Projek Dialog

Pendidikan Merawat Sikap Kediktatoran (Bahagian 2)

Oppression Diktator, Masyarakat Diktator & Ketakutan Kolektif Sebagaimana ditulis pada bahagian pertama, kewujudan pemerintahan diktator (atau separa diktator) sangat berkait rapat dengan wujudnya masyarakat yang diktator. Sementara masyarakat tersebut terbentuk daripada individu-individu yang hidup dalam suasana ‘pendidikan kediktatoran’. Antaranya, mereka merupakan masyarakat yang menyerahkan tanggungjawab mereka kepada “pihak yang bertanggungjawab” semata-mata. Tanggungjawab selaku manusia dan warga terhad sekadar untuk diri (dan ahli keluarga terdekat), tidak lebih daripada itu. Mereka juga sebuah masyarakat yang punya sikap takut secara kolektif. Ketakutan secara kolektif menyebabkan mereka takut membantah sebarang ketidakadilan, takut melapor kesalahan pihak berkedudukan, lebih rela berdiam diri dibungkam suara dan kebebasan dan seumpamanya. Sifat takut secara kolektif itu hakikatnya berasal daripada sifat takut yang ada dalam individu-individu, lalu tergabung dan menjadi lebih besar. Media Propaganda Media Propaganda & Ketakutan Kolektif di Negara-negara Demokrasi Sifat takut secara kolektif itu turut dibentuk oleh propaganda sebahagian media. Rakyat dialih fokus supaya takut dengan bangsa dan kumpulan tertentu, sambil diajar untuk “berani” menerima bahawa rasuah, penipuan dan sebagainya “tidak mengapa” demi kepentingan mereka, dan supaya “orang lain” tidak merampasnya. Justeru ketakutan asalnya sebuah sikap sesetengah individu, berubah menjadi kolektif. Suasana persekitaran seperti alat kekuasaan yang mengambil kesempatan melakukan pendidikan kediktatoran menerusi penyebaran sifat ketakutan. Selain itu, sebahagian penguasa kadang-kadang mencipta “musuh” dalam negara dan luar negara, demi menghalalkan proses penyahdemokrasian. Rakyat ditakutkan dengan “musuh” tertentu, media lalu menyebarkannya. Kadang-kadang musuh yang diciptakan ada dalam negara; seperti para pemimpin politik atau pemimpin gerakan sosial yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Kadang-kadang musuh yang diciptakan itu ada di luar negara; seperti badan dan kumpulan tertentu. Apabila telah tersebar kewujudan musuh, maka beberapa undang-undang dan akta baharu diperkenalkan, walaupun peraturan-peraturan itu bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, tetapi ia menjadi halal demi keselamatan negara! Kita boleh melihat realiti ini dalam dunia antarabangsa, termasuk oleh negara yang mengaku paling demokratik dan jaguh hak-hak asasi manusia. Amerika melancarkan “perang terhadap keganasan” (war on terrorism), secara terangnya ia dituju kepada Islam dan para penganutnya. Atas slogan tersebut, mereka mula mendemonisasi badan, pertubuhan dan tokoh-tokoh tertentu yang beragama Islam. Media-media ternama pula menyampaikannya dengan berkesan. Istilah-istilah tertentu seperti “jihad”, “hijab” dan “Islamis” ditafsirkan dengan tafsiran tertentu, disebarkan media-media antarabangsa dan ia akhirnya menjadi tafsiran popular dalam kalangan sesetengah pihak. Sesetengah masyarakat dunia yang “demokratik” pula merelakannya, demi keselamatan “kami” dan “kita”! Seperti konteks ketakutan kolektif dalam perbincangan kita di atas, ia turut terpakai dalam dunia antarabangsa; ketakutan secara individual oleh sesetengah negara akhirnya membentuk ketakutan kolektif, dan akhirnya negara-negara “kuasa besar” membuli masyarakat antarabangsa dengan pelbagai slogan muluk atas nama “kebaikan kita”. Tanpa disedari, akhirnya semua pihak bercakap tentang jaminan keselamatan, ancaman, ketakutan, musuh dan sebagainya, lalu emosi menguasai minda; khasnya dalam pelaksanaan dasar dan interaksi antara manusia yang berlainan identiti (kaum, agama, jantina, kecenderungan politik dan sebagainya). Dek kerana ketakutan sebegitu; “kita tidak lagi boleh berfikir dengan tenang, rasional dan dengan erti sebagai manusia.” Your Place Hukum Alam: Rahsia Perubahan Sosial  Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha mengubahnya . Fethullah Gulen telah menyatakan: “Islam menganggap sesuatu masyarakat terdiri daripada manusia berkesedaran yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah, bertentangan dengan pendekatan fatalistik sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialisme dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan individu menatijahkan hasil kehidupannya di dunia mahupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah dirinya [berkenaan keyakinan, pandangan dunia dan gaya hidup]” Inilah rahsia perubahan sosial zaman-berzaman, segala perjuangan dan perubahan yang besar pasti bermula dengan perubahan yang datang dari dalam diri manusia. Jika ketakutan meninggalkan kesan besar dalam cara berfikir manusia; di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, maka menanganinya merupakan suatu tanggungjawab. Hitler Pendidikan Membentuk Struktur Sosial, Melawan Ketaksuban & Korupsi Keberanian datang dari dalam diri manusia, jalan terbaik untuk membentuknya sudah tentu menerusi pendidikan. Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan. Masyarakat pula menjadi penentu sama ada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksanakannya. Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan: “Kita bercakap tentang kekayaan namun kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu ini merupakan asas korupsi dalam politik, hubungan kuat antara kehebatan seorang manusia dengan kekuasaannya – idea meluas tentang kepahlawanan, bagaimana untuk menyembah mereka, inilah masalahnya, dan ini juga yang membawa kepada korupsi.” Mencipta Keberanian & Pendidikan Demokratik Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu dalam menggerakkan masyarakat menuju kesedaran dan tanggungjawab. Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala. Pendidikan (menerusi apa medium sekalipun) haruslah mengajar keberanian; berani untuk memberi pandangan, mempertahankan hak, membuat laporan atas sebarang ketidakadilan dan sebagainya. Bagi masyarakat Muslim – pada pandangan saya – antara medium yang baik untuk mendidik keberanian ialah menerusi proses pengajaran keagamaan yang berlangsung di pelbagai tempat. Selain berkait dengan sistem kepercayaan dan psikologi, pendidikan berkaitan undang-undang juga sangat penting dalam mencipta keberanian. Manusia akan bertambah berani dan yakin apabila mereka tahu akan hak-hak mereka yang terjamin dalam perlembagaan, selain setelah mereka tahu saluran dan prosedur yang sepatutnya. Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, teater jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan. No Racism Pentingnya Persaudaraan Sejagat Melahirkan masyarakat yang berani, demokratik, bertanggungjawab dan ada misi kemanusiaan haruslah turut disertai dengan penerapan nilai-nilai sejagat yang dikongsi semua pihak. Salah satunya ialah nilai persaudaraan. Nilai persaudaraan sangat penting dalam membendung suasana ketakutan dan pembulian oleh kekuasaan. Atas nama persaudaraan kemanusiaan, maka kita membela hak golongan yang tersisih dan dinafikan hak mereka. Ia asasnya bermula dari dalam diri, menerusi latihan dan didikan oleh keluarga, sekolah, komuniti masyarakat dan sebagainya. Persaudaraan kemanusiaan dan kenegaraan akan menyebabkan kita mendahulukan perbincangan dalam kebanyakan perkara, menghindari permusuhan, kritikal terhadap media dan kekuasaan, serta berwaspada dengan cubaan-cubaan penyebaran sikap ketakutan membuta tuli (sudah tentu ketakutan dalam keadaan tertentu, ada relevannya) dalam masyarakat. Dalam sesebuah negara, kita ibarat berada dalam sebuah bahtera yang sedang berada di tengah-tengah lautan luas. Demi kebaikan dan kepentingan bersama, sebarang tindakan dan langkah yang diambil haruslah dianggap penting. Demikian juga dalam konteks antarabangsa, kita semua adalah warga dunia yang satu, ibarat dalam sebuah bahtera yang besar dan memerlukan kita sentiasa cuba memastikan peranan kita dalam memelihara kebaikan dan menolak kejahatan. Disebabkan latar belakang yang berbeza (sosial, agama, bangsa, negara dan lain-lain), menjadi suatu yang amat rumit untuk kita mencapai kata sepakat dalam setiap perkara. Oleh itu ia menjadi suatu kemestian untuk kita bersetuju untuk tidak bersetuju namun bersepakat dalam hal-hal asas yang bersifat kenilaian sejagat. Dialog & Tawaduk Dialog juga tidak semestinya akan menyebabkan kedua-duanya mencapai persetujuan dalam setiap perkara, tetapi setidak-tidaknya dialog akan mengurangkan kebencian tanpa asas antara dua (atau lebih) pihak yang berbeza. Menurut perspektif Islam, mengutamakan dialog dan kerjasama dalam hal-hal berbentuk nilai sejagat menjadi antara sifat asasnya, sambil bersedia untuk bertegas dalam hal-hal yang menjadi asas keyakinan (bersetuju untuk tidak bersetuju). Asasnya ialah rasa sifat tawaduk dan tidak meninggi diri. Tawaduk sekalipun sangat ditekankan dalam pemikiran Islam, namun ia tetap sebuah nilai sejagat yang mesti disebarkan. Tawaduk bukan sebuah “kerendahan hati” lalu menyebabkan kita menyerahkan diri kepada sebarang penyalahgunaan kekuasaan. Tapi tawaduk ialah sebuah nilai yang mengajar kita merendah diri, mendengar, meluaskan bacaan dan menambah persahabatan. Tawaduk menyebabkan kita sentiasa mahu belajar dan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan. Dalam dialog (dan bahkan seluruh kehidupan kita), nilai tawaduk sangat penting dan merupakan sebuah perhiasan ketamadunan. Paulo Freire turut menekankan kerendahan diri dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed sewaktu membincangkan tentang dialog dan hubungannya dengan pembebasan. Katanya: “Bagaimanakah saya mengambil bahagian dalam sesuatu dialog jika saya sentiasa melemparkan kejahilan terhadap orang lain dan tidak melihat diri sendiri?” Freedom Kebebasan, Kemanusiaan & Moraliti  Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator, sementara pendidikan merupakan asas rawatannya. Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Walaupun keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, namun keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan. Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract: “Menolak kebebasan bererti menolak kemanusiaan, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya, tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu tidak selari dengan fitrah manusia; membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moraliti daripada tindakannya.” Renungan & Kesimpulan Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai kecuali ke atas golongan diktator. Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhan yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.” Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”. Ketakutan mesti ditukar menjadi keberanian dan tawaduk mesti menggantikan sikap keangkuhan. Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 5 Mei 2014]

]]>

Fokus Paus Kepada Kemiskinan Mengangkat Teologi Yang Dicemuh

Upacara Misa Kudus bagi proses beatifikasi Uskup Agung Romero yang membawa gelaran “Beato Oscar Romero” Upacara Misa Kudus bagi proses beatifikasi Uskup Agung Romero yang membawa gelaran “Beato Oscar Romero”[/caption] Penterjemahan tidak rasmi “Pope’s Focus on Poor Revives Scorned Theology” oleh Jim Yardley dan Simon Romero, terbitan www.nytimes.com. Diterjemah oleh Calvin Ohsey. KOTA VATIKAN – Enam bulan selepas menjadi paus pertama dari Amerika Latin, Paus Fransiskus menjemput paderi berumur lingkungan 80an dari Peru untuk suatu dialog peribadi di kediamannya di Vatikan. Tidak tersenarai dalam jadual rasmi paus, perjumpaan bersama paderi Gustavo Gutierrez pada September 2013 pantas menjadi pengetahuan umum – dan lantas dianggap sebagai saat perubahan penting dalam Gereja Katolik Roma. Paderi Guttierrez merupakan pengasas teologi pembebasan, suatu gerakan Amerika Latin yang mengangkat golongan miskin dan menyeru perubahan sosial, yang suatu kala dahulu ditolak para konservatif kerana dilihat cenderung kepada ajaran Marxisme dan dimusuhi hebat oleh pihak Vatikan. Kini, paderi Guttierrez merupakan tetamu Vatikan yang dihormati, dan penulisannya dipuji dalam akhbar rasmi Vatikan. Fransiskus telah mengembalikan pandangan positif terhadap paderi-paderi Amerika Latin dan seringkali menggunakan bahasa yang berbaur teologi pembebasan apabila menyentuh tentang golongan miskin. Dan kemudian Sabtu lalu (23 Mei 2015), berbondong-bondong manusia membanjiri San Salvador untuk upacara beatifikasi Uskup Agung Oskar Romero, iaitu hanya satu langkah daripada status santo. Sebagai paus pertama dari dunia membangun, Fransiskus telah mejadikan kaum miskin tumpuan kepausannya. Dengan sedemikian, beliau berhubung secara langsung dengan gerakan teologi yang pernah membahagikan umat Katolik dan dicurigai paus-paus sebelumnya iaitu Paus Yohanes Paulus ke-2 dan Paus Benediktus ke-16. Bahkan Fransiskus, sebagai seorang pemimpin Yesuit muda di Argentina dahulu, juga pernah ragu-ragu. Kini, Fransiskus berbicara tentang membina “gereja miskin untuk golongan miskin” dan ingin meletakkan Gereja Katolik lebih dekat kepada seluruh umat awam – misi spiritual yang timbul selari dengan usaha beliau untuk menghidupkan kembali gereja di Amerika Latin, yang kian dengan tertewas dengan kongregasi umat evangelikal. Selama bertahun-tahun, Vatikan mengkritik teologi pembebasan dan uskup-uskup konservatif Amerika Latin membantut proses kanosisasi Uskup Agung Romero, walaupun ramai umat Katolik serantau menggangap beliau sebagai tokoh moral yang dikagumi: pengkritik lantang ketidak-adilan sosial dan penindasan politik yang telah dibunuh ketika misa kudus pada tahun  1980. Fransiskus bagaimanapun memecahkan kebuntuan tersebut. “Ianya begitu penting,” ujar paderi Gutierrez. “Seorang yang dibunuh kerana komitmen terhadap umatnya akan membawa pencerahan kepada Amerika Latin.” Proses beatifikasi ini barangkali permulaan bagi sebuah ciri penting kepausan Fransiskus, dengan kunjungan ke Amerika Selatan, Cuba dan Amerika Syarikat; pengisytiharan surat ensiklik yang dinanti-nantikan mengenai kemerosotan alam sekitar dan golongan miskin; perjumpaan di Roma untuk mengenalpasti samaada dan bagaimana gereja akan merubah pandangannya terhadap isu seperti homoseksual, pencegahan kehamilan dan penceraian. Dengan memajukan kempen untuk menjadikan Uskup Agung Romero sebagai santo, para penganalisis menganggap Fransiskus memberi isyarat bahawa kesetiaan gereja adalah kepada kaum miskin, yang pernah melihat uskup-uskup lebih cenderung menyokong kerajaan yang korup. [caption id="attachment_4773" align="alignleft" width="286"]Gambar Uskup Agung Oscar Romero Gambar Uskup Agung Oscar Romero[/caption] Hakikatnya, Uskup Agung Romero dilihat sebagai santo popular di El Salvador walaupun ketika Vatikan menghalang proses kanosisasinya. “Ianya bukan teologi pembebasan yang sedang dipulihkan,” ujar Michael E. Lee, seorang professor madya dalam teologi di Fordham University yang pernah menulis tentang teologi pembebasan. “Ianya gereja yang sedang dipulihkan.” Teologi pembebasan melibatkan kritikan terhadap struktur yang menyebabkan kemiskinan dan menyeru gereja dan kaum miskin supaya mengaturkan perubahan sosial. Encik Lee menyatakan bahawa ianya satu aliran pemikiran yang luas: Gerakannya berbeza mengikut negara, sesetengahnya lebih politikal dari yang lain. Gerakan yang lebih besar muncul lantaran perjumpaan penting antara uskup-uskup Amerika Latin di Medellín, Columbia, pada tahun 1968 yang bertunjangkan kepercayaan bahawa masalah kaum miskin sepatutnya menjadi tumpuan tafsiran Alkitab (Bible) dan misi Kristiani. Namun dengan Perang Dingin yang membara hebat ketika itu, sesetengah pengkritik menolak teologi pembebasan sebagai Marxis, dan penentangan konservatif lantas berlaku. Di Vatikan, Yohanes Paulus ke-2, Paus dari Poland yang kemudiannya akan dipuji kerana peranannya menjatuhkan Kesatuan Soviet, menjadi ragu-ragu dengan elemen politik yang timbul dalam gerakan-gerakan Amerika Latin baru ketika itu. “Kesemua retorik ini menjadikan Vatikan sangat gelisah,” kata Ivan Patrella, seorang penggubal undang-undang  dan sarjana teologi pembebasan di Argentina. “Sekiranya kamu muncul disebalik Tabir Besi (Iron Curtain), kamu akan mengesyaki bauran komunisme disitu.” Yohanes Paulus bertindak dengan melantik uskup-uskup konservatif di Amerika Latin dan menyokong kelompok Katolik konservatif seperti Opus Dei dan Legiun Kristus, yang menentang teologi pembebasan. Pada tahun 1980an, Kardinal Joseph Ratzinger – yang kemudiannya menjadi Paus Benediktus ke-16, namun ketika itu merupakan penguatkuasa doktrin di Vatikan – mengeluarkan 2 kenyataan mengenai teologi pembebasan. Yang pertama amat kritikal, namun yang keduanya kurang kasar, dan membawa persoalan samaada penentangan Vatikan semakin berkurangan. Sejak pelantikannya pada tahun 1973 sebagai Ketua Yesuit di Argentina, Fransiskus, yang berusia 36 tahun ketika itu dan dikenali sebagai Jorge Mario Bergoglio, dilihat begitu prihatin dengan kemiskinan. Namun para agamawan yang mengenali beliau mengatakan Fransiskus, seperti kebanyakan institusi gereja Katolik Argentina yang lain, merasakan bahawa teologi pembebasan adalah terlalu politikal. Pengkritik juga menyalahkan beliau kerana gagal menghalang penculikan dan penyiksaan 2 paderi yang menyokong teologi pembebasan. Ada di kalangan hierarki gereja yang menganggap Fransiskus sebagai seorang yang memecahbelahkan dan autokratik dalam tempoh 15 tahun beliau memimpin Yesuit. Pihak berkuasa gereja kemudian menghantar beliau dalam beberapa tempoh pembuangan, pertamanya di Jerman dan seterusnya di Cordoba, Argentina, di mana beliau kemudiannya menggambarkan sebagai “satu tempoh krisis dalaman yang besar.” Beliau mengamalkan senaman spiritual dan mengubah cara kepimpinannya untuk melibatkan lebih dialog. Apabila beliau dinamakan sebagai uskup agung Buenos Aires, tumpuan beliau lebih kepada yang tercicir lantaran pergolakan ekonomi Argentina. “Dengan berakhirnya Perang Dingin, beliau mula melihat bahawa teologi pembebasan bukannya sinonim dengan Marxisme, sepertimana yang didakwa pihak konservatif,” ujar Paul Valley, penulis “Pope Francis: Untying the Knots.” Krisis kewangan Argentina pada awal abad ke-21 telah membentuk sudut pandang beliau, apabila beliau “mula melihat bahawa sistem ekonomi, bukan sahaja individual, boleh menjadi dosa,” Encik Valley menambah. Sejak menjadi Paus, Fransiskus telah mengkritik keras kapitalisme, mengakui bahawa globalisasi telah mengangkat ramai daripada kemiskinan namun juga mencipta jurang yang besar dan “menjerat ramai yang lain kepada kebuluran.” Beliau turut memberi amaran, “Tanpa penyelesaian kepada masalah kemiskinan, kita takkan berupaya menyelesaikan masalah dunia.” Di Argentina, sesetengah pengkritik kurang yakin bahawa kelantangan Fransiskus tentang kemiskinan merupakan satu pengiktirafan terhadap teologi pembebasan. “Beliau tidak pernah menerajui teologi pembebasan kerana ianya radikal,” ujar Rubén Rufino Dri, yang bekerjasama dengan sekumpulan paderi di kawasan setinggan Buenos Aires pada lewat 1960an dan 1970an. Bagi beliau, keputusan Fransiskus untuk mempermudahkan proses beatifikasi Uskup Agung Romero merupakan satu langkah politik, yang disifatkan Rufino Dri sebagai satu “transformasi luaran” Gereja Katolik untuk bersaing dengan sekularisme dan cabangan denominasi Kristian yang lain di Amerika Latin. “Ianya langkah populis dari seorang politikus hebat,” katanya. Ada yang mengutarakan pandangan yang lebih rumit. José María di Paola, 53, seorang paderi yang rapat kepada Fransiskus dan pernah bekerja dengan beliau di kalangan golongan miskin di Buenos Aires, mengatakan bahawa proses beatifikasi ini mencerminkan satu usaha Fransiskus bagi mengurangkan tumpuan Vatikan ke Eropah. “Ianya sebahagian daripada proses untuk menamatkan tafsiran gereja yang Eurosentrik terhadap dunia dan menaikkan kepentingan sudut pandang Amerika Latin,” katanya. Paderi di Paola menambah bahawa sementara Fransiskus belum pernah mencadangkan penginjilan di bawah payung teologi pembebasan dalam tempoh perkhidmatannya di Argentina, komitmen beliau terhadap golongan miskin sewajarnya tidak dipersoalkan. “Perjalanan Fransiskus menelusuri setinggan kemiskinan di ibukota mempengaruhi beliau sebagai uskup dan seterusnya paus,” katanya. “Mengalami nilai kehidupan si miskin telah mengubah hatinya.” Sebagai paus, Fransiskus telah memperluaskan peranan sentris yang bersimpati dengan teologi pembebasan, seperti Kardinal Óscar Rodríguez Maradiaga dari Honduras, berbanding dengan pengaruh yang dahulunya dipegang oleh kardinal konservatif di Amerika Latin seperti Alfonso López Trujillo dari Columbia, yang meninggal pada tahun 2008. “Trujillo mewakili pemikiran bahawa teologi pembebasan merupakan kuda Trojan dimana komunisme akan menyusup ke dalam gereja, suatu pemikiran akhirnya akan ditamatkan oleh Paus Fransiskus,” ujar Leonardo Boff, 76, seorang sarjana teologi terkemuka dari Brazil yang pernah menulis mengenai teologi pembebasan. [caption id="attachment_4772" align="aligncenter" width="400"]Uskup Agung Romero rebah setelah ditembak sewaktu upacara misa kudus Uskup Agung Romero rebah setelah ditembak sewaktu upacara misa kudus[/caption] Ramai penganalisis menyedari bahawa Yohanes Paulus dan Benediktus tidak pernah secara langsung mengecam teologi pembebasan dan mula mengubah pandangan mereka secara perlahan. Pada tahun 2012, Benediktus membuka semula proses beatifikasi Uskup Agung Romero. Kardinal Gerhard Müller, seorang konservatif tegas yang mengetuai Kongregasi bagi Doktrin Keimanan, iaitu penguatkuasa doktrin di Vatikan, menjadi seorang pendukung teologi pembebasan setelah bekerja di Peru, di mana beliau berjumpa dengan Paderi Gutiérrez. Kedua-dua individu ini telah pun menulis beberapa buah buku bersama. “Pemulihan tidak wujud kerana tidak pernah adanya ‘kelemahan’,” kata Paderi Gutiérrez, menentang gagasan bahawa teologi pembebasan pernah diusir daripada gereja. “Pada tahun-tahun lalu, ada ura-ura tentang soal kecaman, dan rakyat mempercayainya. Apa yang berlaku sebenarnya sebuah dialog kritis, yang mempunyai saat-saat sukar namun benar-benar diperjelaskan mengikut masa.” Fransiskus sering menyeru umatnya untuk bertindak bagi pihak yang miskin, mengatakan bahawa ia akan mengubah diri mereka. Bagi mereka yang mengenali Uskup Agung Romero di El Salvador, perubahan ini penting. Beliau yang sebelumnya dianggap sebagai konservatif, mula berubah pada pertengahan tahun 1970-an, apabila beliau merupakan uskup bagi keuskupan luar bandar di mana tentera kerajaan telah membunuh orang-orang miskin. Tidak lama selepas beliau menjadi Uskup Agung San Salvador, beliau terkejut apabila kawan rapatnya, seorang paderi Yesuit, telah dibunuh, dan mula bersuara menentang keganasan dan penindasan kerajaan. “Beliau mula mengejutkan rakyat,” kata Jon Sobrino, seorang ahli teologi pembebasan terkemuka yang rapat kepada Uskup Agung Romero, yang menganggap bahawa punca transformasi beliau adalah keprihatinannya terhadap kemiskinan. “Mereka menjadikan beliau berbeza, lebih radikal, seperti Yesus,” kata Paderi Sobrino. “Beliau mendekati mereka, dan mereka mendekatinya, meminta bantuan dalam penderitaan mereka. Itu yang mengubah dirinya. ” Pada tahun 2007, Paderi Sobrino menghadapi pertembungannya sendiri dengan Vatikan apabila pejabat penggubal doktrin mempertikaikan beberapa penulisannya. Beliau tegas untuk tidak mengubahnya dan menganggap pembekuan proses beatifikasi Uskup Agung Romero sebahagiannya berpunca dari kekerasan Vatikan. “Ianya memerlukan paus baru untuk mengubah keadaan,” katanya. Jim Yardley melaporkan dari Kota Vatikan, dan Simon Romero dari Rio de Janeiro. Elisabeth Malkin dan Gene Palumbo menyumbang kepada laporan ini dari San Salvador, dan Jonathan Gilbert dari Buenos Aires.

]]>