Saya lebih tertarik untuk menumpukan perhatian pada kenyataan dan keputusan yang dicapai pada perhimpunan itu bahawa kaum India di negara ini adalah “deposit tetap” atau “aset tetap” bagi BN. Walaupun saya bukan penyokong BN mahupun PR, kata-kata demikian merupakan suatu penghinaan besar memandangkan saya juga termasuk dalam kategori “kaum India” dan saya juga “pengundi berdaftar”.
Gambaran nyata yang diberikan adalah bahawa kaum India di negara ini umpama komoditi dan aset yang dimiliki oleh pihak tertentu serta mampu memberikan pulangan besar seperti diharapkan menerusi pelaburan yang dilakukan. Dari segi definisi, Kamus Dewan menghuraikan “deposit tetap” sebagai “simpanan wang yang tertentu lamanya (atau untuk jangka masa yang ditetapkan) dengan mendapat bayaran faedah”.
Saya bersetuju dengan pandangan pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga yang menegaskan bahawa politikus patut menggunakan otak untuk berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan seperti ini yang merupakan suatu bentuk diskriminasi dan penghinaan.
Sejarah politik negara membuktikan bagaimana kaum India sentiasa dianak-tirikan dan diberikan layanan kurang berbanding kaum-kaum lain. Malah, label “pendatang” dan rujukan pada kasta masih dilakukan melalui pelbagai cara yang licik untuk memastikan kaum India terus merasakan diri mereka memiliki kedudukan yang sangat rendah; umpama debu di tapak kaki.
Dalam konteks negara kita, kaum India – khususnya di bawah “naungan” parti politik tertentu yang mahu menjadi jaguh tunggal mewakili kaum ini – terus diminta dan diasuh supaya bertenang dan menerima sahaja apa-apa “cebisan daging dan tulang” yang dilontarkan oleh “mereka yang berkuasa dan berada di atas sana”.
Selepas 55 tahun negara merdeka, akhirnya kedudukan kaum India sudah disempitkan semata-mata sebagai “deposit tetap” bagi memastikan BN boleh terus memerintah negara ini. Sementara kaum-kaum lain mungkin menjadi “tuan” dan/atau memiliki kuasa politik dan ekonomi, pengundi kaum India pula nampaknya hanya layak menjadi boneka.
Kalau kita meneliti sejarah silam Amerika Syarikat, kita dapat perhatikan bagaimana tuan-tuan tanah akan berusaha memiliki seramai mungkin hamba-abdi keturunan Afrika. Semakin ramai hamba dimiliki – sebagai “deposit tetap” – maka semakin bertambah kuasa undi yang dimiliki “tuan tanah” berkenaan.
Tidak hairanlah aktivis kaum India seperti penasihat Yayasan Tamil, K. Arumugam serta A. Jayanath dari Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) meluahkan rasa kecewa berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib. Kata-kata beliau – yang juga Perdana Menteri negara tercinta ini – ternyata boleh ditafsir sebagai berbaur perkauman serta membuktikan wujud unsur diskriminasi kaum di tengah-tengah laungan “1Malaysia” yang menggegarkan negara.
Sekiranya diperhatikan, kenyataan melabel, menganggap dan memperlakukan kaum India sebagai “deposit tetap” berpunca daripada keadaan terdesak politikus BN untuk memastikan mereka terus memegang tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Detik ketibaan PRU-13 semakin hampir dan Perdana Menteri serta sekutu politiknya tidak ada ruang untuk berlari lagi. Mahu tidak mahu, realiti kuasa undi Rakyat (huruf besar disengajakan) terpaksa diakui.
Akhbar Utusan Malaysia (3 Disember 2012) melaporkan bahawa sokongan padu rakyat kepada UMNO dan BN sehingga mencapai kemenangan majoriti dua per tiga dalam PRU-13 adalah penting bagi menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Apa yang dimaksudkan dengan “hala tuju negara” sebenarnya merujuk pada “masa depan politikus BN”.
“Sehubungan itu, semua pihak perlu memilih parti yang benar-benar layak kerana perkara tersebut akan menentukan hala tuju negara selepas pilihan raya umum nanti,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai mengulas ucapan penggulungan Najib pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
Seorang lagi naib presiden parti politik itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dalam kenyataanya lebih berterus-terang meminta Rakyat mengundi calon BN “sebagai tanda pengiktirafan kepada pemerintahan cemerlang kerajaan pimpinan Najib”.
“Sehubung itu, rakyat Malaysia perlu bersatu menyokong penuh kepimpinan Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN,” ujarnya dan dilaporkan di akhbar sama.
Saya sengaja memilih akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian serta Bernama sebagai sumber rujukan bagi makalah ini supaya semua petikan laporan itu dianggap sah dan kesahihannya tidak dipertikaikan oleh sesiapa.
Kenyataan berbentuk penghinaan dengan menganggap kaum India sebagai “deposit tetap” nampaknya tidak dianggap sensitif oleh MIC. Akhbar Berita Harian (10 Disember 2012) memetik kenyataan beberapa pemimpin parti politik itu yang berharap Perhimpunan Agung Ke-66 MIC “memberi semangat kepada ahlinya untuk mengembalikan sokongan kaum India, yang pernah menjadi ‘deposit tetap’ kepada BN”.
Timbalan presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menggesa perwakilan MIC turun padang bagi menangani pelbagai isu seperti kemiskinan, pendidikan dan peluang pekerjaan.
Apakah saranan dan gesaan itu dibuat kerana benar-benar prihatin terhadap nasib dan kebajikan penduduk minoiriti kaum India? Nampaknya tidak kerana katanya, “Hanya dengan menghapuskan isu ini kita dapat mengembalikan deposit tetap itu kepada BN seperti yang diingini Perdana Menteri.”
Maka, gambaran jelas yang diberikan adalah bahawa bukan hanya UMNO melihat pengundi kaum India sebagai “barang” dan “deposit tetap”. Lebih daripada itu, MIC yang sepatutnya menjaga kebajikan kaum India – serta sering mendabik dada mengatakan bahawa itulah satu-satunya parti politik yang layak mewakili kaum India – turut menjadi “baruah” (tanda kutip) dalam melakukan diskriminasi dan penghinaan ini.
Naib Presiden MIC, Datuk S.K. Devamany pula mahu kesemua 3,600 cawangan parti politik itu “sama-sama turun padang bagi mengembalikan martabat BN secara keseluruhan”. Nampaknya cara paling mudah untuk “mengembalikan martabat BN” adalah dengan mengiktiraf kaum India di negara ini sebagai “deposit tetap BN” sehingga dunia kiamat.
“Kita perlu mengembalikan deposit tetap itu kerana sekiranya kita tak sentuh jiwa mereka (kaum India) dan tuntutan untuk memperkasakan mereka dalam sektor ekonomi, pendidikan dan juga modal insan, maka kita akan ditolak.”
Demikian kenyataan ironis beliau yang dilaporkan oleh Berita Harian. Mungkin politikus itu lupa bahawa tindakan menghina kaum India dengan melabel mereka sebagai “deposit tetap” juga boleh menjadi faktor penyumbang pengundi kaum India menolak BN pada PRU-13.
Atau mungkin juga akan ada pelbagai kenyataan susulan daripada pakar bahasa, politik, sosial, agama, ekonomi, budaya, sastera dan sebagainya yang berusaha menegakkan benang yang basah dengan mengatakan bahawa gelaran “deposit tetap” sesungguhnya merupakan suatu penghormatan besar yang diberikan oleh pemerintah kepada kaum minoriti di negara bertuah ini.
Mengikut laporan Bernama (9 Disember 2012), terdapat hampir dua juta penduduk kaum India di Malaysia dan daripada jumlah itu, sekitar 955,000 orang adalah pengundi berdaftar. Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa menurut kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, sejumlah 400,000 daripada pengundi berdaftar itu adalah ahli MIC.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menggesa semua pengerusi cawangan MIC “berinteraksi dengan anggota masing-masing bagi menentukan sejumlah 420,000 undi blok adalah untuk BN dalam PRU-13”.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia (10 Disember 2012) memetik beliau sebagai berkata bahawa sejarah hitam pada tahun 2008 (PRU-12) tidak akan berulang kerana “kali ini masyarakat India sudah kembali kepada MIC dan BN kerana yakin kerajaan sedia ada sahaja mampu mencorakkan masa depan mereka”.
“Kita boleh nampak lebih ramai orang India yang menyokong BN dan MIC sekarang berbanding dalam pilihan raya lepas. Sememangnya sokongan masyarakat secara keseluruhan telah meningkat,” katanya dalam ucapan dasar perhimpunan agung parti itu yang khabarnya dihadiri 5,500 perwakilan dan pemerhati.
Akhbar Utusan Malaysia juga menyiarkan berita Najib menyeru masyarakat India supaya terus memberi keyakinan kepada BN. Katanya, “kerajaan BN tidak pernah memberikan janji kosong malah tiada pihak yang dapat menafikan sumbangan begitu banyak kerajaan BN dalam membela kepentingan masyarakat India”.
“Kalau sekiranya mereka (kaum India) selama ini merupakan deposit tetap BN, kalau selama ini kita (BN) tidak membayar kaedah faedah [sic] yang tinggi atau kadar faedah kita tidak cukup bagus, maka, sejak empat tahun ini (sejak 2008), kerajaan BN telah membayar kaedah faedah [sic] yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC pada 9 Disember lalu.
Maka, berdasarkan pengakuan Najib sendiri, bertuahlah sesiapa yang tidak rela menjadi “deposit tetap” kepada BN; sebaliknya mengundi PR sehingga memungkinkan PR membentuk Kerajaan Negeri – seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Hal ini kerana BN akan terus “membayar faedah yang lebih tinggi” kepada kaum India khasnya (dan para penduduk amnya) di negeri-negeri yang diperintah PR; seperti yang diakui dilakukan sejak 2008.
Pengerusi BN itu juga mengaku bahawa sebelum PRU-12, pihaknya “tidak membayar kaedah faedah [sic] yang tinggi atau kadar faedah kita tidak cukup bagus” sebelum kebangkitan Rakyat pada 2008. Pada waktu itu (1957-2008), kaum India ternyata dianggap sebagai “deposit tetap” dan tidak perlu diberi perhatian.
Kini, menjelang PRU-13, terpulanglah kepada minoriti kaum India khasnya (dan rakyat Malaysia amnya) untuk memutuskan sama ada mahu kembali menjadi “deposit tetap” kepada mana-mana parti politik atau mahu terus memiliki hak dan kebebasan sebagai Rakyat yang berkuasa menentukan kerajaan serta hala tuju negara tercinta. Tepuklah dada, tanyalah selera.
________________________________________
(* Uthaya Sankar SB adalah perunding media dan penulis sepenuh masa. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.com)
Guru besar SJKT milik mutlak kaum India?
Oleh: Uthaya Sankar SB
Semasa Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara anjuran Yayasan Selangor di Universiti Selangor (Unisel) pada 18 November 2012, antara topik yang dibincangkan adalah mengenai kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
[caption id="attachment_1157" align="alignleft" width="300"] Mampukah guru besar Bukan Kaum India menerajui kepimpinan di SJKT?[/caption]
Jiwi Kathiah dari Yayasan Tamil mendedahkan pelbagai kepincangan yang wujud. Pada pandangan beliau, kerajaan pusat – “Barisan Nasional dan UMNO” kata beliau – sedang berusaha secara bersungguh-sungguh dan licik untuk menghapuskan SJKT secara terancang.
Semasa mengulas pembentangan beliau pada sesi yang sama, saya mengemukakan pandangan berupa pertanyaan: Adakah mungkin nasib SJKT berubah jika guru besar sekolah-sekolah berkenaan terdiri daripada individu “Bukan Kaum India” dan bukan daripada aliran sekolah Tamil?
Pertanyaan yang sama pernah saya kemukakan menerusi ruangan status Facebook pada 5 November 2012 dan mendapat pelbagai reaksi – dan reaksi yang pelbagai – daripada rakan-rakan dan kenalan.
Untuk berlaku adil, saya memutuskan untuk memaparkan pandangan mereka sepenuhnya di sini bagi tujuan dialog; dengan sedikit penyuntingan bahasa serta penterjemahan bagi pandangan yang dikemukakan dalam Bahasa Inggeris.
Mohd Dawamuddin Abdul Hadi (Bulan Senyum), pelajar IPT, Kuala Lumpur: Ada kepelbagaian bahasa, adat resam, bahasa dan kaum tetapi guru besar SJKT mesti fasih dan pakar dalam Bahasa Tamil.
Rosihan Amri Md Zakaria, guru di Bayan Baru, Pulau Pinang: Bagi saya, tak ada masalah asalkan guru besar itu memahami budaya, bahasa dan sistem SJKT. Tapi saya rasa perlu seorang guru besar daripada kaum India kerana mereka lebih memahami. Mungkin satu hari nanti, jika rakyat Malaysia boleh memahami dan menghayati budaya, bahasa kaum lain, orang Bukan Kaum India juga boleh menjawat jawatan guru besar SJKT.
Revathi, Kedah: Bagaimana mereka boleh memahami situasi sekolah, masyarakat dan latar belakang murid-murid Tamil jika mereka bukan kaum India? Cara hidup murid Tamil pasti terlalu asing bagi mereka. Saya yakin bahawa ia bukan satu cadangan yang baik untuk meletakkan individu Bukan Kaum India sebagai guru besar SJKT.
Mohd Dawamuddin Abdul Hadi: Perlu ada sukatan pelajaran yang sesuai mengikut masa, keadaan, tempat dan sesuai dengan tuntutan zaman. Guru besar itu sendiri perlu berusaha memahami keadaan di sesebuah sekolah.
Rosihan Amri Md Zakaria: Rakyat Malaysia mestilah belajar, memahami dan menghormati kaum, bahasa dan budaya orang lain. Apabila memahami dan menghormati, barulah pergaulan dan aktiviti sesama kita dapat dipelbagaikan.
Adam Farhan, pekerja swasta, Shah Alam: Seorang ketua atau pemimpin perlu memahami golongan yang dipimpin. Maka, tiada masalah jika beliau “khatam” akan perihal mereka yang dipimpin di SJKT itu. Sesuaikan diri, bak kata pepatah Melayu, masuk ke kandang kambing mengembek.
Nagathisen Katahenggam, Jelutung, Pulau Pinang: Tidak wujud masalah asalkan guru besar itu faham budaya Tamil, mampu bertutur Bahasa Tamil dan bersikap neutral tanpa ada agenda halus lain. Tetapi realitinya, agak sukar mencari guru besar dengan kelayakan demikian daripada golongan Bukan Kaum India.
Cikgu Suguz, guru, Shah Alam: Oleh sebab hal ini berkaitan dengan bahasa ibunda, saya rasa lebih baik jika guru besar adalah daripada kaum India.
Nadia Ali, Pulau Pinang: Tidak menjadi masalah langsung jika guru besar Bukan Kaum India ditempatkan di SJKT. Tapi akan membuatkan pula kita tertanya-tanya ke mana perginya guru besar yang berkelayakan daripada kalangan kaum India.
[caption id="attachment_1158" align="alignright" width="300"]
Murid-murid di SJKT perlu diberi peluang bergaul dengan guru pelbagai kaum dan budaya.[/caption]
Azrul Hisham Abu Said (Hisham Tok Wan), jurutera bunyi, Kota Damansara: Saya rasa tidak ada apa-apa masalah mengenai hal ini. Cuma untuk merealisasikannya, saya rasa amat jauh lagi. Dari segi hukum keagamaan, kenegaraan, hukum adat masyarakat serta hukum falsafah keilmuan, rasanya kita tidak perlu pening-pening memikirkannya kerana pasti boleh dilakukan jika mahu. Apa pun, pendidikan mengenai kepelbagaian budaya dan agama masyarakat Malaysia harus kita fokuskan terlebih dahulu sebagai persiapan ke arah itu.
Saya turut mengemukakan persoalan sama untuk didialogkan di laman Facebook milik “Human Rights Party (HRP) Malaysia Support Group” kerana pelbagai topik hangat selalu dibincangkan di sana. Bagaimanapun, hanya beberapa individu tampil berdialog berhubung topik meletakkan guru besar daripada kalangan Bukan Kaum India di SJKT.
Siva Sankhar, Batu Caves: Dalam keadaan tenat yang sedang dialami SJKT, memang ini satu cadangan yang baik. Biarlah SJKT diterajui guru besar Bukan Kaum India. Terdapat guru besar kaum India di SK, jadi tak jadi masalah jika ada guru besar Bukan Kaum India di SJKT.
Sugu Maran, graduan UPM: Saya tidak setuju dengan pandangan ini kerana guru besar daripada kalangan Bukan Melayu tidak ramai. Bilangan kakitangan kerajaan merangkumi guru besar dan guru-guru SJKT. Maka, jika guru besar SJKT terdiri daripada kalangan Bukan Kaum India, mungkin menjejaskan peratusan kaum India dalam sektor awam.
Mathavan Velayutham, pelajar IPTA, Seremban: Sekolah Kebangsaan (SK) boleh diterajui oleh mana-mana kaum yang memahami hasrat dan menguasai bahasa kebangsaan. Manakala bagi SJKT dan SJKC, mestilah diterajui guru besar yang mempunyai kepakaran dalam bahasa ibunda yang menjadi bahasa perhubungan dan bahasa pengantar di sekolah terbabit. Sebagai contoh, seorang doktor boleh memandu kereta tetapi seorang pemandu kereta tidak boleh menjadi doktor.
Johnson Doss, Kajang: SJKT dan SJKC perlu diterajui individu yang tahu dan menguasai bahasa ibunda dan budaya kaum terbabit. Memang ada guru besar daripada kalangan kaum India di SK tetapi bagi SJKT dan SJKC, lebih baik jika guru besar daripada kaum itu sendiri yang berkelayakan dan memahami cara-cara mentadbir sekolah dengan baik.
Vicknes Loganathan, Shah Alam: Saya percaya bahawa individu mana-mana kaum boleh menjadi guru nesar di SJKT tetapi beliau wajib menguasai Bahasa Tamil. Beliau juga perlu mampu menyesuaikan diri dengan budaya kaum India selain sensitif terhadap budaya Tamil dan keperluan murid-murid di SJKT.
Apabila membaca pelbagai pandangan yang dikemukakan, saya mula tertanya-tanya mengapa kehadiran guru daripada kalangan Bukan Kaum India boleh diterima di SJKT tetapi kebanyakan anggota masyarakat kurang setuju dengan kehadiran guru besar Bukan Kaum India. Saya turut mengemukakan pertanyaan tambahan itu untuk mendapatkan reaksi rakan-rakan menerusi Facebook.
[caption id="attachment_1159" align="alignright" width="300"]
Pencapaian SJKT semakin meningkat dalam pelbagai bidang.[/caption]
Vijay Saravanen Vasudevan: Kalau Dong Zong boleh dengan begitu berani dan tegas menolak guru besar Bukan Kaum Cina yang tidak tahu Bahasa Mandarin ditempatkan di SJKC, mengapa pula kaum India perlu melepaskan hak yang serupa dalam hal SJKT?
Azrul Hisham Abu Said: Guru biasa boleh diterima tetapi guru besar adalah pemimpin bagi guru dan sekolah berkenaan.
Cikgu Suguz: Guru-guru hanya mengajar mata pelajaran tertentu manakala guru besar menerajui kepimpinan sekolah.
Nagathisen Katahenggam: Kehadiran guru besar Bukan Kaum India di SJKT tidak harus dijadikan isu. Mereka hanya menjalankan tugas seperti diarahkan kementerian dan jabatan. Kehadiran mereka juga akan mewujudkan suasana majmuk di sekolah serta mencerminkan realiti kepelbagaian bahasa, kaum dan budaya di Malaysia.
Antonie William, Pulau Pinang: Apabila bercakap tentang memberi peluang guru besar Bukan Kaum India menerajui SJKT, saya mahu bertanya, bolehkan individu kaum India diberi jawatan guru besar di SK dan SJKC? Fikirkan.
Kalidas Muniandy, Pulau Pinang: Saya setuju dengan Antonie William. Sekarang ini pun, berapa ramai guru besar daripada kalangan Bukan Melayu di SK? Kalau mahu amalkan, biarlah adil sama rata.
Arivananthan Marimuthu, guru, Puchong: Guru besar Bukan Kaum India boleh ditempatkan di SJKT asalkan mereka boleh bercakap dan menulis Bahasa Tamil. Syarat ini adalah wajar kerana guru-guru kaum India di SK dan SJKC sebenarnya mampu bercakap dan menulis dalam Bahasa Malaysia atau Mandarin.
Pandangan-pandangan yang dikemukakan ini memberikan sedikit gambaran asas mengenai sikap dan pendirian masyarakat berhubung cadangan meletakkan individu Bukan Kaum India sebagai guru besar di SJKT. Tentu sahaja segala pandangan dan cadangan ini terbuka untuk dibahas dan didialogkan.
My Name Is Jaclyn Victor
Oleh: Uthaya Sankar SB
Ada beberapa perkara pelik yang berlaku di negara kita sejak beberapa hari lalu. Saya menggelarkannya “pelik” bagi menggantikan perkataan “bodoh” yang sebenarnya lebih sesuai.
Mula-mula, kita dikejutkan dengan berita bahawa ada puak tertentu menggesa supaya penyanyi popular tanah air, Jaclyn Victor diboikot atas sebab dia tampil menyanyikan lagu “Harapan Bangsa” yang bertema Kristian.
[caption id="attachment_1074" align="alignleft" width="183"] Jaclyn Victor berhak mengenalkan budaya dan agamanya walaupun menyanyi lagu-lagu Melayu.[/caption]
Sebenarnya, saya tidak hairan dengan apa yang berlaku kerana pada September 2012, saya dikatakan cuba menyebarkan agama Hindu menerusi cerpen yang saya tulis. Dalam kes Jaclyn, dia dikatakan menyalah gunakan hak bersuara kerana lagu yang dinyanyikannya itu, kononnya, mengguris perasaan pihak tertentu.
Untuk rekod, Jaclyn sendiri sudah membuat kenyataan bahawa lagu “Harapan Bangsa” dirakam pada sekitar 2007 dan khusus untuk khalayak beragama Kristian di Sabah dan Sarawak. Untuk rekod juga, penyanyi berumur 33 tahun itu memang penganut agama Kristian.
Isu mungkin timbul kerana lagu tersebut dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia; lalu Jaclyn dituduh “cuba menyebarkan fahaman Kristian” kepada masyarakat Melayu beragama Islam. Ternyata puak yang membuat dakwaan seperti itu lupa bahawa kebanyakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian.
Anehnya, lagu “Harapan Bangsa” disifatkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sebagai “suatu penghinaan kepada Islam” dan kenyataan ini ada dilaporkan di beberapa media baru-baru ini.
Lagu khusus untuk gereja
“Adakah seseorang penyanyi boleh menyanyi apa saja lagu walau mengguris perasaan pihak lain? Adakah itu hak bersuara?” Demikian kandungan SMS daripada setiausaha agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang disiarkan oleh portal berita The Malaysian Insider (28 Oktober 2012).
Bayangkan! Apabila Jaclyn menyanyikan lagu berunsur Kristian khusus untuk kegunaan di gereja dan untuk penganut agama Kristian, dia dikatakan cuba menyebarkan agama Kristian kepada khalayak Melayu. Demikianlah realiti yang wujud di Malaysia.
Saya mengemukakan isu ini menerusi Facebook dan mendapat reaksi daripada beberapa rakan. Jumiati Suparno dari Tawau, Sabah mengakui bahawa beliau juga selalu “mengajak orang Melayu (Islam) berzikir bersama saya di Facebook, tapi tak bermakna kaum (agama) lain tak boleh membacanya. Hidup yang memiliki pendirian yang utuh tidak menjadi rapuh dengan kenyataan sesiapapun.”
Pada pandangan Hadi Bunyamin pula, “golongan sebegini tidak faham makna kebebasan beragama. Ada saja rancangan TV seperti Mr Bean yang memaparkan budaya orang Kristian, namun tidak menjadi isu.”
Tentu sahaja apa yang berlaku dalam kes Jaclyn amat mengecewakan dan membuktikan bagaimana ada puak yang sanggup serta mampu memutar-belit dan memanipulasi fakta untuk menindas golongan minoriti dan marginal di negara bertuah ini.
Tindakan sepatutnya dikenakan ke atas mana-mana pihak/individu yang sengaja menyebarkan lagu “Harapan Bangsa” kepada khalayak beragama Islam – selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan – dan bukan menghukum Jaclyn yang langsung tidak bersalah dalam hal ini. Lainlah kalau lagu “Harapan Bangsa” dimuatkan dalam album terbaru penyanyi itu dan dijual kepada umum.
Alasan diberi oleh Perkasa
Khabarnya Syed Hassan menegaskan bahawa Jaclyn tidak sepatutnya menyanyikan lagu itu kerana dia seorang penyanyi yang majoriti albumnya dalam Bahasa Malaysia dan peminatnya juga beragama Islam. Kenyataan itu juga membuktikan tahap mentaliti Perkasa dan sesungguhnya tidak mewakili pandangan kaum Melayu dan penganut Islam secara keseluruhan di Malaysia.
Sebagai langkah seterusnya, timbalan presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman khabarnya mahu menunggu pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu ini. Sementara itu, Perkasa akan meneruskan kempen memboikot Jaclyn yang secara kebetulan dicalonkan dalam enam kategori untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 17 November 2012.
Saya ada menyebut satu peribahasa Tamil dalam novel “Panchayat: Edisi Khas” (2012) iaitu, “Seseorang yang ketakutan akan menganggap semua tempat yang gelap sebagai berhantu!” Kata-kata itu memang sesuai bagi puak anti-Uthaya dan anti-Kavyan yang bertungkus-lumus membuat pelbagai tuduhan terhadap Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak dahulu kerana “takut pada bayang-bayang sendiri”.
[caption id="attachment_1075" align="alignright" width="300"]
Filem “My Name Is Khan” ditayangkan menerusi TV3 baru-baru ini.[/caption]
Perkara yang sama juga saya perhatikan dalam satu lagi isu yang dilaporkan di media alternatif pada 28 Oktober 2012. Nampaknya ada pihak yang tiba-tiba mengkritik filem “My Name Is Khan” (2010) lakonan Datuk Shah Rukh Khan. Antara alasan yang diberikan adalah bahawa dalam filem itu, isteri kepada watak Rizwan Khan beragama Hindu.
Dalam kenyataannya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, “adegan hero (Rizwan Khan, lakonan Shah Rukh Khan) yang berkahwin dengan heroin yang beragama Hindu (dalam filem itu) jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur-aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam”.
Walaupun filem “My Name Is Khan” keluar pada 2010 dan hangat diperkatakan di Malaysia sejak itu, ternyata orang kuat Abim hanya berpeluang menontonnya apabila ditayangkan menerusi stesen televisyen yang dikuasai pemerintah, baru-baru ini.
Harap Abim tidak tahu sampai kiamat
[caption id="attachment_1076" align="alignleft" width="300"]
Pasti puak etnosentrik “mengangkat senjata” jika tahu realiti sebenar keluarga Shah Rukh Khan![/caption]
Kalaulah paparan itu menjadi masalah besar dan isu hangat yang wajar ditangani segera, saya benar-benar berharap Abim tidak akan tahu sampai dunia kiamat bahawa pada 25 Oktober 1991, Shah Rukh Khan berkahwin – dalam realiti, bukan dalam filem – dengan Gauri Chibber, seorang wanita yang kekal sebagai penganut agama Hindu.
Malah, majlis perkahwinan mereka dilangsungkan mengikut tradisi Hindu. Anak-anak kepada pasangan itu – Aryan dan Suhana – mengamalkan ajaran Hindu-Islam. Menurut Shah Rukh Khan sendiri, dia berpegang pada ajaran Islam tetapi tetap menghargai agama-agama lain.
Kalaulah Abim mendapat tahu mengenai perkara ini sebelum dunia kiamat, tidak mustahil pertubuhan itu akan mengusulkan supaya pingat “Datuk” yang dianugerahkan kepada pelakon berusia 47 tahun itu (sambutan hari lahirnya pada 2 November) ditarik balik dengan segera.
Umum mengetahui bahawa Shah Rukh Khan menjadi pujaan ramai – termasuk dalam kalangan peminat Melayu-Islam di Malaysia – sejak awal 1990-an menerusi filem-filem seperti “Deewana” (1992), “Dilwale Dulhaniya Le Jayenge” (1995), “Dil To Pagal Hai” (1997) dan “Kuch Kuch Hota Hai” (1998).
Saya tidak pula mendengar sebarang berita mengenai orang Melayu-Islam di negara ini yang “terpengaruh” dengan fahaman Islam Liberal dan pluralisme agama yang ternyata menjadi pegangan pelakon itu yang turut menerima pingat “Padma Shri” daripada Kerajaan India pada 2005.
Apabila saya memaparkan isu mengenai filem “My Name Is Khan” di Facebook, seorang rakan mengemukakan pandangan bahawa “Islam liberal merupakan masalah besar di Indonesia dan kini sudah mula masuk ke Malaysia”. Lalu, John Phoon pula bertanya: “Wujudkah apa yang dikatakan Islam Liberal atau ini adalah salah satu cara untuk mengongkong fikiran? Mungkinkah Islam adalah liberal selama ini dan hanya manusia yang menjadikan agama itu sempit untuk kepentingan sendiri?”
Mungkin Abim akan boikot TV3
Apa pun, berikutan “pendedahan” Abim pada 28 Oktober 2012, mungkin banyak lagi pihak yang akan tampil menyokong “perjuangan” puak-puak tertentu yang kononnya mahu mempertahankan “Melayu” dan “Islam” daripada sebarang unsur luar – seperti pengaruh agama Hindu, agama Kristian dan Islam Liberal.
Maka, peminat Shah Rukh Khan harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan kesemua filem lakonan “Badshah Bollywood” itu diharamkan bagi khalayak beragama Islam di Malaysia. Sekali gus, filem-filem lakonannya mungkin tidak akan ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia kerana “bimbang orang Melayu-Islam akan tertonton dan mengalami kecelaruan pegangan agama”.
Tentu sahaja “kemungkinan” yang saya nyatakan di atas kedengaran agak keterlaluan tetapi kita perlu sedar bahawa segalanya adalah mungkin di negara ini kerana kumpulan seperti Perkasa dan Abim memang mempunyai “kuasa dan pengaruh” apabila melibatkan isu-isu Melayu-Islam.
Malah, tidak menghairankan jika Abim mengusulkan supaya masyarakat Melayu dan Islam memboikot TV3 kerana stesen televisyen yang pro-pemerintah itu “tidak terlebih dahulu membuat kajian” sebelum menayangkan filem “My Name Is Khan” yang “tidak mencerminkan imej agama Islam yang sebenar serta bertentangan dengan syariat”.
Pada masa sama, pasti akan ada pelbagai pihak lain yang turut “mengangkat senjata” sebagai tanda bantahan terhadap segala perkara yang diperkatakan menerusi makalah pendek ini. Tidak mengapa kerana seperti kata Mahatma Gandhi, “Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran”.
Berbalik pada isu Jaclyn, apa yang dihadapinya adalah cabaran yang sentiasa terpaksa dihadapi golongan minoriti. Dalam keadaan seperti ini, saya teringat akan sabda Nabi Muhammad seperti diriwayatkan Abu Daud:
“Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi dan mengasari kelompok minoriti Bukan Islam, menyekat hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin; maka aku akan mengadu terhadap orang itu pada Hari Pembalasan.”
Penulis Minoriti dan 'Penyebaran' Agama Hindu
Oleh: Uthaya Sankar SB
Salah satu cabaran ke arah pembinaan Bangsa Malaysia yang bukan sahaja bersatu-padu (united) tetapi juga mengamalkan integrasi (integration) adalah melalui pemupukan bibit-bibit persefahaman, saling memahami, saling menghormati, bertolak-ansur dan menerima perbezaan yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum/etnik.
Wahana yang paling mudah untuk memupuk nilai integrasi adalah melalui bahan bacaan, khususnya buku cerita yang ditulis pengarang pelbagai kaum/etnik/agama bagi menggambarkan kepelbagaian yang membentuk identiti Bangsa Malaysia.
Saya berpegang pada konsep “satu bahasa, pelbagai budaya” iaitu Bahasa Malaysia digunakan untuk menghasilkan karya sastera kebangsaan bagi menggambarkan budaya pelbagai kaum, etnik dan agama di negara ini. Usaha murni itu turut dilakukan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara sejak 1999.
Namun begitu, sejak hampir setahun lalu, kempen “anti-Kavyan” giat dilakukan pihak tertentu dengan menyelitkan bibit-bibit perkauman dan ketegangan agama bagi mencapai impian terkutuk mereka menindas kelompok minoriti yang turut mewarnai peta sastera kebangsaan. Sekali gus menyukarkan usaha mencapai integrasi.
[caption id="attachment_888" align="alignright" width="225"] Novel Panchayat: Edisi Khas dikatakan menampilkan gambar berhala.[/caption]
Apabila novel Panchayat: Edisi Khas mahu diterbitkan pada Ogos 2012, sudah ada “kempen” menerusi ruang siber dan mulut ke mulut (word of mouth) bagi menyeru khalayak Melayu-Islam memboikot novel saya dengan alasan ada gambar berhala pada kulit novel. Mujurlah masyarakat kita tidak jahil untuk mempercayai pembohongan seumpama itu.
Dalam perkembangan terkini, karya saya dikatakan “ada unsur penyebaran agama Hindu” dan “salah dari segi Akta Penerbitan”. Alasan itu digunakan untuk menolak sebuah cerpen terbaru saya daripada disiarkan di sebuah majalah berprestij tanah air.
Tentu sahaja saya tidak marah atau kecewa semata-mata kerana karya saya tidak disiarkan. Sebaliknya, apa yang menjadi persoalan adalah alasan yang diberikan untuk mewajarkan manuskrip itu ditolak. Ternyata ada unsur penindasan.
Sebenarnya, sejak awal 2012, beberapa individu dilaporkan menghubungi editor di beberapa penerbitan dan “menghasut” supaya karya saya dan mana-mana ahli Kavyan tidak disiarkan. Alasan (fitnah) yang dikemukakan adalah bahawa kami “anti-Melayu” dan “anti-Islam”. Kerana Kavyan tampil menolong beberapa pengarang yang menjadi mangsa penipuan beberapa penerbit. Kerana Kavyan berjuang memartabatkan Bahasa Malaysia. Kerana Kavyan berani bersuara tanpa menjadi “pak turut” kepada mana-mana pihak; khususnya politikus.
“Cerpen-cerpen Uthaya ada unsur penyebaran agama Hindu. Tak boleh disiarkan dan salah dari segi Akta Penerbitan. Suruhlah dia hantar ke surat khabar atau majalah India. … Cerpen dia agak terbuka bercerita tentang Tuhan Hindu. … Tak boleh disiar di majalah bahasa Melayu. Cerpen-cerpen dia menyebar agama Hindu secara halus kepada pembaca Melayu.”
Demikian nada kempen terbaru yang dilakukan. Apa yang menarik, penolong editor sebuah majalah juga menyertai kempen “anti-Uthaya” dan mula “mengajar” ketua editor majalah berkenaan supaya memboikot karya-karya saya. Cerpen terbaru saya yang sudah diluluskan untuk penyiaran oleh editor dan ketua editor, tiba-tiba ditolak oleh penolong editor itu menggunakan alasan tadi.
Nama DBP ‘dijual’
[caption id="attachment_887" align="alignleft" width="240"]
Kononnya majalah-majalah DBP memboikot karya ahli Kavyan.[/caption]
Malah, individu berkenaan juga ternyata berniat jahat apabila menggunakan nama bekas ketua Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Haji Ali. Kononnya, semasa Padilah menjadi ketua, DBP memboikot karya-karya saya dan tidak menyiarkannya di mana-mana majalah DBP. Maka, majalah di mana dia menjadi penolong editor juga, katanya, perlu memboikot karya-karya saya.
Tentu sahaja fitnah itu bertujuan menjejaskan nama baik serta imej DBP dan Padilah. Tambahan pula, tidak timbul langsung isu mana-mana karya saya diboikot oleh mana-mana majalah DBP. Terkini, karya saya disiarkan dalam majalah Tunas Cipta (April 2012) dan Dewan Pelajar (Jun 2012).
Saya tidak menolak kemungkinan (ulang: kemungkinan) puak anti-Kavyan turut berusaha meracuni editor-editor di DBP. Bagaimanapun, tentulah DBP sebagai sebuah badan yang berwibawa, profesional dan beretika tidak akan terpengaruh dengan hasutan dan fitnah yang disebarkan puak tidak bermaruah seperti itu.
Berbalik pada alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu” yang cuba dipelopori individu/kumpulan anti-Uthaya, mereka pasti terkejut besar jika berpeluang membaca cerpen “Rudra Avatara” (Dewan Sastera, Januari 2005) dan “Cerita Paurnami” (Dewan Sastera, Mac 2006) misalnya.
Tidak mustahil bahawa puak itu akan menuduh Rozninah Abd Azib, bekas editor Dewan Sastera sebagai agen kepada penyebaran agama Hindu menerusi cerpen-cerpen berkenaan. Tambahan pula, Dewan Sastera adalah majalah sastera paling berprestij di tanah air dan diterajui pula sejak dahulu oleh editor-editor yang berwibawa.
Sewaktu saya berbual-bual dengan Padilah dan Rozninah di kafe DBP pada 16 Februari 2012, kami turut menyentuh mengenai dua cerpen di atas. Rozninah tidak melihatnya sebagai karya yang “ada unsur penyebaran agama Hindu”. Malah, walaupun sudah lebih enam tahun, beliau masih ingat kedua-dua cerpen itu kerana unsur kemanusiaan dan kekeluargaan yang disajikan. Tidak ada laporan mengatakan pembaca Melayu-Islam murtad selepas membaca cerpen-cerpen berkenaan.
Sebagai individu yang menulis secara profesional sejak 1992, tentulah saya tahu apa yang boleh ditulis dan apa yang perlu dielakkan dalam cerpen. Tentulah saya tahu perihal Akta Penerbitan DBP, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan, etika penulisan dan sensitiviti kaum/agama apabila mengirim karya untuk disiarkan.
Paparan budaya kaum India
Semasa mengirim manuskrip cerpen terbabit yang diluluskan ketua editor dan editor tetapi kemudian ditolak penolong editor sebuah majalah, saya nyatakan begini pada e-mel:
“Karya ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya cerpen ini menggabungkan unsur budaya, keluarga, mitos dan pengajaran (moral) yang disajikan secara tersirat menggunakan teknik ‘to suggest’ (mencadangkan). Gaya bahasa yang digunakan adalah bahasa mudah, sesuai dengan sudut penceritaan watak seorang kanak-kanak.”
[caption id="attachment_890" align="alignright" width="300"]
Iklan percuma dicetak di belakang novel supaya puak anti-Uthaya tidak perlu berkokok siang-malam.[/caption]
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa jumlah penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia tidak ramai. Maka, sebagai kelompok “minoriti”, pasti sahaja banyak cabaran dan rintangan yang perlu dilalui. Apatah lagi apabila terpaksa berdepan dengan puak anti-Kavyan yang berusaha bersungguh-sungguh mempengaruhi para editor akhbar dan majalah supaya memboikot apa-apa tulisan yang dikirim pengarang kaum India.
Malah, saya difahamkan bahawa pada Jun 2012, seorang penulis terkenal dan disegani memberi “peringatan” kepada sekumpulan editor di sebuah penerbitan supaya berhati-hati dan berwaspada dengan karya daripada penulis kaum India – kecuali Raja Rajeswari Seetha Raman – kerana pasti ada cubaan menyebarkan ajaran agama Hindu menerusi karya yang dikirim.
Sekadar makluman, Raja Rajeswari adalah penulis kaum India yang selesa menulis puisi bertema Melayu-Islam. Maka, walaupun beliau masih “minoriti” (penulis kaum India) tetapi beliau adalah “minoriti terpilih” kerana tidak pernah disyaki atau dituduh cuba menyebarkan agama Hindu menerusi puisi-puisi Islamik yang dihasilkannya. Akan tetapi, para pengarang lain (minoriti) tidak cukup bertuah seperti beliau untuk diberikan layanan istimewa.
[caption id="attachment_889" align="alignleft" width="300"]
Kavyan dan DBP mengendalikan Bengkel Penulisan Makalah Budaya pada Mei 2012.[/caption]
Suatu hal yang ketara (dan sesungguhnya saya senangi) dalam cerpen-cerpen saya adalah penampilan budaya, bahasa, adat dan cara hidup kaum India. Sebenarnya, saya beranggapan adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.
Demikian saya nyatakan pada bahagian prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (DBP: 1996). Demikian juga saya sering tegaskan kepada peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan. Nasihat yang sama juga saya berikan kepada peserta Bengkel Penulisan Makalah Budaya anjuran DBP pada 19 Mei 2012.
Penindasan secara halus
Mungkin sahaja akan ada pihak yang tampil mengatakan bahawa isu sebuah manuskrip cerpen saya ditolak adalah isu terpencil dan tidak wajar diperbesar-besarkan. Akan tetapi, bagi saya, isu sebenar bukanlah soal cerpen itu tidak disiarkan – kerana saya boleh sahaja menyiarkannya di tempat lain; malah mendapat bayaran yang lebih.
Isu yang lebih besar di sini adalah “penindasan secara halus” yang dilakukan secara terancang oleh pihak tertentu terhadap penulis pelbagai kaum yang menulis mengenai kaum, budaya, adat, kepercayaan, agama dan cara hidup selain daripada acuan Melayu-Islam.
Dalam pada kita lantang berkokok “meraikan kepelbagaian”, apa yang sebenarnya berlaku/dilakukan adalah penindasan secara terancang terhadap golongan penulis minoriti yang berusaha “menyajikan kepelbagaian” yang dilaung-laungkan itu.
Label paling mudah adalah “cuba menyebarkan agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh” bagi menghalang hasil karya itu daripada disiarkan untuk bacaan umum. Kononnya boleh menggugat akidah penduduk beragama Islam di Malaysia. Begitu rapuhkah keimanan dan akidah penganut agama Islam di negara bertuah ini?
Apa yang diperkatakan di sini bukan semata-mata soal kebebasan bersuara – freedom of speech. Sebaliknya adalah mengenai tanggungjawab penulis membuka ruang ke arah pembinaan Bangsa Malaysia dengan menampilkan kepelbagaian budaya, adat-resam, kepercayaan dan agama untuk dinikmati pembaca. Semuanya musnah apabila dicantas pihak editorial yang terlalu rapuh keimanan dan terlalu tebal perasaan perkauman dalam diri.
Mungkinkah akan tiba pula masanya ada pihak mencadangkan agar semua manuskrip karya yang dihasilkan pengarang “Bukan Melayu-Islam” wajib diserahkan kepada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dinilai dan diluluskan? Bukan kerana unsur Islamik yang mungkin ditampilkan tetapi kerana bimbang “ada unsur penyebaran agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh”.
Mungkin akan disarankan juga supaya karya-karya pengarang kaum India diserahkan oleh penerbit kepada peguam dan pakar undang-undang kerana bimbang kisah mengenai budaya, adat dan cara hidup watak kaum India itu “salah dari segi Akta Penerbitan” dan boleh mengancam keamanan negara.
Pada waktu itu nanti, juak-juak anti-Kavyan serta penolong editor yang menolak cerpen saya dengan fitnah “ada unsur penyebaran agama Hindu” pasti akan tersenyum girang sambil menerima habuan yang dijanjikan pihak tertentu. Dan di pentas yang lain pula, pemerintah akan berkempen secara besar-besaran menggalakkan penulis pelbagai kaum menghasilkan karya Bahasa Malaysia untuk menggambarkan kepelbagaian budaya dan etnik di negara bertuah ini demi mencapai integrasi yang diimpikan bersama.