Projek Dialog

Tembok 1Malaysia: Perpecahan didahulukan

Tembok Berlin belum runtuh.

Ya – “Tembok Berlin” masih wujud, malah telah dibina semula di negara kita sendiri.

Tembok yang dibina oleh Republik Demokratik Jerman pada 13 Ogos 1961 untuk memisahkan Jerman Timur dan Jerman Barat, tembok yang melambangkan bukan sahaja pemisahan fizikal, tetapi pemisahan mental dan pemisahan ideologi antara rumpun yang berkongsi darah dan sejarah yang sama, telah dibina semula di tanah air kita yang tersayang.

Bezanya, tembok ini tidak lagi mempunyai bentuk fizikal – ia wujud di mana saja dan di setiap strata masyarakat.

Pembinanya bukan orang Jerman – jauh sekali – tetapi orang kita sendiri. Pemerintah kita. Kita. Kita sendiri.

Tembok Berlin telah menjadi Tembok 1Malaysia.

Politik perkauman

Pada pendapat penulis, tembok ini telah mula dibina pada zaman jajahan British dimana rakyat koloninya dipisahkan mengikut kaum.

Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina, India dengan India. Dasar ini dikenali sebagai ‘Divide and Rule’ (Pisah dan Jajah) dan berasaskan logika bahawa jika sesebuah masyarakat koloni dipisahkan mengikut kaum. Dalam wujudnya sengketa dan kesalahfahaman akibat pemisahan ini, masyarakat tersebut tidak akan dapat bersatu untuk menumbangkan penjajahnya.

Tarikh 31 Ogos 1957 menjadi saksi kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dari penjajah British. Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 manakala Sabah pula merdeka pada 31 Ogos 1963. Pada 16 September 1963, wujudnya sebuah persekutuan baru – Persekutuan Malaysia hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Tetapi apakah kita benar-benar merdeka dari penjajah?

Lihat sahaja nama parti-parti komponen yang paling lama berdominan di Malaysia:

United Malays’ National Organisation. Malaysian Chinese Association. Malaysian Indian Congress.

Alasan di halaman buku sejarah: Supaya ketiga-tiga kaum ini mempunyai wakil masing-masing di arena politik. Kononnya melambangkan perpaduan dan sikap toleransi di antara ketiga-tiga kaum ini.

Adakah ia benar-benar berhasil? Jika ya, mengapakah kita masih kerap mendengar ucapan berbaur perkauman di arena politik negara dan di laman media sosial misalnya?

Apakah masalahnya jika kita mewujudkan satu parti atau entiti di mana namanya melambangkan suatu tujuan yang dipupuk bersama, dan bukan berdasarkan kaum ahli-ahlinya?

Ini tidak termasuk lagi hal hak istimewa Bumiputera/Melayu lawan Pendatang yang tentunya akan mencetuskan kontroversi jika dihujah di sini.

Tambah lagi hal sekolah vernakular yang kononnya juga melambangkan toleransi antara kaum. Tidak boleh dipersoalkan. Topik sensitif kata kita.

Tetapi dan dengan mulut yang sama, kita melafazkan kata-kata tersebut: “Tuhan mencipta semua manusia sama rata. Tiada yang lebih tinggi atau yang lebih istimewa kecuali yang Maha Esa”.

Politik agama

Susah untuk penulis mencari contoh negara lain di era moden kini di mana seseorang itu secara otomatik, dari lahir, wajib menjadi penganut sesebuah agama jika dia lahir di dalam kaum yang tertentu. Apalagi kalau ini ditetapkan di dalam perlembagaan sesebuah negara. Ternyata Malaysia memang sebuah negara yang istimewa.

Namun begitu kerapkali jika hal ini dipersoalkan, penyoalnya akan ditelagah dan dituduh sebagai mencuba merosakkan akidah atau mencuba mengaburi iman seseorang.

Ya tentunya setiap agama akan menyatakan bahawa ia adalah jalan yang sebenar.

Persoalannya adalah: Agama manakah yang menyatakan dalam kitab sucinya bahawa sesebuah kaum itu wajib menganuti agama tersebut?

Dalam cubaan menekankan pentingnya kesucian iman dan kekuasaan Tuhan, adakah kita telah mencipta undang-undang baru yang tidak pernah disyorkan oleh agama kita?

Kebebasan beragama itu hak asasi setiap manusia yang tidak sepatutnya dirampas oleh mana-mana entiti, termasuk perlembagaan sesebuah negara.

Biarlah seseorang itu menemui kebenaran melalui bimbingan serta pancaran sinar Tuhan ke atas hatinya, dan bukan atas paksaan langsung atau tidak langsung. Dengan merampas kebebasan agama sesebuah kaum melalui perlembagaan negara – dalam kata lain, undang-undang tertinggi sesebuah negara (yang tetap ciptaan manusia, bukan ciptaan Tuhan) – kita telah menyekat banyak peluang untuk berdialog secara bermakna dan terbuka.

Akibatnya, kita akan tetap dengan prejudis kita… dan lingkaran persalahfahaman ini akan berpusar dan berpusar sehingga – dan semoga – satu hari bila kita berani membuat perubahan.

Bukan berani kerana iman kita lalai, tetapi berani kerana iman kita cukup teguh untuk menempuhi apa jua halangan dan cobaan.

Sentimen nasionalis Sabah dan Sarawak

“Welcome to Malaysia!” “Awak tinggal atas pokok ke? Semua pakai cawat ke?” “…akan dihantar ke seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.” “Malaysia wujud pada 31 Ogos 1957.” Majoriti penduduk Sabah dan Sarawak pasti sudah biasa sekali dengan pernyataan-pernyataan sebegini. Ya, di era moden yang lengkap dengan kewujudan kemudahan Internet, ternyata pernyataan-pernyataan tersebut masih wujud 51 tahun selepas pembentukan Malaysia! Dari sudut tersebut kebangkitan sentimen nasionalisme di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak yang makin lantang tidak hanya berpunca dari sentimen perkauman kuat segelintir kelompok yang harus ditempuhi bila menjejak kaki ke tanah Semenanjung. Puncanya adalah lebih rumit dan berkisar Perjanjian Malaysia 1963 yang kononnya tidak dipenuhi oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya, Sabah dan Sarawak telah menjadi antara negeri-negeri termiskin di Malaysia kerana hanya memperolehi 5 peratus royalti minyak dan gas walaupun kedua-dua negeri telah banyak menyumbang sumber-sumber asli tersebut. Tambah lagi dengan isu-isu agama: 1) usaha pengIslaman di sekolah walaupun kedua-dua negeri tersebut adalah negeri-negeri sekular, serta 2) penyekatan buku-buku Alkitab Bahasa Melayu oleh JAIS dan MAIS (kebanyakan pengguna Alkitab Bahasa Melayu berasal dari Sabah dan Sarawak). Jadi memang tidak mengejutkan apabila kita lihat bahawa beberapa NGO di Sarawak dan Sabah telah ditubuhkan untuk menuntut balik hak-hak otonomi kedua-dua negeri ini. Ada yang memperjuangkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari Malaysia kerana menganggap bahawa sebarang rundingan dengan kerajaan persekutuan kurang membuahkan hasil. Yang lain pula hanya ingin menuntut kerajaan persekutuan untuk menghormati dan mengangkat semula kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah-wilayah yang otonomi di dalam Persekutuan Malaysia. Baru-baru ini Borneo Heritage Foundation (BHF) dan Sarawak Association for Peoples’ Aspirations (Sapa) menganjurkan sebuah forum di Kuala Lumpur untuk membahaskan Perjanjian Malaysia 1963. Jelas sekali ini menunjukkan kesedaran sejarah yang semakin meningkat dikalangan penduduk Sabah dan Sarawak, dan tahap kesabaran yang semakin berkurang terhadap isu-isu yang melanda kedua-dua negeri tersebut. Apakah respons kita sebagai rakyat Malaysia? Bagi yang pro-merdeka pula, adakah kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari Malaysia satu-satunya solusi yang paling bagus? Mungkin benar rundingan dengan kerajaan persekutuan kurang membuahkan hasil. Tetapi sudahkah kita menggunakan cara-cara lain, misalnya menganjurkan forum dialog antara anak-anak muda Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu yang menimpa negara kita? Jom Roboh! Jelas bahawa isu-isu ini bukan hal yang boleh diremeh-temehkan dan melibatkan pelbagai aspek dari segi undang-undang, dasar kerajaan serta mentaliti rakyat yang telah terbentuk setelah beratus-ratus tahun dipengaruhi polisi ‘Divide and Rule’ oleh penjajah asing. Penulis percaya, secara peribadi kita semua inginkan perpaduan sesama rakyat yang berbilang kaum dan agama. Masalahnya, kita belum cukup menyedari kepentingan dan peranan dialog sebagi salah satu cara untuk memupuk perpaduan. Ini hanya boleh dicapai jika kita rela membuka hati dan minda untuk mempelajari perspektif baru – dan untuk mempelajari perspektif baru, kita perlu rela berhenti melabelkan sesuatu topik sebagi ‘topik sensitif’. Sesuatu topik hanya sensitif jika kita mudah sensitif dan tidak rela atau takut membahaskannya. Namun begitu tidak bermakna kita boleh mengambil kesempatan ini untuk memaki atau meremehkan pandangan orang lain. Sesuatu dialog hanya boleh menjadi dialog yang bermakna jika kedua-dua pihak melihatnya sebagai suatu peluang untuk belajar dari satu sama lain, dan bukan satu pertandingan di antara dua ego. Janganlah kita hanya bersatu dalam membina Tembok 1Malaysia. Marilah kita bergandingan tangan, hati dan minda untuk merobohkan tembok yang tidak sepatutnya wujud di kalangan masyarakat yang majmuk. Mungkin juga satu hari nanti kita akan menjadi saksi kepada kewujudan sebuah parti baru di negara kita ini: United Malaysians’ National Organisation. Mungkin. Ayuh, jom roboh!         unnamed ]]>

Kes Kalimah Allah: Dialog harus diteruskan

Meneliti keputusan para hakim Dalam menanggapi keputusan tersebut daripada media alternatif di laman sosial, saya agak kecewa, terkilan dan dengan sinis mengandaikan keputusan ini akan dijadikan rujukan kehakiman jika hal-hal yang kononnya berkaitan dengan kesucian Islam dibangkitkan kembali oleh pihak tertentu pada masa akan datang. Isu-isu seperti terjemahan, penerbitan dan upacara ibadah akan terus diperkotak-katikan oleh golongan berkempentingan bagi mencipta ketegangan politik melalui agama wujud sejak 1980an berdasarkan rekod kehakiman bagi dijadikan modal politik kerajaan memerintah. Namun, ianya tidaklah sehebat isu kalimah ‘Allah’ yang dibangkitkan oleh melalui larangan KDN terhadap Gereja Katolik pada tahun 2007. Gereja Katolik mengambil pendekatan undang-undang bagi menyelesaikan masalah tersebut dan berlanjutan sehingga kini. Selain itu, kontrak sosial Perjanjian Malaysia 1963 juga patut diambil berat kerana Sabah dan Sarawak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan namun tidak mempunyai agama rasmi pada wilayah tersebut. Dan sudah tentu umat Kristian dijadikan sasaran selepas ini berbanding dengan penganut Buddha, Hindu dan agama minoriti lain. Oleh sebab, isu yang terdekat dengan permasalahan umat Islam selalunya dikaitkan dengan agama Kristian sebagaimana yang telah dimomokan MAIS dalam buku “Pendedahan Agenda Kristian” yang boleh mengundang kontroversi. Respon pelbagai pihak sejurus keputusan Berdasarkan keputusan hakim pada 23 Jun, rata-rata NGO Muslim seperti PERKASA, PEKIDA dan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (per3) yang hadir di Istana Kehakiman sudah tentu menyifatkannya sebagai satu kemenangan besar umat Islam dalam mempertahankan kesucian agama mereka ketika umat Islam bersiap sedia menanti ketibaan Ramadan. Ketika berceramah, Presiden Perkasa sempat menempelak DAP yang rata-rata mempertahankan umat Kristian dalam isu kalimah ‘Allah’ dengan mencabar agar sekolah vernakular ditutup jika ingin memartabat bahasa Melayu. Sementara itu, ucapan hasutan juga keluar daripada Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan Ruslan Kassim yang mengugut akan membunuh mereka yang menderhaka titah Sultan di Istana Kayangan, Shah Alam turut mengundang kritikan hebat dalam laman sosial. Saya berpendapat, masalah utama yang dihadapi umat Kristian dalam menanggapi isu ini adalah undang-undang yang kelihatan bercanggah antara enakmen negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Nampaknya sikap paranoid sekelompok orang Melayu dan Islam yang berterusan seperti yang ada sekarang sudah tentu akan menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara serta mengundang imej negatif tentang bangsa Melayu dan agama Islam oleh yang bukan Islam. Ada juga rancangan agar draf rang undang-undang baru ciptaan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara bagi membendung prejudis dan ancaman perpaduan kaum untuk dibawa ke Parlimen dan ianya sepatutnya disokong. Saya amat berpuas hati jika semua agama dilindungi secara adil dan saksama dibawah RUU. Sekurang-kurangnya, masih ada sirna dan harapan agar masalah ketegangan agama dan kaum dapat dikurangkan pada masa mendatang. Kesimpulannya, semua pihak tanpa mengira agama dan kaum seharusnya memilih untuk menolak politik perkauman , etnosentrime dan rasisme. Sikap mengenali satu sama lain dan berdialog sewajarnya dijadikan amalan dalam mengeratkan silaturahim antara masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini. Akhir kalam, ayuh kongsi persamaan dan hormati serta raikan perbezaan.

]]>

Mengapa saya tidak bertudung

(Makalah dibawah ditejemahkan dari makalah Bahasa Inggeris oleh Lamya Kaddor yang berjudul “Why I as a Muslim Woman Don’t Wear a Headscarf”. Sekadar perkongsian.)  Adakah kitab suci Al-Quran benar-benar mengkehendaki wanita untuk mengenakan tudung? Atau ia hanyalah suatu tradisi orang lama yang mempercayai mereka boleh menetapkan bagaimana pemakaian seorang wanita – tanpa ada asas agama atau seumpamanya? Lamya Kaddor, iaitu seorang Ilmuwan Islam di German mengatakan bahawa tiada persoalan tentang pemakaian ini kerana baginya pemakaian tudung adalah sudah tidak relevan. Jika saya – sebagai seorang wanita Muslim yang menetap di German – bertanya kepada diri saya adakah saya perlu memakai tudung atau tidak, ia akan membawa kepada persoalan tentang pengertian yang dinyatakan di dalam alQuran tentang suruhan untuk menutup kepala dalam surah al-Azhab ayat 59, adakah ia masih memenuhi tujuan asal untuk melindungi wanita daripada nafsu lelaki. Jawapan saya adalah tidak. Dalam suasana kontemporari di German, tindakan menutup kepala tidak lagi memenuhi tujuan asalnya. Bahkan, ianya membawa kepada sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dikehendaki oleh tuhan dengan mendedahkan pemakai tudung untuk didiskriminasi. Realiti sekarang Jika kita lihat, pada hari ini, perlindungan yang diberikan daripada ’gangguan-gangguan’ ini telah telah dapat diberikan melalui sistem undang-undang yang berfungsi dengan baik dan bukannya dengan kepatuhan kepada peraturan sosial dari masa lalu. Sebuah negara yang bebas yang berdasarkan kedaulatan undang-undang akan melindungi para wanita, contohnya menghukum orang yang melalukan serangan terhadap wanita. Perlindungan ini bertujuan utama untuk menjaga maruah. Namun, manusia di zaman moden ini perlu lebih bertanggungjawab untuk dirinya sendiri dalam lingkungan kebebasan yang diterima termasuklah dalam keteguhan moral. Bagi saya, dengan menutup kepala sahaja tidak mengecualikan seseorang itu terlepas daripada tanggungjawabnya. Saya tidak boleh berselindung atau hanya berasa selamat disebalik sehelai kain sahaja. Sebuah negara yang bebas dan berdemokrasi seharusnya memberikan hak dan juga menuntut tanggungjawab. Dalam keadaaan yang demikian, saya mampu untuk berkelakuan dengan baik, tidak kira saya memakai tudung atau tidak, atau berkelakuan sebaliknya. “Fesyen” ketika zaman AlQuran diturunkan? Jika hujah ini diterima, maka seseorang boleh mengabaikan suruhan untuk mengenakan pakaian tambahan untuk menutup kepala kerana ianya ditujukan kepada wanita di zaman Arab pada awalnya. Apa yang masih kekal pada mulanya adalah konsep “khimar” iaitu tudung kepala yang menjadi sebuah tradisi pakaian yang normal pada masa itu. Quran tidak menghalang atau menegaskan berkenaan cara pemakaian yang sebegitu rupa. Perhatikan, Tuhan hanya menggunakan perkataan itu sekali sahaja (24:31). Ia digunakan untuk merujuk kepada nilai moral seseorang. Maka, tiada penegasan dalam Al-Quran berkenaan tentang pemakaian tudung ataupun penutupan kepala. Tidakkah, jika tuhan mengkehendaki kita untuk memakai penutup kepala, Dia akan menyatakan dengan jelas dan secara spesifik dalam Al-Quran? Oleh itu, “khimar” yang dimaksudkan itu hanyalah menjadi simbolik kepada elemen fesyen yang selari dengan semangat pada zaman itu. Secara rasionalnya, fungsi tudung atau penutup kepala itu, dalam sejarah, sama ada kita sedar atau tidak sedar – seperti untuk berlindung daripada pasir, pengaruh jahat – kesemuanya ini sudah ketinggalan dan tiada siapa yang boleh mengatakan itulah tujuan yang sebenar. Kita melihat bahawa keupayaan imiginasi manusia kian berubah. Dalam abad ke-21 ini di German, fesyen rambut seorang wanita tidak lagi menjadi daya rangsangan kepada lelaki. Dengan melihat rambut perempuan sahaja tidak lagi meningkatkan nafsu seksual dan merangsang untuk melakukan tindakan yang tidak bermoral – melainkan kepada orang yang mempunyai citarasa sex yang ganjil. Apabila anda berjalan di kawasan pejalan kaki di bandar-bandar, tiada sesiapa yang akan tergoda semata-mata kerana rambut kamu. Hanya jika anda berpakaian yang menjolok mata, atau secara yang betul-betul unik dan berkelakuan sebegitulah akan adanya perhatian yang memudaratkan. Tambahan pula, lelaki pada zaman ini bukanlah lelaki yang berfikiran seperti beribu tahun dahulu. Kita seharusnya berterima kasih dengan pencapaian kebebasan dan negara demokrasi yang kita kecapi dan juga kefahaman tentang hubungan antara jantina. Kita tidak lagi memerlukan tudung untuk memastikan kehidupan yang bermoral. Penggunaan tudung telah menjadi suatu yang tidak relevan. Prejudis terhadap wanita (misogyny) oleh sebahagian Ulama’ Kefahaman golongan ortodox pada hari ini tentang kewajipan bertudung adalah berdasarkan tafsiran Ulama’ terdahulu yang hidup beberapa generasi selepas Nabi Muhammad s.a.w. Kita boleh mengikuti pandangan mereka, tetapi, mereka bukan maksum. Sebagai manusia biasa, Ulama’ juga boleh melakukan kesilapan. Golongan konseravatif dan fundamental seringkali mengulangi bahawa kita perlu kembali kepada Al-Quran dan Assunnah. Mereka sering berkata bahawa pandangan ini bersesuaian dengan apa yang diturunkan ketika zaman Nabi dan di awal kedatangan Islam. Walaubagaimanapun, sebenarnya, pandangan ini adalah berdasarkan idea-idea Ulama’ yang hidup 600 tahun kemudian – seperti Ibn Qudama (meninggal : 1223), Ibn Taimiya (meninggal : 1328) dan anak muridnya, Ibn Qayim al Jawziya (meninggal 1350). Mengenang kembali struktur sosial yang patriarki ketika itu, adalah tidak memeranjatkan apabila tafsiran terhadap berkenaan hubungan antara gender juga tidak berpihak kepada wanita meskipun ia bertentangan dengan pembelaan terhadap wanita yang boleh dilihat dalam Al-Quran secara keseluruhan. Ia juga tidak memeranjatkan kerana melihat kepada prejudis yang telah ada terhadap wanita, yang ditunjukkan oleh ramai Ulama’ dalam sejarah Islam. Ini dibuktikan dengan tidak semena-menanya malu itu dikaitkan dengan suruhan untuk menutup kepala. Surah AnNur ayat 30-31 menyuruh lelaki dan wanita keduanya untuk menjaga akhlak, namun, tafsiran Al-Quran sehingga kini menekankan keperluan berakhlak itu hanya kepada wanita. Bukan simbol politik Arahan daripada Al-Quran untuk berpakaian yang sopan dan berakhlak merupakan suatu tuntutan agama, tetapi sering difahami sebagai keperluan untuk berpakaian dengan cara yang ‘sesuai’. Seorang wanita beriman memahami ini sebagai bahagian tubuh wanita yang pada hari ini menjadi rangsangan terhadap keinginan sexual seharusnya ditutupi. Maka, apa yang ‘sesuai’ itu, seharusnya diserahkan kepada pertimbangan matang wanita itu sendiri, memandangkan tiada sumber jelas dan kukuh daripada Islam. Namun, pada masa kini, apa yang diamalkan adalah orang-orang tua dalam kalangan lelaki sama ada berilmu atau tidak, yang menentukan bagaimana wanita seharusnya berpakaian tanpa ada sumber dalil atau asas sosiologi. Situasi yang sama juga, apabila tudung itu menjadi kayu ukuran kepada keimanan sedangkan ia tidak pernah ditunjukkan atau digambarkan dalam sepanjang sejarah Islam. Gambaran bahawa tudung menjadi simbol penyatuan umat Islam juga tidak ada dalam sejarah. Tambahan pula, ia menjadi simbol yang sering dipolitikkan, yang timbul dalam perbincangan-perbincangan semasa yang berdasarkan sejarah, tidak mempunyai dasar yang kukuh, tetapi memberi makna kepada masyarakat. Ia hanya berlaku sejak akhir-akhir ini, sebagai suatu elemen penolakan terhadap pengaruh barat terhadap dunia Islam.   Mengenai penulis: Lamya Kaddor dilahirkan pada 1978 di Ahlen, Westphalia. Beliau merupakan anak perempuan kepada keluarga pelarian daripada Syria. Beliau menumpukan pelajarannya dalam bidang pengajian Islam. Kemudiannya beliau memegang jawatan sebagai pelatih guru Islam di Münster University. Bukunya yang terbaru berjudul: Her most recent book is “Muslimisch – weiblich – deutsch! Mein Leben für einen zeitgemäßen Islam” (Muslim – Female – German! My Life for an Islam in Keeping with the Times) yang diterbitkan C.H. Beck Verlag, Munich 2010.  

]]>

Bila, mengapa dan bagaimana Kristian menggunakan kata 'Allah'

Pengenalan dan Latarbelakang Tujuan dokumen ini adalah untuk menjelaskan secara ringkas kepada orang-orang Kristian yang tidak faham bila, kenapa dan bagaimana Gereja-gereja di Malaysia menggunakan kata ‘Allah’. Ia juga untuk orang Kristian yang keliru tentang bagaimana harus bertindak apabila berhadapan dengan orang bukan Islam yang jahil tentang penggunaan kata ‘Allah’ dalam agama Kristian. Terdapat banyak (tidak tepat) kenyataan bukan Kristian yang mendakwa bahawa kita tidak boleh menggunakan kata ‘Allah’ kerana ia adalah istilah eksklusif untuk agama Islam yang merujuk kepada Tuhan Islam dan hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Ia merupakan masalah pelik di Malaysia kerana di negara-negara Islam yang lain , di negara Arab – penganut Kristian berbahasa Arab menggunakan kata ‘Allah’. Umat Kristian sendiri kadang-kadang jahil kecuali jika kita berdoa dalam Bahasa Malaysia, kita berdoa kepada ‘Allah’ dalam bahasa kita sendiri. Sebagai contoh, dalam Bahasa Inggeris, kita tidak menggunakan kata ‘Allah’. Walau bagaimanapun, lebih 60% daripada Kristian di Malaysia hanya bercakap dalam Bahasa Malaysia, dan perkataan yang digunakan untuk Tuhan di dalam kitab Bahasa Malaysia (Al-Kitab) sejak terjemahan pada tahun 1731, adalah ‘Allah’. Kata ini digunakan oleh Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara mereka terutama di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, dan masyarakat Baba di Melaka Sejarah Makna dan Penggunaan 1. Kata ‘Allah’ adalah istilah yang digunakan bagi Tuhan yang tertinggi diantara tuhan-tuhan, sebelum wahyu Islam. The Shorter Encyclopedia of Islam, ed. H.A.R. Gibb & J. H. Kramer dan The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, ed. John L. Esposito, menyokong dan mengesahkan pernyataan ini. Dari segi sejarah, penganut Kristian berbahasa Melayu di AsiaTenggara telah menggunakan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan. Buktinya adalah seperti berikut: – Wujudnya Kitab salat as sawai atau Katekismus Kristian di dalam Bahasa Melayu telah ditulis pada tahun 1514 dan diterbitkan sekitar 1545, – Telah ada versi cetakan Injil Matius di dalam Bahasa Melayu oleh A.C. Ruyl pada tahun 1629, Kamus Melayu-Latin telah dicetak di Roma pada tahun 1631 (Dictionarium The Malaicum-Latinum dan Latinum – Malaicum) – Terjemahan Kitab Kejadian oleh D. Brouwerius (1662), – Terjemahan M. Leijdecker (1733), – Terjemahan H.C. Klinkert (1879), – Terjemahan W.A. Bode (1938), dan – Pada tahun 1731-1733, telah wujud Al-Kitab Bahasa Melayu lengkap mengandungi kata ‘Allah’ iaitu terjemahan untuk ‘God’. 3. Oleh itu, sejak awal lagi, kata ‘Allah’ telah digunakan dalam liturgi, doa-doa dan ibadat orang-orang Kristian yang bertutur dalam Bahasa Malaysia. Tetapi selama berabad-abad itu, tidak ada bantahan atau kegemparan mengenai penggunaan kata ‘Allah’. Bahasa Bantahan terhadap penggunaan kata ‘Allah’ kebanyakannya berpunca dari wacana politik, atau di kalangan mereka yang membantah dengan tuduhan bahawa penterjemahan dan penggunaan kata ‘Allah’ baru sahaja berlaku. Ini tidak benar kerana sebab-sebab berikut: 1. Dalam bahasa-bahasa Semitik, kata ‘Allah’ telah digunakan secara meluas di Timur Tengah sejak abad ke-5 SM, sehingga masa perkembangan Islam dan penyebaran Bahasa Arab pada abad ke-7 M. 2. Penterjemahan Al-Kitab bukan menterjemah dari Bahasa Inggeris tetapi berdasarkan teks-teks dari Al-Kitab Ibrani dan teks Yunani. Dalam Bahasa Ibrani, kata ‘Allah’ mempunyai bentuk akar yang sama seperti Bahasa Arab. Jadi, apabila kata ‘Allah’ pertama kali diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, para penterjemah sebenarnya mengikut penggunaan Bahasa Arab Kristian dan mengekalkan perkataan ‘Allah’. 3. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kata ‘Allah’ digunakan sebelum kedatangan Islam. Ia bukan ciptaan umat Islam dan kewujudannya tidak bermula di dalam Al-Quran. Haruskah Kristian Menggantikan kata ‘Allah’ dengan ‘Tuhan’? Ini tidak mungkin atas sebab-sebab berikut : 1. Dalam Bahasa Melayu, ‘Allah’ bermakna ‘Tuhan’ dan ‘Tuhan’ bermaksud ‘Lord’. Ini jelas apabila kita membaca Al-Kitab, ‘Allah’ dan ‘Tuhan’ digunakan di dalam Al-Kitab, dan kedua-duanya mempunyai konotasi yang berbeza. Oleh itu ‘Allah’ tidak boleh digantikan dengan ‘Tuhan’. 2. Kata Tuhan telah digunakan untuk Yesus Kristus iaitu Tuhan Yesus. Sekiranya Kristian menggantikan kata ‘Allah’ untuk Tuhan, ia menimbulkan banyak kekeliruan dan tidak keruan yang merujuk kepada Tuhan dan Yesus kerana: – Makna ‘Allah’ dan Tuhan adalah berbeza. – Ini sangat jelas melalui satu contoh sahaja. Di dalam Yesaya, Bab 41 dan Ayat 13; 43:3 dan 51:51. “For I am the LORD, your GOD…” diterjemahkan sebagai “Akulah Tuhan, Allah kamu…”(ALKITAB : Berita Baik. 2001. Edisi Kedua. Terbitan The Bible Society of Malaysia). – Ia akan mewujudkan situasi tidak masuk akal jika orang Kristian perlu menterjemahkan frasa alkitabiah ‘Lord God’ sebagai Tuhan Tuhan. Pengulangan kata Tuhan Tuhan menunjukkan jamak di dalam Bahasa Malaysia, ia seolah-olah memperlihatkan bahawa agama Kristian percaya akan banyak tuhan, ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. – Umat Kristian berbahasa Malaysia tidak akan dapat mengesahkan ketuhanan Yesus Kristus dan mengajar doktrin Tritunggal kerana dua perkataan ini adalah kata-kata asas dan penting untuk mengekalkan serta menyampaikan kebenaran ini. Kesan-kesan Larangan Kata ‘Allah’ 1. Penafian penggunaan kata‘ Allah’ adalah melanggar hak perlembagaan kebebasan beragama rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap rakyat Malaysia untuk menganut agama dan amalan pilihan masing-masing. Perkara 11 (3) jelas memperuntukkan bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk mengurus hal ehwal agama mereka sendiri. 2. Padatahun 2009, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan ‘Allah’. Kerajaan (semua rakyat Malaysia, termasuk Kristian) membawanya ke Mahkamah Rayuan dan ia masih belum selesai. 3. Selain itu, terdapat juga pelanggaran hak menggunakan kata-kata penting dalam Al -Kitab Bahasa Malaysia. Lihat arahan 5 Disember 1986 daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menyatakan bahawa, sebagai tambahan kepada ‘Allah’, kata-kata : Al-Kitab, Firman, Rasul, Iman, Ibadah, Injil, Wahyu, Nabi, Syukur, Solat dan doa adalah tidak boleh digunakan dalam Al-Kitab. Di samping itu, membuat larangan melalui fatwa hanyalah relevan dengan umat Islam sahaja dan tidak terpakai kepada bukan Islam. 4. Melarang penggunaan kata ‘Allah’ dan istilah-istilah lainadalah tidak adil. Kristian Bumiputera perlu diberi penghormatan dan kebebasan untuk memanggil Tuhan dalam satu-satunya bahasa yang mereka. Ini adalah penting bagi identiti agama dan budaya mereka. 5. Jika gereja-gereja di Malaysia bersetuju untuk berhenti menggunakan kata ‘Allah’, bermakna hak untuk mengedit Kitab Suci agama utama dunia telah diberikan kepada sebuah kerajaan sekular. Ini akan menjadi satu perkara memalukan dan kejadian yang belum pernah berlaku pada mana-mana agama dan kerajaan. Kesimpulan Sesetengah umat Islam mendakwa berulang kali bahawa orang Kristian di Malaysia enggan berhenti menggunakan kata ‘Allah’ kerana mahu mengelirukan umat Islam dan memurtadkan penganut Islam, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana tiada bukti penggunaan kata ini membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini kekal sebagai tidak berasas. Sebaliknya, keadaan sebegitu dibuat kerana jahil dengan hakikat bahawa apabila orang Kristian menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus untuk umat Kristian berbahasa Malaysia. Gereja-gereja di Malaysia tidak pernah mencadangkan untuk mengubah kata ‘Allah’ dan ‘Lord’ kepada ‘Allah’ dan ‘Tuhan’, begitu juga bahasa- bahasa lain dalam Al-Kitab. 16 Mei 2013 DISEDIAKAN OLEH PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA (The Christian Federation of Malaysia)

]]>

Mempertahankan agama minoriti

Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan. Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan.[/caption] Bayangkan jika suatu forum khas diadakan bagi mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah dan serangan pihak luar. Forum itu nanti pasti sahaja berciri ilmiah, penyelidikan, akademik dan tiada sebarang unsur hasutan atau penghinaan yang bertentangan dengan hak-hak sah agama minoriti dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara 3 (1) menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Kebebasan beragama bagi penganut “agama minoriti” ini dijamin oleh Perlembagaan dan mereka mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Wacana Pengenalan kepada Minoriti Agama di Malaysia oleh Dr Mohd Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12 Jun 2014 juga agak menarik untuk diperhatikan. Ia antara lain membantu khalayak meneliti realiti mazhab Syiah di Malaysia dari sudut berbeza. Bagaimanapun, perlu dibezakan antara “minoriti agama” dan “agama minoriti” supaya tidak timbul kekeliruan dan salah tanggap. Dewasa ini, banyak forum, seminar dan perbincangan diadakan dalam usaha mempertahankan agama Islam daripada “agenda Kristianisasi”. Contoh terdekat adalah Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014. Seminar itu secara terang-terangan mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam. Walaupun mendapat bantahan masyarakat Tidak Islam (Bukan Islam) serta beberapa laporan polis dibuat, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap penganjur serta sekumpulan penceramah yang terbukti adalah “bekas paderi dan bekas rahib palsu”. Hujah Muhyiddin jadi panduan dan rujukan Semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014, Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking meminta Menteri Pendidikan menjelaskan tindakan kementerian terhadap UiTM yang telah secara tidak langsung menyebarkan kebencian antara agama melalui penganjuran seminar itu. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis menegaskan bahawa seminar itu berciri akademik dan bersifat sesi percambahan minda (brainstorming), serta bertujuan mempertahankan agama Islam daripada cabaran luar. Dia menyifatkannya sebagai suatu perbincangan akademik yang perlu dilihat secara positif. Selaras dengan itu, Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan pula bertujuan membicarakan cara-cara mempertahankan “agama minoriti” daripada serangan dan dakyah pihak luar. Perlu ditekankan bahawa seperti kata tajuk, forum itu nanti bertujuan “mempertahankan” dan bukannya “menghasut”. Apatah lagi melanggar Perkara 11 (4) dan “mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”. [caption id="attachment_3626" align="alignleft" width="300"]Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan. Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan.[/caption] Bayangkan bahawa koleksi makalah berbentuk penyelidikan berjaya diterbitkan susulan forum tertutup berkenaan dan diedarkan kepada peserta sahaja bagi tujuan akademik. Tentulah akan dipastikan tidak ada sebarang kandungan yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Hasutan 1948. Buku itu hanya membincangkan tentang usaha mempertahankan agama minoriti serta penjelasan mengenai agenda dakyah pihak luar yang mengancam agama minoriti. Kalau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpeluang meneliti buku itu nanti, beliau juga akan mengakui bahawa ia hanya satu penyelidikan (study). Sama seperti jawapannya bagi buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Mais yang diedarkan semasa seminar anti-Kristian di UiTM. Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah suatu program akademik dan perbincangan ilmiah bagi menerangkan permasalahan dakyah pihak luar yang menjadi isu dan perbahasan hangat dalam kalangan penganut agama minoriti. Dalam forum itu nanti, perbincangan dan penjelasan pasti sahaja dilakukan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra, selaras dengan budaya intelektual yang diharapkan; serta dijalankan dalam suasana harmoni tanpa menghina mana-mana agama lain. (Saya meminjam banyak idea daripada jawapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014.)   Oleh itu, fakta dan perbincangan dalam forum itu perlulah dilihat secara positif sebagai suatu bentuk percambahan minda dan intelektual yang sedikit pun tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan. Kandungan forum tidak langgar Perlembagaan Forum tertutup itu juga difokuskan kepada khalayak terpilih yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik sensitif secara ilmiah dan akademik. Maka tidak timbul soal ada pihak yang mungkin rasa tergugat dari segi keimanan. Umum mengetahui bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan ada mengeluarkan beberapa pandangan (atau “fatwa” dalam Bahasa Arab) berhubung larangan penyebaran agama Bukan Islam kepada orang Islam. Buku Pendedahan Agenda Kristian menghuraikannya lebih lanjut sebagai “larangan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam serta larangan umat Islam menyertai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan agama lain khususnya Kristian.” Agak menarik untuk diperhatikan bahawa majlis fatwa merumuskan senarai “agama lain” sebagai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian”. Mungkin sahaja “Cina” merujuk kepada pelbagai ajaran, kepercayaan dan agama yang dianuti orang Cina. Bagi tujuan Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan ini, senarai “agama minoriti” tidak akan dikhususkan kepada mana-mana agama. Sebaliknya merujuk kepada mana-mana agama, ajaran, anutan dan mazhab minoriti yang terkeluar daripada acuan “agama bagi Persekutuan” dalam Perkara 3 (1). Forum itu nanti akan membuka peluang meneliti hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan kepada penganut agama minoriti, serta menghuraikan batasan dan had yang ditetapkan dalam Perlembagaan berkaitan hak penganut agama minoriti. Panel juga dijangka memperkatakan isu-isu semasa berkaitan agama minoriti dalam ruang lingkup dan kebebasan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maknanya, tidak ada apa-apa kandungan yang melanggar peruntukan Perlembagaan. Saya membayangkan suatu forum ilmiah di mana panel membentangkan hujah, pandangan dan fakta berdasarkan kajian, penyelidikan dan pengalaman berkaitan topik dakyah pihak luar ke atas penganut agama minoriti. Panel dan peserta tentu berpeluang membincangkan cara-cara mempertahankan agama minoriti dan penganut agama minoriti daripada serangan dan dakyah pihak luar. Hal ini selaras peruntukan Perkara 11 dan maklumat terperinci boleh dirujuk dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006). Selaras semangat Bangsa Malaysia, forum itu juga boleh dijadikan medan untuk mencadangkan cara-cara memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian dan meningkatkan sifat tolak-ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai agama. Puak ultra kiasu, pelampau tidak dibenarkan hadir Pembicara atau ahli panel forum akan dipilih daripada kalangan individu intelektual, rasional dan matang yang mampu mengemukakan pandangan, hujah, idea, pengalaman dan kritikan berdasarkan topik yang ditetapkan. Panel diberikan kebebasan untuk berbicara secara akademik serta berdasarkan penyelidikan dan pengalaman sambil mengambil kira segala peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara. Pembicara bertanggungjawab sepenuhnya atas segala pandangan, hujah dan kritikan yang dikemukakan. Pemudah cara (moderator) pula berhak menghalang pembicara daripada meneruskan hujah-hujah yang difikirkan kurang sesuai. Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah aktiviti tertutup kerana topik berkaitan agama minoriti mungkin dianggap sensitif bagi kelompok tertentu yang berminda tertutup dan takut pada bayang-bayang sendiri. [caption id="attachment_3628" align="alignleft" width="300"]Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum. Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum.[/caption] Peserta mestilah berumur lebih 18 tahun dan mahu hadir atas kerelaan sendiri. Penyertaan hanya atas undangan penganjur bagi memastikan puak ultra kiasu, pelampau, fanatik, kurang cerdik, rasis dan seumpamanya tidak terlepas masuk ke forum ilmiah ini. Orang ramai, wakil media, pemerhati atau sesiapa yang berminat untuk hadir wajib mendapatkan kelulusan penganjur dengan mengisi borang dalam talian (online). Segala langkah berjaga-jaga ini penting – antara lain – demi “keperluan memelihara ketenteraman awam” serta memastikan forum itu nanti tidak disalah anggap mengandungi unsur hasutan. Lebih teruk jika dituduh sebagai usaha menyebarkan agama minoriti kepada masyarakat awam (termasuk penganut agama Islam dalam lingkungan mazhab Ahlu Sunnah Waljamaah). Kalau forum diadakan di Selangor, maka Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 perlu diambil kira, walaupun forum ini hanya bertujuan “mempertahankan agama minoriti” dan bukannya “menyebarkan agama minoriti”. Sebelum forum bermula, pemudah cara akan mengingatkan para peserta bahawa tujuan forum tertutup itu diadakan bukan untuk dicurigai, memperkecilkan mana-mana agama dan bukan untuk menyerang pegangan dan kepercayaan penganut mana-mana agama lain. Sebaliknya, forum ini adalah semata-mata bagi mempertahankan jati diri penganut agama minoriti di Malaysia dan memberi kefahaman kepada penganut agama minoriti yang diselubungi pelbagai kekeliruan seperti isu serangan, cabaran dan ancaman dakyah pihak luar. Berdialog sambil memartabatkan bahasa kebangsaan Istilah “dakwah” tidak digunakan dalam cadangan forum ini kerana bimbang kemungkinan ada puak kurang cerdik yang hanya tahu mengaitkan perkataan “dakwah” dengan agama Islam. Lalu, mungkin frasa “serangan, cabaran dan ancaman dakwah pihak luar” disalah tafsir sebagai “serangan, cabaran dan ancaman dakwah Islam”. Sekiranya Forum Mempertahankan Agama Minoriti menjadi kenyataan, penganjur mungkin wajar membenarkan wartawan dan media membuat liputan. Untuk selamat, wartawan dan media juga perlu mengemukakan borang penyertaan untuk kelulusan sebelum hadir. [caption id="attachment_3629" align="alignleft" width="275"]Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif. Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif.[/caption] Kalau wartawan hadir dan membuat liputan, mungkin akan timbul pula persoalan bahawa kandungan forum itu tidak lagi bersifat “tertutup”. Sebagai individu yang pernah bekerja di bahagian editorial berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar Sinar Harian, tentulah perkara itu juga sudah saya fikirkan. Sebarang siaran berita mengenai forum agama minoriti itu nanti adalah atas dasar etika kewartawanan dan tidak bertujuan mengganggu ketenteraman awam. Apa-apa yang dilaporkan wartawan dan media adalah interpretasi berdasarkan etika kewartawanan dan tidak semestinya menggambarkan secara tepat kandungan forum serta apa yang benar-benar berlaku dalam forum. Forum perlu dikendalikan dalam Bahasa Malaysia selaras dengan kedudukan bahasa ini sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Frasa dan istilah bahasa-bahasa lain boleh digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian. Peserta yang mengemukakan soalan perlu diingatkan supaya menggunakan Bahasa Malaysia. Langkah ini sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Peserta akan dibenarkan mengambil foto (atau selfie) serta membuat rakaman audio dan visual (jika mahu) untuk tujuan akademik, rujukan, penulisan atau untuk disebarkan kepada umum atas tanggungjawab sendiri. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa forum yang dijalankan itu adalah aktiviti tertutup (closed door forum). Segala perkara yang diperkatakan semasa forum tertutup adalah bersifat ilmiah, akademik dan penyelidikan; serta mungkin tidak mampu difahami khalayak umum. Bayangkan jika forum tertutup ini dapat benar-benar dijalankan dalam skala kecil-kecilan pada 6 Julai 2014, genap dua bulan selepas seminar anti-Kristian di UiTM. Jika anda benar-benar berminat menjayakannya, hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.         unnamed

]]>

Hakikat kepelbagaian seksualiti

Pengiktirafan seksualiti yang pelbagai Benarkah tidak pernah adanya pengiktirafan seksualiti yang pelbagai? Beberapa golongan orang asli Amerika (native American Indians) mengiktiraf 4 kategori jantina (gender), iaitu, tidak semestinya manusia wujud dengan begitu tertentu dan secara binari (dua hala) sahaja — iaitu hanya setakat sebagai orang lelaki dan orang perempuan. Contohnya, golongan Navajo mengiktiraf ada orang dua-roh (two-spirit) dan mereka diterima secara saksama dan kerana diterima, orang yang digelar dua-roh pernah memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat tersebut. Kumpulan Chukchi dari Siberia pula mengiktiraf 9 kategori jantina. Isu jantina termasuk di dalam pemahaman istilah seksualiti, dan ada pengaruh atas aspek-aspek seksualiti yang lain, seperti daya tarikan seksual terhadap seseorang. Tetapi apakah pemahaman jantina di Malaysia? Walaupun, Perkara 8(2) di bawah Perlembagaan Malaysia melindungi penduduk Malaysia daripada diskriminasi jantina, golongan orang trans* (transgender) seperti golongan Mak Nyah di negara tersayang ini masih dipinggirkan. Lebih-lebih lagi, kalau dibaca dengan Perkara 8(1) yang menjanjikan kesaksamaan semua orang dan kesaksamaan perlindungan di bawah sistem perundangan negara (equality before the law and equal protection of the law). Malangnya, pemahaman jantina di Malaysia terlampau terpikat kepada pemahaman binari tanpa usaha untuk memahami dysphoria gender yang dikenalpasti oleh American Psychiatric Association (APA), sebuah badan yang mempunyai bilangan ahli psikiatri yang terbesar di dunia yang menentukan piawaian tertinggi untuk perkhidmatan psikiatri. Dysphoria gender adalah satu kenyataan. Ia memang dialami oleh sesetengah orang, di mana orang tersebut tidak selesa dengan seks biologinya dan peranan gender yang dipatutkan oleh masyarakat sekelilingnya. Sebab berlakunya dysphoria gender tidak sekadar isu psikologi dan tingkah laku sahaja, tetapi juga termasuk faktor-faktor biologi dan genetik. Ilmu dari bidang-bidang perubatan, biologi dan sosio-psikologi menunjukkan bahawa kita tidak dapat melarikan diri daripada kenyataan kepelbagaian dunia ini. Penindasan LGBT Golongan yang beridentiti LGBT tidak dipaksa menjadi LGBT. Mereka tidak memilih untuk menjadi LGBT. Tidak ada sesiapa yang begitu bodoh untuk memilih kehidupan yang dicaci, untuk memilih identiti yang tidak menikmati perlindungan di bawah undang-undang. Mereka tetap LGBT walaupun ditendang keluar rumah dan tidak lagi diiktiraf sebagai anak oleh ibubapa sendiri. Ibu seorang kawan trans saya pernah mengatakan kepadanya:  “kenapa kamu nak sangat menjadi seorang wanita? Hidup seorang wanita lebih susah daripada seseorang lelaki”. Emaknya yang berusia tahu betapa susahnya menjadi seorang wanita di dalam sesebuah negara di mana tidak ada kesaksamaan di antara lelaki dengan perempuan, di mana seorang wanita tidak diiktiraf sama nilai dengan seorang lelaki. Namun dia sanggup berkata begitu. Bayangkanlah kesusahan golongan LGBT yang berhadapan dengan penindasan setiap hari. Kepelbagaian tingkah laku seksual di alam haiwan Namun ramai lagi yang menyatakan bahawa golongan LGBT tidak “natural” dan bercanggah dengan fitrah manusia. Namun penemuan sains mencabar tanggapan tersebut. Contohnya: pada tahun 1999, hampir 1,500 jenis spesis dikenalpasti mengadakan perhubungan seks yang boleh dianggap dari lensa manusia sebagai homoseksual atau biseksual. Fenomena ini termasuk perhubungan seks yang tidak bertujuan untuk pembiakan. Pelbagai tingkah laku seksual di kalangan haiwan memaparkan tingkah laku seks satu kegiatan kehidupan yang biasa, dan tidak semestinya berlaku di antara jantan-betina sahaja. Perlu difahami di sini bahawa ada ahli akademik yang berhujah mengatakan bahawa tingkah laku seksual spesis haiwan sebegini tidak semestinya satu orientasi seksual kerana banyak yang belum dapat dikaji, terutamanya sebab mengapa spesis haiwan tersebut mengadakan perhubungan seks sebegitu, yang nampak pada permukaan sebagai tingak laku seksual yang tidak bertujuan untuk pembiakan. Saya berkecenderungan bersetuju dengan hujah sedemikian kerana orientasi seksual tidak sama dengan tingkah laku seks. Malah jika ramai yang sanggup menerima hujah tersebut, mengapa mereka tidak bersikap terbuka apabila manusia dikesan melakukan hubungan sejenis? Mereka menerima hubungan sejenis dalam alam sebagai satu fakta, tetapi mengecualikan manusia daripada fenomena yang sama tanpa hujah santifik. Ini hanya menunjukkan bias mereka, dan bukan hakikat tentang manusia. Hujah akal membezakan manusia daripada binatang Walaupun manusia ada akal, dia juga ada ego dan daya yang tersendiri untuk terus hidup. Daya hidup memastikan kemungkinan besar keutamaan akan diberi kepada dirinya sekiranya hidupnya terancam. Di sinilah lahirnya diskriminasi, pengutamaan diri, perasaan dengki dan sebagainya. Akal dan ego manusia jugalah yang memastikan timbul dan kekalnya perasaan benci-membenci terhadap mereka yang berbeza, tidak semestinya dari segi seksualiti sahaja, tetapi juga dari segi bangsa, agama, warna kulit, status sosial, dan lain-lain. Keterasingan akan tetap berlaku kerana isu kuasa, kerana isu kepentingan diri, dan boleh dikatakan kerana akal manusia yang sering menghukum dan menitikberatkan pembezaan. Saya pernah buat carian google yang menonjol kajian-kajian gambar-gambar dua ekor haiwan yang berbeza spesis yang dapat berkawan, walaupun pada kebiasaannya satu pemangsa dan satu mangsa. Ini menunjukkan fenomena yang cukup ganjil kalau disiasat hanya menggunakan logik manusia. Bagaimanakah fenomena ini boleh terjadi sekiranya manusia sahaja yang berakal? Adakah akal manusia begitu berfaedah, dan sekiranya berfaedah, berfaedah untuk siapa? Bagi saya, penyaksian fenomena di mana haiwan yang berbeza spesis dapat berkawan menunjukkan kepintaran dan belas kasihan tidak semestinya terbatas kepada saiz otak, dan jelasnya akal manusia tidak semestinya satu kelebihan yang begitu berfaedah di dalam menyempurnakan kemanusiaan kita.       unnamed

]]>

Shariati dan Malaysia: Ideal Islam dan realiti totalitarian

Jadilah manusia agung
Bagai seorang syahid
Seorang imam
Bangkit
Berdiri
Di antara rubah, srigala,
Tikus
Domba
Di antara nol-nol
Bagai Yang Satu

– Ali Shariati

Agama untuk kebebasan

Bagi Ali Shariati cuma ada dua sahaja agama dalam dunia ini.

Satu adalah agama penindas. Satu lagi, adalah agama orang-orang tertindas: agama orang muhajir, agama orang-orang yang melawan agama penindas, agama Firaun. Agama-agama yang lain dari dua ini sama ada tidak bersikap atau berkecuali.
Bagi Syari’ati, agama bukan sebagai kumpulan doktrin yang berdimensi ritual semata-mata. Menurutnya, agama adalah sumber lahirnya kesedaran (awareness), landasan akhlak, tanggungjawab dan kehendak bebas yang mampu menggerakkan pemeluk – pemeluknya menzahirkan kekuatan pembebas dari ketentuan – ketentuan yang dipaksakan sertai ideologi-ideologi politeis yang menindas.

Syari’ati berpandangan bahawa Tauhid tidak sekadar memperbincangkan tentang ranah keilmuan dan falsafah, bahkan Tauhid adalah lebih daripada itu.

Bagi Syari’ati, Tauhid dimulakan dari pemahaman yang ilmiah. Agama membuka kesedaran terhadap falsafah dan analisa tentang Tuhan yang menuju kepada pembebasan kemanusiaan universal dari berhala diri dan berhala sosial.

Tauhid adalah tiang sendi ideologi pembebasan yang menegasi segala bentuk diskriminasi menuju pada kesetaraan darjat semua manusia. Tauhid di tangan Syari’ati menjadi sesuatu yang organik, yakni satu semangat melawan kezaliman dan penindasan berdasarkan pada nilai – nilai keadilan. Dalam pandangan Syari’ati, Tauhid adalah pembebasan, kesetarran dan keadilan sejagat.

Agama dalam kebebasan

Agama bukanlah sesuatu yang boleh dipaksakan kepada sesiapa. Lakuum diinuukum waliyadin. Agama merupakan sesuatu yang personal dan agama hadir hasil kerelaan sesuatu individu atau masyarakat. Ia tidak boleh dipaksa oleh mana – mana daulah, kerajaan, khalifah, sultan, undang – undang, jabatan itu, jabatan ini, ustaz – ustazah, mahupun ibu bapa.

Agama yang datang dengan cara paksa adalah seperti rogol. Orang yang memeluk Islam secara paksa, adalah orang-orang seperti mangsa rogol, yang akan trauma dan sampai mati, menyumpah tragedi yang dipakukan kepada dirinya.

Ini penting untuk diingatkan, bahawa sekalipun agama seperti dikatakan Syari’ati berupaya menjadi ‘motor’ (engine) yang mampu menjadi pemangkin untuk membebaskan umat manusia. Tetapi agama juga akan menjadi suatu kuasa yang merbahaya apabila menjadi kemapanan, apabila menjadi status quo, menjadi sebuah hukumah, menjadi sebuah daulah, agama itu berpotensi untuk membinasakan umat manusia.

Sekonyong – konyongnya, datanglah seorang lelaki (ahli parlimen Belanda) bernama Geert Wilders beberapa tahun dulu, dengan provokasinya, dia ada mengatakan:

‘I have nothing against the people. I don’t hate Muslims. But Islam is a totalitarian ideology. It rules every aspect of life – economics, family law, whatever. It has religious symbols, it has a God, it has a book – but it’s not a religion. It can be compared with totalitarian ideologies like Communism or fascism.’

Agak mengecewakan, seorang ahli parliament, dari negeri barat, yang katanya lebih maju, lebih berperadaban dari negeri-negeri dari timur, yang kononya tidak bertamadun memberikan pandangan yang tidak matang tentang Islam.

Sentimen anti-Islam, sentimen berasas?

Tetapi, serangan Wilders sekalipun tidak matang mempunyai asas. Asasnya adalah orang – orang Islam tidak mencerminkan agamanya dengan baik. Orang – orang Islam, sebagai duta Nabi tidak menjalankan kerja para Nabi.

Sebaliknya mereka gilakan Islam gaya khalifah, gaya Muawiyah yang tidak mahu berdialog, tidak mahu berbincang, tidak mahu bermuzakarah dan hanya mahu menang, dan tunjuk taring kekuasaan. Memang padanlah lahir orang – orang jahil menentang Islam. Mereka adalah pantulan kembali zaman Islam yang betul betul berbeza dengan ideal yang disarankan Shariati.

Tanyalah orang – orang Islam, yang bergelumang di jalan dakwah, yang terlibat dengan parti pemerintah, yang belum memerintah tetapi bernafsu untuk memerintah (seperti PAS, seperti Hizbu Tahrir, seperti Ikhwanis) apakah bentuk Islam yang mereka damba – dambakan?

Bukankah mereka mahukan Islam sebagai ad-din wad daulah, yang mana Islam menjadi sebuah sistem pemerintahan dari suatu negara, yang bukan hanya berusaha mengawal segala aspek masyarakat, tetapi juga selalu berusaha menentukan nilai – nilai baik dan buruk, kepercayaan, anutan dan faham sesebuah masyarakat.

Cabaran Muslim masakini

Orang – orang Islam, tidak mahu memanfaatkan ‘zaman dingin’ ini untuk berhujah, untuk melawan idea dengan idea, untuk bertarung tanpa khalifah, untuk bertarung dengan hujah, menggunakan alat yang disediakan dalam demokrasi.

Dalam langit terbuka, dalam global village ini, dalam dunia yang sudah hilang segala sempadan Islam harus dizahirkan dengan kemas dan mendalam. Mereka takut dan tidak berani untuk bertanding menggunakan kebebasan dan wacan meluas dan kritis tidak ada dalam kamus pemikiran orang Islam khususnya di Malaysia.

Segalanya mahu diselesaikan dengan pedang kekuasaan (saif ad daulah) untuk membanteras siapa – siapa yang tidak sekufu dengan mereka. Mereka lebih selesa menggunakan mantiqul quwwah (logika kekuatan) berbanding quwwatul mantiq (kekuatan logic) untuk beradu dengan sesiapa yang berbeza dengan mereka.

Totalitarian Islam masih berleluasa

Contohnya berlambak di Malaysia. Baru baru ini: menceroboh perkahwinan seorang Hindu dan isu rampas mayat seorang beragama Buddha oleh penguatkuasa jabatan agama hangat diperbincangkan.

Mengapakah jabatan-jabatan ini tidak mahu belajar dari Fikrah Shariati, yang mengaitkan Islam dengan semangat kebebasan dan kesetaraan?

Mengapakah jabatan – jabatan Islam ini, terutamanya JAWI dan JAIS yang sangat samseng, tidak memikirkan panjang apakah kesan yang akan berlaku di masa hadapan? Agama akan dilihat sebagai senjata kepada sesiapa yang berkuasa untuk memijak kepala mereka yang berbeza.

Sekiranya orang itu memilih Hindu, Kristian atau menjadi Ateis sekalipun, apakah dia kena dimalukan sedemikian rupa? Apakah dia akan didiskriminasi kerana memilih idea atau keimanan yang berbeza?

Apakah agama merupakan sesuatu yang deterministic, yang telah ditentukan semenjak di alam ruh lagi, semenjak azali lagi, kena menjadi seorang Islam, seorang Sunnah, walaupun tidak suka? Bukankah ini menunjukkan Islam seolah-olah benar ditegakkan dengan jalan paksaan?

Mana pula JAIS – JAWI – JAKIM nak lempar ‘qul ja’al haq wa zahaqal bathil, innal bathila kana zahuqa’? Apakah Islam itu terlalu lemah, sehingga tidak mempunyai kekuatan untuk berhujah?

Dalam suasana sebegini semangat perjuangan dan pembebasan Islam harus ditemukembali. Malaysia memerlukan Shariatinya sebelum kita terhumban lebih dalam kekegelapan di mana agama hanya alat untuk kuasa-kuasa tertentu untuk membuli golongan yang tertindas.         unnamed

]]>

Pusat Gelandangan Dunia Putra

Siapa gelandangan? Gelandangan ini ertinya yang tidak tetap tempat tinggal dan pekerjaannya. Gelandangan tegar tidak punya rumah dan pekerjaan. Golongan ini merempat di Kuala Lumpur sekali-sekala menyewa bilik dalam sekitar RM 25 sehari dan jika tidak berkemampuan, mereka bergelandangan, siang merayau mengemis atau membuat kerja-kerja dengan upah murah, malam tidur di kaki lima atau di bawah jambatan. Tiada akta khusus mengawal gelandangan. Gelandangan yang ditahan pihak berkuasa biasanya dikategorikan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Kesihatan Mental 2001 dan Akta Orang Papa 1977. Di bawah Akta Orang Papa 1977 (yang perlu disemak semula) mengemis merupakan kesalahan. Ini termasuk perbuatan yang mendorong kepada pemberian sedekah, sama ada atau tidak terdapat apa-apa perbuatan berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya. OKU pun dilarang menjual tisu. Serbuan Aku difahamkan pihak berkuasa kerap melakukan serbuan dan menangkap gelandangan. Wakil Kechara selalu turun ke padang, bertahun sudah lamanya, memasuki ceruk-ceruk kota dan memberi makanan, begitu juga dengan NGO-NGO lain. Mereka kenal muka-muka gelandangan. Yang tidak berapa masuk akal adalah, orang-orang yang ditangkap minggu ini, contohnya, akan ada semula bergelandangan minggu depan. Jumlah mereka tidak pernah berkurangan. kalau 200 orang ditangkap dalam satu sesi contohnya, seharusnya jumlah gelandangan turun 200. Tak kan lah dengan begitu cepat wujud 200 gelandangan baru menggantikan yang ditangkap? Kalau begitu Kuala Lumpur seharusnya lebih banyak gelandangan daripada jumlah orang yang berpekerjaan dan bertempat tinggal. Bila ditangkap, gelandangan ini akan dikelaskan mengikut masalah-masalah mereka dan dihantar kepada jabatan-jabatan bertanggungjawab. Maka mereka sepatutnya tiada di jalanan. Katakanlah jabatan-jabatan pemulihan, institusi kebajikan, atau lokap sudah penuh oleh kerana itu mereka kembali atau dikembalikan ke jalanan, maka adakah patut kita berpeluk tubuh mengatakan sudah tidak ada tempat? Atau patutkah lebih banyak pusat penempatan dibina untuk mereka? Macam mana kita mahu mengatasi masalah ini dalam 5-10 tahun akan datang pula? Masalah sistem bukan individu Golongan gelandangan akan sentiasa bertambah. Kerana orang yang jatuh ke tahap papa akan sentiasa bertambah. Ini kerana kemiskinan semakin menjadi-jadi. Populasi manusia semakin bertambah, bandar semakin sempit, harga rumah semakin mahal, harga barang-barang keperluan semakin naik, kos sara diri, perubatan, serba-serbi semakin mahal, orang-orang sakit jiwa kerana kesempitan hidup makin bertambah, kadar merantau ke bandar pun semakin tinggi. Yang tidak naik adalah gaji. Aku difahamkan dari gelandangan yang cuba mencari pekerjaan sendiri yang banyak syarikat yang mengambil pekerja tidak melaksanakan gaji minima, bahkan ada yang mengadu tidak dibayar gaji atau ditipu jumlah gaji. Kebanyakan dari gelandangan adalah yang tidak punya pekerjaan. Seorang gelandangan mengatakan perlu gaji sekurang-kurangnya RM1500 untuk menyara diri dan keluarga kecil. Antara punca-punca orang bergelandangan adalah masalah ketagihan dadah. Walaupun ini bukan golongan yang paling ramai, dan golongan paling ramai adalah yang tak berpekerjaan, tapi masalah tidak berpekerjaan dan ketagihan dadah berkait rapat. Sukar bagi bekas penagih mencari pekerjaan. Memang biasa majikan tidak mahu mengambil pekerja yang mempunyai masalah dadah kerana tidak mahu terlibat dengan komplikasi yang bakal terjadi. Ya, memang wajar kerana tempat meraka di pusat pemulihan. Malangnya bekas penagih pun sering ditolak bekerja kerana stigma yang melekat pada mereka. Tapi bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah ini? Soalannya lagi tempoh pemulihan untuk penagih dadah mencukupi kah atau perlu dipanjangkan? Dan setelah penagih-penagih ini dilepaskan, wajarkah mereka dibiarkan begitu saja? Kebanyakan bekas penagih akan kembali ke keadaan lama mereka kerana tidak diterima dalam masyarakat dan sukar mendapat pekerjaan bagi menyara diri. Situasi itu mengembalikan mereka ke jalanan dan mendekatkan mereka semula pada dadah, kemudian mereka ditangkap semula, dilepaskan, dan kembali ke jalanan. Ia adalah sebuah vicious cycle! Akta dadah perlu disemak dan AADK pun harus kerap turun padang. Dan kita tidak tahu siapa dalang-dalang di belakang industri dadah ini. Polis lebih mengetahui. Yang pastinya tokey-tokey ini bukan gelandangan, bukan miskin, bukan golongan kelas pertengahan pun. Siapa akan bela mereka? Setiap gelandangan itu punya punca kenapa dia bergelandangan. Tiada siapa yang suka bergelandangan, suka tidur di tepi jalan dalam kesejukan dan menjadi makanan nyamuk dan pelbagai kutu hama dan bakteria. Tiada siapa yang suka dijangkiti penyakit dan dan tiada yang selesa hidup meminta-minta. Walaupun NGO banyak memberi makan kepada gelandangan, terlalu naif kita mengatakan atas alasan itulah mereka selesa bergelandangan. Mereka tidak dapat bersaing dengan kepesatan pembangunan bandar dan harga tinggi yang terpaksa dibayar untuk berjalan seiring dengan kepesatan itu. Dan sentiasa akan ada orang-orang yang akan kalah dalam persaingan sengit yang didokongi Kapitalisme ini. Meminjam kata-kata wakil Kechara, “kami ada kerana mereka ada, dan kerana jumlah mereka makin bertambah. Kalau kami tidak memberi, apa nasib mereka?”. Kami juga berbicara tentang orang-orang yang dulunya sukses dan kini bergelandangan. Kemudian kami setuju yang tidak mustahil kami berdua pun boleh jatuh ke jalanan jua akhirnya. Hakikat mereka Rata-rata gelandangan di Jalan Petaling dan Jalan Imbi adalah orang-orang tua. Mereka adalah orang-orang yang kebanyakannya ditinggalkan atau meninggalkan keluarga. Semakin meningkat umur mereka semakin kurang kemampuan bekerja. Rata-rata mereka ini juga bekas tentera dan pekerja kerajaan, dan sebahagian lain yang sudah habis diperah syarikat-syarikat swasta sehingga sudah tidak mampu menyumbang kepada target produktiviti yang dikejar-dikejar sang CEO. Mereka keseorangan dan ada yang sudah tewas mempertahankan kewarasan akal. Di Chow Kit ramai kaum wanita dan anak-anak. Di Kotaraya pula tempat gelandangan imigran berkumpul. Mereka adalah warga-warga asing yang terdampar. Mereka pun ada cerita mereka. Ada banyak lagi kategori gelandangan yanng menghuni jalanan Kuala Lumpur. Golongan yang sakit melarat, kurang upaya, lari dari rumah, masalah keluarga, kemurungan, berpendapatan rendah, ketagih arak dan judi. Semuanya memerlukan pendekatan pemulihan yang berbeza dan mempunyai latar sejarah yang pelbagai. Ada banyak punca yang mengheret mereka ke jalanan, bukan kemalasan semata-mata. Yang pastinya, mereka semua adalah produk sebuah masyarakat yang gagal, bahan buangan sistem ekonomi dan sosial yang pincang. NGO? Kechara bersetuju bahawa NGO-NGO perlu bekerjasama, perlu ada kesatuan bagi melicinkan kerja bahkan mereka sendiri pun mengalu-alukan sukarelawan untuk menyertai mereka atau mendapat pengkaderan melalui mereka. NGO-NGO baru juga perlu belajar bekerja dengan cara yang betul. Ada ‘dos and don’ts’ dalam aktivisme membantu gelandangan yang perlu difahami setiap sukarelawan. Kechara juga selama ini banyak berurusan dengan badan-badan kerajaan. Selain memberi makan, mereka juga menolong menyalurkan gelandangan ke arah pihak berwajib yang berkenaan, sesuai dengan keperluan dan kondisi gelandangan. Mereka juga punyai mobile clinic yang menyalurkan bantuan perubatan, selain menolong gelandangan rakyat tempatan mendaftar pengenalan diri dan mengganti kad pengenalan. Aku berpendapat NGO-NGO juga perlu fahami masalah sistem ekonomi sedia ada ini dan wujud satu kesatuan dalam suara menyeru fokus ke arah kebajikan masyarakat dan polisi sosial kerajaan yang lebih bijak. Perlu wujudkan kesedaran di kalangan masyarakat bahawa gelandangan dan miskin tegar ini lahir mereka pun daripada sifat tamak haloba masyarakat dan ‘rat race’ yang dikelola Kapitalisme. Punca-punca yang lebih besar ini harus diberi perhatian supaya kita tidak bermain di gigi air sahaja, menunggu ombak krisis ekonomi datang dan menelan kita semua. Yang kelas menengah akan jatuh ke kelas bawahan dan yang sedia di kelas bawah akan jatuh bergelandangan. Masyarakat perlu sedar yang kemiskinan adalah penindasan. Ia bukan pilihan dan bukan secara gampang boleh disebut sebagai ‘takdir’. Masalah ini lebih besar dari sekadar ‘orang-orang miskin yang menjejaskan imej bandar’.         unnamed  

]]>