Projek Dialog

Keadaan ekonomi negara dan harapan muda-mudi Malaysia

Oleh Lee Hwok Aun, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya. Pemuda-pemudi Malaysia, yang membentuk sebahagian besar 2.4 juta pengundi baru, dijangka akan memainkan peranan penting di dalam PRU13. Apakah yang mungkin dalam minda mereka? Bagaimanakah kehidupan mereka pada lima tahun yang lepas? Dari segi sosial, belia Malaysia sebahagian besarnya menolak politik perkauman dan lebih prihatin terhadap kebahagiaan sendiri dan kolektif. Antara isu-isu di arena ekonomi, yang menonjol termasuk pengangguran graduan, beban pinjaman pengajian dan pinjaman kereta, turnover tinggi di dalam pekerjaan, gaji yang rendah, dan kekurangan-kekurangan dalam kebolehan akademik, kemahiran komunikasi, berdikari dan keyakikan diri. Gambaran ini cerah dan berharapan, tetapi juga suram dan tidak menyenangkan. Sambutan pemuda sedang dipertandingkan menuju ke PRU13. BN menawarkakan baucer kepada pelajar universiti, BR1M untuk orang bujang, dan transformasi sekolah-sekolah vokasional, manakala Pakatan mengikrarkan pendidikan percuma, peningkatan besar sekolah vokasional serta universiti teknikal, pembubaran AUKU, dan penurunan harga kereta. Kedua-dua manifesto menekankan penambahbaikan kualiti pendidikan dan peningkatan dalam penawaran rumah mampu milik. Situasi ini memang rumit, dan kurang dimaklumkan. Walaupun kita sedar bahawa perkara-perkara di atas penting bagi orang muda, tapi kita tahu hanya sedikit tentang keadaan hidup mereka. Namun, salah satu masalah ekonomi boleh diselidiki, dan perlu diberi perhatian sewajarnya: penguncupan serius di dalam gaji benar pekerja-pekerja muda pada tahun-tahun kebelakangan ini. Hal ini harus dititikberatkan oleh kerana trend ini mampu mendatangkan kesan buruk di masa hadapan, dan disebabkan juga apa yang boleh dikatakan sindrom “lain daripada yang lain” – belia yang bergaji rendah mungkin berfikiran mereka adalah luar biasa, atau outlier dalam istilah statistik, manakala pekerja yang lain berprestasi dan berpendapatan lebih tinggi. Perhitungan saya berdasarkan simpanan KWSP menunjukkan gaji pekerja muda secara purata – bukan lain daripada yang lain – telah dikekang. Pada masa yang sama, akaun KWSP pekerja berumur menengah tetap bertumbuh. Pencarian ini dijanakan daripada data 6.3 juta pemegang akaun yang aktif, yang antaranya 1.5 juta berumur daripada 16 sehingga 25 tahun, seperti yang diterbitkan di dalam Laporan-laporan Tahunan KWSP. Ia merupakan sampel paling besar yang sedia ada, yang mewakili pekerja-pekerja di sektor swasta formal. Kadar dividen dan sumbangan tidak berbeza antara kumpulan umur, jadi kita boleh memutuskan bahawa ketidaksamaan dalam pertumbuhan akaun simpanan antara yang muda, menengah dan tua berhasil daripada bezantara pertumbuhan gaji. Masalah ini sekurang-kurangnya sudah berlaku selama satu dekad. Dari 2004 sehingga 2008, simpanan KWSP benar (setelah mengambilkira inflasi) menguncup pada kadar 2.6% setahun belia 16-25 tahun dan pada kadar 3.4% bagi mereka yang berumur 26-30 tahun. Pertumbuhan gaji yang lebih rendah bagi pekerja muda digandakan oleh beban lebih berat yang mereka menanggung berlandakan Krisis Kewangan Global 2008-09. Sepanjang 2009-11, pekerja-pekerja 16-25 tahun sekali lagi mengalami kemerosotan dalam simpanan KWSP benar sebanyak hampir satu peratus, manakala yang berumur 26-35 tahun merekodkan kadar pertumbuhan 0.7% dan akaun-akaun pekerja 36 tahun dan ke atas berkembang setiap tahun melebihi 3%. Purata pertumbuhan tahunan benar akaun KWSP, menurut kumpulan umur

Kumpulan umur 2004-2008 2008-2011
16-25 -1.3% -0.9%
26-30 -3.4% 0.6%
31-35 -0.7% 0.7%
36-40 1.5% 2.7%
41-45 1.0% 3.0%
46-50 1.2% 2.9%
51-55 2.9% 2.6%
Keseluruhan 1.8% 3.4%
Keadaan ini tidak selalunya sebegini. Semasa tempoh 1991-97, simpanan KWSP yang berumur 16-25 tahun bertumbuh sebanyak 11.9% setahun, lebih pesat daripada semua golongan umur yang lain, termasuk yang berumur 41-45 tahun (8.3% setahun). Bagaimanakah gaji pekerja muda beralih daripada yang mendahului kepada yang mengekori pertumbuhan ekonomi? Kita seringnya mendengar hujah bahawa produktiviti rendah menyebabkan gaji rendah. Pekerja muda, yang kekurangan kefasihan dalam Bahasa Inggeris, kemahiran kognitif dan teknikal, sikap remeh dan sebagainya, sendiri mendatangkan pulangan sedikit. Segala ini adalah masalah benar yang melibatkan seluruh masyarakat, dan pelbagai pihak, termasuk individu dan keluarga, masing-masing berperanan terhadap terjadinya masalah ini. Akan tetapi, masalah ini juga berpuncakan system yang merosot di akar umbinya. Setelah berdekad di bawah pemerintahan UMNO-BN yang memperkecilkan minda pemuda dan mendesak mereka supaya patuh, berseragam dan tertakluk kepada disiplin atasan, adakah kita boleh meminta mereka menjadi insan yang berkeyakinan tinggi, kreatif dan berdisipllin dalaman? Suatu peralihan perlu berlaku di sini, yang menolak niat kerajaan untuk sentiasa memerintah dan mengawal. Suatu lagi masalah sistem adalah rejim gaji rendah dan kemahiran rendah yang berterusan dan yang kita perlu meninggalkan. Sepanjang lima tahun yang lepas, biarpun agenda transformasi, kekosongan yang disenaraikan dengan JobsMalaysia terdiri daripada 62.5% di dalam pekerjaan asas dan pertanian yang bergaji rendah secara amnya, 25.8% pekerja pengeranian, pengeluaran dan perkhidmatan yang bergaji rendah dan sederhana, dan 11.7% pekerjaan teknikal, professional dan pengurusan. Bukan sahaja jenis pekerjaan yang ditawarkan kepada pekerja muda, tetap peralihan kepada rejim yang mengupah pekerja kontrak, yang kebanyakannya asing. Data di sini juga berkurangan, tetapi perhitungan saya daripada Annual Survey of Manufacturing Establishments menggambarkan perkembangan pekerjaan kontrak di samping pengetepian pekerja biasa. Pekarja kontrak sepenuh masa sebagai nisbah keseluruhan pekerja sepenuh masa meningkat daripada 5.4% pada 1999 kepada 8.7% pada 2004 dan 12.2% pada 2009. Perubahan ini berkemungkinan besar lebih menyentuh pekerja muda, terutamanya mereka yang tiada kelayakan pendidikan lanjut. Apakah kaitan perkara-perkara ini terhadap PRU13? Akses kepada pendidikan tertiari kekal sebagai priority tinggi bagi kedua-dua petanding utama, BN dan Pakatan, memandangkan cabaran-cabaran graduan di pasaran buruh dan mengambilkira hakikat 20% daripada remaja 18-19 tahun memasuki tenaga buruh setiap tahun dengan hanya memegang sijil SPM. Pakatan telah bertekad menyediakan pendidikan tertiari percuma dan menambahkan institusi teknikal dan vokasional, di samping penjaminan kebebasan akademik dan pemberian kuasa kepada para dan pendidik, yang bagi saya mampu mencapai masa hadapan yang lebih cerah berbanding dengan retorik BN yang berbuih tetapi terlalu bercanggah dengan rejim yang berunsur kawalan. Dari segi pasaran buruh, ramalan Pakatan supaya menjanakan satu juta pekerjaan baru barupa matlamat yang lebih realistic dan memberi lebih skop kepada usaha untuk mendorong pekerjaan baik, manakala BN menjanjikan 3.3 juta pekerjaan baru – suatu sasaran yang jauh dari dunia benar. Pakatan juga memihak kepada suatu sistem tri-partite yang dibangunkan semula, yang menjalinkan lebih kerjasama dan interaksi positif antara majikan dan kesatuan kerja, dikelolakan oleh kerajaan. Kesunyian BN terhadap perkara ini membayangkan kesungguhan untuk mengekalkan sistem kini, yang berpandukan buruh kontrak dan ketidakselamatan pekerjaan (job insecurity). Ya, keadaan pendidikan dan pasaran buruh sememangnya buruk untuk pemuda-pemudi. Kita seharusnya memilih jalan yang lebih baik. ]]>

Surat Terbuka Kepada Kaum Muda: Di Antara Politik Perkauman, Politik Kelas dan Politik Ideologi

Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian. Izinkan saya dengan rendah diri menulis kepada saudara sekalian berkenaan dengan titik tolak permulaan negara dan bangsa kita yang baharu pasca 5 Mei 2013 ini. ALI SHARIATI, seperti dibincangkan oleh Jalaludin Rahmat ketika berbicara mengenai Habil mengungkapkan: ‘Kelompok yang diwakili Habil adalah kelompok taklukan dan tertindas; yakni, rakyat yang sepanjang sejarah dibantai dan diperbudak oleh sistem Qabil, sistem hak milik individu yang memperoleh kemenangan dalam masyarakat. Peperangan antara Habil dan Qabil adalah pertempuran sejarah abadi yang telah berlangsung pada setiap generasi. Panji-panji Qabil senantiasa dikibarkan oleh penguasa, dan hasrat untuk menebus darah Habil telah diwarisi oleh generasi keturunannya – rakyat tertindas yang telah berjuang untuk keadilan, kemerdekaan dan kepercayaan teguh pada suatu perjuangan yang terus berlanjut pada setiap zaman.’ Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati melihat para Nabi Ibrahimiyah, yang dibezakan dengan Nabi non-Ibrahimiyah seperti Confucius, Budha, Zarasthura adalah pelanjut perjuangan Habil. Nabi Ibrahim misalnya berdiri menentang Namrud. Nabi Musa membela Bani Israil yang lemah melawan Firaun yang perkasa. Nabi Isa pula hadir menggembirakan kaum ‘fuqara’ dengan melecehkan Kaisar manakala Nabi Muhammad SAW duduk di samping orang miskin dan hamba abdi untuk membebaskan mereka. Di Malaysia, tanggal 5 Mei 2013 ini akan jadi titik paling penting buat ‘Kaum Muda’ iaitu saudara-saudari sekalian. Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Timbalan Pengerusi-nya pada 3 April 2013 yang lalu; penambahan 2.37 juta atau 21.69 peratus jika dibandingkan dengan jumlah pemilih pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 menjadikan jumlah keseluruhan pengundi adalah seramai 13,291,385 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Menurutnya lagi, SPR akan menggunapakai Daftar Pemilih (DP) sehingga suku 4/2012 yang diwartakan pada 22 Februari 2013 memandangkan daftar pemilih bagi suku pertama 2013 belum sempat untuk diwartakan. Berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan suku keempat 2012, seramai 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripadanya pengundi yang layak memilih merupakan pengundi muda berusia di bawah 40 tahun. 42 peratus atau hampir separuh dari pengundi berdaftar ini terdiri dari ‘Kaum Muda’ – menjadikan saudara semua golongan paling signifikan kesannya terhadap keputusan pilihanraya ke-13 kali ini. Politik Perkauman Jika diperhatikan dari 3,024, 909 keseluruhan 42 peratus pengundi ‘Kaum Muda’ ini, 22.76 peratus pengundi yang berumur antara 30 hingga 39 tahun lahir seawal 1974 manakala 19.1 peratus pula pengundi berumur 21 hingga 29 tahun yang lahir seawal 1984. Oleh yang demikian tidak hairanlah jika masih ada sebahagian besar dari ‘Kaum Muda’ yang masih melanggan idea ‘Politik Perkauman’ kerana ketika mereka lahir sekitar 1974, televisyen di Malaysia masih hitam putih. Segmen-segmen di dalam kepala, otak dan fikiran mereka masih terbahagi kepada sistem pengasingan parti berasaskan kaum dan dogma murahan berbentuk politik merengek seperti hak keistimewaan dan eksklusiviti sesuatu kaum. Malangnya wacana politik sempit seperti ini tidak membincangkan perihal letak duduknya kaum Melayu walaupun kaum Melayu telah berkuasa sepenuhnya selama 55 tahun. Saya cuma teringat satu pepatah pemimpin ultra-nasionalis Melayu tidak lama dahulu iaitu; “Melayu mudah lupa’. Melayu mudah lupa betapa setelah 55 tahun berkuasa, pegangan ekuiti Bumiputera masih di takuk 19%. Melayu mudah lupa sehingga 2009, Bumiputera membentuk sehingga 80% dari pendapatan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM 1000 sebulan sementara sehingga 57.9% Bumiputera masih berpendapatan di bawah RM 3000 sebulan. Melayu juga mudah lupa setelah 55 tahun, dari 219,868 isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan, 189,165 darinya adalah Bumiputera berbanding 12,212 adalah India, 10,370 Cina dan 8,121 adalah lain-lain. Malah Melayu juga mudah lupa, Data juga menunjukkan dari 15% penduduk Malaysia yang mempunyai ‘zero wealth’, 72% adalah Bumiputera, 17% adalah Cina dan 10.7% adalah India. Melayu juga mudah lupa, Bumiputera membentuk sehingga 72% ‘unskilled workforce’, 67% sebagai operator mesin dan sehingga 60% pekerja am. Malah statistik pemilikan bangunan komersil juga menunjukkan Bumiputera hanya memiliki 13% bangunan, 12% kompleks perniagaan, 15% premis industri dan 14% hotel. Politik Kelas Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian, Kerana itu saya fikir ini masa paling kritikal untuk saudara-saudari semua membuat analisis terhadap perkembangan budaya politik pasca-merdeka yang terhasil dengan fragmen perkauman yang tebal ini. Dasar Ekonomi Baru, MARA, sistem meritokrasi, kuota pengajian tinggi, sistem sekolah berasrama penuh dan seribu satu projek kroni lagi dibantu dan didukung oleh partai politik perkauman paling besar di negara ini – masih gagal meningkatkan ekuiti kaum Melayu. Lebih menyedihkan, kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai lapangan masih corot. Yang perlu diberi perhatian kini adalah situasi ekonomi yang semakin menghimpit. Jurang pendapatan semakin melebar. 4.5% isi rumah memperoleh pendapatan secara purata kurang dari RM 800 sebulan, 52.8% isi rumah memperoleh kurang dari RM 3000 sebulan, 75.9% memperoleh kurang dari RM 5000 sebulan dan 96% rakyat Malaysia memperoleh pendapat kurang dari RM 10,000 sebulan sementara hampir tiada pertumbuhan terhadap 40% golongan berpendapatan rendah semenjak 1990 (14.5%), 2000 (14%) dan 2009 (14.5%). Ini bukan masanya untuk kita melihat Malaysia menggunapakai kerangka perkauman kerana golongan berpendapatan rendah, kaum miskin dan golongan pekerja ini terdiri dari pelbagai jenis kaum dan berbangsa 1Malaysia! Oleh yang demikian, kita perlu segera beransur bergerak ke arah perjuangan politik berasaskan kelas untuk membantu masyarakat kelas bawah dan pertengahan menikmati hidup yang lebih baik. Malaysia sebuah negara yang kaya dan kekayaan hasil bumi ini harus ditadbir secara adil untuk dikongsi bersama oleh rakyat, bukannya keluarga atau kroni. Bayangkan sehingga 2009, 52.8% rakyat Malaysia masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 150,000 ke atas dan 75.9% rakyat masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 250,000 ke atas? Politik Ideologi Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian. Perjalanan politik negara kita untuk keluar dari ‘politik perkauman’ dan ‘politik kelas’ menuju ‘politik ideologi’ masih jauh jika kita masih tersangkut dengan perihal tetek-bengek seperti ‘Singapura akan menakluki Malaysia’, ‘Lim Guang Eng akan menjadi seperti Lee Kuan Yew’ ataupun ‘Mat Taib adalah mudarat kecil berbanding mudarat besar terhadap agama’. Saya menyeru saudara-saudari sekalian untuk keluar dari kepompong politik tradisional yang melihat isu perkauman dan menggunakan agama untuk mengekalkan status quo masing-masing. Di Eropah dan negara Scandinavian, politik ideologilah yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bukannya politik perkauman. Jika Umno-BN selama 55 tahun tidak dapat meningkatkan ekuiti Melayu melepasi paras 20%, apakah yang akan memastikan 8 calon Muslim berwibawa melakukannya? Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati merumuskan para Nabi adalah orang-orang yang lahir di tengah massa (ummi) lalu memperoleh tingkat kesedaran (hikmah) yang sanggup ‘mengubah satu masyarakat yang korup dan beku menjadi kekuatan yang bergejolak dan kreatif, yang pada gilirannya melahirkan peradaban, kebudayaan dan pahlawan’. Menurut Shariati lagi, para Nabi bukan sekadar mengajarkan zikir dan doa, tetapi dengan ideologi pembebasan. Empat manusia yang disebut di dalam al-Quran menurut Shariati dilambangkan dengan Firaun, Haman, Qarun dan Bal’am. Firaun dikatakan sebagai penguasa yang korup, penindas yang selalu merasa benar sendiri, toggak sistem kezaliman dan kemusyrikan. Haman pula mewakili kelompok teknokrat, ilmuan yang menyokong tirani dengan melacurkan ilmu. Qarun mewakili kaum kapitalis, pemilik sumber kekayaan yang menghisap seluruh jerih penat massa. Manakala Bal’am melambangkan kaum ‘ruhaniyun’ iaitu tokoh agama yang menggunakan agama untuk melgitimasikan kekuasaan yang korup untuk menindas masyarakat. Untuk 5,564,131 saudara-saudari ‘Kaum Muda’ yang bakal mengundi 5 Mei ini, pada setiap zaman, keempat-empat jenis manusia ini akan selalu tampil sebagai pendukung status-quo dan juga penentang perubahan sosial. Untuk Malaysia 30 tahun ke-hadapan; inilah persimpangan kita antara mengekalkan kezaliman pemerintahan sedia ada yang telah 55 tahun berkuasa – atau memiliki keberanian untuk melawan penindasan dan membebaskan diri. Saudara-saudari ‘Kaum Muda’ sekalian; buat permulaan marilah kita bersama menentang kezaliman dan penindasan untuk membebaskan diri dan masyarakat dari belenggu jahiliyah ini!     *Data dan statistik diperoleh dari EPU, DOSM, HIS 2009, HDR 2011, World Databank dan BNM. Untuk maklumat lebih lanjut rujuk Blindspot; www.facebook.com/blindspot.msia  

]]>