Mark Zuckerberg menyatakan pendirian pro-LGBT yang diamalkan Facebook.[/caption] #LoveWins – Jadi, Boikot LGBT? Sejak awal pagi 27 Jun 2015, kita perhatikan ramai pengguna Facebook di Malaysia berlumba-lumba memuat naik foto profil menggunakan aplikasi Celebrate Pride yang menghiasi foto dengan jalur warna-warna pelangi. Apa yang amat melucukan adalah hakikat ramai berbuat demikian tanpa tahu-menahu apa yang berlaku dan makna jalur warna pelangi itu. Ramai yang sekadar terikut-ikut, dan hanya sehari kemudian memahami makna sebenar. Sehari sebelum itu, saya melihat paparan oleh pengasas Facebook, Mark Zuckerberg sempena “LGBT Pride Month” yang rupa-rupanya disambut setiap tahun pada bulan Jun. Saya terjemahkan kata-katanya: “Facebook berasa bangga menyokong Pride, dan kakitangan kami di beberapa negara terlibat dalam mengatur acara serta menghiasi pejabat sebagai tanda sokongan.” Zuckerberg berkongsi foto papan iklan besar di ibu pejabatnya. Saya pula berkongi paparan itu dengan pertanyaan: Apakah puak anti-LGBT akan mula menyahaktifkan akaun Facebook mereka? Kejayaan yang sebenarnya diraikan menerusi paparan foto profil menggunakan aplikasi Celebrate Pride adalah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat mengesahkan perkahwinan sama jantina. Saya perhatikan empat kelompok yang memaparkan foto profil dengan jalur warna pelangi dalam kalangan orang Malaysia. Pertama, kelompok LGBT. Kedua, kelompok pro-LGBT (LGBT-ally). Ketiga, kelompok yang tidak tahu makna perbuatan itu tetapi hanya terikut-ikut. Keempat, kelompok yang berseloroh dengan memaparkan foto Datuk Seri Anwar Ibrahim atau bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. Saya bukan puak anti-LGBT. Saya ada rakan-rakan daripada kalangan LGBT dan saya memahami isu sebenar yang mereka hadapi setiap hari. Malah, saya pernah mewawancara beberapa LGBT dan menulis siri makalah yang boleh dirujuk di blog (www.uthayasb.blogspot.com). Puak anti-LGBT sebenarnya kelompok yang berpura-pura dan melakukan kempen “Boikot Pilih-pilih” sama seperti yang dilakukan dari semasa ke semasa menerusi kempen memboikot Israel, McDonald’s, Starbucks dan sebagainya. Sekiranya diperhatikan, puak yang benar-benar membenci LGBT dan segala perkara yang berkaitan dengan LGBT perlu turut memboikot segala produk Apple, Microsoft, Google dan Facebook. Secara logik, puak anti-LGBT perlu mengharamkan diri masing-masing daripada menggunakan komputer, Internet, telefon pintar dan media sosial. Akan tetapi, tentulah puak berkenaan akan mencari 1,008 alasan untuk menuntut hak mereka menggunakan semua itu. Warna-warna Pelangi – Perjuangan LGBT Bendera berjalur tujuh warna pelangi ada cerita tersendiri. Rainbow Flag (Bendera Pelangi) itu direka oleh Gilbert Baker pada 1978 di San Francisco, Amerika Syarikat. Sebelum itu, bendera warna merah jambu digunakan tetapi kurang disenangi kerana ada unsur Nazi. Baker tidak mahu mencipta logo atau lukisan; sebaliknya bendera yang boleh menjadi simbol antarabangsa bagi golongan LGBT. Sebenarnya, pada masa kini, ada beberapa versi bendera bagi mewakili pelbagai kelompok LGBT. Misalnya, bagi kelompok transgender, gay, lesbian, biseksual, panseksual, aseksual, interseksual dan genderqueer. Malah ada bendera khas bagi golongan heteroseksual. Kempen menyokong dan menuntut hak perkahwinan sama jantina sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Sekiranya kita masih ingat, pada 2013, logo dengan simbol sama (=) dalam warna merah digunakan. Facebook melaporkan, tiga juta orang menggunakan simbol itu sebagai foto profil. Bezanya, pada kali ini, foto sendiri yang dihasilkan dengan aplikasi penapis (filter) warna-warna pelangi bertujuan meraikan dan menyokong keputusan mahkamah di Amerika Syarikat dalam soal hal perkahwinan sama jantina. Memanglah ramai yang membantah, mengutuk, menghina dan cuba melaknat sesiapa yang bersikap pro-LGBT, tidak anti-LGBT, atau termasuk dalam kelompok LGBT. Pada pemerhatian saya, situasi dan tuntutan golongan LGBT dan pro-LGBT di Malaysia tidak sama dengan situasi di Amerika Syarikat. Ramai yang terkeliru dan seterusnya cuba mengelirukan orang ramai. Tuntutan golongan LGBT di Malaysia lebih tertumpukan kepada hak dan pengiktirafan terhadap seksualiti mereka. Misalnya, seorang transgender mahu diiktiraf sebagai wanita. (Rujuk siri makalah di blog saya untuk penjelasan terperinci supaya tidak terkeliru.) Memanglah wujud golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan sebagainya di negara ini. Realiti ini tidaklah menghairankan. Sama sahaja seperti realiti wujudnya politikus yang menipu, merapu, mencuri wang rakyat, kaki rasuah, kaki perempuan dan sebagainya. Sebut sahaja LGBT, ramai yang terus mengaitkan golongan itu dengan seks, pesta seks, dan seks rambang. Ternyata otak kotor yang dimiliki puak seperti ini tidak memungkinkan mereka melihat di luar lingkaran seks! [caption id="attachment_4875" align="aligncenter" width="387"] Simbol ini popular di media sosial sejak 2013.[/caption] Muhasabah Diri – LGBT Juga Manusia, Jangan Fikir Seks Sahaja Acara Seksualiti Merdeka yang pernah diharamkan menjadi salah satu contoh dalam hal ini. Apabila mata, fikiran, otak, hati, paru-paru, alat kelamin dan seluruh tubuh seseorang sudah tepu dengan seks dan seks semata-mata, maka amat mudah untuk mereka melihat golongan LGBT dari sudut seks semata-mata. Apabila kita melihat golongan heteroseksual, mereka juga ada naluri seks. Ada perogol, ada penzina, ada pengamal seks rambang. Akan tetapi, setiap kali melihat atau memperkatakan mengenai golongan heteroseksual, apakah kita hanya mengaitkan mereka dengan seks, seks dan seks semata-mata? Lalu, mengapa pula apabila bercakap mengenai LGBT, kita asyik mengaitkan seluruh kehidupan mereka dengan seks, seks dan seks semata-mata? Mengapa kita gagal melihat mereka sebagai manusia? Cara paling mudah adalah dengan menuduh golongan LGBT sebagai melawan hukum Allah. Tiba-tiba manusia menjadi pakar agama; malah seolah-olah sudah menjadi pengganti kepada Allah di atas bumi. Kita sering terkeliru apabila membicarakan isu berkaitan LGBT. Selama ini kita hanya melihat mereka sebagai pengamal seks. Seolah-oleh aktiviti mereka 24 jam sehari hanyalah mengadakan hubungan seks! Kita gagal untuk melihat pelbagai isu, kekangan, rintangan, tekanan, kezaliman, penindasan dan persoalan lain yang sedang diperjuangkan oleh golongan LGBT demi menuntut hak kehidupan sebagai manusia; sebagai ciptaan Allah di muka bumi. Biasanya, golongan yang melakukan penentangan secara berlebih-lebihan adalah puak yang menyimpan “rahsia peribadi” – sama ada berkaitan dengan diri sendiri atau ahli keluarga. Puak penentang juga biasanya cuba menutup kejahilan mereka terhadap isu kemanusiaan yang melingkari golongan LGBT dengan memaparkan imej hitam, legam dan negatif mengenai LGBT. Sebagai permulaan, apa kata para pengguna Facebook yang “tersilap” memaparkan foto profil dengan penapis Bendera Pelangi cuba memahami jiwa golongan LGBT. Jika malu untuk bersemuka untuk berbual dengan individu LGBT, manfaatkan sahaja media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan WeChat. Daripada melontaran tuduhan tidak berasas, lebih baik ambil masa beberapa minit untuk mendengar kisah sebenar. Mulakan dengan berkomunikasi bersama individu LGBT atau pro-LGBT dalam kalangan ahli keluarga dan sanak-saudara sendiri. Kongsikanlah pengalaman itu nanti di Facebook untuk renungan kita bersama.
]]>Kebebasan Agama atau Non-Dialog: Yang Mana Satukah Ancaman?
OIC & Hak Asasi Manusia Kebebasan beragama adalah bahagian penting dari Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR). Fakta sejarah menunjukkan pada tahun 1972 negara-negara Islam melalui OIC, telah bersetuju untuk mendukungi UDHR secara penuh. Ann Elizabeth Mayer yang menganalisis Resolusi OIC tahun 1972 tersebut menyatakan, negara-negara anggota OIC telah pun memperakukan yang UDHR bersesuaian dengan nilai-nilai agama Islam: “Piagam Persidangan Islam 1972, organisasi antarabangsa yang dianggotai semua negara Islam, dengan jelas menyokong undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, menganggapnya serasi dengan nilai-nilai Islam. Dalam Mukadimah Piagam, dua perenggan menegaskan bahawa ahli-ahli – BERTEKAD untuk memelihara nilai-nilai spiritual, etika, sosial dan ekonomi Islam, yang akan kekal sebagai salah satu faktor penting dalam mencapai kemajuan bagi manusia; MENEGASKAN komitmen mereka kepada Piagam PBB dan Hak Asasi Manusia, menjadikan tujuan dan prinsipnya sebagai asas kerjasama yang berfaedah di kalangan rakyat. Kedudukan rasmi negara Islam menyokong kesimpulan bahawa piawai hak asasi manusia antarabangsa yang dirangka PBB dianggap serasi dengan undang-undang Islam oleh penggerak – kerajaan – yang kelakuannya tertakluk kepada pengawasan melalui prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa (Ann Elizabeth Mayer, 1991: 14). Kebebasan Beragama VS Murtad Salah satu isu hak asasi manusia yang paling kontroversial membabitkan agama Islam ialah persoalan murtad, atau apostasia. Para sarjana Islam sering berdepan dengan pertanyaan daripada pejuang hak asasi manusia berkenaan kebebasan beragama. Mohammed Abed al-Jabri, seorang Profesor dalam bidang falsafah di Maghribi sebagai misalan, terpaksa mempertahankan Islam dengan nada yang sedemikian defensif, untuk menjelaskan isu rumit ini: “… kita harus sedar bahawa kedudukan murtad dalam undang-undang Islam tidak jatuh di bawah kebebasan kepercayaan, tetapi apa yang dikenali sebagai pengkhianatan besar, dengan menggunakan senjata menentang masyarakat dan negara. Mereka yang bercakap mengenai hak asasi manusia pada hari ini, dengan penekanan terhadap kebebasan kepercayaan, tidak bermaksud kebebasan untuk mengkhianati negara, masyarakat dan agama sendiri, atau kebebasan untuk merampas harta orang lain, atau kebebasan untuk bersubahat dengan musuh. Oleh itu, kebebasan adalah satu hal, murtad hal yang berbeza. Perundangan moden dijangkakan supaya memutuskan sama ada orang Islam yang memilih untuk mengamalkan agama lain, secara peribadi, dan tidak memberi kesan kepada masyarakat Islam atau negara, patut dianggap murtad dalam erti perundangan tradisional atau seperti yang dijelaskan oleh ayat-ayat di atas, di mana si murtad diancam dengan hukuman yang besar di akhirat, tanpa merujuk kepada hukuman bunuh” (Mohammed Abed al-Jabri, 200) Secara ringkasnya, pandangan Al-Jabri tersebut meletakkan gejala meninggalkan agama Islam sebagai satu jenayah politik, dan bukannya ‘jenayah agama’. Kemurtadan, apostasia atau apa sahaja yang seerti dengannya dilihat sebagai satu pengkhianatan, malah penderhakaan terhadap agama Islam. Sebahagian besar perbincangan tentang kebebasan beragama dalam Islam, termasuk yang dianalisis oleh Al Jabri adalah sekitar ayat 256 surah al Baqarah; ‘tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui’ (Tafsir Pimpinan Ar Rahman).’ [caption id="attachment_4849" align="aligncenter" width="475"] Rachid Ghannouchi[/caption] Pandangan Al Jabri tersebut bukanlah baharu memandangkan Rachid Ghannouchi (1993: 44-50) dalam al Hurriyat al-‘Ammah Fid Daulah al-Islamiyyah, telah pun menyamakan apostasia dengan ‘jenayah hasutan’. Ghannouchi, justeru, dalam karya tersebut menyatakan tindakan meninggalkan agama Islam tanpa ‘menjejaskan citra agama Islam’ adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan selalu berlaku hari ini. Selepas penerbitan al Hurriyat al-‘Ammah Fid Daulah al-Islamiyyah, sekali lagi dalam kuliahnya untuk Cardiff Islamic Society pada tahun 1997, Ghannouchi menegaskan, hukuman terhadap seseorang Islam yang murtad hanyalah satu urusan ijtihad. Ini dikesan menerusi pertikaian antara para sahabat Rasulullah SAW khususnya dalam menentukan perang terhadap golongan murtad ketika awal pemerintahan Abu Bakar. Tindakan memerangi golongan murtad yang dilancarkan oleh Abu Bakar tersebut, awalnya dibantah oleh beberapa sahabat ternama termasuk Umar al Khattab (Azzam S Tamimi, 2001: 191). Beza Ghannouchi dan Mohammed Abed Al Jabri adalah, Al Jabri berpendapat ‘kebebasan adalah satu hal, murtad hal yang berbeza.’ Ghannouchi pula menegaskan apostasia hanya menjadi sesuatu yang serius jikalau maruah ‘Islam dicemari’. Dua pandangan di atas, masih kelihatan samar. Al Jabri dan Ghannouchi malah tidak ditanggapi sebagai sarjana pengajian Islam. Dalam tahun 1992, Mohamed Talbi, seorang sarjana terhormat dari University of Tunis, Tunisia, dan mahir dalam bidang tafsir al-Quran menulis tentang hak-hak untuk memilih beragama. Menurut Talbi, pilihan beragama dan kepercayaan adalah urusan sukarela hatta ibu bapa tidak mempunyai hak untuk memaksakan ke atas anak-anak mereka pilihan kepercayaan mereka: “Mengikut pengetahuan saya, antara semua teks yang diwahyukan, hanya al-Quran menekankan kebebasan beragama dengan begitu khusus dan jelas. Iman, iaitu iman yang benar dan teguh, perlulah merupakan suatu yang benar-benar bebas dan sukarela. Sehubungan ini, ia eloklah ditekankan bahawa ayat yang dirujuk itu bertujuan untuk menegur dan mengutuk sikap sesetengah orang Yahudi dan Kristian yang, apabila baru memeluk agama Islam di Madinah, bersedia untuk menukar agama anak-anak mereka sekali bersama mereka. Oleh itu ia jelas menegaskan bahawa iman adalah satu perihal dan komitmen individu peribadi dan ibu bapa sendiri mesti menahan daripada bercampur tangan mengenainya. Sifat iman itu sendiri, seperti yang ditekankan dalam teks asas Islam secara jelas dan tidak dapat disangkal, seharusnya tindakan sukarela yang lahir daripada keyakinan dan kebebasan” (Mohamed Talbi, 2009: 109). Tentu sahaja, dari pandangan Islam, seseorang yang memilih untuk keluar dari agama Islam melakukan ‘kesilapan’, akan tetapi itu adalah pilihan sendiri. Mohamed Talbi menegaskan, mereka yang memilih agama selain Islam telah diberi amaran bahawa Islam adalah agama kebenaran; dan keselamatan di akhirat tidak ada pada agama lain: “Sememangnya orang murtad diberi amaran: sesiapa yang memilih murtad, setelah meyakini di sudut hati bahawa Islam itu benar, adalah berlaku tidak adil, dan oleh itu kehilangan hidayah Allah, diikuti segala akibat berkenaan keselamatan mereka” (Mohamed Talbi , 2009: 115). Di hujung makalah beliau yang terkenal itu, Talbi menekankan, meskipun ‘terkutuk secara moralnya’; urusan seseorang yang murtad bukan sama sekali urusan penguasa. Malah, pilihan untuk menukar agama tersebut harus dihormati, ‘kebebasan beragama secara asasnya dan juga akhirnya merupakan satu penghormatan bagi kedaulatan Allah dan misteri perancanganNya untuk umat manusia’. Murtad dalam Sejarah Tamadun Islam Sejarah juga menjadi bukti, pemerintahan Islam bersikap begitu longgar terhadap ‘Crypto Jewish’ dan ‘Crypto Christian’, malah ia pernah menjadi fenomena meluas ketika pemerintahan Uthmaniyyah satu masa dahulu. Terminologi crypto merujuk kepada ‘mereka yang pandangan keagamaan dan amalan mereka tidak bersesuaian dengan agama rasmi anutan mereka dan selalunya menyembunyikan hakikat tersebut dari masyarakat awam’. Terminologi ini tidak eksklusif untuk Yahudi dan Kristian sahaja, malah, setelah Sepanyol jatuh ke tangan Kristian, masyarakat Islam yang tidak berhijrah ke daerah-daerah di Afrika Utara dan memilih untuk menetap di Sepanyol turut menjadi Crypto Muslims (Moriscos). Maurus Reinkowski (2007: 416) menegaskan ‘crypto Jews’ dan ‘crypto Christians’ adalah golongan murtad, ‘sudah tentu sepatutnya dianggap sebagai murtad; mereka telah mengakui sebagai umat Islam, dan kemudiannya pergi jauh dari Islam ‘. Tetapi pemerintah Islam khususunya Uthmaniyyah bertolak ansur dengan mereka. Cryptos hanya dihukum apabila secara ‘berterusan’ mencabar ‘kedaulatan Islam’ (Selim Deringil, 2000: 547-575). Pentadbiran Agama di Malaysia Di Malaysia, semua urusan perihal Islam diurus, ditadbir, dikendali dan ditentukan secara penuh oleh pemerintah. Datuk Seri Jamil Khir Baharom (2012), Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai misalan menyatakan Islam adalah agama rasmi menurut perlembagaan Malaysia, makanya setiap anak yang dilahirkan sebagai seorang Islam hendaklah kekal sebagai seorang Islam. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (2012), Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dengan nada yang hampir sama memberi jaminan yang: ‘untuk setiap Muslim, pemerintah bertanggungjawab memastikan nilai-nilai Islam dipraktik dan dilaksanakan. Oleh kerana itu madrasah (surau), sekolah agama, Universti Islam, ceramah agama dan kuliah agama di TV dan radio dipupuk oleh pemerintah demi memastikan orang Islam tidak terkeluar dari jalan Islam.’ Malaysia seperti yang kita semua maklum, mengamalkan undang-undang Islam dan sivil (versi Malaysia) dan ia diurustadbir oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dan Mahkamah Syariah. Fakta sejarah tidak dapat dimungkiri lagi bahawa urusan agama di dalam genggaman kerajaan sepertinya yang dilihat hari ini merupakan warisan penjajah Inggeris. Moshe Yegar, seorang penyelidik berbangsa Yahudi dan rakyat Israel dari Hebrew University of Jerusalem pernah menetap di Malaysia dari bulan November 1964 sehingga hujung 1965. Hasil penelitian Yegar, beliau menerbitkan sebuah buku akademik yang kandungannya memuji ‘kebijaksanaan British’ dalam memperkenalkan birokrasi Islam di Malaysia sehingga Islam akhirnya menjadi satu jurus yang tertentu dan terhad di bawah satu pentadbiran: “Secara umum, toleransi British terhadap Islam, secara tidak langsung, sedar dan tidak sedar, sangat berguna dalam pengembangan dan pengukuhan Islam secara perundangan dan pentadbiran. Tetapi pemeliharaan dan pengukuhan asas tradisional kuasa dan organisasi sosial yang tersirat dalam dasar British, dan peningkatan komunikasi serta pemusatan progresif, bergabung untuk membentuk pentadbiran agama yang lebih autoritarian daripada yang sebelumnya. Pemerintahan penjajah dengan itu mengakibatkan tumpuan kepada doktrin dan pentadbiran autoriti agama di tangan hierarki pegawai yang bergantung kepada sultan untuk jawatan dan kuasa. Raja-raja dan Majlis Negeri mula memikul tanggungjawab yang lebih luas dalam hal ehwal agama. Sistem undang-undang sivil dan jenayah yang bertulis dan dikanunkan mewujudkan tekanan untuk sistem perundangan Islam yang lebih formal, yang seterusnya digubal oleh Majlis Negeri. Mahkamah ditubuhkan, prosedur undang-undang ditetapkan, dan birokrasi undang-undang ditubuhkan untuk mentadbirnya. Penubuhan baru badan pegawai agama kini berfungsi di mahkamah Sultan dan juga di kampungan. Kebanyakan daripada perkembangan ini (terutamanya perundangan mahkamah syariah), sementara memenuhi satu keperluan yang sebenar, juga merupakan peniruan terhadap model pentadbiran Barat dalam suatu bidang yang anehnya dirasakan oleh kaum Melayu sebagai ciptaan mereka sendiri. Walaupun telah wujudnya kadi, undang-undang syariah, dan pembatasan Islam dalam masa dan tempat yang lain sebelum ini, kaum Melayu telah menambah kaedah penguatkuasaan undang-undang oleh pertubuhan agama rasmi yang teratur” (Moshe Yegar, 1979: 266). Institusi Islam di Malaysia Penginstitusian Islam seperti yang terlihat pada Jabatan Kemajuan Agama Islam hari ini, menurut Yegar membuahkan semacam ‘Islam autoritatif’ yang dipertahan oleh Malaysia sebagai ‘satu urusan di bawah takluk perlembagaan’. Tentulah sangat menjengkelkan buat ramai ‘agamawan konservatif’, hakikat bahawa seorang ahli akademik Israel seperti Moshe Yegar pernah hadir di negara ini dan ‘memuji’ pula warisan kepintaran British, iaitu pentadbiran agama Islam sebagai ber‘model Barat’. ‘Pujian’ Moshe Yegar terhadap legasi penjajah Inggeris ini bagaimanapun tidak disambut baik oleh antropologis terkenal di Malaysia. Abdullah Taib (1985: 226) misalnya pernah menyatakan, ‘Sejak tahun 1920-an beberapa buah negeri di Tanah Melayu telah menubuhkan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu. Hingga ke hari ini sudah hampir 60 tahun majlis itu berjalan atas nama seperti itu. Penubuhan Majlis Agama ini ialah hasil ‘kebijaksanaan’ penjajah Inggeris.’ Penggunaan tanda kurung untuk ungkapan ‘kebijaksanaan penjajah Inggeris’ menunjukkan rasa kurang selesa Abdullah Taib. Bahkan dalam kajian beliau tersebut, peranan Jabatan Agama Islam dalam menyudutkan nilai-nilai lokal dikritik secara halus, dan secara akademik tentunya. ‘Islam institusi’ yang diperkenalkan oleh penjajah inilah yang perlahan-lahan mulai ‘menggelisahkan’ bahagian-bahagian hidup segelintir rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam. Persoalan ini menjadi semakin dramatik dan kontroversial baru-baru ini, seperti yang terpapar dalam surat pembaca Steve Oh (2012) kepada Malaysiakini. Pandangan peribadi dan kebebasan berekspresi Oh boleh sahaja ditanggapi sebagai ‘menghasut’. Namun demikian, ‘kegelisahan’ warga Malaysia yang bukan beragama Islam seperti Steve Oh mesti ditangani dengan dialog dan keterbukaan. Amalan mendiamkan orang seperti Steve Oh tidak membawa apa-apa manfaat jangka panjang. [caption id="attachment_4851" align="aligncenter" width="478"] World Muslim Congress[/caption] Kebebasan Agama di Malaysia Kebebasan beragama di Malaysia memang sering menjadi sasaran kritikan luar. Sebagai contoh, Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2007, dalam laporannya menyatakan: “Pihak berkuasa negera memaksa undang-undang agama Islam yang ditadbir melalui mahkamah Islam ke atas semua etnik Melayu (dan umat Islam yang lain) dalam perundangan keluarga dan hal-hal sivil yang lain. Orang Islam secara amnya tidak dibenarkan bertukar kepada agama lain walaupun Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama. Mahkamah tertinggi negara memutuskan dalam tempoh laporan ini, bahawa umat Islam yang ingin memeluk agama lain hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Mahkamah Syariah.” (Jabatan Negeri Amerika Syarikat, 2007). Sebagai catatan, pada tahun 2007 tersebut, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Lina Joy untuk menggugurkan kata Islam dari kad pengenalannya. Permohonan Joy, yang dilahirkan sebagai Azlina Jailani tersebut telah dinafikan kerana mahkamah memutuskan, oleh kerana agama asal Joy adalah Islam maka ia merupakan sebahagian dari urusan Islam. Justeru, hanya Jabatan Agama Islam sahaja boleh memutuskan secara rasmi kedudukan Joy sebagai seorang Kristian. Keputusan mahkamah tersebut disambut oleh World Muslim Congress dengan tempelak: “Kebebasan kepercayaan bermaksud bukan sahaja kebebasan untuk memilih agama, tetapi juga kebebasan untuk menukar agama. Walaupun Islam menganggap murtad adalah dosa yang besar, namun ini di antara Tuhan dan individu masing-masing. Apabila ia hanya peristiwa murtad, ie, hanya menukar agama seseorang tanpa keganasan atau khianat terhadap negara Islam atau umat Islam, prinsip kebebasan agama dalam Islam menuntut bahawa si murtad harus diberi kebebasan seperti yang dikurniakan Tuhan. Pendirian tradisional nampaknya menjadi asas yang menyebabkan mahkamah sivil Malaysia menanggung perkara tersebut di bawah pengkhianatan atau keganasan. Apa yang menggalakkan ialah perubahan pendapat di kalangan umat Islam yang berpaling daripada pandangan tradisional ke arah suatu yang sejajar dengan ajaran Al-Quran dan warisan Nabi Muhammad” (Kongres Islam Sedunia 2007). Perenggan dari kenyataan media di atas, secara signifikan dikeluarkan oleh World Muslim Congress. Ia turut membantah pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Harus dinyatakan, World Muslim Congress mengundang Joy untuk kembali ke agama Islam, ‘we invite our sister in humanity Lina Joy (Azlina Jailani) back to Islam’ tetapi dalam masa yang sama menggesa kebebasan beragama diberikan dan menuntut supaya pemerintah Malaysia membuang pandangan apostasia sebagai ‘pengkhianatan atau keganasan’. Salafi Wahhabi dalam JAKIM World Muslim Congress tentu sahaja tidak membuat tuduhan liar dan serkap jarang, ia mungkin bersandarkan pandangan pegawai Bahagian Penyelidikan Akidah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia yang sering merujuk kepada pandangan-pandangan sempit ulama salafi: “Jika seseorang mengumumkan murtadnya kepada orang ramai dan menunjuk-nunjukkan kepercayaan barunya, maka dia telah mengisytiharkan serangan dalam bentuk persepsi (al-harb al-fikriyyah) terhadap Islam dan kepercayaannya. Tindakannya akan meningkatkan atau membenih keraguan dalam hati umat Islam yang lain. Pada waktu itu, perbuatan murtad tidak harus dilihat dari sudut hak individu untuk menukar agama, tetapi dari segi “hirabah” (unsur serangan ke atas asas-asas agama yang merupakan tiang kerajaan Islam. Oleh itu, langkah segera patut diambil untuk memulakan proses penyediaan penjelasan untuk membersihkan keraguan orang tersebut, memintanya bertaubat dan jika dia tetap berdegil dan berkeras untuk murtad, akhirnya adalah hukuman mati atas dasar” hirabah” [al-qatlu hirabatan]). Ini bermakna, murtad tidak dihukum bunuh kerana kekafiran mereka, namun kerana hirabah. Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma’idah yang bermaksud: “Sesungguhnya, hukuman bagi orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan berusaha di bumi [untuk menyebabkan] kerosakan tidak lain kecuali mereka dibunuh atau disalib atau tangan dan kaki mereka dipotong dari sisi yang berbeza atau mereka diusir dari tanahair… “. Walaupun ayat tersebut ditakrifkan oleh kebanyakan sarjana Islam sebagai ayat yang menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah dan perompak, ia tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah suatu tindakan yang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya (SAW). Oleh itu, beberapa ulama Salaf berpendapat bahawa hukuman bunuh untuk murtad diambil dari ayat ini juga, selain daripada hadith-hadith sahih yang berfungsi untuk menjelaskan perkara tersebut.” (Mohd Aizam Mas’od). Pandangan ekstrim di atas tentu sahaja dapat dipermasalahkan untuk sebuah negara berbilang kaum dan agama di Malaysia. Mereka yang menuntut kebebasan beragama misalnya dengan mudah ditanggap sebagai penghasut dan penjahat dengan niat buruk terhadap Islam. Adakah pandangan di atas, pandangan Ahlus Sunnah wal Jamaah? Atau hanyalah pandangan minoriti ulama wahabi yang terkenal sebagai pembantah dialog? Kebebasan Beragama Menurut Sarjana Syiah Jika demikian, bagaimanakah seharusnya kebebasan beragama menurut Islam? Mohamed Talbi, seorang Sunni, menyatakan kebebasan adalah mutlak milik peribadi, dan hukuman adalah milik Tuhan kemudiannya. Jika demikian, apakah ada pandangan alternatif yang dapat dikutip dari sekolah pemikiran Islam yang lain pula? [caption id="attachment_4853" align="alignleft" width="314"] Mohsen Kadivar[/caption] Mohsen Kadivar, seorang ulama dan ahli akademik yang mengajar di Tarbiat Modarres University, Tehran telah menulis sebuah makalah yang penting berhubungan perkara ini. Makalah tersebut dibentangkan di Kongres Antarabangsa Hak Asasi Manusia dan Dialog Ketamadunan di Tehran, pada 6 Mei 2001. Menurut beliau, kebebasan beragama dan kepercayaan yang digariskan oleh Islam mengizinkan seseorang Muslim untuk menukar agamanya, menganut agama lain dan tiada hukuman patut dilaksanakan ke atasnya. Muslim yang murtad itu bagaimanapun tetap berdosa, dan ia adalah urusan dirinya dengan Tuhan. Kadivar menulis: “Kebebasan beragama dan kepercayaan bererti hak seseorang individu untuk bebas memilih mana-mana ideologi dan agama yang disukainya. Ia juga bermakna kebebasan dan hak untuk berfikir, berpegang kepada kepercayaan dan nilai, mengekspresikan agama dan pendapatnya, mengambil bahagian dalam upacara dan amalan agama, dan untuk bebas mengajar nilai-nilai keagamaan kepada anak-anak dan penganut seagama. Begitu juga kebebasan beragama bermaksud hak menjemput orang lain ke agamanya, untuk berdakwah dan menyebarkan agamanya kepada ahli-ahli masyarakat, untuk membina rumah-rumah ibadat, untuk meninggalkan dan keluar daripada agama seseorang, dan kebolehan untuk bebas mengkritik agamanya dan ajarannya. Kebebasan beragama bermaksud kebolehan melakukan semua ini secara bebas selagimana hak dan kebebasan orang lain tidak dilanggar, dan ketenteraman awam dan moraliti tidak terganggu. Kebebasan beragama dan kepercayaan adalah mungkin apabila, tanpa mengira kepercayaan seseorang, dia tidak dianiaya kerananya dan hak sivik dan individunya tidak ditarik kerananya” (Mohsen Kadivar, 2009: 119-120). Pembukaan makalah Kadivar seperti dikutip di atas menunjukkan setiap orang mempunyai hak untuk mempromosi dan meyakini kepercayaan masing-masing. Kadivar menegaskan, ‘tiada paksaan dalam agama’ seperti yang dinyatakan dalam surah al Baqarah ayat 256 adalah dalil yang nyata supaya kebebasan beragama secara kukuh dipertahankan, dan menghukum seseorang yang meninggalkan Islam adalah tidak dibenarkan. Kadivar seterusnya menjelaskan, ‘ayat itu diturunkan sebagai jawapan kepada pertanyaan yang dibuat oleh salah seorang sahabat Nabi bernama Abulhussien, seorang Ansar yang salah seorang anak saudagarnya telah memeluk agama Kristian’ (Mohsen Kadivar, 2009: 132-133). Menurut Kadivar lagi, hukuman mati terhadap seseorang yang meninggalkan agama Islam secara jelasnya bertentangan dengan formula ‘tiada paksaan dalam agama tersebut’. Tanpa menafikan mereka yang meninggalkan Islam itu melakukan dosa besar dan hal yang sepatutnya ialah supaya mereka terus beriman, Kadivar dalam masa yang sama mempertikaikan hukuman berat terhadap seorang Muslim yang meninggalkan Islam. Sebagai seorang Syiah, sumber syariah menurut Kadivar adalah bersandarkan kepada ahlul bayt. Kadivar merungkaikan, hukuman mati terhadap seseorang yang murtad hanya dapat dan boleh dilakukan ketika 14 maksumin (dua belas Imam Syiah termasuk Rasulullah SAW dan Fatimah az Zahra) masih hidup atau hadir sebagai panduan dan rujukan masyarakat Islam. Kadivar juga membahaskan, hukuman mengambil nyawa seseorang haruslah dilakukan dengan penuh waspada dan tanpa sumber hukum yang benar-benar sahih dan terang, ia tidak dapat dilakukan, memandangkan Islam amat menghargai nyawa setiap makhluk: “Pertamanya, tiada keraguan bahawa semasa hayat nabi dan 12 Imam Syiah, hukuman mati untuk murtad adalah perkara biasa. Individu-individu ini mengetahui undang-undang syariah dan ketentuan ilahi lebih baik daripada orang lain, dan ia tidak dibenarkan untuk meragui kesahihan pengadilan mereka. Yang terbuka kepada tafsiran, bagaimanapun, adalah kesahihan penghakiman sebegitu semasa ketiadaan mereka. Malah, ia tidak jelas sama ada ajaran tersebut adalah sah untuk sepanjang zaman atau terhad kepada zaman Empat Belas Yang Maksum sahaja. Ulama Syiah terbahagi kepada dua aliran pemikiran tentang hal ini. Pandangan yang lebih biasa melarang pembunuhan si murtad apabila Empat Belas Maksum tiada, di mana beberapa ulama Syiah menyetujui. Oleh kerana hukuman bagi si murtad telah disentuh dalam syariah, ia tidak boleh dilaksanakan tanpa kehadiran Empat Belas Maksum. Kepentingan pendapat ini menjadi diperbesarkan memandangkan bantahan lain terhadap hukuman murtad yang telah disebutkan. Keduanya, semua tradisi mengenai hukuman mati untuk murtad diambil daripada satu sumber. Kesahihan suatu tradisi adalah berdasarkan usul dan penerimaan beberapa ulama. Dalam banyak isu penting, ulama tidak bergantung kepada kekuatan sumber tunggal untuk menentukan kesahihan tradisi. Apabila berkaitan pengambilan hidup manusia, kemajmukan sumber pastinya diperlukan. Hak semulajadi seseorang untuk hidup hanya dapat ditamatkan apabila terdapat ajaran khusus mengenainya, seperti ayat Al-Quran atau suruhan yang jelas. Pembunuhan si murtad tidak boleh dilakukan jika hanya berdasarkan satu sumber” (Mohsen Kadivar, 2009: 141). Pandangan Kadivar tersebut tentu sahaja ditanggapi sebagai ‘liberal melulu’ untuk mereka yang memilih untuk tidak bersetuju dengannya. [caption id="attachment_4854" align="aligncenter" width="480"] Muhammad Legenhausen[/caption] Murtad, Menurut Sufisme Muhammad Legenhausen, seorang ilmuan dan ahli falsafah yang mengajar di Qom, Iran turut melihat isu ini. Cuma sebagai pengkaji sufisme, Legenhausen melihat isu ini menerusi kaca mata berbeza, iaitu sebagai seorang pendukung pluralisme: “Mereka yang memilih agama selain Islam membuat kesilapan, sama ada secara dusta atau jahil. Oleh kerana tiada cara untuk kita untuk menentukan samaada ianya kerana jahil (boleh dimaafkan), di mana hubungan baik dengan orang bukan Islam adalah mungkin tanpa membiarkan ketidakadilan, anggapan kesilapan yang jujur adalah tanggungjawab moral bagi kita” (Muhammad Legenhausen, 2005: 70) Pandangan Mohsen Kadivar di atas sangat penting, kerana ia menunjukkan kesediaan dunia Islam Syiah untuk berubah dan hidup secara harmonis dengan komponen masyarakat yang lain. Ia menjadi isyarat sudah berlakunya perubahan sikap yang signifikan dalam Islam. Ini berbeza misalnya pada tahun 1968, apabila Sultanhussein Tabandeh membentangkan makalah beliau yang berjudul A Muslim Commentary on the Universal Declaration of Human Rights di Tehran International Conference on Human Rights. Dalam makalahnya tersebut, Tabandeh secara keras menegaskan, seseorang Islam yang meninggalkan agama Islam harus dibunuh, dan wanita murtad mestilah dipenjara seumur hidup dengan kerja paksa sebagai buruh (Sultanhussein Tabandeh, 1970: 72-73). Realiti Kepelbagaian Malaysia & Non-Dialoguers Suara-suara alternatif dari dunia Sunni, mahupun Syiah seperti Mohamed Talbi dan Mohsen Kadivar yang menjarakkan diri dari pandangan-pandangan tradisional jelas boleh direnungi bersama khususnya untuk Malaysia yang berdepan dengan kepelbagaian kepercayaan. Malaysia berdepan kesukaran untuk mempunyai pilihan lain kerana umat Islam di Malaysia harus hidup rukun dengan umat bukan Islam. Fakta bahawa ‘Islam autoritatif’ dipusakai dari penjajah membuktikan, ada bahagian lampau Malaysia yang perlu dimuhasabahi. Cabaran kepada isu kebebasan beragama di Malaysia hari ini adalah apabila pentadbiran agama yang diwarisi dari penjajah ini mulai dibanjiri dan diduduki oleh agamawan ‘non dialoguers’. Siapakah ‘non dialoguers’? Mereka wujud dalam agama Islam, mahupun Kristian, dan menjadi ancaman besar kepada kemanusiaan. [caption id="attachment_4856" align="aligncenter" width="514"] Jacques Waardenburg[/caption] Jacques Waardenburg (2003: 440-441) menghuraikan siapakah ‘non dialoguers’ dan bahaya mereka sebagai ancaman senyap kepada masyarakat, khususnya yang berbilang kaum dan agama seperti masyarakat di Malaysia: “Satu lagi masalah ialah gerakan ideologi agama, Islam atau Kristian, yang hanya mahu berpegang kepada asas-asas dan integriti agama mereka dan memaksakannya ke atas orang lain. Mereka menutup diri daripada apa yang dikatakan atau dilakukan orang lain. Idea-idea mereka memberi saksi kepada kebergantungan diri, sehingga mereka tidak dapat melihat sebarang keperluan untuk berhubungan dengan ‘yang lain’. Sebaliknya, agama-agama lain merupakan ancaman kepada mereka. Mereka memanggil diri mereka Pembela Agama, atau pembela Tuhan secara kiasan, namun sikap mempertahankan diri ini seiring dengan sikap militan terhadap orang lain. Mereka mungkin menggunakan dialog untuk sebab-sebab taktikal, dalam mengejar matlamat jelas bagi diri mereka. Di kalangan umat Kristian, saya berfikir bukan hanya tentang mereka yang dikatakan fundamentalis dan Evangelikal, tetapi juga pendakwah tegar yang bagi mereka semua umat Islam harus menjadi Kristian, dan golongan konservatif yang melihat tradisi mereka sebagai kekal sepanjang zaman dan bagi mereka tiada pilihan lain yang wujud. Di kalangan umat Islam, saya berfikir terutamanya tentang gerakan ‘Islamis’ yang cenderung untuk mentakrif Islam dengan versi tertentu mereka sendiri atau yang sebenarnya hanya mahu mengejar kepentingan politik. Mereka mungkin berfikir bahawa mereka mengetahui apakah agama Kristian dan mengapa mereka menolaknya. Di sini juga, sudah tentu, terdapat ultra-konservatif yang serupa dan wujud di mana-mana agama.” Perenggan di atas menunjukkan betapa mencabarnya usaha dialog. Jacques Waardenburg (2003: 441) menambah, hubungan agama akan selamanya tidak harmoni jika ‘non-dialoguers’ dibenarkan menjadi jurucakap dan mewakili agama masing-masing kerana mereka menutup diri dari komunikasi dengan pihak lain. Jikapun dialog berlaku, ia berlangsung dengan prasangka dan niat untuk memenangkan, bukan untuk saling memahami dan mengenali. Terdapat banyak apostasia senyap seperti yang pernah berlaku dalam sejarah Islam dengan kehadiran ‘Crypto Jews’ dan ‘Crypto Christians’ dalam masyarakat Islam. Ternyata, bahaya atau ancaman yang disumbang oleh mereka tidaklah begitu besar. Pemerintah Islam dalam sejarah malah sedia bekerjasama dengan mereka, atau memberi mereka jawatan pentadbiran. Lantaran itu, mereka yang menyeru kepada hak asasi manusia tidak wajar ditangani sebagai ‘musuh’, berbanding ancaman lantang ‘non-dialoguers’ yang menolak untuk berhubung dengan ‘dunia luar’. Agamawan ‘non-dialoguers’ dengan pakatan kumpulan ultra nasionalis sentiasa bersedia untuk menggunakan posisi, kuasa dan kelebihan yang mereka miliki dalam pemerintahan untuk menindas sektor masyarakat yang tidak berupaya. Di tangan mereka, ‘non-dialoguers’ dan ultra nasionalis ini; hak asasi manusia sentiasa berpotensi untuk dicabul dan dinodai. Merekalah ancaman senyap yang boleh meruntuh kesentosaan dan kerukunan masyarakat. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 13 November 2012]
]]>Tanggapan Nik Aziz terhadap Non-Muslim
Toleransi di Malaysia
Kita meletakkan perbedaan ideologi dan krisis politik ke tepi sekejap.
Pada bulan Ramadhan ini, pasti sahaja berlaku insiden ketidaktoleransian seperti tahun-tahun lepas.
Saya masih ingat insiden paling teruk, murid-murid sekolah yang bukan beragama Islam diarahkan makan di tandas yang dijadikan “kantin sementara” (laporan kemudiannya timbul bahawa ia sebenarnya bilik persalinan yang mempunyai bilik mandi, bersebelahan tandas).
Entah ke mana perginya sikap terbuka dan berlapang dada masyarakat ini.
Pada masa yang sama, wujud juga sesetengah tokoh, Muslim dan non-Muslim, yang mengamalkan pendekatan hidup bersama secara harmoni. Mereka berdakwah dengan menunjukkan teladan yang mulia.
Sesungguhnya pada bulan puasa yang mengajak umatnya untuk bertaqwa, eloklah kita mengambil pengajaran daripada salah seorang tokoh tersebut, Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Beliau sentiasa mengambil peluang bukan untuk mencaci, tetapi untuk berdakwah. Bukan memburuk-burukkan orang lain atau menaruh prasangka buruk, tetapi memperkenalkan mesej Islam kepada yang belum mendapat hidayah.
Baru-baru ini saya pulang ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara. Saya sempat menjenguk kedai MPH di KLIA 2. Terdapat senaskah buku mengenai pemikiran Tok Guru Nik Aziz, maka saya mengambil kesempatan untuk membeli dan menelaah buku tersebut. Saya menjadikan buku itu sebagai rujukan untuk artikel ini.
Nukilan Tok Guru Nik Aziz: Persaudaraan Manusia
Disebabkan saya tidak layak dan tidak berniat untuk mentafsir ayat-ayat TGNA, saya akan membiarkan kata-kata Tok Guru “bercakap dengan sendiri”.
Berikut merupakan tanggapan Tok Guru Nik Aziz terhadap hubungan antara Muslim dan non-Muslim:
“Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa. Islam datang bagi membebaskan manusia dari segala fahaman kebangsaan yang sempit. Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa, dan suku kaum.”
“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli, dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah.
Sekiranya tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Sekiranya tidak jumpa jawapan, terima dahulu kenyataan ini.”
“Selama ini kita tidak berfikir menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebarkan Islam kepada sesama orang Islam.
Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, tetapi bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.
Sebenarnya, perpaduaan melalui Pakatan Rakyat membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.”
“Mengapa isu membenarkan bukan Islam masuk ke rumah ibadah agama Islam diperbesar-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan?”
“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam.”
Politik Rasis Menentang Ajaran Islam
“Saya sendiri sentiasa konsisten bahawa budaya politik rasis sewajarnya layak dibuang terus dari kamus masyarakat Malaysia. Inilah budaya politik terkebelakang yang tidak membawa sesiapa ke mana-mana melainkan hanya menyemarakkan api permusuhan sesama sendiri…
Darah Melayu dan darah Cina serta bangsa-bangsa yang lain sama-sama berwarna merah dan tidak bersepuh emas warna darahnya semata-mata hanya kerana berbangsa Melayu.
Justeru, Islam mengajar manusia agar tidak berbangga dengan darah keturunan, sebaliknya hendaklah manusia berebut-rebut menjadi insan yang bertaqwa. Seorang yang bertaqwa darjatnya tinggi di sisi Allah SWT walau apa jua bangsa sekalipun.”
“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, oleh itu bila tiba perkara-perkara macam ini (orang bukan Islam membaca al-Quran atau masuk ke dalam masjid), terus timbul masalah.
Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Quraisy yang kafir datang berjumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid.
Cuma apa yang dilihat benda itu sebagai pelik pada zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama.”
Dr MAZA: Masjid & Non-Muslim
Pandangan Mufti Perlis, Dr. Asri bin Zainal Abidin, yang menyokong kenyataan TGNA:
“Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid supaya dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; Muslim dan bukan Muslim.
Di negara seperti Malaysia berbilang agama dan budaya, kaum Muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.
Sekiranya masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, biarkah Islam akan dapat difahami oleh mereka.
Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan-akan tiada rahmah antara Muslim dan non-Muslim, ditambah lagi dengan ruang yang ditutup untuk mereka mendengar ajaran Islam.
Masjid digambarkan sebagai musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama, ada pihak bukan Islam menjemput Muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan pelbagai bantuan.
Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurangnya noktah yang mengurangkan sangkaan salah kepada agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang mahu kita bawa dalam negara ini?”
Impian TGNA Bersama Bukan Islam
Surat TGNA kepada Nga Kor Ming:
“Saya juga terharu mendengar keluhan YB berbunyi, ‘Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.’
Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.
Mudah-mudahan dengan sikap ‘tidak mesra Umno’ dan pemimpin-pemimpin Umno berkaitan kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami, dan mengadakan forum serta wacana berkaitan Islam dengan cara yang lebih meluas.”
“Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau, dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.
Kalau Gengkhiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.
Lalu saya mempunyai keyakinan Islam kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang bakal meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu-bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.
Mari kita membina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog, dan wacana. Tajuk-tajuk seperti ‘Di mana tidak kenanya Islam’ atau ‘Apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam’ boleh difikirkan.”
(Semua petikan di atas diambil dari buku “Pemikiran Tuan Guru: Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Kenangan” dan prakata TGNA dalam buku “Malaysia Pasca-Rasisme”)
]]>Ekaristi dan Krisis Ekologi
Syurga dicipta untuk memuaskan manusia yang padanya dunia tidak bermakna – Heine Kegelisahan Manusia Pada malam 04.06.2015, kelihatan bulan begitu terang memancari langit gelap yang terbentang luas, pemandangan yang sungguh indah. Tak sangka esoknya, Gunung Kinabalu digegarkan gempa bumi dengan magnitud 6.0 dan gelombang riaknya terasa hingga ke sekitar Kota Kinabalu. Adakah semalam itu cahaya gempa? Gempa yang telah menyebabkan: (i) kehilangan 18 nyawa (ii) kebingungan, kerisauan 167 pendaki terperangkap — terselamat semuanya dengan kekuatan kasih para malim (jurupandu gunung) (iii) kemarahan rakyat Sabah terhadap yang kurang ajar (termasuk penjawat am dan pelancong telanjang); dan kini (iv) tanah runtuh, perubahan permukaan bumi dan banjir lumpur di kawasan kaki Gunung Kinabalu. Kali terakhir saya mendaki gunung Kinabalu ialah pada 31hb Mei pada pesta Kaamatan tahun lalu. Mendaki bersama sekumpulan orang muda dari Kg. Terian, Ulu Papar, untuk: (i) bersolidariti dan mengibarkan banner “Save Ulu Papar” kerana kampung mereka kini sedang diancam oleh cadangan pembinaan empangan Kaiduan; dan (ii) menjadi sukarelawan pemungut sampah sarap sepanjang perjalanan yang dibuang oleh pendaki-pendaki semasa ingin mencapai ke puncak gunung Kinabalu. Selain daripada dua tujuan diatas, ada lagi satu tujuan peribadi untuk ke gunung. Iaitu sebagai satu perjalanan rohani, untuk mengabdikan diri dengan ciptaan sambil berdiskusi dengan alam yang lirih. Kita adalah Bumi Walaupun sudah setahun lalu naik gunung, masih segar dalam ingatan saya apa rasanya di puncak. Ia memberi saya suatu perasaan kagum dan misteri. Setiba dipuncak, terdapat satu pemandangan yang selalu diabaikan, iaitu pemandangan ruang kosong yang sangat banyak dan sangat luas. Memandang dari atas ke ruang kosong yang luas terbentang, saat itu saya merasakan ada satu kehidupan yang tidak terungkapkan dan sukar dijelaskan. Sambil menghirup udara segar, terasa hanya ingin tinggal dalam realisasi tersebut dan merasakan bagaimana ia bermanifestasi dalam diri ini secara sedar. Melihat keindahan ibu bumi adalah penting untuk pertumbuhan advokasi kita terhadap ekologi. Kerana biasanya kita akan melindungi benda yang kita cintai. Dan selalunya kita cinta kepada apa yang cantik, seperti planet bumi yang saya katakan tadi. Akan tetapi, bagaimanakah kita mampu melihat kecantikan planet ini kalau kita tinggal di dalamnya? Seperti juga, seseorang tidak akan dapat melihat gambarnya sendiri kalau dirinya berdiri didalamnya. Maka, kita belum melihat keindahan sebenar ibu bumi kita, kalau kita masih menganggap kita dan bumi adalah dua mahkluk yang berbeza. Pada tahun 1968, angkasawan Apollo 8 berjaya mengambil gambar bumi yang pertama dari bulan. Dengan tersebarnya gambar bumi tersebut, ia membangkitkan gerakan global alam sekitar yang membawa kepada pelancaran Hari Bumi pada tahun 1970. Dan pada 1972, angkasawan Apollo 17 telah berjaya menghasilkan gambar bumi yang lebih jelas. Gambar tersebut telah menyebabkan satu kesedaran baru bahawa ekosistem bumi dan umat manusia adalah saling berkaitan dan membentuk satu entiti. Dan ini bermakna kelangsungan hidup manusia bergantung kepada sistem planet ini. Para angkasawan yang melihat bumi dari luar untuk kali pertamanya tidak melihatnya sebagai satu benua atau lautan dari jarak yang jauh, tetapi melihat ke dalam ruang angkasa, dan melihatnya secara keseluruhan. Pertama kali, melihat planet biru terapung yang membawa kehidupan kecil di dalamnya dan tanpa sempadan. Tidak hairanlah mengapa Alvina berkata dan saya mengiyakannya,“Ia seperti berada dalam tubuh yang sama dan satu bahagian yang cedera. Itulah yang saya rasa.” Apabila Gunung Kinabalu sakit seluruh penghuni berdekatan juga jadi sakit. Amaran kepada Manusia Di mana sahaja saya pergi, semua orang akan bercakap mengenai bencana ini seperti ia hanya berlaku di sana dan bersikap “Ah alangkah kasihannya mereka, marilah kita memberi bantuan dan teruskan berdoa”, kemudian keesokan harinya masih terus membuang sampah merata-rata tempat. Tiada orang tanya soalan seperti yang pernah diutarakan oleh Marvin Gaye dulu, “What’s going on?” Menurut Lindu, “Ranau merupakan satu amaran kepada kerajaan dan rakyat Malaysia untuk merenung dan melihat kembali kepada keadaan pembangunan yang telah berlaku. Pembinaan kawasan perumahan konkrit dan pusat membeli belah semakin pesat.” Pemahaman keterbelakangan yang mencadangkan bahawa manusia “…penuhkan bumi, dan takluklah, berkuasalah ke atas semua alam di bumi…” (Kej 1:28) telah meletakkan penekanan yang lebih kepada keunikan manusia daripada keutuhan ciptaan yang saling melengkapi. Dimana manusia dipuji sebagai mempunyai ketinggian akal daripada makhluk bumi yang lain kerana, “manusia dicipta seiras dengan wajahNya” (Kej 1:26). Pemikiran yang bersifat antroposentrik menyatakan bahawa makhluk lain tidak termasuk dalam “rencana keselamatanNya”. Pemahaman bersifat antroposentrik ini, menolak rangka kesamarataan dan memihak kepada cara pandang yang meletakkan ciptaan di hierarki paling bawah. Ini disahkan apabila keulungan manusia diperbesarkan dengan “Tuhan Allah mengambil manusia dan menempatkanya dalam taman Eden untuk mengusahakan dan memelihara taman itu (Kej 2:15).” Jadi, manusia dengan tanggapan yang kononnya dia ‘dipilih Tuhan’, menganggap bahawa mereka mempunyai panggilan untuk “menguasai/memerintah” makhluk yang lain dan menakluk bumi (Kej 1:26 + 28). Maka, cara fikir Aristotle ini telah menggalakkan eksploitasi yang tidak terkawal dan meletakkan manusia sebagai yang dominan dan membinasa bumi. Cinta kepada Kehidupan “Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, Tinggi lagi sayang sama kamu”, begitulah nyanyian penyanyi tempatan Kimin Mudin yang terasa begitu bermakna sekali. Kini lebih bermakna, kerana setiap kali mendengarnya pasti terkenang kembali pendaki-pendaki dan malim gunung yang menjadi korban. [caption id="attachment_4825" align="aligncenter" width="489"] Gambar: Channel News Asia[/caption] Bukan itu sahaja, malim-malim gunung ini juga diisytiharkan sebagai wira. Merisikokan nyawa dan badan mereka untuk menyelamatkan pendaki-pendaki yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu. Robbi – terkorban apabila batu menimpa kepalanya, walau dalam kesakitan dan kesengsaraan beliau menjerit kepada para pendaki untuk teruskan perjalanan, sementara menunggu penyelamat yang tak sempat kunjung. Joseph – terkorban apabila ditemui dibawah runtuhan batu dalam keadaan dia jadikan tubuhnya sebagai perisai kepada dua pendaki. Valerian dan Ricky – terkorban ketika mereka sedang bersama pelajar TKPS di trek “via ferrata” di kawasan gunung yang lebih terbuka dan terdedah kepada runtuhan bongkah batu. Robbi Sapinggi, Joseph Solugin, Valerian Joannes dan Ricky Masirin dalam pekerjaan mereka telah memberikan nyawa sebagai tebusan kepada pendaki lain, supaya yang lain boleh hidup. Seperti dalam Yohanes 15:13, “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang memberikan nyawanya untuk sahabat-sahabatnya.” Maka ramailah yang kagum, hairan, teruja dengan kebaikan para malim yang telah terkorban, dan juga para malim yang telah menyelamatkan. Banyak yang masih tidak percaya wujudnya orang-orang yang tiada keraguan diri, di zaman moden yang bersifat individualistik dan pentingkan diri sendiri kini. Charlene Burns (2006) membuat cadangan berani dan mengatakan bahawa altruisme yang kita perhatikan itu adalah satu manifestasi kuasa Tuhan yang terlaksana melalui ciptaan. Sifat altruisme, kerjasama (gotong-royong), dan saling kebergantungan yang lebih luas dengan jaring-jaring kehidupan memberi kita kesedaran bahawa kehidupan alam dan kehidupan roh adalah saling berkaitan. Walaupun kita merasa sedih dengan kehilangan nyawa muda, ibu bumi mempunyai rencana lain, ia memeluk mereka. Semoga roh jiwa mereka tenang dan menjadi mata-mata yang menjaga pendaki di masa hadapan. Spiritualiti Orang Asal Antara peristiwa yang dikaitkan dengan gempa bumi adalah pelancong asing yang dikatakan tidak menghormati “semangat gunung” dengan berbogel di puncak. Gambar mereka yang tersebar di internet telah menyebabkan kemarahan rakyat Sabah. Dan ini menimbulkan banyak reaksi berbeza daripada pelbagai lapisan masyarakat. [caption id="attachment_4826" align="aligncenter" width="514"] Gambar: The Star[/caption] Orang tempatan menyalahkan “pembogel” tersebut kerana mengundang kemarahan Aki Nabalu. Maka, banyaklah ‘pembogel’ sebenar yang mengatakan bahawa kepercayaan adat tersebut adalah kepercayaan kuno, primitif dan melanggar ajaran agama. Merekalah ‘pembogel’ yang sebenar kerana, kemanusiaan telah hilang akibat ditelanjangi prasangka dan prejudis terhadap agama tradisi ataupun spiritualiti Orang Asal. Dalam proses pembesaran saya dalam iman katolik, saya diajar bahawa pagan itu sesuatu yang negatif dan harus dibuang kerana “kita sudah Kristian”. Persoalan, bagaimanakah mampu kita fahami spiritualiti yang lebih lama dari kewujudan bumi sendiri. Umur alam semesta 13.7 bilion tahun, planet bumi dalam lingkungan 3.8 bilion tahun, kehidupan ialah 2 bilion, dan kewujudan manusia di bumi hanya dalam 7 juta tahun. Juga munurut Santo Thomas Aquinas, “Jika kita tidak memahami penciptaan dengan betul, kita tidak boleh berharap untuk memahami Tuhan dengan sebenarnya.” Jadi, saya percaya bahawa spiritualiti mendahului agama formal dengan beberapa tahun. Bukan itu sahaja, Persidangan Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei mengatakan, Gereja harus belajar dan berdialog dengan agama lain. Antaranya ialah, Gereja boleh belajar tentang penghormatan dan penghargaan terhadap alam sekitar dan kesyukuran tuaian dari Animisme. Dan kebanyakan agama tradisi Orang Asal berasal dari kepercayaan anismisme, yang setiap ciptaan di bumi ini mempunyai semangat yang mesti dihormati agar semangat itu tidak menggangu manusia. Menarik sekali apabila Huguan Siou kita mengenakan sogit (denda) terhadap pelancong tersebut kerana menyebabkan kemarahan semangat gunung. Tapi mengapa dia tidak berbuat apa-apa untuk mengelakkan kemarahan semangat hutan di Ulu Papar. Bukankah kawasan Ulu Papar juga suatu ruang suci, kerana peranannya sebagai kawasan tadahan air untuk pantai barat Sabah dan untuk semua nilai-nilai yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit. Laudato’ Si Pada khamis lalu, Paus Fransiskus telah melancarkan ensiklik (pesanan kepada semua Katolik) yang ditunggu-tunggu dunia dan menyeru untuk “pemuliharaan ekologi”. Antara perkara-perkara penting dalam ensiklik yang bertemakan perubahan iklim itu ialah: (i) perubahan iklim adalah benar dan ia kini bertambah teruk; (ii) manusia adalah penyumbang terbesar kepada peubahan iklim ini; (iii) perubahan iklim memberi kesan yang besar kepada golongan miskin; (iv) individu boleh dan harus membuat sesuatu, tetapi ahli politik mempunyai tanggungjawab dan perlunya kebangkitan untuk perubahan struktur dan polisi; dan (v) kita masih mempunyai harapan untuk melakukan yang terbaik untuk alam dan bumi kita. Fr. Jojo M Fung dalam renungannya merumuskan surat Paus Fransiskus yang bertajuk Laudato Si’: On Care for Our Common Home. Beliau mengatakan bahawa ensiklik tersebut, “membuka hati kita supaya mempunyai keinginan untuk menikmati kehadiran mistik Allah. Cinta kasih Tuhan dialami, disebarkan dan menghidupkan aktiviti dalam ciptaan, di mana mereka yang miskin berjuang untuk menemukan tempat dalam rumah kita bersama.” Sama juga apabila kita menghadiri perayaan Ekaristi di mana, roti dan anggur yang dipilih oleh Yesus Kristus disetiap perayaan Ekaristi mengikat perayaan Ekaristi seluruh ciptaan dan ciptaan yang dipercayai untuk melindungi umat manusia. Roti yang menjadi tubuh Kristus itu merupakan hasil daripada tanah yang tidak dicemari. Anggur yang diubah kepada darah Kristus juga melambangkan transformasi ciptaan untuk memenuhi keperluan generasi masa kini dan yang akan datang. Air yang bersatu dengan wain anggur melambangkan persatuan dalam Kristus yang bersifat manusia dan Kristus yang bersifat ilahi, yang menandakan serta memuaskan hati kita yang dahagakan Tuhan dan ‘air hidup yang kekal’ (Yohanes 4:14). Advokasi terhadap Ekologi Setiap kali bumi dikorek untuk pembangunan yang tidak lestari, maka setiap kali itulah ibu bumi hilang daya tahannya untuk melindungi umat manusia. Melihat video-video banjir lumpur di Sg. Liwagu baru-baru ini, pokok-pokok besar dengan senangnya tumbang dan menyebabkan rakyat di Ranau, Kota Belud dan sekitarnya mengalami masalah air bersih dan memberi ketidaktentuan dalam kehidupan seharian. Harus tidak dilupakan, daerah Ranau merupakan lokasi kepada projek perlombongan terbesar di Malaysia, Mamut Copper Mine, sebelum ia berhenti beroperasi pada tahun 1999. Kemuncak aktiviti perlombongan ialah di mana Ranau “membangun”, syarikat lombong membina jambatan melintasi Sg. Liwagu, dan pembinaan Ranau Golf Course. Dan jika anda pergi ke Ranau sekarang, ia sudah semakin panas dan di Bundu Tuhan pula banyak bangunan tinggi untuk pelancongan. [caption id="attachment_4831" align="alignleft" width="300"] Banjir di Ranau. Gambar: The Rakyat Post[/caption] Kini terdapat satu lagi cadangan pembunuhan ibu bumi di kawasan Ulu Papar. Ulu Papar yang bersempadan antara Penampang dan Papar, dihuni lebih daripada 1,400 penduduk Orang Asal Dusun. Jika meja mesyuarat yang berberhawa dingin dengan goresan pen meluluskan pembunuhan itu, maka mereka akan menghadapi raksasa yang bernama empangan Kaiduan. Bukan sahaja 1,400 penduduk itu yang akan merasakan, namun kita semua pun akan menjadi korban diatas pembangunan yang tidak lestari ketinggalan zaman itu. Menurut Paus Fransiskus dalam ensiklik terbarunya, “adalah penting untuk memberi perlindungan istimewa kepada komuniti Orang Asal dan juga budaya tradisi mereka. Mereka bukan sahaja antara kumpulan minoriti, tetapi harus berdialog bersama sebagai rakan-kongsi utama, terutamanya apabila projek besar dicadangkan yang akan menjejaskan tanah mereka. Untuk mereka, tanah bukan satu komoditi tetapi suatu hadiah, pemberian atau kurnia dari Tuhan dan daripada nenek moyang mereka yang beristirehat disana, suatu ruang suci untuk mereka supaya boleh berinteraksi / meluahkan diri untuk mengekalkan identiti dan nilai-nilai budaya mereka. Apabila mereka menghuni sebuah kawasan, merekalah pelindung dan pemelihara yang terbaik. Namun, banyak tempat di serata dunia memberi tekanan kepada mereka supaya meninggalkan tanah air mereka untuk membuka ruang kepada projek-projek pertanian atau perlombongan yang dilakukan tanpa memberi perhatian kepada kemusnahan alam semula jadi dan budaya.” (no. 146) Sebagai individu, marilah kita melakukan perubahan budaya, tukar cara hidup kita yang terlalu hedonistik dan konsumeris. Permintaan kepada barang pakai buang yang banyak di pasaran melukakan komuniti yang jauh, di mana tanah mereka dirampas untuk membuat kilang-kilang supaya barang yang anda inginkan itu boleh dijual. Kesengsaraan ibu bumi 30 tahun lalu, akan dirasai oleh generasi masa akan datang, dan kita sedang mengalaminya sekarang. Sebagai refleksi kita hari ini, marilah dengarkan lagu “Colors of the wind” dari filem Pocahontas.
]]>Ramadhan & Virus Konsumerisme
Gambar: http://www.illustrasiaku.com/[/caption] Adakah umat Muslim memerlukan Santa Claus? Menerusi makalah ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam, khasnya sekarang iaitu bulan Ramadhan. Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadhan yang wajar dikejar. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadhan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca. Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; seperti pakaian keAraban dan sebagainya. Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadhan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadhan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”. Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme, kadangkala perkara sama berlaku dikalangan Muslim: biasa didengar bagaimana sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks! Malah makanan yang tidak dapat dihabiskan, yang lazimnya bertimbun di buffet-buffet tersebut akan dibuang sahaja, atas alasan hak milik peribadi pemilik hotel. Bukan suatu yang rahsia, sebahagian pihak terjebak dengan hutang keliling pinggang hanya kerana “tidak mahu kalah” semasa hari raya, iaitu setelah sebulan perjalanan spiritual yang seperti tiada apa-apa kesannya. Mesej berjimat cermat, membantu orang memerlukan, kesamarataan manusia, persaudaraan kemanusiaan dan mesej utama ketakwaan (yang mana menurut Islam; ketakwaan itu ringkasnya ialah “menjaga hubungan dengan Tuhan dan memperbaiki kualiti hubungan dengan manusia dan kehidupan”) terabai begitu sahaja. Ramadhan: Renung Diri atau Jual Beli? Beberapa perenggan di atas merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya amalan-amalan keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu yang jelas dilihat amalan-amalan agama Islam ialah ia sentiasa dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Akibat ragutan itu, Ramadhan bukan lagi menjadi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding dengan bulan-bulan lain. Ramadhan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadhan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan. Berhubung mereka (para politikus), sekalipun atas nama “berbuka puasa” dan apa-apa upacara keagamaan, persoalan berapa dan dari mana belanja dikeluarkan perlu sentiasa ditanya. Kembali kepada Makna Agama Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme mengeruhkan lagi keadaan. Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya A History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?. Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar mempunyai erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian: “Manusia tidak mampu mengharungi kekosongan dan kehilangan; mereka akan mengisinya dengan mencipta tumpuan baru terhadap kemaknaan. Idola fundamentalisme bukan pengganti baik untuk ketuhanan; jika kita akan menghidupkan kepercayaan baru untuk abad ke-21 ini, kita patut, sewajarnya, merenungi sejarah ketuhanan untuk menggarap pengajaran dan amaran.” Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu renungan dalam tradisi beragama khasnya di kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita mengabaikan persoalkan makna, tujuan dan rahsia dalam fahaman kita tentang Ramadhan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadnan dan amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak supaya melihat kembali apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadhan ialah satu usaha untuk mengelak kehampaan makna berlangsung serius, selain menolak akhirnya hal-hal keagamaan menjadi bahan paling laku untuk diniagakan. Teladan daripada Ibn Tufail Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masyarakat yang sudah hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperolehi sepanjang berada di pulau itu. Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masyarakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar mana yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semula ke pulau tersebut, dan meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi. Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama. Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman dimana perindustrian merupakan segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan amalan beragama, salah satunya Ramadhan dan puasa. Ramadhan dan puasa hanya contoh kecil, ia sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadhan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti Ramadhan. [Ulangsiar dari makalah yang telah diterbitkan pada 7 Julai 2014]
]]>Tun Mahathir Lawan Najib: Sudut Pandang Anak Sarawak
Najib vs Mahathir dalam ‘perang Pokemon’[/caption] Bapa-bapa Negara Seakan menjadi tradisi apabila melihat Tun Dr Mahathir sekali lagi melakukan perkara yang sama yang pernah dilakukan kepada Tun Abdullah terhadap Dato’ Sri Najib. Apabila satu demi satu perdana menteri tidak berupaya meneruskan Wawasan 2020 sepertimana yang dirancang dengan baik, Tun Mahatir akan mengatur strategi bagi menjatuhkan pengganti beliau. Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia yang keenam adalah anak sulung kepada mantan Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak. Tun Abdul Razak dikenang sebagai Bapa Pembangunan manakala Dato’ Sri Najib terkenal sebagai Bapa Transformasi 1Malaysia. Retoriknya gelaran yang diberikan, saya amat skeptik mengapa perlunya pengkhususan misi dan visi terhadap gelaran “bapa” kepada setiap Perdana Menteri. Sedangkan ada di kalangan mereka ini tidak berupaya untuk mengangkat gelaran tersebut seperti yang diwar-warkan gah ibarat adiwira. Seakan tidak menjadi “ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi”, personaliti Najib tidaklah seutuh dan sehebat legasi bapanya jika dinilai prestasinya sejak PRU-13 lalu. Harapan Yang Punah Pada mulanya, saya menaruh harapan yang tinggi kepada Najib sebagai Perdana Menteri. Bagi saya, beliau dilihat sebagai ikon Islam moderat bagi menyatupadukan rakyat Malaysia dengan slogan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” namun hampa. Ternyata tanggapan saya ketika itu amat meleset. Sejak beliau mentadbir kerajaan pada tahun 2009, banyak kejadian serta insiden yang tidak diingini berlaku di arena politik, sosial dan ekonomi tanah air. Sudah jatuh ditimpa tangga, adakah kegagalan Najib mentadbir kini disebabkan segala masalah pentadbiran yang diwarisi daripada Tun Abdullah dan Tun Mahathir sejak zaman reformasi 1998? Memetik kenyataan Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar yang juga anak kedua arwah Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba daripada SelangorKini, beliau mendakwa sikap boros Najib merupakan punca kepada krisis kepimpinan beliau. “Ketika rakyat tengah susah, harga barang naik tetapi Najib dan Rosmah tidak prihatin. Mereka pergi bercuti guna jet kerajaan ke Australia dan Amerika, tetapi Tun Razak ketika perjalanan terakhir ke London untuk berubat tidak benarkan Tun Rahah ikut kerana tidak ada jumbo jet, kena beli tiket kapal terbang. Tun Rahah tidak pergi akhirnya kerana ingin jimat dan tidak mahu guna dana kerajaan.” Baik Buruk Yang Lama Berbalik kepada soal kepimpinan, saya ingin menganalisa corak kepimpinan Tun Dr Mahathir sejak mengangkat jawatan sebagai Perdana Menteri dari 1981 dengan kaca mata saya sendiri. Saya mengenali Tun Mahathir melalui buku teks, televisyen, media cetak, akhbar, cerita ahli keluarga dan rakan-rakan saya sendiri. Ketika itu, internet belum lagi menjadi media yang utama. Saya adalah peminat Tun Mahathir sejak 1998. Rata-rata, komen-komen positif terhadap Tun Mahathir membuatkan reputasi beliau kelihatan seperti adiwira untuk negara ini. Sehinggalah saya menganalisa corak pentabiran beliau secara rinci menerusi internet dan media alternatif sejak tahun 2008, menunjukkan beliau juga tidak terlepas daripada kesilapan dalam pentadbiran. Kejayaan yang dikecapi di negara ini tidak mungkin dinikmati jika Tun Mahathir tidak mentabir selama 22 tahun dalam 5 penggal PRU. Bagi saya, beliau tahu apa visi dan misi yang ingin diterapkan pada negara. Beliau turut digelar diktaktor atau maha firaun oleh sesetengah rakyat dengan tindakan drakonian. Antaranya ‘Operasi Lalang 1987’, Akta ISA, kes pembunuhan beramai-ramai di Memali, pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan beberapa krisis yang memalitkan nama beliau seperti Projek IC di Sabah. Namun, apa yang mengagumkan saya sepanjang beliau mentadbir, rakyat Malaysia sepanjang tempoh tersebut tidak banyak merungut berbanding sekarang. Saya berpendapat satu kesilapan beliau dalam mentadbir negara mungkin adalah menyiapkan pengganti bagi Perdana Menteri. Tidak hairanlah lebih 4 Timbalan Perdana Menteri dilantik bagi memastikan aspirasi beliau diteruskan. Tuduhan kronisme serta rasuah terhadap beliau memang tidak dapat dielakkan. Selagi fungsi SPRM dan Jabatan Audit Negara tidak diletakkan pada tahap yang efisen, agak sukar untuk menzahirkan dakwaan tersebut. Krisis dan Praksis Berbalik kepada krisis kepimpinan Najib, 1MDB merupakan satu musibah yang Najib tidak lagi berupaya untuk memulih keadaan ekonomi negara ini. Satu demi satu skandal ditelanjangkan oleh media alternatif dan politikus pembangkang. [caption id="attachment_4809" align="alignleft" width="385"] Buku program sempena lawatan Najib ke Sarawak bagi sambutan Gawai[/caption] Najib yang dilihat tidak pernah hidup susah serta merakyat mungkin merasakan normal untuk memastikan hutang negara mencecah RM610 bilion. Bagi beliau yang hidup lebih setengah abad, tidak apa berhutang sekarang sebab nanti generasi akan datang yang menanggungnya! Najib lebih mementingkan tindakan populis dan survival politik beliau daripada kehendak dan keperluan rakyat serta negara. Makanya, tidak hairan beliau kerap mengunjungi Sabah dan Sarawak berbanding kesemua Perdana Menteri sebelum beliau. Ianya penting bagi mengekalkan status “deposit tetap Barisan Nasional” untuk menyelamatkan kariernya. Tak hairanlah mengapa pujian melambung Tan Sri Adenan Satem yang dipetik dari Berita Harian mengesahkan sikap serta mentaliti rakyat Sarawak “anang lawan printah” (jangan lawan pemerintah). “Bahkan Sarawak akan menjadi negeri yang sentiasa bersama beliau (Najib) ketika ‘susah’ mahupun ‘senang’, baik ketika laut tenang mahupun ‘dibadai gelora’. Rakyat Sarawak tahu mengenang dan menghargai jasa… bukan budaya kita menikam dari belakang.” Bagi saya tidak ada apa yang menghairankan saya sebagai rakyat Sarawak, sebab sudah dijangka pemimpin BN Sarawak yang ada sekarang ini amat memerlukan Perdana Menteri bagi survival politik mereka. “You help me, I help you,” kata Najib itulah yang menjadi motivasi politikus BN Sarawak. Soalan Tergantung, Realiti Rakyat Berterusan Bersyukurlah ada Tun Mahathir yang sekurang-kurangnya masih hidup dan dimana usianya yang mencecah 1 abad masih lagi waras akal fikiran untuk menyokong sentimen rakyat biasa dan bersuara. Siapa mahu bertanyakan di mana integriti Najib dalam membelanjakan dana awam berbilion-bilion ringit untuk bakal projek gajah putih yang dikenali 1 MDB? Menteri kabinet yang boleh dikatakan bangang? Perwakilan Agung UMNO? Wakil rakyat BN? Haram. Memetik kata-kata Santo Agustinus, uskup dan pemikir Kristian, “Orang yang baik, meskipun seorang hamba, adalah bebas; yang jahat, meskipun dia memerintah, adalah seorang hamba, dan bukanlah hamba kepada seseorang, tetapi apa yang paling dahsyat adalah hamba kepada seberapa banyak tuan seolah-olah dia mempunyai banyak maksiat.” Adakah Najib lawan Mahathir menguntungkan rakyat? Sudah tentu tidak. Masalah rakyat tetap sama, harga barang naik, cukai GST masih berjalan, kebebasan bersuara disekat dengan Akta Hasutan mahupun POTA dan seribu satu masalah rakyat yang lain masih lagi belum selasai. Saya tidak terkejut kerana arena politik Malaysia adalah sesuatu yang berkaitan dengan keterlangsungan kuasa oleh elit yang berpengaruh bagi pengukuhan empayar mereka. Rakyat sama ada senang atau derita bukanlah perhatian mahupun tanggungjawab mereka. Akhirnya, kita sebagai rakyat marhaen tetap bekerja keras untuk menampung kos sara hidup dan survival kita sendiri sebagai manusia dalam dunia yang fana ini.
]]>Pakaian Wanita: Obsesi Komuniti atau Hak Individu?
Gambar: Powerhousemuseum.com[/caption] Sebenarnya, masyakarat kita sudah lama mempunyai obsesi tentang tatacara pemakaian, khususnya untuk kaum Hawa. Berdesing juga telinga tatkala dikatakan pakaian wanita mengundang rogol, membawa provokasi, ataupun tidak kena semata-mata kerana susuk tubuh yang dimiliki tidak menonjolkan cantik pada pandangan mata kaum Adam. Besarnya kuasa wanita, panjang pendeknya skirt yang dikenakan juga berkemungkinan menyebabkan kaunter perkhidmatan di Jabatan Pengangkutan Jalan tidak dapat beroperasi! Tubuh badan wanita seringkali dijadikan bahan lucah tanpa sedar dan masyarakat meletakkan ukuran tidak munasabah terhadap apa yang dikatakan cantik, mahupun apa yang dianggap sopan. Jika kita mengimbau album gambar ataupun filem dari zaman dahulu, wanita Malaysia lebih selesa melakukan aktiviti seharian dengan hanya mengenakan batik sarong secara berkemban. Memang selesa untuk melakukan kerja rumah dan bergerak bebas, tambahan pula dalam cuaca panas di negara beriklim khatulistiwa kita ini. Namun, seiring dengan kemajuan zaman; wanita kini bukan hanya bekerja dari rumah. Wanita merupakan tulang belakang ekonomi dan tenaga kerja negara, memegang kerjaya dalam pelbagai bidang. Tatacara pemakaian wanita ditentukan berdasarkan keselesaan wanita sendiri dan seringkali dipengaruhi kepercayaan agama. Kebelakangan ini, sukar untuk melihat wanita berpakaian mengikut pengaruh kaum etnik masing-masing dalam aktiviti seharian dan pakaian tradisional hanya digayakan tatkala musim perayaan sahaja. Bagi kaum wanita beragama Islam, apa yang saya dapat lihat kebelakangan ini adalah pakaian wanita mempunyai pengaruh Arab. [caption id="attachment_4802" align="alignleft" width="375"] Gambar: Metro Online Broadcast[/caption] Jika kita melihat gambar dalam tahun-tahun pertama pasca merdeka ataupun dalam filem-filem karya Seniman Agung P Ramlee, wanita menggayakan kebaya pendek dan berkain batik sarong ataupun mengenakan gaun pendek sesuai dengan fesyen global zaman berkenaan. Mengimbau album keluarga saya sendiri, ibu dan kedua makcik saya menggayakan kebaya atau gaun dalam gambar-gambar lama mereka. Sejak kecil, saya mencemburui kecantikan ibu seperti dalam gambar-gambar lama beliau. Tambahan pula, susuk tubuh saya ketika membesar lebih berbentuk bulat dan baju kebaya beliau tidak muat untuk saya pinjam dan gayakan. Pada saya, kebaya pendek dan batik sarong menggambarkan lambang keanggunan wanita Melayu. Namun, berdasarkan pengalaman sendiri; pandangan serong sering diajukan apabila saya menggayakan kebaya dan batik sarong. Ada yang menyatakan susuk tubuh saya tidak cukup cantik menggayakan pakaian tersebut; manakala ramai juga yang mengajukan komentar bahawa pakaian tersebut menonjolkan “aset” yang tidak sepatutnya. Tambahan pula, jika dilihat sekeliling dan meneliti fesyen semasa, kaum wanita Melayu kini lebih gemar mengenakan jubah dan menggayakan tudung seperti wanita Arab. Pakaian Sukan Wanita Komentar berkenaan pakaian saya paling galak diajukan apabila berpakaian sukan. Sebagai seorang pelari amatur, acara marathon berjarak 42.195km merupakan satu acara yang sukar dan semua pelari patut mengenakan pakaian yang sewajarnya. Pengalaman sendiri mengajar saya pakaian mana yang selesa untuk berlari dalam jarak tersebut. Ini kerana jika tidak selesa, kulit boleh melecet dan berdarah. Kemungkinan untuk menyelesaikan acara sebenarnya sangat berkait dengan pakaian yang dikenakan. Komentar negatif yang dilemparkan kepada atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, pada pendapat saya sememangnya tidak wajar. Acara sukan gimnastik memerlukan beliau berpakaian sedemikian dan sewajarnya beliau dihargai dan dijulang, bukannya dicemuh kerana kononnya mendedahkan aurat. [caption id="attachment_4801" align="aligncenter" width="450"] Gambar: The Star[/caption] Jika saya yang amatur pun sukar untuk melengkapkan larian jika tidak selesa dengan pakaian yang dikenakan, apatah pula seorang atlet negara yang berjaya merangkul 6 pingat termasuk 2 pingat emas di Sukan SEA? Tidak banggakah rakyat Malaysia dengan pencapaian atlet sendiri? Tambahan pula, mana cemuhan sebegini kepada peserta bina badan dan pasukan bola sepak lelaki negara? Saya tidak nafikan bahawa ada atlet wanita yang bertudung. Dalam kalangan rakan-rakan pelari saya sendiri ada rakan yang bertudung dan memenangi acara larian dan merupakan pelari denai (trail runner). Tetapi, kebolehan mereka adalah berdasarkan tahap keselesaan sendiri semasa latihan dan acara; dan pastinya pakaian yang dikenakan tidak menyekat pergerakan. Keselesaan adalah fesyen utama Secara kesuluruhannya, penting untuk wanita untuk berpakaian selesa. Gaya tersendiri dipengaruhi faktor agama, pengaruh kaum etnik dan pengalaman sendiri mencari apa yang selesa. Faktor utama yang sepatutnya adalah pilihan wanita itu sendiri. Masyarakat tidak sepatutnya meletakkan jangkaan terhadap wanita dan memaksa kami mengenakan pakaian mengikut pendapat atau kepercayaan majoriti. Di zaman moden ini, keutamaan sepatutnya diberikan untuk memperkasakan wanita dalam pendidikan, serta bersama menjana ekonomi dan kemajuan negara; bukannya kepada ukuran kelabuhan skirt wanita. Jika seorang wanita selesa berbaju kurung, dari kaum etnik manapun, sepatutnya beliau boleh menggayakannya tanpa komentar negatif. Jika wanita perlu berpakaian moden ataupun mengenakan leotard untuk mencapai prestasi persembahan dan sukan yang ulung; sepatutnya kita menerima pakaian tersebut sebagai lumrah acara itu yang mampu menyokong usaha dedikasi latihan atlet saban lama. Jika wanita menggayakan kebaya, ia sepatutnya dilihat dari segi menghargai nilai etnik warisan kaum. Bukannya untuk mendedahkan aurat. Obsesi komuniti terhadap pakaian wanita tidak membawa manfaat apa pun selain membuak perasaan negatif dan egoistik patriarkal yang sepatutnya sudah lama luput. Tiba masanya untuk wanita dilihat dari segi kebolehan sendiri dan bukannya dihakimi berdasarkan pakaian yang dikenakan semata-mata. “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” – Surah Al- A’raf (7:26)
]]>Surat Terbuka Kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS): Sebuah Analisis Muhasabah Pasca PRU13
[Ini adalah ulangsiaran makalah yang telah diterbitkan pada 7 Mei 2013]