Projek Dialog

Penyembelihan Haiwan & Makna Halal

harga lembu korban 2011c Petikan ini diambil daripada laman ‘Islamic Voice’ (http://islamicvoice.com/february.2002/dialogue.htm). Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Ulangsiar dari terbitan 10 Oktober 2014. Pembuka kata: Menjelang Raya Korban, terdapat banyak persoalan tentang hakikat penyembelihan dalam Islam. Di sini kami ingin mengutarakan etika penyembelihan dalam Islam, mengikut sunnah dan hadis. Moga ini mampu memberi pencerahan tentang layanan terhadap haiwan mengikut ajaran Islam.

  1. Walaupun dengan teknologi sekarang, masih terdapat binatang yang dirantai dan diheret, atau disiram air panas ketika hidup untuk membuang bulu di sesetengah rumah penyembelihan. Operasi besar-besaran yang biasanya mengamalkan kaedah-kaedah tersebut membekalkan daging dalam pelbagai bentuk kepada banyak negara Islam. Boleh saya bertanya sama ada layanan begitu terhadap haiwan yang akan menjadi makanan adalah dibenarkan dalam Islam. Dalam konteks yang sama, apakah pandangan Islam mengenai amalan membunuh ikan dan kehidupan lain yang tidak diingini ketika menangkap ikan?
Jawapan: Manusia perlu sentiasa ingat bahawa ia hanya dengan rahmat Tuhan bahawa mereka dibenarkan untuk menyembelih haiwan seperti kambing, lembu dan ayam untuk makanan. Mereka juga dibenarkan untuk menangkap ikan. Oleh itu apabila mereka menyembelih binatang dan menangkap ikan, mereka perlulah menzahirkan kesyukuran kepada Allah untuk berkatNya dengan melaksanakan penyembelihan dengan rendah hati dan kesantunan. Mereka dituntut untuk memahami dan mematuhi ajaran Islam dalam penyembelihan. Rasulullah pernah mengarahkan salah seorang sahabatnya yang hendak menyembelih seekeor kambing untuk menjauhkannya daripada kambing yang lain supaya mereka tidak dapat melihatnya. Rasulullah tidak mahu kambing yang lain untuk menyaksikan penyembelihan tersebut supaya mereka tidak kesedihan. Nabi juga menekankan supaya haiwan yang akan disembelih ditempatkan dalam keadaan yang paling selesa dan harus dibunuh dengan cepat dan dikurangkan kesakitannya. Baginda bersabda bahawa: “Allah sesungguhnya telah memerintahkan supaya semua perkara dilakukan dengan sempurna (ihsan). Oleh itu, apabila anda membunuh, bunuhlah dengan tertib dan apabila anda menyembelih, sembelihlah dengan baik. Biarlah setiap daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah dia mengurangkan penderitaan kepada haiwan akan disembelih. “(Sahih Muslim) Jelaslah bahawa Rasulullah menganggap pembunuhan yang cepat sebagai sebahagian daripada cara penyembelihan yang betul. Baginda menekankan ini dalam beberapa peristiwa. Dalam hadith yang lain, Rasulullah mengatakan: “Apabila sesiapa di antara kamu menyembelih, maka hendaklah dia memastikan kematian haiwan tersebut.” Rasulullah pernah melihat seorang lelaki menajamkan bilah pisaunya setelah mengiringkan kambingnya. Baginda berkata kepadanya, “Apakah kamu mahu ianya mati berkali-kali? Bukankah kamu boleh mengasah dahulu pisaumu sebelum mengambilnya untuk disembelih. ” Semua ini menunjukkan bahawa Islam mempunyai sikap jelas berkenaan layanan haiwan iaitu dengan perikemanusiaan, terutamanya yang dijadikan sebagai makanan. Apabila ianya diabaikan, ini menunjukkan sikap tidak endah terhadap ajaran Nabi. Semestinya Allah akan menyoal sikap kita tentang ajaran Nabi. Orang sebegitu tidak dapat memberikan alasan yang baik untuk kecuaiannya. Lebih lagi Islam mengharamkan sebarang pengambilan atau pembuangan bahagian tubuh haiwan yang menyakitkan. Unta Orang-orang Arab dahulu biasanya memotong bonggol unta atau bahagian lemak kambing ketika ianya masih hidup. Rasulullah sedar bahawa tindakan tersebut menyeksa haiwan lalu menghentikannya dan menjadikannya haram sebagai makanan. Baginda bersabda: “Apa yang dipotong daripada haiwan ketika ianya hidup adalah bangkai.” Lazim diketahui bahawa bangkai iaitu haiwan yang mati secara semula jadi adalah haram untuk dimakan. Ini menunjukkan bahawa Islam melarang mana-mana amalan yang menyebabkan penderitaan yang tidak perlu untuk haiwan. Memotong leher haiwan kemudian menyiram air mendidih ke atasnya apabila ia masih boleh merasakan kesakitan sudah pasti tidak dapat diterima. Orang yang berbuat demikian sudah tentu akan diadili pada hari kiamat. Begitu juga apabila menangkap ikan. Jika hasil tangkapannya termasuk ikan yang tidak diingini, sepatutnya ia dilepaskan kembali ke dalam air supaya ianya boleh hidup. Begitu juga dengan mana-mana makhluk lain yang dikaut sekali dengan ikan. Apa yang tidak diperlukan harus dibiarkan hidup, melainkan ianya berbahaya. Jika begitu, ianya harus dibunuh secara perikemanusiaan Sembelih Kaedah-kaedah Penyembelihan
  1. Adakah semua haiwan disembelih dengan cara yang sama dalam Islam?
Dua kaedah penyembelihan yang digunakan menurut Syariah ialah:
  • Zabh – Memotong urat leher. Ini disarankan untuk penyembelihan biri-biri, kambing, lembu dan burung, dan dibenarkan untuk semua haiwan lain.
  • Nahr – Menikam bahagian bawah leher. Ini disarankan untuk menyembelih unta dan dibenarkan untuk penyembelihan lembu.
  • Aqr juga boleh digunakan – Memotong mana-mana bahagian haiwan yang sukar ditangkap ketika memburu atau menggunakan haiwan liar yang dijinakkan. Pemburu seharusnya menggunakan kaedah zabh atau nahr jika haiwan yang ditangkap tersebut masih lagi hidup.
  1. Bolehkah penyembelihan dilakukan oleh sesiapa sahaja? Jika tidak, apakah syaratnya?
Penyembelihan dianggap sah jika orang yang menyembelih adalah dewasa, waras dan seorang Muslim atau ahli kitab (Yahudi atau Kristian). Haiwan yang disembelih oleh orang musyrikin, ateis, Majusi, murtad atau kafir tidak dibenarkan untuk dimakan.
  1. Apakah alat patut digunakan untuk penyembelihan?
Penyembelihan harus menggunakan alat tajam yang memotong secara memanjang dengan mata pisau. Ianya boleh dibuat daripada besi atau apa-apa bahan lain, tetapi bukannya kuku atau taring dan harus menyebabkan pengaliran darah.
  1. Apakah haiwan yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam jika kaedah selain penyembelihan digunakan untuk membunuh haiwan tersebut?
Haiwan-haiwan yang dilarang untuk dimakan adalah seperti berikut:
  • Haiwan dibunuh dengan ganas melalui hentakan alat berat seperti batu atau pemukul
  • Haiwan yang terbunuh disebabkan kejatuhan
  • Haiwan yang ditikam, ditusuk atau dirobek sampai mati
  • Haiwan yang telah dimakan sebahagiannya oleh binatang liar. Akan tetapi ianya boleh dimakan jika ditangkap hidup-hidup dan kemudiannya disembelih.
  1. Adakah menyebut nama Allah itu satu kemestian? Bagaimana jika terlupa?
Nama Allah perlu disebut ketika penyembelihan. Menggunakan alat perakam untuk tujuan tersebut tidak mencukupi. Penyembelihan dianggap sah jika penyembelih terlupa menyebut nama Allah.
  1. Islam adalah agama rahmat. Bolehkah anda meneragkan etika Islam apabila menyembelih haiwan?
Peraturan etika khusus telah ditetapkan dalam Syariah untuk penyembelihan, yang mempertimbangkan ihsan terhadap haiwan sebelum, semasa dan selepas penyembelihan:
  • Alat penyembelihan (pisau) tidak patut ditajamkan di hadapan haiwan.
  • Seekor haiwan tidak boleh dibunuh di hadapan haiwan lain.
  • Ia tidak boleh disembelih menggunkan alat tumpul, dan tidak boleh diseksa.
  • Ketika ianya masih hidup, anggota badannya tidak boleh dipotong, kulitnya ditanggalkan, direndam dalam air panas, atau dicabut bulunya sebelum memastikan kematiannya.
  • Haiwan tersebut hendaklah bebas daripada penyakit yang boleh membuatkan dagingnya berbahaya kepada si pemakan. Kesihatan haiwan perlu dipastikan sebelum ianya dibeli untuk penyembelihan.
  1. Haiwan biasanya direbahkan dengan hentakan atau renjatan elektrik di Barat. Adakah kita dibenarkan untuk memakan daging haiwan yang telah dilakukan sebegitu?
Menyembelih tanpa menggunakan kaedah tersebut adalah prinsip asas dalam Syariah. Inilah yang terbaik dalam menunjukkan ihsan terhadap haiwan dan mengurangkan penderitaannya. Pihak yang bertanggungjawab untuk penyembelihan hendaklah memastikan cara-cara penyembelihan selari dengan prinsip ini. Daging haiwan yang disembelih selepas direbahkan begitu boleh dimakan jika kaedahnya ditelitikan. Syarat-syarat berikut harus diperhatikan oleh pakar:
  • Menghubungkan kedua-dua elektrod di bahagian depan kepala, voltan mestilah antara 100-400 volt, arus antara 0.75-1.0 ampere untuk kambing dan biri-biri dan 2-2.5 ampere untuk lembu, dilakukan hanya dalam 3-6 saat
  • Tidak menggunakan senapang batang besi, kapak, mahupun tukul
  • Kejutan elektrik tidak boleh digunakan terhadap ayam kerana ianya terbukti membunuh sejumlah besar ayam sebelum sempat disembelih
Haiwan itu tidak dianggap haram jika direbahkan dengan menggunakan gas atau senapang bola dengan cara yang tidak membunuhnya sebelum disembelih.
  1. Apakah nasihat anda kepada umat Islam di Barat tentang memakan daging tempatan?
Umat ​​Islam di negara bukan Islam seharusnya berusaha untuk mendapatkan kebenaran undang-undang untuk menyembelih haiwan mengikut Syariah tanpa perlu menggunakan kaedah pengejutan di atas.
  1. Bolehkah pelawat ke negara-negara bukan Islam memakan daging yang mungkin tidak disembelih mengikut Syariah?
Umat Islam melawat atau menetap di negara bukan Islam boleh memakan haiwan yang disembelih oleh Ahli Kitab setelah berusaha untuk memastikan bahawa penyembelihan tersebut tidak melanggar Syariah.
  1. Bolehkah umat Islam memakan daging yang diimport daripada negara-negara bukan Islam?
Daging adalah halal jika ianya diimport dari negara-negara di mana majoriti adalah Ahli Kitab dan haiwannya disembelih di rumah penyembelihan moden yang menggunakan kaedah penyembelihan Syariah seperti yang dinyatakan di atas. Ayat Al-Quran berikut adalah bukti bahawa daging tersebut boleh dimakan: “Makanan Ahli Kitab adalah halal bagi kamu” (Surah Al-Ma’idah). Namun, daging yang diimport dari negara-negara yang majoritinya bukan Ahli Kitab adalah dilarang kerana kemungkinan besar bahawa haiwan tersebut dibunuh dengan cara yang tidak menepati agama. Daging yang diimport dari negara-negara bukan Islam tersebut adalah halal sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut Syariah di bawah penyeliaan sebuah badan Islam yang diiktiraf dan jika penyembelih adalah seorang Muslim atau Ahli Kitab. ]]>

KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi

ROL Lee Oleh Lee Slimshady Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria. Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota. Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta. Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu. Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya. Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir. Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia. Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam  coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya. Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya. Kisah Ibrahim Alaihissalam Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam. Ibrahim HajarKerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah. Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari. Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7. Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri. Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk. Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani. Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta. Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering. Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani. Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan. Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan. Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail. Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Cinta Seni & Pemburuan Makna Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri. [caption id="attachment_5164" align="alignleft" width="351"]Hamzah Fansuri Hamzah Fansuri[/caption] Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir  bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu. Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan. Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri. Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan. Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut. “Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif. Cinta, Revolusi & Pengorbanan Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya. Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia. Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya. Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan. Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis. Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri. Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan; “Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan” Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan. Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah. Janganlah juga disamakan dengan  demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu. Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini. Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan. Ahmad BoestamamKasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan. Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain. Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi. Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner. Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API). Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama. Larangan Agamawan & Revolusi Murni Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan. Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk  membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya. Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya. Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama. Hajar IsmailMaka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya. Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji. Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar. Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama. Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa  himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya; “Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail ” “Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian. “Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum. Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut. Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih. Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan  dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya. Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.   Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan. Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas. Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah. Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban. Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah. Ibrahim Qurban Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan. Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan. Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya. Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut. Pengorbanan Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus  dibayar untuk sebuah kejayaan. Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan. Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup. Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar. Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu; “No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan) Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.   *Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.

]]>

Apabila Agama Dipolitikkan: Cabaran & Penyelesaian

Taliban Buddha Pertembungan Sensitiviti & Agama Dari sudut hati kecil, penulis mengharapkan semua rakyat malaysia saling hormat menghormati waima berbeza fahaman, aliran, mazhab dan agama. Keretakan hubungan harmoni yang bakal berlaku, diharapkan ia dapat diselesaikan, bukan dibiarkan ia berlaku seterusnya membawa kepada keruntuhan. Lebih parah lagi, keretakan itu dihalalkan atas nama agama, sedangkan sifat agama itu adalah kedamaian, bukan perbalahan. Namun, keretakan itu kelihatan makin menjadi-jadi. Contohnya: apabila diberitakan tentang seorang lelaki yang beragama hindu yang agak tidak bersetuju dengan tindakan sebuah sekolah yang melakukan ibadat sembelihan korban yang disyariatkan dalam Islam secara terbuka. Agak sedih juga dengan komen dari lelaki yang beragama hindu itu, kerana keretakan budaya saling hormat menghormati antara satu sama lain semakin bertunas. Mungkin hari ini beliau mempertikaikan orang Islam menyembelih korban di tempat terbuka, di masa akan datang, tidak hairan akan ada pula orang Islam yang mempertikaikan orang hindu menyambut Thaipusam di Batu Caves secara terbuka. Jika keadaan ini berlaku, wajah toleransi dan sikap hormat menghormati sesama rakyat Malaysia dalam mengamalkan agama akan retak. Namun begitu, apabila difikirkan secara mendalam, semata-mata  menganggap lelaki hindu itu sahaja salah dengan alasan beliau tidak hormati hak Muslim beragama juga satu kesilapan. Ini kerana, banyak perkara provokasi atas nama agama Islam yang dilakukan oleh sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam. Mereka bukan sekadar tidak menghormati, malahan sanggup melakukan provokasi, seperti demonstrasi sebilangan orang-orang Islam di Pulau Pinang ekoran ucapan Aidul Adha oleh seorang pemimpin politik yang tidak beragama Islam dengan tanggapan bahawa ahli politik itu hendak melakukan projek kristianisasi. Bukti yang mereka kemukakan adalah huruf “t” pada tulisan kain rentang ucapan tersebut yang dianggap sebagai salib. Tindakan mereka ini pada hakikatnya bukan mempamerkan imej yang baik kepada Islam, tetapi semakin lahir perasaan kebencian sebilangan non-muslim terhadap Islam. Kebencian mereka, bukan kerana mereka melihat hakikat ajaran Islam, tetapi kebodohan sebilangan Muslim yang menggunakan agama untuk provokasi dangkal. Taliban Meruntuh Patung Buddha – Apa Kata Agama? Semasa Taliban memerintah di Afghanistan, banyak keputusan dan tindakan Taliban kelihatan tidak cermat dan tanpa difikirkan kesan buruk disebalik tindakan itu. Antara yang ketara adalah, tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha yang didakwa berumur lebih 2 ribu tahun di satu kawasan bernama Bamiyan. Patung itu amat besar, sehinggakan ia sama tinggi dengan bukit di situ. Diberitahu juga, bahawa kawasan Bamiyan sudah tidak ada penganut Buddha tetapi terdapat penduduk yang berfahaman syiah. Taliban telah meletupkan patung tersebut untuk dihancurkan dengan alasan penjagaan aqidah dan memerangi syirik. Tindakan Taliban itu dikritik hebat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Kritikan itu, menjadikan kalangan Pro-Taliban melebelkan Qaradawi sebagai ulama berhala. Dalam kenyataan Al-Qaradawi dalam perkara ini, beliau menyatakan bahawa pada tahun ke 7 hijriah, berlaku Umrah al-Qadha’ bahawa Nabi MUHAMMAD SAW dan para sahabat masih lagi melakukan Tawaf keliling Kaabah dalam keadaan kaabah ketika itu masih  dipenuhi dengan patung-patung sembahan orang Quraish. Al-Qaradawi menyatakan lagi, tindakan Taliban itu kelihatan bermusuh dengan Amerika dan Eropah, tetapi tanpa mereka sedar bahawa mereka sudah menjadi punca permusuhan orang Islam dengan orang bukan Islam di Timur. Ekoran kebencian mereka terhadap barat mereka meruntuhkan patung Bamiyan. Kesan dari itu, umat Islam di negara Buddha ditekan dan ditindas atas sentimen yang sama. Ternyata keadaan itu berlaku, sepertimana selepas kejadian runtuhnya patung Bamiyan, kedengaran pembunuhan beramai – ramai terhadap umat Islam di selatan Thailand dan keadaan tidak selesa di kalangan Umat Islam di Vietnam. Fikir kesan Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan, “Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain Allah, kerana bimbang mereka akan mencela Allah secara  permusuhan dan tanpa ilmu” (Surah al-an’am, ayat 108) Dalam komentar Imam al-Baidhawi terhadap ayat ini, beliau menyatakan, “Pada awalnya, Umat Islam selalu mencela mereka (yang menyembah selain Allah), lalu mereka ditegah supaya (dipihak mangsa celaan) tidak melakukan celaan balas terhadap Allah. Ia menjadi dalil bahawa perkara yang dibenarkan pun pada asalnya, jika boleh membawa kepada maksiat yang pasti, maka ia wajib ditinggalkan, kerana perkara yang membawa kepada kejahatan, ia turut sama dianggap sebagai jahat” (al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlmn 177) Dalam erti kata yang lain, dalam ayat ini Allah SWT mengajar kepada manusia bahawa sesuatu tindakan yang mahu dilakukan hendaklah diperhatikan juga sudut kesan sampingannya. Jika diperhatikan, seseorang doktor di hospital tidak akan memberikan sesuatu ubat kepada pesakitnya sesuka hati, tetapi difikirkan juga apa implikasi atau kesan sampingan yang bakal berlaku. Politikkan agama Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang saheh diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. (ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 1, hlmn 268) Begitu juga, di Malaysia pernah dibisingkan  dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. [sila rujuk Muhammad bin Afifi al-Bajuri, Nurul al-Yaqin Fi Sirah Said al-Mursalin, hlmn 52] Begitujuga doa harapkan hidayah oleh Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Taif yang menolak dakwah dan melontarkan kepada Nabi dengan batu. [Sila rujuk Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad, jld 3, hlmn 29]. Tanpa kita lupa juga dengan isu larangan orang bukan Islam membaca Al-Quran ekoran seorang ahli politik yang tidak beragama Islam telah membaca satu ayat dari Al-Quran dalam satu ceramah beliau. Walhal, jika dibaca dalam hadis terdapat beberapa kisah yang mempamerkan keizinan orang bukan Islam membaca Al-Quran, seperti Abu Bakar al-Siddiq pernah menyatakan kepada seorang perempuan yahudi yang sedang menjampi Aisyah dengan kata Abu Bakar al-Siddiq,“Jampilah dia dengan membaca kitabullah (Al-Quran) [Sila Rujuk Imam Malik, Muwatta’, hadis no : 1982] Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di Malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Hubungan Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbedaan yang amat ketara. Terdekat seperti isu penggunaan Kalimah Allah untuk orang bukan Islam, ia menjadi isu yang berpanjangan sehinggakan melibatkan perbicaraan mahkamah. Walhal, jika diperhatikan dari sudut sumber Islam disamping pengamalan di semua negara dan sejak zaman wahyu sehingga sekarang, hanya semenanjung malaysia sahaja yang melarang. Ini gambaran keanehan cara sudut faham Islam di malaysia jika mahu dibandingkan di tempat lain, yang sudah pasti terlalu amat ganjil jika dibandingkan dengan Islam di era keNabian. Melihat kepada itu, tidak hairan implikasi dan kesan yang tertimpa, hubungan Muslim dan orang bukan Islam di malaysia kelihatan seperti tenang di luar, tetapi dari sudut hati kecil wujud seribu satu permusuhan. Ekoran dari itu, mula wujud suara-suara tidak puas hati, hilang keharmonian seperti terbaru kedengaran suara orang bukan Islam yang beragama hindu melarang penyembelihan lembu korban secara terbuka dengan alasan menghormati sensitiviti dan sebagainya. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Hakikat sebenar, rujukan mereka bukan kepada Islam, tetapi kepada sentimen mereka yang berasaskan kepada hawa nafsu. Namun, lebel Islam di gunakan untuk mempamerkan tindakan mereka seperti benar, walhal Ia tidak benar sama sekali. Tindakan mereka itu, tidak sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali yang pernah berkata, “Kalimah yang benar, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan.” [sila rujuk Ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 2, hlmn 545) Wallahu alam.

]]>

Muslim seharusnya mempertimbangan penyembelihan haiwan ketika Raya

Penterjemahan Should Muslims Reconsider Animal Slaughter on Eid? oleh Anila Muhammad ke Bahasa Malaysia oleh Hamizah Hanan. Sekadar perkongsian renungan.    Hari Raya Aidiladha disambut bagi memperingati kisah kerelaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail, sebagai hari perayaan bagi masyarakat Muslim seluruh dunia.* Namun, bagi berjuta-juta haiwan ianya bukanlah hari kegembiraan kerana ianya menandakan permulaan upacara penyembelihan haiwan. Semakin bertambah muslim di dunia yang berpendirian sama ada enggan untuk mengambil bahagian dalam ibadah ini ataupun lantang bersuara dan meminta untuk menamatkan pengorbanan haiwan-haiwan. Antaranya adalah pencinta haiwan yang diketahui umum seperti Amira Hassan dari Tunisia, Secil Araci dari Turki and Amina Abaza pengasas Persatuan Perlindungan Hak Haiwan di Mesir. Dan bukannya pencinta haiwan ini sahaja yang ingin melihat berakhirnya ritual ini. Malah kebanyakan Muslim yang mula menilai semula adakah ritual ini sebenarnya sebahagian daripada tradisi berbelas kasihan dan rahmat seperti yang ditekankan di dalam Al-Quran dan tauladan daripada kehidupan Nabi Muhammad. Kisah Nabi Ibrahim Shahid ‘Ali Muttaqi ada menulis tulisannya yang mantap dan diedarkan secara meluas berkenaan ketidak tepatan pentafsiran agama dan sejarah yang berkaitan dengan korban Hari Raya itu. Tulisannya menunjukkan bahawa faktor terbesar yang menyumbang kepada penyebab upacara ini berterusan adalah salah tafsir kisah Nabi Ibrahim. Dalam kisah asal Nabi Ibrahim, berdasarkan mimpinya, percaya bahawa tuhan mengarahkan beliau untuk mengorbankan anaknya, Ismail. Seperti yang diceritakan, apabila Nabi Ibrahim mula untuk melakukan pengorbanan tersebut, Tuhan menyelamatkan nyawa Nabi Ismail dengan menggantikan seekor kambing di tempat beliau. Jika kita membuka al-Quran [ayat 37:102] untuk membaca cerita sebenar ternyata tafsirannya agak berbeza: Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan pengorbanan yang penuh bermakna. Al-Quran menyatakan bahawa Nabi Ibrahim telah bermimpi di mana beliau mempercayai bahawa Tuhan telah mengarahkannya untuk mengorbankan anaknya. Apa yang jelas, namun kita terlepas pandang, adalah tiada bukti yang menyatakan bahawa mimpi itu dari Allah atau Tuhan menuntut pengorbanan ini. Ini merupakan perbezaan penting yang perlu difikirkan untuk menilai amalan korban haiwan itu adakah berdasarkan tanggapan bahawa mimpi Nabi Ibrahim itu datang dari Allah dan Tuhan mengarahkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya. Namun, perlu dilihat, Tuhan campur tangan untuk menghentikan perbuatan Nabi Ibrahim daripada mengorbankan anaknya. Perbezaan seterusnya adalah berkaitan dengan pentafsiran ayat yang terakhir: “Dan Kami tebus anaknya itu dengan pengorbanan yang penuh bermakna.” Terdapat tafsir al-Quran yang telah mengantikan istilah “pengorbanan yang penuh bermakna” dengan “binatang sembelihan yang besar”. Nampaknya ada beberapa perdebatan dalam kalangan ulama mengenai ayat terahkir ini, tetapi perlu diingat pentafsiran ayat ini amat penting. Ulama al-Quran seperti Muhammad Asad telah melanjutkan pentafsiran ini dengan membaca isitilah “besar” adalah merujuk kepada Nabi Ibrahim sendiri bukannya kambing yang dikorbankan. Malah pengorbanan Nabi Ibrahim tidak mempunyai kaitan dengan perbuatan fizikal penyembelihan itu. Pengorbanan Nabi Ibrahim adalah mengenai kesediannya melepaskan perkara yang paling penting dalam hidupnya, untuk memenuhi apa yang dilihatnya sebagai kehendak pencipta Ilahi. Bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim ini, adalah amat penting untuk kita bertanya diri sendiri adakah kita bersedia untuk melepaskan sesuatu yang amat bernilai apabila kita korban atau menyembelih haiwan tersebut. Adakah kita benar-benar melakukan pengorbanan emosi dan mental yang sama seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim? Jika tidak, maka bagaimana sebenarnya untuk kita meningkatkan pembangunan rohani kita dengan meneruskan tradisi ini? Kebimbangan untuk pihak yang kurang bernasib baik. Sebab seterusnya dalam pengamalan korban haiwan ini adalah berkaitan dengan pengunaan daging haiwan ini untuk diberkan kepada orang yang kurang bernasib baik. Ya, benar bahawa sebahagian daripada daging haiwan yang dikorban akan diberikan kepada orang miskin. Walau bagaimanapun, kita perlu bertanya kepada diri sendiri- adakah kita hanya bimbang untuk memberi makanan kepada mereka untuk hanya beberapa hari atau mengekalkan mesej keadilan sosial yang ditekankan dalam al-Quran? Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang yang memerlukan dan musafir dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; [2:177] Terdapat banyak ayat yang menekankan keadilan sosial dalam al-Quran. Ayat ini telah ditafsirkan oleh ulama yang bermakna bahawa pengamatan rohani yang bersifat holistic adalah merangkumi pemahaman dan reaksi kepada keadaan orang-orang yang kurang bernasib baik yang terdapat dalam masyarakat kita. Pengagihan ‘harta kekayaan’ tidak hanya bermaksud pemberian wang sahaja tetapi merangkumi masa, penglibatan dan komitmen jangka panjang untuk membantu memperbaiki keadaan mereka. Dan pemantauan pihak beragama hanya dilakukan hanya untuk pengekalan tradisi, seperti dalam kes korban haiwan ini, ianya mempunyai skop yang terhad untuk membantu mengubah keadaan. Jika kita prihatin dengan keadilan sosial dan ingin mewujudkan perubahan yang bermakna, jangka panjang, maka kita umat Islam perlu menimbang semula penyaluran wang kita daripada pengorbanan ini kepada membuat pelaburan lain dalam komuniti untuk membantu yang kurang bernasib baik. Mungkin pelaburan boleh dilakukan kepada organisasi yang bergiat aktif di peringkat akar umbi. Organisasi tersebut melibatkan secara langsung dengan masyarakat yang diperjuangkan. Mereka memberi kuasa kepada pengundi untuk menentukan apa yang mereka perlukan (pendidikan, latihan vokasional, penjagaan kesihatan) dan bukannya menganggap bahawa mereka perlukan (daging), dengan itu “membantu mengubah keadaan sesuatu kaum” [Quran 13:11] untuk jangka masa panjang. Layanan dan syarat-syarat haiwan Ia tidak mungkin untuk dibincangkan isu ini tanpa pengiktirafan kepada makhluk yang dijadikan korban untuk pengekalan tradisi ini –haiwan. Terdapat tradisi yang kuat diamalkan dalam Islam untuk berlaku adil dan berperikemanusiaan kepada haiwan dan terutamanya kepada yang akan disembelih. Nabi Muhammad, yang merupakan seorang pencinta haiwan dan sangat sensitive kepada penderitaan mereka, menasihatkan pengikutnya “Takutlah kepada Allah dalam hal haiwan-haiwan ini yang tidak boleh bercakap kehendak mereka.” Al-Hafiz B.A Masri, salah seorang ulama Islam terkemuka yang menulis berkenaan kebajikan haiwan. “Jika haiwan telah tertakluk kepada kekejaman mereka dalam pembikan, pengangkutan, penyembelihan atau kebajikan umum, dagingnya dianggap tidak suci dan dilarang untuk dimakan (Haram). Isi haiwan yang dibunuh dengan kaedah yang kejam (Al-Muthiah) adalah bangkai (Al- Mujaththamah). Walaupun haiwan ini telah disembelih dengan cara Islam yang rapi , jika kekejaman diperlakukan kepada mereka, daging haiwan tersebut dilaramg untuk dimakan (Haram).” Namun idea tentang layanan berperikemanusiaan terhadap haiwan dalam islam adalah amat bertentangan dengan realiti bagaimana haiwan dilayan. Haiwan-haiwan hidup dieksport dari negara seperti Australia dan New Zealand ke negara-negara Muslim, kebanyakkannya untuk dijadikan korban sempena Hari Raya. Kini terdapat bukti tertulis yang tidak dapat dinafikan lagi, dari kedua-dua penyiasat Muslim dan bukan Muslim, memperincikan tentang tahap kekejaman terhadap binatang ini, yang boleh menyebabkan Rasullullah menangis. Haiwan hidup yang dieksport secara rutin dibungkus padat ke dalam bekas pengangkutan untuk perjalanan yang memakan masa sehingga bermingu-mingu. Pada masa itu haiwan tersebut tidak disediakan makanan, air, dirantai berdiri dan tidak mampu bergerak serta bergelumang dengan air kencing sendiri dan najis mereka. Banyak haiwan mati disebabkan kekurangan air (dehidrasi) dan kekurangan zat makanan. Banyak biri-biri dan lembu yang mengandung melahirkan bayi mereka dalam keadaan ini, hanya mampu melihat mereka mati dengan perlahan, kematian yang menyedihkan. Walaupun kita lupa sejenak bagaimana haiwan-haiwan ini tiba di destinasi mereka. Pertimbangkan bahawa semasa musim Haji, lebih daripada dua juta haiwan dikorbankan dalam satu hari. Ia benar-benar mustahil untuk menyembelih haiwan sebanyak ini, dengan hanya menggunakan beberapa jam dan memikirkan ianya dilakukan dengan cara yang berperikemanusiaan. Dalam kebanyakkan negara Muslim penjual daging kini mengakui bahawa permintaan untuk mengorbankan haiwan dengan mengunakan kaedah berperikemanusiaan yang disarankan oleh Islam, dengan itu menjadikan penyembelihan tersebut adalah bertentangan dengan Islam dan daging menjadi tidak halal (tidak sesuai untuk dimakan oleh umat Islam). Jika ini bukan alasan yang cukup untuk melepaskan pengorbanan haiwan ketika hari raya, fikirkan bahawa industri ternakan adalah penyumbang utama ke arah pencemaran tanah, udara, air dan kemerosotan ekosistem kita. Pertimbangkan bahawa perbuatan melibatkan diri kita dalam ritual pengorbanan haiwan telah menyebabkan bumi kita dalam bahaya. Sebagai umat islam, pada hari raya dan sepanjang tahun, kita harus fikirkan adakah penerusan tradisi tersebut selari dengan tanggungjawab kita sebagai penjaga/ pentadbir bumi ini. Ramai muslim secara peribadinya mempertimbangkan perkara ini dan telah memutuskan bahawa tradisi ini tidak lagi memberikan pemahaman terhadap Islam. Anda boleh menemui beberapa pemikiran dan komen mereka di thecompassionatemuslim.com. Kami menjemput semua Muslim progresif, sederhana, konservatif, ateis atau agnostik untuk menyertai kami dan menyuarakan suara anda, dan memberi inspirasi kepada orang lain, mengubah tradisi pengorbanan haiwan untuk rahmat dan belas kasihan. *Nota: Memandangkan makalah tersebut disiarkan pada 2012, penyunting menggubal pembuka kata untuk disesuaikan untuk konteks sekarang.

]]>