Projek Dialog

Pengalaman meneroka falsafah barat

“All I know is that I do not know anything” ― Socrates

Saya, sepertimana juga manusia-manusia yang lain, pastinya ingin menjalani kehidupan yang bahagia dan harmoni dengan semua unit-unit kehidupan yang berada dalam dunia ini. Namun, matlamat kehidupan setiap seorang daripada kita pasti berbeza. Ada insan mencapai bahagia dengan cinta. Ada insan mencapai bahagia dengan kekayaan. Ada juga mencapai bahagia dengan status sosial. Ada insan lain pula mencapai bahagia dengan macam-macam cara dan upaya. Untuk saya, dan juga kebanyakan mereka yang lain juga, sebelum mencapai bahagia itu, saya perlu tahu apakah tujuan kehidupan ini? Apa yang membuat saya berbeza dengan sekalian unit-unit alam semesta yang lain? Kenapa saya berada disini? Bagi saya, kebahagiaan itu perlu dicari dengan perjalanan merentasi segala persoalan-persoalan rumit untuk mencapai suatu kebenaran. Ya, kebenaran tentang kewujudan saya. Kebenaran itu pula hanya dapat dicapai dengan hikmah. Sebab itulah falsafah membawa maksud “love of wisdom”. Dalam menelurusi perjalanan ini, tidak kurang juga rakan-rakan yang bertanya, “Mengapa suka falsafah?”, “Apa gunanya falsafah ni?”, “Falsafah ini bukan boleh menyelesaikan masalah pun” dan pelbagai lagi kerunsingan dan kehairanan. Kepentingan Falsafah Jika anda mengambil waktu sedikit dari hari-hari anda yang sibuk itu dan mula untuk bertanya tentang apa-apa sahaja tentang dunia ini, anda tidak dapat lari dari menyentuh persoalan falsafah. Falsafah ini di peringkat individu mudahnya ialah apa-apa sahaja yang anda ingin tahu tentang hakikat atau realiti kehidupan ini dan perkaitannya dengan pengalaman anda seharian. Jika diperingkat sosial pula ialah segala persoalan berkait rapat hubungan anda secara individu dengan masyarakat dan alam. Semua persoalan-persoalan ini pula membentuk teori-teori politik, ekonomi, sosial , malah menjadi asas kepada perkembangan sains dan teknologi yang kita kecapi hari ini dari segala cabang sains yang kita maklum seperti biologi, astronomi, fizik dan sebagainya. Falsafah juga mendorong perkembangan ilmu matematik. Falsafah juga bukan sahaja mencari realiti di dunia, malah mencari realiti di sebalik dunia. Ia digunakan untuk mencari Tuhan dan segala hikmah penciptaannya. Inilah sebabnya digunakan dalam merungkai pelbagai konsep-konsep abstrak seperti “cinta” , “takut” , “bahagia”, “mati” dan sebagainya.  Asasnya ia menjadi alat ataupun proses untuk mencari jawapan terhadap semua perkara. Maka lebih baiklah saya bertanya kembali:  “Apakah lagi alasan untuk tidak meneroka falsafah?” Kenapa falsafah barat? Jika anda seorang yang beragama, pastinya agama seolah memberi semua jawapan terhadap segala persoalan diatas. Sebagai Muslim “by birth”, saya bertekad untuk bermula dari “kosong”. Saya bertekad untuk menjadi pengembara atau musafir. Umumnya, seorang musafir menjelajah dari suatu tempat ke tempat yang lain dan dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain. Ia mungkin memerlukan sedikit kewangan dan bekalan untuk memulakan perjalanan. Bagi saya yang tidak mempunyai kapasiti itu, saya menjumpai jalan lain untuk mengembara. Dan jalannya ialah melalui falsafah. Ya, mengembara melalui minda-minda manusia. Pastinya, tafsiran manusia terhadap agama yang mendakwa mempunyai jawapan terhadap segalanya tidak menarik minat saya. Malah, selalu sahaja jawapan itu berbentuk dogma dan tidak mempunyai apa-apa bukti pun. Ia hanyalah dalil-dalil dalam kitab suci dan perbahasan-perbahasan itu dan ini yang hasilnya ialah pendapat manusia terhadap agama. Ia tidak punya kepastian malah ia bukan memberi jawapan bahkan menimbulkan lebih banyak persoalan. Falsafah barat hanyalah salah satu dari jalan yang sedang saya tempuhi dalam pengembaraan ini. Falsafah Timur pula mungkin bakal menjadi jalan yang akan saya tempuhi kemudiannya. Untuk makalah ini khasnya, ada beberapa perkara yang membuat saya tertarik dengan perbahasan falsafah barat. Pertama, menelusuri falsafah barat bermula dengan sikap ragu dan ketidakpastian. Ia memulakan kembara dengan meneliti kejadian alam dan membuat interpretasi keatasnya. Contohnya ahli-ahli falsafah zaman pra-Socrates cuba mencari jawapan dengan persoalan sekitar alam semulajadi. Socrates pula membuat “turning” dengan membincangkan morality manusia sebagai subjek falsafah. Secara ringkasnya, dari situ ia berkembang pula dari perdebatan mencari epistemologi “certainty” (keyakinan) yang memberi nyawa kepada zaman pencerahan yang menggantikan agama dengan akal sebagai dogma baru, kemudiannya kepada aliran pascamoden yang menolak langsung nilai-nilai universal yang digali dari akal/rasional, dan memberi penekanan terhadap penghayatan hidup dalam dunia yang bersifat relatif. Kedua, dari sifat ragu ini pula, menyebabkan seluruh sejarah falsafah mereka tidak statik dan sentiasa berkembang kerana adanya persoalan-persoalan berterusan dan wacana cabar mencabar. Ini membuka ruang akal manusia seluas-luasnya untuk disangkal dengan pemerhatian dan tafsiran tentang realiti yang baru. Ketiga, bukan sekadar itu, ia tidak lagi mempunyai sikap yang membawa kepada pertuduhan-pertuduhan kufur, malah lebih malang lagi, memberi pertuduhan sesat dan keliru kepada mereka yang tidak sependapat. Walaupun memang ada aliran fikrah yang konservatif dalam wacana falsafah barat, secara keseluruhannya ia tidak lagi terjerat dengan kerisauan tentang perbezaan isu-isu akidah, sehingga timbulnya natijah hukuman yang berat malah dalam masyarakat yang ekstrim, sedasyat hukuman mati. Keempat, secara amnya sarjana-sarjana barat sedaya upaya mencari jawapan terhadap kesemua persoalan kehidupan ini dengan hujah berbalas hujah. Walaupun beragama, mereka masih sama-sama menggunakan wacan soal-jawab kritis untuk menggali jawapan dan memberi interpretasi terhadap apa-apa yang terkandung di dalam lingkungan pengalaman dan pemerhatian mereka. Ini menjelaskan kenapa wacana-wacana yang terhasil melalui falsafah barat tidak puas dengan sandaran kebenaran mutlak dari Tuhan, yakni mereka tidak terlalu bergantung atau terikat kepada sumber “divine revelation” semata-mata untuk mencapai kebenaran. Jika pun mereka percaya kepada kebenaran mutlak, ia mesti berlandaskan metafizik yang mereka yakini ada berdasarkan hujah, yang mana failasuf agung seperti Socrates juga dalam pengembaraannya akhirnya mengakui yang “I know that I know nothing”. Jika kebenaran itu dicapai dengan hikmah, maka itulah hikmahnya yakni mengetahui yang kita tidak tahu apa-apa pun. Hakikatnya, kita tidak mempunyai cukup  bukti dalam satu-satu masa untuk membuat justifikasi atas kebenaran mutlak, yang boleh diapplikasikan ke semua zaman dan konteks. Oleh itu, perspektif-perspektif yang terhasil sepanjang perdebatan falsafah barat mencerminkan suatu pengembaraan yang luar biasa. Akhir sekali, falsafah barat itu bukan muncul kerana suatu konspirasi untuk memerangi mana-mana agama, khususnya Islam, akan tetapi ia datang dari konteks masyarakat yang bergelut untuk berkembang dan melepaskan diri dari dogma yang membelenggu bukan hanya kehidupan fizikal mereka, tetapi juga akal mereka. Persoalan mengatasi jawapan Saya selalu dihujani hujah yang mengatakan bahawa falsafah barat ini terlalu carca marba dan penuh kekeliruan kerana mereka tidak menerima sumber dari wahyu. Dan mereka yang membuat dakwaan ini pula terus-terusan mendakwa ajaran agama itu benar dan tidak boleh dipersoalkan lagi kerana di dalam Islam misalnya, tidak wujud apa-apa keraguan dan kekeliruan, kerana agama mengajarkan untuk yakin dengan mutlak atas wahyu Tuhan dan kebenaran utusan-Nya. Apa pun dakwaan yang dibuat, dengan kebolehan akal sebagai manusia,kita perlu bersikap adil terhadap diri sendiri mahupun dakwaan yang dibuat terhadap orang lain. Jika kita menggunakan logik yang sama untuk menolak agama lain, kita juga seharusnya menggunakan logik yang sama untuk diuji keatas agama sendiri. Begitu juga dengan kisah-kisah mitos yang kita anggap rekaan manusia kerana tiada bukti, seperti  itu juga kita perlu kritikal terhadap penceritaan-penceritaan di dalam teks suci kita. Bersikap kritikal secara konsisten ini memerlukan disiplin dan kerja keras setiap individu dalam membuat dakwaan terhadap apa yang dipercayainya. Begitu juga dalam membuat sebarang spekulasi dan interpretasi terhadap realiti kehidupan. Sepanjang pengembaraan saya meneroka falsafah barat, secara individu, mahupun secara berkumpulan di dalam kelas formal mahupun tidak, saya menjumpai lebih banyak persoalan mengatasi jawapan yang saya inginkan. Terlalu banyak perkara yang begitu sukar untuk mendapat suatu kepastian yang semua orang boleh bersetuju dengannya. Mungkin Sartre benar dengan mengatakan yang manusia ini dalam negation di mana kita sentiasa membina, meroboh  dan membina kembali pemahaman kita tentang realiti yang mana proses ini sentiasa berterusan, dalam satu keadaan resah, sepanjang hayat kita. Kesimpulan Kita kena berhenti menanggapi falsafah barat sebagai suatu yang asing dalam masyarakat kita dan perlu cuba menjelajah sedalamnya walaupun kita bermula dengan perlahan. Ini juga tidak bermaksud bahawa kita patut berhenti mempelajari falsafah Islam, falsafah Melayu, falsafah Timur (Confucianism, Zen Buddhism, Taoism dll.) dan juga mana-mana falsafah dari benua apa pun. Ini adalah suatu pengembaraan minda yang bermakna dan satu penjelajahan yang hujungnya hanya kematian. Mempelajari dan memahaminya bukanlah boleh merosakkan akidah akan tetapi memperkukuhnnya jika yang kita imani selama ini benar. Kita juga patut berhenti dengan menganggap perbincangan falsafah ini adalah sesuatu yang “elit” dan tidak berguna untuk rakyat kebanyakan. Falsafah mencari asas supaya ideologi, polisi malah teori apa pun yang dibentuk tidak berulang kali melakukan kesilapan yang sama. Walaupun begitu, tidaklah pula falsafah dijamin memberi jawapan yang kita inginkan dalam hidup. Falsafah adalah suatu proses pengembaraan. Ia suatu penjiwaan kita dalam memahami makna dan erti hidup. Akhir kata, pengalaman ini adalah kepunyaan dan milik saya yang membuat renungan keatasnya. Realiti anda pula, pasti berbeza. Teruskan perjalanan!       unnamed ]]>

Alkisah hutang lukisan Pak Samad

Pisang emas dibawa berlayar, Masak sebiji di atas peti; Hutang lukisan perlu dibayar, Jangan sampai menyesal nanti. [caption id="attachment_3239" align="alignleft" width="300"]Salah satu slaid yang dipaparkan sewaktu pembentangan. Salah satu slaid yang dipaparkan sewaktu pembentangan.[/caption] Sewaktu membuat pendedahan terbuka mengenai “hutang” Kerajaan Negeri Selangor kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) pada 1 April 2014, saya tidak menyangka tindakan itu akan membuka laluan ke arah pendedahan yang lebih besar mengenai Pakatan Rakyat (PR), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). “Khabarnya Kerajaan Negeri Selangor masih berhutang belasan ribu ringgit setelah membeli lukisan daripada Pak Samad. Kalau ada wakil PR yang hadir, bolehlah tolong sampaikan kepada Menteri Besar dan Exco terbabit. Katakan bahawa Uthaya mengungkitkan isu ini.” Demikian saya berkata semasa pembentangan kertas kerja sempena pelancaran rasmi novel Sungai Mengalir Lesu karya Pak Samad di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014. Pada pendirian saya, pendedahan itu amatlah wajar untuk menunjukkan betapa kuasawan dan politikus beranggapan bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya mengambil “harta” milik seniman dan sasterawan secara percuma. Seolah-olah hasil seni dan sastera tidak mempunyai nilai. Seolah-olah seniman dan sasterawan perlu bersedia memberikan “harta” (hasil karya) dan “bakat” secara percuma kepada kuasawan dan politikus tanpa mengharapkan sebarang bayaran yang setimpal. Insiden melibatkan lukisan Pak Samad berlaku pada 26 September 2012 apabila beliau diberikan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor. Sesungguhnya, semasa membentangkan kertas kerja di KLSCAH, saya tidak tahu jumlah lukisan Pak Samad yang dibeli kerajaan negeri, siapakah Exco terbabit, kepada siapa lukisan itu dihadiahkan dan harga/nilai sebenar lukisan terbabit. [caption id="attachment_3238" align="alignleft" width="300"]PD 1Dipulau Kebimbangan yang diluahkan semasa membicarakan novel Pak Samad.[/caption] Hanya pada keesokan hari (2 April 2014), saya mendapat maklumat penuh menerusi laporan-laporan bertajuk “Exco Selangor tidak bayar duit lukisan Pak Samad” (Astro Awani), “Exco hutang lukisan Samad Said RM16,000” (Free Malaysia Today), “Exco Selangor akui tak bayar lukisan Pak Samad” (The Malaysian Insider) dan “Kerajaan Selangor akan bayar lukisan Pak Samad” (Malaysiakini). Melalui laporan media alternatif itulah saya – sebagaimana orang ramai – mendapat tahu bahawa dua buah lukisan dibeli untuk dihadiahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena majlis yang berlangsung pada 26 September 2012. Soalnya, mengapa masa yang begitu lama diambil – jika kerajaan negeri ikhlas dan jujur dalam pembelian itu – untuk membayar kepada Pak Samad? Sebagai seorang seniman, Pak Samad pula memilih untuk berdiam diri dan tidak mengungkitkan isu “hutang” berkenaan. Beri geran, ambil lukisan? Akan tetapi, apakah hal ini bermakna PR dan PKR boleh buat-buat lupa? Jika inilah sikap yang dimiliki, apakah bezanya antara Barisan Nasional (BN) dan PR dalam soal menghargai seniman dan sasterawan? Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Januari 2014 memperkotak-katikkan golongan sasterawan dengan membahagikan mereka menjadi dua kelompok: “penyokong kerajaan” dan “penyokong pembangkang”. Seolah-olah golongan sasterawan dan seniman tidak punya maruah; sebaliknya perlu bernaung di bawah parti politik dan celah kangkang politikus. Berbalik kepada isu tadi, Pak Samad tidak mendedahkan nama Exco terbabit semasa berucap di KLSCAH bagi mengulas pendedahan terbuka yang saya lakukan berhubung lukisan terbabit. Beliau hanya menyatakan bahawa Exco terbabit sudah dimaklumkan tentang harga lukisan yang mahu dibeli. Sehari selepas pendedahan dibuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail tampil “mengakui kesilapan gagal melunaskan bayaran lukisan yang dibeli” (The Malaysian Insider, 2 April 2014) dan “Mesyuarat Exco negeri meluluskan pembayaran penuh kepada Pak Samad secepat mungkin selepas ini” (Malaysiakini, 2 April 2014). Maknanya, jika isu “hutang” itu tidak ditimbulkan, maka kerajaan negeri dan Exco terbabit mungkin akan terus buat-buat lupa sampai kiamat – atau sehingga BN “merampas” Selangor. “Saya tidak terkejut apabila terbaca mengenai Pak Samad dan lukisannya. Saya semacam sudah programkan diri secara tidak sedar bahawa politikus adalah spesis manusia yang oportunis,” kata Kirubananthan Muniandi, seorang tukang lukis dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. “Besar kemungkinan berlaku salah faham dalam isu ini. Mungkin Kerajaan Negeri Selangor melihat Pak Samad sebagai pro-PR, maka lukisan tersebut dianggap sebagai ‘sumbangan’ dan bukannya ‘pembelian’. Usah kita lupa bahawa karya seni Pak Samad ada nilai dan harga tersendiri,” Nagathisen Katahenggam, seorang penjawat awam dari Pulau Pinang berkongsi pandangan menerusi mesej Facebook. Nampaknya Kerajaan Negeri Selangor memang “hebat”. Luluskan geran RM10,000 kepada Pak Samad tetapi pada masa sama “mencuri” (terlepas pandang perihal bayaran) lukisan bernilai RM16,000. Demikian saya paparkan pada ruangan status Facebook pada 4 April 2014 selepas membaca pelbagai kenyataan Rodziah yang disiarkan di media. Menurut laporan The Malaysian Insider (2 April 2014), lukisan berkenaan “tidak dibayar” tanpa pengetahuan Rodziah. Katanya, berlaku salah faham kerana kerajaan negeri hanya membayar RM10,000 atas pengiktirafan Pak Samad sebagai Sasterawan Tamu Selangor tetapi “tidak menyentuh mengenai sebarang urusan jual-beli lukisan berjumlah RM16,000.” Kenyataan bercanggah oleh politikus Rodziah juga memberitahu sidang media bahawa isu itu dianggap selesai selepas diserahkan kepada Dr Ahmad Yunus Hairi yang memegang portfolio Sukan, Belia dan Adat Resam Melayu untuk tindakan selanjutnya. Akan tetapi, seperti biasa, nampaknya kata-kata politikus tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Apa tidaknya! Pada 2 April 2014, Rodziah mengesahkan bahawa kedua-dua lukisan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negeri Selangor di bawah pengurusan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat). Dalam sidang media khas pada 4 April 2014, Rodziah mengatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada dua lukisan itu telah diserahkan kepada Padat untuk tujuan pameran. Sebaliknya, tujuan sebenar sidang media khas itu adalah untuk membolehkan Rodziah menunjukkan “bukti” bahawa geran berjumlah RM10,000 yang diumumkan pada 26 September 2012 sudah dibayar kepada Pak Samad pada 5 Februari 2013. [caption id="attachment_3240" align="alignright" width="300"]Pak Samad terpaksa “mengakui” hutang lukisan selepas diungkitkan. Pak Samad terpaksa “mengakui” hutang lukisan selepas diungkitkan.[/caption] Soalnya bukan geran RM10,000 tetapi “hutang” RM16,000 bagi lukisan Pak Samad. Akan tetapi, nampak gayanya, seperti dilaporkan Malaysiakini, Rodziah dalam sidang media itu mengaku “tidak ada secara langsung terlibat dalam proses rundingan berkaitan harga lukisan berkenaan” dan beliau “tidak berada dalam lembaga pengarah badan itu pada hujung 2012”. Dua hari sebelumnya, Exco itu mengakui bahawa “apa yang berlaku adalah ekoran salah faham” kerana beliau yang ketika itu memegang portfolio kebudayaan negeri “tidak mengetahui yang lukisan tersebut perlu dibayar berasingan”. Pada sidang media 4 April 2014, beliau mengakui bahawa “kerajaan negeri tidak boleh beli terus, jadi kita beli melalui Padat dan diserahkan kepada mereka (Anwar dan Khalid)” serta “pembelian itu dibincang dan (harganya) dipersetujui kedua-dua pihak” iaitu kerajaan negeri dan Padat. Sudah dinyatakan bahawa apabila saya membangkitkan isu “hutang” ini pada 1 April 2014, saya tidak tahu siapa Exco terbabit. Maka, agak “menarik” juga apabila ditimbulkan dalam Malaysiakini (4 April 2014) kemungkinan saya mahu menggagalkan usaha Rodziah bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti. Perkara kecil ini kembali menyedarkan kita bagaimana politikus dianggap “dewa” dan segala perkara yang berlaku pasti ada kaitan dengan hal-hal peribadi mereka. Hutang lukisan yang ditimbulkan adalah demi menuntut hak Pak Samad yang juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan); tiada apa-apa kaitan dengan golongan “dewa”, kuasawan dan politikus. Dalam hal ini, saya memuji sikap Rodziah yang mengakui bahawa “wajarlah pihak itu menimbulkan tanda tanya dalam media (mengenai hutang lukisan) supaya kami tersedar balik” dan “saya melihat ia sebagai satu keluhan terhadap pentadbiran kerajaan negeri supaya dipercekapkan lagi” (Malaysiakini, 4 April 2014). Jangan zalimi seniman, sasterawan! Berikutan pendedahan yang dibuat, Pak Samad sudah dihubungi Jabatan Muzium Selangor untuk menguruskan bayaran “hutang” lukisan (The Malaysian Insider, 3 April 2014). Maknanya, golongan seniman dan sasterawan perlu berani bersuara lantang jika mahu menuntut hak dan “hutang” daripada kerajaan. “Sekiranya atas dasar jual-beli, seharusnya begitulah tradisi perniagaan. Sebaliknya jika atas dasar ‘ambil dulu, kira kemudian’ maka terbuka untuk membuat tuntutan di kemudian hari. Seniman memerah keringat dan idea. Jika pembeli tidak membayar, mereka seharusnya berasa malu,” kata Tengku Syahrel Raja Alaaudin (Awang Kechil), seorang pelukis dan penulis dari Kuala Lumpur. Helmy Samad selaku pengurus syarikat Wira Bukit Sdn Bhd yang menerbitkan buku-buku Pak Samad turut meluahkan pandangan menerusi catatan di Facebook. “Dari zaman Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), projek buku dengan Kerajaan Negeri Melaka, perolehan koleksi buku dan manuskrip oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan kini soal lukisan Bapak. Salahkah meminta sesuatu yang terhutang? “Saya tahu Bapak dalam kesulitan. Bapak tiada banyak sumber hasil kecuali daripada karya dan pembacaan puisi. Bapak juga sangat ‘cerewet’ dan berhati-hati dalam hal ini. Bapak tidak mahu ‘dibeli’ atau rasa ‘terhutang’ jasa. “Kadang-kadang dalam kehidupan, meminta sesuatu yang terhutang adalah satu ‘kesalahan’. Dalam soal ini, saya hanya mahukan Bapak dibayar,” kata Helmy dalam catatannya itu. PD 1NovelMuhyiddin beranggapan bahawa golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan (BN) dan tidak pernah bersama pembangkang (PR) dalam membangunkan negara (Utusan Malaysia, 8 Januari 2014). Saya percaya sudah terlewat untuk membaiki sebarang ketololan yang sudah berakar-umbi dalam minda politikus dan juak-juak BN. Akan tetapi, janganlah pula PR yang membentuk Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 meniru kebodohan pihak lawannya. Seniman dan sasterawan (kecuali “macai” dan puak “carma” yang tidak ada maruah diri) serta hasil karya (seni dan sastera) mereka ada harga serta nilai yang perlu dihormati. Mungkin benar bahawa sekelompok seniman dan sasterawan menyokong perjuangan PR kerana menyampah dan meluat dengan BN. Akan tetapi, beringatlah bahawa sekiranya PR bersikap “dua kali lima, lima kali dua” dengan BN, seniman dan sasterawan tidak akan menyokong secara membabi buta. Sasterawan dan seniman ada kuasa untuk “menjatuhkan” politikus yang zalim, menindas dan tidak beretika. Air yang tenang jangan disangka tidak berbuaya. Semoga Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi “mangsa” kemarahan seniman dan sasterawan.       unnamed

]]>

MH370: teruskan doa dan harapan

Malaysia Airlines (MAS) MH370. Pihak berkuasa Malaysia termasuk Ketua Eksekutif MAS juga tidak dapat menafikan kemungkinan kapal terbang tersebut mungkin dirampas. Merujuk sumber berita semasa yang saya perhatikan saban hari, Perdana Menteri Najib Razak ada memberitahu wartawan bahawa  perubahan haluan MH370 adalah disengajakan dan menyimpang dari laluan asal yang mungkin dilakukan oleh seseorang dalam penerbangan ada. Sambutan daripada masyarakat Kristian Dalam komuniti masyarakat Kristian, terutama daripada perspektif Gereja Katolik, Paus Fransiskus menyampaikan rasa prihatin beliau dan menyeru untuk berdoa sejurus tengahari ketika sesi Angelus 16 Mac yang lalu bersama ribuan penziarah Katolik serata dunia di Dataran Santo Petrus di Vatikan dan memberikan mereka  tanda pemberkatan. “Saya mengajak anda semua berdoa bagi keselamatan para penumpang dan anak kapal pesawat MAS dan keluarga mereka. Pada masa sukar ini, kita sentiasa berada dekat dengan mereka dalam doa.” Demikianlah kata-kata beliau semasa menutup sesi Angelus. Paus Francis menyuarakan kata-kata pengharapan ini tatkala pada saat kebimbangan besar melanda negara yang majoritinya beragama Islam dengan 29 juta penduduk, manakala populasi Kristiannya adalah 9.2 peratus di mana Takhta Suci (Holy See) mempunyai hubungan baik dengan Malaysia sejak mencapai penubuhannya pada tahun 1963. Takhta Suci menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia  pada bulan Julai, 2011. Selain itu, saya juga ada menghadiri upacara Misa Kudus di Gereja Nativity of Blessed Virgin Mary di Bukit Mertajam pada Ahad 16 Mac 2014. Sebelum upacara misa bermula, doa khas ‘novena’ diadakan selama 30 minit bagi pesawat MH370. Dalam novena tersebut, banyak perkara doa didoakan seperti keselamatan penumpang, kebijaksanaan pemimpin negara, usaha mencari dipermudahkan, keselamatan anggota petugas mencari dan keluarga mangsa penumpang. Doa dan harapan Bagi saya, peristiwa ini berjaya menyatu padukan masyarakat dunia melalui pelbagai cara. Kommuniti pelbagai agama, aktivis, masyarakat antarabangsa dan tempatan tampil mengadakan pelbagai bagi menyatakan harapan mereka agar MH370 ditemukan kembali. Aktiviti seperti mengumpul tandatangan, doa beramai-ramai, dan sebagainya diadakan bagi memupuk solidariti terhadap pesawat MH370. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah juga tampil mengetuai doa antara agama di KLIA  pada 9 Mac lalu. Diikuti 21 Mac kemudian, kommuniti Muslim mengadakan solat hajat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya manakala kommuniti Buddha di negara ini dijangka menyertai upacara sembahyang secara besar-besaran Ahad ini untuk mendoakan usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas berjalan lancar di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang pada Ahad 6 April. Bagi saya, dalam saat-saat negara ditimpa tragedi yang sukar seperti kehilangan MH370 ini doa merupakan senjata yang penting bagi orang-orang yang percaya. Disini, saya lihat secanggih mana pun peralatan dan kelengkapan adalah tidak lengkap jika tidak disertakan doa. Doa bukan juga sekadar terapi minda sebagaimana disampaikan oleh saintis tetapi doa memacu hubungan peribadi sesorang kepada Sang Penciptanya bahawa dirinya hanyalah manusia biasa yang tidak mampu hidup tanpa petunjuknya. Manusia tidak akan faham bila musibah dan derita melanda mereka namun Tuhan sebenarnya bukan kalah dan bisu terhadap makhluk ciptaaanNya tetapi Dia ingin melihat bagaimana kita sebagai manusia sejagat mengendali isu kemanusiaan ini secara bersama acapkali setiap negara masing-masing alpa akan banyak isu-isu yang meruncing seperti kemiskinan, pemanasan global dan sebagainya. Bagi saya, ia merupakan satu “wake up call” bagi manusia sejagat agar terus berusaha untuk meringankan beban antara satu sama lain dan bertanggungjawab terhadap alam sekeliling. Akhir kalam, walaupun misi mencari mencari masih giat dijalankan  doa wajarlah tidak diberhentikan sehinggalah pesawat itu dijumpai. Saya yakin seiring dengan  usaha mencari dan pelbagai acara umum bagi solidariti bersama keluarga mangsa pesawat MH370, doa berupaya untuk mengubah segala sesuatu. Yakin dan tawakal kita berharap akan ada hikmah dan pengakhiran dalam  tragedi ini dimasa mendatang. Doaku dan doa seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia adalah harapan dan sirna  agar diketemukan pesawat MH370 akan berterusan.       unnamed

]]>

Forum: Penilaian Kritikal Bangsa Malaysia

Pusat Rakyat Loyar Burok , Kuala Lumpur (A-3A-8, Pantai Business Park,  Jalan Pantai Baharu, 59200 Kuala Lumpur. Penyertaan adalah terbuka untuk semua khususnya anak-anak muda dialu-alukan turut serta memberi pandangan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ehsan Shahwahid di alamat email ehsanshahwahid@gmail.com atau di talian 012-2631160. 1978648_511673945609887_833997186_n

]]>

Dialog antara agama: Cara menuju ke hadapan

“Antihesis” Seperti yang kita ketahui, Malaysia adalah sebuah negara yang unik dimana ia mempunyai pelbagai etnik yang hidup dengan budaya yang berlainan tetapi berada di bawah satu sistem perlembagaan undang-undang yang sama. Disini saya melihat kepelbagaian itu unik tetapi kepelbagaian itu juga cenderung membawa kepada sifat “etnosentrik” iaitu anggapan bahawa ciri-ciri sesuatu budaya sangat wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah serta dianggap ganjil ataupun dikatakan tidak bermoral. Nilai etnosentrik ini seterusnya membawa kepada persaingan sesama etnik dalam perebutan kuasa, pengaruh dan perhatian daripada masyarakat setempat. Dari sudut pandang saya, masalah “kalimah Allah”ini berlaku disebabkan konsep “etnosentrik”. Sebelah pihak merasakan perkataan ini adalah “esklusif” dan agama lain tidak boleh menggunakannya dan sebelah pihak lain pula rasa tercabar dan menganggap tindakan ini tidak wajar dan telah melanggar hak asasi manusia seperti yang termaktub di dalam Artikel 11, Perlembagaan Malaysia yang menyeru untuk kebebasan beragama. Persaingan dalam penggunaan perkataan ini wujud antara dua pihak ini. Apabila dua pandangan dan pendapat yang berbeza ini berlaku, maka agama telah menjadi mangsa kepada sesuatu “antithesis” iaitu percanggahan pendapat dan perspektif antara dua pihak terhadap sesuatu isu. Antihesis ini menyebabkan perbahasan, penghuraian dan kritikkan berlaku untuk menunjukkan “siapakah yang betul dan tepat”. Selepas perbahasan dan penghuraian percanggahan berlaku, antithesis sepatutnya membantu dalam menjana pendapat dan pandangan baru tetapi malangnya isu ini seolah-olah tidak akan menemui titik penamat pergolakannya hingga hari ini. Seawal isu ini bermula sehingga menjadi kes mahkamah, masyarakat Kristian dan Islam masih tidak dapat menyelesaikan percanggahan ini walaupun dialog sudah diadakan. Beberapa forum sudah dijalankan dan perkumpulan kecil di buat tetapi permasalahan ini masih berterusan. Kenapakah permasalahan ini amat sukar untuk dibendung dan mencapai satu synthesis iaitu pemikiran dan pandangan baru yang terhasil akibat daripada anthesis untuk kearah penyelesaian. Adakah kerana pemikiran etnosentrik sangat kuat sehingga sukar untuk mencapai toleransi? Intelektual Vs Realiti konteks Apabila kita membahaskan tentang agama dalam konteks sejarah, teology, akademik dan etimologi, kita memerlukan suatu pengetahuan dan ilmu yang sangat mendalam dimana ianya memerlukan suatu penyelidikan dan pembacaan yang lebih terperinci. Ianya sangat membantu kepada kita untuk memahami konsep, isi kandungan dan menjawap persoalan-persoalan yang sering bermain-main di minda kita sebagai contoh, bagaimana Islam atau Kristian bermula? Perkataan “Allah” datang dari mana?. Akan tetapi adakah sejarah,akademik teology dan etimologi mencukupi untuk menampung perubahan keadaan semasa yang sentiasa bergerak khususnya dalam arus kemodenan. Seseorang yang intelektual seharusnya peka kepada realiti sebenar dunia dan mengambil kira semua faktor-faktor perubahan keadaan semasa. Segala teori dan ilmu di atas kertas, walaupun teramat penting, tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang melanda sekarang iaitu “Kalimah Allah”. Ilmu intelektual dan realiti seharusnya berjalan seiring dan di seimbangkan. Seseorang intelektual seharusnya bijak untuk mengaplikasikan segala ilmu dan teori ke atas realiti sebenar manusia apabila membuat analisa terhadap masalah yang berlaku tersebut. “Jangan ada benci” Percanggahan, pergaduhan dan ketidaksefaham sudah pastinya menimbulkan perasaan tidak senang hati, prejudis dan kebencian antara satu sama lain. Maka disini saya ingin menyarankan agar kita cuba sedaya upaya untuk mengelak adanya perasaan-perasaan negatif tersebut untuk mencari ruang kepada penyelesaian. Saranan disini bukan bersifat “apologetic” tetapi lebih kepada penyelesaian secara lebih lembut dimana kita akan bersahabat dengan “ pposite” seperti perumpamaan mengatakan “ Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan”. Apabila kita berjaya menjadi sahabat kepada “opposite”, kita bukan sahaja boleh bekerja dalam isu “Kalimah Allah” tetapi juga bekerja dengan isu-isu lain yang berkaitan dengan kemanusiaan dalam jangka panjang. Saya ingin membawa pembaca untuk memberikan renungan secara lebih mendalam apakah kesan-kesan baik dan buruk jangka panjang berlaku sekiranya perang “Antithesis” ini berterusan?. “Intimate dialog” Ruang penyelesaian boleh dicapai melalui “intimate dialog” dengan lebih kerap untuk mencapai kesepakatan yang dikehendaki. Intimate dialog lebih kepada suasana santai dan relaks dan proses pengeluaran segala isi buah fikiran juga tidak dalam keadaan tegang dan formal. Melalui pengalaman saya, sesi berdialog dalam keadaan tegang adalah lebih sukar untuk mencapai kesepakatan kerana  proses pengeluaran isi buah fikiran adalah berlandaskan kepada emosi yang marah dan tegang Lantas, saya terfikir apakah gunanya berdialog seperti begitu? Saya juga melihat keperluan berdialog sesama umat Kristian iaitu Katolik dengan Protestan dan juga sesama umat Islam untuk melihat sebenar pandangan dan pendapat dari kumpulan yang sama kerana saya percaya setiap insan mempunyai perspektif dan pandangan yang berbeza antara satu sama lain. “The law of the unity of opposites” Disini saya dengan berbesar hati ingin mengkongsikan satu petikan kegemaran saya untuk renungan bersama iaitu “The law of the unity of opposites” oleh Friedrich Engels dimana dia mengatakan “perhaps all things in the world exist in opposition. day and night, hot and cold, good and bad, near and far but they do not really exist separately to each other. They form unions outside of which neither can exist. Day has no meaning without night, good without bad. The identity of each depends on the the identity of the other”. Petikan ini telah membantu saya untuk memberikan renungan secara lebih mendalam apabila berhadapan dengan isu ini. Oleh itu, saya mengharapkan agar persefahaman dan kesepakatan akan tercapai di antara kedua-dua pihak tentang penggunaan “Kalimah Allah” ini. Persefahaman dan kesepakatan ini menjadi kunci kepada keamanan negara yang hidup berbilang kaum. Apabila melihat kepada keadaan sekeliling semasa juga, saya menyedari bahawa ada banyak lagi isu-isu kemanusiaan di luar sana yang memerlukan perhatian. Maka, saya berfikir “Isu mana lagi penting”?         unnamed        

]]>