Projek Dialog

Mengapa Santo George Wira Rakyat Palestin?

St George Painting Penterjemahan tidak rasmi “Why St George is a Palestinian Hero” oleh Yolande Knell, terbitan www.bbc.com. Diterjemah oleh Megat Hanis. St George di Palestin Tatkala England sedang menyambut santo-pelindung mereka, rakyat Palestin juga tidak melepaskan peluang merancang perayaan tersendiri menyambut tokoh tersebut yang mereka juga anggap sebagai wira. St George FlagKibaran bendera yang sama kelihatan di atas gereja rakyat Palestin di kampung Al-Khadr di Tebing Barat. Palang Merah yang dilatari hamparan putih di bendera tersebut dikaitkan dengan Santo George sejak Perang Salib. Itulah bendera negara England yang juga digunakan sebagai bendera rasmi negara-negara dan bandar-bandar lain yang mengambil Santo George sebagai santo-pelindung. Walaubagaimanapun, rakyat Palestin mempunyai sebab tersendiri mempamerkan simbol tersebut dan rasa hormat terhadap syahid Kristian itu. Bagi mereka, beliaulah wira tempatan yang melawan penindasan terhadap orang-orang Kristian di Tanah Suci itu. “Kami percaya bahawa dia seorang syahid yang hebat dengan kepercayaannya dalam mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Kristian” kata Atallah Hanna, seorang  ketua biskop Ortodoks Yunani. “Dengan pengorbanan demi kepercayaannya dia berupaya mengalahkan kejahatan. Kami mengangkat George sebagai pelindung bagi rakyat yang hidup di sini – dan disebabkan beliau dilahirkan di Palestin yang bersejarah, kami berdoa kepadanya demi mengingati kami dan tanah suci ini.” Siapakah St George? Santo George merupakan seorang  askar Rum sewaktu kurun ke 3 AD, saat Emperor Diocletian di puncak kuasa. Dikatakan bahawa beliau pernah tinggal di al-Khadr berdekatan Bethlehem, di tanah yang dimiliki keluarga ibunya. Walaupun ayah santo itu selalunya dikatakan berasal dari Cappadocia, sebuah kawasan di Turki moden, ibunya pula dipercayai merupakan seorang Palestin dari Lydda iaitu Lod, Israel kini. Santo itu diingati kerana menyumbangkan harta miliknya dan tetap teguh dengan imannya ketika beliau dipenjara dan diseksa sebelum akhirnya dijatuhkan hukuman bunuh. Terdapat banyak gereja di Tebing Barat dan Israel yang membawa nama Santo George – di al-Khadr, Lod dan di sekitar Galilee, misalnya. Hari St George Di barat, Hari Santo George jatuh pada  23 April, walhal di kawasan Palestin, ianya jatuh pada 6 May, berdasarkan kalendar yang digunakan oleh Eropah Timur. Festival dibuat untuk Santo itu di al-Khadr, dengan membawa penganut-penganut dari kawasan Bethlehem untuk menyalakan lilin dan menyempurnakan doa. Sewaktu perayaan, roti istimewa dibuat yang menggambarkan aksi santo tersebut sebagai pembunuh naga. St George DepictionsImej-imej tersebut antara ciri-ciri utama yang banyak terdapat di rumah orang Palestin Kristian dan di bangunan-bangunan awam. Ini mengingatkan mereka bahawa santo itu membawa perlindungan. “Dia adalah santo tempatan yang telah membawa banyak keajaiban. Kami sangat menghormatinya”. Jelas pengukir arca, Akram Anastas. “Dia ditonjolkan sebagai pahlawan yang penuh keamanan dan kasih sayang, menunggang kudanya dan selalu melawan kejahatan, iaitu simboliknya naga itu. Kami tulis di bawahnya dalam bahasa Arab, “Tuhan berkati rumah kami”. Anastas telah pun mengukir ribuan arca santo itu sepanjang kerjayanya, menjualnya kepada rakyat Palestin dan pembeli luar negara. “Saya sangat sukakan beliau. Dia teman baik saya dan saya telah berjumpa dengannya banyak kali dalam hidup. Beliau malaikat penjaga saya,” katanya lagi. Nama “George” telah pun menjadi kebiasaan di sekitar kawasan rakyat Palestin kerana kaitan nama tersebut dengan semangat, keberanian dan kehormatan yang tinggi. Nama lainnnya ialah Khadr (perkataan arab bermaksud “yang hijau”) dan Jerries. Di sebuah kedai kopi di Bethlehem yang dikenali sebagai “Abu George” (Bapa George), saya duduk bersama ahli keluarga Thalgieh, yang semuanya dinamakan “George”. “Mungkin sekarang kita ada 10 orang bernama George. Akan datang mungkin bilangannya mencecah 100 orang” kata George Elias Saba Thalgieh. “Di Bethlehem ini, bukan keluarga kami sahaja, tetapi kami semua percaya Santo George akan membantu kami ketika kami memerlukannya. Jika kamu menghadapi kemalangan dan perkataan pertama kamu sebut, “Ya Khadr”- itu bermaksud kami memanggil Santo George untuk membantu kami”. “Saya suka nama itu. Datuk kami George, saya George jadi anak-anak saya akan namakan anak mereka George,” tambah anak saudara lelaki tua itu, George Nabil George Thalgieh, penyanyi yang terkenal. St George Slayer Ritual Perayaan St George Menunggu ketibaan Hari Santo George tahun ini, dua generasi itu berhimpun sekali menyanyikan sebuah lagu traditional. “Oh Santo George, kami berdoa di al-Khadr”, menurut lirik tersebut, “Kamilah Kristian dengan lilin di tangan kami.” Terdapat beberapa tradisi yang dikaitkan dengan Santo tersebut. Kadangkala Paderi Ortodoks Yunani diminta untuk memasukkan sebentuk kunci ke dalam mulut kanak-kanak yang mempunyai kesukaran bertutur, untuk “membuka” ikatan lidah mereka. Ada satu ritual di mana pengunjung meletakkan rantai di sekeliling leher mereka, melalui tubuh mereka dan kemudian menciumnya sebanyak tiga kali. Ini dikatakan dapat membuang penyakit. Surat-surat meminta Santo George menyelesaikan masalah keluarga pula disimpan di dalam kaca yang melindungi ikonnya. Rakyat yang meminta pertolongan paderi itu turut memberikan kambing kepada gereja supaya dagingnya dapat diagihkan kepada rakyat miskin. St George pada Muslim Palestin Sesetengah rakyat Muslim Palestin, terutama yang datang dari al-Khadr, juga mengamalkannya. “Bukan sahaja penganut Kristian menghargai beliau, Muslim juga merasakan kekuatan dan keajaiban Santo George,” kata Paderi Ananias. “Ketika gereja itu dibina [era Byzantine] kejiranannya penganut Kristian. Saya tidak tahu bila rakyat tempatan menjadi Muslim, tetapi dibawah Empayar Turki Uthmaniyah, mereka melindungi gereja tersebut dan mereka menjadi sangat rapat.” Seorang wanita tua memakai baju traditional labuh dan hijab Islam memberitahu saya: “Kami semua percaya kepada al-Khadr, termasuk suami saya. Saya telah berjanji untuk nyalakan lilin di gereja al-Khadr” Ramai sarjana Muslim menganggap pesuruh Tuhan yang disebut di dalam Al-Quran sebagai pembantu Nabi Musa merujuk kepada ikon al-Khadr, yakni Santo George. Setelah 1,700 tahun sejak kematian beliau, Santo itu telah dikaitkan dengan bermacam-macam tokoh lain sama ada yang bersejarah atau mitos. Legenda yang menyebut bahawa beliau menyelematkan seorang anak dara dengan membunuh naga mungkin datang dari era Zaman Pertengahan. Walaupun banyak butiran mengenai kehidupan beliau tidak jelas, rakyat Palestin memandang beliau sebagai taudalan hebat bagi membantu yang memerlukan dan berdiri teguh mempertahankan keyakinan seseorang. Reputasi inilah yang menyebabkan beliau popular di seluruh dunia.

]]>

Mengapa Saya Mengajar Evolusi Kepada Pelajar Islam

Evolution Penterjemahan tidak rasmi “Why I Teach Evolution to Muslim Students” oleh Rana Dajani, terbitan www.nature.com. Diterjemah oleh Yana Rizal. Mengapa Perlu Mengajar Evolusi? Menggalakkan pelajar mencabar idea begitu penting untuk memupuk generasi saintis Islam yang bebas berfikir, kata Rana Dajani. Permasalahan sikap terhadap sains telah diimport ke dalam masyarakat Islam akibat globalisasi dan pemodenan yang pesat – sebagai contoh, penolakan teori evolusi. Namun ia juga merupakan peluang. Saya mengajar evolusi kepada pelajar-pelajar universiti di Jordan. Hampir kesemua daripada mereka menentang idea tersebut pada mulanya. Guru-guru sekolah mereka barangkali telah mengabaikan atau sekadar menyentuh subjek ini. Namun, kebanyakan pelajar masih terbuka untuk membincangkan evolusi, dan di akhir kursus ini, majoriti dapat menerimanya. Jikalau pelajar Islam mampu mencabar idea akademik yang kontroversi sebegini, maka mereka juga boleh menilai aspek-aspek kehidupan mereka dengan mempersoalkan keadaan yang sediakala – dan bukan hanya menerima secara membuta tuli. Kebolehan dan sikap begini adalah penting dalam pembentukan personaliti dan menjadi warga yang bertanggungjawab. Meyakini Islam & Evolusi Para pelajar sering terkejut. Saya memakai tudung, maka mereka tahu bahawa saya seorang yang mengamalkan ajaran Islam. Namun saya bersyarah menyokong evolusi sebagai mekanisme penjelasan tentang kepelbagaian dan perkembangan spesies. Malah mengiktiraf Charles Darwin sebagai saintis yang menyumbang kepada pemahaman kita tentang kemunculan dan kepelbagaian hidupan di bumi. Barangkali sayalah Muslim pertama yang mendukung teori ini kepada mereka. Sesetengah pelajar mengadu kepada universiti bahawa saya berdakyah menentang Islam. Namun pegawai-pegawai universiti berpuas hati apabila saya menunjukkan bahawa evolusi termasuk dalam subjek buku-buku teks yang telah diluluskan oleh universiti. Apa yang saya ajarkan adalah langsung daripada buku-buku ini. Saya memuji pelajar yang mengadu atas keberanian pendirian mereka, dan saya bersedia membincangkan kebimbangan mereka bersama-sama. Islam & Evolution Di Mana Percanggahannya? Apabila mengajar, saya berikan penjelasan terperinci evolusi alam tumbuhan dan pembiakan pilihan. Kemudian, kami membincangkan penentangan antibiotik, vaksin influenza dan perkembangan perubatan HIV. Setelah perbincangan ini, kebanyakan pelajar bersedia untuk menerima evolusi sebagai mekanisme penjelasan pembentukan semua spesies kecuali manusia. Ramai yang memetik bukti dari Al-Quran yang ditafsirkan bahawa Adam – dan kejadian manusia – diciptakan secara spontan. Evolusi manusia masih topik yang pantang kerana pelajar tidak bersedia untuk melepaskan konsep bahawa manusia diciptakan berbeza. Saya mengingatkan mereka bahawa Islam memberi amaran tentang keangkuhan, dan manusia hanyalah sebahagian daripada ciptaan. Sarjana Islam seperti Hussein al-Jisr dan Ahmad Medhat pada tahun 1880-an menyokong evolusi. Sebelum Darwin, al-Jahiz dan lain-lain mencadangkan teori asas evolusi pada abad kesembilan. Saya menjelaskan bahawa tanggapan kontroversi antara evolusi dan Islam hanya timbul pada abad kedua-puluh, apabila idea-idea Darwin dikaitkan dengan kolonialisme, imperialisme, Barat, ateisme, materialisme dan perkauman. Ulama Islam mula berpendirian menolak evolusi, dan kemudiannya diikuti awam. Para ulama menggunakan ideologi Kristian tentang penciptaan untuk menyokong pendirian mereka, sekaligus menyerap juga pergelutan antara sains dan agama di Barat kepada Islam. Sesetengah pelajar berhujah bahawa penerimaan evolusi bermakna penafian kewujudan Tuhan. Saya mengatakan bahawa evolusi tidak membincangkan asal-usul alam semesta. Tiada siapa lagi yang memahami permulaan kejadian. Bagi saya, permulannya ialah Tuhan. Setelah itu, kaedah-kaedah logik dan sains menerangkan perkembangan alam semesta dan seterusnya. Mendamaikan Sains & Agama – Ke Arah Kemajuan Dari pengalaman saya, ramai orang Islam terbuka untuk mempertimbangkan hal ini. Saya telah menemui beberapa saintis Islam yang setuju dengan pendirian saya, namun tidak secara terbuka kerana takut dilabelkan sebagai pencetus masalah. Sesetengah ulama juga bersetuju, namun ingin mengubah pendapat secara beransur-ansur, supaya tidak terus ditentang sekaligus membantut perkembangan. Pendapat saya, sebagai seorang saintis Islam, ialah Al-Quran menyuruh manusia untuk memerhati dan merenung hakikat dunia sementara mengejar ilmu. Ia tidak mengesahkan penemuan saintifik. Sains membolehkan kita mempersoalkan dan mengetahui bagaimana dunia berfungsi dan Al-Quran menyediakan panduan moral untuk menghadapinya. Jika timbulnya percanggahan antara penemuan sains dan tafsiran Al-Quran, maka kita boleh berbalik kepada kedua-duanya, sains (yang berubah dengan kemajuan) dan tafsiran Al-Quran (yang tidaklah sentiasa tepat, kerana ianya penaakulan manusia) sebagai punca perbezaan. Ini adalah proses yang berterusan, dan merupakan sebahagian daripada tujuan kehidupan orang Islam. head of soulTanggungjawab Pendidik Membuka Minda Sama ada seorang pelajar menerima konsep evolusi manusia ataupun tidak, bukanlah faktor dalam cara penandaan kertas peperiksaan mereka. Sebagai pendidik, objektif kami ialah membantu pelajar supaya bebas berfikiran sendiri. Saya tidak mahu pelajar-pelajar menulis bahawa mereka menerima evolusi hanya untuk lulus peperiksaan. Saya ingin mereka memberikan hujah untuk mencapai kesimpulan mereka, walaupun ia akhirnya menolak evolusi manusia. Jika tidak, maka ianya sama seperti orang-orang yang mengutuk evolusi: memaksa pandangan mereka keatas orang lain. Matlamat saya ialah untuk mengajar pembentukan metodologi rasional bagi menilai alam semulajadi dan menghasilkan pendapat, hipotesis dan teori sendiri, bukan hanya meniru yang lain. Ianya seruan untuk cara fikiran yang baru: perjalanan untuk menuntut ilmu, yang merupakan salah satu prinsip asas Islam. Jika kita berjaya dalam usaha ini, maka kita akan menyumbang kepada pembentukan generasi saintis Islam yang bebas berfikir. [Rana Dajani ialah profesor biologi molekul di Universiti Hashimiah di Zarqa, Jordan, dan merupakan sarjana pelawat di Institut Faraday, Universiti Cambridge, UK.]

]]>

Eksistensialis Dalam Cinta

Penterjemahan tidak rasmi dari laman “Ideas”. Diterjemah oleh Hamizah Hanan.  Soalan: bolehkah eksistensialis mengajar kita sesuatu yang berguna mengenai CINTA? Terkenal dengan daya tarikan utama yang membincangkan kematian, ketakutan, kemabukan dan renungan terhadap alam maya, ia seharusnya tidak mengejutkan apabila eksistensialis juga banyak memberi nasihat berguna tentang cinta romantis. Walaupun mereka berbeza idea tentang cinta, namun ada perkara yang dipersetujui bersama. Cinta romantis boleh membuatkan kita tidak keruan dan ketagihan seperti narkotik (contohnya, lihat “Addicted to Love” oleh Earp et al.). Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa terdapat perbezaan antara membayangkan keindahan bercinta dengan bagaimana kita bertindak ketika dilamun cinta. Walaupun cinta itu memilih kita, namun, pada asasnya kita berhak untuk menentukan perilaku ketika bercinta (contohnya; lihat animasi Nigel Warburton bertajuk “Jean-Paul Sartre and Existential Choice”). Sebahagian daripada pengalaman yang menyeronokkan adalah membiarkan diri kita dibuai dengan perasaan cinta. Tetapi, jika dibiarkan berleluasa di luar kawalan seterusnya menjadi ketagihan adalah sesuatu yang hedonistik dan berjiwa lemah. Contohnya, sementara Søren Kierkegaard mengkagumi Don Giovanni dari karya Mozart kerana kebolehannya yang luar biasa dalam menggoda, beliau juga mengkritik Don Giovanni kerana menjadi hamba cinta, iaitu apabila ketagih hawa nafsunya. Ianya juga berguna untuk mengetahui bahawa jika kita tidak dibelenggu dengan kebimbangan, maka itu bukanlah cinta romantik. Kierkegaard mengatakan bahawa Hercules, yang mampu menandingi Don Giovanni, adalah lebih matang dan romantik kerana beliau runsing untuk memenangi cinta wanita yang didampinginya. Satu lagi sumber kebimbangan dalam percintaan (di mana Hercules tidak terlalu cemas mengenainya) adalah berapa lama hubungan ini akan berterusan dan bagaimana pengakhirannya. Kerana kita bebas, eksistensialis mencadangkan, bukan sahaja si pencinta bebas memilih untuk bercinta, namun mereka juga bebas untuk meninggalkannya. Kierkegaard mengatakan bahawa kebebasan itu membuatkan kita runsing dan Jean-Paul Sartre ada menyebut bahawa ini adalah salah satu sebab mengapa orang yang sedang bercinta begitu terdesak untuk mengawal satu sama lain. Kita mungkin ghairah tentang idealisme “si dia” dan kehidupan bahagia selama-lamanya, namun cinta hanyalah sementara. Sartre menyatakan bahawa penyatuan adalah “kesempurnaan cinta, motivasi dan penghujungnya, serta nilai keunikkannya’. Cinta adalah projek untuk menyayangi , untuk bergabung dengan yang lain, supaya kita dapat mengetahui apa yang difikirkannya terhadap kita. Jika kita mengetahuinya, maka kita mampu mengenali diri secara keseluruhannya (dan inilah matlamat hidup menurut Sartre). Walau bagaimanapun, eksistensialis mencadangkan bahawa membelenggu diri dengan idealisme percintaan itu adalah tidak berguna kerana penyatuan akhirnya adalah mustahil, dan keinginan si pecinta untuk memaksakannya menyebabkan hubungan tersebut terperangkap dalam kitaran godaan, keinginan seksual, sadisme, dan masokisme yang tiada berpenghujung. Simone de Beauvoir, pasangan hidup Sartre mencadangkan bahawa ini bukanlah pandangan berguna dalam hubungan romantik. Pada beliau ianya lebih berguna untuk menyedari bahawa persahabatan seharusnya menjadi asas percintaan, bukan alternatif kepadanya. Rakan dan pencinta terbaik, menurutnya, adalah yang menghormati kebebasan masing-masing dan memberikan sokongan terhadap perkembangan dan usaha ke arah apa jua matlamat yang dipilih individu tersebut, walaupun ianya mengejar matlamat yang akhirnya membawa mereka ke arah berbeza. Tambahan pula, eksistensialis mencadangkan bahawa idealisme Barat tentang cinta yang akhirnya berkemuncak dengan perkahwinan adalah tidak masuk akal. Kerana cinta sepanjang hayat adalah pengecualian dan bukannya hakikat, ianya tak berguna untuk mempercayai bahawa perkahwinan akan menyebabkan cinta kekal subur atau berjanji untuk mencintai satu sama lain selamanya. Friedrich Nietzsche, bapa kepada eksistensialisme, mencadangkan supaya kita mengharamkan perkahwinan bagi sesiapa yang dilamun cinta kerana hawa nafsu adalah asas yang lemah untuk komitmen tersebut. Sebaliknya, ia lebih berguna untuk kita menyedari bahawa perkahwinan berkemungkinan membawa kita keluar daripada cinta, kerana ianya perjanjian untuk bersama dengan pasangan tersebut walaupun perasaan cinta itu telah hilang. Salah satu tarikan cinta romantik ini adalah ianya membuatkan hidup kita berasa bermakna. Seperti klise Jerry Maguire, cinta membuatkan kita berasa sempurna. Eksistensialis memberi amaran bahawa ini adalah ilusi yang tidak berguna. Memandangkan bahawa hakikat kewujudan mendahului nilai dasar, maka tidak wujudnya istilah seperti teman sehati sejiwa dan tiada siapa yang ‘diciptakan untuk satu sama lain’. Beauvoir menyangkal bahawa perhubungan sehati sejiwa inilah yang membuatkan sang pencinta membelakangkan matlamat hidup mereka demi menjamin perhubungan tersebut. Ini kepercayaan palsu. Hubungan yang berasaskan persahabatan tidak akan mengahadapi masalah tersebut. Secara eksistensialis, sang pencinta seharusnya bertanggungjawab membina hidup sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain untuk memberi makna kepada hidup mereka, kerana pada asasnya kekasih bebas untuk meninggalkan cinta. Walaupun cinta bersifat kebimbangan dan tidak kekal lama, eksistensialis mengusulkan bahawa ianya salah satu cara terbaik untuk mengenali diri kita dan potensi kita, iaitu melalui pandangan orang lain yang mengenali kita secara intim. Lebih lagi, eksistensialis menunjukkan bahawa ia tidak berguna untuk melihat kegairahan kita sebagai sesuatu yang menguasai diri dan tidak dapat dikawal. Mungkin kita ‘terjatuh’ cinta namun apa yang kita lakukan dengannya sepenuhnya bergantung kepada diri kita. unnamed

]]>

Surat Terbuka Kepada Encik Alvin Tan

Penterjemahan tidak rasmi “An Open Letter to Mr. Alvin Tan” oleh Reverend Sherman Kuek. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi.      Kehadapan Encik Alvin, Saya menulis kepada saudara kerana secara peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya dengan hasrat yang salah, dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh dengan sikap kurang ajar dan kejam. Daripada menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kamu melalui cara yang kurang sopan mengutuk di belakang kamu, saya memilih untuk memberitahu terus kepada saudara dimana saya berharap ianya merupakan cara yang penuh hormat. Sama seperti pihak awam yang lain di Malaysia, saya sedar akan kurangnya rasa hormat saudara terhadap pihak yang berkuasa, norma sosial dan moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas secara tidak hormat; barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak menghiraukannya sama sekali. Tetapi mengikut konteks dimana kami sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh kamu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa suara tidak setuju daripada rakyat Malaysia. Diteruskan lagi, jika apa yang ingin dilakukan oleh kamu, iaitu mengutuk dan membenci hanya ditujukan kepada orang Muslim di Malaysia, ternyata kamu silap membaca keadaan di Malaysia. Saya berharap kamu mengambil masa yang lebih lama untuk memahami dan membuat analisa terhadap apa yang berlaku di negara kita dan terlibat secara konstruktif, dan bukannya melakukannya dengan perilaku yang tidak senonoh.Saudara mungkin memikirkan kenapa saya, daripada semua orang, memilih untuk menghabiskan masa saya untuk menulis surat balasan kepada video yang kamu buat, dimana kamu melaungkan azan orang Muslim tanpa memakai baju sambil menggunakan keyboard. Barangkali bukan niat kamu untuk menolak idea ritual keagamaan secara keseluruhan, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadap dan walaupun kamu hanya menghina satu agama secara khusus, tindakan yang dilakukan oleh kamu merupakan serangan kepada agama. Tindakan menghina itu, secara peribadi, bukan hanya menyerang teman-teman Muslim tetapi turut dilihat sebagai serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama dimana setiap diantara mereka mempunyai cara-cara yang unik bagi meluahkan keinginan mereka untuk mengecapi rasa kewujudan Tuhan. Penghinaan kamu mungkin sahaja boleh dilakukan terhadap zikir Latin Katolik ataupun zikir Veda oleh penganut hinduisme, dan mana-mana pun, rasa hormat sebagai prinsipal fundamental terhadap rasa keagamaan yang dianuti oleh jiran kita yang lain telah pun dicabul. Untuk itu, tindakan yang saudara lakukan membuat saya marah. Sejak muda lagi, saya mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap majoriti Muslim yang saya kenal. Saya menghormati rasa cinta mereka terhadap Tuhan, kesetiaan mereka kepada keluarga mereka, dan terutama sekali, saya kagum dengan cara anak-anak kecil Muslim diajar untuk berhubung dengan ibu-bapa mereka. Dalam hidup dan iman saya hari ini, saya telah sedar untuk praktis apa yang telah saya belajar daripada teman-teman Muslim saya, perihal rasa hormat kepada Tuhan, terhadap golongan yang lebih tua dan kepentingan kehidupan didalam komuniti. Saya percaya hidup di kalangan orang Muslim selama ini telah menjadikan saya seorang Kristian yang lebih elok daripada apa yang dapat saya bayangkan. Saya tidak rasa saudara bermaksud untuk menghina golongan Muslim yang saya maksudkan di atas. Mungkin kamu hanya sekadar bertindak untuk mengutuk pempolitikan agama di Malaysia dan hanya mengutuk beberapa individu yang salah menggunakan agama untuk kepentingan agenda politikal mereka sendiri. Pertama sekali, cara yang dilakukan oleh kamu tidak mendatangkan kebaikan kepada kebanyakkan penduduk di sini yang mempertaruhkan kehidupan kami dengan membuat pilihan untuk terus tinggal disini agar dapat melibatkan diri untuk membina semula bangsa kita dengan pendekatan yang positif dan konstruktif. Kedua, tindakan saudara bukan hanya menyerang golongan yang salah menggunakan agama tetapi majoriti rakyat Malaysia yang hanya mengamalkan agama mereka dan mencintai Tuhan dengan cara yang terbaik mereka tahu. Meskipun terdapat banyak prospek (samada ianya benar atau salah) untuk kehidupan yang lebih baik untuk kami dan generasi selepas kami di negara luar, kebanyakkan daripada kami memilih untuk tinggal disini kerana disini kami dilahirkan dan kami ingin anak-anak kami membesar disini. Pilihan ini dibuat bukan kerana tidak adanya kesusahan yang dihadapi oleh kami, tetapi kerana kami tekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bagus. Atas sebab inilah kami memilih untuk turut terlibat dengan pendekatan yang konstruktif dan tidak membuat masalah sosial dan politikal kepada rakyat Malaysia yang lain hanya untuk mencari perlindungan di tempat lain sambil meninggalkan kesan buruk yang terhasil daripada tindakan yang telah kami lakukan. Kamu menghina apa yang kami pertahankan dengan hidup kami. Kebebasan untuk meluahkan apa sahaja merupakan suatu keperluan bagi masyarakat untuk maju kehadapan, kerana ia juga memberi ruang untuk masyarakat membiasakan diri mereka dengan mekanisme untuk mengkritik diri sendiri dan membuat renungan terhadap tindakan yang pernah dilakukan. Tetapi wujud juga kebebasan luahan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang, mengambil kesempatan untuk mempergunakan prinsipal murni ini dengan membawa kerosakkan terhadap kebenaran, keindahan dan kebaikan yang boleh dijumpai di dalam suatu tamadun. Dengan penuh hormat, saya berasa benar dengan menganggap bahawa saudara bersalah melakukan jenayah moral. Untuk ini, saya berasa kesal kerana kamu memilih untuk memaparkan suatu tindakan yang tidak senonoh terhadap teman-teman Muslim kami. Melalui apa yang saya mampu dan sebagai rakyat Malaysia, saya tegas menolak setiap tindakan yang telah dan bakal kamu lakukan. Dan saya menyatakan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang berniat baik, yang memegang kepada ilmu yang benar dan suci di dalam ajaran-ajaran dan praktis-praktis keagamaan mereka. Dan saya berdoa satu hari nanti, saudara juga akan sedar perkara terakhir yang kami inginkan adalah insiden yang memisahkan kami semua, lebih-lebih lagi sesuatu yang tidak langsung diperlukan. Rakaman video kamu, yang dilihat lebih narsisistik daripada kelakar ataupun hiburan, adalah suatu penghinaan kepada seluruh usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih bagus untuk semua anak-anak kami daripada semua agama. Walaupun apapun, saya berharap agar kamu hidup dengan senang di Amerika dimana apa yang ingin kamu luahkan tidak akan dihalang. Tetapi pada dasarnya, bukannya penggunaan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang. Jenis manusia yang bakal kita bentuk, ditentukan oleh pilihan-pilihan harian yang kita lakukan untuk mencari keamanan, cinta, dan nilai setiakawan dengan jiran-jiran kita walaupun tiada kelebihan untuk kita. Rev. Diakon Dr Sherman Kuek OFS Diakon Gereja Katolik di Malaysia   Nota: Surat ini sepenuhnya dibawah tanggungjawab saya dan tidak mewakili Gereja Katolik ataupun mana-mana institusi yang saya terlibat.

]]>

Manifesto Kejuruteraan Kritikal

Penterjemahan “The Critical Engineering Manifesto” oleh The Critical Engineering Working Group. Untuk mendalami wacana ini dengan lebih lanjut layari: http://discourse.criticalengineering.org/ Diterjemah oleh: Johan Zolhaidi dan Ahmad Fuad Rahmat.    0. Jurutera Kritikal merasakan bahawa kejuruteraan merupakan bahasa yang paling transformatif buat masa ini, membentuk haluan untuk kita bergerak, bertutur dan berfikir. Ianya merupakan kerja jurutera kritikal untuk mempelajari dan menggunakan bahasa ini, mendedahkan pengaruhnya. 1. Jurutera Kritikal menganggap kebergantungan terhadap teknologi merupakan suatu cabaran dan ancaman. Semakin kuat kebergantungan kita terhadap teknologi, semakin pentinglah bagi kita mempelajarinya dan mendedahkan mekanisme dalamannya, tanpa menghiraukan hak pemilikan ataupun kontrak 2. Jurutera Kritikal meningkatkan kesedaran bahawa kecelikan techno-politik kita dicabar pada setiap langkah kemajuan teknologikal. 3. Jurutera Kritikal merungkaikan semula dan mencetuskan rasa was-was terhadap pengalaman pengguna yang kaya. 4. Jurutera Kritikal menjangkaui rasa “kekaguman terhadap implementasi” supaya lebih mengenali pengaruh kaedah dan akibat mereka yang khusus. 5. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa setiap hasil rekayasa turut membentuk penggunanya, selaras dengan kebergantungan pengguna terhadapnya. 6. Jurutera Kritikal meluaskan definisi “mesin” untuk menggambarkan hubungan yang merangkumi alat-alat, tubuh-tubuh, agen-agen, daya-daya dan juga jaringan-jaringan. 7. Jurutera Kritikal meneliti ruang di antara pengeluaran dan penggunaan teknologi. Bertindak secara pantas terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di dalam ruang tersebut, Jurutera Kritikal berperanan untuk mendedahkan waktu-waktu ketidakstabilan dan penipuan yang terkandung dalam proses tersebut. 8. Jurutera Kritikal mengimbau semula sejarah-sejarah seni, senibina, aktivisme, falsafah dan daya cipta dan menghasilkan pelbagai contoh Rekayasa Kritikal. Strategi, idea-idea dan agenda-agenda daripada disiplin-disiplin tersebut akan digunakan semula, supaya diberi tujuan yang baru dan diatur kedudukannya. 9. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa kod yang tersirat turut memberi kesan kepada wilayah sosial dan psikologikal, menentukan perangai diantara manusia dengan mesin-mesin yang digunakan oleh mereka. Dengan memahami situasi ini, Jurutera Kritikal ingin merungkaikan semula kekangan pengguna dan aksi sosial melalui sarana penggalian digital. 10. Jurutera Kritikal menganggap pemanfaatan ini sebagai pendedahan yang paling didambakan.

]]>

13 Perkara Yang Membuktikan Hasil Penulisan Mitologi India Penuh Dengan Inovasi Saintifik

Penterjemahan tidak rasmi “13 things that prove Indian mythological literature is full of scientific innovation”, terbitan South Report. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi.   Vedas dan teori sains dari tamadun purba India sentiasa dianggap sebagai bukti bahawa apa yang mereka hasilkan adalah yang paling maju pada zaman itu. Terdapat beberapa ahli sains yang teruja oleh ilmu yang dihasilkan oleh cendekiawan dari India purba dan mendedikasikan seluruh hidup mereka menelaah dan mengkaji teori sains India purba. Senarai yang dinyatakan di bahawa adalah tiga belas ciptaan daripada sains India purba.

  1. Mereka tahu mengenai kewujudan sistem solar lebih awal daripada yang lain.
Rig Veda 1.35.9 “ Matahari bergerak di dalam orbitnya sendiri tetapi meletakkan kedudukan bumi dan cakerawala di dalam keadaan yang memastikan bahawa kesemuanya tidak bertembung sesama sendiri melalui daya tarikan”
  1. Mereka mengemukakan teori graviti sebelum tamadun barat.
Ayat 10.22.14 dari Rig Veda yang menyatakan “Bumi ini tidak mempunyai tangan dan kaki, tetapi ianya bergerak kehadapan. Kesemua objek di bumi turut bergerak sekali. Ia bergerak mengelilingi matahari”.
  1. Mereka tahu mengenai kelajuan cahaya sebelum tamadun-tamadun yang lain.
Cendekiawan Veda yang bernama Sayana menemui kelajuan cahaya pada abad ke 14 tahun masihi. Petikannya yang diterjemah berbunyi begini: “Dengan penuh hormat, aku tunduk ke matahari, yang bergerak selaju 2,202 Yojanas setengah daripada nimesha.” Yojana adalah jarak yang hampir dengan (9 Batu) 14.5 kilometer; manakala nimesha pula bersamaan dengan 16/75 sesaat. Oleh itu, 2,202 yojanas x 9 batu x 75/8 nimesha = 186,794 batu sesaat iaitu hampir sama dengan nilai sebenar kelajuan cahaya iaitu 186 282.397 batu sesaat.
  1. Mereka tahu mengenai sains di sebalik kejadian gerhana matahari dikala kesemua tamadun yang lain masih takut dan merasakan kejadian itu disebabkan ilmu hitam.
Di dalam kitab Rigveda 5.40.5 mempunyai frasa yang diterjemahkan seperti berikut “Oh Matahari! Di waktu kau dihalang oleh benda yang kau berikan cahaya (bulan), setelah itu bumi bakal dikejutkan dengan kegelapan secara tiba-tiba.” Ini merupakan penjelasan yang tepat mengenai kejadian gerhana matahari. Kitab Veda mempunyai butiran yang jelas mengenai alam cakerawala, planet-planet, dan fenomena lain yang membuktikan keluasan ilmu yang dihasilkan pada waktu itu sebelum kewujudan tamadun moden.
  1. Mereka secara tepat membuat ramalan mengenai jarak diantara bumi dan matahari.
“Yug sahasra yojana par bahnu, Leelyo taahi madhura phal jaanu” – Hanuman Chalisa Ayat yang dinyatakan diatas merupakan hasil penulisan Tulasidas melalui karyanya yang bertajuk Hanuman Chalisa yang bermaksud, “Suria, yang terletak beribu Yojanas ditelan oleh Hanuman yang menganggap suria itu adalah sejenis buah” Disini, 1 Yuga = 12000 tahun 1 Sahsra Yuga = 12000000 tahun Dan juga, 1 Yojan = 8 Batu Maka, Yug Sahsra Yojan (tiga perkataan yang pertama) bermaksud 12000*12000000*8 = 96000000 batu. Dan jika ditukar menjadi unit Kilometer, 96000000 x 1.6 = 153,600,00 Kms. Jarak sebenar bumi ke matahari = 152,000,00 Kms (Ralat 1 %) Menarik bukan?
  1. Mereka telahpun menganggar jarak lilitan bumi.
Brahmagupta pada abad ke 7 Tahun Masihi mengajukan jarak lilitan bumi adalah 36,000 km, hampir dengan jarak yang sebenar iaitu 40,075 Km (Ralat 1%).
  1. Mereka menganggar jangka waktu di dalam setahun.
Surya Sidhhanta berkata ada empat cara untuk mengukur waktu di dalam setahun dan diberi nama “Nakshatra”, “Savana”, “Lunar” dan “Saura”. Diantara nama-nama yang diberi metod “Saura” secara tepat mengukur jangka waktu dalam setahun iaitu 365 hari, enam jam 12 minit dan 30 saat. Jika kalian masih memikirkan bagaimana mereka mengiranya, sila lawat kuil di Konark atau Humpi dimana kalian akan menjumpai sistem senibina yang kompleks dan tepat dari aspek teknikal yang menggunakan matahari untuk mengukur jangka waktu hari dan tahun.
  1. Mereka membuat kesimpulan mengenai nilai Pi (π)
Aryabhata berusaha untuk mencari nilai Pi (π) yang tepat dan tiba pada kesimpulan dimana π tidak rasional dan nilai yang dijumpai lebih kurang adalah 3.1416 pada tahun 499 Tahun Masihi semasa umurnya 23 tahun. Beliau dikirakan sebagai salah seorang yang paling bijaksana pada zaman purba India kerana nilai Pi yang tidak rasional itu dibuktikan di Eropah hanya pada tahun 1761 oleh Lambert. Harus dinyatakan di sini bahawa beliau juga memperoleh nilai sin & kos dan mencipta konsep trigonometri.
  1. Mereka mengemukakan teori bahawa bumi berbentuk sfera.
Walaupun penjumpaan teori bumi berbentuk bulat dijumpai oleh ahli astronomi Yunani, ahli astronomi dari India purba telah pun menyatakan bahawa matahari adalah bintang dan bumi berbentuk sfera sebelum pernyataan dikeluarkan oleh orang yunani. Terdapat banyak bukti yang menyatakan bahawa pelbagai percubaan dilakukan untuk mengukur lilitan pada zaman veda. Aryabhatta menyimpulkan formula yang membuktikan bumi berputar di atas paksi. Dengan menganggarkan nilai π adalah 3.1416 beliau membuat kesimpulan bahawa lilitan bumi adalah 39736 Kilometer, hanya kurang 100 Kilometer daripada nilai yang sebenar. Dan di dalam bukunya lagi, beliau juga menyatakan bahawa pergerakan cakerawala seperti matahari, bintang-bintang kesemuanya adalah relatif, dan hanya bumi yang bergerak. “Seperti penumpang di dalam bot yang bergerak mengikut arus ke hilir melihat benda yang tidak bergerak (seperti pokok-pokok di tebing sungai) seakan bergerak ke hulu sungai, begitu juga kepada sesiapa di atas bumi yang melihat bintang-bintang bergerak ke barat pada kelajuan yang sama (dimana bumi berputar dari barat ke timur).” – Diterjemahkan dari Aryabhatiya Gola 9
  1. Mereka membina sistem perparitan yang pertama di dunia.
Tamadun Indus mereka sistem sanitasi bawah tanah yang pertama pada tahun 3300 – 1300 Sebelum Masihi dimana sistem mereka diterima pakai oleh seluruh dunia satu abad kemudian. Mereka juga merupakan tamadun yang pertama mencipta sanitasi moden.
  1. Mereka membina teori dan melaksanakan konsep prosedur bedah dengan menggunakan alat-alat pembedahan berabad sebelum tamadun dunia yang lain.
Kitab Sushruta Samhita yang ditulis oleh Sushruta merupakan buku ensiklopedia perubatan yang terawal dapat diketahui di dunia – ditulis sewaktu tahun 1200 Sebelum Masihi yang mencakupi 184 bab yang mempunyai butiran mengenai 1,120 penyakit, 700 tumbuhan-tumbuhan ubatan, 64 persediaan daripada sumber mineral dan 57 persediaan berdasarkan sumber binatang. Kalian cuba namakan satu penyakit dan beliau telah pun menulis satu bab mengenainya. Telah dinyatakan di dalam jurnal saintifik bahawa bukti yang tertua dan pertama untuk gigi manusia hidup yang telah digerudi dijumpai di Mehrgarh. Sebelas gigi korona molar yang digerudi dari sembilan orang dewasa ditemui di dalam kubur di Mehrgarh yang barangkali berusia dari 7500 – 9000 tahun yang lepas. Beberapa bukti mengenai pembedahan ortopedik turut dijumpai dan secara tidak langsung memberi kesimpulan bahawa tamadun purba India mempunyai teknologi untuk melakukan prosedur pembedahan. Anestesia dihasilkan dengan menggunakan herba di Ayurveda.
  1. Mereka membina teori tentang konsep kloning, bayi tabung uji dan ibu tumpang.
Kisah Mahabrata menggambarkan Gandhari sebagai ibu kepada 100 anak yang dipanggil Kauravas, yang paling tua adalah Dhuryodhana. Kauravas dicipta melalui pemisahan satu embrio kepada 100 bahagian dan membesar di dalam penyimpan yang berlainan. Kisah kelahiran Karna & Pandavas secara mengejut menyerupai konsep bayi tabung uji yang moden. Dilahirkan mengikut “ciri-ciri yang diambil daripada lelaki yang dipilihnya.” Mereka bukan sahaja mempunyai konsep mengenai kloning, bayi tabung uji dan pemisahan embrio tetapi turut mempunyai impian untuk membesarkan fetus manusia luar daripada badan wanita, sesuatu yang tidak diketahui oleh sains moden sehingga kini.
  1. Nikola Tesla mengambil inspirasi daripada Swamy Vivenakanda dan cendekiawan Veda untuk ciptaannya yang dikenali dunia.
Setelah makmalnya terbakar dan hasil kerjanya hancur. Nikola Tesla mempelajari konsep Prana dan Akasha untuk kerjanya yang berteraskan daya dan jisim. Beliau membentuk sudut pandang yang baru tentang dunia dan mula melihat dunia dari segi frekuensi dan tenaga sehingga beliau berjaya mengenalkan konsep tenaga beliau.   ]]>

Mamak, Kaaka dan Tulukan

Penterjemahan tidak rasmi Mamak, Kaaka dan Tulukan dari laman blog Sharmalan Theva. Diterjemah oleh Megat Hanis. Generasi orang India Malaysia (kebanyakannya Tamil) hari ini, menggunakan terma bahasa Inggeris apabila memanggil orang tua seperti ibu bapa kepada rakan mereka. Kita selalu mendengar dialog seperti berikut : “Hello Uncle, saptacha?” (Hello Pakcik, dah makan?) “Hi Aunty! Sundar irukara?” (Hi Makcik! Sundar ada?) Sewaktu dahulu, sekurangnya sebelum 1980-an, masyarakat lebih kerap berkomunikasi dalam Tamil. Oleh sebab itu, terma keturunan Tamil seperti Mama (abang kepada ibu) dan Athai (Isteri kepada Abang (Mama)) digunakan tidak kira sama ada mereka mempunyai apa-apa pertalian keluarga. Ibu saya masih memanggil jirannya dahulu sebagai Athai dan Mama walaupun tiada pertalian darah. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan bistro yang kita lihat hari ini dimiliki oleh India Muslim. Sebelumnya, ia hanya dikenali sebagai “Kedai Mamak” Ia bermula dengan kosong. Tiada pendingin hawa, tiada internet tanpa wayar, tiada nama-nama yang gah dan tentunya lebih murah. Hanya beberapa buah meja dan kerusi. Sekarang pun kita boleh lihat kedai sebegini. Semuanya berubah apabila iklan-iklan di dalam televisyen seperti Kelab Bola Sepak Dunhill sentiasa berlatar belakangkan “Kedai Mamak”. Kenapa kita sebut sebagai Mamak? Seperti yang saya kata sebelumnya, kita tak pernah guna “Uncle” atau “Aunty” macam zaman dulu. Pemilik gerai dipanggil dengan nama Mama. “Mama! Oru mee goreng podungga” (Pakcik! mee goreng satu!) “Mama ! oru tea sollungga” (Pakcik, teh satu) Begitulah akhirnya Mama melekat dan menjadi perbualan masyarakat sebagai Mamak kerana orang bukan India pun menggunakannya. Sama juga jika Anna (abang ), disebut sebagai Anney, dan Macha (abang ipar) seperti yang digunakan sekarang. Perkataan lain yang digunakan untuk India Muslim ialah Kaaka dan Tulukan. Kaaka ini maknanya sama seperti Mamak cuma ia digunakan untuk pemilik gerai Muslim Malayalee. Bukan Muslim Tamil. Bagaimana dengan Tulukan? Ratusan tahun dahulu, orang Turki memerintah sebahagian besar India. Adanya satu dinasti dikenali sebagai Tughlaks atau Tughluks. Mereka ini Turki Muslim. India Muslim yang ada keturunan Turki (atau tiada) digelar sebagai Tulukan. Yang perempuan dipanggil sebagai Tulukachi. Di Malayalam, bahasa Turki dikenali sebagai Tuluk Basha. Inilah asal usul perkataan Mamak,Kaaka dan Tulukan. Hari ini, semua India Muslim di Malaysia dipanggil sebagai Mamak. Saya sebut pada awalnya perkataan Athai. Kata lain bagi Athai ialah Mami. Perkataan ini selalu digunakan oleh orang Tamil Ceylon dan orang Tamil Thanjavur. Inilah sebabnya di Malaysia, anak-anak perempuan India Melayu-Muslim dipanggil sebagai Anak Mami yang sebenarnya bermaksud Athai Ponnu (Anak perempuan Makcik Saudara)

]]>

Ambil tindakan kepada mereka yang membuat ugutan online

Oleh Syerleena Rashid “Aku mahu berjumpa dengan perempuan itu…sudah lama rasanya tidak menumbuk seseorang…siapa kisah jika aku digelar dayus kerana mencederakan wanita…dia patut mati!” Kenyataan di atas merupakan sebahagian daripada reaksi terhadap Aisyah Tajuddin. Penulis ingin bertanyakan satu soalan, adakah komen tersebut menyebabkan kamu marah? Jika tidak, ia bermakna kamu membenci wanita. Dan, jika kau tidak mengerti apa itu misogini dan merasakan video tersebut anti-Islam sebelum kamu melihat paparan video dengan menyeluruh. Maka, ia bermakna kamu mengalami defisit intelektualisme, dan hadirin sekalian, perkara ini mengundang dampak yang memusnahkan. Video terbitan BFM telah mengundang kemarahan orang ramai. Ia menunjukkan betapa jijiknya pemikiran sempit orang Islam-Melayu. Video tersebut sudah ditarik-balik, namun dampaknya akan sentiasa menghantui segelintir masyarakat. Terdapat banyak caci maki dan ugutan diterima di media sosial; mengukuhkan lagi bahawa gejala misogini di dalam talian internet sangat merisaukan dan harus dipantau secara serius. Apa yang menjadikan komen-komen ini lebih merisaukan adalah ruangsiber yang luas buat golongan pentaksub meluahkan dan mengancam sesiapa sahaja tanpa mudah dikesan. Komen-komen ini turut memaparkan sikap kurang waras segelintir golongan apabila berdepan dengan topik-topik sensitif, khususnya, melibatkan agama. Isu Hudud telah menggantikan ketakutan kita terhadap bayang-bayang 13 Mei. Bagi sesetengah orang (Muslim dan bukan Muslim), ketakutan ini berpunca daripada ketidaktahuan mereka terhadap Hudud, telah mencetuskan rasa syak dan prasangka terhadap masyarakat. Perbahasan tentang hudud, atau kurangnya perbahasan, telah menciptakan argumen remeh untuk warga Malaysia, lantas mematikan hujah perbahasan (samada kamu bersetuju atau tidak bersetuju). Jika seorang Melayu-Muslim mahu mengangkat kerisauan tentang bagaimana Hudud dapat dilaksanakan di dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, pengkritik yang taksub akan menggelar anda murtad dan mendorong kecaman teruk di media sosial. Di dalam kes Aisyah Tajuddin, dia telah menjadi mangsa kerakusan golongan pentaksub untuk dijadikan kambinghitam dan tempat untuk melepaskan geram. Dia bukanlah satu-satunya mangsa yang diancam dengan ugutan. Nik Raina Nik Abdul Aziz (pengurus kedai Borders), Dyana Sofya (setiausaha politik Sdr. Lim Kit Siang) dan penulis sendiri – telah dijadikan sasaran ugutan bunuh di Internet dan dilihat sebagai subjek oleh segelintir mereka sebagai ‘fantasi seks’ yang amat teruk. Isunya mudah: proses pengukuhan agama dan sistem patriaki telah membenarkan sifat misogini menjadi masalah yang akut di dalam masyarakat moden. Umum mengetahui di dalam dunia yang didominasi kaum lelaki, wanita hanyalah umpan mudah. Ia tidak mendorong warga Malaysia untuk mendakap budaya intelektualisme. Kebanyakan daripada mereka berbesar hati supaya dikawal oleh seseorang dan memaksakan kepercayaan terhadap mereka. Peristiwa tersebut menjurus kepada interpretasi yang dangkal dan mengarut. Kita sering memahami sesuatu isu secara literal akibat daripada sistem yang membenarkan pemikiran anti-intelektual untuk dijana menjadi ideologi. Proses ‘Pembodohan’ yang terjadi. Ancaman yang dihalakan kepada Aisyah Tajuddin dan BFM merujuk kepada proses pembodohan yang sedang berlaku di dalam negara kita. Sikap terlalu mempolitikkan sesuatu isu ‘hyper-politicisation’ (i.e. reaksi para pentaksub) dan kurangnya berpolitik ‘hypo-politicisation’ (i.e. sikap tidak peduli akan politik terutamanya golongan muda) hanya membenarkan golongan fanatik ini melakukan kemusnahan terhadap negara ini. Isu sebenar yang diangkat di dalam video tersebut menyingkap kerisauan yang terbuku di dalam minda warga Malaysia – mengapa mereka yang berkuasa memberikan perhatian terhadap hudud, sedangkan isu-isu penting masih belum diselesaikan? Survei yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendapati majoriti rakyat Kelantan mengharapkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian terhadap isu ekonomi dan pemulihan pasca banjir. Malangnya, agama telah dimanipulasi untuk menyembunyikan isu-isu mustahak, malah mengalih perhatian kita. BFM hanya mengangkat kebenaran sebenar dan bagi sebahagian daripada kita, kebenaran itu sangat pahit dan sulit. Seperti yang telah diperkatakan oleh penulis, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan yang serius terhadap ugutan dan keganasan yang ditujukan kepada Aisyah Tajuddin. Komen-komen yang tidak bermaruah boleh ditemui di dalam media sosial dan harus dianggap sebagai ancaman yang serius.     Makalah ini penterjemahan “Take action on those who made threats online“. Penterjemah: Muhammad Nazreen. 

]]>