“Orang yang berkasih sayang, pasti akan disayangi Tuhan yang maha penyayang. Berkasih sayang kamu di dunia, pasti kamu disayangi makhluk di langit”. (Hadis no : 6494( Konsep sayang mengikut neraca dan sumber Islam, tidak dibataskan pada hari-hari tertentu, tetapi ia disuburkan pada setiap hari dan setiap ketika. Ekoran itu, Islam haramkan kezaliman, haramkan permusuhan, haramkan penipuan dan semua perkara yang boleh menghakiskan kasih sayang sesama manusia; tidak kira sesama Muslim, ataupun dengan mereka yang tidak beragama Islam. Hari Valentine Namun begitu, apabila tiba 14 Februari pada setiap tahun, timbul perbincangan di kalangan sarjana Muslim tentang sambutan hari kekasih. Apa yang pasti, sambutan hari kekasih ini sudah menjadi suatu yang biasa dalam dunia hari ini. Apabila tiba 14 febuari, pasti kedengaran tentang sambutan hari tersebut. Di pihak Muslim, kedengaran ungkapan kata tentang pengharaman hari ini dengan membawa beberapa perkara-perkara dosa yang pasti dalam Islam, terutama sekali adalah dosa zina, sedangkan zina dan sambutan hari kekasih adalah dua perkara yang berbeda. Dengan maksud, sambutan hari kekasih tidak semestinya berlaku penzinaan, begitujuga zina boleh berlaku tanpa berkait pun dengan hari kekasih. Yang pastinya, sambutan hari kekasih ini adalah perkara yang tiada dalam nas secara sahih dan sareh (jelas dan nyata), sebaliknya pengharaman itu masih lagi dalam kerangka ijtihadi atau sesuatu kajian di kalangan ulama fiqh berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang mereka tahu tentang hari tersebut. Apabila kita lihat pada isu hukum sambutan hari kekasih ini, kita akan dapati ada dua kelompok yang menyatakan pandangan tentang hal ini, iaitu pendapat yang mengharamkannya seperti pandangan yang paling popular di dunia Islam termasuk fatwa majlis fatwa kebangsaan Malaysia. Majlis fatwa kebangsaan Malaysia menyatakan; “ Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam[1]” Tetapi terdapat juga fatwa yang mengharuskannya, iaitu pendapat Majlis Ulama Indonesia (MUI) Yogyakarta. Dalam kenyataan media MUI, dinyatakan; “Majelis Ulama Indonesia (MUI) Daerah Istimewa Yogyakarta mengeluarkan fatwa tak haram bagi umat Muslim merayakan hari kasih sayang alias Valentine. “Label haram akan diberikan jika dalam perayaan Valentine diwarnai dengan maksiat,” kata Sekretaris MUI DIY Ahmad Muhsin Kamaludiningrat, di Yogyakarta Sabtu, 12 Februari 2011[2]” Hujah Dari sudut hujah, kita dapati pihak yang mengharuskan itu merujuk kepada rasional berikut:“Asal sesuatu perkara adalah harus, selama tiada nas yang saheh dan sareh (nyata dan terang) menyatakan pengharamannya”. Dengan erti kata yang lain, tiada nas yang sahih dan sareh yang menyatakan pengharaman sambutan hari kekasih, makanya ia tidak boleh dinyatakan pengharamannya. Pihak yang mengharamkan sambutan hari Valentine berhujah dengan menyatakan bahawa sambutan tersebut berasal dari agama Kristian, makanya ia diharamkan kerana dibawah maksud menyerupai perayaan agama lain. Jawab hujah Dijawab hujah itu dengan menyatakan bahawa sambutan hari kekasih bukan sambutan ritual atau keagamaan dalam agama kristian, ia sekadar sambutan yang melibatkan individu agamawan yang beragama Kristian. Sambutan melibatkan individu agamawan kristian tidak mewakili ritual agama, ekoran itu ia tidak seperti sambutan hari natal dan sebagainya. Apabila didapati ia bukan perayaan keagamaan, maka sudah pasti ia tidak boleh diharamkan, kerana sekadar perayaan kebiasaan atau beradat tidak boleh diharamkan dengan merujuk kepada larangan menyerupai keagamaan. Jika diharamkan juga, sudah pasti perlu diharamkan juga sambutan tahun baru, sambutan hari pahlawan, sambutan kemerdekaan dan sebagainya, sedangkan perkara itu telah diterima ramai sebagai harus. Dan lagi, sebarang kebaikan yang bersifat sejagat seperti konsep kasih sayang, ia tidak boleh diharamkan walaupun ia datang dari kalangan orang bukan Islam, lebih-lebih lagi kebaikan itu tiada kaitan pun dengan ritual keagamaan tertentu. Ini dirujuk kepada kisah Nabi Muhammad SAW pernah memuji konsep pakatan keamanan yang berlaku di rumah Abdullah bin Jad’an pada era sebelum baginda dilantik menjadi Nabi lagi, malahan dinyatakan oleh Nabi bahawa jika diajak sekali lagi di era Islam, sudah pasti Nabi akan mendatanginya. Al-Imam al-Baihaqi ada mendatangkan satu hadis, daripada Talhah bin Abd Allah bin Auf, sesungguhnya Rasulullah saw ada bersabda, “Aku telah saksikan di rumah Abd Allah bin Jad’an satu pakatan yang aku sukainya lebih kepada unta merah. Jika aku diseru kepada perkara yang sama di zaman Islam, sudah pasti aku akan sahutinya” (al-Sunan al-Kubra, hadis no : 13080) Di pihak yang mengharamkan juga menyatakan bahawa perayaan ini boleh membawa kepada zina. Dijawab bahawa sambutan perayaan ini tidak semestinya membawa kepada zina. Malahan, unsur zina itu boleh dibuang dari sambutan perayaan tersebut. Ini dimisalkan seperti pengamalan bank yang popularnya melibatkan riba. Namun, apabila unsur riba itu sudah dibuang, makanya pengamalan bank tidak boleh diharamkan lagi. Begitujugalah dengan perayaan hari kekasih yang boleh dibuang unsur zina. Lebih-lebih lagi, sambutan itu kadangkala boleh menyuburkan kasih sayang antara suami dan isteri yang sudah pasti amat jauh dari zina. Namun begitu, kebimbangan zina berlaku yang melibatkan anak-anak muda boleh di atasi dengan penganjuran sambutan itu dalam kerangka yang dibenarkan oleh syariah, seperti mengadakan majlis pernikahan anjuran kerajaan secara beramai-ramai, menganjurkan kempen murahkan mas kahwin pada hari tersebut dan berbagai-bagai lagi. Jika sambutan ini boleh diwarnai perkara – perkara yang melibatkan syariah, sudah pasti masalah zina yang menjadi kebimbangan pada hari kekasih boleh diatasi. Dinyatakan haram juga dengan alasan bahawa sambutan itu punyai nama perayaan yang menggunakan nama seorang agamawan kristian. Dijawab bahawa hukum itu tidak berlegar pada nama, tetapi berlegar pada kandungannya. Di zaman Umar, Yahudi Bani Tughlub membayar jizyah tetapi menggunakan nama zakat. Dengan maksud, kandungannya adalah jizyah, tetapi nama bayaran itu zakat, walhal dalam fiqh Islam, orang bukan Islam tidak dibebankan dengan zakat. Dari riwayat umar ini, menandakan bahawa hukum itu berlegar pada kandungan yang diberi nama, bukan pada namanya. (al-Qaradawi, al-Siyasah al-Syariyyah, hlmn 147) Dengan itu, sekadar nama perayaan itu bernamakan seseorang lelaki yang tidak beragama Islam, tidak boleh dinyatakan bahawa kandungan perayaan itu haram. Ada pula pihak menyatakan bahawa pendapat Majlis Ulama Indonesia Yogayakarta ini adalah pendapat yang menyalahi pendapat popular, makanya ia tidak wajar dijadikan panduan. Dijawab bahawa pendapat popular tidak bermaksud pendapat itu tidak boleh dikhilafi langsung. Ini kerana, jika dibaca dalam banyak fatwa-fatwa ulama muktabar kontemporari, seperti Imam Abu Zuhrah, beliau pernah menyalahi pendapat popular dengan beliau menyatakan bahawa tiada hukum rejam dalam Islam, sedangkan hukuman rejam bagi penzina yang telah bernikah adalah pendapat yang cukup popular. Pendapat beliau itu pula dipuji oleh ramai ulama kontemporari, antaranya Dr Yusuf al-Qaradawi. Kesimpulan Perbahasan ini bukan untuk berpihak kepada pendapat tertentu, tetapi lebih kepada membuka kepada masyarakat tentang pendapat yang berbeda dari kebiasaan. Penulis beranggapan bahawa ia amat tidak sesuai untuk umat Muslim memusuhi sambutan hari kekasih atas nama boikot dan sebagainya, kerana hakikatnya zina tidak akan dapat diatasi melalui cara-cara sebegitu pun. Pada penulis, dalam isu yang melibatkan hari kekasih, adalah lebih baik di pihak Muslim mengambil sikap pro-aktif, iaitu menjadikannya sebagai peluang untuk elakkan gejala zina berlaku dengan mengadakan kempen kasih sayang berasaskan syariah, seperti kempen memurahkan mas kahwin, kempen kemesraan antara suami dan isteri dan sebagainya. Lebih-lebih lagi apabila ada pendapat yang menyatakan keharusannya, seperti berdasarkan fatwa dari Majlis Ulama Indonesia Yogyakarta. Moga-moga dengan berfikir secara pro-aktif dalam isu ini, penzinaan berjaya dielak; perkahwinan di kalangan anak muda akan subur dan berlaku. Dengannya, terbinanya masyarakat yang hebat dari sudut pengamalan agamanya – Insya Allah.
Paganisme: Kepercayaan atau agama?
“Jangan sebut Pagan”
Apabila kita menyebut “Pagan”, sesetengah masyarakat akan berfikir Pagan ataupun Paganism adalah penyembah berhala kepada patung, batu dan pokok dan menganggap kehidupan seorang Paganist adalah kuno dan ketinggalan zaman.
Sesetengahnya juga mengatakan “kamu seorang Pagan mempunyai banyak Tuhan disembah dan jika kamu bukan seorang Kristian, Islam, Buddha dan Hindu, kamu adalah seorang Pagan. Pendek kata, jangan panggil saya Pagan dan jangan guna perkataan Pagan di dalam perkataan kamu. Ini menunjukkan perkataan Pagan seolah-olah merupakan satu senjata yang berbahaya digunakkan oleh seorang pahlawan untuk menjatuhkan musuhnya.
Justeru itu, sesetengah masyarakat telah menggunakan perkataan alternatif seperti agama asal ataupun agama tradisi dengan tujuan supaya Paganist tidak dipandang rendah oleh masyarakat.
Akan tetapi sejauh manakah pemikiran dan perspektif masyarakat terhadap Pagan berubah walaupun kita tidak digalakkan untuk menggunakan perkataan ini?
Dari sudut renungan secara individual, saya ingin mengatakan bahawa pemikiran dan perspektif seseorang akan berubah sekiranya dia memahami siapakah itu Pagan ataupun Paganism dan bagaimana nilai kehidupan sebenar mereka dengan lebih mendalam. Saya tidak melihat penggunaan perkataan Pagan akan menjejaskan maruah, menindas dan merendah-rendahkan martabat seseorang kerana perkataan Pagan digunakan secara universal oleh seluruh masyarakat dunia dari sejak dahulu lagi.
Penggunaan perkataan ini bergantung kepada pemahaman dan perspektif seseorang individu apabila mengutarakan dan membincangkan topik ini. Maka, saya lebih selesa menggunakan perkataan Pagan di dalam penulisan kedua saya untuk mengupas lebih lanjut tentang Paganism.
Pagan itu apa?
Christopher King dari University’s Archaeology Department mengatakan bahawa “Recent archaeological studies of paganism highlight that Paganism was not a formal religion with fixed doctrines and rules, but a very varied set of beliefs and practices through which local communities interpreted their world. Selain itu, Marawolf of the Covenstead di dalam penulisannya pula mengatakan bahawa “Pagan is an umbrella term covering many different religions and belief systems, it is a spiritual way of life that rooted in the ancient nature religion. It is also sometimes referred as “The Old Religion”, pre-Christian religion. Pagan may practice different religions based upon their geographical location or cultural background”.
Pagan juga dirujuk sebagai “Polytheistic Religion” dimana mereka mempercayai banyak “Gods and Goddesses dalam penyembahan. Menurut pendefinisan oleh nenek saya pula, Pagan merupakan kepercayaan yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang dan menganggap pagan itu bukan agama kerana walapun saya seorang Kristian tetapi saya ada hak untuk mengamalkan kepercayaan ini.
Melalui perkongsian saya dengan seorang aktivis di Jogjakarta yang aktif dalam mempertahankan hak-hak budaya masyarakat Jawa mengatakan bahawa Pagan adalah suatu agama dasar dimana ciri-ciri asas Pagan yang menggunakan objek, simbol di dalam penyembahan mereka juga terdapat di dalam agama-agama seperti Kristian, Buddha dan Hindu.
Contohnya, agama Kristian menggunakan patung Jesus dan Maria didalam gereja. Begitu juga dengan agama Hindu dan Buddha dimana Hindu menggunakan patung Dewa Siva di dalam kuil dan Buddha menggunakan patung Bharma di tokong.
Ciri-ciri asas Pagan ini telah diadaptasikan dan diubah suai mengikut kesesuaian kepada agama-agama popular ini. Oleh itu, Kepelbagaian dalam pendefinisian ini menyebabkan persoalan “apakah itu Pagan” susah untuk dijelaskan secara terperinci.
Budaya
Apabila nenek saya menyebut bahawa Pagan adalah kepercayaan yang diwarisi dari turun-temurun dimana nenek moyang saya memperolehi pengetahuan dari ibunya dan diperturunkan kepada nenek saya, maka saya melihat Pagan itu adalah suatu budaya hidup seseorang.
Ianya menjadi suatu budaya apabila saya harus bercakap dalam bahasa ibunda saya, saya harus menetap di dalam komuniti untuk mendalami pengetahuan ini, memahami cara hidup seorang paganist dengan lebih mendalam dan mempelajari segala ilmu adat dan cerita-cerita rakyat yang berkait rapat cara hidup Paganist. Perwarisan ini adalah penting supaya budaya ini tidak terputus dan hilang begitu sahaja.
Rujukan
Pagan juga tidak mempunyai rujukan yang formal seperti Alkitab dan Al-quran apabila mempraktikkan kepercayaan mereka. Paganist hanya bergantung kepada ajaran dari nenek moyang melalui pendengaran dan penglihatan apabila melakukan upacara-upacara Paganism.
Ini boleh dibuktikan melalui perkongsian cerita daripada nenek saya. Nenek saya tidak pernah memegang alkitab dan membaca dari mana-mana sumber, akan tetapi nenek saya mengetahui semua narrative tentang kejadian Nabi Nuh dimana bagaimana dunia ditenggelami oleh banjir dan adanya sebuah kapal yang besar.
Dia mengatakan bahawa semangat yang selalu membantunya iaitu “Himbou” telah menceritakan kepadanya semua kejadian tersebut. Ini menunjukkan semangat juga menjadi sumber segala rujukan kepada Paganist dari segi perubatan, penceritaan, perlindunang dan yang berkaitan dengan alam. Pagan tidak mempunyai bangunan seperti gereja, masjid, tokong dan kuil untuk melakukan upacara mereka. Tempat suci bagi Paganist adalah tanah, batu, sungai dan pokok dan sumber alam.
Oleh itu, Pagan dilihat bukan setakat kepercayaan dan juga agama, tetapi ianya merupakan satu budaya dan dunia spirituality dengan alam. Pertembungan dunia material dengan dunia spirituality menyebabkan berlakunya perebutan ruang dan masa untuk meneliti dan mengamati apakah itu Pagan sebenar.
Doktrin-doktrin yang nyata didepan mata adalah senang dilihat dan dipelajari berbanding Pagan. Lantas, saya berfikir apakah jadi kepada dunia jika dipenuhi dengan teknikal kehidupan yang berpandukan kepada doktrin di atas kertas dan ruang media.
Sandiwara politik di Kampung Chetti
Salah satu sebab adalah berikutan berita mengejut Kannama Pillay meninggal dunia pada 2 Januari 2014 akibat denggi berdarah. Pemergian wanita kaum Chetti itu dianggap suatu kehilangan besar.
Kaum Chetti di Melaka hanya sebuah kumpulan minoriti. Sekitar 300 orang daripada 30 keluarga tinggal di sekitar 20 buah rumah di perkampungan warisan itu.
Kebanyakan mereka adalah saling bersaudara; walaupun wujud perkahwinan campur dengan masyarakat luar. Maka, secara logik, ramai penduduk Kampung Chetti yang bersaudara dengan mendiang Kannama.
Mengikut tradisi Hindu, apabila ada kematian dalam keluarga, maka kaum-keluarga terdekat tidak boleh menghadiri upacara keagamaan di kuil selama beberapa bulan.
[caption id="attachment_2966" align="alignleft" width="150"] Sambutan “ponggol” yang agak suram di Kuil Sivan.[/caption]
Atas sebab itulah juga sambutan “ponggol” – atau “ponggal” – di Kuil Sivan pada kali ini hanya dihadiri sekitar sepuluh orang kaum Chetti. Wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut berpeluang menyertainya memandangkan kami berada di Kampung Chetti bagi melakukan kerja-kerja pemantauan.
Bercakap mengenai “kerja-kerja pemantauan”, ia ada kaitan dengan alasan kedua mengapa sambutan “ponggol” di Kampung Chetti pada kali ini kurang berseri.
Kavyan melakukan pendedahan demi pendedahan menerusi laman rangkaian sosial dan kerjasama portal berita dalam talian selepas Kunjungan Perpaduan Kavyan (15 Disember 2013). Maka ramai yang sudah tahu mengenai “kemusnahan terancang” yang sedang melanda Kampung Chetti.
Tekanan lebih kuat diberikan kepada Kerajaan Negeri Melaka menerusi “Solidariti Kampung Chetti” (29 Disember 2013) supaya projek pembangunan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan Kampung Chetti dihentikan serta-merta.
Projek dihentikan? Mana ada!
Namun begitu, malangnya, jaminan berbentuk “janji manis” yang diberikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron kepada penduduk Kampung Chetti nampaknya hanya “janji Melayu” atau “janji dicapati”.
[caption id="attachment_2967" align="alignleft" width="150"]
Penduduk rasa tertipu dengan janji-janji manis politikus.[/caption]
Menurut laporan akhbar The Star (1 Januari 2014), Idris sudah mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan di atas tanah “Lot 93” yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu.
Idris yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka dilaporkan mahu menyelesaikan isu itu dengan segera dan sudah mengarahkan projek dihentikan sehingga menanti siasatan selesai. Idris mengaku “pening kepala” berikutan pendedahan Kavyan.
Laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris “mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek kondominium dan hotel di tengah Kampung Chetti”.
Idris juga “mengeluarkan arahan siasatan segera bagi mencari punca kepada masalah tersebut. … Idris mahu siasatan lebih mendalam dilakukan pada kadar segera bagi mengenalpasti pihak bertanggungjawab yang memberi kelulusan serta membenarkan projek itu dibina”.
Dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014), Pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan memberikan jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara.
Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti.
Bagaimanapun, tinjauan wakil Kavyan ke Kampung Chetti pada 14 Januari 2014 mendapati hal yang sebaliknya sedang berlaku. Kerja-kerja pembinaan berjalan seperti biasa dan ternyata tidak ada tanda-tanda ada arahan daripada ketua menteri supaya projek dihentikan sementara siasatan dibuat.
Rata-rata penduduk kaum Chetti yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kerja dihentikan di “Lot 93” seperti dilaporkan media arus perdana sejak awal tahun. Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan berjalan tanpa henti dari awal pagi hingga lewat malam, termasuk pada hari cuti umum.
Loji najis di depan kuil dan rumah orang
Ahli jawatankuasa bertindak, T Sithambaram Pillay yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada wakil MIC atau Pemuda MIC datang untuk meninjau keadaan.
Nampaknya tugas Pemuda MIC Melaka setakat menciplak kenyataan media Kavyan (16 Disember 2013) dan menyerahkannya sebagai memorandum kepada ketua menteri (20 Disember 2013).
Tugas pengerusi MIC Melaka pula seolah-olah hanya mengeluarkan kenyataan yang muluk-muluk kepada wartawan media arus perdana dan memberikan gambaran seolah-olah tidak ada sebarang masalah di Kampung Chetti.
“Laporan di media arus perdana mengatakan seolah-olah MIC dan kerajaan negeri menghantar jurutera khas untuk melihat keadaan bangunan kuil-kuil di sini. Tetapi semua itu adalah penipuan semata-mata,” kata Sithambaram dengan nada marah dah kecewa.
Pemuda kaum Chetti itu juga meluahkan kemarahan kerana loji najis bagi dua buah kondominium 22 tingkat dan sebuah hotel 12 tingkat sedang dibina bersempadan dengan rumah penduduk kampung.
“Segala air kotor penghuni di Lot 93 akan disalurkan masuk ke longkang besar di kampung kami. Loji najis pula dibina dekat dengan rumah kami serta tidak berapa jauh dari Kuil Sri Muthu Mariamman. Bayangkan betapa biadabnya tindakan ini,” tegasnya.
[caption id="attachment_2968" align="alignleft" width="150"]
Tiada tanda-tanda projek dihentikan seperti dijanjikan Ketua Menteri Melaka.[/caption]
Turut berkongsi rasa sedih, kecewa, marah dan dendam ialah Minatchi Naiker, warga emas berumur 83 tahun yang merupakan anak jati Kampung Chetti. Seperti dirinya, kebanyakan penduduk Chetti sudah tinggal di sini selama enam keturunan.
“Ini adalah kampung kami, tanah milik nenek-moyang kami. Kerajaan dan Unesco sudah iktiraf tanah ini sebagai perkampungan warisan. Sepatutnya kerajaan tempatan memelihara dan melindingi tapak warisan ini.
“Tiba-tiba kami mendapat berita bahawa ada projek besar di sebelah kampung. Memang tidak dapat diterima akal jika sesiapa mengatakan projek itu tidak akan menjejaskan Kampung Chetti,” kata wanita itu sambil menahan rasa marah dan sebak.
‘Kami rela mati demi pertahankan kampung ini’
Minatchi mengakui bahawa sebelum ini, apabila bekas ketua menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan, beliau menyembah kaki politikus itu kerana bersyukur tanah warisan nenek-moyang berjaya diselamatkan.
“Tetapi kini, kerajaan negeri meluluskan semula projek itu. Kami semua menyesal kerana mempercayai, meletakkan harapan dan mengundi BN. Apa gunanya kami pilih mereka kalau mereka tak boleh tolong minoriti? Sebaliknya kami ditipu dan dizalimi,” tegasnya.
Warga emas itu mungkin sahaja tidak tahu mengenai syarat tidak boleh ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter daripada kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan.
Begitu juga dengan syarat dan peraturan Unesco iaitu sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan (perkampungan warisan) tidak boleh melebihi 4 tingkat. Maka, pembangunan di “Lot 93” ternyata melanggar syarat ditetapkan badan antarabangsa.
“Kalau kerajaan tidak boleh tolong kami, bunuhlah kami secara beramai-ramai dan tanam kami di perkampungan warisan. Kemudian buatlah apa yang mahu dibuat dengan tanah kami,” kata Minatchi yang ternyata kecewa dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.
Rata-rata penduduk yang ditemui sedar bahawa “Lot 93” adalah milik persendirian dan kaum Chetti tidak berhak membuat sebarang tuntutan ke atas tanah itu.
Bagaimanapun, mereka juga sedar bahawa mereka berhak berjuang demi mempertahankan Kampung Chetti seluas lima ekar yang sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Segala tuntutan mereka selaras dengan peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada.
Bagi Sumitra Devi Pillay, sebagai generasi muda kaum Chetti, beliau mahu terus mempertahankan kampung nenek-moyangnya. Gadis itu sedar bahawa sekiranya mereka menghentikan perjuangan dan tuntutan, maka kampung itu berdepan kemungkinan musnah terus dalam masa terdekat.
“Saya mahu supaya anak-cucu saya nanti ada kampung untuk pulang pada masa cuti. Kampung Chetti bukan sekadar sebuah perkampungan biasa. Semua pihak perlu menyedari hakikat ini dan sama-sama tampil untuk mempertahankannya daripada sebarang kemusnahan yang berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya dengan penuh harapan.
Ada gunting dalam lipatan, duri dalam daging
Semasa sambutan “ponggol” di Kuil Sivan pada kali ini, tidak ada wakil dari MIC atau Hindraf yang datang walaupun kenyataan-kenyataan yang disiarkan di media arus perdana memberikan gambaran seolah-olah mereka amat prihatin dan berjuang demi nasib kaum Chetti.
Perkembangan yang dapat diperhatikan secara nyata sejak dua minggu lalu membuatkan penduduk Kampung Chetti sedar bahawa mereka sekali lagi menjadi mangsa penipuan, manipulasi politik dan diperalatkan golongan politikus, kuasawan dan kapitalis demi kepentingan peribadi.
“Saya juga amat kecewa apabila mendapat tahu bahawa ada ‘orang dalam’ iaitu individu dalam komuniti kami sendiri yang menjadi dalang yang sanggup menjual maruah dan harta pusaka nenek-moyang demi kepentingan peribadi,” kata Minatchi sambil menahan sebak semasa saya mengunjunginya bersama-sama Kughan Nadarajah, Sugan Gunalan dan Preevinn Singh.
[caption id="attachment_2969" align="alignleft" width="150"]
Kavyan terus menyokong dan membantu perjuangan minoriti Chetti.[/caption]
Berita terbaru itu memeranjatkan ramai penduduk Kampung Chetti. Mereka mahu kerajaan memberikan surat rasmi serta salinan dokumen yang kononnya ditandatangani wakil kaum Chetti.
Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka merangkap pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVM), K Supramania Pillay mengesahkan bahawa tidak ada sesiapa di pihaknya yang menandatangani sebarang dokumen seperti itu.
Maka, misteri yang belum terjawab adalah siapakah dalang-dalang dalam komuniti Chetti, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang terlibat dalam sandiwara ini?
Sementara itu, Kavyan menyeru wakil media dan Bangsa Malaysia yang priharin supaya terus memberikan tekanan dan desakan kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat supaya menghentikan segera projek pembinaan di “Lot 93” yang secara terang-terangan melanggar pelbagai peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada.
Kavyan akan terus memuatkan berita dan perkembangan terbaru di www.kampungchetti.blogspot.com untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tepat, benar dan terkini mengenai keadaan di kampung warisan berkenaan.
Mengenali minoriti Kampung Chetti
Kannama (kiri) dan Valli berbalas pantun secara spontan.[/caption]
Secara fizikal, masyarakat Chetti mempunyai persamaan dengan rupa etnik India. Ada juga individu yang menyerupai masyarakat Cina dan Baba Nyonya. Hal ini berlaku kerana kelompok Chetti wujud hasil perkahwinan lelaki Chetti (kaum India) dengan wanita Melayu, Cina dan Nyonya.
Jadi, sekiranya kita berkunjung ke Kampung Chetti, kita akan berpeluang untuk bersua dengan individu yang mempunyai rupa masyarakat majmuk di Malaysia. Ada yang lebih menyerupai masyarakat Melayu, ada yang kelihatan seperti orang Cina dan ada pula yang tidak tumpah seperti kaum India.
Kalau diteliti dari aspek agama, masyarakat Chetti sejak dahulu berpegang teguh pada ajaran agama Hindu, mazhab Saiva yang menyembah Tuhan dalam bentuk rupa Dewa Shiva. Walaupun berlaku perkahwinan campur, masyarakat Chetti tidak meninggalkan agama yang dianuti sejak turun-temurun.
Kali pertama saya ke Kampung Chetti adalah bersama-sama pengkaji sejarah dari Singapura, Samuel S Dhoraisingam yang menulis buku “Peranakan Indians of Singapore and Melaka” (2006).
[caption id="attachment_2903" align="alignleft" width="150"]
Liputan khas mengenai kaum Chetti di majalah Dewan Budaya.[/caption]
Kemudian, saya pergi lagi semasa sambutan Ponggal pada Januari 2007; khusus untuk menulis beberapa artikel yang disiarkan di majalah Dewan Budaya dan Dewan Bahasa (Mac 2007). Kandungan makalah-makalah itu masih segar dan sesuai dijadikan rujukan bagi memahami keunikan komuniti Chetti Melaka.
Kuil Sri Muthu Mariamman yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti menjadi pusat pelbagai aktiviti keagamaan dan kebudayaan sejak tahun 1822. Nama lain yang diberikan adalah “Kuil Datuk Chachar” dan nama ini jelas membezakan kuil berkenaan daripada mana-mana kuil Hindu di seluruh dunia.
Penduduk Kampung Chetti menjelaskan bahawa nama “Datuk Chachar” diberikan kerana dalam budaya masyarakat beragama Hindu, Dewi Mariamman memang disembah untuk menyembuhkan penyakit cacar.
Hantu Tetek masuk dari budaya Melayu
Di Kuil Sri Muthu Mariamman juga terdapat dua patung yang diperbuat daripada buluh dan dihiasi menyerupai wanita dengan wajah yang menggerunkan. Kedua-dua patung ini digunakan untuk mengiringi rata atau kereta berhias semasa perayaan keagamaan.
Aspek yang menarik mengenai kedua-dua patung tersebut adalah kerana dinamakan “Hantu Tetek”. Nama ini pasti mengingatkan orang ramai kepada Hantu Tetek yang terdapat dalam budaya Melayu di mana watak berkenaan diwujudkan untuk menakut-nakutkan remaja lelaki supaya pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib.
Kebanyakan individu yang ditemui di Kampung Chetti tidak dapat menjelaskan bagaimana Hantu Tetek boleh wujud dalam budaya Chetti; khususnya sebagai dewi pengawal di Kuil Sri Muthu Mariamman.
Semasa Kunjungan Perpaduan Kavyan pada 15 Disember 2013, saya tidak melepaskan peluang membawa Shahrul Nizam Abd Hamid, Rayner Yeo dan Nor Arlene Tan mengunjungi Kuil Datuk Chahar dan melihat patung Hantu Tetek.
Seorang warga emas bernama Minachi Naiker pernah menceritakan kepada saya pada Januari 2007 mengenai sejarah Hantu Tetek. Katanya, pada masa dahulu, seorang penduduk bermimpi melihat seorang wanita berpayu dara besar berdiri di sisi dua telaga penting di perkarangan kuil berkenaan. Mimpi itu membawa alamat baik serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu terbabit.
Sejak itulah konsep dan watak Hantu Tetek wujud dan diasimilasikan dengan Kuil Sri Muthu Mariamman. Sayangnya, generasi muda Chetti kurang didedahkan dengan latar kewujudannya.
[caption id="attachment_2904" align="alignleft" width="150"]
Kanak-kanak akan meneruskan tradisi nenek-moyang. Foto: Shahrul Nizam[/caption]
Atas sebab itulah juga Solidariti Kampung Chetti anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 29 Disember 2013 antara lain berusaha membantu generasi muda Chetti mengenali sejarah dan budaya masyarakat sendiri. Tambahan pula, mereka adalah penerus tradisi bagi kampung warisan ini.
Kuil-kuil yang terdapat di serata Kampung Chetti juga amat unik dan mungkin sahaja tidak terdapat di mana-mana tempat lain di seluruh Malaysia. Kuil-kuil di sini kebanyakannya digelarkan “kuil kampung” atau “kuil terbuka”. Nama yang diberikan amat sesuai kerana kuil-kuil itu memang terletak di tanah lapang dan kawasan terbuka.
Tidak ada bangunan besar seperti yang lazim dikaitkan dengan kuil-kuil Hindu. Malah, tidak ada bumbung juga. Penganut hanya pergi ke tanah lapang berkenaan dan bersembahyang di hadapan stupa berupa pentas kecil.
Melihat semula Kampung Chetti dari sudut lain
Orang ramai yang terbiasa melihat cara penganut agama Hindu di Malaysia bersembahyang pasti hairan dan terkejut melihat aksi orang Chetti sembahyang. Tidak mustahil bahawa ada yang beranggapan masyarakat Chetti menyembang semangat atau bunian!
Akan tetapi, kewujudan “kuil terbuka” ini ada kisah tersendiri yang amat logik. Cikgu Malathi Pillay yang menjadi pemandu pelancong kepada saya pada Januari 2007 menjelaskan hakikat bahawa pedagang (“setu” atau “cetti”) yang datang ke Melaka pada zaman dahulu (seawal kurun kedua) bukan daripada golongan pengukir yang pandai membuat patung dan berhala.
Maka, apabila mereka menetap di Melaka serta berkahwin dengan wanita Melayu dan beranak-pinak di sini, mereka mahu membina tempat untuk bersembahyang. Malangnya, mereka tidak pandai membuat patung dan berhala; apatah lagi kemahiran membina bangunan kuil.
Mereka juga menyedari ajaran paling asas agama Hindu adalah bahawa Tuhan terdapat di mana-mana dan boleh disembah dalam apa-apa bentuk. Dengan itu, mereka mendirikan kuil menggunakan konsep kawasan terbuka.
Walaupun kini sudah ada beberapa kuil besar, konsep “kuil terbuka” terus dikekalkan di Kampung Chetti. Harus juga dinyatakan bahawa Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Chetti yang dibina pada 1781 dipercayai kuil Hindu tertua di Nusantara.
Semasa Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013), remaja dan belia Chetti dibawa sekeliling perkampungan warisan ini oleh Shahrul Nizam untuk merakamkan foto-foto dari sudut pandangan yang berbeza berbanding “sudut” yang biasa mereka lihat sehari-hari.
Foto-foto keunikan Kampung Chetti serta “kemusnahan” yang dijangka dibawakan oleh projek pembinaan dua buah kondominium 22 tingkat, sebuah hotel 12 tingkat dan tempat letak kereta enam tingkat di “Lot 93” akan dikongsikan sehingga menjadi “viral” menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.
Akhirnya, harapan Kavyan serta Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka adalah supaya orang ramai – Rakyat – mendapat kesedaran tentang kesan negatif pembangunan di “Lot 93” lalu tampil menggunakan “kuasa rakyat” – people’s power, makkal sakthi – untuk mempertahankan perkampungan warisan ini daripada musnah dan pupus.
Orang ramai boleh melayari www.kavyan.blogspot.com atau menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini Solidariti Kampung Chetti yang bertujuan mengembalikan “kuasa” kepada kaum minoriti Chetti.
Jangan Hapuskan Kampung Chetti
limestone) berdepan masalah besar berikutan projek pembinaan ini. Misalnya, Kuil Sri Anggala Parameswari yang digazetkan sebagai Warisan Negara terletak sekitar 300 meter dari tapak pembinaan; Kuil Sri Kailasanar (sekitar 400 meter) dan Kuil Muthu Mariamman (100 meter). Harapan dan gesaan Kavyan adalah supaya cadangan pembinaan di Lot 93 dihentikan segera. Rundingan patut diadakan dengan Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka mengenai cadangan tanah Lot 93 digazetkan sebagai sebahagian daripada Kampung Chetti. Sambutan “Ponggal” (pesta menuai) secara besar-besaran bakal berlangsung di Kampung Chetti pada pertengahan Januari 2014. Semoga akan ada berita baik daripada pihak berkuasa sebelum tarikh itu. Biarlah insiden Lembah Bujang menjadi pengajaran kepada kita supaya lebih bertanggungjawab dalam memelihara dan memulihara warisan negara. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
]]>Agama asal: suatu pengenalan
Sumber alam
Agama asal ataupun dipanggil sebagai “Pagan” merupakan agama yang menyeluruh dan berhubung rapat dengan sumber alam dan bumi. Antara elemen-elemen sumber alam adalah seperti tanah, sungai, pokok, batu dan haiwan dimana ianya menjadi nadi utama kepada pengamal agama asal.
Sumber alam menjadi teras kehidupan kepada bumi dimana tanah, sungai, pokok, batu dan haiwan mempunyai semangat kehidupan yang sama seperti manusia. Sumber alam juga mempunyai bahasanya sendiri dimana pengamal agama asal dapat memahami bahasa alam walapun bahasa tersebut tidak di ucapkan di dalam perkataan sepertimana bahasa yang digunakan oleh manusia.
Pengamal agama asal sangat mempercayai bahawa sumber alam mempunyai satu tenaga kosmik yang sangat berkuasa dan menyeluruh di bumi. Manusia tidak akan hidup tanpa sumber alam tetapi sumber alam akan kekal selama-lamanya walaupun tanpa manusia.
Perkongsian
Perkongsian ini menyebabkan pengamal agama asal sangat menghormati batu, pokok, sungai dan tanah dengan melakukan upacara-upacara tradisi sebagai tanda terima kasih kepada alam kerana memberikan kehidupan kepada mereka. Pengamal agama asal biasanya mendiami kawasan pergunungan, hutan dan sungai kerana ianya dekat dengan sumber alam dan Ini merupakan gambaran asas tentang apakah itu agama asal.
Semangat pelindung
Secara khususnya saya di sini akan menyentuh kepada pengamalan agama asal dari perspektif agama asal suku kaum Dusun Tindal yang terletak di kawasan Kota Belud. Ini kerana latar belakang keluarga saya yang masih mengamalkan agama asal ini.
Pengamal agama asal suku kaum Dusun Tindal sangat dekat dengan sumber alam terutamanya hutan, sungai, haiwan dan pokok. Mereka mempercayai bahawa pokok mempunyai roh dan semangat dan boleh berkomunikasi dengan manusia.
Sebagai satu contoh sudut pandang alam ini, kita boleh mempertimbangkan satu cerita daripada nenek saya, di mana ketika perang Jepun, penduduk kampung tidak dibenarkan keluar bersendirian untuk ke sungai ataupun memburu haiwan.
Akan tetapi nenek saya mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Buko (bukan nama sebenar) telah memberanikan diri ke sungai seorang diri. Sungai yang menjadi tempat permainannya mempunyai sebuah pokok yang sangat besar. Seperti biasa, Buko akan bermain-main dengan pokok tersebut dan tetapi mengikut ceritanya Buko sangat terperanjat apabila melihat batang pokok tersebut mengeluarkan mata, hidung dan mulut dan membentuk muka manusia.
Berdasarkan naratif ini, pokok tersebut memarahi Buko kerana keluar bermain dalam keadaan yang bahaya dan menyuruh Buko untuk pulang ke rumah. Pokok besar tersebut telah memberikan perlindungan kepada Buko dan ini menunjukkan roh alam sangat nyata pada masa tersebut. Ini menunjukkan interaksi diantara alam dengan manusia sangat rapat dan mereka boleh memahami antara satu sama lain.
Penyembuhan
Selain itu, pengamal agama asal suku kaum Dusun Tindal juga mempercayai bahawa sumber alam memberikan penyembuhan penyakit tidak kira dari segi fizikal dan mental.
Contohnya, nenek saya selalu menggunakan sejenis air yang dipanggil “wonod”. Wonod boleh didapati daripada akar batang pokok yang melilit di pokok-pokok besar. Air Wonod ini boleh menyembuh penyakit seperti deman dan sakit tekak.
Pengamal agama asal ini juga mempunyai pengetahuan yang meluas tentang daun herba dalam perubatan tradisional. Kebiasaanya mereka akan menggunakan sejenis daun yang dipanggil “Totopis” dalam bahasa Dusun Tindal yang bermaksud daun berubat untuk mengubati penyakit bengkak di leher dan muka. Ini menunjukkan sumber alam mempunyai penyembuhan yang sangat tinggi dalam kehidupan manusia.
Penyembahan
Suku kaum Dusun Tindal juga menggamalkan beberapa jenis upacara tradisi di dalam penyembahan mereka. Upacara utama yang sering diamalkan adalah upacara “Tombilon” yang bermaksud upacara memanggil ataupun berkomunikasi dengan semangat alam yang dipanggil “Himbou”.
Himbou bermaksud malaikat-malaikat di langit yang mempunyai tenaga penyembuhan dan penglihatan yang tinggi. Himbou juga memyembah semangat alam yang paling berkuasa iaitu “Kinorohingan” atau bermaksud “Tuhan”.
Melalui Kinorohingan, Himbou mendapat kuasa yang luar biasa untuk membantu pengamal agama asal di dalam penyembahan mereka. Upacara “Tombilon” biasanya dilakukan untuk melihat kesakitan dalaman seseorang tidak kira dari segi fizikal dan mental dimana upacara ini membolehkan pengamal dapat melihat dunia lain melalui mimpi.
Himbou mempunyai kehidupan seperti manusia tetapi tinggal di dunia yang berlainan dimana mereka mempunyai keluarga dan kawasan-kawasan perkampungan. Himbou juga mempunyai nama panggilan dan bahasa sendiri dimana hanya pelaku Tombilon memahaminya.
Pemilikan bersama
Selain daripada itu, Konsep “mitatabang” yang bermaksud pemilikan bersama juga sangat harmoni di kalangan pengamal agama asal kerana mereka percaya bahawa semangat alam juga mengamalkan konsep ini.
Pada musim memburu, memungut hasil hutan dan menuai padi, mereka akan turun bersama-sama untuk melakukan kerja tanpa gaji dan hasil pungutan daripada tuaian dan buruan akan dikongsikan dengan semangat alam melalui satu upacara tanda kesyukuran. Mereka percaya bahawa semangat alam telah memberikan makanan kepada mereka melalui hasil tanaman dan tanah yang menjadi tempat penanaman.
Oleh itu, Pengamal agama asal suku kaum ini sangat menghormati semangat tanah dengan meminta kebenaran daripada semangat tanah terlebih dahulu untuk membuka kawasan tersebut melalui penyembahan tradisi. Ini merupakan satu perhubungan kosmik yang sangat luar biasa di antara pengamal agama asal dengan semangat alam.
Agama atau kepercayaan semata-mata?
Pengamal-pengamal agama asal adalah golongan yang berumur dalam linkungan 50an, 60an, 70an dan 80an. Golongan yang dibawah 50an seolah-olah sudah tidak mengamalkan agama asal ini.
Persoalan yang timbul ialah adakah agama asal merupakan satu agama ataupun hanya kepercayaan semata-mata? Persoalan ini akan direnungi dengan lebih mendalam dalam penulisan saya yang seterusnya.
Daripada belanjawan ke bajet: Upacara Anglisasi bahasa untuk mewujudkan Melayu Borjuis Baharu
“A man who has a language consequently possesses the world expressed and implied by that language.” – Frantz Fanon, “Black Skin, White Masks”
Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa perkataan ‘bajet’ digunakan walhal korpus Bahasa Melayu mempunyai perkataan untuk makna yang sama iaitu ‘belanjawan’? Tetapi ‘bajet’ hanyalah satu dari ribuan perkataan yang telah di-Melayukan. Biasakah anda dengan perkataan seperti Transformasi, Fiskal, Akomodatif, Indikator, Fertigasi ataupun Sekuriti? Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, selain mempunyai puluhan bahasa penduduk asal yang lain seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil ataupun Bahasa Iban – terlalu gilakan Bahasa Inggeris? Sistem pendidikan kita telah membuktikan betapa gilanya kita terhadap Bahasa Inggeris ini. Pada 2002-2003, tanpa adanya perbahasan di Dewan Negara, sebuah dasar yang mengangkat Bahasa Inggeris telah dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dinamakan dengan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah melaksanakan program mentor untuk memperkasa kemahiran guru yang mengajar Bahasa Inggeris dengan belanja sehingga 270 juta untuk 360 mentor dalam tempoh tiga tahun sahaja sehingga 2013. Tidak cukup dengan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan September 2013 lalu telah mewartakan subjek Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Fungsi bahasa Satu perkara yang perlu kita semua setuju dan jelas adalah Bahasa Inggeris penting, namun sejauh mana pentingnya bahasa asing ini perlu dilihat dengan kaca mata yang adil dan kritis. Untuk memahami dengan lebih mendalam senario ini, kita perlu merujuk apakah fungsi sebenar bahasa. Ngugi Wa Thiong’o, penulis Kenya di dalam makalah beliau ‘Imperialism of Languge: English, a Language For The World?’ menyatakan bahawa bahasa mempunyai dua aspek iaitu i) sebagai cara berhubung dan ii) sebagai pendukung sejarah dan kebudayaan. Menurut beliau lagi, berbeza dengan negara seperti Afrika, negara ‘Scadinavian’ seperti Norway, Sweden dan Finland menggunakan Bahasa Inggeris hanya sebagai komunikasi, tidak lebih dari itu. Ngugi Wa Thiong’o menegaskan, bahasa asing boleh dipelajari dan digunakan jika tiga aspek ini dpaat dipenuhi iaitu; i) kesetaraan ekonomi, ii) kesetaraan politik dan iii) kesetaraan budaya. Dengan kata lain, Bahasa asing perlu dipelajari di mana yang membelajar itu mempunyai autonomi, bahawa ia berkuasa ke atas keadaannya. Budaya menindas Tetapi beliau menyatakan bahawa sejarah pendokongan Bahasa Inggeris sebagai bahasa institusi dan dasar di kalangan negara-negara bekas jajahan British berlaku di dalam suatu konteks di mana Bahasa Inggeris meminggir bahasa lain. Sebagai bahasa penjajah atau ‘language of the conqueror’, Bahasa Inggeris disajikan sebagai bahasa ‘penyelamat’ di mana penjajah menyarankannya sebagai bahasa yang akan membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi. Oleh kerana Bahasa Inggeris diinstitusikan dalam keadaan kolonialisme di mana adanya hierarki kukuh antara penjajah yang mengawal dan rakyat yang dikawal, tidak hairanlah Bahasa Inggeris itu mula menyerap ke dalam fabrik masyarakat tempatan. Ini berlaku hampir di semua negara yang pernah dijajah di bawah Empayar British. Secara sikit demi sedikit, melalui sedutan perlahan ke dalam sistem ekonomi, politik dan institusi budaya kolonial British, mereka (baca: rakyat yang dijajah) yang menggunakan Bahasa Inggeris dianggap bebas dari kegelapan kerana menzahirkan bahasa yang kononya melambangkan ‘Pencerahan Eropah’. Di dalam makalah yang sama Wa Thiong’o juga menceritakan tentang konteks kolonial Afrika untuk menunjukkan bagaiman penggunaan Bahasa Inggeris semata-mata dianggap kononya sebagai bukti kebijaksanaan dan ketamadunan seseorang itu. Beliau menyifatkan ini sebagai sejenis ‘false consciousness’ (kesedaran palsu) kerana mereka yang berbangga dalam penguasaan Bahasa Inggeris tidak pula mengambil kira hakikat eksploitasi dan keganasan kolonial apabila mereka meraikan ketamadunan British yang dikatakan sungguh “cerah”. Malahan menurut beliau, Bahasa Inggeris telah diajarkan kepada seluruh masyarakat Afrika seolah-olah mereka tidak mempunyai lidah untuk bahasa mereka sendiri. Bahayanya situasi ini, mereka yang tidak tahu dan tidak faham menggunakan Bahasa Inggeris akan dilihat lebih rendah. Budaya Eurosentrik Menurut Wa Thiong’o, seperti yang telah menjadi kebiasaan dalam konteks pasca-kolonial, pewaris kuasa daripada penjajahan British berasal dari golongan elit. Dalam konteks itu adanya wacana keinginan untuk berkongsi lidah dan sistem kepercayaan yang sama dengan pemimpin British – tidak lain tidak bukan untuk kelihatan seperti mereka. Dari situ, mulalah tren di mana rakyat diajar menggunakan Bahasa Inggeris dan dipimpin untuk beriman dan mempercayai betapa perlu dan pentingnya Bahasa Inggeris untuk masa depan mereka. Malangnya apabila situasi ini berlaku, perkembangan sains dan teknologi disimpan di dalam rak Bahasa Inggeris, bukan lagi di dalam perpustakaan bahasa asal mereka. Berbanding dengan masyarakat biasa yang tidak berbahasa Inggeris, ilmu tersebut terpenjara di dalam penjara Bahasa Inggeris. Imperialisme bahasa ini adalah bentuk budaya kolonial baharu di zaman moden ini. Dalam konteks Malaysia, imperialisme bahasa ini digunakan untuk membentuk satu golongan kolonial baharu iaitu ‘Melayu Borjuis Baharu’. Melayu Borjuis Baharu Seperti konteks umum pasca-kolonial yang dijelaskan secara ringkas tadi, golongan ini adalah golongan yang sama mewarisi pemerintahan dari British 50 tahun yang lalu. Golongan ini adalah sekumpulan kecil elitis yang merangka dasar dan pemikiran bangsa sekian lama ke atas sekumpulan besar masyarakat yang lain. Dan tugas mereka kini adalah untuk memelihara kumpulan kecil elitis ini, melalui pembentukan sekumpulan kecil elitis kecil yang lain untuk menyokong mereka pada masa hadapan. Golongan ini bercakap di dalam Bahasa Inggeris, menulis menggunakan Bahasa Inggeris, menghantar anak-anak mereka belajar sehingga ke London bahkan sedang berusaha keras merangka dasar pendidikan pro-British melalui gerakan imperialisme Bahasa Inggeris di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan negara. Lebih jauh, mereka sedang memastikan masyarakat terbesar juga berfikir di dalam Bahasa Inggeris dengan penyerapan perkataan-perkataan asas, walaupun perkataan tersebut wujud sejak sekian lama di dalam korpus Bahasa Melayu. Untuk memastikan gerakan imperialisme mereka ini berjaya, budaya Euro-sentrik dijadikan fahaman asas di dalam keluarga kecil elitis yang berpusat di Taman Tun Dr Ismail, Mont Kiara dan Bangsar. Mereka akan memastikan komunikasi efektif hanya di dalam Bahasa Inggeris, menjadikan masyarakat terbahagi kepada dua iaitu i) kumpulan kecil elitis yang memerintah dan ii) kumpulan besar masyarakat yang diperintah. Upacara Anglisasi Kini kita tiba kepada soalan mudah; apakah proses imperialisme moden melalui bahasa ini berjaya? Ya, jawapannya mereka berjaya. Kini anak muda Malaysia tidak akan diambil bekerja di syarikat perniagaan ternama jika tidak tahu berbahasa Inggeris. Untuk sebahagian besar pensyarah, hasil kerja penyelidikan mereka tidak akan diiktiraf jika tidak mempunyai label ISI-Scopus yang perlu diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Di universiti awam, para mahasiswa berlumba-lumba mengadakan program menggunakan Bahasa Inggeris. Samada program intelektual mahupun tidak, mereka akan kelihatan lebih ‘antarabangsa’ jika dapat menganjurkannya di dalam Bahasa Inggeris tanpa mengambil kira latar belakang pelajar dan impak dari program tersebut kepada pelajar secara makro. Masyarakat awam yang sejak dari kecil diajar untuk beriman kepada fahaman Euro-sentrik mula memandang golongan kecil elitis yang memerintah dan menduduki tempat khas dalam negara sebagai malaikat yang perlu dipatuhi kerana mereka lebih pandai berbahasa Inggeris. Di akhirnya, mereka akan kekal sebagai golongan kecil elitis, yang merangka dan membentuk cara faham dan berfikir masyarakat terbesar. Manakala wujud semacam ketakutan dalaman kepada masyarakat biasa, golongan pertengahan dan bawahan yang tidak belajar di luar negara serta mempunyai kemahiran minimal di dalam Bahasa Inggeris. Mereka berasa diri mereka lebih kecil dan tidak mampu mengatasi mereka yang mempunyai kemahiran lebih baik di dalam Bahasa Inggeris (walaupun selalunya kemahiran yang mereka miliki dalam lapangan mereka sendiri lebih baik dari mereka yang punyai kemahiran lebih baik dalam Bahasa Inggeris ini). Kumpulan elitis kecil ini – adalah golongan yang sama memerintah sejak dari dahulu, diperturunkan dari anak beranak kepada saudara mara dan sepupu-sepapat, dihantar ke London untuk belajar bahasa dan cara berfikir kolonial – dan segera pulang untuk menjalankan imperialisme di dalam negara dan bangsa mereka sendiri, untuk kepentingan diri, keluarga dan kumpulan kecil elitis ini. Perlukah kita belajar Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris? Perlukah kita menguasai Bahasa Inggeris untuk mendapatkan kerja di dalam negara yang bahasa kebangsaannya adalah Bahasa Melayu? Perlukah kita berbelanja ratusan juta untuk mengimport mentor Bahasa Inggeris untuk membantu guru Bahasa Inggeris kita? Perlukah kita menyerap ribuan perkataan dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu? Berbaloikah pengorbanan yang kita lakukan ini? Jawapannya tidak. Namun kita tidak dapat melakukan apa-apa kerana yang berkuasa kini adalah kumpulan kecil elitis – yang kini sedang merangka sebuah gerakan imperialisme untuk membina sekumpulan kecil Melayu Borjuis Baharu yang kelak pada masa hadapan akan menyokong mereka dari segi politik dan ekonomi. Rusia telah membuktikan pengembaraan ke angkasa lepas tidak memerlukan Bahasa Inggeris. Perancis, Jerman dan sekian banyak negara Eropah telah membuktikan Bahasa Inggeris bukanlah syarat untuk menjadi maju. Sedangkan Malaysia, sebuah negara paling unik dari komposisi budaya di Asia Tenggara pula sedang tergila-gilakan Bahasa Inggeris. Keterdesakkan untuk menyertai arus globalisasi yang berakar di negara-negara empayar, hanya akan menggadaikan autonomi budaya Malaysia. Ia mengabai peluang yang ada untuk menghayati keunikan kemajmukan negara kita yang sudah berkurun lama dibentuk dan dijanakan secara organik. Inilah hakikat yang patut menjadi sumber untuk memperkayakan lagi pengalaman bahasa rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris perlu dipelajari, tetapi jangan haraplah ia akan menyelamatkan kita. Bagi mereka yang mendokong logik anglisasi sebagai cara mendapat pelabur asing, kita sudah tahu asal-usul logik kolonial ini. Kesemua upacara penukaran istilah tidak lain hanyalah sebahagian kecil dari ritual keagamaan untuk menyembah Bahasa Inggeris – untuk menunjukkan bahawa mereka lebih warak dan beriman dari yang lain. Mereka ini adalah – Melayu Borjuis Baharu.
Konvoi Rumah Ibadat di Shah Alam
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Projek Dialog menganjurkan siri Konvoi Rumah Ibadat ke masjid, kuil, gereja, tokong, wat dan gurdwara sejak 2010. Pada 24 November 2013 (Ahad), konvoi akan berkunjung ke Arulmigu Maha Mariamman Thirukkovil di Seksyen 23, Shah Alam. Kuil ini pernah mendapat perhatian ramai pada tahun 2009 berikutan insiden perarakan kepala lembu oleh pihak tertentu. Penyertaan konvoi ini terbuka kepada umum sebagai usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan, tolak ansur dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama. Semasa empat konvoi sebelum ini, peserta hanya berpeluang meluangkan masa sekitar 45 minit di setiap rumah ibadat yang dikunjungi. Maka, pada kali ini, penganjur memilih sebuah sahaja rumah ibadat supaya peserta dapat menggunakan masa sekitar dua jam untuk mengenali sejarah, seni bina, ritual, budaya, adat dan keunikan rumah ibadat yang dilawati. Kesemua peserta dalam rombongan ini tidak mempunyai apa-apa agenda politik. Sebaliknya ikhlas dalam memupuk perpaduan serta perasaan saling memahami dan menghormati. Penganjur memohon jasa baik para peserta supaya berpakaian sopan serta mematuhi peraturan dan norma di rumah-rumah ibadat yang dikunjungi dalam siri Konvoi Rumah Ibadat. Selepas berkunjung ke kuil pada bulan ini, penganjur akan mengaturkan pula konvoi ke rumah-rumah ibadat seperti masjid, gereja, gurdwara, wat dan tokong pada bulan-bulan akan datang. Kavyan berjaya menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat melibatkan enam rumah ibadat pelbagai agama di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011. Pada 17 Februari 2013, konvoi berlangsung di Seremban dengan kerjasama Hidayah Centre Negeri Sembilan. Konvoi pada 12 Oktober 2013 dijalankan di Kuala Lumpur dengan kerjasama Projek Dialog dan mendapat liputan media antarabangsa. Konvoi sama sedang dirancang di Melaka pada Disember 2013 dan di Georgetown, Pulau Pinang pada Februari 2014. Semasa konvoi ke Arulmigu Maha Mariamman Thirukkovil pada 24 November 2013, peserta akan dapat melihat sendiri suasana, seni bina dan aktiviti melibatkan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa di kuil berkenaan. Peserta juga akan berkongsi pengalaman menerusi perbualan dan dialog santai. Perbincangan tidak hanya mengenai kuil dan agama Hindu, tetapi juga mengenai rumah-rumah ibadat dan agama-agama lain. Dialog ini selaras motif “raikan kepelbagaian, tolak perkauman”. Orang ramai yang berminat menyertai konvoi ini boleh melayari www.kavyan.blogspot.com untuk maklumat lanjut. Mana-mana pihak yang berminat hadir sebagai “pemantau” dan “pemerhati” juga dialu-alukan; dengan syarat mengisi borang penyertaan yang disediakan di blog.
]]>