Salahkah Transgender?
Benarkah kewujudan golongan transgender dianggap salah di sisi agama?
Umumnya, seperti yang dinyatakan menerusi makalah bertajuk “Transgender dalam Mitos Hindu”, kehadiran golongan berkenaan bukan sesuatu yang baru dalam budaya India-Hindu.
Di Malaysia pula, topik berkaitan transgender amat kurang diperkatakan secara positif, adil dan bermaruah. Sebaliknya, selalu sahaja diberikan gambaran paling buruk oleh media arus perdana.
Saya menyebut dalam makalah “Minoriti Perlu Berani Bersuara” bahawa golongan minoriti tidak sekadar merujuk kepada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama.
Sebaliknya turut merujuk kepada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa.
Atas dasar mahu memberikan ruang dan peluang kepada golongan transgender bersuara, maka saya mengaturkan pertemuan dengan Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013.
Beliau bukan sahaja seorang transgender tetapi juga terlibat secara langsung dalam usaha murni dan berani memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan berkenaan.
Berikut adalah sebahagian transkrip perbualan kami yang boleh dijadikan asas bagi memulakan dialog dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, ideologi dan agama.
[caption id="attachment_2770" align="aligncenter" width="381"]
Usaha dilakukan untuk mendidik mahasiswa dan orang ramai mengenai transgender.[/caption]
Uthaya: Orang sering mengaitkan golongan transgender dan homoseksual dengan aktiviti seks tidak bermoral. Apakah komen anda?
Sharan: Istilah homoseksual, heteroseksual, biseksual dan sebagainya hanyalah label yang digunakan orang. Identiti gender tidak ada apa-apa kaitan dengan orientasi seks seseorang.
Sudah terbukti secara saintifik bahawa setiap lelaki, pada salah satu peringkat hidupnya (khususnya pada usia remaja), dia akan tertarik kepada sebilangan wanita dan sebilangan lelaki.
Individu lelaki itu tidak semestinya tertarik secara seksual kepada lelaki lain. Cuma, hubungannya dengan individu yang dia tertarik itu lebih intim berbanding dengan individu lain.
Situasi seperti ini pula tidak semestinya hanya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah lelaki, atau pelajar perempuan di sekolah perempuan seperti selalu diperkatakan. Sebaliknya boleh juga berlaku di sekolah campur.
Bagaimanapun, norma masyarakat yang menjadi penghalang dan membuatkan remaja heteroseksual berkenaan terpaksa memendamkan terus perasaan tertarik itu, walaupun dia bukannya tertarik secara seksual kepada rakannya itu.
Norma dalam masyarakat menetapkan bahawa seorang lelaki hanya boleh tertarik kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Kononnya kasih-sayang hanya boleh dikongsikan dengan orang yang kita cintai dan tertarik secara seksual – iaitu individu daripada jantina yang berlainan.
Pandangan seperti ini sebenarnya berasaskan pendirian berciri politik dalam agama tertentu pada zaman dahulu yang mahu supaya pasangan berlainan jantina segera berkahwin dan melahirkan anak. Supaya jumlah penganut agama berkenaan dapat ditambah dengan kadar paling segera.
Bercakap mengenai agama, apakah kewujudan golongan transgender bertentangan dengan ajaran agama?
Kita tidak dapat menolak kemungkinan bahawa ajaran agama sebenarnya tidak menghalang kewujudan golongan transgender, iaitu individu yang memiliki anggota tubuh lelaki tetapi mempunyai identiti gender wanita.
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kewujudan individu transgender berlaku secara biologikal sejak dalam kandungan dan bukannya dibuat-buat atau ditiru semasa kanak-kanak atau remaja.
Tuhan yang menciptakan lelaki dan wanita jugalah yang menciptakan golongan transgender. Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugas-Nya. Pihak yang keliru adalah manusia sendiri; bukannya Tuhan.
Misalnya, wujud pelbagai perkara yang bertentangan dan bercanggah dalam ajaran agama seperti difahami oleh manusia. Sebab itulah ada pelbagai agama, kepercayaan, mazhab dan aliran pemikiran.
Terdapat juga klasifikasi yang berbeza-beza bagi Tuhan; walaupun dalam kalangan agama yang mengakui hanya ada satu Tuhan.
Perbezaan kepercayaan, mazhab, agama dan pandangan turut membawa kepada persengketaan dan perang kerana masing-masing percaya bahawa apa yang dipercayainya sahaja adalah betul.
Walaupun mereka menegaskan Tuhan adalah satu, mereka masih berbalah kerana mempunyai pendirian yang berbeza.
Sekiranya diperhatikan dalam soal agama, apa yang diperjuangkan pihak tertentu adalah berdasarkan apa yang mereka percayai sebagai benar; tetapi tidak semestinya seratus peratus seperti apa yang ditetapkan oleh Tuhan.
Adalah tidak adil jika penganut satu agama memaksa penganut agama lain menerima apa yang dipercayainya.
Janganlah semata-mata kerana orang lain mempunyai cara dan kepercayaan yang berbeza terhadap Tuhan, maka kita membuat keputusan bahawa mereka berdosa dan tidak akan diterima oleh Tuhan.
Perbandingan yang sama boleh digunakan dalam isu berkaitan transgender.
Situasi berkaitan perubatan dan biologi cuba disempitkan menerusi pandangan sempit pihak tertentu berdasarkan pengetahuan mereka yang amat sedikit terhadap ajaran sebenar dalam agama.
Mereka tidak tahu apa itu transgender. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang sepenuhnya. Akan tetapi mereka mahu menetapkan peraturan terhadap apa yang mereka sendiri tidak tahu!
Istilah yang biasa digunakan dalam filem Tamil adalah “aravani” apabila merujuk kepada golongan transgender. Apakah label ini sesuai?
[caption id="attachment_2769" align="alignleft" width="195"]
Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender.[/caption]
Saya ada menyebut tadi mengenai beberapa label seperti homoseksual, heteroseksual dan biseksual. Semua itu hanyalah label yang diberikan oleh orang untuk memudahkan rujukan.
Bagi individu yang memiliki anggota tubuh (fizikal) lelaki tetapi identiti gender wanita, istilah yang diperakui dan digunakan pada peringkat antarabangsa adalah “transgender”.
Pelbagai istilah lain turut digunakan di pelbagai negara. Di beberapa negara, termasuk Filipina, label/istilah yang digunakan adalah “gay” tanpa melakukan klasifikasi sama ada homoseksual, biseksual, lesbian, transgender atau sebagainya.
Penggunaan istilah atau label ini adalah bagi menggambarkan kedudukan identiti individu berkenaan yang berada pada persimpangan antara identiti seks (tubuh dan alat kelamin) dan identiti gender (biologikal dan tertanam dalam minda sejak dalam kandungan).
Istilah binari yang biasa digunakan apabila merujuk kepada gender adalah “lelaki” (male) dan “perempuan/wanita” (female).
Dalam keadaan ini, kita lupa bahawa gender bukan berciri binari (dua) kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa gender tidak hanya terikat kepada “lelaki” dan “perempuan”.
Atas sebab itulah mana-mana individu yang tidak termasuk – atau tidak memenuhi sepenuhnya kriteria konvensional dalam masyarakat – bagi kategori “lelaki” atau “wanita” diletakkan di bawah label “transgender”.
Kriteria konvensional yang saya maksudkan adalah norma dalam masyarakat yang hanya melihat pada kategori “lelaki” dan “wanita” berdasarkan anggota tubuh dan alat kelamin lelaki (zakar) atau alat kelamin wanita (faraj).
Secara konvensional, apabila seorang bayi yang dilahirkan itu ada zakar, maka diberikan identiti gender sebagai “lelaki”.
Amalan ini tidak tepat kerana kehadiran zakar atau faraj adalah “identiti seks” dan tidak semestinya mewakili “identiti gender”.
Bagaimana pula dengan individu transeksual?
Istilah “transeksual” merujuk kepada individu yang sedar bahawa identiti seks yang dimilikinya (fizikal) adalah berbeza dengan identiti gender dalam mindanya (sejak dalam kandungan).
Misalnya seorang individu yang dilahirkan dengan alat kelamin lelaki tetapi memiliki identiti gender wanita.
Individu berkenaan memilih untuk hidup sebagai wanita, iaitu berdasarkan identiti gender wanita yang dimiliki (dalam minda) dan bukan identiti seks (alat kelamin).
Individu transeksual tahu bahawa identiti seks – iaitu alat kelamin dan ciri-ciri fizikal lain – boleh diubah.
Bagaimanapun, identiti gender yang tertanam dalam minda sejak dalam kandungan akan terus kekal hingga akhir hayat.
Secara mudah, “transgender” merujuk kepada keadaan umum individu yang memiliki identiti seks (fizikal) dan identiti gender (naluri) yang bertentangan.
Keadaan “transeksual” pula umpama subset iaitu salah satu daripada pelbagai label yang berada di bawah kategori “transgender”.
Misalnya, saya sendiri. Saya dilahirkan dengan alat kelamin lelaki (zakar) tetapi identiti gender saya sejak bayi adalah perempuan. Maknanya saya menyedari bahawa saya sebenarnya seorang individu perempuan.
Sejak kanak-kanak hingga kini, saya hidup sebagai seorang wanita. Identiti gender ini akan kekal hingga akhir hayat saya.
Adakah transgender akan berusaha menjalani pembedahan bagi mengubah identiti seks mereka?
Apabila bercakap mengenai golongan transgender, tidak semestinya mereka perlu membuang “identiti seks” (zakar) melalui pembedahan.
Memang ada transgender yang membuat pembedahan membuang zakar kerana mereka mampu dari segi kewangan. Akan tetapi, ramai yang tidak mampu menampung kos pembedahan yang memang amat mahal.
Pada masa sama, ada juga transgender yang tidak memikirkan soal membuang alat kelamin mereka kerana apa yang lebih penting adalah identiti gender (minda) dan bukannya identiti seks (alat kelamin).
Sebenarnya, sehingga awal tahun 1980-an, pembedahan membuang zakar bagi golongan transgender dilakukan secara sah di Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya).
Selepas seorang individu transgender selesai menjalani pembedahan membuang zakar (identiti seks) di sana, maklumat jantina pada kad pengenalan boleh diubah secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara.
[caption id="attachment_2771" align="aligncenter" width="388"]
Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.[/caption]
Mengapa pula perkhidmatan pembedahan itu dihentikan?
Masalah hanya berlaku selepas tahun 1982 apabila keluar fatwa mengharamkan pembedahan menukar jantina di kalangan orang Islam.
Apa yang menyedihkan adalah bahawa ramai yang tidak memahami hakikat bahawa golongan transgender bukan mahu “menukar jantina”.
Sebaliknya transgender mahu memastikan “identiti seks” (fizikal) selaras dengan “identiti gender” yang tertanam dalam minda sejak masih berada dalam bentuk embrio di dalam kandungan ibu.
Seperti saya katakan, identiti seks boleh diubah tetapi identiti gender kekal hingga mati.
Kalau kita perhatikan, istilah “mukhannathun” terdapat dalam Hadis sahih untuk merujuk kepada golongan transgender iaitu individu yang lahir dengan alat kelamin (identiti seks) lelaki tetapi memiliki sepenuhnya identiti gender wanita.
Dinyatakan dengan jelas bahawa jika keadaan “mukhannathun” (transgender) itu wujud sejak kecil (kanak-kanak), maka individu terbabit tidak perlu rasa bersalah atau malu dengan keadaan dirinya.
Menurut Hadis, “mukhannathun” atau “mukhannas” adalah seorang individu (lelaki) yang menyerupai wanita.
Ada dua jenis “mukhannathun” dirujuk di mana salah satu adalah lelaki (identiti seks) yang benar-benar memiliki identiti gender wanita dan mempunyai adab serta tingkah-laku yang sama seperti wanita secara semula jadi (bukan dibuat-buat).
Ternyata Hadis itu merujuk kepada golongan transgender. Dinyatakan secara jelas bahawa golongan itu tidak berdosa selagi mereka tidak melakukan perzinaan, dosa dan maksiat.
Hukum terhadap zina, dosa dan maksiat itu sama juga bagi golongan heteroseksual.
Apa yang ditegah dalam agama Islam, Quran dan Hadis adalah apabila seorang individu dengan identiti gender lelaki dan identiti seks lelaki – iaitu “lelaki sejati” – mahu mengubah keadaan itu.
Di sinilah muncul kelompok lelaki yang suka berpakaian seperti wanita (cross-dressing) walaupun mereka bukannya transgender.
Malangnya, akibat kejahilan dan kerana tidak cukup maklumat serta pengetahuan, pihak tertentu menganggap transgender sama dengan cross-dresser.
Akibatnya, golongan transgender yang tidak berdosa selalu menjadi mangsa.
Saya berharap penindasan berikutan kejahilan seperti ini akan berakhir. Masyarakat dan pihak berkuasa perlu diberikan maklumat tepat dan benar mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan transgender.
[Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 21 November 2013]
#LoveWins: Apa yang dituntut LGBT?
Mark Zuckerberg menyatakan pendirian pro-LGBT yang diamalkan Facebook.[/caption]
#LoveWins – Jadi, Boikot LGBT?
Sejak awal pagi 27 Jun 2015, kita perhatikan ramai pengguna Facebook di Malaysia berlumba-lumba memuat naik foto profil menggunakan aplikasi Celebrate Pride yang menghiasi foto dengan jalur warna-warna pelangi.
Apa yang amat melucukan adalah hakikat ramai berbuat demikian tanpa tahu-menahu apa yang berlaku dan makna jalur warna pelangi itu. Ramai yang sekadar terikut-ikut, dan hanya sehari kemudian memahami makna sebenar.
Sehari sebelum itu, saya melihat paparan oleh pengasas Facebook, Mark Zuckerberg sempena “LGBT Pride Month” yang rupa-rupanya disambut setiap tahun pada bulan Jun.
Saya terjemahkan kata-katanya: “Facebook berasa bangga menyokong Pride, dan kakitangan kami di beberapa negara terlibat dalam mengatur acara serta menghiasi pejabat sebagai tanda sokongan.”
Zuckerberg berkongsi foto papan iklan besar di ibu pejabatnya. Saya pula berkongi paparan itu dengan pertanyaan: Apakah puak anti-LGBT akan mula menyahaktifkan akaun Facebook mereka?
Kejayaan yang sebenarnya diraikan menerusi paparan foto profil menggunakan aplikasi Celebrate Pride adalah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat mengesahkan perkahwinan sama jantina.
Saya perhatikan empat kelompok yang memaparkan foto profil dengan jalur warna pelangi dalam kalangan orang Malaysia. Pertama, kelompok LGBT. Kedua, kelompok pro-LGBT (LGBT-ally).
Ketiga, kelompok yang tidak tahu makna perbuatan itu tetapi hanya terikut-ikut. Keempat, kelompok yang berseloroh dengan memaparkan foto Datuk Seri Anwar Ibrahim atau bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
Saya bukan puak anti-LGBT. Saya ada rakan-rakan daripada kalangan LGBT dan saya memahami isu sebenar yang mereka hadapi setiap hari. Malah, saya pernah mewawancara beberapa LGBT dan menulis siri makalah yang boleh dirujuk di blog (www.uthayasb.blogspot.com).
Puak anti-LGBT sebenarnya kelompok yang berpura-pura dan melakukan kempen “Boikot Pilih-pilih” sama seperti yang dilakukan dari semasa ke semasa menerusi kempen memboikot Israel, McDonald’s, Starbucks dan sebagainya.
Sekiranya diperhatikan, puak yang benar-benar membenci LGBT dan segala perkara yang berkaitan dengan LGBT perlu turut memboikot segala produk Apple, Microsoft, Google dan Facebook.
Secara logik, puak anti-LGBT perlu mengharamkan diri masing-masing daripada menggunakan komputer, Internet, telefon pintar dan media sosial. Akan tetapi, tentulah puak berkenaan akan mencari 1,008 alasan untuk menuntut hak mereka menggunakan semua itu.
Warna-warna Pelangi – Perjuangan LGBT
Bendera berjalur tujuh warna pelangi ada cerita tersendiri. Rainbow Flag (Bendera Pelangi) itu direka oleh Gilbert Baker pada 1978 di San Francisco, Amerika Syarikat.
Sebelum itu, bendera warna merah jambu digunakan tetapi kurang disenangi kerana ada unsur Nazi. Baker tidak mahu mencipta logo atau lukisan; sebaliknya bendera yang boleh menjadi simbol antarabangsa bagi golongan LGBT.
Sebenarnya, pada masa kini, ada beberapa versi bendera bagi mewakili pelbagai kelompok LGBT. Misalnya, bagi kelompok transgender, gay, lesbian, biseksual, panseksual, aseksual, interseksual dan genderqueer. Malah ada bendera khas bagi golongan heteroseksual.
Kempen menyokong dan menuntut hak perkahwinan sama jantina sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Sekiranya kita masih ingat, pada 2013, logo dengan simbol sama (=) dalam warna merah digunakan. Facebook melaporkan, tiga juta orang menggunakan simbol itu sebagai foto profil.
Bezanya, pada kali ini, foto sendiri yang dihasilkan dengan aplikasi penapis (filter) warna-warna pelangi bertujuan meraikan dan menyokong keputusan mahkamah di Amerika Syarikat dalam soal hal perkahwinan sama jantina.
Memanglah ramai yang membantah, mengutuk, menghina dan cuba melaknat sesiapa yang bersikap pro-LGBT, tidak anti-LGBT, atau termasuk dalam kelompok LGBT.
Pada pemerhatian saya, situasi dan tuntutan golongan LGBT dan pro-LGBT di Malaysia tidak sama dengan situasi di Amerika Syarikat. Ramai yang terkeliru dan seterusnya cuba mengelirukan orang ramai.
Tuntutan golongan LGBT di Malaysia lebih tertumpukan kepada hak dan pengiktirafan terhadap seksualiti mereka. Misalnya, seorang transgender mahu diiktiraf sebagai wanita. (Rujuk siri makalah di blog saya untuk penjelasan terperinci supaya tidak terkeliru.)
Memanglah wujud golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan sebagainya di negara ini. Realiti ini tidaklah menghairankan. Sama sahaja seperti realiti wujudnya politikus yang menipu, merapu, mencuri wang rakyat, kaki rasuah, kaki perempuan dan sebagainya.
Sebut sahaja LGBT, ramai yang terus mengaitkan golongan itu dengan seks, pesta seks, dan seks rambang. Ternyata otak kotor yang dimiliki puak seperti ini tidak memungkinkan mereka melihat di luar lingkaran seks!
[caption id="attachment_4875" align="aligncenter" width="387"]
Simbol ini popular di media sosial sejak 2013.[/caption]
Muhasabah Diri – LGBT Juga Manusia, Jangan Fikir Seks Sahaja
Acara Seksualiti Merdeka yang pernah diharamkan menjadi salah satu contoh dalam hal ini. Apabila mata, fikiran, otak, hati, paru-paru, alat kelamin dan seluruh tubuh seseorang sudah tepu dengan seks dan seks semata-mata, maka amat mudah untuk mereka melihat golongan LGBT dari sudut seks semata-mata.
Apabila kita melihat golongan heteroseksual, mereka juga ada naluri seks. Ada perogol, ada penzina, ada pengamal seks rambang. Akan tetapi, setiap kali melihat atau memperkatakan mengenai golongan heteroseksual, apakah kita hanya mengaitkan mereka dengan seks, seks dan seks semata-mata?
Lalu, mengapa pula apabila bercakap mengenai LGBT, kita asyik mengaitkan seluruh kehidupan mereka dengan seks, seks dan seks semata-mata? Mengapa kita gagal melihat mereka sebagai manusia?
Cara paling mudah adalah dengan menuduh golongan LGBT sebagai melawan hukum Allah. Tiba-tiba manusia menjadi pakar agama; malah seolah-olah sudah menjadi pengganti kepada Allah di atas bumi.
Kita sering terkeliru apabila membicarakan isu berkaitan LGBT. Selama ini kita hanya melihat mereka sebagai pengamal seks. Seolah-oleh aktiviti mereka 24 jam sehari hanyalah mengadakan hubungan seks!
Kita gagal untuk melihat pelbagai isu, kekangan, rintangan, tekanan, kezaliman, penindasan dan persoalan lain yang sedang diperjuangkan oleh golongan LGBT demi menuntut hak kehidupan sebagai manusia; sebagai ciptaan Allah di muka bumi.
Biasanya, golongan yang melakukan penentangan secara berlebih-lebihan adalah puak yang menyimpan “rahsia peribadi” – sama ada berkaitan dengan diri sendiri atau ahli keluarga.
Puak penentang juga biasanya cuba menutup kejahilan mereka terhadap isu kemanusiaan yang melingkari golongan LGBT dengan memaparkan imej hitam, legam dan negatif mengenai LGBT.
Sebagai permulaan, apa kata para pengguna Facebook yang “tersilap” memaparkan foto profil dengan penapis Bendera Pelangi cuba memahami jiwa golongan LGBT.
Jika malu untuk bersemuka untuk berbual dengan individu LGBT, manfaatkan sahaja media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan WeChat. Daripada melontaran tuduhan tidak berasas, lebih baik ambil masa beberapa minit untuk mendengar kisah sebenar.
Mulakan dengan berkomunikasi bersama individu LGBT atau pro-LGBT dalam kalangan ahli keluarga dan sanak-saudara sendiri. Kongsikanlah pengalaman itu nanti di Facebook untuk renungan kita bersama.
Adakah Aku Lebih Muslim Jika…
Penterjemahan tidak rasmi “Will I Become a Better Muslim If” oleh Mariam Mokhtar, terbitan www.rakyattimes.com. Diterjemah oleh Yana Rizal.
Adakah Aku Lebih Muslim Jika…
“Aku memakai tudung, dan memandang rendah kepada yang tidak.
Aku memaksa isteri dan anak-anak aku memakainya.
Aku memakai jubah Arab putih dan memandang rendah budayaku sendiri.
Aku ingin buktikan aku tak bersalah, jadi aku bersumpah dengan Al-Quran.
Aku ke Mekah untuk menebus dosa, seperti kebanyakan ahli politik dan keluarga mereka.
Aku melaporkan jiranku ke polis akhlak kerana dia menolak pelawaan aku.
Aku tidak curiga apabila kononnya DNA babi ditemui dalam produk makanan seperti mentega atau coklat beberapa bulan sebelum Hari Raya, dan jabatan-jabatan agama mengenakan denda besar atau sekatan ketat atas penjualan produk-produk ini.
Aku menyokong usaha untuk mengasingkan lif di hotel bagi pengangkutan makanan tak halal dari tingkat ke tingkat.
Aku menyokong pengasingan troli dan kaunter bayaran di pasar raya.
Aku menyokong sebatan wanita yang minum di khalayak ramai, yang berzina atau curang.
Aku beri peluang kedua kepada bijakpandai dan ahli sukan negara, walaupun mereka pedofil atau didakwa merogol di bawah undang-undang.
Aku memaksa gadis baligh berkahwin dengan perogolnya, untuk menjaga maruah keluarga kerana kandungan luar nikah.
Aku merakam video seks pesaing politik aku.
Aku memotong tangan orang yang mencuri untuk susu bayi mereka, namun aku berdiam diri mengenai 1MDB dan berbilion ringgit yang dikeluarkan secara haram kerana risaukan kerjayaku.
Aku membunuh anjing dan menghalang umat Islam dari menyentuh anjing di khalayak ramai.
Aku memburu pekerja atas penjualan buku yang ditulis seorang lesbian atau homoseksual, walaupun mengetahui bahawa kakitangan tidak punyai kawalan atas buku-buku yang dijual.
Aku memaksa pegawai-pegawai gereja untuk menurunkan salib dan mengharamkan lagu pujian dan doa apabila PM melawat dewan gereja untuk minum petang.
Aku mengarahkan penghapusan salib dari lencana sekolah, dinding sekolah dan buku-buku sekolah.
Aku menuntut bahawa salib di atas gereja dibuang kerana pemuda Islam boleh mudah murtad.
Aku menuntut supaya semua jersi dan jalur bola sepak yang mempunyai tanda salib atau iblis dilarang pemakaiannya oleh orang Islam.
Aku mengutuk anak-anak perempuan yang memeluk idola K-pop mereka, namun menutup sebelah mata apabila isteri PM memeluk juara sukan.
Aku tak endahkan seruan untuk memelihara khazanah arkeologi seperti di Lembah Bujang Kedah, yang mungkin lebih tua dari Angkor Wat, semata-mata kerana ianya peninggalan Hindu.
Aku menghantar anak-anak lelaki yang lembut ke kem latihan untuk melasakkan mereka.
Aku mengharamkan gadis Melayu menyertai pertandingan kecantikan kerana tidak mahu mereka mendedahkan tubuh mereka.
Aku mendenda lelaki yang tidak solat Jumaat kerana ingin menyelamatkan ruh mereka.
Aku mengarahkan kanak-kanak bukan Islam supaya makan di bilik persalinan ketika bulan puasa kerana tidak mahu kanak-kanak Muslim kempunan.
Aku menghalau kanak-kanak bukan Islam ke rumah kerana mempunyai makanan haram, seperti sosej babi, dalam bungkusan makanan tengah hari mereka.
Aku tidak akan bersetuju untuk pendidikan seks kerana ia bermaksud seks bebas.
Aku mengarahkan serbuan di pub yang sering dikunjungi kelas pekerja, namun pada masa-masa ganjil yang aku menyerang kelab-kelab mewah atau lima bintang, aku pastikan dahulu anak-anak VIP dan menteri diiringi keluar melalui pintu belakang.
Aku mengumumkan bahawa langkah-langkah penjimatan adalah perlu, kemudian menggunakan mereka untuk membayar majlis perkahwinan anak perempuanku.
Aku menggunakan hudud untuk memikat rakyat yang beragama, terutama sekali yang di kampung, kerana aku tahu bahawa langkah ini memajukan cita-cita politik aku.
Aku menuntut persetubuhan dengan isteriku pada bila-bila masa, tidak kira perasaannya.
Aku menuntut seks di mana sahaja, walaupun sedang menunggang unta.
Aku berkahwin dengan teman wanita aku di selatan Thailand kerana isteri pertama aku enggan membenarkan poligami dan aku tak keberatan membayar denda kembali nanti, kerana ianya hanya RM1,000 – picisan saja! Lagipun, isteri pertamaku yang akan menanggungnya.”
Transgender: Perbandingan perspektif Islam dan moden
Gender Identity Disorder ini dan kesimpulan yang menarik antara ketiganya (Dr. Syamirul , Dr.Murizan dan Dr. Rozanizam). Walaubagaimanapun, pada tulisan kali ini saya ingin membawa pembaca dari sudut yang berbeza , yakni falsafah, tentang siapakah diri kita. Apakah itu manusia? Apakah yang menjadikan diri kita ini “manusia”, atau dalam erti kata yang lain, apakah subjek manusia itu boleh dibincang diluar kerangka gender “lelaki”, “perempuan” atau “transgender”? Kisah Herculin Barbin Sebelum saya meneruskan perbincangan, saya ingin menceritakan mengenai seorang Intersex (ataupun Khunsa/hermaprodit ,seorang yang alat kelaminnya sukar menentukan jantina kebiasaan lelaki atau perempuan. Selalunya mereka mempunyai dua alat kelamin) yang bernama Herculin Barbin ataupun nama lain beliau, Alexina. Beliau mempunyai penis yang kecil, klitoris yang besar dalam vagina yang kecil dalam masa yang sama mempunyai testikel dan bertubuh tegap seperti lelaki. Walaubagaimanapun beliau dibesarkan sebagai perempuan dan bercinta dengan seorang guru bernama Sara. Kisah cinta mereka menjadi kontroversi dan dihukum pihak sekolah kerana perbuatan mencintai sesama perempuan. Setelah mengakui dosanya di hadapan pendeta, Jean-Francois-Anne Landriot di La Rochelle, beliau dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar, Dr Chestnet pada tahun 1860. Walaupun keputusan klinikal mengesahkan ketidakseimbangan alat kelamin dan ciri-ciri tipikal yang mendefinisikan lelaki atau perempuan, mahkamah tetap membuat keputusan menentukan bahawa Alexina adalah seorang lelaki dan mesti berpakaian seperti lelaki walaupun selama ini beliau dibesarkan sebagai perempuan dan mencintai perempuan yang lain tanpa diberi pilihan menentukan jantinanya. Peristiwa ini menyebabkan Alexina berpindah ke Paris bersama kekasihnya dan beliau mengalami tekanan hidup yang melampau dan suatu penderitaan yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk membunuh diri. Alexina sering kali menyalahkan keadaan alat kelamin beliau yang menyebabkan penderitaan hidup beliau. Kisah ini sangat tepat untuk kita bawa dalam perbincangan selanjutnya. Jika kita renungkan, kompleksiti masalah Alexina berkait rapat dengan kecelaruan seks, gender dan seksualiti. Hakikat bahawa beliau secara biologis adalah seorang interseks/hermaprodit merupakan masalah dimensi pertama (masalah seks), kemudian beliau dibesarkan sebagai perempuan merupakan masalah dimensi kedua yakni masalah gender yang tidak dapat disandarkan kepada seks, dan masalah dimensi terakhir ialah masalah seksualiti/orientasi seks beliau kepada berlainan jantina yang juga suatu perasaan yang tidak dapat disandarkan pada seks dan gendernya. Dalam erti kata lain, Alexina menderita dalam hidupnya kerana kecelaruan ketiga-tiga ruang ini yang ditetapkan oleh konstruk sosial dan penghukuman oleh masyarakat lebih-lebih lagi melalui institusi undang-undang. Ini hanyalah suatu contoh dari banyak lagi kes. Namun, cukuplah sebagai pengenalan mengapakah masalah gender, seks dan seksualiti ini harus dirungkai semula dari persepsi lazim kita tentang manusia berjantina. Gender, Seks dan Seksualiti Manusia dan gender tidak dapat dipisahkan. Keseluruhan aspek hidup yang dibina hari ini sama ada dari segi politik, ekonomi sosial akan membincangkan mengenai manusia bergender. Manusia tanpa gender merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima. Semestinya, terdapat perbezaan antara ketiganya. Gender merupakan sebuah konstruk atau pembentukan sosial mengenai bagaimana sebuah gender itu sepatutnya berpakaian, peranannnya dan sebagainya, seks pula berdasarkan identiti gender seseorang berdasarkan biologinya yakni, organ kemaluannya dan seksualiti pula merupakan orientasi seksual terhadap pasangan sejenis mahupun berlainan jenis. Selalunya di dalam pemahaman kita, hanya ada gender dan seks binari, lelaki dan perempuan, yakni ditentukan melalui organ biologinya dan diletakkan oleh masyarakat tentang peranan gender masing-masing dan dianggap orientasi seksual semestinya kepada yang berlainan jantina. Akan tetapi persoalan tentang gender, seks dan seksualiti ini lebih kompleks dari itu. Judith Butler seorang intelektual Jerman, memberikan kita sedikit pandangan yang menarik mengenai hal ini khususnya berkisar tentang topik kita kali ini dalam karyanya Gender Trouble (1990). Bagi Butler, gender malah seks adalah sebuah pertunjukan atau peragaan [istilah Inggerisnya adalah performance]. Ianya bukan suatu essence atau lumrah hakiki manusia, yakni seperti yang kita sering fahami manusia itu diciptakan ada lelaki dan perempuan. Bagi Butler, tidak ada gender, seks dan seksualiti yang azali, yakni suatu sifat yang ada diluar konstruk sosial. Ketiga-tiganya adalah pertunjukan di dalam ruang awam di mana kesuruhan sistem masyarakat dan wacana kehidupan penonton dan jurinya. Pendapat Butler melangkaui wacana feminism dalam erti kata mengkritik “stable point of reference” yang diandaikan oleh feminism. Tiada nilai, realiti atau perwatakan jantiina yang ideal, kekal tidak berubah. Bagi memudahkan perbincangan, Butler mudahnya mengkritik andaian bahawa gender adalah akibat atau manifestasi dari identiti seks, sebagai contoh, jika seseorang punya penis, maka gendernya mesti lelaki. Mengikut logik itu, jika dia mempunyai vagina pula maka gendernya mesti perempuan. Butler bukan sahaja menolak “reference” gender daripada seks bahkan menolak terus “reference” seksualiti daripada gender yakni, jika gendernya lelaki maka mesti menyukai perempuan, dan jika gender perempuan maka mesti menyukai lelaki. Implikasi Gender Trouble Penolakan terhadap “stable point of reference” ini mudahnya ialah menolak manusia yang dieertikan dengan “essence” gender,seks dan seksualiti diluar sejarah dan konstruk sosial. Dengan menumbangkan ilusi “stable point of reference” in juga , Butler mengajak kita berfikir bahawa penindasan terhadap lelaki atau perempuan khususnya lebih dari persoalan gender, bahkan penindasan seringkali terjadi secara berlapis-lapis (bersangkutan status sosial, warna kulit dan sebagainya). Sebagai contoh, perempuan juga boleh ditindas dari sudut seksualitinya, yakni seorang perempuan yang tidak boleh mengandung dianggap bukan perempuan sejati (kerana hubugan seks sering kali difahami dengan tujuan prokreasi (yakni untuk mendapatkan anak sedangkan seks juga boleh jadi semata-mata untuk rekreasi (yakni sekadar kenikmatan).
Disinilah menurut Butler, wacana feminism juga tidak bisa memahami kompleksiti “trangender” jika masih berpegang kepada “stable point of reference” yang dibincangkan tadi. Gender, Seks dan Seksualiti dari pandangan Islam Menurut Syeikh Imran (bukan nama sebenar), perbahasan fiqh mengenai ketiga-tiga isu ni sangat terbatas dan memerlukan penilaian yang rapi dan perlu dibuka semula bagi menjemput interpretasi-interpretasi baru yang lebih progresif dalam menangani permasalahan ini kerana ia berkenaan hal-ehwal kemanusiaan yang sangat ditekankan Islam. Islam menekankan 6 prinsip utama ; 1)Al-Ilahiyaah (Tuhan Yang satu), 2)Al-Insaniyah (Kemuliaan Manusia), 3)Al-Hurriyah (kebebasan pilihan), 4)Al-Musawa wal- Adalah (kesetaraan dan keadilan), 5)Ar-Rahmah (kasih sayang), 6)Al-Jihad (perjuangan dan kepedulian). Allah berfirman : “Mengapa kamu tidak ikut berjuang di jalan Allah dan (membela) orang yang tertindas, laki-laki, perempuan dan anak-anak yang berkata “Tuhan kami! Keluarkan kami dari kota ini yang penduduknya berbuat zalim”(QS. Al-Nisâ’ [4]: 75)” Jadi Syeikh Imran menjelaskan bahawa fiqh adalah karya manusia yang bersifat relatif dan seiring dengan perkembangan zaman dan keadaan. Fiqh pula dibentuk melalui pemahaman ulama terhadap teks dan realiti yang terbatas di pandangan mujtahid-mujtahid pada zaman dan keadaan tertentu.
Menurut Prof Muhammad Abid Al-Jabiri, seorang pakar dan intelektual terkemuka di Morocco, bahawa “peradaban Islam” yang kita warisi kini terlalu cenderung kepada “peradaban fiqh”. Jantina berdasarkan Quran Misalnya dalam persoalan seks (jantina biologi) dalam Quran Cuma ada pembahagian binary, yakni Cuma dua, lelaki dan perempuan. Manakala dalam persoalan gender pula, selalu diambil mudah dengan dikaitkan organ seksnya (alat kelaminnya). Sedangkan dalam perbahasan hadith juga ada terma yang disebut sebagai khunsa (yang mempunyai dua alat kelamin atau pun ciri-ciri tubuhnya yang tidak bersesuaian dengan gender yang dipaksa keatasnya oleh masyarakat). Dalam Quran (Sural Al-Haj:5) menunjukkan bahawa penciptaan manusia terjadi dalam dua keadaan yakni mukhallaqah (fitrah) dan qhair mukhallaqah (fitrah tetapi tidak sempurna / cacat). Ini memberi makna bahawa penciptaan manusia tidak selalunya seragam dengan binari lelaki dan perempuan berserta gender dan seksualitinya yang tipikal dan sempurna kerana banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya kelainan seperti kecelaruan gender akibat alat kelamin dan orientasi seks. Orientasi seks manusia dalam al Qur’an ada dua yakni heteroseksual (QS;3:14) dan ghairu lil irbah minal rijal (QS;24:31) yakni seorang laki-laki yang tidak memiliki hasrat kepada perempuan dan gayanya juga seperti seorang perempuan. Orang ini disebut oleh nabi sebagai mukhannats jika berjenis kelamin laki dan mutarajjilat jika berjenis kelamin perempuan. Namun begitu perlu diingat pengkelasan gender (maknyah dan tomboi) ini juga tidak mengharuskan bahawa orientasi seksualnya mesti kepada sesama jenisnya, misalnya ada juga maknyah (bergender perempuan yang menyukai perempuan) dan juga tomboi (bergender lelaki tetapi menyukai juga lelaki). Menurut Ibn hajar,orang yang tidak memiliki hasrat seksual kepada lawan jenis nya ini terbagi menjadi dua ; minkhilqah (given) atau bi ghair khilqah (constructed). Isu-isu halus dalam penafsiran tentang seksualiti Menurut Syeikh Imran juga, perbahasan fiqh yang ada selalu terkeliru antara orientasi seks dan jenis hubungan seks. Misalnya berkenaan ayat-ayat yang mengharamkan homoseksual. Menurut beliau, ayat-ayat yang mengharamkan homoseksual adalah berpandukan perbuatan liwat (anal seks, seks penis ke ruang dubur) sedangkan liwat adalah perbuatan seks, bukannya orientasi seksual. Ini bermakna, seseorang tidak perlu menjadi homoseksual pun untuk melakukan liwat . Bahkan banyak para sahabat yang melakukan anal seks kepada istrinya baik muhajirin mau pun Ansor .Al thabari menyebutkan sebuah hadits tentang perilaku liwath oleh Umar R.A terhadap isterinya yang kemudian menjadi sebab turunya ayat Quran 2 :223. Hasyim al Bahrani dalam Tafsirnya “al burhan fi tafsiril qur’an” menyebutkan bahawa kisah liwath pada masa nabi Luth bukan suatu perbuatan homoseksual (orientasi seks) akan tetapi suatu bentuk hubungan seks yang bertujuan mengusir orang asing (suatu penindasan dan upaya dominasi) dari daerah mereka kerana menganggap kemiskinan mereka datangnya dari orang asing. Maka yang diharamkan Tuhan bukanlah orietasi seksual (homoseksual) akan tetapi perbuatan seks yang dilakukan dengan tujuan penindasan dan kezaliman. Ini selalu boleh kita perhatikan dalam kes-kes penjara di mana ahli penjara meliwat rakannya kerana keperluan seksualnya dan sebagai suatu bentuk penghinaan dan penindasan sedangkan dia bukanlah seorang homoseksual. Tujuan seksualiti juga selalunya difahami sebagai heteronomativi yakni dengan tujuan prokreasi dan reproduksi (seks dengan tujuan mendapatkan anak dan keturunan) sedangkan tujuan seks tidak semestinya untuk mendapatkan anak, dan hanya semata-mata tujuan rekreasi yakni seks dengan tujuan kenikmatan semata-mata. Misalnya terdapat homeseksual yang berhubungan seksual hanya demi kenikmatan bukan untuk mendapatkan anak. Ada juga hubungan seksual lelaki dan isteri dengan hanya tujuan rekreasi.