Projek Dialog

Menumbangkan Mitos Islam Konservatif

PAS Bahtera PAS – Tidak Lagi Relevan? Jika Haron Din, Hadi Awang, Tantawi, Mahfuz Mohamad, Mokhtar Senik, Nik Abduh, Azli Musa dll yang seangkatan percayakan kekuatan mereka, pastilah mereka tidak membimbangkan ‘anai-anai’ yang mahu menyeberang ke bahtera yang lain. Mereka sebenarnya lebih patut risaukan anai-anai yang munafik ini sekiranya masih berada di dalam bahtera mereka. Habis semua kayu akan ditokak anai-anai ini. Usaha pembersihan golongan konservatif terhadap anasir progresif sewajarnya dilihat melicinkan lagi barisan kepimpinan mereka. Jika benar mereka kuat, mereka tidak perlu membuat cerita mimpi Nabi/Saidina Umar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa sanggahan. Apabila dibuat pusingan U-Turn, mereka dilihat sangat lemah, tidak bermaruah, tidak reti buat kerja, dan hanya reti salah-menyalahkan. Mungkinkah kita memerlukan 100 hari lagi untuk melihat apakah hasilnya keputusan pemilihan Muktamar PAS baru-baru ini ? Sebenarnya, PAS tidak perlu lagi menang untuk melaksanakan Islam di Malaysia. Kewujudan PAS sebenarnya semakin tidak relevan dalam perkembangan politik di Malaysia. Dalam bahasa yang lain, apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Lumba-lumba Agama Politik UMNO, memanglah sebuah parti sekular di Malaysia, yang mengadunkan nilai nasionalisme yang pragmatik, dengan unsur agama Islam. Dalam erti kata lain, sungguhpun UMNO sekular, UMNO juga berusaha sedaya mereka untuk melaksanakan Islam yang mereka fahami (versi rasmi / kepercayaan UMNO). Kita tidak memerlukan PAS untuk melaksanakan Islam pun. Masjid-masjid, surau-surau, kuliah agama, sekolah, madrasah, kolej, universiti, bahkan bank juga turut diislamkan oleh rejim UMNO ini. Persaingan Islam versi PAS vs UMNO, hanya menguntungkan UMNO. Persoalan penting yang perlu dijawab adalah; Apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Tetapi perlumbaan antara kekuasaan dan pengaruh, adalah dua hal yang berbeza. PAS sebagai gerakan Islam politikal, nampaknya lebih berpengaruh kepada massa yang bermazhab Islam politikal. Walaupun asyik menang-kalah silih berganti, dan akhirnya PAS hanya mampu mendarat dan bertahan di negeri Kelantan, pengaruh Islam versi PAS sukar dinafikan berbanding Islam versi UMNO. Wajah politik Islam PAS yang nampak lebih reaksioner (selalu dibaca radikal) kelihatan lebih garang, lebih ketat, lebih rigid, lebih keras, dan dilihat adalah suara Tuhan yang sebenarnya (kerana mahu menegakkan hukum Tuhan, yang Tuhan menurut pembacaan mereka, adalah dalam wajah menghukum). UMNO telah berpuluh-puluh tahun diejek sebagai sekular, meski begitu pelaksanaan Islam versi UMNO tak kurang kalah berbanding PAS, jika tak mahu dikatakan lebih baik dari PAS. Tidak ada kemajuan progresif yang dicapai oleh umat Melayu Islam zaman PAS memerintah di Terengganu, Kedah, bahkan Kelantan. PAS tidak boleh mendabik dada bahawa mereka lebih bagus dari segi perancangan ekonomi berbanding UMNO. Adalah memalukan sama sekali jika PAS yang seringkali mengatakan dasar/rujukan mereka adalah Quran & Sunnah (perilaku – contoh Nabi), tetapi sering menggunakan alasan Kerajaan Pusat merompak royalti untuk menjustifikasi kegagalan membangunkan ekonomi rakyatnya. Sedangkan bagaimana Nabi SAW sendiri membangunkan ekonomi masyarakat Madinah tanpa menggunakan alasan hegemoni Quraisy Mekah? Sekonyong-konyongnya, datanglah ISIS, menghancurkan mitos Negara Islam, sebuah mitos yang dipegang oleh hampir keseluruhan pejuang-pejuang Islam seluruh dunia. Semuanya menjadi malu dengan imej Negara Islam versi ISIS dan mula berjarak-renggang dengan konsep Negara Islam. Model AKP (Turki) dan Rashid Ghannouchi (Tunisia) yang ber‘teman tapi mesra’ dengan sekular mula dipertimbangkan.   PAS UMNO Apa Konsep Kenegaraan PAS, sebenarnya? Perlu disebutkan di sini, PAS lebih awal perlahan-lahan mencairkan slogan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan (welfare state) sebelum kemunculan ISIS. Anjakan paradigma ini sedikit membingungkan petugas-petugas PAS, yang di dalam usrah/tamrin (program tetap pejuang Islam aliran PAS) beriman akan penubuhan sebuah Negara orang-orang Islam. Dalam mitos Negara Islam ini, mereka sering dikhutbahkan bahawa ada beza antara ‘Negara Islam’ dan ‘Negara umat Islam’. Akan tetapi bila diminta tunjuk sebuah Negara Islam pun, pasti mereka akan garu kepala. Atau jika diminta tunjuk, model klasik Negara Islam mana yang mereka mahu rujuk, sama ada Dinasti Uthmaniyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Umaiyah, Khulafa’ Rasyidin atau Minhaj Nubuwwah (zaman Nabi menjadi pemerintah), mereka pasti akan terkebil-kebil. Ketika zaman dinasti, raja berkuasa mutlak, kita pun tidak jelas apakah dasar perpolitikan PAS yang sebenarnya: 1) Raja Berpelembagaan, 2) Raja Mutlak atau 3) Republik? Yang pastinya setakat saat ini, PAS sentiasa apologetik (tidak mempunyai “blueprint” rancangan) dengan apa sahaja sistem walaupun selalu melaungkan di mana-mana, bahawa mereka antara gerakan Islam yang terawal melibatkan diri dalam pilihanraya/demokrasi (itupun mereka masih berselisih tentang demokrasi, sebagai alat atau matlamat). Hanya Hudud senjata PAS Maka hanya Hudud yang tinggal, yang menjadi garis pembeza antara Islam versi PAS dan Islam versi UMNO. Jika tidak ada Hudud, apakah lagi yang tinggal kepada PAS ? Jika mereka mahu bercakap tentang ekonomi, parti-parti lain di dalam PR atau non-PR seperti PSM juga turut bercakap. Korupsi, nepotism, kronism, semuanya telah disurahkan oleh parti-parti sekular lain. Kita tidak memerlukan PAS untuk berkisah tentang penyelewengan. Dr. Manuty di dalam PKR sendiri boleh memetik mana-mana ayat suci di dalam Quran, tanpa perlukan Majlis Ulama’ PAS. Dasar-dasar di Malaysia yang kebelakangan ini semakin menuju ke arah Islam ala totalitarian, agak membimbangkan. Satu demi satu negeri di Semenanjung cuba menerapkan Islam ala kekuasaan mereka (sekali lagi, tanpa perlukan PAS pun, kerajaan negeri Terengganu boleh tudungkan semua perempuan). Ruang-ruang awam kian dicerobohi konon atas nama Tuhan, dan pelaksanaan sebegini sangat kacang sama sekali (apatah lagi, jika nak buat hukuman kerat tangan terhadap pencuri-pencuri yang miskin, apa yang susahnya?) tanpa perlukan PAS menjadi kerajaan pun. Kerana pemahaman Islam yang sangat sempit, dangkal, yang hanya memerhatikan dosa-dosa orang kecil, sebaliknya mereka tidak mempunyai pemikiran apa pun tentang pembangunan Negara. Pada kesudahannya, momentum yang memotivasi mereka untuk berjuang perlahan memudar, menyebabkan bergabung dengan kerajaan Pusat yang mempunyai pemahaman Islam Konservatif seperti mereka adalah satu-satunya pilihan yang tunggal. Article 19

]]>

Dosa Struktur: Perjuangan Yang Terabai

Banjir di Manik Urai. Gambar: The Star Banjir di Manik Urai. Gambar: The Star[/caption] Selama ini, kita faham bahawasanya, selain pahala atas perbuatan baik, kita juga mempunyai sistem demerit bernama dosa, sekiranya kita membuat apa–apa kesalahan. Dosa itu besar (akbar) sekiranya kesalahannya besar, dan dosa itu kecil, bergantung sejauh mana keberatan perbuatannya itu. Menurut Adrian Pereira, timbalan presiden  Pax Romana ICMICA, dalam pembentangan di Bengkel Kemajmukan Agama, anjuran Projek Dialog, dosa itu terdapat dua jenis, bukannya dosa besar atau dosa kecil seperti yang kita fahami selama ini, namun Dosa Individu dan Dosa Struktur. Dosa besar dan dosa kecil, seperti yang lazim difahami termasuk dalam Dosa Individu. Minum arak, berjudi, berzina, tidak sembahyang, ingkar pada kata kedua ibu bapa, mencuri, menipu, makan babi, inilah Dosa Individu (sama ada besar atau kecil) yang sentiasa dijadikan persepsi moral untuk masyarakat kita hari ini menilai seseorang itu. Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang menyedari, ada dosa yang lebih besar, dan dosa inilah, antara lainnya menghasilkan Dosa–dosa Individu? Dosa ini dipanggil Dosa Struktur. Apa itu Dosa Struktur (structural sin)? Dosa Strukturlah yang menghadirkan kepincangan masyarakat pada hari ini. Pembolotan kekayaan melampau oleh segelitir elit, menyebabkan kemiskinan tegar, rampasan tanah dan harga tanah/rumah mencanak naik yang menyebabkan anak–anak muda sulit untuk mempunyai rumah sendiri. Ia juga menghasilkan gelandanganisasi secara besar–besaran, pencukaian demi pencukaian yang dibuat atas nama daulah terhadap rakyat marhaen. Kawasan–kawasan yang perlu dibangunkan, namun dipinggirkan mengakibatkan penduduk kawasan ini tercicir dari pembangunan dan terpaksa bermigrasi ke kawasan yang mendapat lebihan pembangunan (antara faktor gelandanganisasi). [caption id="attachment_4561" align="aligncenter" width="500"]Gelandangan.Gambar: buasirotak.blogspot.com Gelandangan.Gambar: buasirotak.blogspot.com[/caption] Dan seperti yang kita rasakan baru-baru ini, banjir akibat pembalakan secara berleluasa terhadap kawasan orang asal. Semua ini adalah sebahagian daripada dosa struktur yang jarang sekali dikhutbahkan sebagai dosa. Kita jangan menyangka bahawa ini adalah takdir atau ketentuan semulajadi, sebaliknya dosa ini adalah perancangan hasil elit-elit berkepentingan, demi merakus sepuasnya kenikmatan duniawi untuk kepentingan mereka, dan menghasilkan kesengsaraan kepada majoriti umat manusia selainnya. Masyarakat tidak melihat ini sebagai dosa besar yang perlu ditentang habis–habisan, kerana media arus perdana pada hari ini dimiliki oleh kaum pemodal yang bermazhab kapitalis (baca: keserakahan individu mengatasi kepentingan maslahah umum). Antara Dua Jenis Masyarakat Masyarakat yang tertumpu kepada menyelesaikan kesan–kesan yang muncul akibat dosa struktur, tetapi naif menyedari bahawasanya kesan–kesan itu akan terus berlanjutan malah merebak/mewabak menghasilkan dosa-dosa lain, selagi akar masalah itu iaitu dosa struktur tidak dihapuskan hidup–hidup. Dan kita akan terus pada setiap hari Sabtu, setiap hujung minggu, menonjolkan dermawan kita masing–masing, dan menjadikannya idola rutin setiap minggu. Namun masyarakat yang disebutkan di atas adalah lebih baik dari jenis masyarakat yang hanya berteori tanpa aksi sosial dan memandang enteng kekuatan amal jariah. Untuk menyusupkan idea–idea penentangan dosa struktur, adalah karut sama sekali jika hanya berteori tanpa melakukan sebarang langkah ke arah perlawanan sosial. Kita harus diingatkan, bahawa apa sahaja teori jika tidak mampu menghasilkan apa–apa tindakan, cumalah omong–omong kosong sahaja. Sebelum perubahan berjaya dihasilkan, tindakan perlu dilakukan terlebih dahulu. Dan apalah gunanya longgokan–longgokan teori sekiranya ia tidak mampu membuahkan apa-apa hasil? Ianya menyemakkan dan mengganggu tindakan–tindakan yang ingin dilancarkan. Teori harus sejalan dengan aksi, dan aksi harus mempunyai teori, tetapi teori tanpa tindakan, diulang, hanyalah omong kosong. Monopoli teologi selama inilah yang membekukan konsep dosa itu sendiri, dan ayat–ayat hukum yang selalu dikumandangkan membuta tuli, mengakibatkan Tuhan itu sentiasa dilihat angkuh, kejam, bengis, tidak peduli, hanya mahu ditaati, dan tidak peduli terhadap manusia–manusia yang disakiti di bumi. Agama jika hanya berpandukan teks dan mengabaikan konteks, apakah lagi relevannya terhadap masyarakat kini? Sebarang teks, sama ada agama, sekular, atau ideologi yang mengabaikan konteks harus dicabar. Ketika itu kita akan mula menyiasat, Mengapa seseorang yang miskin itu mencuri?   unnamed

]]>

Shariati dan Malaysia: Ideal Islam dan realiti totalitarian

Jadilah manusia agung
Bagai seorang syahid
Seorang imam
Bangkit
Berdiri
Di antara rubah, srigala,
Tikus
Domba
Di antara nol-nol
Bagai Yang Satu

– Ali Shariati

Agama untuk kebebasan

Bagi Ali Shariati cuma ada dua sahaja agama dalam dunia ini.

Satu adalah agama penindas. Satu lagi, adalah agama orang-orang tertindas: agama orang muhajir, agama orang-orang yang melawan agama penindas, agama Firaun. Agama-agama yang lain dari dua ini sama ada tidak bersikap atau berkecuali.
Bagi Syari’ati, agama bukan sebagai kumpulan doktrin yang berdimensi ritual semata-mata. Menurutnya, agama adalah sumber lahirnya kesedaran (awareness), landasan akhlak, tanggungjawab dan kehendak bebas yang mampu menggerakkan pemeluk – pemeluknya menzahirkan kekuatan pembebas dari ketentuan – ketentuan yang dipaksakan sertai ideologi-ideologi politeis yang menindas.

Syari’ati berpandangan bahawa Tauhid tidak sekadar memperbincangkan tentang ranah keilmuan dan falsafah, bahkan Tauhid adalah lebih daripada itu.

Bagi Syari’ati, Tauhid dimulakan dari pemahaman yang ilmiah. Agama membuka kesedaran terhadap falsafah dan analisa tentang Tuhan yang menuju kepada pembebasan kemanusiaan universal dari berhala diri dan berhala sosial.

Tauhid adalah tiang sendi ideologi pembebasan yang menegasi segala bentuk diskriminasi menuju pada kesetaraan darjat semua manusia. Tauhid di tangan Syari’ati menjadi sesuatu yang organik, yakni satu semangat melawan kezaliman dan penindasan berdasarkan pada nilai – nilai keadilan. Dalam pandangan Syari’ati, Tauhid adalah pembebasan, kesetarran dan keadilan sejagat.

Agama dalam kebebasan

Agama bukanlah sesuatu yang boleh dipaksakan kepada sesiapa. Lakuum diinuukum waliyadin. Agama merupakan sesuatu yang personal dan agama hadir hasil kerelaan sesuatu individu atau masyarakat. Ia tidak boleh dipaksa oleh mana – mana daulah, kerajaan, khalifah, sultan, undang – undang, jabatan itu, jabatan ini, ustaz – ustazah, mahupun ibu bapa.

Agama yang datang dengan cara paksa adalah seperti rogol. Orang yang memeluk Islam secara paksa, adalah orang-orang seperti mangsa rogol, yang akan trauma dan sampai mati, menyumpah tragedi yang dipakukan kepada dirinya.

Ini penting untuk diingatkan, bahawa sekalipun agama seperti dikatakan Syari’ati berupaya menjadi ‘motor’ (engine) yang mampu menjadi pemangkin untuk membebaskan umat manusia. Tetapi agama juga akan menjadi suatu kuasa yang merbahaya apabila menjadi kemapanan, apabila menjadi status quo, menjadi sebuah hukumah, menjadi sebuah daulah, agama itu berpotensi untuk membinasakan umat manusia.

Sekonyong – konyongnya, datanglah seorang lelaki (ahli parlimen Belanda) bernama Geert Wilders beberapa tahun dulu, dengan provokasinya, dia ada mengatakan:

‘I have nothing against the people. I don’t hate Muslims. But Islam is a totalitarian ideology. It rules every aspect of life – economics, family law, whatever. It has religious symbols, it has a God, it has a book – but it’s not a religion. It can be compared with totalitarian ideologies like Communism or fascism.’

Agak mengecewakan, seorang ahli parliament, dari negeri barat, yang katanya lebih maju, lebih berperadaban dari negeri-negeri dari timur, yang kononya tidak bertamadun memberikan pandangan yang tidak matang tentang Islam.

Sentimen anti-Islam, sentimen berasas?

Tetapi, serangan Wilders sekalipun tidak matang mempunyai asas. Asasnya adalah orang – orang Islam tidak mencerminkan agamanya dengan baik. Orang – orang Islam, sebagai duta Nabi tidak menjalankan kerja para Nabi.

Sebaliknya mereka gilakan Islam gaya khalifah, gaya Muawiyah yang tidak mahu berdialog, tidak mahu berbincang, tidak mahu bermuzakarah dan hanya mahu menang, dan tunjuk taring kekuasaan. Memang padanlah lahir orang – orang jahil menentang Islam. Mereka adalah pantulan kembali zaman Islam yang betul betul berbeza dengan ideal yang disarankan Shariati.

Tanyalah orang – orang Islam, yang bergelumang di jalan dakwah, yang terlibat dengan parti pemerintah, yang belum memerintah tetapi bernafsu untuk memerintah (seperti PAS, seperti Hizbu Tahrir, seperti Ikhwanis) apakah bentuk Islam yang mereka damba – dambakan?

Bukankah mereka mahukan Islam sebagai ad-din wad daulah, yang mana Islam menjadi sebuah sistem pemerintahan dari suatu negara, yang bukan hanya berusaha mengawal segala aspek masyarakat, tetapi juga selalu berusaha menentukan nilai – nilai baik dan buruk, kepercayaan, anutan dan faham sesebuah masyarakat.

Cabaran Muslim masakini

Orang – orang Islam, tidak mahu memanfaatkan ‘zaman dingin’ ini untuk berhujah, untuk melawan idea dengan idea, untuk bertarung tanpa khalifah, untuk bertarung dengan hujah, menggunakan alat yang disediakan dalam demokrasi.

Dalam langit terbuka, dalam global village ini, dalam dunia yang sudah hilang segala sempadan Islam harus dizahirkan dengan kemas dan mendalam. Mereka takut dan tidak berani untuk bertanding menggunakan kebebasan dan wacan meluas dan kritis tidak ada dalam kamus pemikiran orang Islam khususnya di Malaysia.

Segalanya mahu diselesaikan dengan pedang kekuasaan (saif ad daulah) untuk membanteras siapa – siapa yang tidak sekufu dengan mereka. Mereka lebih selesa menggunakan mantiqul quwwah (logika kekuatan) berbanding quwwatul mantiq (kekuatan logic) untuk beradu dengan sesiapa yang berbeza dengan mereka.

Totalitarian Islam masih berleluasa

Contohnya berlambak di Malaysia. Baru baru ini: menceroboh perkahwinan seorang Hindu dan isu rampas mayat seorang beragama Buddha oleh penguatkuasa jabatan agama hangat diperbincangkan.

Mengapakah jabatan-jabatan ini tidak mahu belajar dari Fikrah Shariati, yang mengaitkan Islam dengan semangat kebebasan dan kesetaraan?

Mengapakah jabatan – jabatan Islam ini, terutamanya JAWI dan JAIS yang sangat samseng, tidak memikirkan panjang apakah kesan yang akan berlaku di masa hadapan? Agama akan dilihat sebagai senjata kepada sesiapa yang berkuasa untuk memijak kepala mereka yang berbeza.

Sekiranya orang itu memilih Hindu, Kristian atau menjadi Ateis sekalipun, apakah dia kena dimalukan sedemikian rupa? Apakah dia akan didiskriminasi kerana memilih idea atau keimanan yang berbeza?

Apakah agama merupakan sesuatu yang deterministic, yang telah ditentukan semenjak di alam ruh lagi, semenjak azali lagi, kena menjadi seorang Islam, seorang Sunnah, walaupun tidak suka? Bukankah ini menunjukkan Islam seolah-olah benar ditegakkan dengan jalan paksaan?

Mana pula JAIS – JAWI – JAKIM nak lempar ‘qul ja’al haq wa zahaqal bathil, innal bathila kana zahuqa’? Apakah Islam itu terlalu lemah, sehingga tidak mempunyai kekuatan untuk berhujah?

Dalam suasana sebegini semangat perjuangan dan pembebasan Islam harus ditemukembali. Malaysia memerlukan Shariatinya sebelum kita terhumban lebih dalam kekegelapan di mana agama hanya alat untuk kuasa-kuasa tertentu untuk membuli golongan yang tertindas.         unnamed

]]>

Malaysia: Ke arah negara Islam-totalitarian

 sebuah sistem pemerintahan, yang menjadi musuh kepada sistem pemerintahan demokrasi. Ia sebuah sistem pemerintahan dari suatu negara, yang bukan hanya berusaha mengontrol (mengawal) segala aspek ekonomi dan politik masyarakat, tetapi juga selalu berusaha menentukan nilai-nilai baik dan buruk, kepercayaan, anutan, dan faham sesebuah masyarakat. Hasilnya, tak ada lagi batas pemisah antara hak dan kewajiban oleh negara dan masyarakat. Dalam sistem totalitarian, bukan negara yang melayani masyarakat, tetapi sebaliknya sebanyak mungkin anggota masyarakat, khususnya mereka yang bekerja di lembaga–lembaga pemerintah diwajibkan melaksanakan berbagai tugas untuk membantu penguasa membangun negara ke arah bentuk yang ideal. Contohnya diwajibkan menjadi anggota satu-satunya parti politik atau satu-satunya serikat buruh ciptaan pemerintah. Apabila sesebuah nilai,dianggap oleh penguasa sebagai bentuk ideal, maka nilai tersebut akan dimasukkan ke dalam kepala masyarakat, sebagai pola fikir rasmi, pola fikir daulah. Totalitarian tidak mengira budaya Berbagai bentuk sistem totalitarian telah wujud semenjak hari–hari mula manusia mengenal apa itu ketamadunan. Tambahan pula sistem totalitarian ini boleh sahaja didirikan oleh orang–orang berketurunan Nabi-nabi suci, orang–orang yang bercakap Arab, orang–orang berkulit putih, berkulit hitam, bahkan sawo matang. Sistem totalitarian tidak mengenal ras, agama bahkan kepercayaan. Boleh jadi di sini adalah perbezaan – perbezaan antara pemeluk totalitarian tetapi semuanya memilik ciri–ciri bersama, iaitu sekurang–kurangnya dua yang utama, iaitu adanya ideologi yang disuapkan, disebarkan dan dipaksa masukkan (sama ada secara sedar ataupun tidak) ke dalam berbagai aspek kehidupan sehari–harian masyarakat dan keberadaan satu parti politik tunggal agar seluruh komponen masyarakat boleh diorganisir (diselia) melalui sebuah parti tunggal tadi. Alasan agama Pimpinan parti tunggal ini adalah jelmaan Tuhan. Sekiranya pada zaman-zaman klasik, dalam zaman monarki yang ketika itu belum dikenal sebuah perkataan bernama parti, konsep ini di dalam Arab –Islam, dinamai sebagai ‘zillullahu fil ard‘, atau ‘bayang Allah/ Tuhan di muka bumi’, seperti itulah konsep totalitarian inimahu menjadi, dalam zaman moden ini. Sistem ini mahu mengawal segala– galanya. Pimpinan parti tunggal ini akan mengontrol sistem perpolitikan negara, termasuk lembaga – lembaga pengadilan, parlimen (jika ada), lembaga – lembaga pendidikan (taska, taski, tadika, tabika, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama, sekolah tak agama, sekolah asrama, sekolah tak asrama, pondok, kolej swasta, universiti) mengawal komunikasi seperti suratkhabar, radio, tv, bahkan di zaman moden ini, masih ada sosok yang gila mahu mengontrol internet meskipun sudah bersara dari jabatan presiden, samalah seperti kawalan Republik Rakyat Tiongkok (China) terhadap internet. Malaysia totalitarian? Bukankah itu yang tengah berlaku di Malaysia sekarang? Ekonomi politik sosial yang sudah menjadi semakin sial dan sundal hari demi hari, dan ahli-ahli politik sekular konon-konon sudah terima agama sebagai cara hidup, walhal sama ada mereka sedar atau tidak, mereka sedang memperkudakan agama, dan menunggangnya menjadikan kuda tunggangan untuk mencapai serakah nafsu politik mereka yang lebih liar dari kuda, untuk meraih kertas-kertas undi. Bilangan  pendengar ceramah-ceramah politik mereka yang semakin merosot dan susut, maka digunakanlah agama sewenang-wenangnya. Sebenarnya, tujuan paling fundamental mereka adalah terus berkuasa sampai kiamat, membolot hegemoni politik  dan ekonomi, dan semua ini cuma dimilik oleh segelintir elit (kroni) mereka. Timbunan – timbunan kekayaan bumi ini cuma beredar-edar di sekitar mereka sahaja. Maka mereka memerlukan sebuah tajuk yang bodoh untuk sebuah masyarakat yang tak mahu berfikir. Tanpa referendum dan kesepakatan (consensus) rakyat, dan semuanya cuma diputuskan oleh segelintir elit berkopiah dan berserban wajarlah dilawan tanpa belah bagi. Mereka sepatutnya sedar, bahawa perangai ini adalah perangai jahat, bodoh dan sombong, yang sekiranya, lawan mereka pula melakukan, mereka akan menentang mati-matian. Sekiranya negara ini diperintah oleh watak sekular dari garis keras seperti Attarturk, yang melarang simbol-simbol agama dan sangat gilakan barat, maka apakah reaksi mereka? Jalan keluar?  Asghar Ali Engineer menulis: “negara – negara Islam fundamentalis telah mencampakkan nilai-nilai falsafah Islam dan cenderung menerapkan hudud ini secara mekanis. Negara-negara ini tidak cukup memiliki pemahaman dan kesedaran untuk menerapkan hudud dalam perspektif falsafah dan rohani yang tepat. Mereka lebih menitikberatkan pada keuntungan politik daripada manfaat spiritualnya. Mereka tidak lagi mempedulikan kehidupan dunia dan akhirat. Mereka hanya memikirkan kepentingan politiknya.” Polemik ini sebenarnya sudah begitu busuk dan basi, tetapi masih diusung ke sana ke sini sampai ke hari ini, kerana wujudnya tukang–tukang politik yang hanya memikirkan pilihanraya dan perut masing–masing, dan wacana rakyat yang lembab dan dibiarkan stagnan, statik dan beku. Polemik kerat tangan orang, rejam sampai mati ini, cuma laku ketika rejim-rejim konon bertuhan ini mulai dipertikai, mulai dipersoal, mulai dipertanyakan tentang sikap –sikap mereka, terhadap kekakuan ekonomi, lantas mereka mengalihkan keisu undang–undang fundamentalist untuk meraih perhatian massa yang kononnya beriman. Undang – undang, sepatutnya keadilan adalah esensi utamanya: Rahmatan lil ‘alamin dalam konteks Islam. Tetapi di manakah keadilannya, jika undang – undang seberat Hudud, hanya jatuh kepada orang – orang Islam? Jika pelakunya adalah dua orang dari agama yang berbeza, maka yang berat menimpa yang Islam, dan yang ringan kena kepada bukan Islam, dimanakah keadilannya? Di manakah tarbiyahnya? Lebih jauh lagi elit di Malaysia berada terlalu tinggi di langit, dan nampaknya begitu sukar sekali undang –undang Islam untuk mencapai mereka, apatah lagi untuk merotan mereka! Jadi, undang – undang dipakukan kepada rakyat bawah,sementara mereka – mereka yang di atas, akan sentiasa di atas (above the law), di manakah keadilannya? Islamis jangan perasan Penggemar – penggemar kanun Islam di Malaysia, janganlah perasan bahawa mereka satu – satunya negara Islam yang pertama di dunia moden ini yang mahu mendaulatkan hukum Tuhan. Rejim Zia ul Haq (Pakistan), rejim monarki Saudi dan Bolkiah (Brunei) juga telah melaksanakannya, apakah mereka lebih okey dari kita? Kita boleh melihat hal ini dengan kunjungan Muhyidin Yasin ke Kelantan menziarahi Nik Aziz, Asyraf Wajdi Dusuki dengan Nik Aziz,dengan paparan besar di akhbar pembangkang: ‘PAS TIDAK TUNDUK’. Kemudian bola tanggung ini disambut tradisi cliché dari DAP, rakan – rakan non Muslim lain, bahawa ini cuma mimpi (walhal,mereka pun tahu bahawa ini cita – cita PAS semenjak azali lagi,seperti mereka yang bercita–citakan Malaysian Malaysia). Kemungkinan besar, tokoh reformasi popular DSAI akan dimasukkan ke dalam (penjara) untuk jangka masa yang lama, sementara Karpal Singh (ikon yang paling tegar menentang totalitarian di Malaysia) pula telah mati. Negara Islam fasis, yang tidak melalui perbincangan seluruh rakyat, dan demokrasi rakyat jelata, hanya boleh berlangsung dengan jayanya apabila seluruh penggiat – penggiat fasisme seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, ISMA, PERKASA, PEMBINA dan fundamentalist – fundamentalist kanan seperti PAS bersatu hati.         unnamed  

]]>

Ada apa dengan Tuhan?

Tuhan, aku ingin berbicara dengan Engkau dalam suasana yang bebas, aku percaya bahawa Engkau tidak hanya benci pada ucapan-ucapan yang munafik, tetapi juga benci pada fikiran–fikiran yang munafik, iaitu fikiran–fikiran yang tidak berani memikirkan yang timbul dalam alam fikirannya, atau fikiran–fikiran yang pura–pura tidak mahu tahu akan fikirannya sendiri…’ – Ahmad Wahib, 9 Jun 1969 Di Malaysia perbincangan tentang Tuhan tidak mendalam. Sering sahaja didengari ungkapan ungkapan yang berbunyi: “Tuhan, ku ketuk pintuMu”, atau “sepatuku dicuri tangan Tuhan sendiri, takdir tetap pasti, bahawa Tuhan tak akan memotong tanganNya sendiri.” Kita terus gegak gempita, meloncat, seolah di Malaysia ini adalah ranah wajib bertuhan dan barangsiapa yang tidak bertuhan, meragukan atau mengkritik Tuhan darah mereka adalah darah seorang bughah (sang pemberontak) dan halal diminum. Seperti rukun iman dan rukun Islam itu adalah wajib ditaati tanpa soal, diikuti tanpa tanya bagi seorang yang lahir dalam keluarga Melayu dan bersunat, begitu jugalah rukun negara, yang mengatakan tentang kepercayaan kepada Tuhan. Apakah golongan ateis, agnostik atau Muslim-Muslim yang mepersoalkan tentang Tuhan tiada tempat di Malaysia? Wacana dikongkong institusi Sedar atau tidak, isu kepercayaan, akidah, iman dan sebagainya – isu-isu pegangan fundamental – telah ditawan oleh mereka–mereka yang memegang kuasa. Seolah-olah sesiapa sahaja yang menjadi warganegara 1 Malaysia, selain mesti menerima Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, mesti menerima Tuhan, atau mempercayai Tuhan. Tetapi hakikatnya polemik dan huru-hara di Malaysia kebelakangan ini bukan berasal dari mereka-mereka yang tidak beragama atau tidak bertuhan. Sebaliknya ia dimainkan oleh kelompok-kelompok pelampau yang mengaku bertuhan. Kita tidak pasti apakah Tuhan yang mewahyukan kepada mereka untuk menjadi ekstrimis? Belum ada rekod lagi ateis atau agnostik yang memijak kepala lembu atau melempar babi ke dalam masjid. Sejarah menunjukkan bahawa perbincangan tentang Tuhan sudah berleluasa dalam masyarakat Islam. Contohnya pada suatu masa dulu ia diterajui oleh golongan Asya’irah – Wahhabiyah yang menyoal sama ada Tuhan bertempat atau tak bertempat, bertangan atau tak bertangan, berkaki atau tak berkaki. Tetapi, apa yang juga nyata dalam sejarah adalah bagaimana polemik ketuhanan mudah dipolitikkan. Jadi jika pemerintah memilih untuk berfahaman mujassimah (menjisimkan Tuhan) maka sesiapa sahaja yang berbeza fahaman ketuhanan dengan mereka akan dibuli, akan ditakut-takutkan. Apabila naik pemerintah yang berfahaman lain pula maka fahaman-fahaman ketuhanan yang lain pula akan dibuli dan disekat. Hanya fahaman pilihan pemerintah sahaja yang akan dipupuk, disemai, ditabur benih, diberikan subsidi itu subsidi ini, sementara fahaman ketuhanan yang lain boleh dianggap ‘dipaksa untuk mati’, jika kita benar-benar meneliti. Akan tetapi persoalan yang paling asas jarang ditanya. Wacana-wacana tentang nama Tuhan itu akhirnya berfaedah kepada siapa? Kepada manusia? Atau kepada Tuhan? Jika faedahnya kepada manusia, apakah faedahnya? Kita mahu tahu.  Jika faedahnya kepada Tuhan, apakah Tuhan itu mengambil faedah daripada makhluk? Apakah Tuhan itu terlalu lemah sehingga memerlukan makhluk? Apakah yang diajar di sekolah? Apakah pemerintah takut akan ilmu-ilmu yang dianggap mencabar akidah, seperti teori evolusi, panteisme, agnostisisme, ateisme dan animisme? Apakah pemerintah takut akan soalan-soalan asas falsafah? Sampai bila empangan ini mampu bertahan? Ketakutan itu hanya menunjukkan bahawa mereka yang kononya beragama percaya tapi tidak benar-benar jelas apakah yang dia percaya. Bahkan, ajaran Islam yang diajar, di sekolah mahupun di universiti, sangat main -main dan sangat selective. Kita tidak berani mengajar aliran-aliran intelektual Islam yang lain seperti Syi’ah, Mu’tazilah, Khawarij dan Ahmadiyah. Kenapa? Bukan kerana kita jelas dengan kebenaran kita secara yang mutlak, tetapi kerana aliran sejarah secara kebetulannya membawa kita ke kelompok yang mendokong ideologi pihak pemenang, berkuasa atau majoriti. Kita terlalu takut, entah pada siapa, entah gementar kepada siapa. Kita melaung, mengatakan kita benar, tetapi kita takut dicabar. Betapa rapuhnya kita. Apa peranan jabatan agama? Jabatan-jabatan yang menguasai agama sepatutnya menguasai ilmu dan kebenaran. Akan tetapi, apa yang kita lihat kebelakangan ini ialah mereka akan menghambat sesiapa yang berani berdebat dengan mereka ke dalam akta itu dan akta ini. Melucukan. Jabatan – jabatan yang menguasai agama ini, tidak pernah menghasilkan apa- apa buku untuk menghuraikan siapa dia Karl Marx, siapa dia Charles Darwin, Richard Dawkins atau Christopher Hitchens. Mereka tidak pernah berfikir atau menjelaskan tetang teori evolusi, beza ateis dan agnostic, perbezaan panteisme Eropah moden dan wahdatul wujud dan idea-idea lain yang pernah diterajui wacana intelektual dunia. Tidak ada dan tidak ada. Baikpun mufti-mufti, baik yang intelektual Islam seperti ABIM atau PKPIM, atau golongan professional seperti JIM. Tidak ada. Islamis pun tidak ada Jangan haraplah gerakan yang berorientasikan kekuasaan seperti PAS, HT, ISMA dan Pembina nak bincang. Semua gerakan Islamis ini hanya berbincang bagaimana mahu berkuasa, mencapai kekuasaan, membolot kekuasaan dan berkompromi dengan siapa dan oleh siapa. Mereka tak sempat nak membelek buku tentang Tuhan atau nak berfikir tentang Tuhan. Ada kemungkinan besar Karen Armstrong itu mereka ingat adik perempuan kepada angkasawan yang naik ke bulan, Neil Armstrong. Mereka cuma pandai menyewa hujah-hujah Qardhawi, Zakir Naik atau Harun Yahya. Hujah-hujah yang mereka bangunkan sendiri boleh dikatakan tiada, kosong, namun mereka ingin mengatakan bahawa mereka telah berdakwah. Kita mengharapkan orang-orang Islam di luar negara tidak diganggu, tidak ditindas, bebas mengamalkan kepercayaan Islam mereka. Tetapi bukankah ironi dan munafik apabila di dalam negara kita sendiri sesiapa sahaja yang mahu berbeza kepercayaan dengan kita, mahu berbeza Tuhan dengan kita, atau tidak mahu percaya Tuhan sepertimana kita, ditahan dan dirampas kepercayaannya? (Rencana ini ditulis selepas penahanan Pak Kassim di Kulim)       unnamed

]]>