Projek Dialog

Dialog kehidupan, dialog rohani

Melayani Bersama

Selain bergelar mahasiswa di universiti, saya terlibat dengan aktiviti sampingan iaitu melakukan pelayanan di Persatuan Pelajar Katolik. Persatuan ini bukan di bawah universiti, tapi satu perkumpulan untuk pengisian rohani pelajar Sabah Sarawak yang berada jauh dari kampung halaman.

Kebanyakkan pelajar Sabah Sarawak yang melanjutkan pelajaran rata-rata kumpulan yang pertama kali berpijak di Semenanjung Malaysia. Dan mereka menghadapi pelbagai kejutan budaya dari segi bahasa, makanan, cara pembawaan diri dan juga agama.

Jadi untuk membuatkan mereka rasa seperti di kampung halaman, kami akan mengadakan pertemuan setiap minggu di rumah pelajar atau mengatur mereka ke gereja, membuat aktiviti menarik agar mereka tidak kesunyian dan terperap di bilik saja.

Sebagai jawatankuasa utama yang mengatur pelajar-pelajar ini setiap semester, banyak perkara baru yang saya belajar dari ahli-ahli dan para jawatankuasa. Walaupun kami berasal dari Sabah dan Sarawak, tetapi kami juga berbeza. Kami berasal dari pelbagai daerah, yang mana setiap daerah mempunyai etnik, bahasa ibunda, latar belakang, dan dibesarkan dengan cara berbeza.

Malah bunyi dan cara penggunaan bahasa Malaysia juga kadang-kadang berbeza mengikut daerah.

Seni Tinggal Bersama

Kami mempunyai 12 orang dalam rumah pelajar yang saya tinggal itu, dan kedua belas orang mempunyai pelbagai karenah. Ada yang berasal dari Miri, Kuching, Penampang, Tambunan, Ranau, Bundu Tuhan, Tuaran, dan banyak lagi daerah di Sabah dan Sarawak, dan kesemua mempunyai jalan cerita hidup yang menarik.

Pada mulanya, saya fikir walaupun kami dari Borneo maka kami boleh hidup bersama secara aman damai, tapi tidak semudah yang disangkakan.

Setiap orang ada gaya masing-masing dan untuk memahami mereka, dialog berupa perbualan semata-mata tidak akan membantu. Banyak kali kami melalui perdebatan, tidak sependapat, perkongasian dari hati ke hati, faham latar belakang dan rekonsiliasi supaya kami boleh tinggal dan melayani bersama.

Contohnya, setiap hari jumaat kami akan mengadakan aktiviti mingguan di mana pelajar akan datang ke rumah. Jadi, sebelum pelajar datang ke rumah, rumah itu haruslah bersih, tetapi orang rumah masih lagi bermain badminton di luar dan membiarkan orang yang sama membersihkan rumah. Saya pada masa itu, sudah sangat marah dan menjerit “hoi, takkan kami saja yang membersihkan rumah’? Dan seorang kawan cepat-cepat masuk dan mop rumah.

Contoh kedua, ada seorang lagi orang rumah, suara dia besar dan cara dia bercakap sentiasa macam marah walaupun sebenarnya dia tidak marah. Dan ada seorang kawan pula, dia pendiam dan lemah lembut, sekejap terguris hati dan menangis. Jadi apabila yang kawan ganas itu bercakap dengan yang lembut itu, si kawan yang lembut hati ini pandai sakit hati tidak tentu pasal.

Dan ada satu lagi kawan yang sentiasa positif, dia sentiasa memberi kata-kata kerohanian yang positif untuk memberi semangat kepada orang-orang rumah. Dia akan berkata begini, “kita tidak boleh sentiasa bergaduh sesama kita, kerana kalau kita sentiasa bergaduh bagaimana kita hendak melayani pelajar di luar sana”.

Dan jika rumah itu menjadi panas kerana ada orang rumah yang tidak ingin bertegur, maka akan ada seorang yang akan menyejukkan keadaan dan memfasilitasikan keadaan. Disini setiap orang harus menyatakan kepada semua, siapa yang dia tidak suka dan kenapa, lalu meminta maaf kepadanya. Dan orang yang saya pernah jerit semasa main badminton berkata, selama ini dia merasa sakit hati terhadap saya kerana saya sangat ganas.

Mendengar nama saya disebut, saya terkejut kerana selama ini saya langsung tidak pernah terfikir bahawa itu akan menjadi isu. Saya juga langsung tidak tahu bahawa tindakan saya itu akan memberi kesan. Selepas itu kami saling bermaafan.

Dan yang suara besar itu pula, rupa-rupanya di kampung halaman mereka sekeluarga memang bercakap seperti itu. Kerana dia mempunyai keluarga yang besar dan banyak adik, jadi kadang-kadang sifat itu pun terbawa-bawa. Dan yang lemah lembut itu memang mempunyai keluarga yang lemah lembut, dan yang sentiasa positif itu pula memang selalu melayani di gereja di kampungnya dan aktif dalam pelayanan belia serta mempunyai kakak yang sekarang seorang biarawati / suster.

Dalam renungan saya, tanpa pertemuan dengan sesama secara terbuka dan jujur, kita tidak akan tahu mengapa dia begitu dan apa yang membuatkan dia begitu. Dan kerana itu, salah faham senang berlaku jika tidak ada dialog

Dialog dalam Kehidupan

Dan pembelajaran yang paling penting saya pelajari dari pengalaman itu ialah dialog.

Kita perlukan dialog dalam persahabatan, dalam komuniti dan apa lagi dengan mereka yang mempunyai budaya dan agama yang berbeza. Kita hidup di Malaysia memang sangat perlukan dialog. Kerana tak kenal maka tak cinta, dan bagamana kita ingin memahami antara satu sama lain kalau tidak ada dialog. Mengambil contoh diatas, jika kami tidak berdialog dan tidak bersikap terbuka dan jujur antara sesama, kami tidak akan dapat bekerjasama untuk melayani dalam persatuan dan susah untuk hidup bersama.

Begitu juga dengan situasi di negara kita yang berbilang kaum dan agama. Dialog antara agama tidak semestinya kita harus duduk dalam keadaan formal dan berbual mengenai dogma dan agama semata-mata.

Tetapi langkah pertama ialah kita harus mempunyai kawan dari berlainan agama dan kenali mereka. Mengenali bukan dari mana mana media atau dari apa yang kita dengar, tapi mengenalinya dengan berbual dengan kawan kita sendiri, supaya dia boleh kongsi apakah maksud menjadi seorang Hindu, Islam, Kristian, Buddha atau agama tradisi. Ini supaya dia boleh berkongsi apa yang baik dan apa pengalaman mereka, kerana apabila kita mendengar dan berkongsi kita akan mengenali sesama dan akan menjumpai bahawa semua kita sedang melakukan perkara yang sama melalui cara yang berbeza, dengan simbol berbeza dan sebagainya. Tidak ada apa yang sensitif.

Pernah sekali saya dan sekumpulan pelajar dan seorang paderi melawat Kuil Hindu di Johor. Kami dijemput untuk masuk, ternyata banyak simbol yang kami tidak faham, dan kami dibantu oleh imam untuk memberitahu apakah maksud disebalik simbol, tulisan dan patung dalam kuil itu.

Bukan itu sahaja, kami juga berpeluang untuk mengikuti sesi sembahyang mereka, melihat mereka menyanyi dan melihat orang-orang yang pergi sembahyang. Dari situ, saya mengetahui tentang mereka dan ini mengajar untuk menghargai dan melihat kebaikan mereka dan menjadi lebih ramah.

Pertemuan antara satu sama lain

Semasa saya melayani dalam persatuan saya, pernah sekali saya mencadangkan idea yang sama iaitu untuk mengadakan lawatan ke surau berdekatan. Tapi idea saya itu tidak mendapat sambutan kerana sensitif dan takut nanti ada salah faham berlaku.

Ada yang mengatakan bahawa sedangkan iman sendiri tidak tahu apa lagi ingin belajar iman orang lain. Akan tetapi melalui pengalaman saya melawat Kuil Hindu itu tadi, melihat mereka bersembahyang dan belajar mengenai simbol dan kata-kata dalam kuil membuatkan saya sendiri ingin belajar lebih mengenai iman saya sendiri.

Dan ini membuatkan saya untuk mengikuti kem dakwah Islam di universiti saya. Dalam aktiviti ini banyak aktiviti dijalankan seperti penyembuhan, pembangunan pasukan dan pembentukan rohani.

Apabila peserta tahu bahawa saya ini Kristian, maka banyak soalan yang mereka tanya kepada saya. Ternyata kebanyakkan mereka tidak pernah ada kawan dari Sabah dan seorang Kristian, jadi saya menjadi tumpuan untuk banyak soalan yang tulen yang bersifat bona fide.

Antara pengalaman yang paling menyentuh ialah apabila kami duduk bersama dan makan dalam satu dulang yang besar, yang dipanggil makan setalam. Saya diberitahu bahawa budaya ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama saudara dan kenalan.

Dalam kumpulan saya, kami bertiga makan setalam dan sambil itu suap sesama sendiri. Ini mengingatkan saya ekspresi “memecahkan roti” (Kisah Para Rasul 27:35).

Yesus: Pelahap, Peminum, Sahabat Pemungut Cukai dan Orang Berdosa (Lukas 7:34 = Matius 11:19)

Bukan sahaja kita perlukan dialog antara agama, tetapi kita juga harus mempunyai dialog antara kelas.

Mengambil cerita zaman kehidupan Yesus yang lalu, dalam masyarakat yang terdapat halangan antara kelas, kaum atau agama, pemisahan dipertahankan dengan membuat pantang larang dalam pergaulan sosial. A nda tidak berkongsi makanan atau sebuah parti makan malam, anda tidak boleh meraikan, atau mengambil bahagian dalam hiburan, dengan orang-orang yang tergolong dalam kumpulan sosial yang berlainan. Di Timur tengah berkongsi makanan dengan seseorang adalah satu bentuk hubungan dan persahabatan yang sangat intim. Mereka tidak akan makan dan minum dengan orang yang mempunyai kelas lebih rendah daripada mereka.

Apabila Yesus bergaul dengan orang-orang berdosa, ia merupakan satu skandal dalam masyarakat pada masa itu dan suatu tindakan yang tidak boleh diterima juga pada masa moden. Kerana ini bermaksud dia menerima mereka dan ingin menjadi kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa (Matius 11:19).

Ketika Yesus makan di rumah orang itu, banyak pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama-sama dengan Dia dan murid-muridNya, sebab banyak orang yang mengikuti Dia (Markus 2:15). ‘Lelaki ini’, mereka berkata, ‘berhibur’ dengan orang berdosa dan berpesta bersama orang berdosa (Lukas 15:2). Dan Dia juga dianggap seorang pelahap dan peminum, sahabat pemungut cukai dan orang berdosa (Lukas 7:34; Matius 11:19) .

Pesta atau makan malam tidak perlu dianggap sangat mahal, kerana persahabatan dan perbualan lebih penting daripada makanan. Majlis makan malam itu menjadi perkara biasa dalam kehidupan Yesus sehingga dia dituduh sebagai pemabuk dan pelahap.

Yesus mesti juga pernah menjemput Farisi dan orang kehormat yang lain untuk makan bersama dia. Kalau dia menjemput mereka (Lk 7:36; 11:37, 14:1) Yesus semestinya membalas dengan menjemput para Farisi ke rumahnya. Tapi bagaimankah para Farisi dan pengemis-pengemis boleh duduk dalam satu meja? Bukankah Farisi tersebut akan takut bahawa statusnya akan hilang dengan menerima jemputan ke jamuan makan itu?

Perumpamaan tentang orang-orang yang berdalih

Mungkinkah perumpamaan tentang orang-orang yang berdalih itu (Lk 14: 15-24, Parable of the invited guests) adalah berdasarkan kejadian benar dalam kehidupan Yesus.

Adakah tetamu kehormat mula membuat alasan apabila dijemput oleh yesus dalam jamuan makan? Sehingga Yesus mengantar pengikut-pengikutNya untuk “pergi dengan segera ke segala jalan dan lorong kota” dan bawa “orang-orang cacat dan orang-orang buta dan orang-orang lumpuh” sehingga “ke semua jalan dan lintasan dan paksa orang-orang, yang ada di situ, masuk untuk memenuhi rumahNya”?

Dan pengemis-pengemis juga berasa ragu-ragu pada mulanya dan orang-orang berdosa juga berfikir dua kali sebelum menjemput Yesus ke rumah mereka. Untuk mengatasi perbezaam sosial yeng tertanam dalam masyarakat itu, Yesus kadang-kadang terpaksa memaksa pengemis-pengemis untuk datang, dan menjemput dirinya sendiri ke rumah orang-orang berdosa. Lukas telah mengilustrasikan cerita itu dalam cerita Zacchaeus (19: 1- 10).

Makan Makan

Ini mengingatkan saya kembali pada tahun 2008 dan sebelumnya, ketika itu Presiden kami terkenal dengan selalu menganjurkan makan-makan di rumah pelajar kami. Dia akan menjemput, alumni, senior, ahli-ahli persatuan dan jawatankuasa untuk hanya dengan tujuan makan.

Dan pada tahun-tahun itu jugalah, saya melihat bahawa jawatankuasa begitu erat dan rapat antara sesama, ahli-ahli juga kerap datang ke rumah itu, dan alumni yang sudah bekerja selalu memberi sumbangan kewangan kepada persatuan pelajar kami dan pelayanan juga menjadi hidup.

Jamuan makan makan sebegini memang memberi kesan besar. Pada masa Yesus, dengan menerima mereka sebagai kawan dan sama rata, Yesus telah menghilangkan rasa malu, hina dan perasaan bersalah mereka.

Perjumpaan fizikal di meja makan itu merasakan bahawa mereka diterima, dengan itu Dia telah menaikkan martabat mereka. Dan saya rasa itulah yang sedang dibuat oleh Bapa Suci pada 1hb Julai lalu, di mana beliau menjemput sekumpulan 200 individu yang tiada rumah untuk makan malam di Vatikan.1 Seperti yang pernah dikatakan oleh Ronald Reagen, “all great change begins at the dinner table”. ]]>

Memorandum mengenai Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA)

Harga ubat-ubatan Organisasi-organisasi kesihatan bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga dari sekitar Asia Pasifik dan kawasan-kawasan lain telah memberi amaran tentang beberapa tindakan berkenaan harta intelektual (IP) yang dicadangkan di dalam TPPA. Ia bertujuan untuk memastikan keuntungan yang besar bagi syarikat-syarikat multinasional, walhal menyebabkan harga menjadi lebih mahal untuk rakyat biasa mendapatkan kepubat-ubatan dan sumber-sumber pendidikan yang berharga berpatutan. Di dalam sebuah negara dimana ubat-ubatan generik yang disyorkan oleh pakar-pakar farmasi meliputi 84.7% daripada permintaan preskripsi, tindakan tersebut akan menghalang – jika tidak melambatkan – kemasukan ubat-ubatan generik ke dalam pasaran. Hal ini bermakna perbezaan diantara kehidupan yang sihat dan sempurna serta kehidupan yang seksa dan sakit bagi sesetengah orang, adalah sesuatu perbezaan diantara hidup dan mati bagi yang lain. Hak sumber ilmu Tindakan-tindakan yang dicadangkan dalam bab harta intelek TPPA juga akan menimbulkan beberapa risiko bahaya: dari menyekatkan “salinan penampan” (“buffer copies”) kecil yang dihasilkan oleh komputer-komputer semasa proses memindahkan data maklumat, malah juga menghalang pengunaan sah bagi sumber digital yang ‘dilindungi’ dan menghadkan akses awam kepada pendidikan, penyelidikan dan pengetahuan budaya yang di-digitalkan, hinggakan ke jenayah pelanggaran hak cipta kecil-kecilan. Orang awam masih belum mendapat jaminan kepastian bahawa TPPA akan melibatkan had-had dan pengecualian bagi harta intelek yang diperlukan bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan pemilik hak cipta. Dalam erti kata lain, cadangan-cadangan yang dikemukakan pada masa ini tidak mencerminkan keseimbangan yang sering dilaung oleh penyokong hak-hak harta intelek – antara melindungi sumber-sumber IP dan sebagai ganjaran kreativiti dan inovasi bagi pemilik-pemilik harta intelek, secara umumnya, dan memastikan masyarakat dapat mengakses pengetahuan dan maklumat tersebut berdasarkan faedah dan kegunaannya. ISDS: ‘Altenatif kepada perundangan dan sistem penghakiman nasional’  Peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negeri atau ‘Investor-State Dispute Settlement (ISDS) provisions’ yang dicadangkan untuk TPPA membolehkan pelabur-pelabur asing untuk mencabar tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia – walaupun tindakan itu adalah satu keputusan undang-undang, peraturan atau mahkamah yang dilakukan demi kepentingan awam seperti kesihatan atau isu-isu alam sekitar – denagan alasan bahawa tindakan sedemikian telah atau akan menjejaskan pelaburan atau keuntungan mereka. Cabaran undang-undang tersebut adalah dibuat di tribunal timbangtara antarabangsa, sekali gus membolehkan kepentingan asing memintas sistem perundangan dan kehakiman domestik bagi negara-negara yang telah mereka melabur masuk. Pada hakikatnya, peruntukan ISDS seperti yang terkandung dalam cadangan untuk bab pelaburan TPPA berkesan memberi kuasa kepada syarikat-syarikat asing untuk mengabaikan dan mengatasi sistem kehakiman, undang-undang dan parlimen tempatan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan pembahagian kuasa bagi persekutuan-negeri yang unik dan bersejarah dimana ia telah berkembang di Malaysia sejak beberapa dekad lalu. Keputusan yang dibuat di tribunal timbangtara antarabangsa berfungsi di bawah sistem ISDS telah, pada hakikatnya, menyaksikan para pelabur asing diberikan hak yang lebih besar daripada yang diberikan kepada syarikat-syarikat dan pelabur-pelabur tempatan di bawah perlembagaan negara, undang-undang dan sistem mahkamah negara-negara TPPA. Hak dan tenaga buruh Peruntukan yang dicadangkan dalam TPPA boleh melarang kerajaan-kerajaan daripada membuat undang-undang baru bagi memberi perlindungan yang lebih besar kepada pekerja-pekerja di Malaysia berbanding dengan peruntukan sedia ada. Ia berlaku melalui larangan kepada kerajaan Malaysia daripada mewajibkan latihan dan pengambilan pekerjaan bagi rakyat Malaysia di dalam syarikat korporat asing. TPPA boleh menghalang kerajaan Malaysia dari mengukuhkan undang-undang buruh, seperti menginstitusikan atau meningkatkan gaji minimum atau memperkenalkan undang-undang baru bagi pekerja-pekerja seperti peraturan kesihatan dan keselamatan baru atau bersalin atau faedah dan kelayakan yang lain. Alam sekitar  Tuntutan-tuntutan sedang dibuat ke atas negara-negara TPPA untuk bersetuju dengan keseragaman struktur dan set prosedur bagi pembuatan- keputusan dan dasar secara domestik yang memihak kepada dasar pasaran bebas, “kurang membebankan” dan kawalan kendiri bagi industri. TPPA juga menggalakkan lebih banyak aktiviti pembalakkan, pembersihan hutan dan perlombongan dengan menghapuskan cukai eksport dan melarang syarat-syarat yang mewajibkan syarikat korporat asing untuk ‘menambah nilai’ kepada sumber-sumber mentah dengan menghasilkan produk-produk daripada sumber-sumber tersebut di dalam Malaysia. Bukan sahaja ini akan mengakibatkan lebih banyak kemusnahan alam sekitar, malah insentif dan sokongan bagi industri tempatan dan domestik juga akan berkurangan. Kesimpulan Di samping isu-isu yang dinyatakan atas, terdapat banyak hal-hal lain yang dicadangkan dalam TPPA yang menjelaskan siapa pihak-pihak yang bakal mengaut keuntungan jika perjanjian tersebut ditandatangani oleh 12 negara-negara TPPA, dimana mereka dijadualkan bertemu di pusingan ke-18 rundingan perdagangan di Sabah, Malaysia. Bab-bab berkenaan peraturan-peraturan mengenai kesepaduan dan ketelusan, misalnya, akan mengekangkan kuasa kerajaan daripada membuat keputusan dan peraturan dengan mengenakan kekangan yang bersepadu terhadap hak membuat keputusan berkenaan dasar dan undang-undang. Pada masa yang sama, ia memaksa kerajaan menunduk kepada tuntutan pihak pelabur korporat asing dan negera. Secara rumusan, tanggungjawab yang diletakkan di bawah TPPA ini adalah bermatlamat untuk memastikan syarikat korporat asing boleh mengaut keuntungan yang dijanjikan dengan pembukaan rasmi akses  pasaran, dan – sementara mengenakan peraturan-peraturan ke atas kerajaan-kerajaan seperti Malaysia – ia bebas daripada apa-apa tanggungjawab sosial, ekonomi mahupun hak-hak asasi manusia kepada negara-negara yang  mereka beroperasi. Tetapi apa yang benar-benar keterlaluan adalah hakikat bahawa walaupun betapa dalam dan besarnya potensi impak TPPA terhadap 29 juta rakyat Malaysia dan masa depan mereka, rundingan TPPA dan teks yang dirundingkan masih dijalankan secara tertutup. Bahkan mereka takuti orang ramai akan berkumpul dan membantah rundingan seperti ini untuk menunjukkan tentangan mereka terhadap TPPA, maka kerajaan mengadakan pusingan rundingan ini jauh nun di Kota Kinabalu, Sabah! Perkara ini – dan pelbagai isu yang disebut dalam memorandum tersebut – menjadikan ia jelas bahawa kerajaan-kerajaan dibawah rundingan TPPA seperti Malaysia tidak pernah mahu – dan tidak akan mahu – memaklumkan rakyat Malaysia berkenaan TPPA dan tidak mengendah lansung akan perasaan rakyat Malaysia terhadap isu TPPA. Kepada kerajaan Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat: kami menyeru kepada anda untuk berhenti menyalahgunakan kebebasan anda dengan merampas kebebasan dan hak-hak orang lain di bumi ini. Kepada Kerajaan Malaysia, kami menuntut supaya ia menggantungkan penglibatannya di dalam perjanjian TPPA, sehingga:

  • Menghentikan semua perundingan sehingga cadangan dan kedudukan Malaysia terhadap kesemua bab-bab di dalam cadangan teks perundingan TPPA dibentangkan kepada rakyat dan parlimen.
  • Kesemua teks, kedudukan dan maklumat yang dirundingi mestilah dibentangkan dan dibahaskan di dalam parlimen. Ia bukan satu perjanjian perdagangan yang hanya diputuskan oleh kabinet. Hal ini akan memberi kesan terhadap semua lapisan masyarakat Malaysia.
  • Menjalankan Analisis Kos dan Faedah TPPA yang lengkap kepada rakyat Malaysia, dan menyiarkan hasil penemuan tersebut kepada rakyat jelata.
  • Menjelaskan bagaimana hak-hak rakyat Malaysia untuk kesihatan, makanan dan kehidupan akan dilindungi dibawah TPPA.
Ditandatangani oleh: Malaysian Treatment Access and Advocacy Group Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) PT Foundation JKOASM- Jaringan Orang Asli Semananjung Malaysia Jaringan Rakyat Tertindas Gindol Initiative for Civil Society Borneo Malaysia Trade Union Congress (MTUC) UK-based Borneo Rights International ( BRI) National Union of Bank Employees Saya Anak Bangsa Malaysia Parti Sosialis Malaysia Malaysia Youth & Student Democratic Movement(DEMA) Pemuda Sosialis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) Mahasiswa KEADILAN Malaysia Independant Student Front(INSTUF) Parti Rakyat Malaysia Community Development Centre Majlis Tindakan Ekonomi Melayu MTEM ALIRAN Malaysian Aids Council (MAC) Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) MADPET (Malaysians Against Death Penalty and Torture) Persatuan Sahabat Wanita Selangor Center for Orang Asli Concerns Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan komuniti (KOMUNITI) Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API) Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS Malaysia) Persatuan Ulamak Malaysia cawangan P.Pinang (PUMPP) Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung (JARING) Pertubuhan Muafakat Warga Desa Negeri Kedah (Rural Citizens Badan Bertindak Petani Bantah TPPA Pertubuhan Kebajikan Sosial dan Kesihatin Prihatin Malaysia (PRIHATIN) National Indian Rights Action Team (NIAT) Islamic Renaisance Front Projek Dialog Monitoring Sustainability of Globalization (MSN) myPLUS 2 Persatuan Sahabat HIV Malaysia Malaysian Positive Network Pertubuhan Kebajikan & Kesihatan Awam Community Action Network Dignity International ]]>

Kisah puasa

Sami Buddha tidak makan selepas tengah hari. Sami Buddha tidak makan selepas tengah hari.[/caption] Maka, saya memilih untuk memperkatakan mengenai amalan berpuasa dalam konteks di luar tuntutan agama Islam. Perkara pertama yang muncul dalam fikiran adalah kejadian sewaktu kontroversi novel Interlok: Edisi Murid (2010) masih hangat diperkatakan. Pada Mei 2011, pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Nasional (National Interlok Action Team; NIAT) mengadakan sidang media bagi kali yang entah keberapa puluh dan mengumumkan akan mengadakan mogok lapar (berpuasa) sebagai langkah mendesak kerajaan “menghapuskan dan memansuhkan” novel Interlok: Edisi Murid (2010) dan Interlok (1970) edisi asal. “Kita [sic] sanggup lakukan mogok lapar. Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar. Tidak makan berhari-hari. Kita akan berjuang habis-habisan sehingga kerajaan menghapuskan novel Interlok ini,” kata pengerusi NIAT (The Malaysian Insider, 28 Mei 2011) Sebaik mendapat tahu mengenai cadangan itu, saya hanya mampu menampar dahi dan menggeleng-geleng. Pengerusi NIAT adalah seorang individu beragama Islam. Apa yang saya tahu sejak zaman kanak-kanak adalah bahawa seseorang yang beragama Islam melafazkan niat “sahaja aku berpuasa kerana Allah” dan bukan bagi apa-apa tujuan lain. Maka, niat NIAT agak merunsingkan saya kerana boleh mengundang pelbagai kontroversi yang tidak diingini. Mujurlah NIAT kemudian membatalkan niat mengadakan mogok lapar (berpuasa) selepas berita mengenai cadangan itu sudah tersiar di pelbagai media; khususnya akhbar Tamil. [caption id="attachment_2210" align="alignleft" width="300"]Waythamoorthy pernah berpuasa sebelum menjadi “anak emas” Najib. Waythamoorthy pernah berpuasa sebelum menjadi “anak emas” Najib.[/caption] Pada April 2013, pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), P. Waythamoorthy mengadakan mogok lapar (berpuasa) sehingga akhirnya berjaya menjadi “anak emas” pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak. Kisah menarik itu sudah sedia diketahui umum. Seorang lagi individu bernama Shanjay juga dilaporkan mengadakan mogok lapar di Padang Cheti, Klang pada sekitar masa yang sama. Khabarnya niat “berpuasa hingga mati” itu juga dibatalkan selepas dipujuk oleh beberapa politikus dari Pakatan Rakyat (PR). Mogok lapar atau tindakan nekad “berpuasa hingga mati” seperti dilakukan oleh “Wira-wira Hindraf” ini bukanlah sesuatu yang baru dalam budaya India. Pasti semua orang – termasuk puak etnosentrik yang menjadi katak di bawah tempurung – tahu mengenai Mohandas K. Gandhi (Mahatma Gandhi) yang banyak kali mengadakan mogok lapar sebagai sebahagian daripada siri protes politik dan protes sosial menentang British. Mogok lapar seperti itu yang dianggap berciri ahimsa (tanpa kekerasan) turut bertujuan membawa kesedaran kepada pihak tertentu mengenai isu yang menjadi punca “puasa hingga mati” itu diadakan. Mogok lapar yang dibuat oleh Waythamoorthy dan Shanjay – serta hampir sahaja dilakukan oleh pengerusi NIAT – mengingatkan saya kepada konsep santhara dalam amalan agama Jain. Dalam amalan itu, seseorang yang memilih untuk “berpuasa hingga mati” tidak akan akur pada pujuk-rayu atau janji-janji daripada pemimpin BN atau PR (misalnya). Mengikut ajaran Jain, orang yang meninggal dunia berikutan amalan santhara tidak boleh dikira sebagai membunuh diri; sebaliknya berjaya menghapuskan karma negatif pada kehidupan ini. Dalam agama Islam pula, boleh dikategorikan sebagai salah satu dosa besar. Seorang aktivis keturunan Mexico di Amerika Syarikat, Cesar Chavez dilaporkan mengadakan mogok lapar berciri ahimsa selama 25 hari pada tahun 1968. Ketua kesatuan pekerja dan petani itu juga menggalakkan para pengikutnya berpuasa sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan. Para penganut agama Kristian – serta penganut agama Islam – tentu sedia maklum akan insiden Jesus (Nabi Isa) berpuasa selama 40 hari, 40 malam semasa berada di padang pasir; sementara Syaitan pula dilaporkan cuba mempengaruhi Jesus supaya menggunakan mukjizat untuk menukar batu-batan menjadi roti dan memakannya. Ada juga agama melarang berpuasa Penganut agama Kristian turut mengamalkan puasa mengikut mazhab masing-masing. Malah, ada juga mazhab tertentu yang tidak menggalakkan penganutnya berpuasa atas alasan tersendiri. Penelitian terhadap Roman Katolik, Anglikan, Protestan dan sebagainya boleh membantu pemahaman orang ramai terhadap hal ini. [caption id="attachment_2211" align="alignleft" width="300"]Kitab Guru Granth Sahib menegah amalan berpuasa. Kitab Guru Granth Sahib menegah amalan berpuasa.[/caption] Agama Sikh dikatakan ada banyak persamaan dengan agama Islam. Malah, istilah “Allah” digunakan dalam kitab suci Guru Granth Sahib untuk merujuk kepada Tuhan. Mungkin puak tertentu yang (sengaja) menimbulkan kekecohan berhubung penggunaan istilah “Allah” oleh orang Bukan Islam (Tidak Islam) terlepas pandang akan hakikat ini. Berbalik kepada soal berpuasa, agak menarik untuk diperhatikan bahawa agama Sikh tidak menggalakkan penganutnya berpuasa; kecuali bagi tujuan perubatan dan kesihatan. (Harap maklum: Dibenarkan berpuasa bagi tujuan perubatan dan kesihatan; bukannya dibenarkan tidak berpuasa atas alasan perubatan dan kesihatan seperti yang kadang-kadang kita temui dalam kalangan rakan-rakan beragama Islam.) Kesemua lima Guru dalam agama Sikh tidak menggalakkan pengikut agama itu berpuasa kerana amalan berkenaan dikatakan tidak membawa apa-apa manfaat dari segi kerohanian. Malah, kitab Guru Granth Sahib menegaskan bahawa orang Sikh yang berpuasa “mendapat manfaat kurang daripada satu cangkerang” (are rewarded with less than a shell) kerana seseorang yang tidak makan (berpuasa) dianggap menyeksa diri. Suatu perkara yang mungkin tidak diketahui umum adalah bahawa Guru Granth Sahib juga secara khusus menyatakan bahawa penganut agama Sikh tidak perlu berpuasa, khususnya pada bulan Ramadan. Bagi sesiapa yang membaca kisah Siddharta Gautama Buddha pasti tahu bahawa putera itu pada asalnya beragama Hindu. Maka, dalam usahanya “menemui Tuhan”, Siddharta berpuasa dan hanya makan sedikit makanan selama bertahun-tahun dia melakukan pertapaan. Malangnya, putera itu gagal mencapai moksha dan nirvana yang diinginkannya. Hanya selepas itu Siddharta mencapai budhi dan mengasaskan ajaran agama Buddha. Sejak itu, Siddharta Gautama Buddha mengajar para pengikutnya supaya makan secara sederhana (moderate) dan bukannya berpuasa (tidak makan langsung). Kalau kita berpeluang bertemu sami-sami Buddha, ramai yang akan menceritakan bahawa mereka lazimnya tidak makan selepas waktu tengah hari. Amalan itu tidak dianggap sebagai “berpuasa” (tidak makan) tetapi sebagai disiplin diri berdasarkan ajaran “makan secara sederhana” yang ditekankan oleh Siddharta Gautama Buddha. [caption id="attachment_2212" align="alignleft" width="300"]Penganut Baha’i berpuasa pada bulan ke-19. Penganut Baha’i berpuasa pada bulan ke-19.[/caption] Di Malaysia, ramai juga penganut Baha’i walaupun mereka mungkin disangka orang Hindu. Pada bulan Ala (sekitar Mac) mengikut kalendar Baha’i, para pengikut berpuasa dari waktu matahari terbit hingga matahari terbenam berdasarkan panduan lengkap yang terkandung dalam Kitab-i-Aqdas. Sebagaimana konsep “puasa” dalam Islam, penganut Baha’i juga tidak makan, minum atau merokok sepanjang tempoh berpuasa. Individu berumur bawah 15 tahun dan lebih 70 tahun dikecualikan daripada syarat perlu berpuasa. Wanita mengandung, ibu yang menyusukan bayi, pesakit kronik dan wanita yang datang haid juga diberikan pengecualian. Bagi golongan buruh yang terpaksa bekerja menggunakan tenaga yang banyak, mereka dibenarkan tidak berpuasa tetapi diminta tidak makan di hadapan orang ramai. Malah, jumlah makanan yang dijamah perlukan kurang berbanding hari biasa. Semoga catatan serba ringkas ini membuka mata dan minda kita untuk menyedari hakikat bahawa “berpuasa” bukan amalan atau tuntutan dalam agama Islam sahaja. Sebaliknya masyarakat pelbagai kaum dan agama turut mengamalkannya mengikut cara tersendiri – tanpa “heboh” dan “bikin kecoh”.

]]>

Perpaduan menerusi baca cerpen

Interaksi penting bagi memupuk perpaduan. Interaksi penting bagi memupuk perpaduan.[/caption] Dari semasa ke semasa, Kavyan mendapat bantuan dana daripada DBP. Sumbangan bahan bacaan pula sering dihulurkan oleh PNM, Kumpulan Media Karangkraf dan Gemilang Publishing. Sokongan moral dan sumbangan tenaga diperoleh daripada pelbagai pihak yang sudah maklum akan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan sejak 1999. Ramai yang membayangkan Kavyan sebagai sebuah organisasi besar dengan sumber kewangan yang lumayan. Andaian ini berdasarkan keaktifan kumpulan ini merancang, mengendalikan dan menjayakan pelbagai acara yang melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum di hampir seluruh negara. Sebenarnya, Kavyan bergerak tanpa dana yang besar. Kekuatan utama entiti ini adalah penglibatan sekumpulan penulis dan peminat sastera pelbagai kaum yang menawarkan diri secara sukarela. Pasti sahaja tiada sebarang pulangan – atau habuan – material dan kewangan. Dalam perkembangan terbaru, berlangsung “Lawatan Penulisan Kavyan” ke Ipoh, Taiping dan Permatang Pauh. Penyelaras projek, Kughan Nadarajah berjaya melaksanakan acara itu dengan kos yang paling minimum. [caption id="attachment_2190" align="alignleft" width="300"]Aktiviti Kavyan secara sederhana tetapi berkesan. Aktiviti Kavyan secara sederhana tetapi berkesan.[/caption] Program itu yang berlangsung pada 29-30 Jun 2013 turut diisi dengan acara persembahan cerpen di Restoran Nachi’s Indian Cuisine, Ipoh; taman permainan di Taman Tasik Taiping; dan Zammaz Nur Villa Homestay, Permatang Pauh. Sokongan padu pelbagai pihak Selain daripada melawat Kampung Kacang Puteh di Buntong, menikmati suasana nyaman di Taman Tasik Taiping dan turun ke sawah yang menghijau di Permatang Pauh, peserta turut mengambil bahagian dalam bengkel penulisan dan bengkel membaca cerpen. Seperti biasa, suasana harmoni dan persaudaraan begitu nyata dalam kalangan para peserta pelbagai kaum dan agama. Berlaku juga dialog secara santai berkaitan bahasa, sastera, budaya, agama dan pelbagai topik lain yang mungkin dianggap terlalu sensitif untuk dibincangkan dalam persatuan penulis lain. Bagi meneruskan kempen galakan membaca, majalah-majalah sumbangan Kumpulan Media Karangkraf diberikan sebagai cenderamata kepada penonton yang hadir menyaksikan acara “Baca Cerpen Kavyan” di ketiga-tiga lokasi. Acara ini juga boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada “Baca Cerpen Kavyan” yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 2 September 2003 di Galeri Shah Alam. Malah, acara baca cerpen dan baca novel yang dipelopori oleh Kavyan sudah menjadi acara bulanan dalam skala kecil dan sederhana. Memandangkan Kavyan tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik – serta tidak mengharapkan sumbangan dana daripada mana-mana politikus yang berkepentingan – maka segala aktiviti dapat dirancang dan dilaksanakan secara bebas tanpa perlu terikat pada “restu” politikus. Mungkin inilah kelebihan Kavyan berbanding beberapa pihak lain. [caption id="attachment_2191" align="alignleft" width="300"]Acara “baca cerpen” sudah sinonim dengan Kavyan. Acara “baca cerpen” sudah sinonim dengan Kavyan.[/caption] Selepas kejayaan “Lawatan Penulisan Kavyan”, aktiviti bulanan yang dirancang adalah “Jerayawara Kavyan” (Kavyan’s Roadshow) di mana wakil kumpulan ini akan membuat persembahan cerpen dan puisi di tempat-tempat awam. Dua lokasi yang menjadi pilihan awal bagi jerayawara adalah Dataran Shah Alam di Persiaran Sultan, Shah Alam dan Porta de Santiago iaitu tinggalan Kota A Famosa di Melaka. Tempat-tempat lain akan dipilih mengikut cadangan dan permintaan. Seperti biasa, Kavyan memastikan bahawa keseluruhan acara dikendalikan dalam Bahasa Malaysia dan karya-karya yang dipersembahkan semasa jerayawara adalah Sastera Kavyan, iaitu cerpen/puisi Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India. Perlu dinyatakan bahawa idea bagi “Jerayawara Kavyan” dicetuskan oleh Shahrulnizam Abd Hamid yang menyelaraskan sesi persembahan cerpen semasa “Lawatan Penulisan Kavyan”. Usaha yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda menerusi “Buku Jalanan” di seluruh negara juga menjadi perangsang. Seterusnya, pada 1 September 2013 akan berlangsung acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” di Galeri Shah Alam sebagai mengimbas kenangan kejayaan acara yang diadakan sepuluh tahun dahulu. Pasti sahaja tidak akan ada rekod 384 cerpen dibacakan oleh 166 peserta pelbagai kaum dalam masa 96 jam 32 minit. Sebaliknya acara pada kali ini bertujuan meneruskan usaha memasyarakatkan sastera, mendaulatkan Bahasa Malaysia dan memupuk minat membaca secara berterusan dalam kalangan masyarakat. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang Penasihat Agung Kavyan sudah mengesahkan penyertaan. Orang ramai boleh melayari www.kavyan.blogspot.com untuk mendapatkan maklumat “Baca Cerpen Kavyan” dan pelbagai acara lain yang dianjurkan bagi memupuk perpaduan dan meningkatkan persefahaman menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.  

]]>

MCCBCHST: Perlihara kesetaraan hak ibu bapa dalam isu penukaran agama kanak-kanak

RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2013 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TIDAK MENGIKTIRAF PERTUKARAN AGAMA ANAK OLEH HANYA SALAH SEORANG IBU ATAU BAPA  Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu,Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah sebulat suara akan berberapa perkara yang berkaitan dengan RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2013 yang dibentangkan di Parlimen pada sesi bacaan pertama pada 26 Jun 2013. Ini kerana ia akan menjejaskan hak asasi manusia rakyat bukan Islam. Rang undang-undang tersebut bukan sahaja menyamar sebagai undang-undang Islam, bahkan ia cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan secara satu hala dengan menterjemahkan perkataan “ibu bapa” di dalam perlembagaan tersebut kepada “ibu atau bapa”. Pengislaman seorang kanak-kanakoleh hanya salah satu ibu atau bapanya yang telah memasuki Islam akan mengakibatkan ketidakadilan yang serius terhadap ibu bapayang bukan Islam dan  anak-anak yang terlibat dalam perkahwinan tersebut  – Seksyen 107 (b): “”jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama lslam olehnya”. Peruntukan ini tidak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan negara kita dan akan membawa kepada ketidakadilan sosial. Kami berpendirian bahawa Kabinet Persekutuan harus bertanggungjawab terhadap percanggahan ini. Walhal Kabinet pernah memutuskan pada perbincangan 2314/2009 bahawa salah seorang ibu atau bapa tidak berhak untuk menukarkan agama anak yang dibawah umur dalam perkahwinan tersebut. Namun begitu, Kabinet telah bercanggah dengan keputusan ini dan memutuskan dalam perbincangan D. R. 1/2013 bahawa pertukaran agama seorang kanak-kanak oleh hanya seorang ibu bapa adalah sesuai untuk diperkuatkuasakan. Hal ini menunjukkan bahawa kabinet langsung tidak telus akan janji dan tindakannya dalam menangani isu ini. MCCBCHST bersepakat membantah mana-mana penukaran agama anak secara satu hala oleh hanya salah seorang ibu atau bapa, kerana ia akan menjejaskan hak dan kehidupan rakyat bukan Islam. Bahkan, pengIslaman secara satu hala tersebut tidak bermoral mahupun berakhlak. Kami ingin bertanya kepada anggota-anggota Kabinet, apakah perasaan anda jika anak-anak anda dipaksa menukarkan agama tanpa persetujuan anda? Seperti bak kata pepatah, “Alang berjawab, tepuk berbalas.” Kami ingin menegaskan bahawa jika perkataan “Ibu bapa” di dalam artikel 12(4) di-tafsirkan sebagai “salah seorangibu atau bapa”, maka ia akan bercanggah dengan intipati persuratan perkara4 dalam Perlembagaan Persekutuan – yang juga merupakan perundangan tertinggi di negara ini. Malah, jika penafsiran tersebut digunakan dalam perbicaraan perundangan, maka tiada lagi jalan lain yang dapat dilakukan oleh ibu atau bapa yang bukan Islam tersebut bagi mengembalikan anaknya ke agama yang dianuti sebelum agamanya ditukarkan. Kesan daripada penafsiran ini tidak masuk akal kerana ia tidak berlandaskan intipati pengislaman yang sebenar dan sebaliknya hanyalah bersifat cetek . Berdasarkan kes SUBASHINI (2008), keputusan kes tersebut ternyata kelihatan seperti setengah masak kerana sebab-sebab berikut:- I)                 Mahkamah tidak memohon Fasal Tafsiran Berkanun Artikel 160(1) (jadual kesebelas) dimana “perkataan yang berasal daripada jantina maskulin juga membawa maksud perempuan” dan “perkataan yang bersifat singular juga membawa maksud plural, dan perkataan yang bersifat plural juga membawa maksud tunggal”. II)               Akta Penjagaan Kanak Kanak1961 menyatakan bahawa ia menjamin kesamarataan hak penjagaan ibubapa. III)             Jika hanya salah seorang“ibu atau bapa” memilih untuk menukarkan agamanya dan juga melalui proses tersebut menukarkan agama anaknya tanpa persetujuan pasangan mereka, maka ia akan mengakibatkan kesan yang tidak masuk akal dan ironis. Ini kerana pasangan suami atau isteri mereka yang kekal dengan agama asalnya pun secara teknikal boleh mengembalikan anaknya ke agama asal yang dianuti sebelum ini. Kami memahami bahawa Rang Undang-undang tersebut membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan sama ada seseorang itu adalah Muslim atau tidak. Sila lihat seksyen 51(3)(b) (x) dan (xi). Selama ini penguatkuasaan perundangan ini adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah. Oleh itu, pindaan yang dicadangkan tidak sejajar denganPerlembagaan Persekutuan. Justeru itu, MCCBCHST menyaran pihak Kabinet untuk menarik balik Rang Undang-undang di atas, sehingga isu-isu penting yang kami ulas diatas dibahaskan dengan teliti oleh semua pihakyang berkenaan. Mana-mana penguatkuasaan Rang Undang-Undang secara membuta-tuli tidak akan diterima bahkan ia juga tidak sealiran dengan Perlembagaan, mengakibatkan pihak yang terjejas tidak mempunyai pilihan dalam mencari penyelesaian aman melalui saluran undang-undang lain, sama ada dalam ataupun luar negara.

]]>

Mangsa kemiskinan

5995_10151770935547494_413784251_n

Di pertengahan kediaman-kediaman mewah di Kota Damansara, terdapat sebuah kawasan setinggan dimana penghuni-penghuninya hidup dalam kedaifan dan kemiskinan. Mereka diusirkan dari kediaman mereka dan terpaksa tinggal di dalam 4 blok rumah-rumah pangsa ini. Penghuni-penghuni tersebut diabaikan oleh pihak berkuasa tempatan dan juga oleh pihak Majilis Bandaraya yang sepatutnya menjaga kebajikan mereka. Pada 21 June 2013, seorang budak yang berumur empat tahun bersandar pada sebuah berandah. Besi berandah tersebut karat dan repuh, ini telah mengakibatkan dia terjatuh dari bangunan 14 tingkat lalu menemui maut. Ibunya meraung kesedihan memegang tubuh anaknya yang tidak bernyawa dan enggan membiarkan pihak ambulans mengambil mayat tersebut. Baru dua bulan yang lepas, Selangor Times melaporkan bahawa rumah pangsa PPR Kota Damansara di Seksyen Lapan berada dalam keadaan yang teruk. Berandah besi yang karat dan rosak tersebut telah bertahun-tahun tidak diselenggarakan. Semalam berita sedih yang dijankakan tersebut telah berlaku. “Bilakah pihak kerajaan persekutuan akan memperuntukkan bajet bagi keperluan komuniti yang terpinggir ini. Dalam usaha menlaksanakan pembangunan lestari, adakah kita telah lupa tentang pembangunan yang SAKSAMA.” Kenapa harus terjadinya kematian seperti ini sebelum kita mula tergesa-gesa memberi perhatian?”   1014255_10151770941182494_184959354_n 1006183_10151770935677494_801732874_n 10170_10151770939492494_1651297356_n 1002819_10151770935737494_1360610984_n 1017073_10151770935492494_1614657422_n 7169_10151770935632494_10785480_n 934938_10151770935672494_2019027168_n 995676_10151770935692494_1484066655_n         ]]>

Projek Dialog membantah ISMA

Projek Dialog membantah kenyataan ISMA berhubung isu undang-undang jenayah syariah.  Projek Dialog membantah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam sahutan mereka kepada The Joint Action Group for Gender Equality (JAG). Hal ini berkaitan isu undang-undang jenayah syariah dimana sebatan syariah dikenakan terhadap 39 orang pesalah yang melakukan sumbang muhrim dan zina. Kami mendapati bahawa hujah-hujah yang diketengahkan oleh ISMA agak sempit dan bersifat reaksioner. ISMA menyaran bahawa undang-undang Syariah adalah wajib dijatuhkan terhadap pesalah-pesalah tersebut atas sebab mereka telah melakukan dosa besar dan melanggar syariat islam. ISMA terlalu menekankan prinsip hukuman Syariah yang terlalu literal tanpa memahami konteks dan intipati sebenar Islam yang mementingkan semangat kemanusiaan and kecintaan. Ad-deen yang dipupukkan melalui Al-Quran adalah bertujuan untuk manusia senantiasa bersifat memaaf-maafan, berhati mulia, sentiasa bermuhasabah, dan mempunyai semangat kasih sayang terhadap manusia yang lain. Realitinya, Projek Dialog juga berasa risau akan perkembangan politik Islam di Malaysia, dimana Islam hanya digerak sebagai sebuah lebel identiti yang dihargai melalui sudut pandang yang amat sempit. Walhal Islam bukanlah sebuah agama yang bersifat institusi mahupun politik yang hanya rakus menghukum dan mengaibkan umatnya. Dakwaan ISMA bahawa hukuman Syariah adalah berdasarkan syariat Islam juga tidak betul. Sistem penghakiman dan undang-undang Syariah dilaksanakan oleh manusia dan begitu mudah digunakan bagi menindas golongan yang tiada hak dan suara. Tidak hairanlah wanita yang kebanyakkannya menjadi mangsa undang-undang Syariah. Kami juga risau akan penjelasan ISMA akan cara penghukuman tersebut dan mengatakan bahawa “hukuman perlu dilaksanakan tanpa menunjukkan belas kasihan.”  Dimanakah  nilai-nilai kemanusiaan kita jika Islam hanya dizahirkan sebagai satu fahaman yang gemar menghukum? ISMA juga bersikap biased terhadap golongan yang tidak bersetuju dengan mereka dan melebelkan mereka sebagai pejuang feminisme dan liberalisme tanpa memahami konteks label-label tersebut. Sebaliknya apa yang diperjuangkan JAG juga ditegakkan oleh Islam seperti keadilan sosial, hak kebebasan asasi, dan hak kemanusiaan. Bahkan, ISMA tidak mempunyai asas kukuh dalam menilai konteks keadilan. Mereka terlalu memandang berat isu maruah keturunan dan zuriat tetapi tidak mempunyai nilai perikemanusiaan akan hak dan suara seseorang individu. ISMA terlalu khusyuk dengan pembanterasan dosa-dosa besar di kalangan umat Islam dalam konteks seksual yang sempit seperti peraturan-peraturan dan perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah yang mengawal hak kebebasan asasi masyarakat. Seperti kata pepatah “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak”, ISMA juga tidak mempunyai tahap keintelektualan Islam yang mendalam mengenai isu jenayah dan hukuman. Sebagai contoh, memberi dan menerima rasuah adalah jenayah yang jauh lebih keji tetapi tidak pula diperjuang keras oleh ISMA untuk menetapkan undang-undang yang lebih berat dan saksama. Kami berpendapat ISMA sepatutnya memperjuangkan intipati keadilan Islam yang sebenar. Isu seperti ketidakadilan sosial, rasuah yang berlaluasa, pembinasaan alam sekitar, kemiskinan dan penindasan terhadap golongan kelas bawahan, sistem keadilan syariah yang dikawal oleh golongan ulama-ulama elitis, hak kebebasan bersuara dan beragama yang ditegakkan Islam, dsb, wajiblah diberi perhatian sepenuhnya oleh ISMA jika ia serius akan moto organisasinya iaitu “Membangun Umat Beragenda”. Lebih dikesali kami adalah dakwaan membuta-tuli ISMA terhadap ‘pandangan liberal’ dengan memberi contoh kursus “Sumbang Mahram Adik Beradik (Sibling Incest)” oleh University of Missouri dan ponorgrafi bertemakan sumbang mahram dari Barat. Kami berpendapat ISMA cenderung membuat andaian yang rawak dan tidak betul. Kursus yang disebutkan oleh ISMA sebenarnya merupakan sebuah subjek yang mengkaji perspektif sejarah bagi topik tersebut, ia tidak langsung berkaitan dengan agenda liberal yang dimaksudkan ISMA. Walhal isu pornografi adalah sebuah fenomenon global yang dipandang serius akan implikasi sosialnya, baik oleh Projek Dialog mahupun NGO-NGO hak asasi lain. Projek Dialog berpendirian teguh akan prinsip kami menentang undang-undang yang tidak berperikemanusiaan. Kami percaya Islam yang sebenar merupakan ad-deen yang menyeru kepada keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan, bukannya lebelan politik yang bersifat menghukum, menindas dan mengaibkan.

]]>

Kenyataan media CFM mengenai kematian-kematian dalam tahanan polis.

KENYATAAN MEDIA CFM : RAKYAT MALAYSIA BERHAK MENDAPAT SEBUAH INSTITUSI POLIS YANG BOLEH DIPERCAYAI CFM (Christian Federation of Malaysia) meluahkan rasa bimbang akan tiga laporan kematian dalam tahanan polis yang berlaku dalam tempoh 11 hari dari 21 Mei hingga ke 1 Jun. Ketiga-tiga mangsa ditahan reman bagi siasatan polis tetapi ditemui mati secara mengejutkan dalam tahanan polis di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Tampin. Nama-nama seperti N. Dhamendran, R. Jamesh Ramesh dan P. Karuna Nithi kini terpaut dalam ingatan kita kerana terlalu banyak kematian dalam tahanan polis yang membabitkan rakyat Malaysia semenjak akhir-akhir ini. Pihak kerajaan perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan yang sepenuhnya terhadap keluarga mereka yang masih berkabung dan juga seluruh rakyat Malaysia. Doa kami ditujukan kepada keluarga-keluarga yang berkabung tersebut. Mantan Kementerian Dalam Negeri pernah menyatakan bahawa diantara tahun 2000 dan September 2012, sejumlah 209 orang telah mati di dalam tahanan polis. Terdapat empat kematian selanjutnya pada tahun 2012. Selain itu, terdapat lapan kematian di dalam tahanan polis sejak Januari tahun ini. Hal ini menunjukkan terdapat sejumlah 221 kematian di dalam tahanan polis. Dalam erti kata lain, secara purata terdapat satu kematian dalam tahanan polis setiap bulan. Statistik yang merisaukan ini mencerminkan keterlampauan pihak berkuasa, dimana kerajaan seharusnya bertanggungjawab. Kebenaran tidak boleh disorokkan. Sesiapa yang bersalah atas melakukan kecuaian dan penyeksaan dalam tahanan polis perlu didakwa di mahkamah dengan segera. Tambahan lagi, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan dan telus untuk memastikan bahawa isu kematian dalam tahanan polis tidak berulang lagi. Mereka yang diberi kuasa untuk menjaga keselamatan negara kita juga perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang-orang yang ditahan dalam lokap polis sementara menunggu siasatan. CFM menggesa pihak penguasa untuk menubuhkan dengan serta merta Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja Polis pada tahun 2005 sebagai satu langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kematian dalam tahanan polis. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada dasarnya tidak mampu untuk menangani isu ini dengan memuaskan. Dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi polis, kami menyeru semua pegawai polis yang mematuhi undang-undang untuk sama-sama berdiri dengan rakyat untuk menentang sesiapa sahaja yang menjejaskan imej dan nama baik institusi polis. Malaysia berhak mendapat sebuah institusi polis yang mempunyai integriti dan boleh dipercayai. Yang Ikhlas, Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi dan Jawatankuasa Exekutif, Persekutuan Gereja-gereja Malaysia

]]>