Projek Dialog

Sandiwara politik di Kampung Chetti

Salah satu sebab adalah berikutan berita mengejut Kannama Pillay meninggal dunia pada 2 Januari 2014 akibat denggi berdarah. Pemergian wanita kaum Chetti itu dianggap suatu kehilangan besar. Kaum Chetti di Melaka hanya sebuah kumpulan minoriti. Sekitar 300 orang daripada 30 keluarga tinggal di sekitar 20 buah rumah di perkampungan warisan itu. Kebanyakan mereka adalah saling bersaudara; walaupun wujud perkahwinan campur dengan masyarakat luar. Maka, secara logik, ramai penduduk Kampung Chetti yang bersaudara dengan mendiang Kannama. Mengikut tradisi Hindu, apabila ada kematian dalam keluarga, maka kaum-keluarga terdekat tidak boleh menghadiri upacara keagamaan di kuil selama beberapa bulan. [caption id="attachment_2966" align="alignleft" width="150"]Sambutan “ponggol” yang agak suram di Kuil Sivan. Sambutan “ponggol” yang agak suram di Kuil Sivan.[/caption] Atas sebab itulah juga sambutan “ponggol” – atau “ponggal” – di Kuil Sivan pada kali ini hanya dihadiri sekitar sepuluh orang kaum Chetti. Wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut berpeluang menyertainya memandangkan kami berada di Kampung Chetti bagi melakukan kerja-kerja pemantauan. Bercakap mengenai “kerja-kerja pemantauan”, ia ada kaitan dengan alasan kedua mengapa sambutan “ponggol” di Kampung Chetti pada kali ini kurang berseri. Kavyan melakukan pendedahan demi pendedahan menerusi laman rangkaian sosial dan kerjasama portal berita dalam talian selepas Kunjungan Perpaduan Kavyan (15 Disember 2013). Maka ramai yang sudah tahu mengenai “kemusnahan terancang” yang sedang melanda Kampung Chetti. Tekanan lebih kuat diberikan kepada Kerajaan Negeri Melaka menerusi “Solidariti Kampung Chetti” (29 Disember 2013) supaya projek pembangunan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan Kampung Chetti dihentikan serta-merta. Projek dihentikan? Mana ada! Namun begitu, malangnya, jaminan berbentuk “janji manis” yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron kepada penduduk Kampung Chetti nampaknya hanya “janji Melayu” atau “janji dicapati”. [caption id="attachment_2967" align="alignleft" width="150"]Penduduk rasa tertipu dengan janji-janji manis politikus. Penduduk rasa tertipu dengan janji-janji manis politikus.[/caption] Menurut laporan akhbar The Star (1 Januari 2014), Idris sudah mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu. Idris yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka dilaporkan mahu menyelesaikan isu itu dengan segera dan sudah mengarahkan projek dihentikan sehingga menanti siasatan selesai. Idris mengaku “pening kepala” berikutan pendedahan Kavyan. Laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris “mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek kondominium dan hotel di tengah Kampung Chetti”. Idris juga “mengeluarkan arahan siasatan segera bagi mencari punca kepada masalah tersebut. … Idris mahu siasatan lebih mendalam dilakukan pada kadar segera bagi mengenalpasti pihak bertanggungjawab yang memberi kelulusan serta membenarkan projek itu dibina”. Dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014), Pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan memberikan jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara. Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti. Bagaimanapun, tinjauan wakil Kavyan ke Kampung Chetti pada 14 Januari 2014 mendapati hal yang sebaliknya sedang berlaku. Kerja-kerja pembinaan berjalan seperti biasa dan ternyata tidak ada tanda-tanda ada arahan daripada ketua menteri supaya projek dihentikan sementara siasatan dibuat. Rata-rata penduduk kaum Chetti yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kerja dihentikan di “Lot 93” seperti dilaporkan media arus perdana sejak awal tahun. Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan berjalan tanpa henti dari awal pagi hingga lewat malam, termasuk pada hari cuti umum. Loji najis di depan kuil dan rumah orang Ahli jawatankuasa bertindak, T Sithambaram Pillay yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada wakil MIC atau Pemuda MIC datang untuk meninjau keadaan. Nampaknya tugas Pemuda MIC Melaka setakat menciplak kenyataan media Kavyan (16 Disember 2013) dan menyerahkannya sebagai memorandum kepada ketua menteri (20 Disember 2013). Tugas pengerusi MIC Melaka pula seolah-olah hanya mengeluarkan kenyataan yang muluk-muluk kepada wartawan media arus perdana dan memberikan gambaran seolah-olah tidak ada sebarang masalah di Kampung Chetti. “Laporan di media arus perdana mengatakan seolah-olah MIC dan kerajaan negeri menghantar jurutera khas untuk melihat keadaan bangunan kuil-kuil di sini. Tetapi semua itu adalah penipuan semata-mata,” kata Sithambaram dengan nada marah dah kecewa. Pemuda kaum Chetti itu juga meluahkan kemarahan kerana loji najis bagi dua buah kondominium 22 tingkat dan sebuah hotel 12 tingkat sedang dibina bersempadan dengan rumah penduduk kampung. “Segala air kotor penghuni di Lot 93 akan disalurkan masuk ke longkang besar di kampung kami. Loji najis pula dibina dekat dengan rumah kami serta tidak berapa jauh dari Kuil Sri Muthu Mariamman. Bayangkan betapa biadabnya tindakan ini,” tegasnya. [caption id="attachment_2968" align="alignleft" width="150"]Tiada tanda-tanda projek dihentikan seperti dijanjikan Ketua Menteri Melaka. Tiada tanda-tanda projek dihentikan seperti dijanjikan Ketua Menteri Melaka.[/caption] Turut berkongsi rasa sedih, kecewa, marah dan dendam ialah Minatchi Naiker, warga emas berumur 83 tahun yang merupakan anak jati Kampung Chetti. Seperti dirinya, kebanyakan penduduk Chetti sudah tinggal di sini selama enam keturunan. “Ini adalah kampung kami, tanah milik nenek-moyang kami. Kerajaan dan Unesco sudah iktiraf tanah ini sebagai perkampungan warisan. Sepatutnya kerajaan tempatan memelihara dan melindingi tapak warisan ini. “Tiba-tiba kami mendapat berita bahawa ada projek besar di sebelah kampung. Memang tidak dapat diterima akal jika sesiapa mengatakan projek itu tidak akan menjejaskan Kampung Chetti,” kata wanita itu sambil menahan rasa marah dan sebak. ‘Kami rela mati demi pertahankan kampung ini’ Minatchi mengakui bahawa sebelum ini, apabila bekas ketua menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan, beliau menyembah kaki politikus itu kerana bersyukur tanah warisan nenek-moyang berjaya diselamatkan. “Tetapi kini, kerajaan negeri meluluskan semula projek itu. Kami semua menyesal kerana mempercayai, meletakkan harapan dan mengundi BN. Apa gunanya kami pilih mereka kalau mereka tak boleh tolong minoriti? Sebaliknya kami ditipu dan dizalimi,” tegasnya. Warga emas itu mungkin sahaja tidak tahu mengenai syarat tidak boleh ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter daripada kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan. Begitu juga dengan syarat dan peraturan Unesco iaitu sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan (perkampungan warisan) tidak boleh melebihi 4 tingkat. Maka, pembangunan di “Lot 93” ternyata melanggar syarat ditetapkan badan antarabangsa. “Kalau kerajaan tidak boleh tolong kami, bunuhlah kami secara beramai-ramai dan tanam kami di perkampungan warisan. Kemudian buatlah apa yang mahu dibuat dengan tanah kami,” kata Minatchi yang ternyata kecewa dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Rata-rata penduduk yang ditemui sedar bahawa “Lot 93” adalah milik persendirian dan kaum Chetti tidak berhak membuat sebarang tuntutan ke atas tanah itu. Bagaimanapun, mereka juga sedar bahawa mereka berhak berjuang demi mempertahankan Kampung Chetti seluas lima ekar yang sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Segala tuntutan mereka selaras dengan peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada. Bagi Sumitra Devi Pillay, sebagai generasi muda kaum Chetti, beliau mahu terus mempertahankan kampung nenek-moyangnya. Gadis itu sedar bahawa sekiranya mereka menghentikan perjuangan dan tuntutan, maka kampung itu berdepan kemungkinan musnah terus dalam masa terdekat. “Saya mahu supaya anak-cucu saya nanti ada kampung untuk pulang pada masa cuti. Kampung Chetti bukan sekadar sebuah perkampungan biasa. Semua pihak perlu menyedari hakikat ini dan sama-sama tampil untuk mempertahankannya daripada sebarang kemusnahan yang berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya dengan penuh harapan. Ada gunting dalam lipatan, duri dalam daging Semasa sambutan “ponggol” di Kuil Sivan pada kali ini, tidak ada wakil dari MIC atau Hindraf yang datang walaupun kenyataan-kenyataan yang disiarkan di media arus perdana memberikan gambaran seolah-olah mereka amat prihatin dan berjuang demi nasib kaum Chetti. Perkembangan yang dapat diperhatikan secara nyata sejak dua minggu lalu membuatkan penduduk Kampung Chetti sedar bahawa mereka sekali lagi menjadi mangsa penipuan, manipulasi politik dan diperalatkan golongan politikus, kuasawan dan kapitalis demi kepentingan peribadi. “Saya juga amat kecewa apabila mendapat tahu bahawa ada ‘orang dalam’ iaitu individu dalam komuniti kami sendiri yang menjadi dalang yang sanggup menjual maruah dan harta pusaka nenek-moyang demi kepentingan peribadi,” kata Minatchi sambil menahan sebak semasa saya mengunjunginya bersama-sama Kughan Nadarajah, Sugan Gunalan dan Preevinn Singh. [caption id="attachment_2969" align="alignleft" width="150"]954494_10151915397908990_887190975_n Kavyan terus menyokong dan membantu perjuangan minoriti Chetti.[/caption] Berita terbaru itu memeranjatkan ramai penduduk Kampung Chetti. Mereka mahu kerajaan memberikan surat rasmi serta salinan dokumen yang kononnya ditandatangani wakil kaum Chetti. Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka merangkap pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVM), K Supramania Pillay mengesahkan bahawa tidak ada sesiapa di pihaknya yang menandatangani sebarang dokumen seperti itu. Maka, misteri yang belum terjawab adalah siapakah dalang-dalang dalam komuniti Chetti, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang terlibat dalam sandiwara ini? Sementara itu, Kavyan menyeru wakil media dan Bangsa Malaysia yang priharin supaya terus memberikan tekanan dan desakan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat supaya menghentikan segera projek pembinaan di “Lot 93” yang secara terang-terangan melanggar pelbagai peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada. Kavyan akan terus memuatkan berita dan perkembangan terbaru di www.kampungchetti.blogspot.com untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tepat, benar dan terkini mengenai keadaan di kampung warisan berkenaan.         unnamed        

]]>

Mengenali minoriti Kampung Chetti

PD 1Wanita Kannama (kiri) dan Valli berbalas pantun secara spontan.[/caption] Secara fizikal, masyarakat Chetti mempunyai persamaan dengan rupa etnik India. Ada juga individu yang menyerupai masyarakat Cina dan Baba Nyonya. Hal ini berlaku kerana kelompok Chetti wujud hasil perkahwinan lelaki Chetti (kaum India) dengan wanita Melayu, Cina dan Nyonya. Jadi, sekiranya kita berkunjung ke Kampung Chetti, kita akan berpeluang untuk bersua dengan individu yang mempunyai rupa masyarakat majmuk di Malaysia. Ada yang lebih menyerupai masyarakat Melayu, ada yang kelihatan seperti orang Cina dan ada pula yang tidak tumpah seperti kaum India. Kalau diteliti dari aspek agama, masyarakat Chetti sejak dahulu berpegang teguh pada ajaran agama Hindu, mazhab Saiva yang menyembah Tuhan dalam bentuk rupa Dewa Shiva. Walaupun berlaku perkahwinan campur, masyarakat Chetti tidak meninggalkan agama yang dianuti sejak turun-temurun. Kali pertama saya ke Kampung Chetti adalah bersama-sama pengkaji sejarah dari Singapura, Samuel S Dhoraisingam yang menulis buku “Peranakan Indians of Singapore and Melaka” (2006). [caption id="attachment_2903" align="alignleft" width="150"]PD 1Majalah Liputan khas mengenai kaum Chetti di majalah Dewan Budaya.[/caption] Kemudian, saya pergi lagi semasa sambutan Ponggal pada Januari 2007; khusus untuk menulis beberapa artikel yang disiarkan di majalah Dewan Budaya dan Dewan Bahasa (Mac 2007). Kandungan makalah-makalah itu masih segar dan sesuai dijadikan rujukan bagi memahami keunikan komuniti Chetti Melaka. Kuil Sri Muthu Mariamman yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti menjadi pusat pelbagai aktiviti keagamaan dan kebudayaan sejak tahun 1822. Nama lain yang diberikan adalah “Kuil Datuk Chachar” dan nama ini jelas membezakan kuil berkenaan daripada mana-mana kuil Hindu di seluruh dunia. Penduduk Kampung Chetti menjelaskan bahawa nama “Datuk Chachar” diberikan kerana dalam budaya masyarakat beragama Hindu, Dewi Mariamman memang disembah untuk menyembuhkan penyakit cacar. Hantu Tetek masuk dari budaya Melayu Di Kuil Sri Muthu Mariamman juga terdapat dua patung yang diperbuat daripada buluh dan dihiasi menyerupai wanita dengan wajah yang menggerunkan. Kedua-dua patung ini digunakan untuk mengiringi rata atau kereta berhias semasa perayaan keagamaan. Aspek yang menarik mengenai kedua-dua patung tersebut adalah kerana dinamakan “Hantu Tetek”. Nama ini pasti mengingatkan orang ramai kepada Hantu Tetek yang terdapat dalam budaya Melayu di mana watak berkenaan diwujudkan untuk menakut-nakutkan remaja lelaki supaya pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib. Kebanyakan individu yang ditemui di Kampung Chetti tidak dapat menjelaskan bagaimana Hantu Tetek boleh wujud dalam budaya Chetti; khususnya sebagai dewi pengawal di Kuil Sri Muthu Mariamman. Semasa Kunjungan Perpaduan Kavyan pada 15 Disember 2013, saya tidak melepaskan peluang membawa Shahrul Nizam Abd Hamid, Rayner Yeo dan Nor Arlene Tan  mengunjungi Kuil Datuk Chahar dan melihat patung Hantu Tetek. Seorang warga emas bernama Minachi Naiker pernah menceritakan kepada saya pada Januari 2007 mengenai sejarah Hantu Tetek. Katanya, pada masa dahulu, seorang penduduk bermimpi melihat seorang wanita berpayu dara besar berdiri di sisi dua telaga penting di perkarangan kuil berkenaan. Mimpi itu membawa alamat baik serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu terbabit. Sejak itulah konsep dan watak Hantu Tetek wujud dan diasimilasikan dengan Kuil Sri Muthu Mariamman. Sayangnya, generasi muda Chetti kurang didedahkan dengan latar kewujudannya. [caption id="attachment_2904" align="alignleft" width="150"]Kanak-kanak akan meneruskan tradisi nenek-moyang. Foto: Shahrul Nizam Kanak-kanak akan meneruskan tradisi nenek-moyang. Foto: Shahrul Nizam[/caption] Atas sebab itulah juga Solidariti Kampung Chetti anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 29 Disember 2013 antara lain berusaha membantu generasi muda Chetti mengenali sejarah dan budaya masyarakat sendiri. Tambahan pula, mereka adalah penerus tradisi bagi kampung warisan ini. Kuil-kuil yang terdapat di serata Kampung Chetti juga amat unik dan mungkin sahaja tidak terdapat di mana-mana tempat lain di seluruh Malaysia. Kuil-kuil di sini kebanyakannya digelarkan “kuil kampung” atau “kuil terbuka”. Nama yang diberikan amat sesuai kerana kuil-kuil itu memang terletak di tanah lapang dan kawasan terbuka. Tidak ada bangunan besar seperti yang lazim dikaitkan dengan kuil-kuil Hindu. Malah, tidak ada bumbung juga. Penganut hanya pergi ke tanah lapang berkenaan dan bersembahyang di hadapan stupa berupa pentas kecil. Melihat semula Kampung Chetti dari sudut lain Orang ramai yang terbiasa melihat cara penganut agama Hindu di Malaysia bersembahyang pasti hairan dan terkejut melihat aksi orang Chetti sembahyang. Tidak mustahil bahawa ada yang beranggapan masyarakat Chetti menyembang semangat atau bunian! Akan tetapi, kewujudan “kuil terbuka” ini ada kisah tersendiri yang amat logik. Cikgu Malathi Pillay yang menjadi pemandu pelancong kepada saya pada Januari 2007 menjelaskan hakikat bahawa pedagang (“setu” atau “cetti”) yang datang ke Melaka pada zaman dahulu (seawal kurun kedua) bukan daripada golongan pengukir yang pandai membuat patung dan berhala. Maka, apabila mereka menetap di Melaka serta berkahwin dengan wanita Melayu dan beranak-pinak di sini, mereka mahu membina tempat untuk bersembahyang. Malangnya, mereka tidak pandai membuat patung dan berhala; apatah lagi kemahiran membina bangunan kuil. Mereka juga menyedari ajaran paling asas agama Hindu adalah bahawa Tuhan terdapat di mana-mana dan boleh disembah dalam apa-apa bentuk. Dengan itu, mereka mendirikan kuil menggunakan konsep kawasan terbuka. Walaupun kini sudah ada beberapa kuil besar, konsep “kuil terbuka” terus dikekalkan di Kampung Chetti. Harus juga dinyatakan bahawa Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Chetti yang dibina pada 1781 dipercayai kuil Hindu tertua di Nusantara. Semasa Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013), remaja dan belia Chetti dibawa sekeliling perkampungan warisan ini oleh Shahrul Nizam untuk merakamkan foto-foto dari sudut pandangan yang berbeza berbanding “sudut” yang biasa mereka lihat sehari-hari. Foto-foto keunikan Kampung Chetti serta “kemusnahan” yang dijangka dibawakan oleh projek pembinaan dua buah kondominium 22 tingkat, sebuah hotel 12 tingkat dan tempat letak kereta enam tingkat di “Lot 93” akan dikongsikan sehingga menjadi “viral” menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Akhirnya, harapan Kavyan serta Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka adalah supaya orang ramai – Rakyat – mendapat kesedaran tentang kesan negatif pembangunan di “Lot 93” lalu tampil menggunakan “kuasa rakyat” – people’s power, makkal sakthi – untuk mempertahankan perkampungan warisan ini daripada musnah dan pupus. Orang ramai boleh melayari www.kavyan.blogspot.com atau menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini Solidariti Kampung Chetti yang bertujuan mengembalikan “kuasa” kepada kaum minoriti Chetti.         unnamed        

]]>

Transgender dan agama

Transgender dalam Mitos Hindu” (Free Malaysia Today, 11 November 2013), kehadiran golongan berkenaan bukan sesuatu yang baru dalam budaya India-Hindu. Di Malaysia pula, topik berkaitan transgender amat kurang diperkatakan secara positif, adil dan bermaruah. Sebaliknya, selalu sahaja diberikan gambaran paling buruk oleh media arus perdana. Saya menyebut dalam makalah “Minoriti Perlu Berani Bersuara” (Projek Dialog, 18 September 2012) bahawa golongan minoriti tidak sekadar merujuk kepada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama. Sebaliknya turut merujuk kepada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa. Atas dasar mahu memberikan ruang dan peluang kepada golongan transgender bersuara, maka saya mengaturkan pertemuan dengan Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013. Beliau bukan sahaja seorang transgender tetapi juga terlibat secara langsung dalam usaha murni dan berani memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan berkenaan. Berikut adalah sebahagian transkrip perbualan kami yang boleh dijadikan asas bagi memulakan dialog dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, ideologi dan agama. Uthaya: Orang sering mengaitkan golongan transgender dan homoseksual dengan aktiviti seks tidak bermoral. Apakah komen anda? Sharan: Istilah homoseksual, heteroseksual, biseksual dan sebagainya hanyalah label yang digunakan orang. Identiti gender tidak ada apa-apa kaitan dengan orientasi seks seseorang. Sudah terbukti secara saintifik bahawa setiap lelaki, pada salah satu peringkat hidupnya (khususnya pada usia remaja), dia akan tertarik kepada sebilangan wanita dan sebilangan lelaki. Individu lelaki itu tidak semestinya tertarik secara seksual kepada lelaki lain. Cuma, hubungannya dengan individu yang dia tertarik (attracted) itu lebih intim berbanding dengan individu lain. [caption id="attachment_2770" align="alignleft" width="300"]PD 1Pelajar Usaha dilakukan untuk mendidik mahasiswa dan orang ramai mengenai transgender.[/caption] Situasi seperti ini pula tidak semestinya hanya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah lelaki, atau pelajar perempuan di sekolah perempuan seperti selalu diperkatakan. Sebaliknya boleh juga berlaku di sekolah campur. Bagaimanapun, norma masyarakat yang menjadi penghalang dan membuatkan remaja heteroseksual berkenaan terpaksa memendamkan terus perasaan tertarik itu, walaupun dia bukannya tertarik secara seksual kepada rakannya itu. Norma dalam masyarakat menetapkan bahawa seorang lelaki hanya boleh tertarik kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Kononnya kasih-sayang hanya boleh dikongsikan dengan orang yang kita cintai dan tertarik secara seksual – iaitu individu daripada jantina yang berlainan. Pandangan seperti ini sebenarnya berasaskan pendirian berciri politik dalam agama tertentu pada zaman dahulu yang mahu supaya pasangan berlainan jantina segera berkahwin dan melahirkan anak. Supaya jumlah penganut agama berkenaan dapat ditambah dengan kadar paling segera. Bercakap mengenai agama, apakah kewujudan golongan transgender bertentangan dengan ajaran agama? Kita tidak dapat menolak kemungkinan bahawa ajaran agama sebenarnya tidak menghalang kewujudan golongan transgender, iaitu individu yang memiliki anggota tubuh lelaki tetapi mempunyai identiti gender wanita. Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kewujudan individu transgender berlaku secara biologikal sejak dalam kandungan dan bukannya dibuat-buat atau ditiru semasa kanak-kanak atau remaja. Tuhan yang menciptakan lelaki dan wanita jugalah yang menciptakan golongan transgender. Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugas-Nya. Pihak yang keliru adalah manusia sendiri; bukannya Tuhan. Misalnya, wujud pelbagai perkara yang bertentangan dan bercanggah (contradicting) dalam ajaran agama seperti difahami oleh manusia. Sebab itulah ada pelbagai agama, kepercayaan, mazhab dan aliran pemikiran. Terdapat juga klasifikasi yang berbeza-beza bagi Tuhan; walaupun dalam kalangan agama yang mengakui hanya ada satu Tuhan. Perbezaan kepercayaan, mazhab, agama dan pandangan turut membawa kepada persengketaan dan perang kerana masing-masing percaya bahawa apa yang dipercayainya sahaja adalah betul. Walaupun mereka menegaskan Tuhan adalah satu, mereka masih berbalah kerana mempunyai pendirian yang berbeza. Sekiranya diperhatikan dalam soal agama, apa yang diperjuangkan pihak tertentu adalah berdasarkan apa yang mereka percayai sebagai benar; tetapi tidak semestinya seratus peratus seperti apa yang ditetapkan oleh Tuhan. Adalah tidak adil jika penganut satu agama memaksa penganut agama lain menerima apa yang dipercayainya. Janganlah semata-mata kerana orang lain mempunyai cara dan kepercayaan yang berbeza terhadap Tuhan, maka kita membuat keputusan bahawa mereka berdosa dan tidak akan diterima oleh Tuhan. Perbandingan yang sama boleh digunakan dalam isu berkaitan transgender. Situasi berkaitan perubatan dan biologi cuba disempitkan menerusi pandangan sempit pihak tertentu berdasarkan pengetahuan mereka yang amat sedikit terhadap ajaran sebenar dalam agama. Mereka tidak tahu apa itu transgender. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang sepenuhnya. Akan tetapi mereka mahu menetapkan peraturan terhadap apa yang mereka sendiri tidak tahu! Istilah yang biasa digunakan dalam filem Tamil adalah “aravani” apabila merujuk kepada golongan transgender. Apakah label ini sesuai? Saya ada menyebut tadi mengenai beberapa label seperti homoseksual, heteroseksual dan biseksual. Semua itu hanyalah label yang diberikan oleh orang untuk memudahkan membuat rujukan. [caption id="attachment_2769" align="alignleft" width="195"]Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender. Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender.[/caption] Bagi individu yang memiliki anggota tubuh (fizikal) lelaki tetapi identiti gender wanita, istilah yang diperakui dan digunakan pada peringkat antarabangsa adalah “transgender”. Penggunaan istilah atau label ini adalah bagi menggambarkan kedudukan identiti individu berkenaan yang berada pada persimpangan antara identiti seks (tubuh dan alat kelamin) dan identiti gender (biologikal dan tertanam dalam minda sejak dalam kandungan). Pelbagai istilah lain turut digunakan di pelbagai negara. Di beberapa negara, termasuk Filipina, label/istilah yang digunakan adalah “gay” tanpa melakukan klasifikasi sama ada homoseksual, biseksual, lesbian, transgender atau sebagainya. Istilah binari yang biasa digunakan apabila merujuk kepada gender adalah “lelaki” (male) dan “perempuan/wanita” (female). Dalam keadaan ini, kita lupa bahawa gender bukan berciri binari (dua) kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa gender tidak hanya terikat kepada “lelaki” dan “perempuan”. Atas sebab itulah mana-mana individu yang tidak termasuk – atau tidak memenuhi sepenuhnya kriteria konvensional dalam masyarakat – bagi kategori “lelaki” atau “wanita” diletakkan di bawah label “transgender”. Kriteria konvensional yang saya maksudkan adalah norma dalam masyarakat yang hanya melihat pada kategori “lelaki” dan “wanita” berdasarkan anggota tubuh dan alat kelamin lelaki (zakar) atau alat kelamin wanita (faraj). Secara konvensional, apabila seorang bayi yang dilahirkan itu ada zakar, maka diberikan identiti gender sebagai “lelaki”. Amalan ini tidak tepat kerana kehadiran zakar atau faraj adalah “identiti seks” dan tidak semestinya mewakili “identiti gender”. Bagaimana pula dengan individu transeksual? Istilah “transeksual” merujuk kepada individu yang sedar bahawa identiti seks yang dimilikinya (fizikal) adalah berbeza dengan identiti gender dalam mindanya (sejak dalam kandungan). Misalnya seorang individu yang dilahirkan dengan alat kelamin lelaki tetapi memiliki identiti gender wanita. Individu berkenaan memilih untuk hidup sebagai wanita, iaitu berdasarkan identiti gender wanita yang dimiliki (dalam minda) dan bukan identiti seks (alat kelamin). Individu transeksual tahu bahawa identiti seks – iaitu alat kelamin dan ciri-ciri fizikal lain – boleh diubah. Bagaimanapun, identiti gender yang tertanam dalam minda sejak dalam kandungan akan terus kekal hingga akhir hayat. Secara mudah, “transgender” merujuk kepada keadaan umum individu yang memiliki identiti seks (fizikal) dan identiti gender (naluri) yang bertentangan. Keadaan “transeksual” pula umpama subset iaitu salah satu daripada pelbagai label yang berada di bawah kategori “transgender”. Misalnya, saya sendiri. Saya dilahirkan dengan alat kelamin lelaki (zakar) tetapi identiti gender saya sejak bayi adalah perempuan. Maknanya saya menyedari bahawa saya sebenarnya seorang individu perempuan. Sejak kanak-kanak hingga kini, saya hidup sebagai seorang wanita. Identiti gender ini akan kekal hingga akhir hayat saya. Adakah transgender akan berusaha menjalani pembedahan bagi mengubah identiti seks mereka? Apabila bercakap mengenai golongan transgender, tidak semestinya mereka perlu membuang “identiti seks” (zakar) melalui pembedahan. Memang ada transgender yang membuat pembedahan membuang zakar kerana mereka mampu dari segi kewangan. Akan tetapi, ramai yang tidak mampu menampung kos pembedahan yang memang amat mahal. Pada masa sama, ada juga transgender yang tidak memikirkan soal membuang alat kelamin mereka kerana apa yang lebih penting adalah identiti gender (minda) dan bukannya identiti seks (alat kelamin). Sebenarnya, sehingga awal tahun 1980-an, pembedahan membuang zakar bagi golongan transgender dilakukan secara sah di Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya). Selepas seorang individu transgender selesai menjalani pembedahan membuang zakar (identiti seks) di sana, maklumat jantina pada kad pengenalan boleh diubah secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara. Mengapa pula perkhidmatan pembedahan itu dihentikan? Masalah hanya berlaku selepas tahun 1982 apabila keluar fatwa mengharamkan pembedahan menukar jantina dalam kalangan orang Islam. [caption id="attachment_2771" align="alignleft" width="300"]Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini. Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.[/caption] Apa yang menyedihkan adalah bahawa ramai yang tidak memahami hakikat bahawa golongan transgender bukan mahu “menukar jantina”. Sebaliknya transgender mahu memastikan “identiti seks” (fizikal) selaras dengan “identiti gender” yang tertanam dalam minda sejak masih berada dalam bentuk embrio di dalam kandungan ibu. Seperti saya katakan, identiti seks boleh diubah tetapi identiti gender kekal hingga mati. Kalau kita perhatikan, istilah “mukhannathun” terdapat dalam Hadis sahih untuk merujuk kepada golongan transgender iaitu individu yang lahir dengan alat kelamin (identiti seks) lelaki tetapi memiliki sepenuhnya identiti gender wanita. Dinyatakan dengan jelas bahawa jika keadaan “mukhannathun” (transgender) itu wujud sejak kecil (kanak-kanak), maka individu terbabit tidak perlu rasa bersalah atau malu dengan keadaan dirinya. Menurut Hadis, “mukhannathun” atau “mukhannas” adalah seorang individu (lelaki) yang menyerupai wanita. Ada dua jenis “mukhannathun” dirujuk di mana salah satu adalah lelaki (identiti seks) yang benar-benar memiliki identiti gender wanita dan mempunyai adab serta tingkah-laku yang sama seperti wanita secara semula jadi (bukan dibuat-buat). Ternyata Hadis itu merujuk kepada golongan transgender. Dinyatakan secara jelas bahawa golongan itu tidak berdosa selagi mereka tidak melakukan perzinaan, dosa dan maksiat. Hukum terhadap zina, dosa dan maksiat itu sama juga bagi golongan heteroseksual. Apa yang ditegah dalam agama Islam, Quran dan Hadis adalah apabila seorang individu dengan identiti gender lelaki dan identiti seks lelaki – iaitu “lelaki sejati” – mahu mengubah keadaan itu. Di sinilah muncul kelompok lelaki yang suka berpakaian seperti wanita (cross-dressing) walaupun mereka bukannya transgender. Malangnya, akibat kejahilan dan kerana tidak cukup maklumat serta pengetahuan, pihak tertentu menganggap transgender sama dengan cross-dresser. Akibatnya, golongan transgender yang tidak berdosa selalu menjadi mangsa. Saya berharap penindasan berikutan kejahilan seperti ini akan berakhir. Masyarakat dan pihak berkuasa perlu diberikan maklumat tepat dan benar mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan transgender.         unnamed

]]>

Dari kubur Yahudi ke gurdwara

street art). Masjid Kapitan Keling dibina pada tahun 1801 manakala Kuil Sri Maha Mariamman dibina pada 1833. Perlu dinyatakan bahawa kesemua tempat ini bukan terasing sebagai “tempat pameran untuk dilawati” atau “muzium kenangan”. Sebaliknya adalah tempat-tempat yang masih terus “hidup” dengan aktiviti seharian masyarakat tempatan. Seorang rakan Facebook, Nagathisen Katahenggam pula membawa saya dan Kughan ke dua tempat istimewa yang tidak termasuk dalam jadual asal kami. Yahudi sudah lama berakar-umbi di sini Sebenarnya saya agak terkejut dan hairan apabila dimaklumkan bahawa terdapat suatu kawasan kubur khusus bagi orang Yahudi di Georgetown. Dalam perjalanan (berkereta) ke sana, Nagathisen menceritakan serba sedikit mengenai kubur itu dan orang Yahudi. [caption id="attachment_2743" align="alignleft" width="300"]Raju (kiri) dan Nagathisen di hadapan satu-satunya Kubur Yahudi yang terdapat di negara ini. Raju (kiri) dan Nagathisen di hadapan satu-satunya Kubur Yahudi yang terdapat di negara ini.[/caption] Rupa-rupanya memang pernah ada kumpulan minoriti orang Yahudi di Pulau Pinang sehingga akhir tahun 1970-an. Hubungan antara Yahudi dan penduduk negara ini dikatakan bermula di Lembah Bujang pada abad kesembilan, serta turut kukuh di Melaka pada abad ke-18. Hasil pencarian di ruang siber, saya mendapat maklumat bahawa menjelang tahun 1963, hanya terdapat 20 keluarga orang Yahudi di Pulau Pinang. Terdahulu, semasa penjajahan Jepun (1941-45), orang Yahudi di Malaya dan Singapura turut menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan daripada orang Yahudi yang terselamat memilih untuk berhijrah ke Israel, Australia dan Amerika Syarikat, selain tinggal di Singapura. Segala maklumat ini adalah amat baru bagi saya. Malah hanya kini saya mendapat peluang untuk melangkah masuk ke kawasan perkuburan Yahudi – tanpa perlu ke luar negara! Siapa sangka bahawa dalam pada politikus dan puak tertentu di Malaysia berkempen secara besar-besaran, penuh kelantangan tetapi tanpa ilmu yang mendalam mengenai orang Yahudi, rupa-rupanya mereka terlepas pandangan bahawa Yahudi sudah lama berakar-umbi di negara ini. [caption id="attachment_2742" align="alignleft" width="300"]Batu-batu kecil diletakkan pengunjung pada kubur terbaru (dan terakhir) di Kubur Yahudi. Batu-batu kecil diletakkan pengunjung pada kubur terbaru (dan terakhir) di Kubur Yahudi.[/caption] Kubur Yahudi Pulau Pinang yang kami lawati diasaskan pada tahun 1835 di atas tanah hampir seluas 3.5 kilometer persegi (sekitar 38 ribu kaki persegi) di tepi Jalan Zainal Abidin. Nama jalan itu sendiri dahulu dikenali sebagai Jalan Yahudi. (Agak lucu dan ironi juga apabila melihat bangunan Umno Pulau Pinang tersergam di Jalan Yahudi.) Penjaga kawasan kubur yang dilawati hanya memperkenalkan dirinya sebagai Raju. Katanya, kerja menjaga kawasan kubur berkenaan dilakukan secara turun-temurun. Elaun dibayar oleh lembaga pemegang amanah yang ditubuhkan pada 1885. Raju membawa saya, Kughan dan Nagathisen melawat kubur yang unik ini sambil memberikan penerangan berdasarkan pengalaman. Bagi Nagathisen sendiri, ini kali pertama beliau berpeluang masuk ke kawasan perkuburan ini yang menempatkan lebih seratus kubur. Berakhirnya sebuah warisan Rupa dan bentuk kubur Yahudi memang unik dan tersendiri serta mengikut gaya kubur di Israel. Orang ramai yang menziarah tidak membawa bunga seperti yang biasa dilakukan masyarakat Malaysia. Sebaliknya, ketulan batu diletakkan di atas kubur bagi menggantikan bunga. Kubur paling tua bertarikh 9 Julai 1835 manakala yang paling baru (dan dipercayai terakhir) bertarikh 15 Julai 2011. Saki-baki orang Yahudi di Pulau Pinang dikatakan sudah sama ada memeluk ajaran Kristian sejak tahun 1970-an atau berhijrah ke luar negara. Kewujudan tanah perkuburan Yahudi ini nampaknya kurang diketahui orang ramai. Mujurlah juga tanah itu milik persendirian dan dijaga oleh lembaga pemegang amanah. Jika tidak, dengan sentimen anti-Israel dan anti-Yahudi yang begitu kuat, pasti ada pihak membuat tarian punggung atau membakar buku-buku di hadapan kubur berkenaan! Menurut Nagathisen dan Raju, satu-satunya synagogue – rumah ibadat orang Yahudi – yang terletak di Jalan Nagore telah ditutup pada tahun 1976. Penutupan itu bukanlah kerana tekanan daripada kerajaan yang tidak mengiktiraf negara Israel, atau ugutan daripada kumpulan ultra kiasu, fanatik dan pentaksub seperti (contoh sahaja) Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ridhuan Tee Abdullah dan Utusan Malaysia. [caption id="attachment_2745" align="alignleft" width="300"]Darbar Sahib (dewan sembahyang) di tingkat atas manakala perpustakaan, pejabat dan sebagainya di tingkat bawah Wadda Gurdwara Sahib. Darbar Sahib (dewan sembahyang) di tingkat atas manakala perpustakaan, pejabat dan sebagainya di tingkat bawah Wadda Gurdwara Sahib.[/caption] Sebaliknya, synagogue berkenaan terpaksa ditutup kerana korum (minyan) jemaah seramai sepuluh orang dewasa tidak dapat dipenuhi. Bangunan lama itu – saumaah atau rumah perhimpunan – kini sudah tidak berfungsi. Selepas meluangkan sedikit masa di Kubur Yahudi, Nagathisen membawa saya dan Kughan ke Wadda Gurdwara Sahib yang turut menempatkan Sekolah Khalsa Dharmik. Kalau nama “Jalan Yahudi” ditukar kepada “Jalan Zainal Abidin”, nama “Jalan Kiln Bata” (Brick Kiln Road) pula ditukar kepada “Jalan Gurdwara” sempena rumah ibadat ini. Menurut “pemandu pelancong” kami, nama lain bagi Wadda Gurdwara Sahib adalah Gurdwara Sahib Khalsa Dharmak Jatha Wadda dan Diamond Jubilee Sikh Temple. Nama terakhir itu adalah kerana tapak/tanah bagi pembinaan rumah ibadat berkenaan diberikan kepada penganut Sikh pada tahun 1897 sempena sambutan jubli intan Ratu Victoria. Konvoi Rumah Ibadat Dana bagi pembinaan gurdwara ini merupakan sumbangan masyarakat Sikh yang menyerahkan gaji sebulan bagi merealisasikan impian membina rumah ibadat berkenaan. Pengorbanan mereka ternyata berbaloi kerana apabila siap pada 1899, Wadda Gurdwara Sahib diiktiraf gurdwara terbesar di Asia Tenggara. Saya pernah terlibat secara langsung dalam Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan pada 2 Oktober 2010, 2 Mei 2011, 17 Februari 2013 dan 12 Oktober 2013. Saya juga sudah biasa memasuki gurdwara, masjid, kuil, gereja, wat dan tokong. Namun, saya tetap terpesona dengan keunikan setiap “rumah Tuhan” yang dikunjungi sejak usia kanak-kanak. [caption id="attachment_2744" align="alignleft" width="300"]Salah satu tokong di Jalan Masjid Kapitan Keling yang memang layak dikenali sebagai “Jalan Harmoni”. Salah satu tokong di Jalan Masjid Kapitan Keling yang memang layak dikenali sebagai “Jalan Harmoni”.[/caption] Atas sebab itulah juga saya menerima pelawaan Kughan untuk melawat Georgetown kerana senarai tempat yang disediakannya meliputi rumah-rumah ibadat dan tapak warisan pelbagai kaum/agama/mazhab. Selepas berpeluang mengadakan lawatan ke pelbagai tempat menarik, unik, bersejarah dan bermakna di Tapak Warisan Dunia ini, saya semakin yakin bahawa ia lokasi yang sesuai bagi mengadakan Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan dan Projek Dialog pada masa akan datang. Konvoi ke beberapa rumah ibadat sekitar Jalan Ipoh dan Sentul, Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2013 mendapat perhatian masyarakat di dalam dan luar negara selepas liputan khas disiarkan menerusi BBC World News sepuluh hari kemudian. Malah, Kavyan menerima e-mel daripada pelbagai pihak – dari dalam dan luar negara – yang begitu teruja untuk terlibat sama dalam konvoi akan datang. Masing-masing gembira kerana sementara politikus – Badut Paul Lathic – membuat manipulasi “pecah dan perintah” serta menyemarakkan api perkauman untuk terus berkuasa, usaha-usaha murni memupuk perpaduan kaum/agama masih semarak dalam kalangan masyarakat. Siri konvoi melibatkan pelbagai rumah ibadat di pelbagai lokasi sedang dalam perancangan. Orang ramai boleh menghubungi editor@projekdialog.com untuk maklumat lanjut.

]]>

Perihal Raja-raja Melayu

The Malay Rulers: Regression or Reform? (2013) adalah edisi yang dikemas kini daripada buku Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan (1993). [caption id="attachment_2694" align="alignleft" width="300"]Majlis pelancaran “The Malay Rulers” berlangsung di Petaling Jaya. Majlis pelancaran “The Malay Rulers” berlangsung di Petaling Jaya.[/caption] Buku setebal 86 halaman ini terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan dijangka kurang mendapat “perhatian” puak ultra kiasu memandangkan buku ini ditulis dalam “bahasa asing”. Syed Husin sudah menulis dan menyelenggarakan sekitar 20 buku dan buku terbaru ini dilancarkan di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya pada 3 November 2013. Saya berpeluang hadir kerana kebetulan menemani Datuk A. Samad Said dan isterinya sempena Deepavali. Harus saya akui bahawa sepanjang ucapan pelancaran oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta ulasan buku oleh Profesor Tunku Shamsul Bahrin dan Profesor Aziz Bari, saya lebih tekun membaca The Malay Rulers: Regression or Reform? kerana kandungannya amat mempersonakan. Baru-baru ini, saya menulis sebuah makalah pendek berjudul “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Saya menerima segala kritikan dan pandangan itu dengan penuh terbuka demi percambahan minda dan dialog positif. Dalam buku Syed Husin, beliau turut menyentuh beberapa perkara “sensitif” yang menimbulkan kemarahan sesetengah pihak apabila saya menyebut mengenainya dalam makalah saya. Maka buku ini wajar dijadikan bacaan wajib supaya mendapat pencerahan minda. Buku ini terbahagi kepada enam bab dan disusun secara kemas bagi memudahkan pembacaan dan pemahaman. Saya akan memetik serta mengulas beberapa bahagian yang mencuri tumpuan saya semasa membacanya. Terjemahan kesemua petikan adalah oleh saya sendiri dan jika timbul sebarang pertikaian – sebagaimana dalam Perlembagaan Malaysia – maka versi asal Bahasa Inggeris adalah rujukan yang sah. Bab satu dimulakan dengan asal-usul Raja-raja Melayu. Dinyatakan bahawa walaupun Iskandar Zulkarnain dinyatakan dalam Quran, tidak diketahui jika individu itu sama dengan King Alexander the Great “yang hidup, memerintah dan menakluk lebih 2,300 tahun dahulu”. Asal-usul Raja-raja Melayu Syed Husin memetik kisah daripada Sejarah Melayu di mana dinyatakan bahawa raja Melayu pertama di Alam Melayu ialah Seri Teri Buana. “Menurut legenda, dia muncul daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Seri Teri Buana merupakan keturunan Alexander,” kata Syed Husin dalam bukunya. Perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana juga dihuraikan dalam buku ini. Antara perkara penting dalam perjanjian itu adalah bahawa orang Melayu tidak akan menderhaka terhadap raja. [caption id="attachment_2693" align="alignleft" width="265"]PD 1Sejarah Teks “Sejarah Melayu” merakamkan pelbagai perkara penting berkaitan Raja-raja Melayu.[/caption] Sesudah dan selepas kedatangan Islam, pengaruh Hindu amat kuat dalam sistem beraja di negara kita; sebagaimana turut terakam dalam Sejarah Melayu serta dapat pula dilihat sendiri sehingga hari ini. Seperti kata Syed Husin, ajaran Hindu dan Islam sama-sama menekankan konsep “raja yang adil” (Just King). Bagaimanapun, dalam sejarah ketamadunan Islam, terdapat beberapa contoh pemerintah (raja/sultan) yang kejam dan kurang bijak (cruel and foolish). Dalam sejarah Kesultanan Melayu juga tidak kurang contoh pemerintah yang memiliki kualiti buruk seperti itu. Pada pandangan Syed Husin, hal ini menunjukkan bahawa ciri-ciri pemerintah seperti digariskan dalam Islam tidak semestinya wujud dalam realiti. Semasa membicarakan sistem feudal, penulis menyebut bahawa salah satu ciri utama yang tampak jelas adalah “minda abdi” (slave psychology) dalam kalangan orang Melayu; dan diperkuatkan pula menerusi konsep “setia” dan “derhaka”. “Konsep ‘derhaka’ ada makna penting dalam budaya Melayu. Dalam Sejarah Melayu, apabila Seri Teri Buana meletakan syarat bahawa rakyat tidak akan menderhaka kepada raja, jelas ada pengaruh tradisi Hindu,” kata bekas tahanan ISA (1974-80) ini. Di Malaysia, pada penelitian Syed Husin, beberapa perkataan/frasa yang digunakan orang/rakyat semasa menghadap raja/sultan berciri menghina diri sendiri (self-denigrating). Contoh yang dikemukakan adalah “patik”, “duli” dan “sembah”. Krisis Perlembagaan 1983 dan 1993 “Istilah ‘patik’ bermakna hamba-abdi atau kadang-kadang digunakan juga untuk merujuk anjing. Mengapa rakyat perlu meletakkan diri pada kedudukan begitu rendah di hadapan raja? “Kata ‘duli’ pula membawa makna kaki (Sanskrit). Mengapa masih perlu menggunakan ‘memohon ampun’ dan ‘menjunjung duli’? Penggunaan ‘sembah’ (worship) mungkin lanjutan daripada kepercayaan bahawa raja adalah umpama Tuhan. Sepatutnya, dalam Islam, hanya Allah layak disembah,” Syed Husin menegaskan. Perubahan yang berlaku dalam Kesultanan Melayu sejak British menguasai Pulau Pinang turut dihuraikan dengan mengkhususkan beberapa insiden penting dan sensitif di Perak, Johor dan Terengganu. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa antara motif utama penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah demi memastikan Raja-raja Melayu tidak kehilangan kuasa. Malah, atas dasar itulah juga Umno (lama/asal) ditubuhkan pada 11 Mei 1946. [caption id="attachment_2692" align="alignleft" width="300"]Umno ditubuhkan antara lain bagi mempertahankan kuasa raja-raja. Umno ditubuhkan antara lain bagi mempertahankan kuasa raja-raja.[/caption] Atas sebab itu, tentulah amat menarik untuk meneliti konflik yang muncul antara golongan Raja-raja Melayu dan “pemerintah” (Umno-Barisan Nasional) sejak negara mencapai kemerdekaan. Krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 tentu sahaja tidak akan dapat dibaca dalam buku teks di sekolah, kolej dan universiti tempatan. Syed Husin menghuraikan dengan jelas tindakan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan yang mula mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa tindakan itu khabarnya “terpaksa” dilakukan oleh Mahathir sebelum Sultan Johor “yang sukar dikawal” (difficult to control) menjadi Agong. Akibat bantahan daripada Majlis Raja-raja Melayu, DAP, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mahathir terpaksa membatalkan usaha “murni” itu. Bagaimanapun, sedikit pindaan berjaya dibuat pada Perkara 66 (4A) tanpa meminta persetujuan Majlis Raja-raja Melayu! Delegasi Umno yang terdiri daripada Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad, Sanusi Junid, Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz bertemu beberapa raja/sultan pada tahun 1991 untuk menyerahkan memorandum dan draf Kod Etika bagi Raja-raja Melayu. Umno ganti peranan Raja-raja Melayu? Parlimen mencatatkan sejarah pada 10 Disember 1992 apabila Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan resolusi berkaitan kejadian Douglas Gomez, guru dan jurulatih hoki pasukan Kolej Sultan Abu Bakar “dipukul dan dicederakan” (beaten and injured) oleh Sultan Johor, Tengku Mahmud Iskandar Shah di Istana Bukit Serene pada 30 November 1992. Pendedahan yang dilakukan oleh Syed Husin menerusi buku ini mengenai Raja-raja Melayu dan keluarga mereka pasti membuatkan pembaca hampir tidak percaya. Misalnya, sebelum insiden Istana Bukit Serene, pada Julai 1992, Tengku Bendahara Johor, Tengku Abdul Majid khabarnya memukul dan mencederakan penjaga gol pasukan hoki Perak, Mohamed Jaafar Mohamed Vello. Kisah lanjut dan terperinci boleh dibaca dalam buku ini. Kisah bagaimana Tengku Mahmud Iskandar Shah terpaksa melepaskan jawatan Tengku Mahkota pada 1972 tetapi kemudian berjaya mendapatkan tandatangan ayahnya, Sultan Ismail, serta menjadi “sultan yang tidak ditabalkan” sangat mengujakan; bagaikan membaca kisah dalam hikayat dan epik klasik. Dalam isu berhubung kekebalan Raja-raja Melayu, Mahathir membuat keputusan membentangkan usul di Parlimen pada 18-19 Januari 1993. Suasana pada waktu itu amat genting. [caption id="attachment_2695" align="alignleft" width="300"]Buku ini wajib dibaca bagi memahami isu sebenar seputar Raja-raja Melayu. Buku ini wajib dibaca bagi memahami isu sebenar seputar Raja-raja Melayu.[/caption] Pindaan yang dicadangkan Mahathir melibatkan Perkara 181 (2) dan akan membuatkan raja/sultan kehilangan banyak kuasa. Soalan yang timbul adalah mengapa Umno yang diasaskan demi mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu kini menjadi punca raja/sultan kehilangan imuniti? Beberapa pemimpin Umno dan pengarang beberapa akhbar yang bekerjasama dengan mereka mengemukakan hujah bahawa Raja-raja Melayu sudah tidak terlalu penting kerana Umno lebih mampu mempertahankan ketuanan dan hak istimewa orang Melayu,” Syed Husin menghuraikan. Bab empat buku ini meneliti beberapa perkembangan terkini yang melibatkan Raja-raja Melayu, Umno-BN, serta konflik di Perlis, Terengganu, Perak dan Selangor. Dalam bab kelima, kes-kes di England, Perancis, Jepun, Indonesia, India dan Iran dikemukakan bagi membantu pembaca lebih memahami – serta membuat perbandingan – peristiwa perebutan kuasa melibatkan golongan raja/sultan dan kerajaan/rakyat. Buku ini amat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang berminat memahami realiti dan masa depan Raja-raja Melayu. Sekurang-kurangnya kita akan tahu siapa sebenanya yang sedang cuba menghapuskan (membunuh?) institusi diraja. Malah, kita akan tahu siapa sebenarnya yang “mempertahankan” kekebalan Raja-raja Melayu pada 1993 dan mengapa mereka berbuat demikian.

]]>

Pupuklah perpaduan sebagai pengorbanan

Media antarabangsa turut berminat membuat liputan konvoi kali ini. Media antarabangsa turut berminat membuat liputan konvoi kali ini.[/caption] Jennifer Pak dari BBC World News yang menyertai konvoi pada kali ini ternyata tertarik dengan usaha kami “melawan arus” menganjurkan acara yang menyatukan pelbagai kaum/agama di tengah-tengah keghairahan politikus serta puak ultra kiasu, fanatik dan rasis sanggup melakukan apa sahaja bagi memisahkan masyarakat. Kunjungan ke rumah-rumah ibadat dilakukan sebagai usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama. Parti-parti politik ternyata tidak mampu – dan tidak mahu – memikul tanggungjawab murni ini kerana tidak memberikan “pulangan” dan “keuntungan” politik kepada mereka. Politikus hanya dapat “hidup” dengan meneruskan tradisi “pecah dan perintah”. Pihak rumah ibadat menerima dengan tangan terbuka Pada 31 Ogos 2013, saya berpeluang mengambil bahagian dalam “interfaith walk” melibatkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di taman tasik Kota Kemuning, Shah Alam. Walau pun hujan, sambutan diterima daripada ratusan peserta pelbagai agama – walaupun pemimpin daripada pertubuhan agama tertentu memutuskan untuk tidak hadir. Di pihak Kavyan pula, seperti biasa, kami menumpukan pada kumpulan kecil supaya ada interaksi dan hubungan erat antara semua peserta sepanjang (dan selepas) program. Pihak pengurusan kuil, gurdwara, masjid dan wat memberikan kerjasama dan reaksi positif apabila dihubungi untuk menyatakan niat kami mengatur satu lagi konvoi ke rumah-rumah ibadat berkenaan. (Gereja tidak sempat dikunjungi pada kali ini kerana tidak sempat mendapatkan balasan daripada pihak pengurusan.) [caption id="attachment_2543" align="alignleft" width="300"]Peserta berkumpul di kuil sebelum memulakan konvoi. Peserta berkumpul di kuil sebelum memulakan konvoi.[/caption] Di Kuil Subramaniam Chettiar, Jalan Ipoh, kami diberikan kebebasan melawat, merakamkan foto/video, bertanya soalan dan melihat secara dekat ritual yang dijalankan. Perlu dinyatakan bahawa walaupun kelima-lima rumah ibadat yang dikunjungi pada kali ini adalah sama  dengan lokasi dikunjungi pada 2010 dan 2011, para peserta (kecuali saya) adalah kumpulan yang berbeza. Maka tidak muncul soal bosan melawat tempat sama. Malah saya sendiri tidak sedikit pun berasa jemu walaupun ini kali ketiga saya mengetuai konvoi ke lokasi sama. Ketibaan kami di Gurdwara Sahib, Jalan Sentul disambut mesra oleh jawatankuasa rumah ibadat agama Sikh itu. Para peserta diberikan penerangan asas mengenai agama berkenaan serta pantang-larang dan peraturan. Kami juga dibawa melihat bilik khas di mana kitab Guru Granth Sahib (teks suci) disimpan dengan penjagaan rapi pada setiap petang sebelum dibawa keluar pada setiap pagi. Kemudian, para peserta dijamu dengan teh herba sambil berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan. Tentu sahaja para peserta tidak melepaskan peluang merakamkan foto untuk dimuatkan segera ke Facebook bagi tatapan rakan-rakan yang terlepas peluang menyertai konvoi ini. Konvoi bermula pukul 9:30 pagi dan kami hanya berpeluang meluangkan sekitar 45 minit di setiap rumah ibadat. Tentu sahaja masa ini terlalu singkat dan tidak cukup untuk memberikan gambaran penuh mengenai setiap agama dan ritual. Apa-apa pun, kunjungan secara berkumpulan seperti ini pasti mampu membuka mata serta membuka peluang – selain memecahkan sebarang prejudis, jika ada – agar masyarakat pelbagai kaum/agama tidak ragu-ragu untuk berkunjung ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama bagi mengeratkan silatulrahim. Tiada niat menukar agama sesiapa! [caption id="attachment_2544" align="alignleft" width="300"]Berkongsi maklumat bersama-sama rakan demi meningkatkan persefahaman. Berkongsi maklumat bersama-sama rakan demi meningkatkan persefahaman.[/caption] Memanglah ada orang yang memberikan komentar “apa gunanya berkunjung ke masjid kalau peserta konvoi tidak tertarik untuk bertukar agama”.  Atau komen “kalau masuk gereja/kuil/tokong, tak takutkah akidah tergugat?” Komen negatif seperti ini pasti sahaja datang daripada pihak yamg tidak memahami niat dan tujuan Konvoi Rumah Ibadat diadakan. Kavyan sedikit pun tidak berniat mempersoalkan pegangan agama sesiapa. Sebaliknya, Kavyan dan Projek Dialog mahu membuka ruang dan peluang mengeratkan hubungan. Apabila kami berkunjung ke Tokong Dewa Pengawal di Jalan Sentul, tidak ada petugas di sana. Bagaimanapun perkara ini tidak menjadi masalah kerana pintu tokong Cina itu terbuka kepada umum. Malah, beberapa wanita menawarkan diri untuk memberikan penjelasan berserta demonstrasi mengenai ritual sembanyang yang diamalkan. Ukiran serta patung-patung pelbagai warna pula sangat menarik perhatian para peserta konvoi. [caption id="attachment_2545" align="alignleft" width="300"]Peluang mempelajari cara bersembahyang di tokong. Peluang mempelajari cara bersembahyang di tokong.[/caption] Peserta termuda berumur 14 tahun manakala peserta tertua berumur 45 tahun. Rata-rata peserta pelbagai kaum dan agama ini belum pernah berpeluang berkunjung ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama – apatah lagi ke lima rumah ibadat berbeza sekali harung. Di Masjid Al-Hidayah, Sentul, peserta konvoi yang beragama Islam bertindak sebagai jurucakap yang memberikan penerangan. Peserta diterangkan dan ditunjukkan cara berwuduk yang betul. Malah, peserta pelbagai agama turut berwuduk sebelum memasuki masjid. Memandangkan kami tiba di Wat Buddha Sri Lanka, Sentul sekitar 1:30 petang, kami dipersilakan makan tengah hari sebelum memulakan lawatan. Masakan nabati (vegetarian) yang disajikan adalah halal dan para peserta ternyata menikmatinya dengan penuh selera. Selepas itu, seorang sami Buddha memberikan penjelasan serta menjawab pelbagai pertanyaan dan kemusykilan yang dikemukakan. Pertanyaan-pertanyaan ini sebenarnya membantu para peserta lebih memahami ajaran sebenar agama Buddha. Kemudian, memandangkan hujan turun agak lebat, kami disajikan teh dan kopi. Semasa berbual-bual santai, para peserta berkongsi pandangan dan pengalaman. Perkara paling asas yang diakui semua peserta adalah bahawa konvoi seperti ini amat positif dan perlu diadakan selalu. Walaupun dijalankan pada skala kecil dan tanpa publisiti, apa yang lebih penting adalah kesan positif yang dibawakannya. Para peserta juga menyedari serta mengakui bahawa setiap agama menyeru kepada kebaikan. Ternyata Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali; bukan untuk membenci atau saling menindas. Foto-foto yang dirakamkan olah para peserta sudah tersebar luas menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Semoga semangat dan aura positif yang lahir menerusi Konvoi Rumah Ibadat masuk ke dalam jiwa orang ramai.

]]>

Epik India dan Bahasa Malaysia

Mahabharata di Free Malaysia Today dan Ramayana di The Malaysian Insider,” kata rakan saya kepada individu berkenaan. [caption id="attachment_2418" align="alignleft" width="300"]Kisah Ramayana dan Mahabharata diceritakan semula secara bersiri. Kisah Ramayana dan Mahabharata diceritakan semula secara bersiri.[/caption] Saya terkejut dan hairan melihat rasa terkejut dan hairan yang muncul pada wajah orang kuat NGO berkenaan yang terlibat secara langsung dalam usaha-usaha mendidik generasi muda kaum India beragama Hindu mengenai budaya India dan ajaran Hindu. (Untuk rekod, NGO berkenaan tidak melakukan kerja-kerja memujuk, berdakwah atau mempengaruhi orang “memeluk” agama Hindu; sebaliknya membimbing dan mengajar penganut agama Hindu supaya mengenali budaya dan ajaran agama.) “Mana boleh encik menulis kisah-kisah Ramayana dan Mahabharata dalam Bahasa Malaysia? Bukankah tindakan itu akan dianggap sebagai cuba menyebar luaskan ajaran Hindu kepada orang ramai, khususnya kepada orang Melayu yang beragama Islam?” Demikian reaksi yang beliau berikan dalam masa beberapa minit sahaja selepas kami bertemu. Dalam masa beberapa minit itu juga saya sudah ada alasan untuk mempersoalkan kewibawaan dan kemampuan beliau “membimbing dan mengajar penganut agama Hindu di Malaysia mengenali budaya India dan ajaran agama Hindu”. Pandangan sempit bahawa buku dan bahan bacaan Bahasa Malaysia adalah “untuk Melayu, oleh Melayu, sudut Melayu, tentang Melayu”  mungkin juga disebabkan “kempen” pihak tertentu. Misalnya, “badan-badan penulis Melayu” seperti Gapena dan PENA pernah menegaskan bahawa “Kamus Dewan hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011). Dalam siri Mahabharata yang saya tulis untuk siaran secara mingguan di Free Malaysia Today sejak 3 Oktober 2012, turut diselitkan bagaimana epik berkenaan turut diterjemah ke pelbagai bahasa lain dan dibaca masyarakat dunia tanpa mengira agama dan budaya. Ramayana, Mahabharata jadi bukti [caption id="attachment_2419" align="alignleft" width="300"]Buku-buku agama Hindu memang ada diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Buku-buku agama Hindu memang ada diterbitkan dalam Bahasa Malaysia.[/caption] Begitu juga dalam kes Ramayana yang disiarkan secara bersiri (mingguan) di The Malaysian Insider sejak 6 Januari 2013. Sengaja saya nyatakan bahawa epik berkenaan sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia dan dibaca orang ramai merentas kaum dan agama. Malah, bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia juga, epik Ramayana bukanlah sesuatu yang baru. Budaya dan sastera Melayu juga tidak “lengkap” tanpa pengaruh Ramayana sejak zaman dahulu. Hakikat dan sejarah ini tidak boleh dinafikan atau disembunyikan. Sejak September 2012, ada pihak yang sengaja menimbulkan isu kononnya saya cuba menyebarkan ajaran agama Hindu kepada khalayak pembaca Melayu-Islam menerusi karya-karya Bahasa Malaysia yang saya hasilkan. Susulan daripada kempen berbentuk perang saraf yang dilakukan puak tertentu, pertama kali dalam sejarah dan pengalaman saya menulis secara profesional sejak 1992, sebuah cerpen saya ditolak (walaupun pada mulanya sudah diluluskan) dengan alasan ada unsur penyebaran agama Hindu! Agak menarik bahawa cerpen berkenaan akhirnya mendapat pula ruang dan peluang penyiaran di sebuah majalah berprestij. Tidak pula timbul isu “ada unsur penyebaran agama Hindu” apabila saya mengemukakan semula manuskrip yang 100 peratus sama. [caption id="attachment_2421" align="alignleft" width="300"]Cerpen yang dituduh “menyebarkan agama Hindu” termuat dalam buku ini. Cerpen yang dituduh “menyebarkan agama Hindu” termuat dalam buku ini.[/caption] Malah, lebih menarik apabila cerpen penuh kontroversi itu sedia diterbitkan oleh sebuah penerbitan berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Orang ramai berpeluang membaca cerpen “Chitra Paurnami” dalam majalah Dewan Sastera (Februari 2013) dan juga dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013). Kebimbangan tidak berasas dan perasaan takut akan bayang-bayang sendiri yang membuatkan seorang penolong editor sebuah majalah menolak cerpen itu dahulu akhirnya terbukti tidak berasas. Kempen anti-Uthaya yang dilakukan puak tertentu juga gagal. Akan tetapi, timbul pula isu baru apabila orang kuat sebuah NGO agama Hindu mempersoalkan tindakan saya menulis kisah Ramayana dan Mahabharata dalam Bahasa Malaysia untuk khalayak pembaca generasi muda pelbagai kaum dan agama. Pada pandangan dan pendirian saya, tidak salah sekiranya bahan-bahan berkaitan agama Hindu ditulis dan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia (selain daripada Bahasa Tamil dan Inggeris, misalnya) dalam usaha menyebarkan maklumat kepada penganut agama Hindu di Malaysia. Hanuman: Suara Hati [caption id="attachment_2420" align="alignleft" width="231"]Novel Hanuman: Suara Hati bakal terbit pada September 2013. Novel Hanuman: Suara Hati bakal terbit pada September 2013.[/caption] Saya pernah juga menyentuh isu ini serta memaparkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum berhubung topik sama menerusi beberapa makalah sebelum ini; khususnya “SJKT, BM dan agama Hindu” (Free Malaysia Today, 14 Mei 2013) dan “Bahasa Malaysia dan agama Hindu” (Projek Dialog, 16 Mei 2013). Malah, pembaca beragama Hindu yang berminat wajar berusaha mendapatkan buku-buku berjudul Panduan Bhagavad Gita Untuk Hidup Berjaya tulisan M.S. Rama dan Shivapuranam Edisi Bahasa Malaysia tulisan M.K. Selva yang siap dicetak frasa “Untuk Bacaan Penganut Hindu Sahaja” pada kulit depan. Kedua-dua buku berkenaan merupakan usaha yang membanggakan dan ditulis pula menggunakan Bahasa Malaysia yang berkualiti. Pengarang bernama M.S. Rama dan M.K. Selva sebenarnya orang yang sama. Malangnya, saya tidak dapat mempromosikan buku-buku berkenaan secara terbuka kerana kedua-duanya tidak memiliki International Standard Book Number (ISBN). Sementara itu, penulisan siri Ramayana dan Mahabharata yang saya lakukan bukan berciri teks keagamaan dan tidak juga bermotifkan usaha menyebarkan ajaran agama Hindu kepada penganut agama Hindu – apatah lagi kepada orang Melayu-Islam! (Untuk rekod, saya “menyebarkan” ajaran inter-faith dan dialog antara agama seperti turut digalakkan Nabi Muhammad, Jesus, Mahatma Gandhi,  Siddharta Gautama Buddha dan Guru Nanak; bukannya “menyebarkan” ajaran mana-mana agama tertentu secara khusus.) Sebaliknya, kedua-dua kisah itu – dengan hiasan lukisan menarik oleh Hussain Sajad dan Pat Patricia – bertujuan memperkenalkan epik besar dari Tamadun India kepada generasi muda pelbagai kaum dan agama di Malaysia; selaras objektif mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Pada masa sama, dapat juga mengangkat serta memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penyebar ilmu dan maklumat. Kalau bukan kita yang meletakkan keyakinan pada bahasa kebangsaan kita, siapa lagi? Pada 1 September 2013, Bahagian 47 bagi Mahabharata dan Bahagian 32 bagi Ramayana akan disiarkan. Berbeza dengan kebimbangan yang dilahirkan oleh pegawai sebuah NGO agama Hindu kepada saya beberapa bulan lalu, tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa kedua-dua kisah itu mungkin cuba unsur penyebaran ajaran Hindu. Hal yang sama juga dapat diperhatikan apabila saya menulis novel Hanuman: Potret Diri (1996) dan edisi terbaru (edisi terhad) dengan pelbagai maklumat tambahan – termasuk prakata, pengantar, prolog, epilog dan glosari – yang dijadualkan menemui pembaca dengan judul Hanuman: Suara Hati pada September 2013. Yakinlah pada kemampuan bahasa kita Khalayak pembaca pelbagai kaum dan agama tidak menghadapi masalah untuk membaca kisah itu yang menampilkan watak utama, Hanuman, si kera putih bermata hijau. Apatah lagi ia sebuah karya parodi retorik yang menggabungkan pula kisah-kisah daripada pelbagai versi Ramayana yang terdapat dalam pelbagai bahasa, budaya dan agama di seluruh dunia. Pada tahun 1996, apabila novel Hanuman: Potret Diri diterbitkan oleh DBP, pertanyaan dan kebimbangan mengenai “kesesuaian” saya mengangkat kisah dan watak-watak daripada epik Ramayana dalam karya Bahasa Malaysia ditimbulkan bukan oleh orang Melayu-Islam, tetapi oleh orang India-Hindu. Begitulah juga apabila saya menampilkan watak-watak Rama, Sita, Hanuman dan Ravana dalam beberapa cerpen berbentuk satira seperti “Bitara Sita” (Mingguan Malaysia, 31 Oktober 1993), “Sengketa Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 23 April 1995), “Sasterawan Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 12 November 1995) dan “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Dewan Masyarakat, September 2002). Dalam kesemua kes di atas, kebimbangan dilahirkan oleh rakan-rakan dan kenalan India-Hindu yang risau memikirkan kesan dan akibat apabila saya menyuakan watak-watak daripada epik dan purana Hindu kepada masyarakat pelbagai kaum menerusi fiksyen dan faksyen Bahasa Malaysia! Sejak dahulu, kebanyakan mereka (yang sebenarnya prihatin) bimbang memikirkan kemungkinan karya-karya saya dianggap menyebarkan agama Hindu dan bertentangan dengan undang-undang negara. Semuanya semata-mata kerana saya mengangkat watak-watak dan kisah-kisah daripada Ramayana dan Mahabharata. Saya segera – sambil menaip makalah ini – teringat akan cerpen “Fikir Yuyutsu” karya Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan dan novel Kembang Kanigara karya S.M. Zakir yang masing-masing mengangkat kisah, watak, semangat dan falsafah daripada epik Mahabharata dan Ramayana. Maka, ada suatu perkara paling asas yang perlu difikirkan bersama dan dibincangkan secara lebih mendalam oleh masyarakat kita; khususnya NGO kaum India yang berhasrat memperkenalkan budaya India kepada generasi muda India, dan NGO agama Hindu yang bertanggungjawab memberikan bimbingan agama Hindu kepada generasi muda Hindu – termasuk kepada golongan gangster yang hangat diperkatakan sekarang. Perkara yang perlu difikirkan adalah sama ada kita masih tidak yakin, takut dan was-was untuk mengangkat hal-hal berkaitan budaya India dan agama Hindu dalam tulisan/karya Bahasa Malaysia. Sambil itu, sentiasalah beringat bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi serta bahasa milik setiap warga di negara ini. Kalau bukan kita yang menggunakan, mengangkat, memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Malaysia, siapa lagi? Tepuklah dada, tanyalah selera.

]]>

#Fast4Malaysia: Puasa demi perpaduan

#Fast4Malaysia mula dipromosikan menerusi media sosial dan akhbar tempatan, seperti yang memang sudah dijangkakan, muncul pelbagai reaksi serta tanggapan kurang tepat mengenai acara berkenaan. [caption id="attachment_2339" align="alignleft" width="300"]Kami mengambil peluang berbual-bual dengan beberapa peniaga. Kami mengambil peluang berbual-bual dengan beberapa peniaga.[/caption] Misalnya, ada pihak yang mempersoalkan mengapa masyarakat Bukan Islam perlu sama-sama berpuasa sedangkan “puasa” adalah amalan dan tuntutan dalam agama Islam. Ternyata kelompok seperti ini tidak tahu-menahu mengenai amalan puasa dalam budaya dan agama lain; misalnya seperti yang saya jelaskan secara asas menerusi makalah “Kisah Puasa” (Projek Dialog, 15 Julai 2013) dan “Kisah Viratam” (The Malaysian Insider, 22 Julai 2013). Di pihak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pula, cadangan yang dikemukakan oleh aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir; perunding media digital, Niki Cheong; dan penggerak Projek Dialog, Ahmad Fuad Rahmat diterima baik kerana objektif #Fast4Malaysia selaras dengan usaha Kavyan memupuk perpaduan menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Maka pada tarikh 31 Julai 2013, Kavyan berusaha mengumpulkan beberapa individu yang memang terlibat dalam aktiviti selama ini. Memandangkan tempoh bagi persiapan tidak lama, acara yang dirancang juga amat sederhana tetapi penuh bermakna dalam usaha mendoakan kesejahteraan bagi negara tercinta ini. Menerusi tema “Tolak Perkauman, Pupuk Perpaduan”, wakil Kavyan diminta memuatkan foto, video, catatan ringkas dan pengalaman berhubung penyertaan dalam acara ini melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter menggunakan hashtag #Fast4Malaysia, #Kavyan dan #ProjekDialog. Sejak awal, sudah dinyatakan di Blog Kavyan bahawa #Fast4Malaysia bukan bertujuan meminta peserta pelbagai kaum/agama berpuasa mengikut cara/amalan penganut agama Islam; apatah lagi bermotif dakwah agama. Sebaliknya para peserta berpuasa mengikut amalan/budaya masing-masing. Sesi berbuka puasa anjuran Kavyan dijadualkan pada sekitar pukul 7:30 malam supaya peserta beragama Islam dapat turut berbuka puasa bersama-sama. “Semasa kita meraikan semangat perpaduan sebagai Bangsa Malaysia, ini antara ciri perpaduan dan persefahaman yang sebenar. Ada pihak yang mungkin mempersoalkan mengapa Kavyan mengadakan majlis berbuka puasa. Sebenarnya, ini tanda bahawa orang Bukan Islam turut meraikan orang Islam,” kata Shahulnizam Abd Hamid yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat multinasional di Shah Alam. Shahrul melibatkan diri secara aktif dalam program Kavyan sejak 2012. Antara aktiviti yang disertainya adalah Baca Cerpen Siru KambamBaca Cerpen Siru Kambam II dan Baca Cerpen Kavyan. Beliau merupakan salah seorang editor bersekutu bagi kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013) serta penyelaras persembahan semasa Lawatan Penulisan Kavyan ke Ipoh, Taiping dan Permatang Pauh (29-30 Jun 2013). Maka, Shahrul tidak menghadapi masalah untuk menyertai rakan-rakan pelbagai kaum dan agama dalam Kavyan untuk membeli juadah di Bazar Ramadan Taman Sri Muda, terlibat dalam acara ”Baca Cerpen Perpaduan” dan kemudian berbuka puasa secara amat sederhana bersama-sama sebagai sebuah keluarga. [caption id="attachment_2336" align="alignleft" width="275"]Aktiviti dimulakan di Bazar Ramadan Taman Sri Muda. Aktiviti dimulakan di Bazar Ramadan Taman Sri Muda.[/caption] Sejak awal pagi, wakil Kavyan yang terlibat dalam #Fast4Malaysia mula berpuasa mengikut anutan agama masing-masing sebagai tanda menyokong serta mendoakan perpaduan dan keamanan di Malaysia. Peserta beragama Islam bersahur seperti biasa kerana acara diadakan pada bulan Ramadan. “Ini kali pertama saya menyertai #Fast4Malaysia yang pernah diadakan juga pada tahun 2009. Saya rasa cara ini amat baik untuk mendorong persefahaman antara kaum dan agama. Walaupun ada pihak yang memandang serong apabila orang Islam dan Bukan Islam sama-sama berpuasa, berbuka puasa dan meraikan #Fast4Malaysia, saya rasa itu perkara biasa. Banyak perkara negatif yang berlaku sepanjang Ramadan kali ini dan saya gembira kerana ada juga perkara positif seperti ini,” kata Rayner Yeo yang berasal dari Sabah dan kini menetap di Selangor. Anak sulung daripada empat orang adik-beradik dan berdarah kacukan Cina, Dusun dan Murut ini berharap keharmonian antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia akan memekar. Rayner adalah peserta Baca Cerpen Siru KambamBaca Cerpen Siru Kambam II dan Baca Cerpen Kavyan, serta bengkel penulisan cerpen dan Lawatan Penulisan Kavyan. Beliau menyokong penuh usaha Kavyan memupuk perpaduan menerusi aktiviti bahasa dan sastera. Berpuasa ikut agama, budaya masing-masing Untuk rekod, wakil Kavyan yang menyokong #Fast4Malaysia telah meneruskan tanggungjawab dan kehidupan seharian seperti biasa sepanjang tempoh berpuasa pada 31 Julai 2013. Berpuasa bukan alasan untuk tidak produktif. Apa yang penting, peserta digalakkan berkongsi pengalaman dari semasa ke semasa menerusi media sosial untuk makluman orang ramai. “Ini merupakan kali pertama saya berpuasa sepenuhnya, iaitu dari awal pagi hingga lewat petang. Sekarang saya dapat lebih memahami dan menghayati bagaimana rakan-rakan saya yang beragama Islam berpuasa. Ternyata cara berpuasa dalam agama Hindu dan Islam sedikit berbeza. Saya gembira kerana dapat merasai kedua-dua cara itu,” kata puteri saya, Devishi Prabha Sankari, yang terlibat dalam aktiviti Kavyan sejak bayi. [caption id="attachment_2338" align="alignleft" width="300"]Acara “Baca Cerpen Perpaduan” diadakan dalam skala kecil-kecilan. Acara “Baca Cerpen Perpaduan” diadakan dalam skala kecil-kecilan.[/caption] Devishi yang merupakan murid Tahun Lima di SK Taman Sri Muda (2), Shah Alam ternyata amat teruja dan menunjukkan minat sejak kali pertama saya memberitahunya mengenai #Fast4Malaysia. Ternyata kanak-kanak juga mengimpikan sebuah negara yang aman dan dihuni rakyat pelbagai kaum yang mengamalkan perpaduan. Sesuai dengan tema “perpaduan”, acara “Baca Cerpen Perpaduan” diadakan di Restoran Seetaram (Nasi Kandar PJ) yang terletak bersebelahan tapak Bazar Ramadan Taman Sri Muda. Setiap peserta membacakan petikan cerpen Bahasa Malaysia yang menggambarkan perpaduan serta suasana kepelbagaian budaya di Malaysia. Memandangkan rata-rata peserta ini sudah biasa mengambil bahagian dalam beberapa acara “baca cerpen” maka tiada sebarang masalah untuk tampil membaca petikan di restoran sambil diperhatikan orang awam. Bagi Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil, ini merupakan pengalaman pertama menyertai aktiviti Kavyan. Katanya, walaupun acara baca cerpen dan majlis berbuka puasa dibuat secara kecil-kecilan, ia tetap memberikan sumbangan besar ke arah persefahaman dan perpaduan. “Saya sebenarnya ada suatu mesyuarat berkaitan agama Kristian pada petang ini, tetapi saya memilih untuk menghadiri acara anjuran Kavyan kerana ia sangat istimewa dan amat jarang diadakan. Tambahan pula, saya berpuasa pada hari ini bukan atas tuntutan agama tetapi demi keamanan, perpaduan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya. [caption id="attachment_2337" align="alignleft" width="250"]Memilih juadah untuk dinikmati bersama-sama selepas seharian berpuasa. Memilih juadah untuk dinikmati bersama-sama selepas seharian berpuasa.[/caption] Sesungguhnya majlis berbuka puasa anjuran Kavyan dibuat secara amat sederhana; disertai doa demi keamanan dan perpaduan mengikut agama masing-masing. Antara makanan yang disajikan adalah nasi goreng, tose, mi goreng dan kuih-muih. Pasti tidak dapat menandingi juadah yang dinikmati majoriti orang Islam di Malaysia sepanjang Ramadan. Para peserta pelbagai kaum dan agama juga sempat berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai puasa dalam budaya masing-masing. Mungkin sahaja dialog santai yang berlaku ini akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan pihak tertentu yang menentang sebarang dialog antara agama. Bagaimanapun sesi kami berjalan lancar; malah mampu mengukuhkan persaudaraan. Semangat persefahaman, saling menghormati dan persaudaraan ini menjadi antara kunci kejayaan Kavyan sejak diasaskan pada tahun 1999. Acara khas yang diadakan dengan kerjasama Projek Dialog sempena #Fast4Malaysia pula membantu mengukuhkan lagi ikatan itu. Tahniah kepada setiap individu yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara #Fast4Malaysia di seluruh dunia. Semoga segala kebaikan ini berterusan dan Malaysia aman selama-lamanya. Lokas samastha sukhino bhavantu. Om, shanti, shanti, shanti. (Saya doakan supaya semua orang selamat dan gembira. Aman, aman, aman.)

]]>