Projek Dialog

Pesta Rakyat dan Demokrasi Radikal

Aku bermimpi main seruling, hadapan bunga di tepi kolam. Biarkan nasib aku terguling, asalkan bangsa tidak tenggelam. Barisan Nasional merupakan satu-satunya parti yang sentiasa menang dalam setiap pilihan raya umum sejak 1950-an. Sebagai parti yang memerintah selama lebih 50 tahun di Malaysia, perlaksanaan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan ternyata memberi kelebihan kepada orang Melayu umumnya dan UMNO khususnya. Sistem pemerintahan begini telah berjaya memelihara “kemakmuran dan keamanan” sejak merdeka lagi dalam arti kita masih punya hak untuk bernafas. Menurut mereka, sebagai manusia, kita hanya perlu hak itu dan bukan yang lain – hak berhimpun, hak bersuara, semuanya hanya setakat formaliti dalam Perlembagaan Persekutuan (yang juga menjadi instrumen kepada penguasa). Tidak cukup dengan itu, dengan memakai nama demokrasi, disekatnya kemerdekaan akhbar dan menyuburkan surat layang yang luar biasa banyaknya dalam PRU-PRU lepas. Namun, sama ada demokrasi yang dilaksanakan di negara ini berjaya memilih wakil rakyat yang selayaknya itu hal kedua menurut mereka, janji ia menurut semangat demokrasi yang kelihatannya mementingkan “means” berbanding “ends”. Sehinggalah baru-baru ini, “demokrasi peti undi” tidak lagi mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Lalu, dibuatlah perhimpunan sebagai satu lagi alternatif untuk meluahkan rasa hati (dipanggillah sebagai “perhimpunan aman” mungkin kerana tidak mahu menyinggung susila masyarakat Timur). Perhimpunan yang dibawa ke serata negeri kali ini berhujung dengan Pesta Rakyat di Amcorp Mall Petaling Jaya pada hari Sabtu dan Ahad. Berlainan dengan perhimpunan-perhimpunan yang lepas, ia tidak disertai dengan kehadiran FRU yang serba lengkap dengan gas canister. Maka tidak kedapatanlah gerai-gerai yang mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit maupun kerosakan harta benda awam – menurut Buletin Utama TV3. Pesta Rakyat kali ini dapatlah kiranya diumpamakan seperti perayaan – mungkin merayakan undi popular. Sudah pasti pesta ini berbeza sekali dengan perhimpunan Belia di Putrajaya anjuran kerajaan BN. Perhimpunan itu dirasmikan DS Najib Razak pada hari yang sama. Anak muda sekali lagi diberi gula-gula getah untuk terus bersikap apati dalam urus tadbir negara. Ini membezakannya dengan Pesta Rakyat yang bukan dipaksakan dan dihadiri kurang lebih 50 ribu rakyat. Hal ini amat bertepatan dengan apa yang dikata Douglas Lummis: “Democracy doesn’t mean feeling powerful. It means holding real power. Radical democracy describes the adventure of human beings creating with their own hands, the conditions for their freedom. It is not a kind of government, but an end of government; not a historically existing institution but a historical project.” Beliau menekankan bahawa demokrasi bukanlah setakat procedural – yang membezakannya dengan diktum terkenal Abraham Lincoln. “Kerajaan” bagi Lincoln ialah struktur yang dibentuk untuk memperkasa rakyat sedangkan demokrasi seharusnya menjadikan rakyat itu sendiri harus berkuasa. Ini jelas menunjukkan melaung dan memahami demokrasi adalah dua perkara berbeza. Demokrasi sesuai dengan namanya mesti mahu dipraktikkan bermula dari rakyat bukan dari penguasa. Jika sebaliknya berlaku, iaitu aliran kuasa atas-bawah, maka mungkin hanya beberapa orang Malaysia sahaja yang berhasil membebaskan diri daripada segala macam belenggu yang dipasung pada dada dan pemikiran mereka sejak setengah abad ini. Demokrasi tidak harus mengikut jejak feudalisme dan tirani penguasa. Jadi cita-cita besar kita bukanlah mengembalikan kerajaan yang dirampas daripada kita tetapi mengembalikan akar demokratia.

]]>

Selamat datang ke Jinjang

working class berbangsa Cina. Pernah dengar istilah ‘Cina Jinjang’? Istilah yang digunakan untuk menggambarkan seorang Cina ‘totok’ yang kasar dan yang selalunya tidak berpelajaran tinggi. Jinjang juga seringkali menjadi bualan sebagai rough neighbourhood. Tidak banyak yang menjadi tarikan di Jinjang. Dan sekiranya anda tidak tinggal di Jinjang atau mempunyai saudara atau kenalan di Jinjang, tidak ada sebab untuk anda masuk ke Jinjang. Kecuali, anda mempunyai urusan di Pusat Tahanan Reman di Jinjang Utara. Yang merupakan sebuah kompleks yang dijadikan pusat bagi menempatkan mereka yang ditahan reman bagi proses siasatan jenayah. Lokasi kompleks ini menyebabkan Jinjang kadangkala menjadi lokasi tumpuan perkembangan politik tanahair. Contohnya, semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada tahun 2011, mereka yang ditahan ada dibawa ke Jinjang sebelum dilepaskan. Akhir-akhir ini pula, Jinjang sekali lagi menjadi perhatian apabila aktivis mahasiswa, Adam Adli, ditahan reman dan ditempatkan di sana sebelum didakwa. Kemudian, Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim juga ditahan semalaman di Jinjang sebelum dibebaskan oleh Mahkamah keesokan harinya. Maka warga Malaysia pun datanglah ke Jinjang, menyalakan lilin sebagai tanda solidariti dengan Adam Adli, dan kemudiannya dengan Tian Chua, Tamrin dan Haris. Nyalaan lilin menjadi simbol protes dan desakan supaya mereka dibebaskan, diserikan dengan ucapan dan sorakan daripada mereka yang hadir. Seperti Kuala Kangsar, seperti Dataran Merdeka, seperti Stadium Kelana Jaya, Jinjang menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang meraikan demokrasi. Bayangkan, tiap-tiap malam pada minggu lepas: Jinjang sesak. Jinjang kecoh. Jinjang bising. Malahan, ada satu malam Jinjang menyaksikan adegan kejar-mengejar dan tangkap-menangkap di antara polis dan para penyala lilin. Jika ini kawasan kelas menengah di mana-mana lokasi lain di Lembah Kelang, mungkin sekali aduan akan dibuat pada malam yang kedua. Pada malam yang ketiga, ada yang akan merungut bagaimana hidup mereka diganggu kerana perhimpunan yang diadakan setiap malam. Sesak jalan. Bising. Kecoh. Kotor. Revolusi pun revolusi juga, tetapi tidur dan tenteram itu harus. Tetapi ini Jinjang. Jinjang menerima para demonstran dan penyala lilin dengan tangan terbuka. Mereka yang datang akan dimaklumkan oleh warga Jinjang sendiri di mana tapak vigil pada malam itu. Malahan, penduduk Jinjang sendiri adalah antara mereka yang pertama akan berkumpul di tapak, sebelum orang luar berkumpul. Ceramah berlangsung dengan menggunakan pembesar suara  yang pasti didengari oleh penduduk setempat. Tetapi tidak ada aduan dan tidak ada rungutan. Malahan, penduduk Jinjang sendiri membarisi balkoni-balkoni yang berdekatan untuk mendengar apa yang disampaikan. Tidak lupa juga mereka yang memanjat pagar demi sudut pandangan yang terbaik. Dan semasa pihak polis mengejar dan membuat tangkapan ke atas para penyala lilin, penduduk Jinjang telah membuka pintu rumah dan kedai mereka dan menerima para penyala lilin yang melarikan diri daripada polis yang sedang mengejar, tanpa mengira bangsa para penyala lilin. Padahal, untuk hampir kesemua hari, para penyala lilin di hadapan Pusat Tahanan Jinjang berkumpul demi seorang mahasiswa muda berbangsa Melayu. Jika diikut retorik etno-nasionalis pasca pilihanraya umum ke-13, orang Cina telah mengkhianati orang Melayu dengan mengundi parti-parti Pakatan Rakyat. Orang Cina didakwa bersifat perkauman dan mempunyai agenda perkauman dalam pola pengundian mereka. Tetapi, mengapakah di Jinjang, mungkin sekali tempat paling ‘Cina’ di Malaysia, mereka memberikan sokongan kepada seorang mahasiswa Melayu yang tidak ada kena mengena dengan mereka?  Jika orang Cina telah mengkhianati Melayu, mengapa setiakawan begitu terserlah di Jinjang? Bapa Adam Adli, pada hari anaknya dibebaskan dengan ikat jamin, telah datang sekali lagi ke Jinjang. Dia berterima kasih kepada penyokong anaknya dan kepada Jinjang, kerana telah menjadikan anaknya sebagai anak mereka sendiri melalui sokongan yang diberikan. Mereka yang percaya dengan retorik ‘pengkhianatan Cina’ ini sebenarnya sudah terputus dengan realiti akar umbi. Realitinya, ceramah-ceramah dan program-program anti-kerajaan mendapat sambutan warga Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya yang berbangsa Cina. Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina. Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini. Putrajaya patut belajar daripada Jinjang tentang perpaduan nasional.

]]>

Projek Dialog membantah retorik hasutan "Tsunami Cina"

Punca sebenar kekalahan Alasan “tsunami Cina” juga tidak berasas dan tidak mencerminkan punca sebenarnya prestasi yang lemah bagi Barisan Nasional. BN bukan sahaja kalah teruk di negeri-negeri seperti Selangor, Penang, Kuala Lumpur dan Kelantan, malah ia hanya mampu menang tipis sahaja di Perak, Johor, Negeri Sembilan, dan Terengganu. Kami percaya semua ini dilakukan untuk membina persepsi awam seolah-olah kaum Cina bersikap terlalu mendesak dan tidak menghargai jasa kerajaan. Walhal, punca utama kemerosotan BN adalah kebangkitan rakyat Malaysia menentang ketidakadilan, kronisme dan rasuah yang berleluasa kesan daripada pemerintahan kerajaan BN sejak 56 tahun yang lalu. “Tsunami Rakyat” lebih tepat Rakyat Malaysia sudah muak dengan politik perkauman yang dibawa UMNO. Mereka inginkan perubahan. Kesempitan hidup, gaji rendah, isu pendidikan dan kos hidup yang tinggi antara tunas-tunas api kebangkitan rakyat Malaysia pada pilihan raya kali ini. Sebilangan besar rakyat miskin di Malaysia adalah masyarakat Melayu walaupun berada 56 tahun dibawah pemerintahan BN. Sebaliknya, segelintir yang meraih kekayaan negara ini adalah kroni-kroni BN sendiri. Pilihanraya kali ini adalah yang paling sengit dan juga mencatatkan jumlah pengundi yang paling ramai keluar mengundi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak 80%. Analisa pilihanraya menunjukkan undian popular dimiliki oleh Pakatan Rakyat iaitu lebih daripada 50% jumlah pengundi memangkah PR dalam kertas undian. Walaubagaimanapun, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan majoriti  mudah dengan menawan 133 daripada 222 kerusi parlimen. Kebanyakkan kawasan dimana BN kalah adalah kawasan bandar yang berpendudukan padat. Antara majoriti parlimen dan undi popular Hal ini mejelaskan kenapa PR memiliki jumlah undian popular manakala BN memiliki jumlah kerusi yang tinggi. BN dapat kekal di Putrajaya disebabkan oleh amalan persempadanan semula kawasan pilihanraya, ataupun “gerrymandering”. Manipulasi politik ini menyebabkan BN dapat menang mudah di kawasan-kawasan luar bandar yang tidak mempunyai populasi yang padat seperti kawasan bandar, bahkan penembusan internet juga adalah amat rendah dan mereka tidak mendapat liputan informasi yang meluas daripada media bebas alternatif berbanding media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan BN . Tiba masanya untuk politik baru Realitinya, pilihan raya ini sebenarnya menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengundi tanpa mengira kaum ataupun agama. Terdapat banyak kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti Melayu, sebaliknya mengundi calon yang berbangsa lain. Sebagai contoh, Lim Kit Siang yang merupakan calon DAP yang berbangsa Cina memenangi kerusi Gelang Patah di Johor mengatasi calon Melayu BN dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Lim Kit Siang tidak mungkin menang dengan hanya undian kaum Cina. Ke arah 1 Malaysia? Namun begitu, di alam siber, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sedang mencetuskan propaganda “Tsunami Cina” perkauman dan perbalahan antara kaum Melayu dan Cina. Kononnya orang Cina ingin menguasai negara Malaysia dan memperhambakan kaum Melayu. Hal ini amat mengecewakan kami kerana Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan budaya, dan bukannya negara fasis bagi sesebuah kaum sahaja. Kami menentang sama sekali budaya perkauman yang tidak matang seperti ini. Kami menyeru Datuk Seri Najib Razak supaya membantah sentimen rasis yang semakin menjadi-jadi di kalangan penyokong-penyokong UMNO yang masih berdegil menerima kelemahan parti mereka. Fokuskan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama dengan mengambil semangat 1Malaysia seperti yang BN kempen kepada rakyat. Elakkan daripada permainan politik perkauman dan agama yang merugikan Malaysia.

]]>

Kekalkan Kepelbagaian Politik Kita

Baru-baru ini, penulis sempat berbual dengan seorang bekas hakim Jerman, yang kini menjadi pensyarah universiti. Topik perbualan kami berkisar pada sejarah dan sosio-politik Jerman, khususnya tentang golongan minoriti etnik di negara tersebut.

Dianggarkan bahawa terdapat lebih kurang 81.8 juta penduduk Jerman. Daripada jumlah tersebut, 80.7 peratus adalah etnik Jerman. Kira-kira 10 peratus daripada warganegara Jerman bukan etnik Jerman dan angka ini kian meningkat. Minoriti etnik yang terbesar di Jerman adalah etnik Turki, yang terdiri daripada 4 peratus daripada jumlah penduduk Jerman, diikuti dengan etnik Polish yang terdiri daripada 2 peratus penduduk Jerman.

Kemasukan pendatang ke Jerman, terutama sekali dari Turki, sejak beberapa dekad yang lepas telah mengubah demografik negara Eropah tersebut. Generasi pertama pendatang (immigrant) tidak melihat diri mereka sebagai warga Jerman dan masih melihat diri mereka sebagai warga negara asal. Tetapi, generasi kedua dan ketiga yang berketurunan pendatang (nama rasmi dalam bahasa Inggeris, ‘Germans with immigrant background’) lebih bersepadu dengan masyarakat Jerman yang lain, berbanding dengan generasi sebelumnya. Mereka bertutur dalam bahasa Jerman, melihat diri mereka sebagai warga Jerman dan adalah produk institutusi pendidikan Jerman.

Ini membawa cabaran-cabaran baru kepada sebuah negara seperti Jerman, yang sebelum ini mempunyai homogeni budaya dan etnik.

Conthohnya, bagaimana masyarakat Jerman menerima penduduk-penduduk moniriti etnik ini? Juga berkenaan hak-hak minoriti etnik, apatah lagi apabila hak tersebut bertembung dengan kehendak majoriti. Apakah juga peranan Negara (State) dalam semua ini?

Situasi di Jerman selari dengan situasi di negara-negara Eropah barat yang lain. Dari Birmingham ke Marseille, dari Brussels ke Bern, negara-negara Eropoh barat sedang menangani multiculturalism dan cabaran-cabaran yang datang dengannya. Antaranya, bagaimana hendak melibatkan warga minoriti etnik di dalam proses politik negara?

Penglibatan golongan Germans with immigrant background di dalam politik semakin meningkat kebelakangan ini, terutama sekali di kalangan generasi kedua dan ketiga. Namun, bilangannya masih rendah. Contohnya, walaupun terdapat penduduk etnik Turki yang besar, penglibatan warga etnik Turki dalam proses politik masih rendah. Bilangan wakil rakyat etnik Turki di dalam Parlimen Persekutuan mereka (dikenali sebagai ‘Bundestag’) tidak berkadar atau proportionate dengan bilangan bilangan warga Jerman etnik Turki.

Bagi tujuan ini, parti-parti politik arus perdana sedang rancak menggalakkan penglibatan golongan etnik Turki di dalam politik Jerman. Matlamat mereka tentunya untuk meraih sokangan golongan minoriti di samping menunjukkan bahawa mereka lebih mewakili seganap pelosok masyarakat. Penglibatan politik Germans with immigrant background sedang rancak diperbincangkan, berlatarbelakangkan tema multi-culturalism yang sedang melanda Eropah barat pada masa ini.

Penulis membandingkan perkara ini dengan situasi di Malaysia. Di sini, multiculturalism sudah sebati dengan masyarakat. Bukan hanya pasca Merdeka, tetapi memang sejak dari dulu lagi rantau ini Asia Tenggara ini telah menjadi tumpuan manusia dari seluruh dunia. Masyarakat Asia Tenggara tidak asing dengan perbezaan etnik dan budaya.

Peratusan penduduk minoriti etnik di Malaysia jauh lebih tinggi berbanding negara-negara Eropah barat. Minoriti etnik kita juga sejak dahulu lagi sudah terlibat dengan proses politik negara. Masalah kurangnya penglibatan politik yang dihadapi oleh negara-negara Eropah barat tidak wujud di sini, sekurang-kurangnya bagi minoriti etnik yang besar. Lihat sahaja Dewan Rakyat yang baru dibubarkan – betapa ramai di kalangan 222 wakil yang dipilih rakyat berketurunan minoriti etnik? Dan pada masa yang sama, berapa ramai calon yang akan bertanding di dalam pilihanraya umum nanti berketurunan minoriti etnik?

Penulis percaya bahawa situasi positif ini lahir akibat kesanggupan kita untuk mengundi calon dan menerima wakil rakyat yang bukan sebangsa dengan kita. Memang, politik perkauman masih berleluasa dan masih menjadi sebahagian daripada naratif politik kita, tetapi penulis percaya bahawa secara amnya etnik dan agama calon yang dipertandingkan tidak menentukan undi pengundi. Mungkin sekadar salah satu faktor, tetapi bukanlah faktor penentu. Kerana itu, seorang calon etnik India masih boleh mengalahkan calon etnik Cina, walaupun bilangan pengundi India di kawasan Parlimen tersebut kurang daripada bilangan pengundi Cina dan Melayu, contohnya. Warganegara etnik Melayu, sebagai etnik terbesar, telah lama menerima calon-calon etnik minoriti.

Pilihanraya umum ke-12 melihat parti-parti politik yang dahulunya dilihat sebagai ekstrem, samada sebagai cauvinis bangsa atau fundamentalis agama, diundi oleh pengundi-pengundi yang biasanya tidak akan mengundi mereka. Pengundi Melayu contohnya telah mengundi calon-calon DAP, kononnya parti cauvinis Cina, manakala pengundi-pengundi Cina dan India pula mengundi calon-calon PAS, parti fundamentalis Islam. Pola pengundian pilihanraya umum ke-12 mencadangkan bahawa etnik dan agama calon semakin tidak menjadi faktor langsung, apatah lagi faktor penentu.

Namun akhir-akhir ini, terdapat gerakan yang berusaha menjadikan etnik dan agama calon sebagai faktor penentu undi pengundi, terutama sekali di kalangan pengundi-pengundi Melayu-Muslim. Gerakan yang dikenali sebagai ‘Arus Baru’ contohnya menyatakan bahawa:

Walaupun mereka baik, bijak dan mahukan keadilan, kedamaian, ketenteraman tetapi mereka menyekutukan Allah. Ianya sebesar-besar kesalahan di sisi Allah. Sedangkan sejahat-jahat apapun seorang Muslim, mereka masih mengaku beriman dan percaya kepada Allah,  malah keampunan Allah tetap dijanjikan buat mereka. Sudah terang lagi bersuluh, sokongan kita terhadap golongan bukan Islam ini sangat tidak wajar.

(‘Hukum membuang undi orang bukan Islam, http://arusbaru.my/2013/02/23/hukum-membuang-undi-orang-bukan-islam/)

Menurut seruan Arus Baru ini, agama calon sewajarnya menjadi faktor penentu ketika membuang undi. Arus Baru mahu pengundi Melayu-Muslim mengundi seseorang calon Muslim sekiranya dia berhadapan dengan seseorang calon bukan Muslim. Apa yang membimbangkan penulis adalah seruan ini ada mendapat sambutan di kalangan pengundi Melayu-Muslim.

Proses membuang undi adalah proses memilih calon yang terbaik mewakili sesuatu kasawan Parlimen atau DUN. Kita mengundi kerana kita mahu calon atau parti yang terbaik untuk mewakili kita dalam sistem perundangan negera. Tetapi, proses ini akan gagal sekiranya pengundi tidak memilih apa yang mereka fikir adalah calon terbaik, tetapi memilih mengikut agama atau etnik calon tersebut. Atas ukuran apa seseorang calon itu ‘terbaik’, sekiranya dia menerima rasuah, menyokong kezaliman, tidak hormat demokrasi, tidak dukung Perlembagaan dan hak-hak rakyat dan langsung tidak mengendahkan nasib pemilih-pemilihnya tetapi dipilih atas agama dan etniknya? Adakah agama dan etnik calon tersebut relevan dalam dia menjalankan tenggungjawabnya terhadap pemilih-pemilihnya?

Kita wajar berbangga bahawa politik kita tidak didominasi oleh sesuatu etnik sahaja, apatah lagi etnik yang terbesar di dalam negara. Politik kita berwarna-warni, mencerminkan masyarakat kita. Kepelbagaian politik yang sihat ini harus dikekalkan. Walaupun politik perkauman masih wujud, walaupun masih terdapat parti-parti berteraskan kaum dan agama, penulis percaya bahawa pilihanraya umum ke-12 telah meletakkan kita di atas landasan yang betul, ke arah landskap politik di mana etnik dan agama tidak lagi menjadi faktor.

Seruan ala Arus Baru adalah antithesis kepada matlamat ini. Penulis bimbang ia akan memburukkan lagi politik perkauman dan agama yang sudahpun wujud. Ketegangan di antara etnik-etnik yang pelbagai, yang juga sudahpun wujud, mungkin akan menjadi lebih teruk. Negara-bangsa yang lebih baik yang ingin kita bina mungkin tidak akan menjadi realiti.

Penulis berharap kita akan mengekalkan kepelbagaian politik yang sihat yang kita dukung selama ini. Pilihanraya umum ke-13 ini bakal menjadi penentu. Adakah kita akan mengambil langkah ke hadapan, atau kita berundur? Penentuannya di tangan kita. 

]]>

Tingkah laku media kala pilihanraya

Dr Mohd Faizal Musa

Felo Penyelidik

Institut Alam dan Tamadun Melayu

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600, Bangi, Selangor

Pendahuluan

Penggunaan media dalam kempen pilihanraya adalah sesuatu yang lumrah. Salah satu isu yang menimbulkan gegak adalah tawaran kerajaan kepada parti-parti pembangkang untuk menjelaskan manifesto mereka selama 10 minit (secara rakaman) menerusi saluran rasmi RTM. Peranan tradisional sesebuah media perdana adalah untuk menjadi pengikat yang dapat menghubungkan pelbagai lapisan dan ragam ahli masyarakat. Dalam erti kata lain media mempengaruhi bagaimana anggota masyarakat saling berkomunikasi antara satu sama lain. Media dengan itu memberikan impak kemasyarakatan yang besar. Media bukan semata-mata menyalurkan maklumat tetapi sebenarnya membentuk masyarakat yang menerima maklumat tersebut. Ini telah disebut oleh sosiologis Michael Schudson (1995: 24-25) bahawa media bukan sahaja menghantar maklumat akan tetapi turut sama mencorak penerima maklumat tersebut: The greatest effects may not be measurable influences on attitudes or beliefs produced by media but the range of information the media make available to individual human minds, the range of connections they bring to light, the particular social practices and collective rituals by which they organize our days and ways. The media are more important, not less important, than popular opinion would have it, but rarely in the ways that popular views assume. The media organize not just information but audiences. They legitimize not just events and sources that report them but readers and viewers. Their capacity to publicly include is perhaps their most important feature. That you and I read the same front page or see the same television as the President of the United States and the chair of IBM is empowering; the impression it promotes is equality and commonality. Petikan di atas menjelaskan betapa setiap sesuatu insiden, acara sosial, apatah lagi acara politik seperti pilihanraya bukan sahaja akan dilaporkan oleh media, malah media selaku pelapor dapat mempengaruhi audien. Dalam erti kata lain, media perdana terdedah kepada pemanipulasian. Strategi Media Perdana Dalam disiplin psikologi, terdapat satu kaedah atau proses pembelajaran (dalam hal ini pemanipulasian politik) yang dapat dihitung menerusi prosedur Pavlovian secara conditioning. Prosedur yang dimaksudkan ialah apabila satu-satu entiti (E) memiliki kawalan penuh terhadap semua peristiwa, (E) boleh menentukan kekerapan masa, ketepatan aksi percubaan selain menguruskan tingkah laku sasarannya. Sebagai misalan, latihan terhadap seekor anjing dengan memberinya makan pada setiap jam 3 petang sahaja, dengan menghantar satu isyarat denting loceng; yang dilakukan berulang-ulang sehingga sang anjing terbiasa dan terlatih oleh tubi dan asakan latihan yang sama akan menatijahkan anjing menunggu makanan pada setiap jam 3 petang dengan bunyi loceng dengan penuh selera. Latih tubi appetite behaviour ini dari dahulu hingga sekarang memperolehi jawapan yang sama. Iaitu sasaran untuk prosedur conditioning ini di akhirnya akan mengikut, taat, patuh dan meniru apa yang disogokkan oleh (E). Sejak Pavlovian mengemukakan gagasan conditioning ini tokoh-tokoh psikologi ulung antara lain seperti M.M Shapiro (1962: 567-571) serta W. Kintsch dan R.S Witte (1962: 963-968)[i] memutuskan bahawa prosedur conditioning dengan latih tubi appetite behaviour ini sangat berkesan dalam menentukan kejayaan proses pembelajaran sasaran. Prosedur conditioning ini boleh menjadi strategi media perdana ketika kempen politik, khususnya di musim pilihanraya. Pemanipulasian politik di saat kempen pilihanraya semakin membahang adalah sesuatu yang selalu terjadi, malah di negara-negara maju. Media perdana dapat menjadi alat mempengaruhi, alat memanipulasi, dan alat penyampai maklumat yang berkesan. Media justeru menjadi medium yang efektif buat entiti politik seperti politikus, parti politik dan masyarakat sivil. Masyarakat yang telah dilatih tubi oleh (E) dalam hal ini, media elektronik dan cetak, akan mengutip dan menyerap terlalu banyak pesan media. Oleh kerana ia merupakan satu proses conditioning, masyarakat akan akhirnya mengikut, taat, patuh dan meniru apa yang disogokkan oleh media elektronik mahupun cetak. Justeru, tidaklah menghairankan pemonopolian media ketika pilihanraya khususnya menjadi tanda, atau gejala kepada ciri-ciri sebuah rejim totalitarian. K. Ramanathan (1989: 319) menekankan pemonopolian media massa dan pengawasan semua aspek kehidupan adalah merupakan satu ciri politik rejim atau politik yang mengikat. Di saat pilihanraya sedang menghampiri, apakah yang dilatih tubikan oleh televisyen hari ini? Apakah yang disogokkan oleh media elektronik mahupun cetak kepada masyarakat sebagai pusingan appetite behaviour? Dan bagaimana masyarakat menerima dan terlazim; malah terpengaruh sikap mereka dengan apa yang disalurkan oleh televisyen itu? Ideologi Media Media yang dimanipulasi entiti politik tertentu melakukan satu penyebaran ideologi tunggal. Apa yang dimaksudkan dengan ideologi tunggal ini adalah ‘ideologi media’. Dalam menjelaskan ‘ideologi media’, sarjana dan media sosiologis yang tersohor Herbert J. Gans (1979: 39-69) menekankan bahawa terdapatnya kecenderungan bias dalam berita-berita yang dipaparkan di media. Ideologi media yang disebarluaskan antara lain ialah lima kunci penting yang disebutkan olehnya sebagai ‘nilai-nilai bertahan’ yang telah meresapi media dan disampaikan secara halus tanpa memikirkan keadilannya untuk khayalak. Lima poin penting ideologi ini sudah memadai untuk menunjukkan bahawa berlakunya pemanipulasian politik dan pemonopolian yang merujuk kepada pengukuhan sistem totalitarian. Lima poin penting tersebut adalah; i.                 Demokrasi altruistik – Dalam hal ini, media perdana menegaskan secara berulang kali (conditioning) satu kepercayaan, bahawa politik haruslah berdasarkan kepentingan awam dan servis. Terdapat pemantakan dan pemaksaan maklumat yang berulang-ulang bahawa hanya satu parti sahaja yang mewakili kepentingan awam dan melakukan khidmat atau servis yang selayaknya diberi sokongan. ii.               Individualisme – Media akan membentuk pandangan awam bahawa usaha menolak ideologi media adalah usaha untuk memartabatkan kebebasan individu, justeru mengatasi kepentingan dan keperluan masyarakat umum yang lebih besar. Media mendakwa mereka mewakili, malah ejen, masyarakat umum. iii.              Moderatisme – Media perdana cenderung memberi penekanan supaya ahli masyarakat (atau pengundi) bersederhana dalam berpolitik, sambil menetapkan nilai-nilai tertentu yang menurut media tersebut sebagai sesuatu yang ideal. Moderatisme ini juga dilakukan atas nama pemerkasaan budaya. Sebagai contoh media akan melakukan pemomokan terhadap parti-parti politik tertentu, selalunya yang menjadi mangsa adalah parti-parti oposisi. Dalam masa yang sama media akan melakukan conditioning bahawa budaya umat majoriti sedang terancam, dilemahkan, tergugat dan satu-satunya peluang untuk menyelamatkannya adalah dengan ‘bersederhana’, bahawa memilih parti yang lain dari yang diiklankan oleh media itu sebagai ‘berada di luar landasan yang betul’. Pemerkasaan budaya itu juga dihadirkan dalam bentuk lagu yang disembunyikan mesej-mesej patriotisme. iv.              Kawalan – Media perdana akan mengambil peluang untuk memberi penekanan dalam isu-isu ketenteraman sosial, mengingatkan khalayak supaya mengelakkan konflik, sambil menghormati autoriti politik dan sosial. Lazimnya autoriti politik dan sosial tersebut adalah rejim yang memerintah. Sebagai contoh media akan mengingatkan bahawa sebarang perubahan politik akan membawa kepada ketidakstabilan, kehuru-haraan dan menjejaskan kebahagiaan yang sedang dinikmati, mengacau kemakmuran dan menjerumuskan negara ke kancah masalah. v.               Kepimpinan – Media memilih untuk memaparkan hanya ada satu kepimpinan yang jujur, baik, benar dan kepimpinan ini adalah kepimpinan yang dapat mengatasi apa jua persoalan menerusi visi, stamina dan keberanian. Kepimpinan lain tidak harus dipertimbangkan kerana ia tidak memiliki karisma, jelek dan tiada kewibawaan. ‘Ideologi media’ yang disentuh di atas, dipasakkan dalam kalangan masyarakat dalam bentuk conditioning dan selalunya mengambil pendekatan yang memaksakan. Pendekatan yang memaksa ini adalah satu bentuk panopticon. Panopticon dan Jurnalisme Sivik Salah satu gejala ketempangan demokrasi di Malaysia adalah peranan media sebagai panopticon. Dalam keadaan yang tempang ini media alternatif berperanan sebagai pengimbang kepada media arus perdana. Media ini akan berfungsi untuk menampung kekurangan dan lompong kosong yang ditinggalkan oleh media arus perdana. Media alternatif tidak berminat dengan kuasa dan persaingan pasaran tetapi mementingkan kebenaran. Meskipun kebenaran tersebut terhad dalam rangka yang difahami mereka. Kebenaran yang dimaksudkan di atas membawa media alternatif ke dalam ruang jurnalisme sivik yang sihat. Dalam keadaan tempang ini, media alternatif terpaksa, dan tiada pilihan lain, melainkan bersiap untuk menawarkan jurnalisme sivik. Jurnalisme sivik adalah jurnalisme yang membebaskan diri dari kongkongan ideologi lapuk media yang telah dibincangkan sebelumnya. Pendekatan media alternatif ini ialah dengan mendekati masyarakat awam. Media dengan jurnalisme sivik berusaha mendapatkan daripada anggota masyarakat isu-isu yang diprihatini dan pandangan mereka tentang isu tersebut. Jurnalisme sivik dengan itu memerdekakan diri dari sumber rasmi, dan dapat menjadi media yang terbuka, tidak elitis, dan lebih mendekati egalitarian. Media alternatif dengan itu lebih berani, lebih bersedia dan lebih fleksibel dalam melaporkan isu-isu semasa ketika berlangsungnya satu pilihanraya, khususnya dalam negara yang mengalami ketempangan demokrasi. Ini terjadi kerana media perdana terkekang oleh kehendak pengiklan, iaitu parti (pelabur) terbesar dan mahu kekal sebagai panopticon. Michel Foucault (1979) menggunakan metafora panopticon ini untuk menggambarkan bagaimana sesebuah organisasi besar mengawasi manusia, langsung mengawal dan menentukan kehidupan awam. Panopticon adalah adalah sejenis alat kawalan di penjara yang berpusat dan membolehkan pihak penguasa melihat dan memerhatikan banduan. Tujuan panopticon bukanlah untuk mengawasi semata-mata tetapi lebih untuk mewujudkan satu keadaan yang dirasai dan disedari kewujudannya, sekaligus menjamin kewujudan semacam satu kuasa sedang menentukan gerak laku banduan. Meskipun Foucault tidak secara terang merujuk media sebagai satu jenis panopticon, andaian bahawa media perdana hari ini mendapat tempat dan kedudukan di ‘menara kawalan panopticon’ tersebut adalah sangat relevan. Bahkan, lebih aneh, media juga disayangi sebagai fungsi panopticonnya itu. Sesuatu yang perlu diingat tentang panopticon ialah sifatnya; iaitu sifat ‘sedikit menentukan yang banyak’. Dalam hal ini sekumpulan minoriti (elitis) sedang menguasai, mempengaruhi, mencorak dan memegang umat majoriti melalui satu kawalan yang olok-olok atau kawalan momok-momokkan. Ia bukanlah satu kawalan yang sebenar[ii]. Fenomena segelintir ahli masyarakat yang dapat dipukau sehingga mereka mengimani ideologi media (elektronik ataupun cetak) tertentu adalah berkait rapat dengan gejala panopticon ini. Kecelakaan besar yang ditimpakan oleh media perdana panopticon ini adalah ia membantut, mengkontot, dan membasmi kekuatan jati diri bangsa sehingga pandangan sarwanya (world view) terhijab, epistemologinya (falsafah keilmuan) tertempurung dan aksiologinya (sistem nilai) terkepung. Ekoran dari kecelakaan besar itu, rakyat atau orang awam menjadi lumpuh fikir, mendapat strok pada pusat akal, kehilangan rasio dan lojik lantas membenarkan korupsi berganda menimpa pundak mereka. Kelihatannya, media perdana menghambakan rakyat. Sementara media alternatif dengan jurnalisme sivik bersikeras memerdekakan. Untuk melawan media perdana yang melakukan conditioning dan yang sedang berfungsi sebagai panopticon ini, jurnalisme sivik sedang mendepani pertempuran yang dahsyat. Masyarakat sivil yang kurang tercemar oleh sebarang conditioning dan belum dipukau serta kebal oleh panopticon perlu melakukan penggemblengan tenaga untuk menyusun strategi menerusi jurnalisme sivik. Ideologi tunggal media yang dinamai sebelum ini sebagai ‘ideologi media’ memerlukan strategi berkesan untuk dikalahkan. Antara strategi yang dapat digariskan adalah pertamanya keperluan menggerakkan semua yang dipunyai untuk membasmi sikap tidak peduli. Untuk umat Melayu yang beragama Islam, Allah berfirman dalam surah Hud pada ayat 46, terjemahannya: ’Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak peduli’. Tidak peduli adalah musuh utama manusia, malah merupakan sumber kepada segala korupsi. Sikap tidak peduli memadamkan cahaya dan kuasa yang mendorong manusia kepada kepupusan. Pasukan jurnalisme sivik perlu menggunakan seluruh daya media alternatif untuk menjawab dan memberi respon kepada asakan media perdana. Strategi kedua adalah sasaran. Jurnalisme sivik perlu menentukan sasaran. Strategi bertingkat untuk membetulkan sasaran yang telah mengalami ’brainwash’ perlu ditekuni. Oleh kerana manusia tidak memiliki daya taakulan yang sama, kreativiti dalam penyampaian rasa peduli di atas perlu dipelbagaikan. Ada sesetengah madh’u di luar sana yang ’bodoh’ dan terus mempercayai kebodohan tersebut. Mereka menjadi si bodoh tegar setelah mengalami latih tubi seperti anjing dengan bunyi denting loceng setiap jam 3 petang. Sang anjing atau ’si bodoh’ ini adalah kelompok yang sukar untuk dipulihkan. Analoginya tepat adalah mereka merupakan penagih tegar. Dadah sudah merasuk mereka. Yang boleh disedarkan ialah kelompok masyarakat yang ada sedikit kesedaran. Peranan mereka yang perlu membaja anggota komuniti yang separa sedar ini terletak di bahu jurnalis sivik yang antara lain adalah para intelektual awam, para ilmuan yang jujur, para budayawan yang memahami hakikat bahawa setiap kota itu peradaban, rumah di dalamnya haruslah budaya dan ’tiang serinya’ pula hendaklah agama. Oleh kerana itu, kumpulan terbesar dalam jurnalis sivik ini adalah golongan ’ulul albab’. Kesimpulan Di awal artikel ini ada disentuh mengenai tawaran kerajaan untuk parti pembangkang menerangkan isi atau muatan manifesto mereka di saluran televisyen rasmi RTM. Apa yang berlaku ialah tawaran terhad selama 10 minit untuk parti pembangkang, dan penggunaan media tanpa limit buat parti penyandang. Menjelang pilihanraya yang bakal berlangsung beberapa minggu mendatang, tindak-tanduk media perdana yang mengekang informasi sihat dan menyarankan ideologi media kepada audien dapat diperhatikan coraknya. Media perdana melakukan proses conditioning tanpa segan silu, menunjukkan ketiadaan proses demokrasi yang sihat untuk semua entiti politik yang sedang bersaing. Sebagai panopticon, media juga memantau dan memaksakan gerak geri bakal pengundi. Dalam masa yang sama, kemunculan jurnalisme sivik dalam bentuk media alternatif memberi ruang perlawanan yang sedikit. Cabaran besar jurnalisme sivik ialah menentang ketempangan demokrasi. Media alternatif perlu berlaku kreatif dalam menyampaikan maklumat yang adil, fleksibel, lebih jujur kepada khayalak. Untuk tujuan itu, media perlu menimbangkan sikap tidak peduli sesetengah audien memandangkan mereka adalah mangsa conditioning. Seterusnya, media alternatif perlu menentukan sasaran. Audien yang sudah terpukau dengan media perdana tidak begitu bermanfaat untuk menyertai proses demokrasi yang sihat lagi. Khalayak ini telah pun menetapkan fikiran dan tekad mereka untuk memilih. Walaubagaimanapun, kehadiran golongan intelek yang menyumbang fikiran, idea dan ulasan di media alternatif dapat meningkatkan peranan jurnalisme sivik dan sedikit sebanyak mencorakkan rentak pilihanraya yang benar-benar sihat.

Nota   [i] Memadai misalnya untuk merujuk Shapiro, M.M. 1962. Temporal Relationship Between Salivation and Lever Pressing With Differential Reinforcement of Low Rates Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 567-571. Juga Kintsch, W. & Witte, R.S. 1962. Concurrent Conditioning of Bar-Press and Salivation Responses. Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 963-968.  
[ii] Untuk pemahaman lanjut, lihat Foucault, M. 1979. Terj. Sheridan, A. Discipline and Punish: The Birth of the Prison. New York: Vintage Books.     Rujukan   Anderson, R. &. Dardene, R. &. Killenberg, G.M. 1994. The Conversation of Journalism: Communication, Community and News. Westport: CT Praeger.   Black, J (ed.) 1997. Mixed News: The Public/Civic/Communitarian Journalism Debate. Mahwah NJ: Lawrence Erlbaum.   Foucault, M. 1979. Terj. Sheridan, A. Discipline and Punish: The Birth of the Prison. New York: Vintage Books.   Gans, H.J. 1979. Deciding What’s News. A Study of CBS Evening News, NBC Nightly News, Newsweek and Time. New York: Pantheon Books.   Merritt, D.B. 1995. Public Journalism & Public Life: Why Telling the News is Not Enough. Hillsdale NJ: Lawrence Erlbaum.   Ramanathan, K. 1989. Asas Sains Politik. Shah Alam: Fajar Bakti.   Schudson, M. 1995. The Power of News. Cambridge MA: Harvard University Press.   Shapiro, M.M. 1962. Temporal Relationship Between Salivation and Lever Pressing With Differential Reinforcement of Low Rates. Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 567-571.   Kintsch, W. &. Witte. R.S. 1962. Concurent Conditioning of Bar-Press and Salivation Responses. Journal of Comparative and Physiological Psychology (55): 963-968.          
]]>