Gambar: themalaysiantimes.com.my[/caption]
Hudud – Ya atau tidak, mengapa?
Pada 18 Mac yang lalu, kerajaan Kelantan telah meluluskan penggubalan RUU Kanun Jenayah Syariah Islam. Dengan erti kata lain, kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob telah mendapat mandat untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Isu pelaksanaan hudud bukanlah wacana baharu. Hudud telah menjadi subjek perbahasan di kalangan rakyat Malaysia. Ada yang menyokong hudud kerana berpandangan ia adalah hukum Allah yang wajar ditegakkan oleh umat Islam.
Ada pula yang menyanggah kerana hudud masih belum sesuai dilaksanakan kerana isu-isu penting seperti kemiskinan, korupsi dan penindasan masih berlaku.
Tak kurang juga yang berpendapat bahawa pelaksanaan hudud tidak akan menyelesaikan masalah jenayah kerana akhirnya yang dihukum adalah orang miskin yang tidak berkuasa.
Penulis tidak berminat untuk membahaskan tentang hudud. Sudah terlalu banyak perbahasan tentang hudud; sama ada dibicarakan dalam konteks akademik mahupun bukan akademik.
Namun, suatu isu yang wajar direnungi oleh semua adalah – apakah itu agama bagi diri kita?
[caption id="attachment_4593" align="aligncenter" width="496"]
Paus, Rabbi dan Imam. Gmabar: Saltandlighttv.org[/caption]
Apa Makna Agama – Undang-undang atau Kasih Sayang?
Adakah agama itu belas kasihan dan sifat kasih sayang?
Atau, agama itu laksana undang-undang yang wajar penganutnya patuhi?
Atau mungkin sahaja kedua-duanya betul mahupun salah. Oleh demikian, kita wajar untuk menyingkap semula apa yang kita maksudkan dengan beragama.
Selain daripada isu Hudud, kita dikejutkan dengan pemergian Pak Mie – seorang aktivis kemanusiaan yang mengabdikan seluruh jiwa dan raganya untuk menyelamatkan anjing-anjing terbiar.
Kehilangan Pak Mie merupakan kesedihan buat kita semua. Pak Mie telah menyedarkan kita bahawa jati sebenar umat beragama adalah untuk berbakti demi kasih sayang dan belas kasihan.
Jasa-jasa Pak Mie wajar dikenang oleh setiap umat Islam kerana beliau telah mengajarkan kita erti kasih sayang terhadap binatang-binatang terbiar.
Hero kemanusiaan seperti Pak Mie mungkin kisah kecil berbanding isu-isu besar yang lain. Tetapi bagi penulis, sikap Pak Mie mewajarkan kita semua untuk merenung kembali peranan agama di dalam masyarakat.
[caption id="attachment_4594" align="aligncenter" width="342"]
Gambar: texansforpeace.org[/caption]
Agama untuk agama atau Agama untuk manusia?
Kita harus fahami bahawa agama memainkan peranan penting terhadap pemikiran masyarakat.
Agama juga boleh menyebabkan kita menjadi manusia yang bermoral dan beretika. Penulis percaya bahawa ramai daripada kita memilih untuk melakukan kebaikan, jika bukan kerana diri sendiri – ia disebabkan oleh ajaran agama.
Bagi seorang Muslim, kita dibesarkan dengan konsep pahala dan dosa, syurga dan neraka. Kita diajar sejak kecil supaya melakukan kebaikan kerana kita akan memperoleh pahala dan syurga. Jika kita berbuat jahat, kita akan menerima dosa dan hukuman neraka.
Jadi, wacana ini tertumpu kepada renungan kembali terhadap agama.
Soalannya apakah agama ini diturunkan kerana agama atau kerana manusia?
Jika agama ini untuk manusia, bukankah mesej utama setiap agama yang wujud di muka bumi ini adalah untuk berpesan-pesan ke arah kebaikan.
Mungkin kita perlu merenung kembali apakah kebaikan-kebaikan di dunia datang kerana a) belas ihsan dan kasih sayang atau b) hukuman dan perintah agama.
Sejarah kedatangan Islam turut mengajarkan kita bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan kemanusiaan.
Menurut sejarawan Ayesha Jalal, konsep Jihad yang diutarakan dalam Al-Quran menyeru kaum beriman supaya menegakkan keadilan dan kemanusiaan.
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah menangguhkan hukuman hudud kerana kemiskinan dan keadilan masih belum ditegakkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar menunjukkan bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan rasa ihsan sesama manusia.
Jadi, soalnya di antara Hudud dan kemanusiaan; mana lebih utama?
Jawapannya terpulang kepada pembaca kerana Tuhan telah mengurniakan akal yang cerdas supaya kita berfikir dengan waras!
Cabaran menggubal undang-undang jenayah Islam
Gembar-gembur hudud
Laman berita The Malay Mail Online baru-baru ini melaporkan tentang pembentangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad semasa kuliah umum tentang hudud yang disampaikan di sebuah universiti tempatan baru-baru ini.
Menurut beliau, Parlimen hanya perlu majoriti mudah untuk melaksanakan hokum hudud di Malaysia.
Menurut beliau lagi, tidak ada halangan dari segi Perlembagaan untuk menggubal undang-undang hudud kerana ia boleh diluluskan oleh Parlimen seperti undang-undang biasa.
Penulis tidak setuju dengan pendapat bekas Ketua Hakim Negara dalam isu ini.
Pada pendapat penulis, perlaksanaan hudud di Malaysia ini tidak boleh dijalankan hanya dengan menggubal undang-undang biasa. Untuk melaksanakan hudud, Perlembagaan perlu dipinda.
Topik hudud adalah antara topik yang paling sukar untuk dibincangkan dengan rasional di negara ini.
Ramai orang yang tidak dapat melihat isu ini dengan terbuka. Seringkali mereka yang tidak setuju dengan hudud akan diberi pelbagai label.
Pendekatan rasional
Tetapi penulis akan cuba untuk melihat isu ini hanya melalui kaca mata undang-undang dan Perlembagaan sahaja, dan bukan dari sudut agama atau keperluan melaksanakan hudud.
Jenayah di bawah perundangan Islam terbahagi kepada beberapa jenis. Salah satu daripadanya adalah jenayah hudud.
Jenayah hudud adalah jenayah yang mana hukumannya telahpun ditetapkan kerana jenayah tersebut adalah jenayah yang dilakukan terhadap tuhan (bahasa Inggeris, crimes against God).
Bandingkan dengan jenayah tazir, yang merupakan jenayah terhadap masyarakat dan yang mana hukumannya adalah mengikut budibicara hakim (qadi).
Dengan menyerap undang-undang hudud ke dalam system perundangan negara, kita akan menjadikan kesalahan terhadap tuhan sebagai suatu jenayah. Kita harus ingat bahawa negara ini bukanlah negara Islam (dalam bahasa Inggeris, Islamic state).
Malahan di dalam kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa undang-undang negara adalah sekular. Di dalam sebuah negara dengan undang-undang sekular, tidak ada konsep ‘jenayah terhadap tuhan’ (dalam bahasa Inggeris, crimes against God), hanya konsep jenayah terhadap negara (dalam bahasa Inggeris, crimes against the State).
Maka, undang-undang jenayah Islam akan dibawa masuk ke dalam undang-undang yang sepatutnya sekular.
Sekiranya hudud berkuatkuasa ke atas bukan Islam Muslim maka apa yang secara asasnya merupakan undang-undang Islam akan dikenakan ke atas bukan Islam. Bukan Islam boleh dihukum kerana crimes against God, padahal mereka tidak menganut agama tersebut.
Sekiranya hudud tidak dikenakan ke atas bukan Muslim, ia mungkin akan mewujudkan suatu situasi di mana terdapat prosedur, kaedah pembuktian (evidential rules) dan hukuman yang berbeza di antara Muslim dan bukan Muslim.
Seorang pesalah Muslim mungkin berhadapan dengan hukuman yang lebih berat berbanding dengan seorang bukan Muslim bagi kesalahan yang sama. Ini akan bertentangan dengan hak kesamarataan (equality) yang termaktub di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Hakikat
Oleh itu, Perlembagaan harus dipinda untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam (Islamic state). Undang-undang tertinggi negara perlu ditukar daripada Perlembagaan kepada al-Quran dan Sunnah, barulah hudud boleh digubal.
Perkara 8 juga perlu dipinda untuk membenarkan perbezaan di antara undang-undang hudud dan undang-undang biasa bagi undang-undang jenayah.
Tetapi pindaan substantif seperti ini tidak boleh dibuat begitu sahaja. Malahan, ada yang mengatakan bahawa pindaan seperti ini tidak boleh dibuat kerana ia menukar ‘struktur asas’ Perlembagaan Persekutuan, yang pada ketika ini jelas menyatakan bahawa undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan itu sendiri.
Doktrin ‘struktur asas’ ini bermula dari India dan telah dibawa masuk ke dalam negara melalui keputusan Mahkamah Persekutuan.
Menurut doktrin ini, apa-apa pindaan yang dibuat yang menukar struktur asas Perlembagaan adalah tidak mengikut Perlembagaan (dalam bahasa Inggeris, unconstitutional).
Dari segi perundangan Islam itu sendiri, penulis berpendapat bahawa hudud wajar wujud di dalam satu sistem pemerintahan negara Islam. Hudud dan tazir melengkapkan sistem pemerintahan Islam dan tidak boleh diimport dengan begitu sahaja ke dalam sistem demokrasi berparlimen yang sedia ada.
Sekiranya benar-benar mahu melaksanakan hudud di Malaysia, ia memerlukan complete overhaul. Bentuk perlembagaan yang baru dan sistem undang-undang yang baru yang tidak menggunapakai peninggalan British iaitu sistem demokrasi berparlimen yang sedia ada.
Kita juga mesti berlaku adil. Walaupun penganut agama Islam adalah majoriti, kita juga ada minoriti bukan Muslim yang besar.
‘Kontrak sosial’ yang termaktub di antara warganegara Malaysia dan negara Malaysia adalah untuk sebuah negara berpaksikan Perlembagaan dengan struktur asas yang sedia ada. Bukan sebuah negara khalifah yang berpaksikan teokrasi Islam.
Kita tidak boleh memaksa mereka yang tidak seagama dengan kita untuk menerima sistem undang-undang yang berlandaskan agama kita.
Melihat halangan-halangan undang-undang Perlembagaan yang penulis butirkan di atas, kesimpulannya adalah hudud hampir mustahil dapat dilaksanakan di negara Malaysia.
Dalam situasi ini, bukankah lebih baik sekiranya kita memastikan pentadbiran negara ini sejajar dengan nilai-nilai Islam, daripada kita mewujudkan negara Islam yang hanya Islam pada nama?