Projek Dialog

Shamanisme Sabah: Mangambao

Mamagambil [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 19 Mei 2014] Penulisan saya kali ini membawa pembaca kepada upacara shamanisme di Sabah suku kaum Dusun Tindal yang seterusnya iaitu Mangambao. Seperti Mamagambil,  shamanisme Mangambao juga dilakukan dengan tujuan untuk menyembuhkan penyakit dalaman seseorang dengan mendapatkan roh si pesakit yang telah di ambil oleh “rogon jahat” atau “syaitan jahat”. Selain itu, Mangambao dilakukan untuk melindungi sesebuah  rumah dengan berkomunikasi dengan rogon-rogon yang kemungkinan besar tinggal bersama dengan kita di dalam rumah dan juga berkomunikasi dengan rogon-rogon tanah, rogon-rogon air dan rogon-rogon di pokok. Mangamabo Sebelum memulakan upacara Mangambao, Bobolian dan Bobohizan (pengamal-pengamal upacara shamanisme) akan meletakkan satu tarikh khas untuk upacara Mangamabo. Selepas itu, Bobolian ataupun Bobohizan akan menjemput rakan-rakan Bobolian dan Bobohizan yang lain untuk menyertai upacara ini. Upacara Mangambao mesti dilakukan dengan 3 ataupun 10 orang Bobolian dan Bobohizan dan tidak boleh dilakukan oleh seoang Bobolian dan Bobohizan sahaja. Penduduk kampung disekitar juga dijemput untuk turut serta dalam Mangambao dengan satu syarat dimana mereka yang menyertainya harus mematuhi pantang larang seperti tidak boleh memetik pisang dan mengambil batang “Polod” ataupun “sejenis makanan dari batang pokok kelapa” untuk menghormati upacara Mangambao ini. Bobolian dan Bobohizan kemudiannya akan mencari seekor “babi” ataupun “Wogok” untuk dijadikan penyembahan dalam upacara Mangambao dimana Wogok akan dipersembahkan kepada rogon jahat semasa mengambil roh si pesakit dan juga kepada rogon-rogon lain yang berada di tanah, rumah, air dan pokok. Lagu-lagu mantera Upacara Mangambao  dimulakan dengan menyembelih atau “menombok” Wogok tersebut dengan di sertai  “rinait dan watang” atapun “lagu-lagu mantera” yang berbeza-beza mengikut kepandaian rinait dan watang setiap Bobolian dan Bobohizan. Rinait dan watang yang dinyanyikan adalah untuk memanggil malaikat-malaikat pelindung yang akan menolong Bobolian dan Bobohizan untuk mendapatkan roh si pesakit yang telah di ambil oleh rogon jahat. Mereka yang turut serta dalam Mangambao juga boleh mengikut membaca rinait dan watang yang di nyanyikan oleh Bobolian dan Bobohizan. Antara rinait dan watang yang di nyanyikan oleh nenek saya semasa Mangambao ialah rinait do “Sugang” Rinoit do “Sugang” Oi kumburongoh, sugaun ti topong sugang, ngoyo ku di kumborongoh Iso kudi rinokian,sungaun ti topong sugang,topong di kumborongoh Sugang tanak gararaong ngadau Irung tanak  irung sidang,aawi kanto garao ngadau Inda kanto irung sidang tolindakon dot nokuod soroungan dot nawalie Ko suminban kotugangon  dot tumitiu ko suminban dot tinogu Monida nogi tondiu manahang nogi kolumpod Molungou longou ei rinatai mansampur-sampur ei tanah Hilo no simbang tarasi, ei’ e  koh ei sugang nga amu osulian Rimuda om rumasa, ei’e  maga oii, simbang dahai kumborongoh Irung dahai rinokian hilo no sugang tarasu om hilo noh irung taadau Sugang nga amu osulian ei rimunda aaratan Bobolian dan Bobohizan yang mahir dalam upacara Mamagambil akan memanggil Tombilonnya iaitu Himbou, manakala Bobolian dan Bobohizan yang lain akan memanggil semangat komburongoh dengan menggunakan sejenis alat shamanisme iaitu Kumburongoh. Ada Bobolian dan Bobohizan memanggil  semangat yang dipanggil Dahao dengan menggunakan sejenis alat shamanisme iaitu Ginding. Semangat-semangat Himbou, Komburongoh dan Dahao akan terpanggil melalui rinait dan watang yang di nyanyikan oleh Bobolian dan Bobohizan dan ikut serta dalam upacara Mangambao. Monsuhut Di sebelah siang, Bobolian dan Bobohizan berterusan menyanyikan rinait dan watang masing-masing hingga sampai waktu malam. Di sebelah malam, Tombilon, Himbou dan Komburongoh bersama-sama dengan Bobolian dan Bobohizan akan melakukan Monsuhut (mengambil roh si pesakit) yang telah di ambil oleh rogon jahat. Rogon Bobolian dan Bobohizan juga akan berkomunikasi dengan rogon-rogon yang tinggal di rumah bersama dengan manusia untuk merapatkan hubungan rogon dengan manusia supaya rogon yang tinggal di rumah tidak akan menjadi jahat kepada manusia. Salah satu rogon iaitu Tandahou. Tandahao merupakan rogon yang baik dan menolong manusia dimana rogon ini membantu mengukuhkan kedudukan rumah supaya tidak tumbang apabila ribut kuat melanda. Bobolian dan Bobohizan juga berkomunikasi dengan rogon-rogon lain seperti rogon tanah iaitu Satana dan Koromit, rogon air iaitu tambaig, rogon di pokok-pokok besar iaitu Tompuan. Tompuan biasanya hidup di “Nunuk” ataupun “pokok-pokok yang mempunyai batang besar. Ini adalah bertujuan supaya rogon-rogon ini tidak akan menganggu kehidupan manusia terutamanya keluarga si Bobolian dan Bobohizan. Upacara turun-kemurun Upacara Mangambao adalah upacara shamanisme yang memakan masa yang lama untuk mempelajarinya. Nenek saya sendiri telah mengambil masa dua tahun untuk menghafal rinait dan watang dimana nenek moyang menyampaikan rinait dan watang dalam bahasa lisan kerana nenek saya tidak pandai menulis. Setiap malam, nenek saya akan menghafal beberapa bait rinait dan ratang sehingga rinait dan watang itu lengkap menjadi satu lagu mantera. Proses pembelajarannya memerlukan kesabaran dan minat yang tinggi untuk menguasai ilmu dan pengetahuan alam yang menakjubkan ini. Maka Mangambao itu sesuatu pengetahuan dan ilmu yang memerlukan kekuatan dan komitmen yang tinggi untuk mempelajarinya dimana ianya memerluka daya ingatan yang kuat untuk mengingati setiap bait rinait dan watang. Persoalannya sanggupkah kita memberi ruang kepada otak dan minda kita untuk menghafal semua ini? Penulisan saya akan bersambung kepada shamanisme yang seterusnya iaitu “Moguhok”.

]]>

Roh Yang Hidup, Aki Nabalu

Aki Nabalu Aki Nabalu[/caption] Kelahiran Aki Nabalu Suatu ketika dahulu, Kinorohingan ataupun dikenali sebagai TUHAN mempunyai dua orang anak iaitu Taadakon dan Bulantoi. Taadakon merupakan anak sulung kepada Kinorohingan dan Bulantoi adalah anak bongsunya. Taadakon dan Bulantoi mempunyai sifat yang berbeza dimana Taadakon lebih kepada menjadi penjaga di Bumi manakala Bulantoi seringkali membuatkan manusia sakit dan memberikan kehidupan yang susah. Melihat kepada tingkah laku anak-anaknya, Kinorohingan mengarahkan Taadakon untuk tinggal di Gunung Kinabalu manakala Bulantoi hanya berkeliaran di kawasan hutan dan berterusan mengacau manusia. Ini telah memberikan amanat kepada Taadakon untuk menjaga gunung dan mengetuai segala penghuni yang mendiaminya. Pengamal kepercayaan pagan atau agama asal mempercayai roh-roh yang sudah meninggal dunia akan naik ke Gunung Kinabalu untuk menetap disana. Sehingga hari ini, penduduk Sabah memanggil Taadakon sebagai Aki Nabalu. Semangat yang Indah & Suci Penceritaan pendek dari nenek moyang ini memberikan satu gambaran yang sangat mendalam tentang siapakah Aki Nabalu. Aki Nabalu adalah anak kepada Kinorohingan dan itu meletakkan Aki Nabalu sebagai satu semangat yang indah dan suci kepada pengamal agama asal. Bagi mereka, semangat ini adalah hidup dan tidak dapat dipisahkan dari tubuh manusia, sepertimana ungkapan yang sering dikatakan, “Kita adalah Bumi dan Bumi adalah kita”. Penjaga Kota Seperti dalam petikan bible: “Lalu, di dalam roh ia membawa aku ke atas sebuah gunung yang besar lagi tinggi dan ia menunjukkan kepadaku kota yang kudus itu.” (Wahyu 21:10) Petikan ini mencerminkan bagaimana juga Kinorohingan membawa Aki Nabalu ke atas Gunung Kinabalu dan menunjukkan Sabah sebagai sebuah kota yang kudus. Sabah sebagai kota kudus, seharusnya tidak dicelar dan dicemari dengan kemusnahan alam sekitar dan pelbagai pembangunan konkrit. Tetapi malangnya, apa yang diimpikan oleh Aki Nabalu tidak kesampaian, Sabah kini dikatakan sedang dalam pembangunan yang pesat seperti yang diinginkan oleh mereka yang bersifat materialistik. Kinabalu Peak Semangat yang Sentiasa Hidup Aki Nabalu adalah semangat yang hidup berbilion tahun lamanya. Amanda Leonie dalam penulisannya mengungkapkan, “bagaimanakah mampu kita fahami spiritualiti yang lebih lama dari kewujudan bumi sendiri. Umur alam semesta adalah 13.7 bilion tahun, planet Bumi dalam lingkungan 3.8 bilion tahun, kehidupan ialah 2 bilion, dan kewujudan manusia di Bumi hanya dalam 7 juta tahun.” Persoalan yang sama timbul, sejauh manakah kita mampu memahami spiritualiti Aki Nabalu, sekian lama semangat ini hidup, tetapi sejauh manakah kita mendekati semangatnya dan bersatu dengannya. Adakah hanya selepas gempa bumi, baru kita mulai sedar dan rasa yang semangat Aki Nabalu adalah suatu realiti. Ini juga bermakna, Aki Nabalu sudah wujud sebelum kedatangan agama-agama lain seperti Kristian dan Islam di Sabah. Sejak Bumi dibentuk, Gunung Kinabalu sudah tersergam indah berdiri. Hanya selepas kedatangan para penginjil dari Eropah, telah membawa separuh penduduk Sabah kepada agama Kristian. Pemikiran ini dikuatkan lagi dengan penceritaan ringkas oleh nenek moyang, dimana semasa Jepun menawan Sabah, pada masa itu lebih dikenali sebagai Borneo pada tahun 1942, tentera Jepun cuba meletupkan Gunung Kinabalu dengan dua biji bom tetapi tidak meletup. Dengan perasaan tidak puas hati, mereka melontarkan bom yang ketiga ke puncak gunung, disaat itu, keluar satu rumah dan muncul seorang manusia yang bertelinga besar dan menuding jari ke arah kapal tentera Jepun itu. Tentera Jepun ketakutan dan mereka tidak berjaya meletupkan Gunung Kinabalu. Kejadian ini menguatkan pegangan kepercayaan agama asal yang Aki Nabalu memang benar-benar hidup di puncak gunung itu. Aki Nabalu dalam Kemodenan Semangat Aki Nabalu seolah-olah dilupakan dalam kesibukan arus pemodenan sehinggalah gempa bumi yang mengejutkan penduduk Sabah. Penduduk Sabah hanya melihat semangat Aki Nabalu bangkit dalam keadaan marah disebabkan oleh pelancong asing yang berbogel di puncak. Gempa bumi ini membawa kepada bermacam-macam perdebatan seperti pelancong asing berbogel seharusnya menghormati tempat suci, ada juga yang mengatakan gempa bumi bukan disebabkan oleh pelancong tersebut. Saya berfikir, sekiranya gempa bumi tiada, adakah Aki Nabalu terlintas di fikiran kita atau kita terus hanyut dalam khayalan pemodenan yang makin melimpah ruah. Saya cuba membayangkan Aki Nabalu berdiri di puncak dan melihat ke satu pandangan luas iaitu kota kudus Sabah, dengan kesakitan melihat perubahan alam dari rimbunan hijau ke konkrit. Aki Nabalu juga dimodenkan menjadi Gunung Kinabalu sebagai pusat pelancongan untuk tujuan pembangunan ekonomi. Dia menerima ratusan pengunjung setiap hari. Pengunjung yang bertujuan untuk menikmati keindahan puncak gunung dan juga merasai semangatnya. Namun sejauh manakah pengunjung ini betul-betul menyelami isi hati Aki Nabalu, berkomunikasi dengannya dan cuba bersatu dengannya? [caption id="attachment_4901" align="aligncenter" width="546"]Upacara Monogit Upacara Monogit[/caption] Monogit Susulan gempa bumi ini, sekumpulan Bobolian ataupun bomoh melakukan upacara Monogit ataupun dikenali sebagai upacara menyenangkan semangat Aki Nabalu. Ini adalah upacara berkomunikasi dengan Aki Nabalu dan meminta maaf kepadanya. Upacara sebegini sepatutnya dilakukan sekali dalam setahun untuk bersyukur dan berterima kasih kepada Aki Nabalu, akan tetapi, ini seolah-olah tidak berlaku lagi kerana kebanyakan penduduk Sabah sudah menganuti agama Kristian. Sesetengah penganut Kristian mengatakan kamu tidak boleh melakukan atau mengikuti upacara ini kerana ia melanggar pegangan dan dianggap berdosa. Pemikiran sebegini sudah tentunya membawa kesedihan yang teramat kepada Aki Nabalu. Seolah-olah kita cuba menidakkan kewujudannya di Bumi. Jika kita rujuk kepada petikan dalam Kejadian 22:13, “Abraham mengambil domba itu, lalu mengorbankannya sebagai korban bakaran pengganti anaknya”. Kisah Abraham ini jelas menunjukkan penyembahan dengan menggunakan darah binatang kepada Tuhan. Begitu juga dalam konsep Monogit, penyembahan dengan menggunakan darah kerbau kepada Aki Nabalu. Jadi apa bezanya disini, upacara Abraham dengan Bobolian. Maka saya melihat disini, mengikuti upacara Monogit bukanlah satu perbuatan dosa. Mereka yang beragama Kristian dan telah mengikuti upacara Monogit, tidak payah risau terhadap mereka yang menghakimi kamu sebagai orang berdosa. Kita sepatutnya risau terhadap mereka yang sudah jatuh dalam kekuasaan material dunia. Seperti Paus Fransiskus mengatakan dalam khutbahnya, “godaan setiap hari kepada umat Kristian adalah tarikan yang lebih kepada dunia material dan kuasa dan pada masa yang sama cuba membentuk gereja. Hasilnya kita menjadi orang Kristian atas nama sahaja tetapi hati dilaburkan kepada dua kepentingan di atas, maka akibat sikap itu membuatkan iman, misi dan gereja menjadi lemah.” Teguran yang mendalam dari Paus kepada seluruh umat Kristian. Aki Nabalu Dulu & Sekarang Walaupun rupa bentuk Gunung Kinabalu sudah berubah, namun semangat Aki Nabalu tidak berubah. Berlakunya gempa bumi atau tidak, kita seharusnya mula merenung dengan mendalam. Aki Nabalu sebenarnya sentiasa berbicara kepada kita sepanjang masa. Bisikannya yang penuh harapan agar kita sebagai generasi baru tidak melupakan kewujudannya. Kita sebagai Kristian tidak lansung membuangnya. Kita yang mengejar material dunia tidak memusnahkanya. Kita sebagai BUMI harus bersatu dengannya. Article 19

]]>