Projek Dialog

Persekutuan Kristian Malaysia: Kita mesti terus berharap

Tahun ini, kita memperingati Ulang Tahun Merdeka yang ke-57 dan ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-51. Masyarakat Kristian di Malaysia sentiasa menganggap ia suatu rahmat untuk berkongsi detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting sepanjang sejarah kita sebagai satu negara. Walau bagaimanapun, pengalaman kami sepanjang tahun ini tercalar akibat dua kejadian; pertamanya, perampasan Kitab Suci kami daripada premis Pertubuhan Bible Malaysia dan keduanya, keengganan Mahkamah Persekutuan untuk memberi kebenaran kepada Gereja Roman Katolik untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes Herald. Kami terus bimbang tentang status kitab suci yang dirampas dan kesudahan beberapa kes-kes mahkamah yang belum diputuskan berhubung dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh umat-umat Kristian. Tambahannya, kita juga menyaksikan peningkatan di dalam fahaman pelampau perkauman dan keagamaan, di mana puak-puak dengan kebencian dan pemikiran sempit sering dimarakkan oleh maklumat palsu dan penyalahtafsiran; dusta dan ucapan-ucapan yang mengapi-apikan merobek susunan kemasyarakatan negara kita yang telah dibina di atas prinsip kesederhanaan dan kepelbagaian budaya. Kita percaya semua rakyat Malaysia sesungguhnya turut merasa bimbang. Memandangkan pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi hari ini, tambahan dengan kenyataan dan pengumuman kurang sensitif dan kurang logik daripada sesetengah anggota kerajaan serta parti politik yang mentadbir, juga menerusi pemacuan dasar ekonomi yang hanya menambahkan kos sara hidup, maka ia tidak menghairankan apabila ramai telah menunduk kepada pandangan pesimis dan sinis. Sekiranya kita ingin terus bertahan sebagai sebuah negara yang bersatu, dan ingin mempertahankan harapan untuk masa depan bersama, kita semua mesti melawan dan menentang pengaruh-pengaruh yang membinasakan ini. Semua yang menyerah kepada ketakutan dan kekecewaan akan menjadi musuh harapan. Sebaliknya, kita mesti mengelakkan kenaifan dan optimis palsu yang berpunca daripada kejahilan dan sikap acuh tak acuh ataupun perbuatan sengaja bagi menutup isu-isu yang penting. Apakah itu harapan sejati?

Harapan sejati melibatkan pengorbanan kerana ia tidak berkisar pada kedamaian minda atau ketiadaan persengketaan.

Harapan sejati menuntut keberanian untuk mengambil risiko, tekad moral untuk terus setia dengan pegangan kita serta melawan secara aktif terhadap pengaruh-pengaruh binasa, kebencian dan keganasan.

Harapan sejati tidak sesekali menafikan kebenaran, hakikat kehidupan yang suram, pereputan dan kerasuahan yang menjangkiti masyarakat kita. Harapan sejati mesti mendedahkan selubung dusta, penipuan dan tipu daya yang sering digunakan untuk memaksa dan menakluki minda menerusi maklumat palsu dan ketakutan.

Harapan sejati nampak masa depan adalah terletak pada perbincangan yang bermakna, penerimaan sesama sendiri, kerendahan hati dan saling menghormati.

Harapan sejati menuntut untuk orang lain apa yang kita tuntut untuk diri kita.

Harapan sejati tidak memisahkan “kita” daripada “mereka” tetapi menganggap semua sebagai “satu”. Dan setiap tindakan yang memberi harapan merupakan satu kemenangan. Justerunya, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi komitmen baru kepada kerjasama padu demi menyelamatkan Malaysia daripada pengaruh pemikiran sempit, fahaman agama pelampau dan perpecahan kaum. Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk berusaha lebih gigih lagi ke arah perubahan individu, antara individu dan institusi untuk mengubah negara kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih bertoleransi dan berprihatin di mana semua dapat menikmati sepenuhnya kehidupan dan kebebasan, perlindungan saksama di bawah undang-undang dan kebebasan asasi. Kami menyaran semua rakyat Malaysia untuk menyokong pergerakan-pergerakan dan kumpulan-kumpulan yang berusaha untuk menyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia agar kita dapat hidup aman dan damai. Kebelakangan ini, negara kita diselubungi oleh kedukaan yang teramat atas kehilangan penumpang dan krew-krew pesawat penerbangan MH 370 dan MH 17. Umat-umat Kristian di Malaysia bersatu dengan semua rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat yang kehilangan orang kesayangan dan rakan mereka dalam dua tragedi ini, dalam doa dan renungan mendalam, demi memohon ketenangan jiwa dan pendorongan bagi mereka yang berkabung. Walau bagaimanapun, kita menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak menunduk kepada perasaan putus asa dan kemuraman di hari-hari yang sukar ini. Marilah kita bersatu di dalam doa kepada Tuhan yang Maha Kuasa bagi memohon kekuatan untuk bertahan dan kegagahan untuk berharap dan berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia. Kami memanjatkan doa untuk pemimpin-pemimpin negara kita, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Mentri-mentri Besar dan Ketua-ketua Menteri serta ahli-ahli kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, para kehakiman, pasukan polis dan angkatan tentera, semoga mereka menjunjungkan kebebasan beragama dengan integriti mutlak sepertimana yang dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk kebaikan bersama. Semoga Allah merahmati negara kita yang tercinta, Malaysia, serta semua rakyatnya!
Ditandatangani oleh,



Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi Bishop Emeritus Antony Selvanayagam, Naib Pengerusi

Archbishop Datuk Bolly Lapok, Naib Pengerusi

Rev. Datuk Jerry Dusing, Naib Pengerusi

]]>

MH370: teruskan doa dan harapan

Malaysia Airlines (MAS) MH370. Pihak berkuasa Malaysia termasuk Ketua Eksekutif MAS juga tidak dapat menafikan kemungkinan kapal terbang tersebut mungkin dirampas. Merujuk sumber berita semasa yang saya perhatikan saban hari, Perdana Menteri Najib Razak ada memberitahu wartawan bahawa  perubahan haluan MH370 adalah disengajakan dan menyimpang dari laluan asal yang mungkin dilakukan oleh seseorang dalam penerbangan ada. Sambutan daripada masyarakat Kristian Dalam komuniti masyarakat Kristian, terutama daripada perspektif Gereja Katolik, Paus Fransiskus menyampaikan rasa prihatin beliau dan menyeru untuk berdoa sejurus tengahari ketika sesi Angelus 16 Mac yang lalu bersama ribuan penziarah Katolik serata dunia di Dataran Santo Petrus di Vatikan dan memberikan mereka  tanda pemberkatan. “Saya mengajak anda semua berdoa bagi keselamatan para penumpang dan anak kapal pesawat MAS dan keluarga mereka. Pada masa sukar ini, kita sentiasa berada dekat dengan mereka dalam doa.” Demikianlah kata-kata beliau semasa menutup sesi Angelus. Paus Francis menyuarakan kata-kata pengharapan ini tatkala pada saat kebimbangan besar melanda negara yang majoritinya beragama Islam dengan 29 juta penduduk, manakala populasi Kristiannya adalah 9.2 peratus di mana Takhta Suci (Holy See) mempunyai hubungan baik dengan Malaysia sejak mencapai penubuhannya pada tahun 1963. Takhta Suci menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia  pada bulan Julai, 2011. Selain itu, saya juga ada menghadiri upacara Misa Kudus di Gereja Nativity of Blessed Virgin Mary di Bukit Mertajam pada Ahad 16 Mac 2014. Sebelum upacara misa bermula, doa khas ‘novena’ diadakan selama 30 minit bagi pesawat MH370. Dalam novena tersebut, banyak perkara doa didoakan seperti keselamatan penumpang, kebijaksanaan pemimpin negara, usaha mencari dipermudahkan, keselamatan anggota petugas mencari dan keluarga mangsa penumpang. Doa dan harapan Bagi saya, peristiwa ini berjaya menyatu padukan masyarakat dunia melalui pelbagai cara. Kommuniti pelbagai agama, aktivis, masyarakat antarabangsa dan tempatan tampil mengadakan pelbagai bagi menyatakan harapan mereka agar MH370 ditemukan kembali. Aktiviti seperti mengumpul tandatangan, doa beramai-ramai, dan sebagainya diadakan bagi memupuk solidariti terhadap pesawat MH370. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah juga tampil mengetuai doa antara agama di KLIA  pada 9 Mac lalu. Diikuti 21 Mac kemudian, kommuniti Muslim mengadakan solat hajat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya manakala kommuniti Buddha di negara ini dijangka menyertai upacara sembahyang secara besar-besaran Ahad ini untuk mendoakan usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas berjalan lancar di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang pada Ahad 6 April. Bagi saya, dalam saat-saat negara ditimpa tragedi yang sukar seperti kehilangan MH370 ini doa merupakan senjata yang penting bagi orang-orang yang percaya. Disini, saya lihat secanggih mana pun peralatan dan kelengkapan adalah tidak lengkap jika tidak disertakan doa. Doa bukan juga sekadar terapi minda sebagaimana disampaikan oleh saintis tetapi doa memacu hubungan peribadi sesorang kepada Sang Penciptanya bahawa dirinya hanyalah manusia biasa yang tidak mampu hidup tanpa petunjuknya. Manusia tidak akan faham bila musibah dan derita melanda mereka namun Tuhan sebenarnya bukan kalah dan bisu terhadap makhluk ciptaaanNya tetapi Dia ingin melihat bagaimana kita sebagai manusia sejagat mengendali isu kemanusiaan ini secara bersama acapkali setiap negara masing-masing alpa akan banyak isu-isu yang meruncing seperti kemiskinan, pemanasan global dan sebagainya. Bagi saya, ia merupakan satu “wake up call” bagi manusia sejagat agar terus berusaha untuk meringankan beban antara satu sama lain dan bertanggungjawab terhadap alam sekeliling. Akhir kalam, walaupun misi mencari mencari masih giat dijalankan  doa wajarlah tidak diberhentikan sehinggalah pesawat itu dijumpai. Saya yakin seiring dengan  usaha mencari dan pelbagai acara umum bagi solidariti bersama keluarga mangsa pesawat MH370, doa berupaya untuk mengubah segala sesuatu. Yakin dan tawakal kita berharap akan ada hikmah dan pengakhiran dalam  tragedi ini dimasa mendatang. Doaku dan doa seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia adalah harapan dan sirna  agar diketemukan pesawat MH370 akan berterusan.       unnamed

]]>