ekonomi Melayu
Perubahan dinamika politik di Malaysia senang dikaitkan dengan identiti kaum dan etnik. Proses pembangunan yang pesat setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1969 telah menggalakkan urbanisasi komuniti Melayu dengan pesat.
Selepas tahun 1969, proses penghijrahan komuniti Melayu dari kawasan desa ke kota semakin kerap. Ia mempercepatkan mobiliti sosial di kalangan golongan-golongan tertentu orang Melayu dengan peningkatan peluang pendidikan.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia sangat signifikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Mobiliti sosial yang berlaku di dalam komuniti Melayu memperhebatkan lagi dominansi politik identiti dan agama di ruangan awam.
Islamisasi
Kebangkitan Islam di Malaysia wajar dinilai menerusi perkembangan etnik dan agama. Proses Islamisasi kerajaan yang pesat pada tahun 80an dengan pembentukan nilai-nilai Islam dalam masyarakat mendorong apa yang dikatakan sebagai ‘kapitalisme Islamik’.
Proses Islamisasi giat membentuk cara hidup dan pemikiran komuniti Melayu yang berlandaskan ajaran dan nilai Islam.
Kesan ini dapat dilihat dengan gaya pemakaian orang Melayu ; misalnya majoriti orang Melayu mula memakai tudung dan mengenakan jubah. Proses ini membesarkan dualiti identiti Islam dan Melayu, sepertimana diterangkan oleh Dr Chandra Muzafar sebagai ‘dikotomisasi etnik’.
Kesan Islamisasi juga dirasakan dengan berkembangnya industri makanan halal yang semakin pesat. Masyarakat Melayu mula memikirkan soal ‘halal dan haram’ di dalam makanan. Isu penggunaan gelatin yang dikatakan mengandungi unsur babi mula menjadi kerisauan di dalam komuniti Melayu.
Dasar kerajaan turut menggalakkan berkembangnya proses Islamisasi. Badan-badan agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan Islam negeri diberikan autonomi untuk mengurus-setia industri makanan halal di Malaysia.
Teori Modernisme & Kapitalisme Islam
[caption id="attachment_4587" align="alignleft" width="249"]
Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster[/caption]
Penganalisis politik berketurunan Iran, Vali Nasr menerangkan bahawa proses Islamisasi politik di negara majoriti Islam mendorong kemunculan kelas menengah atasan Islam yang menjadi pelaku politik, ekonomi dan sosial yang sangat berpengaruh.
Di dalam bukunya, “The Rise of Islamic Capitalism” (2009) – Nasr menulis bagaimana golongan menengah atasan Islam berupaya membentuk identiti dan kelas sosial baru berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam.
Kemunculan golongan kelas menengah baru ini mendukung usaha Islamisasi dari segi budaya, ekonomi dan sosial. Sekitar tahun 80an, industri pembankan Islam menjadi semakin pesat.
Kesannya dapat dilihat menerusi akses terhadap pendidikan. Orientasi pendidikan Islam semakin berkembang dengan lahirnya badan pemikir seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang mengumpulkan para pemikir dan professional untuk membincangkan masalah kontemporari umat Islam sejagat.
Modernisme pendidikan yang dimulakan oleh tokoh pembaharuan Islam, Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani memberikan pengaruh yang besar di dalam pembangunan dan pemodenan Islam.
Mereka melihat peri-pentingnya Islam untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman. Modernisasi Islam merupakan satu-satunya alat yang dapat membangkitkan umat Islam daripada kemunduran.
Benih-benihnya di Malaysia
Seperti yang dihujahkan oleh penulis, proses perkembangan sosial di dalam komuniti Melayu sangat terkait dengan identiti kaum dan agama. Maraknya proses Islamisasi turut mendorong gaya kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan bandar-bandar industri seperti Shah Alam, Bangi dan Gombak.
Proses urbanisasi dan modernisasi orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan lapisan kelas menengah baru yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan sosial.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia menggalakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Proses ini mendorong lahirnya pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menjadi pusat aktiviti golongan kelas menengah Melayu dan Islam.
ABIM juga menjadi wadah generasi muda yang memainkan peranan penting sebagai agen sosial yang efektif. Peranan yang dimainkan pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam mengerakkan agenda sistem pendidikan bercorak Islam juga merupakan faktor penting kemunculan Kapitalisme Islamik di Malaysia.
Nah, bagaimana ia mendorong munculnya Kapitalisme Islamik?
Golongan kelas menengah Melayu yang menerima pendidikan Islam di dalam dan luar negara membangkitkan kesedaran mereka untuk memimpin agenda ummah. Mereka juga aktor penting di dalam pembawakan wacana Islam dan masyarakat.
Di dalam “Islamic Resurgence in Malaysia” (1988), Chandra Muzaffar menerangkan bagaimana golongan kelas menengah Melayu-Islam ini menguasai pentas politik dengan wacana seputar isu Islam dan Melayu. Kesan Islamisasi juga melahirkan jurang polarisasi di antara kaum dan agama.
Proses Islamisasi yang giat di Malaysia juga didukung oleh pelaku politik seperti Anwar Ibrahim.
Kebangkitan Anwar Ibrahim di dalam arena politik menyebabkan wacana sosial tertumpu kepada isu-isu Islam dan pembangunan. Semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan, Anwar melaksanakan dasar-dasar pendidikan Islam seperti mewajibkan matapelajaran Islam sebagai kurikulum di dalam sistem pendidikan negara.
[caption id="attachment_4585" align="aligncenter" width="721"]
Gambar: Wikimedia.org[/caption]
Dari Penguasaan Politik & Pendidikan ke Kapitalisme Islam
Kelahiran institusi pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), serta kemunculan industri perbankan Islam seperti Bank Islam pada tahun 1983 turut menyumbang ke arah giatnya proses Islamisasi di Malaysia.
Idea penubuhan Bank Islam turut tidak terlepas daripada kritikan oleh tokoh-tokoh sosial dan profesional di Malaysia. Almarhum Prof. Syed Husin Alatas mengkritik bahawa idea perbankan Islam tidak ada bezanya dengan sistem perbankan konvensional. Ia cuma Islam pada namanya.
Begitu juga kritikan pakar ekonomi, Abdul Razzaq-Lubis yang mendakwa Bank Islam menggunakan amalan riba’ di dalam unsur perbankan. Maka, penubuhan Bank Islam itu tidak Islamik.
Perkembangan industri makanan halal turut mendorong proses kapitalisme Islamik. Industri makanan halal kini merupakan bahan komoditi penting di dalam urusan perdagangan domestik dan antarabangsa.
Agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri halal mendorong pertumbuhan pemain industri halal di Malaysia.
Ia turut mendorong aktiviti perdagangan secara aktif semenjak dua dekad lalu. Jumlah perdagangan membabitkan industri makanan halal turut menyumbang hampir 14 bilion daripada jumlah perdagangan di dalam dan luar negara.
Kemunculan kapitalisme Islamik di Malaysia merupakan akibat daripada proses Islamisasi yang giat berlaku di Malaysia.
Ia tidak bermaksud bahawa ‘Kapitalisme Islamik’ membawa konotasi yang negatif, tetapi penulis cuba untuk mengaitkan bagaimana proses Islamisasi mendorong pembangunan berlandaskan ajaran Islam, sekaligus memarakkan proses kapitalisme yang Islamik.
Krismas dan konsumerisme
Semangat Krismas: Keuntungan atau keadilan?
Apabila melihat kepada suasana seperti ini, saya berfikir dengan mendalam bahawa suasana seperti ini akan cenderung menaikkan semangat para pengunjung untuk mengeluarkan duit lebih untuk melakukan pembelian barangan secara berlebihan di mana sesetengah barangan hanya di gunakan pada Krismas sahaja.
Selepas Krismas, barangan tersebut akan di simpan di dalam stor ataupun di buang begitu sahaja.
Maka secara tidak lansung, wujudnya sikap pembaziran di dalam konsumerisme di mana memberikan keuntungan yang banyak kepada para kapitalis khususnya para pengilang, para peniaga dan juga pengedar produk.
Keuntungan para kapitalis akan berlipat ganda pada waktu Krismas di sebabkan permintaan yang tinggi daripada penawaran di pasaran.
Oleh itu, sebagai seorang pengunjung kepada pusat membeli-belah, salah satu renungan yang sangat kritikal iaitu “Adakah saya perlu melakukan konsumerisme yang berlebihan semasa Krismas?”
Renungan ini sepatutnya di pupuk di dalam pemikiran setiap mereka yang bergelar “konsumer”. Renungan seperti ini sedikit sebanyak membantu dalam pengurangan konsumerisme.
Konsumerisme yang semakin meningkat membawa kepada pemusnahan ekologi dan perubahan iklim yang semakin kritikal pada masa kini.
Seandainya Bumi tidak di limpahi dengan bahan material, ibu Bumi sudah pasti akan bersukacita dan mengalami kedamaian semasa Krismas dan sudah pastinya Yesus juga tidak akan menggalakkan kepada konsumerisma semasa Krismas.
Apakah Yesus akan merasa sukacita apabila melihat segala material yang kita ada semasa Krismas? Apakah material ini menggambarkan maksud sebenar Krismas?
Yesus pejuang keadilan melawan penindasan
Menyentuh kembali kepada intipati Krismas iaitu kelahiran Yesus Kristus dimana Yesus dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan iaitu di dalam sebuah palungan ataupun tempat makanan haiwan di sebuah kandang.
Yesus tidak dilahirkan dengan barangan yang mahal tetapi Yesus dilahirkan dalam keadaan kemiskinan di mana menjadi yang termiskin di kalangan orang miskin.
Melalui penceritaan ini, maka wujudnya satu renungan tentang bagaimanakah menjadi miskin seperti Yesus, renungan terhadap mereka yang hidup dalam kemiskinan dan tertindas.
Paling penting di sini ialah renungan tentang diri sendiri dengan melihat apakah peranan kita dalam mengkongsikan kegembiraan dan kesukaan Krismas kepada mereka yang tidak bersuara dan serba kekurangan untuk mempunyai suatu Krismas yang bermakna.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati dengan lebih mendalam apakah itu Krismas dengan renungan-renungan yang mendalam dan bermakna.
Ramadan dan budaya Malaysia: Suatu renungan Kritis
Muslim berpuasa
Jika dilihat dari perspektif seorang muslim, yang rata-ratanya berpuasa pada hari ini adalah kerana ianya merupakan salah satu suruhan tuhan.
Latihan berpuasa ini dilakukan sejak dari kecil lagi oleh kedua ibu bapa yang selalunya dijanjikan dengan pelbagai ganjaran sebagai suatu galakan untuk memenuhi tuntutan berpuasa tersebut. Namun, sudah semestinya penghayatan terhadap amalan berpuasa akan berkembang selari dengan usia seseorang. Setelah dewasa, muslim mula sedar berpuasa merupakan salah satu tuntutan agama.
Antara lainnya, berpuasa juga mengajar kita untuk menghayati kehidupan masyarakat sekeliling yang berada dalam kesusahan dan keperitan hidup. Semangat yang tersirat ini dapat dihayati apabila seseorang itu berpuasa kerana ianya membuahkan perasaan yang lapar dan dahaga, mengawal keinginan nafsu syahwat, nafsu untuk berbelanja lebih, makan secara berlebihan dan pelbagai lagi.
Ada juga yang mempercayai bahawa puasa menjadi salah satu cara dalam mengawal diri daripada melakukan kemaksiatan serta sebagai langkah untuk berubah kearah yang lebih baik.
Katolik Kristian berpuasa
Amalan berpuasa juga tidak asing bagi umat Kristian. Khususnya bagi seorang pengganut Katolik, puasa bagi mereka tidak jauh bezanya daripada amalan puasa seorang muslim dan yahudi yang didefinisikan dengan unsur menahan diri. Namun menariknya, dari perspektif pengganut Katolik puasa tersebut tidak terhad kepada penahanan diri daripada makanan sahaja.
Penghayatan berpuasa lebih kepada pengurangan dalam pengambilan dan perlakuan sesuatu yang digemarinya.
[caption id="attachment_3754" align="alignleft" width="300"] Pengalaman puasa dari perspektif Katolik dikongsi oleh saudara Calvin Ohsey (kiri). Yana Rizal (tengah) dan Ehsan Shahwahid (kanan) juga berkongsi pandangan.[/caption]
Amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, dilakukan secara khas dalam bulan Prapaskah (Lent) selama 40 hari. Paskah yang ditakrifkan sebagai pembebasan. Jadi, umat Kristian berpuasa dengan tujuan untuk menanti hari pembebasan. Dalam Kristian, Paskah merujuk kepada kebangkitan Jesus Kristus iaitu Sang Penyelamat yang dianggap sebagai tuhan dan manusia pada masa yang sama.
Dalam menghayati amalan berpuasa bagi seorang Kristian, elemen penting yang ditekankan bukan sahaja mengawal pemakanan, mereka juga ditekankan untuk melakukan amalan kebaikan dan yang paling penting dan ini merupakan pelengkap dalam amalan berpuasa adalah memperbanyakkan doa. Doa ini bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan ianya juga ditujukan untuk masyarakat dan seluruh dunia.
Menariknya amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, ia tidak terhad kepada satu stuktur yang ditetapkan secara rigid. Umat Kristian boleh memilih untuk mengisi 40 hari yang diberikan dengan pengisian rohani yang tersendiri. Namun, elemen penting tersebut mestilah menjadi syarat dan perlu disertakan dalam amalan berpuasa yang dilakukan.
Contohnya, si A berpuasa daripada menonton televisyen selama 24 jam pada hari pertama: hari kedua- berpuasa makan dan minum: hari ketiga- menanam pokok dengan niat untuk menjaga alam sekitar: dan seterusnya.
Mereka juga tidak lari daripada dugaan dalam amalan berpuasa ini dan bagaimana untuk menguatkan diri adalah melalui doa dan amal kebaikan.
Walau bagaimanapun, mengikut kod undang-undang canon yang telah ditetapkan oleh pihak gereja Katolik bagi puasa wajib ini, umat Kristian masih terikat untuk wajib berpuasa makan pada hari Jumaat yang dikenali sebagai Good Friday (hari kematian Jesus Kristus) dan dilarang untuk berpuasa makan pada hari Ahad dalam tempoh sepanjang 40 hari tersebut.
Mereka disyaratkan untuk berpuasa daripada mengambil sebarang daging (simbolik kepada hawa nafsu) dan juga tidak dibenarkan makan sehingga kenyang.
Hari Ahad pula tidak dibenarkan untuk berpuasa makan adalah kerana ianya dikenali sebagai Hari Kebangkitan. Mereka boleh mengantikan dengan amalan yang lain. Amalan ini adalah wajib dilakukan bagi yang berumur 18 hingga 65 tahun. Berbeza dengan amalan penahanan diri daripada pengambilan daging adalah bermula dari umur 14 tahun sehingga akhir hayat.
“Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya. Tetapi apabila engkau berpuasa, minyakilah kepalamu dan cucilah mukamu, supaya jangan dilihat oleh orang bahawa engkau sedang berpuasa, melainkan hanya oleh Bapamu yang ada di tempat tersembunyi. Maka Bapamu yang melihat yang tersembunyi akan membalasnya kepadamu.” (Met 6:16-18)
Petikan ini menyarankan umat Kristian untuk tidak menunjuk-nunjuk ketika berpuasa. Adalah lebih baik jika orang lain tidak mengetahui yang sebenarnya mereka sedang berpuasa. Hal ini adalah selari dengan saranan gereja yang mengecam tindakan menghakimi orang lain.
Puasa dan konsumerisme
Puasa bukanlah dilihat sebagai sebuah ritual agama sahaja, tanpa kita sedari setiap manusia berpuasa setiap hari dalam tidurnya, dan ada juga yang berpuasa untuk tujuan kesihatan termasuklah persediaan sebelum pembedahan dijalankan. Perlu dijelaskan bahawa amalan konsumerisme dan berpuasa adalah tidak berkaitan antara satu sama lain.
Setiap orang yang merasakan dirinya tidak mahu membeli atau ingin berbelanja secara berlebihan itu adalah bergantung kepada habitnya tersendiri.
Budaya konsumerisme adalah berkait rapat dengan kelas sosial. Sejak dari tahun 80-an masyarakat Malaysia secara amnya dilihat menjadi semakin konsumeristik. Ianya adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh adanya dasar ekonomi baru, perindustrian dan banyak lagi yang menyebabkan banyaknya penghijrahan orang luar bandar ke bandar besar.
[caption id="attachment_3753" align="alignleft" width="300"]
Forum disertai rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang. Perbincangan yang terhasil kaya dengan perspektif-perspektif kritis yang berbeza.[/caption]
Ini juga melahirkan banyak budaya baru termasuklah majlis rumah terbuka yang dilakukan sebagai langkah untuk mengeratkan hubungan sesame masyarakat daripda pelbagai latar belakang budaya.
Dilema kelas pertengahan dilihat bukan sahaja berlaku di Malaysia namun pada peringkat antarabangsa, telah menjadi faktor utama dalam budaya konsumerime ini.
Contohnya, di Shang Hai, dalam masa 10 tahun mengalami perubahan daripada kawasan yang lapang menjadi sebuah tempat yang membangun disebabkan oleh penghijrahan yang berlaku oleh golongan kelas pertengahan untuk mencapai kehidupan yang lebih baik di kawasan Bandar.
Hal ini juga berlaku kepada budaya di Malaysia, di mana perkembangan moden telah menekan kita untuk menjadi lebih konsumeristik. Jika ditanyakan kepada zaman ibu bapa kita dahulu, mereka hanya dapat menikmati makanan yang istimewa terutamanya daging pada majlis-majlis keramaian, festival tertentu sahaja.
Jadi mulalah ada pihak yang menggunakan agama sebagai salah satu cara untuk menjustifikasikan amalam konsumerisme. Disebabkan mereka sudah seharian berpuasa, maka pada waktu berbuka mereka merasakan bahawa mereka mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk berbelanja dan makan sesuka hati.
Bulan puasa yang disinonimkan dengan amalan menahan diri dan bersederhana berserta tujuan untuk menghayati bagaimana kehidupan orang susah ini seolah-olah telah kehilangan semangat dan tujuan utamanya.
Sesuatu yang sangat paradoks apabila pada bulan puasa ini kita dibanjiri dengan isu gelandangan yang semakin hangat diperkatakan baru-baru ini dan juga dapat dilihat pola perkembangan tentang promosi juadah berbuka puasa di hotel-hotel yang bernilai ratusan ringgit.
Bukan itu sahaja, bagi orang yang berkemampuan, ramai antara mereka yang menganjurkan majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan sehinggakan pembaziran yang tidak terkawal. Ironinya, jika mahu berbuat baik seolah-olah hanya pada bulan ini sahaja amalan kebaikan itu diterima. Habisnya bulan Ramadan ini, sumbangan-sumbangan ini sepertinya tidak kelihatan lagi.
Campur tangan pemerintah dalam ruangan Individu
Pandangan lain melihat bahawasanya masalah pada asasnya berpunca daripada campur tangan pemerintah dalam ruang lingkup peribadi manusia. Ianya menjadi masalah apabila agama itu diinstitusikan dan mempunyai kuasa. Ini akan melahirkan suatu pimpinan yang diktator yang menyekat kebebasan ruangan individu tersebut dan akhirnya akan menyebabkan ramai orang bersifat hipokrit.
Penstukturan yang sangat efektif dan pemahaman dalam agama oleh institusi keagamaan negara membawa suatu natijah yang lebih buruk apabila perkara dalam agama yang sepatutnya dalam lingkungan kebebasan individu ini diseratakan dan dilaksanakan secara selari kepada semua masyarakat.
[caption id="attachment_3755" align="alignleft" width="300"]
Perbincangan menyentuk isu puasa dari aspek budaya, ekonomi, falsafah, agama dan politik![/caption]
Contohnya, apabila waktu berpuasa, semua kedai hanya boleh beroperasi bermula jam 3 petang, denda terhadap orang-orang yang tidak berpuasa atau makan diruangan awam, sedangkan amalan ibadat setiap individu ini adalah urusan dia dengan tuhannya, sama sekali tidak melibatkan pemimpin yang ingin menjadi orang tengah.
Ianya juga menjadi masalah apabila institusi ini mempunyai kuasa untuk menghakimi orang lain tentang urusan ibadatnya. Cuba kita lihat, seorang pegawai pentadbiran yang kerjanya di dalam kawasan yang berhawa dingin berpuasa dan dibandingkan dengan seorang pekerja kontraktor yang bekerja di bawah panas terik matahari dengan memikul bebanan yang berat dan berpeluh-peluh.
Adakah nilai puasa mereka sama? Dan jika ini di pukul rata, akhirnya akan kelihatanlah pekerja-pekerja kontraktor yang terpaksa makan di dalam tandas kerana bebanan kerja yang berat, kerana dikhuatiri tertangkap oleh pihak yang berkuasa kerana mereka tidak berpuasa di bulan Ramadan.
Secara kesimpulan berpuasa memerlukan penghayatan yang mendalam. Kita perlu menjadi seorang yang jujur dalam segala amalan seharian kita. Sekalipun ianya adalah urusan ritual agama yang menghubungkan kita dengan tuhan. Namun, diri kita sendiri sahaja yang mengetahui sejauh mana penghayatan yang diberikan.
Tiada gunanya jika kita berpuasa hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan juga perlu diingat bahawa ianya bukan berhenti sekadar sebulan sahaja. Amalan berpuasa seharusnya dihayati setiap hari dan bersikap bersederhana dalam kehidupan seharian.