Projek Dialog

Menganuti dua agama sekali: Meninjau fenomena keluarga majmuk agama

Penterjemahan tidak rasmi “What’s it like ‘being both?’ A conversation with interfaith family pioneer, author, Susan Katz Miller” yang, disiarkan di Chron pada 28/08/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal. Bagaimana rasa identiti dua agama sekaligus? Perbualan bersama perintis keluarga beragama majmuk dan penulis, Susan Katz Miller.  Setiap hari, rakyat Amerika kian berinteraksi dengan manusia dari pelbagai agama. Dari jiran-jiran Mormon, rakan sekerja Hindu, dan rakan-rakan yang tidak beragama, tidak hairanlah bahawa perkahwinan antara agama kini semakin banyak di Amerika Syarikat. Naomi Schaeffer Riley melaporkan bahawa hampir setengah (42%) daripada perkahwinan di Amerika Syarikat merupakan perkahwinan antara agama. Peningkatan ini tidak mengira lokasi, jantina, status pendidikan, mahupun tahap pendapatan. Buku Susan Katz Miller, Being Both: Embracing Two Religions in One Interfaith Family (Penterjemahan literal: Menjadi Kedua-duanya: Menghayati Dua Agama Dalam Satu Keluarga) – sebuah buku yang dikatakan sebagai “bukti indah dan inspirasi tentang kuasa cinta….” oleh Reza Aslan, seorang penulis terkenal dan perintis pengajian antara agama – telah ditulis berdasarkan perkembangan demografi ini, dan kesannya terhadap institusi keluarga sekarang. Ia juga menarik pada sesiapa yang berada dalam hubungan seagama ataupun tidak beragama. Bagi mereka yang dalam perkahwinan seagama, “Being Both” memperkenalkan satu dunia lain yang sering dihakimi, dan diketepikan, oleh orang keagamaan yang memandang rendah terhadap penyatuan berbeza agama. Barangkali, walaupun anda berkahwin dengan seseorang yang seagama, anda mempunyai saudara ataupun kenalan yang mempunyai latar belakang agama majmuk, dan mungkin anda berminat tentang dinamik keluarganya, atau ingin mengetahui bagaimana anda boleh mendekatkan diri dengan cara yang terbaik dan sesuai. Buku ini merupakan satu peluang mudah untuk memahami kelebihan, dan cabaran dalam sebuah keluarga yang beragama majmuk. Untuk pemimpin-pemimpin agama, seperti pastor, imam, rabbi, dan sebagainya, ia mencabar mereka untuk mempertimbangkan “teologi pastoral” bagi keluarga yang beragama majmuk. Bagi ahli akademik, ia membuka ruang untuk penyelidikan selanjutnya. Walaupun Miller telah menjalankan tinjauannya sendiri, beliau menyarankan bahawa sudah tiba masanya untuk bidang ini dikaji dengan lebih mendalam secara kuantitatif dan kualitatif. Miller menulis dari pengalaman agama-majmuknya sendiri, dan dengan itu mengekalkan nada yang positif sepanjang buku tersebut. Pakar kemajmukan agama itu merangkumi perbincangan yang luas, daripada komuniti keluarga beragama majmuk, kepada upacara perayaan kematangan / baligh kanak-kanak dalam keluarga majmuk, dan akhirnya pandangan agama mereka apabila dewasa. Buku ini memberi tumpuan khas kepada hubungan Yahudi-Kristian dan terhad dalam perbincangannya mengenai perkahwinan majmuk agama lain seperti Islam, Buddha, Sikh, yang tidak beragama, atau kepercayaan-kepercayaan yang lain. Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Miller sendiri, beliau mengalu-alukan penerbitan buku-buku yang mampu meneroka kepelbagaian jenis keluarga beragama majmuk yang lain. Saya berpeluang untuk mengutarakan beberapa pertanyaan susulan kepada Miller mengenai kelenturan sifat agama, meneruskan lagi perbincangan mengenai keluarga beragama majmuk, dan masa depan masyarakat beragama majmuk di Amerika Syarikat. Jawapan beliau sangat wajar untuk direnungkan bersama: Chron: Anda menyatakan bahawa, “Kanak-kanak, sama ada mereka beragama majmuk ataupun tidak, akan keluar ke dunia ini dan membuat pilihan agama mereka sendiri.” Ini membimbangkan sesetengah pihak, mengapa anda fikirkan bahawa mereka tidak seharusnya risau? Susan Katz Miller: Warga Amerika kian bertukar mazhab dan agama, dan meninggalkan kepercayaan formal untuk menjadi “spiritual tetapi tidak beragama,” menurut Pew Research. Inilah realiti keagamaan kita yang fleksibel, di dalam sebuah negara yang mempunyai kebebasan beragama. Jika anda mahukan anak-anak anda mempunyai identiti agama tertentu, strategi terbaik anda ialah untuk membesarkan anak-anak anda dengan identiti tunggal tersebut. Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju untuk membesarkan anak-anak mereka dengan satu agama, silakan. Tetapi jika anda mempunyai dua agama dalam keluarga tersebut, ataupun satu pandangan alam beragama dan satu lagi sekular, pada saya anda tidak boleh mengabaikan pandangan alternatif itu. Kanak-kanak ini membesar dengan mengenali dan menyayangi keluarga daripada dua amalan berlainan, dua sistem kepercayaan. Saya percaya bahawa ini membuatkan mereka cenderung kepada universalisme, membina silaturrahim [bridge-building], dan menyemai kedamaian, yang saya lihat sebagai satu kelebihan dalam hidup, dan baik untuk dunia. Dunia kompleks kita kini saling berhubung melalui media dan internet, dan menyusutkan keupayaan kita untuk berinteraksi dalam dunia sebenar. Kanak-kanak yang menjangkaui sempadan budaya, etnik, kaum dan agama tradisional mempunyai satu kelebihan sebagai penghubung budaya dan diplomat yang boleh membantu kita menjadikan dunia yang kompleks ini suatu dunia yang aman. Bagaimanakan sambutan terhadap buku ini? Tahun ini dipenuhi dengan perbincangan yang menguja. Saya telah berucap di hadapan kalangan ibu bapa, mahasiswa, kumpulan-kumpulan dialog antara agama, dan di hadapan hampir 50 rabbi. Saya berdialog dengan menteri dan paderi, orang Islam dan Hindu. Jika berpeluang, saya ingin melawat setiap seminari di Amerika, kerana golongan paderi perlu bersedia untuk memberikan kaunseling kepada keluarga-keluarga beragama majmuk yang kian semakin banyak. Dan paderi kolej, khususnya, kini mencari kaedah untuk membantu pelajar dengan identiti agama yang kompleks, ataupun yang berada dalam hubungan antara agama yang kompleks. Saya boleh membantu dengan kaedah ini. Terutamanya sekali, saya amat terharu dengan masyarakat Yahudi yang kini mula mempertimbangkan kembali strategi mereka yang mengabaikan 25% daripada perkahwinan bersama pasangan bukan Yahudi, di mana anak-anak mereka dibesarkan “sebahagian Yahudi dan sebahagiannya yang lain.” Mereka ini bukanlah keluarga yang menolak agama Yahudi: mereka masih mahu mengekalkan hubungan keagamaan ini. Contohnya tahun ini, akhbar yang dihormati, Jewish Daily Forward telah menjemput saya sebagai pakar nasihat untuk keluarga beragama majmuk, iaitu satu ruangan baru bagi mereka, di samping pandangan-pandangan yang lebih konservatif. Bagaimanakah seseorang yang tiada pengalaman dalam hubungan antara agama boleh berinteraksi dengan komuniti beragama majmuk dengan lebih baik dan mewujudkan suasana yang tidak meminggirkan mereka? Nasihat saya, ialah cuba melihat bahawa manusia, keseluruhannya termasuklah kita, mempunyai identiti agama yang kompleks. Tiada seorang pun yang dapat dilabelkan dalam satu kotak tertentu dengan mudah. Walaupun kamu sangat berpegang kepada sebuah kepercayaan, misalnya Presbyterian, kamu masih mungkin tidak bersetuju dengan sesetengah kepercayaan atau amalan jiran seagama anda. Setiap seorang daripada kita membina identiti keagamaan dan kerohanian (ataupun humanis) daripada latar belakang keluarga, pertembungan kita dengan alam, sastera, kitab-kitab agama, dan dengan orang lain. Orang-orang daripada keluarga beragama majmuk tidaklah berbeza dalam hal ini. Kami hanya bermula dengan pengaruh kekeluargaan yang lebih meluas. Apakah langkah pertama bagi keluarga beragama majmuk yang ingin lebih menjadi proaktif? Pasangan yang berkahwin bermula di atas dasar kasih sayang dan hormat-menghormati, dan secara idealnya mereka telah mempunyai perbualan yang mendalam dan persefahaman tentang kehidupan keagamaan dan spiritual keluarga mereka pada masa akan datang. Malangnya, seringkali ianya keluarga dan saudara-mara lain, yang mungkin mempunyai pengalaman yang kurang intim dengan orang-orang beragama lain, yang memberi tekanan terhadap perkahwinan tersebut, tentang pendidikan dan identiti anak-anak mereka pada masa depan dan seterusnya. Semua orang dalam keadaan ini perlu bekerja keras untuk terus berhadapan antara satu sama lain dengan perasaan kasih sayang, dan bukannya kebimbangan mahupun sikap mempertahankan diri. Sebaik-baiknya, daripada berundur ataupun mengelak satu sama lain, luangkan masa bersama keluarga dan saudara-mara, bercuti dan menyambut perayaan bersama-sama dan melibatkan diri dalam ritual agama, tanpa mendesak sesiapa untuk menukar agama atau memilih masa depan tertentu untuk anak-anak mereka. Apakah potensi, dan juga cabaran terbesar, yang dihadapi oleh keluarga beragama majmuk pada masa kini? Sebagai keluarga beragama majmuk, kami adalah bukti kebebasan beragama dan keupayaan untuk menjangkaui sempadan sosial di Amerika hari ini. Ini sekaligus merupakan potensi dan cabaran. Pengalaman saya sendiri, daripada keluarga tiga-generasi yang bahagia, adalah sangat positif. Cabaran utama saya ialah menjelaskan kebahagiaan ini kepada orang ramai, terutamanya generasi “baby boomers” dan golongan yang lebih tua, yang mengatakan “tidak boleh begitu.” Saya mendapati bahawa anak-anak muda, generasi Millennial dan khususnya “Generasi Z” yang lebih baru, seringkali mempunyai latar belakang keluarga yang kompleks, dan mempunyai pemahaman yang lebih intuitif mengenai kerumitan beragama. Ada sesetengah yang mungkin menyangkal, “bukankah mengatakan bahawa seseorang itu beragama majmuk sama seperti menimbulkan suatu agama baru, yang kini menghargai nilai-nilai pluralisme, toleransi, sinkretisme dan seakan menyembah suatu penggabungan politeistik tuhan? Bukankah mengatakan sesuatu itu ‘kedua-duanya sekali’ hanya satu bentuk keagamaan secara bufet, yang sewenang-wenangnya dipilih-pilih? Apakah respons anda? Keagamaan majmuk bukanlah suatu agama yang lain: ia tidak mempunyai teologi tersendiri, mahupun amalan-amalan yang ditentukan. Kemajmukan agama adalah satu keadaan yang terhasil daripada perkahwinan, ataupun kelahiran, ke dalam keluarga yang beragama majmuk. Masyarakat yang menyokong keluarga beragama majmuk memberikan ruang bagi mereka untuk mengekalkan hubungan dengan kedua-dua agama, mengajar anak-anak mereka tentang sejarah dan teks kedua-duanya, dan memberikan mereka peluang untuk mengalami ritual agama, di mana mereka mungkin tidak diterima atau tidak selesa di rumah ibadat yang lebih tradisional. Komuniti seperti ini juga memberi ruang kepada keluarga-keluarga ini untuk menghayati kemajmukan agama mereka secara positif, dan tidak berasa terpinggir. Sebahagian besar daripada buku anda tertumpu kepada keluarga-keluarga beragama Yahudi-Kristian. Anda mengatakan bahawa anda mengalu-alukan buku-buku lain yang dapat membincangkan gabungan agama majmuk yang lain, tetapi anda juga mengatakan bahawa, “setiap penggabungan agama mewujudkan cabaran dan keserasian yang unik.” Boleh anda terangkan? Saya juga menemu bual pasangan-pasangan beragama majmuk yang lain seperti Islam, Hindu dan Buddha, maka di dalam buku saya anda dapat melihat secara ringkas bagaimana cara hidup keluarga-keluarga ini. Persamaan di dalam semua ini ialah peranan penting sikap hormat-meghormati, pendidikan antara satu sama lain dan penglibatan bersama dalam upacara agama, dan juga usaha untuk mengekalkan hubungan positif dengan keluarga dan saudara-mara. Saya boleh menyarankan tiga buku yang telahpun diterbitkan. The Book of Mormon Girl oleh Joanna Brooks tentang keluarga Yahudi-Mormon, Saffron Cross oleh J. Dana Trent mengenai sebuah keluarga Hindu-Kristian, dan juga sebuah buku baru, In Faith and In Doubt oleh Dale McGowan, mengenai keluarga-keluarga Kristian dan humanis sekular. Apakah langkah seterusnya dalam bidang penyelidikan keluarga dan masyarakat beragama majmuk? Buku saya adalah yang pertama untuk meninjau dan menemu bual kanak-kanak beragama majmuk yang telah dibesarkan dengan pendidikan agama majmuk. Pada saya, hasilnya memberangsangkan, dan memberi harapan dengan menyangkal idea bahawa kanak-kanak beragama majmuk yang dibesarkan sebagai “kedua-duanya sekali” akan kekeliruan. Tetapi saya benar-benar berharap bahawa ahli akademik kini akan menyusul dengan kajian yang lebih meluas tentang perjalanan spiritual dan keagamaan bagi kanak-kanak ini. Bagi ramai pembaca, ini merupakan pengalaman pertama mereka dalam konsep komuniti beragama majmuk. Boleh anda simpulkan wawasan utama komuniti beragama majmuk kepada tiga? Komuniti keluarga beragama majmuk:

  1. Memberikan “ruang ketiga” di mana seseorang itu bukanlah “tetamu”, dan pasangan ini boleh mendalamkan pemahaman dan perasaan hormat mereka terhadap kedua-dua agama.
  2. Memberi pendidikan kepada kanak-kanak beragama majmuk, supaya mereka boleh mempelajari sejarah, teks, kepercayaan dan amalan kedua-dua agama dalam program dikendalikan oleh seorang guru Yahudi dan Kristian di dalam setiap bilik darjah.
  3. Memberi ruang kepada keluarga beragama majmuk untuk meraikan cuti bersama-sama, membincangkan pengalaman mereka, dan menerapkan sikap positif dalam kanak-kanak dari keluarga yang beragama majmuk.
Anda menyentuh tentang potensi ” identiti dan amalan agama majmuk” bagi seseorang individu, dan permasalahan institusi agama. Sila terangkan. Banyak institusi keagamaan di Amerika sedang berusaha untuk mengekalkan keahlian dan hubungan mereka dengan masyarakat, dalam satu era di mana orang kian memilih untuk menjadi spiritual tetapi tidak beragama, ataupun yang tidak berpegang kepada konsep kerohanian sama sekali. Sebaik-baiknya, keluarga yang membesarkan anak-anak mereka dengan ajaran agama majmuk dapat mengekalkan hubungan dengan kedua-dua institusi agama, misalnya sebuah rumah ibadat Yahudi dan gereja, di dalam komuniti keluarga beragama majmuk, tanpa merasa bahawa mereka tidak diterima. Ianya terpulang kepada institusi-institusi agama ini untuk memutuskan sama ada mereka bersedia untuk menerima kanak-kanak yang beragama majmuk. Apabila keluarga-keluarga ini diterima, maka manfaatnya adalah untuk pasangan tersebut, anak-anak mereka, dan juga institusi tersebut dengan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti ibadat, dan berhadapan dengan realiti kemajmukan agama di dalam dunia abad ke-21 ini.   ]]>

Muslim menggadaikan nyawanya untuk Kristian di Mosul

Laman web ankawa.com mengisahkan seorang profesor universiti yang telah mati dibunuh kerana menentang penganiayaan anti-Kristian. Sementara itu, ISIS telah menetapkan jizyah sebanyak 450 dolar:

Beliau enggan berdiam diri tentang keganasan yang dihadapi oleh penganut Kristian di Mosul, yang terpaksa memilih samaada untuk memeluk Islam, membayar jizyah (cukai Islam untuk warga bukan Islam) atau melarikan diri. Profesor Mahmoud Al ‘Asali, seorang profesor perundangan dan pensyarah bidang pedagogi di Universiti Mosul, telah berani membantah ugutan kejam ini yang beliau percayai adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi beliau telah membayar harga pendirian ini dengan nyawa: beliau dibunuh oleh militan ISIS di Mosul semalam.

Ankawa.com – antara sumber berita terpantas mengenai bencana yang dihadapi penganut Kristian di Iraq – telah menyiarkan kisah tersebut. Di tengah pergolakan tragedi yang sedang berlaku di negara ini, laman web tersebut tidak mahu kisah keberanian ini terlepas dari pandangan awam tanpa disedari. Profesor Ali ‘Asali cukup sedar apakah risiko yang dihadapinya: semua di Mosul mengetahui bahawa di Raqqa – sebuah kota di Syria yang telah ditakluki ISIL pada tahun lepas – ramai aktivis hak asasi manusia telahpun berkorban nyama menentang kekerasan ISIS. Namun Al ‘Asali tidak mampu hanya berdiam diri.

Begitu juga ramai umat Islam yang lain, yang telah melancarkan kempen “Saya warga Iraq, Saya Kristian” sebagai tindak balas kepada tanda huruf “Nun” yang tertulis pada dinding rumah-rumah Kristian di Mosul. Semalam, sebahagian daripada mereka hadir di luar Gereja St. George di Baghdad, bersama panji yang tertera dengan cogan kata tersebut dan menyiarkan gambarnya di Facebook.

Tetapi tindakan-tindakan penentangan ini tidak mampu menghentikan kegilaan fundamentalis ISIS. Pada hari ini, pembersihan etnik kian berterusan, dengan penguatkuasaan jizyah – cukai “perlindungan” Islam yang perlu dibayar oleh semua orang bukan Islam yang ingin kekal atau kembali ke Mosul. Jumlah bulanan yang perlu dibayar ialah 450 dolar, iaitu suatu jumlah yang mustahil bagi sesiapa yang menetap di Utara Iraq. Hari ini, sebuah lagi lokasi bersejarah Kristian telah jatuh ke tangan ISIS: bangunan biara Syro-Katolik Mar Benham, berhampiran dengan Qaraqosh, iaitu bandar Kristian di dataran Nineveh yang merupakan pusat pelarian bagi majoriti penganut Kristian. Biarawan-biarawan telah menduduki Mar Benham sejak abad ke-4 lagi. “Mereka menghalau tiga biarawan dan beberapa keluarga yang tinggal di biara tersebut dan memaksa mereka meninggalkan kuncinya,” ujar Yohanna Petros Moshe, biskop Syro-Katolik Mosul, kepada agensi berita Fides. Blog Bagdadhope melaporkan bahawa biara tersebut dibaik pulih pada tahun 1986 dan telah menjadi destinasi penziarahan bagi penganut agama Kristian dan juga Islam.   Makalah asal oleh Giorgio Bernardelli, disiar di vatican insider 07/21/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal.   unnamed

]]>

Penindasan Rohingya: Data dan fakta penting

Di sini adalah sedikit fakta mengenai mereka.

Siapakah orang Rohingya?

* Mereka adalah golongan Muslim minoriti yang hidup di Myanmar (dahulunya Burma) yang mana majoriti penganutnya beragama Buddha. Kebanyakan Rohin berada di kawasan barat Rakhine dan bilangan mereka, menurut Kementerian Imigrasi adalah seramai 1.33 juta orang.

* Rohingya mendakwa mempunyai susur galur keturunan selama berabad lamanya di Rakhine. Walaubagaimanapun, Undang-undang Kerakyatan 1982, yang dikuatkuasakan oleh kerajaan tentera dahulu telah mengecualikan mereka daripada senarai lebih 100 kumpulan yang diiktiraf sebagai etnik minoriti. Pengecualian ini menyebabkan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai kerakyatan. Sejak itu, mereka tidak mendapat Kad Pengenalan, yang diperlukan untuk pelbagai urusan daripada persekolahan, perkahwinan, pekerjaan sehinggalah kepada sijil kematian.

* Majoriti daripada mereka berada di utara daerah Rakhine (NRS – Northern Rakhine State) yang terdiri daripada 3 bandar utama – Buthidaung, Rathedaung dan Maungdaw – dan bersempadan dengan Bangladesh. Rohingya merupakan 91peratus daripada jumlah penduduk NRS yang dianggarkan leih kurang 1 juta penduduk. Ia juga merupakan salah satu kawasan yang paling terpencil, miskin, dan padat di negara itu. Akses media dan bantuan ke NRS amatlah dihadkan. 

Bagaimanakah kehidupan mereka? 

* Rohingya di NRS mengalami pelbagai halangan. Mereka tidak dibenarkan berhijrah, berkahwin atau mencari rawatan tanpa kebenaran rasmi, yang sangatlah mahal dan tidak terjamin. Kumpulan-kumpulan pembela hak asasi mengatakan  Rohingya turut menghadapi dakwaan, pemerkosaan, dipaksa menjadi buruh, rampasan harta dan diberi akses yang terhad terhadap perkhidmatan awam. 

* NRS terduduk di bawah standard bagi negara yang mempunyai markah rendah dalam kebanyakan kajian sosio-ekonomi. PBB mengatakan, kematian kaum ibu adalah sebanyak 380 kematian per 100,000 kelahiran hidup di Maungdaw – yang berganda daripada jumlah kematian di 200 negara dalam kajian UNICEF. Kematian bawah 5 tahun adalah sebanyak 135 orang per 1000 kanak-kanak di Maungdaw berbanding bilangan bagi negara sebanyak 77 orang.  

* Tinjauan telah menunjukkan bahawa kes-kes kurang zat makanan di NRS secara berterusan sebanyak 15 peratus lebih tinggi daripada garis maximum yang diletakkan oleh World Health Organization (WHO). Pada tahun 2008, masalah kurang zat makanan adalah sebanyak 22.7% di bandar Buthidaung dan 20.2 % pada tahun 2009. Analisa pada tahun 2011 menunjukkan 45 % tidak mempunyai akses makanan yang meyakinkan. 

Mengapakah mereka sering dipapar kaca berita kebelakangan ini?  * Dua peristiwa keganasan masyarakat pada tahun 2012 telah membunuh sekurang-kurangnya 192 orang dan membuatkan sejumlah 146,000 orang hilang tempat tinggal. Kebanyakannya adalah Rohingya. Ada puluhan ribu yang berada di kem-kem penempatan sementara di luar Sittwe ibukota Rakhine. 

* Seramai 86,000 orang meninggalkan Rakhine menggunakan bot antara Jun 2012 hingga April 2014 untuk memulakan hidup baru, dan pejuang hak asasi mengatakan jumlah ini akan semakin meningkat. 

* Mereka yang tidak boleh meninggalkan terpaksa bergantung pada bantuan daripada pelbagai agensi dari segi keperluan seharian, menyebabkan datangnya tuduhan daripada nasionalis Buddha di Rakhine dan juga Myanmar, mengatakan ianya tidak adil. 

* Médecins Sans Frontières-Holland (MSF-H) dan Malteser International, dua organisasi yang telah memberikan bantuan kesihatan yang besar di NRS dan di kem pelarian, telah dihalau daripada Rakhine pada Febuari dan Mac, setelah adanya kempen menentang mereka daripada golongan pelampau beragama Buddha. Pada 24 Julai, kerajaan Myanmar mengumumkan bahawa badan-badan tersebut dibenarkan untuk kembali untuk memberi bantuan, tetapi keadaan keselamatan mereka tidak terjamin. 

* Walaupun kesusahan yang mereka hadapi, masih tidak banyak simpati yang berjaya diraih untuk golongan Rohingya di Myanmar. Sentimen anti-Rohingya tersebar luas, dan pihak berkuasa memanggil mereka ‘Bengalis’, untuk menyamakan mereka dengan pendatang asing daripada Bangladesh. Gerakan demokrasi di Myanmar, termasukalah penerima anugerah Nobel Aung San Suu Kyi, masih tidak menyatakan pendirian yang berpihak pada Rohinya. 

Sumber : World Food Organization, UNHCR, UNOCHA, Fortify Rights, Human Right Watch, The Arakan Project, The European Comission. Penterjemahan tidak rasmi FACTBOX – Facts and figures about Myanmar’s Rohingya.” Diterjemah oleh Noor Amalina Rosli. 

]]>

Jalan kebahagiaan: Cintailah manusia, bukan kesenangan

Penterjemahan tidak rasmi “Love People, Not Pleasure” yang disiarkan sebelum ini oleh New York Times. Diterjemah oleh Noor Amalina Rosli. 

Kisah Abd Al-Rahman III

Abd Al-Rahman III merupakan Amir dan Khalifah di Cordoba, Sepanyol pada abad ke-10. Beliau merupakan pemerintah yang unggul yang hidup dalam kemewahan. Begini bagaimana beliau menilai kehidupannya.

“Saya telah memerintah selama lebih 50 tahun dalam kemenangan atau keamanan; disayangi oleh rakyat, digeruni oleh musuh, dan dihormati oleh rakan-rakan sekutu. Kekayaan dan kehormatan, kuasa dan kenikmatan semuanya telah tersedia sebagai nikmat dunia yang menggembirakan.”

Kemahsyuran, kekayaan dan kenikmatan yang tidak tergambar. Hebat bukan? Beliau terus menulis:

“Saya telah mengira hari-hari yang saya benar-benar dan ikhlas gembira: Jumlahnya ada 14 hari.”

Yang menjadi masalah bagi Abd al-Rahman bukanlah kebahagiaan – sebagaimana yang dia fikir – tetapi kesedihan. Jika ianya nampak seperti pembezaan tanpa perbezaan, maka anda juga barangkali mempunyai masalah seperti Amir. Walaubagaimanapun, dengan sedikit pengetahuan, anda boleh mengelak daripada kesedihan seperti beliau.

Kesedihan dan kebahagiaan

Apakah itu kesedihan? Kata hati anda mungkin mengatakan ianya semudah lawan kepada kebahagiaan, sebagaimana kegelapan yang wujud disebabkan tiadanya cahaya. Ia tidak benar. kebahagiaan dan kesedihan adalah berkaitan tetapi bukan sesuatu yang berlawanan. Imej pada otak menunjukkan bahawa sebahagian daripada otak kiri menjadi lebih aktif daripada kanan apabila kita sedang merasai kebahagiaan, manakala otak kanan menjadi lebih aktif ketika kita tidak gembira.

Ia mungkin nampak ganjil, tetapi, menjadi gembira daripada orang lain tidak bermakna sesorang itu [pada masa yang sama] tidak boleh menjadi lebih sedih daripada orang lain . Satu ujian tentang kebahagiaan dan kesedihan adalah Positive Affectivity dan Negative Affectivity Schedule test. Saya mengambil ujian tersebut dan mendapati, untuk kebahagiaan, saya mendapat markah yang tertinggi bagi golongan yang mempunyai umur, jantina, pekerjaan dan pendidikan yang sama dengan saya. Tetapi, saya juga mendapat markah yang agak tinggi juga bagi kesedihan. Saya seorang yang ceria dan sedih.

Apabila manusia berkata, “Saya adalah orang yang tidak gembira,” Mereka sebenarnya sedang mengira-ngira, sama ada mereka sedar atau tidak. “kesedihan saya = x, dan kebahagiaan saya = y, jadi, x>y.” Persoalan yang sebenar adalah, mengapa, dan apa yang boleh dilakukan agar y>x.

Jika anda bertanya pada seseorang yang tidak gembira mengapa dia tidak gembira, selalunya dia akan menyalahkan keadaan. Dalam banyak keadaan, semestinya, ada sebabnya. Ada sesetengah manusia yang ditekan, miskin atau sakit itu yang menjadikan kehidupan mereka seakan beban.

Kajian menunjukkan bahawa perkauman menyebabkan kesedihan pada kanak-kanak, dan banyak lagi kajian akademik yang menunjukkan kaitan yang jelas antara kesedihan dan kemiskinan. Satu lagi punca kesedihan adalah kesunyian, yang mana, ia dialami oleh 20 peratus daripada rakyat Amerika, cukup untuk menyatakan ia adalah antara punca utama kepada kesedihan dalam kehidupan.

Ada juga punca-punca kecil kesedihan yang bergantung kepada keadaan. Pakar psikologi daripada Princeton Daniel Kahneman dan rakan-rakannya telah mengira “Tarikan Negatif” [bad moods] yang disebabkan oleh aktiviti dan interaksi harian. Mereka telah menjumpai sebab No. 1 kepada kesedihan pada hari-hari biasa adalah menghabiskan masa dengan bos (Yang mana, sebagai seorang bos, saya tidak gembira mengetahuinya).

Mengapa? 

Keadaan sememangnya sangat penting. Tidak syak lagi, Abd al-Rahman boleh menuding jari kepada beberapa keadaan dalam kehidupannya. Tetapi anehnya, penjelasan yang lebih tepat tentang kesedihannya boleh jadi disebabkan oleh pencariannya kepada kesejahteraan. Dan ia juga boleh terjadi pada anda.

Pernahkah anda mengenali seorang pemabuk? Kebiasaannya, mereka minum untuk menghilangkan ketagihan atau keresahan – atau dengan kata lain, untuk mengurangkan kesedihan. Tetapi, minuman itu yang akhirnya memanjangkan penderitaan mereka. Prinsip yang sama berlaku pada Abd al-Rahman dalam pencariannya terhadap kemahsyuran, kemewahan dan kenikamatan.

Ambil contoh kemahsyuran [fame]. Pada tahun 2009, para pengkaji daripada University Rochester telah mengadakan kajian menjejak kejayaan 147 orang graduan dalam mencapai matlamat yang telah diletak sebelumnya, setelah tamat pengajian. Sebahagian yang meletakkan matlamat ‘dalaman’ seperti dalam perhubungan. Ada yang meletakkan matlamat “luaran” seperti mencapai reputasi yang terkenal dan menjadi masyhur. Para pengkaji telah mendapati bahawa mempunyai matlamat “dalaman” amat berkait dengan kehidupan yang lebih gembira. Mereka yang mengejar matlamat “luaran” merasai emosi yang negatif seperti malu dan takut. Malah mereka turut mengalami sakit fizikal.

Ironi

Inilah salah satu ironi yang paling kejam dalam kehidupan. Saya bekerja di Washington, di tengah-tengah ketegangan perdebatan politik. Orang yang paling tidak gembira sekali yang pernah saya jumpa adalah mereka yang setia kepada sikap memasyhurkan atau mempromosikan diri sendiri – the pundits, the TV loudmouths, the media know-it-alls. Mereka mereka diri mereka, mempromosikan imej mereka, tetapi berasa teruk selalunya.

Itulah paradoks bagi kemasyhuran. Sebagaimana dadah dan alkohol, sekali anda ketagih, anda tidak boleh hidup tanpanya. Tetapi, anda tidak boleh hidup dengannya juga. Para selebriti menggambarkan populariti seperti “binatang dalam sangkar; mainan di tingkap kaca kedai; anak patung Barbie; patung-patung di tempat awam, atau lelaki dalam TV,” berdasarkan kajian oleh pakar psikologi Donna Rockwell. Tetapi, mereka tidak mampu berhenti.

Kesan daripada populariti kepada kehidupan seharian manusia telah menghasilkan inovasi yang mengejutkan. Salah satunya dengan wujudnya program-program realiti televisyen, di mana orang biasa menjadi pelakon agar kehidupan seharian mereka ditonton. Mengapa? “Untuk disedari, untuk diingini, untuk dicintai, untuk melangkah masuk ke dalam satu tempat yang mana orangnya kisah akan apa yang anda sedang buat, bahkan apa yang anda makan tengahari tadi: itulah yang manusia inginkan, pada pendapat saya,” kata seorang peserta program realiti “Big Brother” berumur 26 tahun.

Kemudian, wujud pula media-media sosial. Hari ini, setiap kita boleh membina kumpulan-kumpulan peminat tersendiri, terima kasih kepada Facebook, YouTube, Twitter dan lain-lain. Kita boleh siarkan perincian tentang kehidupan kita baik kepada rakan-rakan mahupun pada orang yang tidak dikenali. Adalah amat bagus untuk sentiasa dapat berhubung dengan rakan-rakan, tetapi ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa mencari populariti (fame-seeking) dalam diri setiap orang. Dan beberapa kajian menunjukkan ia membuat kita tidak gembira.

Imej, berbanding realiti

Ianya masuk akal. Apakah yang anda ‘post’ dalam Facebook? Adakah gambar anda sedang menjerit pada anak-anak anda, atau gambar anda sedang mengalami kesusahan ketika bekerja? Tidak bukan? Anda ‘post’ gambar-gambar anda tersenyum ketika mengikuti program mendaki bersama-sama dengan rakan. Anda mencipta kehidupan palsu – atau sekurang-kurang kehidupan yang tidak lengkap – dan ‘share’ kepada semua. Tambahan pula, anda juga menonton kehidupan-kehidupan palsu ‘friends’ anda di media sosial. Melainkan anda betul-betul sedar, bukankah ianya membuatkan anda berasa lebih teruk apabila sebahagian masa anda dihabiskan untuk berpura-pura menjadi lebih gembira daripada yang anda rasa, dan sebahagian masa yang lain, anda melihat betapa gembiranya orang lain berbanding diri anda?

Ada sebahagian yang mencari penawar kepada kesedihan melalui wang dan kebendaan. Senario ini mungkin lebih rumit berbanding populariti. Bukti ada menunjukkan bahawa wang benar-benar menghilangkan kesengsaraan bagi yang benar-benar memerlukan (Ini adalah hujah yang kuat, pada pendapat saya, untuk polisi-polisi bagi golongan yang benar-benar memerlukan). Tetapi, apabila wang itu sendiri menjadi matlamat, ia juga boleh menyebabkan kedukaan.

Selama berpuluh tahun, ahli psikologi telah mengumpulkan kajian yang luas mengenai perkaitan antara perbezaan aspirasi and kesejahteraan. Sama ada mereka memeriksa orang muda atau pelbagai lapisan umur, secara keseluruhannya menunjukkan terhadap kesimpulan yang sama: Mereka yang meletakkan matlamat kebendaan seperti harta sebagai keutamaan yang tertinggi, ada lebih cenderung untuk menjadi resah, tertekan dan lebih kerap mengambil ubat, malah lebih mudah untuk mendapat penyakit berbanding mereka yang meletakkan matlamat ‘dalaman’.

Tiada yang dapat menyimpulkan makna perangkap kebendaan ini lebih terkenal daripada St. Paul dalam karangannya ‘First letter to Timothy’: “Mencintai wang itu adalah akar (punca) pada segala kejahatan: yang mana apabila seseorang terlalu mendambakannya, mereka akan lari daripada keimanan dan menenggelamkan diri mereka dalam pelbagai kedukaan.” Atau seperti apa yang Dalai Lama katakan, lebih baik untuk anda mahukan apa yang anda punyai daripada mempunyai apa yang anda mahukan.

Seks? 

Maka, kemasyhuran dan duit telah terkeluar. Bagaimana pula kenikmatan sebagai contoh kenikmatan sex? Daripada Hollywood hinggalah ke kolej, ramai yang menyangka sex sentiasanya hebat, bahkan kepelbagaian (bilangan) sex itu lebih baik.

Sangkaan ini sebenarnya mempunyai nama iaitu : ‘The Coolidge Effect’ yang dinamakan bersempena presiden Amerika ke-30. Kisahnya (berkemungkinan rekaan) bermula ketika Silent Cal dan Puan Coolidge sedang berjalan-jalan di ladang ternak. Puan Coolidge melihat jumlah ayam jantan tidak banyak, dan bertanya bagaimana begitu banyak telur dapat dihasilkan. Penternak memberitahunya yang ayam-ayam jantan yang ‘kuat’ telah melakukan tugas dengan baik berkali-kali setiap hari. “Mungkin kamu boleh memberitahu itu pada Encik Coolidge,” kata Puan Coolidge. Encik Coolidge, apabila mendengar apa yang dikatan Puan Coolidge itu, bertanya sama ada ayam jantan itu akan mengawan dengan ayam betina yang sama pada setiap kali. Tidak, kata penternak tersebut – ada banyak ayam betina bagi setiap ayam jantan. “Mungkin anda boleh memberitahu ini kepada Puan Coolidge,” kata Encik Coolidge.

Presiden (Encik Coolidge) mungkin menyangka ayam-ayam jantan ini sangat gembira. Dan seharusnya, sama juga bagi manusia bukan? (Dengan mengabaikan kesan-kesan moral).

Salah. Pada tahun 2004, dua orang ahli ekonomi mengkaji sama ada  (bilangan) seks membawa kepada lebih kesejahteraan. Mereka melihat data mengenai 16,000 orang dewasa Amerika yang ditanya secara tertutup tentang berapa banyak pasangan seks mereka pada tahun sebelumnya, dan juga mengenai kebahagiaan mereka. Data telah menunjukkan, baik bagi lelaki atau wanita, keduanya mengatakan bilangan pasangan yang optimum adalah satu.

Harta? 

Ini mungkin tidak disangka-sangka. Selalunya, kita tertarik untuk mengumpulkan kebendaan (harta), mencari populariti dan mengejar keseronokan. Bagaimana pula perkara-perkara ini membawa kepada kesedihan? Ada dua penjelasan, satu dari segi biologi, manakala satu lagi dari segi falsafah.

Daripada perspektif evolusi, masuk akal untuk mengatakan kita tertarik untuk mencari kemasyhuran, kekayaan dan hidup yang penuh seks. Kebarangkaliannya adalah kita telah menerimanya melalui DNA kita. Sekiranya nenek moyang anda pada zaman batu dahulu tidak memiliki keinginan ini (seperti ingin menjadi seorang pengasah batu yang hebat atau memiliki pelbagai kulit binatang), barangkali mereka tidak dapat berjumpa dengan pasangan yang cukup ramai untuk akhirnya menghasilkan keturunannya dan anda.

Maka, disinilah titik pertemuannya: Kita menyangka perkara yang menarik bagi kita akan menghilangkan kesengsaraan dan menambah kebahagiaan. Akal saya mengatakan, “Jadilah terkenal,” pada masa yang sama, ia juga mengatakan, “kesedihan adalah buruk,” Jika kita menggabungkan keduanya, ia akan menjadi, “Jadilah terkenal, maka anda tidaklah akan menjadi tak gembira.”

Tetapi, begitulah hukum alam. Ia tidak kisah sama ada anda gembira atau tidak – ia hanya mahukan anda terus menyampaikan bahan-bahan genetik dalam diri anda pada keturunan anda. Jika anda menggabungkan kelangsungan kehidupan antara generasi dengan generasi, maka, itu adalah masalah anda, bukan masalah hukum alam. Dan masalah menjadi semakin rumit untuk diselesaikan dalam masyarakat disebabkan adanya yang menyebarkan nasihat seperti, “Seronok, maka buatlah.” Melainkan anda mempunyai matlamat kehidupan yang sama seperti protozoa, ianya adalah sesuatu yang salah.

Dari sudut falsafah pula, masalah timbul daripada ketidakpuasan – perasaan yang mana tidak ada apa yang dapat memuaskan, maka kami mahu lagi. Kita sendiri tidak dapat memahami apa yang kita cari. Tanpa muhasabah yang cukup dan usaha-usaha spiritual, maka, kita hanya akan nampak kebendaan, kenikmatan fizikal dan menjadi pujaan rakan-rakan dan orang yang tak dikenali.

Kita mencari perkara-perkara ini untuk mengisi kekosongan jiwa. Walaubagaimanpun, ianya tidak kekal dan tidak pernah cukup. Ia mungkin akan memberi kepuasan sementara, tetapi ia tidak akan kekal dan tidak cukup, dan kita akan mula ketagihannya. Paradoks ini mempunyai istilah dalam Sanskrit : updana, yang merujuk kepada kitaran ketagihan dan mendapatkannya. Seperti kata-kata Dhammapada (jalan kebijaksanaan dalam Buddha) : “Ketagihan seseorang itu membawa kepada kerakusan hidup seperti tumbuhan yang merayap. Seperti Si monyet yang mencari buah-buahan di hutan, dia melompat dari satu kehidupan kepada satu kehidupan. Barangsiapa yang berdepan dengan ketagihan yang teruk dan merosakkan ini, kesedihan akan tumbuh seperti rumput setelah hujan.”

Cinta

Pencarian terhadap kemasyhuran ini, keinginan terhadap material dan mengobjekkan manusia – yang mana, adalah kitaran untuk mendapatkannya dan ketagihannya – akur pada satu formula yang mudah, tetapi berbahaya :

Cintai kebendaan, gunakan manusia.

Inilah formula yang menghantui hidup Abd al-Rahman. Inilah budaya yang dicorakkan oleh Hollywood hingga ke Madison Avenue. Tetapi, anda sedar bahawa ianya bermasalah dan berkemungkinan membawa kepada kesedihan. Anda mahu bebas daripada ketagihan kepada kesedihan dan mencari formula ke arah kebahagiaan. Tetapi, bagaimana? Terbalikkan sahaja formula berbahaya tadi, maka, ia akan jadi sikap yang baik:

Cintai manusia, gunakan benda.

Saya sedar, untuk mengatakannya, lebih mudah daripada mempraktisnya. Ia memerlukan keberanian untuk menolak populariti dan kekuatan untuk mencintai sesama manusia – ahli keluarga, kawan-kawan, rakan sekerja, teman-teman, tuhan dan bahkan orang asing dan musuh. Tolaklah sebarang kecintaan terhadap kebendaan. Mempraktiskan ini adalah suatu kebajikan. Ia sangat membebaskan jiwa apabila kita mampu memberi kepad orang lain benda yang amat kita sayangi.

Ini juga memerlukan kita untuk mengutuk sikap suakakan kebendaan. Ini bukanlah bertujuan sebagai suatu hujah untuk menolak mana-mana sistem ekonomi. Sesiapa sahaja yang pernah berada dalam sebuah negara sosialis pasti akan bersetuju bahawa cintakan kebendaan dan ketamakan secara kolektif adalah sama buruk, atau lebih buruk dalam pasaran terbuka (free market). Tidak ada ideologi politik yang terhindar daripada sikap materialism.

Akhirnya, kita seharusnya berasa sangsi atau skeptik terhadap keinginan diri kita. Tentunya kita akan terdorong untuk mencari peminat, kehebatan dan kebebasan. Tetapi, menyujud kepada keinginan ini akan membawa kepada kesedihan. Anda mempunyai tanggungjawab pada diri anda untuk meneruskan perjuangan. Hari anda mengisytiharkan kekalahan adalah permulaan kepada kesedihan. Berperang dengan dorongan dan keinginan yang merosakkan ini bukanlah kerana kealiman atau kewarakan. Tepai, ia adalah tentang menjadi manusia yang bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada kesengsaraan yang tak diperlukan pada masa akan datang.

Abd al-Rahman tidak pernah dapat menghitung kebahagiaannya dengan betul. Dia tidak mengetahui formula yang sebenar. Beruntunglah kita mengetahuinya.

      ]]>

Jurang kemewahan dan makna Raya

Oleh Hamizah Hanan Setiap tahun, Aidilfitri disambut dengan penuh suka cita, tidak kira apa jenis latar belakang sekalipun. Persiapan dilakukan berbulan sebelum datangnya Syawal atau dikenali dengan kata lain sebagai ‘hari kemenangan’. Di samping didendangkan dengan lagu-lagu raya yang berkumandang di corong radio, pusat membeli belah mula dibanjiri dengan manusia dan dapat dilihat pelbagai promosi jualan yang dijalankan. Ada yang mula memasak pelbagai juadah dan mengemas rumah. Hal ini berlaku adalah disebabkan Aidilfitri ini juga didefinisikan sebagai hari ‘serba baharu’. Hari Raya, pesta membeli-belah Baik dari segi pakaian, perkakas rumah, hisasan rumah, makanan dan pelbagai lagi, hampir semua perlu ditukar dek kerana ingin selari dengan konsep serba baharunya itu. Persiapan yang dilakukan menelan ratusan ringgit dan mungkin juga ribuan ringgit. Sehinggakan ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sudah terjebak dengan pembaziran dan semua ini dilihat seperti suatu yang dibenarkan hanya dengan alasan ianya dilakukan sebagai suatu ibadah. Hal ini lebih jelas lagi kelihatan natijahnya apabila dikaitkan dengan nafsu sedikit demi sedikit dipendam selama setahun ini dan ditambah ‘pemangkin’ bulan Ramadan selama sebulan. Kemudiannya, keinginan yang dipendam itu dilepaskan secara sekali gus, ibarat satu momentum yang kuat bersempena hari raya yang merupakan hari bergembira. Menjelang hari raya, ramai sanak saudara yang akan pulang ke kampung halaman. Berkumpul setelah setahun tidak berjumpa dan kali ini bercuti meluangkan masa bersama untuk menyambut hari raya. Di sinilah pertemuan dengan sanak saudara baik yang jauh atau dekat, yang rapat ataupun yang jarang-jarang kelihatan. Hari raya yang bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim, disambut beramai-ramai dengan sederhana ini boleh bertukar rupa sebagai sebuah pesta untuk bertanding dan menunjuk-nunjuk. Jurang pendapatan, jurang Raya Yang kaya akan bergaya dengan serba-serbi baru sehinggakan melupakan masyarakat yang miskin dan tidak bernasib baik. Yang kurang berkemampuan ini hanya akan menyambut perayaan dengan apa yang ada. Malahan kepada anak-anak keluarga yang kurang berkemampuan, mereka akan mula bertanyakan kepada ibu bapa mereka tentang, ‘mengapa mereka tidak dapat merayakan hari raya seperti anak orang kaya?’ seperti mana yang mereka lihat anak-anak jiran yang pulang ke kampung ketika hari raya. Bukan itu sahaja, budaya pemberian duit raya juga memberikan impak yang mendalam. Jurang perbezaan kelihatan ketara apabila anak-anak orang kaya memperoleh sejumlah duit raya yang lumayan. Manakala, kepada anak-anak orang miskin ini, mereka hanya mendapat beberapa ringgit sahaja. Lama kelamaan budaya yang diterapkan semenjak kecil ini akan membuahkan masyarakat yang mementingkan diri dan kelak membentuk moral yang rendah. Apa makna raya sebenarnya? Hari raya dirayakan dengan pelbagai perkara yang mementingkan rupa dan persembahan yang kebanyakkannya bersifat dangkal. Semangat dan makna disebalik apa yang dilakukan semakin luntur. Lebih malang lagi apabila generasi yang seterusnya hanya dapat menginterpretasi apa yang dilihat amatlah bersifat superficial dan dijadikan sebagai sebuah budaya yang dilakukan saban tahun tanpa mendalami makna disebaliknya. Agama yang sifatnya adalah intrinsik (mendalam) juga mahu ditafsirkan dan dimenifestasikan ke dunia realiti secara extrinsik (luar). Hakikatnya manusia malu, takut dan gentar untuk memikul tanggungjawab sendiri atas apa yang dilakukan. Segalanya memerlukan alasan agama untuk menjustifikasikan setiap perbuatan mereka. Bermula dari pemendaman keinginan, nafsu, penahanan emosi dan diri sendiri sehinggalah ke tahap menghalalkan segala perbuatan pembaziran, bermegah-megah, bersuka ria dan pelbagai lagi. Padahal awalnya mereka sendiri sudah mengiktiraf yang dia berkuasa atas dirinya sendiri. Akhir kata, beribadahlah dengan sifat yang bersederhana. Kemeriahan hari raya Aidilfitri disambut dengan tidak meninggalkan makna disebaliknya dan juga tidak melupakan orang-orang yang dalam kesusahan. Setiap perbuatan yang baik itu haruslah datang dari dalam diri tanpa diantarakan dengan agenda lain mahupun alasan lain. Soalnya, adakah setiap kebaikan yang kita lakukan itu memerlukan sebab agama? Tanyakan pada diri kita, adakah kita akan melakukan kebaikan jika itu bukan suruhan sesiapa pun.         unnamed  

]]>

Berhadapan dengan derita dan mati: Perspektif seorang doktor

Ini penterjemahan tidak rasmi makalah “Our unrealistic views of death, through a doctor’s eyes” oleh Craig Bowron yang diterbitkan oleh Washington Post pada February 17 2012.    Telefon berdering dan aku dapat mengagak ke mana panggilan telefon ini ditujukan. Aku berada di dalam wad, seorang doktor di ruang kecemasan di bawah memaklumkan tentang seorang pesakit warga emas untuk dimasukkan ke dalam wad. Pesakit ini baru buat diriku, tetapi ceritanya sudah biasa ku dengari: Pak cik ini mempunyai bebrapa penyakit kronik- sakit jantung, lemah buah pinggang, kurang darah merah, Parkinson’s dan nyanyuk (dementia). Semuanya dirumuskan dengan segengam ubat untuk mengawal penyakitnya. Kesihatannya semakin merundum dan selera makannya juga hilang. Kini, serangan angin ahmar (stroke) pula datang menduga. Aku dan doktor di ruang kecemasan berbincang tentang apa yang boleh kami lakukan. Serangan angin ahmar ini telah menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi melangit, menerukkan lagi keadaan kegagalan jantungnya, seterusnya mengugat fungsi buah pinggangnya yang kian lemah. Serangan angin ahmar itu telah menerukkan lagi keadaan yang sedia adanya sudah kekurangan dengan penyakit Parkinson dan kini mungkin pak cik tersebut tidak mampu untuk berjalan lagi. Disebabkan umur yang sudah tua, apabila diberikan terapi, kemungkinan untuk menerima komplikasi adalah amat tinggi, manakala kelebihannya pula amatlah sedikit. Ini merupakan jalan buntu dalam perubatan: semua pilihan berakhir dengan kekurangan. Aku menuju ke ruangan kecemasan. Jikalau nasib menyebelahiku, keluarganya akan menerima kenyataan bahawa pada ketika kita dapat memisahkan kembar siam dan berusaha menyambung semula anggota badan yang terputus, manusia itu tidak lari dari kematian kerana usia tuanya. Jikalau nasib menyebelahiku lagi, keluarganya dapat menyedari bahawa orang kesayangannya hampir menemui ajal. Nasib? Namun, nasib tidak selalunya menyebelahi aku. Keluarganya mungkin akan meminta untuk aku menggunakan kepakaran kedoktoran ini supaya berusaha melakukan sesuatu kepada badan pesakit yang semakin lemah ini bagi menganjakkan sedikit lagi limitasi badannya, dengan harapan sedikit penderitaan ini akan berbaloi. Bagi kebanyakan rakyat Amerika, perkembangan perubatan moden telah membuatkan kematian seolah-olah menjadi suatu pilihan bukannya sebuah ketetapan yang akan dilalui oleh setiap orang. Kita mahukan orang yang kita sayang untuk hidup bersama kita selama mungkin, tetapi budaya kita telah melihat kematian sebagai sebuah kegagalan dalam perubatan, dibandingkan sebagai sebuah kesimpulan hidup yang semula jadi. Sebahagian besar daripada penurunan ini telah datang pada separuh abad yang pertama. Dapat dilihat, daripada kesihatan awam yang sifatnya mudah seperti menjaga kebersihan dan pemakanan nutrisi dan bukannya pembedahan jantung terbuka, rawatan magnetik (Magnetic Resonance Imaging-MRI), ataupun ubat-ubatan yang canggih. Begitu juga, pendidikan berkenaan ibu mengandung yang lebih baik dan kelahiran yang lebih selamat pada masa yang sama juga telah membawa kepada penurunan mendadak untuk kadar kematian ibu mengandung. Jadi pada tahun 1950, purata jangka hayat seseorang telah melonjak kepada 68 tahun. Untuk semua kecanggihan teknologi ini dan tag harga yang mahal, perubatan moden mungkin merumitkan lagi pengakhiran nyawa seseorang daripada memanjangkan atau memperbaikinya. Jika seseorang yang hidup pada tahun 1900 berjaya hidup pada zaman kanak-kanak sehinggalah melahirkan anak, dia berpotensi untuk menjadi tua. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit: seseorang yang berjaya ke usia yang mencecah 65 pada tahun 1900, dia boleh mengharapkan untuk hidup dengan purata 12 tahun lagi; manakala, jika usianya berjaya mencecah 85 tahun, dia boleh mengharapkan untuk pergi secara purata, 4 tahun lagi. Pada tahun 2007, seorang rakyat Amerika yang berusia 65 tahun dijangkakan untuk hidup secara purata 19 tahun lagi; dan jika umurnya berjaya mencecah 85 tahun, dia boleh mengharapkan untuk pergi 6 tahun lagi. Menafi kematian Satu lagi faktor penafian kematian adalah lebih berkaitan dengan perubahan demografi daripada kemajuan teknologi sains perubatan. Penghijrahan secara besar-besaran keluar negara dan kewujudan cara hidup pertanian dan ke arah gaya hidup yang lebih urban membawa makna bahawa kita telah meninggalkan skeptik terhadap kematian dan alam semulajadi di belakang kita. Pada awal Perang Saudara, 80 peratus rakyat Amerika tinggal di kawasan pedalaman dan 20 peratus lagi tinggal di kawasan bandar. Menjelang tahun 1920, dengan adanya Revolusi Perindustrian yang giat dijalankan, nisbahnya menjadi 50-50. Pada tahun 2010, 80 peratus rakyat Amerika kini tinggal di kawasan bandar. Bagi kebanyakkan kita yang hidup di kaki lima dan lampu jalan, kematian telah menjadi suatu yang jarang ada saksi, ianya acara yang terasing daripada kehidupan harian kita. Kematian yang paling mirip yang disaksikan oleh anak-anak yang dibesarkan di bandar ialah kematian ikan semasa aktiviti memancing bersama keluarga secara sekali sekala ataupun kematian sekumpulan tupai yang dibunuh dengan mengunakan batu. Ayam yang dimakan selalunya datang tersedia dalam bungkusan plastik, bukannya di akhir hayunan parang yang menyembelih dirinya. Petani yang aku jaga tidak teragak-agak untuk menemui ajalnya berbanding pesakit di bandar yang saya kendalikan. Kerana apabila kematian datang menjemput, mereka bersedia dan sudah biasa dengannya. Mereka menyaksikan kematian, mengetahui bagaimana bau kematian itu datang dan sedalam-dalamnya, dihujung jari mereka. Seekor lembu yang akan mati tidak sama dengan seorang manusia yang menghampiri kematiannya, tetapi pemergiannya mengukuhkan pemahaman seseorang bahawasanya setiap yang hidup itu akan akhirnya mati. Urbanisasi, modenisasi Projek urbanisasi secara besar-besaran ini bukanlah satu-satunya perkara yang menyebabkan kita terasing daripada kehidupan kita. Kemewahan yang semakin berkembang ini membolehkan kita untuk mengasingkan perihal tua. Sebelum ini, rumah pengjagaan, pusat bantuan dan jururawat peribadi, datuk, nenek, anak-anak dan cucu-cicit duduk di bawah bumbung yang sama, di mana perjuangan semua orang adalah jelas kelihatan. Pada tahun 1850, 70 peratus daripada warga tua yang berkulit putih tinggal bersama anak mereka. Menjelang tahun 1950, 21 peratus daripada penduduk keseluruhan tinggal di rumah multigenerasi, dan kini angkanya tinggal 16 peratus sahaja. Pengasingan warga tua ini menyebabkan ramai antara kita tidak mengetahui bagaimana perasaan hidup berusia atupun menjadi tua. Jarak antara fizikal dan emosi semakin jelas terutamanya apabila kita membuat keputusan berkenaan kematian seseorang. Derita bagaikan api Penderitaan ini bagaikan api. Siapa yang duduk paling dekat akan merasakan bahang yang lebih panas. Namun, sekeping gambar kebakaran tidak memberikan kehangatan. Sebab itu, kebiasaannya anak lelaki atau anak perempuan yang secara fizikalnya paling rapat dengan ibu bapanya, merekalah yang paling bersedia untuk melepaskan pemergian orang tuanya. Kadang kala ahli keluarga yang agak jauh itulah yang akan ‘terbang pada minggu hadapan untuk berusaha menguruskan perkara ini.’ Kebiasaannya mereka inilah yang mengetahui paling sedikit saat ibubapanya bergelut dalam kesakitan. Dia akan mempunyai masalah untuk membawa barangan yang mewah dalam bagasinya. Orang seperti ini mungkin berfikir bahawa dirinya dipandu oleh perasaan belas kasihan, tetapi apa yang dirasainya di dalam kapal terbang berlainan hanyalah sebagai satu jalan untuk menghilangkan rasa bersalah dan menyesal kerana tinggal berjauhan dan juga tidak melakukan kerja-kerja berat dalam menjaga ibu bapanya pada saat akhir usia mereka. Adalah suatu yang tidak rialistik apabila mengharapkan keupayaan kami untuk memanjangkan jangka hayat seseorang, padahal mereka tidak mengenali kematian malah menganggapnya sebagai suatu perkara yang luar biasa. Tanpa sentuhan yang realistik beberapa pesakit warga tua menderita apabila dengan mudahnya meminta lebih banyak ujian, ubat-ubatan dan juga prosedur. Kebanyakkan kita merasakan, adalah baik kita melakukan sesuatu daripada tidak melakukan apa-apa. Tidak bertindak atau berusaha akan meningkatkan lagi rasa bersalah ahli keluarga kepada yang terlantar. Mereka bingung memikirkan “Mengapa saya tidak boleh melakukan lebih banyak untuk seseorang yang amat saya sayangi?” Memilih untuk mencuba semua bentuk rawatan perubatan dan prosedur untuk mengurangkan rasa bersalah ini juga dijadikan sebagai insurans emosi seseorang. Apabila seseorang yang disayanginya meninggal dunia, kaum keluarga akan saling mengingatkan diri mereka sendiri, “Kami sudah melakukan semua yang kami mampu untuk ibu.” Dalam pengalaman ku, ini adalah suatu kecenderungan yang lebih kuat daripada menerima fakta yang sebenar (dan dengan mungkin suara hati yang lebih jujur) iaitu “kita telah meletakkan ayah melalui sebuah alat pemerah untuk beberapa bulan yang lalu denagn kata lain lebih menyeksanya.” Adakalah rawatan juga penyeksaan Pada tahap yang tertentu dalam hidup, rawatan perubatan yang agresif boleh menjadi sebuah penyeksaan yang selama ini disekat. Apabila kes seperti ini muncul, jururawat, doktor dan ahli terapi kerap merasa konflik dan merasakan dirinya tidak bermoral. Kami telah berjanji kepada diri sendiri untuk membantu melegakan penderitaan, dan bukannya menerukkan lagi penderitaan yang dialami. Serorang jururawat yang sudah bersara pernah menulis kepada ku, “ Saya sangat gembira kerana saya tidak perlu menyakiti orang–orang tua lagi.” Apabila keluarga berbicara tentang perihal membiarkan orang yang tersayang mati secara ‘semula jadi’ mereka sering memaksudkan ‘perginya dalam tidur’- bukannya daripada sesuatu penyakit yang boleh dirawat seperti angina ahmar, barah ataupun jangkitan. Memilih untuk membiarkan orang yang tersayang untuk pergi jauh dengan tidak merawat atau melakukan sesuatu terhadap penyakit tersebut akan merasakan yang mereka bersubahat. Sebaliknya, pemilihan untuk merawat penyakit tersebut akan menyebabkan pesakit mengalami perit getir rawatan tersebut, di mana ini akan menyebabkan anak yang menjaganya akan merasakan bahawa mereka telah melaksanakan tangungjawab menjaga orang tuanya. Walaupun mudah untuk memahami permintaan ahli keluarga, namun, apa yang mereka tidak sedari adalah hakikatnya hanya beberapa warga tua sahaja yang bernasib baik apabila mereka menemui ajal ketika dalam tidur. Hakikatnya, hampir semua orang mati kerana sesuatu. Salah seorang daripada teman rapat ku membawa bapanya yang menghidapi penyakit nyanyuk, tinggal bersama mereka untuk saat akhir hayatnya, tahun yang indah dan mencabar bagi beliau. Di sana mereka menyayanginya sepenuhnya, walaupun ayahnya disahkan menghidap Alzheimer. Ini bukan umpama merenung poskad yang mempunyai gambar kebakaran, bahkan, mereka sanggup untuk menghadapi segala api yang hampir membakar dalam pengalaman itu. Mereka cuba memahami sendiri bagaimana peritnya proses kematian tersebut. Akhirnya, apabila saat ayahnya dijangkiti penyakit radang paru-paru, mereka sanggup melepaskan pemergiannya dengan tenang.     Diterjemah oleh Hamizah Hanan  

]]>

Ateis, agnostik Melayu dan lain-lain: “Kita tidak keseorangan."

Penterjemahan Bahasa Melayu makalah oleh Dina Zaman yang berjudul There are many of us. We just don’t tell people.’ ‘Awak fikir, siapa saya sebenarnya?’ Aku di ajak keluar minum kopi bersama teman yang baru sahaja aku kenali melalui laman sosial. Dia bertanyakan sedikit nasihat tentang projek yang sedang diusahakannya. Dia seperti remaja yang lain, seorang muslim yang taat pada suruhan agamanya dan memakai tudung. Tudungnya ringkas dan aku tidak rasa dia seorang hijabi yang bergaya. Petah berkata-kata dan dari loghatnya kelihatan seperti dia telah menghabiskan sebahagian masa mudanya di luar negara. Resume-nya amat mengagumkan. “Awak fikir, siapa saya sebenarnya?” tanyanya lagi. Aku tidak memberikan sebarang jawapan. Tetapi, otakku ligat memikirkan apa sebenarnya jawapan yang dia mahukan? Aku mengerakkan tanganku untuk memberi isyarat bahawa aku tidak memahami soalannya. Kemudian, dia berkata dengan tak semena-mena “Saya agnostik” Ligat otakku berfikir. Bagaimana seorang yang memakai tudung di depan ku ini adalah seorang yang agnostik? Bagaimana seorang yang tidak mempercayai agama tetapi memakai tudung? Seperti tidak masuk akal. Kali terakhir kejadian seperti ini berlaku adalah setahun lalu, dimana aku bertemu dengan dua orang wanita muda yang mengenakan tudung juga tetapi membuat pengakuan yang sebenarnya mereka berdua mempunyai hubungan intim bersama. Kemudian, 2 tahun yang lalu, aku juga bertemu dengan seorang dua yang menawarkan dadah kepada aku. Dan kali ini, ini pula! (Aku tertanya-tanya apa pula pengakuan bagi hijabis yang lain) Dengan tenang aku bertanya “Apa beza antara atheist dan agnostik?” “Saya masih percaya kepada Tuhan, tetapi bukan dalam kerangka mana-mana agama. Sedangkan atheist mengutuk atau tidak percayakan tuhan.” Jawabnya. Dia memakai tudung hanya untuk membuatkan keluarganya tenang dan sebagai cara untuk melindungi dirinya daripada diketahui. Tambahnya “Sebenarnya, ramai antara kita yang sebegini. Cuma, kami sahaja tidak memberitahu pada orang lain.” Dia adalah hasil daripada pendidikan sekolah agama rakyat dan menuntut di universiti yang baik pendidikannya. Kawan-kawanya juga terdiri daripada latar belakang yang hampir serupa. Segalanya bermula apabila dia mula berkerja dan bergaul dengan ramai orang, termasuklah Muslim yang berlainan latar belakang. Mereka mula bertanya. Mengapa terlalu banyak kebencian? Sedangkan ramai orang-orang yang baik di luar sana. Teman baru ku ini mampu untuk mentafsir al-Quran di mana kebanyakkan Muslim tidak mampu berbuat demikian. Kemahiran berbahasa arabnya sangat tinggi dan disebabkan oleh kemahiran linguistiknya yang tinggi itu dia mampu untuk mengetahui selok belok dalam penggunaan Bahasa Arab. Aku bertanya kepadanya, adakah dia hanya kecewa dengan Muslim yang lain, tetapi bukannya pada agama secara spesifik? Jawabnya, “Tidak!” Dalam perjalanannya, mencari kedamaian dan keimanan, dia lebih tenang berada di kawasan beribadat golongan yang bukan beragama Islam. Mata ku terbeliak. “Lebih baik awak tidak membuat pengakuan kepada masyarakat di Malaysia” pesan ku. *** Aku pulang ke rumah, semuanya tertarik dengan wacana baru yang diterbitkan. Petang itu, sepupu ku, Justin Johari berkongsi di laman Facebook nya tentang sebuah artikel yang didapati di laman web Salon.com  yang bertajuk “Atheism explodes in Saudi Arabia, despite state-enforced ban.” Artikel tersebut telah jelas memberitahu: semakin banyak rakyat Saudi yang semakin tidak mengakui imannya secara senyap-senyap. “Idea untuk menjadi seorang yang tidak beragama mahupun tidak mempercayai tuhan semakin tersebar luas dan ini adalah kerana terdapat banyak percanggahan berkenaan kata-kata para agamawan dengan apa yang mereka lakukan.” Dan ini juga apa yang dikatakan oleh teman baru ku tadi. *** Seminggu sebelum pertemuan ini, aku bertemu dengan seorang teman yang ingin berbincang tentang negara Islam di Malaysia. M ialah seorang yang bersederhana tetapi bila berbicara soal iman, dia menganggap dirinya sebagai konservatif. Dia antara kenalan ku yang dapat melihat prinsip yang lebih utama daripada perkara-perkara cabang walaupun pegangan agamanya sebegitu. “Saya sudah berjanji akan beritahu siapa mereka” katanya semasa makan tengah hari. Suasana di restoran itu sungguh bising dan kami dihidangkan makanan di restoran hipster yang berpatutan harganya. Adakah aku pernah dengar tentang Orang Matahari? Apa, Orang Matahari? Beberapa tahun yang lalu, dia bersama keluarganya pulang ke kampung untuk menghadiri majlis pengembumian. Di sanalah dia pertama kali mendengar tentang Orang Matahari, orang Melayu yang rupanya seperti orang kebiasaan, mengaku sebagai Muslim tetapi tidak. “Mereka tidak solat seperti kita solat. Maksud saya, mereka tidak menunaikan solat sekalipun. Tetapi mereka sembahyang di dalam hati.” Dia melihat perkara ini sebagai sebuah perkara yang parah bagi negara kita dan ini yang membuatkan dia berasa bimbang. Aku melihatnya dan yang aku kenali dia bukalah seorang yang reaktif. Dia seorang yang tabah. Tetapi dalam kes ini, dia sangat bersungguh-sungguh. Katanya, “Bagaimana jika salah seorang daripada teman kita adalah dari kalangan mereka? Seperti kita, Orang Matahari juga berkahwin dan melahirkan generasi mereka dan semua daripada mereka kelihatan sama sahaja seperti kita” Masyarakat Malaysia dalam keadaan yang bahaya. Semuanya bakal berpecah. Sekurang-kurangnya jika Kristian, Buddha dan lain-lain, mereka tahu di mana mereka berdiri. Tetapi kita yang Melayu ini, yang pada kad pengenalan dan borong-borang yang diisi memilih Melayu dan Muslim, sedangkan pada hakikatnya tidak. “Awak perlu pergi sendiri ke Kampung Seronok di Pulau Pinang. Di sana adalah salah satu pusat mereka.” Mataku merenung tajam. Nampaknya, Orang Matahari ini bukanlah sesuatu yang direka-reka. Yang selama ini aku ketahui hanyalah orang yang menyembah matahari, tetapi yang ini? Seperti teman baru ku itu, M mengatakan sesuatu yang serupa “Sebenarnya banyak kuantitinya. Cuma, mereka sahaja tidak menghebahkannya.”

]]>