Projek Dialog

Imbas kembali: Pesta Filem KITA 2

16 Mac 2019 menandakan hari berlangsungnya Pesta Filem KITA siri kedua oleh Projek Dialog.

Festival ini ditubuhkan dengan tujuan menjadikan filem sebagai medium penyatuan rakyat Malaysia dan platform bagi menampilkan bakat-bakat belia tanah air.  Kali ini, kami berhasrat untuk menangkap tenaga anak muda yang sama seperti dari Pesta Filem KITA yang pertama tetapi berelemenkan unsur-unsur optimisme yang disandarkan oleh ‘Malaysia Baru’.

Pesta Filem KITA 2 juga dengan bangganya telah ditaja oleh United States Agency for International Development (USAID), US Embassy in Kuala Lumpur dan Malaysians 4 Malaysia.

Selepas beberapa perbincangan, akhirnya acara yang berlangsung selama 10 jam ini diadakan di RUANG by Think City di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur dan dikelilingi kawasan yang kaya dengan budaya tradisional dan moden serta menjadi titik pertemuan antara pelbagai lapisan masyarakat. Selain dipilih kerana aksesibiliti yang mudah, ruang acara tertutup ini mampu menyediakan suasana peribadi, yang semestinya sesuai untuk menikmati filem!

Tempoh persiapan untuk acara ini berlanjutan selama lebih 3 bulan dan telah dipimpin oleh ahli Projek Dialog, Victoria Cheng dan Muzzamer Rahman. Pihak Pesta Filem KITA 2 telah menyokong pembikinan 7 filem yang kesemuanya dipercayai mampu memberi pandangan-pandangan yang kaya berkenaan kepelbagaian gaya hidup di Malaysia.  Sepanjang tempoh promosi di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, acara ini disambut oleh ramai pihak dengan komentar positif terutamanya berkenaan bakat-bakat muda tanah air yang menyertai geran pembikinan filem PFK2!

Ruang acara digunakan secara berkesan dengan pembahagian seksyen-seksyen: skrin besar dengan platform yang dibangkitkan untuk tayangan dan ucapan, tikar mengkuang dan kerusi beanbag disusun di hadapanya untuk suasana yang santai, sementara kerusi yang lebih tinggi berbaris hingga ke ruang belakang. Selain itu, terdapat ruang bergambar di mana latar belakang yang memaparkan poster PFK dengan gambaran ‘Nasi Lemak’ dikongsi bersama masyarakat pelbagai kaum.

Di sebelah ruang bergambar, terdapat kiub-kiub besar yang mempamerkan biodata pemenang geran serta sinopsis-sinopsis filem yang ditayangkan pada hari terbabit. Poster dan bunting dipaparkan berdekatan dinding dan sebuah skrin plasma disediakan untuk mempamerkan filem-filem pemenang geran daripada Pesta Filem KITA yang pertama.

Di samping itu, terdapat ruang penjualan buku yang diuruskan oleh Bibliophile (facebook.com/existbookshop.) dan Daniyal Kadir, yang telah mempromosikan karya beliau berjudul ‘Membedah P.Ramlee’. Meja pendaftaran disusun berdekatan pintu masuk untuk mengambil bilangan pelawat serta memberi baju T dan sticker laptop percuma.

Pesta Filem KITA 2 dimulakan dengan tayangan video daripada finalis-finalis Pertandingan Video Pendek Malaysians 4 Malaysia (M4M). Tema untuk video-video penyertaan adalah Harapan Anak Muda Untuk Malaysia Baru dan setiap video perlu berdurasi 1 hingga 5 minit sahaja. Lebih daripada 30 penyertaan telah dihantar oleh para pelajar di seluruh Malaysia dan hanya 9 finalis terpilih untuk ditayangkan hasil produksi mereka dan diberikan anugerah. Finalis-finalis tersebut adalah:

  • Butang Hukum (oleh: Ahmad Syazwan Bin Rosli)
  • Garisan Penamat (oleh: Izaq Yuzaini Bin Ismail)
  • Memoir (oleh: Adam Taufiq Suharto)
  • Above All Liberties (oleh: Tengku ‘Alauddin Mahmud)
  • Wanderlust (oleh: Syarul Akmal)
  • Our Hope and Dream For A New Malaysia (oleh: Bea Jia Hui)
  • Cengkerik Malam (oleh: Hakim Hasnan)
  • Buku (oleh: Khairi Hizami Bin Zalani)
  • Cultural Change: Beyond the Ballot Box (oleh: Teoh Sing Fei)

Selepas penayangan video yang mempamerkan tema melalui perspektif yang berbeza, jelaslah bahawa anak-anak muda Malaysia kini mempunyai potensi yang besar untuk bukan sahaja membikin video dan filem, tetapi memimpin masa hadapan dengan penuh patriotisme dan cinta untuk kepelbagaian di negara kita. Kemudiannya, temu ramah ringkas dan sesi Q & A diadakan bersama finalis-finalis, yang dijalankan oleh pengacara rasmi Pesta Filem KITA 2 – Sadiq.

Akhirnya, pemenang telah diumumkan berdasarkan keputusan kolektif oleh kurator kami yang dihormati, Victoria Cheng, Muzzamer Rahman, dan Fuad Rahmat, yang juga hakim untuk pertandingan ini:

  • Tempat pertama: Memoir
  • Tempat kedua: Butang Hukum
  • Tempat ketiga: Garisan Penamat
Yana Rizal

Di samping itu, Butang Hukum turut menjuarai Anugerah Pilihan Penonton sebagai kegemaran orang ramai, sepertimana yang diputuskan oleh para tetamu menerusi undian atas talian. Ucapan telah diberikan oleh Yana Rizal untuk mengungkapkan tahniah kepada para peserta atas dedikasi dan usaha kreatif mereka. Sesi pertandingan ini berakhir sekitar pukul 1 petang dan setiap finalis dan pemenang pulang dengan hadiah wang dan sijil sebagai bukti peruntukan mereka.

Pada masa yang sama, pendaftaran berlangsung sepanjang tempoh acara dan bilangan sambutan terus mengagumkan pihak Pesta Filem KITA 2, lebih 300 pelawat telah menghadiri festival ini dan majoriti besar adalah warga belia Malaysia. Setelah para pelawat mendaftarkan diri, mereka diberi baju-baju kemeja T bertemakan PFK2 dan sticker laptop sebagai sagu hati percuma. Ini menjadi tarikan popular dengan ramai memuji rekaan baju tersebut yang ringkas dan bermakna.

Baju kemeja T dan Sticker Laptop Pesta Filem KITA percuma!

Seterusnya di sebelah petang,, dua bengkel yang bertujuan untuk menyebarkan pengetahuan tentang pembuatan filem dan dokumentari telah dijalankan dari jam 1.30 petang hingga 3.30 petang. Bengkel pertama yang diketuai oleh Dr Khairul Fazi, menyampaikan tajuk menarik iaitu mengenai ‘Dokumentari: Cinéma Vérité yang Baru dan Berani’, bengkel ini menekankan dokumentari sebagai teknik pembuatan filem yang lazim.

Bengkel kedua telah dijalankan oleh Joshua Michael, yang menjelaskan dan menghuraikan topik ‘Media Baru, New Malaysia’, dengan demikian mengulas landskap media dalam iklim politik dan sistematik semasa. Ramai tetamu mengisi kerusi -kerusi yang tersedia, mendahagakan pengetahuan tentang dunia pembikinan filem.

Resepsi Koktel

Malam GALA bermula pada jam 5.30 petang dengan resepsi koktel yang ringan untuk memberi keselesaan kepada pelawat. Meja bufet diisi dengan sandwich mini yang tersusun dengan kemas, spaghetti Bolognese dalam cawan, kuih muih dan minuman, ketika para tetamu sedang bersosial.

Setelah orang ramai bersiap sedia untuk tayangan filem, YB Fahmi Fadzil yangmerupakan ahli Parlimen Lembah Pantai diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan pembukaan, dengan menekankan kepentingan pembikinan filem sebagai suatu bentuk kesenian dan pengaruhnya dalam budaya di Malaysia.

YB Fahmi Fadzil, ahli Parlimen Lembah Pantai

Tayangan filem sesi pertama bermula dengan 160 Juta (Diarahkan oleh: Ashrafiqal Aleef), melibatkan watak utama wanita yang kuat  untuk mempertahankan kampungnya daripada eksploitasi orang yang berkuasa, tetapi yang menonjolkan filem ini adalah konsep koboi barat yang menggabungkan persamaan dan juga kontras terhadap budaya tradisional kampung Melayu.

Aku Dan Roxane (Diarahkan oleh: Mohammad Fais Hafiz) seterusnya, meninggalkan penonton dengan renungan makna yang lebih mendalam tentang ‘kekacauan’ dalam kehidupan di bandar KL melalui pengeditan avant-garde, kerumitan emosi watak dan lampu neon bandar.

Akhirnya, Rumah Tidak Bertanah (yang diarahkan oleh: Putri Purnama Sugua) menandakan pengakhiran sesi pertama, filem ini berikutan kisah seorang kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah, hidup dalam kemiskinan yang melampau, berusaha untuk mendapatkan pendidikan dan akhirnya terpisah dari ibunya selepas berlari dari pihak berkuasa. Filem ini berdasarkan isu-isu benar yang berlaku di Sabah.

Selepas itu, sesi Q & A (yang diketuai oleh Victoria Cheng) telah diadakan dengan ketiga-tiga pembikin filem tersebut untuk memberi gambaran tentang usaha-usaha di sebalik produksi mereka.

Tayangan filem sesi kedua diadakan selepas rehat selama 30 minit. Ianya bermula dengan Keretapi Ke Pangi (Diarahkan oleh: Mohamad Yusof B. Sadjirin), yang menggambarkan ikatan sentimental antara anggota keluarga dan kehidupan sederhana mereka di kawasan luar bandar, terutamanya di antara bapa dan anaknya, hubungan mereka semakin tegang selepas kemalangan bapa yang memaksakan anaknya untuk tergesa-gesa ke sebuah hospital yang terletak jauh kerana ketiadaan kereta api.

 Seterusnya, Khilaf (Diarahkan oleh: Khairi Asyraff & Dihasilkan oleh: Rais Aqil) secara berkesannya menggambarkan isu perkahwinan bawah umur dan nilai-nilai agama yang bercanggah melalui kisah seorang bapa yang dimanipulasi oleh kenalan rapat untuk mengahwinkan anak perempuannya yang telah dirogol, meninggalkan penonton dalam keadaan tegang.

Ninavau (Diarahkan oleh: Bebbra Mailin) ​​menceritakan masalah biasa berkenaan kebudayaan antara Islam dan Kristian melalui Ninavau, yang berasal dari rumah tangga Kristian, menukar agama kepada Islam dan menghadapi tekanan keluarga dan masyarakat untuk mengikut agamanya secara bebas.

Malaysian Like Me (Diarahkan oleh: Cech Adrea) adalah dokumentari yang berfokuskan kehidupan beberapa watak dan mempamerkan keramahan dan humor gaya Malaysia tertentu yang turut melibatkan hubungan sesama kita.

 Sesi Q & A kedua (yang diketuai oleh Muzzamer Rahman) diadakan bersama pembikin filem-filem ini untuk memahami lagi hasil-hasil produksi mereka.

Setiap filem kemudiannya dinilai oleh panel juri: Nova Goh – seorang pembikin dokumentari, Redza Minhat – pelakon dan penulis skrip, Indrani Kopal – pembikin filem, dan Dr Wan Aida Wan Yahaya – seorang akademik dan penulis skrip. Sebelum pengumuman pemenang, ucapan telah diberikan oleh setiap juri, dan juga kurator, Victoria Cheng, Muzzamer Rahman serta Fuad Rahmat untuk mengakui kreativiti dan usaha-usaha pembikin filem.

Akhirnya, pemenang setiap kategori telah diumumkan selepas keputusan dibuat:

  • Sinematografi Terbaik: Khilaf, yang menggunakan tangkapan lebar,watak yang bijak dan kedudukan objek dapat meningkatkan kesan yang mendebarkan, tangkapan filem di ladang getah yang diterangi matahari sangat menonjol.
  • Pengeditan Terbaik: Khilaf, yang secara berkesan menggunakan pemotongan pantas dan aksi berturut-turut untuk menekankan intensiti dan ketegangan, tetapi juga menggambarkan urutan yang koheren.
  • Pengarah Terbaik: Rumah Ndak Beranah, kompeten pengarah dipuji atas pengurusan pelakon  – yang memaparkan penduduk setempat – dan kepimpinan yang mahir dalam membuat keputusan dan menggambarkan plot pengalaman hidup yang benar dengan tepat.
  • Jalan Cerita Terbaik: Rumah Ndak Bertanah, yang menampilkan gambaran yang tepat tentang isu sosial yang berleluasa di Sabah, juga mempunyai naratif yang jelas yang menekankan logik sebab dan akibat.

Di samping itu, penonton sedang sibuk kerana mereka perlu memutuskan filem kegemaran mereka melalui undi atas talian. Hasilnya, pemenang Anugerah Pilihan Penonton adalah 160 Juta, yang menampilkan gabungan menarik antara kebudayaan barat dan budaya Malaysia, dan kecantikan cahaya matahari yang keemasan dan cahaya bulan biru yang mengasyikkan.

Majlis penyampaian anugerah itu menandakan berakhirnya Pesta Filem Kita 2. Secara keseluruhan, festival ini telah berjaya melebihi sasaran 300 orang pelawat dan menyambut lebih banyak penyertaan daripada warga belia Malaysia. Oleh itu, acara ini memiliki banyak potensi dan peluang masa hadapan untuk Projek Dialog dan semestinya kami akan menantikan kehadiran Pesta Filem KITA 3!

Jumpa anda lagi di masa hadapan!

Tingkah laku media kala pilihanraya

Dr Mohd Faizal Musa

Felo Penyelidik

Institut Alam dan Tamadun Melayu

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600, Bangi, Selangor

Pendahuluan

Penggunaan media dalam kempen pilihanraya adalah sesuatu yang lumrah. Salah satu isu yang menimbulkan gegak adalah tawaran kerajaan kepada parti-parti pembangkang untuk menjelaskan manifesto mereka selama 10 minit (secara rakaman) menerusi saluran rasmi RTM. Peranan tradisional sesebuah media perdana adalah untuk menjadi pengikat yang dapat menghubungkan pelbagai lapisan dan ragam ahli masyarakat. Dalam erti kata lain media mempengaruhi bagaimana anggota masyarakat saling berkomunikasi antara satu sama lain. Media dengan itu memberikan impak kemasyarakatan yang besar. Media bukan semata-mata menyalurkan maklumat tetapi sebenarnya membentuk masyarakat yang menerima maklumat tersebut. Ini telah disebut oleh sosiologis Michael Schudson (1995: 24-25) bahawa media bukan sahaja menghantar maklumat akan tetapi turut sama mencorak penerima maklumat tersebut: The greatest effects may not be measurable influences on attitudes or beliefs produced by media but the range of information the media make available to individual human minds, the range of connections they bring to light, the particular social practices and collective rituals by which they organize our days and ways. The media are more important, not less important, than popular opinion would have it, but rarely in the ways that popular views assume. The media organize not just information but audiences. They legitimize not just events and sources that report them but readers and viewers. Their capacity to publicly include is perhaps their most important feature. That you and I read the same front page or see the same television as the President of the United States and the chair of IBM is empowering; the impression it promotes is equality and commonality. Petikan di atas menjelaskan betapa setiap sesuatu insiden, acara sosial, apatah lagi acara politik seperti pilihanraya bukan sahaja akan dilaporkan oleh media, malah media selaku pelapor dapat mempengaruhi audien. Dalam erti kata lain, media perdana terdedah kepada pemanipulasian. Strategi Media Perdana Dalam disiplin psikologi, terdapat satu kaedah atau proses pembelajaran (dalam hal ini pemanipulasian politik) yang dapat dihitung menerusi prosedur Pavlovian secara conditioning. Prosedur yang dimaksudkan ialah apabila satu-satu entiti (E) memiliki kawalan penuh terhadap semua peristiwa, (E) boleh menentukan kekerapan masa, ketepatan aksi percubaan selain menguruskan tingkah laku sasarannya. Sebagai misalan, latihan terhadap seekor anjing dengan memberinya makan pada setiap jam 3 petang sahaja, dengan menghantar satu isyarat denting loceng; yang dilakukan berulang-ulang sehingga sang anjing terbiasa dan terlatih oleh tubi dan asakan latihan yang sama akan menatijahkan anjing menunggu makanan pada setiap jam 3 petang dengan bunyi loceng dengan penuh selera. Latih tubi appetite behaviour ini dari dahulu hingga sekarang memperolehi jawapan yang sama. Iaitu sasaran untuk prosedur conditioning ini di akhirnya akan mengikut, taat, patuh dan meniru apa yang disogokkan oleh (E). Sejak Pavlovian mengemukakan gagasan conditioning ini tokoh-tokoh psikologi ulung antara lain seperti M.M Shapiro (1962: 567-571) serta W. Kintsch dan R.S Witte (1962: 963-968)[i] memutuskan bahawa prosedur conditioning dengan latih tubi appetite behaviour ini sangat berkesan dalam menentukan kejayaan proses pembelajaran sasaran. Prosedur conditioning ini boleh menjadi strategi media perdana ketika kempen politik, khususnya di musim pilihanraya. Pemanipulasian politik di saat kempen pilihanraya semakin membahang adalah sesuatu yang selalu terjadi, malah di negara-negara maju. Media perdana dapat menjadi alat mempengaruhi, alat memanipulasi, dan alat penyampai maklumat yang berkesan. Media justeru menjadi medium yang efektif buat entiti politik seperti politikus, parti politik dan masyarakat sivil. Masyarakat yang telah dilatih tubi oleh (E) dalam hal ini, media elektronik dan cetak, akan mengutip dan menyerap terlalu banyak pesan media. Oleh kerana ia merupakan satu proses conditioning, masyarakat akan akhirnya mengikut, taat, patuh dan meniru apa yang disogokkan oleh media elektronik mahupun cetak. Justeru, tidaklah menghairankan pemonopolian media ketika pilihanraya khususnya menjadi tanda, atau gejala kepada ciri-ciri sebuah rejim totalitarian. K. Ramanathan (1989: 319) menekankan pemonopolian media massa dan pengawasan semua aspek kehidupan adalah merupakan satu ciri politik rejim atau politik yang mengikat. Di saat pilihanraya sedang menghampiri, apakah yang dilatih tubikan oleh televisyen hari ini? Apakah yang disogokkan oleh media elektronik mahupun cetak kepada masyarakat sebagai pusingan appetite behaviour? Dan bagaimana masyarakat menerima dan terlazim; malah terpengaruh sikap mereka dengan apa yang disalurkan oleh televisyen itu? Ideologi Media Media yang dimanipulasi entiti politik tertentu melakukan satu penyebaran ideologi tunggal. Apa yang dimaksudkan dengan ideologi tunggal ini adalah ‘ideologi media’. Dalam menjelaskan ‘ideologi media’, sarjana dan media sosiologis yang tersohor Herbert J. Gans (1979: 39-69) menekankan bahawa terdapatnya kecenderungan bias dalam berita-berita yang dipaparkan di media. Ideologi media yang disebarluaskan antara lain ialah lima kunci penting yang disebutkan olehnya sebagai ‘nilai-nilai bertahan’ yang telah meresapi media dan disampaikan secara halus tanpa memikirkan keadilannya untuk khayalak. Lima poin penting ideologi ini sudah memadai untuk menunjukkan bahawa berlakunya pemanipulasian politik dan pemonopolian yang merujuk kepada pengukuhan sistem totalitarian. Lima poin penting tersebut adalah; i.                 Demokrasi altruistik – Dalam hal ini, media perdana menegaskan secara berulang kali (conditioning) satu kepercayaan, bahawa politik haruslah berdasarkan kepentingan awam dan servis. Terdapat pemantakan dan pemaksaan maklumat yang berulang-ulang bahawa hanya satu parti sahaja yang mewakili kepentingan awam dan melakukan khidmat atau servis yang selayaknya diberi sokongan. ii.               Individualisme – Media akan membentuk pandangan awam bahawa usaha menolak ideologi media adalah usaha untuk memartabatkan kebebasan individu, justeru mengatasi kepentingan dan keperluan masyarakat umum yang lebih besar. Media mendakwa mereka mewakili, malah ejen, masyarakat umum. iii.              Moderatisme – Media perdana cenderung memberi penekanan supaya ahli masyarakat (atau pengundi) bersederhana dalam berpolitik, sambil menetapkan nilai-nilai tertentu yang menurut media tersebut sebagai sesuatu yang ideal. Moderatisme ini juga dilakukan atas nama pemerkasaan budaya. Sebagai contoh media akan melakukan pemomokan terhadap parti-parti politik tertentu, selalunya yang menjadi mangsa adalah parti-parti oposisi. Dalam masa yang sama media akan melakukan conditioning bahawa budaya umat majoriti sedang terancam, dilemahkan, tergugat dan satu-satunya peluang untuk menyelamatkannya adalah dengan ‘bersederhana’, bahawa memilih parti yang lain dari yang diiklankan oleh media itu sebagai ‘berada di luar landasan yang betul’. Pemerkasaan budaya itu juga dihadirkan dalam bentuk lagu yang disembunyikan mesej-mesej patriotisme. iv.              Kawalan – Media perdana akan mengambil peluang untuk memberi penekanan dalam isu-isu ketenteraman sosial, mengingatkan khalayak supaya mengelakkan konflik, sambil menghormati autoriti politik dan sosial. Lazimnya autoriti politik dan sosial tersebut adalah rejim yang memerintah. Sebagai contoh media akan mengingatkan bahawa sebarang perubahan politik akan membawa kepada ketidakstabilan, kehuru-haraan dan menjejaskan kebahagiaan yang sedang dinikmati, mengacau kemakmuran dan menjerumuskan negara ke kancah masalah. v.               Kepimpinan – Media memilih untuk memaparkan hanya ada satu kepimpinan yang jujur, baik, benar dan kepimpinan ini adalah kepimpinan yang dapat mengatasi apa jua persoalan menerusi visi, stamina dan keberanian. Kepimpinan lain tidak harus dipertimbangkan kerana ia tidak memiliki karisma, jelek dan tiada kewibawaan. ‘Ideologi media’ yang disentuh di atas, dipasakkan dalam kalangan masyarakat dalam bentuk conditioning dan selalunya mengambil pendekatan yang memaksakan. Pendekatan yang memaksa ini adalah satu bentuk panopticon. Panopticon dan Jurnalisme Sivik Salah satu gejala ketempangan demokrasi di Malaysia adalah peranan media sebagai panopticon. Dalam keadaan yang tempang ini media alternatif berperanan sebagai pengimbang kepada media arus perdana. Media ini akan berfungsi untuk menampung kekurangan dan lompong kosong yang ditinggalkan oleh media arus perdana. Media alternatif tidak berminat dengan kuasa dan persaingan pasaran tetapi mementingkan kebenaran. Meskipun kebenaran tersebut terhad dalam rangka yang difahami mereka. Kebenaran yang dimaksudkan di atas membawa media alternatif ke dalam ruang jurnalisme sivik yang sihat. Dalam keadaan tempang ini, media alternatif terpaksa, dan tiada pilihan lain, melainkan bersiap untuk menawarkan jurnalisme sivik. Jurnalisme sivik adalah jurnalisme yang membebaskan diri dari kongkongan ideologi lapuk media yang telah dibincangkan sebelumnya. Pendekatan media alternatif ini ialah dengan mendekati masyarakat awam. Media dengan jurnalisme sivik berusaha mendapatkan daripada anggota masyarakat isu-isu yang diprihatini dan pandangan mereka tentang isu tersebut. Jurnalisme sivik dengan itu memerdekakan diri dari sumber rasmi, dan dapat menjadi media yang terbuka, tidak elitis, dan lebih mendekati egalitarian. Media alternatif dengan itu lebih berani, lebih bersedia dan lebih fleksibel dalam melaporkan isu-isu semasa ketika berlangsungnya satu pilihanraya, khususnya dalam negara yang mengalami ketempangan demokrasi. Ini terjadi kerana media perdana terkekang oleh kehendak pengiklan, iaitu parti (pelabur) terbesar dan mahu kekal sebagai panopticon. Michel Foucault (1979) menggunakan metafora panopticon ini untuk menggambarkan bagaimana sesebuah organisasi besar mengawasi manusia, langsung mengawal dan menentukan kehidupan awam. Panopticon adalah adalah sejenis alat kawalan di penjara yang berpusat dan membolehkan pihak penguasa melihat dan memerhatikan banduan. Tujuan panopticon bukanlah untuk mengawasi semata-mata tetapi lebih untuk mewujudkan satu keadaan yang dirasai dan disedari kewujudannya, sekaligus menjamin kewujudan semacam satu kuasa sedang menentukan gerak laku banduan. Meskipun Foucault tidak secara terang merujuk media sebagai satu jenis panopticon, andaian bahawa media perdana hari ini mendapat tempat dan kedudukan di ‘menara kawalan panopticon’ tersebut adalah sangat relevan. Bahkan, lebih aneh, media juga disayangi sebagai fungsi panopticonnya itu. Sesuatu yang perlu diingat tentang panopticon ialah sifatnya; iaitu sifat ‘sedikit menentukan yang banyak’. Dalam hal ini sekumpulan minoriti (elitis) sedang menguasai, mempengaruhi, mencorak dan memegang umat majoriti melalui satu kawalan yang olok-olok atau kawalan momok-momokkan. Ia bukanlah satu kawalan yang sebenar[ii]. Fenomena segelintir ahli masyarakat yang dapat dipukau sehingga mereka mengimani ideologi media (elektronik ataupun cetak) tertentu adalah berkait rapat dengan gejala panopticon ini. Kecelakaan besar yang ditimpakan oleh media perdana panopticon ini adalah ia membantut, mengkontot, dan membasmi kekuatan jati diri bangsa sehingga pandangan sarwanya (world view) terhijab, epistemologinya (falsafah keilmuan) tertempurung dan aksiologinya (sistem nilai) terkepung. Ekoran dari kecelakaan besar itu, rakyat atau orang awam menjadi lumpuh fikir, mendapat strok pada pusat akal, kehilangan rasio dan lojik lantas membenarkan korupsi berganda menimpa pundak mereka. Kelihatannya, media perdana menghambakan rakyat. Sementara media alternatif dengan jurnalisme sivik bersikeras memerdekakan. Untuk melawan media perdana yang melakukan conditioning dan yang sedang berfungsi sebagai panopticon ini, jurnalisme sivik sedang mendepani pertempuran yang dahsyat. Masyarakat sivil yang kurang tercemar oleh sebarang conditioning dan belum dipukau serta kebal oleh panopticon perlu melakukan penggemblengan tenaga untuk menyusun strategi menerusi jurnalisme sivik. Ideologi tunggal media yang dinamai sebelum ini sebagai ‘ideologi media’ memerlukan strategi berkesan untuk dikalahkan. Antara strategi yang dapat digariskan adalah pertamanya keperluan menggerakkan semua yang dipunyai untuk membasmi sikap tidak peduli. Untuk umat Melayu yang beragama Islam, Allah berfirman dalam surah Hud pada ayat 46, terjemahannya: ’Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak peduli’. Tidak peduli adalah musuh utama manusia, malah merupakan sumber kepada segala korupsi. Sikap tidak peduli memadamkan cahaya dan kuasa yang mendorong manusia kepada kepupusan. Pasukan jurnalisme sivik perlu menggunakan seluruh daya media alternatif untuk menjawab dan memberi respon kepada asakan media perdana. Strategi kedua adalah sasaran. Jurnalisme sivik perlu menentukan sasaran. Strategi bertingkat untuk membetulkan sasaran yang telah mengalami ’brainwash’ perlu ditekuni. Oleh kerana manusia tidak memiliki daya taakulan yang sama, kreativiti dalam penyampaian rasa peduli di atas perlu dipelbagaikan. Ada sesetengah madh’u di luar sana yang ’bodoh’ dan terus mempercayai kebodohan tersebut. Mereka menjadi si bodoh tegar setelah mengalami latih tubi seperti anjing dengan bunyi denting loceng setiap jam 3 petang. Sang anjing atau ’si bodoh’ ini adalah kelompok yang sukar untuk dipulihkan. Analoginya tepat adalah mereka merupakan penagih tegar. Dadah sudah merasuk mereka. Yang boleh disedarkan ialah kelompok masyarakat yang ada sedikit kesedaran. Peranan mereka yang perlu membaja anggota komuniti yang separa sedar ini terletak di bahu jurnalis sivik yang antara lain adalah para intelektual awam, para ilmuan yang jujur, para budayawan yang memahami hakikat bahawa setiap kota itu peradaban, rumah di dalamnya haruslah budaya dan ’tiang serinya’ pula hendaklah agama. Oleh kerana itu, kumpulan terbesar dalam jurnalis sivik ini adalah golongan ’ulul albab’. Kesimpulan Di awal artikel ini ada disentuh mengenai tawaran kerajaan untuk parti pembangkang menerangkan isi atau muatan manifesto mereka di saluran televisyen rasmi RTM. Apa yang berlaku ialah tawaran terhad selama 10 minit untuk parti pembangkang, dan penggunaan media tanpa limit buat parti penyandang. Menjelang pilihanraya yang bakal berlangsung beberapa minggu mendatang, tindak-tanduk media perdana yang mengekang informasi sihat dan menyarankan ideologi media kepada audien dapat diperhatikan coraknya. Media perdana melakukan proses conditioning tanpa segan silu, menunjukkan ketiadaan proses demokrasi yang sihat untuk semua entiti politik yang sedang bersaing. Sebagai panopticon, media juga memantau dan memaksakan gerak geri bakal pengundi. Dalam masa yang sama, kemunculan jurnalisme sivik dalam bentuk media alternatif memberi ruang perlawanan yang sedikit. Cabaran besar jurnalisme sivik ialah menentang ketempangan demokrasi. Media alternatif perlu berlaku kreatif dalam menyampaikan maklumat yang adil, fleksibel, lebih jujur kepada khayalak. Untuk tujuan itu, media perlu menimbangkan sikap tidak peduli sesetengah audien memandangkan mereka adalah mangsa conditioning. Seterusnya, media alternatif perlu menentukan sasaran. Audien yang sudah terpukau dengan media perdana tidak begitu bermanfaat untuk menyertai proses demokrasi yang sihat lagi. Khalayak ini telah pun menetapkan fikiran dan tekad mereka untuk memilih. Walaubagaimanapun, kehadiran golongan intelek yang menyumbang fikiran, idea dan ulasan di media alternatif dapat meningkatkan peranan jurnalisme sivik dan sedikit sebanyak mencorakkan rentak pilihanraya yang benar-benar sihat.

Nota   [i] Memadai misalnya untuk merujuk Shapiro, M.M. 1962. Temporal Relationship Between Salivation and Lever Pressing With Differential Reinforcement of Low Rates Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 567-571. Juga Kintsch, W. & Witte, R.S. 1962. Concurrent Conditioning of Bar-Press and Salivation Responses. Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 963-968.  
[ii] Untuk pemahaman lanjut, lihat Foucault, M. 1979. Terj. Sheridan, A. Discipline and Punish: The Birth of the Prison. New York: Vintage Books.     Rujukan   Anderson, R. &. Dardene, R. &. Killenberg, G.M. 1994. The Conversation of Journalism: Communication, Community and News. Westport: CT Praeger.   Black, J (ed.) 1997. Mixed News: The Public/Civic/Communitarian Journalism Debate. Mahwah NJ: Lawrence Erlbaum.   Foucault, M. 1979. Terj. Sheridan, A. Discipline and Punish: The Birth of the Prison. New York: Vintage Books.   Gans, H.J. 1979. Deciding What’s News. A Study of CBS Evening News, NBC Nightly News, Newsweek and Time. New York: Pantheon Books.   Merritt, D.B. 1995. Public Journalism & Public Life: Why Telling the News is Not Enough. Hillsdale NJ: Lawrence Erlbaum.   Ramanathan, K. 1989. Asas Sains Politik. Shah Alam: Fajar Bakti.   Schudson, M. 1995. The Power of News. Cambridge MA: Harvard University Press.   Shapiro, M.M. 1962. Temporal Relationship Between Salivation and Lever Pressing With Differential Reinforcement of Low Rates. Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 567-571.   Kintsch, W. &. Witte. R.S. 1962. Concurent Conditioning of Bar-Press and Salivation Responses. Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 963-968.          
]]>