1) Peranan AUKU dalam menyekat kebebasan bersuara mahasiswa
Kedua-dua panelis mengambil posisi yang berbeza mengenai hal ini. Bagi saudari Afiqah, AUKU sangat menyusahkan mahasiswa.
AUKU mempunyai kuasa menyekat wacana yang dianggap berlawanan dengan kerajaan malah menghalang demonstrasi aman yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Malaysia.
Menurutnya, AUKU juga menyebabkan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi mandul kerana terpaksa mengikut rentak tarian pentadbiran universiti.
Muziru pula beranggapan sebaliknya. Bagi beliau, AUKU tidaklah kejam pada dirinya sendiri. AUKU mempunyai beberapa bahagian yang baik dan tidak menganggu kebebasan mahasiswa.
Perkara yang perlukan penelitian semula terhadap AUKU ialah Seksyen 4 dan 5 serta semua Seksyen 15 & 16.
Seksyen 4 dan 5 menyentuh tentang perlantikan Majlis Tertinggi universiti dan Seksyen 15 & 16 yang menyentuh tentang penglibatan mahasiswa dan tindakan tatatertib.
Bagi saya, mengatakan AUKU telah memandulkan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu analisa yang simplistik.
Walau kita masih tidak mempunyai statistik tentang hal ini, kita boleh cuba secara pemerhatian dan turun padang bertanya soalan berikut kepada rakan-rakan mahasiswa kita di universiti:
Apakah mereka tidak bersuara semata-mata kerana AUKU, atau faktor-faktor lain yang lebih memandulkan mereka dari AUKU? Saya berani kata ya.
Mahasiswa tak ambil peduli dengan politik kampus mahupun luar negara kerana dilanda penyakit konsumerisme dan hedonisme.
Budaya ini akhirnya membantutkan keupayaan intelektual dan kegigihan akademik mereka untuk memberi perhatian terhadap isu-isu besar yang melanda negara.
Ini ancaman yang lebih besar terhadap mahasiswa berbanding AUKU.
Tanpa AUKU pun, jika ancaman ini tidak ditangani dengan segera, mahasiswa akan tetap mandul, dan tidak mampu untuk menggunakan sebaiknya kebebasan mereka.
2) Mahasiswa bermain minda mangsa
Ini satu isi penting menarik yang dibawa oleh saudara Muziru. Mahasiswa sememangnya sudah terlalu lama bermain watak sebagai mangsa.
Wacana yang berlegar kini ialah tentang bagaimana mahasiswa dibentak-bentak, diherdik-diherdik, diperlakukan seperti anak kecil oleh pentadbir universiti dan pelbagai lagi.
Saya setuju 100% dengan perkara ini. Akan tetapi, kita semua jangan lupa mahasiswa bukan maksum.
Tanpa sekatan pentabir pun, masih ramai mahasiswa/wi lagi yang terdedah dengan hiburan memualkan yang tak henti-henti.
Ramai antara kita menghabiskan sisa-sisa waktu di universiti dengan program-program tidak munasabah hasil tangan-tangan sendiri.
Ketika forum berlangsung, persoalan kebebasan positif dan kebebasan negatif dibangkitkan.
Kebebasan positif ialah memiliki kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan (freedom to) walhal kebebasan negatif ialah kebebasan seseorang dari tekanan pihak luar (freedom from).
Kebebasan negatif lebih menitikberatkan halangan-halangan yang menganggu-gugat kebebasan seseorang.
Kebebasan positif lebih kepada keazaman seseorang menggunakan segala kebebasan yang ada pada dirinya untuk meneroka peluang-peluang bagi melaksanakan tindakannya dalam apa jua keadaan.
Jadi kita dapat lihat sekiranya kita masih tersangkut dengan kebebasan negatif yang ditarik dari kita, kita akan menjadi pasif dan sentiasa terperangkap melawan halangan-halangan dari luar.
Sedangkan kapasiti kebebasan yang ada pada diri kita, yakni mahasiswa belum diterokai dan dimanfaatkan sebaik-baiknya mungkin.
Mahasiswa kena jujur dengan diri sendiri. Apakah baki-baki kebebasan dan kelonggaran yang ada di universiti telah dimanfaatkan sepenuhnya?
Mungkin ada sesetengah forum atau seminar yang dianggap “bertentangan” dengan kerajaan, ataupun “berbahaya” terhadap akidah, lalu tidak dapat dilakukan secara formal dan terbuka.
Namun, apakah itu menghalang wacana daripada diteruskan? Tentutnya tidak sama sekali. Saya beri satu contoh mudah.
Misalnya di Universiti Islam Antarabangsa, yang dikenali dengan pandang alam Islamiknya, kita mahu menganjurkan Seminar Atheism, ataupun Forum “Tuhan Telah Mati”.
Kemungkinan besar, cadangan penganjuran akan serta-merta dihalang dan tidak dibenarkan. Jadi, saya beri anda pilihan, mana yang lebih baik:
Pilihan A: Mahasiswa berdemonstrasi menyatakan bantahan bahawa “ini hak kebebasan bersuara kami!”, atau
Pilihan B: Mahasiswa “let go” penganjuran tersebut, dan meneruskan kumpulan-kumpulan kecil “reading group” bagi membahaskan tema-tema forum tersebut secara tuntas dan berkala.
Pada pendapat saya, pilihan B lebih efektif. Kita masih mempunyai pilihan yang lebih efektik dalam jangkamasa panjang.
Dan tahukah anda, buku-buku mengenai atheisme dan tokoh seperti Nietzsche, Schopenhauer dan Dawkins, berlambak di dalam perpustakaan UIA?
Buku-buku dan tokoh-tokoh tersebut sudah berhabuk menunggu untuk dibaca dan dibahaskan.
Tidak pula universiti ini mengharamkan buku tersebut. Dan ini membawa kita kepada isi penting yang ketiga.
[caption id="attachment_5416" align="aligncenter" width="1024"]
Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption]
3) Universiti tidaklah sekuat mana untuk mengatur dan mengawal pergerakan mahasiswa
Antara hujah yang dilontarkan oleh saudari Afiqah ialah mahasiswa sering kali tidak dapat menganjurkan wacananya sendiri tanpa campur tangan pentadbir.
Malah panelis-panelis ditapis bagi mengelakkan panelis yang kritikal terhadap kerajaan menghasut mahasiswa.
Contoh paling jelas ialah tragedi yang menimpa beliau sendiri.
Beliau dan Presiden MPP universiti tersebut, saudara Hanif Mahpa, digantung pengajian selama setahun hanya kerana melaksanakan forum GST dan membawa masuk panelisnya YB Rafizi Ramli.
Berikutan hukuman oleh pihak pentadbiran universiti kepada kedua rakan saya ini, saya sepenuhnya bersolidariti dan menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak berasas itu.
Namun, saya tidak bersetuju sekiranya kes seperti ini menjadi batu asas hujah bahawa pentadbiran universiti sentiasa campur tangan program mahasiswa dan mahasiswa tidak bebas berwacana.
Hujah saya begini :
a) Tidak semua ahli politik pembangkang tidak dibenarkan masuk berforum di dalam Universiti Islam itu. YB Rafizi dihalang masuk, tetapi berjaya diseludup. Tak dinafikan sekatan tersebut.
Tetapi YB Ong Kian Ming, YB Yusmadi Yusoff, YB Mujahid Rawa, Dato` Saifudin Abdullah dan lain-lain pernah berforum secara aman di Universiti Islam tersebut.
Nama-nama yang saya sebut ini hadir di forum-forum yang mana saya sendiri menjadi peserta dan penganjur.
[caption id="attachment_5413" align="aligncenter" width="1024"]
Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption]
b) Tidak semua forum atau seminar yang dianggap sensitif terhadap kerajaan ataupun imej universiti tidak dibenarkan.
Misalnya forum liberalism, feminism, sekularism dan sebagainya. Kebanyakannya (tidak semua) berjaya dianjurkan secara aman.
Saya bersama rakan-rakan lain dapat membawa masuk Khalid Jaafar yang dikenali sebagai “bapa liberal” Malaysia ini ke Universiti Islam itu.
Aktivis kontroversi seperti Kak Fadiah Nadwa juga pernah datang mengisi wacana.
Saudari Afiqah mengatakan bahawa program-program berbentuk falsafah tidak mengapa dan tidak menakutkan pentadbiran.
Ini tidak benar sama sekali. Mengapa? Ini akan merujuk kepada hujah saya yang ketiga.
c) Seringkali bukan isi kandungan forum yang menjadi masalah, tetapi tajuk forum dan strategi “branding dan packaging” wacana dan juga format yang bermasalah.
Saya beri contoh, jika kita ingin menganjurkan sebuah wacana mengkritik dasar pendidikan kerajaan, apakah tajuk yang sesuai?
“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 : Apakah relevan?”, ataupun “Konvensyen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025”?
Sudah tentu, yang pertama nampak provokatif, akan tetapi yang kedua nampak neutral, sedangkan objektifnya sama, iaitu kita mahu meneliti dasar ini secara kritis.
Dan hakikatnya konvensyen seumpama ini berjaya dijalankan secara aman, malah laporan kajian sebanyak 30 muka surat mengkritik dasar ini telahpun berjaya dihantar kepada kementerian.
Pokoknya apa? Seperti kata saudari Afiqah, pihak universiti banyak terlepas pandang. Ya, tepat sekali!
Memang universiti bukan seperti figura Bapa yang sentiasa mampu memerhatikan gerak geri dan strategi mahasiswa.
Dalam banyak-banyak forum yang dihalang, banyaknya juga yang terlepas dianjurkan secara aman. Pentadbiran universiti seringkali terlepas pandang!
Mereka tidak punya cukup “The Force” untuk mengawal lambakan wacana-wacana anjuran mahasiswa pada setiap waktu.
Maka, kita gunakanlah kesempatan-kesempatan ini untuk “balance The Force”.
4. Kurangnya representasi mahasiswa wanita dalam aktivisme mahasiswa
Ini suatu lompong yang harus kita selesaikan. Kita harus tanya apakah faktornya? Apakah wanita tak diberi peluang? Atau mereka sendiri yang tidak punyai keyakinan diri?
Atau sistem patriariki yang sudah terlalu lama membenam rasa percaya diri bahawa wanita juga boleh kehadapan dalam memimpin gerakan aktivisme?
Atau penyakit konsumerisme yang membarah?
Saya tidak mampu menjawab persoalan ini secara tuntas. Dalam forum tersebut, persoalan-persoalan ini masih tidak dijawab secara tuntas,.
Akan tetapi, setiap satu jawapan diatas mempunyai “partial truth” yang menyumbang secara keseluruhan.
Mahasisiwi harus sedar yang mereka sebenarnya lebih ramai berbanding lelaki di dalam universiti.
Sekiranya kekuatan mereka dimobilisasi untuk gerakan intelektualisme dan aktivisme, pastinya perjuangan mahasiswa akan mendapat manfaat yang tiada tolok bandingnya.
Akhir kata, perbincangan seputar forum ini membawa kita kepada persoalan-persoalan baru terhadap kebebasan mahasiswa yang tidak sempat saya tulis dalam satu artikel.
Misalnya, apakah beza kebebasan bersuara dan kebebasan akademik? Bagaimana kita ingin memaksimakan potensi kebebasan positif yang kita miliki?
Apakah strategi-strategi baru mahasiswa zaman teknologi maklumat bagi menangani masalah yang tidak dihadapi oleh mahasiswa lampau?
Apakah mahasiswa masih ingin menempel dengan kegemilangan mahasiwa zaman 60an-80-an?
Begitu banyak persoalan yang sekiranya kita rungkai dan kupas dengan teliti, termasuklah pendefinisian dan analisa bandingan, tidaklah tulisan ini menjadi artikel, tetapi sebuah buku.
Apabila Islam Adalah Minoriti
Islam di pinggiran
Menjadi orang beragama Islam di Amerika dan Eropah bukan sesuatu yang mudah. Seperti mana-mana minoriti di mana-mana negara, mereka sering dijadikan “punching bag” oleh mereka yang paranoid, mencetuskan ketakutan dan kebencian, dan memburuk-burukkan orang yang lain daripada mereka.
Sudahlah menjadi majoriti yang bertampuk kuasa, mereka ini tidak sanggup melihat pengaruh mereka dihakis oleh golongan lain dan oleh itu, apabila mereka terasa dicabar, mereka mendepani cabaran itu dengan mengalih perhatian kepada golongan minoriti dan menjadikan golongan minoriti sebagai “punching bag” untuk menarik sokongan.
Di Amerika, golongan konservatif seperti sesetengah Republicans buat-buat takut dengan khabar angin bahawa kononnya nilai-nilai Amerika (American values) semakin dihakis oleh golongan Muslims.
Seorang senator di Florida mengatakan bahawa undang-undang anti-Sharia/anti-Muslim adalah “satu keperluan dan langkah pencegahan yang sama seperti undang-undang pencegahan vaksin terhadap penyakit-penyakit tertentu”. Seorang wakil rakyat di Oklahoma pula berkata bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan orang Islam yang merancang untuk membunuh orang Kristian.
Gila. Gila. Semuanya gila. Tetapi itulah yang berlaku.
Diskriminasi dan penindasan
Sejak 9/11, golongan Muslims di Amerika menghadapi pelbagai rintangan. Dari segi diskriminasi (institutional discrimination), lebih daripada 20 peratus daripada laporan diskriminasi atau tuntutan yang difailkan dengan EEOC adalah dari umat Islam, walaupun umat Islam hanya 2 peratus daripada populasi Amerika.
Pembinaan masjid juga agak sukar di sesetengah kawasan yang majoritinya beragama Kristian. Jika hujah sesetengah penduduk Taman Medan (atau mereka yang diupah) adalah pembinaan gereja menganggu sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam, hujah yang sama juga digunapakai di sini untuk menghalang pembinaan masjid. Adakah itu sesuatu yang betul?
Di Eropah, dalam satu kajian 2011 oleh Pew Global Attitudes Project, majoriti responden di Jerman (72 peratus), Sepanyol (69 peratus), Perancis (54 peratus), dan United Kingdom (52 peratus) berpendapat bahawa umat Islam di negara mereka mahu diasingkan daripada masyarakat arus perdana.
Yang paling teruk adalah pengharaman pakaian agama yang diperkenalkan di Perancis dan Belgium, di mana memakai burqa dan lain-lain bentuk wajah-meliputi “headwear” di khalayak ramai telah dilarang sejak 2011.
Hipokrisi?
Apabila semua ini berlaku, golongan beragama Islam di Malaysia mengutuk penindasan ini. Katanya, manusia wajar diberi kebebasan untuk memilih dan mempraktik agama mereka.
Semangat untuk bersolidariti dengan saudara/saudari mereka yang beragama Islam di negara lain memberi motivasi untuk berjuang bersama menuntut hak mereka sebagai minoriti.
Tetapi apabila agama lain di negara Malaysia dikecam oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mencetuskan kebencian, mana mereka ini yang memperjuangkan hak minoriti dan kebebasan beragama? Apakah mereka hanya peduli jika mangsa penindasan adalah saudara/saudari yang sama agama dengan mereka?
Atau adakah kejahilan mereka berpunca daripada hakikat mereka tidak pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti dan merasai cengkaman terhadap kehidupan mereka?
Pada hemat saya, sesiapa yang pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti di negara luar akan berhadapan dengan dua pilihan apabila mereka kembali ke tanah air sebagai golongan majoriti.
Yang pertama, mereka berikrar untuk memastikan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi minoriti. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Islam daripada sebarang cabaran dan berwaspada dengan sebarang usaha yang seolah-olah berkemungkinan mengancam kedudukan mereka sebagai golongan majoriti yang senang.
Yang kedua, mereka akan memastikan bahawa tidak akan ada golongan minoriti yang akan ditindas begitu di tanah air. Mereka telah merasai ketidakadilan dan diskriminasi di negara luar dan sedar bahawa golongan minoriti sering diasingkan dan dijadikan mangsa “punching bag” percaturan politik. Jadi apabila kembali ke tanah air, mereka boleh sahaja menikmati kesenangan sebagai golongan majoriti, tetapi mereka memilih untuk turut mempertahankan hak minoriti dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama, dan kelas.
Terlalu banyak yang mengambil jalan pertama kerana ia adalah pilihan yang mudah. Namun pada saya, jalan kedua lebih dekat dengan seruan Islam. Al-Anbiya: 107: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
Kehangatan pilihanraya kampus dan kebangkitan suara mahasiswa
Boikot PRK UiTM? Tetapi keadaan di UiTM berbeza. Rata-rata ramai yang tidak sedar bahawa suara mahasiswa dipinggirkan oleh pihak pentadbiran UiTM. Penulis ada terbaca rencana “Boikot PRK UiTM?” yang ditulis oleh Dr Jamaluddin Ahmad, Pensyarah Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam di laman The Malaysian Insider. Kenyataan “Aspirasi akan terus bertahan di UiTM” mendapat perhatian penulis. Setelah diselidiki, ternyata ada asasnya. Tekanan sistem UiTM itu sendiri menyebabkan pelajar dilema sama ada mahu mengundi atau memboikot PRK UiTM. Contohnya akta 174 di mana kaedah tatatertib UiTM menegah para pelajar daripada memboikot kelas/aktiviti rasmi UiTM. Bak kata lain Akta 174 diguna pakai untuk mencengkam kebebasan bersuara mahasiswa. Kesannya mahasiswa UiTM sering dilihat dan dicapkan sebagai mahasiswa yang ‘lesu’ terhadap isu semasa, sering dipandang serong oleh masyarakat kerana dianggap mementingkan diri sendiri. Dek status quo UiTM sebagai benteng tempat terakhir bagi mahasiswa Melayu dan Bumiputera. Jadi tidak hairanlah wujud kumpulan Pro-M seperti yang bergerak secara “anonymous” di laman sosial seperti UiTM Insider, Kelab Sosialis UiTM, Pro Mahasiswa UiTM, GAMUS UiTM dan lain-lain, memberi kesedaran untuk “ingkar” kepada larangan tersebut. Sementara itu media arus perdana kerap mempamerkan propaganda UiTM bahawa Pro-M langung tidak mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM kerana kononnya kemenangan semua kerusi dibolot oleh Pro-A. Namun, perkara sebenar disini UiTM tidak menggamalkan sistem dwi-parti bagi pilihan raya kampus mereka. Walhal, Pro A juga tidak wujud kerana yang ada hanya wakil mahasiswa dari setiap fakulti dan bertanding secara individu setelah ‘direstui’ oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui pelbagai tapisan. Menurut akta 174, calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar tidak dibenarkan membuat apa sahaja pakatan atau kelayakan bertanding mereka akan digugurkan. Jika berlakunya pertandingan antara calon Pro A dan Pro M, bolehkah kita bayangkan kesan dan impaknya jika Pro A tewas kepada Pro M di UiTM. Perkara inilah yang mahu dielakkan oleh pihak pengurusan UiTM dan kerajaan. Sudah tentu pihak pengurusan atasan UiTM selaku pelindung mahasiswa Melayu dan Bumiputera mahu menjaga imej UiTM selaku universiti penyokong kerajaan pemerintah sepenuhnya. Inilah demokrasi terpilih ala UiTM. “Suara Mahasiswa Suara Keramat” Sejak AUKU diperkenalkan dulu, mungkin pentadbiran universiti mengugut para siswa dan siswi dengan panggilan-panggilan “tak bersyukur” dan ‘pengkhianat’ sekiranya kita menyuarakan sebarang ketidakadilan. Namun, adakah pihak universiti masih dapat menghalang mereka untuk menggunakan kewarasan intelektual mereka dalam menegakkan hak mereka? Penulis ingin menegaskan mahasiswa dididik untuk mempelopori pelbagai bidang intelektual mereka. Sewajarnya keberanian dan kesungguhan golongan intelektual ini menghadapi pelbagai isu-isu akademik, universiti, kebajikan mereka mahupun isu nasional serta global sepatutnya digalakan. Justeru, akan timbul kesedarkan komuniti di sekeliling mereka agar lebih sensitif dan responsif akan apa-yang terjadi di sekeliling mereka. Sebagai kesimpulan, “suara mahasiswa suara keramat” bukanlah satu angan-angan kosong yang hanya boleh dipermainkan oleh sebilangan pihak tertentu bagi mencengkam kebebasan bersuara mereka. Dan kita juga berharap pihak pentadbiran universiti UiTM akan mengubah dasar mereka agar dapat mendengar dan mempertimbangkan suara mahasiswa supaya kepimpinan mahasiswa lebih efisyen dan mencapai taraf pemimpin yang berdaya saing diperingkat global. Akhir kata, jom renungkan kata-kata hikmat daripada seorang pensyarah dan penulis terkenal Amerika, Alfie Kohn (1993): “Students should not only be trained to live in a democracy when they grow up; they should have the chance to live in one today.”
]]>Mahasiswa, ‘Malaysia Book of Records’ dan pesan-pesan terhadap cendekiawan
“Nilai yang diwariskan oleh kemanusiaan hanya untuk mereka yang mengerti dan membutuhkan. Humaniora memang indah bila diucapkan para mahaguru—indah pula didengar oleh mahasiswa berbakat dan toh menyebalkan bagi mahasiswa-mahasiswa bebal. Berbahagialah kalian, mahasiswa bebal, karena kalian dibenarkan berbuat segala-galanya,” Rumah Kaca, Pramoedya Ananta Toer.
Musim pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar universiti datang lagi. Saya difahamkan berbeza dengan tahun sebelum ini, tarikh Pilihanraya Kampus (PRK) telahpun diumumkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Seperti diumumkan oleh pihak GAMIS, berikut adalah tarikh yang dikeluarkan oleh KPM: 23 Oktober – UM, UKM, UPNM; 24 Oktober – USM, Unimas, USM, USIM; 29 Oktober – UUM; 30 Oktober – UIAM; 21 November – Unisza; 27 November – UPM, UTM, UMT, UTHM, UiTM, Unimap, UMK, UTEM, UMP dan 29 November – UPSI. Berbeza dengan suasana di dalam kampus, kehangatan PRK belum dapat dirasai walaupun sudah memasuki pertengahan Oktober. Tidak pasti bagaimana mahasiswa secara seluruhnya melihat PRK dan kepentingan PRK ini dalam menentukan hala-tuju gerakan mahasiswa. Apakah PRK masih relevan terhadap diri mereka? Ataupun apakah PRK hanyalah sebuah formaliti untuk mereka sebagai seorang pelajar? Apakah entiti gerakan mahasiswa seperti Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa membentuk ideologi mereka? Apakah mereka memilih calon secara per-se atau memilih ideologi calon? Pemimpin Baru, Aktiviti Lama Untuk menjawab soalan-soalan di atas, penelitian harus diletakkan ke atas fraksi-fraksi calon yang bertanding. Entiti perwakilan yang terhad mewakili pro kerajaan (Pro Aspirasi) melawan fraksi yang dikenali sebagai pro pembangkang (Pro Mahasiswa) membosankan mahasiswa lain secara umum yang melihat pertentangan ini tidak tumpah seperti pertentangan parti politik luar kampus. Untuk sebahagian besar mahasiswa, politik luar kampus bukanlah keutamaan mereka. Keutamaan mereka adalah isu peribadi yang melingkari diri mereka saban hari dalam kampus seperti masalah kafetaria dan masalah parking. Akur untuk mendapatkan undi, fraksi-fraksi ini tidak dapat lari dari isu kebajikan sahaja. Perkara ini lebih jelas dapat dilihat melalui manifesto calon yang bertanding. Masing-masing akan berlakon seolah-olah berjuang memperjuangkan nasib mahasiswa. Jarang sekali calon-calon ini akan mengetengahkan ideologi mereka, visi atau misi terhadap pemikiran mahasiswa, ataupun hala tuju universiti pada masa depan. Pertentangan satu lawan satu aka ‘kerajaan vs pembangkang’ yang bosan ini sangat mendukacitakan kerana di akhirnya, pemimpin baharu akan sibuk dengan program tahunan mereka sementara mahasiswa kekal tagih janji kebajikan. Bahkan ideologi dan pemikiran tidak berkembang, serta bakat kepimpinan pula semakin lama semakin buruk kerana pemimpin baharu hanya akan diangkat menjadi pemimpin jika boleh dan mahu taat kepada perintah pihak atasan. MAHA dan SISWA: Apa Ertinya? Ini adalah soalan yang paling asas sekali untuk dijawab oleh golongan mahasiswa. Apakah mereka faham apakah makna ‘maha’ dan ‘siswa’ itu? Apakah mereka melihat diri mereka sebagai mahasiswa ataupun hanya sebagai pelajar biasa? Apakah ketika mereka mula mendaftar di jabatan atau fakulti masing-masing – mereka sedar bahawa kini mereka bukan sahaja seorang pelajar pusat pengajian tinggi, tetapi juga adalah seroang intelektual muda? Apakah ketika menjawab soalan peperiksaan mereka sedar bahawa jawapan yang dituliskan di atas kertas soalan itu kelak bukan sahaja beri kesan kepada diri mereka tetapi juga kepada masyarakat? Apakah mereka sedar tanggungjawab intelektual yang terbeban di atas pundak dan bahu mereka tatkala mereka berbangga dengan status mahasiswa tersebut? Ilmu dan Pesan-pesan Kepada Cendekiawan Kemudian timbulnya soalan; apakah Ilmu? Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam buku Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam secara panjang lebar ketika memperincikan tentang Ilmu menyatakan; “Ilmu adalah penetapan diri atau kalbu tentang kebenaran sesuatu sewaktu shak dan ragu-ragu timbul mengenainya. Ilmu itu kepercayaan yang teguh dan tiada berubah di dalam kalbu. Ilmu adalah suatu gerak daya ke arah penjelasan, penetapan dan penentuan. Ilmu itu pengikraran terhadap kebenaran. Ilmu adalah suatu sifat yang menghapuskan kejahilan, shak dan dugaan. Ilmu itu tibanya makna ke dalam diri serempak dengan tibanya diri kepada makna, dan ilmu itulah yang menjadi hasrat dan kehendak diri,” Menarik untuk diperbahaskan dengan konsep ilmu adalah syarahan Dr Ali Shariati ketika menganalisis Surah al Rum melalui ‘A Message to The Enlightened Thinkers’. Di dalam Bab 2 Ali Shariati menceritakan bagaimana Nabi Muhammad memberitahu pengikutnya yang pada ketika itu hanyalah sekumpulan kecil orang miskin dan gelandangan; “You will be the victors of history. Neither the superpowers, the great kingdoms nor the Ceasar, but Muslims, will dominate the world. Not only you will rule Arabia, Mecca or Quraysh, but you will also conquer Persia, Byzantium, Yemen and Egypt” Dalam keadaan tertindas, dakwah secara senyap dan sembunyi, suasana begitu lemah di kalangan pengikut dengan perasaan tidak berdaya, Nabi Muhammad menegaskan kepada pengikutnya bahawa mereka bukan sahaja akan menguasai peradaban hebat zaman itu seperti Rom atau Parsi tetapi juga Barat dan Timur. Kemudian Shariati meneruskan dengan bertanya; Siapakah golongan Intelektual dan Cendekiawan pada zaman Nabi tersebut? Mereka adalah golongan peniaga kaya yang memiliki ladang di Ta’if, pengimport barangan dari Iran, Byzantium, Yemen dan Syria, yang terdedah dengan pelbagai agama lain, yang biasa dengan negara luar serta punya hubungan politik antara negara akibat dari perniagaan komersil mereka. Kontra dengan ‘Intelektual’ – timbul soalan; Bagaimana seorang buta huruf yang tidak tahu membaca, yang hanya beberapa kali keluar Mekah, tidak pernah mengaji kitab lama, tidak belajar ilmu peradaban, geografi atau empayar mahupun kepercayaan lain atau politik malah tidak tahu lansung tentang alat perang ataupun kekuatan kuasa dunia besar ketika itu – boleh mengeluarkan ucapan dan kata-kata untuk menakluk dunia? Maka kaum yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ketika itu mula berasa ragu, mempersenda dan memperlekehkan kata-kata Nabi Muhammad. Cendekiawan vs ‘Malaysia Book of Records’ Analisis surah al-Rum oleh Dr Ali Shariati ini membuktikan bagaimana kaum terpelajar yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ pada zamannya tidak dapat menjadikan ilmu di dalam diri mereka itu sebagai sesuatu yang bermanfaat. Rom mahupun Parsi menakluk hampir separuh dari dunia tetapi meninggalkan Mekah dan Madinah kerana beranggapan kawasan ini tidak bernilai. Tetapi Nabi Muhammad membuktikan melalui ilmu yang memberi makna kepada diri sebagaimana dijelaskan Syed Naquib al-Attas, Islam berjaya menundukkan kuasa besar dunia dan menakluk hampir separuh dari dunia. Shariati menjelaskan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ini berada di dalam keadaan ketidak-tahuan. Apakah yang mereka tahu? “They know only about superficial considerations including who has better administration, where the most sophistical arms are and where the bulk of the wealth is located. In addition, the intellectuals evaluate and appraise situations, but in a superficial and short sighted manner. They only know mere appearances of the life of the world, and are heedless of the Hereafter,” (30:7) Pesan-pesan Shariati di dalam ‘A Message to The Enlightened Thinkers’ ini perlu dibaca semula oleh golongan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ di negara kita. Ketika laman web Harvard University memaparkan penyarah mereka memenangi Hadiah Nobel (Kimia), kejayaan Stem Cells Intitute dalam menemui metodologi baharu transplan, ujian baharu untuk mengesan ‘Down Syndrome’; ataupun ketika laman web Oxford University memaparkan kejayaan saintis mereka menemui cara baharu untuk menghantar dadah kepada pesakit kanser yang telah merebak sehingga ke otak ataupun ketika Cambridge Institute of Astronomy menerbitkan jurnal yang memaparkan penemuan bintang GD 61 yang mempunyai kebolehan yang hampir sama dalam sistem perairan bumi; Universiti tempatan masih sibuk dengan acara rekod merekod donut terbanyak, bina peta terbesar, ‘macro-teaching’ selama 182 jam ataupun aktiviti bersenam selama 36 jam dengan ‘Malaysia Book of Records’. Mahasiswa harus segera sedar bahawa mereka adalah ‘siswa’ – iaitu pelajar yang berada di tahap paling tinggi – ‘maha’ dan paling dekat dengan tingkat ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’. Mereka ini adalah Intelektual Muda dan Cendekiawan Muda yang harus segera mempersiap diri untuk menggalas tanggungjawab membawa kemaslahatan ke atas masyarakat. Sekiranya mereka sedar dan faham makna tanggungjawab ‘mahasiswa’ ini dan kedudukannya yang sangat rapat dengan ilmu, sesungguhnya mereka akan takut dengan tanggungjawab tersebut yang mana masyarakat sangat memerlukan mereka di saat ketidaktentuan politiko-sosio-ekonomi ketika ini. Maka tanggungjawab pemimpin mahasiswa pula bukanlah terhad sekadar menjalankan ritual tahunan dan program-program fakulti sahaja, tetapi memimpin pemikiran dan fahaman mahasiswa yang lain terhadap ilmu serta keterikatan mereka dengan tanggungjawab yang besar tehadap akademik secara intelektual. Sehingga kini saya fikir kerja memenangkan calon mahasiswa di dalam pilihanraya kampus adalah kerja no.2 sementara kerja no.1 adalah memahamkan mahasiswa apa makna menjadi mahasiswa yang sebenar-benarnya – maka kemenangan terhadap mahasiswa yang sebenar akan hadir selepas itu. Mahasiswa perlu guna kelebihan mereka sebagai intelektual dan cendekiawan muda untuk menjadi kuasa pendesak ‘non-political’ terhadap memperbaiki polisi negara yang selama ini ditentukan oleh ahli politik. Inilah masanya untuk mereka mengambil bahagian di dalam model semak dan imbang terhadap keputusan penting melibatkan isu kepentingan nasional. Dari fakulti pendidikan, undang-undang, ekonomi, syariah hinggalah kepada seni bina – semuanya berfungsi untuk menjadikan negara sebagai sebuah tempat yang lebih baik pada masa depan mengikut kapasiti masing-masing. Bayangkan jika gerakan kesedaran seperti ini muncul di setiap menara gading? Dan saya akui ini bukan kerja mudah, tetapi Murtadha Mutahhari melalui syarahan ‘Masalah Epistemologi’ menerangkan; “Dalam logika Islam, sebab Adam AS dikeluarkan dari syurga adalah kerana ia tidak mengamalkan peringkat keempat dari pengetahuannya. Peringkat pertama adalah epistemologi, kemudian pandangan dunia, kemudian ideologi dan terakhir ideologi mengharuskan ia untuk melaksanakan suatu amal perbuatan. Di sinilah ia tergelincir, sehingga Allah mengusirnya dari syurga,” ]]>Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang: Satu Ulasan
Sharifah Nursyahidah Saat saya mengamati semula suasana sekolah yang telah saya tinggalkan lapan tahun yang lepas untuk membandingkan dengan apa yang ada sekarang, barangkali tidak ada bezanya kerana saya merasakan bahawa sekolah itu tetap sama, tidak lebih dari sebuah institusi yang memaksakan manusia. Bahkan, saya kira loceng dan pagar yang mengelilingi kawasan sekolah adalah simbol kepada pemenjaraan, kerana ia begitu tekun mengatur pelajar-pelajar untuk akur kepada arahan. Mungkin kelainannya adalah apabila sebelum memasuki penjara yang sebenar, individu-individu tertentu awal-awal lagi sudah disabitkan bersalah, namun semasa di sekolah para pelajar telah dibentuk untuk menjadi pesalah kepada kehidupan mereka sendiri. Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan mana-mana institusi sekolah, namun hal-hal tentang proses persekolahan yang tidak ada debat, kritik dan gugatan sehingga lebih mengarah kepada dehumanisasi jelas ketara sebagaimana yang dibahaskan dalam buku yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir, Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang. Isu sentral dalam Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang Buku ini mengandungi pelbagai bahagian, satu himpunan tulisan beliau di bermacam-macam media seperti di The Malaysian Insider dan Projek Dialog. Kalau diperhatikan, tulisan-tulisan beliau ada yang usianya sudah dua tiga tahun yang lepas namun begitu isu-isunya masih segar kerana inilah hakikat yang sedang berlaku sekarang di negara kita, khususnya kepada anak-anak muda kita. Saya tertarik apabila beliau memulakan buku ini dengan mengambil kata-kata daripada Praemodya Ananta Toer, “apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajar mana yang benar, dan mana yang tidak…” dan memilih untuk mengakhiri buku ini pula dengan bab Kritik Teater. Mungkin ada yang tertanya-tertanya kenapa soal seni dan sastra diselitkan sekali dalam buku yang tajuknya cenderung kepada pendidikan. Maka telahan saya, tema sebenar buku ini tidaklah semata-mata kepada pendidikan yang mengongkong, tetapi dalam konteks yang lebih luas seputar permasalahan politik, ekonomi dan sosial melalui perkaitannya dengan persoalan kelas, budaya, etika dan macam-macam lagi. Ringkasnya, beliau cuba untuk menerangkan tentang hegemoni, penindasan dan dominasi sebagaimana yang diketengahkan oleh Gramsci. Ini kerana saya perhatikan peraturan dan polisi yang ditekankan oleh State (negara) banyak mendasari tulisan beliau kerana beliau seolah-olah berpendapat bahawa ianya adalah satu bentuk ketidakadilan kepada masyarakat, khususnya AUKU dan HEP. Ia banyak kali diulang dalam tulisan beliau, kerana realitinya dasar-dasar ini yang melibatkan anak-anak muda telah menyebabkan mereka menjadi tidak luwes dan tidak ada daya untuk memainkan peranan dalam hal-hal masyarakat. Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan beliau. Ini kerana anak-anak muda adalah suara kepada rakyat, terutamanya mahasiswa kerana mereka adalah cerminan dan perwakilan kepada rakyat sebab ilmu yang mereka miliki seharusnya berupaya untuk menentang apa-apa penganiayaan oleh para penguasa. Satu kesia-siaan sekiranya mahasiswa hanya duduk dalam kelas belajar semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut di luar kampus. Maka, tidak akan ada proses perkembangan diri di sini. Mereka hanya menerima tanpa mengamal. We don’t need no thought control Melewati keseluruhan buku ini, saya berterusan teringat petikan lirik lagu Pink Floyd – Another Brick in the Wall, “We don’t need no education, We don’t need no thought control, No dark sarcasm in the classroom, Teachers leave them kids alone, Hey teacher leave them kids alone, All in all it’s just another brick in the wall, All in all you’re just another brick in the wall…”. Saya meyakini bahawa hakikat tujuan pendidikan adalah untuk membangun diri sendiri tanpa dikawal mahupun dikongkong oleh mana-mana pihak. Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan lain-lain merupakan contoh-contoh individu yang berjaya melepaskan dan membebaskan diri dari sistem pendidikan yang membelenggu. Benar, mereka hanyalah sebuah sosok. Pandangan mereka mungkin tidak mewakili rata-rata segmen masyarakat kita yang masih lagi pada kebiasaan “apa” dan bukannya “kenapa”, namun begitu mereka berhasil untuk melontarkan sikap dan tindakan yang dipercayai benar dengan sendirinya tanpa menurut membabi buta. Ini kerana pendidikan seharusnya bersifat membebaskan. Ia berperanan besar untuk membentuk peribadi, pemikiran dan perilaku manusia supaya mereka memahami dan dapat bertindak balas terhadap isu-isu sekitar nilai-nilai sejati kemanusiaan yang harus dipelihara. Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia cuma melahirkan produk-produk yang menjadi ‘pengikut buta’ ataupun ‘pak turut’, lebih-lebih lagi dengan campur tangan politik para penguasa di sekolah serta universiti yang mengganggu keharmonian dan makna sebenar pendidikan. Sekiranya dibuat kajian, pasti ramai yang menyatakan tentang perasaan tidak menyenangkan tentang institusi pendidikan yang telah merenggut kebebasan berfikir mereka. Namun berbalik kepada soal AUKU tadi, saya juga percaya bahawa sebahagian besar mahasiswa kita langsung tidak pernah membaca keseluruhan isi undang-undang tersebut, sama ada mereka menyokong mahupun menentangnya. Sastera: Kelas kedua? Dalam bab Pendidikan Nasional, penulis turut ada menyatakan tentang ‘keanehan’ pengasingan murid kepada sistem berdasarkan sains dan sastera di sekolah apabila kelas SAINS terhad kepada murid-murid yang pandai sahaja, sementara kelas sastera khusus kepada mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Maka secara tidak langsung, mereka telah diletakkan dalam kelas kedua (second-class) ketika layanan yang lebih baik diberikan kepada pelajar-pelajar sains. Ini kerana mereka dilihat eksklusif berbanding para pelajar yang mengambil sastera. Pernyataan Zul Fikri Zamir ini bukan omong-omong kosong. Saya teringat pengalaman saya dahulu seusainya keputusan peperiksaan PMR. Saya ingin memohon kelas sastera kerana minat saya yang amat dalam bidang itu. Walau bagaimanapun, ada guru di sekolah saya yang menegur dan menyuruh saya untuk memohon kelas sains, dengan alasan bahawa tidak ada apa-apa yang boleh diperoleh di kelas kedua itu. Saya hairan, bukankah sastera juga ilmu? Apakah sekolah memang didirikan untuk tujuan peperiksaan dan industri kerja semata-mata, bukannya makna ilmu itu sendiri yang bermatlamat untuk memberikan pencerahan? Lantaran saya yang ketika itu lurus sangat, saya akur kepada keputusan guru saya, bukannya saya. Sejarah dan kebenaran ‘Sejarah ditulis oleh mereka yang menang‘. Kata-kata sinis ini menggambarkan keadaan sejarah yang ditulis cuma dari satu perspektif sahaja, tanpa menimbang keseluruhan cerita ataupun peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Lebih-lebih lagi apabila penulisan tersebut menyebelahi semata-mata golongan yang memiliki kuasa. Mereka hanya akan menceritakan hal yang baik-baik sahaja tentang mereka mahupun memanipulasi fakta-fakta yang ada supaya rakyat terus mempercayai pada kemegahan yang dibuat-buat oleh mereka. Nah, perkara ini saya kesan dalam tulisan penulis apabila beberapa kali beliau menulis tentang ’55 tahun Malaysia merdeka’. Zul Fikri Zamir menulis tentang institusi pendidikan yang tenat namun dalam tidak sedar, beliau turut masih terperangkap dalam sejarah yang tidak jujur ini. Pernyataan ini tidak betul sebenarnya kerana kemerdekaan 31 Ogos 1957 hanya untuk Tanah Melayu sahaja, manakala Sabah atau Borneo Utara ketika itu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963. Hanya selama 2 minggu Sabah berdiri sebagai sebuah negara kerana penyatuan bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 telah membentuk sebuah negara yang baru, yakni Malaysia. Seusainya saya meneliti buku ini, saya rasa puas kerana ia membuatkan saya rasa terkesan. Saya kira buku ini harus dibaca oleh semua, khususnya bakal pendidik dan pendidik. Saya begitu kagum dengan gerakan Teach For the Needs yang dipelopori oleh penulis sendiri dan rakan-rakannya. Saya percaya bahawa ia satu-satunya gerakan di negara ini yang dekat dengan saranan pedagogi kaum tertindas yang dibawa oleh Freire. Saya berharap supaya ia dapat diluaskan lagi kepada lingkungan anak-anak gelandangan, petani, nelayan atau siapa sahaja yang tidak mempunyai ruang dan peluang untuk menghadiri sekolah. Ia tidak harus dibataskan untuk para murid yang kurang berkemampuan menghadiri kelas tuisyen sahaja kerana ‘needs’ yang sebenar harus dapat dimaknai dengan sebetul-betulnya. Inilah kebenaran pendidikan. Untuk semua. Bak kata John F. Kennedy, ‘the goal of education is the advancement of knowledge and the dissemination of truth’. Dan ya, kalau Zul Fikri menyambung kiasan Buya Hamka ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja’ dengan; ‘Kalau mahasiswa setakat belajar, lembu di padang juga belajar’ Izinkan saya pula untuk menambah; ‘Kalau guru cuma mengajar, Ketam di darat juga mengajar’ (Selain mengajar untuk berjalan, ketam juga mengajar untuk bekerjasama!)
]]>Antara sekarang dan masa depan: Satu temubual bersama Zul Fikri Zamir, pengasas Teach for the Needs
Apa matlamat disebalik penubuhan Teach for the Needs (TFTN)? Bila bermulanya gagasan ini pada tahap paling awalnya dan oleh siapa? Matlamat penubuhan TFTN adalah; i) memberi peluang kepada anak kelas corot, anak miskin dan yatim untuk memasuki kelas tusyen dan peluang pendidikan setara sebagaimana rakan-rakan mereka di kelas hadapan yang lain; ii) membantu guru dan sukarelawan TFTN bekerjasama menyelesaikan masalah masyarakat setempat; iii) membuktikan stereotaip bahawa anak kelas corot, miskin dan yatim ini adalah murid yang malas dan tidak berbakat. TFTN ditubuhkan pada Mac 2012 dengan tujuan menjadi platform kepada guru dan sukarelawan membantu anak-anak tertindas dan marginal ini dengan menyediakan ‘support system’ kepada guru dan sukarelawan TFTN seperti bantuan buku dan ‘teaching materials’ yang lain. Gagasan ini bermula pada awalnya oleh saya sendiri dengan bantuan sis Asmidar Alias setelah mendapat persetujuan 5 rakan guru lain yang bersetuju untuk memberikan kelas percuma kepada anak-anak terbabit. Siapa sasaran TFTN? Sasaran TFTN adalah anak-anak di sekolah yang menghuni kelas corot, anak yatim serta anak dari keluarga miskin yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM 800 sebulan. Mengapa tumpuan kepada pelajar-pelajar daripada gelongan berpendapatan rendah? Apakah dasar-dasar kerajaan yang sedia ada tidak mencukupi? Dasar kerajaan pada masa kini walaupun agak komprehensif, tetapi mempunyai berberapa blindspot yang tidak dapat dikesan oleh sistem atau Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri. Apakah blindspots teresebut? Boleh bagi contoh? Sebagai contoh, masih terdapat murid yang tidak boleh membaca pada umur 12 tahun. Tetapi mereka ini bukan hasil kepada sistem 6 tahun pembelajaran sekolah rendah. Kadang kala mereka masuk ke sekolah pada umur 11 tahun, menyebabkan mereka tercicir. Saya difahamkan kes sebegini masih banyak. Begitu juga dengan jurang di antara bandar dan pedalaman samada dari jurang teknologi mahupun sebaran guru. Semua ini memerlukan penyelesaian berbentuk setempat – samada dari masyarakat lokal atau guru di sekolah terbabit. Masalahnya kini kementerian di Putrajaya merasakan hanya mereka yang mampu menyelesaikan semua masalah di seluruh negara. TFTN percaya dengan menggerakkan masyarakat awam terutamanya anak muda, guru pelatih dan mahasiswa untuk menyelesaikan masalah anak-anak tertindas dan marginal ini; sebuah penyelesaian dalam kerangka setempat dapat dilaksanakan. Sekurang-kurangnya selain membantu anak-anak tersebut mendapat nilai pendidikan setaraf sebagaimana rakan mereka yang lain, TFTN juga berhasrat untuk menggerakkan masrakat sivil untuk cakna dengan isu pendidikan dan bergerak untuk menyelesaikannya secara kolektif. Apakah masalah yang paling biasa ditemui TFTN dikalangan pelajar-pelajar yang TFTN bantu? Masalah biasa yang diajukan kepada TFTN oleh guru dan sukarelawan ialah penguasaan kemahiran 3M yang masih di tahap membimbangkan. Peratusan ketidakbolehan membaca di kalangan anak-anak TFTN agak besar. Kami belum lagi membuat saringan kebolehan kemahiran mengira – yang akan kami adakan pada masa hadapan dan dijangka peratusan tersebut akan lebih besar dari peratusan ketidakbolehan membaca. Apakah biasanya latarbelakang keluarga pelajar-pelajar yang ketinggalan tersebut? Apakah jenis pekerjaan ibu-bapa mereka? Biasanya latar belakang keluargamereka yang ketinggalan ini pelbagai. Jika di kota, kebanyakan mereka menghuni flat 2 bilik dengan jumlah penghuni sekitar 6-8 orang setiap rumah. Ibu bapa mereka selalunya pekerja kelas bawah seperti pekerja kilang dan sektor swasta yang gaji tidak melebihi RM 1000 sebulan untuk setiap rumah. Di kawasan pedalaman pun begitu juga, kebanyakannya hadir dari keluarga berpendapatan rendah. Dilihat banyak kecenderungan kepada penswastaan sebagai penyelesaian kemunduran kualiti pendidikan negara sekarang. Apa pendapat saudara? Saya percaya jika penswastaan boleh menyelesaikan beberapa isu dan masalah pendidikan pun– tetapi dalam jangka masa yang pendek sahaja. Di Malaysia, pendidikan nasional perlukan sebuah ideologi dan falsafah baharu yang boleh memberi manfaat buat semua tanpa menyebabkan masalah lama berulang. Penswastaan bukanlah jawapan kepada ideologi dan falsafah pendidikan baharu sebagaimana yang diperlukan kini. Apakah falsafah tersebut? Apakah matlamat jangka masa panjang itu? Falsafah yang diperlukan negara kini adalah untuk membebaskan negara dari feudalisme ilmu. Zaman moden ini adalah zaman paling mencabar kerana kekuasaan dan pengaruh dipelopori oleh sebilangan kecil yang mendakwa mereka pemilik kebenaran. Ilmu harus dibebaskan kepada orang awam dan masyarakat untuk diamalkan, bukan terperuk di perpustakaan atau ‘online journal’. Pertama saya kira kajian mendalam terhadap Falsafah Pendidikan Negara pada masa kini yang digubal awal penubuhan negara Malaysia berpuluh tahun dahulu; perlu dibuat bacaan semula sesuai dengan perubahan zaman dan teknologi. Pendidikan negara pada masa kini bukan sahaja perlu merujuk kepada pembinaan insan holistik melibatkan unsur Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek mahupun Sosial; lebih besar dari itu konsep pendidikan haruslah bersifat anti-individualistik. Insan yang terhasil dari sistem ini perlu faham bahawa pendidikan bukan untuk dirinya sendiri, tetapi adalah sebuah usaha berterusan untuk menyumbang secara aktif kepada masyarakat. Dalam jangka masa panjang, insan-insan yang terhasil dari falsafah ini akan menghasilkan sebuah sistem yang akan berfungsi untuk memajukan peradaban dan mengekalkan budaya negara bangsa. Halangan paling besar buat sistem pendidikan di negara ini adalah untuk merobohkan tembok institusi dan amalan lama yang telah meresap menjadi budaya kerja warga pendidikan khususnya. Setiap hari kita lihat isu-isu agama dan perkauman digembar gemburkan media. Apakah peranan yang boleh dimainkan universiti untuk memperbaiki atau menawar alternatif untuk menangani masalah tersebut. Saya berpendapat segala masalah dan isu seperti agama dan perkauman – jawapannya dipunyai oleh universiti-universiti yang menjadi pusat ilmu dan latihan anak muda masa kini. Jawapan kepada masalah tersebut samada dari segi teori, falsafah mahupun praktik; semuanya berada di perpustakaan-perpustakaan besar universiti terbabit. Malangnya, anak-anak muda dan mahasiswa tidak diajar untuk mencari penawar yang berada di dalam perpustakaan mega mereka untuk dianjurkan kepada masyarakat. Tetapi mereka diajar untuk mengejar CGPA , pointer ataupun Jurnal. Penawar dan ilmu, ditinggalkan di rak-rak perpustakaan. Kita perlu gerakkan anak muda untuk melihat pengakhiran pengajian mereka adalah untuk masyarakat, bukan untuk dirinya sendiri. Di manakah bermulanya kemelesetan budaya ingin tahu kritis di universiti-universiti kita? Pertama apakah yang dimaksudkan dengan budaya kritis? Apakah negara bersetuju dengan mazhab kritis sebagaimana dianjurkan oleh the Frankfurt School, Gramsci ataupun Freire? Kedua, budaya ingin tahu ini tidak hadir secara tiba-tiba. Kita harus melihat semula sistem pendidikan di peringkat rendah dan menengah. Inilah masalah sebenar kita kerana di awal pembelajaran murid-murid disogok dengan set soalan dan jawapan. Pedagogi berorientasikan peperiksaan telah membunuh sifat ingin tahu seterusnya menghasilkan generasi yang hanya tahu menghafal dengan kemahiran berfikir yang sangat kurang. Situasi ini bertambah parah apabila silibus yanga ada juga tidak membantu proses perkembangan kreatif dan pemikiran kritis pelajar. Pada pendapat saudara, patutkah MARA dibuka kepada golongan bukan Melayu dan Bukan Muslim? Saya optimis jika MARA dibuka kepada golongan bukan Melayu dan bukan Muslim, anak muda Melayu dan Muslim di MARA akan lebih berdaya saing serta dapat keluar dari kepompong selesa yang telah mereka huni selama ini. Saya juga percaya isunya bukanlah bangsa atau hak istimewa – tetapi lebih besar daripada itu adalah sifat jiwa besar, daya saing serta sikap untuk memajukan diri yang perlu dipupuk sejak dari kecil oleh keluarga. Apakah intipati semangat daya saing yang harus dipupuk? Apakah tempat atau peranan semangat kerjasama dalam konteks ini? Sebagai masyarakat bumiputra, sifat daya saing sangat perlu untuk memastikan keseimbangan pencapaian di antara bangsa-bangsa yang pelbagai. Di hujung sikap daya saing ini, satu pencapaian yang setara akan dicapai jika persaingan yang sihat diamalkan. Walaubagaimanapun, semangat kerjasama memainkan peranan yang lebih penting. Dengan adanya semangat kerjasama, daya saing akan turut meningkat untuk memandu pertumbuhan yang lebih positif. Saudara dilihat sebagai agak kritikal terhadap gerakan Mahasiswa, tapi tahun 2012 banyak menunjukkan tahap keberanian mahasiswa yang agak jarang dilihat sebelum ini, contohnya kes Adam Adli, Khalid Ismath, gerakan pemansuhan PTPTN. Bolehkah tren-tren ini dilihat sebagai satu permulaan peningkatan kesedaran yang baru bagi gerakan mahasiswa yang sebelum ini sudah lama terbantut perkembangannya? Tren-tren ini boleh diambilkira sebagai satu ‘sign’, walaubagaimanapun jika perkiraan dibuat secara statistikal, jumlah ini terlalu kecil dan sedikit. Lebih membimbangkan, ‘sign’ yang kita lihat kini adalah terlalu partisan. Sangat sedikit gerakan mahasiswa yang non-partisan; lebih dari itu gerakan mahasiswa yang turun ke bawah untuk menyelesaikan masalah masyarakat atau menjawab isu seperti gaji minima ataupun isu pendidikan hampir tidak ada. Sebagai penjelasan, boleh tak saudara huraikan dengan lebih lanjut apakah sebenarnya masalah dengan mengambil pendirian yang partisan? Di Eropah misalnya, pendirian partisan ini tidak menjadi masalah kerana kestabilan situasi politiko-sosio-ekonomi yang telah dicapai di sana. Malangnya di Malaysia, negara masih tersangkut dengan era ‘politics of fear’ dan ‘politics of patronage’. Sebahagian besar anak muda menganggap politik tidak menarik dan memualkan kerana dua sebab ini. Oleh yang demikian, pendirian non-partisan akan memberi lebih keuntungan di mana lebih ramai partisipasi akan dapat dijana selain akan membuka mata lebih ramai anak muda untuk menyumbang tanpa mengira ideologi politik. Lebih menarik, pendiri non partisan juga tidak tertakluk kepada peraturan-peraturan pelik partisan dan lebih mudah mendekati masyarakat. Buku karangan saudara, Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang akan berada dipasaran tidak lama lagi, Apa pesanan utama buku ini? Pesan utama buku Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang adalah untuk menggembleng tenaga anak muda untuk keluar dari universiti dan membawa seluruh ilmu yang dipelajari untuk merawat masalah masyarakat. Anak muda harus segera bertindak serta mengambil alih peranan aktivisme untuk menentukan hala tuju negara. Mereka harus segera sedar Malaysia 30 tahun akan datang ditentukan oleh corak pemikiran mereka, bukan tokoh politik yang sudah berumur 89 tahun. Untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai Teach for the Needs, sila layari laman web dan Facebook page mereka.
]]>Mahasiswa Pasca ‘Listen, Listen, Listen’
Oleh Zul Fikri Zamir
“Be curious. Read widely. Try new things. I think a lot of what people call intelligence just boils down to curiosity.”
– Aaron Swartz (1986-2013).
Swartz, pengasas bersama Reddit.com, bertanggungjawab mencipta kod RSS ketika berumur 14 tahun. Dia kemudiannya memimpin Demand Progress, pertubuhan aktivis yang mencabar undang-undang anti cetak rompak SOPA/PIPA yang dirangka oleh US Congress. Pada 2008, beliau mencipta sebuah program yang membolehkan orang awam memuat turun sehingga 20 juta fail dari laman PACER dan sekitar 4.8 juta fail akademik dari laman Jstor secara percuma. Beberapa hari yang lalu, saya menulis sebuah surat terbuka kepada saudari Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin. Saya menulis kerana rasa sedih terhadap perkembangan dunia akademik serta hak mahasiswa yang telah dilanggar dengan begitu angkuh sekali. Dan perkara yang membuatkan saya paling kecewa ialah kerana ribuan mahasiswa Melayu-Islam bertepuk tangan ketika hak seorang mahasiswa India untuk bertanya dan memberikan pendapat dinafikan dengan cara yang paling naif sekali. We Are All Sharifah Zohra Untuk mereka yang membaca lapis makna diantara surat tersebut, mereka akan dapat memahami tujuan saya menulis surat tersebut. Saya menulis bukan dengan niat untuk menanti balasan dari saudari Sharifah atau mahukan surat tersebut dibaca oleh beliau. Saya menulis dengan harapan mahasiswa akan bangkit dan sedar dari penjara indoktrinasi ideologi yang selama ini memenjarakan mereka. Insiden ‘Listen, Listen, Listen’ ini sebenarnya bukan isu baharu. Semenjak Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan AUKU pada 1971, sistem ‘Listen, Listen, Listen’ ini dipasangkan ke dalam minda kita tanpa sedar. Hasilnya setelah 40 tahun indoktrinasi, ciri-ciri seperti ‘bongkak’, ‘tidak peduli’ dan ‘menurut arahan’ memang telah menjadi sebahagian dari budaya dan DNA kita. Foucault di dalam makalahnya ‘Discipline & Punish: The Birth of the Prison’ (1975) menyatakan tentang kesan utama ‘Panoticism’ialah untuk memastikan banduan kekal dalam keadaan sedar tentang fungsi automatik kuasa ke atas mereka. Di dalam penjara berbentuk ‘Panoptic’ (mengambil konsep Jeremy Bentham), banduan sedar diri mereka diperhatikan melalui menara tanpa mengetahui siapa di dalam menara tersebut. Foucault menegaskan penjara sebagai mekanisme disiplin paling penting untuk meng-ilustrasikan disiplin sebagai alat kepada kuasa. Melalui operator menara yang dikenali sebagai ‘anonymous power’, mekanisme pemantauan kekal tidak dikenali seterusnya memastikan projek ini efisien. Realitinya di Malaysia, saya melihat menara sebagai Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti, operator menara sebagai Menteri dari Kementerian Pengajian Tinggi serta model penjara ‘panopticon’ sebagai AUKU dan mahasiswa kekal berada di dalam sel-sel penjara. Tidak sukar untuk membuktikan perkara ini. Buka Facebook dan selongkar akaun rasmi persatuan mahasiswa universiti tempatan. Perbincangan mereka seringkali berkisar soal parking, asrama, harga makanan di cafetaria ataupun kursus kahwin. Untuk aktivis peringkat lebih tinggi, mereka berpolitik partisan pula. Saya tidak katakan perkara ini tidak bagus, tetapi mahasiswa harus sedar bahawa masyarakat lebih memerlukan mereka ketika mereka sibuk berpersatuan untuk mengadakan kursus kahwin. Ironi bukan? Tidak gemar orang lain menyuarakan pendapat, tidak gemar perbahasan berat, sukakan perkara remeh temeh seperti ‘kucing ada masalah, anjing boleh menggonggong’ serta tidak suka mendengar pendapat orang lain; kita semua sebenarnya sama seperti Kak Listen. We Are All Sharifah Zohra. ‘Slacktivist’ & Budaya pop Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah gambaran kecil kepada masalah besar isu kebebasan akademik dan mahasiswa. Masyarakat lebih gemar menuntut permohonan maaf dari saudari Sharifah daripada melihat kepada 2300 mahasiswa lain yang berada di dalam dewan dan bertepuk tangan. Kita bersikap reaktif lebih pantas daripada kita muhasabah sikap dan masalah kita sendiri. Dalam situasi ini, apa gunanya jika saudari Sharifah membuat permohonan maaf sekalipun? Apakah selepas itu aktivis Twitter, pejuang Facebook dan semua ‘slacktivist’ ini akan kembali melayari laman Zalora.com, berkongsi fakta kucing melalui butang ‘share’ atau sibuk ketawa dengan 9gag.com dan kembali tidak peduli kepada masalah asas ketidakpedulian di kalangan mahasiswa? Anak muda hanya mengambil kesempatan terhadap isu-isu sebegini untuk mensensasikan keadaan tanpa mengambil pengajaran darinya. Bermula dari insiden Adam Adli, demonstrasi mansuhkan PTPTN sehingga isu Kak Listen, hampir tiada satu gerakan terancang dijalankan oleh mahasiswa untuk mengubah norma dan cara berfikir di kalangan mahasiswa. Sampai bila mahasiswa akan terus-terusan mabuk dilambung ombak budaya pop sebegini? Projek Dialog vs Projek Pembodohan Penting sekali agar isu Kak Listen vs Bawani ini diperhalusi oleh setiap pemimpin mahasiswa di peringkat universiti serta gerakan-gerakan mahasiswa bersifat partisan atau non partisan dari segi ideologi dan ‘substance’ lebih dari bentuk material yang mereka lihat. Penghinaan fizikal yang dialami oleh Bawani sebenarnya menggambarkan betapa rancu dan rosaknya sistem hak asasi yang selama ini dipegang oleh pihak berkuasa dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka. Mahasiswa harus melihat isu ini dari sudut ‘the oppressed and the oppressor’ [yang tertindas dan yang menindas]. Paling penting indoktrinasi yang melibatkan penderaan mental ini akan menyebabkan mahasiswa tidak boleh berfikir sendiri sehingga sanggup menepuk tangan beramai-ramai ketika pendapat rakannya diperlekehkan. Paling serius, idea pendidikan percuma Bawani diperlekeh hanya menggunakan analogi haiwan 1 Malaysia, di dalam institusi pengajian tinggi dengan tepukan dan sorakan dari rakan-rakannya – ‘the so called intellectual’! Pemimpin mahasiswa sedia ada mempunyai kerja berat di bahu mereka iaitu untuk mengubah sudut pandang mahasiswa dan rakan mereka yang lain dahulu sebelum bergerak ke tahap seterusnya. Saya mendengar ura-ura gerakan mahasiswa yang akan bertanding di Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Tanpa memperlekehkan niat dan stamina yang dipunyai mereka, saya berpendapat pemimpin dan gerakan mahasiswa harus mengupayakan mahasiswa lokal untuk turun ke bawah dan melihat masalah masyarakat dahulu. Perbincangan dan dialog intelektual harus segera dilaksanakan membabitkan isu ekonomi, sosial serta pelbagai masalah merangkumi budaya dan golongan terpinggir. Selain berjuang untuk hak mahasiswa, mereka terlebih dahulu harus fokus isu dalam iklim ‘politic of fear’ dan ‘politic of patronage’ ini untuk memastikan mereka dilihat non-partisan serta berjuang untuk masyarakat. Projek-projek pembodohan harus segera diubah kepada projek dialog membabitkan isu perkauman, agama dan golongan marginal. Sebelum bertanding mereka harus segera memastikan golongan mahasiswa mengurangkan menonton Adam dan Hawa ataupun fanatik membaca Harian Metro. Zaman autoritarian Mahathirisme telah lama berakhir. Mahasiswa harus segera bangkit dengan melihat diri mereka sendiri , melihat kepada bahan bacaan dan membina ideologi yang mantap sebelum keluar berjuang. Dengan bantuan media digital seperti Facebook dan Twitter, tidak mustahil mahasiswa mampu bangkit sebagaimana yang telah dibuktikan oleh mahasiswa luar seperti Revolusi Jasmin. Mahasiswa juga tidak perlu menunggu Fahmi Reza untuk masuk ke dalam universiti dan mendengar ucapan beliau sebelum berubah. Mengapa tidak ada seorang Fahmi Reza-pun di kalangan mahasiswa sendiri? Mengapa tidak ada 10 atau 100 Adam Adli di kalangan mahasiswa sedia ada kini? Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, Bawani hanyalah sosok. Yang diperlukan kini ialah 1000 atau 10,000 Bawani yang akan lahir dari sistem baharu pasca insiden Kak Listen. Individu seperti Aaron Swartz, Mark Zuckerberg, Steve Jobs atau Bill Gates mengubah dunia tanpa memikirkan CGPA mereka. Swartz ‘drop-out’ dari Stanford University selepas setahun pengajian, kemudiannya menjadi felo di Harvard University. Malangnya mahasiswa di Malaysia asyik dan sibuk berfikir untuk ‘meluluskan’ diri dari universiti sehingga terlupa dunia berubah tanpa penglibatan mereka. Foucault kemudian menegaskan rekabentuk ‘Panoptic’ ini boleh digunakan terhadap apa jua bentuk populasi termasuk sekolah, pesakit di hospital ataupun pekerja; “If the inmates are convicts, there is no danger of a plot, an attempt at collective escape, the planning of new crimes for the future, bad reciprocal influences; if they are patients, there is no danger of contagion; if they are madmen there is no risk of their committing violence upon one another; if they are schoolchildren, there is no copying, no noise, no chatter, no waste of time; if they are workers, there are no disorders, no theft, no coalitions, none of those distractions that slow down the rate of work, make it less perfect or cause accidents” ]]>