Projek Dialog

NGO dan Obama: Hak asasi atau alat imperialis?

Membongkar hipokrasi inteligensia liberal Berlalunya beberapa hari yang lalu juga, Presiden Obama mengunjungi ke tanahair kita. Setibanya beliau, bergulung karpet merah, tabik hormat dan pujian-pujian yang melangit tingginya – tak kurang pula Perdana Menteri kita berfoto “selfie” terhegeh-hegeh tanpa segan silu. Media massa milik pihak berkuasa dan para ahli politik berlumba-lumba menunjukkan keimanan mereka kepada empayar Amerika dan Raja segala Raja di bumi ini. Tapi di sini bukan saya ingin menunjukkan kehairanan saya kepada kedangkalan dan kepandiran mereka ini tapi saya ingin menujukan kritikan kepada organisasi dan aktivis “hak asasi manusia” seperti Bersih, Islamic Rennaisance Front (IRF), COMANGO, dan sebagainya yang baru-baru ini telah bertemu dengan Presiden Obama. Kepada merekalah saya hunuskan pedang ini. Mereka ini yang telah melaungkan slogan-slogan menyeru kepada kedaulatan hak asasi setiap manusia, menganjurkan forum-forum membahas kebebasan sivil dan telahpun mewakili sebuah suara liberal yang berimpian mengangkat maruah, kebebasan dan kesucian nyawa setiap manusia: Tetapi mengapa mereka dan inteligensia yang mengangkat organisasi-organisasi ini akhirnya rebah di kaki imperialis? Mengapa perlu menangis sebak di bawah duli Presiden Obama yang sepatutnya diletakkan sebagai salah seorang pencabul hak asasi terbesar dunia hari ini? Saya hampir pitam membaca laporan The Malay Mail, “Obama lends ear to human rights issues” (28 April 2014), yang mana para penggerak NGO-NGO terpilih ini tertawan dengan watak Obama yang kononnya prihatin dan jujur (“Obama pulled up a chair and listened to them in an informal meet”). Seolah satu babak Wayang Siam, Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah pula menarik nafas lega dapat meluahkan kepada Obama tentang keadaan demokrasi di Malaysia yang tenat. Aneh sekali kita meletakkan harapan dan idealisme demokrasi kepada Obama yang telah sekian lama bersubahat dengan diktator-diktator Timur Tengah (Saudi, Mesir, Bahrain, Tunisia, Qatar) untuk menundukkan suara demokratik rakyat negara-negara Arab. Beberapa minggu sebelum Hosni Mubarak dihumban oleh rakyat Mesir pada tahun 2011, Timbalan Presiden Amerika menegaskan bahawa Mubarak “bukan seorang diktator, beliau ialah sekutu kita”. Ternyata Obama dan para pengikutnya adalah orang terakhir di alam ini yang menghargai nilai demokrasi kepada masyarakat tertindas – bagi mereka kita semua ini cuma caturan dan permainan. Tentu sekali tiada siapa yang mencadangkan agar Presiden Obama dipulau atau diludah – teruskan sahaja jika ada peluang bersidang bersama Presiden Obama itu. Akan tetapi atas terma apa dan siapa pertemuan itu diadakan? Adakah ia datang menghadap empayar ataupun ia terus lantang mengecam kuasa? Ternyata jika dilihat rekod Obama, beliau atau kerajaan pentadbiran beliau langsung tidak layak memberi payungan kepada perjuangan rakyat negara ini menuntut keadilan sosial. Sesungguhnya petikan Edward Said tentang “speaking truth to power” itu jelas lebih mudah diucap dari dipraktikkan. NGO hak asasi sejagat atau NGO hak yang tertentu? Sebagai seorang rakyat kecil yang sama-sama mendokong perjuangan untuk kebebasan, kesamarataan dan persaudaraan, saya secara kerasnya mengecam sikap minda tertawan yang melanda inteligensia kita yang hanyut dek persona dan imej publisiti Obamania. Benar sekali bahawa banyak keluhan dan kritikan NGO hak asasi manusia ini amatlah penting dan perlu didokong oleh setiap rakyat Malaysia yang berakal budi. COMANGO contohnya merupakan satu gabungan pelbagai usaha untuk merungkaikan diskriminasi kaum, seksualiti dan agama yang bukan sekadar deras mengalir dalam masyarakat kita malah diperhebat oleh institusi-institusi kerajaan Malaysia. Malangnya di balai rong menghadap Obama, piawai hak asasi ini seolah-olah tergantung demi 15 minit sesi mengeluh kepada sang Agung. Di mana kecaman kepada tindakan Amerika di seluruh dunia? Di mana kecaman kepada Perjanjian Usahasama Rentas Pasifik (TPPA)? Sedangkan pemerintah autoritarian seperti Mahathir Mohamad pun mempunyai maruah dan harga diri untuk berdiri sama tinggi dan berani mengecam dasar luar Amerika – tak lupa juga polisi ekonominya yang anti-Dunia ke-3. Apa yang terbongkar oleh episod ini ialah keselesaan para cendekiawan melalui NGO yang berkelihatan bebas ini bersekongkol dengan kuasa. Ia juga memperlihat sebuah paradoks yang tak lain tak bukan permainan kuasa imperial – di negara masing-masing, para NGO tajaan Amerika ini memperjuang menentang kekuasaan elit tempatan mereka tetapi di persada sejagat ia sebahagian dari hegemoni rangkaian kuasa dan kapital. Penceraian kezaliman dasar luar Amerika (contohnya di Pakistan dan Yaman yang disebutkan tadi), daripada perjuangan hak asasi di Malaysia menunjukkan betapa lemahnya wacana hak asasi dalam masyarakat kita sehinggakan inteligensia kita boleh menutup sebelah mata tentang situasi di negara lain untuk melihat Amerika sebagai penyelamat kita. Apa kita sudah lupa solidariti bersama rakyat Palestin yang sedang terseksa akibat dasar bersama Amerika-Israel? Apa kita sudah membuang semangat setiakawan dengan semua perjuangan rakyat negara-negara membangun menentang dominasi global melalui keganasan ekonomi (TPPA contohnya) dan kekuatan ketenteraan? Inteligensia penyanggah kuasa autoriter Baru sahaja minggu yang lalu, sebuah forum anjuran penerbit bebas SIRD telah membahas tugas intelektual dalam masyarakat membangun Dunia ke-3 seperti kita dan juga menyingkap sejarah penentangan di antara cendekiawan kita. Walaupun malang sekali sunyi sepi dihadiri oleh hanya sekumpulan kecil, tetapi perbincangan tersebut membuat kesimpulan penting tentang para inteligensia (dalam konteks ini para penggerak NGO) yang seharusnya berfungsi sebagai obor kemanusiaan yang menyanggah kuasa autoritarian tak kira di mana dan dari mana ia hadir. Besar sekali hajat saya agar karya salah seorang panelis pada hari tersebut, Azhar Ibrahim “Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi”, diteliti oleh semua: “Dalam keadaan masyarakat yang mana terjadinya penindasan dan wujudnya sikap tidak toleran kepada kepelbagaian, […] suara-suara dan perjuangan para inteligensia yang berfungsi harus dapat menggerakkan perlawanan, langsung mengucapkan pendirian, kepercayaan dan keazaman mereka untuk menyanggah mereka yang zalim, korup dan dangkal. Pendek kata, para inteligensia kita seharusnya memikul tugas […] menyanggah autoriti kuku besi dan salah guna kuasa” Tapi juga izinkan orang kecil seperti saya ini untuk memanjangkan idea tersebut agar melingkungi rakyat terbanyak kerana sesungguhnya tiadanya perlu pendidikan sarjana tinggi atau anugerah kemuliaan atau diangkat mengetuai organisasi untuk berperanan dalam masyarakat. Setiap rakyat Malaysia ini bisa mengingati dan memahami setiap angkara binasa baik dari NGO atau kerajaan. Rakyat tertindas tanpa bersekongkol dengan penzalim inilah yang sebenarnya menerajui dan memperhidupkan wacana hak asasi. Perjumpaan dengan Obama seharusnya menjadi platform untuk mempertahan nasib masyarakat dunia membangun dan menolak polisi imperialis yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia. Sebaliknya para NGO yang tersohor dengan perjuangan mereka ini telah membenarkan wacana mereka ditawan oleh kuasa neo-kolonial. Jika para NGO terus hanyut dibuai mabuk dana dan berkompromi soal integriti, akan tiba masanya para NGO dipertanggungjawabkan atas setiap perlecehan mereka. Dan akan terhunuslah pedang akal rakyat terhadap mereka.

]]>

“Seksualiti”: Suatu pengenalan

Seksualiti Merdeka yang diharamkan pada tahun 2011 seringkali didakwa oleh pihak-pihak tertentu sebagai satu usaha yang mempromosikan seks bebas. Ia dianggap oleh sesetengah pihak kononya sebagai satu perancangan untuk memperalatkan isu hak asasi manusia untuk kepentingan golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender atau kelompok trans) semata-mata sambil mengelirukan rakyat Malaysia. Akan tetapi tuduhan tersebut silap dalam satu hal yang penting: seksualiti dan seks tidak membawa maksud yang sama. Seksualiti bukan seks semata-mata Seksualiti merangkumi dimensi yang luas. Ia tidak tertumpu kepada kelakuan seks invididu sahaja. Seksualiti berkait dengan segala aspek kemahuan dan luahan seks manusia. Dengan kata lain, seksualiti adalah satu istilah yang luas maknanya. Penggunaanya haruslah merujuk kepada tujuan yang khusus. Contohnya istilah seksualiti boleh digunakan untuk merujuk kepada dimensi-dimensi berikut:

  • gender (kategori atau identiti, status, peranan);
  • makna, pemahaman dan tafsiran kelakuan sesuatu jantina (kelelakian, kewanitaan, erotisme, tarikan seksual, keberanian, kehormatan, stigma;
  • identiti seksual (lesbian, gay, biseksual, panseksual, aseksual dan sebagainya)
  • tindakan seksual, posisi seksual dan pilihan kelakuan seksual,
  • perhubungan seksual (keintiman, concensus, komitmen);
  • hak seksual;
  • nafsu, fantasi dan niat.
Seks pula merangkumi aspek-aspek biologi dan cara pembiakan. Seks merujuk kepada fenomena fisiologi. Ini selari dengan kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh World Health Organization (WHO) yang juga mempunyai takrifan “seksualiti” yang menjangkaui tindakan seks semata-mata. Mengikut WHO, seksualiti adalah aspek utama manusia sepanjang hayat dan merangkumi gender, identiti gender dan peranan gender, orientasi seksual, erotisme, keseronokan, kemesraan dan pembiakan. Seksualiti dialami dan dinyatakan dalam fikiran, fantasi, keinginan, kepercayaan, sikap, nilai, tingkah laku, amalan, peranan dan perhubungan. Rangkakerja Ruth Dixon-Mueller dan Michael Tan menambah perspektif yang menarik dalam wacana ini: Ia mengambilkira bahawa seksualiti dan seks boleh berubah mengikut masa, dipengaruhi khususnya sejarah dan pengalaman seseorang individu atau masyarakat sesebuah negara. Di dalam bukunya, Policing Sexuality: Sex, Society and the State (Mengawas Seksualiti: Seks, Masyarakat dan Negara), Julian Lee menunjukkan dari aspek antropologi bahawa Negara atau kerajaan pernah menggunakan kuasanya untuk mengawal seksualiti penduduk untuk kepentingan masing-masing yang biasanya berasaskan isu produktiviti (hasil cukai, sumber tenaga manusia, ketulinan bangsa dan agama, seperti yang kita alami sekarang di Malaysia dan mahu pula diundangkan di Negara Myanmar oleh sesetengah sami Buddha ekstremis untuk membela dan melindungi agama Buddha). Kepentingan konteks Apa yang penting di sini ialah istilah “seks” dan “seksualiti” tidak boleh difahami secara abstrak seolah-olah dalam suatu vakuum. Seperti istilah-istilah rumit yang lain, mereka harus diteliti dalam konteks yang khusus, terutamanya jika mereka menyentuh sentimen-sentimen sensitif atau yang jarang (kadang-kadang dilarang) dibahas masyarakat. Dengan kata lain, penggunaan istilah “seks” dan “seksualiti” pada sesuatu masa itu dipengaruhi oleh nilai-nilai dan faktor-faktor sosial, politik, ekonomi dan budaya. Kesemua interaksi faktor-faktor tersebut juga dipengaruhi oleh kelaluan masa, iaitu sejarah dan pengalaman sesebuah konteks tersebut. Ini juga, pada waktu yang sama, harus dipertimbangkan dengan faktor-faktor keunikan keadaan individu. Apabila konteks di ambil kira, kita akan lihat bahawa “seks” dan “seksualiti” tiada luahan dan penzahiran sejagat atau universal. Seperti evolusi halus budaya dan masa, seks dan seksualiti juga tidak terpisah daripada perubahan zaman dan konteks serta keunikan individu. Apabila kita jelas dengan objektif dan konteks ini, barulah kita boleh tahu bagaimana istilah “seks” dan “seksualiti” itu boleh digunakan dengan tepat, tanpa pengaruh sentimen politik. Lebih penting lagi, sudut pandangan sensitif itu akan membuka ruang untuk melihat seks dan seksualiti dalam perspektif yang lebih rumit, walaupun benar. Kerumitan harus diiktiraf Contohnya golongan aseksual. Seorang aseksual langsung tidak ada minat atau nafsu untuk mengadakan perhubungan seks dengan sesiapa pun, tetapi ada di antaranya mungkin ada tarikan romantis sahaja dengan orang lain, tidak kira orang itu lelaki, perempuan atau orang trans (golongan transgender). Mungkin ada di antaranya akan sudi melakukan perhubungan seks kerana keinginan mereka untuk memastikan pasangan romantisnya bahagia. Jadi seorang yang aseksual tidak sama dengan orang yang memutus untuk menjauhi diri daripada perhubungan seks kerana kepercayaannya. Malah, jelas tersirat di dalam golongan aseksual adalah satu kepelbagaian yang agak luas. Bayangkan: sekiranya, golongan aseksual sudah ada kepelbagaian sebegini, apatah lagi golongan lesbian, gay, biseksual, heteroseksual, orang trans, dan seterusnya. Saya pernah membuat kajian kualitatif tentang seksualiti wanita yang tertarik atau mencintai seks yang sama, dan kajian saya ada menunjukkan bahawa seksualiti itu agak cair, berubah-ubah dan bersifat temporal, iaitu, walaupun seseorang wanita itu heteroseksual, dia tidak akan berasa tarikan seksual kepada setiap orang lelaki pada setiap masa. Sama juga untuk orang lelaki yang heteroseksual. Ada kemungkinan juga pada masa-masa tertentu tiada apa-apa tarikan seksual di antara dua individu yang berpasangan walaupun mereka sudah berkahwin. Jangan pukul rata perkara yang penuh dimensi Menelaah isu ini dari kaca mata yang kritis dan berhati-hati menunjukkan bahawa daya tarik seksual tidak semudah yang biasanya dibayangkan. Contohnya, seorang yang identiti seksualnya lesbian tidak akan rasa tertarik kepada setiap orang wanita pada setiap masa. Tarikan seksualnya akan bergantung kepada faktor-faktor lain, bukan sahaja setakat orang itu juga seorang wanita. Sama juga dengan seorang lelaki yang gay. Dia tidak semestinya tertarik kepada orang lelaki semata-mata dia seorang lelaki. Ada faktor-faktor lain yang akan memikat perhatiannya, mungkin di dalam cara tutur bahasanya, mungkin dia tertarik dengan pemikiran yang sama tentang imperialisme Negara Amerika, dan banyak lagi faktor-faktor lain.         unnamed ]]>