Apakah yang berubah setelah Rang Undang-Undang Kebencian kaum dan agama?
Tanpa memperkecilkan usaha Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) menggubal dan membawa Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama ke Parlimen, satu pertanyaan yang mendalam perlu diajukan; apakah khutbah Jumaat yang memomokkan penganut Syiah dan Kristian akan terlepas dari senarai kebencian?
Terdapat banyak contoh sedia ada bagaimana khutbah Jumaat menjadi sumber kebencian dan ini dilakukan oleh agensi kerajaan (State) atas nama agama.
Penggubal Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama wajar mengambil kira Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013) yang ditawarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia sudah memadai untuk dijadikan panduan untuk mengenalpasti apakah yang wajar dinamai sebagai ‘kebencian dan hasutan’ dan apa pula yang boleh dikategorikan sebagai ‘kebebasan bersuara’.
Apakah yang terkandung dalam Pelan Tindakan Rabat?
Pertamanya, ia menyediakan polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai ‘kemerdekaan bersuara’ dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif (lihat Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights. 2012. Rabat Plan of Action on the prohibition of advocacy of national, racial or religious hatred that constitutes incitement to discrimination, hostility or violence. Rabat: Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR). Halaman 6-7).
Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan;
i. Konteks;
Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.
ii. Pengucap;
Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenalpasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.
iii. Niat;
Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.
iv. Kandungan dan bentuk;
Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.
v. Keluasan;
Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.
vi. Potensi risiko.
Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran .
Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, tidak syak lagi khutbah jumaat berjudul ‘Rasulullah saw Kekasih Allah’ bertarikh 25 Januari 2013 adalah seruan kepada kebencian. Intipati khutbah menyamakan mereka yang menuntut penggunaan kalimah Allah untuk non Muslim sebagai ‘musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam’. Justeru tidak menghairankan khutbah tersebut disambut dengan rasa kurang selesa daripada masyarakat Kristian tempatan.
Rev Fr Simon Labrooy dalam satu laporan media menyatakan kekesalan kerana ada individu di dalam Jabatan Kemajuan Agama Islam yang cenderung untuk ‘mengisytihar perang’ dan berfikir untuk perpecahan berbanding ‘perpaduan’ (lihat Clara Chooi. 2013. Friday sermon irks local church leaders as Allah row rages on. The Malaysianinsider. 26 Januari.)
Demikian juga khutbah Jumaat di Selangor bertarikh 6 April 2012 yang menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul ‘Penyelewengan Syiah Di Malaysia’ tersebut menyatakan, antara lain ‘Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini’ . Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang serius, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961.
Adakah Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama dapat mengheret Jabatan Agama Islam termasuk para menteri atau ketua agama Islam sendiri sekiranya kebencian terhadap agama secara kolektif dilakukan atas nama agama seperti berlakunya di mimbar masjid?
Feminisme: Menjanakan hak asasi untuk semua
Titik permulaan feminisme Seperti yang digambarkan sebelum ini, feminis ialah seseorang yang mempersoalkan struktur kuasa patriarki dan mencabar wacana kelelakian (masculinist) yang dominan. Dari sudut ini tidak hairanlah jika kita akan Nampak ramai tokoh-tokoh yang boleh digelar “feminis” dalam sejarah dunia. Tetapi ini tidak akan jelas begitu sahaja. Malah sejarah lazimnya dilihat daripada sudut pandang lelaki. Kesedaran feminis yang berkembang sedikit demi sedikitlah yang menimbulkan pemahaman tentang bagaimana suara dan peranan wanita diabaikan —tidak direkod, tidak ditulis, tidak diiktiraf – dan cara ia boleh dikemukakan dan dipaparkan ke dalam wacana sejarah yang lebih inklusif. Perkembangan Feminisme Pergerakan hak-hak wanita feminis (dengan segala feminisme yang berbeza) telah berkembang menjadi salah satu pergerakan yang pelbagai yang meliputi isu-isu yang luas termasuk isu-isu wanita pribumi, isu-isu alam sekitar, isu-isu golongan trans (kedua-dua mak nyah dan lelaki trans), golongan Dalit (kasta yang paling rendah di India), pekerja seks, wanita kurang upaya, dan isu golongan tertindas dan terpinggir yang lain. Namun walaupun mereka berbeza dalam kerja gerakan mereka, mereka serupa dalam azam supaya masyarakat tidak menghasilkan semula politik ekstrim dan hierarki kuasa yang mereka lawan. Ini aspek intrinsik sebagai seorang feminis. Setiap feminis ialah seorang aktivis hak asasi manusia. Feminis kena berkelakuan secara konsisten merenung tentang kelakuan dan pendirian mereka supaya konsisten dengan kerangka hak asasi. Ini secara tidak langsung akan mencerahkan kebolehan mereka dalam membantu golongan yang terpinggir. Renung diri Dalam itu apa yang penting adalah kecenderungan semula jadi dan motivasi untuk sentiasa menyoal diri. Seorang aktivis semestinya peka tentang mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Contohnya dia harus renungi jika kelakuannya sebagai seorang majikan tidak menggandakan penindasan terhadap pekerja, atau sokongannya terhadap sesebuah parti atau tokoh agama tidak akan membawa kepada pemiggiran golongan-golongan tertentu. Sensitiviti terhadap implikasi di sebalik setiap pilihan yang kita lakukan sebagai feminis harus disedari untuk mengelak daripada terkait dengan system yang menindas. Mereka sedar bahawa permasalahan isu penindasan wujud pada detik detik halus kehidupan harian yang dianggap “normal”. Ini secara langsungnya mengiktiraf bahawa sumber ilmu bukan terletak pada ahli politik, agamawan atau badan-badan tertentuk tetapi dalam pengalaman setiap insan yang melalui hidup. Feminisme mengajak ke arah demokratisasi “ilmu” dalam kerangkanya . Ini disamping menggunakan mekanisme konkrit untuk penyertaan semua secara saksama untuk menghasilkan pengetahuan-pengetahuan baru tentang masyarakat. Feminisme peka terhadap yang terpinggir Dalam itu pejuang hak wanita feminisme menumpu perhatian kepada isu yang diabaikan dalam wacana awam. Misalnya, hak wanita untuk bekerja, isu gaji setara, pemilikan harta dan tanah, kerja rumah tangga yang tidak terbayar dan sebagainya. Ini termasuk juga isu yang tidak diiktiraf atau sukar mendapat pengiktirafan daripada orang ramai. Contohnya, feminis di Malaysia bekerja keras selama 12 tahun untuk memastikan keganasan rumah tangga adalah satu jenayah di negara ini. Masih dipejuangkan adalah isu rogol bini (marital rape) dan penderaan seksual kanak-kanak (termasuk kanak-kanak lelaki). Tidak dilupai adalah isu penderaan seksual lelaki. Ramai feminis sedar bahawa rogol tidak sahaja berlaku kepada wanita, tetapi juga kepada lelaki. Namun, apa yang terkandung di dalam rang undang-undang di negara ini hanya untuk melindungi perempuan. Yang aneh yang pernah diperhatikan adalah lelaki yang menganggap diri mereka feminis tidak mendapat ruang dalam sistem patriarki tetapi menikmati ruang bersuara yang lebih kuat di gelanggang pergerakan wanita feminis. Perkembangan wacana feminis berpotensi untuk menjana satu kesedaran yang lebih luas tentang isu isu di atas.
]]>Isu Gelandangan: Kenali Akta Orang-orang Papa 1977!
Klik link ini untuk Fact Sheet yang disediakan Food Not Bombs!
]]>Ramadan dan virus konsumerisme
Adakah umat Muslim memerlukan Santa Claus? Menerusi makalah ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam, khasnya sekarang iaitu bulan Ramadan. Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadan yang wajar dikejar. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca. Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; seperti pakaian keAraban dan sebagainya. Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”. Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme, kadang-kadang perkara sama berlaku dikalangan Muslim: biasa didengar bagaimana sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos-kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks! Malah makanan yang tidak dapat dihabiskan, yang lazimnya bertimbun di buffet-buffet tersebut akan dibuang sahaja, atas alasan hak milik peribadi pemilik hotel. Bukan suatu yang rahsia, sebahagian pihak terjebak dengan hutang keliling pinggang hanya kerana “tidak mahu kalah” semasa hari raya, iaitu setelah sebulan perjalanan spiritual yang seperti tiada apa-apa. Mesej berjimat cermat, membantu orang memerlukan, kesamarataan manusia, persaudaraan kemanusiaan dan mesej utama ketakwaan (yang mana menurut Islam; ketakwaan itu ringkasnya ialah “menjaga hubungan dengan Tuhan dan memperbaiki kualiti hubungan dengan manusia dan kehidupan”) terabai begitu sahaja. Ramadan: Renung diri atau jual beli? Beberapa perenggan di atas merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu yang jelas dilihat praktis-praktis keagamaan dalam Islam ialah ia sentiasa akan dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tak sepatutnya. Akibat ragutan itu, ia menjadikan Ramadan bukan lagi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding bulan-bulan lain. Ramadan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan. Berhubung mereka (para politikus), sekalipun atas nama “berbuka puasa” dan apa-apa upacara keagamaan, persoalan berapa dan dari mana belanja dikeluarkan perlu sentiasa ditanya. Kembali kepada makna agama Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme mengeruhkan lagi keadaan. Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?. Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian: “Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for some lessons and warnings.” Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita persoalan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam faham kita tentang Ramadan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadan dan amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak kepada melihat kembali apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadan ialah satu usaha mengelak kehampaan makna berlangsung serius, selain menolak akhirnya hal-hal keagamaan menjadi bahan paling laku untuk diniagakan. Teladan daripada Ibn Tufail Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masharakat yang sudah hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperoleh sepanjang berada di pulau. Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masharakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi. Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama. Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman di mana perindustrian merupakan segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan praktis beragama, salah satunya Ramadan dan puasa. Ramadan dan puasa hanya contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti Ramadan.
]]>Ini bandar kita
Gelandangan bekerja Kenapa tak mampu beli rumah? Fikir sendiri lah. Ini bukan sains kejuruteraan DNA babi yang memerlukan satu negara memerah otak di Facebook selama berminggu-minggu. Gaji ciput, kerja berjam-jam. Gelandangan bukan tak bekerja, mereka bekerja. Cuma faham-faham lah, mereka bukan loyar, majistret. Gaji minima tak dipantau, ramai pekerja yang masih ditipu majikan, dan pendidikan tentang hak pekerja masih sangat rendah, lebih-lebih lagi dikalangan yang miskin dan tak berpelajaran ini. Yang tempatan pula perlu bersaing dengan pekerja asing lagi. Kemudian yang menerima upah mengikut kadar waktu bekerja yang terlalu pendek, mereka pun sama malang. Mudah menyuruh mereka melakukan dua, tiga pekerjaan dalam sehari (macam lah kita yang bercakap ni mampu), dan bukan tiada, ada yang melakukannya. Tapi mana ada majikan akan memberi kerja menurut kelapangan masa si pemohon kerja? Jadual kerja bukan mengikut suka hati si pemohon. Gelandangan dibenci Ini belum lagi kita sentuh tentang diskriminasi majikan kepada gelandangan. Majikan akan memilih calon yang beralamat tetap, dan sudah tentu yang tampak pun kemas ketika temuduga (sesuatu yang bukan mudah dilakukan untuk orang yang tidak bertempat tinggal). Dalam banyak-banyak nama, si gelandangan akan jadi calon pilihan terakhir. Dan biasanya ada satu stigma yang melekat pada gelandangan ini bila mereka memohon kerja, mereka akan dipukul tabur sebagai ada masalah dadah, rekod jenayah, tidak boleh dipercayai, pencuri dan sebagainya. Dan memang ada yang pernah ada masalah dadah pun, yang itu lagi payah. Masalah pengangkutan, kesihatan, kecacatan fizikal, komunikasi (susah tak ada telefon!), rekod pekerjaan (kebanyakan gelandangan punya rekod tidak berpekerjaan atau punya tempoh tidak bekerja yang panjang selepas pekerjaan terakhir, mereka ini pun mudah jadi mangsa diskriminasi) juga menjadi faktor susah mendapat pekerjaan. Usaha ketara Yang pasti, bukan semua mereka malas. Masing-masing berusaha. Cuma mereka perlukan kasih sayang dan dorongan, perhatian dan bimbingan. Ramai mereka yang terpisah dengan atau dibuang keluarga, yatim, tidak berpendidikan tinggi, dipinggir dari masyarakat, membuatkan moral mereka jatuh. Mereka bukan ada penyokong macam kita yang ada anak isteri atau suami, kawan-kawan yang positif, pakar motivasi di Tv dan buku-buku bina sahsiah diri dan personality. Dunia di jalanan sangat berbeza dengan dunia kelas menengah dan tinggi. Maka di sinilah wujudnya gerakan-gerakan dapur jalan dan memperkasakan miskin bandar. Di sinilah peranan mereka. Satu, meringankan beban kewangan si miskin dan kedua menyokong mereka dari segi didikan dan moral. Tanpa gerakan-gerakan ini, jalanan itu benar-benar seperti neraka dunia. Soup kitchen, tapi sampai bila? Ketika tulisan ini dikarang, perang besar-besaran sedang dilaung-laungkan menentang fakir miskin dan gelandangan, juga ‘soup kitchens’ bandar Kuala Lumpur. Usaha-usaha sedang dilakukan untuk menyorok gelandangan di bawah permaidani merah bandar, entah sempena menuggu kehadiran siapa. Sejarah akan mencatatkan, para pembuat kebajikan yang biasanya dilihat sebagai penyantun dan penyayang akan bangkit melawan perintah Pak Menteri dan terus keluar seperti biasa memperkasakan golongan miskin yang tertindas dek perniagaan tanah bandar, dan pemerdagangan golongan pekerja. Pak Man, yang sedar tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekelilingnya, terus didorong cita-citanya mahu memperbaiki kehidupan sendiri. Terus membayangkan pokok-pokok dan anak-anak ayam yang akan membesar di lamanya, dan terus tersenyum dengan telatah anak-anak muda aktivis yang kini sudah menjadi kawan-kawan baiknya, atau anak-anaknya. Dan di saat aku menulis ini juga, seorang ibu tunggal dalam lingkukan 30an baru sampai dari Ipoh, menjejak kaki di Kuala Lumpur buat pertama kalinya untuk bekerja di kota menara kembar malam tadi. Di sebalik riuh tetamu soup kitchen, dia menjengketkan kaki mencapai tinggiku, meninggikan suara dan berkata padaku “Beri sedikit masa, saya akan dapat kerja, nanti saya juga mahu tolong awak tolong orang” dalam pelat yang aku tak tahu nak kata Cina kah, Melayukah atau India. “Hiduplah kamu kaum wanita.” bisikku sendiri.
]]>Ateis, agnostik Melayu dan lain-lain: “Kita tidak keseorangan."
Penterjemahan Bahasa Melayu makalah oleh Dina Zaman yang berjudul ‘There are many of us. We just don’t tell people.’ ‘Awak fikir, siapa saya sebenarnya?’ Aku di ajak keluar minum kopi bersama teman yang baru sahaja aku kenali melalui laman sosial. Dia bertanyakan sedikit nasihat tentang projek yang sedang diusahakannya. Dia seperti remaja yang lain, seorang muslim yang taat pada suruhan agamanya dan memakai tudung. Tudungnya ringkas dan aku tidak rasa dia seorang hijabi yang bergaya. Petah berkata-kata dan dari loghatnya kelihatan seperti dia telah menghabiskan sebahagian masa mudanya di luar negara. Resume-nya amat mengagumkan. “Awak fikir, siapa saya sebenarnya?” tanyanya lagi. Aku tidak memberikan sebarang jawapan. Tetapi, otakku ligat memikirkan apa sebenarnya jawapan yang dia mahukan? Aku mengerakkan tanganku untuk memberi isyarat bahawa aku tidak memahami soalannya. Kemudian, dia berkata dengan tak semena-mena “Saya agnostik” Ligat otakku berfikir. Bagaimana seorang yang memakai tudung di depan ku ini adalah seorang yang agnostik? Bagaimana seorang yang tidak mempercayai agama tetapi memakai tudung? Seperti tidak masuk akal. Kali terakhir kejadian seperti ini berlaku adalah setahun lalu, dimana aku bertemu dengan dua orang wanita muda yang mengenakan tudung juga tetapi membuat pengakuan yang sebenarnya mereka berdua mempunyai hubungan intim bersama. Kemudian, 2 tahun yang lalu, aku juga bertemu dengan seorang dua yang menawarkan dadah kepada aku. Dan kali ini, ini pula! (Aku tertanya-tanya apa pula pengakuan bagi hijabis yang lain) Dengan tenang aku bertanya “Apa beza antara atheist dan agnostik?” “Saya masih percaya kepada Tuhan, tetapi bukan dalam kerangka mana-mana agama. Sedangkan atheist mengutuk atau tidak percayakan tuhan.” Jawabnya. Dia memakai tudung hanya untuk membuatkan keluarganya tenang dan sebagai cara untuk melindungi dirinya daripada diketahui. Tambahnya “Sebenarnya, ramai antara kita yang sebegini. Cuma, kami sahaja tidak memberitahu pada orang lain.” Dia adalah hasil daripada pendidikan sekolah agama rakyat dan menuntut di universiti yang baik pendidikannya. Kawan-kawanya juga terdiri daripada latar belakang yang hampir serupa. Segalanya bermula apabila dia mula berkerja dan bergaul dengan ramai orang, termasuklah Muslim yang berlainan latar belakang. Mereka mula bertanya. Mengapa terlalu banyak kebencian? Sedangkan ramai orang-orang yang baik di luar sana. Teman baru ku ini mampu untuk mentafsir al-Quran di mana kebanyakkan Muslim tidak mampu berbuat demikian. Kemahiran berbahasa arabnya sangat tinggi dan disebabkan oleh kemahiran linguistiknya yang tinggi itu dia mampu untuk mengetahui selok belok dalam penggunaan Bahasa Arab. Aku bertanya kepadanya, adakah dia hanya kecewa dengan Muslim yang lain, tetapi bukannya pada agama secara spesifik? Jawabnya, “Tidak!” Dalam perjalanannya, mencari kedamaian dan keimanan, dia lebih tenang berada di kawasan beribadat golongan yang bukan beragama Islam. Mata ku terbeliak. “Lebih baik awak tidak membuat pengakuan kepada masyarakat di Malaysia” pesan ku. *** Aku pulang ke rumah, semuanya tertarik dengan wacana baru yang diterbitkan. Petang itu, sepupu ku, Justin Johari berkongsi di laman Facebook nya tentang sebuah artikel yang didapati di laman web Salon.com yang bertajuk “Atheism explodes in Saudi Arabia, despite state-enforced ban.” Artikel tersebut telah jelas memberitahu: semakin banyak rakyat Saudi yang semakin tidak mengakui imannya secara senyap-senyap. “Idea untuk menjadi seorang yang tidak beragama mahupun tidak mempercayai tuhan semakin tersebar luas dan ini adalah kerana terdapat banyak percanggahan berkenaan kata-kata para agamawan dengan apa yang mereka lakukan.” Dan ini juga apa yang dikatakan oleh teman baru ku tadi. *** Seminggu sebelum pertemuan ini, aku bertemu dengan seorang teman yang ingin berbincang tentang negara Islam di Malaysia. M ialah seorang yang bersederhana tetapi bila berbicara soal iman, dia menganggap dirinya sebagai konservatif. Dia antara kenalan ku yang dapat melihat prinsip yang lebih utama daripada perkara-perkara cabang walaupun pegangan agamanya sebegitu. “Saya sudah berjanji akan beritahu siapa mereka” katanya semasa makan tengah hari. Suasana di restoran itu sungguh bising dan kami dihidangkan makanan di restoran hipster yang berpatutan harganya. Adakah aku pernah dengar tentang Orang Matahari? Apa, Orang Matahari? Beberapa tahun yang lalu, dia bersama keluarganya pulang ke kampung untuk menghadiri majlis pengembumian. Di sanalah dia pertama kali mendengar tentang Orang Matahari, orang Melayu yang rupanya seperti orang kebiasaan, mengaku sebagai Muslim tetapi tidak. “Mereka tidak solat seperti kita solat. Maksud saya, mereka tidak menunaikan solat sekalipun. Tetapi mereka sembahyang di dalam hati.” Dia melihat perkara ini sebagai sebuah perkara yang parah bagi negara kita dan ini yang membuatkan dia berasa bimbang. Aku melihatnya dan yang aku kenali dia bukalah seorang yang reaktif. Dia seorang yang tabah. Tetapi dalam kes ini, dia sangat bersungguh-sungguh. Katanya, “Bagaimana jika salah seorang daripada teman kita adalah dari kalangan mereka? Seperti kita, Orang Matahari juga berkahwin dan melahirkan generasi mereka dan semua daripada mereka kelihatan sama sahaja seperti kita” Masyarakat Malaysia dalam keadaan yang bahaya. Semuanya bakal berpecah. Sekurang-kurangnya jika Kristian, Buddha dan lain-lain, mereka tahu di mana mereka berdiri. Tetapi kita yang Melayu ini, yang pada kad pengenalan dan borong-borang yang diisi memilih Melayu dan Muslim, sedangkan pada hakikatnya tidak. “Awak perlu pergi sendiri ke Kampung Seronok di Pulau Pinang. Di sana adalah salah satu pusat mereka.” Mataku merenung tajam. Nampaknya, Orang Matahari ini bukanlah sesuatu yang direka-reka. Yang selama ini aku ketahui hanyalah orang yang menyembah matahari, tetapi yang ini? Seperti teman baru ku itu, M mengatakan sesuatu yang serupa “Sebenarnya banyak kuantitinya. Cuma, mereka sahaja tidak menghebahkannya.”
]]>Indahnya Malaysia: Kemeriahan Ramadan
Tasawuf dan Satyagraha: Selari dalam perbezaan
Memaknai semula tasawuf Meskipun makna tasawuf itu berbeza-beza mengikut pendapat Ulamak, saya tidak berminat pemaknaan tasawuf yang hanya bersangkutan pencarian hikmah ilahiah yang tertinggi bersifat individualistik yang terpisah dari kerangka, pemaknaan dan fungsinya di dalam masyarakat. Di dalam konteks Malaysia, sebuah negara yang majoriti penduduknya umat Islam, saya kira dua perkara terpenting yang sangat memberi kesan kepada umat Islam ialah faktor akhlak dan kemampuan mengaitkan apa-apa teori, falsafah dan ideologi apa pun dengan Islam. Berbicara tentang demokrasi , kebebasan, keadilan, kemanusiaan dan apa sahaja pun jika tidak dikaitkan dengan galian dari dalam Al-Quran dan Sunnah, sukar bagi masyarakat umat Islam untuk menerimanya, kerana ia begitu asing, apatah lagi yang datangnya dari Barat. Fatima Mernissi, di dalam bukunya “Islam dan Demokrasi : Antologi Ketakutan” menjelaskan bagaimana Barat di dalam bahasa Arab disebut sebagai “gharb” yang bererti asing , tempat yang diliputi kegelapan, tempat matahari terbenam, dan sesuatu yang tidak diketahui itu selalunya menakutkan. Perkara ini menjadi jelas dalam wacana umat Islam yang sering saja ketakutan akan apa sahaja yang datang dari Barat yang di mana epistemologi dan ontologinya dikira cukup dikhuatiri mengelirukan umat Islam. Makanya membincangkan wacana-wacana falsafah Barat tanpa dikaitkan dengan khazanah Islam pasti menjadi suatu benteng bagi kebanyakan umat Islam mempelajarinya. Faktor kedua, yakni akhlak juga sesuatu yang sangat di”minati” oleh kebanyakan umat Islam. Tidak kira lah sehebat mana pun kita berbicara, berhujah dan berdebat, akan tetapi jika akhlak sang pembicara itu dilihat teruk dan tidak beretika, nescaya segala hujah-hujah rasional dan ilmiah kita akan tidak didengari. Begitulah cara kebanyakan umat Islam yang sering mengaitkan akhlak dengan keilmuan sedangkan mereka sangat mengetahui betapa ramai ilmuan-ilmuan dan agamawan yang akhlaknya baik dan penuh sopan santun akan tetapi korup dan bermuka-muka. Sedangkan pembunuh Sayidina Ali itu yang bernama Abdurrahman Ibnu Muljam juga merupakan seorang muslim yang rajin beribadah, berpuasa dan seorang hafiz Quran. Walaupun berakhlak baik bukanlah penyebab kepada keilmuan seseorang , ia bahkan menjadi aset terpenting bagi sesiapa pun yang ingin membawa wacananya ke ruang awam. Dalam konteks itu, pendekatan tasawuf sebagai akhlak bagi saya merupakan satu pendekatan yang wajar kita terokai sebagai bonus bagi membawa idea-idea yang berguna agar dapat disambut baik oleh masyarakat. Kiyai Said Aqil Siroj di dalam karyanya “Tasawwuf Sebagai Kritik Sosial : Mengedapankan Islam sebagai Insipirasi Bukan Aspirasi” menyatakan dengan jelas bahawa Islam perlu ditanggapi sebagai agama moraliti. Konsep keesaan Tuhan yang diturunkan kepada Nabi sarat dengan kesan terhadap sosio-politik keadaan masyarakat Arab Jahiliyyah yang melawan perhambaan manusia kepada manusia, pelbagai pencabulan ke atas hak asasi manusia dan penindasan terhadap golongan yang lemah. Siroj menerangkan lagi bahawa selain aspek akidah dan syariah yang merupakan elemen penting dalam Islam, ialah tasawuf. Beliau megatakan terdapat tiga sikap yang melampaui batas iaitu ghuluw yakni sikap dan respons yang berlebihan di luar batas kemanusiaan, tatharruf, yang didorong emosional keterlaluan dan irhab yang menjustifikasi kekerasan atas nama agama mahupun ideologi. Ketiga-tiga sikap ini saya kira( termasuk saya) sering kali kita amalkan apabila berwacana di media sosial dan tidak henti-henti menyebarkan kebencian antara satu sama lain. Termasuklah aktivis-aktivis, intelektual-intelektual, sama ada yang dogmatis atau pun progressif , sudah hilang tasawuf dan cinta dalam menyebarkan idea dan pendapat. Akhirnya kita terperangkap dengan sifat “self-righteous” dan egois (di mana yang berbangga seolah perjuangan “aku” sahaja yang betul, yang lain semua hipokrit) yang kita sendiri benci jika diamalkan pada diri orang lain. Pemahaman tasawuf yang positif dalam memberikan kesan sosial yang baik ialah segala perjuangan dan pemikiran kita menurut Kiyai Siroj, ialah satu pembawakan yang bersederhana, dakwah (ajakan) yang mengutamakan “qaulan karima” (perkataan yang baik), “qaulan maisura” (perkataan yang pantas), “qaulan layyinan” (perkataan yang lemah lembut), “qaulan baligha”(perkataan yang memberi kesan kepada jiwa) dan qaulan tsaqila (perkataan yang berkualiti) dan saya ingin menambah sendiri bahawa kesemua ini mestilah berdasarkan percakapan yang benar dan sebenar-benar percakapan yang jujur dan bukannnya menipu dan berselindung di sebalik akhlak yang baik. Lebih menarik lagi, Kiyai Siroj berusaha mengajak pesantren-pesantren supaya lebih progressif dan berubah menjadi agen transformasi sosial berpaksikan traditionaliti agama dan tasawufnya dalam mengejar apa yang disebut Al-Quran sebagai “khaira ummah” pastinya melibatkan pembangunan politik,sosial,ekonomi, sains dan teknologi dan segala macam bidang pengetahuan yang mesti dikuasi umat Islam. Sebagai contoh, matlamat pesantren yang di bawah Nahdatul Ulama (NU) di Indonesia yang memutuskan pada 1996 bahawa, kesemua pesantren mestilah bertindak sebagai ,1)lembaga pendidikan dan pengembangan ajaran Islam;2)lembaga perjuangan dan dakwah Islamiyah dan ;3)lembaga pemberdayaan masyarakat yang berkewajipan bergerak secara emansipatif dalam menjunjung masyarakat yang adil, harmonis dan demokratik. Mengambil ibrah dari Satyagraha bawaan Gandhi Konsep Satyagraha ini boleh difahami sebagai “non-violence resistance”. Ghandi menggabungkan satya yang beerti kebenaran dan agraha yang beerti ketegasan(firmness) yang berasaskan kepada satu-satunya kebenaran iaitu “non-violence”(Ahimsa). Ia merupakan suatu gerakan ketidaktaatan sivil. Suatu penentangan yang bersifat penuh cinta dalam ketegasan mempertahankan kebenaran bagi mencapai matlamat sosial. Saya ingin mengajak rakan-rakan menggunakan konsep Satyagraha ini dan menggabungkannya dengan tasawuf bawaan Islam dalam menerokai pendekatan wacana intelektual dan aktivism sehari-hari kita supaya ia berhasil bukan sebagai gerakan fizikal (bukan dalam konteks artikel ini) akan tetapi menjadi gerakan pemikiran progressif, emansipatif dan berbasis kemanusiaan bersifat penentangan yang kukuh dan mencabar pola pemikiran masyarakat yang kaku ini dipandu oleh tasawuf yang menyentuh nurani. Satyagraha bawaan Ghandi memerlukan disiplin yang kuat dan padu. Di dalam “Conquest of Violence: The Gandhian Philosophy of Conflict” tulisan Joan Valerie, Ghandi menekankan bahawa untuk melaksanakan Satyagraha, seseorang mestilah mempunyai keberanian yang cekal untuk mengamalkan tapasya, yakni “self-sacrifice”. Ia bukanlah bermaksud penentangan secara pasif yang membiarkan sahaja pihak lawan menabur fitnah, melakukan kekerasan, memperli, mengejek, menyebarkan aib dan sebagainya, akan tetapi suatu pengorbanan yang punya matlamat jangka panjang yang mana manfaatnya mungkin hanya boleh dirasai oleh orang lain atau generasi yang akan datang. Ini juga bermaksud, mungkin pengorbanan jiwa yang menahan kesabaran untuk tidak membalas kebencian dengan kebencian – tidak membalas cacian dengan cacian, fitnah dengan fitnah – tidak dapat dinikmati oleh mereka yang berkorban itu, akan tetapi untuk zaman anak cucunya pula menikmati hasilnya. Ghandi menyatakan: “Suffering injury in one`s own person is of the essence of non-violence and is the chosen substitute for violence to others. It is not because I value life low that I can countenance with joy thousands voluntarily losing their lives for Satyagraha, but because I know that it results in the long run in the least loss of life, and, what is more, it ennobles those who lose their lives and morally enriches the world for their sacrifices.” Kesimpulan Marilah kita sama-sama menilai kembali pendekatan kita dalam berwacana dan debat dan beralih kepada dialog yang benar-benar sihat di mana pertembungan konservatisme oleh agama mahupun ideologi dengan aliran yang lebih progresif dapat berlangsung tanpa kebencian antara satu sama lain dan pergelutan yang berlaku menjadi suatu yang positif dan bukannya menanam lebih ketidakpercayaan dan kesangsian yang tidak berasas. Ini kerana, jika kita tidak berhenti untuk saling mendengar dan saling memahami, saya yakin wacana pemikiran apa pun tidak berhasil memberi dampak positif yang kita idamkan. Kita sama-sama tidak akan boleh bergerak lebih jauh. Secara peribadi, saya telah melihat begitu banyak kebencian dari kecintaan. Saya penat dengan kebencian begitu juga anda. Ia memakan jiwa kita semua. Ayuh kita sama-sama fikirkan!
]]>