Dialog Melalui Haluan Media Popular
Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah.
Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam.
Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar.
Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua.
Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini.
Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular.
Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One.
Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis.
Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan.
Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua.
Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi.
“Viral,Sial!” oleh David Buri
Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”.
Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin.
Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan.
Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini.
Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini?
Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet?
Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini.
Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko.
Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki?
Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya?
Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas?
Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki?
Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat?
Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada?
Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil.
Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya.
“Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail
“Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.”
Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata.
Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia.
Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan.
Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini.
Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan.
Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan.
Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara?
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha.
Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan.
Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau.
Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua?
Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini.
Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati.
Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita.
Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota.
Gambaran Keseluruhan
Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara.
Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa.
Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja.
Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya.
Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita.
Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun?
Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat.
Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata?
Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan.
Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas.
Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia.
Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.
Dikarang oleh Johan Zolhaidi
Sisters in Islam: Kenyataan Media Terhadap Ugutan Jenayah Kepada Aisyah Tajuddin
Kupas” terbitan bersama BFM dan Projek Dialog yang membincangkan tentang Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 March 2015 yang lepas. Ugutan yang diterima oleh Aisyah Tajuddin merupakan satu tindakan jenayah di bawah Seksyen 503 dan 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya. Kami juga menyeru agar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kamar Peguam Negara mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang melakukan ugutan jenayah tersebut. Ugutan berbentuk jenayah yang dilakukan terhadap Aisyah Tajuddin adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam dan kebebasan berpendapat yang telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kami juga percaya bahawa Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 bukanlah sesuatu yang sakral dan tidak boleh dikritik secara substantif dan dari sudut pelaksanaannya. Ia juga terbuka kepada cabaran perundangan di Mahkamah melalui satu semakan kehakiman. Isu-isu yang dibangkitkan oleh Aisyah Tajuddin di dalam video satira tersebut seperti masalah pasca-banjir, dadah dan kemiskinan juga harus diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan dijadikan keutamaan (awlawiyat) berbanding dengan melaksanakan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993. Dr Yusuf Al Qaradawi di dalam Kitabnya Fi Al Fiqhi Al Awlawiyat: Dirasah Jadidah Fi Daw’I Al Quran Wa Al Sunnah menyatakan bahawa antara kesalah fahaman yang sering terjadi kepada para pejuang Islam adalah kerana terlalu taksub dan berlebih-lebihan di dalam memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Hudud, Qisas dan Ta’zir sehingga menimbulkan tanggapan yang kurang baik terhadap kalangan orang awam. Terbaru, dalam satu temuramah Al Jazeera pada tahun 2011 beliau menyatakan pelaksanaan Hudud bukanlah satu keutamaan di saat rakyat masih lagi kelaparan, peluang pekerjaan juga sukar untuk di dapati dan negara masih gagal menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi kepada rakyat. Kami menyeru agar kita bersikap lebih objektif dan berlapang dada dalam menerima sebarang kritikan dan tidak terburu-buru menuduh Aisyah Tajuddin atau sesiapa sahaja yang mengkritik dan memberikan saranan terhadap pelaksanaan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993. Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkenalkan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 untuk memasuki ruang awam melalui saluran demokrasi, oleh yang demikian sesiapa sahaja berhak bersuara tentang undang-undang tersebut sebagaimana yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sisters in Islam 20 Mac 2015
]]>BFMkupas: Tahun pertama
Bfm Kupas yang dibentang oleh Edry Faizal (setelah mengambilalih daripada Ehsan Shahwahid) mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu ruang wacana atau pendebatan melalui saluran media Youtube.
Seperti pengguna media di Malaysia, salah satu program yang paling diminati ramai (walaupun fokus utama mereka adalah penduduk bandar) adalah program ‘The Effing Show’ yang dikendalikan oleh PopTeeVee.
Tetapi perbezaan ‘The Effing Show’ dan ‘Bfm Kupas’ adalah pendekatan ataupun penyelesaian yang berbeza, dimana The Effing Show hanya mengutamakan komedi dan menyindir secara tersirat melalui parodi. Bfm Kupas tidak mengutamakan sindiran, tetapi lebih kepada cara-cara alternatif tentang dialog yang harus dibangkitkan oleh penonton video tersebut.
Inisiatif seperti ini dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar positif kerana alternatif seperti ini bukan sahaja memberi ruang wacana yang baru, malah memudahkan lagi anak-anak muda untuk membincangkan tentang isu-isu yang diutarakan kerana ianya lebih senang untuk dicerna, tanpa paksaan pembacaan artikel ataupun esei yang penuh dengan istilah akademik.
Mari kita ambil salah satu video terbaru dari pihak mereka, isu bantahan pembinaan gereja, isu posisi logo halal yang diletak bersebelahan dengan gambar kuil, dan isu ideologi yang dikecam oleh pihak ISMA itu disajikan secara santai dan pengacara di dalam video, Edry mencetuskan pelbagai jenis persoalan yang harus bagi kita sebagai rakyat untuk difikirkan.
Seperti kemunculan NGO yang mula aktif di dalam ruang wacana politik, dan mempersoalkan konsep wira yang dipegang oleh bangsa melayu.
Menarik untuk diperhatikan apabila persoalan-persoalan yang diutarakan oleh mereka lebih untuk membimbing para penonton untuk meneruskan wacana melalui komen-komen dibawah video, atau mungkin sahaja boleh dibawa ke topik kedai kopi dan sebagainya.
Dan memberi ruang ataupun keselesaan untuk rakyat membicarakan setiap isu, walaupun tidak dapat kita nafikan bahawa keberanian untuk berfikir tanpa dorongan itu adalah sebenar-benarnya isu yang harus diutarakan.
Membawa perbahasan kritis
Barangkali mereka ingin membawa peranan sebagai orang tengah, hanya memainkan seni perbidanan untuk mempersoalkan setiap kata-kata ataupun pernyataan yang dibuat oleh pihak-pihak yang terbabit.
Kerana saluran alternatif seperti video di Youtube, lebih senang untuk mengambat hati anak-anak muda, dan lebih bagus lagi ia dapat membantu mereka berfikir dengan lebih kritis dan bertanggungjawab untuk menggunakan pemikiran mereka secara mandiri semasa mencerna berita-berita yang dikeluarkan oleh media.
Di dalam masa satu tahun, Bfm Kupas berusaha untuk mengeluarkan persoalan-persoalan yang diperlukan oleh kita semua.
Selalunya terdapat tiga isu utama di dalam satu video, dan pengacara berjaya mempersoalkan isu-isu tersebut dengan halus. Episod pertama dikeluarkan semasa berlakunya siasatan ke atas Dr. Kassim Ahmad berdasarkan premis sensitiviti orang Islam di Malaysia.
Kemudian diteruskan lagi dengan pernyataan ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) tentang perlunya pihak antarabangsa mengakui keberadaan Melayu sebagai pemilik utama negara ini.
Pengacara Ehsan Shahwahid berjaya menyentuh bahagian-bahagian yang menjadikan setiap isu itu beralih menjadi rapuh, dan mempersoalkan kapasiti setiap pihak yang terbabit.
Seperti kes Kassim Ahmad, pengacara menyatakan dengan jelas tentang keperluan dialog ataupun sesi debat untuk menyelesaikan segala silap faham ataupun kemelut yang berlaku, kerana suatu proses berdialog selari dengan tuntutan di dalam perundangan Islam, dan lebih elok daripada melakukan persidangan akhbar dan mengecam kesemuanya pihak-pihak yang berlainan pendapat daripada ketetapan dominan yang disokong oleh pihak yang berkuasa.
Diteruskan lagi dengan kes pernyataan ISMA, pihak Bfm Kupas dengan jelas menyatakan percanggahan yang ketara, iaitu pengutamaan ISMA terhadap isu kedaulatan bangsa Melayu.
Bukankah Islam menjangkaui batasan ras, dan bukankah cinta tuhan melebihi pergelutan ideologi ataupun politik?
Tidak lari daripada hal sensitif
Pihak Bfm Kupas berjaya menunjukkan (mungkin secara tersirat) bahawa pergolakan yang dihasilkan ini adalah disebabkan pengaruh kuasa, dan mengutip kata Ali Shariati di dalam bukunya ‘Religion VS Religion’, puak yang menyebarkan silap faham dan menghancurkan nilai-nilai agama itu sendiri adalah puak-puak agamawan yang menggunakan agama untuk mengukuhkan pengaruh politik mereka.
Mereka memulakan dahulu usaha-usaha yang harus dilakukan oleh kita semua sebagai masyarakat. Iaitu suatu usaha untuk mempersoalkan segala masalah ataupun isu yang disebarkan melalui pihak media.
Tidak dapat saya nafikan, memang terdapat segelintir daripada kita yang bersetuju dengan pendapat mereka, bahawa isu-isu disebalik semua ini adalah bersendikan suatu proses pembodohan yang ingin disumbatkan kepada rakyat, tetapi mereka mulai mengambil inisiatif untuk menyuarakan dengan cara yang lebih elok, tidak menuduh, tidak sinikal, pesimistik dan tidak juga membabi buta menyatakan alasan yang bakal menimbulkan segala jenis tidak faham yang tidak diingini.
Mereka mengambil jalan tengah, jalan yang hanya membuka ruang untuk kita semua memikirkan segala kemelut yang berlaku ini dengan sendiri, dan bimbingan mereka harus dihargai seadanya.
Kerana usaha-usaha sebegini juga harus diteruskan lagi oleh pihak-pihak lain, harus menjangkaui pendirian politik kepartian ataupun batasan bangsa dan agama.
Mungkin sahaja segala penat lelah dan kebingungan yang berlaku pada masa ini hanya akan membawa kita ke arah sikap sinikal dan pesimistik terhadap cara-cara bagi menangani masalah-masalah yang ada.
Tetapi atas nama kemajuan negara kita sendiri, bukan dari segi pembangunan fizikal ataupun dari pengumpulan harta persendirian, tetapi atas nama kesejahteraan manusia dan mampu mengiringi kita ke kerangka pemikiran yang lebih bagus. Tanpa sandaran kepada mana-mana inisiatif pihak luar, sebaliknya kukuh berdiri di atas kaki sendiri.
Pihak mereka melalui usaha-usaha video mereka berjaya menunjukkan bukti bahawa kita sebagai rakyat biasa mampu berfikir secara kritis, suatu kondisi pemikiran yang berjaya menggugat naratif pihak berkuasa yang ingin berselindung disebalik sikap feudalisme, dimana rakyat biasa tidak mampu dan tidak boleh mempersoalkan apa-apa tindakan yang dilakukan oleh mereka.
Mereka berdiri di atas dasar amateurism, seperti yang diajukan oleh Edward Said, “…keinginan yang tidak digerakkan oleh keuntungan atau ganjaran tetapi oleh nilai cinta dan minat yang tidak dapat dihilangkan dalam melihat sesuatu isu yang lebih besar dan menyeluruh, mencari hubung kaitnya, dan menolak untuk diikat di dalam suatu bidang kepakaran, dan kasih benar terhadap idea-idea dan nilai-nilai sejagat meskipun dibatasi oleh sesuatu karier.”
Peranan utama yang dibawakan oleh mereka bersesuaian dengan objektiviti Projek Dialog dan buat masa ini, ianya satu-satunya platform media yang mempersoalkan niat ataupun agenda disebalik isu-isu sosio-politik melalui laman web youtube.
Khas untuk masyarakat tempatan dan tidak disertakan individu yang berpengaruh, barangkali untuk mengelakkan tanggapan bahawa mereka merupakan platform yang berat sebelah.