Projek Dialog

Apabila Agama Dipolitikkan: Cabaran & Penyelesaian

Taliban Buddha Pertembungan Sensitiviti & Agama Dari sudut hati kecil, penulis mengharapkan semua rakyat malaysia saling hormat menghormati waima berbeza fahaman, aliran, mazhab dan agama. Keretakan hubungan harmoni yang bakal berlaku, diharapkan ia dapat diselesaikan, bukan dibiarkan ia berlaku seterusnya membawa kepada keruntuhan. Lebih parah lagi, keretakan itu dihalalkan atas nama agama, sedangkan sifat agama itu adalah kedamaian, bukan perbalahan. Namun, keretakan itu kelihatan makin menjadi-jadi. Contohnya: apabila diberitakan tentang seorang lelaki yang beragama hindu yang agak tidak bersetuju dengan tindakan sebuah sekolah yang melakukan ibadat sembelihan korban yang disyariatkan dalam Islam secara terbuka. Agak sedih juga dengan komen dari lelaki yang beragama hindu itu, kerana keretakan budaya saling hormat menghormati antara satu sama lain semakin bertunas. Mungkin hari ini beliau mempertikaikan orang Islam menyembelih korban di tempat terbuka, di masa akan datang, tidak hairan akan ada pula orang Islam yang mempertikaikan orang hindu menyambut Thaipusam di Batu Caves secara terbuka. Jika keadaan ini berlaku, wajah toleransi dan sikap hormat menghormati sesama rakyat Malaysia dalam mengamalkan agama akan retak. Namun begitu, apabila difikirkan secara mendalam, semata-mata  menganggap lelaki hindu itu sahaja salah dengan alasan beliau tidak hormati hak Muslim beragama juga satu kesilapan. Ini kerana, banyak perkara provokasi atas nama agama Islam yang dilakukan oleh sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam. Mereka bukan sekadar tidak menghormati, malahan sanggup melakukan provokasi, seperti demonstrasi sebilangan orang-orang Islam di Pulau Pinang ekoran ucapan Aidul Adha oleh seorang pemimpin politik yang tidak beragama Islam dengan tanggapan bahawa ahli politik itu hendak melakukan projek kristianisasi. Bukti yang mereka kemukakan adalah huruf “t” pada tulisan kain rentang ucapan tersebut yang dianggap sebagai salib. Tindakan mereka ini pada hakikatnya bukan mempamerkan imej yang baik kepada Islam, tetapi semakin lahir perasaan kebencian sebilangan non-muslim terhadap Islam. Kebencian mereka, bukan kerana mereka melihat hakikat ajaran Islam, tetapi kebodohan sebilangan Muslim yang menggunakan agama untuk provokasi dangkal. Taliban Meruntuh Patung Buddha – Apa Kata Agama? Semasa Taliban memerintah di Afghanistan, banyak keputusan dan tindakan Taliban kelihatan tidak cermat dan tanpa difikirkan kesan buruk disebalik tindakan itu. Antara yang ketara adalah, tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha yang didakwa berumur lebih 2 ribu tahun di satu kawasan bernama Bamiyan. Patung itu amat besar, sehinggakan ia sama tinggi dengan bukit di situ. Diberitahu juga, bahawa kawasan Bamiyan sudah tidak ada penganut Buddha tetapi terdapat penduduk yang berfahaman syiah. Taliban telah meletupkan patung tersebut untuk dihancurkan dengan alasan penjagaan aqidah dan memerangi syirik. Tindakan Taliban itu dikritik hebat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Kritikan itu, menjadikan kalangan Pro-Taliban melebelkan Qaradawi sebagai ulama berhala. Dalam kenyataan Al-Qaradawi dalam perkara ini, beliau menyatakan bahawa pada tahun ke 7 hijriah, berlaku Umrah al-Qadha’ bahawa Nabi MUHAMMAD SAW dan para sahabat masih lagi melakukan Tawaf keliling Kaabah dalam keadaan kaabah ketika itu masih  dipenuhi dengan patung-patung sembahan orang Quraish. Al-Qaradawi menyatakan lagi, tindakan Taliban itu kelihatan bermusuh dengan Amerika dan Eropah, tetapi tanpa mereka sedar bahawa mereka sudah menjadi punca permusuhan orang Islam dengan orang bukan Islam di Timur. Ekoran kebencian mereka terhadap barat mereka meruntuhkan patung Bamiyan. Kesan dari itu, umat Islam di negara Buddha ditekan dan ditindas atas sentimen yang sama. Ternyata keadaan itu berlaku, sepertimana selepas kejadian runtuhnya patung Bamiyan, kedengaran pembunuhan beramai – ramai terhadap umat Islam di selatan Thailand dan keadaan tidak selesa di kalangan Umat Islam di Vietnam. Fikir kesan Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan, “Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain Allah, kerana bimbang mereka akan mencela Allah secara  permusuhan dan tanpa ilmu” (Surah al-an’am, ayat 108) Dalam komentar Imam al-Baidhawi terhadap ayat ini, beliau menyatakan, “Pada awalnya, Umat Islam selalu mencela mereka (yang menyembah selain Allah), lalu mereka ditegah supaya (dipihak mangsa celaan) tidak melakukan celaan balas terhadap Allah. Ia menjadi dalil bahawa perkara yang dibenarkan pun pada asalnya, jika boleh membawa kepada maksiat yang pasti, maka ia wajib ditinggalkan, kerana perkara yang membawa kepada kejahatan, ia turut sama dianggap sebagai jahat” (al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlmn 177) Dalam erti kata yang lain, dalam ayat ini Allah SWT mengajar kepada manusia bahawa sesuatu tindakan yang mahu dilakukan hendaklah diperhatikan juga sudut kesan sampingannya. Jika diperhatikan, seseorang doktor di hospital tidak akan memberikan sesuatu ubat kepada pesakitnya sesuka hati, tetapi difikirkan juga apa implikasi atau kesan sampingan yang bakal berlaku. Politikkan agama Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang saheh diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. (ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 1, hlmn 268) Begitu juga, di Malaysia pernah dibisingkan  dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. [sila rujuk Muhammad bin Afifi al-Bajuri, Nurul al-Yaqin Fi Sirah Said al-Mursalin, hlmn 52] Begitujuga doa harapkan hidayah oleh Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Taif yang menolak dakwah dan melontarkan kepada Nabi dengan batu. [Sila rujuk Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad, jld 3, hlmn 29]. Tanpa kita lupa juga dengan isu larangan orang bukan Islam membaca Al-Quran ekoran seorang ahli politik yang tidak beragama Islam telah membaca satu ayat dari Al-Quran dalam satu ceramah beliau. Walhal, jika dibaca dalam hadis terdapat beberapa kisah yang mempamerkan keizinan orang bukan Islam membaca Al-Quran, seperti Abu Bakar al-Siddiq pernah menyatakan kepada seorang perempuan yahudi yang sedang menjampi Aisyah dengan kata Abu Bakar al-Siddiq,“Jampilah dia dengan membaca kitabullah (Al-Quran) [Sila Rujuk Imam Malik, Muwatta’, hadis no : 1982] Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di Malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Hubungan Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbedaan yang amat ketara. Terdekat seperti isu penggunaan Kalimah Allah untuk orang bukan Islam, ia menjadi isu yang berpanjangan sehinggakan melibatkan perbicaraan mahkamah. Walhal, jika diperhatikan dari sudut sumber Islam disamping pengamalan di semua negara dan sejak zaman wahyu sehingga sekarang, hanya semenanjung malaysia sahaja yang melarang. Ini gambaran keanehan cara sudut faham Islam di malaysia jika mahu dibandingkan di tempat lain, yang sudah pasti terlalu amat ganjil jika dibandingkan dengan Islam di era keNabian. Melihat kepada itu, tidak hairan implikasi dan kesan yang tertimpa, hubungan Muslim dan orang bukan Islam di malaysia kelihatan seperti tenang di luar, tetapi dari sudut hati kecil wujud seribu satu permusuhan. Ekoran dari itu, mula wujud suara-suara tidak puas hati, hilang keharmonian seperti terbaru kedengaran suara orang bukan Islam yang beragama hindu melarang penyembelihan lembu korban secara terbuka dengan alasan menghormati sensitiviti dan sebagainya. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Hakikat sebenar, rujukan mereka bukan kepada Islam, tetapi kepada sentimen mereka yang berasaskan kepada hawa nafsu. Namun, lebel Islam di gunakan untuk mempamerkan tindakan mereka seperti benar, walhal Ia tidak benar sama sekali. Tindakan mereka itu, tidak sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali yang pernah berkata, “Kalimah yang benar, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan.” [sila rujuk Ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 2, hlmn 545) Wallahu alam.

]]>

Kolem 3D – Tradisi India di Zaman Baru

Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu[/caption] Kolem? Apa Simboliknya Orang ramai yang berkunjung ke pusat beli-belah MidValley menjelang sambutan Deepavali pada tahun lalu melahirkan kekaguman melihat rekaan kolem pelbagai warna bersaiz 18 x 4.5 meter (60 x 15 kaki) yang menghiasi ruang legar. Rasa hairan dan kagum bertambah apabila mereka menyedari bahawa individu yang mengusahakan kolem tiga dimensi (3D) itu adalah seorang pemuda berumur 28 tahun. Kreativiti yang digunakan oleh Ruben Prakash dan rakan-rakannya untuk menghasilkan lukisan kolem yang cantik dan berwarna-warni itu ternyata menarik minat pengunjung pelbagai kaum lebih mengenali seni rekaan kolem. Perkataan kolem dalam Bahasa Tamil membawa makna “indah” atau “cantik”. Penduduk di bahagian India Utara menggunakan istilah ranggoli yang biasa didengar dalam filem-filem Bollywood. Tradisi rekaan kolem pada lantai dan kaki lima di depan rumah menjadi amalan dalam kalangan gadis dan wanita kaum India sejak ribuan tahun dahulu. Amalan itu berbalik kepada ajaran dharma atau kebajikan yang menjadi salah satu perkara penting dalam Sanathana Dharma (Hinduisme). [caption id="attachment_4708" align="alignleft" width="400"]Beras hancur dicampur pewarna makanan Beras hancur dicampur pewarna makanan[/caption] Pada zaman dahulu, golongan wanita India lebih banyak menghabiskan masa membuat kerja-kerja rumah dan menjaga keluarga. Maka, peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti kebajikan (dharma) dalam masyarakat umum sangat kurang. Bagi mengatasi kekurangan itu, mereka mula mencipta corak kolem menggunakan serbuk tepung beras pada lantai. Senireka berwarna putih ini bukan hanya cantik dipandang, malah menjadi sumber makanan bagi serangga kecil, semut dan burung. Maka, golongan wanita juga berpeluang melakukan kebajikan yang dituntut dalam ajaran Hindu. Sejarah ini dijelaskan secara ringkas oleh Retna Devi Balan menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya keluaran September 1997. Katanya, selain daripada beras dan tepung beras, bahan-bahan lain yang selalu digunakan adalah kerisik kelapa, biji sagu, kacang hijau dan bunga. Menurut Ruben yang tinggal di Puchong, Selangor, ada juga pembuat kolem yang turut menggunakan rempah-ratus tradisional India seperti bunga cengkih, kayu manis dan serbuk kunyit dalam usaha menghasilkan kolem yang unik serta menampilkan kekayaan tradisi. “Saya menggunakan pewarna makanan untuk dicampurkan pada serbuk beras bagi menghasilkan corak pelbagai warna. Hal ini penting bagi memastikan bahawa tujuan asal rekaan kolem tidak terabai; iaitu memberikan makanan kepada serangga kecil dan semut,” kata graduan bidang reka bentuk grafik dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya. Ada juga kedai menjual serbuk kolem pelbagai warna yang dicampur bahan kimia. Corak kolem yang terhasil memang cantik tetapi selepas beberapa hari, bahan kolem itu terpaksa dibuang kerana serangga tidak akan memakannya. Maknanya, rekaan kolem itu hanya untuk hiasan dan tidak lagi memenuhi tujuan asal memberi makan kepada serangga dan burung. Tradisi Tidak Lupus di Tangan Pemuda [caption id="attachment_4712" align="alignleft" width="201"]Ruben memanfaatkan sepenuhnya bakat seni yang dipelajari semasa tinggal di Persatuan Pure Life Ruben Prakash[/caption] Apabila Ruben diundang membuat kolem khas di MidValley pada tahun lalu, dia memastikan hanya bahan-bahan asli digunakan. Maknanya, hanya beras hancur dan pewarna makanan yang selamat dimakan digunakan. “Awal-awal lagi saya sudah memberitahu pihak pengurusan bahawa apabila pameran berakhir beberapa minggu kemudian, beras warna itu jangan dibuang ke dalam tong sampah. Sebaliknya diberikan kepada serangga atau burung,” kata pemuda itu yang turut meminati bidang tarian, karate dan yoga. Ruben tinggal di Persatuan Pure Life, Jalan Puchong sejak berumur sembilan tahun. Pada waktu itulah saya mengenalinya apabila beberapa kali Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan aktiviti Baca Cerpen Kavyan dan Apresiasi Sastera Remaja. Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, Ruben tertarik untuk mempelajari tarian tradisional etnik Tamil iaitu bharatanatyam. Pemuda ini turut belajar joget, tarian kipas, kathak, ngajat dan kathakali. “Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, saya belajar sendiri teknik rekaan kolem asas menggunakan tepung beras. Kemudian, seorang sukarelawan wanita yang datang dari India mengajar saya cara-cara menghasilkan kolem yang pelbagai,” kata Ruben yang menggunakan daya kreativiti dan imaginasi bagi menghasilkan pelbagai rekaan dan corak kolem. Corak merak, bunga, lukisan abstrak, angsa, teratai dan wajah penari kathakali sering menjadi pilihan orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, upacara keagamaan atau sekadar hiasan pada majlis kebudayaan. Tidak ada saiz standard untuk rekaan kolem. Apa yang pasti, kolem biasanya berbentuk simetri. Kolem paling asas adalah dengan meletakkan empat titik pada lantai menggunakan serbuk tepung beras yang dicairkan dengan sedikit air. Kemudian, jari digunakan untuk membentuk corak garisan beralun mengelilingi titik-titik berkenaan. [caption id="attachment_4711" align="aligncenter" width="502"]Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas[/caption] Pada Mei 2003, sekumpulan 30 pelajar pelbagai kaum dari Kolej Prime USJ (kini Kolej SEGi) menghasilkan kolem 102.5 x 1.2 meter. Kolem dengan motif merak itu menggunakan sekitar 800 kilogram kerisik kelapa yang dikeringkan sebelum dicampurkan dengan pewarna ungu, kuning, hitam, putih, biru dan hijau. Kejayaan para pelajar tersebut turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records. Pada tahun 2008, Ruben mendaftarkan Mangalam Creation  yang berpengkhususan dalam kerja-kerja penghasilan kolem. Pemilihan nama adalah sempena Datin Paduka A. Mangalam yang mengendalikan Persatuan Pure Life dan menjadi sumber inspirasi serta pemberi semangat kepada Ruben sejak mula-mula tinggal di rumah anak yatim itu. Sekumpulan remaja dari Persatuan Pure Life juga terlibat dalam aktiviti rekaan kolem bersama Ruben di bawah Mangalam Creation. Malah, beberapa anak didiknya memenangi pertandingan rekaan kolem dari semasa ke semasa. Segala kejayaan ini tidaklah menghairankan jika kita berpeluang melihat sendiri keunikan dan keistimewaan kolem yang dihasilkan. Meneruskan Tradisi India di Zaman Baru Salah satu corak menarik adalah kolem tiga dimensi (3D) yang menggabungkan seni reka visual tiga dimensi dengan rekaan kolem dua dimensi. Hasilnya adalah kolem yang seolah-olah benar-benar muncul dan timbul secara tiga dimensi pada permukaan lantai. [caption id="attachment_4709" align="aligncenter" width="602"]Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat[/caption] Contohnya, bahagian kepala dan leher merak dibuat dalam bentuk 3D menggunakan polistirena. Bahan-bahan kolem pelbagai warna dilekatkan pada permukaan kepala dan leher merak itu mengikut corak yang sesuai. Kemudian, bahagian kepala 3D itu diletakkan secara menegak di atas lantai. Rekaan kolem bagi badan, sayap dan ekor merak dibuat penuh indah pada lantai. Maka terhasillah kolem 3D yang menggambarkan seekor merak mengigal megah. Menurut Ruben, corak kolem 3D yang sering dibuat olehnya adalah merak, gajah dan bunga teratai. Orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, ponggal, tahun baru, Vishu, Ugadi dan Deepavali sering meminta pemuda itu menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan corak serta rekaan kolem yang lain daripada yang lain. Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa ramai juga generasi muda kaum India yang tidak tahu mencipta kolem. Ada juga wanita yang memberikan alasan tiada masa kerana sibuk dengan kerja, atau tidak cukup ruang di rumah yang sempit; apatah lagi jika tinggal di rumah pangsa. Pada masa yang sama, bagi mengekalkan tradisi dan budaya, ramai yang menggunakan kolem tiruan berbentuk pelekat. Sayangnya kolem jenis ini tidak memenuhi niat asal mencipta kolem iaitu melakukan kebajikan dengan memberi makan kepada semut, serangga kecil dan burung. Ramai pula yang memanfaatkan ruang kecil di rumah untuk mencipta kolem yang kecil, kemas dan cantik dengan menggunakan daya kreativiti dan imaginasi. Lampu kecil dan bunga-bungaan ditambah untuk menaikkan seri pada kolem kecil yang dibentuk. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap nilai tradisional semakin meningkat di kalangan generasi muda. Bagi mereka yang kekurangan idea, terdapat banyak buku terbitan India yang mengumpulkan pelbagai corak kolem serta memberikan panduan asas rekaan kolem. Ruben mengaku sering merujuk pelbagai buku seperti itu bagi mendapatkan idea dan inspirasi untuk menghasilkan corak-corak baru mengikut citarasa semasa. Menurut Ruben, dengan adanya YouTube, orang ramai bukan sahaja boleh belajar memasak makanan pelbagai negara, tetapi juga cara mengikat sari dan membuat kolem. Generasi muda yang celik komputer dan teknologi maklumat (IT) pasti teruja untuk belajar menghasilkan kolem secara mudah. Buat masa ini, Ruben menggunakan masa lapang untuk mengajar sekumpulan kanak-kanak dan remaja di Persatuan Pure Life menciptakan kolem dan membuat pelbagai barangan perhiasan bagi acara kebudayaan India. Katanya, selain merupakan suatu sumbangan kecil kepada rumah anak-anak yatim yang menjadi tempat tinggalnya sejak berumur sembilan tahun, kelas rekaan kolem ini juga membantu mengisi masa lapang penghuni dengan aktiviti berguna. Dengan adanya semangat meraikan kepelbagaian, memupuk persefahaman dan mengeratkan perpaduan, masyarakat pelbagai kaum dan etnik juga menunjukkan minat untuk mempelajari seni membuat kolem yang menjadi salah satu identiti kebanggaan kaum India. unnamed

]]>

Surat Terbuka Kepada Encik Alvin Tan

Penterjemahan tidak rasmi “An Open Letter to Mr. Alvin Tan” oleh Reverend Sherman Kuek. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi.      Kehadapan Encik Alvin, Saya menulis kepada saudara kerana secara peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya dengan hasrat yang salah, dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh dengan sikap kurang ajar dan kejam. Daripada menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kamu melalui cara yang kurang sopan mengutuk di belakang kamu, saya memilih untuk memberitahu terus kepada saudara dimana saya berharap ianya merupakan cara yang penuh hormat. Sama seperti pihak awam yang lain di Malaysia, saya sedar akan kurangnya rasa hormat saudara terhadap pihak yang berkuasa, norma sosial dan moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas secara tidak hormat; barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak menghiraukannya sama sekali. Tetapi mengikut konteks dimana kami sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh kamu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa suara tidak setuju daripada rakyat Malaysia. Diteruskan lagi, jika apa yang ingin dilakukan oleh kamu, iaitu mengutuk dan membenci hanya ditujukan kepada orang Muslim di Malaysia, ternyata kamu silap membaca keadaan di Malaysia. Saya berharap kamu mengambil masa yang lebih lama untuk memahami dan membuat analisa terhadap apa yang berlaku di negara kita dan terlibat secara konstruktif, dan bukannya melakukannya dengan perilaku yang tidak senonoh.Saudara mungkin memikirkan kenapa saya, daripada semua orang, memilih untuk menghabiskan masa saya untuk menulis surat balasan kepada video yang kamu buat, dimana kamu melaungkan azan orang Muslim tanpa memakai baju sambil menggunakan keyboard. Barangkali bukan niat kamu untuk menolak idea ritual keagamaan secara keseluruhan, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadap dan walaupun kamu hanya menghina satu agama secara khusus, tindakan yang dilakukan oleh kamu merupakan serangan kepada agama. Tindakan menghina itu, secara peribadi, bukan hanya menyerang teman-teman Muslim tetapi turut dilihat sebagai serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama dimana setiap diantara mereka mempunyai cara-cara yang unik bagi meluahkan keinginan mereka untuk mengecapi rasa kewujudan Tuhan. Penghinaan kamu mungkin sahaja boleh dilakukan terhadap zikir Latin Katolik ataupun zikir Veda oleh penganut hinduisme, dan mana-mana pun, rasa hormat sebagai prinsipal fundamental terhadap rasa keagamaan yang dianuti oleh jiran kita yang lain telah pun dicabul. Untuk itu, tindakan yang saudara lakukan membuat saya marah. Sejak muda lagi, saya mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap majoriti Muslim yang saya kenal. Saya menghormati rasa cinta mereka terhadap Tuhan, kesetiaan mereka kepada keluarga mereka, dan terutama sekali, saya kagum dengan cara anak-anak kecil Muslim diajar untuk berhubung dengan ibu-bapa mereka. Dalam hidup dan iman saya hari ini, saya telah sedar untuk praktis apa yang telah saya belajar daripada teman-teman Muslim saya, perihal rasa hormat kepada Tuhan, terhadap golongan yang lebih tua dan kepentingan kehidupan didalam komuniti. Saya percaya hidup di kalangan orang Muslim selama ini telah menjadikan saya seorang Kristian yang lebih elok daripada apa yang dapat saya bayangkan. Saya tidak rasa saudara bermaksud untuk menghina golongan Muslim yang saya maksudkan di atas. Mungkin kamu hanya sekadar bertindak untuk mengutuk pempolitikan agama di Malaysia dan hanya mengutuk beberapa individu yang salah menggunakan agama untuk kepentingan agenda politikal mereka sendiri. Pertama sekali, cara yang dilakukan oleh kamu tidak mendatangkan kebaikan kepada kebanyakkan penduduk di sini yang mempertaruhkan kehidupan kami dengan membuat pilihan untuk terus tinggal disini agar dapat melibatkan diri untuk membina semula bangsa kita dengan pendekatan yang positif dan konstruktif. Kedua, tindakan saudara bukan hanya menyerang golongan yang salah menggunakan agama tetapi majoriti rakyat Malaysia yang hanya mengamalkan agama mereka dan mencintai Tuhan dengan cara yang terbaik mereka tahu. Meskipun terdapat banyak prospek (samada ianya benar atau salah) untuk kehidupan yang lebih baik untuk kami dan generasi selepas kami di negara luar, kebanyakkan daripada kami memilih untuk tinggal disini kerana disini kami dilahirkan dan kami ingin anak-anak kami membesar disini. Pilihan ini dibuat bukan kerana tidak adanya kesusahan yang dihadapi oleh kami, tetapi kerana kami tekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bagus. Atas sebab inilah kami memilih untuk turut terlibat dengan pendekatan yang konstruktif dan tidak membuat masalah sosial dan politikal kepada rakyat Malaysia yang lain hanya untuk mencari perlindungan di tempat lain sambil meninggalkan kesan buruk yang terhasil daripada tindakan yang telah kami lakukan. Kamu menghina apa yang kami pertahankan dengan hidup kami. Kebebasan untuk meluahkan apa sahaja merupakan suatu keperluan bagi masyarakat untuk maju kehadapan, kerana ia juga memberi ruang untuk masyarakat membiasakan diri mereka dengan mekanisme untuk mengkritik diri sendiri dan membuat renungan terhadap tindakan yang pernah dilakukan. Tetapi wujud juga kebebasan luahan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang, mengambil kesempatan untuk mempergunakan prinsipal murni ini dengan membawa kerosakkan terhadap kebenaran, keindahan dan kebaikan yang boleh dijumpai di dalam suatu tamadun. Dengan penuh hormat, saya berasa benar dengan menganggap bahawa saudara bersalah melakukan jenayah moral. Untuk ini, saya berasa kesal kerana kamu memilih untuk memaparkan suatu tindakan yang tidak senonoh terhadap teman-teman Muslim kami. Melalui apa yang saya mampu dan sebagai rakyat Malaysia, saya tegas menolak setiap tindakan yang telah dan bakal kamu lakukan. Dan saya menyatakan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang berniat baik, yang memegang kepada ilmu yang benar dan suci di dalam ajaran-ajaran dan praktis-praktis keagamaan mereka. Dan saya berdoa satu hari nanti, saudara juga akan sedar perkara terakhir yang kami inginkan adalah insiden yang memisahkan kami semua, lebih-lebih lagi sesuatu yang tidak langsung diperlukan. Rakaman video kamu, yang dilihat lebih narsisistik daripada kelakar ataupun hiburan, adalah suatu penghinaan kepada seluruh usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih bagus untuk semua anak-anak kami daripada semua agama. Walaupun apapun, saya berharap agar kamu hidup dengan senang di Amerika dimana apa yang ingin kamu luahkan tidak akan dihalang. Tetapi pada dasarnya, bukannya penggunaan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang. Jenis manusia yang bakal kita bentuk, ditentukan oleh pilihan-pilihan harian yang kita lakukan untuk mencari keamanan, cinta, dan nilai setiakawan dengan jiran-jiran kita walaupun tiada kelebihan untuk kita. Rev. Diakon Dr Sherman Kuek OFS Diakon Gereja Katolik di Malaysia   Nota: Surat ini sepenuhnya dibawah tanggungjawab saya dan tidak mewakili Gereja Katolik ataupun mana-mana institusi yang saya terlibat.

]]>

13 Perkara Yang Membuktikan Hasil Penulisan Mitologi India Penuh Dengan Inovasi Saintifik

Penterjemahan tidak rasmi “13 things that prove Indian mythological literature is full of scientific innovation”, terbitan South Report. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi.   Vedas dan teori sains dari tamadun purba India sentiasa dianggap sebagai bukti bahawa apa yang mereka hasilkan adalah yang paling maju pada zaman itu. Terdapat beberapa ahli sains yang teruja oleh ilmu yang dihasilkan oleh cendekiawan dari India purba dan mendedikasikan seluruh hidup mereka menelaah dan mengkaji teori sains India purba. Senarai yang dinyatakan di bahawa adalah tiga belas ciptaan daripada sains India purba.

  1. Mereka tahu mengenai kewujudan sistem solar lebih awal daripada yang lain.
Rig Veda 1.35.9 “ Matahari bergerak di dalam orbitnya sendiri tetapi meletakkan kedudukan bumi dan cakerawala di dalam keadaan yang memastikan bahawa kesemuanya tidak bertembung sesama sendiri melalui daya tarikan”
  1. Mereka mengemukakan teori graviti sebelum tamadun barat.
Ayat 10.22.14 dari Rig Veda yang menyatakan “Bumi ini tidak mempunyai tangan dan kaki, tetapi ianya bergerak kehadapan. Kesemua objek di bumi turut bergerak sekali. Ia bergerak mengelilingi matahari”.
  1. Mereka tahu mengenai kelajuan cahaya sebelum tamadun-tamadun yang lain.
Cendekiawan Veda yang bernama Sayana menemui kelajuan cahaya pada abad ke 14 tahun masihi. Petikannya yang diterjemah berbunyi begini: “Dengan penuh hormat, aku tunduk ke matahari, yang bergerak selaju 2,202 Yojanas setengah daripada nimesha.” Yojana adalah jarak yang hampir dengan (9 Batu) 14.5 kilometer; manakala nimesha pula bersamaan dengan 16/75 sesaat. Oleh itu, 2,202 yojanas x 9 batu x 75/8 nimesha = 186,794 batu sesaat iaitu hampir sama dengan nilai sebenar kelajuan cahaya iaitu 186 282.397 batu sesaat.
  1. Mereka tahu mengenai sains di sebalik kejadian gerhana matahari dikala kesemua tamadun yang lain masih takut dan merasakan kejadian itu disebabkan ilmu hitam.
Di dalam kitab Rigveda 5.40.5 mempunyai frasa yang diterjemahkan seperti berikut “Oh Matahari! Di waktu kau dihalang oleh benda yang kau berikan cahaya (bulan), setelah itu bumi bakal dikejutkan dengan kegelapan secara tiba-tiba.” Ini merupakan penjelasan yang tepat mengenai kejadian gerhana matahari. Kitab Veda mempunyai butiran yang jelas mengenai alam cakerawala, planet-planet, dan fenomena lain yang membuktikan keluasan ilmu yang dihasilkan pada waktu itu sebelum kewujudan tamadun moden.
  1. Mereka secara tepat membuat ramalan mengenai jarak diantara bumi dan matahari.
“Yug sahasra yojana par bahnu, Leelyo taahi madhura phal jaanu” – Hanuman Chalisa Ayat yang dinyatakan diatas merupakan hasil penulisan Tulasidas melalui karyanya yang bertajuk Hanuman Chalisa yang bermaksud, “Suria, yang terletak beribu Yojanas ditelan oleh Hanuman yang menganggap suria itu adalah sejenis buah” Disini, 1 Yuga = 12000 tahun 1 Sahsra Yuga = 12000000 tahun Dan juga, 1 Yojan = 8 Batu Maka, Yug Sahsra Yojan (tiga perkataan yang pertama) bermaksud 12000*12000000*8 = 96000000 batu. Dan jika ditukar menjadi unit Kilometer, 96000000 x 1.6 = 153,600,00 Kms. Jarak sebenar bumi ke matahari = 152,000,00 Kms (Ralat 1 %) Menarik bukan?
  1. Mereka telahpun menganggar jarak lilitan bumi.
Brahmagupta pada abad ke 7 Tahun Masihi mengajukan jarak lilitan bumi adalah 36,000 km, hampir dengan jarak yang sebenar iaitu 40,075 Km (Ralat 1%).
  1. Mereka menganggar jangka waktu di dalam setahun.
Surya Sidhhanta berkata ada empat cara untuk mengukur waktu di dalam setahun dan diberi nama “Nakshatra”, “Savana”, “Lunar” dan “Saura”. Diantara nama-nama yang diberi metod “Saura” secara tepat mengukur jangka waktu dalam setahun iaitu 365 hari, enam jam 12 minit dan 30 saat. Jika kalian masih memikirkan bagaimana mereka mengiranya, sila lawat kuil di Konark atau Humpi dimana kalian akan menjumpai sistem senibina yang kompleks dan tepat dari aspek teknikal yang menggunakan matahari untuk mengukur jangka waktu hari dan tahun.
  1. Mereka membuat kesimpulan mengenai nilai Pi (π)
Aryabhata berusaha untuk mencari nilai Pi (π) yang tepat dan tiba pada kesimpulan dimana π tidak rasional dan nilai yang dijumpai lebih kurang adalah 3.1416 pada tahun 499 Tahun Masihi semasa umurnya 23 tahun. Beliau dikirakan sebagai salah seorang yang paling bijaksana pada zaman purba India kerana nilai Pi yang tidak rasional itu dibuktikan di Eropah hanya pada tahun 1761 oleh Lambert. Harus dinyatakan di sini bahawa beliau juga memperoleh nilai sin & kos dan mencipta konsep trigonometri.
  1. Mereka mengemukakan teori bahawa bumi berbentuk sfera.
Walaupun penjumpaan teori bumi berbentuk bulat dijumpai oleh ahli astronomi Yunani, ahli astronomi dari India purba telah pun menyatakan bahawa matahari adalah bintang dan bumi berbentuk sfera sebelum pernyataan dikeluarkan oleh orang yunani. Terdapat banyak bukti yang menyatakan bahawa pelbagai percubaan dilakukan untuk mengukur lilitan pada zaman veda. Aryabhatta menyimpulkan formula yang membuktikan bumi berputar di atas paksi. Dengan menganggarkan nilai π adalah 3.1416 beliau membuat kesimpulan bahawa lilitan bumi adalah 39736 Kilometer, hanya kurang 100 Kilometer daripada nilai yang sebenar. Dan di dalam bukunya lagi, beliau juga menyatakan bahawa pergerakan cakerawala seperti matahari, bintang-bintang kesemuanya adalah relatif, dan hanya bumi yang bergerak. “Seperti penumpang di dalam bot yang bergerak mengikut arus ke hilir melihat benda yang tidak bergerak (seperti pokok-pokok di tebing sungai) seakan bergerak ke hulu sungai, begitu juga kepada sesiapa di atas bumi yang melihat bintang-bintang bergerak ke barat pada kelajuan yang sama (dimana bumi berputar dari barat ke timur).” – Diterjemahkan dari Aryabhatiya Gola 9
  1. Mereka membina sistem perparitan yang pertama di dunia.
Tamadun Indus mereka sistem sanitasi bawah tanah yang pertama pada tahun 3300 – 1300 Sebelum Masihi dimana sistem mereka diterima pakai oleh seluruh dunia satu abad kemudian. Mereka juga merupakan tamadun yang pertama mencipta sanitasi moden.
  1. Mereka membina teori dan melaksanakan konsep prosedur bedah dengan menggunakan alat-alat pembedahan berabad sebelum tamadun dunia yang lain.
Kitab Sushruta Samhita yang ditulis oleh Sushruta merupakan buku ensiklopedia perubatan yang terawal dapat diketahui di dunia – ditulis sewaktu tahun 1200 Sebelum Masihi yang mencakupi 184 bab yang mempunyai butiran mengenai 1,120 penyakit, 700 tumbuhan-tumbuhan ubatan, 64 persediaan daripada sumber mineral dan 57 persediaan berdasarkan sumber binatang. Kalian cuba namakan satu penyakit dan beliau telah pun menulis satu bab mengenainya. Telah dinyatakan di dalam jurnal saintifik bahawa bukti yang tertua dan pertama untuk gigi manusia hidup yang telah digerudi dijumpai di Mehrgarh. Sebelas gigi korona molar yang digerudi dari sembilan orang dewasa ditemui di dalam kubur di Mehrgarh yang barangkali berusia dari 7500 – 9000 tahun yang lepas. Beberapa bukti mengenai pembedahan ortopedik turut dijumpai dan secara tidak langsung memberi kesimpulan bahawa tamadun purba India mempunyai teknologi untuk melakukan prosedur pembedahan. Anestesia dihasilkan dengan menggunakan herba di Ayurveda.
  1. Mereka membina teori tentang konsep kloning, bayi tabung uji dan ibu tumpang.
Kisah Mahabrata menggambarkan Gandhari sebagai ibu kepada 100 anak yang dipanggil Kauravas, yang paling tua adalah Dhuryodhana. Kauravas dicipta melalui pemisahan satu embrio kepada 100 bahagian dan membesar di dalam penyimpan yang berlainan. Kisah kelahiran Karna & Pandavas secara mengejut menyerupai konsep bayi tabung uji yang moden. Dilahirkan mengikut “ciri-ciri yang diambil daripada lelaki yang dipilihnya.” Mereka bukan sahaja mempunyai konsep mengenai kloning, bayi tabung uji dan pemisahan embrio tetapi turut mempunyai impian untuk membesarkan fetus manusia luar daripada badan wanita, sesuatu yang tidak diketahui oleh sains moden sehingga kini.
  1. Nikola Tesla mengambil inspirasi daripada Swamy Vivenakanda dan cendekiawan Veda untuk ciptaannya yang dikenali dunia.
Setelah makmalnya terbakar dan hasil kerjanya hancur. Nikola Tesla mempelajari konsep Prana dan Akasha untuk kerjanya yang berteraskan daya dan jisim. Beliau membentuk sudut pandang yang baru tentang dunia dan mula melihat dunia dari segi frekuensi dan tenaga sehingga beliau berjaya mengenalkan konsep tenaga beliau.   ]]>

Ambil tindakan kepada mereka yang membuat ugutan online

Oleh Syerleena Rashid “Aku mahu berjumpa dengan perempuan itu…sudah lama rasanya tidak menumbuk seseorang…siapa kisah jika aku digelar dayus kerana mencederakan wanita…dia patut mati!” Kenyataan di atas merupakan sebahagian daripada reaksi terhadap Aisyah Tajuddin. Penulis ingin bertanyakan satu soalan, adakah komen tersebut menyebabkan kamu marah? Jika tidak, ia bermakna kamu membenci wanita. Dan, jika kau tidak mengerti apa itu misogini dan merasakan video tersebut anti-Islam sebelum kamu melihat paparan video dengan menyeluruh. Maka, ia bermakna kamu mengalami defisit intelektualisme, dan hadirin sekalian, perkara ini mengundang dampak yang memusnahkan. Video terbitan BFM telah mengundang kemarahan orang ramai. Ia menunjukkan betapa jijiknya pemikiran sempit orang Islam-Melayu. Video tersebut sudah ditarik-balik, namun dampaknya akan sentiasa menghantui segelintir masyarakat. Terdapat banyak caci maki dan ugutan diterima di media sosial; mengukuhkan lagi bahawa gejala misogini di dalam talian internet sangat merisaukan dan harus dipantau secara serius. Apa yang menjadikan komen-komen ini lebih merisaukan adalah ruangsiber yang luas buat golongan pentaksub meluahkan dan mengancam sesiapa sahaja tanpa mudah dikesan. Komen-komen ini turut memaparkan sikap kurang waras segelintir golongan apabila berdepan dengan topik-topik sensitif, khususnya, melibatkan agama. Isu Hudud telah menggantikan ketakutan kita terhadap bayang-bayang 13 Mei. Bagi sesetengah orang (Muslim dan bukan Muslim), ketakutan ini berpunca daripada ketidaktahuan mereka terhadap Hudud, telah mencetuskan rasa syak dan prasangka terhadap masyarakat. Perbahasan tentang hudud, atau kurangnya perbahasan, telah menciptakan argumen remeh untuk warga Malaysia, lantas mematikan hujah perbahasan (samada kamu bersetuju atau tidak bersetuju). Jika seorang Melayu-Muslim mahu mengangkat kerisauan tentang bagaimana Hudud dapat dilaksanakan di dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, pengkritik yang taksub akan menggelar anda murtad dan mendorong kecaman teruk di media sosial. Di dalam kes Aisyah Tajuddin, dia telah menjadi mangsa kerakusan golongan pentaksub untuk dijadikan kambinghitam dan tempat untuk melepaskan geram. Dia bukanlah satu-satunya mangsa yang diancam dengan ugutan. Nik Raina Nik Abdul Aziz (pengurus kedai Borders), Dyana Sofya (setiausaha politik Sdr. Lim Kit Siang) dan penulis sendiri – telah dijadikan sasaran ugutan bunuh di Internet dan dilihat sebagai subjek oleh segelintir mereka sebagai ‘fantasi seks’ yang amat teruk. Isunya mudah: proses pengukuhan agama dan sistem patriaki telah membenarkan sifat misogini menjadi masalah yang akut di dalam masyarakat moden. Umum mengetahui di dalam dunia yang didominasi kaum lelaki, wanita hanyalah umpan mudah. Ia tidak mendorong warga Malaysia untuk mendakap budaya intelektualisme. Kebanyakan daripada mereka berbesar hati supaya dikawal oleh seseorang dan memaksakan kepercayaan terhadap mereka. Peristiwa tersebut menjurus kepada interpretasi yang dangkal dan mengarut. Kita sering memahami sesuatu isu secara literal akibat daripada sistem yang membenarkan pemikiran anti-intelektual untuk dijana menjadi ideologi. Proses ‘Pembodohan’ yang terjadi. Ancaman yang dihalakan kepada Aisyah Tajuddin dan BFM merujuk kepada proses pembodohan yang sedang berlaku di dalam negara kita. Sikap terlalu mempolitikkan sesuatu isu ‘hyper-politicisation’ (i.e. reaksi para pentaksub) dan kurangnya berpolitik ‘hypo-politicisation’ (i.e. sikap tidak peduli akan politik terutamanya golongan muda) hanya membenarkan golongan fanatik ini melakukan kemusnahan terhadap negara ini. Isu sebenar yang diangkat di dalam video tersebut menyingkap kerisauan yang terbuku di dalam minda warga Malaysia – mengapa mereka yang berkuasa memberikan perhatian terhadap hudud, sedangkan isu-isu penting masih belum diselesaikan? Survei yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendapati majoriti rakyat Kelantan mengharapkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian terhadap isu ekonomi dan pemulihan pasca banjir. Malangnya, agama telah dimanipulasi untuk menyembunyikan isu-isu mustahak, malah mengalih perhatian kita. BFM hanya mengangkat kebenaran sebenar dan bagi sebahagian daripada kita, kebenaran itu sangat pahit dan sulit. Seperti yang telah diperkatakan oleh penulis, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan yang serius terhadap ugutan dan keganasan yang ditujukan kepada Aisyah Tajuddin. Komen-komen yang tidak bermaruah boleh ditemui di dalam media sosial dan harus dianggap sebagai ancaman yang serius.     Makalah ini penterjemahan “Take action on those who made threats online“. Penterjemah: Muhammad Nazreen. 

]]>

Kisah Sin Kheh menjadi raja

blurb (kulit belakang) kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) oleh Chai Loon Guan segera mengingatkan saya kepada novel Interlok: Edisi Murid (2010). Ramai sedia maklum bahawa novel karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi besar sepanjang 2011. Ada puak yang mendesak novel itu diharamkan dan ada puak yang mengambil kesempatan demi keuntungan politik perkauman. Apa yang mungkin tidak diketahui ramai adalah bahawa salah seorang anggota panel yang dilantik Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin temah mengemukakan usul bertulis supaya 20 halaman novel edisi murid itu dibuang. Alasan yang dikemukakan oleh Dr Lim Swee Tin adalah “novel ini terlalu panjang” dan “bahagian yang disunting (digugurkan) tidak mengganggu kelicinan cerita.” Halaman yang dicadangkan supaya dibuang termasuk kisah keluarga Cing Huat di halaman 102-109 (8 halaman) yang melibatkan “bahagian awal dengan beberapa peristiwa di negeri [sic] China”. Maka, kisah hanya bermula apabila watak Kim Lock dan anaknya, Cing Huat, memutuskan untuk meninggalkan China dan kapal yang dinaiki di Amoy berlayar melepasi Hong Kong dan akhirnya tiba di Sin-cia-pu (Singapura). Chai Loon Guan amat bernasib baik kerana kisah watak utama dalam cerpennya hanya bermula selepas kapal dari Tanah Besar (China) berlabuh di Pura Singa (Singapura). Tiga daripada sebelas cerpen dalam buku ini menampilkan watak yang sama tetapi dalam latar masa, tempat dan suasana yang berbeza. Ketiga-tiganya menjadi bahan dokumentasi penting mengenai kaum “pendatang” Cina yang “datang bukan untuk mencari seteru; datang untuk memburu rezeki” di Tanah Melayu. Usah terkeliru antara Ah Ti dan Ah Hui Cerpen “Sayonara Pura Singa” menceritakan pengalaman watak utama singgah di Singapura, diikuti ketibaan di Tanjong Malim, Perak dalam “Irrashaimase Tanah Melayu!” dan kisah pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942-45) menerusi cerpen “Bendera Putih”. Kalau peneliti seperti Lim Swee Tin mahu melakukan suntingan pada buku cerpen ini, tidak perlulah menyarankan beberapa halaman dibuang atau digugurkan. Sebaliknya, pindaan, suntingan dan pembetulan hanya perlu dilakukan pada blurb buku dan tindakan itu adalah amat wajar bagi memurnikan serta membetulkan fakta. Watak Ah Ti yang dipromosikan pada kulit belakang itu sebenarnya merujuk kepada watak bernama Ah Hai yang datang dari daerah Engchun, China – bukan Enchuan. Tentulah kesilapan ini berlaku akibat kecuaian editor, bukan kesilapan penulis. Siapa pula Ah Ti? Watak itu adalah seorang bakal guru dalam cerpen “Ayah”, seorang pekebun dan perokok dalam “Rumah” dan orang tua yang sudah meningal dunia dalam “Kedai”. Ketiga-tiga Ah Ti ini adalah watak/orang yang berbeza. Hanya Ah Hai dalam tiga cerpen terawal dalam buku ini merupakan watak yang sama. Dalam cerpen “Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB”, Ah Ti dan Adi (Adichonan) adalah nama timangan dan nama pena bagi watak “Aku” iaitu diri penulis sendiri. [caption id="attachment_4418" align="alignleft" width="300"]Chai Loon Guan seorang penulis mapan dan berkaliber. Chai Loon Guan seorang penulis mapan dan berkaliber.[/caption] Chai Loon Guan bukan calang-calang penulis. Beliau antara penerima Hadiah Sastera Darul Ridzuan (2014). Memandangkan beliau diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Munsyi Bahasa, tentulah beliau amat berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan yang boleh mencacatkan karyanya – seperti pada blurb tadi. Penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2008/09) ini lahir pada 9 Februari 1960 dan sudah menghasilkan dua buku sebelum ini, iaitu kumpulan sajak Di Padang Kehidupan (2008) dan kumpulan cerpen Di Perantauan Impian (2009). Sebagai seorang guru Bahasa Malaysia, lepasan Institut Bahasa dan graduan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pengarang kelahiran Tanjong Malim ini bijak memanipulasi bahasa bagi menyampaikan banyak perkara secara tersirat dan tersembunyi pada lapis makna ketiga. Licik mengatur strategi sambil merendah diri Khalayak umum mungkin sekadar membaca tiga cerpen terawal dalam kumpulan ini sebagai catatan kedatangan kaum Cina ke Tanah Melayu berikutan kebuluran, kesusahan, penderitaan dan peperangan di China. Latar masa adalah dari tahun 1926 hingga 1945. Penelitian terhadap tiga cerpen ini mendedahkan tanggapan, pemahaman, pegangan dan interpretasi Chai Loon Guan terhadap kedudukan sebenar kaum Cina di negara ini. Hal ini tentu sahaja tidak dilakukan secara sedar dan sengaja. Sebaliknya hanya mampu difahami sekiranya dibaca dengan ketelitian tahap tinggi. Memandangkan ketiga-tiga cerpen ini ditulis dan tersiar pada tahun 2011-2013, maka bolehlah dianggap sebagai mewakili tanggapan realiti sehingga masa sekarang. Ah Hai sejak awal-awal lagi (tahun 1926) sedar bahawa dia hanyalah “pendatang”, “imigran” dan “sin kheh” (orang bawahan) yang menyertai gelombang penghijrahan secara besar-besaran dari China atas galakan British. Lelaki Cina ini sentiasa memberitahu dirinya bahawa dia adalah orang luar yang perlu tahu menyesuaikan diri dengan penduduk asal di sini, iaitu orang Melayu. Hal ini dilakukan secara penuh sedar kerana dia tahu cara untuk hidup adalah dengan tunduk kepada orang tempatan. Namun begitu, di sebalik sikap merendah diri dan berkelakuan seperti “rusa masuk kampung”, dia sebenarnya bertindak secara senyap dan penuh licik bagi meraih peluang, habuan dan rezeki bagi diri dan keluarga. Dia tahu cara untuk menundukkan orang tempatan. Di sebalik realiti “anak dagang dari pedalaman Engchun, yang kurang serba-serbi, buta huruf dan miskin pengalaman”, Ah Hui berjaya memanipulasi setiap peluang yang hadir di depan mata untuk “mentransformasikan cabaran dan dugaan hidup itu menjadi impian yang diburu.” Sekiranya dibaca pada lapis makna pertama, dia hanya mahu “mencari sesuap rezeki seteguk impian” daripada “rezeki melimpah-ruah di Tanah Melayu”. Dia berjaya meyakinkan khalayak dan orang ramai bahawa apa yang paling penting adalah “impian diri dan impian seisi keluarga” di daerah kelahiran. Apabila sudah dinyatakan bahawa “datang aku bukan untuk mencari seteru” dan “datang aku bukan untuk memburu derita,” maka tentulah orang tempatan tidak akan rasa tercabar atas waswas dengan kehadirannya di Tanjong Malim semata-mata sebagai “seorang anak dagang mencari sesuap rezeki halal di perantauan orang.” Sementara orang tempatan masih leka … Dengan penuh sedar, dia mengaku tidak mahu digelar katak di bawah tempurung. Sebaliknya, dia rajin “memerhati, mentafsir dan menyesuaikan diri” sambil mengakui, apa yang penting adalah dia perlu “berhati-hati dan tidak bertindak semberono.” Dalam ketiga-tiga cerpen yang dijadikan rujukan di sini, watak Ah Hai mendapat sokongan padu daripada Pak Cik Teh, pemilik Kedai Sin Teck Soon yang diwarisinya sejak turun-temurun. Kedai dua tingkat itu tidaklah besar tetapi diiktiraf antara kedai paling maju di Tanjung Malim. “Cukup luas rangkaian perniagaannya. Hal ini masih belum mencakupi urus niaga di Kuala Lumpur. Syarikat di Ipoh. Harta warisan rumah, rumah kedai, estet dan dusun buah-buahan di sekitar Tanjong Malim, termasuklah Behrang, Behrang Hulu, Slim Village, Kalumpang, Kerling, Rasa dan sebagainya.” Demikian huraian tentang pemilik dan kedai pemborong runcit yang terkenal di daerah berkenaan dan terletak di No. 2, Jalan Besar, Tanjong Malim. Saudara-mara Ah Hai menjadi kakitangan kedai manakala Pak Cik Teh adalah ketua atau majikan. Maka, walaupun Ah Hai datang sebagai “rusa masuk kampung” – peribahasa yang diulang sekurang-kurangnya tiga kali – dia sudah memiliki sokongan padu daripada saudara-mara dan orang kaya; suatu bentuk sokongan yang mungkin tidak dimiliki oleh orang tempatan pada waktu itu. [caption id="attachment_4416" align="alignleft" width="300"]Tiga cerpen dalam kumpulan ini menampilkan watak yang sama dan menarik untuk dikaji. Tiga cerpen dalam kumpulan ini menampilkan watak yang sama dan menarik untuk dikaji.[/caption] Malah, mengikut peredaran masa, Kedai Sin Teck Soon (tahun 1926) berkembang menjadi Syarikat Sin Teck Soon (tahun 1945) dalam cerpen “Bendera Putih”. Penulis tidak lupa mengingatkan pembaca: “Tauke Sin Teck Soon bukannya sesiapa, saudara sekampung di Daerah Engchun, Tanah Besar.” Ah Hai bijak berusaha untuk mencapai mobiliti sosial bagi diri dan keluarga. Daripada kedudukan sebagai sin kheh (orang bawahan), dia menimba pengalaman dan ilmu berbekalkan “kerajinan, keiltizaman, kesungguhan dan kecekalan” sehingga berjaya “membina kerjayanya di rantau orang.” Sementara orang tempatan pada sekitar tahun 1923-34 masih leka dengan kehidupan yang biasa-biasa, dia pula menjadi ahli pertubuhan masyarakat Hsing Chong Hui dan Chung Ho Tang yang berperanan “mengambil tahu perkembangan politik di Tiongkok (China) selain menjaga hal ehwal dan kebajikan masyarakat Cina di Tanah Melayu.” Penulis bijak memintal kisah imigran Cina Unsur-unsur cerpen seperti konflik, pergolakan, suspens, ketegangan dan klimaks tidak hadir dalam cerpen-cerpen yang memaparkan watak Ah Hui. Sebaliknya, pada penelitian saya, ketiga-tiga cerpen terbabit lebih berperanan sebagai rakaman peristiwa, catatan, nostalgia dan dokumentasi sejarah berhubung perjuangan kaum Cina untuk bertapak di negara ini. Tidak keterlaluan untuk mentafsir perjuangan Ah Hui di Tanah Melayu agak parallel (selari) dengan perjuangan Chai Loon Guan sebagai “penulis bukan Melayu yang menulis karya-karya susastera berbahasa Melayu” berbekalkan “sekelumit kurniaan-Nya” demi “kelangsungan bahasa dan susastera Bahasa Melayu di tanah air yang tercinta.” [caption id="attachment_4417" align="alignleft" width="300"]Kisah imigran Cina mengingatkan kepada kontroversi novel Interlok pada 2011. Kisah imigran Cina mengingatkan kepada kontroversi novel Interlok pada 2011.[/caption] Hubungan kaum Cina di Tanah Melayu dengan Kuomintang di Tanah Besar digambarkan menerusi watak Ah Hui yang aktif dalam kegiatan pemuda Kuomintang; lalu diburu tentera Nippon (Jepun) sebaik menyerang Tanah Melayu pada Disember 1941. Selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada September 1945, Ah Hui menjadi orang penting dalam persatuan saudagar di Tanjong Malim. Dia digambarkan sebagai “orang penting”, “ayam tambatan” dan “pakar runding syarikat dengan Inggeris di Tanah Melayu.” Dia yang datang dengan tangan kosong demi “mencari sesuap rezeki” sudah “tidak digelar rusa masuk kampung.” Syarikat Sin Teck Soon sudah ada ikatan, kerjasama dan persefahaman dengan persatuan saudagar Tionghoa. Pasti orang tempatan tidak pernah menjangkakan segala percaturan licik yang diatur olehnya secara senyap-senyap sambil tunduk merendah diri. Orang tempatan tentu menyangka dia hanya datang memburu rezeki; tanpa menyedari rancangan besar yang dibawanya dalam hati. Kedudukan lelaki itu digambarkan sudah setaraf setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen. Malah, peranannya dikatakan sudah “setaraf SU YB dan YAB!” Di akhir cerpen ketiga dalam buku ini, Ah Hui yang sudah berstatus pemastautin tetap (PR) berhasrat merealisasikan azam mendapatkan status warganegara bagi diri dan keluarga “di tanah yang maha kaya ini.” Demikianlah Chai Loon Guan bijak memintal kisah menggunakan bahasa penuh berbunga dan makna tersirat bagi merakamkan dan mendokumentasi sejarah perjuangan seorang individu yang tiba sebagai “pendatang” tetapi berjaya mengatasi kehebatan orang tempatan dalam bidang yang diceburinya. unnamed

]]>

Buddha sebar Islam?

“Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) sebenarnya mengupas mengenai hakikat agama Islam. Hal ini diakui Kamaludin Endol pada blurb (kulit belakang) buku setebal 190 halaman ini. “Walaupun jumlah nabi dan rasul dianggarkan seramai 124,000 orang … tidak ada sebarang bukti bahawa Gautama Buddha adalah Nabi Zulkifli sebagaimana pernah didakwa oleh sebilangan pendapat,” kata penulis. Sekiranya pembaca mahu tahu jawapan bagi soalan pada judul buku ini, maka boleh terus ke halaman 29 di mana dinyatakan bahawa Gautama Buddha besar kemungkinan salah seorang nabi yang diutuskan Allah dalam rencana-Nya memurnikan kembali agama tauhid Sanatana Dharma. [caption id="attachment_4381" align="alignleft" width="300"]Konvoi Rumah Ibadat ke sebuah wat pada Oktober 2013. Konvoi Rumah Ibadat ke sebuah wat pada Oktober 2013.[/caption] Kamaludin sudah menghuraikan mengenai kedudukan Sanatana Dharma (Hinduisme) sebagai agama tauhid pertama dan tertua menerusi buku “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” (2014). Melalui buku kedua dalam siri “Mengenal Allah Melalui Agama-agama Purba”, dinyatakan betapa Sanatana Dharma yang merupakan “agama yang kekal abadi” pada asalnya menyeru para pengamal menyembah Tuhan Yang Esa (Brahman). Bagaimanapun, kemudian, pengikut ajaran Hindu dikatakan mula beralih “menyembah beribu-ribu dewa-dewi” berikutan ajaran asal “mengalami campur tangan yang sangat berleluasa daripada manusia yang berkepentingan” (halaman 27) iaitu golongan Brahmin. Sanatana Dharma dikatakan berubah menjadi agama Hindu yang penuh dengan pertelingkahan dan kusut-masai mengenai kasta, di samping berbagai-bagai amalan dan adat-adat yang pelik-pelik yang bercanggah dengan kemurnian tauhid (halaman 7). Untuk makluman, pembaca sasaran buku kajian separa akademik ini adalah “umat Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman” (halaman xvii) dan Kamaludin awal-awal lagi sudah menegaskan bahawa “dalam Islam terdapat ajaran Hindu, Buddha, Zoroaster, Kristian, Yahudi, Taoisme dan lain-lain” (halaman ix). Konsep “Empat Kebenaran Mulia” (The Four Noble Truths) dan “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) dinyatakan pada Bab 3 sebelum dihuraikan secara panjang-lebar dalam bab seterusnya (halaman 40-169) yang merupkan bahagian paling penting dalam buku ini. Mengajak orang Melayu kembali kepada Islam Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan bahawa segala huraian, penerangan, perbahasan dan fakta adalah berdasarkan ajaran Islam. Perkara ini juga jelas jika pembaca melihat senarai bahan rujukan yang dinyatakan pada bibliografi. Pembaca perlu sentiasa ingat – dan beringat – akan hakikat ini apabila membaca buku ini. Jika masyarakat ingin mengetahui tentang apa sebenarnya Buddhisme dan siapa sebenarnya Gautama Buddha, lebih baik merujuk “The Complete Illustrated Encyclopedia of Buddhism” (2011) yang amat komprehensif atau “The Life of Buddha for Young People” terbitan Maha Karuna Buddhist Society. Kedua-dua buku berkenaan turut menjadi rujukan silang sepanjang saya membaca buku terbaru tulisan Kamaludin supaya saya tidak terbabas daripada fakta sebenar Buddhisme. Pengalaman menyertai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak tahun 2010 juga membekalkan pelbagai maklumat berguna sebagai rujukan. [caption id="attachment_4382" align="alignleft" width="300"]Buku ini boleh dijadikan bahan dan topik bagi dialog antara agama. Buku ini boleh dijadikan bahan dan topik bagi dialog antara agama.[/caption] Memandangkan maklumat serta fakta sahih dan sebenar mengenai Gautama Buddha dan ajaran Buddhisme sudah diperoleh melalui pelbagai sumber primer sejak puluhan tahun dahulu, saya selaku pengamal multi-faith lebih berminat untuk memperkatakan pelbagai pendedahan lain yang dilakukan oleh Kamaludin menerusi kajian separa akademik yang dilakukannya. “Apabila ditoleh ke dalam semua ajaran agama-agama purba, ajaran Islam akan dapat dilihat dengan jelas dan nyata,” kata bekas pensyarah ini yang turut menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak dua kali. Maka tidak hairanlah Jalan Lapan Lapis yang merangkumi pandangan, pemikiran, perkataan, kelakukan, kehidupan, matlamat, keinginan dan pertapaan yang benar, dilihat dan dibicarakan sepenuhnya oleh penulis dari sudut Islam. Pendekatan yang digunakan itu tidak salah sama sekali kerana sesungguhnya buku separa ilmiah ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada khalayak Melayu-Islam mengenali semula Islam (kembali kepada Islam) menerusi pemahaman terhadap agama-agama purba. Hal ini adalah wajar kerana seperti diterangkan oleh Kamaludin, umat Islam pada masa kini sudah berpecah kepada 73 golongan, “antaranya disebabkan sifat-sifat kebohongan para ulama dunia” (halaman 94) di mana “72 golongan Islam kesemuanya sesat kecuali satu golongan iaitu al-Jamaah” (halaman 28). Sekularisme, liberalisme mengagungkan Dajjal Namun begitu, agak menarik untuk diperhatikan bahawa pelbagai “fakta” dan “pendedahan” turut diselitkan oleh penulis dalam usahanya mengangkat Islam sebagai agama tauhid yang terakhir; manakala agama-agama tauhid sebelumnya dikatakan “tidak lagi murni” berikutan tindakan pihak yang diberikan amanah oleh Allah “telah menyembunyikan kebenaran dan merubah ayat-ayat Allah” disebabkan “bimbingan syaitan-syaitan” (halaman 93). Dikatakan bahawa pembohongan dilakukan oleh golongan Brahmin sehingga penganut Sanatana Dharma (Hinduisme) “menjadi abdi kepada para Brahmin, lantas memuja pula tuhan-tuhan yang dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk”. Mengenai Nabi Isa (Jesus) pula, dinyatakan bahawa fakta sebenar nabi berkenaan diselamatkan oleh Allah daripada komplot durjana kaum Yahudi yang mahu memakukan Baginda pada salib telah “diputarbelit oleh Ahli Kitab dengan dakwaan sebagai anak tuhan yang diutuskan untuk dibunuh bagi membebaskan manusia daripada dosa warisan, lantas dipatungkan sebagai lambang ketuhanan” (halaman 94). “Lihatlah bencana fitnah oleh kaum Yahudi Zionis dan Nasrani (Kristian) terhadap Allah oleh angkara Iblis. Fitnah mereka menjadi musibah terbesar kepada keamanan dunia dan merupakan bencana terbesar sepanjang zaman. [caption id="attachment_4383" align="alignleft" width="300"]Pembaca perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih. Pembaca perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih.[/caption] “Nabi Isa difitnahkan sebagai putera Allah, lalu dipertuhankan. Fitnah mereka ini menjadikan sepertiga penduduk bumi menganut agama Kristian. … Kesemua mereka adalah mangsa fitnah Iblis yang menyebabkan mereka jatuh ke dalam lembah syirik,” Kamaludin menegaskan pada halaman 101 dan 102. Nampaknya lebih banyak “maklumat” mengenai Kristian dan Yahudi berbanding fakta berkaitan Gautama Buddha dan kenabiannya! Malah, pembaca diingatkan bahawa selama lebih seribu tahun, bangsa Yahudi dan Nasrani berada dalam kesesatan yang nyata. “Yahudi Zionis sebagai umat yang terkutuk telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat mereka melalui gerakan-gerakan dan pertubuhan rahsia seperti Freemason dan Illuminati. Freemason adalah satu pergerakan terancang untuk mengembangkan fahaman Yahudi Zionis,” kata penulis. Hanya melalui buku ini saya mendapat tahu bahawa khabarnya Illuminati mempunyai motif “menggalakkan fahaman sekular, liberalism, republikan, kebebasan berfikir dan kesamaan jantina” yang berajakan Dajjal. Rupa-rupanya pertubuhan kebajikan seperti Kelab Lion dan Kelab Rotary juga bermotif “menabur fitnah dan menyebarkan seruan Zionisme” (halaman 103). Protokol Zionis, Iblis, Freemason dan Illuminati Wajar diingatkan bahawa apa-apa yang saya kongsikan di sini merupakan maklumat yang dipetik daripada buku “Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan dan buku “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Syaitan dikatakan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang sudah disesatkan, termasuk Hindu, Buddha, Taoisme, Confucianisme dan Kristian. Malah, pada zaman moden ini, syaitan khabarnya licik bersembunyi di sebalik nama-nama baru yang dianggap tidak begitu berbahaya kerana bukan berjenama agama. “Inilah kejayaan Protokol Zionis melalui gerakan rahsia Freemason dan Illuminati di seluruh dunia Islam,” penulis menyimpulkan pada halaman 127. Orang yang tidak berpendidikan dan tidak berilmu dikatakan akan terpedaya dan tertipu dengan kelicikan Iblis (atau Lucifer, Dajjal, Yakjuj dan Makjuj) yang bersembunyi di sebalik “sekularisme, kapitalisme, liberalisme, sosialisme, pragmatisme, individualisme, hedonisme, mordenisme, demokrasi dan lain-lain” (halaman 128). Pihak berkuasa dan pemimpin yang menganut dan menguatkuasakan sistem berasaskan “feudalisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme, liberalisme, pragmatisme, materialisme, sekularisme” serta “egoisme, utilitarianisme, eksistensialisme, hedonisme, liberalisme, individualisme dan sebagainya” dikategorikan sebagai “ancaman yang paling besar kepada keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat dunia dan alam sekitar” (halaman 131). Huraian seperti “satu-satunya agama tauhid yang dijamin murni hanyalah Islam” (halaman 133) dan “umat Muslimin sesungguhnya sedang menanti kibaran bendera agung ‘lailahaillallah’ untuk terjun ke medan jihad” untuk membawa “kemusnahan mutlak” kepada “Zionis Yahudi dan puak Kristian” (halaman 104) merumuskan inti pati sebenar buku ini. Frasa-frasa seperti “Gautama Buddha menekankan keinginan yang benar” (halaman 158) dan “Semoga demikianlah yang dimaksudkan oleh Gautama Buddha” (halaman 165) serta “ajaran Gautama Buddha yang asal ini adalah ajaran yang sangat sama dengan kehidupan kerohanian Islam” (halaman 41) bertujuan mengukuhkan hujah penulis. Sebagai sebuah buku dakwah separa akademik yang disasarkan khusus kepada masyarakat Islam yang sudah berpecah kepada 73 golongan, buah tangan Kamaludin sangat bermanfaat dalam niat “setelah kesemua agama-agama tauhid terdahulu menjadi musnah dan sesat, maka lihatlah kepada Islam” (halaman 177). unnamed

]]>

Mengharungi kerumitan dunia dan kewujudan: wawancara bersama Prof. Ebrahim Moosa (Bahagian 1)

Penterjemahan temubual BFM Night School bersama Professor Ebrahim Moosa, ahli fikir Islam terkemuka masakini. Dicatat dan diterjemah oleh Hamizah Hanan. 

(Bahagian kedua boleh dibaca di link ini.)

Fuad Rahmat: Selamat malam semua. Anda bersama saya, Ahmad Fuad Rahmat dalam rancangan BFM night school. Rancangan yang membawa anda untuk berbincang bersama, berkenaan beberapa konsep dalam sains sosial dan kemanusiaan.

Kali ini kita akan berbincang tentang kelebihan dan juga cabaran yang dihadapi dalam menerima kepelbagaian di dalam dunia yang pesat membangun. Bersama kita, tokoh intelektual, sarjana, dan aktivis terkenal: Profesor Ebrahim Moosa. Selamat datang Prof!

Professor Ebrahim Moosa: Terima kasih Fuad kerana menjemput saya.

F.R: Kami berasa bertuah dengan adanya prof sebagai tetamu kita pada hari ini. Saya dimaklumkan bahawa Prof sekarang ini berada di Notre Dame setelah beberapa lama di Duke.

E.M: Ya, saya berasal dari Afrika Selatan. Namun, saya mula mengajar beberapa tahun di University of Cape Town dan kemudiannya 3 tahun di Stanford. Manakala di Duke, saya mengabiskan 13 tahun di sana.

Kini, saya baru sahaja berpindah ke University of Notre Dame, Indiana. Di mana, saya dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan suatu program yang bercita-cita tinggi dalam kajian pemikiran Islam dan masyarakat Islam.

Saya berasa teruja untuk itu. Jadinya, itulah perkembangan terbaru saya.

F.R:  Seperti mana yang kita semua ketahui, banyak perkara perlu dilakukan dalam pengkajian Islam di Amerika khususnya. Adakah ianya sejenis gambaran kepada perkembangan yang lebih luas dalam bidang akademik? Di mana minat terhadap Islam di Amerika semakin meningkat.

E.M: Apa yang berlaku di Notre Dame adalah di sana mereka cuba mewujudkan sebuah sekolah membincangkan tentang urusan global yang akan memulakan capaian di ruang web pada 2017 kelak.

Ianya mempunyai visi supaya urusan global perlu diajarkan melalui kajian terhadap agama. Pihak pentadbiran Notre Dame sedia maklum bahawa Islam merupakan agama yang penting di dunia. Walaupun dengan pengetahuan bahawa sesetengah pihak telah pun memulakan pengajaran tentang agama. Namun, mereka benar-benar mahu membangunkan program ini.

Lalu, mereka mengajak saya untuk menyertainya dan kami sedang berusaha bersama-sama untuk membangunkan program ini.

Program ini akan merangkumi perbincangan tentang pemikiran Islam dalam masyarakat Muslim, Islam dan pembangunan kemanusiaan, Islam dan pemikirannya, teologi, kajian normatif dalam pemikiran Islam dan juga termasuklah antropologi diskriptif, sosiologi Islam dan bagaimana untuk menghubungkan keduanya.

Ianya adalah sangat menarik. Dan bagi saya, secara peribadi, ini adalah suatu peluang yang sangat besar, apabila dapat melancarkan program tersebut dan saya berasa amat teruja dengan prospek itu.

F.R: Walaupun sekilas pandang membaca profil Prof, ia telah menunjukkan bahawa Prof adalah amat bersesuaian untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.

Maksud saya, Prof merupakan seorang yang beretnik daripada Asia Selatan. Tetapi, tinggal di Afrika Selatan pada masa yang lama. Kemudian, Prof juga mengajar di Amerika Syarikat.

Seperti yang Prof maklumkan sebentar tadi, ini bukanlah kali pertama Prof berada di Malaysia. Prof sudah banyak kali berkunjung ke sini. Mungkin Prof boleh kongsikan serba sedikit, bagaimana latar yang memberi inspirasi dan mendorong Prof untuk berusaha dengan lebih kuat serta memberi motivasi kepada Prof sebagai seorang pendidik dalam bidang intelektual ini?

E.M: Ya, seperti mana yang anda ketahui, saya dilahirkan dan dibesarkan di Afrika Selatan pada tahun 70-an. Saya mempunyai impian dan cita-cita yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran di institusi yang diiktiraf, ataupun dengan kata lain yang dikenali sebagai madrasah di selatan Asia.

Saya menghabiskan 6 tahun di pelbagai madrasah di India. Di mana konsep asas dan kukuh yang terdapat dalam teks-teks Islam saya pelajari, terutamanya dalam perundangan Islam, teologi, persoalan mengenai tatabahasa Arab dan falsafah-falsafah yang tradisional.

Jadi ianya telah menetapkan saya pada sebuah perjalanan untuk memahami apa itu tradisi. Namun, pada saat umur saya mencecah 23 tahun, selepas saya mendapat kelulusan daripada program tersebut, saya seakan baru tersedar terdapat sebuah dunia luar yang luas di mana saya benar-benar telah mengabaikannya selama 6 tahun yang lepas.

Makanya, sekarang ini saya perlu menilai kembali apa yang saya lakukan dan berfikir bagaimana caranya untuk membawa apa yang saya pelajari ke dunia realiti, iaitu pengetahuan yang saya dapati daripada pembelajaran dari institusi tradisional dahulu.

Peluang telah menghasilkan seorang lelaki yang hebat bernama Muhammad Fathi ‘Uthman. Beliau mengeluarkan sebuah majalah bertajuk ‘Islamic World Review’ di London. Beliau juga telah menjemput saya untuk menyertai Stanford dan ianya telah membuka suatu fasa baru bagi saya.

Saya masih lagi cuba memahami pemikiran moden, persoalan berkenaan perkembangan dunia moden, dan juga sains sosial.

Kemudian, saya kembali ke Africa Selatan atas permintaan arwah ibu saya. Dan di situ, saya meneruskan kerja-kerja jurnal saya. Bukan itu sahaja, saya juga terlibat dengan gerakan Islam yang mempunyai agenda yang besar iaitu menyediakan Muslim untuk berhadapan dengan masalah perkauman dan diskriminasi kaum.

Pada tahun 1984, saya melibatkan diri dan meneruskan kerja jurnal saya. Pada ketika itu, saya mula menggunakan apa yang saya pelajari di sekolah tradisional dahulu dan juga pemahaman saya berkenaan dunia disekeliling apabila saya terlibat secara langsung sebagai seorang pengarah kebangsaan dalam gerakan aktivis pemuda Islam di Selatan Afrika.

Tetapi kemudiannya, saya juga menyedari bahawa saya perlu meningkatkan kemahiran saya. Saya membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana dan juga PhD di University Of Cape Town.

Pada ketika itu, pihak universiti juga telah mengambil saya bekerja dengan mereka dan saya mengajar di sana selama belasan tahun.

F.R: Setahu saya, setidak-tidaknya di kalangan ahli akademik, Prof amat bertuah apabila dapat belajar bersama Fazlur Rahman. Malahan, Prof juga telah menulis pengenalan kepada buku Revival and Reform in Islam: A Study of Islamic Fundamentalism.

E.M: Profesor Fazlur Rahman adalah inspirasi yang hebat bagi saya. Saya tidak berpeluang untuk belajar secara terus daripadanya disebabkan saya tidak berada di Chicago.

Tetapi saya ada melawatnya sekali dan kami sering berurusan melalui perbualan telefon. Saya juga telah diberi penghormatan untuk menambah baik manuskrip terakhirnya. Di mana pada ketika itu buku tersebut belum lagi siap dengan sempurna. Saya tambah kata-kata pengantar.

Ia memerlukan sebuah kecintaan dan juga ketekunan. Tetapi akhirnya saya berjaya menyiapkannya dan kini ianya dikenali sebagai buku yang bertajuk Revival and Reform : A Study of Islamic Fundamentalism.

Ketika saya selesai menghabiskan pengajian di Madrasah, perasaannya adalah saya telah mempelajari kesemua perkara. Namun, saya gagal mengetahui apakah gambaran yang lebih besar. Kemudian, saya mula membaca satu buku yang bertajuk ‘Islam’ di London. Seterusnya saya mula membaca buku ini, iaitu buku tulisan Fazlur Rahman. Pada ketika itu, saya mula sedar ‘Wow! Beliau mengetahui kesemua perkara yang saya ketahui. Namun, yang lebih baik adalah beliau mampu untuk menyusunnya dan melihat gambaran yang lebih besar.’

Semenjak dari itu saya mula membaca lebih lanjut mengenai beliau. Saya juga membaca buku-buku tulisannya termasuklah Islam and Modernity, Islam dan lain-lain lagi.

Setelah itu saya sedar bahawa beliau merupakan seorang tokoh intelektual yang menakjubkan dan mampu menghasilkan sumbangan yang besar dalam dunia Islam. Iaitu melalui pemikiran tentang Islam di dunia yang kita diami ini.

Ia adalah sebuah inspirasi yang hebat bagi saya kerana ia membantu saya untuk memahami cara menulis dan menyediakan sumber dalam teologi pembebasan Islam di dalam konteks Afrika Selatan.

Jadi, ia tidak hanya berkaitan dengan bagaimana Islam berhadapan dengan demokrasi, kebebasan dan pembebasan. Tetapi juga merangkumi keadilan dalam hak asasi manusia dan juga pelbagai isu dalam masyarakat umum.

Dengan cara itu, kedua-duanya: pengetahuan tradisional yang saya pelajari dahulu telah menyediakan landasan yang kukuh dalam pengajian Islam dan pengkajian sains kemanusiaan moden memberikan banyak maklumat.

Kombinasi antara Fazlur Rahman dan semua yang lain mampu menghasilkan suatu yang menakjubkan terutamanya dalam memainkan peranan sebagai rujukan.

Saya fikir, dengan adanya kerjasama bersama rakan-rakan yang lain seperti Farid Esack, Abdul Rashied Omar, Abdulkader Tayob dan beberapa ulama yang lain, kita mampu menghasilkan sesuatu yang berguna bagi masyarakat di Afrika Selatan.

F.R: Menarik perancangannya. Kira-kira banyak juga pengalaman dan pandangan yang Prof kumpulkan dalam menjayakan kerja ini. Saya tertarik untuk menyentuh hal yang Prof sebutkan sebentar tadi. Iaitu mengenai kerumitan yang ada di dunia ini.

Di mana perkara yang terkandung di dalamnya adalah sangat luas dan banyak yang belum diterokai. Pada masa yang sama kita juga tinggal di dunia yang tidak dapat lari daripada dilabel.

Namun, saya fikir Prof tidak sesuai untuk menerima mana-mana label. Jadi, bagaimana Prof meletakkan diri Prof dalam kerangka kompleksiti ini? Adakah Prof seorang pemikir moden, tradisionalis, pemikir Muslim barat ataupun ulama klasik konvensional?

E.M: Bagi saya, saya berada di tengah-tengah dunia yang kompleks ini. Bersederhana. Ingin saya kongsikan apa yang saya temui sepanjang penulisan buku ini, Ghazali and The Poetics of Imagination. Saya menghabiskan bertahun-tahun menulis buku ini.

Ketika saya mula mendalami Ghazali sewaktu manjadi pelajar dahulu, saya seakan merasakan sesuatu kekurangan. Pada awalnya, saya tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Ghazali pada ketika itu.

Saya juga membeli penterjemahan Bahasa Inggeris yang berwarna merah dan akhirnya buku tersebut tersimpan rapi di rak buku saya setelah habis membacanya. Sehinggalah suatu hari apabila saya cuba mencarinya semula, Ghazali seakan telah hilang.

Apabila saya pulang ke Afrika Selatan, saya perlu mengajar dan menyampaikan khutbah. Waktu itu, saya mula membaca Ihya’ Ulumuddin iaitu kebangkitan sains dalam agama.

Maka, pada waktu itu saya mula nampak dan memahami tulisannya. Beliau menulis berkenaan falsafah, rohani, perundangan dan teologi. Beliau berjaya meletakkan kesemuanya dengan baik.

Itulah titik permulaan saya meminatinya, saya baca autobiografi beliau dan kemudiannya saya teruskan sebagai kajian PhD saya seta akhirnya menjadi buku.

Di dalam bukunya, Ghazali ada menulis tentang perjalanan rohani, tasawuf dan sufi, di mana ianya mengajar kita tentang Pencipta. Dalam perjalanan ini, kita akan tiba di suatu tahap yang dikenali sebagai ‘dehleez’, iaitu ruang pertengahan. Entah bagaimana, saya tidak menangkapnya pada bacaan pertama saya.

Saya memetik kata-kata William James, tokoh falsafah Harvard yang juga merupakan tokoh antropologi dikenali ramai. William James telah banyak menulis dalam pelbagai jenis pengalaman agama dan beliau juga ada memetik kata-kata Ghazali daripada penterjemahan bahasa Perancis.

Di sinilah saya melihat ruang pertengahan tersebut dan kemudiannya kembali kepada tulisan Arab Ghazali. Saya bermonolog ‘Ya, inilah dia’. Ghazali berada di pertengahan persimpangan pelbagai arus dan itulah saya. Itulah kita semua.

Kita bukan sahaja mempunyi pengetahuan yang kukuh dan berakar dalam tradisi Islam. Bahkan, kita juga berpegetahuan tentang sains sosial barat. Kita cintakan demokrasi moden. Ghazali juga ada warisan Greek, Parsi, dan Zaman Nabi dahulu. Semua tulisannya ketika itu masuk akal.

Jadi, inilah dilema kita sebagai muslim moden. Kita ada pelbagai sumber pengetahuan, tetapi kita gagal untuk mengaitkannya. Maka, disitulah saya temui tempat yang paling istimewa adalah dehleez, ruang pertengahan.

‘Dehleez’ dalam Bahasa Parsi bermaksud ruang antara rumah nabi ke pintu luar, iaitu ruang halaman. Ruang yang sesiapa sahaja boleh melaluinya. Ruang tersebut bukanlah ruangan awam dan ianya bukan juga ruangan yang betul-betul bersifat peribadi. Dan inilah dahleez iaitu ruang perantaraan.

Apabila kita mula berfikir tentang Gloria Anzaldua dan beberapa pemikir Latin Amerika. Mereka berbicara mengenai sempadan pemikiran dan inilah yang saya kenali dengan pemikiran secara dehleez (Dehleezian thinking), pertengahan dan persimpangan antara banyak perkara.

Bagi saya ruangan mempunyai keduanya. Ia sukar dan juga pada masa yang sama merupakan sebuah ruang yang produktif dalam menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

Di dalamnya kita mampu mendapatkan yang terbaik. Tetapi, tidak dilupakan ianyanya menguji kita supaya berusaha keras untuk mengelakkan kesilapan. Dan kadangkala kita gagal. Namun, kita harus terus berusaha.

Tiada siapa yang berjaya memperolehinya secara tepat pada kali pertama. Tetapi in merupakan peluang yang besar bagi muslim seluruh negara.

Kerana ruangan ini bukanlah hanya untuk Muslim di barat mahupun hanya untuk Muslim di Malaysia, tetapi ia juga merangkumi jajahan Belanda iaitu Indonesia dan pelbagai lagi. Ini adalah situasi di dunia.

Walaupun di Amerika, orang terdedah dengan pelbagai jenis tradisi termasuklah tradisi Latin. Jadi sebagai warga Amerika mengapa mereka tidak hanya bertumpu kepada tradisi Latin? Mereka haruslah berusaha untuk membangunkan tradisi tersebut bersesuaian dengan tradisi Afrika Amerika.

Di antara ini, walaupun kita berada di dunia yang serba mencabar dan dengan kuasa Barat, ia perlu untuk berinteraksi dengan kita semua.

Makanya dunia adalah lebih kompleks dari yang kita jangkakan. Ia menjadi pelbagai warna, bentuk, dan pelbagai agama. Tidak dilupa, terdapat juga kemajuan global yang bergerak dengan pantas sekali.

F.R: Bagaimana kita boleh kekal tabah dalam kesukaran ini ya? Kerana bagi saya kecenderungan untuk cepat membuat konklusi, mudah melabel, memudahkan subjektiviti sesuatu perkara dan secara mudahnya tidak berfikir itu sentiasa ada.

Bahkan, ada yang tidak mahu berhadapan dengan kepelbagaian. Bagi Prof, apakah perkara-perkara praktikal yang boleh kita sampaikan terutamanya apabila kita berhadapan dengan cabaran perbezaan dan perubahan yang terlalu banyak?

E.M: Saya selalunya akan mengingatkan pendengar bahawa pemikiran sebegitu merupakan suatu pemikiran yang malas. Kita tidak seharusnya bersikap malas dalam berfikir walaupun hakikatnya, kita berasa selesa untuk tidak berfikir.

Bagi saya, kebenaran itu merupakan sesuatu yang amat penting. Saya juga temui inspirasi melalui ayat al-Quran yang menyebut:

Tuhanmu memberi inspirasi kepada lebah dan mengarahkanya untuk membuat sarang di setiap gunung, pokok-pokok kayu dan juga jeruji (16:68). Dan kemudiannya Tuhanmu menyuruh lebah-lebah itu untuk pergi dan makanlah daripada pelbagai jenis bunga-bungaan. Kemudian, ia membuat sejenis minuman pelbagai warna. Dan apa yang disampaikan oleh al-Quran?

Fi hi syifa ullinnas: yang merupakan penyelesaian kepada umat manusia

In na fi zalika la ayatin liqaumiy yatafakkarun: demikian itulah tanda bagi orang yang berfikir. (16:69)

Jadi, kita mestilah jadi seperti lebah. Lebah pergi ke banyak tempat dan apa yang alam semulajadi mengajar kita adalah untuk menghasilkan minuman yang menakjubkan iaitu madu. Madu bukan sahaja mempunyai kesemua warna yang ditawarkan oleh alam semula jadi. Malahan, ianya mempunyai sesuatu yang lebih daripada itu.

Inilah situasi yang perlu kita ambil pengajaran daripadanya. Ianya madu dan bukannya jem buah-buhan. Ianya sesuatu yang istimewa. Dan yang istimewa inilah mempunyai bahan yang sangat kompleks.

Ya, tidak dinafikan, kadang kala manusia ingin kembali kepada keaslian dan meringkaskannya. Saya X, tetapi anda bukan X. Anda adalah X dan juga Y serta pada masa yang sama anda juga Z. Anda seorang bapa kepada seseorang anak. Pada masa yang sama anda juga seorang guru, seorang professional, pekerja dan lain-lain lagi. Anda punyai pelbagai perkara pada suatu masa dan inilah keadaan sebenar.

Jadi, jika anda membenamkan kepala ke dalam timbunan pasir dan mengatakan bahawasanya anda adalah X, ianya bukanlah realiti yang sebenar. Jadi kita perlu berfikir secara realistik.

Saya fikir ini adalah realiti yang kita hadapi. Jelasnya kerumitannya dan bagaimana untuk kita menguruskannya adalah suatu cabaran yang besar. Apa yang kita perlu lakukan adalah menggalakkan dan mencari jalan untuk membantu orang yang menghadapi kesulitan itu. Kerana mereka pasti dan saya juga mengalami kesulitan untuk melalui fasa tersebut. Di antaranya terdapat ruangan kosong.

Ada perkara yang kita belajar sewaktu zaman kanak-kanak, ada juga yang kita pelajari sewaktu remaja dan kemudiannya mungkin kita perlu memilih untuk melupakan antara apa yang kita pelajari dahulu kerana pada waktu itu kita sedar rupa-rupanya dunia tidaklah seperti apa yang kita pelajari dahulu.

Kita perlu berurusan dengan jiran yang berbagai agama: Kristian, Hindu, Buddha. Kita perlu berfikir secara pluralisme. Walaupun kita dibesarkan dalam suasana pengajaran Islam yang sangat ketat. Islam adalah ini dan itu serta kadang kala dengan cara yang sangat eksklusif.

Tetapi kemudiannya kita menyedari bahawa al-Quran juga ada menyebut, ‘orang-orang Yahudi dan Kristian, dan orang-orang yang beriman kepada Tuhan. Di hari akhirat kelak, tiada apa yang perlu ditakutkan dan perlu disesalkan. Dan mereka akan diselamatkan.’

Ini memberikan kejutan besar kepada Muslim khusunya. Dengan secara tiba-tiba, sekarang ini saya dipertanggungjawabkan untuk memikirkan tentang jiran-jiran yang lain dengan penuh maruah.

Cuba anda lihat, apabila ada pihak yang mengajar bahawasanya Islam adalah yang terbaik, dan selain darinya adalah sesuatu yang tidak setaraf secara tidak langsung ianya akan mempengaruhi bagaimana pemikiran psikologi kita dan akan mempengaruhi bagaimana cara kita memahami agama yang lain.

Sehinggakan ada yang merasakan bahawa kita memikirkan agama yang lain dengan pandangan serba kekurangan.

Tetapi, apabila kita mula berfikir tentang ulama Islam seperti Ghazali, Rumi dan pemikir-pemikir Islam yang lain dalam bidang puisi serta lain-lain, mereka mengajar kita tentang maruah manusia.

Malah, sesetengah pemuisi mengatakan bahawa Muslim itu sendiri telah menyimpang daripada Kaabah, iaitu tempat suci yang terpenting. Arah tempat sujud kita setiap hari. Tempat yang penuh dengan sejarah. Tempat berlakunya pelaksanaan perintah penyembelihan anak Nabi Ibrahim yang akhirnya tidak berlaku. Betapa tingginya tempat suci tersebut diangkat.

Tetapi pemuisi Islam yang hebat pernah mengatakan bahawa maruah manusia adalah lebih tinggi daripada Kaabah tersebut.

Fa in naqamul baiti min qadriinsani: apalah yang nak dibandingkan dari sebuah rumah berbanding tingginya martabat manusia.

Manusia sebenarnya merupakan ciptaan yang paling menakjubkan yang dibanggakan oleh Tuhan dihadapan para malaikat. Dan Tuhan berkata untuk menghantarnya ke bumi. Jadi menghormati antara satu sama lain adalah merupakan antara ajaran penting dalam agama yang sering kali dilupakan.

Selalunya kita menggunakan pelbagai kod warna perbezaan agama untuk menjadikan martabat agama kita lebih tinggi daripada yang lain. Ini bukanlah apa yang disyorkan dalam Islam. Tetapi ianya datang daripada eksklusiviti.

Semua orang perlu mula memahami betapa kompleksnya hidup ini dan kepelbagaian yang diajarkan oleh al-Quran kepada kita. Kita perlu berfikir tentang lebah madu dan kerja-kerja yang dilakukan serta apa yang dapat kita pelajari daripada mereka.

Kita lihat apa yang kita pelajari sekarang dan apa yang telah dibincangkan oleh ulama terdahulu, untuk kita berhadapan dengan masalah kerumitan.

F.R.: Kata-kata yang bijak terutamanya untuk warga Malaysia dalam mendepani isu ini. Terutamanya berkenaan eksklusiviti dan ketakutan dalam berhadapan dengan kompleksiti dunia.

Saya ingin mengaitkan apa pandangan Prof dalam konteks Malaysia. Prof sudah berada di sini banyak kali dan sebagaimana yang Prof tahu warga Malaysia sentiasa bergelut dengan masalah untuk hidup bersama dengan harmoni walaupun berhadapan dengan pelbagai agama, bahasa, budaya dan etnik.

Apa tanggapan selama Prof berada di sini? Adakah Malaysia sepertimana yang disangkakan oleh kebanyakan orang, sebuah negara model yang baik ataupun adakah ianya bermasalah hinggakan orang terlepas pandang bila mana mereka memikirkan tentang negara ini?

E.M: Terima kasih Fuad kerana menanyakan berkenaan isu ini. Ia merupakan perkara berat yang sering kali saya fikirkan. Di era 15 tahun yang lalu, Malaysia merupakan merupakan harapan Muslim keseluruhannya.

Semua orang mengatakan bahawa Malaysia berada di keadaan moden, ekonomi yang stabil, masyarakat yang pelbagai budaya, banyak lahirnya pemimpin-pemimpin baru, pemimpin yang memainkan peranan penting, dan wanita progresif.

Ada orang yang berlatar belakangkan Cina, India, Kristian, Hindu, Budha, Islam dan lain-lain lagi. Ini merupakan peluang yang besar. Walau bagaimanapun, kita dapat lihat bahawa yang sebelum ini sudah tidak berlaku lagi.

Sekarang ini, saya juga tidak pasti, mungkin Malaysia ada penjelasan mereka sendiri. Apa yang boleh saya katakan adalah, perkembangan kebelakangan ini merisaukan orang di luar sana.

Harapnya Malaysia mampu menyelesaikan permasalahan ini dan maju kehadapan dalam setiap perkara progresif yang mereka lakukan terutamanya berkenaan dengan Islam.

Tidak membiarkan pekara-perkara kecil untuk memesongkan perhatian mereka. Banyak isu-isu picisan yang menarik perhatian golongan minoriti. Adalah suatu yang bijak untuk pemimpin menegaskan bahawa kita mempunyai isu yang lebih besar.

Kita inginkan kemajuan. Kita mahu hapuskan rasuah, menjadi contoh. Jadi, jangan biarkan isu-isu kecil ini mengalihkan perhatian kita.

Sebagai sebahagian daripada komuniti dan juga merupakan rakan Malaysia, apa yang saya mungkin boleh katakan adalah “Apa sebenarnya agenda orang yang mahu menekankan isu-isu kecil tersebut dan mengalihkan perhatian kita?” Mungkin inilah masalah yang besar.

Perkara tersebut perlu diingatkan, dan bukannya membiarkan golongan minoriti menghadapinya sendirian atau membuat idea kepelbagaian itu sebagai satu masalah.

Atau menjadikan pengetahuan itu sebagai suatu masalah. Ilmu pengetahuan tidak akan pernah menjadi sebagai suatu masalah. Masalahnya adalah pada kezaliman dan sikap autoritarianism yang takut kepada rakyat yang berpengetahuan.

Jika anda tahu, terdapat pemikir awal abad 20-an yang bernama Abdul Rahman al-Kawakibi. Kawakibi merupakan seorang yang berasal dari Syria dan dia merupakan sahabat kepada Sheikh Rashid Rida di Mesir.

Kawakibi ada menulis buku yang tidak lama lagi boleh didapati versi terjemahannya yang bertajuk ‘The Nature of Despotism’.

Di dalam bukunya, analisis yang paling mendalam adalah bila mana beliau berkata penzalim menyukai pemimpin agamawan yang patuh. Apa yang penzalim lakukan adalah mereka memegang pemimpin agamawan ini dan inilah apa yang kita pelajari di Afrika Selatan iaitu mereka menghapuskan kepimpinan agama yang berfikir.

Menjadikan mereka tidak berfikir. Ianya disebabkan, pemimpin agama mengetahui ajaran nabi di mana keadilan berlaku ataupun tidak. Mereka menyampaikan ajaran nabi, suruhan al-Quran, suruhan Bible dan kesemua saranan nabi untuk menentang ketidak adilan dan perkara yang buruk.

Maka, jika mereka boleh menyatakannya dengan jelas. Pimpinan yang zalim tersebut akan tergugat.

Jadinya satu perkara yang perlu kita beri tumpuan adalah pendidikan. Pendidikan adalah kunci kebebasan. Ia menjadikan manusia yang berfikir dan bukannya bersikap automatik dan ini merupakan perkara yang sangat penting.

Baca bahagian kedua perbincangan ini. ]]>