Projek Dialog

Mengapa Saya Mengajar Evolusi Kepada Pelajar Islam

Evolution Penterjemahan tidak rasmi “Why I Teach Evolution to Muslim Students” oleh Rana Dajani, terbitan www.nature.com. Diterjemah oleh Yana Rizal. Mengapa Perlu Mengajar Evolusi? Menggalakkan pelajar mencabar idea begitu penting untuk memupuk generasi saintis Islam yang bebas berfikir, kata Rana Dajani. Permasalahan sikap terhadap sains telah diimport ke dalam masyarakat Islam akibat globalisasi dan pemodenan yang pesat – sebagai contoh, penolakan teori evolusi. Namun ia juga merupakan peluang. Saya mengajar evolusi kepada pelajar-pelajar universiti di Jordan. Hampir kesemua daripada mereka menentang idea tersebut pada mulanya. Guru-guru sekolah mereka barangkali telah mengabaikan atau sekadar menyentuh subjek ini. Namun, kebanyakan pelajar masih terbuka untuk membincangkan evolusi, dan di akhir kursus ini, majoriti dapat menerimanya. Jikalau pelajar Islam mampu mencabar idea akademik yang kontroversi sebegini, maka mereka juga boleh menilai aspek-aspek kehidupan mereka dengan mempersoalkan keadaan yang sediakala – dan bukan hanya menerima secara membuta tuli. Kebolehan dan sikap begini adalah penting dalam pembentukan personaliti dan menjadi warga yang bertanggungjawab. Meyakini Islam & Evolusi Para pelajar sering terkejut. Saya memakai tudung, maka mereka tahu bahawa saya seorang yang mengamalkan ajaran Islam. Namun saya bersyarah menyokong evolusi sebagai mekanisme penjelasan tentang kepelbagaian dan perkembangan spesies. Malah mengiktiraf Charles Darwin sebagai saintis yang menyumbang kepada pemahaman kita tentang kemunculan dan kepelbagaian hidupan di bumi. Barangkali sayalah Muslim pertama yang mendukung teori ini kepada mereka. Sesetengah pelajar mengadu kepada universiti bahawa saya berdakyah menentang Islam. Namun pegawai-pegawai universiti berpuas hati apabila saya menunjukkan bahawa evolusi termasuk dalam subjek buku-buku teks yang telah diluluskan oleh universiti. Apa yang saya ajarkan adalah langsung daripada buku-buku ini. Saya memuji pelajar yang mengadu atas keberanian pendirian mereka, dan saya bersedia membincangkan kebimbangan mereka bersama-sama. Islam & Evolution Di Mana Percanggahannya? Apabila mengajar, saya berikan penjelasan terperinci evolusi alam tumbuhan dan pembiakan pilihan. Kemudian, kami membincangkan penentangan antibiotik, vaksin influenza dan perkembangan perubatan HIV. Setelah perbincangan ini, kebanyakan pelajar bersedia untuk menerima evolusi sebagai mekanisme penjelasan pembentukan semua spesies kecuali manusia. Ramai yang memetik bukti dari Al-Quran yang ditafsirkan bahawa Adam – dan kejadian manusia – diciptakan secara spontan. Evolusi manusia masih topik yang pantang kerana pelajar tidak bersedia untuk melepaskan konsep bahawa manusia diciptakan berbeza. Saya mengingatkan mereka bahawa Islam memberi amaran tentang keangkuhan, dan manusia hanyalah sebahagian daripada ciptaan. Sarjana Islam seperti Hussein al-Jisr dan Ahmad Medhat pada tahun 1880-an menyokong evolusi. Sebelum Darwin, al-Jahiz dan lain-lain mencadangkan teori asas evolusi pada abad kesembilan. Saya menjelaskan bahawa tanggapan kontroversi antara evolusi dan Islam hanya timbul pada abad kedua-puluh, apabila idea-idea Darwin dikaitkan dengan kolonialisme, imperialisme, Barat, ateisme, materialisme dan perkauman. Ulama Islam mula berpendirian menolak evolusi, dan kemudiannya diikuti awam. Para ulama menggunakan ideologi Kristian tentang penciptaan untuk menyokong pendirian mereka, sekaligus menyerap juga pergelutan antara sains dan agama di Barat kepada Islam. Sesetengah pelajar berhujah bahawa penerimaan evolusi bermakna penafian kewujudan Tuhan. Saya mengatakan bahawa evolusi tidak membincangkan asal-usul alam semesta. Tiada siapa lagi yang memahami permulaan kejadian. Bagi saya, permulannya ialah Tuhan. Setelah itu, kaedah-kaedah logik dan sains menerangkan perkembangan alam semesta dan seterusnya. Mendamaikan Sains & Agama – Ke Arah Kemajuan Dari pengalaman saya, ramai orang Islam terbuka untuk mempertimbangkan hal ini. Saya telah menemui beberapa saintis Islam yang setuju dengan pendirian saya, namun tidak secara terbuka kerana takut dilabelkan sebagai pencetus masalah. Sesetengah ulama juga bersetuju, namun ingin mengubah pendapat secara beransur-ansur, supaya tidak terus ditentang sekaligus membantut perkembangan. Pendapat saya, sebagai seorang saintis Islam, ialah Al-Quran menyuruh manusia untuk memerhati dan merenung hakikat dunia sementara mengejar ilmu. Ia tidak mengesahkan penemuan saintifik. Sains membolehkan kita mempersoalkan dan mengetahui bagaimana dunia berfungsi dan Al-Quran menyediakan panduan moral untuk menghadapinya. Jika timbulnya percanggahan antara penemuan sains dan tafsiran Al-Quran, maka kita boleh berbalik kepada kedua-duanya, sains (yang berubah dengan kemajuan) dan tafsiran Al-Quran (yang tidaklah sentiasa tepat, kerana ianya penaakulan manusia) sebagai punca perbezaan. Ini adalah proses yang berterusan, dan merupakan sebahagian daripada tujuan kehidupan orang Islam. head of soulTanggungjawab Pendidik Membuka Minda Sama ada seorang pelajar menerima konsep evolusi manusia ataupun tidak, bukanlah faktor dalam cara penandaan kertas peperiksaan mereka. Sebagai pendidik, objektif kami ialah membantu pelajar supaya bebas berfikiran sendiri. Saya tidak mahu pelajar-pelajar menulis bahawa mereka menerima evolusi hanya untuk lulus peperiksaan. Saya ingin mereka memberikan hujah untuk mencapai kesimpulan mereka, walaupun ia akhirnya menolak evolusi manusia. Jika tidak, maka ianya sama seperti orang-orang yang mengutuk evolusi: memaksa pandangan mereka keatas orang lain. Matlamat saya ialah untuk mengajar pembentukan metodologi rasional bagi menilai alam semulajadi dan menghasilkan pendapat, hipotesis dan teori sendiri, bukan hanya meniru yang lain. Ianya seruan untuk cara fikiran yang baru: perjalanan untuk menuntut ilmu, yang merupakan salah satu prinsip asas Islam. Jika kita berjaya dalam usaha ini, maka kita akan menyumbang kepada pembentukan generasi saintis Islam yang bebas berfikir. [Rana Dajani ialah profesor biologi molekul di Universiti Hashimiah di Zarqa, Jordan, dan merupakan sarjana pelawat di Institut Faraday, Universiti Cambridge, UK.]

]]>

Kolem 3D – Tradisi India di Zaman Baru

Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu[/caption] Kolem? Apa Simboliknya Orang ramai yang berkunjung ke pusat beli-belah MidValley menjelang sambutan Deepavali pada tahun lalu melahirkan kekaguman melihat rekaan kolem pelbagai warna bersaiz 18 x 4.5 meter (60 x 15 kaki) yang menghiasi ruang legar. Rasa hairan dan kagum bertambah apabila mereka menyedari bahawa individu yang mengusahakan kolem tiga dimensi (3D) itu adalah seorang pemuda berumur 28 tahun. Kreativiti yang digunakan oleh Ruben Prakash dan rakan-rakannya untuk menghasilkan lukisan kolem yang cantik dan berwarna-warni itu ternyata menarik minat pengunjung pelbagai kaum lebih mengenali seni rekaan kolem. Perkataan kolem dalam Bahasa Tamil membawa makna “indah” atau “cantik”. Penduduk di bahagian India Utara menggunakan istilah ranggoli yang biasa didengar dalam filem-filem Bollywood. Tradisi rekaan kolem pada lantai dan kaki lima di depan rumah menjadi amalan dalam kalangan gadis dan wanita kaum India sejak ribuan tahun dahulu. Amalan itu berbalik kepada ajaran dharma atau kebajikan yang menjadi salah satu perkara penting dalam Sanathana Dharma (Hinduisme). [caption id="attachment_4708" align="alignleft" width="400"]Beras hancur dicampur pewarna makanan Beras hancur dicampur pewarna makanan[/caption] Pada zaman dahulu, golongan wanita India lebih banyak menghabiskan masa membuat kerja-kerja rumah dan menjaga keluarga. Maka, peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti kebajikan (dharma) dalam masyarakat umum sangat kurang. Bagi mengatasi kekurangan itu, mereka mula mencipta corak kolem menggunakan serbuk tepung beras pada lantai. Senireka berwarna putih ini bukan hanya cantik dipandang, malah menjadi sumber makanan bagi serangga kecil, semut dan burung. Maka, golongan wanita juga berpeluang melakukan kebajikan yang dituntut dalam ajaran Hindu. Sejarah ini dijelaskan secara ringkas oleh Retna Devi Balan menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya keluaran September 1997. Katanya, selain daripada beras dan tepung beras, bahan-bahan lain yang selalu digunakan adalah kerisik kelapa, biji sagu, kacang hijau dan bunga. Menurut Ruben yang tinggal di Puchong, Selangor, ada juga pembuat kolem yang turut menggunakan rempah-ratus tradisional India seperti bunga cengkih, kayu manis dan serbuk kunyit dalam usaha menghasilkan kolem yang unik serta menampilkan kekayaan tradisi. “Saya menggunakan pewarna makanan untuk dicampurkan pada serbuk beras bagi menghasilkan corak pelbagai warna. Hal ini penting bagi memastikan bahawa tujuan asal rekaan kolem tidak terabai; iaitu memberikan makanan kepada serangga kecil dan semut,” kata graduan bidang reka bentuk grafik dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya. Ada juga kedai menjual serbuk kolem pelbagai warna yang dicampur bahan kimia. Corak kolem yang terhasil memang cantik tetapi selepas beberapa hari, bahan kolem itu terpaksa dibuang kerana serangga tidak akan memakannya. Maknanya, rekaan kolem itu hanya untuk hiasan dan tidak lagi memenuhi tujuan asal memberi makan kepada serangga dan burung. Tradisi Tidak Lupus di Tangan Pemuda [caption id="attachment_4712" align="alignleft" width="201"]Ruben memanfaatkan sepenuhnya bakat seni yang dipelajari semasa tinggal di Persatuan Pure Life Ruben Prakash[/caption] Apabila Ruben diundang membuat kolem khas di MidValley pada tahun lalu, dia memastikan hanya bahan-bahan asli digunakan. Maknanya, hanya beras hancur dan pewarna makanan yang selamat dimakan digunakan. “Awal-awal lagi saya sudah memberitahu pihak pengurusan bahawa apabila pameran berakhir beberapa minggu kemudian, beras warna itu jangan dibuang ke dalam tong sampah. Sebaliknya diberikan kepada serangga atau burung,” kata pemuda itu yang turut meminati bidang tarian, karate dan yoga. Ruben tinggal di Persatuan Pure Life, Jalan Puchong sejak berumur sembilan tahun. Pada waktu itulah saya mengenalinya apabila beberapa kali Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan aktiviti Baca Cerpen Kavyan dan Apresiasi Sastera Remaja. Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, Ruben tertarik untuk mempelajari tarian tradisional etnik Tamil iaitu bharatanatyam. Pemuda ini turut belajar joget, tarian kipas, kathak, ngajat dan kathakali. “Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, saya belajar sendiri teknik rekaan kolem asas menggunakan tepung beras. Kemudian, seorang sukarelawan wanita yang datang dari India mengajar saya cara-cara menghasilkan kolem yang pelbagai,” kata Ruben yang menggunakan daya kreativiti dan imaginasi bagi menghasilkan pelbagai rekaan dan corak kolem. Corak merak, bunga, lukisan abstrak, angsa, teratai dan wajah penari kathakali sering menjadi pilihan orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, upacara keagamaan atau sekadar hiasan pada majlis kebudayaan. Tidak ada saiz standard untuk rekaan kolem. Apa yang pasti, kolem biasanya berbentuk simetri. Kolem paling asas adalah dengan meletakkan empat titik pada lantai menggunakan serbuk tepung beras yang dicairkan dengan sedikit air. Kemudian, jari digunakan untuk membentuk corak garisan beralun mengelilingi titik-titik berkenaan. [caption id="attachment_4711" align="aligncenter" width="502"]Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas[/caption] Pada Mei 2003, sekumpulan 30 pelajar pelbagai kaum dari Kolej Prime USJ (kini Kolej SEGi) menghasilkan kolem 102.5 x 1.2 meter. Kolem dengan motif merak itu menggunakan sekitar 800 kilogram kerisik kelapa yang dikeringkan sebelum dicampurkan dengan pewarna ungu, kuning, hitam, putih, biru dan hijau. Kejayaan para pelajar tersebut turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records. Pada tahun 2008, Ruben mendaftarkan Mangalam Creation  yang berpengkhususan dalam kerja-kerja penghasilan kolem. Pemilihan nama adalah sempena Datin Paduka A. Mangalam yang mengendalikan Persatuan Pure Life dan menjadi sumber inspirasi serta pemberi semangat kepada Ruben sejak mula-mula tinggal di rumah anak yatim itu. Sekumpulan remaja dari Persatuan Pure Life juga terlibat dalam aktiviti rekaan kolem bersama Ruben di bawah Mangalam Creation. Malah, beberapa anak didiknya memenangi pertandingan rekaan kolem dari semasa ke semasa. Segala kejayaan ini tidaklah menghairankan jika kita berpeluang melihat sendiri keunikan dan keistimewaan kolem yang dihasilkan. Meneruskan Tradisi India di Zaman Baru Salah satu corak menarik adalah kolem tiga dimensi (3D) yang menggabungkan seni reka visual tiga dimensi dengan rekaan kolem dua dimensi. Hasilnya adalah kolem yang seolah-olah benar-benar muncul dan timbul secara tiga dimensi pada permukaan lantai. [caption id="attachment_4709" align="aligncenter" width="602"]Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat[/caption] Contohnya, bahagian kepala dan leher merak dibuat dalam bentuk 3D menggunakan polistirena. Bahan-bahan kolem pelbagai warna dilekatkan pada permukaan kepala dan leher merak itu mengikut corak yang sesuai. Kemudian, bahagian kepala 3D itu diletakkan secara menegak di atas lantai. Rekaan kolem bagi badan, sayap dan ekor merak dibuat penuh indah pada lantai. Maka terhasillah kolem 3D yang menggambarkan seekor merak mengigal megah. Menurut Ruben, corak kolem 3D yang sering dibuat olehnya adalah merak, gajah dan bunga teratai. Orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, ponggal, tahun baru, Vishu, Ugadi dan Deepavali sering meminta pemuda itu menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan corak serta rekaan kolem yang lain daripada yang lain. Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa ramai juga generasi muda kaum India yang tidak tahu mencipta kolem. Ada juga wanita yang memberikan alasan tiada masa kerana sibuk dengan kerja, atau tidak cukup ruang di rumah yang sempit; apatah lagi jika tinggal di rumah pangsa. Pada masa yang sama, bagi mengekalkan tradisi dan budaya, ramai yang menggunakan kolem tiruan berbentuk pelekat. Sayangnya kolem jenis ini tidak memenuhi niat asal mencipta kolem iaitu melakukan kebajikan dengan memberi makan kepada semut, serangga kecil dan burung. Ramai pula yang memanfaatkan ruang kecil di rumah untuk mencipta kolem yang kecil, kemas dan cantik dengan menggunakan daya kreativiti dan imaginasi. Lampu kecil dan bunga-bungaan ditambah untuk menaikkan seri pada kolem kecil yang dibentuk. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap nilai tradisional semakin meningkat di kalangan generasi muda. Bagi mereka yang kekurangan idea, terdapat banyak buku terbitan India yang mengumpulkan pelbagai corak kolem serta memberikan panduan asas rekaan kolem. Ruben mengaku sering merujuk pelbagai buku seperti itu bagi mendapatkan idea dan inspirasi untuk menghasilkan corak-corak baru mengikut citarasa semasa. Menurut Ruben, dengan adanya YouTube, orang ramai bukan sahaja boleh belajar memasak makanan pelbagai negara, tetapi juga cara mengikat sari dan membuat kolem. Generasi muda yang celik komputer dan teknologi maklumat (IT) pasti teruja untuk belajar menghasilkan kolem secara mudah. Buat masa ini, Ruben menggunakan masa lapang untuk mengajar sekumpulan kanak-kanak dan remaja di Persatuan Pure Life menciptakan kolem dan membuat pelbagai barangan perhiasan bagi acara kebudayaan India. Katanya, selain merupakan suatu sumbangan kecil kepada rumah anak-anak yatim yang menjadi tempat tinggalnya sejak berumur sembilan tahun, kelas rekaan kolem ini juga membantu mengisi masa lapang penghuni dengan aktiviti berguna. Dengan adanya semangat meraikan kepelbagaian, memupuk persefahaman dan mengeratkan perpaduan, masyarakat pelbagai kaum dan etnik juga menunjukkan minat untuk mempelajari seni membuat kolem yang menjadi salah satu identiti kebanggaan kaum India. unnamed

]]>

Kenalilah agama Buddhisme: 6 fakta menarik!

PERTAMA MAKALAH INI.  1. Bahasa Asal Buddhisme ialah Pali, bukan Sanskrit · Inilah bahasa zaman kehidupan Buddha di kawasan Nepal · Bahasa ini telah pupus di kawasan tersebut · Namun, ianya masih digunakan untuk memahami kitab-kitab Buddhisme dan dalam mantra Buddhisme 2. Apakah kitab-kitab utama Buddhisme? · Kitab-kitab Tipitaka (termasuk Dhammapada) · Kitab-kitab Mahayana Sutras 3. Apakah Kepercayaan Asas Buddhisme? I. Tanda Kehidupan (tilakhana): i. Perubahan adalah hakikat segalanya – tiada suatu keadaan, samaada baik mahupun buruk, akan kekal selamanya. ii. Hidup adalah penderitaan (dukkha) – maka kelahiran semula adalah penderitaan melalui kehidupan yang lain iii. Tiada konsep “diri” yang merupakan entitinya sendiri – “diri” itu merangkumi pelbagai aspek yang tidak akan kekal dan merupakan sebahagian daripada alam yang tak terpisah II. Kebenaran Mulia: i. Kehidupan adalah penderitaan – tetapi ajaran Buddha bukan bersikap pesimis. Ianya hanya menerima hakikat penderitaan itu sebahagian daripada hidup, dan oleh itu bagaimana untuk mengelakkannya dan mencapai kebahagiaan ii. Penderitaan disebabkan oleh kemahuan dan kebencian – keinginan untuk kehidupan duniawi akan mewujudkan suatu kuasa hebat yang menyebabkan seseorang itu dilahirkan semula dan kembali mengalami penderitaan hidup iii. Pembebasan dari penderitaan dan kebahagiaan sebenar (Nirvana) dapat dicapai – jika kita melepaskan keinginan yang tiada gunanya dan hidup sepenuhnya dalam masa kini, bukan mengimbas masa lalu mahupun membayangkan masa hadapan. iv. Jalan Mulia 8 Berganda merupakan cara hidup untuk menamatkan penderitaan: Kefahaman, Fikiran, Percakapan, Kelakuan, Cara Hidup, Usaha, Kesedaran dan Tumpuan yang baik 4. Apakah prinsip akhlak Buddhisme? i. Jangan mengambil nyawa sebarang kehidupan ii. Jangan mengambil apa-apa yang tidak diberi dengan rela iii. Mengelak salahlaku seksual dan kerakusan hawa nafsu iv. Jangan menipu v. Mengelak daripada mabuk, atau apa-apa yang menjejaskan kewarasan · Pemahaman sahaja tidak mencukupi, sehingga ianya mengubah diri dan cara hidup 5. Apakah Karma & Dharma? · Karma adalah kuasa yang menentukan keadaan dan alam kelahiran semula bagi kehidupan yang seterusnya. · Setiap penyebab pasti ada kesannya – apa yang kita lakukan pasti ada hasilnya. Oleh itu, seseorang perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya pada masa lalu dan sekarang. · Bagaimana kita dapat mengetahui baik/buruk karma suatu tindakan? Ianya bergantung kepada 1) Niat tindakan 2) Kesannya terhadap diri sendiri 3) Kesannya kepada orang lain · Kejahatan mendatangkan Karma yang tidak baik, dan mendorong kepada kelahiran semula ke dalam alam yang kurang baik dan menjauhkan seseorang daripada Nirvana. · Dharma ialah ajaran kebenaran Buddha, iaitu peraturan mutlak dunia · Dharma juga boleh bermaksud kitab-kitab Buddhisme, ataupun amalan-amalan Buddhisme 6. Apakah perayaan utama Buddhisme?  · Wesak: Hari kelahiran Buddha. Disambut dengan penceritaan mengenai hidup Buddha, juga guru-guru pencerahan lain dan karya-karya mereka untuk merenung kehidupan sendiri · Hari Dharma: Hari kesyukuran untuk perkongsian ajaran Buddha, disambut dengan pembacaan kitab-kitab Buddha · Hari Sangha: Meraikan ideal pembetukan masyarakat spiritual · Hari Parinirvana: Kematian Buddha, merenung hakikat kematian dan pengajaran dari hari-hari terakhir Buddha.   Untuk rujukan bagi fakta-fakta tersebut, sila emel: projekdialog@yahoo.com unnamed

]]>

Eksistensialis Dalam Cinta

Penterjemahan tidak rasmi dari laman “Ideas”. Diterjemah oleh Hamizah Hanan.  Soalan: bolehkah eksistensialis mengajar kita sesuatu yang berguna mengenai CINTA? Terkenal dengan daya tarikan utama yang membincangkan kematian, ketakutan, kemabukan dan renungan terhadap alam maya, ia seharusnya tidak mengejutkan apabila eksistensialis juga banyak memberi nasihat berguna tentang cinta romantis. Walaupun mereka berbeza idea tentang cinta, namun ada perkara yang dipersetujui bersama. Cinta romantis boleh membuatkan kita tidak keruan dan ketagihan seperti narkotik (contohnya, lihat “Addicted to Love” oleh Earp et al.). Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa terdapat perbezaan antara membayangkan keindahan bercinta dengan bagaimana kita bertindak ketika dilamun cinta. Walaupun cinta itu memilih kita, namun, pada asasnya kita berhak untuk menentukan perilaku ketika bercinta (contohnya; lihat animasi Nigel Warburton bertajuk “Jean-Paul Sartre and Existential Choice”). Sebahagian daripada pengalaman yang menyeronokkan adalah membiarkan diri kita dibuai dengan perasaan cinta. Tetapi, jika dibiarkan berleluasa di luar kawalan seterusnya menjadi ketagihan adalah sesuatu yang hedonistik dan berjiwa lemah. Contohnya, sementara Søren Kierkegaard mengkagumi Don Giovanni dari karya Mozart kerana kebolehannya yang luar biasa dalam menggoda, beliau juga mengkritik Don Giovanni kerana menjadi hamba cinta, iaitu apabila ketagih hawa nafsunya. Ianya juga berguna untuk mengetahui bahawa jika kita tidak dibelenggu dengan kebimbangan, maka itu bukanlah cinta romantik. Kierkegaard mengatakan bahawa Hercules, yang mampu menandingi Don Giovanni, adalah lebih matang dan romantik kerana beliau runsing untuk memenangi cinta wanita yang didampinginya. Satu lagi sumber kebimbangan dalam percintaan (di mana Hercules tidak terlalu cemas mengenainya) adalah berapa lama hubungan ini akan berterusan dan bagaimana pengakhirannya. Kerana kita bebas, eksistensialis mencadangkan, bukan sahaja si pencinta bebas memilih untuk bercinta, namun mereka juga bebas untuk meninggalkannya. Kierkegaard mengatakan bahawa kebebasan itu membuatkan kita runsing dan Jean-Paul Sartre ada menyebut bahawa ini adalah salah satu sebab mengapa orang yang sedang bercinta begitu terdesak untuk mengawal satu sama lain. Kita mungkin ghairah tentang idealisme “si dia” dan kehidupan bahagia selama-lamanya, namun cinta hanyalah sementara. Sartre menyatakan bahawa penyatuan adalah “kesempurnaan cinta, motivasi dan penghujungnya, serta nilai keunikkannya’. Cinta adalah projek untuk menyayangi , untuk bergabung dengan yang lain, supaya kita dapat mengetahui apa yang difikirkannya terhadap kita. Jika kita mengetahuinya, maka kita mampu mengenali diri secara keseluruhannya (dan inilah matlamat hidup menurut Sartre). Walau bagaimanapun, eksistensialis mencadangkan bahawa membelenggu diri dengan idealisme percintaan itu adalah tidak berguna kerana penyatuan akhirnya adalah mustahil, dan keinginan si pecinta untuk memaksakannya menyebabkan hubungan tersebut terperangkap dalam kitaran godaan, keinginan seksual, sadisme, dan masokisme yang tiada berpenghujung. Simone de Beauvoir, pasangan hidup Sartre mencadangkan bahawa ini bukanlah pandangan berguna dalam hubungan romantik. Pada beliau ianya lebih berguna untuk menyedari bahawa persahabatan seharusnya menjadi asas percintaan, bukan alternatif kepadanya. Rakan dan pencinta terbaik, menurutnya, adalah yang menghormati kebebasan masing-masing dan memberikan sokongan terhadap perkembangan dan usaha ke arah apa jua matlamat yang dipilih individu tersebut, walaupun ianya mengejar matlamat yang akhirnya membawa mereka ke arah berbeza. Tambahan pula, eksistensialis mencadangkan bahawa idealisme Barat tentang cinta yang akhirnya berkemuncak dengan perkahwinan adalah tidak masuk akal. Kerana cinta sepanjang hayat adalah pengecualian dan bukannya hakikat, ianya tak berguna untuk mempercayai bahawa perkahwinan akan menyebabkan cinta kekal subur atau berjanji untuk mencintai satu sama lain selamanya. Friedrich Nietzsche, bapa kepada eksistensialisme, mencadangkan supaya kita mengharamkan perkahwinan bagi sesiapa yang dilamun cinta kerana hawa nafsu adalah asas yang lemah untuk komitmen tersebut. Sebaliknya, ia lebih berguna untuk kita menyedari bahawa perkahwinan berkemungkinan membawa kita keluar daripada cinta, kerana ianya perjanjian untuk bersama dengan pasangan tersebut walaupun perasaan cinta itu telah hilang. Salah satu tarikan cinta romantik ini adalah ianya membuatkan hidup kita berasa bermakna. Seperti klise Jerry Maguire, cinta membuatkan kita berasa sempurna. Eksistensialis memberi amaran bahawa ini adalah ilusi yang tidak berguna. Memandangkan bahawa hakikat kewujudan mendahului nilai dasar, maka tidak wujudnya istilah seperti teman sehati sejiwa dan tiada siapa yang ‘diciptakan untuk satu sama lain’. Beauvoir menyangkal bahawa perhubungan sehati sejiwa inilah yang membuatkan sang pencinta membelakangkan matlamat hidup mereka demi menjamin perhubungan tersebut. Ini kepercayaan palsu. Hubungan yang berasaskan persahabatan tidak akan mengahadapi masalah tersebut. Secara eksistensialis, sang pencinta seharusnya bertanggungjawab membina hidup sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain untuk memberi makna kepada hidup mereka, kerana pada asasnya kekasih bebas untuk meninggalkan cinta. Walaupun cinta bersifat kebimbangan dan tidak kekal lama, eksistensialis mengusulkan bahawa ianya salah satu cara terbaik untuk mengenali diri kita dan potensi kita, iaitu melalui pandangan orang lain yang mengenali kita secara intim. Lebih lagi, eksistensialis menunjukkan bahawa ia tidak berguna untuk melihat kegairahan kita sebagai sesuatu yang menguasai diri dan tidak dapat dikawal. Mungkin kita ‘terjatuh’ cinta namun apa yang kita lakukan dengannya sepenuhnya bergantung kepada diri kita. unnamed

]]>

Apabila Islam Adalah Minoriti

Islam di pinggiran Menjadi orang beragama Islam di Amerika dan Eropah bukan sesuatu yang mudah. Seperti mana-mana minoriti di mana-mana negara, mereka sering dijadikan “punching bag” oleh mereka yang paranoid, mencetuskan ketakutan dan kebencian, dan memburuk-burukkan orang yang lain daripada mereka. Sudahlah menjadi majoriti yang bertampuk kuasa, mereka ini tidak sanggup melihat pengaruh mereka dihakis oleh golongan lain dan oleh itu, apabila mereka terasa dicabar, mereka mendepani cabaran itu dengan mengalih perhatian kepada golongan minoriti dan menjadikan golongan minoriti sebagai “punching bag” untuk menarik sokongan. Di Amerika, golongan konservatif seperti sesetengah Republicans buat-buat takut dengan khabar angin bahawa kononnya nilai-nilai Amerika (American values) semakin dihakis oleh golongan Muslims. Seorang senator di Florida mengatakan bahawa undang-undang anti-Sharia/anti-Muslim adalah “satu keperluan dan langkah pencegahan yang sama seperti undang-undang pencegahan vaksin terhadap penyakit-penyakit tertentu”. Seorang wakil rakyat di Oklahoma pula berkata bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan orang Islam yang merancang untuk membunuh orang Kristian. Gila. Gila. Semuanya gila. Tetapi itulah yang berlaku. Diskriminasi dan penindasan Sejak 9/11, golongan Muslims di Amerika menghadapi pelbagai rintangan. Dari segi diskriminasi (institutional discrimination), lebih daripada 20 peratus daripada laporan diskriminasi atau tuntutan yang difailkan dengan EEOC adalah dari umat Islam, walaupun umat Islam hanya 2 peratus daripada populasi Amerika. Pembinaan masjid juga agak sukar di sesetengah kawasan yang majoritinya beragama Kristian. Jika hujah sesetengah penduduk Taman Medan (atau mereka yang diupah) adalah pembinaan gereja menganggu sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam, hujah yang sama juga digunapakai di sini untuk menghalang pembinaan masjid. Adakah itu sesuatu yang betul? Di Eropah, dalam satu kajian 2011 oleh Pew Global Attitudes Project, majoriti responden di Jerman (72 peratus), Sepanyol (69 peratus), Perancis (54 peratus), dan United Kingdom (52 peratus) berpendapat bahawa umat Islam di negara mereka mahu diasingkan daripada masyarakat arus perdana. Yang paling teruk adalah pengharaman pakaian agama yang diperkenalkan di Perancis dan Belgium, di mana memakai burqa dan lain-lain bentuk wajah-meliputi “headwear” di khalayak ramai telah dilarang sejak 2011. Hipokrisi? Apabila semua ini berlaku, golongan beragama Islam di Malaysia mengutuk penindasan ini. Katanya, manusia wajar diberi kebebasan untuk memilih dan mempraktik agama mereka. Semangat untuk bersolidariti dengan saudara/saudari mereka yang beragama Islam di negara lain memberi motivasi untuk berjuang bersama menuntut hak mereka sebagai minoriti. Tetapi apabila agama lain di negara Malaysia dikecam oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mencetuskan kebencian, mana mereka ini yang memperjuangkan hak minoriti dan kebebasan beragama? Apakah mereka hanya peduli jika mangsa penindasan adalah saudara/saudari yang sama agama dengan mereka? Atau adakah kejahilan mereka berpunca daripada hakikat mereka tidak pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti dan merasai cengkaman terhadap kehidupan mereka? Pada hemat saya, sesiapa yang pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti di negara luar akan berhadapan dengan dua pilihan apabila mereka kembali ke tanah air sebagai golongan majoriti. Yang pertama, mereka berikrar untuk memastikan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi minoriti. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Islam daripada sebarang cabaran dan berwaspada dengan sebarang usaha yang seolah-olah berkemungkinan mengancam kedudukan mereka sebagai golongan majoriti yang senang. Yang kedua, mereka akan memastikan bahawa tidak akan ada golongan minoriti yang akan ditindas begitu di tanah air. Mereka telah merasai ketidakadilan dan diskriminasi di negara luar dan sedar bahawa golongan minoriti sering diasingkan dan dijadikan mangsa “punching bag” percaturan politik. Jadi apabila kembali ke tanah air, mereka boleh sahaja menikmati kesenangan sebagai golongan majoriti, tetapi mereka memilih untuk turut mempertahankan hak minoriti dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama, dan kelas. Terlalu banyak yang mengambil jalan pertama kerana ia adalah pilihan yang mudah. Namun pada saya, jalan kedua lebih dekat dengan seruan Islam. Al-Anbiya: 107: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” unnamed

]]>