Baru-baru ini timbul isu mengenai papan tanda Pasar Seni.
Gambar yang dimuat naikkan oleh seorang pengguna Facebook telah menangkap perhatian ramai dan menjadi viral. Dalam kapsyennya, dia menulis, “… terperanjat besar aku. Aku ni kat Kuala Lumpur ke… atau kat Hong Kong… atau kat Macau ke… atau kat Beijing?… Oh Negaraku Malaysia.”
Seperti biasa, masyarakat Malaysia yang masih tersepit dan bergelut dengan sentimen perkauman menjadikan isu bahasa sebagai isu perkauman.
Malang sungguh buat negara kita kerana kita amat jarang sekali boleh mengadakan diskusi yang rasional, membina dan konstruktif tentang bahasa (dan sekolah) tanpa sentimen kaum. Namun, tidak salah mencuba rasanya.
Bahasa jiwa bangsa. Apakah peri pentingnya tiga perkataan yang sering diulangi di zaman sekolah kita? Bahasa adalah teras sesuatu kaum. Amatlah malang jika sesuatu bangsa tidak mengangkat bahasanya sendiri.
Tidak kira sama ada kita memperjuangkan bangsa Malaysia dan/atau bangsa Melayu, rasanya kita sama-sama setuju bahawa bahasa bangsa Malaysia/Melayu perlu diangkat.
Ketika belajar di Amerika Syarikat, saya perhatikan sebuah usaha untuk memupuk perpaduan dan identiti seragam.
Di situ pun usaha membina perpaduan adalah sesuatu yang mengambil masa dan tenaga, sebaliknya usaha memecah-belahkan masyarakat lebih mudah dan cepat.
Apatah lagi di negara kita yang bukan sahaja mempunyai warganegara pelbagai kaum dan agama, tetapi juga bahasa yang berlainan.
Di Amerika, tidak kira orang berkulit putih atau hitam, sekurang-kurangnya mereka berkomunikasi dalam bahasa yang sama.
Cabaran yang menghadapi kita adalah bagaimana untuk memperkukuhkan dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di kalangan warganegara kita.
Bahasa Sebagai Medium Perpaduan
Kebatasan menguasai sesuatu bahasa akan mendatangkan kesan kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini. Jurang bahasa adalah suatu masalah yang perlu ditangani dan diselesaikan.
Kita perlukan satu bahasa yang membolehkan semua warganegara berkomunikasi antara satu sama lain. Jika tidak, ada antara kita yang akan hidup dalam tempurung masing-masing.
Kesesuaian, malah kepentingan, bahasa Melayu/Malaysia sebagai medium perpaduan sukar dinafikan.
Kita tidak memerlukan hujah bersifat perkauman dan emosi untuk melihat bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah yang terbaik dalam pembinaan identiti bangsa negara.
Pertamanya, bahasa ini yang paling banyak digunakan dalam masyarakat kita. Kedua, ia lebih mudah dipelajari berbanding dengan bahasa lain. Ketiga, ia merupakan kesinambungan sejarah tanah air dan masyarakat kita.
Keempat, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Kelima, kehidupan bermasyarakat mengharuskan kita cuba memahami antara satu sama lain, dan cara terbaik untuk memulakan proses pemahaman ini adalah dengan meluaskan penggunaan bahasa majoriti.
Tanggungjawab Bersama Orang Melayu & Bukan Melayu
Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, kita semua mempunyai peranan untuk mengangkat semula bahasa ini.
Kita patut menggalakkan orang bukan Melayu bertutur dalam bahasa Melayu dan membuatkan mereka sedar bahawa bahasa ini adalah milik kita semua.
Kita patut menanam rasa pemilikan terhadap bahasa ini antara orang bukan Melayu.
Orang Melayu pula jangan menganggap bahasa ini milik ekslusif mereka sahaja. Malah, sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam mengangkat martabat bahasa Melayu.
Apakah gunanya jika lantang mengeluarkan kenyataan yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu tetapi merendahkan bahasa sendiri?
Saya maksudkan orang Melayu yang suka menggunakan ayat dan perkataan ringkasan seperti “awk”, “ko”, “aq”, “klo”, “x heran” dan sebagainya.
Penggunaan sedemikian boleh diamalkan dalam perbualan seharian, tetapi tidak patut digalakkan dalam tulisan dan ucapan. Untuk mengangkat semula martabat bahasa, kita perlu mula dengan menggunakannya dengan betul.
Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia – Pentingkah?
Selain itu, seringkali terdapat perdebatan sama ada kita patut menamakan bahasa kebangsaan sebagai Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia.
Pada hemat saya, perbahasan ini bukan mustahak. Persoalan pokok bukan sama ada namanya Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia, tetapi bagaimana kita menggalakkan lebih ramai orang menggunakannya.
Contohnya, seorang sahabat saya sangat mementingkan terminologi Bahasa Malaysia. Mungkin dia akan membaca artikel ini dan “menegur” saya nanti.
Walaupun terdapat perbedaan pendapat di sini, kami berdua kerap menggunakan bahasa Melayu/Malaysia dalam makalah kami.
Kami tetap menyarankan rakan-rakan Melayu dan bukan Melayu untuk belajar, bertutur, dan menulis dalam bahasa kebangsaan.
Perbezaan kami ini hanya satu butiran sahaja; kami mempunyai matlamat yang sama. Yang penting, kita promosikan penggunaan bahasa ini.
Bahasa Kebangsaan, Bahasa Kebanggaan – Mulakan dengan Percubaan!
Poin terakhir adalah berkenaan wakil rakyat. Disebabkan prosiding, dokumen, dan mesyuarat parlimen dan urusan kerajaan mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu, wakil rakyat perlu memperbaiki penguasaan bahasa Melayu.
Kadangkala agak “sukar” mendengar sesetengah wakil rakyat berbahas dalam bahasa Melayu. Namun, saya memuji sikap mereka yang berani mencuba.
Harap dapat meneruskan usaha mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan!
Perubahan bermula dari kita. Jika kita ingin berbangga dengan bahasa kita dan ingin mengangkat bahasa Melayu, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing untuk menggalakkan penggunaan bahasa ini sebagai medium perpaduan dan pengantaraan.
Hentikan penghinaan terhadap bahasa dan mulalah menulis dengan menggunakan bahasa yang betul (atau sekurang-kurangnya cuba). Banggalah dengan bahasa kita.
Ingat, bahasa Melayu/bahasa Malaysia milik semua rakyat Malaysia!
Penulis adalah penyelidik di Penang Institute dan presiden Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM)
Tanggapan Nik Aziz terhadap Non-Muslim
Toleransi di Malaysia
Kita meletakkan perbedaan ideologi dan krisis politik ke tepi sekejap.
Pada bulan Ramadhan ini, pasti sahaja berlaku insiden ketidaktoleransian seperti tahun-tahun lepas.
Saya masih ingat insiden paling teruk, murid-murid sekolah yang bukan beragama Islam diarahkan makan di tandas yang dijadikan “kantin sementara” (laporan kemudiannya timbul bahawa ia sebenarnya bilik persalinan yang mempunyai bilik mandi, bersebelahan tandas).
Entah ke mana perginya sikap terbuka dan berlapang dada masyarakat ini.
Pada masa yang sama, wujud juga sesetengah tokoh, Muslim dan non-Muslim, yang mengamalkan pendekatan hidup bersama secara harmoni. Mereka berdakwah dengan menunjukkan teladan yang mulia.
Sesungguhnya pada bulan puasa yang mengajak umatnya untuk bertaqwa, eloklah kita mengambil pengajaran daripada salah seorang tokoh tersebut, Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Beliau sentiasa mengambil peluang bukan untuk mencaci, tetapi untuk berdakwah. Bukan memburuk-burukkan orang lain atau menaruh prasangka buruk, tetapi memperkenalkan mesej Islam kepada yang belum mendapat hidayah.
Baru-baru ini saya pulang ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara. Saya sempat menjenguk kedai MPH di KLIA 2. Terdapat senaskah buku mengenai pemikiran Tok Guru Nik Aziz, maka saya mengambil kesempatan untuk membeli dan menelaah buku tersebut. Saya menjadikan buku itu sebagai rujukan untuk artikel ini.
Nukilan Tok Guru Nik Aziz: Persaudaraan Manusia
Disebabkan saya tidak layak dan tidak berniat untuk mentafsir ayat-ayat TGNA, saya akan membiarkan kata-kata Tok Guru “bercakap dengan sendiri”.
Berikut merupakan tanggapan Tok Guru Nik Aziz terhadap hubungan antara Muslim dan non-Muslim:
“Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa. Islam datang bagi membebaskan manusia dari segala fahaman kebangsaan yang sempit. Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa, dan suku kaum.”
“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli, dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah.
Sekiranya tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Sekiranya tidak jumpa jawapan, terima dahulu kenyataan ini.”
“Selama ini kita tidak berfikir menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebarkan Islam kepada sesama orang Islam.
Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, tetapi bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.
Sebenarnya, perpaduaan melalui Pakatan Rakyat membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.”
“Mengapa isu membenarkan bukan Islam masuk ke rumah ibadah agama Islam diperbesar-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan?”
“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam.”
Politik Rasis Menentang Ajaran Islam
“Saya sendiri sentiasa konsisten bahawa budaya politik rasis sewajarnya layak dibuang terus dari kamus masyarakat Malaysia. Inilah budaya politik terkebelakang yang tidak membawa sesiapa ke mana-mana melainkan hanya menyemarakkan api permusuhan sesama sendiri…
Darah Melayu dan darah Cina serta bangsa-bangsa yang lain sama-sama berwarna merah dan tidak bersepuh emas warna darahnya semata-mata hanya kerana berbangsa Melayu.
Justeru, Islam mengajar manusia agar tidak berbangga dengan darah keturunan, sebaliknya hendaklah manusia berebut-rebut menjadi insan yang bertaqwa. Seorang yang bertaqwa darjatnya tinggi di sisi Allah SWT walau apa jua bangsa sekalipun.”
“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, oleh itu bila tiba perkara-perkara macam ini (orang bukan Islam membaca al-Quran atau masuk ke dalam masjid), terus timbul masalah.
Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Quraisy yang kafir datang berjumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid.
Cuma apa yang dilihat benda itu sebagai pelik pada zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama.”
Dr MAZA: Masjid & Non-Muslim
Pandangan Mufti Perlis, Dr. Asri bin Zainal Abidin, yang menyokong kenyataan TGNA:
“Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid supaya dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; Muslim dan bukan Muslim.
Di negara seperti Malaysia berbilang agama dan budaya, kaum Muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.
Sekiranya masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, biarkah Islam akan dapat difahami oleh mereka.
Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan-akan tiada rahmah antara Muslim dan non-Muslim, ditambah lagi dengan ruang yang ditutup untuk mereka mendengar ajaran Islam.
Masjid digambarkan sebagai musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama, ada pihak bukan Islam menjemput Muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan pelbagai bantuan.
Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurangnya noktah yang mengurangkan sangkaan salah kepada agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang mahu kita bawa dalam negara ini?”
Impian TGNA Bersama Bukan Islam
Surat TGNA kepada Nga Kor Ming:
“Saya juga terharu mendengar keluhan YB berbunyi, ‘Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.’
Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.
Mudah-mudahan dengan sikap ‘tidak mesra Umno’ dan pemimpin-pemimpin Umno berkaitan kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami, dan mengadakan forum serta wacana berkaitan Islam dengan cara yang lebih meluas.”
“Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau, dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.
Kalau Gengkhiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.
Lalu saya mempunyai keyakinan Islam kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang bakal meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu-bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.
Mari kita membina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog, dan wacana. Tajuk-tajuk seperti ‘Di mana tidak kenanya Islam’ atau ‘Apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam’ boleh difikirkan.”
(Semua petikan di atas diambil dari buku “Pemikiran Tuan Guru: Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Kenangan” dan prakata TGNA dalam buku “Malaysia Pasca-Rasisme”)
]]>Isu Rohingya: Jadilah Jalan Penyelesaian
Lagi beberapa minggu, atau mungkin beberapa hari, kita akan lupakan warga Rohingya sepertimana Permatang Pauh dan Rompin sudah dilupakan. Media akan mengabaikan nasib Rohingya apabila berita tidak hangat lagi.
Parti politik dan kerajaan tidak akan membuat lawatan ke pusat pelarian dan menjawab soalan di Parlimen. Dan selepas itu, pengguna media sosial dan kebanyakan daripada kita yang kononnya kisah pasal nasib Rohingya tidak peduli lagi.
Ramai yang menzahirkan perasaan marah, sedih, dan simpati terhadap nasib Rohingya. Tetapi perasaan kita tidak bermakna dan tidak membawa apa-apa perubahan selagi tidak digunakan untuk membuat sesuatu.
Ada yang bermain permainan “siapa salah?” Ya, mungkin salah kerajaan Myammar kerana menindas dan mengusir kaum Rohingya daripada tanah mereka. Mungkin salah kerajaan Malaysia kerana tidak melakukan sesuatu yang lebih dari sekarang untuk menolong mereka. Mungkin salah umat Islam kerana tidak menolong bangsa seagama mereka. Mungkin salah penganut agama Buddha kerana tidak mengecam rejim Burma.
Kita harus realistik. Sebagai rakyat biasa kita tidak berpengaruh mengubah polisi secara langsung dalam masa terdekat.
Kita tidak boleh memaksa kerajaan Malaysia menerima ribuan pelarian Rohingya dan menubuhkan agensi khas untuk meyelaraskan bantuan dan persinggahan mereka.
Kita bukan Thein Sein atau Aung San Suu Kyi. Kita tidak dapat mempengaruhi dasar kerajaan Myammar. Kita bukan Ban Ki Moon, Kofi Annan atau Barack Obama. Apa yang kita katakan tidak mempunyai kesan terhadap hubungan diplomatik dan tekanan antarabangsa.
Namun, apa yang kita ada adalah sedikit wang dan modal sosial. Ada di antara kita yang berpengaruh dan berkedudukan, gunakanlah ia untuk membantu Rohingya secara berkesan. Orang yang berduit dan berkemampuan, dermakanlah kepada agensi yang sedang gigih berusaha menyalurkan bantuan. Biar sedikit pun. Mungkin RM 10 yang kita beri itu dapat membeli makanan untuk 3-4 orang yang sudah seminggu tidak makan. Kepada yang percaya kepada Tuhan, Tuhan akan balas.Selalunya, saya berwaspada kepada individu dan organisasi yang meminta duit kerana saya tidak kenal mereka dan tidak yakin samaada duit itu akan disalurkan setulusnya kepada penerima yang dijanjikan. Jadi, saya telah cuba mencari maklumat tentang agensi bantuan kemanusiaan dan berkongsikan kempen mereka sepanjang tulisan ini.
Jika anda menyumbang kepada mana-mana kempen ini, anda boleh meyakini bahawa duit anda akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk usaha yang murni kerana individu/agensi yang disenaraikan adalah terkenal dengan misi bantuan kemanusiaan dan mempunyai rekod prestasi yang membanggakan.
Kita boleh menyalak, tapi adakah itu bermanfaat buat masa ini? Apa lagi yang boleh kita lakukan? Jadilah sebahagian daripada penyelesaiannya.
Cukuplah dengan rungutan kita di media sosial dan perbalahan yang tidak membawa ke mana-mana. Semangat dan sentimen ketidakadilan yang kita rasai itu bagus, namun ia tidak mendatangkan kesan jika kita tidak menyalurkan semangat itu untuk melakukan sesuatu.
Tiga tahun yang lalu, saya memberi ucapan di Stadium Melawati sempena program MyGMJ (Malaysia Global March to Jerusalem). Sejurus selepas ucapan itu, kawan saya berkata kepada saya, “Aku harap ia bukan sekadar bicara.”
Sampai hari ini saya ingat pesanan itu. Jangan hanya bercakap untuk tunjuk bahawa kita kisah. Itu jalan yang mudah. Jalan yang kita harus ambil adalah yang membawa ke arah kebaikan.
Saya harap saya lakukan apa yang termampu untuk membantu orang lain (dan juga ke Palestin suatu hari nanti). Dan apa yang saya boleh lakukan adalah menulis.
]]>Apabila Islam Adalah Minoriti
Islam di pinggiran
Menjadi orang beragama Islam di Amerika dan Eropah bukan sesuatu yang mudah. Seperti mana-mana minoriti di mana-mana negara, mereka sering dijadikan “punching bag” oleh mereka yang paranoid, mencetuskan ketakutan dan kebencian, dan memburuk-burukkan orang yang lain daripada mereka.
Sudahlah menjadi majoriti yang bertampuk kuasa, mereka ini tidak sanggup melihat pengaruh mereka dihakis oleh golongan lain dan oleh itu, apabila mereka terasa dicabar, mereka mendepani cabaran itu dengan mengalih perhatian kepada golongan minoriti dan menjadikan golongan minoriti sebagai “punching bag” untuk menarik sokongan.
Di Amerika, golongan konservatif seperti sesetengah Republicans buat-buat takut dengan khabar angin bahawa kononnya nilai-nilai Amerika (American values) semakin dihakis oleh golongan Muslims.
Seorang senator di Florida mengatakan bahawa undang-undang anti-Sharia/anti-Muslim adalah “satu keperluan dan langkah pencegahan yang sama seperti undang-undang pencegahan vaksin terhadap penyakit-penyakit tertentu”. Seorang wakil rakyat di Oklahoma pula berkata bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan orang Islam yang merancang untuk membunuh orang Kristian.
Gila. Gila. Semuanya gila. Tetapi itulah yang berlaku.
Diskriminasi dan penindasan
Sejak 9/11, golongan Muslims di Amerika menghadapi pelbagai rintangan. Dari segi diskriminasi (institutional discrimination), lebih daripada 20 peratus daripada laporan diskriminasi atau tuntutan yang difailkan dengan EEOC adalah dari umat Islam, walaupun umat Islam hanya 2 peratus daripada populasi Amerika.
Pembinaan masjid juga agak sukar di sesetengah kawasan yang majoritinya beragama Kristian. Jika hujah sesetengah penduduk Taman Medan (atau mereka yang diupah) adalah pembinaan gereja menganggu sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam, hujah yang sama juga digunapakai di sini untuk menghalang pembinaan masjid. Adakah itu sesuatu yang betul?
Di Eropah, dalam satu kajian 2011 oleh Pew Global Attitudes Project, majoriti responden di Jerman (72 peratus), Sepanyol (69 peratus), Perancis (54 peratus), dan United Kingdom (52 peratus) berpendapat bahawa umat Islam di negara mereka mahu diasingkan daripada masyarakat arus perdana.
Yang paling teruk adalah pengharaman pakaian agama yang diperkenalkan di Perancis dan Belgium, di mana memakai burqa dan lain-lain bentuk wajah-meliputi “headwear” di khalayak ramai telah dilarang sejak 2011.
Hipokrisi?
Apabila semua ini berlaku, golongan beragama Islam di Malaysia mengutuk penindasan ini. Katanya, manusia wajar diberi kebebasan untuk memilih dan mempraktik agama mereka.
Semangat untuk bersolidariti dengan saudara/saudari mereka yang beragama Islam di negara lain memberi motivasi untuk berjuang bersama menuntut hak mereka sebagai minoriti.
Tetapi apabila agama lain di negara Malaysia dikecam oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mencetuskan kebencian, mana mereka ini yang memperjuangkan hak minoriti dan kebebasan beragama? Apakah mereka hanya peduli jika mangsa penindasan adalah saudara/saudari yang sama agama dengan mereka?
Atau adakah kejahilan mereka berpunca daripada hakikat mereka tidak pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti dan merasai cengkaman terhadap kehidupan mereka?
Pada hemat saya, sesiapa yang pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti di negara luar akan berhadapan dengan dua pilihan apabila mereka kembali ke tanah air sebagai golongan majoriti.
Yang pertama, mereka berikrar untuk memastikan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi minoriti. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Islam daripada sebarang cabaran dan berwaspada dengan sebarang usaha yang seolah-olah berkemungkinan mengancam kedudukan mereka sebagai golongan majoriti yang senang.
Yang kedua, mereka akan memastikan bahawa tidak akan ada golongan minoriti yang akan ditindas begitu di tanah air. Mereka telah merasai ketidakadilan dan diskriminasi di negara luar dan sedar bahawa golongan minoriti sering diasingkan dan dijadikan mangsa “punching bag” percaturan politik. Jadi apabila kembali ke tanah air, mereka boleh sahaja menikmati kesenangan sebagai golongan majoriti, tetapi mereka memilih untuk turut mempertahankan hak minoriti dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama, dan kelas.
Terlalu banyak yang mengambil jalan pertama kerana ia adalah pilihan yang mudah. Namun pada saya, jalan kedua lebih dekat dengan seruan Islam. Al-Anbiya: 107: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
Lee Kuan Yew Baik atau Jahat? Tokoh Sejarah Bukan Hitam Putih
Gambar: The Online Citizen.com[/caption]
Lee Kuan Yew Idola Nusantara?
Manusia malas berfikir. Ini hakikat. Katakanlah ada 1,000 masalah yang berhadapan dengan kita. Masyarakat akan lebih mempercayai orang yang mencadangkan satu penyelesaian ajaib untuk menyelesaikan 1,000 masalah, berbanding dengan orang yang mencadangkan 1,000 solusi untuk 1,000 masalah.
Kita mahu pilihan yang mudah dan hitam putih. Sama ada sesuatu benda itu baik atau jahat, tiada ruang untuk segala kompleksiti dan kawasan kelabu.
Begitu jugalah dengan tokoh sejarah. Kematian Lee Kuan Yew (LKY) mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang memuja dan “mendewakan” LKY. Mereka memuji segala tindakannya dan mengatakan betapa hebatnya pemimpin Singapura ini.
Antara luahan hati yang saya sering terbaca dalam portal berita dan media sosial: “Alangkah bagusnya kalau dia jadi pemimpin Malaysia”, “Jika Singapura tidak terpisah dari Malaysia….”, “Singapura bernasib baik mempunyai LKY, kita pula….”
Fenomena pengidolaan ini agak lucu terutamanya apabila datang daripada mereka yang melaungkan slogan kebebasan selama ini. Mereka memperjuangkan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan media, dan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia, tetapi mengangkat LKY sebagai pemimpin tersohor.
Kebebasan Malaysia vs Singapura
Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaman Malaysiakini, golongan ini gah mempertahankan kebebasan media. Itu baru pertama kali Najib menyaman Malaysiakini dan jika tindakan ini dianggap menggertak media, ia hanya satu permainan kanak-kanak (“childsplay”) untuk LKY yang sudah berkali-kali menyaman media domestik dan antarabangsa.
LKY dan konconya pernah menggertak The New York Times (NYT) dan International Herald Tribune kerana menerbitkan sebuah artikel yang bertajuk “All in the Family”. Menurut Lee, artikel tersebut memberi gambaran yang tidak baik tentang keluarganya, seolah-olah anaknya tidak layak memegang jawatan penting dan hanya bergantung kepada talian keluarga. Bayangkan jika Najib berbuat begini ketika NYT menerbitkan makalah pasal hubungannya dengan Jho Low dan Rita Aziz.
Bukan setakat itu sahaja. Kalau dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir, LKY lebih kuat mengamalkan pemerintahan kuku besi. Untuk 16 tahun yang pertama sejak kemerdekaan Singapura, tiada wakil pembangkang yang menang pilihan raya parlimen. Lim Chin Siong, rakan LKY yang bersama beliau mengasaskan PAP, dipenjarakan dua kali tanpa perbicaraan (1956-1959 dan 1963-1969). Penangkapan kali kedua berlaku selepas Lim Chin Siong memimpin sekelompok ahli PAP keluar parti dan menubuhkan Barisan Sosialis.
Pada ketika Barisan Sosialis semakin mendapat sokongan dari rakyat (dalam satu wawancara, Lim Chin Siong mengatakan jika pilihan raya diadakan pada hari itu juga, Barisan Sosialis akan mengalahkan PAP dengan mudah), lebih 100 pemimpin utama Barisan Sosialis, para aktivis, wartawan, kesatuan sekerja, dan mahasiswa universiti ditangkap dalam Operation Coldstore.
Operasi ini dilaksanakan tujuh bulan sebelum pilihan raya dan sekali gus melemahkan, malah melenyapkan, barisan pembangkang di Singapura. Salah seorang yang ditangkap, Said Zahari, adalah bekas pengarang Utusan Melayu dan ditahan tanpa perbicaraan selama 17 tahun! Dr Chia Thye Poh pula kemudiannya ditahan di bawah ISA selama 23 tahun. Bayangkan kalau Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim atau Jahabar Siddiq dipenjarakan begitu lama. Apa yang akan kita katakan?
Singapura, in effect, adalah negara satu parti (“one-party state”). Pada pilihan raya 2011, PAP menang 60.14% undi popular dan 93.10% kerusi di Parlimen. Jika anda menganggap UMNO-BN adalah kerajaan yang menggunakan gerimander, manipulasi, dan kawalan ketat untuk mengekalkan kuasa, PAP juga merupakan spesis yang sama.
Lee Kuan Yew Sebenarnya
Setakat ini, segala yang saya bincangkan seolah-olah mengutuk LKY. Benar, ada pihak yang melabel LKY sebagai seorang pembuli, sombong, eugenik, dan pelacur politik kerana tindakannya di atas. Saya tidak dapat menghakimi atau menjatuhkan hukuman kepada tokoh sejarah ini.
Ketika saya terlihat komen yang menyindir Astro Awani kerana menyiarkan upacara pengebumian LKY, saya merasakan terpanggil pula untuk mempertahankan LKY. Mengapa? Sebab kritikan mereka tidak tepat. Cemuhan mereka seperti “cauvinis Cina” dan “tidak berkaitan dengan/menyumbang kepada Malaysia” adalah komen orang yang buta sejarah.
Suka atau tidak, LKY adalah seorang tokoh yang banyak menentukan aliran sejarah. Dunia moden dan Asia Tenggara tidak akan sama jika tiada LKY. Kuku besi atau tidak, beliau membantu Singapura mendapatkan kemerdekaan dan memimpinnya dari zaman susah.
Ketika ditendang keluar oleh Malaysia, Singapura berseorangan menghadapi dunia yang mempunyai begitu banyak ketidaktentuan. Tiada ahli akademik dan penyelidik akan menafikan bahawa di bawah pimpinan LKY, Singapura berjaya menjadi sebuah negara maju, atau seperti yang diungkapkan LKY dalam bukunya, “from third world to first.”
Realiti Singapura
Mengikut laporan BBC dan United Nations, Singapura mempunyai salah satu kadar jenayah yang terendah di dunia. Mereka juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan kemudahan membuat bisnes.
Pada tahun 2014, Transparency International melaporkan bahawa Singapura adalah salah satu negara yang paling kurang rasuah (kedudukan ke-7 di dunia). Authoritarian atau tidak, LKY berjaya menyingkirkan elemen yang boleh menggugat keselamatan negara, termasuklah kongsi gelap dan pertubuhan haram yang berleluasa ketika itu.
Seperti Dr Mahathir yang mengusahakan PPSMI, LKY juga memperjuangkan sistem pendidikan berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Singapura hanya mempunyai tujuh universiti, tetapi dua daripadanya sering tersenarai dalam ranking universiti terbaik di dunia. Beliau mewajibkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantara sementara semua pelajar juga mesti belajar bahasa ibunda mereka.
Perubahan yang dilakukan LKY memerlukan keberanian yang masih tidak dilihat di Malaysia (atau mungkin Malaysia lebih sukar melakukan perubahan kerana terlalu ramai pihak berkepentingan).
Singapura adalah satu “negara-kota” dan sebenarnya, pencapaian Singapura tidak begitu luar biasa jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur dan Jakarta. Namun, ia tetap satu perkembangan yang mengagumkan.
KesimpulannyaSaya secara peribadinya tidak berpendapat LKY melakukan semua itu untuk kepentingan dirinya. Saya melihat seorang tokoh yang sangat yakin (mungkin terlalu yakin) dengan dirinya untuk melakukan perubahan memperbaiki negaranya. Mungkin juga pada satu peringkat, beliau tidak dapat lagi membezakan antara kepentingan negara dengan kepentingan diri.
Kalau kamu bertanya sama ada LKY baik atau jahat, saya tidak dapat menjawab begitu sahaja. Manusia suka benda yang sangat jelas, dimana kebenaran adalah ketara dan tidak perlu dipersoalkan. Hakikatnya, semakin banyak yang kita ketahui, semakin banyak yang kita tidak dapat tentukan dengan jelas.
LKY tergolong dalam kumpulan tokoh sejarah seperti Dr Mahathir, Tok Guru Nik Aziz, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Tun Abdul Razak, Dato Onn Jaafar, Dr Burhanuddin al-Helmy, Devan Nair, Lim Ching Siong, J.B Jeyaretnam, David Marshall, Tunku Abdul Rahman, Sukarno, Ibrahim Yaakob, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan, dan malah, Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin, Pak Sako, Anwar Ibrahim, dan ramai lagi.
Kita tidak mungkin dapat menghakimi mereka secara hitam putih. Apa yang mereka lakukan berlaku dalam konteks tertentu dan kebarangkalian jika kita berada di tempat mereka pada ketika itu, kita juga akan melakukan apa yang mereka lakukan. Apa yang pasti ialah mereka inilah yang melibatkan diri secara langsung dalam pembentukan sejarah negara. Saya mengakhiri tulisan ini dengan memetik kata-kata Theodore Roosevelt yang sering dihayati dan dekat dengan hati saya:
“Pengkritik tidak dikira; bukan yang menunjukkan betapa rebahnya manusia itu, atau di mana perbuatan amal itu boleh dilakukan dengan lebih baik. Pujian adalah milik mereka yang turun ke padang, yang mukanya dikotori habuk dan peluh dan darah; yang berusaha dengan berani; yang tersilap, yang kekurangan namun mencuba lagi, kerana tiada usaha yang tanpa kesilapan dan kelemahan; tetapi siapa yang benar-benar berusaha untuk melakukannya?; yang mengetahui semangat dan dedikasi hebat; yang menghabiskan dirinya pada jalan yang baik; yang di saat terbaiknya mengetahui kejayaan akhirnya, dan di saat terburuk, sekiranya gagal, sekurang-kurangnya gagal dengan begitu berani, supaya tempatnya tidak bersama mereka yang jiwanya beku dan malu, yang tidak tahu kemenangan atau kekalahan . “
]]>