Projek Dialog

Sedihnya bila pukul wanita dan anak jadi kebanggaan umat Islam

Jangan marah bila orang bukan Islam kata orang Islam suka kekerasan Orang Islam marah bila orang Barat kata Islam agama ganas, barbaric dan mendiskriminasi perempuan. “Mana ada… bohong dan fitnah tu!” katanya… Tapi hari ini, Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia yang mendakwa mewakili umat Islam di Malaysia mahu upah orang untuk tampar Ahli Parlimen Teresa Kok. Hari ini, ramai orang Islam di Malaysia membela perbuatan kakitangan Malaysia di Sweden yang pukul anaknya atas dasar agama dan budaya. Bila kita lihat di youtube ahli-ahli Majlis Jemaah NGO Islam melumur darah ayam dan menginjak-injak poster Teresa, tentu kita malu dengan perbuatan tidak bertamaddun itu.  Kita malu dan mengatakan itu bukanlah ajaran Islam. Maka dalam kes di Sweden ini, cuba anda bayangkan apakah agaknya persepsi orang Barat apabila orang Islam dan kerajaan Malaysia mengatakan (kalau nak tambah special effect lagi, bolehlah anda tutup mata sebentar dan bayangkan orang-orang Islam Malaysia di Sweden sedang demo memegang sepanduk-sepanduk yang berbunyi): “Kami pukul anak-anak kami bila mereka tidak sembahyang. Ini ajaran agama kami dan memang budaya kami!” Bayangkan pula sekiranya yang dipukul itu bukanlah anaknya akan tetapi isterinya, (walaupun pukulannya tidak mencederakan), maka apakah orang Islam dan kerajaan Malaysia akan dengan bangga mengatakan “maaf, and harus faham bahawa ajaran agama kami mengatakan isteri yang tidak patuh pada suami boleh dipukul!” Lalu, bolehkah kita salahkan orang bukan Islam kalau mereka punya persespi orang Islam ni sukakan kekerasan? Akta keganasan rumahtangga Walaupun terdapat penentangan dari sesetengah orang Islam, namun atas desakan NGO-NGO wanita, akhirnya pada 1994 kerajaan Malaysia menggubal juga Akta Keganasan Rumahtangga. Kini, semua wanita dan masyarakat Islam di Malaysia, termasuklah yang dulu menentangnya, mendapat perlindungan dengan adanya Akta Keganasan Rumahtangga. Sebelum adanya akta itu, isteri yang dipukul suami dianggap hal peribadi dan hal urusan dalaman keluarga yang mana orang atau pihak lain tidak boleh masuk campur. Kini, jika mana-mana ahli keluarga, terutamanya isteri yang dipukul atau didera, boleh membuat laporan pada polis dan berhak mendapat perlindungan negara. Anak-anak juga sebahagian dari ahli rumahtangga, maka jika mereka didera, mereka juga berhak mendapat perlindungan. Memandangkan kanak-kanak lebih lemah atau ‘vulnerable’, maka negara telah mengambil langkah perlindungan yang lebih bagi mereka, iaitu dengan menggubal Akta Perlindungan Kanak-kanak. Kerajaan Sweden pula ialah negara yang paling terkehadapan dan sangat serius dalam memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak.  Pada tahun 1970an, Sweden telah menggubal undang-undang yang melarang ibubapa atau sesiapa pun untuk memukul atau menggunakan sebarang kekerasan fizikal ataupun memalukan kanak-kanak. Orang Islam Di Negara Bukan Islam Apabila orang luar negara datang ke Malaysia, apakah anda setuju jika mereka mengatakan mereka tidak perlu patuh pada undang-undang negara ini? Jika anda tidak bersetuju, maka anda juga harus tidak bersetuju bila ada pegawai tinggi Malaysia yang ditugaskan di luar negara mengatakan mereka tidak perlu akur dengan undang-undang di negara tempat dia ditugaskan. Prof. Tariq Ramadan sudah banyak membicarakan bagaimana umat Islam yang hidup di negara Barat harus mencari titik pertemuan konstruktif dengan budaya dan undang-undang di Barat. Seorang ulama yang kini di Arab Saudi, Syeikh Abdullah bin Bayyah, juga telah mengingatkan orang Islam bahawa apabila mereka berada di negara bukan Islam, mereka harus akur dengan undang-undang dan peraturan di negara itu. Beliau memberi contoh “apabila saya datang ke negara ini (Amerika), saya telah menandatangani sesuatu. Semasa menerima visa dan menandatanganinya, suatu kontrak hukum (undang-undang) atau ‘a legally binding contract’ telah berlaku yang berbentuk sulh. Ia adalah persetujuan atau perjanjian bahawa apabila saya ada di negara ini, saya akur untuk menghormati undang-undangnya dan akan akur pada sebarang sekatan (restrictions) seperti yang termaktub di visa ini. Ini adalah perjanjian kontrak yang mengikat secara hukum (undang-undang). Tanggungjawab kakitangan kerajaan yang bertugas di luar negara Dalam kes ini, yang melanggar undang-undang bukanlah seorang Malaysia yang sedang melancong di Sweden, yang tidak tahu sangat tentang budaya dan undang-undang Sweden.  Yang melakukan kesalahan itu ialah Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden. Apakah kerajaan Malaysia tidak beri kursus pada setiap kakitangan kerajaan yang ditugaskan ke luar negara tentang tatacara dan undang-undang negara itu, terutamanya yang berbeza dengan Malaysia? Jika ada kakitangan kerajaan yang tidak bersetuju pada undang-undang negara tempat dia harus  berkhidmat, maka tidak seharusnya dia dihantar ke negara itu.  Apatah lagi apabila jawatannya ialah Pengarah Pelancongan yang ingin menarik orang Sweden datang ke Malaysia. Tanggungjawab kerajaan Malaysia Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, tentulah ia harus ambil berat terhadap apa jua yang berlaku ke atas warganegaranya walau mereka berada di luar negara.   Sememang wajarlah kerajaan Malaysia mengambil tahu kedudukan perkara mengenai Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Nurshal yang ditahan reman, serta mengambil berat terhadap keadaan anak-anak mereka yang ditempatkan bersama keluarga angkat sementara. Pastinya kerajaan Sweden perlu dipersoalkan tentang tempoh tahanan reman yang lama.  Hak asasi orang terdakwa juga perlu dipertahankan. Pastinya juga keselesaan anak-anak mereka yang telah terpisah dari ibubapa mereka harus diambil berat. Namun, apakah perlu kerajaan Malaysia membuang wang rakyat dengan menghantar pegawai dan menteri dari Malaysia untuk pergi ke Sweden? Bukankah kita sudah ada duta dan kedutaan di sana yang sememangnya menjadi tugas mereka untuk menangani kes-kes yang melibatkan rakyat Malaysia? Lagi pun, bukankah sebaik-baiknya sebarang urusan hanya melalui saluran kedutaan?  Apakah ia melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara yang genting sehingga duta kita tidak mampu lagi menguruskannya? Selain bertanggungjawab terhadap keluarga Azizul Raheem, kerajaan Malaysia juga punya tanggungawab terhadap Malaysia secara keseluruhannya. Kerajaan Malaysia harus tegas berpendirian bahawa sebarang bentuk kekerasan fizikal terhadap ahli keluarga tidak boleh diterima. Apatah lagi jika kerajaan komited dengan wawasan untuk menjadi negara maju dengan tamaddun dan peradaban yang dihormati dunia. Keluarga ideal menurut Islam Bagi masyarakat Islam pula, mengapa pukul isteri dan pukul anak mahu dijadikan simbol Islam yang dibanggakan.  Bukankah sunnah Rasulullah saw sendiri tidak pernah pukul wanita ataupun kanak-kanak? Bukankah wawasan Islam dan al-Qur’an ialah terhadap pembentukan keluarga yang mawaddah warahmah, iaitu yang berkasih sayang, serta mengutamakan pedekatan perbincangan dalam menyelesaikan masalah? Bukankah pendekatan psikologi dan perbincangan antara ahli keluarga sama ada antara suami isteri atau antara ibubapa dan anak-anak jauh lebih baik, harmoni dan efektif?       unnamed

]]>

Anak Tak Sah Taraf

Satu filem terbitan Sisters in Islam yang diarah dan disunting oleh Norhayati Kaprawi. Setiap anak yang dilahirkan di dunia ini cuci bersih ibarat kain putih dan mempunyai hak-hak asas, yang disebut hak asasi manusia. Antara hak-hak asas setiap anak yang dilahirkan ialah HAK terhadap 1) Nasab (keturunan) 2) Penyusuan 3) Hadhanah (Pemeliharaan) 4)Wilayah (Perwalian) 5)Nafkah. Namun, bagaimana dengan hak anak-anak yang dianggap sebagai ‘Anak Luar Nikah’ atau ‘Anak Tak Sah Taraf’ ? Mengapa bapa kandungnya tidak dipertanggungjawabkan untuk menyara hidupnya? Mengapa anak yang tidak berdosa harus dinafikan hak-hak asasinya? Video ini telah diterbitkan pada Disember 2012 hingga Januari 2013. Untuk maklumat lanjut tentang isu ini, sila kunjungi laman sesawang Sisters In Islam www.sistersinislam.org.my [youtube id=”Sm7_TddxEvU” width=”600″ height=”350″]

]]>

Hak Wanita Islam di Malaysia – Kenapa Masih Perlu Diperjuangkan?

Diskriminasi Gender – apa itu? Baru-baru ini seorang ibu tunggal berkata pada saya, dia tidak faham kenapa dalam hal harta waris, pihak berkuasa bersungguh-sungguh mahu memastikan waris lelaki dapat bahagian mereka menurut hukum Islam. Proses mengenal pasti waris lelaki pun dilakukan dan kemudiannya mereka dihubungi. Akan tetapi, dalam hal suami tidak bayar nafkah, kenapa pihak berkuasa tidak kisah pun nak menjejak waris-waris lelaki. Padahal, bukankah Islam juga telah mempertanggungjawabkan waris lelaki untuk menjaga dan membantu menafkahi ahli keluarga atau waris mereka, terutamanya ahli keluarga perempuan? Suatu soalan yang bagus. Soalan yang timbul akibat pengalaman seorang wanita yang teraniaya oleh suami dan tidak dapat pembelaan dan bantuan dari mana-mana pihak, sama ada oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Agama atau ahli keluarga terdekat. Soalan yang mungkin tidak pernah terlintas oleh ramai lelaki. Mengapa? Ia kerana lelaki bukanlah orang yang menerima kesan langsung dari diskrimasi gender. Secara amnya, lelaki malah beruntung dari sistem dan undang-undang yang sedia ada. Oleh yang demikian, orang-orang lelaki, apatah lagi yang hidup serba kecukupan dan berkedudukan seperti Dato’ Najib dan ramai tokoh agama, boleh dengan tersenyum dan ringan mulut menyoal sinis – diskriminasi apa? Undang-undang dan Pelaksanaan Pilih-pilih Jika mahu disenaraikan satu persatu, pastinya satu artikel pendek sebegini tidak cukup ruang. Maka, mari lihat beberapa contoh sahaja. Al-Qur’an banyak sekali menekankan keadilan dan keseteraan bagi lelaki dan perempuan. Banyak ayat-ayat yang memberi hak-hak pada lelaki dan juga pada perempuan. Begitu juga, banyak ayat-ayat yang menekankan kewajiban atau tanggungjawab lelaki dan juga perempuan. Akan tetapi, apa yang berlaku ialah banyak ayat-ayat tentang HAK LAKI-LAKI dan TANGGUNGJAWAB PEREMPUAN diterjemahkan menjadi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh sistem pemerintahan negara, manakalah HAK PEREMPUAN dan TANGGUNGJAWAB LELAKI jarang sekali diterjemahkan dalam bentuk undang-undang negara. Jika ada pun, penguatkuasaannya sangat lemah sekali. Soalan yang diajukan ibu tunggal tadi adalah salah satu contohnya. Contoh penting dalam memahami diskriminasi gender.

  1. Pembahagian Harta Pusaka
Mahkamah Syariah di Malaysia begitu teliti dan terperinci sekali perkiraannya dalam memastikan waris lelaki dan waris perempuan mendapat bahagiannya mengikut lunas-lunas hukum Islam. Pembahagian harta waris tidak boleh diselesaikan selagi waris lelaki belum dijejaki hingga dapat. Secara umumnya, waris lelaki terdekat dapat lebih atas alasan mereka bertanggungjawab terhadap waris atau ahli keluarga perempuan. Namun, jika waris lelaki yang katakanlah menerima wang seratus ribu ringgit kemudiannya terus menghabiskan wang tersebut dengan membeli kereta mewah, atau bercuti atau malah berjudi, kemudiannya tidak menunaikan tanggungjawabnya dalam membantu waris perempuan, tidak ada undang-undang yang diperuntukkan untuk menghukum waris lelaki tersebut.
  1. Poligami
Jika anda mahu hutang bank beli rumah misalnya, bank akan membuat semakan dengan bank negara bagi memastikan anda tidak pernah terlambat membayar ansuran bulanan anda bagi pinjaman yang telah anda buat sebelumnya. Apatah lagi jika anda pernah diisytihar muflis, maka jangan haraplah bank akan sudi beri pinjaman. Walau rekod anda bersih, anda tetap diminta mengemukakan slip gaji bulanan atau sebarang penyata kewangan yang menunjukkan anda memang punya wang. Bank membuat segala semakan secara terperinci itu kerana TAKUT atau BIMBANG jika anda bukan seorang pembayar hutang yang baik. Namun, walaupun Al-Qur’an dengan jelas telah memberi amaran bahawa “..sekiranya kamu KHUATIR tak akan berlaku adil, maka SATU saja..” , mahkamah syariah tidak begitu kisah untuk membuat siasatan terperinci tentang ‘track record’ si suami yang mahu berpoligami. Apakah selama ini dia telah dapat memberikan nafkah, masa dan kasih sayang yang cukup untuk anak isterinya? Apakah dia seorang suami dan bapa yang penyayang dan penyabar, jujur dan tidak pernah bercakap bohong? Apakah dia seorang berfikiran matang dan sentiasa memberi pertimbangan yang adil serta mengambil kira pandangan isteri dan anak-anaknya apabila membuat keputusan dalam keluarga? Jika isteri dan anak-anak yang sedia ada pun telah mengadu bahawa suami atau bapa mereka itu jenis panas baran, suka pukul anak bini atau keras kepala, pemalas,banyak hutang dan sentiasa tak cukup duit, selalu berbohong, jarang ada rumah, maka wajarkah mahkamah meluluskan permohonannya untuk berpoligami? Bukankah sifat-sifat sedemikian sudah cukup untuk membuatkan mahkamah KHUATIR sama ada suami itu boleh berlaku adil jika dia berpoligami? Jika diluluskan permohonan poligaminya, bukankah ia saja menganiaya keluarga yang sedia ada, tetapi bakal menganiaya isteri dan anak-anak barunya nanti? Tanggungjawab mahkamah bukanlah sekadar memastikan agar lelaki itu terhindar dari berzina (alasan yang selalu diberikan untuk membenarkan lelaki kahwin lagi), tetapi tanggungjawab mahkamah adalah memastikan lelaki itu melaksanakan tanggungjawabnya dan tidak berlaku zalim pada keluarganya serta memastikan isteri dan anak-anak terjamin hak-hak dan keselamatannya dan juga Sebahagian dari ayat Al-Qur’an surah An-Nisa 4:3 “…kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat…” diterjemahkan menjadi undang-undang untuk membolehkan lelaki berpoligami. Akan tetapi, sebahagian lagi dari ayat yang sama, iaitu amaran Al-Qur’an “….tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil maka kahwinilah satu saja…” tidak diterjemahkan menjadi undang-undang. Tidak ada prosedur seragam yang mewajibkan untuk menyemak dengan ketat laterbelakang dan keperibadian lelaki pemohon poligami (sepertimana bank menyemak latarbelakang kewangan pemohon pinjaman), yang mana jika timbul keraguan atau kekhuatiran terhadap keupayaan suami itu berlaku adil, maka permohonannya harus ditolak. Begitu juga, tidak ada peruntukan di dalam undang-undang untuk menghukum suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Tidak ada undang-undang yang mendenda atau memenjarakan suami yang tidak berlaku adil. Seperti dalam hal nafkah, walau pun ada peruntukan undang-undang yang boleh menghukum suami tidak bertanggungjawab, namun pelaksanaannya sangat lemah sekali. Berapa banyakkah suami tidak bertanggungjawab yang telah dipenjarakan, walaupun ada peruntukan undang-undang yang boleh memenjarakan suami yang tidak membayar nafkah pada bekas isteri dan anak-anaknya?
  1. Ketidakseragaman sistem pentadbiran Shariah
Selain undang-undang itu sendiri, sistem pentadbiran Syariah juga kurang prihatin terhadap susah-payah yang harus dilalui oleh wanita semasa menjalani kes-kes berkaitan perceraian, yang melibatkan tuntutan nafkah, hak penjagaan anak dan sebagainya. Walaupun Malaysia sudah 55 tahun Merdeka, namun sistem pentadbiran Syariah masih belum diseragamkan. Tidakkah pegawai-pegawai agama dan Syariah di setiap negeri menasihati Sultan tentang kesannya terhadap wanita apabila sistem pentadbiran Syariah di Malaysia tidak seragam? Bukankan Sultan sebagai penaung rakyat beragama Islam harus tahu betapa sukarnya para wanita Islam apabila bekas suami mereka berpindah ke negeri lain, mereka terpaksa membuka fail baru di mahkamah negeri tempat bekas suaminya itu bermastautin? Jika negeri tempat tinggal si isteri tidak mempunyai perjanjian atau persefahaman kerjasama (MoU) dengan negeri tempat tinggal baru bekas suaminya, maka hanya surat perintah mahkamah Syariah di negeri tempat tinggal bekas suaminya itu sahaja yang boleh dikuatkasakan terhadap bekas suaminya. Bayangkan seorang janda beranak lima. Sudahlah diceraikan tanpa dapat nafkah, terpaksalah pulak jadi detektif sambilan untuk menjejaki alamat tempat tinggal baru suaminya. Kemudian, terpaksa mengeluarkan wang belanja bukan saja untuk kos pengangkutan dan tempat tinggal apabila menguruskan kesnya di mahkamah negeri tempat tinggal bekas suaminya, malah terpaksa keluarkan wang untuk upahkan orang jaga anak-anaknya sepeninggalannya. Bayangkanlah lagi jika bekas suami tidak peduli untuk hadir di mahkamah. Kalau dapat hakim yang tegas, yang terus membuat keputusan berpihak pada isteri apabila suami tidak hadir mahkamah, tidak mengapalah juga. Tapi, kalau dapat hakim yang membiarkan kes bertangguh dan bertangguh, bertambah teraniayalah wanita tersebut. Tidak Sepatutnya Wanita Terus Teraniaya Atas Nama Islam Undang-undang dibuat atas anggapan bahawa lelaki memiliki segala sifat-sifat yang murni seperti bertanggungjawab, jujur, amanah, berbudi pekerti mulia, penyabar ; manakala perempuan dianggap lemah, perlu dilindungi, tidak matang akal fikirannya, emosinya tidak stabil, ingatannya tidak tajam dsb. Maka, undang-undang pun memberi banyak hak pada lelaki seperti mendapat harta waris yang lebih, hanya lelaki yang diberi hak untuk menjatuhkan talak terhadap pasangannya iaitu si isteri, hak untuk menuntut isteri agar kembali taat padanya, hak menjadi wali pada ahli keluarga perempuan. Namun realitinya, ramai juga lelaki yang tidak memiliki sifat-sifat seperti yang dibayang dan diiklankan itu. Realitinya juga ramai wanita kini yang terbukti tidak lemah, matang fikirannya, tajam ingatannya, malah ramai yang memegang jawatan tinggi dengan begitu cekap sekali. Malahan, ramai anak-anak perempuan yang lebih bertanggungjawab terhadap keluarga berbanding dengan anak laki-laki. Ramai anak-anak perempuan yang membantu ibu bapa dan adik beradiknya dari segi kewangan dan juga membela mereka. Namun, pengamal dan penggubal undang-undang Syariah Malaysia enggan mengakui realiti masyarakat yang kian berubah. Mereka gagal memahami wawasan Islam tentang gagasan Islam dalam memartabatkan wanita. Wanita tidak lagi mahu mendengar ungkapan lepas tangan “ sabar sajalah, suami kamu akan mendapat balasan di akhirat kelak..”, akan tetapi wanita Islam di Malaysia mahukan agar sistem perundangan Syariah di Malaysia memastikan agar jaminan Islam terhadap hak-hak wanita terlaksana. Wanita berhak mendapat keadilan yang sepatutnya, dan tidak terus teraniaya atas nama Islam.   ]]>