defensive, masing-masing ingin mempertahankan hak dan suara komuniti mereka. Pihak-pihak seperti PERKASA dan Dong Jiao Zong pula melantikkan diri mereka sebagai benteng pertahanan bagi hak kepentingan kaum-kaum mereka. Fokuskan pada Pembaikan Sistem Bagi saya, topik ini tidak perlu menjadi sebuah topik yang partisan. Walhal, golongan elit atasan (termasuk juga ahli-ahli politik sendiri) langsung tidak kisah akan pertelingkahan golongan majoriti rakyat. Mereka menghantar anak-anak mereka di sekolah-sekolah antarabangsa ala ‘Eton’ yang mewah di mana isu bahasa penghantar langsung tidak menjadi kerisauan mereka. Maka di sini, saya ingin menyentuh isu yang lebih luas spektrumnya, iaitu sistem pendidikan. Realitinya, sistem pendidikan negara kita bukan sahaja tidak berfungsi, malah ia telah melampaui tempoh tarikh luputnya. Semua polisi dan pembuatan keputusan bagi pendidikan dibuat di peringkat atasan dan beraliran atas-bawah. Sistem kini hanya berfungsi untuk mencipta robot yang hanya mematuhi arahan tetapi tidak boleh berfikir. Sistem pendidikan ini adalah hasil daripada ketidakpercayaan dan ketakutan akan kebolehan masyarakat menguruskan hal ehwal pendidikan mereka. Jika dahulunya pada zaman penjajahan, sekolah merupakan alat pengaruh golongan berkuasa bagi melahirkan golongan pekerja dan birokrat yang setia terhadap hierarki kuasa barat. Kini, ia berasal daripada ketakutan terhadap kemunculan golongan masyarakat yang mampu berfikir melangkaui batasan politik pecah dan perintah, yakni politik partisan dan perkauman. Falsafah Pendidikan Persoalan utama yang perlu kita bertanya sekarang – apakah kepentingan pendidikan? Pendidikan dalam konteks yang sebenar bukanlah tertakluk pada peringkat umur kanak-kanak dan remaja, sebaliknya, pendidikan adalah sesuatu yang penting bagi kehidupan seseorang manusia. Pendidikan juga bukan bersifat pembelajaran yang pasif, ia adalah sesuatu yang diperlukan kerana ia merangsangkan minda manusia untuk berfikir. Berfikir membebaskan sesebuah masyarakat daripada roda penghambaan dan penindasan hidup dengan meningkatkan mobiliti sosial mereka. Tapi bagaimanakah anak-anak muda negara kita mampu berfikir jika isu kebebasan ilmu tidak disentuhi? Di sekolah-sekolah tiada langsung subjek atau pendidikan seperti falsafah dan kemanusiaan, mereka juga tidak digalakkan untuk bebas berfikir dan menyuarakan pendapat mereka secara intelektual. Apa tah lagi dengan peraturan-peraturan sekolah yang menkongkong dan undang-undang seperti AUKU yang mencabuli hak asasi manusia. Sebaliknya, isu pendidikan di negara kita hanya berlegar-legar dalam pertelingkahan remeh seperti penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, latar belakang bangsa seseorang guru dan perlumbaan skor peperiksaan. Walhal, jika pihak-pihak yang pro-nasionalis Melayu serta pro-budaya minoriti dapat mencelikkan mata, dan berusaha bersama meningkatkan kualiti sistem pendidikan kita yang semakin ketinggalan dek zaman, pelajar-pelajar kita tidak mungkin berada di tangga yang corot dalam penilaian PISA (Programme for International Student Assessment). Pendidikan Mengikut Arus Zaman Kini pendidikan perlu mara seiring dengan arus zaman teknologi ‘smartphone’, ‘google’, ‘facebook’ dan ‘ipad’. Realitinya, kanak-kanak dapat menimba ilmu dengan hanya bergurukan internet, hal ini kerana terdapat banyak laman-laman pendidikan percuma seperti Khan Academy, Coursera.org, dan juga Youtube. Di sekolah, pemikiran secara kritikal adalah sesuatu yang amat jarang, hal ini kerana pembelajaran di sekolah adalah bersifat satu hala. Buku-buku teks seperti matematik dan sains langsung tidak mengikut perkembangan terkini. Akibatnya fungsi pendidikan menjadi lapuk dan tidak relevan. Malah, pekerjaan guru merupakan ‘last resort’ (pilihan terakhir) bagi kebanyakkan para graduan tempatan. Hal ini berbeza jika dibandingkan dengan negara Finland atau Singapura dimana perguruan merupakan kerjaya yang disanjungi tinggi, antara profesion yang kompetitif dan berkelayakan tinggi. Ini menunjukkan polisi pendidikan negara kita tidak mempunyai arah tuju, ia hanya bertujuan untuk memenuhi kehendak sesetengah pihak. Tidak hairanlah kualiti pendidikan kita juga terlingkup. Penindoktrinisasian di Sekolah Lebih dikhuatiri, sekolah-sekolah nasional kini penjadi tapak pengindoktrinasian agama islam dari segi ritual agama seperti bacaan doa semasa perhimpunan sekolah, penguatkuasaan peraturan Islam seperti pengharaman makan babi di kawasan sekolah dan pengwajiban pakaian sekolah yang bercirikan islam. Sebaliknya, sekolah-sekolah vernakular pula menjadi tapak pengindoktrinasian bahasa dan budaya mono-etnik seperti pembelajaran subjek melalui bahasa penghantar ibunda dan menghadkan waktu kuliah bagi bahasa Ingeris dan bahasa Melayu, serta pemahaman konteks budaya masyarakat lain yang bersifat satu dimensi. Secara tidak langsung, ia mengwujudkan polarisasi yang kita lihati dalam masyarakat negara ini. Peluang berinteraksi dan persahabatan diantara bangsa berlainan juga agak tipis walaupun dalam persekitaran kepelbagaian di peringkat sekolah menengah dan universiti. Perkara ini terjadi kerana pada peringkat pembesaran kanak-kanak di sekolah rendah, mereka telahpun melalui pengdoktrinasian dan pengasingan yang keterlaluan. Oleh itu, adalah penting bagi pendidikan nasional bersifat sekular dan bebas daripada agenda pengaruh-pengaruh politik tertentu. Agenda Inklusif dalam Sistem Pendidikan Agenda yang inklusif adalah penting kerana ia melingkupi keperluan pendidikan bagi semua rakyat Malaysia. Perkara ini termasuk memahami konteks demografik keperluan pendidikan bagi anak-anak muda yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar. Hal ini penting kerana ia akan membuka ruang untuk kepelbagaian agar kanak-kanak berpeluang untuk berinteraksi sesama mereka tanpa batasan sosial dan identiti. Jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jerman dan Finland, negara-negara tersebut bukan sahaja memahami kepelbagaian demografik populasi negara mereka serta keperluan pasaran ekonomi mereka, malah, nilai-nilai kemanusiaan dan kesamarataan juga diterapkan dan diutamakan dalam persekitaran pendidikan. Penerapan nilai kemanusiaan bukan sesuatu yang boleh dipelajari melalui sesebuah subjek seperti moral, tetapi ia adalah dasar kepada proses pembelajaran dan interaksi manusia. Nilai kesamarataan pula dapat dipupuk dengan pembelajaran subjek melalui bahasa penghantar yang sama, iaitu bahasa nasional. Minda kanak-kanak sekolah rendah bagaikan span (sponge) dan boleh menguasai pelbagai bahasa dengan mudah. Sebagai contoh, pelajar-pelajar dari negara-negara Scandinavia mampu menguasai empat bahasa apabila mereka mencecah peringkat sekolah menengah. Asas pembelajaran yang setara ini juga membolehkan pelajar-pelajar mengasah bahasa komunikasi mereka an mengeratkan interaksi mereka dengan masyarakat majmuk. Kesimpulannya, pendidikan vernakular harus dianalisa melalui konteks yang lebih luas dan neutral, tanpa dikaburi oleh emosi yang bersifat perkauman dan partisan. Maka demikian, cabaran seterusnya adalah menggerakkan pembaharuan sistem pendidikan negara ini – beranikah sesiapa menyahutnya?
]]>Keperluan dialog dan debat dalam agama
Mutu Ada sebilangan mendakwa bahawa ayat ini diturunkan untuk non Muslim yang memeluk Islam sahaja. Dengan maksud, ayat ini tidak terkena langsung kepada orang muslim sedia ada atas alasan tidak dibenarkan murtad. Dakwaan ini tidak tepat dengan beberapa alasan. Antaranya adalah, ayat ini tidak tertumpu kepada kebebasan meninggalkan Islam atau murtad. Ini kerana, larangan murtad itu sememangnya berlaku dalam ayat-ayat yang lain, seperti dalam surah al-Baqarah, ayat 217 dan surah al-Maidah, ayat 54. Alasan kedua pula, ayat ini menceritakan kualiti dalam menanggapi iman dengan mengetahui kebenaran berbanding kesesatan. Seseorang yang tidak tahu kebenaran berbanding kesesatan, ia tidak dikatakan sebagai orang yang punyai kualiti iman. Persoalannya, bagaimana mahu menyuburkan kualiti iman? Malaysia adalah sebuah negara yang punyai masyarakat berbilang bangsa dan agama, tetapi dialog antara agama ini agak mundur berbanding negara-negara barat dan yang berjiran, iaitu Indonesia. Persoalan ini timbul ekoran termaktub dalam perlembagaan bahawa larangan bagi agama lain untuk disebarkan. Dengan larangan itu, mengadakan dialog juga dilarang mengikut tafsiran golongan tertentu dengan alasan dialog itu sendiri seperti memberi ruang kepada non muslim menyebarkan agama mereka. Fikrah sebegini sewajarnya dikaji balik. Sewajarnya larangan dialog ini tidak berlaku. Lebih wajar, dialog antara agama ini berlaku dengan hebat agar kualiti iman itu terhasil dalam masyarakat Malaysia. Melihat kepada kekangan larangan dialog, menghasilkan kefahaman Islam bagi umat Islam malaysia tidak hebat, disamping pendakwah-pendakwah di Malaysia gagal pamerkan kualiti hujjah dalam menyampaikan agama. Seperti yang kita sedia maklum, di kalangan rakyat malaysia boleh dikatakan beribu-ribu orang graduan agama selesai dari pengajian Islam, tetapi dengan lahirnya ribuan graduan agamaia, tahap kualiti penghujahan agama masih dalam tahap yang tidak mengkagumkan. Ini semua berpuncakan cabaran dan saingan penghujahan agama tidak disuburkan. Dialog Jika diteropong jauh ke zaman Nabi Muhammad SAW, kita akan dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengambil sikap larangan berdialog. Malahan, dialog antara agama ini berlaku sehinggakan melibatkan diri Nabi Muhammad SAW sendiri. Baginda SAW sendiri pernah terlibat dialog dengan satu kalangan nasrani dari najran yang berhujjah tentang Nabi Isa yang melihat bahawa baginda sebagai Tuhan. Dialog itu berlaku hebat sehinggakan perkara ini diceritakan oleh Allah dalam al-Quran dari surah ali-Imran, ayat 59. Bukan sekadar dialog, malahan al-Quran juga ada menceritakan kisah perdebatan antara Nabi Musa dengan Firaun dan Nabi Ibrahim dengan pemerintah ketika itu. Walaupun kelihatan perdebatan itu melibat seseorang Nabi dengan pemerintah, tetapi kandungan perdebatan mereka berkisarkan agama dan kepercayaan. Ini membuktikan kepada kita bahawa dakwaan tidak boleh berdialog antara agama adalah satu perkara yang meleset dengan ajaran al-Quran dan pengamalan Nabi Muhammad SAW. Dari kupasan ini, dinyatakan beberapa perkara penting. Antara adalah yang pertama, dialog antara agama adalah perkara yang cukup sesuai dengan roh Islam seperti ajaran al-Quran dan al-Hadis. Kedua, kualiti sesuatu kepercayaan tidak akan terhasil dengan semata-mata larangan undang-undang agar tidak tukar agama, tetapi kualiti beragama itu terhasil dengan pengetahuan jitu terhadap kebenaran berbanding kesesatan. Wallahu ‘Alam.
]]>TITAS dan dialog kemangkatan Jesus
Bible. Saya turut membincangkan topik ini bersama-sama Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil dan isterinya, Anne yang mengandung empat setengah bulan. Kami bertemu untuk makan malam di sebuah restoran makanan laut di Kota Kemuning, Shah Alam pada 12 Ogos 2013. “Kemurkaan Tuhan terhadap manusia bermula dengan peristiwa Adam dan Hawa yang mengingkari perintah-Nya. Akibatnya mereka menerima hukuman, dan kematian adalah salah satu bentuk hukuman yang diwariskan kepada umat manusia,” Perzeus yang menguasai Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris menceritakan. Katanya, kemangkatan Jesus mengubah kedudukan itu kerana Baginda sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan para pengikut. Tiga hari selepas mangkat, Baginda hidup kembali seperti dijelaskan dalam Bible. Saya memang berpengalaman menghadiri Sunday School di Aulong, Taiping pada usia kanak-kanak. Pada usia remaja, saya membaca Bible (selain bahan berkaitan agama-agama lain). Saya suka melakukan perbandingan antara agama – dengan erti kata, melihat “persamaan” antara agama; bukan mencari “perbezaan”. Suatu aspek yang sedikit mengelirukan dan boleh menimbulkan pertanyaan dalam kalangan orang “Bukan Kristian” dan “Bukan Islam” adalah berkaitan peristiwa kemangkatan Jesus (Nabi Isa). Seperti diketahui umum, Bible dan Quran memberikan maklumat yang “bercanggah”. Tentulah topik-topik berkaitan agama amat sensitif untuk dibincangkan di negara Malaysia. Walau bagaimanapun, sebagai seorang individu yang menyokong dialog antara agama, saya tidak merasakan tindakan saya salah apabila memilih untuk meminta penjelasan daripada seorang individu Kristian. “Tidak ada percanggahan pendapat dalam mana-mana mazhab Kristian mengenai perkara ini. Memang Jesus yang dipakukan pada salib sehingga mangkat dan memang Jesus yang muncul semula tiga hari kemudian. Walaupun mungkin ada versi lain diceritakan dalam budaya lain, saya dan isteri saya tetap akan mendidik dan membesarkan anak-anak kami dengan versi sahih sebagaimana terkandung dalam Bible,” Perzeus menegaskan dan dipersetujui oleh isterinya. [caption id="attachment_2368" align="alignleft" width="211"] Debat masih berterusan mengenai kemangkatan Jesus.[/caption] Pensyarah dan aktivis sosial itu tidak menolak kemungkinan anak-anaknya akan pulang dari sekolah pada masa hadapan dan mengadu bahawa guru-guru atau kawan-kawan di sekolah mengatakan Jesus sebenarnya tidak mangkat seperti diceritakan dalam Bible; sebaliknya Tuhan telah menggantikan orang lain di tempat Baginda. “Dalam keadaan seperti itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa Kristian untuk membimbing anak-anak supaya akidah anak-anak itu tidak terpesong daripada ajaran sebenar Kristian. Memang merupakan suatu cabaran besar khususnya apabila kita hidup sebagai kelompok minoriti dalam kalangan masyarakat majmuk. “Sebab itulah saya berpendirian bahawa ibu bapa Kristian mesti memikul tanggungjawab memastikan anak-anak mendapat pengetahuan secukupnya agar tidak mudah dikelirukan oleh pihak lain,” kata Perzeus. Saya bersetuju dengan pandangan dan pendirian beliau. Sebagai seorang individu Kristian, tentulah beliau sewajarnya dan selayaknya melihat peristiwa kemangkatan Jesus dari sudut Kristian. Tentulah tidak adil dan tidak logik untuk mengharapkan sesuatu yang sebaliknya. TITAS dan filem Jesus Seorang individu beragama Islam pula tentu akan memilih untuk melihat peristiwa kemangkatan Nabi Isa dari sudut Islam sebagaimana terkandung dalam Quran. Pertanyaan yang sering bermain dalam fikiran saya: Sudut mana pula yang perlu digunakan oleh individu “Bukan Islam” dan “Bukan Kristian”? Pada 19 Julai 2013, berikutan kenyataan media saya bahawa satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad, keluar pula kenyataan balas daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA): “Uthaya Sankar SB diseru masuk Islam” (www.ismaweb.net). Di tengah-tengah kewujudan puak “kurang cerdik” seperti itu, mungkin sukar untuk membincangkan secara terbuka topik berkaitan peristiwa sebenar yang berlaku pada hari-hari terakhir kehidupan Jesus di muka bumi. Dialog seumpama itu mungkin dikritik sebagai “memperlekeh dan mempersenda” agama Islam sedangkan tujuan dialog adalah bagi berkongsi maklumat, pandangan, hujah, idea dan sebagainya demi mencari titik persamaan dan kebenaran. Dalam hal ini, mujurlah saya memiliki sekian ramai rakan-rakan pelbagai kaum, agama dan ideologi yang suka terlibat dalam dialog demi kebaikan bersama. Dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia pula, walaupun topik berkaitan Islam dan Kristian mungkin dianggap terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka, kemasukan maklumat menerusi pelbagai sumber memang tidak dapat disekat. Saya tidak sekadar merujuk kepada internet yang membuka ruang menimba ilmu seluas-luasnya. Sebaliknya, saya merujuk secara khusus kepada topik kemangkatan Jesus. Maklumat mengenainya pasti akan sampai kepada orang ramai kerana terdapat banyak filem dan dokumentari yang menyentuh peristiwa itu. [caption id="attachment_2367" align="alignleft" width="230"] Kisah Jesus dipaparkan menerusi banyak filem dan dokumentari.[/caption] Dokumentari dan filem seperti Bible (2013), Jesus (1999), Mankind: The Story of All of Us (2012), Jesus of Nazareth (1977), Son of God (2001), The Miracle Maker (2000), The Day Christ Died (1980) dan Passion of the Christ (2004) – serta sambungannya, The Resurrection of Jesus Christ (2015) – misalnya menampilkan kisah kehidupan dan kemangkatan Jesus seperti yang terkandung dalam Bible. The New Testament menyebut kemangkatan dan kebangkitan semula Jesus tiga hari kemudian sebagai titik penting dalam Kristian. Orang Islam pula percaya bahawa Nabi Isa tidak mangkat disalib, tidak hidup semula serta tidak menebus dosa manusia. Suatu jalan penyelesaian yang mungkin dicadangkan adalah supaya orang Islam berpegang pada versi dalam Quran dan orang Kristian berpegang pada versi dalam Bible. Akan tetapi, bagaimana pula dengan orang “Bukan Islam” dan “Bukan Kristian”? Versi mana yang perlu diterima sebagai sahih dan diwariskan kepada anak-cucu? Mungkin juga situasi ini mengingatkan kita kepada novel/filem Life of Pi di mana watak Piscine Molitor Patel bertanya, “Which is the better story, the story with animals or the story without animals?” Namun, tentulah tidak semudah itu untuk membuat keputusan muktamad berhubung Jesus (Kristian) dan Nabi Isa (Islam), walaupun merujuk kepada individu yang sama dan serupa. Tidak seperti watak Hanuman dalam epik Ramayana karya Maharishi Valmiki yang kemudian bertukar menjadi watak Sun Wukong dalam hikayat Xi You Ji (Journey to the West) karya Wu Cheng’en. Mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sudah diperkenalkan di Institusi Pengajian Tingga Awam (IPTA) dan akan diwajibkan di IPTS mulai September 2013. Pakar mengakui bahawa TITAS bertujuan “meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013). Akhbar sama melaporkan bahawa “disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda ‘kosong’ tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini.” Mungkin TITAS akan membuka ruang untuk dialog sihat dan waras dalam kalangan masyarakat mengenai peristiwa kemangkatan dan kebangkitan semula Jesus.
]]>Bahasa Malaysia dan agama Hindu
Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Rata-rata rakyat Malaysia daripada kalangan kaum India beragama Hindu berumur 50 tahun dan ke bawah menguasai Bahasa Malaysia (selain bahasa ibunda dan bahasa-bahasa lain). Tentulah kenyataan ini boleh dipertikaikan sekiranya kita hanya melihat kepada politikus dalam Barisan Nasional (BN) yang diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan untuk memegang jawatan tinggi pada pelbagai peringkat. Bagaimanapun, saya lebih merujuk kepada orang ramai – masyarakat biasa – yang mempunyai kemampuan minda yang jauh lebih tinggi berbanding “badut-badut politik”. Ramai juga generasi muda kaum India yang tidak belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta hanya menguasai Bahasa Tamil dari segi pertuturan; bukan dari segi bacaan. Malah, tidak kurang juga lepasan SJKT yang lebih menguasai Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Tamil. Memandangkan rata-rata kaum India beragama Hindu menguasai Bahasa Malaysia, secara logik, tidak salah sekiranya bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu – termasuk buku cerita, rencana dan komik – diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Di negara bertuah ini, apa-apa bahan yang menggunakan Bahasa Malaysia dianggap ditujukan secara khusus kepada kaum Melayu beragama Islam. Maka, biar saya tekankan bahawa bahan-bahan berkaitan agama Hindu yang diperkatakan di sini adalah khusus bagi khalayak beragama Hindu. “Walaupun tumpuan pasaran yang dinyatakan adalah untuk masyarakat India beragama Hindu di Malaysia, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Saya amat mengalu-alukan sebarang usaha menerbitkan bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia.” Demikian reaksi yang diterima daripada Mohd Zaidi Md Zabri, pemuda kelahiran Ipoh, Perak yang sedang dalam proses menamatkan pengajian peringkat kedoktoran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). “Saya sedang menelaah sebuah buku tulisan Dr Farish Noor mengenai mitos, sejarah dan asal-usul keris di Nusantara. Beliau meletakkan premis bahawa agama Hindu memainkan peranan amat besar dalam mencorakkan rupa bentuk keris yang ada sekarang,” kata pemuda berumur 30 tahun itu. Mohd Zaidi juga berharap penerbitan bahan-bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia boleh membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini untuk saling mengenali, memahami, menghormati serta meraikan kepelbagai yang wujud. Hasil pemerhatian dan pengalaman saya mengendalikan pelbagai bengkel penulisan kreatif dan non-kreatif sejak 1993, memang wujud kebimbangan yang tidak berasas apabila ada pihak yang mahu menulis mengenai budaya India dan agama Hindu menggunakan medium bahasa kebangsaan. Apabila saya menulis makalah dan cerpen/novel yang mengangkat budaya kaum India beragama Hindu, saya sering dituduh cuba menyebarkan agama Hindu. Pasti sahaja puak yang menyebarkan fitnah seumpama itu tidak sedar akan hakikat kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini. Bukan bertujuan menarik orang peluk agama Hindu “Pada pandangan saya, usaha penerbitan seperti ini memang sepatutnya sudah dilakukan sejak dahulu. Bagi saya, bahan bacaan ini bukan hanya sesuai bagi orang Hindu. Pada hakikatnya, terdapat banyak kekeliruan berkenaan agama Hindu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum/agama di Malaysia.” Demikian pula pandangan ikhlas yang dikemukakan oleh R Balamurali (Vehl Murali), pemuda berumur 29 tahun dari Pahang yang kini menjadi peguam di Sungai Buloh, Selangor. “Namun, disebabkan kita hidup di sebuah negara yang ultra sensitif, maka cara penyampaian mengenai agama Hindu perlulah dipastikan bersifat informatif dan bertujuan membekalkan ilmu semata-mata. Jika boleh, maklumat berkenaan agama-agama utama di Malaysia dimasukkan dalam sistem pendidikan negara supaya pengetahuan dan pemahaman mengenai agama-agama ini dapat dikongsikan demi memupuk perpaduan,” katanya. Saranan dan cadangan Balamurali bukanlah supaya usaha penyebaran agama Hindu dilakukan kepada orang lain menerusi penerbitan bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia. Sebaliknya sebagai usaha murni pembinaan Bangsa Malaysia yang saling mengenali, memahami dan bertolak-ansur. Fakta menunjukkan bahawa bahan-bahan berkaitan agama Hindu pada mulanya disebarkan menggunakan Bahasa Sanskrit di Benua Kecil India. Kemudian bahan-bahan berkenaan diterjemah dan diterbitkan semula dalam bahasa-bahasa utama di negara berkenaan. Di Malaysia pula, bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu terdapat dalam Bahasa Tamil dan Inggeris. Hakikat ini turut dinyatakan oleh Nagathisen Katahenggam, seorang penjawat awam dari Jelutung, Pulau Pinang dalam perbincangan kami berhubung topik berkaitan. “Makalah, majalah serta bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia akan membolehkan skop pembaca diperluaskan supaya turut merangkumi anak-anak muda. Saya merujuk juga kepada anak-anak muda kaum India yang kurang pendidikan, kurang menguasai Bahasa Tamil dan Inggeris, serta terlibat dalam masalah sosial,” kata pemuda berumur 31 tahun itu. Dalam pada itu, Nagathisen sedar akan hakikat sebenar di negara ini yang dipenuhi golongan fanatik, ultra kiasu, etnosentrik dan rasis. Katanya, apabila bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, mungkin akan menerima reaksi negatif serta dakwaan kononnya ada usaha menyebarkan agama Hindu kepada penganut agama-agama lain. [caption id="attachment_2014" align="alignleft" width="150"] Bahan berkaitan budaya India dan agama Hindu memang banyak dalam Bahasa Inggeris.[/caption] Sambil berkongsi kebimbangan yang sama, Navanitha @ Nitha Nairu dari Menglembu, Perak tetap melihat cadangan penerbitan itu sebagai usaha murni ke arah memupuk pendidikan agama, nilai-nilai murni dan motivasi dalam diri generasi muda beragama Hindu. “Apabila ditulis dan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa paling utama di Malaysia, sekurang-kurangnya akan menarik minat remaja beragama Hindu yang mungkin kurang menguasai Bahasa Inggeris dan Tamil. Maka, Bahasa Malaysia menjadi medium untuk mereka menimba ilmu agama yang sangat penting ke arah pembinaan jati diri yang utuh,” kata juruteknologi makmal perubatan itu yang berasal dari Kangar, Perlis. Navanitha juga menyatakan bahawa pengetahuan agama Hindu yang ditimba (menerusi medium Bahasa Malaysia) akan menguatkan semangat generasi muda kaum India apabila berdepan dengan puak tertentu yang gemar memperlekeh amalan/ajaran agama Hindu. Contoh terdekat yang boleh kita fikirkan adalah puak seperti Zulkifli Noordin (ahli Perkasa dan rakan BN) dan Ridhuan Tee Abdullah (rakan Umno) yang merosakkan imej murni agama Islam. Suatu cara memartabatkan bahasa kebangsaan Topik yang dibicarakan turut mendapat reaksi daripada Poul Nanggang, penulis terkenal dari Miri, Sarawak. Penjawat awam berumur 48 tahun dan penganut Roman Katholik ini mendapati bahawa dilema yang dialami dalam usaha penerbitan bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia hampir sama dengan dilema yang dihadapi penduduk pelbagai etnik dan agama di Bumi Kenyalang. “Bagi saya sebagai Bumiputera Sarawak (yang dianggap kelompok minoriti), usaha penerbitan yang dinyatakan adalah murni; asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Medium pengantara menggunakan Bahasa Malaysia sebagai alat adalah tepat dengan tujuan supaya budaya India dan agama Hindu dapat dikongsi bersama dan difahami setiap lapisan masyarakat,” katanya. Penulis novel “Memori Abadi” (2010) itu meluahkan perasaan bahawa kelompok Bumiputera Sarawak juga ingin mengangkat wajah budaya pelbagai etnik dan kepercayaan dalam bentuk penulisan menggunakan Bahasa Malaysia. “Bagi saya, tanggapan mana-mana pihak bahawa perbuatan itu (menulis menggunakan Bahasa Malaysia) menyentuh sensitiviti adalah persepsi yang sempit. Kita harus lebih terbuka supaya jalinan hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia akan terus utuh. Janganlah dijadikan isu agama dan politik atau menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat. “Saya amat menyokong usaha-usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menerbitkan serta berkongsi pengalaman pelbagai suku, etnik, kaum, agama dan budaya. Dengan itu, barulah kita akan lebih saling memahami dan saling menghormati,” kata Poul. Sesungguhnya, bahasa adalah alat untuk manusia saling berkomunikasi. Demikian diakui Murugan Alimuthu, seorang akauntan bertauliah kelahiran Langkawi, Kedah. “Jika bahan bacaan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, ia sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Saya yakin bahawa bahan-bahan berkenaan tidak boleh dianggap menyentuh sensitiviti penganut Islam kerana tidak sesekali memperkecilkan, memperlekeh atau menghina mana-mana agama lain,” kata pemuda itu yang kini menetap di Taiping, Perak. Muthannah Marawan dari Kota Kinabalu, Sabah juga tidak merasakan penggunaan Bahasa Malaysia dalam penulisan dan penerbitan bahan bacaan berkaitan agama Hindu sebagai salah. “Sebaliknya, usaha itu dapat mengintegrasikan masyarakat majmuk di Malaysia; sekali gus memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Saya tidak merasakan seseorang akan terus memeluk agama Hindu sekiranya membaca bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia. [caption id="attachment_2015" align="alignleft" width="150"] Uthaya menerapkan budaya India menerusi cerpen dan novel sejak 1992.[/caption] “Kebanyakan rakyat Malaysia menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa. Begitu juga orang Melayu-Islam. Jika bahan bacaan berkaitan agama Hindu tidak diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, tidak bermakna mereka tidak akan berpeluang untuk membaca maklumat menerusi majalah atau buku Bahasa Inggeris,” tegas Muthannah yang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Shah Alam, Selangor. Saya percaya bahawa mana-mana pihak yang menentang usaha murni penerbitan bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu mempunyai dua niat jahat. Pertama: Tidak mahu wujud persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kedua: Mereka tidak mahu generasi muda kaum India berpeluang mengetahui dan mendalami agama Hindu supaya mudahlah nanti bagi mereka untuk “menyesatkan” kelompok berkenaan.
]]>Kesabaran Umat Minoriti Ada Had
Dr Mohd Faizal Musa
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
43600, Bangi, Selangor
Tulisan pop Ridhuan Tee Abdullah (2013) berjudul ‘Kesabaran Umat Islam Ada Had’ dengan segera memanggil saya mencari kembali buku tulisan Anthony Löwstedt (2010), ‘Apartheid Ancient, Past, and Present’. Dr Ridhuan Tee adalah seorang ahli akademik yang kini bertugas di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Beliau dilapor mengajar subjek Politik dan Kerajaan oleh portal rasmi institusi tersebut (Portal Rasmi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, 2012). Anthony Löwstedt pula adalah sarjana kelahiran Sweden pernah berkhidmat di The International Press Institute, sebelum menjadi ahli akademik di University of the Witwatersrand, dan University of Pretoria. Beliau juga pernah menjadi pensyarah di Bir Zeit University, Ramallah Palestin. Sejak 1997, Löwstedt mengajar subjek Media Communications, History, and Philosophy di Webster University Vienna. Buku beliau ‘Apartheid Ancient, Past, and Present’ ditulis selama 12 tahun, satu kajian mendalam merangkumi tiga benua mengenai amalan apartheid. Antara tahun-tahun 1948-1994, Afrika Selatan berada di penjuru yang paling memalukan dalam sejarah umat manusia kerana ia adalah sebuah negara yang mengamalkan apartheid. Hakikatnya, meskipun apartheid telah tumbang di Afrika Selatan pada tahun 1994, ia masih dapat dihidupkan kembali semangatnya oleh individu-individu tanpa negara. Oleh kerana itu, kehadiran ‘state-less apartheid’ ini jauh lebih berisiko dan berbahaya memandangkan ia tidak berpusat dan boleh menjelma di mana-mana, dengan pelbagai nama. Berdasarkan kerangka yang diperkenalkan oleh Anthony Löwstedt dalam kajiannya yang berjudul ‘Apartheid Ancient, Past, and Present’, makalah akan cuba melihat secara terhad pengamalan apartheid dalam bentuk ‘state-less’ ini. Anthony Löwstedt dalam kajian beliau tersebut melihat apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan sebagai ‘apartheid yang sempit’, bahkan ‘apartheid dengan kadar yang luas’ diamalkan dalam banyak komuniti dan dipandang sebelah mata, atau tidak disedari oleh ramai pihak. Sebagai contoh Löwstedt menyebutkan apartheid diamalkan oleh pihak British di Ireland; apartheid juga mengambil bentuk mafia atau samseng pengedar dadah yang mengerasi serta menakut-nakutkan masyarakat setinggan dan miskin di Hong Kong; ia boleh berlaku sebagai ‘gender apartheid’ ketika pemerintahan Taliban di Afghanistan di mana wanita didiskriminasikan dalam keadaan yang tidak terfikirkan akal; ia juga diamalkan secara angkuh dan berleluasa oleh Israel terhadap masyarakat Palestin dan Lubnan; dan hakikat ini diabaikan oleh masyarakat antarabangsa. Dalam erti kata lain, apartheid bukan semata-mata mengenai penindasan atas warna kulit. Ia terjadi dalam pelbagai bentuk yang luas. Ada empat perkara yang sangat penting ditekankan oleh Löwstedt dalam buku beliau tersebut. Pertama, apartheid tidak akan dapat berlaku dan mengambil tempat sekiranya ia tidak mendapat dokongan masyarakat terbanyak. Malahan, menurut beliau lagi masyarakat sivil bertanggungjawab menyubur, bekerjasama, dan menggalakkan situasi apartheid ini. Dalam banyak keadaan pegawai kerajaan atau segelintir kaum minoriti yang tertindas akan turut bergotong royong melakukan apartheid kerana mempunyai kepentingan dan agenda tersendiri: a powerful portion of civil society is needed to support apartheid and that the latter cannot exist without the cooperation, empowerment, and enrichment of a considerable number of civilian – as well as many state-employed – members of an oppressive ethnic minority (Anthony Löwstedt, 2010: 6). Sebagai contoh diskriminasi terhadap kaum natif di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand berlaku kerana kesedaran masyarakat adalah kurang, dan semangat apartheid itu telah ditanam dalam benak individu sehinggakan diskriminasi berlaku secara natural. Perkara kedua berkenaan apartheid dalam kajian Anthony Löwstedt adalah, dalam banyak keadaan, apartheid adalah mengenai eksploitasi masyarakat kecil yang tertindas: apartheid was never chiefly a matter of prejudice and cultural or religious differences, but, a great deal more importantly, concrete and material violence and exploitation (Anthony Löwstedt, 2010: 7) Eksploitasi dan diskriminasi tersebut tidak perlu dilakukan dalam bentuk undang-undang. Ia (apartheid) diterima kerana ia adalah amalan biasa, bahkan dalam banyak keadaan peruntukan undang-undang yang sedia ada akan digunakan oleh kaum elitis untuk mencipta lebih banyak penindasan dan dieksploit sebagai strategi untuk mempertahankan keberadaan mereka. Perkara ketiga yang disebut oleh Löwstedt adalah ‘kelicikan’ apartheid menyusup sebagai satu penipuan sehingga ia disangkakan sebagai satu kebiasaan: apartheid never was fundamentally based on law. It was always based on practice, and so, ultimately, were the apartheid laws. In fact, legislative, executive, judicial, business, and information powers and institutions are generally used and abused in apartheid societies in order to support, uphold, implement and reinforce such practice. The spectrum of that practice reaches from entirely unprovoked physical violence over legalized theft to insidious ideology. Thus, apartheid law never has become an organic legal or even political entity, but, rather, it has remained a constantly shifting, haphazard result of strategies, full of internal contradictions, inconsistencies, even containing conscious, unconscious and halfconscious lies. Apartheid laws are mainly the results of the conflict-engendering interests and perceptions of different elites within the oppressive minority and of the fluctuating environment of resistance against the realization of those interests (Anthony Löwstedt, 2010: 6). Perkara keempat dalam perhatian Löwstedt adalah apartheid tidak semestinya berlaku dalam bentuk perang atau persengketaan dua kaum atau kelompok masyarakat, tetapi apartheid dapat mengambil tempat dalam bentuk diskriminasi sosial, malahan penindasan ekonomi. Kalaupun ia dalam bentuk perang, ia akan dianggap sebagai satu sengketa yang tidak mungkin berakhir dan masyarakat cenderung untuk tidak mempedulikan dan membiarkannya sahaja: apartheid was never merely a state of war between different peoples either, but also a matter of invasion, oppression, theft, intimidation, and exploitative economic and social relationships. In other words, it does not only consist of endlessly spinning cycles of retaliatory violence; it has discernible, and indeed easily identifiable, beginnings, and it is essentially much more than mere violence. In fact, it is sometimes written off as a war that will never end and can never end, as something inevitable, something spuriously based in human genes or culture: Blacks or Non-Whites must fight Whites, and vice versa, Arabs (or Muslims) must fight Jews, and vice versa (Anthony Löwstedt, 2010: 7). Sebagai contoh, perlawanan antara Zionis dan kaum Palestina sering dianggap ‘tidak mungkin berakhir’ dan terlepas dari perhatian masyarakat sebagai satu apartheid. Jikalaupun ia mendapat perhatian, ia adalah sangat bermusim. Contoh lain apartheid yang tidak disedari adalah apartheid yang mengambil wajah ekonomi. Sebagai contoh, di Malaysia terdapat polisi di mana kaum Bumiputera mendapat diskaun tatkala membeli hartanah pada kadar 7 persen. Polisi dalam Dasar Ekonomi Baru yang berhasrat memberikan kek keuntungan ekonomi secara saksama kepada orang Melayu tersebut telah dieksploitasi oleh golongan elit dan atasan Bumiputera sehinggakan masyarakat kelas tinggi semakin kaya, dan kumpulan kecil yang miskin semakin tertekan. Hal ini misalnya menjadi tinjauan kritis Real Estate and Housing Developers Association (REHDA). Datuk Anthony Adam Cho yang menyatakan; ‘the more expensive the unit, the more discount is given. Why are the poor subsidising the rich?’ (Zurairi AR, 2013). Dalam hal ini apartheid kelas yang menindas kaum bawahan telah berlaku. Ciri-ciri apartheid yang ditonjolkan oleh Anthony Löwstedt, yang juga seorang aktivis hak asasi manusia di Palestina, mempunyai persamaan dengan ciri-ciri asabiyyah yang digariskan oleh tradisi ahlul bait. Asabiyyah boleh wujud dalam bentuk kepercayaan dan ideologi agama, ketaksuban terhadap nusa, bahasa atau warna kulit. Pertalian ini juga boleh berlaku kerana profesyen yang sama, atau kerana hubungan guru dan murid, atau sesuatu yang lain. Ia adalah satu aib moral yang muncul gara-gara mempertahankan status kebenaran atau agama, tetapi realitinya, ia diamalkan untuk meluaskan pengaruh sendiri, seseorang yang dekat, atau ahli kumpulan: Asabiyyah is an inner psychic trait that is manifested in patronizing or defending one’s kindred or those with whom one has some kind of affinity or relation, whether it be creed and religious ideology, soil or home, language or colour. This affinity may also be due to similarity of profession or the relationship of teacher and pupil, or something else. It is a moral vice that appears to take the form of defence of truth or religion, but in reality it is aimed at extending one’s own influence or that of one’s co-religionist(s), relative(s), friend(s), or member(s) of group. Figur hak asasi manusia terkenal dalam Islam, iaitu cicit Rasulullah saw, Imam Ali Zainal Abidin menyatakan asabiyyah berlaku apabila ia merasakan kumpulannya lebih baik dari kumpulan yang lain lalu melakukan penindasan terhadap kumpulan-kumpulan tersebut. Az-Zuhri asked Ali ibn al-Husain (a) about prejudice (‘Asabiyyah). He (Ali ibn al-Husain (a))said: ‘Asabiyyah is that by which the person who has asabiyyah sins, that the man sees the evil of his own nation is better than the good of another nation. It is not ‘Asabiyyah that he loves his nation, but that he takes his nation to oppress (the other nation) (Al Kafi, tanpa tarikh). Asabiyyah dengan itu mempunyai dua anasir yang membentuknya. Pertama ia terbentuk kerana adanya prasangka. Prasangka berada dalam benak, menjadi sikap dan terbenih oleh kekhuatiran tidak bersebab, kejahilan atau kebencian. Kedua, prasangka yang tertanam dalam hati itu mulai diberi aksi dan dilakukan dengan kata-kata, tingkah-laku, dasar, jenayah yang dilakukan oleh individu, kumpulan mahupun institusi: A prejudice is an opinion, prejudgment, or attitude about a group or its individual members. Prejudice is often accompanied by fear, ignorance, or hatred, as well as attempts at psychological bolstering or even real-world gaining of status by building attachment to an in-group and trying to separate oneself from out-groups. It could be considered ‘Asabiyyah of the heart or mind, in contrast to discrimination, which is ‘Asabiyyah in action, even if the action is only in speech or a look that someone else can see. Discrimination is behavior that treats people inequitably because of their group memberships and includes everything from verbal slurs and social slights, failure to provide reasonable accommodations or access, to media images, preferential hiring, pay, renting and admission policies, apartheid, and hate crimes. Discrimination can be committed by individuals, groups or institutions (Masooma Beatty, 2010) Justeru, bukanlah sesuatu yang mengejutkan Ridhuan Tee Abdullah, menulis mengenai ‘lautan manusia satu warna’ dan ‘rumah ibadat yang berwarna-warni’ dengan nada prasangka: Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini. Hari ini pergilah ke mana sahaja. Jika dahulu, rumah ibadat dan patung-patung tidak banyak kelihatan meriah. Kalau adanya pun agak suram dan tidak nampak tombolnya. Tetapi selepas PRU 12, keadaan jauh berubah. Mereka mendapat peruntukan sana sini, pusat dan negeri. Rumah ibadat kecil menjadi besar, tombol rendah menjadi tinggi dan berwarna-warni (Ridhuan Tee Abdullah, 2013). Pendapat Ridhuan Tee Abdullah di atas sangat berlawanan dengan gagasan 1Malaysia yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. Sudah tentu, dalam konteks definisi yang diberikan oleh Anthony Löwstedt di atas, pandangan Ridhuan Tee Abdullah tersebut agak sempit memandangkan ‘apartheid dalam kadar yang luas’ adalah melampaui prasangka dan prejudis kaum dan warna kulit. Oleh kerana apartheid boleh dan dapat menjadi satu kebiasaan serta dianggap alamiah, pendapat Ridhuan Tee Abdullah tersebut akan lama-kelamaan dipersetujui oleh masyarakat yang lebih dominan. Sehubungan dengan itu, apartheid-perkauman-asabiyyah (apa sahaja namanya), wajar dipatahkan. Ia adalah sesuatu yang berbahaya untuk masyarakat kerana ia dapat dipelajari. Maka, ia mesti dihadapkan dengan pelajaran yang dapat menghujah kembali dengannya. Kumpulan dan individu rasis yang membawa dan menyebar kuman perpecahan yang bertujuan untuk menindas wajar dibawa bersemuka. Darihal ini, Löwstedt menegaskan rasisme mesti ditundukkan dan jangan dibiarkan: Racism is, however, a contagious disease. It is learned and not inherited in any way. Yet, quarantine is not a solution. Racists must be confronted and dealt with wherever and whenever they appear (Anthony Löwstedt, 2010: 14). Sekiranya mengambil kira kerangka Anthony Löwstedt di atas, sukar sekali menolak hakikat bahawa apartheid boleh berlaku di luar Afrika Selatan dan tidak berkubur begitu sahaja pada tahun 1994. Ia, apartheid malah boleh berlaku di Malaysia dan didokong oleh masyarakat secara tidak disedari. Kejahilan masyarakat tersebut tidak wajar dibiarkan. Sebagai contoh, satu kempen tersusun untuk menyeru kerajaan Malaysia meratifikasi konvensyen antarabangsa mengenai penghapusan semua jenis diskriminasi antara kaum atau lebih dikenali sebagai International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimination (ICERD) perlu digerakkan. Konvensyen ICERD adalah sebuah dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memerlukan ahli-ahlinya untuk menghapuskan sebarang bentuk rasisme antara kaum di samping menggalakkan kesaksamaan dan perpaduan dalam kalangan semua kaum. Selain menjelaskan apa itu rasisme, konvensyen ini antara lain turut membekalkan ahli-ahlinya pelbagai mekanisme praktikal untuk mengurangkan rasisme, mengubah undang-undang dan dasar negara yang menggalakkan rasisme, dan juga mengutuk mana-mana kumpulan atau organisasi yang mengalakkan rasisme. Terdapat 175 buah negara telah menandatangani konvensyen ini tetapi Malaysia bagaimanapun memilih untuk tidak meratifikasikan Konvensyen ini. Selain Malaysia, 16 buah negara yang tidak menandatangani konvensyen ini adalah Burma, Korea Utara dan Angola. Malaysia walaubagaimanapun adalah Ahli Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva. Setakat ini, Malaysia hanya meratifikasikan 3 konvensyen antarabangsa iaitu, Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD). Penawar apartheid, atau asabiyyah dalam masyarakat hanyalah dialog. Yang dimaksudkan dengan dialog adalah dialog peradaban. Menurut Seyyed Hossein Nasr (2002: 142), dialog antara peradaban telah terancam pada kurun ke 18 dan 19 di mana kuasa politik Eropah telah mengehadkan dialog antara pelbagai peradaban kepada penumpuan terhadap satu peradaban, iaitu peradaban mereka yang dianggap unggul dan ulung; ‘it is the idea that there is fact only one civilisation and all other civilisations were building block towards that one civilisation’. Keangkuhan barat ini tidak wajar dicontohi. Seyyed Hossein Nasr (2002: 153) menegaskan dialog peradaban yang beliau maksudkan adalah dialog antara agama, ia adalah tunjang atau ibu segala dialog: If civilisational dialogue does not take into consideration the centrality of religion, than everything else is secondary. It is not very relevant. If Islam and Hinduism cannot come to understand each other than to compare the Taj Mahal with some Hindu building and so on and so forth is really secondary. We are not going to understand each other’s civilisations. Hal ini kerana setiap agama dan peradaban menekankan etika. Dialog mengenai etika itu yang perlu diselaras dan difahami oleh ahli masyarakat khususnya intelektual. Tentulah malang, seorang sarjana dengan bidang kepakaran politik dan kerajaan gagal mendakap gagasan dan gesaan untuk berdialog. Adalah mendukacitakan sekiranya kita gagal meraikan keinginan manusia untuk beragama, ‘rumah ibadat’ yang kecil dan kini menjadi besar, atau ‘tombol rendah’ yang kini menjadi ‘tinggi dan berwarna-warni’ haruslah dilihat sebagai sebahagian dari jawapan, respon dan solusi rakyat Malaysia kepada cengkaman aparthied yang mencekik tengkuk mereka menerusi penindasan ekonomi. Hakikat bahawa rakyat Malaysia mencari nilai spiritual berbanding kebendaan di tengah keganasan apartheid dan asabiyyah tidak wajar dipertikaikan. Tentu, kita tidak wajar menyalin perangai kuasa kolonial, melainkan kita memang secara tidak sedar mewarisi keangkuhan mereka kerana apartheid, meminjam pandangan Anthony Löwstedt, memang dianut oleh sebahagian besar masyarakat ekoran kejahilan mereka sendiri. Umat Islam yang beragama, umat Hindu yang beragama, umat Kristian yang beragama, dan lain-lain umat lagi haruslah duduk semeja dan mulai berdialog. Seterusnya Seyyed Hossein Nasr (2002: 158) sebagai pemikir Islam yang ikonik menegaskan fenomena umat berperadaban (dalam erti kata lain kembali beragama) adalah semakin kuat. Memang, ia acap kali mengambil rupa fanatik, tetapi kefahaman terhadap agama sangat sentral sehingga mengabaikannya adalah ibarat menempah kecelakaan untuk seluruh masyarakat. Kenyataan bahawa kumpulan tertindas akan membiarkan diri terus ditindas dan dihambakan tidak lagi berlaku. Saranan dialog seperti yang dinyatakan oleh Seyyed Hossein Nasr di atas sangat penting dan berguna menjadi pedoman. Ini kerana individu yang terleka, jahil, dan berasa natural dengan gejala apartheid dan asabiyyah dalam diri perlu tahu bahawa kesabaran umat minoriti ada hadnya. Sebagai contoh baru-baru ini, ‘sectarian-apartheid’ yang berlaku di Pakistan sekian lama telah mengakibatkan kemarahan yang membuak-buak dalam kalangan minoriti Syiah. Kumpulan minoriti tersebut akhirnya mengambil pilihan untuk menunjuk perasaan dengan membawa keranda, dan juga jenazah korban pengeboman Lashkar-e-Jhangvi ke jalanraya. Gejala ‘sectarian-apartheid’ yang bertukar pertumpahan darah ini bagaimanapun tidak diambil berat oleh kerajaan Pakistan, kerana masyarakat terbanyak (majoriti) berasa tidak peduli malah merasakan ia sebagai sesuatu yang alamiah; ‘the government’s persistent failure to apprehend attackers or prosecute the extremist groups organising the attacks suggests that it is indifferent to this carnage’ (Human Rights Watch, 2012). Kumpulan Hezbollah di Lubnan turut menggesa badan-badan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa untuk mengenengahkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah takfiri (pelabel kafir atau pengkafir orang lain) ini dengan lebih aktif; ‘The continuous massacres and collective killings of hundreds of innocent civilians forces the international community and human rights organizations to raise their voices to condemn these Takfiri criminals’ (The Daily Star, 2013). Sejak tahun 80an lagi, minoriti Syiah telah menjadi sasaran pembunuhan yang tidak sudah-sudah. Sebahagian penganalisis percaya ia menjadi sangat buruk ekoran program Islamisasi kelolaan Jeneral Zia ul-Haq yang bermula pada tahun 1979. Seperti yang telah dinyatakan oleh Anthony Löwstedt, polisi, undang-undang malah seluruh jentera kerajaan sesebuah negara boleh digunakan untuk membenihkan apartheid secara sedar atau tidak dan itu dilakukan oleh Jeneral Zia ul-Haq gara-gara mempertahankan pemerintahan tenteranya. Program Islamisasi tersebut membolehkan kumpulan militan diberi segenap kekuatan; ‘hardline religious groups were strengthened’ yang mendorong mereka melakukan pelabelan (yang merupakan simptom apartheid) kafir kepada kumpulan yang tidak sebulu atau sejalur fikiran dengan mereka. Apartheid yang tertanam menjadi alamiah ini mulai dianut oleh kumpulan tertentu lalu dizahirkan dalam bentuk pembunuhan terhadap minoriti Syiah; ‘committed by Sunni militants inspired by al-Qaeda’s ideology’ (Alastair Lawson, 2011). Satu lagi contoh kesabaran umat minoriti ada hadnya ialah gejala ‘gender-apartheid’ yang berlaku di India. Hujung tahun lalu, khusus di New Delhi iaitu pada 21 Disember 2012, masyarakat kelas pertengahan benua kecil India telah bangkit dari kelekaan serkupan apartheid. Tragedi rogol yang menimpa seorang wanita berusia 23 tahun dan teman lelakinya setelah pulang menonton filem Life of Pi di Saket selatan Delhi membuakkan kemarahan dan meledak menjadi protes sosial paling bersejarah. Di sebuah negara yang hak-hak wanita sering diredam dan dinafikan, peristiwa ganas yang menimpa gadis 23 tahun tersebut sungguh menyayat hati. Apartheid telah menjadi raksaksa sehingga enam lelaki boleh tergamak memperkosa seorang wanita, menjolok kemaluannya sehingga terkeluar isi perut, lantas mencampak pasangan keluar dari bas. Tidakkah ini bentuk kejahilan apartheid yang dibiarkan sehingga menjadi terlalu besar dan agam untuk dilawan? Apa yang lebih mencetuskan kemarahan kaum wanita ialah Raju, lelaki berusia 17 tahun telah memperkosa wanita itu dua kali dan bertanggungjawab menjolok kemaluan dan duburnya sehingga menyebabkan mangsa cedera parah. Raju akan terlepas dari undang-undang memandangkan beliau belum dianggap dewasa menurut undang-undang sivil India. Gender-apartheid ini berlaku di sebuah negara demokrasi terbesar yang sering menjadi contoh akan kecekapan perjalanan pilihanrayanya. Kehidupan seorang wanita di India amat menakutkan. Angka kes rogol yang dilaporkan amat besar, dan ini hanyalah angka yang dilaporkan kerana dalam banyak keadaan mangsa memilih untuk tidak berdepan dengan stigma budaya: the number of reported rapes — in a country where a cultural stigma keeps many victims from reporting the crime — has increased drastically, from 2,487 in 1971 to 24,206 in 2011, according to official figures. New Delhi alone had 572 rapes reported in 2011 and more than 600 in 2012 (CNN Staff, 2013). Kes rogol beramai-ramai tersebut sangat menggamamkan. Bagaimanakah India, yang tunjang peradabannya adalah agama Hindu dapat melakukan apartheid sedemikian rupa terhadap wanita? Tidakkah nama-nama dewi seperti Sati, Parvati, Durga, Kali, Bhuvaneswari, Saraswati, Sri Lakshmi, Sita dan Radha memberi erti buat kaum lelaki Hindu di India? Jawapannya ialah kerana apartheid telah sangat berisi kuku sehinggakan agama, dan etika sudah dirodok dan terhumban keluar dari masyarakat. Peristiwa malang yang menimpa kaum wanita di India tersebut menerima kritikan keras dari United Nations Entity for Gender Equality and the Empowerment of Women (UN Women): A 2010 study by the Government of New Delhi, JAGORI and UN Women showed that 54 per cent women and 69 per cent men who see women getting harassed prefer to not get involved. Public apathy needs to be converted into public empathy. We need communities and individuals to be a part of this change in mindsets, attitudes and beliefs. We call on the Government of Delhi and India to do everything in their power to take up radical reforms, ensure justice and reach out with robust public services to make women’s lives more safe and secure (Anne F Stenhammer, 2012). Gender-apartheid ini bukan sahaja terjadi di India, ia turut dilakukan dalam kalangan umat Islam. Dalam sejarah peradaban manusia moden, pemerintahan Taliban di Afghanistan adalah naratif pilu yang mencengangkan. Tidakkah Islam telah memberi hak kepada kaum wanita sedemikian mulia? Mengapakah wanita didiskriminasi dengan hebatnya? Badan Physicians For Human Rights (1998: 54) yang dianugerahkan Nobel Peace Prize pada tahun 1997 melaporkan wanita di bawah pemerintahan Taliban dihadkan penyertaan mereka dalam masyarakat sehingga tidak berupaya untuk membuat keputusan dan pilihan: Human rights are founded on principles that all members of the human family are equal in dignity and rights. However, where discrimination against women exists, women are often excluded from effective participation in identifying and securing their rights. In Afghanistan, Taliban restrictions on women’s participation in society make it nearly impossible for women to represent their health and human rights interests. Terdapat banyak jenis apartheid di dunia ini, dan manusia kecil terus tertindas sehinggalah tiba Cahaya di hujung zaman kelak. Namun demikian, usaha pembendungan apartheid harus kekal berjalan dan digerakkan. Sikap tidak serius kerajaan Malaysia dalam hal-hal yang dapat membenihkan pelbagai jenis apartheid dalam hal ini dirujuk. Sikap sambil lewa terhadap International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimination (ICERD) adalah satu tanda lemahnya perhatian pihak berkuasa terhadap gejala apartheid yang boleh tumbuh sebagai kanser dalam komuniti. Ia juga menunjukkan taraf kesuburan hak asasi manusia di Malaysia di tahap yang membimbangkan meski tidak mandul. Pihak berkuasa perlu mengambil kira pandangan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Tan Sri Simon Sipaun (2012), yang juga merupakan pengerusi PROHAM. Menurut beliau ketidakseimbangan ras di Malaysia dalam keadaan membimbangkan kerana, meminjam pandangan Anthony Löwstedt, ‘diskriminasi telah dianut secara alamiah’: Think about this ladies and gentlemen and ask yourself whether there is racial discrimination in this country or not. Relate this to the idea of ‘ketuanan Melayu’ and the affirmative action and policy for the Malays who form the majority population and control everything associated with government. The communities which really need assistance by way of affirmative action are the orang asli, Penans and other indigenous minorities. One objective way to determine the extent to which racial discrimination exists or does not exist in this country is to examine what statistical data indicate regarding who and which community is in control of the economic, social, cultural, civil and political life. Jika Ridhuan Tee Abdullah menegaskan kesabaran umat Islam ada hadnya, beliau juga wajar sedar kesabaran umat minoriti ada hadnya. Dalam sebuah negara yang didiami oleh multi etnik dan agama, dua kutub kesabaran yang melampaui had akan menyebabkan konflik tercetus. Dialog adalah jalan terbaik untuk meredakan konflik. Prasangka dan pemupukan fenomena apartheid adalah jalan terburuk. Ia bukan sahaja menyiram minyak ke dalam api sengketa dan fitnah, ia membuka jalan kepada pertembungan yang bakal merugikan negara. Kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia adalah aset untuk pertahanan nasional, bukan satu kekurangan. Tentu sahaja mana-mana sarjana yang sihat dan pakar tentang politik dan kerajaan pun akan bersetuju dengan Anthony Löwstedt, dan penyelesaian yang dinyatakan oleh Seyyed Hossein Nasr. * Pada 23 Februari 2013 ini, satu forum berjudul ‘Malaysia is ready: Say NO TO RACISM’ anjuran Islamic Renaissance front akan berlangsung di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Mont Kiara. Antara panel yang akan hadir adalah Dr. Ahmad Farouk Musa, Jerald Joseph, Datuk Ambiga Sreenevasan, Datin Seri Paduka Marina Mahathir, Zaid Kamarudin, Lim Chee Wee dan Dr. Kua Kia Soong. Forum akan membincangkan International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimination (ICERD). RUJUKAN Abdullah, R.T. 2013. Kesabaran umat Islam ada had. 18 Februari. Sinar Harian. http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/kesabaran-umat-islam-ada-had-1.132091 Ali ibn al-Husain. Asabiyyah. Dlm. Al-Kafi. Jilid 2. Hadis nombor 7: 309. Beatty, M. 2010. Islam on Prejudice. 15 Jun. Islamic Insights. http://islamicinsights.com/religion/religion/islam-on-prejudice.html CNN Staff. 2013. Rape case ‘an awakening’ for India, victim’s father says. 10 Januari. Cable News Network. http://edition.cnn.com/2013/01/09/world/asia/india-rape-case Human Rights Watch. 2012. Pakistan: Shia killings escalate government and security forces fail to protect muslim minority. 5 September. Human Rights Watch. http://www.hrw.org/news/2012/09/05/pakistan-shia-killings-escalate Lawson, A. 2011. Pakistan’s evolving sectarian schism. 4 Oktober. BBC News South Asia. http://www.bbc.co.uk/news/world-south-asia-12278919 Löwstedt, A. 2010. Apartheid: Ancient, Past, and Present Systematic and Gross Human Rights Violations in Graeco-Roman Egypt, South Africa, and Israel/Palestine. Vienna: Gesellschaft für Phänomenologie und kritische Anthropologie. Nasr, S.H. 2002. Religion and Civilizational Dialogue. Al Huda. Volume II (6): 141-158. Physicians For Human Rights. 1998. The Taliban’s War On Women: A Health And Human Rights Crisis in Afghanistan. Washington DC dan Boston. Portal Rasmi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. 2012. Nama Pensyarah dan Bidang Kepakaran Staf di Pusat Pengajian Umum dan Bahasa. 15 Mac. http://www.upnm.edu.my/index.php?req=d5&id=965 Quran and Sunnah Propagation Mission. Tanpa tarikh. Prejudice Asabiyyah. http://quranwasunnah.com/index.php?request=prejudice Sipaun, S. 2012. Why Malaysia should ratify ICERD. 31 Oktober. The Malaysian Insider. http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/why-malaysia-should-ratify-icerd-simon-sipaun Stenhammer, A.F. 2012. UN Women condemns gang rape of Delhi student. 20 Disember. UN Women. http://www.unwomen.org/2012/12/un-women-condemns-gang-rape-of-delhi-student/ The Daily Star. 2013. Hezbollah slams bomb blasts in Iraq Pakistan. 19 Februari. The Daily Star. http://www.dailystar.com.lb/News/Local-News/2013/Feb-19/207014-hezbollah-slams-bomb-blasts-in-iraq-pakistan.ashx#ixzz2LIklaz5q Zurairi AR. 2013. Relook Bumi quota, low-cost housing policies, Putrajaya told. 19 Februari. The Malaysian Insider. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/relook-bumi-quota-low-cost-housing-policies-putrajaya-told/ ]]>