Warna-warni Malaysia
Malaysia adalah sebuah negera majmuk dengan pelbagai budaya, tradisi and kaum etnik. Keadaan ini membuatkan negara kita unik, dimana kepelbagaian telah mencorakkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
Sejarah masyarakat Malaysia adalah amat berwarna dan bebas.
Banyak imigran-imigran yang dibelenggu dengan kemiskinan, kepapaan dan sistem kasta pada masa lampau berhijrah ke tanah Malaya kerana ditawarkan dengan tiket kebebasan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Jadi tidak hairanlah, pertembungan kepelbagaian ini melahirkan komuniti-komuniti yang berdarah kacukan.
Sejak kecil, saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa diri saya unik, bagi saya itu merupakan sesuatu yang lazim dalam negara kita.
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berdarah kacukan. Ayah saya merupakan seorang Cina Hokkien yang mempunyai darah kacukkan Burma-Thai, dan ibu saya pula berdarah campuran Indonesia dan Serani.
Jika saya mengupas balik sejarah nenek moyang saya, darah kacukan saya adalah amat luas. Tetapi kini, saya dikenali sebagai seorang Melayu di dalam sijil surat beranak saya.
Hal ini adalah amat menghairankan, kerana saya telah ditempatkan di dalam kotak sempit yang dilebelkan Melayu. Dengan itu, saya juga dianggap perlu mempunyai perwatakan, selera dan pemikiran seorang Melayu.
Walhal, kehidupan dan identiti saya adalah sama sekali bukan demikian. Politik pecah dan perintah (divide and rule) ini telah menyebabkan saya melalui saat-saat diskriminasi dan kekeliruan terhadap identiti saya semasa kecil.
Keterasingan Perkauman di Malaysia
Dasar pendidikan dan ekonomi bukan sahaja berat sebelah, malah masyarakat juga dipolitikkan untuk menstereotaip dan syakwasangka antara satu sama lain.
Identiti nasional Bangsa Malaysia, langsung tidak diberi perhatian daripada ahli politik, guru-guru, mahupun masyarakat. Bahkan, sejak kecil kami telah dikelompokkan dan diindoktrinasikan dengan ideologi perkauman.
Masyarakat kita, walaupun majmuk tetapi jarang sekali bergaul antara satu sama lain. Sejak kecil, saya sering didiskriminasi kerana identiti saya yang kompleks.
Saya bersekolah di sekolah Cina dan kawasan perumahan kami kebanyakannya penduduk berbangsa Melayu.
Oleh itu saya sentiasa didepani dengan kelompok-kelompok mono-etnik, menyebabkan saya sering keseorangan kerana saya tidak mencerminkan perwatakan mono-etnik.
Cinta Malaysia Dahulu Kala
Saya cemburu terhadap zaman ibubapa saya, walaupun hidup mereka tidak mempunyai teknologi canggih dan internet seperti kini, tetapi memori mereka tentang zaman itu adalah kebebasan.
Ayah saya dari sekolah aliran Inggeris pada zaman British dahulu tetapi rakan-rakan sekolahnya terdiri daripada pelbagai bangsa.
Zaman dahulu, adalah kebiasaan bagi masyarakat pelbagai bangsa mengadakan pesta joget di rumah, sama ada untuk jamuan ataupun majlis keramaian.
Seringkali, wanita zaman dahulu memakai miniskirt atau kebaya ketat, membuat rambut ala ‘sarang tebuan’, dan berdandan. Lelaki pula memakai seluar ‘bell bottom’ yang ketat dan memiliki rambut dan kumis ala ‘hippie’.
Kisah percintaan ibubapa saya adalah kisah cinta kebanyakan muda-mudi pada zaman mereka, tetapi idea perkauman langsung tidak terlintas difikiran mereka.
Kisah cinta ibu dan bapa saya bagaikan cerita ‘Grease’, bapa saya merupakan ‘playboy’ pada zamannya, sentiasa kelihatan macho dan diidami wanita dari pelbagai bangsa, tetapi ibu saya seorang yang lemah-lembut menjadi idamannya.
Bagi saya, cinta adalah sesuatu yang sangat berkuasa, ia mampu menyatukan warna kulit dan ideologi.
Kisah cinta nenek moyang saya pula berbeza, mereka lebih bebas kerana pada zaman mereka tiada keperluan visa atau passport, seseorang mempunyai mobiliti yang tiada sempadan, jadi tidak hairanlah nenek moyang saya berkahwin campur.
Datuk moyang ayah saya berasal dari negara Cina, di sebuah tempat yang bernama ‘Swatow’ di daerah Guangzhou.
Kehidupannya sangat miskin dan tiada peluang pekerjaan yang bagus, jadi, seperti kebanyakan imigran-imigran Cina pada zaman dahulu, mereka sanggup menempuh risiko nyawa di lautan Laut Cina Selatan, semata-mata keinginan untuk kehidupan yang baru dan lebih baik.
Tanah Malaya merupakan negara yang penuh dengan peluang hidup dan pekerjaan. Datuk moyang saya menjadi seorang ahli bisnes yang berjaya di Kedah, dan pada masa sama, dia telah jatuh cinta terhadap nenek moyang saya yang berbangsa Burma-Thai dari Songkla, yang lazimnya berkebaya dan bersarung.
Nenek moyang belah ibu saya juga mempunyai kisah cinta berlainan budaya. Datuk saya seorang wartawan dan sasterawan dan merupakan salah seorang kaum kerabat dari Langkat, Sumatera. Ketika itu Indonesia sedang menghadapi pergolakkan politik dan rusuhan, maka dia telah menjadi pelarian politik ke Tanah Malaya.
Namun begitu, dia telah jatuh cinta terhadap nenek saya yang berbangsa Serani. Nenek saya adalah dari masyarakat Kristang keluarga ‘De Rozario’ yang amat berdisiplin, ayahnya adalah seorang Portugis dan ibunya adalah dari kacukan Parsi dan Sri Lanka. Masyarakat Kristang dahulu amat berpegang terhadap agama katolik mereka.
Perkauman tidak menjadi masalah pada zaman tersebut, malah agak lazim keluarga-keluarga susah memberi anak mereka kepada keluarga dari bangsa lain tanpa ragu-ragu. Adik angkat kepada nenek saya berbangsa Cina.
Saya percaya, sejarah cinta ibubapa saya dan nenek moyang saya bukanlah unik atau berbeza dengan sejarah cinta kebanyakan masyarakat Malaysia dahulukala.
Retorik bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah lapuk, hal ini kerana cinta telah membuka ruang kepada kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat Malaysia kini.
Budaya dan bangsa juga adalah lebih harmoni dan berkepelbagaian jika ia dibiar bebas untuk berkembang tanpa campurtangan dari kerajaan atau negara.
Hakikat Malaysia Zaman Kini
Jadi apakah identiti Malaysia dalam abad ke-21 ini? Adakah kita masih perlu melihat diri masing-masing melalui konteks bangsa and perkauman?
Di mana-mana sekarang, masyarakat Malaysia kini terlalu taksub dengan identiti bangsa mereka sehinggakan ia memecah-belah kepercayaan dan kesamaan antara satu sama lain.
Amat ketara dilihat kelompok-kelompok mono-etnik yang terasing di negara mereka sendiri, yang masing-masing mempunyai realiti hidup dan aspirasi yang berbeza.
Identiti nasional kita terlalu lemah, apatah lagi dasar-dasar dan pemerintah kerajaan yang bersifat pecah dan perintah, dan golongan elit serta ahli politik yang lebih selesa dengan status quo.
Saya percaya kita mampu mewujudkan identiti nasional yang kukuh, tetapi bukanlah berdasarkan konsep asimilasi.
Perhatian kerajaan terlalu mengagungkan konsep kepelbagaian yang retorik dan cetek, pada masa yang sama budaya Melayu dijadikan satu-satunya tunggak identiti Malaysia.
Maka wujudnya rasisme secara terang-terangan terhadap sesiapa yang tidak mengikut acuan tersebut sebagai ‘pendatang’ dan rasisme berbalik ‘reverse racism’ oleh kaum-kaum lain terhadap masyarakat Melayu.
Kita perlu menghadapi realiti yang Malaysia merupakan negara imigran dan majmuk.
Membentuk Identiti Bangsa Malaysia
Pada pandangan saya, identiti Malaysia seharusnya berdasarkan konsep kesamaan nilai dan cita-cita.
Ini adalah konsep yang sangat asas dan universal, kerana kesamaan nilai dan cita-cita adalah matlamat asal bagi kebanyakan masyarakat Malaya dahulukala yang berhijrah ke tanah Malaya.
Tanah Malaya merupakan bumi yang subur dan kaya dengan pelbagai peluang hidup yang cerah.
Saya percaya, datuk dan nenek moyang saya berhijrah dengan harapan untuk membina kehidupan baru, dimana semua kaum dan bangsa diberi peluang untuk maju dengan sama rata.
Mungkin idea saya terlalu romantik, namun hakikatnya ini juga adalah dorongan bagi kebanyakan muda-mudi zaman sekarang untuk berhijrah ke negara-negara maju yang lain.
Mereka ingin mencari peluang hidup dan pekerjaan yang lebih baik, dan fenomena ‘brain drain’ ini akhirnya menyebabkan kehilangan yang besar bagi ekonomi Malaysia.
Jadi, apakah kesamaan nilai dan cita-cita yang ada antara semua rakyat Malaysia? Saya rasa ini tidak susah untuk kita fahami. Kebanyakan rakyat Malaysia inginkan kesetaraan, kebebasan dan keadilan.
Kita tidak semestinya perlu berperwatakan mono-etnik, berfikiran sama atau memiliki budaya yang ‘homogeneous’. Setiap manusia adalah berbeda-beda dan unik, tetapi aspirasi hidup kita adalah sama.
Saya percaya, kebanyakan masyarakat Malaysia inginkan pendidikan yang bermutu tinggi, sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan kronisme, sistem kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, pemeliharaan kebajikan pekerja, kos hidup dan perumahan yang rendah, alam sekitar terpelihara, kebebasan menjadi diri kita sendiri tanpa diskriminasi, kualiti kehidupan yang bagus, dan sebagainya.
Selain itu, kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan bangsa boleh dikecapi jika semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi untuk memajukan dan memakmurkan negara Malaysia.
Pemahaman terhadap sejarah dan budaya Malaysia yang tidak berat sebelah juga penting, hal ini kerana raykat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa telah bertungkus lumus dan berkeringat darah untuk membina negara ini.
Perpaduan kebangsaan atau ‘National Unity’ adalah sebuah proses, dimana nilai-nilai yang utuh dan cita-cita yang universal dijadikan asas identiti Malaysia yang kita semua boleh banggakan.
Walaupun aspirasi tersebut masih jauh tetapi saya percaya jika cinta dan harapan telah membawa nenek moyang saya dan ibubapa saya memanggil Malaysia sebagai ‘rumah’; cinta dan harapan juga boleh menjadi matlamat arah tuju bagi membentuk identiti Malaysia zaman kini.
[Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 29 November 2012.]
Ini "Tsunami Rakyat" lah!
Oleh: Uthaya Sankar SB
(Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya)
Tokoh-tokoh dalam Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan pandangan menyokong penuh kenyataan “tsunami Cina” oleh Pengerusi BN, Najib Razak pada awal pagi 6 Mei 2013; sejurus selepas BN “menang” dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Tidak perlulah saya menyenaraikan nama-mana tokoh terbabit serta pandangan mereka kerana media arus perdana (elektronik dan cetak) sudah memberikan ruang seluas-luasnya kepada mereka. Saya pula meluahkan reaksi saya menerusi Facebook dan blog www.uthayasb.blogspot.com sejak Isnin.
Sebagai Rakyat (pengundi), apa pula reaksi sebenar orang ramai yang sukar mendapatkan ruang untuk muncul di kaca televisyen dan akhbar? Saya berusaha mengumpulkan pandangan daripada beberapa rakan. Berikut saya paparkan luahan hati mereka, dengan sedikit suntingan bahasa tanpa menghilangkan maksud asal.
Atriza Umar, pegawai eksekutif dan aktivis dakwah dari Seremban, Negeri Sembilan:
Saya dan sudah tentunya jutaan rakyat Malaysia terfikir, adakah penasihat agama kepada Perdana Menteri pernah menasihatkan dan mengingatkannya tentang Ayat-Ayat Allah? Tentang kepimpinan Rasulullah? Apa lagi Khalifah-Khalifah yang sangat takut akan murka Allah? Semoga Perdana Menteri menghayati dengan mata hatinya maksud (terjemahan) ayat-ayat ini:
[caption id="attachment_1961" align="alignleft" width="300"] Slogan “1Malaysia” hanyalah topeng yang dipakai BN.[/caption]
“Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat.” (Surah an-Nisa, ayat 105)
“Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.” (Surah al-Maidah, ayat 8).
Clifford Tan, arkitek dari Kota Kinabalu yang bekerja di Singapura:
Masyarakat Cina tidak menolak mana-mana calon atas alasan kaum atau agama. Apa yang kaum Cina tolak bulat-bulat dalam PRU-13 adalah calon- calon yang korup, rasis, bangang, sewel, zalim dan sebagainya. Kebetulan majoriti calon seperti itu adalah daripada BN/UMNO. Sekiranya calon berkualiti seperti Khalid Samad (Parlimen Shah Alam) bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, saya yakin beliau akan turut menang besar dengan undi majoriti berpuluh ribu. Karpal Singh (calon kaum India beragama Sikh) menang dengan majoriti 41,778 undi di Parlimen Bukit Gelugor, mengalahkan Teh Beng Yeam (calon kaum Cina) di kawasan majoriti pengundi Cina. Banyak lagi contoh begini tetapi media arus perdana yang dikuasai BN/ UMNO pasti tidak akan menyiarkan berita sebenar seperti ini.
Jas Guna Senggani, perunding kewangan Islam dari Sungai Petani:
[caption id="attachment_1962" align="alignleft" width="178"]
BN telah membunuh demokrasi menerusi PRU-13.[/caption]
Tuduhan “tsunami Cina” hanya untuk menyembunyikan kegagalan mendapat dua pertiga di Parlimen serta kekalahan Najib sebagai pemimpin. Jika ini dikatakan sebagai “tsunami Cina”, bagaimana dengan kes di Kedah? Amat nyata kejatuhan Kedah kepada BN adalah berikutan undi orang Melayu. Semata-mata kerana orang Melayu mengundi BN/UMNO, adalah mereka layak dipanggil rasis? Amat cetek dan hina sekali pandangan Najib dan para pengikut dungunya yang masih lagi “merajakan syaitan di hati” kerana bergelar pemimpin. Isteri saya kaum Cina. Adakah dia dikatakan rasis kerana mengundi Pakatan Rakyat (PR)? Atau kami sekeluarga yang mengundi calon PR harus dilabel sebagai rasis? Secara jujur, Malaysia tidak memerlukan pemimpin rasis seperti dalam BN dan saya hairan mengapa masih ada penduduk yang sanggup mengundi mereka.
Chulan Chin, penjawat awam dari Hulu Langat:
Saya kurang bersetuju apabila isu “tsunami Cina” dibangkitkan berikutan kegagalan BN dalam PRU-13. Sebaik-baiknya BN perlu bercermin diri; menilai kelemahan serta menyedari hakikat bahawa rakyat sudah bijak menilai dengan mata hati. Rakyat mampu membezakan siapa yang lebih layak dan berhak mewakili suara mereka dalam kerajaan. Usahlah BN mencari helah bagi membela diri, lalu menuding ke arah pihak lain. Tindakan BN memainkan isu “tsunami Cina” dikhuatiri boleh menyemarakkan api sengketa antara kaum. Hubungan antara kaum dalam PR amat baik sehingga mampu memenangkan calon mereka tanpa mengira kaum/agama. BN perlu sedar tentang ketidakadilan yang dibuat sebelum PRU-13, iaitu menafikan PR hak yang adil dalam media arus perdana. Rakyat pula disogokkan dengan pelbagai habuan bagi memancing undi menjelang PRU-13, selain memainkan isu video lucah dan fitnah. Ada pula gangguan kempen menerusi mesej suara (voice mail) menerusi telefon bimbit daripada calon-calon BN sepanjang siang dan malam. Semua ini serta pelbagai lagi kempen yang dijalankan oleh BN sendiri yang menjadi punca kebencian dan rasa muak rakyat pelbagai kaum terhadap BN. Ini bukan “tsunami Cina” tetapi “tsunami Rakyat”.
Rosihan Amri Md Zakaria, guru dari Bayan Lepas, Pulau Pinang:
[caption id="attachment_1963" align="alignleft" width="210"]
Kononnya rakyat didahulukan. Sebenarnya kaum Cina dihina.[/caption]
Saya sangat tidak bersetuju dengan tuduhan “tsunami Cina” kerana jika dilihat, kebanyakan masyarakat bandar menyokong PR. Malah ramai calon Bukan Cina dari PR menang di kawasan majoriti pengundi kaum Cina. Juga terdapat calon Melayu tewas kepada calon Bukan Melayu di kawasan majoriti pengundi Melayu. Saya berpendapat, pengundi tidak lagi mengundi mengikut kaum. Pola ini jelas di kawasan bandar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur. Pola mengundi mengikut kaum (“along racial lines”) masih kelihatan di kawasan pedalaman dan luar bandar. Tindakan BN menyalahkan kaum Cina adalah tidak betul, apatah lagi jika komen itu datang daripada Perdana Menteri. Pemegang jawatan itu adalah ketua bagi semua rakyat Malaysia dan sepatutnya Najib berusaha menyatukan rakyat pelbagai kaum selepas melalui PRU-13 yang – pada pendapat saya – sangat kotor dan banyak manipulasi.
Gunalan Krishnan, pelajar tahun akhir jurusan perubatan dari Puchong, Selangor:
Nampaknya para pemimpin BN mula menunjukkan wajah sebenar selepas PRU-13. Sebelum ini, mereka ternyata berpura-pura dan bersembunyi di sebalik topeng bernama gagasan 1Malaysia demi mahu memancing undi dan jawatan. Tindakan BN membuat tuduhan “tsunami Cina” adalah suatu penghinaan besar bagi Bangsa Malaysia. Rakyat Malaysia tidak mahu seorang Perdana Menteri yang rasis seperti Najib mewakili rakyat dan negara ini di persada antarabangsa. Kalau Najib masih ada maruah, lebih baik dia meletakkan jawatan dengan segera.
Prem Sutha, pengurus dari Skudai, Johor:
[caption id="attachment_1964" align="alignleft" width="240"]
Wajah sebenar pemimpin BN sudah diketahui rakyat.[/caption]
Saya tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi saya menentang keras tindakan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan rasis. Undi adalah pilihan individu, hak individu yang tidak boleh diungkitkan dan sememangnya tidak perlu dipersoalkan. Sebagai sebuah negara demokrasi, para pemimpin dalam BN sepatutnya menerima “suara” rakyat yang dilahirkan menerusi peti undi.
Abdullah Abdul Rahman (Tabir Alam), penulis sambilan dari Ipoh, Perak:
Apabila slogan “1Malaysia” dilaungkan, BN beranggapan penerimaan rakyat sudah terbukti; dan kesamarataan sudah direalisasikan. Pemimpin BN perlu sedar bahawa “kejayaan” yang dibayangkan itu hanya bersifat upacara (“functional”) di pentas. Apabila sokongan pada realiti mula berkurangan menerusi PRU-13, BN mula melatah dengan menyalahkan “tsunami Cina”. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kenyataan “Cina yang tak kenang budi” (“ungrateful Chinese”) dan “Melayu yang tamak” (“greedy Malays”) oleh bekas pemimpin UMNO/BN. Tindakan pemimpin dan penyokong BN bersetuju dengan kenyataan-kenyataan dangkal itu pula umpama perbuatan “sokong membawa rebah”. Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa perubahan memang sudah berlaku melalui “Malaysian Swing” menerusi PRU-13. Sejumlah 51.32 peratus undi popular menyokong PR, berbanding hanya 48.67 peratus bagi BN. Memang BN menang majoriti mudah (“simple majority”) tetapi telah hilang tujuh lagi “suara” di Parlimen. Sepatutnya para pemimpin BN bermuhasabah diri dengan menilai kesilapan yang dilakukan BN sepanjang tempoh berkempen (20 April – 4 Mei 2013). Apa-apa pun, BN perlu menerima hakikat bahawa rakyat memang mahukan perubahan!
Pandangan yang dikemukakan sejumlah kecil rakan-rakan kepada saya menerusi mesej Facebook mungkin tidak mewakili keseluruhan “suara” rakyat. Sekurang-kurangnya mewakili sebahagian kecil suara yang mustahil mendapat tempat di media arus perdana seperti Buletin Utama TV3 dan Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, berikutan sikap rasis dan perkauman yang ditunjukkan
secara amat nyata oleh para pemimpin dan pengikut BN sejak beberapa hari lalu, tidak perlulah kita was-was untuk memahami siapa sebenarnya yang mencetuskan peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.
Sama-sama kita mendoakan agar Tuhan menyelamatkan rakyat dan negara Malaysia daripada kemusnahan yang dibawakan puak rasis dan perkauman dalam BN yang bertopengkan gelaran politikus dan Ahli Parlimen.