Projek Dialog

KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi

ROL Lee Oleh Lee Slimshady Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria. Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota. Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta. Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu. Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya. Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir. Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia. Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam  coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya. Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya. Kisah Ibrahim Alaihissalam Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam. Ibrahim HajarKerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah. Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari. Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7. Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri. Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk. Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani. Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta. Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering. Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani. Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan. Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan. Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail. Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Cinta Seni & Pemburuan Makna Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri. [caption id="attachment_5164" align="alignleft" width="351"]Hamzah Fansuri Hamzah Fansuri[/caption] Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir  bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu. Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan. Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri. Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan. Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut. “Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif. Cinta, Revolusi & Pengorbanan Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya. Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia. Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya. Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan. Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis. Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri. Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan; “Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan” Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan. Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah. Janganlah juga disamakan dengan  demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu. Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini. Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan. Ahmad BoestamamKasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan. Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain. Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi. Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner. Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API). Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama. Larangan Agamawan & Revolusi Murni Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan. Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk  membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya. Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya. Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama. Hajar IsmailMaka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya. Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji. Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar. Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama. Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa  himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya; “Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail ” “Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian. “Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum. Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut. Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih. Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan  dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya. Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.   Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan. Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas. Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah. Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban. Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah. Ibrahim Qurban Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan. Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan. Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya. Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut. Pengorbanan Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus  dibayar untuk sebuah kejayaan. Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan. Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup. Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar. Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu; “No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan) Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.   *Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.

]]>

Sang Pencinta di #halalspeeddating

Love “Ada PhD pun, tak ada orang nak. Buat apa?” Sebagai wanita bujang yang telah mencecah abad ketiga kehidupan, soal tentang perkahwinan sudah mual diajukan kepada saya. Ibu dan keluarga seakan-akan hilang harapan melihat saya ke jinjang pelamin, dan saya sendiri sudah akur dengan ketentuan bahawa perkahwinan mungkin bukan untuk saya. Bukannya tidak mahu mengenali cinta, namun sebagai seorang wanita yang tidak memenuhi kriteria wanita Melayu terakhir dari semua segi, agak sukar untuk mencari pasangan yang benar-benar mampu menerima diri dengan seadanya. Tambahan pula, apabila seringkali dilempar komen seperti di atas, tersinggung saya untuk membuka hati dan minda bagi mengenali kaum Adam di Malaysia. Namun, sebagai seorang yang optimis, saya telah mengisi borang dan menghadiri acara #halalspeeddating anjuran saudara Syed Azmi, Puan Hayati Ismail dan Encik Zuhri Yuhyi beberapa minggu lalu. Ingin saya jelaskan bahawa sebenarnya, saya menghadiri acara tersebut sebagai tanda sokongan kepada usaha murni tiga sekawan ini. Membaca kisah disebalik penganjuran acara #halalspeeddating ini, saya pasti niat mereka mulia dan mahu membantu kaum bujang untuk mencari pasangan hidup berdasarkan prinsip taaruf, lunas-lunas Islam dan adab yang sopan. Pada saya sendiri, apa salahnya mencuba membuka minda untuk mengalami sesuatu pengalaman yang baru. Borang yang diisi bertanyakan soalan-soalan lazim berkenaan latarbelakang diri dan harapan tentang bakal suami/isteri dan perkahwinan. Juga perlu memaklumkan wali tentang keinginan menyertai acara ini. Untuk diri saya yang baru kehilangan ayah, saya memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa saya mengosongkan petak jawapan ini. Walaupun pada dasarnya kuasa wali jatuh kepada adik lelaki ataupun salah seorang bapa saudara saya, saya berpendapat bahawa kaum wanita patut diberi kemandirian untuk menentukan hala tuju sendiri. Selain itu, soalan-soalannya agak lazim dalam membantu mencari pasangan. Namun, terdapat soalan yang berbaur mempromosikan poligami, dan sebagai seorang wanita yang belum pernah melihat bukti kesetiaan dan keadilan lelaki, saya keraguan dalam hal tersebut. Saya utarakan pendapat saya di bahagian maklumbalas. Cinta Halal #halalspeeddating Setelah proses penelitian, pihak penganjur kemudiannya menghantar jemputan kepada para peserta yang lebih berkemungkinan mendapat pasangan dari kumpulan tersebut. Menurut penganjur, lebih kurang 500 borang penyertaan diterima keseluruhannya. Daripada ini, pihak penganjur memilih dan menghantar jemputan kepada 50 wanita dan 50 lelaki. Namun, pada hari tersebut, peserta yang hadir adalah 60 orang wanita dan 20 orang lelaki. Peserta juga digalakkan untuk hadir bersama mahram ataupun rakan yang dipercayai. Setelah mendaftar dan diberi nombor, peserta diingatkan supaya tidak bergaul antara jantina di luar acara yang dianjurkan, termasuk mencari di media sosial ataupun bertukar nombor telefon. Peserta juga tidak digalakkan memperkenalkan diri antara satu sama lain, sebaliknya hanya menggunakan nombor yang diberikan untuk berkomunikasi. Peserta wanita meneliti profil-profil peserta lelaki untuk meletakkan nombor mereka di petak slot temubual peserta lelaki; dan sebaliknya. Acara dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan dari pihak penganjur yang menceritakan latarbelakang disebalik idea untuk acara ini. Puan Hayati dan Encik Zuhri menceritakan kisah mereka berkenalan dengan pasangan masing-masing melalui laman sesawang dan perkenalan dari pihak ketiga; maka acara #halalspeeddating bertujuan sebagai platform perkenalan pasangan melalui perantara atas talian dan acara tersebut. Seterusnya syarahan mengenai perkahwinan Islam oleh Encik Shazly Khan, penganjur iMuslim. Beliau menggunakan sirah dan kisah Khalifah Umar Al-Khattab dalam memilih menantu dan menguruskan perkahwinan anak lelaki beliau sebagai contoh utama. Beliau juga mengingatkan para hadirin bahawa mencari perkahwinan itu dirahmati Allah dan perlu adanya hormat-menghormati antara suami isteri. Beliau juga secara sinis menyatakan bahawa kos perkahwinan yang tinggi beserta harapan dan jangkaan yang terlalu tinggi oleh pasangan dan keluarga mereka merupakan faktor-faktor yang menghalang pasangan muda untuk berkahwin, dan ini mengakibatkan gejala sosial dan seks rambang di kalangan anak muda masa kini. Encik Zuhri kemudiannya menerangkan peraturan acara hari itu. Kaum Adam menduduki meja-meja yang disediakan dan nombor mereka dipaparkan di atas meja. Pihak wanita yang telah meneliti profil peserta lelaki kemudiannya akan membawa diri ke meja di mana peserta lelaki tersebut berada. Pada pendapat saya, ini merupakan satu kemajuan kepada hak wanita, dan saya memuji penganjur atas kesedaran ini. Kedua-dua pihak mempunyai masa 5 minit untuk bertaaruf, diiringi oleh mahram masing-masing. Oleh kerana wanita melebihi lelaki, pihak penganjur kemudiannya membenarkan taaruf antara seorang lelaki dengan beberapa wanita sekali pada pusingan-pusingan seterusnya. Pihak lelaki kemudiannya berpeluang menemubual kaum wanita pilihan mereka berdasarkan profil. Setelah semua pusingan selesai, setiap peserta dikehendaki memilih 3 profil yang dirasakan berpotensi menjadi pasangan hidup dan mengajukan pilihan ini kepada penganjur. Pihak penganjur kemudiannya akan mengaturkan pasangan dan memaklumkan kepada peserta melalui e-mel seminggu setelah acara berlangsung. Love World Cinta, Perkahwinan & Jodoh Walaupun saya pada mulanya agak skeptikal, namun keseluruhannya acara ini merupakan pengalaman baik. Setelah membuka bicara dengan soalan lazim, saya banyak mengajukan soalan yang bersifat falsafah hidup; termasuk pendapat kaum Adam tentang isu rogol dalam perkahwinan serta hak wanita dalam perkahwinan. Soalan paling sukar yang diterima adalah “berapa anak yang kamu inginkan?” Sebagai seorang yang telah berkeputusan untuk tidak mempunyai zuriat, jawapan saya mungkin agak mengejutkan mereka. Jawapan yang paling sensitif pada saya adalah pendapat bahawa perkahwinan adalah seperti pentadbiran, yakni lelaki mentadbir atas wanita, dan wanita harus menerima seadanya. Ini bercanggah dengan prinsip hidup saya. Seminggu selepas acara berlangsung, saya menerima e-mel dari pihak penganjur bahawa saya tidak mempunyai jodoh dari acara tersebut. Saya telah menjangkakannya. Namun, saya rasakan, mungkin jodoh yang ditentukan Tuhan untuk saya bukanlah seorang Adam sebagai pasangan hidup, namun cinta yang membanting tenaga menambahbaik komuniti dan persekitaran melalui usaha sukarelawan yang saya lakukan. Article 19

]]>

Eksistensialis Dalam Cinta

Penterjemahan tidak rasmi dari laman “Ideas”. Diterjemah oleh Hamizah Hanan.  Soalan: bolehkah eksistensialis mengajar kita sesuatu yang berguna mengenai CINTA? Terkenal dengan daya tarikan utama yang membincangkan kematian, ketakutan, kemabukan dan renungan terhadap alam maya, ia seharusnya tidak mengejutkan apabila eksistensialis juga banyak memberi nasihat berguna tentang cinta romantis. Walaupun mereka berbeza idea tentang cinta, namun ada perkara yang dipersetujui bersama. Cinta romantis boleh membuatkan kita tidak keruan dan ketagihan seperti narkotik (contohnya, lihat “Addicted to Love” oleh Earp et al.). Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa terdapat perbezaan antara membayangkan keindahan bercinta dengan bagaimana kita bertindak ketika dilamun cinta. Walaupun cinta itu memilih kita, namun, pada asasnya kita berhak untuk menentukan perilaku ketika bercinta (contohnya; lihat animasi Nigel Warburton bertajuk “Jean-Paul Sartre and Existential Choice”). Sebahagian daripada pengalaman yang menyeronokkan adalah membiarkan diri kita dibuai dengan perasaan cinta. Tetapi, jika dibiarkan berleluasa di luar kawalan seterusnya menjadi ketagihan adalah sesuatu yang hedonistik dan berjiwa lemah. Contohnya, sementara Søren Kierkegaard mengkagumi Don Giovanni dari karya Mozart kerana kebolehannya yang luar biasa dalam menggoda, beliau juga mengkritik Don Giovanni kerana menjadi hamba cinta, iaitu apabila ketagih hawa nafsunya. Ianya juga berguna untuk mengetahui bahawa jika kita tidak dibelenggu dengan kebimbangan, maka itu bukanlah cinta romantik. Kierkegaard mengatakan bahawa Hercules, yang mampu menandingi Don Giovanni, adalah lebih matang dan romantik kerana beliau runsing untuk memenangi cinta wanita yang didampinginya. Satu lagi sumber kebimbangan dalam percintaan (di mana Hercules tidak terlalu cemas mengenainya) adalah berapa lama hubungan ini akan berterusan dan bagaimana pengakhirannya. Kerana kita bebas, eksistensialis mencadangkan, bukan sahaja si pencinta bebas memilih untuk bercinta, namun mereka juga bebas untuk meninggalkannya. Kierkegaard mengatakan bahawa kebebasan itu membuatkan kita runsing dan Jean-Paul Sartre ada menyebut bahawa ini adalah salah satu sebab mengapa orang yang sedang bercinta begitu terdesak untuk mengawal satu sama lain. Kita mungkin ghairah tentang idealisme “si dia” dan kehidupan bahagia selama-lamanya, namun cinta hanyalah sementara. Sartre menyatakan bahawa penyatuan adalah “kesempurnaan cinta, motivasi dan penghujungnya, serta nilai keunikkannya’. Cinta adalah projek untuk menyayangi , untuk bergabung dengan yang lain, supaya kita dapat mengetahui apa yang difikirkannya terhadap kita. Jika kita mengetahuinya, maka kita mampu mengenali diri secara keseluruhannya (dan inilah matlamat hidup menurut Sartre). Walau bagaimanapun, eksistensialis mencadangkan bahawa membelenggu diri dengan idealisme percintaan itu adalah tidak berguna kerana penyatuan akhirnya adalah mustahil, dan keinginan si pecinta untuk memaksakannya menyebabkan hubungan tersebut terperangkap dalam kitaran godaan, keinginan seksual, sadisme, dan masokisme yang tiada berpenghujung. Simone de Beauvoir, pasangan hidup Sartre mencadangkan bahawa ini bukanlah pandangan berguna dalam hubungan romantik. Pada beliau ianya lebih berguna untuk menyedari bahawa persahabatan seharusnya menjadi asas percintaan, bukan alternatif kepadanya. Rakan dan pencinta terbaik, menurutnya, adalah yang menghormati kebebasan masing-masing dan memberikan sokongan terhadap perkembangan dan usaha ke arah apa jua matlamat yang dipilih individu tersebut, walaupun ianya mengejar matlamat yang akhirnya membawa mereka ke arah berbeza. Tambahan pula, eksistensialis mencadangkan bahawa idealisme Barat tentang cinta yang akhirnya berkemuncak dengan perkahwinan adalah tidak masuk akal. Kerana cinta sepanjang hayat adalah pengecualian dan bukannya hakikat, ianya tak berguna untuk mempercayai bahawa perkahwinan akan menyebabkan cinta kekal subur atau berjanji untuk mencintai satu sama lain selamanya. Friedrich Nietzsche, bapa kepada eksistensialisme, mencadangkan supaya kita mengharamkan perkahwinan bagi sesiapa yang dilamun cinta kerana hawa nafsu adalah asas yang lemah untuk komitmen tersebut. Sebaliknya, ia lebih berguna untuk kita menyedari bahawa perkahwinan berkemungkinan membawa kita keluar daripada cinta, kerana ianya perjanjian untuk bersama dengan pasangan tersebut walaupun perasaan cinta itu telah hilang. Salah satu tarikan cinta romantik ini adalah ianya membuatkan hidup kita berasa bermakna. Seperti klise Jerry Maguire, cinta membuatkan kita berasa sempurna. Eksistensialis memberi amaran bahawa ini adalah ilusi yang tidak berguna. Memandangkan bahawa hakikat kewujudan mendahului nilai dasar, maka tidak wujudnya istilah seperti teman sehati sejiwa dan tiada siapa yang ‘diciptakan untuk satu sama lain’. Beauvoir menyangkal bahawa perhubungan sehati sejiwa inilah yang membuatkan sang pencinta membelakangkan matlamat hidup mereka demi menjamin perhubungan tersebut. Ini kepercayaan palsu. Hubungan yang berasaskan persahabatan tidak akan mengahadapi masalah tersebut. Secara eksistensialis, sang pencinta seharusnya bertanggungjawab membina hidup sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain untuk memberi makna kepada hidup mereka, kerana pada asasnya kekasih bebas untuk meninggalkan cinta. Walaupun cinta bersifat kebimbangan dan tidak kekal lama, eksistensialis mengusulkan bahawa ianya salah satu cara terbaik untuk mengenali diri kita dan potensi kita, iaitu melalui pandangan orang lain yang mengenali kita secara intim. Lebih lagi, eksistensialis menunjukkan bahawa ia tidak berguna untuk melihat kegairahan kita sebagai sesuatu yang menguasai diri dan tidak dapat dikawal. Mungkin kita ‘terjatuh’ cinta namun apa yang kita lakukan dengannya sepenuhnya bergantung kepada diri kita. unnamed

]]>

Mencari cinta di Kuala Lumpur

Masuk Islam tu bukan ke masuk Melayu?”    Persoalan ini sebenarnya telah lama terbuku di minda saya dan mendengarnya dari atas pentas hanya mengesahkan bahawa bukan saya seorang sahaja yang berfikiran sedemikian. Sejak kecil, saya bergaul dengan rakan rakan yang berlainan bangsa dan agama. Matlamat kami sebenarnya sama, untuk mencari rakan saban hari, namun menjadi lumrah kami dipisahkan ketika menghadiri kelas mengaji, kelas kitab injil, ataupun upacara keagamaan masing masing. Tatkala usia mencapai remaja dan kini dewasa, ada antara pergaulan ini yang membawa kepada cinta, yang kebanyakannya samada berakhir dengan ucapan “til jannah” yang popular saban kini ataupun tidak kesampaian kerana kekangan keluarga, yang salah satu sebab utamanya adalah agama. Seperti yang dikatakan dalam satu lagi skrip karya Alfian Sa’at, dalam teater Parah, “Tidak salah berkawan dengan berlainan bangsa, tetapi jangan sampai dibuat teman lelaki!” Kisah yang saya rasa lebih dekat dengan pembaca tentunya filem Sepet karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad. Jenaka ‘masuk Melayu’ juga ada diutarakan kepada Jason dalam satu adegan ketika hubungan beliau dengan Orked dijadikan bahan seloroh rakan rakan Jason. Jadi, betulkah jika masuk Islam itu, masuk Melayu? Kisah suatu pengalaman Bekas teman lelaki saya ketika di Australia merupakan seorang agnostik, yakni beliau percaya bahawa terdapat suatu kuasa agung yang mencipta dunia, tetapi tidak berpegang kepada mana mana agama asas (organized religion), walaupun beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian. Kami sering berdebat tentang perlunya beliau menganut agama Islam jika kami ingin menuju perkahwinan di Malaysia, dan saya sebagai seorang yang degil inginkan beliau memahami Islam sebelum menganutinya. Tambahan pula, kerjaya kami sebagai saintis membawa satu lapisan debat lagi di mana beliau berpendapat bahawa agama saya tidak menggalakkan kemodenan dan kemajuan bidang sains. Saya akui, walaupun dilahirkan Islam dan Melayu, bahawa saya sendiri tidak pasti akan mana garis pemisah antara agama dan budaya, tambahan pula jika apa yang dikatakan ‘Islam’ itu sebenarnya budaya kaum Arab. Apatah lagi, Perlembagaan Malaysia meletakkan agama dan budaya ini bersama sama di mana status bumiputera atau Melayu itu mestilah beragama dan mempraktikkan cara hidup Islam. Walaupun perhubungan kami tidak kekal, sepanjang tiga tahun perhubungan kami membuka minda saya sendiri tentang mana batasnya Islam, dan mana yang dikatakan Melayu. Saya lebih banyak membaca tentang agama dan budaya dan kami sering membanding pendapat dan pengalaman kami yang datang dari dua budaya dan agama yang berbeza. Ironi bahawa seorang agnostik mengajar seorang Muslim untuk mendalami agama beliau sendiri. Hikmah dari pelbagai sumber Antara kebanyakan majlis perkahwinan dwi-budaya yang saya hadiri, kenangan yang paling menggembirakan saya adalah majlis rakan saya di Kuching. Beliau berbangsa Melanau-Iban, beragama Islam; dan suami beliau merupakan seorang yang berbangsa Cina. Majlis akad nikah diadakan di waktu pagi, disertai semua kaum keluarga dan rakan rakan akrab beliau yang semuanya datang dari Semenanjung. Majlis disusuli pula dengan upacara minum teh di rumah pihak lelaki dan pada sebelah malamnya, majlis resepsi di hotel. Yang menariknya, kami semua berpakaian tradisional mengikut kaum pada majlis majlis di siang hari dan mengenakan pakaian moden untuk majlis resepsi- tetapi semua hadirin, termasuk ibu bapa kedua mempelai, menari joget lambak dan menyanyi karaoke diiringi pancaragam di atas pentas semasa majlis resepsi untuk meraikan pengantin. Seolah-olah hanya ada satu budaya malam itu – iaitu untuk meraikan dan bergembira. Yang saya pasti, sehingga kini, suami rakan saya tidak ‘memasuki’ budaya kaum etnik rakan saya, tetapi mencintai rakan saya seadanya. Langkah beliau menganuti Islam tidak menghalang beliau untuk bersama sama isteri meraikan Tahun Baru Cina ataupun mengunjungi pihak mertua sebagai tanda hormat ketika upacara keagamaan ataupun budaya masyakarat berbilang bangsa. Tekanan hidup sebagai wanita independen Saya pasti ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai cerita perkahwinan dwi-budaya dan agama sebegini. Ada yang menyatakan bahawa perbezaan agama dan budaya membawa kepada ikatan perkahwinan yang lebih utuh, manakala ada pula yang tidak kekal kerana tidak dapat mencari titik keseimbangan toleransi antara agama dan budaya yang berbeza. Sukar untuk seorang wanita bujang yang tidak memenuhi kotak-kotak stereotaip semasa untuk mencari pasangan hidup di Kuala Lumpur. Saya tahu, kerana saya mengalaminya. Kebanyakkan rakan menasihati saya bahawa jodoh saya bukan dengan lelaki Melayu, mahupun lelaki Malaysia. Namun sebagai seorang optimis, saya mengisi borang “Halal Speed Dating” yang akan diadakan pada 9hb Mei ini. Secara terangnya di dalam borang tersebut dinyatakan bahawa peserta acara ini harus menimbang baik kemungkinan untuk memeluk agama Islam jika mereka menjumpai cinta melalui platform tersebut. Tidak pula dinyatakan pihak penganjur yang “matchmaking” hanya akan dibuat antara peserta yang sama kaum etnik. Namun, antara kemungkinan yang bakal berlaku termasuk ada yang jatuh cinta tetapi tidak dapat berkahwin dengan individu yang mereka cintai kerana perbezaan agama. Ada pula yang memeluk agama semata mata untuk menghalalkan cinta. Manakala ada yang akhirnya menjumpai agama ketika mencari cinta sesama manusia. Usah dalam ketaksuban kita mempertahankan Tuhan, kita lupa untuk mencintai sesama manusia, seperti satu lagi bait skrip Nadirah karya Alfian Sa’at: “Bagaimana mahu mencintai Tuhan jika tidak mampu untuk mencintai seorang manusia lain?” Saya tidak mampu menjadi sesuci Rabiatul Adawiyah, namun perlu rasanya keseimbangan untuk berterusan mengenali agama sendiri dan mencintai agama dan diri sendiri sebelum mencari cinta di hutan  konkrit yang dinamakan Kuala Lumpur. unnamed  

]]>

Cinta: Menjangkaui Hari Valentine

Oleh Muhammad Al-Mahdi “Apa erti Valentine’s Day pada saudara Muhammad Al-Mahdi?” Soalan ini ditembak kearah saya sejurus setelah bunga api diledak keudara Istanbul. Istanbul, kota dua benua, tempat terbenamnya mentari dicelah tujuh gunung ini semestinya adalah tempat pilihan untuk berasmara. Berpeleseran disana-sini pasangan yang sudah berkahwin mahupun belum. Soalan ini membuatkan saya berseloroh “Pada saya yang single ini, hari Valentine adalah seperti hari-hari biasa.” Segera beliau menjawab “So tak ada value la kita mengagungkan hari tu kan?” “Hebat kan serangan ke atas ummah sekarang?” tambahnya lagi. Saya terpinga: Bilakah kita mengagungkan hari ini? Lewat malam pun saya menulis. Valentine seperti yang kita sering tahu dan saya sendiri keliru dengan penceritaannya adalah hari menyambut kekasih dan terkadang juga diriwayatkan hari ulangtahun Muslim dibakar, Muslim dibunuh di Andalusia atau apa sahaja yang anda dengar dan anda ingin percaya. Umumnya ia adalah hari menghargai kekasih. Namun kenapakah kekasih harus dihargai? Saya pernah berdiri semasa guru masuk kekelas semasa di pasentren, maka guru itupun bertanya “Mengapa kalian berdiri? Menghormati saya atau ilmu?” Beliau memahamkan tentu sahaja seorang kiyai tanpa ilmu adalah kosong dan tidak ada erti. Begitu juga kekasih yang kita hargai adalah cintanya yang disalurkan kepada kita dan bukanlah sosoknya. Cinta? Tradisi seluruh agama-agama utama dunia menyatakan perihal cinta. Persoalannya samada sejauh mana kuantiti dalam literal teks suci atau sejauh mana kualiti kita memahaminya. Sungguhpun agama Yahudi lebih menekankan halakhah (syariah) ia tetap mempunyai konsep cinta didalam dimensi Kabbalahnya. Kristian pula sangat jelas memberi penekanan terhadap cinta terutamanya terhadap konsep Agape yang melambangkan cinta yang tidak terhingga, yang tidak boleh diluahkan oleh naluri dan nafsu badan. Islam juga tidak ketinggalan menyebutkan perihal cinta. Samada ia bernama Al-Asq, al-Hubb, Rahmah, Mawaddah, Sakinah atau mana-mana sahaja namanya yang membawa erti berbeza. Raikan cinta Maka apakah salah kita meraikannya? Kalaulah cinta itu satu anugerah dan anugerah itu sesuatu yang berharga apakah salah kita menghargainya dan mereka yang menjadi wasilah kepada Cinta itu. Rumi sering mengatakan “Allah adalah cinta” kerana penuh cinta Dia mencampakkanya kedalam nurani manusia. Dan anugerah itulah yang sedang kita nikmati sehingga si ibu mengasihi anaknya dan kita semua terasa aman dalam cinta. Riyadus-salihin Nabi menjelaskan: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai 100 rahmat dan Ia turunkan 1 di antara 100 rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan 1 rahmat itulah binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang  99 itu Allah simpan untuk diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap hamba-hamba-Nya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) al-Bukhary dalam Shahih-nya; Riqaq, 19.2. Muslim dalam Shahih-nya; bab Tawbah, 18-21.) Cinta dan tamadun Saya membelek karya “ulama-ulama” yunani yang telah terdahulu memberi huraian tentang cinta sebelum ulama Muslim muncul menghuraikan dari sumber Muslim: Jenis-jenis cinta: 1 – Eros menurut Plato adalah cinta erotik (cinta berahi), tarikan seksual  berikutan terpanah dengan kecantikan dan membawa kepada perlakuan secara fizikal . Walaupun sebenarnya kecantikan bisa lebur (baca: tak bermakna) dalam jenis-jenis rasa cinta yang seterusnya. 2 – Philia pula adalah kesenangan dan cinta yang melahirkan kesetiaan. Bukan sahaja pada kekasih tetapi kepada keluarga, polisi, displin, ilmu atau apapun. Philia memotivasi manusia menurut Aristotle, sehingga seseorang melakukan dengan penuh ghairah tanpa diminta atau diarahkan demi kepuasan diri atau selainnya. Philia melahirkan ketenangan dan kebahagiaan hasil dari kepuasan dan kesempurnaan melaksanakankan cinta ini. Terakhir, seperti yang saya katakana tadi, ialah Agape yang merujuk kepada cinta akan Tuhan dan cinta Tuhan kepada hamba-Nya dan sejenis kasih kepada seluruh persaudaraan dan alam. Begitulah perkataan Ahev dalam bahasa Ibrani membawa lebih luas maknanya berbanding Agape perkataan Yunani. Dalam tradisi mencintai Tuhan Judaic-Christian:  “kamu harus mencintai Tuhan dengan sepenuh hatimu , dan sepenuh jiwa, dan segenap kemampuanmu” (Deuteronomy 6:5) dan juga “mencintai jiran sepertu mereka sendiri” (Leviticus 19:18). llmuan moden Kant mula meluaskan konsep ini dengan rasa penghormatan kepada seluruh manusia tanpa berat sebelah. Dalam Islam al-hubb membawa erti kecintaan yang menarik dan mengagumi. Imam Qushairy contohnya enggan mentakrifkannya dengan berkata ia “tak tergambarkan”, Ibn Arabi juga ‘gagal’ mengungkapkannya melainkan hanya dapat membezakan ciri-ciri pecinta secara zahir. Ashq, pula ditakrifkan sebuah cinta yang mendorong kepala perjalanan kepada al-mahbub. Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan Ashq itu membuatkan seorang sehingga menangis, atau boleh saya katakan ia adalah rindu yang berjauhan sehingga mengerakkan untuk pergi kepada objek yang dicintai. Maulana Ar-Rumi banyak membahaskan perihal ini. Mawaddah: diterjemahkan sebagai layanan mesra. Allah menyebutkannya dalam perihal rumah tangga (Rum: 21) dan pergaulan dengan Ahlul Bait Rasulullah SAW (Syura: 23). Mawaddah adalah cinta yang digambarkan dengan lemah-lembut , hormat dan rapat fizikal mahupun keterikatan hati. Rahmah pula adalah dari makna belas, mengasihani. Keluasan cinta Nah begitu besarnya Cinta kalaulah kita mengerti. Ia luas dan tidak semestinya menjurus kearah tarikan seksual walaupun saya tidak menafikan bahawa ia membawa kearah hubungan seks. Tetapi cinta itu sendiri sangat luas dan bernilai dan perlu dihargai. Dari perspektif manapun jika dipandang samada dari kacamata tradisi agama mahupun fitrah cinta tidak ternafi, jadi mengapa kita menafikan pengiktirafan terhadapnya dan manifestasi cinta itu sendiri? Kerana cinta itu luas dan bukan harus dicekang kemarakkannya. Ia harus dibawa untuk meletuskannya dan merasionalkannya bukan meletakkannya di pertimbangan emosi semata dengan meninggalkan sisi intelek yang telah kita warisi dari ilmuan barat dan timur. Kegagalan merasionalkan cinta adalah membuatkan cinta terhayun dengan perasaan dan tindak-balas di luar moral dan pertimbangan kesan masa panjang. unnamed

]]>

Jalan kebahagiaan: Cintailah manusia, bukan kesenangan

Penterjemahan tidak rasmi “Love People, Not Pleasure” yang disiarkan sebelum ini oleh New York Times. Diterjemah oleh Noor Amalina Rosli. 

Kisah Abd Al-Rahman III

Abd Al-Rahman III merupakan Amir dan Khalifah di Cordoba, Sepanyol pada abad ke-10. Beliau merupakan pemerintah yang unggul yang hidup dalam kemewahan. Begini bagaimana beliau menilai kehidupannya.

“Saya telah memerintah selama lebih 50 tahun dalam kemenangan atau keamanan; disayangi oleh rakyat, digeruni oleh musuh, dan dihormati oleh rakan-rakan sekutu. Kekayaan dan kehormatan, kuasa dan kenikmatan semuanya telah tersedia sebagai nikmat dunia yang menggembirakan.”

Kemahsyuran, kekayaan dan kenikmatan yang tidak tergambar. Hebat bukan? Beliau terus menulis:

“Saya telah mengira hari-hari yang saya benar-benar dan ikhlas gembira: Jumlahnya ada 14 hari.”

Yang menjadi masalah bagi Abd al-Rahman bukanlah kebahagiaan – sebagaimana yang dia fikir – tetapi kesedihan. Jika ianya nampak seperti pembezaan tanpa perbezaan, maka anda juga barangkali mempunyai masalah seperti Amir. Walaubagaimanapun, dengan sedikit pengetahuan, anda boleh mengelak daripada kesedihan seperti beliau.

Kesedihan dan kebahagiaan

Apakah itu kesedihan? Kata hati anda mungkin mengatakan ianya semudah lawan kepada kebahagiaan, sebagaimana kegelapan yang wujud disebabkan tiadanya cahaya. Ia tidak benar. kebahagiaan dan kesedihan adalah berkaitan tetapi bukan sesuatu yang berlawanan. Imej pada otak menunjukkan bahawa sebahagian daripada otak kiri menjadi lebih aktif daripada kanan apabila kita sedang merasai kebahagiaan, manakala otak kanan menjadi lebih aktif ketika kita tidak gembira.

Ia mungkin nampak ganjil, tetapi, menjadi gembira daripada orang lain tidak bermakna sesorang itu [pada masa yang sama] tidak boleh menjadi lebih sedih daripada orang lain . Satu ujian tentang kebahagiaan dan kesedihan adalah Positive Affectivity dan Negative Affectivity Schedule test. Saya mengambil ujian tersebut dan mendapati, untuk kebahagiaan, saya mendapat markah yang tertinggi bagi golongan yang mempunyai umur, jantina, pekerjaan dan pendidikan yang sama dengan saya. Tetapi, saya juga mendapat markah yang agak tinggi juga bagi kesedihan. Saya seorang yang ceria dan sedih.

Apabila manusia berkata, “Saya adalah orang yang tidak gembira,” Mereka sebenarnya sedang mengira-ngira, sama ada mereka sedar atau tidak. “kesedihan saya = x, dan kebahagiaan saya = y, jadi, x>y.” Persoalan yang sebenar adalah, mengapa, dan apa yang boleh dilakukan agar y>x.

Jika anda bertanya pada seseorang yang tidak gembira mengapa dia tidak gembira, selalunya dia akan menyalahkan keadaan. Dalam banyak keadaan, semestinya, ada sebabnya. Ada sesetengah manusia yang ditekan, miskin atau sakit itu yang menjadikan kehidupan mereka seakan beban.

Kajian menunjukkan bahawa perkauman menyebabkan kesedihan pada kanak-kanak, dan banyak lagi kajian akademik yang menunjukkan kaitan yang jelas antara kesedihan dan kemiskinan. Satu lagi punca kesedihan adalah kesunyian, yang mana, ia dialami oleh 20 peratus daripada rakyat Amerika, cukup untuk menyatakan ia adalah antara punca utama kepada kesedihan dalam kehidupan.

Ada juga punca-punca kecil kesedihan yang bergantung kepada keadaan. Pakar psikologi daripada Princeton Daniel Kahneman dan rakan-rakannya telah mengira “Tarikan Negatif” [bad moods] yang disebabkan oleh aktiviti dan interaksi harian. Mereka telah menjumpai sebab No. 1 kepada kesedihan pada hari-hari biasa adalah menghabiskan masa dengan bos (Yang mana, sebagai seorang bos, saya tidak gembira mengetahuinya).

Mengapa? 

Keadaan sememangnya sangat penting. Tidak syak lagi, Abd al-Rahman boleh menuding jari kepada beberapa keadaan dalam kehidupannya. Tetapi anehnya, penjelasan yang lebih tepat tentang kesedihannya boleh jadi disebabkan oleh pencariannya kepada kesejahteraan. Dan ia juga boleh terjadi pada anda.

Pernahkah anda mengenali seorang pemabuk? Kebiasaannya, mereka minum untuk menghilangkan ketagihan atau keresahan – atau dengan kata lain, untuk mengurangkan kesedihan. Tetapi, minuman itu yang akhirnya memanjangkan penderitaan mereka. Prinsip yang sama berlaku pada Abd al-Rahman dalam pencariannya terhadap kemahsyuran, kemewahan dan kenikamatan.

Ambil contoh kemahsyuran [fame]. Pada tahun 2009, para pengkaji daripada University Rochester telah mengadakan kajian menjejak kejayaan 147 orang graduan dalam mencapai matlamat yang telah diletak sebelumnya, setelah tamat pengajian. Sebahagian yang meletakkan matlamat ‘dalaman’ seperti dalam perhubungan. Ada yang meletakkan matlamat “luaran” seperti mencapai reputasi yang terkenal dan menjadi masyhur. Para pengkaji telah mendapati bahawa mempunyai matlamat “dalaman” amat berkait dengan kehidupan yang lebih gembira. Mereka yang mengejar matlamat “luaran” merasai emosi yang negatif seperti malu dan takut. Malah mereka turut mengalami sakit fizikal.

Ironi

Inilah salah satu ironi yang paling kejam dalam kehidupan. Saya bekerja di Washington, di tengah-tengah ketegangan perdebatan politik. Orang yang paling tidak gembira sekali yang pernah saya jumpa adalah mereka yang setia kepada sikap memasyhurkan atau mempromosikan diri sendiri – the pundits, the TV loudmouths, the media know-it-alls. Mereka mereka diri mereka, mempromosikan imej mereka, tetapi berasa teruk selalunya.

Itulah paradoks bagi kemasyhuran. Sebagaimana dadah dan alkohol, sekali anda ketagih, anda tidak boleh hidup tanpanya. Tetapi, anda tidak boleh hidup dengannya juga. Para selebriti menggambarkan populariti seperti “binatang dalam sangkar; mainan di tingkap kaca kedai; anak patung Barbie; patung-patung di tempat awam, atau lelaki dalam TV,” berdasarkan kajian oleh pakar psikologi Donna Rockwell. Tetapi, mereka tidak mampu berhenti.

Kesan daripada populariti kepada kehidupan seharian manusia telah menghasilkan inovasi yang mengejutkan. Salah satunya dengan wujudnya program-program realiti televisyen, di mana orang biasa menjadi pelakon agar kehidupan seharian mereka ditonton. Mengapa? “Untuk disedari, untuk diingini, untuk dicintai, untuk melangkah masuk ke dalam satu tempat yang mana orangnya kisah akan apa yang anda sedang buat, bahkan apa yang anda makan tengahari tadi: itulah yang manusia inginkan, pada pendapat saya,” kata seorang peserta program realiti “Big Brother” berumur 26 tahun.

Kemudian, wujud pula media-media sosial. Hari ini, setiap kita boleh membina kumpulan-kumpulan peminat tersendiri, terima kasih kepada Facebook, YouTube, Twitter dan lain-lain. Kita boleh siarkan perincian tentang kehidupan kita baik kepada rakan-rakan mahupun pada orang yang tidak dikenali. Adalah amat bagus untuk sentiasa dapat berhubung dengan rakan-rakan, tetapi ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa mencari populariti (fame-seeking) dalam diri setiap orang. Dan beberapa kajian menunjukkan ia membuat kita tidak gembira.

Imej, berbanding realiti

Ianya masuk akal. Apakah yang anda ‘post’ dalam Facebook? Adakah gambar anda sedang menjerit pada anak-anak anda, atau gambar anda sedang mengalami kesusahan ketika bekerja? Tidak bukan? Anda ‘post’ gambar-gambar anda tersenyum ketika mengikuti program mendaki bersama-sama dengan rakan. Anda mencipta kehidupan palsu – atau sekurang-kurang kehidupan yang tidak lengkap – dan ‘share’ kepada semua. Tambahan pula, anda juga menonton kehidupan-kehidupan palsu ‘friends’ anda di media sosial. Melainkan anda betul-betul sedar, bukankah ianya membuatkan anda berasa lebih teruk apabila sebahagian masa anda dihabiskan untuk berpura-pura menjadi lebih gembira daripada yang anda rasa, dan sebahagian masa yang lain, anda melihat betapa gembiranya orang lain berbanding diri anda?

Ada sebahagian yang mencari penawar kepada kesedihan melalui wang dan kebendaan. Senario ini mungkin lebih rumit berbanding populariti. Bukti ada menunjukkan bahawa wang benar-benar menghilangkan kesengsaraan bagi yang benar-benar memerlukan (Ini adalah hujah yang kuat, pada pendapat saya, untuk polisi-polisi bagi golongan yang benar-benar memerlukan). Tetapi, apabila wang itu sendiri menjadi matlamat, ia juga boleh menyebabkan kedukaan.

Selama berpuluh tahun, ahli psikologi telah mengumpulkan kajian yang luas mengenai perkaitan antara perbezaan aspirasi and kesejahteraan. Sama ada mereka memeriksa orang muda atau pelbagai lapisan umur, secara keseluruhannya menunjukkan terhadap kesimpulan yang sama: Mereka yang meletakkan matlamat kebendaan seperti harta sebagai keutamaan yang tertinggi, ada lebih cenderung untuk menjadi resah, tertekan dan lebih kerap mengambil ubat, malah lebih mudah untuk mendapat penyakit berbanding mereka yang meletakkan matlamat ‘dalaman’.

Tiada yang dapat menyimpulkan makna perangkap kebendaan ini lebih terkenal daripada St. Paul dalam karangannya ‘First letter to Timothy’: “Mencintai wang itu adalah akar (punca) pada segala kejahatan: yang mana apabila seseorang terlalu mendambakannya, mereka akan lari daripada keimanan dan menenggelamkan diri mereka dalam pelbagai kedukaan.” Atau seperti apa yang Dalai Lama katakan, lebih baik untuk anda mahukan apa yang anda punyai daripada mempunyai apa yang anda mahukan.

Seks? 

Maka, kemasyhuran dan duit telah terkeluar. Bagaimana pula kenikmatan sebagai contoh kenikmatan sex? Daripada Hollywood hinggalah ke kolej, ramai yang menyangka sex sentiasanya hebat, bahkan kepelbagaian (bilangan) sex itu lebih baik.

Sangkaan ini sebenarnya mempunyai nama iaitu : ‘The Coolidge Effect’ yang dinamakan bersempena presiden Amerika ke-30. Kisahnya (berkemungkinan rekaan) bermula ketika Silent Cal dan Puan Coolidge sedang berjalan-jalan di ladang ternak. Puan Coolidge melihat jumlah ayam jantan tidak banyak, dan bertanya bagaimana begitu banyak telur dapat dihasilkan. Penternak memberitahunya yang ayam-ayam jantan yang ‘kuat’ telah melakukan tugas dengan baik berkali-kali setiap hari. “Mungkin kamu boleh memberitahu itu pada Encik Coolidge,” kata Puan Coolidge. Encik Coolidge, apabila mendengar apa yang dikatan Puan Coolidge itu, bertanya sama ada ayam jantan itu akan mengawan dengan ayam betina yang sama pada setiap kali. Tidak, kata penternak tersebut – ada banyak ayam betina bagi setiap ayam jantan. “Mungkin anda boleh memberitahu ini kepada Puan Coolidge,” kata Encik Coolidge.

Presiden (Encik Coolidge) mungkin menyangka ayam-ayam jantan ini sangat gembira. Dan seharusnya, sama juga bagi manusia bukan? (Dengan mengabaikan kesan-kesan moral).

Salah. Pada tahun 2004, dua orang ahli ekonomi mengkaji sama ada  (bilangan) seks membawa kepada lebih kesejahteraan. Mereka melihat data mengenai 16,000 orang dewasa Amerika yang ditanya secara tertutup tentang berapa banyak pasangan seks mereka pada tahun sebelumnya, dan juga mengenai kebahagiaan mereka. Data telah menunjukkan, baik bagi lelaki atau wanita, keduanya mengatakan bilangan pasangan yang optimum adalah satu.

Harta? 

Ini mungkin tidak disangka-sangka. Selalunya, kita tertarik untuk mengumpulkan kebendaan (harta), mencari populariti dan mengejar keseronokan. Bagaimana pula perkara-perkara ini membawa kepada kesedihan? Ada dua penjelasan, satu dari segi biologi, manakala satu lagi dari segi falsafah.

Daripada perspektif evolusi, masuk akal untuk mengatakan kita tertarik untuk mencari kemasyhuran, kekayaan dan hidup yang penuh seks. Kebarangkaliannya adalah kita telah menerimanya melalui DNA kita. Sekiranya nenek moyang anda pada zaman batu dahulu tidak memiliki keinginan ini (seperti ingin menjadi seorang pengasah batu yang hebat atau memiliki pelbagai kulit binatang), barangkali mereka tidak dapat berjumpa dengan pasangan yang cukup ramai untuk akhirnya menghasilkan keturunannya dan anda.

Maka, disinilah titik pertemuannya: Kita menyangka perkara yang menarik bagi kita akan menghilangkan kesengsaraan dan menambah kebahagiaan. Akal saya mengatakan, “Jadilah terkenal,” pada masa yang sama, ia juga mengatakan, “kesedihan adalah buruk,” Jika kita menggabungkan keduanya, ia akan menjadi, “Jadilah terkenal, maka anda tidaklah akan menjadi tak gembira.”

Tetapi, begitulah hukum alam. Ia tidak kisah sama ada anda gembira atau tidak – ia hanya mahukan anda terus menyampaikan bahan-bahan genetik dalam diri anda pada keturunan anda. Jika anda menggabungkan kelangsungan kehidupan antara generasi dengan generasi, maka, itu adalah masalah anda, bukan masalah hukum alam. Dan masalah menjadi semakin rumit untuk diselesaikan dalam masyarakat disebabkan adanya yang menyebarkan nasihat seperti, “Seronok, maka buatlah.” Melainkan anda mempunyai matlamat kehidupan yang sama seperti protozoa, ianya adalah sesuatu yang salah.

Dari sudut falsafah pula, masalah timbul daripada ketidakpuasan – perasaan yang mana tidak ada apa yang dapat memuaskan, maka kami mahu lagi. Kita sendiri tidak dapat memahami apa yang kita cari. Tanpa muhasabah yang cukup dan usaha-usaha spiritual, maka, kita hanya akan nampak kebendaan, kenikmatan fizikal dan menjadi pujaan rakan-rakan dan orang yang tak dikenali.

Kita mencari perkara-perkara ini untuk mengisi kekosongan jiwa. Walaubagaimanpun, ianya tidak kekal dan tidak pernah cukup. Ia mungkin akan memberi kepuasan sementara, tetapi ia tidak akan kekal dan tidak cukup, dan kita akan mula ketagihannya. Paradoks ini mempunyai istilah dalam Sanskrit : updana, yang merujuk kepada kitaran ketagihan dan mendapatkannya. Seperti kata-kata Dhammapada (jalan kebijaksanaan dalam Buddha) : “Ketagihan seseorang itu membawa kepada kerakusan hidup seperti tumbuhan yang merayap. Seperti Si monyet yang mencari buah-buahan di hutan, dia melompat dari satu kehidupan kepada satu kehidupan. Barangsiapa yang berdepan dengan ketagihan yang teruk dan merosakkan ini, kesedihan akan tumbuh seperti rumput setelah hujan.”

Cinta

Pencarian terhadap kemasyhuran ini, keinginan terhadap material dan mengobjekkan manusia – yang mana, adalah kitaran untuk mendapatkannya dan ketagihannya – akur pada satu formula yang mudah, tetapi berbahaya :

Cintai kebendaan, gunakan manusia.

Inilah formula yang menghantui hidup Abd al-Rahman. Inilah budaya yang dicorakkan oleh Hollywood hingga ke Madison Avenue. Tetapi, anda sedar bahawa ianya bermasalah dan berkemungkinan membawa kepada kesedihan. Anda mahu bebas daripada ketagihan kepada kesedihan dan mencari formula ke arah kebahagiaan. Tetapi, bagaimana? Terbalikkan sahaja formula berbahaya tadi, maka, ia akan jadi sikap yang baik:

Cintai manusia, gunakan benda.

Saya sedar, untuk mengatakannya, lebih mudah daripada mempraktisnya. Ia memerlukan keberanian untuk menolak populariti dan kekuatan untuk mencintai sesama manusia – ahli keluarga, kawan-kawan, rakan sekerja, teman-teman, tuhan dan bahkan orang asing dan musuh. Tolaklah sebarang kecintaan terhadap kebendaan. Mempraktiskan ini adalah suatu kebajikan. Ia sangat membebaskan jiwa apabila kita mampu memberi kepad orang lain benda yang amat kita sayangi.

Ini juga memerlukan kita untuk mengutuk sikap suakakan kebendaan. Ini bukanlah bertujuan sebagai suatu hujah untuk menolak mana-mana sistem ekonomi. Sesiapa sahaja yang pernah berada dalam sebuah negara sosialis pasti akan bersetuju bahawa cintakan kebendaan dan ketamakan secara kolektif adalah sama buruk, atau lebih buruk dalam pasaran terbuka (free market). Tidak ada ideologi politik yang terhindar daripada sikap materialism.

Akhirnya, kita seharusnya berasa sangsi atau skeptik terhadap keinginan diri kita. Tentunya kita akan terdorong untuk mencari peminat, kehebatan dan kebebasan. Tetapi, menyujud kepada keinginan ini akan membawa kepada kesedihan. Anda mempunyai tanggungjawab pada diri anda untuk meneruskan perjuangan. Hari anda mengisytiharkan kekalahan adalah permulaan kepada kesedihan. Berperang dengan dorongan dan keinginan yang merosakkan ini bukanlah kerana kealiman atau kewarakan. Tepai, ia adalah tentang menjadi manusia yang bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada kesengsaraan yang tak diperlukan pada masa akan datang.

Abd al-Rahman tidak pernah dapat menghitung kebahagiaannya dengan betul. Dia tidak mengetahui formula yang sebenar. Beruntunglah kita mengetahuinya.

      ]]>

Menentang Cinta Taj Mahal

To go away, As they are hyena-men and panther-men, I would be jew-man A Kaffir-man A Hindu-man-from-Calcutta A Harlem-man-who-doesn’t-vote the famine-man, the insult-man, the torture-man you can grab anytime, beat-up, kill-no joke, kill-without having to account to anyone, without having to make excuses to anyone a jew-man a pogrom-man a puppy a beggar* Dari Borobudur di Jogjakarta sehinggalah Brandenburg Gate di Berlin, tak pernah aku rasa begini ketika menjejak tanah Akbarabad. Tak, tak ada orang kenal Akbarabad. Tapi orang kenal Agra. Di tanah ini, masa menjadi kaku tatkala melihat kemanusiaan di celah-celah kasarnya semangat untuk hidup. Berdiri di hadapan Taj Mahal, terpaku dan termangu, apa ertinya Cinta? Apakah wujud Cinta sebenarnya? Bagaimanakah rasanya Cinta? Jika Cinta itu benar dan wujud serta boleh dirasai, mengapakah manusia masih melarat dan terjerumus memukul, membunuh, memancung dan menyembelih sesama sendiri? Tolstoy sendiri, dalam The Devil tidak dapat memutuskan ‘apakah sebenarnya cinta’ dengan menyerahkan kepada pembaca untuk memilih samada membenarkan Eugene yang tersiksa dengan cinta untuk membunuh dirinya sendiri atau membunuh Stepanida, kekasih gelap, sang perempuan miskin, lambang cinta dengan hawa nafsunya. Dalam catatan hariannya dikhabarkan, Leo Tolstoy pernah menulis; ‘aku tidak tahu apa yang orang maksudkan dengan cinta,’. Menginjak tanah bekas dinasti Mughal, dikelilingi lembu yang berkeliaran tanpa pemilik, diselangi bunyi hon bajaj, di tengah simpang yang direbut semua penunggang basikal, kereta, van, penunggang motor mahupun lori 8 tan – mengingatkan aku kepada soalan; Apa yang manusia cari sebenarnya? Usai Perang Dingin, peningkatan ekstremis agama mencacatkan sejarah kemanusiaan dengan konflik peradaban berselirat di antara kemodenan dan tradisionalis. Apakah ini ‘The Gilded Age’, atau seperti diceritakan oleh Mark Twain atau Charles Dudley Warner melalui ‘A Tale of Today’ pada 1873, atau seperti disebut-sebut oleh sang profesor Thomas Piketty di Paris School of Economics, ‘a second Bella Opaque’ sebagai zaman kemunculan golongan 1 peratus? Kemanusiaan? Apakah yang memandu manusia zaman ini? Sepanjang sejarah, manusia berganti-ganti membunuh dan berperang atas nama Tuhan. Di India sendirian, apakah sejak zaman Maurya, Gupta, Chalukya, Pala membawa ke dinasti Mughal, manusia minta dilahirkan untuk berperang? Apakah Tuhan lahirkan seseorang itu untuk memakan manusia lain? Sepanjang empat jam perjalanan pulang dari Agra menuju Delhi, persoalan-persoalan ini memahat kepala dan otak dengan begitu padat dan laju, serentak dengan ritma lelaki-lelaki perindu daerah Uttar Pradesh ini pulang dari kerja. Di Paharganj, anak kecil bermain dengan berlari mengejar satu sama lain di celah-celah lorong bangunan . Tanpa menghiraukan air kuning yang mengalir dari pundi kencing manusia yang berhenti dan melepaskannya di sudut-sudut bangunan, mereka tertawa riang tatkala membenarkan matahari memancar tepat ke dalam mata mereka. Ada di antara anak kecil ini yang bekerja di hotel sekitar, menyapu dan menyediakan bilik-bilik yang akan dihuni lelaki dan perempuan Eropah. Ada di antara mereka yang tidak ke sekolah kerana perlu menjadi penghantar barang. Ada di antara mereka yang tidak pernah tahu wujudnya sekolah. Tetapi mereka masih boleh tersenyum, tanpa menyedari mereka adalah sebahagian dari 6 juta anak kecil India yang tidak cukup nutrisi. Mereka masih boleh ketawa tanpa perlu runsing memikirkan kelak mereka perlu mengayuh beca sejauh 2km hanya untuk 20 rupees. Delhi Di Old Delhi, keturunan pembuat makanan diraja dinasti Mughal masih menjual makanan mewah istana di restoran mereka. Kari kambing ‘Paaya Nahari’ berharga 180 rupees boleh di dapati tidak sampai 300 meter dari Masjid Jama’, ketika wanita bertudung meminta sedekah di kaki lima restoran sambil mendukung anak kecil. Kadangkala diiringi empat atau lima anak kecil lain yang tidak berbaju. Albert Camus di dalam makalahnya ‘Cinta dan Pemberontakan’ seperti yang disusun oleh A. M. Krich menulis; ‘pemberontakan tidak mungkin hadir tanpa cinta – dalam bentuknya yang asing itu…pemberontakan adalah cinta, kemajuan atau bukan apa-apa sama sekali,’. Beliau menyambung; ‘Revolusi tanpa kehormatan, revolusi yang diperkirakan dengan memilih antara konsep abstrak manusia atau tubuh nyata manusia – adalah sebuah gerakan yang menolak eksistensi manusia selama mungkin, dan menaruh dendam sebagai pengganti peranan cinta.’ Fariduddin ‘Attar, penyair yang menginspirasikan Rumi, pernah menulis mengenai sang kupu-kupu dengan lilin, seperti di kumpulkan oleh Muhammad Zaairul Haq. Menurut kisah tersebut, pada satu malam sang kupu-kupu berkumpul membincangkan mengenai penderaan rasa kasih dan rindu mereka terhadap sang cahaya iaitu lilin. Kisah bersambung apabila sang kupu-kupu pertama pergi melihat cahaya lilin di sebuah istana dan kembali menceritakan apa yang dilihatnya, tetapi kemudian ditolak pendapatnya oleh sang kupu-kupu paling bijak yang menjadi ketua. Pergilah sang kupu-kupu kedua, kali ini semakin dekat namun kalah kepada panasnya lilin dan kembali menceritakan pengalamannya. Juga pada kali ini, pendapatnya ditolak; “Penjelasanmu benar-benar tidak lebih berharga dari kawanmu tadi.” Fariduddin ‘Attar menyambung; “Kupu-kupu ketiga bangkit, ketagih oleh rasa cinta, maka dia melemparkan tubuhnya dengan keras ke dalam api lilin. Dia menggiring ke depan dan merentangkan sesungutnya ke dalam api. Setelah sepenuhnya memasuki pelukan api, anggota tubuhnya berkilauan merah seperti nyala api itu.” “Ketika sang kupu-kupu bijak melihat dari kejauhan bahawa lilin itu telah menyatukan dirinya dengan sang kupu-kupu ketiga dan mulai memberinya cahaya miliknya dia berkata; kupu-kupu ini telah memenuhi hasratnya, tetapi dia sendiri yang memahami apa yang telah dicapainya, tak seorang pun yang lain mengetahuinya dan itulah erti sesungguhnya,”. Kisah ini diakhiri dengan penyataan, “Sepanjang kau belum mengabaikan jiwa dan ragamu, bagaimana kau akan mengenal objek yang kau cinta?” Dan perjalanan menziarahi tanah bekas jajahan Dinasti Mughal ini menjadi semakin sukar. Paling sukar berdepan sebuah gagasan, arkitektur dan dambaan dunia mengenai cinta seperti Taj Mahal ini ialah realiti bahawa kuburan mega ini dibina dengan menindas kemanusiaan dengan mempergunakan nama – ‘Cinta’. Cinta Taj Mahal bukan lambang Cinta. Cinta bukan satu bentuk kemegahan. Cinta tidak dibina dengan menindas orang lain. Cinta bukan datang dari titik peluh kaum buruh dan karyawan. Cinta bukan materi untuk dipertontonkan. Cinta bukan seni arkitektur yang dibina dengan mengerat jari pengukirnya. Paling sukar untuk difahami, Cinta bukan dibina untuk memuja satu atau dua sosok raja yang akhirnya akan dimamah ulat tanah. Dalam mazhab Cinta yang aku anuti, Cinta ialah apabila kita berani untuk memberi. Cinta ialah apabila kita berani untuk berhenti meminta. Cinta ialah; pabila seluruh deru nafas dan degup jantung untuk memberi, kepada si Dia, dan sudah tentu melalui sang kekasih, anak bangsa dan seluruh manusia. Itulah Cinta paling dalam seperti difahami Cesaire, Camus mahupun Fariduddin ‘Attar, di dalamnya tiada perkataan ‘aku’, tetapi seluruhnya hanyalah untuk yang tercinta. Dan Tuhan tahu perasaan anak yang bekerja menyapu sampah hotel bajet di lorong kecil Paharganj, atau rintihan ibu mengandung yang meminta sedekah di kaki Masjid Jama’, serta mendengar teriakan pengukir Taj Mahal saat jarinya dikerat Shah Jahan – yang tidak mahu ada Taj Mahal kedua dibina. Penulis mengunjungi Taj Mahal pada 28 Mac 2014 yang lalu dalam lawatan pendek beliau ke Kathmandu dan Delhi.   * Dipetik dari Notebook, Aime Cesaire, siri terjemahan versi 1956 seperti diambil oleh Mara de Gennaro, ‘Fighting Humanism on Its Own Terms, tersiar di ‘differences: A Journal of Feminist Cultural Studies.’     unnamed  

]]>

Cinta gadis gula-gula getah

 

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka” dan setengahnya pula berkata: “Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka”, – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Al Kahfi, 22.[12]

I Tak ingat nama pemandu bas mini tersebut. Yang semua orang tahu beliau lewat sekitar 30 ke 50 minit. Cuaca agak sejuk, di hadapan, berdiri dua anak lelaki berumur mungkin 9 atau 10 tahun. Sekejap mereka berlari, menyepak pasir dan berkejaran. Sekejap mereka kembali dan asyik menuding jari ke baju Naim yang tertulis perkataan dalam tulisan Jawi; Syria. Betul ke ni anak Syria?[1] Ishak jawab acuh tak acuh; ya kerana mereka tidak ke sekolah pada waktu sebegini. Jam di tangan menunjukkan angka 2.30 minit. Dua anak Syria [2] ini masih di hadapan kami. Duduk di atas tembok, seolah-olah sedang menunggu barsama-sama kami. Sesekali, mereka mengirim senyum yang hujungnya tawa besar antara mereka tatkala mengerling kami. Tipikal gaya Arab, bumi Irbid juga seolah-olah baru selesai perang. Di hadapan, sebuah lubang besar terbentuk. Katanya sebuah apartmen akan dibina. Di hujung satu sudut, kelihatan sampah berlonggok. Di hujung sudut yang lain juga, terlonggok sampah-sampah lama. Bukan di hujung sudut itu sahaja, di sepanjang tepi jalan juga. Ah, di mana-mana sebenarnya. Bas mini sampai. Kami naik dengan barang bantuan. II Pun, tak ingat pukul berapa kami sampai ke Mafraq dari Irbid. Tempat pertama kami sampai, kawasan tersebut lengang. Dari lenggok perbualan pemandu bas kami, difahamkan sejumlah pelarian Syria [3] pernah membuka khemah mereka di sini tetapi akhirnya diminta berpindah oleh pihak berkuasa. Bas kemudiannya berpusing beberapa lama mencari ke mana berpindahnya pelarian tersebut. Tak berapa lama kemudian, setelah melalui sebuah lorong kecil kami berjaya menemui sekumpulan kecil pelarian dengan khemah tertera perkataan UNHCHR.[4] Seorang lelaki muda dengan wajah kusam dan rambut tidak terurus menyambut kami. Anak muda ini naik ke dalam bas sehingga kami sampai betul-betul di hadapan kawasan khemah. Hanya ada sekitar 8 ke 10 buah khemah kecil. Bas kini dikerumuni lelaki dan perempuan yang memegang sijil pelarian dari UNHCR,[5] lebih dari 30 orang semuanya. III Belum kaki kanan menapak keluar dari lantai bas, hawa udara dingin menyelinap masuk ke dalam jaket. Suhu betul-betul rendah di kawasan lapang ini. Di celah kedinginan ini, mereka berebut menghulur sijil pelarian[6] yang tertera nama mereka dengan kenyataan yang membenarkan mereka untuk menerima bantuan. Abe, ketua rombongan akhirnya bersetuju untuk menyampaikan bantuan, sepaket beras, sekotak teh, gula, tepung, beberapa bahan makanan yang lain untuk sebuah keluarga serta sepasang kasut untuk setiap anak-anak. Kami bergerak ke khemah[7] untuk mengira berapa ramai yang menginap di dalam khemah-khemah tersebut. Rambut tak terurus, muka berdebu, pakaian kotor. Tak pasti berapa lama mereka tak mandi di musim sejuk ini. Seorang lelaki tua berjalan ke sana sini berkaki ayam. Belasan anak-anak berumur kurang dari 12 tahun mengelilingi kami dengan senyum di bibir, meminta kasut baharu yang tahan sejuk untuk mereka. IV  Seorang wanita tua mengeluarkan x-ray miliknya dari celah khemah, memohon agar diberi wang untuk membeli ubat asma. Angin dingin bertiup dan hati meluluh saat mendengar penyakit asma di musim sejuk sebegini. Khemah[8] mereka tidak punya apa-apa selain hamparan tikar dan tilam, dengan bahagian tepi ditindih dengan batu agar angin tidak dapat menembusinya. Khemah yang mempunyai dapur boleh dibilang. Tiada elektrik, tiada bekalan air. Dan mereka tidak dapat bekerja kerana status sebagai pelarian, maka tiada wang untuk dibelanjakan. Baju yang sama mungkin sudah dipakai berbulan-bulan, selipar atau kasut yang sama, tiada bekalan makanan[9], selain harapan bahawa akan ada rombongan yang hadir memberi bantuan. V Selesai Maghrib, kasut disarung untuk berjalan ke luar. Angin sejuk memeluk dan seperti biasa, poket diseluk untuk mengecas haba. Di hadapan masjid di Irbid ini, kelihatan deretan peniaga memasang meja untuk berniaga baju musim sejuk di tepi jalan. Menunggu Marwan yang berjanji untuk membawa makan bersama dengan menyandar di hujung pintu pagar. Entah dari mana, tiga anak kecil muncul menonong di hadapan. Di tangan mereka kelihatan paket gula-gula getah[10], seorang abang, seorang adik dan seorang lagi adik kecil, sang perempuan. Masing-masing tolak menolak untuk mendapatkan perhatian. Sebagai seorang lelaki yang tidak belajar bahasa Arab tinggi, aku memang tidak faham langsung perkataan yang keluar dari mulut mereka. Kata Musa ketika sempat ziarahnya di Mafraq beberapa hari lalu, anak-anak ini tidak menggunakan bahasa Arab formal. Bahasa Arab mereka bahasa pasar. Ah, kalau Arab formal pun belum tentu aku faham juga. VI Tidak semena-mena, seorang lelaki Arab berbadan besar dari belakang menempik anak-anak ini dengan mengangkat kasutnya gaya membaling ke arah mereka.  Anak-anak yang terkejut,  adik perempuan paling kecil jatuh dahulu di hadapan. Sang abang sempat berlari, sang adik pula cuba membantu adik perempuan. Nasib tidak menyebelahi, syiling sang adik keluar dari poket jaketnya, beberapa gula getah juga jatuh. Ketika sedang mengutip itulah, lelaki tadi datang dan menyepak bontot sang adik. Sang abang sudah hilang, sang adik pula jatuh ke tanah kali ini. Terkocoh-kocoh mereka mengutip dan berlari meninggalkan kawasan masjid. Di hadapan aku kejadian itu berlaku, aku lihat ada sisa di atas tanah. Gula-gula getah.[11] (Dan perasaan sesal memeluk. Aku tak sempat membeli satu-dua gula-gula getah dari anak Syria ini.[12] )         ***   1) Sehingga 2,379,710 rakyat Syria menjadi pelarian sejak konflik bermula pada 2011 menjadikan mereka sebagai kumpulan pelarian terbesar dalam sejarah perang moden dengan tiada harapan konflik akan selesai dalam masa terdekat (Data UNHCR) 2) Dianggarkan populasi pelarian akan mencecah 4 juta sehingga penghujung 2014 (Data UNHCR) 3) Dari 30,000 anak Syria didaftarkan di sekolah awam dan sekolah dalam kem pada Mac 2013, ia meningkat kepada 83,000 anak pada hujung September 2013. (Data UNHCR) 4) Seluruh generasi Syria sedang dipertaruhkan dengan krisis memasuki tahun ketiga, program pendidikan seperti pendidikan awal kanak-kanak, perlindungan fizikal dan psiko-sosial serta kemahiran adalah sangat penting untuk menyediakan anak-anak ini untuk membina semula negara mereka ketika mereka pulang nanti. 5) Di Lebanon, 80% anak Syria tidak bersekolah, jumlah mereka bersamaan 435,000. 3 tahun lalu, 90% anak-anak Syria masih ke sekolah. (Data UNHCR) 6) Di Iraq pelarian Syria berjumlah sehingga 1.13 juta keseluruhannya selepas pintu Peshkhabour dibuka. (Data UNHCR) 7) Di Jordan, sehingga 576,354 pelarian direkodkan sehingga 31 Disember 2013. (Data UNHCR) 8) Di Turki, sehingga 571,513 rakyat Syria direkodkan sehingga 13 Januari 2014. (Data UNHCR) 9) Sehingga 11,420 anak-anak Syria dilaporkan meninggal dunia sehingga Disember 2013 dengan setiap 10 orang yang mati, seorang adalah kanak-kanak. (Data Oxford Research Group) 10) Di Lebanon dan Jordan, anak-anak seawal 8 tahun bekerja untuk mendapatkan makanan. Mereka dipaksa bekerja oleh keluarga sendiri untuk membantu menyara keluarga. Pendaftaran murid di sekolah-sekolah dalam kem seperti Zatari juga rendah kerana mentaliti seperti ini. (Data UNICEF Jordan) 11) April 2014 ini, #TFTN akan membuka kelas pertama untuk anak-anak Syria di Irbid. Dijangkakan pada hujung tahun lebih banyak sekolah akan dibina untuk memastikan generasi muda Syria ini mendapat pendidikan yang sepatutnya. 12) Perjalanan ke Jordan baru-baru ini mengingatkan satu perkara. Ke mana hala tuju pendidikan jika bukan untuk kemanusiaan?         unnamed ]]>