Projek Dialog

Budaya di Asia Tenggara: Kaku atau Dinamik?

Gambar: Orchid DMC Gambar: Orchid DMC[/caption] Konflik Budaya Secara amnya dunia yang saya hidupi pada waktu ini, tidak pernah ketandusan konflik. Konflik yang merangkumi pelbagai jenis isu: dari isu agama hingga ke isu budaya. Dalam artikel ini, secara spesifiknya saya akan menyentuh aspek budaya, dan bagaimanakah sudut pandangan seniman dan budayawan tentang definisi budaya di dalam konteks Asia Tenggara. Artikel ini merupakan ulasan dan tanggapan saya terhadap perbincangan acara KataKatha yang diadakan pada beberapa minggu lepas, berkenaan hal-hal kebudayaan (secara sedar atau tidak) di rantau ini. Oleh itu, harus diingatkan terlebih dahulu bahawa artikel ini mempunyai dua tanggapan berbeza mengenai hal budaya. Satu daripada saya sendiri, selaku anak muda yang hanya memaknakan dirinya melalui ritma kehidupan yang biasa-biasa. Kedua daripada barisan panelis yang terdiri daripada budayawan, sejarawan, seniman/seniwati, dan arkitek yang sudah tentunya mempunyai pengalaman yang lebih jelas dan berupaya untuk membentuk pendapat yang lebih jitu tentang budaya itu sendiri. [caption id="attachment_5327" align="aligncenter" width="551"]Sesi KataKatha. Gambar: Cheryl Hoffmann Sesi KataKatha. Gambar: Cheryl Hoffmann[/caption] Kosmopolitan, Poliglot & Keberagaman Seni: Adakah Asia Tenggara Suatu Budaya? Dialog yang bertajuk Cosmopolitans, Polyglots & The Creative Mess: Is Southeast Asia A Culture? mempersoalkan asas kebudayaan di rantau ini, apakah faktor-faktor suatu kebudayaan itu berubah dan sebab-sebab yang mempengaruhinya. Kerawakan sudut pandang mereka hanya mampu saya cernakan semula melalui kerangka pemikiran dan tanggapan yang terhasil tentang maksud budaya. Dengan penuh harapan juga saya menginginkan suatu perbincangan dan kritikan sihat muncul daripada artikel ini. Menurut saya, budaya secara amnya merupakan manifestasi kehidupan sesuatu kawasan, negara ataupun kelompok etnik. Ia merangkumi pelbagai aspek dari sistem linguistik, politik sehingga ke aspek estetika yang turut mencernakan tingkat pemikiran yang molek untuk dinyatakan kepada khalayak awam. Dengan konteks zaman pasca moden ini, yang kebanyakannya mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme, secara kasarnya dapatlah kita memisahkan dua definisi budaya:

  1. Satu naratif kebudayaan yang berpaksikan kepentingan sesuatu kelompok
  2. Kedua adalah kesinambungan naratif kebudayaan yang tidak dapat diletakkan dalam kategori apa-apa pun.
Yang pertamanya dipengaruhi oleh kuasa dan segala tindakan yang ada mungkin sahaja mempunyai kepentingan yang tidak ada kena mengena dengan inti pati budaya itu sendiri. Yang kedua merupakan sesuatu yang benar-benar alamiah, ritma kehidupan yang segera, yang sukar untuk ditangkap secara formal dan dibincangkan sesama sendiri. Lalu budaya boleh dibahagikan melalui tiga bentuk: yang difahami, yang dibentuk dan yang dihidupi. [caption id="attachment_5325" align="aligncenter" width="476"]Istana Pagaruyung (Minangkabau) Istana Pagaruyung (Minangkabau)[/caption] Budaya yang Difahami, Dibentuk dan Dihidupi Wujudkah jurang yang jelas antara ketiga bentuk budaya ini? Sebagai contoh, apakah perbezaan antara yang difahami, dibentuk dan dihidupi melalui budaya melepak? Melepak merupakan aktiviti yang memerlukan ruang, maka setiap ruang fizikal didirikan atas nama kebudayaan dan ‘melepak’ secara langsung merangkumi pelbagai faktor: publik/awam, tingkat pengeluaran suara, jarak umum di antara tubuh-tubuh, keluasan sesuatu ruang, utiliti dan lain-lain. Aktiviti melepak hadir secara konsensus. Persetujuan tentang perkataan ‘melepak’ barangkali wujud melalui tiga cara budaya:
  1. Difahami
    • Yang wujud melalui ilmu (takrif kamus DBP: melepak merupakan amalan yang negatif, lalai/alpa dan disorientasi budaya)
    • Pemerhatian kehidupan harian / keadaan sekeliling
  1. Dibentuk
    • Melalui pengeluaran media (blog/tulisan sastera/bahan akademik), pembentukan ruang fizikal (bangunan, monumen atau taman),
    • Susunan objek di dalam ruang (perabot, tempat pejalan kaki dsb),
    • Kedinamikan struktur kuasa melalui pelbagai tingkat
  1. Dihidupi
    • Penghidupan suatu jangka masa yang pelbagai (emosi/keadaan fizikal/keadaan sosial/sejarah/pergerakan tubuh),
    • Dinamik dan tidak statik,
    • Spontan dan sentiasa berada di dalam proses/peralihan
Lalu melalui tiga cara untuk memahami budaya ini para panelis memberikan contoh-contoh mereka, dari persoalan kecil seperti gaya hidup sehinggalah ke persoalan besar seperti konsep identiti itu sendiri. Mereka juga membincangkan tanggapan mereka terhadap budaya yang cuba diseragamkan senada. Budaya merupakan sesuatu yang boleh dibentuk secara paksa, yang mungkin hadir melalui kuasa dan bagaimana ia mampu dipengaruhi oleh kepentingan yang tidak bersendikan kepentingan bersama. Oleh itu pastinya wujud konflik di antara budaya yang dibentuk dan dihidupi. [caption id="attachment_5326" align="aligncenter" width="444"]Pink Man (Thailand). Gambar: H+F Collection Pink Man (Thailand). Gambar: H+F Collection[/caption] Budaya, Keterbukaan & Pergelutan Kuasa dan Realiti Edward Said melalui bukunya yang bertajuk ‘Budaya dan Imperialisme’ turut juga menyatakan bagaimana produk budaya itu sendiri membawa agenda sesuatu kelompok (yang dimanipulasi secara sedar ataupun tidak). Dr. Farish Noor sebagai contoh menyatakan sikap keterbukaan rantau ini sebagai salah satu sifat utama yang terhasil daripada budaya. Beliau meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa kedudukan rantau ini, yang secara sedar mengakui keberadaan tamadun-tamadun di benua lain membentuk sikap keterbukaan yang disebutnya tadi. Rantau ini tidak melihat ketamadunan sebagai sesuatu yang tertutup, sebaliknya bersikap terbuka untuk menerima citra kebudayaan dari tempat lain. Ini dengan jelas terlihat dengan peralihan atau proses sejarah kita yang melalui beberapa bentuk agama dan juga mewarisi beberapa nilai yang masih dapat ditemui pada zaman pasca moden ini. Oleh itu secara halusnya kita menanggapi hal-hal yang kecil melalui cara yang benar-benar berbeza. Beliau memberi contoh bagaimana setiap penduduk mengguna pakai teknologi apa-apa pun, atau menghuni sesuatu tempat yang telah ditetapkan fungsi sosialnya dengan cara yang berbeza. Misalnya, pusat membeli belah – bagaimana anak-anak muda menghuni tempat tersebut tanpa membeli apa-apa pun, melawan logik konsumer. Budaya yang dipraktikkan secara harian inilah yang merupakan kesinambungan budaya tempatan yang telah berterusan dari generasi ke generasi. Beliau sendiri menegaskan bahawa perkara-perkara seperti ini yang seharusnya diberi perhatian oleh para intelektual, budayawan dan seniman/seniwati. Kebolehan untuk memahami ritma harian yang asli dan semula jadi adalah peluang untuk memahami konflik yang terlahir antara naratif dominan penguasa dan naratif individu yang menghidupi budaya itu sendiri. Begitu juga dengan Kanakan Balintagos, pembikin filem dari Filipina yang juga merupakan etnik Palawan menceritakan proses mengenali semula identiti beliau. Beliau sendiri bergelut dengan idea tersebut, pergelutan di antara apa yang difahami dengan apa yang dihidupi secara hakiki itulah yang membelenggunya. Langsung timbul persoalan tentang konsep eksotik, iaitu bagaimana perwakilan etniknya sendiri pada suatu masa berada pada tahap yang begitu superfisial. Mungkin begitu juga dengan baju tradisional itu sendiri, wujudnya konflik di antara apa yang difahami dengan apa yang dihidupi. Sedangkan baju tradisional pada suatu masa merupakan pakaian harian penduduk tempatan. Kesimpulan Perbincangan tersebut secara amnya menekankan kedinamikan budaya sebagai sesuatu yang harus terus menerus dicari oleh para ahli akademik, budayawan, seniman dan juga individu di sesuatu rantau. Konflik pasti akan berlaku, di antara naratif dominan yang mungkin saja disertai pengaruh modal (yang tidak memihak kepada orang kebanyakan) dan juga naratif yang senantiasa di dalam proses, tidak dapat dikawal. Oleh itu, apa yang saya pelajari hasil daripada perbincangan tersebut adalah perbezaan di antara beberapa jenis naratif budaya yang sedang berlaku pada masa yang sama. Dan tugas kita, sebagai penduduk yang menghidupi hasil kebudayaan itu sendiri adalah untuk memahami dan mula membezakan antara kebudayaan yang benar-benar ada dan kekuasaan yang berselindung di sebalik naratif kebudayaan yang seringkali bercanggah dengan apa yang kita rasakan. ]]>

10 Perkara Saya Harap Semua Orang Tahu Mengenai Hinduisme

Penterjemahan tidak rasmi 10 Things I Wish Everyone Knew About Hinduism oleh Sheetal Shah, terbutan www.faithstreet.com. Diterjemah oleh Noor Amalina Rosli.      Sheetal Shah memegang jawatan sebagai Senior Director di Hindu American Foundation, yang bertumpu kepada membina strategi polisi awam. Beliau mengamalkan Ashtanga yoga di Ashtanga Yoga New York dan berkhidmat di Board of the Broome Street Ganesha Temple. Kami meminta beliau menyenaraikan 10 perkara yang beliau harap masyarakat tahu mengenai Hinduism. Ms. Suhag Shukla menyumbangkan artikel ini.

  1. Prinsip utama dalam Hinduism adalah kemajmukan.
Penganut Hindu meyakini akan kewujudan kepelbagaian agama dan jalan kerohanian, dan idea bahawa jalan yang baik bagi seseorang itu mungkin berbeza bagi orang lain. Rig Veda, yang merupakan salah sebuah teks suci penganut Hindu, ada menyebut, Ekam sat vipraha bahudha vadanti, bermaksud “Kebenaran itu satu, tetapi yang bijak memanggilnya dengan pelbagai nama”. Kesan daripada prinsip ini, Hinduism tidak pernah menyuruh penganutnya untuk memurtadkan penganut agama lain. Mereka juga menegaskan tentang bahaya kepada masyarakat apabila menekankan hanya satu jalan sahaja yang benar. Penganut Hindu menanggapi seluruh dunia ini sebagai suatu keluarga yang besar, dan doa Hindu selalunya berakhir dengan mengulangi Shanti – keamanan bagi setiap kewujudan.
  1. Diskriminasi dari sudut kasta bukanlah intipati dalam Hinduism
Diskriminasi dari sudut kasta dan “Tidak Boleh Disentuh (Untouchability)”, merupakan keburukan yang datang daripada sosial masyarakat dan tidak diterima atau dilihat dalam mana-mana tradisi Hindu. Perkataan Caste (kasta) datang daripada perkataan Portugis ‘Casta’ yang bermaksud keturunan, darah atau ras. Oleh itu, tidak ada langsung perkaitan yang tepat dengan kasta yang difahami dalam masyarakat India. Tetapi, apa yang wujud adalah konsep varna dan jati. Teks-teks suci menceritakan varna bukan sebagai empat kelas sosial yang tetap, tetapi secara metafizik untuk menjelaskan tentang empat kualiti yang berbeza yang dapat dilihat pada setiap individu pada skala yang berbeza. Jati pula adalah unit sosial yang berteraskan pekerjaan di mana manusia dikenalpasti. Ada empat varna dan terlalu banyak jati. Secara teori, setiap jati akan tergolong di dalam salah satu varna, tetapi tidak terhad kepada pekerjaan tradisional yang terdapat pada varna India kuno. Dengan peredaran masa, walaubagaimanapun, varna dan jati telah bercampur dan menjadi berdasarkan keturunan. Empat Varna – dan pekerjaan yang berkaitan dengannya – adalah :
  • Brahmanas – guru, ilmuan, ahli perubatan, hakim dan paderi.
  • Kshatriyas – raja, tentera, pegawai pemerintah, perancang bandar
  • Vaishyas – ahli bisnes, pedagang, pegawai bank, petani dan peladang.
  • Sudras – buruh, ahli seni, tukang besi, petani (termasuk pemilik ladang)
Golongan seterusnya iaitu yang kelima, sekarang dikenali sebagai “Tidak boleh Disentuh”, muncul lebih 2000 tahun selepas datangnya Rig Veda (Veda yang pertama), untuk membahagikan jati-jati yang tidak tergolong dalam mana-mana varna atas pelbagai sebab. Kebanyakan daripada jati-jati ini melaksanakan tugas atau kerja yang dilihat sebagai tidak murni, merosakkkan, melibatkan keganasan seperti menyediakan makanan berasaskan binatang. Walaubagaimanapun, tidak ada teks suci atau undang-undang yang pernah menyebut golongan kelima ini. Bahkan, teks-teks Hindu menekankan kesamarataan. Ajyesthaso akanishthaso ete sambhrataro vahaduhu saubhagaya Tidak ada sesiapa yang lebih mulia dan tidak ada siapa yang hina. Semuanya adalah bersaudara dan bersama-sama menuju kepada kesenangan. Perkataan kasta dalam India moden difahami sebagai jati dan bukannya varna. Ia difahami merentasi semua masyarakat yang berbeza agama. Diskriminasi dari segi kasta telah diharamkan. Secara umumnya, jati dan varna tidak lagi wujud dalam profesion di India masa kini, tetapi, ia masih mempengaruhi gaya hidup, sosiobudaya dan perkahwinan.
  1. Karma itu bukan sekadar “Apa yang dilakukan, akan dibalas kembali”
Karma adalah undang-undang universal berkenaan dengan sebab dan akibat: setiap tindakan akan menghasilkan akibat, dan kitaran ini berterusan sehinggalah seorang itu dapat melakukan suatu kebaikan tanpa mengharapkan ganjaran. Bhagavad Gita, III.19 dan III,20 menceritakan tentang ini : Tasmad asakta satatam Karyam karma samacara Asakto hy acaran karma Param apnoti purusah Lokasampraham eva’pi Sampasyan kartum arhasi Oleh itu, tanpa keterikatan Lakukanlah tugas yang perlu dilaksanakan Seorang manusia itu akan mencapai kemuliaan Apabila dia melaukan kerja tanpa keterikatan Sepertimana kamu seharusnya bekerja untuk membantu orang lain Dan untuk memberi manfaat kepada dunia Mempercayai karma bererti mempercayai kehidupan semula, di mana roh yang abadi, dalam perjalanan spiritualnya yang berubah-ubah, akan lahir dalam pelbagai fizikal dan bentuk, dalam kitaran hidup dan mati. Walaupun karma boleh terjadi serta merta, ia selalunya mengambil masa seluruh kehidupan dan menjadi jawapan kepada persoalan yang sering ditanya, “Mengapa perkara yang buruk terjadi kepada orang yang baik?” dan sebaliknya.
  1. Penganut hindu mengiktiraf dan menyembah tuhan dalam bentuk wanita.
Hinduism adalah satu-satunya agama yang besar yang menyembah tuhaan yang dalam bentuk wanita. Penganut hindu merasai keberadaan tuhan, atau Shakti, melalui personafikasi tuhan pada dewi-dewi. Shakti dilihat sebagai penyempurna bukan bertentangan dengan kuasa suci dewa-dewa. Kitab-kitab veda dipenuhi dengan sajak-sajak yang memuji kesamarataan dan ciri-ciri menyempurnakan yang ada pada peranan lelaki dan wanita dalam spritual, sosial, dan pendidikan. Hinduism kekal sebagai ssalah sebuah agama yang mana wanita mendapat tempat yang dalam posisi yang dihormati dalam kepimpinan agama- termasuklah Sharda Devi, The Mother, Anandamayi, Amritanandmayi Devi atau Ammachi, Shree Maa, Anandi Ma, Gurumayi Chidvilasananda dan Ma Yoga Shakti. Masyarakat hindu dalam peredaran masa, telah menyaksikan banyak sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.
  1. Ikonografi hindu penuh dengan simbol dan makna.
Apabila kami melihat kebiruan langit dan laut yang sentiasa luas, kami akan teringat akan keluasan dan kebesaran tuhan melalui warna biru pada beberapa dewa hindu. Ini kerana Hinduism mengajar kami bahawa alam semesta ini adalah suci, dan penganut hindu mempercayai bahawa tuhan berada dalam pelbagai bentuk yang ada di alam sekitar. Contohnya, Ganesha dijelmakan dengan mempunyai kepala gajah, bermaksud kebijaksanaan, kerana gajah dilihat sebagai antara binatang yang terbijak. Hanuman, dijelmakan sebagai monyet, bermaksud keupayaan untuk menutup akal manusia yang sentiasa berfikir kepada pelbagai perkara kepada mencinta tuhan dan berkhidmat dengan ikhlas atau dengan nama lain dipanggil seva.
  1. Hinduism adalah himpunan enam aliran pemikiran yang besar, salah satunya adalah Yoga.
Sejak berkurun lamanya, pelbagai sekolah teologi telah berkembang dalam Hinduism melalui tradisi falsafah dan perbahasan yang dinamik. Enam aliran pemikiran tersebut, atau darshanas, yang paling terkenal :
  • Vaisheshika : salah satu teori atom yang paling kuno yang telah diasaskan oleh Sage Kanada. Beliau telah mengatakan bahawa semua zarah terhasil daripada atom-atom yang mana atom-atom ini bergerak berdasarkan arahan tuhan. Vaisheshika dan Nyaya akhirnya bergabung.
  • Nyaya : sebuah sistem logik yang ingin membuktikan kewujudan tuhan dan konsep-konsep dalam Hinduism yang lain seperti karma. Nyaya menekankan bahawa sesuatu itu tidak boleh diterima melainkan ianya selari dengan akal dan pengalaman. Kehebatan logik dan epistemologi Nyanya kemudiannya mempengaruhi aliran pemikiran ortodoks dan bukan ortodoks.
  • Sankhya : salah sebuah aliran pemikiran yang paling lama. Sankhya membahagikan kewujudan kepada dua kategori – Purusha (kesedaran tentang ketuhanan) dan Prakriti (Zarah/matter) Terlalu sedikit sastera Sankhya yang wujud sehingga sekarang, dan wujud kontroversi tentang sama ada sistem ini bersifat dualistik atau tidak kerana ia mengetengahkan kedua-dua kategori.
  • Mimamsa atau Purva Mimamsa : mentafsirkan undang-undang ritual Veda, membuktikan bahawa kesempurnaan dalam ritual membawa kepada mencapai moksha.
  • Yoga : lebih tepat lagi Raja Yoga memfokuskan tentang mensunyikan minda melalui sistem lapan bahagian (Ashtanga yoga) sepertimana yang diceritakan dalam Yoga Sutras oleh Patanjali untuk mencapai hidup yang seimbang dan akhirnya moksha.
  • Vedanta : boleh dibahaskan sebagai paling berpengaruh kepada Hinduism moden, teologi ini bergantung pada transcending one’s identification with the physical body for liberation. Ini bermaksud, seseorang itu boleh melangkaui identiti diri melalui ilmu yang betul, zikir, kesetiaan, keikhlasan, amal yang baik, dan banyak lagi disiplin kerohanian dan keagamaan. Pecahan kepada Vedanta adalah Advaita, Dvaita dan Visishtaadvaita. 
  1. Penganut Hindu meyakini bahawa tuhan ada dalam setiap hidupan.
Dengan meyakini bahawa tuhan/kesucian itu wujud dalam setiap perkara/hidupan, Hinduism melihat alam semesta sebagai sebuah keluarga atau dalam Sanskrit vasudhaiva kutumbakam. Semua perkara dari sekecil-kecil organisma sehinggalah kepada manusia, dikira sebagai menifestasi tuhan. Manusia memegang tanggungjawab yang istimewa yang mana dipercayai menjadi suatu tanggungjawab yang berkembang secara kerohaniannya sedikit demi sedikit dengan kebolehan bukan hanya untuk bertolak ansur, tetapi untuk menghormati kesamarataan dan perpaduan setiap hidupan. Selari dengan ini adalah ucapan yang sering didengari dalam kalangan hindu, iaitu, Namaste yang bermaksud, “Tuhan dalam diri saya, tunduk kepada tuhan dalam diri kamu”
  1. Penganut hindu menyembah tuhan, atau Brahman dalam pelbagai bentuk.
Kebanyakan penganut hindu, bebas menyembah berbagai bentuk tuhan dan menyertai pelbagai acara keagamaan sepanjang tahun yang memuliakan bentuk ketuhanan yang berbeza. (contohnya Shivaratri memberi penghormatan kepada Shiva, Janmashtami memberi penghormatan kepada Krishna dll) Sebab mengapa Hinduism menjelmakan tuhan dalam pelbagai bentuk adalah untuk menghormati bahawa akal manusia agak sukar untuk mencapai atau mempunyai hubungan dengan tuhan yang tidak berbentuk.
  1. Hinduism adalah agama yang global
Walaupun majoriti penganut Hindu berada di India, namun, terdapat juga bilangan yang besar di serata dunia. Penganut hindu merupakan minoriti di Amerika Utara, UK, Trinidad & Tobago, Guyana, Fiji dan Malaysia. Pada masa yang lalu, terdapat sebilangan penganut hindu yang berada di Bhutan, Pakistan dan Bangladesh, tetapi, telah lenyap disebabkan oleh tidak menghormati hak asasi dan kurangnya kebebasan beragama.
  1. Hinduism dan Sanatana Dharma adalah sama.
Istilah Sanatana Dharma, diterjemahkan secara kasar sebagai, ‘Undang-undang atau jalan abadi’, adalah seperti yang dimaksudkan. Terma ‘Hindu’, walaubagaimanapun, adalah sebuah abstrak daripada kerajaan Parsi pada kurun ke-12 merujuk kepada ketamadunan India yang dilihat mempunyai kepercayaan, amalan dan cara hidup yang tersendiri di pinggir Sungai Indus. Setelah beberapa kurun, penganut Sanatanan Dharma telah mengambil rujukan Hindu dan Hinduism. Perkataan lain yang juga merujuk kepada Hinduism adalah Vedic, Sankritic, Yogic, Indic, dan Ancient Indian.   ]]>

Hidup Tanpa Daging, Macam Muhammad

No Meat [Terjemahan daripada “Meatless Like Muhammad“, oleh Shireen Hakim. Diterjemahkan oleh Megat Hanis.] Orang Islam  sentiasa berusaha mengikuti Sunnah, dengan mengikuti cara hidup baginda Nabi Muhammad SAW. Kita lebih dekat dengan Tuhan dengan mengikuti amalan baginda seperti senyum dan menderma. Bagaimana pula dengan mengikuti tabiat pemakanannya? Kita juga mahu makan menurutnya, seperti memasak menggunakan minyak zaitun dan menikmati buah delima dari pohonan. Kita tahu bahawa jika baginda memilih makanan tertentu ia pastinya bermanfaat. Walaubagaimanapun, terdapat satu tabiat pemakanan beliau yang sangat penting untuk kesihatan kita, tetapi seringkali diketepikan. Menurut sumber Hadith, Nabi Muhammad begitu jarang memakan daging, dan hanya memakannya ketika majlis istimewa atau sebagai tetamu. Pemakanan sehariannya terdiri daripada makanan kegemarannya seperti kurma, air , cuka, madu, yogurt, roti barli dan anggur. Daging pula hanya sesekali, itupun beliau lebih menggemari bahu atau kaki kambing. Baginda tidak pernah kenyang memakan roti dan daging. Pernah sebagai tetamu baginda dihidangkan gulai labu dan daging, namun baginda hanya memilih labunya untuk dimakan. Baginda dan sahabat-sahabatnya menanti-nanti hari Jumaat, kerana seorang wanita tempatan akan menghidangkan mereka jamuan tanpa daging, dengan pengganti daging. Masyarakat awal Muslim meneruskan tradisi Nabi Muhammad yang jarang memakan daging. Seperti kata Khalifah ke-2 umat Islam, Umar bin Al-Khattab: “berhati-hatilah dengan daging, kerana ia menyebabkan ketagihan seperti alkohol” Beliau pernah menegur anaknya yang selalu mengidam dan membeli daging. Umar merupakan contoh yang baik buat kita, kerana Nabi pernah bersabda, “Jika ada nabi selepas aku, pastinya ia Umar”. Maka, memakan daging dengan sedikit merupakan sunnah nabi dan tradisi awal Islam. Kini, tabiat memakan daging sangat bercanggah dengan amalan Nabi SAW, Umar dan juga masyarakat Islam terdahulu. Ada sebabnya mengapa mereka jarang memakan daging: ia sangat berbahaya jika diambil selalu. Pemakanan daging yang berterusan berpotensi mendatangkan penyakit seperti sakit jantung, kanser dan kelebihan berat badan. Daging merupakan makanan yang bermanfaat dan halal, dan kita bersyukur kerana  dikurniakan nikmat tersebut. Namun, kita harus sedar bahawa kita sedang berlebihan, dan perlu mengurangkan pengambilannya.

Beef carcasses at a wholesale meat market in Paris Bagaimana Tabiat Pemakanan Daging Seharian Dianggap Normal? Tabiat ini sebenarnya meniru cara pemakanan Barat yang juga telah dicemari zaman peperangan dan kepentingan politik. Menariknya, masyarakat awal Amerika juga jarang memakan daging. Namun, ketika Perang Dunia 1 dan 2, daging dicatu. Apabila keamanan tercapai dan daging boleh didapati semula, masyarakat mengganggap makanan mewah sebagai makanan ruji. Malangnya, apabila daging menjadi makanan harian, penyakit jantung dan kanser naik mendadak. Kesihatan rakyat Amerika merudum sehingga pada tahun 70-an, Kongress telah meluluskan “Matlamat Diet” yang menyatakan bahawa kita harus mengurangkan pengambilan daging. Walau bagaimanapun, para pelobi daging berusaha keras untuk memastikan daging termasuk dalam Panduan Diet AS. Para pelobi ini kemudiannya berterusan mengiklankan dan memasarkan ideologi kepentingan daging di sekolah-sekolah dan program nutrisi. Maka, kita masih berfikir bahawa kita perlu memakan daging setiap hari, dan biasa dengan keadaan itu. Tabiat pemakanan Barat ini merebak ke Asia dan negara-negara Amerika Latin, menguatkan penyamarannya sebagai diet yang normal. Malangnya, diet yang sarat daging berkait rapat dengan punca kematian tertinggi di AS seperti sakit jantung, kanser dan obesiti. Peratusan populasinya yang menghidapi penyakit ini sangat besar: sakit jantung (11%), kanser (8.5%) dan obesiti (33%). Sebaliknya, mereka yang mengambil daging secara berkala didapati lebih sihat. Fleksitarian (mereka yang mengambil daging beberapa kali seminggu/sebulan) mempunyai kadar sakit jantung dan kanser yang lebih rendah, 15% kurang berat badan dan hidup 3.6 tahun lebih lama. Vegetarian yang langsung tidak mengambil daging dianggarkan 17 paun lebih ringan, hidup 5 tahun lebih lama dan mempunyai 30% kurang kadar risiko kanser. Ramai yang memakan burger daging, kepak ayam dan pizza daging seharian, menghidapi penyakit jantung atau kanser, dan kemudian langsung mengubah tabiat pemakanan mereka. Ambillah langkah proaktif dan mulakan memakan makanan sihat sekarang, sebelum anda jatuh sakit.

Salad Jadi, Apa Yang Patut Kita Makan Selain Daging? Terdapat banyak protein enak tanpa daging, dan kaedah sangat mudah untuk mengamalkannya dalam diet seharian. Antaranya adalah kekacang dan mentega kacang, ikan, lentil, taufu, telur, susu, keju dan yogurt, kubis, nasi perang dan quinoa. Setiap hari, makanlah 5-7 auns atau 4-6 hidangan protein ini. Contoh hidangan seperti: 1 cawan susu organik (8 gram protein), 1 cawan yogurt Greek (11 gram), 1 cawan kacang hitam (16 gram), 1 sudu mentega badam (4 gram), 1 auns salmon (5 gram), setengah cawan tauhu tanpa-GMO (20 gram), 1 cawan nasi perang (5 gram), 1 cawan quinoa (8 gram), 1 cawan kubis (3 gram) dan 1 cawan brokoli (4 gram). Protein-protein ini lebih bermanfaat dan sarat nutrient berbanding dengan daging: dengan tambahan protein, zat besi dan vitamin B12, ia juga mengandungi lemak tidak tepu, asid lemak omega-3, dan serat. Kajian menunjukkan protein tanpa daging dapat meningkatkan kekuatan tentera dan lebih mudah dihadam. Makanan ini mengurangkan risiko penyakit dan kematian. Ia juga meningkatkan kadar metabolisme, dan membantu mengurangkan berat badan. Kita digalakkan memakan protein tanpa daging untuk kebanyakan hari dalam seminggu, dan daging (ayam atau kambing) hanya untuk sehari dua. Ikuti langkah-langkah berikut untuk mengamalkan diet tanpa daging:
  1. Sertai gerakan Isnin Tanpa Daging yang popular: jangan memakan daging pada hari Isnin. (Jika anda berpuasa pada hari Isnin, maka bersahur dan berbuka puasalah tanpa daging).
  2. Masukkan hidangan tanpa daging kegemaran dalam pemakanan seharian, dan kerapkan pengambilannya (seperti pizza sayur, sandwich mentega kacang dan burrito nasi)
  3. Dalam sehari, ambil satu hidangan tanpa daging, kemudian tingkatkannya. Teruskan sehingga seluruh hari dilalui tanpa daging.
  4. Penuhi dapur dan peti sejuk anda dengan protein yang dinyatakan di atas supaya anda sentiasa mempunyai pilihan.
  5. Kunjungilah restoran yang menyediakan juadah tanpa daging seperti restoran Chitpole, CPK , sushi dan Mediterranean.
Meatless Mondays Tabiat pemakanan protein tanpa daging menjimatkan masa, tenaga dan stress. Protein tanpa daging juga mudah didapati di banyak lokasi dan selalunya halal. Oleh itu, terdapat lebih banyak pilihan restoran dan kedai-kedai runcit. Hidangan tanpa daging mampu meningkatkan kesihatan kita dan bertepatan dengan sunnah. Ia tidak menjadikan seseorang itu vegetarian, dan anda masih boleh menikmati daging. Shireen Hakim ialah seorang penulis dan pelatih nutrisi. Shireen menganuti bidang nutrisi di UCLA, Columbia dan Loma Linda University.  ]]>

Kebebasan: Sudahkah mahasiswa memanfaatkannya?

12375207_793631994080746_8795608058747858358_o 1) Peranan AUKU dalam menyekat kebebasan bersuara mahasiswa Kedua-dua panelis mengambil posisi yang berbeza mengenai hal ini. Bagi saudari Afiqah, AUKU sangat menyusahkan mahasiswa. AUKU mempunyai kuasa menyekat wacana yang dianggap berlawanan dengan kerajaan malah menghalang demonstrasi aman yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Malaysia. Menurutnya, AUKU juga menyebabkan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi mandul kerana terpaksa mengikut rentak tarian pentadbiran universiti. Muziru pula beranggapan sebaliknya. Bagi beliau, AUKU tidaklah kejam pada dirinya sendiri. AUKU mempunyai beberapa bahagian yang baik dan tidak menganggu kebebasan mahasiswa. Perkara yang perlukan penelitian semula terhadap AUKU ialah Seksyen 4 dan 5 serta semua Seksyen 15 & 16. Seksyen 4 dan 5 menyentuh tentang perlantikan Majlis Tertinggi universiti dan Seksyen 15 & 16 yang menyentuh tentang penglibatan mahasiswa dan tindakan tatatertib. Bagi saya, mengatakan AUKU telah memandulkan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu analisa yang simplistik. Walau kita masih tidak mempunyai statistik tentang hal ini, kita boleh cuba secara pemerhatian dan turun padang bertanya soalan berikut kepada rakan-rakan mahasiswa kita di universiti: Apakah mereka tidak bersuara semata-mata kerana AUKU, atau faktor-faktor lain yang lebih memandulkan mereka dari AUKU? Saya berani kata ya. Mahasiswa tak ambil peduli dengan politik kampus mahupun luar negara kerana dilanda penyakit konsumerisme dan hedonisme. Budaya ini akhirnya membantutkan keupayaan intelektual dan kegigihan akademik mereka untuk memberi perhatian terhadap isu-isu besar yang melanda negara. Ini ancaman yang lebih besar terhadap mahasiswa berbanding AUKU. Tanpa AUKU pun, jika ancaman ini tidak ditangani dengan segera, mahasiswa akan tetap mandul, dan tidak mampu untuk menggunakan sebaiknya kebebasan mereka. 12418957_797382973705648_1792535994200941610_o 2) Mahasiswa bermain minda mangsa Ini satu isi penting menarik yang dibawa oleh saudara Muziru. Mahasiswa sememangnya sudah terlalu lama bermain watak sebagai mangsa. Wacana yang berlegar kini ialah tentang bagaimana mahasiswa dibentak-bentak, diherdik-diherdik, diperlakukan seperti anak kecil oleh pentadbir universiti dan pelbagai lagi. Saya setuju 100% dengan perkara ini. Akan tetapi, kita semua jangan lupa mahasiswa bukan maksum. Tanpa sekatan pentabir pun, masih ramai mahasiswa/wi lagi yang terdedah dengan hiburan memualkan yang tak henti-henti. Ramai antara kita menghabiskan sisa-sisa waktu di universiti dengan program-program tidak munasabah hasil tangan-tangan sendiri. Ketika forum berlangsung, persoalan kebebasan positif dan kebebasan negatif dibangkitkan. Kebebasan positif ialah memiliki kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan (freedom to) walhal kebebasan negatif ialah kebebasan seseorang dari tekanan pihak luar (freedom from). Kebebasan negatif lebih menitikberatkan halangan-halangan yang menganggu-gugat kebebasan seseorang. Kebebasan positif lebih kepada keazaman seseorang menggunakan segala kebebasan yang ada pada dirinya untuk meneroka peluang-peluang bagi melaksanakan tindakannya dalam apa jua keadaan. Jadi kita dapat lihat sekiranya kita masih tersangkut dengan kebebasan negatif yang ditarik dari kita, kita akan menjadi pasif dan sentiasa terperangkap melawan halangan-halangan dari luar. Sedangkan kapasiti kebebasan yang ada pada diri kita, yakni mahasiswa belum diterokai dan dimanfaatkan sebaik-baiknya mungkin. Mahasiswa kena jujur dengan diri sendiri. Apakah baki-baki kebebasan dan kelonggaran yang ada di universiti telah dimanfaatkan sepenuhnya? Mungkin ada sesetengah forum atau seminar yang dianggap “bertentangan” dengan kerajaan, ataupun “berbahaya” terhadap akidah, lalu tidak dapat dilakukan secara formal dan terbuka. Namun, apakah itu menghalang wacana daripada diteruskan? Tentutnya tidak sama sekali. Saya beri satu contoh mudah. Misalnya di Universiti Islam Antarabangsa, yang dikenali dengan pandang alam Islamiknya, kita mahu menganjurkan Seminar Atheism, ataupun Forum “Tuhan Telah Mati”. Kemungkinan besar, cadangan penganjuran akan serta-merta dihalang dan tidak dibenarkan. Jadi, saya beri anda pilihan, mana yang lebih baik: Pilihan A: Mahasiswa  berdemonstrasi menyatakan bantahan bahawa “ini hak kebebasan bersuara kami!”, atau Pilihan B: Mahasiswa “let go” penganjuran tersebut, dan meneruskan kumpulan-kumpulan kecil “reading group” bagi membahaskan tema-tema forum tersebut secara tuntas dan berkala. Pada pendapat saya, pilihan B lebih efektif. Kita masih mempunyai pilihan yang lebih efektik dalam jangkamasa panjang. Dan tahukah anda, buku-buku mengenai atheisme dan tokoh seperti Nietzsche, Schopenhauer dan Dawkins, berlambak di dalam perpustakaan UIA? Buku-buku dan tokoh-tokoh tersebut sudah berhabuk menunggu untuk dibaca dan dibahaskan. Tidak pula universiti ini mengharamkan buku tersebut. Dan ini membawa kita kepada isi penting yang ketiga. [caption id="attachment_5416" align="aligncenter" width="1024"]Sumber gambar: The Malaysian Insider Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption] 3) Universiti tidaklah sekuat mana untuk mengatur  dan mengawal pergerakan mahasiswa Antara hujah yang dilontarkan oleh saudari Afiqah ialah mahasiswa sering kali tidak dapat menganjurkan wacananya sendiri tanpa campur tangan pentadbir. Malah panelis-panelis ditapis bagi mengelakkan panelis yang kritikal terhadap kerajaan menghasut mahasiswa. Contoh paling jelas ialah tragedi yang menimpa beliau sendiri. Beliau dan Presiden MPP universiti tersebut, saudara Hanif Mahpa, digantung pengajian selama setahun hanya kerana melaksanakan forum GST dan membawa masuk panelisnya YB Rafizi Ramli. Berikutan hukuman oleh pihak pentadbiran universiti kepada kedua rakan saya ini, saya sepenuhnya bersolidariti dan menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak berasas itu. Namun, saya tidak bersetuju sekiranya kes seperti ini menjadi batu asas hujah bahawa pentadbiran universiti sentiasa campur tangan program mahasiswa dan mahasiswa tidak bebas berwacana. Hujah saya begini : a) Tidak semua ahli politik pembangkang tidak dibenarkan masuk berforum di dalam Universiti Islam itu. YB Rafizi dihalang masuk, tetapi berjaya diseludup. Tak dinafikan sekatan tersebut. Tetapi YB Ong Kian Ming, YB Yusmadi Yusoff, YB Mujahid Rawa, Dato` Saifudin Abdullah dan lain-lain pernah berforum secara aman di Universiti Islam tersebut. Nama-nama yang saya sebut ini hadir di forum-forum yang mana saya sendiri menjadi peserta dan penganjur. [caption id="attachment_5413" align="aligncenter" width="1024"]Sumber gambar: The Malaysian Insider Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption] b) Tidak semua forum atau seminar yang dianggap sensitif terhadap kerajaan ataupun imej universiti tidak dibenarkan. Misalnya forum liberalism, feminism, sekularism dan sebagainya. Kebanyakannya (tidak semua) berjaya dianjurkan secara aman. Saya bersama rakan-rakan lain dapat membawa masuk Khalid Jaafar yang dikenali sebagai “bapa liberal”  Malaysia ini ke Universiti Islam itu. Aktivis kontroversi seperti Kak Fadiah Nadwa juga pernah datang mengisi wacana. Saudari Afiqah mengatakan bahawa program-program berbentuk falsafah tidak mengapa dan tidak menakutkan pentadbiran. Ini tidak benar sama sekali. Mengapa? Ini akan merujuk kepada hujah saya yang ketiga. c) Seringkali bukan isi kandungan forum yang menjadi masalah, tetapi tajuk forum dan strategi “branding dan packaging” wacana dan juga format yang bermasalah. Saya beri contoh, jika kita ingin menganjurkan sebuah wacana mengkritik dasar pendidikan kerajaan, apakah tajuk yang sesuai? “Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 : Apakah relevan?”, ataupun “Konvensyen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025”? Sudah tentu, yang pertama nampak provokatif, akan tetapi yang kedua nampak neutral, sedangkan objektifnya sama, iaitu kita mahu meneliti dasar ini secara kritis. Dan hakikatnya konvensyen seumpama ini berjaya dijalankan secara aman, malah laporan kajian sebanyak 30 muka surat mengkritik dasar ini telahpun berjaya dihantar kepada kementerian. Pokoknya apa? Seperti kata saudari Afiqah, pihak universiti banyak terlepas pandang. Ya, tepat sekali! Memang universiti bukan seperti figura Bapa yang sentiasa mampu memerhatikan gerak geri dan strategi mahasiswa. Dalam banyak-banyak forum yang dihalang, banyaknya juga yang terlepas dianjurkan secara aman. Pentadbiran universiti seringkali terlepas pandang! Mereka tidak punya cukup “The Force” untuk mengawal lambakan wacana-wacana anjuran mahasiswa pada setiap waktu. Maka, kita gunakanlah kesempatan-kesempatan ini untuk “balance The Force”. 886206_797393497037929_5670085790890022157_o 4. Kurangnya representasi mahasiswa wanita dalam aktivisme mahasiswa Ini suatu lompong yang harus kita selesaikan. Kita harus tanya apakah faktornya? Apakah wanita tak diberi peluang? Atau mereka sendiri yang tidak punyai keyakinan diri? Atau sistem patriariki yang sudah terlalu lama membenam rasa percaya diri bahawa wanita juga boleh kehadapan dalam memimpin gerakan aktivisme? Atau penyakit konsumerisme yang membarah? Saya tidak mampu menjawab persoalan ini secara tuntas. Dalam forum tersebut, persoalan-persoalan ini masih tidak dijawab secara tuntas,. Akan tetapi, setiap satu jawapan diatas mempunyai “partial truth” yang menyumbang secara keseluruhan. Mahasisiwi harus sedar yang mereka sebenarnya lebih ramai berbanding lelaki di dalam universiti. Sekiranya kekuatan mereka dimobilisasi untuk gerakan intelektualisme dan aktivisme, pastinya perjuangan mahasiswa akan mendapat manfaat yang tiada tolok bandingnya. Akhir kata, perbincangan seputar forum ini membawa kita kepada persoalan-persoalan baru terhadap kebebasan mahasiswa yang tidak sempat saya tulis dalam satu artikel. Misalnya, apakah beza kebebasan bersuara dan kebebasan akademik? Bagaimana kita ingin memaksimakan potensi kebebasan positif yang kita miliki? Apakah strategi-strategi baru mahasiswa zaman teknologi maklumat bagi menangani masalah yang tidak dihadapi oleh mahasiswa lampau? Apakah mahasiswa masih ingin menempel dengan kegemilangan mahasiwa zaman 60an-80-an? Begitu banyak persoalan yang sekiranya kita rungkai dan kupas dengan teliti, termasuklah pendefinisian dan analisa bandingan, tidaklah tulisan ini menjadi artikel, tetapi sebuah buku.

]]>