Tetamu dari Pusat Islam Al Manar di Gurdwara Guru Nanak Darbar. Gambar: Khaleej Times[/caption]
Terjemahan makalah “Islamic Centre Members Break Fast at Dubai Gurdwara”, terbitan Asia Samachar pada 24 Jun 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal.
Tahun lepas, 10 anggota dari Pusat Islam Al Manar telah melawat Guru Nanak Darbar untuk menggalakkan persefahaman antara agama.
Tiba jam 7.16pm, waktu rasmi berbuka puasa pada bulan suci Ramadan di Dubai, suasana di dewan langar (dewan makan di Gurudwara Guru Nanak Darbar, iaitu sebuah kuil Sikh) berkumandang dengan alunan azan, bukan dengan bacaan kirtan seperti biasa, demi menghormati para tetamu dari Pusat Al Manar.
Di satu bahagian, sekumpulan manusia duduk bersila dalam barisan menunggu hidangan langar (makan malam), manakala bahagian sebelahnya dikhaskan sebagai ruang solat.
Pengalaman ini amat menyentuh hati. “Saya tidak pernah menyaksikan sesuatu sebegini sebelum ini,” kata Surjit Kaur, seorang wanita lanjut usia dari Punjab di utara India, yang sedang melawat anaknya di Dubai.
Antara persitiwa julung kalinya buat Gurudwara yang baru dibuka pada bulan Januari 2012 itu, rombongan dari Pusat Islam Al Manar telah melawat pada hari Selasa demi menggalakkan persefahaman antara agama.
Kedua-dua pihak saling bertukar mesej keamanan di dewan ibadat utama dan petangnya diikuti dengan hidangan mewah juadah vegetarian untuk Iftar.
[caption id="attachment_4914" align="aligncenter" width="517"]
Surinder Singh Kandhari (paling kiri) menyertai tetamu untuk berbuka puasa di Gurudwara. Gambar: Khaleej Times[/caption]
“Saya rasakan ia usaha baik untuk mengadakan dialog terbuka antara warga berbeza agama dan amalan,” kata Surinder Singh Kandhari, Pengerusi Gurudwara Guru Nanak Darbar.
“Lawatan seperti ini membantu menjelaskan salah faham. Dunia ini begitu besar dan ianya sesuatu yang baik untuk mempelajari dari agama lain juga. Sikh sebagai agama memuliakan toleransi, kesetaraan, sikap membantu dan kerendahan hati, dan Islam berkongsi prinsip yang sama,” katanya.
“Kami berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai kerana memberikan kami tanah ini secara percuma dan memberi kebenaran untuk membina rumah ibadat dan mengamalkan agama kami secara bebas.
“Kami dibenarkan menghidangkan langar sepanjang hari walaupun di bulan suci Ramadan. Lawatan ini melambangkan kemuliaan sama yang telah ditunjukkan pemerintah ke atas agama lain. ”
Ketika beramah-mesra, gurudwara tersebut telah menghadiahkan delegasi dengan Saropa, iaitu pakaian kehormatan tertinggi di sebuah gurudwara.
“Kami mengambil inisiatif ini ketika di Konvensyen Keamanan Dubai, yang merupakan acara dua tahun sekali. Kami menjemput wakil pelbagai agama; kami pernah menerima delegasi dari gereja dan kuil.
Matlamatnya ialah untuk menyebarkan mesej keamanan melalui dialog. Usaha kami adalah supaya orang ramai dapat mengenali intipati Ramadan, mengapa ianya benar-benar istimewa bagi umat Islam,” ujar Abdul Hadi dari Pusat Islam Al Manar.
Al Manar adalah pusat pengajian al-Quran dan dakwah yang diselia di bawah naungan Shaikha Hind binti Maktoum bin Juma Al Maktoum, isteri Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed.
Jumaat lalu, 150 warga Sikh telah dijemput ke Pusat Islam tersebut untuk berbuka puasa dan berbicara.
Ramadan dan budaya Malaysia: Suatu renungan Kritis
Muslim berpuasa
Jika dilihat dari perspektif seorang muslim, yang rata-ratanya berpuasa pada hari ini adalah kerana ianya merupakan salah satu suruhan tuhan.
Latihan berpuasa ini dilakukan sejak dari kecil lagi oleh kedua ibu bapa yang selalunya dijanjikan dengan pelbagai ganjaran sebagai suatu galakan untuk memenuhi tuntutan berpuasa tersebut. Namun, sudah semestinya penghayatan terhadap amalan berpuasa akan berkembang selari dengan usia seseorang. Setelah dewasa, muslim mula sedar berpuasa merupakan salah satu tuntutan agama.
Antara lainnya, berpuasa juga mengajar kita untuk menghayati kehidupan masyarakat sekeliling yang berada dalam kesusahan dan keperitan hidup. Semangat yang tersirat ini dapat dihayati apabila seseorang itu berpuasa kerana ianya membuahkan perasaan yang lapar dan dahaga, mengawal keinginan nafsu syahwat, nafsu untuk berbelanja lebih, makan secara berlebihan dan pelbagai lagi.
Ada juga yang mempercayai bahawa puasa menjadi salah satu cara dalam mengawal diri daripada melakukan kemaksiatan serta sebagai langkah untuk berubah kearah yang lebih baik.
Katolik Kristian berpuasa
Amalan berpuasa juga tidak asing bagi umat Kristian. Khususnya bagi seorang pengganut Katolik, puasa bagi mereka tidak jauh bezanya daripada amalan puasa seorang muslim dan yahudi yang didefinisikan dengan unsur menahan diri. Namun menariknya, dari perspektif pengganut Katolik puasa tersebut tidak terhad kepada penahanan diri daripada makanan sahaja.
Penghayatan berpuasa lebih kepada pengurangan dalam pengambilan dan perlakuan sesuatu yang digemarinya.
[caption id="attachment_3754" align="alignleft" width="300"] Pengalaman puasa dari perspektif Katolik dikongsi oleh saudara Calvin Ohsey (kiri). Yana Rizal (tengah) dan Ehsan Shahwahid (kanan) juga berkongsi pandangan.[/caption]
Amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, dilakukan secara khas dalam bulan Prapaskah (Lent) selama 40 hari. Paskah yang ditakrifkan sebagai pembebasan. Jadi, umat Kristian berpuasa dengan tujuan untuk menanti hari pembebasan. Dalam Kristian, Paskah merujuk kepada kebangkitan Jesus Kristus iaitu Sang Penyelamat yang dianggap sebagai tuhan dan manusia pada masa yang sama.
Dalam menghayati amalan berpuasa bagi seorang Kristian, elemen penting yang ditekankan bukan sahaja mengawal pemakanan, mereka juga ditekankan untuk melakukan amalan kebaikan dan yang paling penting dan ini merupakan pelengkap dalam amalan berpuasa adalah memperbanyakkan doa. Doa ini bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan ianya juga ditujukan untuk masyarakat dan seluruh dunia.
Menariknya amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, ia tidak terhad kepada satu stuktur yang ditetapkan secara rigid. Umat Kristian boleh memilih untuk mengisi 40 hari yang diberikan dengan pengisian rohani yang tersendiri. Namun, elemen penting tersebut mestilah menjadi syarat dan perlu disertakan dalam amalan berpuasa yang dilakukan.
Contohnya, si A berpuasa daripada menonton televisyen selama 24 jam pada hari pertama: hari kedua- berpuasa makan dan minum: hari ketiga- menanam pokok dengan niat untuk menjaga alam sekitar: dan seterusnya.
Mereka juga tidak lari daripada dugaan dalam amalan berpuasa ini dan bagaimana untuk menguatkan diri adalah melalui doa dan amal kebaikan.
Walau bagaimanapun, mengikut kod undang-undang canon yang telah ditetapkan oleh pihak gereja Katolik bagi puasa wajib ini, umat Kristian masih terikat untuk wajib berpuasa makan pada hari Jumaat yang dikenali sebagai Good Friday (hari kematian Jesus Kristus) dan dilarang untuk berpuasa makan pada hari Ahad dalam tempoh sepanjang 40 hari tersebut.
Mereka disyaratkan untuk berpuasa daripada mengambil sebarang daging (simbolik kepada hawa nafsu) dan juga tidak dibenarkan makan sehingga kenyang.
Hari Ahad pula tidak dibenarkan untuk berpuasa makan adalah kerana ianya dikenali sebagai Hari Kebangkitan. Mereka boleh mengantikan dengan amalan yang lain. Amalan ini adalah wajib dilakukan bagi yang berumur 18 hingga 65 tahun. Berbeza dengan amalan penahanan diri daripada pengambilan daging adalah bermula dari umur 14 tahun sehingga akhir hayat.
“Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya. Tetapi apabila engkau berpuasa, minyakilah kepalamu dan cucilah mukamu, supaya jangan dilihat oleh orang bahawa engkau sedang berpuasa, melainkan hanya oleh Bapamu yang ada di tempat tersembunyi. Maka Bapamu yang melihat yang tersembunyi akan membalasnya kepadamu.” (Met 6:16-18)
Petikan ini menyarankan umat Kristian untuk tidak menunjuk-nunjuk ketika berpuasa. Adalah lebih baik jika orang lain tidak mengetahui yang sebenarnya mereka sedang berpuasa. Hal ini adalah selari dengan saranan gereja yang mengecam tindakan menghakimi orang lain.
Puasa dan konsumerisme
Puasa bukanlah dilihat sebagai sebuah ritual agama sahaja, tanpa kita sedari setiap manusia berpuasa setiap hari dalam tidurnya, dan ada juga yang berpuasa untuk tujuan kesihatan termasuklah persediaan sebelum pembedahan dijalankan. Perlu dijelaskan bahawa amalan konsumerisme dan berpuasa adalah tidak berkaitan antara satu sama lain.
Setiap orang yang merasakan dirinya tidak mahu membeli atau ingin berbelanja secara berlebihan itu adalah bergantung kepada habitnya tersendiri.
Budaya konsumerisme adalah berkait rapat dengan kelas sosial. Sejak dari tahun 80-an masyarakat Malaysia secara amnya dilihat menjadi semakin konsumeristik. Ianya adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh adanya dasar ekonomi baru, perindustrian dan banyak lagi yang menyebabkan banyaknya penghijrahan orang luar bandar ke bandar besar.
[caption id="attachment_3753" align="alignleft" width="300"]
Forum disertai rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang. Perbincangan yang terhasil kaya dengan perspektif-perspektif kritis yang berbeza.[/caption]
Ini juga melahirkan banyak budaya baru termasuklah majlis rumah terbuka yang dilakukan sebagai langkah untuk mengeratkan hubungan sesame masyarakat daripda pelbagai latar belakang budaya.
Dilema kelas pertengahan dilihat bukan sahaja berlaku di Malaysia namun pada peringkat antarabangsa, telah menjadi faktor utama dalam budaya konsumerime ini.
Contohnya, di Shang Hai, dalam masa 10 tahun mengalami perubahan daripada kawasan yang lapang menjadi sebuah tempat yang membangun disebabkan oleh penghijrahan yang berlaku oleh golongan kelas pertengahan untuk mencapai kehidupan yang lebih baik di kawasan Bandar.
Hal ini juga berlaku kepada budaya di Malaysia, di mana perkembangan moden telah menekan kita untuk menjadi lebih konsumeristik. Jika ditanyakan kepada zaman ibu bapa kita dahulu, mereka hanya dapat menikmati makanan yang istimewa terutamanya daging pada majlis-majlis keramaian, festival tertentu sahaja.
Jadi mulalah ada pihak yang menggunakan agama sebagai salah satu cara untuk menjustifikasikan amalam konsumerisme. Disebabkan mereka sudah seharian berpuasa, maka pada waktu berbuka mereka merasakan bahawa mereka mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk berbelanja dan makan sesuka hati.
Bulan puasa yang disinonimkan dengan amalan menahan diri dan bersederhana berserta tujuan untuk menghayati bagaimana kehidupan orang susah ini seolah-olah telah kehilangan semangat dan tujuan utamanya.
Sesuatu yang sangat paradoks apabila pada bulan puasa ini kita dibanjiri dengan isu gelandangan yang semakin hangat diperkatakan baru-baru ini dan juga dapat dilihat pola perkembangan tentang promosi juadah berbuka puasa di hotel-hotel yang bernilai ratusan ringgit.
Bukan itu sahaja, bagi orang yang berkemampuan, ramai antara mereka yang menganjurkan majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan sehinggakan pembaziran yang tidak terkawal. Ironinya, jika mahu berbuat baik seolah-olah hanya pada bulan ini sahaja amalan kebaikan itu diterima. Habisnya bulan Ramadan ini, sumbangan-sumbangan ini sepertinya tidak kelihatan lagi.
Campur tangan pemerintah dalam ruangan Individu
Pandangan lain melihat bahawasanya masalah pada asasnya berpunca daripada campur tangan pemerintah dalam ruang lingkup peribadi manusia. Ianya menjadi masalah apabila agama itu diinstitusikan dan mempunyai kuasa. Ini akan melahirkan suatu pimpinan yang diktator yang menyekat kebebasan ruangan individu tersebut dan akhirnya akan menyebabkan ramai orang bersifat hipokrit.
Penstukturan yang sangat efektif dan pemahaman dalam agama oleh institusi keagamaan negara membawa suatu natijah yang lebih buruk apabila perkara dalam agama yang sepatutnya dalam lingkungan kebebasan individu ini diseratakan dan dilaksanakan secara selari kepada semua masyarakat.
[caption id="attachment_3755" align="alignleft" width="300"]
Perbincangan menyentuk isu puasa dari aspek budaya, ekonomi, falsafah, agama dan politik![/caption]
Contohnya, apabila waktu berpuasa, semua kedai hanya boleh beroperasi bermula jam 3 petang, denda terhadap orang-orang yang tidak berpuasa atau makan diruangan awam, sedangkan amalan ibadat setiap individu ini adalah urusan dia dengan tuhannya, sama sekali tidak melibatkan pemimpin yang ingin menjadi orang tengah.
Ianya juga menjadi masalah apabila institusi ini mempunyai kuasa untuk menghakimi orang lain tentang urusan ibadatnya. Cuba kita lihat, seorang pegawai pentadbiran yang kerjanya di dalam kawasan yang berhawa dingin berpuasa dan dibandingkan dengan seorang pekerja kontraktor yang bekerja di bawah panas terik matahari dengan memikul bebanan yang berat dan berpeluh-peluh.
Adakah nilai puasa mereka sama? Dan jika ini di pukul rata, akhirnya akan kelihatanlah pekerja-pekerja kontraktor yang terpaksa makan di dalam tandas kerana bebanan kerja yang berat, kerana dikhuatiri tertangkap oleh pihak yang berkuasa kerana mereka tidak berpuasa di bulan Ramadan.
Secara kesimpulan berpuasa memerlukan penghayatan yang mendalam. Kita perlu menjadi seorang yang jujur dalam segala amalan seharian kita. Sekalipun ianya adalah urusan ritual agama yang menghubungkan kita dengan tuhan. Namun, diri kita sendiri sahaja yang mengetahui sejauh mana penghayatan yang diberikan.
Tiada gunanya jika kita berpuasa hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan juga perlu diingat bahawa ianya bukan berhenti sekadar sebulan sahaja. Amalan berpuasa seharusnya dihayati setiap hari dan bersikap bersederhana dalam kehidupan seharian.
Ramadan dan virus konsumerisme
Adakah umat Muslim memerlukan Santa Claus?
Menerusi makalah ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam, khasnya sekarang iaitu bulan Ramadan.
Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadan yang wajar dikejar.
Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca.
Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; seperti pakaian keAraban dan sebagainya.
Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka.
Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”.
Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme, kadang-kadang perkara sama berlaku dikalangan Muslim: biasa didengar bagaimana sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos-kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan.
Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks!
Malah makanan yang tidak dapat dihabiskan, yang lazimnya bertimbun di buffet-buffet tersebut akan dibuang sahaja, atas alasan hak milik peribadi pemilik hotel.
Bukan suatu yang rahsia, sebahagian pihak terjebak dengan hutang keliling pinggang hanya kerana “tidak mahu kalah” semasa hari raya, iaitu setelah sebulan perjalanan spiritual yang seperti tiada apa-apa.
Mesej berjimat cermat, membantu orang memerlukan, kesamarataan manusia, persaudaraan kemanusiaan dan mesej utama ketakwaan (yang mana menurut Islam; ketakwaan itu ringkasnya ialah “menjaga hubungan dengan Tuhan dan memperbaiki kualiti hubungan dengan manusia dan kehidupan”) terabai begitu sahaja.
Ramadan: Renung diri atau jual beli?
Beberapa perenggan di atas merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan.
Suatu yang jelas dilihat praktis-praktis keagamaan dalam Islam ialah ia sentiasa akan dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas.
Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tak sepatutnya.
Akibat ragutan itu, ia menjadikan Ramadan bukan lagi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding bulan-bulan lain.
Ramadan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan.
Berhubung mereka (para politikus), sekalipun atas nama “berbuka puasa” dan apa-apa upacara keagamaan, persoalan berapa dan dari mana belanja dikeluarkan perlu sentiasa ditanya.
Kembali kepada makna agama
Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme mengeruhkan lagi keadaan.
Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?.
Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri?
Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian:
“Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for some lessons and warnings.”
Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim.
Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita persoalan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam faham kita tentang Ramadan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadan dan amalan berpuasa.
Oleh itu, mengajak kepada melihat kembali apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadan ialah satu usaha mengelak kehampaan makna berlangsung serius, selain menolak akhirnya hal-hal keagamaan menjadi bahan paling laku untuk diniagakan.
Teladan daripada Ibn Tufail
Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal.
Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masharakat yang sudah hampa dari makna beragama.
Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperoleh sepanjang berada di pulau.
Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masharakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama.
Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya.
Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi.
Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama.
Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman di mana perindustrian merupakan segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan praktis beragama, salah satunya Ramadan dan puasa.
Ramadan dan puasa hanya contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab.
Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti Ramadan.