Projek Dialog

Catatan Ramadhan; Di antara Anak Yatim, Gelandangan dan Shisha

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia (termasuk meratakan kasih sayang). Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya (kasih sayang kepada orang lain).” (Riwayat At Tabrani)

Ramadhan tiba lagi. Untuk sebahagian besar masyarakat Melayu-Islam di Malaysia ini, bulan Ramadhan adalah bulan untuk mengumpul pahala. Namun buat sesetengah golongan masyarakat, bulan Ramadhan adalah bulan rezeki buat mereka. Untuk anak-anak yatim dan miskin yang menduduki rumah-rumah kebajikan, jadual mereka penuh dengan jemputan majlis berbuka dan jemputan membeli baju raya. Untuk golongan gelandangan pula, banyak pihak menghulurkan bantuan bekalan makanan dan pakaian. Dua pengalaman Ramadhan saya iaitu Ramadhan 1433 yang lalu dan Ramadhan kali ini adalah pengalaman yang berbeza tetapi signifikan. Biar saya ceritakan catatan Ramadhan tersebut secara ringkas. Anak Yatim dan Miskin 1 Ramadhan 1433 yang lalu, saya dan rakan-rakan Teach For The Needs yang lain berpeluang bertandang ke Rumah Anak Yatim Darul Hikmah, Gopeng untuk menyampaikan sumbangan dan menjalankan aktiviti #TFTN di sana. Di sana kami berkenalan dengan Dahrul dan 47 anak-anak berumur seawal 4 tahun hingga 17 tahun. Mendukung anak-anak berumur 6 dan 7 tahun, terdetik di hati kami, apa rasanya hidup di rumah anak yatim sejak dari kecil? Apa rasanya berbuka tanpa ibu dan bapa? Apa rasanya hidup di dalam asrama sejak dari kecil sepanjang masa, tanpa ada waktu pulang ke kampung?  Siapa yang akan mengejutkan mereka bersahur? Apa perasaan mereka di pagi raya? Semua persoalan ini membunuh perasaan dan emosi kami. Persoalan bertambah; siapa yang akan membantu mereka menjawab segala macam soalan sebagai anak kecil? Siapa yang akan membantu mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh sekolah? Siapa yang akan memastikan kebersihan dan kesihatan mereka terjaga? Akhirnya, Ramadhan menjawab. Yang anak-anak ini perlukan bukanlah majlis berbuka saban hari. Yang anak-anak ini perlukan bukanlah baju melayu dan songkok baharu. Mereka tidak minta untuk dibawa makan ke hotel untuk berbuka. Tetapi yang mereka perlukan adalah kasih sayang. Sentuhan hati dan perasaan bahawa ada insan yang menyayangi dan mengambil berat akan mereka. Pencerahan yang kami terima; kerja menyantuni anak yatim ini bukan hanya di bulan puasa sahaja. Gelandangan 10 Ramadhan 1434 yang lalu pula, saya berpeluang mengikuti program #FoodForHomeless anjuran pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) di bawah seliaan saudara Loqman Karim. Lebih 70% dari peserta program ini adalah bakal guru yang akan keluar mengajar beberapa tahun lagi. Menariknya program ini menemukan saya dengan Pakcik Amran, lelaki tua berumur 60 tahun yang berasal dari Johor Bharu dan telah 12 tahun menjadi gelandangan (homeless) di Kuala Lumpur. Beliau menunjukkan kepada kami beberapa kawasan yang menjadi tumpuan gelandangan sepertinya, seperti di Dataran Maybank dan kawasan lapang di hadapan Pudu Raya (kini Pudu Sentral). Menurutnya, gelandangan pada malam itu tidur agak lewat kerana selalunya ada serbuan oleh majlis tempatan pada malam Sabtu. Pakcik Amran meneruskan ceritanya dengan menyoal kami; “Berapa banyak masjid di seluruh Kuala Lumpur ini? Berapa banyak kutipan wang solat Jumaat setiap minggu? Berapa puluh ribu janaan wang ini masuk ke pihak pengurusan masjid setiap bulan? Adakah terjejas aktiviti masjid jika hanya 10% daripada ratusan ribu duit tersebut disalurkan untuk membantu golongan ini?” Kami tersentak dengan soalan Pakcik Amran. Beliau meneruskan; “Semua masjid tutup pintu seawal jam 7 pagi pabila melihat kami. Lalu ke mana harus kami pergi? Negara ini penuh dengan program keraian, perayaan yang meraikan VIP yang memakan puluhan ribu ringgit, tetapi lihat keadaan kami? Jika hari hujan, kami tidur di celah-celah bangunan dalam keadaan duduk sahaja!Di Mana Masyarakat? Soalan-soalan Pakcik Amran membuatkan kami terfikir; di mana masyarakat tatkala golongan marginal seperti anak yatim, miskin dan gelandangan ini memerlukan mereka? Ali Shariati di dalam bukunya ‘Haji’ menulis; “Jalan Allah adalah jalan umat manusia. Dengan perkataan lain, untuk dapat menghampiri Allah, terlebih dahulu engkau harus menghampiri manusia. Bagaimanakah hal itu dilakukan? Untuk mencapai kesalehan engkau harus benar-benar terlibat di dalam masalah-masalah yang dihadapi umat manusia; engkau tidak boleh bersikap sebagai seorang rahib yang memencilkan dirinya di dalam biara; engkau harus terjun ke lapangan dan terlibat secara aktif,” Maka berapa ramai dari masyarakat kita yang berstatus Haji, tetapi meninggalkan masyarakat seperti masjid sekitar Kuala Lumpur meninggalkan golongan gelandangan ini? Satu program tersusun dalam skala jangka masa panjang perlu dirancang untuk membantu mereka. Menurut Pakcik Amran lagi, golongan ini perlu didekati dengan konsep kasih sayang, bukannya melalui serbuan dan tangkapan. Sebuah asrama atau rumah perlindungan perlu disediakan oleh pihak berwajib khususnya oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu. Kita perlu belajar kepada model-model negara luar seperti ‘Coalition For The Homeless’ (USA) atau ‘The Finnish Model’ (The Finnish national programme to reduce long-term homelessness, Finland) yang menyediakan ‘support system’ dari 3 sehingga 6 bulan kepada gelandangan ini untuk membantu mereka mengubah nasib hidup mereka dengan pelan jangka masa sehingga mencecah 10 tahun. Bengkel dan latihan industri melibatkan kemahiran individu perlu dijalankan seiring agar apabila keluar dari rumah ini nanti mereka mampu menyara hidup mereka sendiri. Sebagai sebuah negara yang kaya, masalah 2000 hingga 5000 gelandangan kota ini tidak akan selesai hanya melalui serbuan dan rekod sahaja. Menteri dan Ahli Parlimen perlu turun padang melihat senario dan realiti masyarakat terutamanya di ibu kota. Puluhan juta wang kutipan zakat yang meningkat saban tahun perlu disalurkan untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Majlis Fatwa Kebangsaan mungkin boleh mengeluarkan fatwa – ‘wajib’ untuk Masjid seluruh Malaysia memastikan tiada gelandangan dalam radius 10 atau 20 kilometer dari Masjid dan memastikan 10 hingga 20 peratus duit kutipan digunakan untuk menyantuni golongan miskin ini – bukannya untuk membesar dan mencantikkan masjid. Bukan Lagi Kerja Amal Maka tanggungjawab siapakah untuk memastikan keperluan asas iaitu cinta, kasih dan sayang ini dipenuhi ke atas mereka? Inilah tanggungjawab masyarakat. Umum masyarakat melihat kerja-kerja menyantuni anak yatim, orang miskin dan gelandangan ini adalah kerja amal. Kerja-kerja yang dijalankan untuk menambah pahala. Dari Abu Dzar Radhiyallahu ‘anhu , ia berkata: “Kekasihku (Rasulullah) Shallallahu ‘alaihi wa sallam berwasiat kepadaku dengan tujuh hal, yang pertama adalah supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka,” (Dishahîhkan oleh Syaikh al-‘Allamah al-Imam al-Muhaddits Muhammad Nashiruddin al-Albâni rahimahullah dalam Silsilah al-Ahâdîts ash-Shahîhah (no. 2166). Kesilapan besar masyarakat apabila melihat sisi ini secara individualistik. Kerja amal dilakukan untuk membantu diri sendiri masuk syurga. Masyarakat harus melihat kerja-kerja menyantuni anak yatim , kaum miskin dan gelandangan ini bukan lagi sebagai kerja amal, tetapi sebagai tanggungjawab mereka sebagai masyarakat. Kerja amal ini – bukanlah sebuah pilihan, tetapi bahkan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, golongan yang bernasib baik. “Orang miskin itu bukanlah mereka yang berkeliling meminta-minta kepada orang lain agar diberikan sesuap dan dua suap makanan dan satu-dua butir kurma.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, (kalau begitu) siapa yang dimaksud orang miskin itu?” Beliau menjawab,”Mereka ialah orang yang hidupnya tidak berkecukupan, dan dia tidak mempunyai kepandaian untuk itu, lalu dia diberi sadaqah (zakat), dan mereka tidak mau meminta-minta sesuatu pun kepada orang lain.” Hadits shahîh. Diriwayatkan oleh Muslim (no. 1039 (101)), Abu Dawud (no. 1631), dan an-Nasâ`i (V/85). Dari Sahabat Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu. Lebih malang, institusi yang diharapkan seperti ahli politik, kementerian mahupun pihak berwajib yang melibatkan ‘political will’ tidak lagi boleh diharap. Saya menyeru seluruh kaum mahasiswa untuk menggembleng tenaga turun padang dan memastikan tanggungjawab ini dipenuhi. Mahasiswa dari aliran pendidikan, sosiologi, sains sosial dan ekonomi harus berganding bahu menjalankan kajian empirikal membabitkan latar belakang, faktor sosio ekonomi seterusnya menggerakkan penubuhan rumah-rumah perlindungan untuk membolehkan gelandangan seperti ini ditangani sepenuhnya.  Pelan jangka masa panjang dan pendek perlu dilakar bersama-sama warga korporat untuk membolehkan sekurang-kurangnya 50% gelandangan dapat dihapuskan dalam masa kurang dua tahun dari sekarang. Kajian empirikal ini seterusnya akan membolehkan masyarakat memahami mengapa dan bagaimana ‘sub-culture’ golongan gelandangan ini tercipta serta mekanisme pelan tindakan yang bersesuaian untuk membantu mereka melibatkan beberapa buah kota besar di seluruh negara. Gerakan sosial melibatkan anak muda ini kemudiannya akan membuktikan masalah-masalah masyarakat mampu ditangani jika perhatian serius dapat diberikan. Sesungguhnya, satu-satu persona untuk dihayati dan diikuti adalah Nabi Muhammad SAW. Seperti diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Nabi pernah bersadba; “Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku bersama rombongan orang-orang miskin“; serta; “Orang-orang faqir kaum Muslimin akan memasuki surga sebelum orang-orang kaya (dari kalangan kaum Muslimin) selama setengah hari, yaitu lima ratus tahun” Riwayat at-Tirmidzi (no. 2353, 2354) Inilah ujian besar terhadap masyarakat. Ketika rakyat gah dibuai keputusan besar peperiksaan yang diumumkan oleh kementerian meningkat dan cemerlang saban tahun, masih ramai anak yatim dan miskin yang belum boleh membaca. Ketika pemimpin dan agamawan sibuk berbuka ‘ala-buffet’, terdapat 2000 hingga 5000 gelandangan yang tidak punya makanan sepanjang tahun. Sepanjang sejarah, Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kita dengan sifat Cinta-nya yang begitu tinggi. Beliau menyantuni golongan marginal seperti anak yatim dan kaum miskin seperti keluarga baginda sendiri. Tetapi lihat diri kita sekarang; bagaimana sikap kita terhadap golongan ini? Kemudian kita dengan bangga mendabik dada agama kitalah yang paling benar sekali (dengan melupakan Cinta Nabi Muhammad SAW). Sekurang-kurangnya pada masa hadapan dengan adanya inisiatif oleh kariah setempat terutamanya anak muda untuk menangani masalah seperti ini, imej agama Islam akan lebih dipandang mulia, berbanding perbahasan tetek bengek seperti patutkah selebriti Islamik kahwin lagi atau lebih teruk, halal atau haramkan sisha. Post-Script Dahrul, selepas setahun menjalani kelas intensif #TFTNMembaca, khabarnya sudah boleh membaca (sebelum ini Dahrul adalah anak pendiam yang tidak suka bercampur dengan orang di Rumah Anak Yatim Darul Hikmah). Pakcik Amran pula di akhir perbualan; “Kalau cakap tentang masjid, sebak rasa dada Pakcik. Nak bergenang air mata ni. Yalah, Pakcik dah rasa susahnya hidup begini, mengenangkan pula sikap orang kita yang begitu,

“Jalan menuju Tuhan adalah sebanyak tarikan nafas manusia, tapi jalan yang terpendek adalah berkhidmat kepada sesama” Abu Said Abil Khayr

]]>

Pasca PRU13; Anak Muda dan Politik Barbarian

BEBERAPA hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu, saya menulis sepucuk ‘Surat Terbuka Kepada Kaum Muda’ melalui Projek Dialog kepada Kaum Muda yang mewakili sehingga 42% dari pecahan pengundi berdaftar. Di dalam surat tersebut saya menyeru Kaum Muda untuk membuat pilihan dengan mengenepikan kezaliman untuk membebaskan diri. Seterusnya saya juga tegaskan keharusan untuk kita semua keluar dari tempurung politik perkauman menuju politik kelas seterusnya politik ideologi. Tidak sampai 15 hari dari tarikh kemenangan Barisan Nasional, anak muda dikejutkan dengan penangkapan Adam Adli. Mahasiswa yang sedang menjalani penggantungan kuliah akibat insiden menurunkan muka pemimpin Umno di Menara Umno beberapa tahun lalu; kini dituduh menghasut rakyat untuk menumbangkan kerajaan. Anak Muda dan Solidariti Jika dianalisis corak respon gerakan mahasiswa sedia ada dan respon mahasiswa seluruhnya – dengan jumlah mahasiswa mencecah 500,000 seluruh negara dan ribuan persatuan mahasiswa partisan serta non-partisan; kes penahanan Adam Adli pada kali ini agak lewat mendapat respon. Melalui perbincangan dengan rakan-rakan antara beberapa sebab mengapa mobilisasi mahasiswa untuk menyokong dan seterusnya bersolidariti dengan Adam Adli tidak berjaya adalah kerana; 1) Mahasiswa tidak melihat perjuangan Adam Adli sebagai perjuangan mereka; 2) Adam Adli tidak mewakili suara mahasiswa dan 3) Mahasiswa seluruhnya takutkan kebebasan. Namun perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu dihairankan. Untuk pengamat gerakan mahasiswa, umum mengetahui persatuan dan gerakan mahasiswa sedia ada yang wujud kini diasaskan samada melalui semangat partisan atau semangat kaum, ras atau agama. Kerna itu dapat difahami bahawa sesetengah perjuangan tidak mendapat konsensus dan persefahaman sesama mereka seterusnya membawa kepada sikap yang berlainan terhadap sesuatu isu di antara mereka. Perlunya Gerakan Tersusun Di Chile pada 2011, Camile Vallejo, menginspirasikan gelombang protes yang menyebabkan puluhan universiti ditutup selama beberapa bulan. Keseluruhan semester akademik terpaksa dibatalkan, sehingga 200,000 mahasiswa berarak ke Santiago setiap minggu dengan suasana karnival. Respon polis dikatakan ‘brutal’ sehingga dakwa Vallejo terdapat ‘of torture, sexual abuse’ termasuk ‘tear gas’ dan ‘water cannon’. Vallejo sendiri mengaku dirinya diserang dengan ‘tear gas’ selepas mesyuarat dengan mahasiswa. Patrick Kingsley di dalam temubualnya bersama Vallejo di The Guardian menyatakan protes jalanan ini tidak seperti protes jalanan oleh mahasiswa seperti di Britain. Ianya lebih radikal dan lebih popular malahan efektif. Sehingga 2011, sekitar 70% penerimaan pelajar terhadap gerakan ini. Dua menteri berjaya diturunkan dari kabinet kerajaan dan di tengah-tengah gerakan ini adalah Vallejo, seorang gadis 23 tahun. Menariknya perjuangan Vallejo adalah pendidikan percuma. Tulis Patrick Kingsley lagi, New York Times menganggarkan kos yuran universiti di Chile untuk ijazah pertama sehingga USD 3400 sementara purata pendapatan tahunan penduduknya hanyalah USD 8500. Vallejo menegaskan hanya 40% dari rakyat Chile mendapat pendidikan percuma, selebihnya perlu berhutang – atau tidak mempunyai pendidikan. Perangi Politik Barbarik Bezanya di Malaysia, gerakan mahasiswa sedia ada tidak tersusun malah terpecah dan terbahagi mengikut sentimen dan kepentingan sendiri. Inilah masanya anak muda memulakan dialog dan perdebatan untuk menyatukan gerakan sedia ada. Menurut Vallejo, ‘2011 was the product of 10 years of debate’ – merujuk kepada 10 tahu lalu di mana gerakan pelajar di Chile memulakan inisiatif untuk menyatukan masalah-masalah spesifik untuk diberi perhatian. Gerakan mahasiswa di Malaysia perlu segera sedar bahawa mereka kini perlu bergerak jauh ke depan dari Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang kini sudah berusia 42 tahun. Menjelang 2020 – anak muda harus segera bangun menggunakan iPhone dan gajet canggih untuk mencerahkan rakan masing-masing tentang penindasan dan pencabulan hak mahasiswa melalui AUKU. Inisiatif bersama untuk keluar dari kepompong AUKU ini sangat perlu diberi perhatian untuk melawan politik barbarik pasca PRU-13 ini. Mahasiswa harus segera sedar bahawa perjuangan mahasiswa dan anak muda, kebebasan akademik, perjuangan kelas dan perjuangan mencapai demokrasi bukan sekadar melalui menjatuhkan kerajaan sedia ada. Anak muda melalui mahasiswa harus bangun dan bergerak untuk berjuang atas dasar kepentingan masyarakat. Isu pendidikan, isu ekonomi, isu sosial dan pelbagai isu lagi perlu dijadikan landasan untuk sebuah gerakan yang akan menyatukan mahasiswa untuk mengubah Malaysia menjadi lebih baik. Perjuangan dengan ideologi dan pemikiran adalah lebih stabil berbanding perjuangan berasaskan sentimen perkauman dan agama. Anak muda juga harus segera menolak perjuangan partisan yang pada akhirnya asyik mengkeldaikan anak muda untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui laungan-laungan yang superfisial. Mereka harus sedar untuk mengubah realiti masyarakat – tidak semestinya melalui revolusi, tetapi pertamanya perlu melalui gerakan dan aktivisme mereka sendiri. Parti politik bukanlah satu-satunya kunci untuk menyelesaikan masalah-masalah struktur yang membelenggu sistem di dalam negara ini. Inilah masanya anak muda terutamanya mahasiswa menggembleng diri untuk mengupayakan diri mereka menjadi kuasa pendesak baharu. Zaman totalitarian Mahathirisme telah lama berlalu – ketakutan terhadap undang-undang ala-Hammurabi seperti AUKU perlu segera diselesaikan. Membangun Generasi Baharu Youtube dan Instagram perlu digunakan sepenuhnya untuk memulakan projek debat dan dialog untuk mencari titik persefahaman di antara anak muda berdasarkan ideologi dan pemikiran yang pelbagai; bukan untuk menyebarkan ‘gwiyomi’ atau menambah-banyak ‘Harlem Shake’. Facebook dan Twitter memerlukan lebih ramai anak muda untuk berpartisipasi secara aktif di dalam masyarakat dan melakukan pelbagai perubahan sosial darinya. Pada waktu-waktu beginilah anak muda perlu bangun dan perjuangkan masyarakat tertindas dari segi ekonomi dan pendidikan sebagaimana yang diperjuangkan anak muda di Chile. Saya percaya, untuk membangun generasi baharu, terutamanya anak-anak yang sedang berada di dalam buaian sekarang, memerlukan anak muda dan mahasiswa yang tahu untuk mencipta sejarah. Anak muda di Chile misalnya telah bangun untuk menyatakan sikap mereka terhadap penindasan dan diskriminasi sosial terhadap kaum miskin berkenaan pendidikan. Tanpa campur tangan parti politik, mereka turun ke jalan raya kerana percaya bahawa perubahan perlu dilakukan oleh diri mereka sendiri. Dengan bantuan Web of Science, Thompson Reuters dan 1001 Jurnal ISI lagi, anak muda di Malaysia harus percaya bahawa masa depan negara adalah di dalam tangan mereka dan bukan lagi di tangan pemimpin parti yang berusia 60 atau 80 tahun. Camilla Vallejo di dalam temu ramah itu juga menyatakan;  “We realised the problem was bigger, the problem was structural,”. Vallejo kemudian meneruskan; “The debate became about the link between education and the bigger economic model in Chile,“. Oh ya, di sana mereka tidak bicara soal ‘Ahkam al Bughah’ atau masih tidak habis belajar mahu sibuk dengan politik atau pelajar tidak perlu campur tangan dalam keputusan kerajaan. Malangnya di Malaysia, anak muda dan mahasiswa sendiri masih tidak pasti mahu menyokong Adam Adli atau tidak kerana beliau ‘berambut panjang’ dan ‘memakai gelang’. Saya runsing kerana pasca PRU-13 ini, anak muda sendiri yang memandu Malaysia kembali ke arah Politik Barbarian. Kata guru saya; sejarah membuktikan – kerja melawan anak muda – selalunya sia-sia. *Penulis tidak berniat untuk membandingkan struktur sosio-ekonomi Chile dengan Malaysia sedangkan kemunculan gerakan partisipasi mahasiswa bergantung kepada pelbagai faktor luaran. Sebagaimana lapor Milton L. Vidal di dalam Global Dialogue (Volume 2 Issue 4); “Chile is an emerging country of the OECD. According to this organization, Chile has a Gini score of 0.50, which represents the highest inequality among the countries in this category (Society at a Glance, Social Indicators, OECD, 2011). The average income of the richest 10% of Chileans is higher than Norway’s, while that of the poorest 10% is similar to that of the population of Ivory Coast. The majority of Chileans (60%) have, on average, a lower income than Angolans,”

]]>

Sastera dan cerita kepada kemanusiaan

 “Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai.” Pramoedya Ananta Toer

BERPULUH tahun dahulu, seorang pemimpin negara yang ‘berpandangan jauh’ telah mengemukakan sebuah dasar negara yang tidak pernah difikirkan rakyat biasa. Dasar tersebut (yang telah menyebabkan beliau popular dan dikagumi ramai) dinamakan Wawasan 2020 – dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang bakal memacu Asia menjelang tahun 2020 nanti. Wawasan 2020 yang dibisikkan ke dalam mimpi masyarakat untuk membina peradaban industri maha hebat – telah menyebabkan rakyat dibuai dengan impian indah ‘kereta terbang’ dan ‘polis robot’ ketika poster-poster Malaysia 2020 diedarkan kepada anak sekolah. Akibatnya, aliran Sains diperkenal dan diberi keutamaan – sehingga – aliran Sastera terperuk dan terperosok di celah-celah cita-cita anak muda. Sastera bahkan diperkenal di sekolah-sekolah hanya sebagai bahan uji-kaji, untuk melihat keberkesanan otak pelajar menghafal 32 nilai murni yang diajarkan. Mengejar status negara industri sempena tahun 2020; murid diajar untuk menganalisis Sonnet 18 tetapi bukannya Syair Perahu. Di Barat, anak muda masih belajar naskhah Pierre de Ronsard (1524-1585) atau Victor Hugo (1802-1885). Malangnya di Malaysia, anak muda tidak diperkenalkan kepada Hamzah Fansuri (lahir akhir abad ke-16) Perang dan Peperangan Dalam tradisi pendidikan moden Eropah dan dunia Barat, Sastera dipandang tinggi kerana kemampuannya bercerita dengan bersahaja tentang aparat dunia. Kemiskinan, kepayahan hidup, tragedi bahkan perang yang mengerikan; Sastera senantiasa ada cara untuk menyampaikannya kepada masyarakat. Dr Zhivago karangan Boris Pasternak misalnya mengisahkan kehidupan warga Rusia yang dipaksa hidup di dalam tragedi peperangan awal abad ke-20. Yuri Zhivago ditinggalkan ibu bapanya yang mati ketika dirinya masih kecil. Kemudiannya berkahwin dan mendapati keluarganya terpaksa berhadapan dengan kekejaman kebuluran dan hukuman akibat peperangan. Zhivago yang lahir pada zaman pemerintahan Tsar, melalui getirnya hidup melalui perang dunia pertama, revolusi sehinggalah kepada perang saudara. Dilahirkan di dalam keluarga yang kaya, Zhivago menjadi miskin akibat sindrom alkoholism ayahnya. Walaupun berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ilmuan yang fokus kepada falsafah dan agama, Zhivago akhirnya akur bahawa perang telah mengubah habis wajah masyarakat Rusia. Setelah melihat banyak kepercayaannya dicabar, wanita-wanita yang dicintainya tidak dapat dipertahankan; Zhivago meninggalkan dunia dengan tiga anak melalui tiga wanita yang berlainan takdir masing-masing iaitu samada dalam pembuangan, kemiskinan atau ketidakpastian. Miskin dan Kemelaratan Sementara itu Victor Hugo di dalam Les Miserables menggambarkan kemiskinan dan kemelaratan sebagai kesan sosial kepada beberapa revolusi di Perancis. Naik jatuh Napoleon dan monarki Bourbon misalnya – digambarkan secara halus melalui gambaran kehidupan seharian. Untuk pembaca yang memerhati, Les Miserables adalah sebuah kritik halus kepada rejim Republikan di Perancis yang gagal menangani secara efektif ketidakadilan sosial serta menamatkan sistem kelas bangsa Perancis. Hugo menyifatkan Battle of Waterloo yang hebat itu misalnya sebagai peperangan yang mengingatkan kita kepada bentuk masyarakat zaman gelap seperti pencuri kuburan yang masih wujud. Revolusi yang diperjuangkan Hugo adalah revolusi moral, yang menukarkan sistem lama yang berasaskan ketamakan dan korupsi dengan kebaikan hati. Selain itu, Hugo juga berjaya mengenengahkan isu anak yatim dan sistem kekeluargaan di Perancis yang agak kucar kacir pada masa tersebut. Valjean, Fantine, Cosette, Marius, Gavroche, Pontmercy, dan Gillenormand kesemuanya terasing dari keluarga masing-masing oleh sebab ekonomi atau politik. Ketidakstabilan sosial dan kemiskinan akhirnya mencipta Cosette, Valjean, Fantine dan Gavroche. Kesemua watak ini menggambarkan kesedihan akibat kesunyian dan kemelaratan. Sastera dan Masyarakat Abugu Benjamin di dalam makalahnya ‘Literature as a reflection of a society’ (2010) menekankan fungsi Sastera untuk membetulkan masyarakat kerana Sastera dianggap sebagai cermin yang membolehkan masyarakat melihat semula ke dalam kesilapan sejarah dan membetulkannya untuk masa hadapan serta sebagai cerminan kepada segala kebaikan yang perlu dicontohi. Selain itu beliau juga menjelaskan Sastera sebagai peniruan terhadap peri laku manusia, seringkali mempersembahkan gambaran pemikiran masyarakat. Watak pula melalui karakter, kata-kata dan reaksi selalunya menyampaikan mesej tertentu sebagai alat pendidikan kepada pembaca. Beliau menambah; “If the works of other playwrights and novelists are studied, the result will be similar: each work reflects the social, political, economic or religious situation of the society in which it is set. Literature is an imitation of human life and action; it is a reflection of the human society. Literature not only reflects the society but serves as a mirror in which members of the society can look at themselves and see the need for positive change,” Steven Denney pula di dalam makalahnya “What is the Role of Literature for Individuals and Society?” (2008) menegaskan dua peranan Sastera kepada manusia dan masyarakat. Peranan pertama Sastera ialah peranan aktif yang menghubungkan manakala peranan kedua ialah peranan pasif dan reflektif. Peranan pertama adalah peranan yang signifikan di dalam perkembangan individu. Dari pembacaan, individu akan membentuk idea dan konsep terhadap dunia yang mereka diami. Idea dan konsep ini akan bergabung di dalam bentuk ideologi. Dari ideologi ini – timbullah kesedaran kendiri, motivasi dan sikap seseorang. Peranan kedua pula ialah bagaimana Sastera berperanan sebagai sebuah pameran atau persembahan terhadap masyarakat tentang ideologi, pemikiran dan perilaku masyarakat. Ia menggambarkan bagaimana sesebuah masyarakat tersebut berfikir pada zaman tersebut dan bagaimana mereka berfikir tentang zaman itu. Ia membenarkan seseorang memahami bagaimana sesebuah masyarakat berfungsi dan mengapa sesebuah perilaku atau kejadian tersebut berlaku. Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Bumi Manusia oleh Pramoedya Ananta Toer, Salina oleh A Samad Said, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka, The Old Man and The Sea oleh Ernest Hemingway, 100 Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez, Siddharta oleh Herman Hesse dan Hadji Murat oleh Leo Tolstoy adalah sebahagian kecil dari contoh bentuk Sastera yang telah memberi pengaruh kepada masyarakat. Manusia dan Kemanusiaan Sepanjang tamadun dunia, tema kemanusiaan seperti perang, kemiskinan, kemelaratan dan ketidakadilan sosial berulang di dalam lingkaran syaitan yang tiada penghujung. Zaman berzaman; cerita-cerita tentang peperangan yang membunuh, kemiskinan yang memelaratkan, ketidakadilan sosial di antara kaum penindas dan kaum tertindas – kekal diceritakan melalui pelbagai ragam sastera lewat zaman tersebut. Sehingga satu masa, penciptaan mesin ke angkasa lepas, gajet sesentuh ala-iPad atau kereta dengan kuasa hibrid – masih tidak mampu membanteras kebuluran, kematian akibat peperangan ataupun penyakit mental akibat tekanan sosial dan ekonomi. Di celah-celah tema kemanusiaan yang berulang ini; wujud satu ruang yang dinamakan Sastera – untuk merakam dan menceritakan semula kepada manusia – perihal manusia dan kemanusiaan; yang tidak pernah memahami antara satu sama lain. Etienne Balibar and Pierre Macherey didalam makalah mereka iaitu “On Literature as an Ideological Form” (1981) melihat kesan buruk Sastera akibat pertarungan politik. Menurut mereka, kesan paling estetik yang boleh Sastera hasilkan ialah kesan dominasi ideologi. Untuk memahami teks – menurut mereka – adalah melalui rantaian kritik dan wacana ideologi. Melalui wacana ideologi akibat kepelbagaian fahaman, individu akan menjumpai ideologi yang paling sesuai buat mereka. Kesannya – individu terdedah kepada ideologi yang paling dominan kepada mereka. Di Malaysia, Sastera nasional telah hilang roh ideologi dan fungsi asalnya. Budaya politik hubris yang kononnya pro pembangunan dan kemodenan juga telah menyebabkan anak-anak tidak lagi menganggap membaca naskhah Sastera sebagai sesuatu yang ‘cool’ – tetapi melihat permainan video dan perkembangan dunia digital sebagai pilihan mereka. Sistem pendidikan yang membanding bezakan pelajar menurut aliran Sains dan Sastera – berdasarkan pencapaian akademik juga nampaknya telah memberi kesan secara sosial dan moral kepada masyarakat. Pasca kapitalisme 4.0; manusia yang sudah hilang manusia-nya barangkali lupa bahawa kemanusiaan itu tidak boleh ditukar-ganti dengan materialisme. Sejarah yang melihat pertentangan sengit di antara manusia dan kemanusiaan ini; sebenarnya sedang menunggu kemanusiaan alternatif untuk menggantikan peradaban sedia ada yang sangat menjengkelkan. Yang negara perlukan kini ialah 1000 lagi Pak Samad untuk berperi kepada anak bangsa tentang kemanusiaan, kejujuran, baik hati dan keihklasan dan mengingatkan kita tentang mini naratif kaum tertindas dan marginal seperti anak yatim dan golongan miskin; bukannya golongan politisi yang mempromosi politik lucah, anti-ideologi atau perkauman. Untuk anak muda, membangun negara bukan sekadar dengan susun donut; tetapi juga menyantuni Sastera sendiri. Bak kata Sasterawan ulung negara; Usman Awang; “Kesusasteraan adalah suatu alat yang penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata yang besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat. Alat dan senjata ini amat besar gunanya untuk menggulingkan segala keburukan dalam kehidupan rakyat. Dan tugas pertama dalam perhitungan ini adalah terpikul di atas bahu sasterawan-sasterawan angkatan baru kita yang sedikit masa dahulu hebat memperkatakan hak-hak kewajipannya.” Usman Awang- Mingguan Melayu, 25 Mei 1952 Ingatkan pemimpin kita bahawa Sastera perlu dibawa masuk kembali ke dalam masyarakat – untuk mengingatkan anak bangsa masa hadapan tentang perkara-perkara yang sedang kita lalui kini. Watak seperti Dr Zhivago, Jean Valjean, Salina, Minke, Zainudin mahupun Lahuma perlu dibaca dan dikenali. Jika tidak, kemanusiaan akan hanya kekal retorik – yang tidak akan dikenali oleh anak bangsa kita pada masa hadapan. Wahai muda kenali dirimu, ialah perahu tamsil tubuhmu, tiadalah berapa lama hidupmu, ke akhirat jua kekal diammu. Hai muda arif-budiman, hasilkan kemudi dengan pedoman, alat perahumu jua kerjakan, itulah jalan membetuli insan. – Syair Perahu, Hamzah Fansuri

]]>

Surat Terbuka Kepada Kaum Muda: Di Antara Politik Perkauman, Politik Kelas dan Politik Ideologi

Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian. Izinkan saya dengan rendah diri menulis kepada saudara sekalian berkenaan dengan titik tolak permulaan negara dan bangsa kita yang baharu pasca 5 Mei 2013 ini. ALI SHARIATI, seperti dibincangkan oleh Jalaludin Rahmat ketika berbicara mengenai Habil mengungkapkan: ‘Kelompok yang diwakili Habil adalah kelompok taklukan dan tertindas; yakni, rakyat yang sepanjang sejarah dibantai dan diperbudak oleh sistem Qabil, sistem hak milik individu yang memperoleh kemenangan dalam masyarakat. Peperangan antara Habil dan Qabil adalah pertempuran sejarah abadi yang telah berlangsung pada setiap generasi. Panji-panji Qabil senantiasa dikibarkan oleh penguasa, dan hasrat untuk menebus darah Habil telah diwarisi oleh generasi keturunannya – rakyat tertindas yang telah berjuang untuk keadilan, kemerdekaan dan kepercayaan teguh pada suatu perjuangan yang terus berlanjut pada setiap zaman.’ Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati melihat para Nabi Ibrahimiyah, yang dibezakan dengan Nabi non-Ibrahimiyah seperti Confucius, Budha, Zarasthura adalah pelanjut perjuangan Habil. Nabi Ibrahim misalnya berdiri menentang Namrud. Nabi Musa membela Bani Israil yang lemah melawan Firaun yang perkasa. Nabi Isa pula hadir menggembirakan kaum ‘fuqara’ dengan melecehkan Kaisar manakala Nabi Muhammad SAW duduk di samping orang miskin dan hamba abdi untuk membebaskan mereka. Di Malaysia, tanggal 5 Mei 2013 ini akan jadi titik paling penting buat ‘Kaum Muda’ iaitu saudara-saudari sekalian. Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Timbalan Pengerusi-nya pada 3 April 2013 yang lalu; penambahan 2.37 juta atau 21.69 peratus jika dibandingkan dengan jumlah pemilih pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 menjadikan jumlah keseluruhan pengundi adalah seramai 13,291,385 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Menurutnya lagi, SPR akan menggunapakai Daftar Pemilih (DP) sehingga suku 4/2012 yang diwartakan pada 22 Februari 2013 memandangkan daftar pemilih bagi suku pertama 2013 belum sempat untuk diwartakan. Berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan suku keempat 2012, seramai 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripadanya pengundi yang layak memilih merupakan pengundi muda berusia di bawah 40 tahun. 42 peratus atau hampir separuh dari pengundi berdaftar ini terdiri dari ‘Kaum Muda’ – menjadikan saudara semua golongan paling signifikan kesannya terhadap keputusan pilihanraya ke-13 kali ini. Politik Perkauman Jika diperhatikan dari 3,024, 909 keseluruhan 42 peratus pengundi ‘Kaum Muda’ ini, 22.76 peratus pengundi yang berumur antara 30 hingga 39 tahun lahir seawal 1974 manakala 19.1 peratus pula pengundi berumur 21 hingga 29 tahun yang lahir seawal 1984. Oleh yang demikian tidak hairanlah jika masih ada sebahagian besar dari ‘Kaum Muda’ yang masih melanggan idea ‘Politik Perkauman’ kerana ketika mereka lahir sekitar 1974, televisyen di Malaysia masih hitam putih. Segmen-segmen di dalam kepala, otak dan fikiran mereka masih terbahagi kepada sistem pengasingan parti berasaskan kaum dan dogma murahan berbentuk politik merengek seperti hak keistimewaan dan eksklusiviti sesuatu kaum. Malangnya wacana politik sempit seperti ini tidak membincangkan perihal letak duduknya kaum Melayu walaupun kaum Melayu telah berkuasa sepenuhnya selama 55 tahun. Saya cuma teringat satu pepatah pemimpin ultra-nasionalis Melayu tidak lama dahulu iaitu; “Melayu mudah lupa’. Melayu mudah lupa betapa setelah 55 tahun berkuasa, pegangan ekuiti Bumiputera masih di takuk 19%. Melayu mudah lupa sehingga 2009, Bumiputera membentuk sehingga 80% dari pendapatan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM 1000 sebulan sementara sehingga 57.9% Bumiputera masih berpendapatan di bawah RM 3000 sebulan. Melayu juga mudah lupa setelah 55 tahun, dari 219,868 isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan, 189,165 darinya adalah Bumiputera berbanding 12,212 adalah India, 10,370 Cina dan 8,121 adalah lain-lain. Malah Melayu juga mudah lupa, Data juga menunjukkan dari 15% penduduk Malaysia yang mempunyai ‘zero wealth’, 72% adalah Bumiputera, 17% adalah Cina dan 10.7% adalah India. Melayu juga mudah lupa, Bumiputera membentuk sehingga 72% ‘unskilled workforce’, 67% sebagai operator mesin dan sehingga 60% pekerja am. Malah statistik pemilikan bangunan komersil juga menunjukkan Bumiputera hanya memiliki 13% bangunan, 12% kompleks perniagaan, 15% premis industri dan 14% hotel. Politik Kelas Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian, Kerana itu saya fikir ini masa paling kritikal untuk saudara-saudari semua membuat analisis terhadap perkembangan budaya politik pasca-merdeka yang terhasil dengan fragmen perkauman yang tebal ini. Dasar Ekonomi Baru, MARA, sistem meritokrasi, kuota pengajian tinggi, sistem sekolah berasrama penuh dan seribu satu projek kroni lagi dibantu dan didukung oleh partai politik perkauman paling besar di negara ini – masih gagal meningkatkan ekuiti kaum Melayu. Lebih menyedihkan, kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai lapangan masih corot. Yang perlu diberi perhatian kini adalah situasi ekonomi yang semakin menghimpit. Jurang pendapatan semakin melebar. 4.5% isi rumah memperoleh pendapatan secara purata kurang dari RM 800 sebulan, 52.8% isi rumah memperoleh kurang dari RM 3000 sebulan, 75.9% memperoleh kurang dari RM 5000 sebulan dan 96% rakyat Malaysia memperoleh pendapat kurang dari RM 10,000 sebulan sementara hampir tiada pertumbuhan terhadap 40% golongan berpendapatan rendah semenjak 1990 (14.5%), 2000 (14%) dan 2009 (14.5%). Ini bukan masanya untuk kita melihat Malaysia menggunapakai kerangka perkauman kerana golongan berpendapatan rendah, kaum miskin dan golongan pekerja ini terdiri dari pelbagai jenis kaum dan berbangsa 1Malaysia! Oleh yang demikian, kita perlu segera beransur bergerak ke arah perjuangan politik berasaskan kelas untuk membantu masyarakat kelas bawah dan pertengahan menikmati hidup yang lebih baik. Malaysia sebuah negara yang kaya dan kekayaan hasil bumi ini harus ditadbir secara adil untuk dikongsi bersama oleh rakyat, bukannya keluarga atau kroni. Bayangkan sehingga 2009, 52.8% rakyat Malaysia masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 150,000 ke atas dan 75.9% rakyat masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 250,000 ke atas? Politik Ideologi Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian. Perjalanan politik negara kita untuk keluar dari ‘politik perkauman’ dan ‘politik kelas’ menuju ‘politik ideologi’ masih jauh jika kita masih tersangkut dengan perihal tetek-bengek seperti ‘Singapura akan menakluki Malaysia’, ‘Lim Guang Eng akan menjadi seperti Lee Kuan Yew’ ataupun ‘Mat Taib adalah mudarat kecil berbanding mudarat besar terhadap agama’. Saya menyeru saudara-saudari sekalian untuk keluar dari kepompong politik tradisional yang melihat isu perkauman dan menggunakan agama untuk mengekalkan status quo masing-masing. Di Eropah dan negara Scandinavian, politik ideologilah yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bukannya politik perkauman. Jika Umno-BN selama 55 tahun tidak dapat meningkatkan ekuiti Melayu melepasi paras 20%, apakah yang akan memastikan 8 calon Muslim berwibawa melakukannya? Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati merumuskan para Nabi adalah orang-orang yang lahir di tengah massa (ummi) lalu memperoleh tingkat kesedaran (hikmah) yang sanggup ‘mengubah satu masyarakat yang korup dan beku menjadi kekuatan yang bergejolak dan kreatif, yang pada gilirannya melahirkan peradaban, kebudayaan dan pahlawan’. Menurut Shariati lagi, para Nabi bukan sekadar mengajarkan zikir dan doa, tetapi dengan ideologi pembebasan. Empat manusia yang disebut di dalam al-Quran menurut Shariati dilambangkan dengan Firaun, Haman, Qarun dan Bal’am. Firaun dikatakan sebagai penguasa yang korup, penindas yang selalu merasa benar sendiri, toggak sistem kezaliman dan kemusyrikan. Haman pula mewakili kelompok teknokrat, ilmuan yang menyokong tirani dengan melacurkan ilmu. Qarun mewakili kaum kapitalis, pemilik sumber kekayaan yang menghisap seluruh jerih penat massa. Manakala Bal’am melambangkan kaum ‘ruhaniyun’ iaitu tokoh agama yang menggunakan agama untuk melgitimasikan kekuasaan yang korup untuk menindas masyarakat. Untuk 5,564,131 saudara-saudari ‘Kaum Muda’ yang bakal mengundi 5 Mei ini, pada setiap zaman, keempat-empat jenis manusia ini akan selalu tampil sebagai pendukung status-quo dan juga penentang perubahan sosial. Untuk Malaysia 30 tahun ke-hadapan; inilah persimpangan kita antara mengekalkan kezaliman pemerintahan sedia ada yang telah 55 tahun berkuasa – atau memiliki keberanian untuk melawan penindasan dan membebaskan diri. Saudara-saudari ‘Kaum Muda’ sekalian; buat permulaan marilah kita bersama menentang kezaliman dan penindasan untuk membebaskan diri dan masyarakat dari belenggu jahiliyah ini!     *Data dan statistik diperoleh dari EPU, DOSM, HIS 2009, HDR 2011, World Databank dan BNM. Untuk maklumat lebih lanjut rujuk Blindspot; www.facebook.com/blindspot.msia  

]]>

Sistem pendidikan; alat kasta sosial

“School has become the world religion of a modernized proletariat, and makes futile promises of salvation to the poor of the technological age.” Ivan Illich, Deschooling Society

ZAMAN BERZAMAN, pendidikan dijadikan komoditi untuk berniaga. Zaman moden pasca abad ke-21 ini lebih aneh – disebalik gajet-gajet canggih dan sistem keselamatan sosial oleh negara berkebajikan – golongan yang miskin; tetap tidak mampu untuk mempunyai pendidikan. Sebaliknya, golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai kewangan yang kukuh – akan lebih mudah mendapat peluang. Satu masa dahulu, masyarakat terbahagi kepada beberapa teres dan strata sosial yang menjadikan manusia terbahagi kepada kasta-kasta. Dari generasi ke generasi, manusia dirabunkan daripada \ memahami realiti percanggahan di antara golongan elit dan golongan miskin.    Lebih malang, percanggahan itu  masih kekal berlaku sehingga kini; melalui sistem pendidikan. Politik Persaingan Untuk memahami bagaimana sistem ini berjalan, kita harus teliti bagaimana sistem pendidikan yang dilaksanakan di sesebuah negara itu. Pengasingan sosial ini selalunya diterapkan seawal mungkin, pada usia yang muda untuk membentuk minda masyarakat terbabit. Kadangkala percanggahan elit dan miskin ini ditukar-ganti dengan nama yang muluk-muluk untuk menenangkan ketegangan sosial di antara kelas. Ini yang dinamakan politik persaingan. Dalam politik persaingan, murid dibahagikan kepada beberapa kategori samada pandai, sederhana dan tidak pandai. Mereka kemudian dikumpulkan mengikut label tersebut. Sepanjang tahun, ada murid yang tidak pernah naik kelas sederhana ataupun cemerlang. Mereka kekal menghuni kelas hujung sehingga tamat persekolahan. Dalam politik persaingan, mereka yang mampu bersaing akan dibenarkan hidup, menghuni kelas atas untuk mentadbir kelas bawahan. Dan perkara ini diajarkan seawal anak-anak kecil dengan umur 7 tahun. Sementara mereka yang tidak mampu bersaing, tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi akan dipaksa untuk menghuni kelas bawahan untuk menjadi orang suruhan kelas atasan. Pengasingan Kelas Proses terancang untuk memastikan pengasingan kelas di antara kelas miskin dan kelas elit ini tidak terhad di dalam bilik darjah sahaja. Di luar kelas, murid yang menduduki kelas hadapan ini akan menghadiri kelas-kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan seberapa banyak yang boleh, kerana mereka mempunyai kemampuan kewangan yang membolehkan mereka berbuat demikian. Sementara itu murid-murid kelas belakang yang majoritinya datang dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah – tidak mampu menghadiri kelas tambahan dan bengkel menjawab soalan akibat kekangan kewangan. Kuasa kewangan digunakan sebagai alat untuk mengasingkan kelas-kelas yang berbeza ini. Di hujungnya, sebuah padang yang tidak rata untuk anak-anak ini bersaing kerana peluang yang jauh berbeza. Pengasingan ini nampaknya tidak terhenti di situ sahaja, murid-murid dibahagikan kepada aliran Sains dan Sastera mengikut kemampuan akademik mereka yang diukur hanya melalui satu penanda aras; bukan kepada minat dan kecenderungan peribadi. Murid yang cemerlang peperiksaan pada satu-satu tahap akan dipaksakan oleh sistem untuk menganut aliran Sains tanpa pilihan, sementara murid yang tidak cemerlang pula akan dihantar masuk aliran Sastera, juga tanpa pilihan. Akibatnya, aliran Sains dipenuhi dengan manusia analitikal tanpa jiwa seni; sementara aliran Sastera dipandang jelek kerana dipenuhi dengan mereka yang tidak cemerlang dalam ukuran akademik. Hegemoni Kelas Dominan Berbeza dengan negara maju, aliran Sains dan Sastera dipenuhi oleh individu yang mempunya ‘passion’ terhadap Sains atau Sastera itu sendiri kerana mereka memilih untuk masuk ke aliran tersebut bukan berdasarkan pencapaian linear satu-satu ujian, tetapi berdasarkan minat dan kecenderungan yang dipupuk dan disedari sejak dari kecil. Maka lahirlah generasi Sains yang berlumba-lumba untuk menempatkan diri mereka di kelompok atas masyarakat tanpa memikirkan golongan lain; serta generasi Sastera yang tidak pandai menulis atau ber-sastera. Perkara ini begitu jelas sehingga dapat dilihat kepada bentuk bangunan yang dihasilkan tanpa ciri-ciri seni yang tinggi; ataupun kepada industri sastera yang dipenuhi dengan karya oleh individu di luar aliran sastera itu sendiri. Antonio Gramsci menggunakan istilah ‘hegemoni’ untuk menggambarkan dominasi sesebuah kelas terhadap kelas yang lain. Ini menurutnya bukan sekadar keupayaan untuk kawalan politik dan ekonomi, tetapi juga keupayaan kelas dominan ini untuk memperlihatkan sudut pandang mereka terhadap kelas yang dikuasai. Ini menyebabkan kelas yang dikuasai memandang perkara ini sebagai sesuatu yang ‘normal’. Persaingan vs Kerjasama Manakala terma yang digunapakai untuk melunakkan sistem yang mengajarkan perhambaan moden ini adalah persaingan. Anak-anak kecil diajarkan bersaing kerana disisipkan di dalam pemikiran mereka sikap individualistik. Seperti anak-anak Sparta, politik persaingan menyebabkan yang berjaya memasuki kelas hadapan akan memasuki universiti ternama seterusnya mempunyai pekerjaan baik-baik pada masa hadapan. Sementara anak-anak yang menghuni kelas belakang pula, tidak akan mempunyai akses kepada pengajian tinggi seterusnya akan mengisi kekosongan jawatan kelas pekerja bawahan. Item seperti ‘self esteem’, sikap percaya diri serta nilai seperti keadilan dan kesetaraan tidak dapat diimplementasi ke dalam minda anak-anak kelas belakang kerana di akhir sesi persekolahan, mereka akan melihat kejayaan rakan-rakan mereka di kelas hadapan dengan perasaan iri dan hairan. Mengapa rakan-rakan mereka mempunyai peluang yang tidak sama seperti mereka? Mengapa rakan-rakan mereka itu tidak hadir dan membantu mereka untuk sama-sama naik dalam pelajaran? Golongan ini, yang pada akhirnya kecewa dan tidak percaya kepada pelajaran, memilih untuk meneroka perkara baharu kerana tidak dapat memahami keperluan sekolah dan pelajaran di dalam diri mereka. Ini terjadi kerana pelajaran tidak sedikitpun membantu mereka menangani kesukaran hidup, malah membeza-bezakan pula mereka di antara satu sama lain. Melalui hegemoni juga Gramsci menyatakan, keseluruhan sistem kepercayaan, nilai, perilaku serta moral mempunyai kesan untuk menyokong status quo di dalam hubungan kekuasaan ini. Dalam konteks ini, hegemoni boleh didefinisikan sebagai ‘prinsip terancang’ yang disisip ke dalam proses sosialisasi kehidupan seharian. Kesedaran seperti ini dimasukkan ke dalam fikiran populasi awam sehingga ia dikenali sebagai aturan awam agar falsafah, budaya dan moral penguasa elit terpapar sebagai sesuatu yang ‘normal’ sekali lagi. Masa Depan Pendidikan Moden Untuk yang bijak memerhati, punca kepada permasalahan ini adalah apabila institusi pendidikan menjadi terlalu rigid dengan arahan ‘monotonous’ melalui hegemoni pelan mengajar, kurikulum, pedagogi dan ketidakmahuan sistem untuk melihat kepada masalah politik dan budaya. Douglas Kellner di dalam makalahnya ‘Toward a Critical Theory of Education’ menekankan perkembangan pedagogi radikal akan membolehkan guru melepaskan diri mereka dari model sebegini untuk melihat kepada beberapa model lain yang lebih menekankan kerjasama seperti ‘Deweyan experimental education’, pedagogi alternatif dari Freire atau konsep baharu pendidikan oleh Illich. Menurutnya lagi, pembelajaran koperatif yang melibatkan lebih banyak dialog serta hubungan sosial yang interaktif mampu mempromosi demokrasi, sikap kerjasama serta nilai sosial positif terutamanya untuk memenuhi sifat percaya diri dalam pembelajaran. Pembelajaran moden yang melihat dunia di dalam fesyen linear berdasarkan cetakan-cetakan sejarah sebenarnya sedang menipu manusia kerana perhambaan masih lagi berlaku samada di negara ketiga mahupun negara pertama. Yang berubah hanyalah terma-terma teknikal yang tidak difahami umum untuk mengaburi mata awam. Jika pendidikan moden masih menggunapakai politik persaingan, membahagi murid berdasarkan potensi intelek semata-mata, mengajarkan superioriti individu lebih tinggi dari kerjasama serta berfungsi untuk mengekalkan kelas-kelas sedia ada untuk memastikan kuasa elit untuk memerintah golongan bawahan; nyatalah pendidikan moden telah menjadi alat kepada sebuah sistem lama yang satu masa dahulu dikenali sebagai kasta. Oh, tidak seorang pun di kalangan kita menyedarinya bukan?  “School is the advertising agency which makes you believe that you need the society as it is.” Ivan Illich. ]]>

Anak muda; antara identiti dan titik perjuangan

Philosophy consists of offering reassurance to children. That is, if one prefers, of taking them out of childhood, of forgetting about the child, or, inversely, but by the same token, of speaking first and foremost for that little boy within us, of teaching him to speak—to dialogue—by displacing his fear or his desire.

Jacques Derrida, Dissemination

SAYA kira ini adalah waktu paling kritikal buat anak muda. Situasi politiko-sosio-ekonomi negara memerlukan lebih dari stamina dan semangat anak muda – iaitu kapasiti intelektual untuk memahami, mencerna dan menganalisis situasi ini untuk diterjemah kepada tindakan yang sesuai. Anak muda yang sinonim dengan semangat tinggi, energetik, arogan dan besar kepala pada hari ini terbahagi kepada beberapa blok dari satu ekstrim ke satu titik ekstrim yang lain. Terima kasih kepada Internet, ‘zeitgeist’ anak muda kini dipengaruhi sentimen media sosial seperti Facebook dan Twitter. Situasinya seperti di ‘war zone’; peperangan wacana menjadikan anak muda zaman ini berdepan dengan isu dan idea yang lebih radikal dan progresif. Maklumat bukan lagi hak eksklusif penerbit buku – aliran-aliran pemikiran bercambah dari falsafah kepada aktivisme, sosialisme kepada ‘post-capitalism’ atau konservatis kepada neoliberalisme. Peter Trifonas ketika membahaskan tentang pemikiran ‘deconstruction’ Jacques Derrida – mengambil semula kata-kata Derrida di dalam “The Time of a Thesis: Punctuations,” iaitu; “to substitute for what exist[s] some type of non-thesis, non-legitimacy or incompetence,” – membayangkan formaliti dan pengulangan semula bentuk pemahaman di dalam pemikiran dan pendidikan bukanlah tanggungjawab sebaliknya apa yang lebih penting adalah sikap akauntabiliti untuk mencipta pemikiran kritis. Peter Trifonas kemudian melanjutkan ‘deconstruction’ sebagai ‘new way of reading’ – menggambarkan aliran pemikiran sebelum ini tidak lain hanyalah tulisan; saintifik, estetik, falsafah atau keagamaan – Derrida memberi makna baharu konseptual yang kekal berdiri sendiri – berbeza dan tidak berbeza secara simbolik tanpa keraguan. Mencari Identiti Melihat kembali ke belakang, sejarah membuktikan gerakan anak muda pasca-merdeka sungguh berbeza. Dari isu setempat sehingga ke peringkat antarabangsa, gerakan-gerakan yang ada berfungsi menjangkau jauh dari penubuhan gerakan itu sendiri. 1968, pelajar Universiti Malaya berhimpun di hadapan kedutaan Kesatuan Soviet untuk membantah penaklukan terhadap Czechoslavakia. Mengambil inspirasi dari insiden pelajar Perancis menghadapi De Ganlle, anak muda pada kali ini berhadapan dengan keganasan polis dan gas pemedih mata buat pertama kalinya. 1968 juga, isu bahasa Melayu dan Polisi Pendidikan Kebangsaan menjadi perhatian mahasiswa dan anak muda. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah mengadakan simposium berkenaan isu tersebut. Menurut anak muda ini, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu dan Polisi Pendidikan Kebangsaan adalah perjuangan mereka. 1967, diketuai Hamid Tuah, sekumpulan petani telah meneroka sebidang tanah di Telok Gong, Selangor. Walaubagaimanapun, tidak lama kemudian pihak kerajaan telah memusnahkan tanaman serta rumah petani tersebut. Hamid Tuah dan pengikutnya ditahan. Sentimen pada waktu tersebut membabitkan para petani miskin yang tidak mempunyai tanah bergelut untuk memiliki tanah. Isu ini menarik perhatian mahasiswa Universiti Malaya. Anak-anak muda dari University of Malaya Students Union (UMSU) dan PBMUM telah keluar untuk menyatakan sokongan mereka. Dikatakan beberapa orang pensyarah juga telah turut serta mengikuti dengan rapat perbicaraan terhadap Hamid Tuah dan petani lain. Penglibatan anak muda dalam kes Telok Gong ini adalah titik penting sejarah gerakan anak muda memilih isu; terutamanya melibatkan isu kaum miskin. Kemiskinan yang berkait rapat dengan pemilikan tanah telah menjadi isu sentral di kalangan anak muda. Instagram dan Harlem Shake 2013; anak muda lewat Instagram dan ‘Harlem Shake’ di negara ini kurang peduli dengan isu nasional. Semenjak pengumuman Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, belum ada satu organisasi anak muda atau mahasiswa yang menganjurkan seminar untuk membahaskan pelan tersebut. Pendidikan seolah-olah bukan perjuangan mereka – rasa kepedulian nampaknya diserahkan bulat-bulat kepada pihak berwajib. Isu ketidakadilan sosial dan jurang ekonomi kekal tidak disentuh. Bahkan diperingkat antarabangsa, isu seperti Samer Issawi, tahanan Palestin yang telah melancarkan mogok lapar mencecah 220 hari – juga tidak berjaya menarik perhatian mereka. Golongan ini kekal terperangkap di dalam ‘straw man argument’ mereka sendiri di antara politik partisan dan cita-cita politik. Untuk sebahagian besar yang tidak melibatkan diri, mereka kekal di dalam buih-buih ‘Stockholm Syndrome’ yang seringkali meyakini diri mereka untuk bersyukur kerana tidak dilanda perang seperti Palestin atau miskin seperti Uganda. Pada titik ini, anak muda harus segera faham bahawa landskap pemikiran kuno berpusatkan buku sejarah harus diubah kepada projek-projek dialog yang membenihkan sikap ingin tahu. Budaya primitif yang menetapkan hanya golongan tertentu sahaja tahu berkenaan satu-satu isu harus segera diubah dengan radikal. Psuedo-Intelektual Di Malaysia, 77% tenaga pekerja hanya mempunyai kelulusan SPM. Data HIS 2009 pula menunjukkan kemasukan ke pengajian tinggi kekal sekitar 36.5% sahaja manakala laporan World Databank menyatakan hanya 68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara 2001 dan 2009. (Rujuk Facebook ‘Blindspot’) Ketika kita berdepan dengan krisis sosial, pendidikan dan kemelut ekonomi yang meruncing sebegini; anak muda harus bijak memilih isu untuk diperjuangkan. Berbeza dengan gerakan anak muda pasca merdeka 50 tahun ke belakang; mahasiswa tidak keluar ke jalan raya untuk memperjuangkan isu hutang dan hak mereka sendiri. Mereka keluar untuk memperjuangkan kaum petani miskin, menentang imperialisme serta memilih untuk memperjuangkan bahasa Melayu dan isu pendidikan nasional. Oleh yang demikian adalah menghairankan mutakhir ini wujud gerakan anak muda golongan mahasiswa yang mahu bertanding untuk pilihanraya umum akan datang. Ini kerana asas perjuangan mereka yang hanya berpusatkan kepada 30% golongan intelektual dan terpelajar tidak akan mendapat tempat di dalam budaya ‘politic of patronage’ negara ini. Melainkan jika mereka mampu keluar dari hakikat ‘pseudo-intelektual’ mereka dan menukar kiblat perjuangan untuk mula menumpukan stamina terhadap isu yang lebih besar, ideal dan membumi. ‘Deconstruction’ dan revolusi pemikiran Realitinya, gerakan anak muda pasca-Mahathirisme sangatlah hijau dan belum cukup tersusun untu memangkin perubahan sikap berfikir di kalangan anak muda dan mahasiswa sendiri. Sebuah revolusi pemikiran yang memandang peri pentingnya sikap dan memerangi ‘ignorance’ perlu dicetuskan. Gerakan dan pemikiran sedia ada perlu bersedia untuk mengalami ‘deconstruction’ ala-Derrida untuk menyediakan mereka kepada masa hadapan yang lebih meyakinkan. Isu agama, bangsa dan budaya perlu dibaca kembali bersama-sama projek dialog kerana zaman yang telah berubah. Ali Shariati semasa memperkatakan mengenai Sufi Parsi, Ayn al-Quzat Hamadani yang dibunuh pada 1132 ketika dituduh sebagai pembidaah; menekankan peri pentingnya sikap kesedaran, keyakinan pemikiran, semangat tekad dan kemuliaan hati di dalam diri anak muda – sebagaimana dinukilkan olehnya di dalam pengenalan terhadap ‘Kavir’; “Seeking refuge in history, out of fear of loneliness, I immediately sought out my brother Ayn al-Quzat, who was burned to death in the very blossoming of his youth for the crime of awareness and sensivity, for the boldness of his thought. For in an age of ignorance, awareness is itself crime. Loftiness of spirit and fortitude of heart in the society of the oppressed and the humiliated, and, as the Buddha said, ‘being an island in a land of lakes’, are unforgivable sins,” ]]>

Mahasiswa Pasca ‘Listen, Listen, Listen’

Oleh Zul Fikri Zamir

“Be curious. Read widely. Try new things. I think a lot of what people call intelligence just boils down to curiosity.”

– Aaron Swartz (1986-2013).

Swartz, pengasas bersama Reddit.com, bertanggungjawab mencipta kod RSS ketika berumur 14 tahun. Dia kemudiannya memimpin Demand Progress, pertubuhan aktivis yang mencabar undang-undang anti cetak rompak SOPA/PIPA yang dirangka oleh US Congress. Pada 2008, beliau mencipta sebuah program yang membolehkan orang awam memuat turun sehingga 20 juta fail dari laman PACER dan sekitar 4.8 juta fail akademik dari laman Jstor secara percuma. Beberapa hari yang lalu, saya menulis sebuah surat terbuka kepada saudari Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin. Saya menulis kerana rasa sedih terhadap perkembangan dunia akademik serta hak mahasiswa yang telah dilanggar dengan begitu angkuh sekali. Dan perkara yang membuatkan saya paling kecewa ialah kerana ribuan mahasiswa Melayu-Islam bertepuk tangan ketika hak seorang mahasiswa India untuk bertanya dan memberikan pendapat dinafikan dengan cara yang paling naif sekali. We Are All Sharifah Zohra            Untuk mereka yang membaca lapis makna diantara surat tersebut, mereka akan dapat memahami tujuan saya menulis surat tersebut. Saya menulis bukan dengan niat untuk menanti balasan dari saudari Sharifah atau mahukan surat tersebut dibaca oleh beliau. Saya menulis dengan harapan mahasiswa akan bangkit dan sedar dari penjara indoktrinasi ideologi yang selama ini memenjarakan mereka. Insiden ‘Listen, Listen, Listen’ ini sebenarnya bukan isu baharu. Semenjak Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan AUKU pada 1971, sistem ‘Listen, Listen, Listen’ ini dipasangkan ke dalam minda kita tanpa sedar. Hasilnya setelah 40 tahun indoktrinasi, ciri-ciri seperti ‘bongkak’, ‘tidak peduli’ dan ‘menurut arahan’ memang telah menjadi sebahagian dari budaya dan DNA kita. Foucault di dalam makalahnya ‘Discipline & Punish: The Birth of the Prison’ (1975) menyatakan tentang kesan utama ‘Panoticism’ialah untuk memastikan banduan kekal dalam keadaan sedar tentang fungsi automatik kuasa ke atas mereka. Di dalam penjara berbentuk ‘Panoptic’ (mengambil konsep Jeremy Bentham), banduan sedar diri mereka diperhatikan melalui menara tanpa mengetahui siapa di dalam menara tersebut. Foucault menegaskan penjara sebagai mekanisme disiplin paling penting untuk meng-ilustrasikan disiplin sebagai alat kepada kuasa. Melalui operator menara yang dikenali sebagai ‘anonymous power’, mekanisme pemantauan kekal tidak dikenali seterusnya memastikan projek ini efisien. Realitinya di Malaysia, saya melihat menara sebagai Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti, operator menara sebagai Menteri dari  Kementerian Pengajian Tinggi serta model penjara ‘panopticon’ sebagai AUKU dan mahasiswa kekal berada di dalam sel-sel penjara. Tidak sukar untuk membuktikan perkara ini. Buka Facebook dan selongkar akaun rasmi persatuan mahasiswa universiti tempatan. Perbincangan mereka seringkali berkisar soal parking, asrama, harga makanan di cafetaria ataupun kursus kahwin. Untuk aktivis peringkat lebih tinggi, mereka berpolitik partisan pula. Saya tidak katakan perkara ini tidak bagus, tetapi mahasiswa harus sedar bahawa masyarakat lebih memerlukan mereka ketika mereka sibuk berpersatuan untuk mengadakan kursus kahwin. Ironi bukan? Tidak gemar orang lain menyuarakan pendapat, tidak gemar perbahasan berat, sukakan perkara remeh temeh seperti ‘kucing ada masalah, anjing boleh menggonggong’ serta tidak suka mendengar pendapat orang lain; kita semua sebenarnya sama seperti Kak Listen. We Are All Sharifah Zohra. ‘Slacktivist’ & Budaya pop Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah gambaran kecil kepada masalah besar isu kebebasan akademik dan mahasiswa. Masyarakat lebih gemar menuntut permohonan maaf dari saudari Sharifah daripada melihat kepada 2300 mahasiswa lain yang berada di dalam dewan dan bertepuk tangan. Kita bersikap reaktif lebih pantas daripada kita muhasabah sikap dan masalah kita sendiri. Dalam situasi ini, apa gunanya jika saudari Sharifah membuat permohonan maaf sekalipun? Apakah selepas itu aktivis Twitter, pejuang Facebook dan semua ‘slacktivist’ ini akan kembali melayari laman Zalora.com, berkongsi fakta kucing melalui butang ‘share’ atau sibuk ketawa dengan 9gag.com dan kembali tidak peduli kepada masalah asas ketidakpedulian di kalangan mahasiswa? Anak muda hanya mengambil kesempatan terhadap isu-isu sebegini untuk mensensasikan keadaan tanpa mengambil pengajaran darinya. Bermula dari insiden Adam Adli, demonstrasi mansuhkan PTPTN sehingga isu Kak Listen, hampir tiada satu gerakan terancang dijalankan oleh mahasiswa untuk mengubah norma dan cara berfikir di kalangan mahasiswa. Sampai bila mahasiswa akan terus-terusan mabuk dilambung ombak budaya pop sebegini? Projek Dialog vs Projek Pembodohan Penting sekali agar isu Kak Listen vs Bawani ini diperhalusi oleh setiap pemimpin mahasiswa di peringkat universiti serta gerakan-gerakan mahasiswa bersifat partisan atau non partisan dari segi ideologi dan ‘substance’ lebih dari bentuk material yang mereka lihat. Penghinaan fizikal yang dialami oleh Bawani sebenarnya menggambarkan betapa rancu dan rosaknya sistem hak asasi yang selama ini dipegang oleh pihak berkuasa dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka. Mahasiswa harus melihat isu ini dari sudut ‘the oppressed and the oppressor’ [yang tertindas dan yang menindas]. Paling penting indoktrinasi yang melibatkan penderaan mental ini akan menyebabkan mahasiswa tidak boleh berfikir sendiri sehingga sanggup menepuk tangan beramai-ramai ketika pendapat rakannya diperlekehkan. Paling serius, idea pendidikan percuma Bawani diperlekeh hanya menggunakan analogi haiwan 1 Malaysia, di dalam institusi pengajian tinggi dengan tepukan dan sorakan dari rakan-rakannya – ‘the so called intellectual’! Pemimpin mahasiswa sedia ada mempunyai kerja berat di bahu mereka iaitu untuk mengubah sudut pandang mahasiswa dan rakan mereka yang lain dahulu sebelum bergerak ke tahap seterusnya. Saya mendengar ura-ura gerakan mahasiswa yang akan bertanding di Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Tanpa memperlekehkan niat dan stamina yang dipunyai mereka, saya berpendapat pemimpin dan gerakan mahasiswa harus mengupayakan mahasiswa lokal untuk turun ke bawah dan melihat masalah masyarakat dahulu. Perbincangan dan dialog intelektual harus segera dilaksanakan membabitkan isu ekonomi, sosial serta pelbagai masalah merangkumi budaya dan golongan terpinggir. Selain berjuang untuk hak mahasiswa, mereka terlebih dahulu harus fokus isu dalam iklim ‘politic of fear’ dan ‘politic of patronage’ ini untuk memastikan mereka dilihat non-partisan serta berjuang untuk masyarakat. Projek-projek pembodohan harus segera diubah kepada projek dialog membabitkan isu perkauman, agama dan golongan marginal. Sebelum bertanding mereka harus segera memastikan golongan mahasiswa mengurangkan menonton Adam dan Hawa ataupun fanatik membaca Harian Metro. Zaman autoritarian Mahathirisme telah lama berakhir. Mahasiswa harus segera bangkit dengan melihat diri mereka sendiri , melihat kepada bahan bacaan dan membina ideologi yang mantap sebelum keluar berjuang. Dengan bantuan media digital seperti Facebook dan Twitter, tidak mustahil mahasiswa mampu bangkit sebagaimana yang telah dibuktikan oleh mahasiswa luar seperti Revolusi Jasmin. Mahasiswa juga tidak perlu menunggu Fahmi Reza untuk masuk ke dalam universiti dan mendengar ucapan beliau sebelum berubah. Mengapa tidak ada seorang Fahmi Reza-pun di kalangan mahasiswa sendiri? Mengapa tidak ada 10 atau 100 Adam Adli di kalangan mahasiswa sedia ada kini? Sebagaimana yang saya tekankan sebelum ini, Bawani hanyalah sosok. Yang diperlukan kini ialah 1000 atau 10,000 Bawani yang akan lahir dari sistem baharu pasca insiden Kak Listen. Individu seperti Aaron Swartz, Mark Zuckerberg, Steve Jobs atau Bill Gates mengubah dunia tanpa memikirkan CGPA mereka. Swartz ‘drop-out’ dari Stanford University selepas setahun pengajian, kemudiannya menjadi felo di Harvard University. Malangnya mahasiswa di Malaysia asyik dan sibuk berfikir untuk ‘meluluskan’ diri dari universiti sehingga terlupa dunia berubah tanpa penglibatan mereka. Foucault kemudian menegaskan rekabentuk ‘Panoptic’ ini boleh digunakan terhadap apa jua bentuk populasi termasuk sekolah, pesakit di hospital ataupun pekerja; “If the inmates are convicts, there is no danger of a plot, an attempt at collective escape, the planning of new crimes for the future, bad reciprocal influences; if they are patients, there is no danger of contagion; if they are madmen there is no risk of their committing violence upon one another; if they are schoolchildren, there is no copying, no noise, no chatter, no waste of time; if they are workers, there are no disorders, no theft, no coalitions, none of those distractions that slow down the rate of work, make it less perfect or cause accidents” ]]>

Surat Terbuka Kepada Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin

Oleh Zul Fikri Zamir Mohamad Munir

“Some things you must always be unable to bear. Some things you must never stop refusing to bear. Injustice and outrage and dishonor and shame. No matter how young you are or how old you have got. Not for kudos and not for cash: your picture in the paper nor money in the back either. Just refuse to bear them.”

– William Faulkner, Intruder in the Dust.

SAYA rasa terpanggil untuk menulis kepada Saudari setelah menonton sebuah klip Youtube bertajuk ‘Forum Suara Mahasiswa Part 4’ bertajuk ‘Seiringkah Mahasiswa Berpolitik’ yang telah dimuat naik oleh TvMyMahasiswa pada 9 Januari 2013. Untuk pengetahuan Saudari, saya adalah mahasiswa pasca-ijazah dalam bidang Pengajian Masa Depan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Selain terganggu dengan ‘ikrar mahasiswa’ untuk ‘menentang demonstrasi jalanan, anasir luar yang menjadi barah’ dan pelbagai terma pelik yang tidak pernah saya ikrarkan ketika mengambil ijazah sarjana muda dahulu, saya lebih tertarik untuk mengulas mengenai komen Bawani kepada Saudari. Universiti atau Tadika? Bawani memulakan komen beliau dengan bertanya kepada Saudari mengenai tuduhan  terhadap Ambiga (Pengerusi bersama Bersih) sebagai pencetus anarkis di Malaysia dan Pak Samad sebagai pencetus kepada orang-orang gila yang membuat demonstrasi jalanan. Beliau kemudiannya  menjelaskan kepada sidang dewan mengenai pergerakan Bersih yang menurutnya sah di sisi undang-undang serta sebuah gerakan non-partisan. Perkara pertama yang tidak saya fahami ialah mengapa Saudari perlu turun ke bawah dewan untuk berhadapan dengan Bawani? Adakah sudah menjadi kebiasaan di Universiti Utara Malaysia (UUM, lokasi forum ini diadakan) panelis akan turun dan ‘confront’ audien secara berhadapan? Dalam sebuah forum di negara yang matang saya tidak fikir ‘intimidation’ sebegini perlu. Kemudian Bawani meneruskan komen beliau dengan memberi contoh negara seperti  Argentina, Venezuela dan Brazil yang dikatakan memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya bermula dari prasekolah sehingga kepada ijazah pertama. Seterusnya Bawani memperkatakan mengenai keupayaan PTPTN melalui matematik mudahnya iaitu peruntukan sebanyak 10 bilion daripada keseluruhan 200 bilion perbelanjaan Persekutuan dengan memberi contoh Cuba sebagai negara yang pernah melakukannya. Lebih menarik Bawani melakukannya dengan membentangkan tahap literasi Cuba sebagai yang tertinggi di dunia. Kemudiannya situasi menjadi lebih menarik. Bawani membentangkan GDP Cuba (saya tertanya-tanya apakah jurusan pengajian saudari Bawani?) namun malangnya ketika saya teruja untuk mendengar hujah lanjut Bawani, hujah beliau disambut dengan 10 kali lafaz ‘Listen’ oleh Saudari! Soalan kedua saya ialah, berapa minit komen yang diberikan kepada audien untuk bertanya soalan serta apakah tindakan ini dilakukan semata-mata untuk menutup keupayaan hujah Bawani? Sebagai ahli akademik saya percaya kepada kebebasan berhujah dan berbeza pendapat. Saya percaya kewibawaan Saudari akan lebih dihormati sekiranya hujah dibalas hujah, bukan hujah dibalas ‘Listen’.  Lebih ironi, Saudari kemudiannya mengucapkan ‘Let me speak’ sehingga 7 kali! Saya begitu hairan, dalam bidang pedagogi selalunya perkataan diulang-ulang digunakan hanya untuk anak-anak prasekolah, bukan mahasiswa dengan fakta literasi dan GDP. UUM ini universiti atau tadika? Hujah vs hujah Seterusnya saya tidak berminat untuk mengulas mengenai hujah balas Saudari kepada Bawani mengenai ‘When I speak, you listen’, ‘jangan samakan negara lain dengan Malaysia’, ‘apa yang kamu buat di Malaysia, go to Cuba, go to Argentina, go to Libya’ (Libya?), ‘you must understand what is democracy, you must understand – what is perhimpunan lebih dari 3 orang di sesebuah tempat’, ‘animals have problem’,   ‘kucing ada masalah’, ‘anjing boleh menggonggong’, ‘lembu kambing ada masalah’, ‘kita manusia lebih rakus daripada ikan’, ‘and you tau tak binatang apa yang paling banyak sekali masalah?’, ‘pernah makan shark finn?’ atau ‘you are very much to go to another university’. Saya tidak nampak kaitan fakta yang dibentangkan oleh Bawani bermula dari jumlah perbelanjaan negara serta idea untuk pendidikan percuma sehingga kepada GDP negara Cuba dengan jawapan Saudari seperti ‘pernah makan shark finn?’. Saya cuma terkesan apabila Bawani cuba menggunakan bahasa Melayu asas dengan saudari, saudari balas dengan bahasa Melayu rojak. Saya fikir bukan ini caranya seseorang dengan status ‘degree holder’ seperti Saudari berhadapan dengan mahasiswa seperti Bawani. Saya sendiri tidak berapa setuju dengan hujah Bawani. Faktor sosial, budaya dan georgrafi negara kita sangat berlainan dengan Cuba dan tidak memungkinkan perumpamaan mudah GDP untuk digunakan sebagai hujah. Walaubagaimanapun saya percaya Malaysia sedang mengalami fasa-fasa menuju kematangan demokrasi. Oleh yang demikian di dalam sebuah universiti yang subur budaya ilmu dengan golongan intelek dan terpelajar, hujah perlu dijawab dengan hujah, bukan dengan  ‘When I speak, you listen!’. Fungsi Mahasiswa Saya kini dengan rendah diri ingin mengajak Saudari kembali merenung fungsi golongan mahasiswa. Saya percaya ilmu yang terbaik ialah ilmu yang kembali kepada masyarakat. Oleh yang demikian graduan yang paling bermanfaat ialah graduan yang kembali ke masyarakat untuk menyelesaikan 1001 masalah negara. Dalam Indeks Kebebasan Media, kita berada pada kedudukan 122, di bawah Sudan dan Congo. 10 tahun kebelakang ini berdasarkan Bank Dunia, kenaikan gaji purata rakyat Malaysia hanyalah 2.6% di belakang kadar inflasi iaitu 2.8%. Data Epu/HIS menyatakan jurang pendapatan di kalangan rakyat semakin meningkat dengan 52.8% isi rumah memperoleh pendapat kurang daripada RM 3000 sebulan. Kedudukan Malaysia di dalam indeks pendidikan antarabangsa seperti PISA dan juga TIMSS juga turun mendadak (PISA 2009, 55 daripada 74 negara; TIMSS 2011 – Matematik daripada 519 kepada 440, Sains daripada 492 kepada 426). Inilah masanya untuk kita gunakan mahasiswa sedia ada dalam bidang masing-masing samada pendidikan, ekonomi mahupun sains sosial untuk berdebat dan berhujah tentang masalah-masalah tersebut. Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, ketakutan saya ialah apabila mahasiswa yang ada kini sibuk bermain Dota, Facebook, menonton Raja Lawak atau sibuk memuat turun siri kegemaran drama Korea. Graduan harus berfikir lebih jauh daripada kerja, kahwin, beli kereta, rumah dan ‘settle down’. Fungsi mahasiswa yang sebenar ialah melibatkan diri dengan keputusan kerajaan serta memperkasa masyarakat dengan melengkapkan mereka dengan isu semasa, masalah sosial, isu masyarakat marginal serta golongan tertindas. Golongan terpelajar ini kelak akan memimpin negara, seharusnya asas perjuangan mereka sejak dari awal diletakkan lebih besar dari berkhidmat kepada diri sendiri. Apa selepas ini? Saya tidak menulis mewakili Bawani. Jauh sekali mewakili mana-mana gerakan mahasiswa dalam negara. Saya hanya menjalankan tanggungjawab kerana rasa terpanggil akibat status saya sebagai mahasiswa juga. Dan semestinya lorong menggerakkan mahasiswa dan perubahan itu pelbagai. Saya setuju tidak semestinya gerakan mahasiswa itu terdorong untuk berjuang atas ‘politik-merengek’ sahaja, baring-baring atas jalan raya, demonstrasi ataupun berkhemah di Dataran Merdeka. Tetapi saya juga percaya gerakan yang sama juga tidak akan terbina hanya melalui lawatan ke rumah anak yatim, rumah angkat di kawasan pedalaman (tanpa meremehkan prorgram terbabit) ataupun program-program dalaman universiti ala-ala sambutan tahun baru yang membosankan. Saya percaya asas kepada perjuangan mahasiswa ini ialah ilmu dan sikap. Saya menjemput Saudari untuk membaca karya Ali Shariati khususnya makalah ringan ‘Ideologi Kaum Intelektual’. Namun jika Saudari begitu sibuk dengan persatuan ‘Suara Wanita 1 Malaysia’, saya sedia meminjamkan buku tersebut untuk dibaca oleh saudari. Saya juga percaya sebenarnya banyak forum-forum sebegini diadakan di seluruh negara namun mereka bijak kerana tidak memuat naik ke atas talian. Malah perkara yang paling sedih dan memalukan ialah sikap mahasiswa di dalam dewan yang bertepuk tangan dan menjerit menyatakan sokongan ketika Sharifah memalukan Bawani dengan serangan peribadi. Berbanding dengan kemarahan warga Internet melalui Twitter dan Facebook; saya melihat jalan ke hadapan mahasiswa untuk berubah masih panjang dan penuh ranjau. Bayangkan dalam dewan dengan 2300 warga mahasiswa, mereka hanya mampu memeluk diri, tersenyum dan menepuk tangan ketika Bawani diperlakukan sedemikian rupa di dalam institusi pengajian tinggi mereka. Untuk Saudari Sharifah, saya menunggu balasan daripada Saudari. Mungkin jika Saudari berkelapangan saya akan usahakan agar sebuah forum lanjutan dapat diadakan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya untuk menggalakkan penggunaan akal, etika dan anti korupsi di kalangan mahasiswa 1 Malaysia. Saya akhiri surat ini dengan bait dari Buya Hamka; Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja. Izinkan saya menyambung sedikit kiasan Buya Hamka di atas; Kalau mahasiswa setakat belajar, Lembu di padang juga belajar. (Selain belajar untuk membuang air, lembu juga belajar untuk membiak)  * Zul Fikri Zamir Mohamad Munir ialah kolumnis di The Malaysian Insider serta Co-Founder Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivis pendidikan yang boleh dicapai di www.teachfortheneeds.org (Untuk data lebih komprehensif, sila rujuk Blindspot: http://www.facebook.com/blindspot.msia) ]]>